Sabtu, 31 Ogos 2013

41 dan Bab Akhir MSM

41

Sebaik sahaja dia meninggalkan kereta Lukman, langkah kaki Laila di hentikan oleh seorang wanita ketika dia berada di aras 3. Laila terkebil-kebil memandang wanita itu. Namun dari pakaian seragam wanita itu dia tahu wanita itu berkerja di bangunan yang sama dengannya.
“Awak siapa?” soalnya hairan melihat wanita itu sengaja berdiri di hadapannya.
Wanita itu tersenyum entah kenapa. “Kenapa you menangis? Lelaki tu sakitkan hati you ya? Dia suami youkan?” ucap wanita itu tanpa menjawab pertanyaan Laila. Dia memandang semula tempat dia melihat Lukman menurunkan Laila sebentar tadi.
Gelagat wanita itu membenihkan rasa hairan yang bukan sedikit di hati Laila. Lama wajah wanita itu ditatap, cuba diingati adakah dia mengenali wanita itu di mana-mana namun gagal. Rasanya mereka memang tidak pernah bertemu.
“Awak ni siapa?” tanya Laila sekali lagi. Hairan dia melihat senyuman wanita itu, seolah-olah ada makna yang tersirat.
Wanita aneh itu terus tersenyum merenung Laila. “Dia memang dilahirkan untuk buat perempuan menangis. Lelaki macam dia sebenarnya tak layak dijadikan suami. Kalau I jadi you, I takkan memperbodohkan diri I untuk hidup dengan lelaki berhati binatang macam dia,” ujar wanita itu tanpa mempedulikan pertanyaan Laila sebentar tadi. Matanya sempat menyoroti kandungan Laila yang kelihatan agak besar.
“Apa semua ni? Tolonglah jangan serabutkan kepala saya lagi!”
“I nak bercakap dengan you pasal Lukman. Boleh kita jumpa petang ini?”
Laila terkesima. Dari mana wanita ini tahu nama suaminya? “Macamana awak kenal suami saya?” soal Laila bertambah hairan.
“Petang ni.. semua soalan you tentang gambar tu akan terjawab petang ni. Jam 5 setengah di Mc Donald aras 5 kita jumpa,” ucap wanita itu lantas meninggalkan Laila terpinga-pinga sendiri.
Laila memandang lama langkah wanita itu. Kejutan apa lagi kini? Rasanya wanita ini bukan wanita yang berada di dalam gambar-gambar itu. Wanita ini lebih sopan pakaiannya dan bertudung sama sepertinya. Semakin banyak persoalan yang menghuni benak Laila saat itu. Membuatkan dia merasa dirinya sudah terperangkap di dalam jerat yang paling tidak dimahukan!

Lukman mundar mandir berkali-kali di ruang tamu rumahnya. Matanya memandang lagi jam di dinding. Waktu sudah melepasi jam 10 tetapi Laila masih juga tidak pulang. Lukman keresahan sendirian. Sebentar tadi saat dia menelefon Laila, wanita itu mengatakan yang dia masih di pejabat. Masih banyak kerja yang perlu disiapkan katanya. Namun Lukman yakin Laila sebenarnya mahu mengelak darinya. Kali ini tidak terhitung lagi kebimbangannya kepada isterinya itu. Dia bimbang Laila keletihan membawa perutnya menaiki kenderaan awam.
Sedang Lukman berkira-kira mahu pergi mengambil Laila dia dihubungi seseorang. Apabila diamati nombor yang memanggil Lukman tidak mengetahui siapa si pemanggil. Namun dia lekas menjawabnya kerana ada rasa tidak enak dirasakan saat itu.
“Assalamualaikum..” kedengaran suara wanita memberi salam kepadanya.
“Waalaikumussalam..” jawab Lukman dalam debaran yang semakin kencang. Dia kenal itu bukan suara Laila.
“Boleh saya bercakap dengan Encik Nahij Lukman?”
“Saya Nahij Lukman. Ada apa ni?” Lukman semakin tidak keruan apabila wanita di sana berbicara agak formal.
“Encik Lukman, nama saya Maisarah. Panggilan ni saya buat dari Hospital Putrajaya. Saya nak tanya Siti Laila Huda, isteri encik ke?”
“Ya! Ya! Kenapa dengan isteri saya?” Lukman mendadak cemas apabila wanita bernama Maisarah itu menyebut nama isterinya. Lebih cemas lagi apabila mengetahui panggilan itu telah dibuat dari hospital.
“Saya nak memaklumkan yang Puan Siti Laila Huda baru sahaja di masukkan ke unit kecemasan Hospital Putrajaya. Minta encik Lukman ke sana segera,” ujar Maisarah agak tenang.
Lukman hampir pitam mendengar itu. Tetapi lekas-lekas dikawal dirinya. Apa yang dia tahu dia harus menemui Laila secepat yang mungkin. “Baiklah. Saya datang sekarang!”
Lukman lantas menukar pakaiannya. Kebimbangannya sudah tidak mampu dikawal lagi. Kelam kabut dia mencapai dompet dan kunci keretanya. Dia tidak tahu apa yang terjadi namun bagi Lukman yang paling utama saat ini adalah untuk melihat dahulu keadaan isterinya itu.
Lukman melarikan kereta sepantas mungkin. Melalui lebuhraya dia tiba di tempat yang dimaksudkan setengah jam kemudian. Setelah memakirkan kereta di hadapan hospital itu Lukman berlari masuk ke dalam hospital itu untuk ke wad kecemasan. Setelah menyebut nama Laila, Lukman terus dibawa oleh petugas hospital masuk ke dalam unit kecemasan.
Saat mendekati sebuah katil air mata Lukman seperti mahu menitis melihat Laila mengerang menahan sakit sambil dikelilingi beberapa orang kakitangan perubatan sedang memberikan bantuan kepadanya. Seorang doktor berbangsa India pula sedang meneliti kad laporan pemeriksaan kandungan Laila. Lukman tahu Laila memang sentiasa membawa kad itu ke mana-mana atas nasihat doktor. Bimbang jika berlaku kes seperti ini.
Lukman cuba mendekati Laila namun dihalang oleh salah seorang jururawat itu.
“Tunggu sana, encik. Kami sedang rawat pesakit ni,” ujar jururawat bertudung itu sambil merapatkan lagi tirai bagi melindungi katil itu dari pandangan orang lain.
Lukman akur dalam keterpaksaan. Tetapi dalam pada itu dia asyik memandang ke dalam melalui tirai yang sedikit renggang itu untuk melihat apa yang berlaku. Dia kerisauan apatah lagi dia semakin mendengar suara Laila yang mengerang dan menangis bagaikan dalam kesakitan yang teramat sangat. Lukman tidak tahu samaada Laila sedang melahirkan anak mereka atau sebaliknya. Tetapi setahunya anak di dalam kandungan Laila baru berusia 7 bulan lebih. Tidak tertanggung lagi resahnya. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dirempuh tempat itu untuk menenangkan wanita kesayangannya itu.
Lukman semakin resah dengan pelbagai andaian. Saat itu dia hanya mampu berdoa kepada Allah semoga Laila dan anak-anaknya itu tidak mengalami sesuatu yang buruk. Berkali-kali dia menghela nafas bagi menenangkan dirinya. Berkali-kali dia menyebut nama Allah bagi meredakan debarannya. Hanya satu pintanya saat ini. Selamatkan Laila dan anak-anaknya. Hanya itu!
Hampir setengah jam kemudian suara Laila tidak kedengaran lagi. Suara bayi juga tidak kedengaran. Lukman semakin terdesak untuk mengetahui apa yang berlaku. Tetapi tidak lama kemudian tirai itu direnggangkan sedikit oleh salah seorang wanita india yang berpakaian biru. Beberapa orang doktor berlalu pergi dengan fail yang mungkin milik Laila.
“Suami Siti Laila ke?” soal wanita bernama Manisha itu kepada Lukman.
“Ya, Saya Lukman. Macamana keadaan isteri dan baby saya, doc?”
“Encik Lukman, isteri you dimasukkan ke sini sebab dia dilaporkan terjatuh di tangga eskulator di KLIA tadi. Kita dapati ada berlaku sedikit pendarahan pada pangkal rahim tapi you jangan bimbang. Anak dalam kandungan dia tak apa-apa,” jelas wanita itu tenang.
“Isteri saya?” soal Lukman masih tidak merasa lega.
“Setakat ini keadaan dia stabil tapi kita kena tahan dia untuk sementara waktu sehingga keadaan dia benar-benar pulih kerana tekanan darah agak tinggi. Lagipun dia mengalami kekurangan air dan darah merah. Dia juga kurang rehat. So mengikut apa yang doktor pakar putuskan buat masa ni dia terpaksa ditahan di wad sehinggalah pakar gynea benar-benar berpuas hati dengan keadaan dia dan baby dalam rahim dia tu.” Dr. Manisha berkata lembut.
Lukman terdiam sambil memandang Laila yang sudah tidak sedar dengan corong gas yang dipasangkan ke hidungnya. Dia tahu Laila tertekan dengan pertengkaran mereka siang tadi. Lukman menggeleng perlahan. Semua ini berlaku kerana dirinya!
“Jangan risau. After a few days, she will be fine..”
“Macamana dengan pendarahan tu? Serius ke?”
“Pendarahan tu impak daripada gegaran akibat terjatuh tadi. Buat masa ini pendarahan tu dah berhenti. Tetapi kita terpaksa memantau keadaan dia kerana ada berlaku gegaran pada kandungan. Takut-takut kalau ada implikasi lain yang timbul pada kandungan dia. So buat sementara waktu kita tak benarkan dia bergerak walaupun untuk ke tandas untuk mengelakkan sebarang komplikasi kepada baby. Jadi kita memang sangat perlukan kehadiran you untuk bantu dia. Kalau you tak boleh ada hal lain you kena panggil orang lain temankan dia. Mesti ada orang temankan dia 24 hours! Untuk beberapa hari ni kita mahu dia betul-betul berehat untuk membantu memulihkan tenaganya dan juga untuk elakkan komplikasi pada kandungan,” jelas Dr. Manisha dengan lebih terperinci lagi.
Lukman menghela nafas perlahan. Dia tahu Laila keletihan semenjak kebelakangan ini. Sering pergi kerja awal dan pulang lewat. Dia kesal kerana tertekan dengan masalah mereka Laila jadi begini.
“Bila dia akan dipindahkan ke wad?”
“Sekejap lagi.”
Lukman mengangguk seketika. Kalau dirinya diperlukan dengan berbesar hati dia akan melakukan apa sahaja untuk wanita itu. Usahkan sekadar menemankan jika organnya yang diperlukan sekalipun akan diberikan tanpa syarat. Dia akan melakukan apa sahaja asalkan Laila dan anaknya selamat.
“So ada bawa barang-barang dia?”
“Oh! Takde.. saya panik sangat tadi. Terlupa semua tu,” ucap Lukman kesal.
“Takpelah. Untuk lapan jam pertama ini kita akan biarkan dia tidur. Jadi you boleh gunakan masa ni untuk balik ke rumah sekejap. Rasanya takde masalah untuk itu. Tapi tunggu sehingga dia masuk ke wad dulu lepas tu baru you balik ambil barang-barang dia,” ucap wanita itu lembut.
“Terima kasih, doc.”
Welcome..” balas Dr. Manisha sebelum meninggalkan Lukman di situ.
Lukman mendekati isterinya yang sedang terlena di katil itu. Dua orang jururawat sedang membuat persediaan untuk memindahkan Laila ke wad. Tidak mahu menganggu kerja mereka Lukman sekadar memandang Laila dari tempat dia berdiri. Saat itu telinganya terus diperdengarkan tangisan dan erangan Laila sebentar tadi. Sebak dadanya mengenang kesengsaraan isterinya.
‘Sayang, abang janji takkan sakitkan sayang lagi. Abang janji sayang takkan derita lagi!’ bisik Lukman dalam kesayuan.

Laila tersedar pagi itu ketika jam sudah menunjukkan ke angka 8 pagi. Setelah membuka mata dia keliru di mana dia berada. Serasanya sudah lama benar dia terlelap. Puas diperhatikan sekelilingnya namun dia tidak merasakan dia sedang berada di biliknya. Setelah melihat dua katil bersebelahan dengannya bercadar putih Laila sedar dia kini berada di wad. Cumanya dua katil di sebelahnya itu kosong. Perlahan dia cuba menggerakkan tangannya. Namun terasa tangannya berat ditindih sesuatu.
Lukman yang sedang tersengguk di tepi katil itu pantas tersedar saat Laila cuba menarik tangannya. “Laila dah sedar, sayang?” soal Lukman dalam kelegaan. Cepat-cepat dia menggosok matanya bagi menghilangkan mamai.
Laila hanya memandang Lukman dalam kebingungan. Kemudian dia memandang perutnya. Cuba untuk memastikan keadaan kanduangannya. Namun lega hatinya merasa ada sedikit gerakan di dalam kantung rahimnya. Dia tahu bayinya tidak apa-apa. Cumanya gerakan itu tidak lagi seaktif selalu.
“Laila terjatuh semalam. Jangan risau baby kita tak apa-apa. Cuma ada sedikit pendarahan pada pangkal rahim. Yang lain semuanya okay,” ucap Lukman memberitahu keadaan itu kepada Laila. Dia tahu Laila masih bingung dengan apa yang berlaku.
Laila tidak menjawab kepada Lukman namun penerangan Lukman tetap didengarinya. Syukurlah jika Lukman sudah berkata begitu. Laila menanggalkan topeng gas yang menyerkup hidungnya. Tanpa mempedulikan Lukman di sisinya dia cuba untuk bangun dari pembaringan.
“Kenapa? Laila nak minum?” Lukman menyoal gusar setelah melihat Laila seakan mahu bangun pula. Sudah beberapa kali dia diingatkan oleh ketua jururawat agar tidak membenarkan Laila bergerak atau berjalan.
“Laila nak ke toilet,” ucap Laila dalam kedinginan.
“Eh! Nanti kejap. Doktor tak bagi Laila bergerak. Nanti abang panggilkan nurse. Laila jangan bangun! Tunggu situ!” ucap Lukman sedikit cemas. Dia pantas bangun untuk mencari jururawat. Sememangnya dia telah diberitahu oleh jururawat supaya memanggil mereka sekiranya Laila mahu ke tandas.
Laila hanya mampu memandang Lukman yang sedang menuju ke kaunter jururawat itu. Dia tidak tahu mengapa Lukman mahu memanggil jururawat pula sedangkan dia bukannya memerlukan ubat sebaliknya dia mahu ke tandas. Lukman kembali semula kepadanya bersama seorang wanita berpakaian putih.
“Puan Laila nak buang air ke?” soal jururawat yang bernama Safiah itu kepada Laila. Beberapa alatan di letakkan di tepi kaki Laila.
“Ya.” Laila menjawab perlahan.
“Jangan bangun. Doktor tak benarkan puan bangun. Saya akan bantu puan di katil ni,” ucap jururawat itu sambil dia mengembangkan tirai agar katil itu dilindungi. Dia kemudiannya terus memakai sarung tangan.
Laila mula cemas melihat keadaan itu. Dia tidak dibenarkan bangun? Sekilas pandang dia sudah tahu apa yang mahu dilakukan oleh jururawat itu apabila mula membentangkan sehelai plastik berwarna putih di bawah tempat pembaringannya.
“Kenapa saya tak boleh ke tandas pulak?” soal Laila tidak mengerti.
“Kandungan puan mengalami gegaran. Jadi kita terpaksa lakukan ini untuk elakkan komplikasi lain. Lagipun kondisi badan puan lemah. Puan tak boleh bergerak. Semuanya mesti dilakukan di atas katil ini. Ini baik untuk kandungan puan sehingga pakar berpuas hati dengan keadaan puan. Ini prosedur biasa, puan.” Wanita itu menjelaskan keadaan itu dengan cukup lembut. Nampak sesuai benar dia menjawat jawatan sebagai jururawat dengan karektornya yang selalu tersenyum dan penyabar itu.
Laila hampir ternganga mendengar itu. Tidak sangka keadaan akan menjadi seserius ini. “Takkan sampai macam tu sekali?” soal Laila tidak percaya.
“Memang macam tu. Bila ada berlaku pendarahan akibat gegaran doktor tak benarkan mana-mana pesakit bergerak aktif  untuk mengelakkan komplikasi lain pada bayi. Kalau puan tak mahu apa-apa berlaku kepada anak puan, puan kena ikut arahan doktor ni. Tak perlu malu. Bukan puan seorang yang pernah melalui keadaan ini,” tambah jururawat itu lagi setelah melihat reaksi Laila seperti malu dengannya.
Teringatkan betapa deritanya dia semalam, Laila akur dalam keterpaksaan. Kalau ini yang harus dilakukan demi keselamatan anak-anaknya biarlah. Mujurlah hanya seorang jururawat yang melakukannya. Jika tiga empat orang seperti semalam dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk dia menutup mukanya ini.
Hampir lima belas minit kemudian barulah tirai itu dikembangkan semula. Lukman pantas mendekati katil itu dan melihat Laila yang terbaring sementara jururawat itu mengemaskan pekakas yang telah digunakan.
“Terima kasih, nurse..” ucap Lukman lembut.
“Sama-sama. Jangan banyak bergerak ya, puan. Kalau nak buang air panggil nurse. Jangan pergi sendiri,” sempat lagi jururawat itu berpesan kepada Laila.
Laila hanya mengangguk sambil mengucapkan terima kasih kepada wanita yang berusia 30-an itu. Seketika kemudian Lukman kembali duduk di sisi Laila. Wanita itu tetap dipandang tanpa jemu walaupun jelas sekali Laila tidak sudi untuk memandangnya.
“Kenapa tak call abang masa nak balik semalam?” soal Lukman lembut. Jemari itu cuba dicapainya namun Laila lebih pantas menolak tangan Lukman. Dia terus mengiringkan tubuhnya ke arah lain enggan memandang Lukman. Peristiwa petang semalam dan hari-hari sebelumnya masih segar dalam fikirannya. Tidak mungkin dia dapat beramah mesra dengan Lukman setelah semua itu berlaku.
Lukman menghela nafas perlahan melihat reaksi Laila. Namun secebis pun dia tidak marah. Dia sudah berjanji kepada dirinya apa pun yang terjadi dia tidak akan patah semangat. Selagi dia hidup dia akan terus berusaha untuk memujuk sekeping hati itu. Dia tahu dia tidak harus berlengah-lengah lagi.
“Laila, maafkanlah abang. Abang betul-betul sayangkan Laila,” keluh Lukman perlahan.
Laila terus membatu. Gembira tidak dengan ucapan itu sebaliknya dadanya dilanda sebak yang amat sangat. Mengapa Lukman meluahkan cinta setelah menghancurkan hatinya? Mengapa mesti Lukman melukai hatinya setelah dia jatuh cinta kepada lelaki itu? Mengapa Lukman tergamak mencela hatinya setelah puas dia memujuk hatinya agar memberikan sepenuh kepercayaan kepada lelaki itu? Mengapa Lukman sampai hati merobohkan impiannya untuk melihat perkahwinan ini pergi lebih jauh lagi? Mengapa? Malangnya datang bertimpa-timpa. Semalam dia diberikan kejutan demi kejutan. Setelah bertemu seorang wanita yang mengaku bekas kekasih Lukman, dia juga diketemukan dengan Nazim. Barulah dia tahu apa rahsia yang selamaa ini disembunyikan Lukman. Rupanya ada yang dia tidak tahu.
“Sayang, jangan terus jauhkan diri macam ni. Abang betul-betul minta maaf. Abang janji abang takkan kecewakan Laila lagi. Sekali lagi aja, sayang. Abang merayu sangat-sangat ni,” pujuk Lukman sambil cuba meraih jemari Laila namun seperti tadi Laila terus menepis tangannya seolah-olah sudah teramat benci kepadanya. Namun seketika kemudian esakan Laila kedengaran halus di pendengaran Lukman.
Lukman sayu mendengar tangisan itu. Dia mengeluh perlahan dalam menahan rasa bersalahnya. “Abang mengaku abang bersalah pada Laila. Abang tahu abang tak layak meminta Laila terima abang lagi tapi abang tak mampu untuk kehilangan Laila. Abang tak bermaksud nak menduakan Laila. Abang betul-betul tak sengaja. Demi Tuhan abang takkan lakukannya lagi, sayang. Tolonglah jangan bencikan abang lagi. Abang tersiksa sangat hidup dalam kebencian perempuan yang abang sayang. Abang tak sanggup biarkan Laila pergi dari hidup abang. Tolonglah maafkan abang. Sekali ni aja! Please...”
“Macamana abang boleh kata yang abang tak sengaja tidur dengan dia? Ada orang berzina sebab tak sengaja ke? Tak logik!” cemuh Laila setelah berpaling kepada lelaki itu. Matanya sudah lencun dengan air mata. Dia sudah tidak sanggup ditipu lagi. Cukuplah Lukman memacakkan harapan palsu kepadanya! Dia sudah tidak berdaya lagi untuk menahan luka dihatinya.
“Abang tak tahu macamana nak explain pada Laila pasal tu. Abang tahu apa pun yang abang cakap Laila mesti tak percaya lagi. Tapi demi Tuhan waktu abang jumpa dia semalam abang langsung takde rancangan untuk buat macam tu. Percayalah!”
“Tak berniat nak menduakan konon!  Siapa perempuan tu? Bekas kekasih abangkan?” ucap Laila tajam. Sedikit pun tidak dia percaya dengan omongan Lukman. Dia tahu selepas tertangkap Lukman boleh berkata apa sahaja untuk merayunya.
“Kan abang dah kata semalam, dia tu cuma kawan abang waktu di Machester dulu. Laila, sumpah abang tak sengaja semalam. Kalau abang waras abang takkan buat macam tu. Untuk apa? Abang ada Laila untuk apa buat macam tu dengan dia?”
“Itu cuma abang aja yang tahu jawapannya. Laila ada pun apa guna? Laila masuk bilik abang, abang tergamak tengking Laila. Yalah! Dalam keadaan perut memboyot macam ni tentulah body Laila tak bergetah macam betina tu! Laila pun bukannya jenis daring sanggup pakai gaun singkat macam tu depan orang ramai. Laila ni perempuan kampung yang kolot!” balas Laila tajam.
“Ya, Allah.. sayang, malam tu abang tak sengaja tengking Laila. Waktu tu abang letih sangat, sayang. Bukan sebab Laila tengah macam ni. Abang takde terfikir macam tu biar sedetik pun, sayang. Jangan tuduh abang macam tu!” balas Lukman tetap lembut. Bukan masalah badan Laila tidak seksi. Jika sudah sayang biarpun tidak seksi dia tetap mahu.
“Dengan betina tu tak letih pulak!” cemuh Laila pantas.
“Sayang, itu semua perangkap untuk abang. Percayalah..”
“Siapa yang perangkap abang? Nazim? Abang tak tunaikan kehendak dia sedangkan abang dah janji pada dia yang abang akan serahkan projek di KLIA tu pada dia lepas abang dapat puaskan nafsu dengan Laila. Atau Batsrisya yang abang main-mainkan bertahun-tahun dulu? Laila dah tahu semuanya! Abang ingat Laila jatuh semalam sebab apa? Sebab tersandung? Laila tak boleh terima apa yang abang dah buat pada Laila ni. Lepas Laila tahu abang meniduri perempuan lain, Laila dapat tahu rahsia yang abang sembunyikan dari Laila selama ini. Rupanya bukan seorang dua hati perempuan perempuan yang dah abang hancurkan. Bukan seorang dua perempuan yang abang dah bawa ke katil sebelum Laila. Laila ni cuma barang dagangan bagi abang dan Nazim! Patutlah abang tak mahu bertanggungjawab pada Laila dulu! Lelaki penipu!” bentak Laila semakin meninggi. Berderai lagi air matanya mengenang cerita Nazim semalam.
Lukman terkaku bagaikan tidak percaya. Laila ada bertemu Nazim? Batrisya? Lukman kembali mengimbas kenangannya ketika di Manchester dahulu. Ya, dia pernah mempermainkan wanita itu. Langsung dia tidak jangka hari ini dia kesalahannya akan dihimpun serentak untuk diadili Laila.
Saat itu habis punah harapan Lukman untuk melihat mahligainya kembali teguh. Bertimpa-timpa malang datang kepadanya. Dia tidak tahu apa lagi yang harus dikatakan kepada Laila. Nazim tentu sudah membuka banyak cerita untuk menghancurkan dirinya. Sampainya hati Nazim!
“Kenapa abang buat Laila macam ni? Apa salah Laila? Sampainya hati abang!” ucap Laila dalam esakan sayu. Tanpa disangka mereka jeritan Laila tadi sudah didengari oleh manusia di luar wad itu. Beberapa jururawat mula masuk ke bilik itu. Termasuklah yang membantu Laila sebentar tadi.
“Puan Laila, kenapa menangis ni? Jangan menangis..” tegur Safiah sambil memandang Lukman sekilas.
Melihat kedatangan orang asing Laila segera mengawal dirinya. Wajahnya dilapkan namun dia berpaling dari memandang Lukman. Lelaki itulah yang membuatkan dia tertekan begini.
“Jangan stress sangat, puan. Tak elok untuk anak dalam kandungan tu. Rehat-rehatkan fikiran. Kalau ada masalah pun jangan tekan diri sampai jadi macam ni. Kalau banyak sangat menangis nanti tekanan darah naik. Bahaya!” ucap Safiah lagi sambil mengusap bahu Laila.
Kemudian wanita itu memandang Lukman. “Encik kalau ada apa-apa masalah sekalipun kalau boleh jangan bincang apa-apa masalah dulu sekarang. Biar keadaan isteri encik ni pulih dulu. Keadaan dia belum cukup stabil lagi,” ujar Safiah kepada Lukman pula. Lukman sekadar mengangguk. Malunya!

Lukman menghela nafas perlahan. Dia sudah tidak tahu apa yang harus dikatakan lagi. Lebih dari itu, dia tidak mahu apabila bercakap tentang ini Laila akan lebih tertekan sedangkan keadaannya masih belum stabil sepenuhnya. Akhirnya mereka berdua terus berdiam diri melayan perasaan masing-masing.

Akhir

Selepas usai makan tengahari, Laila tidak menyangka dia akan menerima kunjungan daripada keluarga mertuanya. Bukan sekadar ayah Lukman yang datang tetapi emak Lukman dan Amirah juga turut datang. Baguslah, fikir Laila. Hari ini dia nekad mahu segalanya diselesaikan.
“Laila macamana sekarang?” soal Tan Sri Fatah lembut.
“Laila baik sikit, ayah.” Laila membalas lembut. Kekok dia melihat renungan emak mertuanya itu. Namun dia sudah tidak gentar lagi. Pedulikan! ucap hatinya nekad.
“Luk kata Laila jatuh semalam. Jatuh kat mana?” Amirah pula bersuara. Dia memandang abangnya. Lelaki itu nampak aneh.
“Waktu nak balik semalam Laila terjatuh kat tangga eskulator waktu nak ke stesyen ERL. Laila jalan laju sangat sebab nak kejar tren ERL semalam. Tak sangka sampai jadi macam ni,” cerita Laila serba ringkas.
“Kau ni macamana jaga bini, Luk? Sampai jatuh kat eskolator pulak? Kau tak ambik Laila ke semalam? Kaukan ada kereta?” tanpa diduga suara Puan Sri Mahani terus lantang menghentam Lukman yang diam sahaja di tepi tingkap.
Lukman terus terkejut apabila dia pula yang dimarahi emaknya.
“Ma, bukan salah Luk. Laila yang tak bagi Luk jemput Laila.” Laila lantas menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Memang dia yang tidak membenarkan Lukman menjemputnya semalam.
“Ha? Kenapa pulak Laila tak bagi Luk jemput Laila? Kan senang kalau naik kereta? Takdelah sampai jadi macam ni. Nasib baiklah baby tu tak apa-apa.” Kali ini nada tajam itu tertuju buat Laila pula.
Laila hanya diam tidak terus menjawab.
“Berapa lama agaknya Laila kena tahan di sini?” Tan Sri Fatah segera mencelah mematikan suasana tegang itu.
“Tak tahu lagi, ayah. Kena tunggu sampai doktor berpuas hati dengan keadaan Laila. Lagipun doktor kata Laila kurang darah dan kurang rehat. Tekanan darahnya pun tinggi semalam. Sebab tu dia lemah.” Lukman segera menjawab bagi pihak isterinya itu. Namun nadanya amat lemah. Sudahlah Laila membencinya emaknya pula, pantang ada peluang asyik marahkannya. Tidak tertanggung tekanannya saat ini.
“Kurang darah? Laila tak makan ke? Laila selalu tak makan ke, Luk?” Puan Sri Mahani semakin tidak berpuas hati dengan apa yang didengarinya itu. Lukman terkumpal-kumpal tidak mampu menjawab.
“Tengok? Laila makan ke tidak pun kau tak tahu. Kau ni tak tahu jaga anak bini agaknya. Nak berbini tapi menjaga bini kau tak tahu! Kau fikir jadi suami ni bagi duit bulan-bulan aja dah cukup? Kesihatan bini kau sendiri kau kena ambil tahu. Bukannya semua benda yang mama tanya kau tak tahu! Apa nak jadi dengan kau ni entahlah! Buat anak pandai. Tapi bila bini dah memboyot macam ni kau boleh biarkan dia naik tren balik kerja. Nasib baik baby tak apa-apa! Kau ni memang tak boleh diharap!” Lekas sahaja Puan Sri Mahani menghentam Lukman di hadapan Laila dan suaminya itu.
Amirah hanya diam memandang abangnya itu. Kasihan pula dia melihat wajah mendung Lukman. Lukman hanya diam. Dibiarkan telinganya menadah leteran emaknya itu. Dia tahu emaknya marah kerana mengambil berat akan kandungan Laila. Dia tahu marah-marah emaknya itu, emaknya tetap mengharapkan cucu-cucu yang bakal lahir itu.
“Mah, janganlah marah-marah macam ni. Laila tukan tengah sakit. Nanti tertekan dia lagi susah,” ucap Tan Sri Fatah lembut.
Puan Sri Mahani menjeling Lukman geram. Masih berbuku hatinya pada anak lelakinya itu. Muka sedih itu masih tidak mampu menerbitkan rasa simpatinya sebaliknya dia semakin geram.
“Mama, ayah, Laila ada perkara yang nak dikatakan. Laila harap mama dan ayah jangan terkejut dengan apa yang Laila akan katakan nanti..”
“Laila!” pintas Lukman tidak membenarkan. Dia dapat mengagak apa yang mahu dikatakan Laila.
“Laila nak selesaikan sekarang. Laila dah tak sanggup lagi!”
“Takkan sekarang, Laila? Kita bincang dulu! Biarlah keadaan tenang dulu baru kita bercakap pasal ni!” tegas Lukman agak keras.
“Abang dah janji abang akan tunaikan apa yang Laila nak kalau Laila ikut segala kehendak abang. Tunaikan janji abang tu! Sampai bila abang nak siksa Laila macam ni? Abang sendiri kata Laila ni banyak menyusahkan abang. Untuk apa kita teruskan lagi?” tekan Laila sedikit lantang.
“Laila, dia orang semua tu tak sabar-sabar nak tengok rumahtangga kita musnah. Itu ke yang Laila nak? Laila sanggup tengok anak-anak kita hidup tanpa ayah? Abang tahu abang buat salah. Tapi takkanlah Laila tergamak memalukan abang depan orang tua abang sendiri?” bentak Lukman dengan dada yang turun naik menahan perasaan.
“Laila dah tak peduli lagi! Tolonglah lepaskan Laila dari semua ni! Semenjak kenal abang hidup Laila hanya ada sengsara. Laila dibenci tanpa sebab. Sampai bila abang nak tengok Laila macam ni?” jerit Laila sudah tidak tertahan. Berderai lagi air matanya.
Baik Tan Sri Fatah mahupun Puan Sri Mahani juga Amirah mereka terpinga-pinga melihat sepasang manusia itu bertengkar di hadapan mereka tanpa segan silu. “Apa semua ni, Lukman?” jerkah Puan Sri Mahani tidak sabar.
“Mama..”
“Laila, jangan buat abang macam ni. Laila tak tahu apa yang tengah abang tanggung sekarang. Jangan hukum abang melulu, sayang. Please..” pintas Lukman sebelum sempat Laila membuka rahsia itu.
“Laila tak nak hidup dengan abang lagi! Cukuplah kita setakat ini.” Laila menggeleng berkali-kali menyatakan pendiriannya. Dia tidak sanggup melalui keadaan ini berterusan. Bagaimana untuk dia hidup dengan lelaki yang tidak mampu dipercayainya?
“Kenapa ni, Laila? Lukman? Ada apa ni?” tanya Tan Sri Fatah cuba ikut campur.
“Ayah, Laila dah nekad. Laila nak minta cerai!” Laila lebih pantas menjawab sebelum sempat Lukman menjawab.
Tan Sri Fatah terus tergamam dalam pada dia beristighfar sendiri. Begitu juga dengan Puan Sri Mahani. Biarpun tidak begitu gemarkan menantunya itu namun dia tidaklah sekejam itu untuk bergembira melihat rumahtangga anak lelakinya itu roboh.
Lukman lebih tergamam dalam pada menahan hati yang hancur dengan perbuatan isterinya itu. Maruahnya jatuh menyembah bumi saat dirinya dipanah oleh pandangan emak dan ayahnya yang menagih penjelasan. Lukman terus berpaling memandang ke luar tingkap. Saat ini kudratnya untuk mempertahankan dirinya sama sekali sudah tiada. Dalam pada itu matanya sudah mula kabur oleh air mata. Betapa saat ini dia merasakan dia sudah kehilangan segala-galanya! Mahligai seribu mimpinya sudah musnah menyembah bumi.
“Lukman, jelaskan pada ayah apa semua ni?” soal Tan Sri Fatah kepada anaknya itu.
“Laila boleh jelaskan semuanya. Beritahu semuanya, Laila. Biar mama dengan ayah tahu siapa abang sebenarnya. Beritahulah..” ucap Lukman pasrah tanpa menoleh kepada isterinya itu. Dia kembali berdiri di tepi tingkap itu.
Laila tanpa berfikir panjang lagi terus menceritakan semuanya. Kebencian yang ada di hatinya membuatkan dia nekad tidak mahu berahsia lagi. Ketiga-tiga manusia yang serius mendengar setiap butir bicaranya itu terlopong bagaikan tidak percaya.
“Betul ke apa yang Laila katakan ni, Lukman?” tengking Tan Sri Fatah lantang.
Lukman sekadar mendiamkan diri sambil merenung nasibnya melalui luar jendelanya. Tega benar Laila mengaibkan dirinya di hadapan kedua ibu dan ayahnya tanpa berbincang dahulu dengannya. Sedangkan mereka masih tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Lukman sendiri masih keliru mengapa dia sanggup meniduri Mastura. Apa yang dia tahu dia tidak melakukannya di bawah kewarasan dan kerelaan sendiri. Biarpun dia bersalah namun dia masih seorang suami. Apakah cintanya langsung tidak bernilai kepada Laila selama ini?
“Cakap, Lukman! Jangan diam saja! Apa semua ni?” kali ini Puan Sri Mahani pula membentak Lukman.
Lukman berpaling kepada kedua ibu dan ayahnya. Seketika kemudian dia menyeluk poket seluarnya. Kunci keretanya dikeluarkan dan dia mendekati ayahnya. Tangan lelaki itu diambilnya lalu kunci itu diletakkan di atas telapak tangan Tan Sri Fatah.
“Maafkan Luk, ayah. Tolong jaga Laila dan anak-anak Luk baik-baik. Luk tak tahu apa nak kata pada ayah. Luk memang banyak buat salah selama ini ayah. Pasal Nazim dan Mastura itu memang betul. Luk memang pernah buat semua tu. Begitu juga dengan perempuan-perempuan tu semua. Luk tak boleh nafikan sebab memang jelas Luk pernah tersasar suatu masa dulu, ayah. Luk dah cuba sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan tapi ini juga yang terjadi. Luk masih ingat ayah pernah kata pada Luk sebelum Luk ke Cambodia dulu. Hanya sekali sahaja lagi peluang yang ayah akan beri pada Luk. Luk dah cuba untuk berubah, ayah. Tapi Luk dah gagal kesemuanya. Luk tahu lepas semua yang ayah dah tahu tentang Luk, tempat untuk Luk di sini dah takde lagi. Mulai saat ni Luk akan letak jawatan di syarikat.” Lukman menunduk sedikit saat meluahkan bicaranya.
“Luk minta ampun, mama. Luk dah terlalu banyak melukakan hati mama selama ini. Mama tolonglah jaga Laila selama Luk takde ni. Luk dah tahu kepada siapa dapat Luk sandarkan harapan ni, selain mama. Luk nak mama faham sesuatu. Perkahwinan ni adalah sesuatu yang paling berharga yang pernah ada dalam hidup Luk. Luk teramat-amat sayang Laila, ma. Luk tak mahu mama terus benci dia. Kalau mama terus benci dia bermakna mama juga bencikan Luk,” ucap Lukman dalam kesayuan. Perlahan dia mendekati ibunya. Tangan wanita itu tetap dikucupnya walaupun dia masih melihat mata ibunya membulat garang kepadanya.
“Luk minta ampun dari hujung rambut sampa hujung kaki, mama. Sebagai anak Luk tak mampu jadi anak yang mama harapkan. Luk banyak buat dosa pada mama dan ayah,” ucap Lukman sebak.
“Kalau kau dah tahu begitu, kenapa kau masih buat semua tu? Kenapa, Lukman?” jerkah Puan Sri Mahani lantang. Tangannya ditarik kasar dari anaknya itu. Saat ini kemarahan yang tidak tertahan membuatkan dia terasa mahu menangis. Hanya seorang emak yang akan faham betapa hampanya dia saat ini melihat anaknya jadi begini.
“Luk tak tahu apa nak cakap pada mama tentang itu. Luk tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Luk minta maaf, ma.” Akhirnya Lukman menangis juga. Teresak-esak dia di hadapan emaknya itu. Namun seketika kemudian Lukman meraup wajahnya cuba meredakan kesedihannya. Wajah ibunya kembali dipandang. Mata ibunya berkaca memandangnya. “Tolong jaga Laila, ma. Dia hanya ada mama selepas ini. Tolong jangan abaikan anak-anak Luk,” pinta Lukman sayu.
Seketika kemudian Lukman memandang isterinya itu. Alangkah sedih hatinya melihat raut itu. Mata Laila sembab, sudah tentu kerana terlalu banyak menangis. Kerana dirinya wanita itu merana. Sesungguhnya ini bukanlah impiannya semenjak dia menyedari hatinya terpaut kepada wanita itu.
“Laila, abang sebenarnya tak tahu macamana nak teruskan hidup abang tanpa kehadiran Laila di sisi abang. Tapi tak apa.. abang memang bersalah kepada Laila. Tentang Nazim dan Mastura, abang memang salah. Abang mengaku abang memang ada di hotel tu. Abang mengaku semua yang berlaku dulu tu, rancangan jahat abang dengan Nazim. Tapi itu dulu.. ada waktunya manusia berubah, Laila. Macam tu juga dengan abang. Selama kita hidup bersama, abang hanya ada Laila dalam hidup abang. Abang sayangkan Laila selama ini. Tapi selepas apa yang berlaku antara abang dan Mastura, abang akui cinta abang memang takde nilainya lagi.
Laila tak mahu tengok muka abang lagi, abang akan pergi, sayang. Abang pernah berjanji abang takkan biarkan Laila menderita lagi. Kalau ketiadaan abang dalam hidup Laila membuatkan Laila bahagia, abang terima dengan hati yang terbuka. Tapi abang minta pada Laila, jaga anak-anak abang baik-baik. Itulah harta abang yang masih tinggal buat diri abang.” Lukman tunduk seketika menelan liurnya.
“Laila, waktu abang nikahi Laila dulu, abang ada lafazkan taklik. Sekiranya 4 bulan berturut-turut abang tak balik dan Laila tak menerima nafkah dari abang atau mana-mana ahli keluarga yang mewakili abang, sekiranya Laila ada pergi membuat aduan pada mahkamah syariah maka jatuhlah talak khuluk pada Laila. Abang pulangkan semuanya kepada Laila untuk Laila putuskan apa yang terbaik untuk diri Laila sendiri. Demi Tuhan abang hanya nak Laila bahagia dengan abang. Tapi sayangnya keadaan tu tak akan berlaku. Lepas semua yang berlaku hari ini abang dah tak tahu apa lagi yang abang ada untuk mempertahankan hubungan kita. Jaga diri, sayang. Ingatlah kasih sayang dan doa abang akan selalu mengiringi Laila dan anak-anak kita biar di mana pun Laila berada. Tolong jaga anak-anak abang baik-baik, sayang. Abang minta maaf atas semua kesalahan abang pada Laila selama ini. Demi Allah abang tak berniat untuk curang.”
Laila tidak terjawab kala itu. Melihat kesedihan di wajah suaminya dia tiba-tiba dihambat rasa kehibaan yang maha hebat. Air matanya terus mengalir tanpa henti. Puaskah hatinya dengan apa yang berlaku?
Kesemua manusia di dalam bilik itu terpaku memandang langkah longlai Lukman. Tan Sri Fatah lebih-lebih lagi. Dia terduduk di birai katil itu menekan dada. Sesungguhnya hanya Tuhan yang mengerti rasa yang sedang memalu hebat hatinya kala itu. betapa hanya Allah yang mengerti betapa hancur hatinya melihat harapan yang disandarkan sudah berkecai seribu. Hanya Amirah yang pantas mengejar langkah abangnya itu.
Laila tersandar kelu saat memandang Lukman berlalu. Entah kenapa saat itu dia tidak juga mendapat kegembiraan yang diharapkannya. Mengapa hatinya masih hancur melihat Lukman pergi? Matanya ini sekali lagi menyaksikan pemergian seorang lagi Nahij dari hidupnya.

Selama enam hari Laila ditahan di wad, kelibat Lukman sudah tidak kelihatan lagi. Lesap! Hilang begitu sahaja. Dia benar-benar mengotakan kata-katanya.
Berita tentang itu akhirnya tiba juga ke pendengaran Haji Syahar. Lelaki itu tiba di Kuala Lumpur bersama anak sulungnya dan Maryam. Terasa seolah-olah mimpi belaka. Baru sekejap dia melihat gelak tawa Laila tanda bahagia dengan kehidupannya. Kini semua itu sudah lenyap semuanya. Remuk hatinya melihat tangisan tidak terkawal anak perempuannya itu. Menandakan kesengsaraan hatinya bagaikan sudah tidak tertanggung. Tiada pujukan dapat diberikan melainkan meminta Laila beristigfar agar dia reda dengan ujian Allah.
Di perkarangan wad itu ramai ahli keluarga berkumpul. Kesugulan pasangan besan itu menandakan ada sedikit kesan telah merosakkan hubungan mereka. Sementara Tan Sri Fatah dan Haji Syahar berbincang di dalam bilik itu, anak-anak yang lain diminta menunggu di luar. Masing-masing tidak mahu perbincangan itu nanti diresapi emosi dan amarah yang akhirnya mengusutkan keadaan yang sudah terlalu kusut.
Arman memilih turun ke lobi hospital itu memandangkan kawasan itu agak sesak dengan pelawat. Dia duduk termenung sendiri di bangku di luar hospital itu. Hanya perihal adik kesayangannya itu yang bermain di fikirannya. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu sayu di hatinya melihat tangisan Laila tadi. Dia sendiri tidak tahu apa reaksi yang harus diberikan atas peristiwa yang amat mengejutkan ini.
“Man..” sapa satu suara lembut dari tepi. Arman mengangkat wajahnya kepada wanita itu. Syahreena berdiri di tepi sambil memandangnya.
Tanpa disuruh Syahreena duduk di berselang satu kerusi dari Arman. Wajah lelaki yang sedikit pun tidak terhias senyuman tidak lepas dari pandangannya. Syahreena sedar Arman pasti kecewa dengan apa yang berlaku kepada Laila. Arman pula sekadar tunduk merenung lantai tanpa berkata apa-apa kepada Syahreena. Tidak tahu apa yang mahu dibualkan dengan wanita itu.
“Saya sebenarnya terkejut sangat dengan apa yang berlaku. Saya tak sangka Lukman akan buat macam ni pada Laila,” luah Syahreena memulakan kata. Pahit perasaannya mengenangkan itu. Sampai hati benar Lukman meninggalkan Laila dalam keadaan begini.
“Saya tahu awak mesti marah atas semua ni. Saya bagi pihak keluarga saya betul-betul minta maaf pada awak sekeluarga, Man. Kami tak mampu tepati janji waktu kami datang meminang Laila untuk Lukman.” Syahreena menyambung lagi kepada lelaki itu.
Arman terus berdiam. Apa yang sedang dirasainya saat ini bukannya marah sebaliknya kecewa yang teramat sangat. Dia sedih melihat ayahnya. Dia sayu melihat keadaan adiknya.
“Man, cakaplah sesuatu. Jangan berdiam macam ni.”
Arman menoleh kepada wanita itu dengan tatapan kosong. “Saya takde apa nak cakap. Semuanya dah jadi. Saya cuma nak bawak Laila balik kampung dan biarkan dia berehat buat sementara waktu ni,” balas Arman tanpa perasaan.
Syahreena menelan liurnya payah. Sekilas dia memandang dia tahu Arman memendam rasa. Dia hanya berdiam begini mungkin kerana tidak mahu tindakannya memburukkan lagi keadaan ini.
“Saya tak mahu kerana perkara ini dua keluarga ini bermusuhan, Man.”
Arman tiba-tiba ketawa sambil bersandar dan membuang pandang ke arah lain. Geli hati pula dia mendengar bicara wanita ini. Mudahnya? Setelah menyakitkan dan terus menyakitkan, Syahreena meminta agar mereka tidak bermusuh?
Syahreena semakin tidak sedap hati melihat gelagat Arman.
“Awak memang dah buktikan saya ni memang tak sesuai untuk dekati awak. Adik awak dan mak awak dah buktikan lebih dari itu. Adik saya tu jadi sampah akhirnya! Kami memang tak cukup baik untuk berada dalam kalangan keluarga awak, betulkan? saya memang terlalu banyak buat salah dalam menilai Lukman selama ini,” ucap Arman sinis dengan senyum kelatnya.
Syahreena terdiam seketika mendengar bicara Arman. Malunya bertimpa-timpa. Sudahlah dia menolak lelaki ini. Kini Lukman pula buat Laila begitu. “Kami sikit pun tak berniat begitu selama ni, Man.”
“Whatever!” celah Arman malas mahu mendengar lagi. Dia terus memandang ke arah lain. Sedaplah kau bercakap. Yang kena bukan adik kau! Cemuh Arman dalam diam.
“Man, saya tahu awak marah. Sekali lagi saya minta maaf. Saya tahu selama ini mak saya tak layan Laila dengan baik tapi itu tak bermakna kami tak terima Laila. Awak tahukan yang ayah saya sayangkan Laila. Macam tu juga dengan adik beradik saya yang lain. Sedetik pun kami tak pernah membayangkan perkahwinan Laila dan Lukman ni hanya untuk setakat ini.” Syahreena cuba memujuk lagi tanpa mengalihkan pandangan dari lelaki itu.
Arman tunduk tiba-tiba sambil menekup wajahnya dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Kepalanya tergeleng-geleng seolah-olah cuba menidakkan kekesalan yang bermukim di hatinya. Siapa yang tidak sedih jika adik sendiri diperlakukan seperti ini. Tidak putus-putus dugaan datang menimpa Laila.
“Man.. saya minta maaf.”
“Jangan minta maaf lagi. Maaf awak hanya buat hati saya semakin sakit. Saya cuma perlukan masa untuk tenangkan hati saya. Itu saja,” jawab Arman mula tenang.
Kali ini Syahreena terdiam menerima pendirian lelaki itu. Buat seketika mereka berdua membisu di bangku itu. Masing-masing semakin janggal mahu berbual mesra.
“Sekeping gambar boleh menceritakan seribu satu cerita. Saya nak letakkan sedikit keyakinan bukan itu sebenarnya yang berlaku. Saya tahu Laila sayangkan Lukman sebab tu dia jadi macam tu. Saya tak mahu merosakkan perasaan dia dan saya tak mahu bunuh keyakinan saya selama ini. Tapi kenapa Lukman lari! Itu yang saya kesal,” ucap Arman tiba-tiba. Syahreena kembali memandang lelaki di sebelahnya itu.
“Maaflah.. saya bukannya nak marah atau nak menghukum sesiapa.” Arman berkata lagi sambil memandang Syahreena yang setia merenungnya.
“Saya cuma nak tengok adik saya happy macam orang lain, Reen. Dah lama saya tak nampak keceriaan tu ada pada wajah Laila. Saya nampak keikhlasan dia pada Lukman. Saya nampak kasih sayang dia waktu dia melayan Lukman ketika dia sakit. Saya tahu dia sayangkan Lukman dan saya pun tahu Lukman juga sayangkan Laila. Sebenci-benci saya pada Lukman, saya tak tergamak nak melihat pengakhiran mereka jadi seperti ini. Saya beri diri saya peluang untuk terima hakikat tentang mereka berdua. Sebagai abang, saya cuma nak tengok mereka berdua hidup saling melengkapi antara satu sama lain.”
“Saya tahu, Man. Saya faham apa yang awak rasa. Saya jugak berpendirian macam tu,” jawab Syahreena lembut. Pemarahkah lelaki ini sebenarnya, jika ini reaksinya tentang apa yang berlaku? Sedikit sebanyak persepsi Syahreena tentang Arman mula terpesong. Lelaki ini langsung tidak sama seperti yang disangkanya.
“Saya cuba untuk berfikiran positif, Reen. Semua orang ada buat salah dalam hidup ni. Takde suami dalam dunia ni boleh hidup tanpa buat satu kesalahan pun kepada isteri. Takde seorang suami pun dalam dunia ni boleh jadi sesempurna manusia tanpa melukai hati isteri sepanjang hidup bersama. Tapi sebagai lelaki, dia kena berdepan dengan setiap kesalahan dia. Itu baru namanya lelaki! Bukannya melarikan diri macam ni..”
Syahreena akui apa yang diucapkan Arman itu benar. Melarikan diri hanya membuatkan keadaan semakin sulit. Dia sendiri tidak tahu apa yang berada di fikirannya adiknya itu sehingga sanggup melakukan perkara seperti ini. bila dah terkantoi, senang aja dia pergi meninggalkan semuanya untuk ditanggung oleh ahli keluarganya yang lain. Syahreena tahu ayah dan mamanya malu besar kepada Haji Syahar. Tetapi ayahnya tetap mahu berhadapan dengan besannya itu walau apapun yang bakal berlaku.
“Saya takde idea langsung ke mana Lukman menghilang. Saya dah cuba cari dengan kawan-kawan dia tapi takde siapa yang tahu ke mana dia pergi. Saya tak faham apa yang dia cuba lakukan sebenarnya. Saya tak tahu apa sebabnya dia curang sedangkan selama ini saya tahu dia amat sayangkan Laila,” jawab Syahreena perlahan.
“Mungkin dia hanya nak tenangkan fikiran dia. Kalau saya jadi dia, saya pun tak tahu macamana nak berdepan dengan semua orang dalam keadaan macam ni,” ujar Arman dengan andaian sendiri. Sebenarnya itulah harapannya. Harap-harap Lukman tidak terus membiarkan Laila begitu sahaja. Anak-anak itu perlukan seorang ayah.
Syahreena terdiam memandang Arman. Semakin banyak persepsi buruknya menghilang mendengar bicara lelaki itu. Dia tidak sangka Arman masih mahu berfikir seperti ini setelah apa yang dilakukan Lukman. Yalah.. lelaki mestilah faham perasaan lelaki, ya tak? Lebih-lebih lagi dalam isu curang pada isteri dan kahwin banyak. Lelaki yang paling faham perasaan lelaki. Telahan itu pula bermain dalam fikiran Syahreena.
“Awak pun jenis macam tu jugak ke?” tanya Syahreena entah kenapa.
“Jenis macamana maksud awak?”
“Jenis lelaki yang pernah tak cukup dengan apa yang dah ada. Dah ada isteri pun masih nak cari perempuan di luar.” Syahreena menjawab sedikit meleret. Dari Laila dia pernah mendengar Arman juga ramai teman wanita.
“Masalahnya saya belum ada. Manalah saya tahu saya dah cukup ke belum dengan yang dah ada,” jawab Arman perlahan sahaja. Dia bukanlah mahu menabik dada menabur kebaikkan diri sendiri. Tetapi alangkan seorang pun susah rasanya untuk didapati, inikan pula nak pasang ramai-ramai? Lagipun tergamakkah dia mempersiakan apa yang sudah dikurniakan kepadanya semata-mata untuk kenikmatan sementara yang tidak halal seperti itu. Mungkin orang lain tidak sependapat dengannya tetapi lelaki seperti dia sudah pasti akan berpendirian begini. Bukan mudah untuk dia mendapat seorang wanita yang serasi untuk dijadikan teman sehingga ke syurga.
“Seburuk-buruk saya, saya tak pernah meniduri perempuan yang tak halal bagi saya, Reen.” Arman berkata perlahan tanpa memandang wanita itu. Itu yang dia pasti tentang dirinya.
Syahreena terus berdiam walaupun dia mendengar apa yang diucapkan Arman.
Arman menghela nafas perlahan. Wajahnya diraup lembut. Kemudian dia berdiri. “Kita pergi makan? Saya dah lapar. Susah hati macamana pun, nak kena makan jugak. Makan hati je tak dapat apa. Fikir macam nak pecah kepala pun bukan dapat jawapan pun. Benda macam ni nak kena ambil masa barulah kita semua boleh terima dengan lapang dada,” ucap Arman lembut.
Ajakan itu membuatkan wanita itu tersenyum senang. Dia lantas mengangguk dan turut berdiri. Lega benar hatinya melihat sikap Arman sudah mula melembut kepadanya.


7 ulasan:

  1. Dah baca lebih dari bab ni di Ilhamgroup. Semoga cepat ke versi cetak. Harap boleh dapatkan yang berTT penulis. Bagila sikit² teasar kat group JHBR.

    BalasPadam
  2. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  3. Novel ni dah keluer versi cetak ??

    BalasPadam
  4. Wah...jlan crita yg menarik,sya suka smua wtak2 dln nvl nie

    BalasPadam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  6. Best nyerr citer ni... Ada sambungan lagi tak...heehe baru baca..ke dh lama diterbitkan dlm novel?

    BalasPadam