Jumaat, 30 Ogos 2013

33-34 MSM

33

Lukman melarikan keretanya dengan agak laju untuk tiba di pejabat. Sambil memandu dia menekup hidungnya dengan tisu yang terdapat di dalam kereta itu. Setelah tisu itu penuh dengan warna merah dia membuangnya ke kerusi sebelah dan mengambil yang lain pula. Saat ini rasa hatinya membuak-buak dengan rasa amarah. Kalau diikutkan hatinya saat itu mahu sahaja dia membuat laporan polis tetapi mengenangkan Laila dia tidak sampai hati pula.
Kurang asam punya, Arman. Kut ya nak tumbuk pun.. tumbuklah kat tempat lain. Kat tumit ke.. kat siku ke.. ini hidung mancung aku ni jugak yang dia target. Nanti kalau bini aku cari lain, siapa yang susah? Aku jugak! Hati Lukman terus membebelkan abang ipar merangkap musuh ketatnya itu.
Setelah tiba di bangunan operasi syarikat ayahnya, Lukman tergesa-gesa naik ke pejabatnya sambil menekup hidung dan mulutnya. Dia tidak mahu orang lain melihat apa yang sedang dialaminya saat ini.
Sebelum masuk ke biliknya Lukman singgah di bilik air. Darah yang masih mengalir cuba dihentikan sambil membersihkan kesan-kesan darah di sekitar mulutnya. Sakitnya tidak usah diceritakan lagi. Air matanya asyik menitis dari tadi apabila dia menyentuh hidungnya. Namun sedang dia asyik membilik wajah di cermin pintu tandas itu ditolak seseorang secara tiba-tiba.
“Eh! Kenapa ni, Luk?” soal Nizam agak terkejut melihat Lukman. Pantas dia mendekati Lukman. Darah di dalam sinki agak banyak dilihatnya. Malahan ada yang masih mengalir dari lubang hidung adiknya itu.
“Kena tumbuk..” jawab Lukman dalam pada mengerang kesakitan.
“Siapa tumbuk kau?” soal Nizam agak terkejut.
“Arman, abang Laila.” Lukman menjawab dalam pada dia mengelap lagi darah yang mengalir turun dari hidungnya.
“Astaghafirullah.. teruk ni! Kenapa dia tumbuk kau? Masih tak puas hati lagi?” soal Nizam sambil cuba membantu adiknya itu. Dengan tisu putih yang terdapat di atas sinki itu dia cuba mengelap darah yang masih mengalir dari lubang hidung Lukman.
“Aduh!” keluh Lukman agak kuat. Berair lagi matanya saat abangnya menyentuh wajahnya dengan tisu itu.
“Tak boleh dibiarkan ni. Kau kena pergi hospital sekarang.”
“Takpelah. Luk boleh bersihkan luka ni sendiri. Lagipun..”
“Kau jangan nak tunjuk muka depan staff dalam keadaan macam ni. Nanti apa pulak anggapan orang pada kau. Lagipun hidung kau ni masih berdarah. Takut ada bahagian yang cedera teruk. Nanti abang cakap dengan ayah. Pergi hospital sekarang!” pintas Nizam lebih pantas sebelum Lukman habis menyatakan penolakannya.
Lukman diam namun dia akur. Sebentar tadi dia sudah menipu gadis penyambut tetamu yang dia kemalangan apabila mereka ternampak dia masuk dengan wajah berlumuran darah.
40 minit kemudian Lukman sudah berada di hospital. Namun sedang dia terbaring sendirian sementara menunggu keputusan x-ray oleh pihak hospital bilik itu dimasuki seseorang. Tidak dapat ditahan dia terkejut melihat kehadiran Laila ada di situ. Wanita itu terus menerpa kepadanya.
“Macamana keadaan abang?” tanya Laila sebaik sahaja berdiri bersebelahan dengan Lukman di katil rawatan itu.
“Macam nilah..” biasa sahaja jawapan Lukman bagaikan tiada apa yang menarik hendak dikhabarkan.
“Abang dah jumpa doktor ke belum?” tanya Laila lagi. Hairan mengapa Lukman dibiarkan bersendirian di bilik itu tanpa ditemani petugas perubatan sedangkan dia lihat sebahagian wajah Lukman sudah bengkak teruk.
“Dah. Tengah tunggu result x ray. Siapa beritahu Laila yang abang ada di sini?” soal Lukman lembut. Senang hatinya dengan kedatangan Laila tetapi dia tidak senang hati jika Laila terpaksa datang dari tempat kerjanya ke sini semata-mata untuk melihat keadaannya.
“Abang Nizam telefon Laila tadi. Nasib baik Laila baru habis meeting kat HQ tadi. Abang Nizam kata Abang Arman yang tumbuk abang. Macamana boleh jadi macam ni? Kenapa dia tumbuk abang?” soal Laila bertalu-talu. Sebentar tadu dia benar-benar terkejut mendengar khabar Lukman sedang berada di hospital. Malah lebih terkejut apabila mengetahui hal ini ada berkaitan dengan abangnya. Dia tahu Arman masih belum mampu melepaskan Lukman begitu sahaja.
“Entahlah! Dia masih berdendam dengan abang agaknya..” keluh Lukman perlahan. Peristiwa sebentar tadi kembali mengitari ruang fikirannya.
“Macamana pulak dia boleh jumpa abang? Dia datang ke pejabat ke?”
“Abang ke Banting tadi. Ada kerja kat sana. Waktu tulah abang jumpa dia,” jelas Lukman tanpa terdaya dia menceritakan yang selengkapnya.
“Ee.. kenapa abang tak lari aja dari dia? Kem dia memang kat sana. Abang pun yang pergi tadah muka abang kat dia buat apa?” keluh Laila amat tidak senang dengan apa yang berlaku kepada Lukman.
“Nak lari macamana? Dia bukannya seorang. Dia bertiga dengan kawan-kawan dia. Tapi yang debik abang dia seorang aja pun,” beritahu Lukman. Senang juga hatinya dengan keperihatinan perempuan seorang ini. Bagus juga dia didebik oleh Arman. Dapatlah dia bermanja-manja dengan Laila dalam keadaan dia sakit begini. Lukman sempat tersenyum dalam hati.
“Hee.. tak habis-habislah Abang Man ni. Tahulah dia pandai bersilat! Habis semua orang nak disapunya,” gerutu Laila tidak senang. Dalam keadaan Lukman begini dia amat bimbang emak Lukman tahu nanti. Kena lagilah dia oleh wanita sinis itu nanti.
 “Abang Arman tu askar apa ya?” soal Lukman setelah Laila membisu pula. Terbayang dia Arman yang berkulit cerah dan tinggi sasa itu. Warna kulit yang dimiliki Arman lebih kurang seiras dengan Laila. Susah nak tengok seorang askar ada kulit secerah itu.
“Dia askar apa? Askarlah!” balas Laila kepada soalan yang  memelikkan itu.
“Yalah, bahagian mana? TUDM tu kan banyak cabang kerjanya?”
“Oh! Dia tu anggota PASKAU.”
“PASKAU? Apa kebendanya tu?” soal Lukman langsung tidak tahu. Memang dia tahu abang Laila tentera tetapi apa benda PASKAU itu dia tidak tahu. Pukau dia tahulah..
“PASKAU tu Pasukan Komando Angkatan Udara. Dia tu komando elite yang bertugas di bawah Angkatan Tentera Udara kalau abang nak lebih jelas lagi. Dah jelas sekarangkan kenapa Laila nak abang jauhkan diri dari dia? Bukan calang-calang orang dapat berdepan dengan dia sebab dia tu memang dilatih berlawan.”
“Ooo...” panjang lopongan Lukman. Sesuai benarlah dengan hidungnya yang sudah tidak mampu bernafas seperti biasa. Patutlah dia selalu didebik Arman. Rupanya Arman seorang anggota komando elite. Selepas puas melopong dia meneguk liurnya perlahan. Memang jelaslah kini yang dia bukan tandingan abang iparnya itu.
“Abang masih tak cerita lagi kenapa Abang Man tiba-tiba belasah abang. Takkanlah dia saja-saja nak tumbuk abang. Abang cakap apa pada dia tadi?” Laila bertanya lagi. Penat berdiri dia duduk di birai katil itu sementelah memang tiada kerusi disediakan dalam bilik kecil itu. Laila kenal perangai abangnya. Memang Arman panas baran tetapi bukan jenis marah melulu melainkan jika Lukman ada menyakitkan hati abangnya itu.
“Abang.. er... abang..” agak lambat Lukman mahu mengatur kata.
Yang sahihnya, insiden itu bukan salah Arman semata-mata. Kalau dia sendiri tidak pergi memanaskan hati lelaki itu, tidaklah dia bertumbuk dengan Arman sebentar tadi. Sayangnya dia tidak tahu yang Arman itu sebenarnya anggota komando. Kalau dia tahu bodohlah dia sengaja mahu mencari pasal dengan orang yang salah.
“Abang.. abang. Abang apanya? Cakaplah!” gertak Laila agak kuat apabila Lukman terhegeh-hegeh mahu bercerita. Dia tahu pasti ada sesuatu yang dilakukan Lukman.
“Dia tanyakan Laila pada abang tadi. So abang jawablah yang Laila sihat dan bahagia sambil mengandungkan anak abang.” Akhirnya Lukman menjawab juga. Wajahnya cuba diselambakan seselamba yang boleh. Namun sebenarnya saat itu Lukman sudah tidak mampu memandang Laila yang sedang duduk menghadapnya. Dia tahu Laila pasti marah dengan perbuatannya itu.
“Apa abang kata?” suara Laila spontan meninggi. Membuntang matanya memandang lelaki yang sedang terbaring sakit itu. Kalau tidak dikiranya kecederaan yang sudah bertempek di wajah lelaki itu sudah pasti dia pula yang pergi mendapatkan ilmu komando yang dimiliki oleh abangnya untuk mendebik lelaki ini. Sudah tentulah Arman naik angin jika dikatakan begitu. Sudahlah Arman itu memang kepala angin. Lukman pula sengaja mencari gara-gara dengan olah provoktif seperti itu.
“Abang cakap macam tu pada dia memang padanlah abang kena macam ni. Abang tahukan Abang Man tu memang bencikan abang. Abang pulak sengaja sakitkan hati dia. Abang tahu tak yang dia tu hati kering? Setakat jadi kes polis ni semua dia tak hairan. Abang ni memang sengaja cari susah!” ucap Laila agak keras kepada Lukman.
“Abang pun sakit hati bila dia kenakan abang depan kawan-kawan dia. Ada ke dia kata abang ni adik ipar merangkap punching bag dia. Mana abang tak sakit hati! Abang malu bila kawan-kawan dia ketawakan abang. Dia yang cari pasal dulu!” ucap Lukman dengan nada perlahan cuba meraih pengertian si isteri.
“Huh.. sama naiklah abang dengan dia. Macam budak-budak! Takde masalah cari masalah. Sekarang dah jadi macam ni siapa yang susah? Laila jugak! Penat Laila bawak perut datang sini cari abang. Rupanya itu sebabnya abang terkedang kat sini! kalau Laila tahu abang yang cari pasal, Laila biarkan aja abang kat sini. Baru padan muka!” leter Laila geram.
“Laila patut kasihankan abang. Abang sakit ni..” ucap Lukman rendah cuba merayu simpati Laila.
“Padanlah dengan muka abang tu. Siapa suruh abang cari pasal dengan dia! Patutnya bila dia cakap yang bukan-bukan abang jauhkan diri dari dia. Ini tak! Abang pun sama nak uji abang kebal ke tidak! Sekarang macamana? Sedap ke kena tumbuk?” balas Laila semakin marah. Siap dijegilkan matanya kepada Lukman.
“Laila ni asyik marah-marah abang. Abang merajuk nanti baru tahu!” Lukman mencebik sedikit sambil berpaling membelakangi isterinya itu. Sudahlah dia sakit, kini dia dimarahi pula. Kesal pula kerana berterus terang. Tetapi mana mungkin dia boleh merahsiakannya. Sama sahaja jika Laila menelefon Arman untuk bertanyakan hal yang sebenarnya.
“Merajuk pulak dia..” omel Laila seperti mahu ketawa pula melihat lagak kebudak-budakkan Lukman. Namun kasihankan suaminya itu dia menarik semula Lukman ke arah yang sama. Yalah, nak marah pun tak guna. Yang bengap pun laki siapa? Laki aku jugak! Keluh hati Laila sendiri.
Lukman tersenyum sambil memandang isterinya itu. Melihat perut Laila, tangannya segera mendarat di atas bonjolan perut wanita itu. Diusapnya perlahan sambil matanya terus menatap kawasan itu. Topik Arman menghilang segera dari mindanya apabila terasa bonjolan lembut ditangannya itu. Tiba-tiba pula dia merasa tidak sabar mahu melihat cahaya matanya. “Mesti comel anak abang ni nantikan? Abang dah tak sabar nak tengok anak-anak kita,” ucapnya lembut.
Laila terpaku melihat kelakuan Lukman. Sebahagian hatinya mula diresapi rasa indah melihat Lukman sedang membelai zuriatnya. Serentak itu kemarahannya menghilang entah ke mana. Jerih payahnya untuk datang ke situ segera memudar dipujuk oleh kemesraan Lukman.
“Laila rasa nanti dia comel macam abang ke tidak?” tanya Lukman siap dengan sengihannya.
“Abang comel ke? Nak muntah pulak rasanya!” degus Laila meluat.
“Tak baik tipu tau! Cakap ajalah yang abang ni memang comel!” usik Lukman dalam pada dia cuba menahan gelak. Dengan muka yang sudah membengkak dia tidak mampu menggerakkan mulut dan mukanya. Mahu ketawa juga payah dan menyakitkan.
“Tak kuasa Laila nak tipu. Apa faedahnya kalau Laila tipu?”
“Kalau abang tak comel takkan Laila asyik pandang abang je malam tu?” usik Lukman lagi. Barisan giginya dipaparkan kepada Laila yang memandang.
“Jangan nak perasanlah! Siapa yang asyik pandang abang?” Laila mendegus kuat sambil memandang ke arah lain. Namun sebenarnya dia mahu ketawa dengan ulah lelaki itu. Sengihan Lukman bebar-benar menggeletek hatinya untuk ketawa namun egonya menahan. Tetapi dia tidak mampu membohongi dirinya yang dia malu dengan usikan itu.
“Iya, abang tahu. Malam tu Laila peluk abang. Lepas tu Laila asyik pandang abang aja. Abang sengaja buat-buat tidur supaya Laila terus pandang abang,” giat Lukman seronok melihat rona di wajah isterinya.
“Agak-agak kalau Laila cubit pipi abang yang bengkak tu, macamanalah rasanya nanti ya? Nak rasa tak? Laila pun nak tengok jugak apa akan jadi nanti,” ancam Laila tajam.  Lukman memang sengaja mahu mempermainkannya. Bila masa dia ada memandang Lukman malam itu? Dalam mimpi mungkinlah agaknya kerana seingatnya lepas mereka bermesra malam itu dia terus tertidur sebab letih. Kalau bab peluk tu mungkin adalah. Alah! Manalah dia perasan kalau dah tidur mati!
“Okay.. okay.. abang tak cakap lagi.” Lukman segera mengalah. Tidak sanggup rasanya membiarkan pipinya yang sudah membengkak itu dicubit. Mahu pengsan dia nanti.
“Kalau tak mahu lebih baik abang diam!”
“Encik Lukman..” Rona kemesraan mereka saat itu mula berubah saat mendengar suara lelaki yang muncul entah dari mana. Lukman mengalihkan tangannya segera dan Laila terus bangun dari duduknya bagi memberi laluan kepada lelaki itu melakukan tugasnya.
“Oh! You ada tetamu?” soal doktor lelaki berbangsa melayu itu sambil memandang Laila. Dia tersenyum ramah kepada Laila.
My wife, Laila.”
“Oh! I Bahrain. Apa khabar, Puan Laila?”
“Khabar baik..” ringkas sahaja jawapan Laila. Matanya sudah memandang filem x-ray di tangan Dr Bahrain itu. Tidak sabar mahu tahu apa hasil pemeriksaan ke atas kecederaan Lukman itu. Harap-harap tiada yang serius.
“Pasal kecederaan di hidung tu, ada beberapa serpihan tulang pecah pada bahagian atas hidung. Saya baru sahaja refer kes you pada Jabatan Ortopedic. Itu yang mereka lihat pada x-ray you ni,” jelas doktor itu kepada Lukman dan Laila.
“Tak seriuskan?” soal Lukman cuba menenangkan diri.
“Serius!” jawab doktor itu pantas.
Lukman terdiam seketika. Perkhabaran itu tidak enak ditelinganya.
“Menurut pakar tulang mereka suggest you buat closed reduction untuk meluruskan semula tulang tu memandangkan kawasan yang cedera tu terletak pada bahagian tulang rawan hidung,” ujar doktor itu lagi.
Laila menoleh memandang Lukman yang sudah tidak terkata. Tidak sangka Arman boleh menumbuk suaminya sehingga begitu sekali. Penjelasan Dr. Bahrain itu membuatkan rasa bersalah itu semakin mencengkam.
“Takde rawatan lain ke selain operation?” soal Lukman agak resah.
“Don’t worry, it just a minor operation. Tapi kecederaan tu akan ambil masa beberapa minggu untuk sembuh sebab ini melibatkan tulang. Lagipun kalau kita tak buat operation mungkin akan berlaku sedikit kecacatan pada hidung you. Bentuk hidung takkan sama lagi macam dulu dan mungkin akan ada kesukaran untuk you bernafas. Jika ada kecederaan pada tisu dalam hidung, serpihan tulang tu mungkin akan menyebabkan effection pada bahagian yang luka,” ucap Dr. Bahrain seolah-olah mengerti keresahan Lukman.
“Ada masalah lain selain itu, doktor?” tanya Laila pula.
“Takde. CT scan pada otak sebentar tadi tiada menunjukkan sebarang kecederaan atau gegaran. Cuma ini sahaja yang agak serius. Luka-luka lain tu akan sembuh dalam masa seminggu dia ni. Don’t worry.”
Mereka berdiam diri seketika. Lukman masih serba salah saat doktor itu masih menanti untuk mendapatkan persetujuannya untuk melakukan pembedahan itu. Dia sebolehnya tidak mahu menjalani pembedahan itu. Dia gentar apabila berada di dalam bilik rawatan.
“Kita teruskan dengan operation tu ya?” pujuk Laila apabila melihat Lukman seperti berat pula untuk menerima cadangan doktor itu.
Lukman masih tidak memberikan jawapan kepada dua manusia di sekelilingnya itu. Membayangkan bilik pembendahan sahaja dia sudah ngeri. Inikan pula saat terbayangkan hidungnya dijolok-jolok nanti. Oh tidak!
“Abang, ini untuk kebaikan abang. Kalau ada masalah nanti macamana? Rawatannya nanti mesti lagi menyakitkan,” pujuk Laila yang sudah terbaca reaksi di wajah suaminya itu.
“Kalau you setuju kita masukkan you ke wad hari ni dan hari Khamis ni pukul sepuluh you akan dibedah. Tak lama, pembedahan tu cuma ambil masa sejam dua aja. Insya-Allah takde komplikasi.” Doktor Bahrain pula ikut mencelah.
Lukman akhirnya mengangguk akur. Lega Laila melihat Lukman akhirnya memberikan persetujuan. Harap-harap tiada apa lagi yang berlaku melibatkan abangnya. Kerana dia tidak sanggup mendepani kebencian emak Lukman kepadanya.

Petang itu Tan Sri Fatah hadir ke hospital untuk melihat sendiri keadaan anak lelakinya itu. Dengar khabar keadaan Lukman semakin memburuk. Dia bimbang juga biarpun Laila ada menemani Lukman di wad.
“Laila betul-betul minta maaf, ayah. Laila tak sangka abang Arman akan buat Lukman macam ni. Laila rasa bersalah sangat,” ucap Laila saat menemui ayah mertuanya di luar wad. Dia malu untuk menatap wajah Tan Sri Fatah.
“Tak perlu rasa bersalah, Laila. Bukan salah kamu pun. Lagipun Lukman ada mengaku sendiri pada ayah yang dia pun ada membuatkan Arman marah dengan dia. Ayah tahu Laila serba salah sebab Arman tu abang Laila. Tapi benda dah nak jadi, Laila. Ayah tak mahu salahkan sesiapa melainkan orang tu sendiri yang cari fasal,” balas Tan Sri Fatah tenang. Dia hanya datang sendirian setelah Nizam mendahuluinya sebentar tadi. Namun atas dasar kasihankan Laila dan Lukman dia sengaja tidak memberitahu isterinya. Dia tahu marah isterinya belum reda sepenuhnya.
“Laila kesal sebab Abang Man tu abang Laila. Dulu dia dah belasah Lukman sekarang dia buat lagi. Laila takut kalau perkara ni berpanjangan, mama akan bertambah benci pada Laila,” luah Laila perlahan.
Tan Sri Fatah tersenyum menatap menantu perempuannya itu. Dia senang melihat keperibadian Laila. Lembut dan sopan saat berkata-kata. Mata hitamnya selalu bersinar membuatkan orang teruja untuk memandangnya.
“Takpelah. Pasal mama Laila jangan bimbang. Mama takkan tahu pasal ni. Harap-harap Lukman cepat sembuh. Pasal Arman tu, ayah maafkan dia. Harap-harap masing-masing akan ambil iktibar dari kejadian ni. Ayah pun kalau boleh tak mahu hubungan dua keluarga ni terus renggang. Ayah percaya ini cuma perselisihan faham kecil aja. Takde apa yang nak dirisaukan. Apa yang ayah nak sekarang Laila jaga kesihatan Laila. Jangan fikirkan hal yang lain. Baby tu bergantung pada Laila,” ucap Tan Sri Fatah lembut.
Laila diam mendengar kata-kata bapa Lukman ini. Nasib baiklah ayah Lukman ini baik orangnya. Benar kata Mak cik Maznah dahulu. Mengapa Lukman tidak bersikap seperti ayahnya saat mereka bertemu dahulu? Ah! Takde guna aku mempertikaikan itu semua lagi, getus hati Laila.
“Jadi esok Laila cuti ke?”
“Laila dah call bos Laila tadi. Dia dah luluskan cuti Laila. Laila kena temankan Lukman sampai selesai pembedahan tu, ayah. Tak sampai hati nak biarkan dia sendiri. Laila tengok dia macam takut aja,” balas Laila perlahan. Saat itu bola matanya singgah sekali lagi dikatil yang menempatkan Lukman.
“Memang pun dia takut. Tadi dia ada kata pada ayah yang dia macam nak cancelkan operation tu. Dia tak kisah kalau hidung dia rupa macamana sekali pun asalkan dia tak dibedah.” Lelaki tua itu ketawa seketika mengenangkan anak lelakinya itu.
“Penakut rupanya anak lelaki ayah tu. Laila ingat dia hero sangat..”
“Laila baru sedar? Ayah dah pernah katakan dulukan? Dia tu hebat kat luar aja. Bila depan Laila dia lembik. Ya tak?” sekali lagi ayah Lukman ketawa.
Laila hanya melayan tawa lelaki itu tanpa mengetahui apa maksudnya kata-kata ayah mertuanya itu. Lukman lembik dengannya?
“Ayah balik dulu, Laila. Nanti mama banyak tanya pulak kalau ayah lambat balik. Laila temankan Lukman di sini malam ni?”
“Cadangnya macam tulah. Nanti ada pulak yang lari dari wad nanti. Biar Laila jaga pintu wad ni supaya dia tak lari. Tengoklah tu.. dah macam budak-budak!” Laila membalas sambil menundingkan jarinya ke dalam wad itu.
Gelagat lelaki itu diperhatikan lagi melalui cermin di hadapannya. Entah apa aksi dibuat Lukman di atas katil itu. Kesan ubat yang dimasukkan doktor membuatkan lelaki itu tidak tentu hala. Sekejap bergolek ke kiri sekejap ke kanan.
Tan Sri Fatah terus tergelak dengan jenaka Laila. Dia sudah dimaklumkan doktor bahawa ubat yang dimasukkan doktor akan membuat Lukman khayal. “Ayah dah suruh Mira datang sini malam nanti. Biar dia di sini malan ni temankan Laila. Lepas maghrib nanti dia datang. Kalau ada apa-apa telefon ayah. Manalah tahu Lukman buat hal tiba-tiba.”
Laila terus mengangguk. “Insya-Allah, ayah. Terima kasih sebab datang jenguk kami.”
“Tanggungjawab ayah pada anak-anak dan menantu ayah takkan habis, Laila. Inilah salah satunya. Ayah balik dulu ya? Jaga diri Laila baik-baik. Jangan lupa jaga kesihatan,” pesan lelaki tua itu sekali lagi.
Laila terdiam seketika mendengar bicara Tan Sri Fatah. Secara jujurnya dia sendiri tidak pasti selama mana dia akan bergelar sebagai menantu kepada lelaki ini. Tetapi apa yang pasti saat ini dia merasa bertuah kerana diberikan kesempatan menjadi menantu kepada lelaki sebaik ini.
“Pergilah masuk temankan Lukman. Dia dah lembik benar  tu..” pinta Tan Sri Fatah lembut. Anak lelakinya sudah tidak ‘seaktif’ tadi nampaknya. Hanya tangannya terawang-awang seperti mahu mencapai sesuatu di siling.
Laila hanya mengangguk sambil menghulurkan tangan untuk menyalami lelaki itu. Ketika Tan Sri Fatah beredar dia sekadar mengiringi pemergian lelaki tua itu dengan pandangan matanya. Setelah menghilang lelaki itu Laila pantas masuk ke dalam wad itu.
“Buat apa kat luar lama-lama? Ayah dah balik ke?” soal Lukman sebaik sahaja Laila berada di sisinya. Sengau sedikit suaranya kerana wajahnya sudah mula mengebas. Mulutnya juga tidak boleh bergerak seperti biasa lagi.
“Ayah baru aja balik. Laila temankan ayah sekejap tadi. Abang macamana? Sakit lagi tak?” soal Laila sambil meletakkan beg yang berisi barang-barang Lukman di atas meja bersebelahan dengan katil Lukman.
“Kalau Laila tolong belai-belai abang, mesti abang tak sakit lagi.” Lukman menjawab sambil cuba untuk tersenyum namun pipi terasa keras.
“Sakit-sakit macam ni pun ada hati nak menggatal lagi. Kalau bukan sebab Abang Man yang debik abang memang dah lama Laila biarkan abang terkedang kat katil ni sendiri. Baru padan dengan muka abang. Ada mulut gunanya untuk menyakitkan hati orang lain. Bila dah kena tumbuk abang jugak yang sakit. Laila pun ikut susah sekali!” tanpa dapat ditahan Laila meleter lagi.
“Laila ni.. nak bermanja sikit pun tak boleh. Bila lagi, Laila? Abang sakit betul ni. Sakit dalam sakit kat luar. Sakit semua!” Lukman tidak mempedulikan kemarahan Laila sebaliknya dia mencapai tangan Laila lalu dibawa ke wajahnya. Telapak tangan Laila dilekapkan ke pipinya.
Laila menggeleng melihat sikap Lukman yang sudah berubah seperti anak-anak kecil. Kalau difikirkan yang Lukman sedang khayal mahu sahaja dia menolak.
“Eeii.. muka abang rasa tebal. Sakit lagi tak?” soal Laila sambil mengusik-usik pipi Lukman. Dia seram saat menyentuh wajah Lukman yang sudah keras membengkak itu. Hangat dirasakan tangannya apabila menyentuh kulit wajah suaminya itu.
“Tak sakit tapi kebas..” jawab Lukman sedikit lugu.
Laila lekas terkesan perbezaan jawapan Lukman sebentar tadi. Sekejap kata sakit sekejap kata kebas pula. Memanglah Lukman kaki penipu. “Aik? Tadi abang kata sakit. Abang tipu Laila ya? Saja nak ambil kesempatanlah tu. Dasar gatal!”
Lukman terkesima apabila menyedari kelentongnya tidak menjadi. Bagaimana pula dia boleh terlupa. Memang tidak sakit kerana doktor sudah memasukkan ubat tahan sakit ke dalam tubuhnya sewaktu Laila pulang ke rumah sebentar tadi. Tetapi sekarang otaknya pula seperti kacau bilau.
“Abang ada kata sakit ke? Mana ada?” ucap Lukman meleret. Kuyu matanya memandang Laila.
“Malas Laila nak layan abang lagi.” Laila mahu berlalu segera apabila menyedari Lukman sengaja mahu mengambil kesempatan atas rasa serba salahnya.
“Laila...” rayu Lukman. Tangan Laila ditariknya lembut.
“Apa salahnya? Sekurang-kurang untuk seketika ni takkan Laila tak boleh lupakan dia untuk buat suami Laila ni sembuh,” ujar Lukman lembut merayu.
“Dia? Siapa yang abang maksudkan ni?” soal Laila dengan sorotan tajam kepada Lukman.
“Arwah suami Laila tulah! Abang tahu Laila masih sayangkan dia tapi abang yang paling perlukan Laila sekarang. Dia dah mati, Laila. Untuk apa Laila ingat dia lagi? Abang sanggup buat apa saja, Laila. Abang cuma nak Laila jadi milik abang seorang. Abang betul-betul cintakan Laila,” pujuk Lukman yang sudah tidak tentu arah. Jemari Laila diramas-ramasnya penuh perasaan. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menarik Laila ke katil itu.
Terkejut besar Laila mendengar pengakuan Lukman itu. Dia keliru seketika. Lukman meluahkan perasaannya ketika dia sedang dipengaruhi dadah yang mengkhayalkan. Boleh percaya ke? Laila terus tergamam tidak tahu apa yang harus dijawabnya.
 “Laila ni seksi betullah dengan perut macam tu! Abang rasa macam nak gomol aja bibir Laila tu. Abang suka sangat waktu kita..”
“Abang! Lebih baik abang tidur!” pintas Laila sudah tidak mampu mendengar lagi Lukman merapu. Berdiri bulu romanya melihat mata redup lelaki itu yang terhala kepadanya. Wajahnya terasa panas. Pujian-pujian erotis lelaki itu benar-benar membuat dia tidak tentu arah.
“Laila tak suka ke abang cakap macam tu? Kalau tak suka kenapa malam tu Laila layan abang? Malam tu kita lakukan suka sama suka. Abang tak paksa Laila. Laila belai rambut abang. Abang tahu Laila cuma tak mahu mengakukan? Laila pun sayangkan abang.” Meleret-leret bicara yang diluahkan Lukman. Entahkan dia sedar entah tidak apa yang diucapkannya.
“Abang ni dah takde kerja lain ke? Abang memalukan Laila tahu tak! Ini hospital bukannya bilik tidur nak bercakap pasal ni! Kalau abang mengarut lagi macam ni, Laila balik!” bentak Laila tidak tertahan lagi. Tidak disangkanya begini rupanya rupa perangai Lukman setelah diberikan dadah.
“Okay! Abang tutup mulut,” tukas Lukman pantas setelah disergah Laila.
Laila yang bengang menjeling tajam. Tangannya lantas ditariknya dari Lukman. Walaupun dalam keadaan khayal namun susah untuk dia memaafkan perbuatan Lukman kali ini. Kut ya pun, tak perlulah diulang-ulang semula semua itu. Dia malu!
Dua jan kemudian Laila mulai resah. Bosan benar dia dengan keadaan ini. terasa lama benar pula Amirah sampai. Adalah temannya untuk menghilangkan kebosanan. Mahu bercakap dengan Lukman, lelaki itu tidur pula setelah diberikan ubat tahan sakit sekali lagi. Akhirnya tinggallah dia melayan dirinya.
Ah! Semenjak tadipun dia memang melayan dirinya sendiri. Tetapi saat ini bosannya bagaikan tak tertahan pula. Walaupun terdapat televisyen di dalam wad kelas satu itu namun dia benar-benar tidak berminat untuk menatap siarannya. Puas berkalih duduk akhirnya Laila bermundar mandir di luar wad. Memandang kosong jururawat yang sibuk menguruskan pesakit lain. Sesekali dia menjenguk ke dalam untuk melihat Lukman. penat berjalan ke sana ke mari Laila duduk semula di dalam wad. Perutnya disentuh. Gerakan dari dalam kandungannya diamatinya. “Baby mama, ligatnya? Buat apa kat dalam tu? Sakit mama, sayang.” Laila mengeluh kepada dua bayinya itu. Gerakan seperti itu semakin kerap dirasakan. Selang beberapa minit pasti kandungannya bergerak lagi. Menandakan kedua-dua anaknya aktif membesar di dalam rahimnya. Yalah.. macamana bapak macam tulah anaknya!
Apabila gerakan itu reda, Laila mengusap perlahan perutnya sambil tersenyum. Terkenang dia saat Lukman meletakkan tangan di atas perutnya sebentar tadi. Ada perasaan bahagia yang dirasainya. Di mana aku nak lahirkan dia? hati Laila bermonolog sendirian saat mengusap lembut kandungannya itu. Tidak mungkin di kampung. Dia masih tidak memutuskan tentang itu sedangkan kandungannya sudah melepasi 6 bulan.
Tak! Aku tak cukup kuat untuk menentang pandangan orang lain pada aku. Aku akan memalukan ayah. Kasihan ayah.. keluh hati Laila sendiri. Sayu dia terkenangkan dirinya yang sudah tiada emak untuk mengadu nasib. Emak mertua pula tidak suka akan dirinya. Hanya Mak cik Maznah yang selalu mengambil berat akan dirinya sehingga kini. Mereka selalu bertanya khabar melalui panggilan telefon. Tetapi mahu menyusahkan wanita itu, dia tidak sampai hati pula.
Laila menghela nafas perlahan saat mengenang diri yang tidak ada pengalaman langsung menjaga bayi kecil. Siapa yang akan mengajarnya? Lukman lagilah tak tahu! Gentar pula rasanya dengan cabaran itu. Tetapi di dalam hatinya dia berharap Allah akan melorongkan jalan yang terbaik untuk dirinya.
Melihat ada sedikit gerakan dari atas katil Laila terus beralih ke tepi suaminya itu. Lukman terus lena setelah mengubah posisi. Dia ni.. tidur kat hospital ke.. kat rumah ke.. sama aja! Macam tidur kat rumah boleh bergolek sana sini, kutuk Laila dalam hati. Laila tersenyum entah kenapa saat memandang suaminya itu. Gelagat Lukman ketika sedang khayal tadi mencuit hatinya. Macam budak-budak!
Perlahan Laila mengalihkan tangannya ke rambut lelaki itu. Dengan lembut rambut itu diusapnya. Lena sungguh lelaki itu akibat ubat yang diberikan oleh doktor. Timbul pula sedikit rasa sesalnya kerana memarahi Lukman sebentar tadi. Saat ini dia pula amat bosan sehingga dia terasa seperti mahu mengejutkan Lukman dari lenanya agar melayan dia berbicara.
Tadi aku yang sombong tak nak layan dia. Sekarang aku pulak yang bosan habis. Padanlah dengan muka aku! Hati Laila berbisik lagi mengutuk diri sendiri.
Lama Laila menatap raut sang lelaki yang sedang terlena sambil jemarinya terus membelai lembut rambut lelaki itu bersama rasa kasih yang kian menggebu. Betul ke dia cintakan aku? Laila bertanya sendiri dalam pada dia mengenang semula ungkapan yang sempat diluahkan Lukman sebelum terlena sebentar tadi. Ingin benar dia menggenggam hakikat itu tetapi entah kenapa hatinya ragu. Satu hakikat yang masih tidak diubah sehingga kini masih berada di tempat teratas dalam memorinya menjadi penghalang besar kepadanya untuk menyemai harapan kepada lelaki ini.

Perkahwinan ini hanya sementara! Itulah hakikat yang masih tidak diubah Lukman sehingga ke saat ini.

34

Tengahari itu Lukman didatangi tetamu merangkap musuhnya sendiri iaitu Arman. Namun Arman sengaja tidak masuk ke dalam wad. Dia sekadar duduk di luar. Dia tahu adik iparnya itu pasti tidak mahu menengok mukanya. Sebenarnya dia sendiri tidak sangka seteruk itu kecederaan Lukman.
“Baru kena tumbuk sikit dah masuk wad.” Itu komen Arman setelah Laila menuntut dia untuk meminta maaf kepada Lukman.
“Abang Man! Itu suami Laila tau! Bukannya anak badak sedap-sedap aja nak ditumbuk. Bila dah jadi macam ni, siapa yang susah? Laila jugak!” getus Laila benar-benar tidak senang dengan kebongkakkan Arman.
“Biarlah dia..” luah Arman tetap bersahaja tanpa merasa bersalah melihat Lukman terkedang di atas katil di wad itu.
“Abang, sudah-sudahlah tu. Kasihan dia, bang. Teruk sangat abang belasah dia. Nasib baik ayah dia dah setuju tak mahu bagitahu mama Lukman. Kalau tak, tak tahulah apa nak jadi pada Laila, bang.” Laila mengeluh perlahan di hadapan abangnya. Kesal dengan keegoan abangnya. Dia tidak pernah meminta Arman untuk mendendami Lukman sehingga begini sekali.
Kali ini Arman berdiam diri. Dari luar dia memandang ke dalam melalui celahan tirai yang membentengi cermin kaca wad itu. Lukman yang masih tidur diperhatikan dari celahan tirai itu. Sakit hatinya masih berbekas dengan lelaki itu walaupun jelas kini Lukman sedang mendapat balasan dari perbuatannya. Bukannya sengaja dia mahu membantai Lukman tetapi pertanyaannya dijawab sinis oleh lelaki itu, seolah-olah sengaja mahu mencari fasal dengannya. Kerana itulah dia hilang pertimbangan.
“Abang, Laila tahu abang sayangkan Laila. Tapi kalau betul abang sayangkan Laila abang jangan buat macam ni pada Lukman lagi. Apa Laila nak jawab pada keluarga dia? Mama dia belum boleh terima Laila. Laila tak mahu kerana hal ini keadaan akan jadi bertambah buruk. Sejahat mana pun dia Laila masih isteri dia, bang. Kalau dia susah Laila pun terseret sama,” ucap Laila separuh merayu.
“Laila gembira ke kehidupan Laila sekarang?” tanya Arman lembut.
“Ya, Laila gembira. Dia dah banyak berubah semenjak kebelakangan ni. Dia ambil berat pasal Laila dan anak ni. Itu dah cukup untuk Laila, bang. Takde apa lagi yang Laila harapkan untuk diri Laila dan baby ni.” Laila menjawab jujur.
Arman terdiam. Sekali lagi dia memandang Lukman dari celahan tirai itu sambil menyeluk poket seluar uniform biru tuanya itu. “Kalau ada apa-apa Laila bagitahu abang. Jangan simpan sendiri aja. Kalau abang dapat tahu dia ada pukul Laila, abang akan ajar dia lebih teruk dari ini!” ucap Arman masih tidak lepas daripada dendamnya.
“Alhamdulillah.. selama kami berkahwin ni dia tak pernah letak tangan atas Laila. Dia pun tak pernah berkasar dengan Laila. Kami baik-baik aja. Abang jangan risaukan Laila. Kalau dia buat macam tu tanpa sebab takkan Laila nak diamkan aja,” jawab Laila bersungguh.
Arman lantas mengangguk berpuas hati dengan jawapan adiknya itu. Seketika kemudian dia menoleh kepada Laila. “Temankan abang makan? Abang belum makan tengahari lagi ni. Sekejap lagi abang nak balik ke Banting semula,” ucap Arman mulai lembut suaranya. Soal pergaduhannya dengan Lukman enggan dibahaskan lagi. Jika Laila sudah kata begitu dia tiada sebab untuk menyakiti Lukman lagi.
Laila mengangguk perlahan. Namun sewaktu mereka baru sahaja mahu meninggalkan wad itu kelibat Syahreena tiba-tiba muncul di kaki lima wad itu.
“Laila nak ke mana?” suara Syahreena teralun mesra kepada Laila dalam pada matanya sempat mengerling sekilas lelaki beruniform tentera bersebelahan dengan adik iparnya itu. Lelaki itu bukan baru kali ini dilihatnya. Mereka pernah bertemu di rumah ayah Laila dahulu walaupun tidak pernah bertegur sapa.
“Abang Man ajak Laila makan kat bawah. Kak Reen nak tengok Lukman ke?”
“Ha’ah. Takpelah. Laila pergilah makan dengan...” Syahreena kembali memandang lelaki yang asyik memandangnya dari tadi itu. Dengan seragam biru lembutnya, Arman dilihatnya sedikit berbeza dari dahulu. Kelihatan cukup segak lelaki yang berkulit cerah itu di matanya.
“Oh! Ini Arman. Abang Man, ni kakak Lukman, Syahreena..” menyedari Arman hanya berdiam diri sahaja Laila segera memperkenalkan abangnya itu kepada kakak iparnya itu.
Syahreena mengalihkan padangannya kepada lelaki itu. Pada tanda nama yang dilekatkan di baju lelaki itu tertera tulisan ‘M. Arman’ yang sempat dibacanya sebelum memandang wajah lelaki itu.
Saat pandangan mereka bersabung Arman mengangguk sedikit kepada wanita itu sebagai menyapa. Syahreena juga ikut melakukan hal yang sama dengan sedikit senyuman diukir buat lelaki itu. Namun kemudian Syahreena kembali menuntaskan pandangan kepada adik iparnya itu. “Kak Reen dah pernah jumpa abang Laila ni waktu Laila dan Lukman bernikah dulu,” ucap Syahreena sambil tersenyum kepada Laila.
“Oh! Ya tak ya, Laila lupa..” Laila menyeringai seketika sambil menggaru dagunya.
“Dah lama ke Lukman tidur?” soal Syahreena sambil memandang ke dalam wad. Ternganga si Lukman di atas katil itu. Kasihan pula dia tengok adiknya itu.
“Lama jugak. Lepas dia bangun nanti kalau dia ada mengadu sakit kena panggil doktor semula,” ujar Laila melaporkan keadaan Lukman seperti kelazimannya semenjak semalam.
“Yalah, Laila pergilah makan. Biar kak Reen tunggu Lukman pulak. Saya pergi dulu, Arman,” ucap Syahreena lembut kepada Laila dan Arman.
Arman sekadar mengangguk sambil menghantar pemergian wanita itu dengan pandangannya. Tiada siapa yang tahu betapa saat itu lidahnya kekeluan saat memandang Syahreena dari dekat. Suara Syahreena yang baru pertama kali didengarinya ternyata telah berjaya mengocak ketenangan hati. Wajah yang dimiliki Syahreena salah satu bukti betapa indahnya ciptaan Allah kepada makhluk wanita. Namun kelakuannya itu sempat diperhatikan Laila. Beberapa saat kemudian kealpaannya segera dihambat oleh senggolan Laila.
“Dia orang tu adik beradik tau! Adiknya bagai nak rak kena belasah. Kakaknya pula abang pandang macam nak terlondeh biji mata! Abang jangan nak buat gila pulak! Kak Reen tu nampak aja lembut tapi kalau dia dah naik angin boleh berdesing telinga dibuatnya!” desis Laila tidak senang dengan kelakuan abangnya itu. Tahulah masih bujang tapi tak perlulah memandang anak dara orang sehingga begitu sekali! desis Laila dalam diam.
Arman tergelak spontan untuk menutupi perbuatannya sebentar tadi. “Pandang aja. Salah ke? Bukannya luak pun!” ucapnya bersahaja.  Alahai.. si sengal tu ada kakak cantik pulak. Kalau aku tahu aku tak debik dia dia semalam! Keluh Arman mula sesal sendiri. Tetapi.. kalau dia tidak membelasah Lukman sehingga masuk wad, macamana dia nak bertembung lagi dengan kakak Lukman yang cantik itu di sini? Arman tersengih sendiri dalam pada dia berfikir tentang wanita yang baru ditemuinya sebentar tadi.
“Abang ni kenapa? Tersengih pulak dia?” tegur Laila pelik dengan kelakuan Arman. Ini mesti kes nak mengorat!
“Kenapa hari Laila nikah dulu, abang tak perasankan Syahreena tu ya?” soal Arman kepada Laila sambil menyeringai sendiri.
“Abang sibuk sangat nak belasah adik dia, macamana nak perasan kakaknya. Dah lupa ke?” tukas Laila semakin geram. Gatal juga abangnya ini rupanya.
“Betul jugakkan?” sambut Arman kepada dirinya sendiri. “Nanti Laila cakap dengan Lukman abang minta maaf ya?” ucap Arman lembut sambil memandang adiknya itu.
Laila sempat merenung abangnya dengan rasa tidak percaya. Tadi bukan main ego lagi tak mahu mengaku salah. Sekarang meminta maaf pulak? Tidak sampai sejam abangnya sudah mendapat hidayah? Biar betul? Ni mesti pasal Kak Reen.., hati Laila mengagak sendiri. Tetapi malas dia mahu bertanya kerana bimbang abangnya menarik semula ucapan maaf itu.
“Err.. kakak Lukman tu dah kahwin ke belum?” perlahan sahaja soalan itu berlagu di bibir Arman.
“Abang!” bentak Laila geram apabila sudah mula terhidu maksud sebenar Arman. Maaf tadi rupanya tidak ikhlas!
“Okay! Okay! Tanya sikit pun nak marah..”
Laila diam sengaja tidak mahu menjawab namun tampang Arman sempat dijelingnya. Arman tersengih sambil mengangkat kedua-dua tangannya tanda mengaku kalah. Mereka berdiam seketika sambil menanti pintu lif di hadapan mereka itu terbuka.
“Dah ke belum?”
“Dia belum kahwinlah!” bentak Laila yang sudah mula kalah dengan olah abangnya itu. Arman memang pandai memanipulasikan keadaan.
Serentak itu Arman ketawa menang. “Kan senang kalau jawab dari tadi? Abang tahu adik abang ni mesti nak abang kahwin cepat,” ucap Arman selamba.
“Kalau perangai tu dah macam mafia. Bantai orang sana sini, siapa yang nak? Tak selera Laila nak rekemankan abang dekat Kak Reen tu,” tukas Laila tidak senang. Sebuah jelingan tajam dihadiahkan kepada abangnya itu.
“Dia kerja apa?” soal Arman sambil memandang Laila di sisinya itu.
“Dia doktor kat IJN.”
“Ooo.. dia doktor kat goverment hospitallah ni? Bagus! Abang suka! Senang nanti nak balik raya,” balas Arman senang hati. Dia sebenarnya tidak kisah Syahreena kerja apa. Asalkan bukan tentera sepertinya sahaja sudah.
Meluat Laila mendengar kata-kata abangnya itu. “Adiknya tu terkedang kat wad kena belasah! Abang dah ada menyimpan hasrat nak tackle kakak dia? Abang ni betul-betul tak malu! Kalau Lukman tahu pasal ni, tak tahu mana Laila nak letak muka?” gerutu Laila geram dengan abangnya itu.
“Semua yang berlaku ada hikmahnya, Laila..” ucap Arman mudah sambil tersenyum meleret. Dalam hatinya mula timbul keinginan untuk mengenali Syahreena dengan lebih dekat lagi. Dahulu ketika dia bertemu Syahreena di majlis pernikahan adiknya, tidak pula dia teringin mahu memandang wanita itu kerana waktu itu dia sibuk mahu membelasah Lukman. Tetapi kali ini.. tengoklah! Dendamnya kesumat pada Lukman akan dibalas! Lukman tidak akan boleh lari jauh darinya. Kau sapu adik aku, Lukman. Takpe! Aku sapu kakak kau pulak! Ucap hati Arman sendiri. Serentak itu dia tersenyum bahagia. Terbayangkan hidupnya nanti. Pasti semakin ceria dengan kehadiran seorang wanita yang bernama Syahreena.

Selesai makan di cafeteria hospital Laila dan Arman kembali semula ke wad. Di dalam bilik itu Syahreena duduk di sofa sambil menghadap komputer ribanya. Khusyuk sekali wanita itu sehinggalah kedatangan Laila dan Arman menggugah perhatiannya kepada alat itu. Dia segera tersenyum apabila terpandangkan Laila.
“Dah habis makan?” soal Syahreena mesra. Melihat Laila sudah kembali ke wad dia segera mengemaskan segala barangan yang dibawanya.
“Dah. Kak Reen dah nak balik ke hospital ke ni? Cepatnya?” balas Laila pula setelah terpandang Syahreena sudah bersiap sedia mengemaskan segala barangannya. Komputernya dipadamkan dan disimpan semula ke dalam beg sandangnya. Baru ingat mahu berborak dengan kakak iparnya itu.
“Kak Reen cuma nak tengok keadaan Lukman sekejap. Lepas ni kak Reen kena balik ke hospital semula. Lagipun petang ni kak Reen ada appoinment. Pukul berapa Lukman operation nanti?” Syahreena biasa. Nada suaranya memang selalu mesra. Dia langsung tidak kekok biarpun Syahreena perasan dirinya sedang diamati Arman penuh minat. Entah apa yang dicari lelaki itu pada wajahnya, dia sendiri tidak tahu. Namun wanita 30 tahun itu sekadar tenang di hadapan lelaki itu.
“Pukul sepuluh esok.”
“Hmm.. kalau pukul sepuluh nampaknya Kak Reen tak dapat datang temankan Laila esok sebab Kak Reen ada appoinment pukul sepuluh setengah. Takpekan kalau kak Reen tak temankan Laila kat sini? Nanti ada masa Kak Reen singgah kat rumah Laila.”
“Takpe. Laila ok je. Lagipun doktor kata itu cuma minor operation je. Takde apa yang nak dirisaukan,” balas Laila sambil mendekati katil Lukman. Selimut lelaki itu dibetulkannya.
“Dia tak terjaga ke tadi, kak?” tanya Laila kepada Syahreena.
“Takde pulak..”
“Kalau Kak Reen nak balik hospital pergilah. Laila boleh temankan Lukman,” ujar Laila lembut. Kehadiran Syahreena biarpun hanya seketika sudah cukup membuatkan dia bersyukur. Tidaklah dia hanya sendirian sahaja menempuh keadaan ini.
“Kalau macam tu akak pergi dulu ya? Kalau ada apa-apa call akak. Laila pun kena jaga diri dan baby tu. Jangan biarkan badan tu penat sangat.”
“Insya-Allah. Jangan risau. Kalau ada apa-apa jadi, doktor ramai kat sini,” balas Laila lantas tergelak serentak dengan Syahreena.
“Laila, abang pun nak balik ni..” tiba-tiba Arman juga ikut meminta diri apabila melihat Syahreena sudah berdiri sambil menggantung beg laptopnya di bahu.
“Yelah. Drive baik-baik, bang..” pesan Laila lembut. Sekilas memandang dia sudah mengerti mengapa abangnya mahu segera pergi. Sudah tentulah kerana Syahreena. Tetapi dia tidak kuasa mahu menghalang. Mereka pun sama-sama masih bujang. Jadi biarlah..
Arman hanya menjawab dengan anggukan kerana perhatiannya sudah terpusat sepenuhnya kepada Syahreena yang sedang melintas di hadapannya untuk ke pintu. Sebelum keluar dia sempat memandang adiknya semula lalu sebuah kenyitan dihadiahkan kepada Laila yang masih memandangnya. Laila sekadar mampu menggeleng melihat perangai miang Arman.
“Cik Syahreena..” panggil Arman kepada wanita yang berjalan agak terkedepan darinya itu. Langkahnya dilajukan agar menyaingi wanita ini. Peluang yang tersedia sama sekali tidak akan disiakan.
Mendengar namanya dipanggil, Syahreena lantas menoleh kepada Arman. “Ya. Ada apa?” soal Syahreena lembut.
“Saya temankan Cik Syahreena ke kereta?” pelawa Arman lembut.
Syahreena tersenyum. “Bagus juga sebab saya pun ada perkara nak dicakapkan dengan awak. Shall we?” balas Syahreena lembut namun penuh makna.
Sebaik sahaja tiba di keretanya Syahreena segera menyimpan begnya ke bahagian belakang kereta. Pintu keretanya ditutup sebelum dia kembali memandang Arman yang memandang sahaja perbuatannya.
“Encik Arman.. boleh saya panggil Arman aja?” ucap Syahreena yang sudah bersandar ke badan keretanya sambil berpeluk tubuh. Wajah lelaki yang berdiri di hadapannya itu diamatinya.
 “Panggil Arman saja..” entah kenapa saat itu menghilang taring Arman apabila berhadapan dengan lagak tenang Syahreena. Sedangkan selama ini dia seorang yang pantang dicabar. Saat itu Arman segera mengakui kata-kata Laila. Syahreena nampak sahaja lembut tetapi apabila berkata-kata menyerlahkan ketegasannya terserlah di sebalik ketenangannya.
“Jadi awak pun tak perlu bercik-cik dengan saya..” sambut Syahreena pantas.
Arman mengangguk sahaja sambil menanti apa yang mahu diucapkan Syahreena.
“Arman, awak sayang adik awak?” soal Syahreena cukup bersahaja.
“Soalan apa tu? Of course saya sayang adik saya.” Arman menjawab sambil ketawa kecil.
Good! Saya nak awak tahu yang saya pun sayangkan adik saya. Saya nak tau kenapa awak tumbuk Lukman kelmarin?” kali ini nada Syahreena sudah bertukar serius.
Arman terdiam pada mulanya. Senyumannya ikut termati. Dia tahu wanita ini tidak berniat melayan dia berbasi basa. “Saya akui saya terlepas laku semalam. Saya naik angin bila dia jawab soalan saya dengan cara yang menjengkelkan. Tapi saya tak berniat pun nak buat dia sampai jadi macam ni. Saya tak sengaja,” jawab Arman agak rendah.
  “Saya tahu awak amat bencikan Lukman atas perbuatan dia sebelum ini. Tak dinafikan perbuatan dia memang teramat teruk. Saya seorang perempuan dan saya sendiri tak mampu membayangkan apa yang dialami oleh Laila disebabkan oleh perbuatan Lukman sebelum ini. Tapi itu dulukan? Manusia boleh berubah bila-bila masa saja, Arman. Itu semua atas kehendak kita sendiri. Macam tu jugak dengan Lukman. Awak mungkin tak sependapat dengan saya sekarang ni. Tapi bagi saya perkahwinan Laila dan Lukman setakat ini memang banyak memberi kesan yang sangat besar terutama sekali pada perangai Lukman. Daripada seorang yang tak bertanggungjawab, sekarang saya tengok dia dah mula rajin duduk di rumah melayan isteri. Itukan yang kita nak selama ni?”
Arman terdiam mendengar sesi motivasi daripada wanita itu. Malunya aku kena ceramah.. jerit hatinya sendiri.
“Saya tahu awak sayangkan Laila. Saya pun sayangkan dia. Saya suka dia jadi adik ipar saya. Tak boleh ke kita berlaku adil? Kami layan Laila dengan baik, tak boleh ke awak layan Lukman juga dengan baik? Saya tak minta awak tatang dia. Tapi sekurang-kurangnya jangan menyulitkan lagi keadaan. Awak tengok kesan perbuatan awak ni. Laila jugak yang susah!” Syahreena menyambung lagi bicaranya sementelah Arman dia sahaja.
“Saya faham. Saya menyesal dengan apa yang saya dah buat. Semalam saya bukan berniat nak pukul dia tapi saya tak sengaja. Tak tahulah kenapa, saya cepat naik hantu bila tengok muka dia,” jawab Arman perlahan akur dengan kesalahannya.
“Jangan minta maaf dengan saya. Awak bukannya ada buat salah dengan saya. Cuma lain kali saya harap perkara yang berlaku semalam tak berlaku lagi. Buruk-buruk perangai Lukman sekalipun dia tetap adik ipar awak. Tak guna awak bencikan dia. Saya lebih suka kalau benda ni di selesaikan dengan cara yang rasional tanpa menggunakan kekerasan,” balas Syahreena lembut menegur lelaki itu.
“Saya tahu. Niat saya ke sini pun sebab saya nak tengok keadaan dia. Tapi saya tak dapat bercakap dengan dia,” jawab Arman rendah. Mukanya masih tebal berpuluh-puluh inci. Siapa tak malu kalau ditarbiah oleh wanita yang mahu dipikatnya? Cis! Menyesal aku tumbuk adik dia.. rungut Arman sendiri.
“Saya tak suka kita semua bermusuhan, Arman. Lepaskanlah benda yang dah berlalu tu. Saya cuma nak keadaan mereka berdua stabil. Itu sahaja. Sebagai kakak saya akan terus support Lukman. Tak adil kalau semua orang bencikan dia. so, awak ada apa-apa nak cakap ke sebelum saya pergi ni?”
Arman terkumpal-kumpal seketika sambil menggaru pipinya. Malu pula mahu meluahkan keinginan hati setelah diceramah secara percuma oleh Syahreena. “Err.. err..” payah benar dia mahu meluahkan hasrat. Sedangkan peluang ini tidak mahu disia-siakan. Tapi kalau dia luahkan juga, kemudian kena reject.. alamat terjun kolam Alam Floralah dia untuk menyorokkan mukanya ini!
“Apa yang err.. err.. tu?” tegur Syahreena mula hairan melihat gelagat Arman.
“Nantilah ajalah saya cakap. Saya pun dah lupa apa yang saya nak cakap tadi.” Kena bebel terus hilang idea nak mengorat. Bukan hilang idea tapi hilang keberanian. Itulah.. buat hal lagi, Arman! Padan muka..
Syahreena tergelak sedikit melihat lelaki itu. “Kalau takde apa-apa yang awak nak cakap saya balik dululah,” balas Syahreena. Dia terus berpaling untuk membuka pintu keretanya.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya!” meluncur ayat itu dengan sekali nafas sahaja. Kemudian dia memejamkan matanya. Takut kena maki.
Syahreena berpaling. Dia terasa mahu ketawa melihat mimik muka Arman. Lelaki itu mengerutkan wajahnya sambil memejamkan matanya rapat-rapat seolah-olah takut dimalukan olehnya. Pandai buat lawak rupanya mamat ni! bisik hatinya sendiri.
Honestly, saya tak keluar dengan lelaki begitu sahaja melainkan kalau saya nak ada komitmen dengan dia. Tapi saya memang tak gemarkan lelaki yang panas baran. Saya paling tak suka dekat dengan orang yang ringan tangan, terutamanya lelaki. Lelaki macam tu tak sesuai dengan jiwa saya. Saya harap awak faham.” Syahreena membalas selamba. Tanpa kata lagi dia terus masuk ke kereta.
Berbuku hati Arman mendengar jawapan cukup selamba Syahreena. Terulat-kulat dia memandang kereta Toyota Camry putih itu berlalu dari petak parkir. Kan dah kena reject! Buat malu aku je! jerit hatinya bengkak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan