Khamis, 29 Ogos 2013

11-12 MSM

11

 “Abang ada kat depan pejabat Laila ni. Turunlah! Abang nak jumpa Laila.” Suara Arman menyapa lembut pendengaran Laila melalui corong telefon.
Serta merta ceria hati Laila mendengar itu. “Okay. Laila turun sekarang..”
Arman datang pada saat yang dirasakan Laila amat tepat. Macam tahu-tahu aja. Dia memang berniat mahu menghubungi Arman malam ini tetapi nampaknya abangnya terlebih dahulu mendengar seruan hatinya.
Tanpa berlengah lagi Laila terus mengemas mejanya. Selesai itu dia mencapai beg tangannya bersama beg komputer riba untuk pulang. Namun ketika di hadapan pintu biliknya dia bertembung dengan Nazim yang juga mahu pulang. Laila cuba buat-buat tidak nampak namun Nazim terus mengekorinya ke lif. Mereka berdua berhenti di belakang puluhan kakitangan lain yang juga sedang menunggu lif di situ.
“Dah nak balik?” tanya Nazim lembut. Masih tidak serik mendekati Laila biarpun sudah diberi amaran oleh Tuan Haji Hamidon. Peristiwa beberapa hari lalu tidak lekat lagi dalam fikirannya. Ah! Apa nak takut? Sekarang sudah habis waktu pejabat. Dia hanya diberi amaran agar tidak menganggu Laila ketika waktu pejabat.
Laila tergelak seketika sengaja mahu menyakitakan hati lelaki yang amat peramah dengannya ini. Soalan yang dianggap agak tidak berilmu. Kot ya nak mengayat sekalipun tanyalah soalan yang tidak membosankan orang yang mahu menjawabnya! Itu kata hati Laila yang sedang teramat-amat meluat kepada Nazim. Soalan itu berlalu tanpa jawapan. Wajah Nazim di tepinya tidak dipandang sama sekali. Dia benar-benar tidak lalu! Boleh muntah hijau dia kalau terus memandang wajah miang lelaki itu.
 “Selalunya awak balik lambat. Hari ni balik awal pulak. Kerja dah habis ke?” sekali lagi Nazim mencuba nasib untuk memancing perhatian Laila kepadanya. Disabarkan dirinya yang mula tercabar dengan kesombongan Laila kepadanya.
“Sebab dah habis kerjalah balik awal. Kalau tak buat apa nak jadi penunggu kat pejabat tu? Saya bukannya pekerja amal kat sini..” jawab Laila sengaja meleretkan nadanya.
“Oh! Ya tak ya juga. Kalau begitu biar saya hantar awak balik? Saya ada kereta,” ucap Nazim lembut.
Laila menoleh memandang Nazim. Sebuah senyuman sinis dilemparkan kepada lelaki itu. Berbulu telinganya mendengar nada bongkak Nazim itu. Seolah sengaja mahu menunjuk keretanya yang lebih mahal harganya dari kakitangan lain. Macamlah dia seorang mampu memiliki Perdana V6 itu.
“Takpelah. Rasanya rumah kita bukan di jalan yang sama. Saya tak mahu susahkan, Encik Nazim. Nanti lambat pulak Encik Nazim jumpa isteri dan anak-anak kat rumah. Lagipun saya takde dengar tambang bas naik harga sampai saya perlu menyusahkan orang lain menghantar saya balik ke rumah,” balas Laila bersahaja.
Beberapa kakitangan yang mendengar menoleh kepada Laila. Ada yang ketawa halus mendengar sindiran Laila kepada Nazim. Berubah wajah Nazim saat itu. Tidak habis-habis Laila mahu menyebut soal isteri dan anak-anaknya.
Malas mahu melayan bicara Nazim lagi dia segera memberikan tumpuan kepada lif di hadapannya yang mula terbuka. Tanpa menunggu dia ikut berasak-asak bersama pekerja lain termasuk Nazim sendiri. Malang pula nasibnya apabila lif sudah dipenuhi dia terpaksa berhimpit dengan Nazim di bahagian paling rapat dengan pintu lif itu.
Laila cuba untuk tidak mengendahkan lelaki itu namun dadanya berdebar apabila melihat renungan Nazim yang tidak berkalih dari wajahnya saat tubuh mereka bersentuhan. Laila cuba mengeraskan dirinya namun Nazim pula semakin berani menyentuh jari kelingking Laila yang terjuntai.
Laila tersentak. Matanya membulat tajam memandang Nazim yang berwajah selamba. Spontan dia mengalihkan tangannya ke atas dengan memegang tali beg tangan yang tersangkut di bahunya. Sengaja dia mendegus keras menunjukkan kebenciannya. Biar Nazim tahu betapa bengangnya dia saat itu.
Melihat reaksi negatif Laila dan mengenangkan ramai orang di dalam kotak lif itu Nazim tidak jadi mahu meneruskan tabiatnya. Sewaktu pintu lif terbuka Laila segera merebut peluang untuk menjadi orang pertama yang keluar. Sekaligus dia dapat menjauhkan diri dari lelaki bermasalah itu.
Nazim yang masih tidak berpuas hati membuntuti Laila sehingga ke pintu utama di lobi bangunan itu. Kebetulan pula hari ini dia memakirkan kereta di petak letak kereta yang terdapat di hadapan bangunan itu.
“Marilah saya hantarkan Laila. Kasihan awak selalu naik bas. Mesti penat tunggu bas berjam-jam,” pujuk Nazim ketika di mereka menghampiri pintu utama.
“Tak payahlah. Encik Nazim balik ajalah tak payah pedulikan saya balik naik apa. Saya tahulah nak balik macamana. Saya bukannya baru semalam kerja kat sini!” degus Laila tidak senang. Langkah kakinya semakin dilajukan untuk bertemu Arman sekaligus mahu melepaskan diri dari lelaki itu.
“Sekali sekala apa salahnya, Laila. Jomlah! Kereta saya ada kat depan tu aja.” Tanpa berputus asa Nazim memujuk lagi.
“Saya kata saya tak mahu, saya tak mahulah! Jangan ikut saya boleh tak. Rimaslah! Tak faham bahasa agaknya dia ni. Encik Nazim ni memang buat saya semakin meluat tahu tak!” bentak Laila mula naik hantu kepada lelaki itu.
Geram dengan wanita itu, Nazim segera merenggut pergelangan tangan Laila agar dia dapat terus bercakap dengan Laila memandangkan mereka sudah melepasi gerbang pintu utama itu. Jika cara lembut tidak berkesan nampaknya dia harus menggunakan paksaan.
“Apa ni, Encik Nazim? Jangan nak kurang ajarlah!” jerkah Laila sedikit keras. Tangannya direntap keras agar terlepas dari pautan lelaki itu. Memang sahlah tak sekolah tinggi lelaki ini!
“Kenapa awak ni sombong sangat dengan saya? Saya cuma nak tolong hantarkan awak, tak boleh ke?” balas Nazim juga mulai hilang sabar. Penolakan Laila sudah membuatkan dia merasa begitu tercabar. Entah apa lagi yang harus dilakukannya untuk memujuk Laila. Susah benar!
“Saya tak nak, tak faham ke??” bentak Laila lantang.
“Ada masalah apa ni?” Suara asing yang tiba-tiba menyampuk pertengkaran mereka terus membuatkan Nazim dan Laila menoleh serentak.
Arman sedang mendekati mereka. Dia memandang Nazim selamba. Laila terpaku melihat derap langkah abangnya itu semakin mendekati dia dan Nazim. Dia langsung tidak perasan abangnya memakirkan kereta di hadapan lobi itu sedangkan itu adalah kawasan larangan memakir. Sudah tentulah Arman melihat apa yang dilakukan Nazim tadi memandangkan tempat dia berdiri hanya beberapa ela dari tempat abangnya menanti.
“Kau siapa dengan dia? Tak payah sibuk hal oranglah!” ucap Nazim sedikit kasar. Terbeliak mata Laila memandang keberanian Nazim menempelak abang kandungnya itu.
“Apa kau cakap? Cuba cakap sekali lagi. Aku tak dengar tadi.” Arman sengaja buat tidak dengar. Didekatkan telinganya ke arah Nazim tanda mahu mendengar lagi soalan cepumas itu!
“Aku tanya kau siapa dengan dia? Jangan nak menyibuk hal orang! Aku bercakap dengan dia bukan dengan kau!” balas Nazim semakin geram. Gangguan ini datang pada saat yang paling tidak disukainya. Sudahlah tidak mudah berurusan dengan Laila di luar pejabat. Kini ada pula hero yang mahu datang menunjuk kejantanan! Mana dia tidak sakit hati. Menyibuk betul!
Laila terus terkedu dengan mata terbuntang. Sempat dia menekup mulutnya kerana tidak sangka Nazim berani sekali bercakap begitu dengan abangnya yang panas baran ini! Jika dia meneruskan perbalahan ini alamat malam ini Nazim bakal bermalam di wadlah nampaknya.
“Kau siapa nak bercakap dengan dia ha, orang tua? Dia bukan bini bukan kekasih kaukan? Jadi kau tak payah nak sibuk bertanya siapa dia dengan aku. Jaga urusan sendiri kalau kau rasa masih nak makan pakai gigi kau tu!” balas Arman berbaur ugutan. Kepalan penumbuknya diangkat ke muka Nazim sebagai peringatan.
Tersirap darah Nazim melihat rupa buku lima yang berurat-urat yang sedang ditunjukkan oleh lelaki asing ini. Melihat pakaian seragam yang melekat di tubuh lelaki muda itu, dia mula ragu untuk memanjangkan hal itu. Silap-silap mahu ke balai dia dibuatnya kerana mencari gaduh dengan pegawai tentera.
“Kau nak apa dengan dia?” soal Arman tajam.
“Takde apa-apa! Aku cuma nak hantarkan dia balik,” jawab Nazim mula gentar.
“Tak payah nak sibuk. Dia tahu balik sendiri. Kau ganggu dia lagi, sama ada kau duduk wad atau duduk lokap! Pilih mana kau nak!” tambah Arman tajam.
Nazim meneguk liurnya kalut. Akhirnya tanpa kata Nazim segera berlalu meninggalkan Laila dan Arman disitu. Dua-dua pilihan yang diberikan Arman ternyata tidak menggembirakannya. Lebih baik dia pergi sebelum salah satu pilihan itu menjadi mimpi ngerinya malam nanti.
“Siapa tu?” tanya Arman terus memandang Nazim yang terkocoh-kocoh pergi.
“Nama dia Nazim. Salah satu pengurus kat tempat kerja Laila. Dia tu memang macam tu..” Laila menjawab biasa. Dia tidak berniat untuk bercerita lebih tentang lelaki itu. Bukannya dia tidak tahu perangai panas baran Arman. Kalau Arman tahu tentang apa yang cuba dilakukan Nazim kepadanya sebelum ini alamat lagi panjanglah cerita.
Dalam pada itu Laila kelegaan melihat Nazim pergi. Tahu takut lelaki itu rupanya!
“Muka dah berkedut macam surat khabar ronyok, ada hati nak menggatal dengan perempuan muda! Tak sedar diri betul! Dahlah muka pecah pintu!” cemuh Arman sambil mengambil beg dari tangan Laila. “Jom!” ajaknya segera.
Laila akur tanpa kata. Dia terus membuntuti Arman ke kereta. Bersama Arman saat ini dia merasakan keselamatannya kembali terjamin. Namun dia sedar esok mahu belum tahu. Dia masih perlu menghadap Nazim lagi.
“Kita nak ke mana ni?” soal Arman sebaik sahaja dia menghidupkan enjin keretanya.
“Ikut abanglah. Abang yang ajak Laila keluar. Laila tak kisah..”
“Kita berhenti sekejap. Abang nak solat asar dulu. Lepas tu kita pergi makan sebelum abang hantar Laila balik,” ujar Arman lembut.
Laila sekadar mengangguk. Dia tahu abangnya datang dari Banting sekadar mahu meluangkan sedikit masa dan bertanya khabar tentangnya. Begitulah selalunya mereka. Ada masa mereka sering bertemu.
Mereka berhenti seketika di sebuah stesen minyak untuk Arman menumpang solat di surau yang disediakan di situ. Laila sekadar menanti di dalam kereta memandangkan dia sudah bersolat di pejabat tadi. Saat bersendirian di dalam kereta entah kenapa wajah Nazim kembali terimbas difikirannya. Tingkah laku lelaki itu selama ini bermain-main di benaknya. Sedikit sebanyak hati Laila kembali dipaut kebimbangan dengan keselamatannya di pejabat. Dia tahu tidak selamanya dia mampu mengelak dari lelaki itu. Laila tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk melepaskan diri memandangkan dia masih perlu meneruskan kerjanya di pejabat itu sehinggalah tempoh notisnya selesai.
Kenapa lelaki macam dia wujud dalam dunia ni? Apa yang dicarinya dalam diri seorang perempuan? Laila bertanya sendiri. Kadang kala dia hairan dengan sikap Nazim. Sudah beristeri tetapi seperti tidak pernah puas dengan apa yang ada. Nafsu jenis apa macam tu? Nafsu gajah agaknya! Bisik hati Laila lagi.
Khayalan Laila terputus dengan bunyi pintu di sebelahnya dibuka. Arman terus masuk ke dalam kereta itu. Laila sempat memandang abangnya. Arman ikut memandang adiknya itu. Mereka akhirnya berbalas senyum.
“Laila lapar tak?” tanya Arman lembut.
“Abang nak bawak Laila pergi makan mestilah Laila lapar. Takkan Laila nak tolak rezeki pulak,” jawab Laila bersahaja. Dia sudah arif benar. Setiap kali keluar bersama Arman hanya Arman yang akan mengeluarkan belanja. Tidak pernah sekalipun dia yang membayarnya.
Arman tertawa mendengar jawapan adiknya itu. “Kita makan besar malam ni! Abang nak bawak Laila makan kat Bora Ombak. Nak tak?” Arman berkata sambil tersenyum mesra.
“Wah! Bora Ombak? Dengar nama aja dah buat Laila makin lapar. Jomlah cepat! Macam lapar sangat pulak rasanya ni,” balas Laila dengan senyum melebar. Dia pernah mengunjungi restoran itu dahulu bersama Arman dan dia tahu hidangan di situ memang memuaskan.
“Laila ni kalau bab makan memang nombor satu! Mentang-mentanglah abang belanja.” Arman sempat mengusik Laila sambil menggeleng. Gear undur dimasukkan sebelum mengundurkan keretanya untuk keluar dari petak parkir.
“Habis tu bila Laila nak bayar abang tak bagi. Malu! Takut jatuh maruah lelaki abang tu kalau orang tengok perempuan yang bayar. Macamlah orang lain peduli!” jawab Laila pantas.
Arman ketawa lagi. “Bukan macam tu. Laila adik abang. Takkanlah abang nak biarkan adik abang ni yang keluar duit untuk abang? Sebagai abang biar abang yang berhabis untuk Laila,” jawab Arman lembut.
“Itu sebab Laila suka keluar dengan abang. Hari-hari pun takpe!”
“Mak ai! Hari-hari? Tak dapatlah abang nak mengumpul duit untuk kahwin ni nanti. Laila ni kalau pasal makan memang nombor satu!” tukas Arman sambil melirik sekilas adiknya itu. Laila lantas menoleh kepada abangnya. Perkataan ‘kahwin’ yang disebut Arman menarik perhatiannya.
“Oh! Abang ada plan nak kahwin dalam masa terdekat ni ke? Dah jumpa ke cinta hati abang?” soal Laila sedikit teruja. Membesar matanya memandang Arman yang sedang memandu.
Arman ketawa pula dengan soalan adiknya itu. “Takdelah sampai macam tu. Abang saja je cakap macam tu. Bukannya ada makna pun. Laila ni menggelabah betullah!” ucap Arman sambil menggelengkan kepalanya.
“Habis tu abang tiba-tiba cakap pasal kahwin, mana Laila tak sangka yang bukan-bukan. Abang tu bukannya berminat sangat dengan semua tu. Kenapa? Dah mula terasa sunyi ke tiba-tiba sebut nak simpan duit untuk kahwin ni? Dah mula serius cari calon?” ucap Laila masih tidak puas mengorek rahsia hati Arman. Selama ini abangnya tidak pernah merancang ke arah itu biarpun ramai kawan perempuan.
“Laila janganlah ingat abang dah nak kahwin sangat. Keinginan tu memang dah ada tapi calon yang sesuai tu belum ada lagi. Masih dalam pencarian,” jawab Arman lembut. Matanya terus memandang ke arah jalan raya yang sesak. Pergerakan keretanya juga agak tersekat-sekat.
“Seramai-ramai yang ada tu semuanya tak sesuai?” soal Laila dengan mata membuntang kepada abangnya itu. Bukan sekali dia Arman dilihat rapat dengan perempuan. Entahkan perempuan itu yang tidak kena atau Arman yang terlalu cerewet?
Arman tersengih. Kebanyakan teman wanitanya dahulu adalah pegawai tentera sama sepertinya. Entah kenapa semenjak kebelakangan ini dia mula merasa bosan dengan suasana yang sama sahaja. Jika berbincang topik juga sama. Langsung tidak berkembang. Dia mahukan kelainan dalam hidupnya.
“Abang belum pernah rasa jatuh cinta separuh mati, Laila. Abang nak rasa perasaan tu. Kebanyakan kawan-kawan perempuan yang pernah abang ada memang abang akui sesuai dengan jiwa abang. Tapi kadang-kadang abang boring! Abang nakkan sesuatu yang keluar dari bidang abang. Hidup ni kena ada perlbagai corak, baru ada keserian. Betul tak?” ujar Arman biasa.
“Kalau macam tu abang kenalah mendaftar kat agensi cari jodoh. Barulah jumpa calon lain dari yang lain.” Laila segera meluahkan komen yang sempat terlintas dibenaknya. Sengihannya terukir tanpa dapat ditahan.
“Agensi cari jodoh?” Arman spontan meluahkan tawanya.
“Takdelah sampai macam tu, Laila. Itu dah kronik sangat. Abang muda lagi tau!”
“Muda lagi? Tolonglah, bang! Abang tu dah lebih 30 tahun tau! Dah bujang terlajak perahu boleh diundur terlajak umur, gigit jari! Sampai tualah tak berbini!” tukas Laila pantas.
Arman tergelak besar mendengar pepatah melayu versi adiknya itu. “Eh! 30 tahun tu kira mudalah.. yang tua tu bila umur dah 60,” jawab Arman selamba membuatkan Laila segera mencebik.
“Abang percaya Allah pasti takkan sia-siakan doa abang selama ni. Allah pasti akan temukan abang dengan seseorang tak lama lagi. Insya-Allah.. abang yakin.” Arman berkata perlahan. Rahsia hatinya didedahkan kepada satu-satu adik yang dimilikinya. Mereka memang sering berkongsi cerita selama ini.
“Senang hati Laila dengar abang ada keinginan nak kahwin. Kalau ayah tahu mesti ayah gembira. Ingatkan abang nak peluk kereta abang aja sampai tua,” balas Laila ceria.
Ini adalah sesuatu yang amat menggembirakan dirinya. Bukan senang mahu mendengar Arman bercakap soal kahwin dengan sesiapa. Abangnya itu terlalu taksub dengan kerjayanya selain dari minat bertukar kereta.
“Takdelah begitu. Kadang-kadang abang rasa sunyi jugak. Kawan-kawan sebaya dengan abang semuanya dah beristeri. Kebanyakan mereka dah ada anak pun. Abang ni masih terhegeh-hegeh. Abang rasa hidup abang tak sempurna macam orang lain bila dalam usia macam ni abang masih membujang,” luah Arman lembut.
“Baguslah kalau abang rasa macam tu. Laila harap abang akan temukan seseorang yang abang sayang dalam masa terdekat ni.”
“Lepas tu Laila pulakkan?” sambut Arman lantas tersenyum kepada adiknya itu.
“Laila? Kenapa pulak dengan Laila?”
“Jangan nak buat-buat tak faham. Laila jugak mesti ada teman hidup. Baru hidup ni lengkap,” jelas Arman ringkas. Dia tahu Laila sengaja buat-buat tidak faham. Laila juga sepertinya. Sering mengelak apabila soal teman hidup diperdebatkan.
“Laila tak tahu lagi, bang. Laila belum ada sesiapa. Hati Laila belum dapat disentuh oleh mana-mana lelaki buat masa ni,” jawab Laila mudah. Alasan yang sama digunakan lagi buat kali yang entah keberapa ratusnya.
Arman mengangguk perlahan tanda memahami maksud adiknya itu. “Abang harap arwah Nahij bukan lagi penyebabnya hati Laila tak terbuka pada yang lain.” Arman menoleh sekilas untuk melihat reaksi Laila. Laila dilihatnya sekadar memandang hadapan. Namun apa yang ditunjukkan oleh wajah adiknya itu jelas sekali dia sedang keras memikirkan apa yang dikatakan Arman.
Kali ini Laila tidak menjawab. Sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya kepada Arman jika telahan Arman itu masih duduk di tempat teratas dalam hatinya. Entah kenapa sukar benar dia mahu melepaskan semua itu dari hatinya. Mengingati Nahij hatinya kembali disapa kerinduan.
“Kenapa, Laila? Diakan dah takde? Dia dah tinggalkan kita,” pujuk Arman lembut.
“Laila dah lama tahu kenyataan tu, bang..” keluh Laila amat perlahan. Seolah-olah sedang berbisik kepada dirinya sendiri, membuat dirinya faham dan menerima hakikat itu dengan hati yang ikhlas.
“Habis tu? Kenapa nak berharap lagi pada yang dah takde? Hidup mesti diteruskan, Laila. Kita kena berpegang kepada realiti. Bukannya terus berharap kepada impian yang takkan boleh dijadikan kenyataan lagi. Mesti ada lelaki lain yang boleh sayangkan Laila sehebat dia, Laila. Bagi peluang pada diri Laila untuk mengenali lelaki lain. Abang rasa ayah akan lebih gembira kalau ada seseorang yang boleh jaga Laila,” ucap Arman lembut cuba memancing pengertian Laila. Dia tahu Laila bukan seorang yang mudah melupakan.
“Laila tahu, bang. Bukannya Laila tak cuba tapi Laila tak boleh. Laila asyik terbayangkan dia,” jawab Laila amat perlahan.
Arman menghela nafas perlahan. Jawapan itu sudah acap kali didengarinya. Arman menoleh ke arah Laila saat keretanya terhenti di belakang kereta lain dalam kesesakan jalan raya itu. Wajah mendung Laila menyapa pandangannya. Dia lihat ada kesepian yang sedang disembunyikan oleh wajah itu. Kadang-kala dia merasakan sebagai orang yang rapat dengan Laila, dia gagal menyelami sekeping hati milik wanita ini. Terlalu terlindung seperti mana Laila sering melindungi kenangan lama itu agar terus berada di tempat yang sama.
“Sebab tu abang kata Laila kena cuba biarkan lelaki lain ambil tempat dia dalam hati Laila. Siapa tahu dengan cara macam Laila tak lagi dibayangi oleh kenangan lama. Laila tak pernah biarkan itu berlaku jadi Laila takkan tahu apa hasilnya. Laila kena bangun dari kehancuran tu. Abang belum nampak itu berlaku lagi. Sampai bila Laila nak simpan cinta tu?” ucap Arman pula. Wajah adiknya itu dipandang lembut.
Laila diam. Kata-kata Arman itu menusuk pedih ke hatinya. Ya! Benar kata abangnya itu. Selama ini dia tidak pernah membiarkan dirinya dekat dengan mana-mana lelaki. Hanya kerana igauan semalam dia menyekat hatinya dari menerima lelaki lain. Tempat yang selama ini dinaungi Nahij masih dijaga rapi agar tiada sesiapa bisa sampai ke situ. Laila sedar dia tidak boleh selamanya begini. Seperti kata Arman tadi, dia masih belum bangkit dari kesakitan dulu. Dia masih bergelumang dengan kenangan lalu hampir setiap waktu.
Melihat Laila diam Arman memilih untuk menukar topik. Dia tidak mahu mendesak Laila untuk membuat keputusan. Biarlah adiknya itu sedar dengan sendirinya. “Kerja Laila macamana?” soal Arman. 
“Abang, Laila dah dapat kerja di UMBS Holding,” jawab Laila pantas. Dia memang berniat mahu memberitahu Arman tentang itu ketika makan nanti. Tetapi alang-alang Arman sudah bertanya biarlah Arman tahu saat ini juga.
Really? Kat mana?”
“Kat KL ni jugak. Pejabatnya di jalan Sultan Ismail,” ujar Laila.
“Kenapa nak tukar kerja? Kerja tempat sekarang tak bagus?” soal Arman sedikit tertanya. Rasanya belum setahun Laila di syarikat ini. Masakan sudah mahu berhenti?
Offer baru ni gaji lebih sikit dan syarikat besar. So Laila rasa Laila ini yang terbaik untuk Laila kukuhkan kerjaya Laila. Laila dah beri notis perletakkan jawatan di tempat kerja sekarang. Insya-Allah lebih kurang sebulan lagi Laila akan mula kerja di sana,” jawab Laila mulai bersemangat apabila bercakap tentang tawaran kerja itu.
Arman mengangguk perlahan. Apa sahaja yang baik buat Laila dia akan menyokong. Semua orang pasti mengejar gaji yang lebih dan kedudukan yang kukuh dalam kerjayanya. Dia sedar Laila memang bercita-cita besar untuk berjaya sebagai seorang akauntan. Apa yang dilihatnya selama ini Laila begitu cekal menghadapi cabaran dan tuntutan hidup di KL ini.
“Dah bagitahu ayah?” soal Arman lembut.
“Ayah orang pertama yang tahu. Laila dah bagi tahu awal-awal lagi.”
Arman mengangguk lagi. Jika ayahnya tidak menghalang keinginan Laila itu rasanya dia juga akan mendoakan yang terbaik buat adiknya itu. Dia juga berharap semakin jauh Laila melangkah semakin dekat dia dengan kebahagiaan yang diharapkannya selama ini.

Terpegun lama Laila melihat kuntuman bunga ros yang berada di atas mejanya pagi itu. sambil meletakkan beg tangannya di atas meja itu matanya terus memandang ke arah jambangan bunga dan juga sebuah kotak baldu hitam berbentuk empat segi yang diletakkan di sebelah kuntuman bunga itu.
“Siapa bagi ni?” soalnya sendiri. Perlahan bunga itu dibeleknya sementara kotak baldu itu sekadar dibiarkan begitu sahaja. Sekeping kad diambilnya lalu di buka. Ada sebaris ayat bertulis tangan terhias untuk diamatinya olehnya.
 Where do I begin? To tell you everything. Where should I start?
-ANL-
“Apa maksud dia ni? ANL? Siapa pulak ANL ni?” tanya Laila sendiri.
“Ehhem..” Laila sepantas kilat mengalihkan pandangan ke arah pintu biliknya. Teman-teman sepejabatnya sedang tersengih kepadanya. Sengihan ada maksud. Anisah mengangkat kening beberapa kali sambil memandang bunga di atas meja.
“Beli sendiri ke bunga tu?” usik Marlina sengaja mahu mengorek rahsia.
“Takde masa nak beli bunga ni semua. Buang duit aja. Dah! Jangan sibuk! Macamlah aku tak tahu apa kau orang nak,” desis Laila geram melihat sengihan teman sepejabatnya itu.
“Amboi! Semenjak dapat bunga ni sombonglah dia. Cepat aja nak marah. Tahulah ada peminat. Kongsilah sikit.. siapa yang bagi tu?” usik Marlina bagaikan orang kemiangan. Sengaja mengusap pintu bilik itu untuk menarik perhatian Laila. Sakan mereka ketawa mengusik Laila yang sudah berubah wajahnya.
“Aku tak kenallah. Aku pun tak faham apa maksud dia tulis macam ni.” Laila menayangkan kad di tangannya itu.
Serentak Marlina dan Anisah masuk ke dalam bilik itu. Marlina terlebih dahulu mengambil kad ucapan itu dari tangan Laila. Anisah segera merapati Marlina untuk mengambil tahu apa yang tertulis di kad itu.
“Dalam maksudnya ni..” ucap Marlina seolah sedang bercakap sendiri. Matanya masih tidak berganjak dari kad itu.
“ANL ni siapa? Kau kenal ke?” tanya Anisah kepada Marlina.
Marlina terus menjungkit bahu. “Tak pernah dengar nama macam ni. Pelik! Ni bukan nama sebenar agaknya. Tiga huruf ni mewakili abjad pertama nama sebenar dia. Agaknya orang ni tak mahu kau tahu dia kirimkan kau bunga ni. Aku rasa dia nak kau teka siapa dia sebab tu dia bagi klu macam ni,” ujar Marlina kepada Laila yang sedang berpeluk tubuh memandangnya.
“Aku pun rasa macam tulah..” sambut Anisah.
“Pelik betul. Dah bagi bunga tapi tak mahu aku tahu dia yang bagi bunga. Itu namanya nak memeningkan kepala aku. Aku tak minat sangat main teka teki ni. banyak lagi kerja aku boleh buat selain dari memikirkan pasal pemberi bunga ni,” ujar Laila lantas menuju ke kerusinya.
“Kawan kita ni ada secret admire..” usik Anisah sambil tergelak.
“Orang lawa memang ramai secret admire, Nisa. Kau tak lawa jangan nak jeles pulak.” Marlina sengaja berkata begitu untuk menggiat Laila.
Laila mencebik dalam pada Anisah sudah tergelak. “Takde mood aku nak layan semua ni. Malas nak pening-pening! Dia nak secret-secret sangat.. dia secret ajelah seorang diri. Aku nak buat kerja.”
“Kalau ada perkembangan terkini jangan lupa bagitahu kami ya..”
“Dah! Dah! Jangan nak mengarut. Pergi buat kerja kau orang. Nampak dek Tuan Haji Hamidon, kau orang jugak yag susah,” desis Laila malas mahu melayan usikan bermaksud itu.
“Dia dah halau kitalah. Jomlah! Dia nak bersendirian. Dia dah mula nak fikirlah tu. Kalau kita ada menyemak kat sini nanti ilham tak sampai,” ejek Anisah lantas menarik Marlina agar berlalu. Marlina dan Anisah sempat ketawa-ketawa saat melangkah keluar dari bilik itu. Tidak sempat Laila mahu membalas.
Ketika di ambang pintu Marlina memandang Laila semula. “Jangan termenung pulak lepas ni. Tadi kau jugak yang kata malas nak fikirkan? Lain kali..kalau suka cakap jelah suka. Tak payah nak berlakon macho kononnya,” perli Marlina selamba.
Terjegil mata Laila memarahi Marlina yang sakan menggelakkan dirinya.
“Suka betul kenakan orang..” desis Laila sendiri. Menggeleng dia mengenangkan kenakalan dua temannya itu.
Namun saat bersendirian Laila gagal menumpukan perhatiannya kepada kerjanya. Ada sesuatu yang menggangu dirinya. Tanpa dapat disekat dia mula terfikirkan nukilan di atas kad itu. Apa sebenarnya maksud si pengirim itu? Apa yang hendak dimulakan? Apa yang hendak diceritakan? Siapa sebenarnya si pengirim itu? satu-satunya lelaki yang singgah di fikirannya langsung tidak menepati klu yang diberikan si pengirim itu. setahunya nama sebenar Nazim ialah Mohd Nazim bin Hamzah. Jadi ANL itu sudah tentulah bukan Nazim.
Arrgh! Nampaknya sumpahan Marlina dan Anisah sebentar tadi sudah benar-benar berlaku kepadanya. Dia jadi pemikir pula walaupun sudah cuba untuk dinafikan dari benaknya ini. Kedatangan kad itu sudah merubah corak permukaan hatinya.
Laila mengalihkan pandangannya kepada kotak baldu hitam yang terbiar begitu sahaja semenjak tadi. Dia sendiri masih tidak tahu apa isinya kotak baldu itu. perlahan dia memanjangkan tangannya mengambil kotak itu. Penutupnya dibuka perlahan.
Berdetak hebat dada Laila melihat keronsang berlian yang terletak elok di dalam kotak itu. Apabila dilihatnya dari dekat matanya mengesan ukiran halus yang merupakan namanya iaitu Laila Huda pada keronsang itu. Dan kerongsang itu benar-benar memukau pandangannya. Sangat indah buatannya dan yang pasti tidak murah harganya.

Aduhai.. siapalah yang sanggup melakukan semua ini untuknya? Bagaimana untuk dia menerima semua ini jika dia sendiri tidak tahu siapa yang memberikan semua ini kepadanya?


12

Laila menyambut kedatangan teman seuniversitinya itu dengan hati yang gembira. Senyuman yang diukir masih tidak lekang sehinggalah Asmadi duduk di hadapannya. Sekian lama menyepikan diri akhirnya mereka kembali bertemu.
“Maaf, aku lambat sikit. Jalan sesak sikit tadi. Lama tunggu?” ujar Asmadi selepas meletakkan beg yang berisi komputer ribanya di kerusi sebelahnya.
“Takdelah. Aku pun baru je duduk ni. Air yang aku pesan pun belum sampai.”
“Bini aku tak dapat datang. Kau dah tahukan?” ucap Asmadi sambil memandang Laila di hadapannya.
Laila segera mengangguk. Dia sudah maklum tentang hal itu. Hanya Asmadi yang diwakilkan oleh Hamidah untuk bertemunya petang ini. Dia tidak kecil hati kerana dia maklum dengan tugas Hamidah yang berkerja mengikut syif itu. “Minum, Madi?” pelawa Laila apabila ada pelayan datang mendekati meja mereka untuk mengambil pesanan.
“Fresh Orange.” Asmadi terus sahaja memesan minumannya tanpa bertangguh lagi.
Pelayan itu berlalu setelah mengambil pesanannya itu. Asmadi memandang Laila semula. Hampir setahun dia tidak melihat Laila. Dia lihat Laila semakin cantik kini. “Kau apa khabar sekarang, Laila?” soal Asmadi lembut.
“Baik. Kau dengan Midah apa khabar?”
“Kami okay. Midah masih di tempat kerja sekarang. Sebab tu dia tak dapat datang. Dia desak jugak aku jumpa kau walaupun dia tak dapat ikut sama.  Lain kali kalau masanya sesuai dia pun nak jumpa kau. Rindu benar dia dengan kau.”
Laila mengangguk sambil hatinya menyambut salam yang dihulurkan oleh isteri Asmadi itu. Terbayang dia Hamidah yang kecil molek itu. Sewaktu di UM dahulu dia memang tidak pernah lekang dari sahabatnya itu. Tetapi kini setelah berkerja mereka tidak lagi selalu bertemu.
“Aku pun rindu dengan dia. Dia dah berisi ke belum?” soal Laila sedikit teruja.
Asmadi terus tergelak mendengar soalan itu. Sudah diagaknya soalan itu akan ditanyakan oleh Laila. “Belum ada rezeki kami, Laila. Kau doakanlah semoga aku cepat dapat anak. Teringin juga aku ni tapi belum ada rezeki lagi. Apa nak buat.” Asmadi menjawab tenang usai tawanya.
“Insya-Allah, aku akan doakan. Alah! Apa nak kecoh. Kau dengan Midah masih muda. Banyak masa lagi. Usaha tangga kejayaan, Madi.” sambut Laila sambil tersenyum kepada Asmadi.
Asmadi tergelak seketika. “Memang usaha tangga kejayaan. Hari-hari aku usaha sampai Midah pun dah naik muak tengok muka aku. Tapi belum ada rezeki. Takpelah, ada rezeki kami adalah nanti. Kau kalau ada masa datanglah ke rumah. Bolehlah kita borak-borak lama sikit. Rumah aku di Taman Universiti di Kelana Jaya. Bukannya jauh sangatpun sampai tak boleh datang langsung. Dari Perak ke Kedah boleh pergi takkan dari PJ ke Kelana Jaya tak boleh?”
“Insya-Allah, kalau ada kelapangan nanti aku datang. Kau tahulah aku ni, bukan senang nak keluar rumah. Balik aja kerja terus aja memerap kat rumah. Itu ajalah kerja aku.” Laila menjawab lembut lantas tersenyum kepada sahabatnya itu.
“Sesekali jalan-jalanlah. Apa salahnya. Bukannya apa, sesekali boleh juga kita release tension. Kaupun semenjak berkerja ni senyap aja. Ingatkan dah lupakan aku dengan Midah. Lama kitorang ni tertunggu-tunggu email kau.”
Laila hanya tersenyum. Silapnya juga kerana terlalu fokus kepada kerja sehingga dia mengabaikan perkara lain. Mujurlah baru-baru ini dia ada terbacakan email sahabat-sahabatnya ini yang rindu kepadanya. Kerana email itulah dia akhirnya mengajak untuk bertemu untuk bertukar cerita.
“Kau? Bila agak-agaknya nak menamatkan zaman solo ni?” tanya Asmadi mula berkisar soal Laila pula. Kali ini soal Laila pula yang mahu didengarinya. Siapa tahu hati Laila sudah terbuka? Asmadi tahu sudah lama Laila menyendiri semenjak kematian suami bertahun yang lalu. Banyak pengalaman pahit Laila semenjak mereka berkawan. Enam bulan selepas kematian suami emak kandung Laila pula menyusul menemui ILAHI. Tangis dan tawa Laila selama itu sering menjadi perhatiannya dan Hamidah.
“Aku belum ada calon lagi.” Itulah jawapan yang selalu Laila gunakan apabila ditanya mengenai itu. Bukan hanya Asmadi yang selalu bertanya tetapi abang-abang dan ayahnya juga risau apabila dia masih menyendiri hingga ke saat ini. Abangnya Arman selalu mencadangkan agar Laila berkenalan dengan mana-mana anggota tentera yang dikenalinya. Tetapi Laila menolak. Kalau boleh dia tidak mahu bersuamikan tentera lagi. Dia serik untuk melalui pengalaman yang sama.
“Belum ada calon? Banyak-banyak lelaki di KL ni kau tak berkenan satu pun? Kau yang terlalu memilih atau kau buat-buat tak nampak aja sesiapa yang ada di depan mata kau? Mustahillah takde yang nak memikat kau, Laila. Dah buta agaknya lelaki-lelaki bujang di KL ni.” Sindir Asmadi dengan senyuman meleret. Tidak begitu percaya dengan alasan Laila.
Laila hanya diam bersama sebuah senyuman yang amat hambar. Dia malas mahu menjawab jika soal itu yang ditanyakan Asmadi. Biarlah semuanya terus berada di hatinya. Tiada sesiapa yang akan mengerti apa yang pernah dan yang sedang dilaluinya.
“Laila, aku tahu kau masih teringatkan arwah. Tak baik macam tu, Laila. Dia dah lama pergi. Kau kenalah teruskan hidup. Jangan kerana dia, kau tutup ruang hidup kau begini. Patah tumbuh hilang berganti, Laila. Janganlah putus asa. Cubalah buka hati kau pada yang lain. Siapa tahu ada jodoh kau lepas ni?” pujuk Asmadi lembut.
“Aku tahu dia dah takde, Madi. Tapi hati aku ni degil tak mahu menerima yang lain. Banyak yang bermain dalam fikiran aku ni.” Laila berkata perlahan sambil menghela nafas resah. Apabila kisah lama itu disebut lagi dia akan resah.
“Ceritalah. Mana yang aku boleh tolong aku tolong,” ucap Asmadi ikhlas. Kasihan dia melihat Laila. Suatu masa dahulu dia dengan Hamidahlah yang sering menjadi saksi kepada air mata Laila setelah Laila kehilangan Arwah Nahij. Keperitan itu dia pelajari daripada Laila sehingga dia sendiri seakan mampu merasai kesakitan yang ditanggung oleh Laila. Hilang suami dan emak dalam waktu yang tidak jauh jaraknya memang menyakitkan. Apatah lagi seorang emaklah selalunya menjadi tempat mengadu bagi anak-anak. Mungkin kerana jiwa seorang ibu lebih mengerti perasaan anak-anak. Tetapi Laila kehilangan emak dalam keadaan dia masih bersedih akibat kehilangan suami.
“Memang ramai lelaki yang datang cuba nak memikat tapi semuanya datang kerana tahu aku ni balu. Semuanya kononnya nak menolong perempuan macam aku tapi dalam masa yang sama cuba nak mengambil kesempatan sebab aku ni kononnya sisa orang. Kononnya perihatin tetapi sebenarnya manusia bertopengkan syaitan. Cuba nak mengambil kesempatan pada keadaan aku. Janda macam aku ni pada mata orang lain tak ubah seperti perempuan yang terdesak kesunyian. Aku tak perlukan belas kasihan orang lain, Madi. Walaupun aku dah tak bersuami tapi aku masih mampu menyara makan minum untuk diri aku sendiri. Aku masih boleh berdikari. Aku tak perlukan lelaki dalam hidup aku kalau itu hanya buat aku lebih merana. Aku ok dengan keadaan aku sekarang. Kenapa? Ramai sangat lelaki yang susah hati dengan keadaan aku yang tak bersuami. Aku tak pernah ganggu mereka semua!”
Asmadi mengangguk perlahan mendengar apa yang Laila katakan itu. Dia tahu semenjak dahulu Laila bukan seorang perempuan yang mudah dikelek ke sana kemari oleh lelaki. Laila setia kepada Nahij. Walaupun Nahij sudah tiada kesetiaan Laila tidak pernah luntur. Tidak salah untuk setia. Setiap pasangan yang berkasih perlu mempertahankan kesetiaan mereka tetapi hakikatnya kini apa yang dipertahankan Laila sudah tidak mampu dikecapi lagi. Tidak mungkin akan dikecapi lagi kerana Nahij sudah kembali ke rahmatullah. Itulah yang membimbangkan Asmadi kerana dia tidak mahu Laila hidup dengan kenangan lamanya. Dia mahu Laila mencari kebahagiaan lain.
“Aku mungkin akan berpindah kerja nanti.”
“Kemana?” soal Asmadi pantas.
“Di KL ni juga tapi syarikat lain. Aku harap di sana fikiran orang-orang di dalamnya lebih terbuka,” jawab Laila perlahan.
“Kenapa dengan syarikat tempat kau berkerja sekarang? Ada masalah?” pantas Asmadi bertanya. Dari nada Laila tadi dia bagaikan dapat meneka ada yang tidak kena dengan tempat kerja Laila sekarang.
“Kat situ aku asyik kena ganggu dengan suami orang. Aku dah tak tahan lagi. Aku dah muak tengok muka lelaki tu setiap hari. Dia ingat aku ni perempuan murahan yang rindukan belaian seorang lelaki. Tak sedar diri dah beristeri asyik nak menggatal!” tanpa sedar Laila mencemuh. Dia sakit hati apabila terbayangkan Nazim. Teringat dia apa yang berlaku ketika di pantry pejabatnya minggu lalu. Semenjak itu dia seakan fobia apabila ternampak Nazim. Sebaik sahaja dia mengesan kehadiran lelaki itu dia akan melarikan diri.
“Apa dah jadi sebenarnya. Maksud aku, dia ganggu kau macamana?”
“Baru-baru dia aku terkurung dalam pantry pejabat dengan dia berdua sahaja. Cara dia tu memang menakutkan aku. Macam-macam dia cakap dengan aku. Nak tolong akulah konon. Nak tolong belai, nak tolong temankan aku.. Hi! Meluat betul aku dengar apa yang dia cakap tu. Nasib baiklah ada orang nampak dia tutup pintu pantry waktu tu. Kalau tak akupun tak tahu apa yang nak jadi. Kalau aku menunggu jugak kat situ aku tak tahulah apa akan jadi pada aku di masa depan, Madi. Silap-silap boleh gila aku jadinya!” ujar Laila penuh kegeraman tentang lelaki bernama Nazim itu. Bencinya melaut bagaikan tidak ada pasang surutnya.
“Ini dah kes bahaya ni, Laila. Kalau dia dah sampai buat macam tu kau kena laporkan pada majikan kau. Kalau majikan kau tak layan kau sendiri kena pergi laporkan pada polis.” Asmadi mula terkesan mendengar apa yang Laila katakan itu. Sebagai lelaki dia memang tahu ada jenis lelaki yang sukar mengawal nafsunya apabila ternampak perempuan. Lebih-lebih lagi perempuan secantik Laila. Sebagai teman dia bimbangkan keselamatan Laila. Apatah lagi dia tahu Laila hanya tinggal sendirian di rumah.
“Itulah.. Tapi bos aku dah bagi amaran pada dia supaya jangan dekat dengan aku lagi. Nasib baiklah aku dengan dia tu tak sama jabatan, Madi. Kalau tak aku pun tak tahu macamanalah aku nak hadap muka dia tu setiap hari.”
“Inilah dunia sebenarnya, Laila. Kau kena banyakkan bersabar. Sebenarnya kemana saja kau pergi kau takkan terlepas dari dugaan. Kuatkan hati kau. Jangan biarkan orang lain ambil kesempatan pada kau. Kita ada saluran undang-undang. Kalau dah tak boleh dikawal sampai membahayakan diri kau, kau kena laporkan. Siapapun kita, kita ada hak yang sama rata untuk hidup dalam negara ni.” Asmadi ikut berkata yang sama seperti yang diucapkan oleh teman-teman sepejabat Laila yang lain. 
 Laila mengangguk akur. Selama ini dia tidak pernah membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan kepadanya. Tetapi entah apalah malangnya dia selalu sahaja menjadi mangsa intaian mata-mata lelaki yang keranjang kepada perempuan. Memang sebelum ini ketika dia bertugas untuk salah sebuah bank di KL ini dia juga turut mengalami masalah yang sama. Cuma tidaklah seteruk Nazim lelaki itu. Kerana itulah dia merelakan diri untuk berkerja di tempat lain walaupun pihak majikannya yang lama itu ada membuat tawaran untuk mengambilnya berkerja secara tetap sebagai akauntan. Demi lelaki itu dia terpaksa menolak. Kini dia berdepan lagi dengan masalah yang sama. Malah lebih kronik! Kadang-kala mahu ke pejabatpun dia terasa malas apabila mengenangkan Nazim.
“Lelaki ni memang kadang-kadang pantang tengok yang berdahi licin berpipi mulus. Mulalah lupa anak bini kat rumah. Jangan layan semua tu. Kau buat hal kau je sudah. Nanti tak pasal-pasal kau kena ganyang pulak.”
“Simpang malaikat, Madi. Mintak jauhlah semua tu. Aku paling tak mahu suami orang. Kalau aku punya diambil orangpun aku marah takkanlah aku pulak yang nak ambil orang punya. Mintak jauhlah!” Sambut Laila pantas. Tidak ada dalam kamus hidupnya berkasih dengan hak orang lain.
“Tahu takpe. Susah-susah sangat biar aku kenalkan kau dengan kawan sepejabat aku nak? Ramai lagi yang masih solo dan yang masih bujang teruna. Siapa tahu kau berkenan dengan salah seorangnya. Bos akupun solo lagi. Oh ya! Cakap pasal bos aku, baru aku teringat. Bos aku namanya hampir sama dengan nama arwah suami kau, Laila.”
“Ha??” terus terlopong Laila mendengarnya.
“Nama dia Ahmad Nahij Lukman. Tampan bergaya bos aku tu..”
Laila terdiam. Tersayat pedih hatinya apabila nama Nahij kedengaran lagi. Sayu masih menghuni ruang hati kecilnya. Nama itu terlalu istimewa buat dirinya. Rupanya ada juga orang lain yang bernama serupa seperti itu.
So, berapa offer kau dapat kat tempat baru. Mesti masyuk ni?” Asmadi mengalihkan topik perbualan mereka kepada hal lain apabila terkesan perubahan di wajah sahabatnya itu. Terasa bersalah pula kerana mengungkit semula kisah lama Laila.
“Bolehlah. Lebih sikit dari tempat aku sekarang.”
“Lebih sikit ke lebih banyak? Gaji kau kat tempat sekarang ni mesti banyakkan? Akauntan macam kau ni setakat lima ribu sebulan ni celah gigi diorang je. Betul tak?” usik Asmadi lantas ketawa sendiri.
“Takdelah! Kau ingat gaji aku kat tempat aku sekarang ni banyak sangat ke? Aku pun masih baru, Madi. Orang baru macam aku ni takkanlah diorang nak bayar setinggi tu?” ujar Laila segera menolak telahan Asmadi. Memang benar gaji yang diterimanya sekarang tidaklah sebanyak yang diperkatakan Asmadi.
“Bukan soal baru atau lama. Soalnya beban kerja yang kau tanggung tu banyak, Laila. Kira duit orang ni bukannya mudah. Salah kira nanti kau yang kena. Gaji kenalah setimpal dengan kerja yang kau tanggung.” Asmadi membantah. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Laila yang mengatakan orang baru tidak seharusnya bergaji tinggi. Baginya bukan soal baru atau lama. Ada juga orang lama yang lembab dan malas. Masakan majikan harus membayar tinggi orang seperti itu.
“Buat masa ni apa yang diorang bayar aku terima aja. Takkan nak demand lebih-lebih pulak. Lagipun setakat ni aku rasa cukuplah dengan apa yang ada. Tapi itu tak bermakna aku selesa dengan apa yang ada sampai tak kisah berapa orang nak bayar aku. Aku berpindah kerja nipun salah satu sebabnya nakkan gaji yang lebih disamping nak rasa pengalaman di tempat lain,” terang Laila jujur.
“Syarikat apa yang kau nak kerja nanti?”
“UMBS Holding.”
“Oh! United Malayan Bumi Shipping Holding? HQnya dekat dengan office aku tu. Wow! Hebat kau Laila. Naik kapal belayar jelah kerja kau nanti. Bukan senang nak dapat kerja kat situ. Setahu aku syarikat tu lebih banyak berurusan dengan syarikat luar negara. Tahniah! Bangga aku dengan pencapaian kau sekarang.”
“Tuah aku agaknya, Madi. Terima kasih banyak-banyak. Aku hargai setiap peluang yang datang. Aku anggap ini rezeki sebab memang aku berangan-angan nak menimba pengalaman dengan syarikat besar yang banyak berurusan dengan syarikat luar Negara,” ujar Laila dengan rendah hati.
“Alah! Syarikat besar macam UMBS tu takkan bayar akuntan macam kau ciput je, ye tak? Mesti masyuk ni... kau aja yang tak nak mengaku. Kenapa kau takut aku pinjam duit kau bila aku pokai? Ah! Aku tak peduli. Bila aku pokai nanti aku cari kau.” Asmadi terus mengusik Laila sambil tersengih.
“Banyaklah kau...” Laila terus menjegilkan matanya kepada sahabatnya itu. Geram dia dengan ulah nakal Asmadi. Masih tidak berubah sahabatnya itu.
Asmadi ketawa seronok apabila melihat reaksi Laila. Rindu juga dia untuk bergurau senda dengan sahabatnya ini seperti masa lalu namun sebagai suami orang dia sedar antara dia dan Laila batasnya teramat kukuh di hadapan.
“Orang kedekut macam kau bila masa nak pokai, Madi. Aku bukannya tak tahu kau tu bertimbun duit dalam bank,” sindir Laila tidak mahu kalah.
Asmadi semakin seronok ketawa. Sudah lama tidak melihat Laila marah-marah. Antara Hamidah dan Laila kedua-duanya pernah menjadi sahabatnya. Namun akhirnya dia terpaksa mengaku yang hatinya telah terpaut kepada salah seorang daripada dua wanita itu iaitu Hamidah yang kecil molek itu.
“Aku simpan duit untuk masa depan. Dah ada isteri mana tahu esok lusa ada anak pulak. Sekarang aku dengan Midah rancang nak beli rumah sendiri.”
“Baguslah kalau macam tu. Senang kalau ada rumah sendiri ni. Nanti masa tua taklah kau pening-pening nak menyewa lagi bila kau dah tak larat nak kerja,” balas Laila menyokong baik rancangan Asmadi dan Hamidah itu.
Asmadi mengangguk menyetujui apa yang Laila katakan itu. “Sekurang-kurangnya suatu hari nanti kalau nasib Midah serupa macam kau hari ni, dia ada tempat nak berteduh. Kalau ditakdirkan kami ada anak rumah tu adalah untuk anak-anak aku. Ramai wanita yang hilang arah bila kematian suami sebab suami tak bersedia secukupnya untuk menghadapi keadaan tu,” ujar Asmadi agak perlahan.
Laila diam memikirkan apa yang dikatakan Asmadi. Beruntung Hamidah memiliki suami seperti Asmadi. Berfikiran jauh dengan segala kemungkinan yang tidak pernah mustahil. Lihat sahaja dirinya. Dia juga hilang arah apabila kematian suami. Namun bezanya dia dengan wanita-wanita di luar sana yang senasib dengannya, Laila memiliki wang pencen arwah suaminya yang diberikan kepada umi dan babah di kampung. Dia tahu umi dan babah lebih memerlukan wang itu berbanding dirinya. Malah sebenarnya mereka lebih berhak.
“Aku harap nasib Midah tak seperti aku. Kalau boleh aku nak tengok korang berdua hidup bahagia dengan anak-anak sampai akhir hayat. Hidup sendiri macam aku ni, sebenarnya menyedihkan. Aku hanya ada kenangan, bayang-bayang kisah silam. Tapi kenyataannya aku kesunyian,” luah Laila amat perlahan.
“Kau kena belajar lupakan dia, Laila. Tak salah ingat pada arwah tapi memuja cinta dia seolah-olah dia masih ada itu yang salah. Jodoh kau dah Tuhan tentukan dengan orang lain, bukan dia. Kau kena terima walau macamana susah sekalipun,” pujuk Asmadi bersungguh.
Laila mengangguk perlahan dalam menghela nafas perlahan. Iya! Dia tahu dia harus melupakan semuanya dan memulakan kisah yang baru. Nahij tidak boleh menghantui dirinya lagi.
Dalam pada itu mereka sedikit tidak menyedari ada mata yang ralik merenung ke arah mereka. Semenjak mula lagi mata itu asyik memandang mereka tanpa henti.
“Kata tak keluar dengan lelaki. Tapi dengan budak mentah tu boleh pulak!” degus lelaki itu sedikit sebal.

Mata Lukman terus memerhatikan Laila dan Asmadi. tidak sangka pula dia yang Laila mengenali Asmadi. Mudahlah kerjanya selepas ini kerana dia mengenali Asmadi sebagai kakitangannya. Kali ini dia akan mengorek rahsia Laila daripada Asmadi jika perlu. Tetapi buat masa ini dia tidak mahu menggunakan Asmadi kerana dia mahu mendekati Laila secara bersendirian tanpa bantuan sesiapa.
“You pandang siapa, Luk?” suara manja itu mengganggu apa yang sedang difikirkan Lukman. Dia pantas memandang gadis di sisinya itu. Sebuah senyuman hambar diukir.
“Takde siapa-siapa,” jawab Lukman perlahan sahaja.
Gadis itu tersenyum senang sambil meneruskan makan. Sementara Lukman kembali merenung Laila di hujung sana. Sakit hatinya! Dengan dirinya Laila banyak alasan tetapi dengan lelaki lain mudah pula.
‘Tunggulah, Laila. Kau akan jatuh juga ke tangan aku. Dengan aku kau jual mahal dengan lelaki lain kau boleh bergelak ketawa. Nanti kau!’ hati Lukman memasang dendam. Saat itu dia mahu segera pergi dari situ. Tidak sanggup lagi mahu melihat kemesraan Laila dengan lelaki lain!

Lukman menggepal penumbuknya demi menahan rasa geram yang teramat sangat. Tajam matanya memandang ke hadapan dengan rahang yang dikertap kuat. Bagaikan ada orang di hadapannya itu yang mahu ditumbuknya. Padahal dia hanya sendirian menikmati minum petang di kedai itu. Sms daripada Nazim sebentar tadi membuatkan moodnya berubah. Dia kecewa. Itu yang dirasainya setelah mendapat tahu tentang sesuatu melalui sms itu. Perlahan Lukman menghela nafas resah. Sekali lagi dia membuka dan ulang baca sms yang masuk ke telefonnya sebentar tadi.
‘Dia dah nak resign. Rugilah kau..’
Pendek sahaja sms itu tetapi Lukman cukup mengerti siapa yang dimaksudkan oleh Nazim. Sudah tentulah Siti Laila Huda. Wanita yang diimpikannya itu. Entah kenapa dia merasakan sms dari Nazim itu bagaikan momokan untuk dirinya. Dia terasa diejek-ejek oleh lelaki itu.
‘Macamana kau tahu? Dia resign sebab apa?’
Telefon bimbitnya itu diletakkan semula setelah membalas sms Nazim itu. Buat seketika dia hanya termanggu mengenangkan wanita itu. Selama ini dalam diam dia dan Nazim selalu menjadikan wanita itu topik cerita apabila bertemu. Lukman tahu tidak mudah untuk dia melupakan seraut wajah yang cukup jelita seperti itu. Dia juga sama seperti Nazim. Termimpi-mimpikan janda lawa itu!
Tidak lama kemudian sms yang dihantarnya kepada Nazim mula berbalas. Lukman segera membaca apa yang dikirimkan oleh Nazim kepadanya.
‘Aku tak tahu kenapa dia nk resign tapi satu opis dah tau dia dah bagi notice. Lagi susah lah kau nak tackle die lepas ni. Melopong lah kau nampaknya. Itulah.. Hari tu aku offer baik punye.. kau yang tolak. Sekarang gigit jarilah, kawan..’
Hampir sahaja Lukman mahu menghempas telefonnya itu. Ejekan demi ejekan Nazim semakin menyakitkan hatinya. Sudahlah sehingga kini dia masih berpeluang mendekati Laila, kini Nazim pula asyik mengejeknya. Hati Lukman terbakar sendiri. Terasa dirinya benar-benar tidak berguna! Tanpa menanti dia membalas sms tadi Nazim menghantar lagi sms kepada Lukman. Lukman tetap membacanya biarpun hatinya masih sakit diejek Nazim.
‘Masih ada masa lagi ni. Dia masih kat opis rasanya. Selalu dia balik lmbat. Pekerja rajin la katakan.. pergi la jumpa dia. Tapi jangan mention kat dia aku yang suruh kau jumpa dia. Kau buat-buat lah terserempak dengan dia. Kalau dia masih reject kau taulah aku macamana nak dapatkan dia untuk kau. Ok? Good luck, my freind!’
Baru kali ini Lukman mampu tersenyum membaca sms dari Nazim itu. Gembira bukan kepalang setelah mendapat sedikit dorongan dari Nazim dalam pada dia sedang diamuk oleh rasa hampa. Tanpa menunggu lagi Lukman segera pergi ke tempat yang dimaksudkan Nazim.
Di tempat kerja Nazim lif yang dinaiki Lukman berhenti di tingkat 14. Dengan debaran di dada yang bergendang hebat Lukman keluar dan terus menuju ke ruangan pejabat kontraktor Azam Urus Sdn Bhd. Kakitangan keselamatan langsung tidak bertanya mahupun menegah kehadirannya di situ kerana rata-rata mereka memang sering melihat Lukman di situ. Ada yang menyangka Lukman adalah pekerja di situ.
Lukman mengatur langkah perlahan ke dalam pejabat yang sudah mula dilanda kesunyian. Hanya tinggal beberapa pekerja yang masih menyiapkan tugas saat-saat akhir. Mata Lukman meligas mencari semula bilik Laila seperti mana yang diingatinya selama ini. Seingatnya laluan ke bilik Laila adalah laluan yang sama untuk ke bilik Nazim. Cuma sebelum sampai ke bilik Nazim dia akan melalui Jabatan Kewangan yang mana di jabatan itulah Laila selalu terperuk.
“Assalamualaikum..” sapa Lukman apabila ternampak Laila yang sedang sibuk mengemas mejanya. Mungkin sudah mahu pulang.
Laila menjawab perlahan sambil memandang ke arah pintu biliknya. Dia terpaku saat terpandangkan Lukman. Sekali lagi lelaki ini berada di hadapan biliknya.
“Encik Nazim dah balik,” ucap Laila pantas. Entah kenapa ketengangan yang dirasainya sebentar tadi sudah mula berkocak apabila lelaki itu hadir sekali lagi di hadapan matanya. Sebahagian hatinya amat berharap Lukman datang ke sini bukan kerana mencari dirinya.
“Saya datang cari awak bukannya dia,” kata Lukman lantas mendekati Laila di mejanya.
Kata-kata Lukman semakin memekatkan rasa tidak enak di hati Laila. “Cari saya untuk apa?” balas Laila sengaja buat-buat tidak faham. Melihat langkah Lukman semakin dekat dengannya, dadanya mula berdegup tidak sekata. Entah kenapa saat ini dia terasa seolah-olah sedang berhadapan dengan Nazim biarpun rupa dan gaya jauh berbeza. Orangnya juga tidak sama.
Lukman terdiam seketika. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia ke sini. Malah dia sebenarnya tidak ada mengaturkan apa-apa rancangan sebelum bertemu dengan Laila. Dia hanya mengikut kehendak hati yang ingin memandang semula seraut wajah lembut ini. Apabila sudah berhadapan begini Lukman kekeluan untuk mengatur bicara. Fikirannya kosong sama sekali!
“Boleh saya panggil Laila aja?” ucap Lukman lembut.
“Habis tu awak nak panggil saya apa pulak kalau bukan Laila?” jawab Laila sedikit meleret. Tingkah Lukman dirasakan sekadar membuang masanya sedangkan dia sudah mahu pulang.
“Maksud saya, saya tak selesa kalau bercik-cik dengan Laila..” balas Lukman pula.
“Saya takde suruh pun awak panggil saya Cik Laila. Awak yang suka begitu.” Laila tetap tidak memesrakan suaranya kepada lelaki di hadapannya itu.  
Tanpa menghiraukan kewujudan Lukman di hadapannya dia meneruskan kerjanya. Mejanya dikemaskan sepantas yang mungkin agar dapat menjauhkan diri dari lelaki ini. Laila sengaja buat tidak tahu kepada Lukman agar lelaki itu mengerti yang dia tidak menyenangi kehadiran lelaki itu di biliknya ini. Tetapi usahanya sia-sia. Lelaki itu masih berada di situ memerhatikannya membuatkan dia merasa tidak selesa.
“Awak nak apa dari saya ni?” soal Laila apabila melihat lelaki itu masih juga tidak memahami bahasa tubuh yang disampaikannya tadi. Dia mahu lelaki ini pergi jauh darinya!
“Laila, saya nak ajak Laila keluar dengan saya.” Lukman akhirnya memberanikan diri meluahkan hasrat yang terpendam sekian lama. Dia tahu dia harus nekad jika benar-benar ingin mengenali wanita ini memandangkan masa yang ada sudah tidak sebanyak mana.
Spontan segala perbuatan Laila terhenti. Sebuah keluhan keras terhela tanpa dapat ditahan lagi. “Saya rasa awak dah dengar jawapan saya sebelum nikan? Saya tak mahu ulang lagi jawapan yang sama, Encik Lukman,” degus Laila sedikit kebosanan.
“Jadi janganlah bagi jawapan yang sama lagi..” jawab Lukman pantas.
“Awak kawan rapat Nazimkan?” soal Laila serius.
“Er.. takdelah rapat sangat. Biasa je..”
“Saya tahu awak rapat dengan dia. Kalau dah selalu datang ke pejabat masakan tak rapat?” tempelak Laila enggan percaya dengan jawapan Lukman. Kalau muka ‘pecah pintu’ macam Nazim pun tidak boleh dipercayai apatah lagi yang ini! Maaf! Dia tidak ingin dekat dengan sesiapa yang ada kaitan dengan Nazim.
“Apa masalahnya kalau saya rapat dengan Nazim?”
“Masalahnya dia tu kaki perempuan! Dia tu selalu menjengkelkan saya dengan perangai dia miang tu. Dia suka ganggu saya di pejabat. Kalau awak jadi saya, awak rasa mudah ke untuk saya percayakan orang yang rapat dengan orang macam tu? Jadi bagi saya sepuluh alasan yang kukuh kenapa harus saya terima pelawaan orang yang susah saya nak percaya!” tekan Laila sedikit kasar.
Lukman meneguk liur kepahitan. “Nazim buat apa pada awak?”
Laila tersenyum sinis. “Tanyalah dia! Diakan kawan awak?”
“Saya tanya awak!”
“Beberapa hari yang lepas dia sengaja menutup pintu pantry waktu saya hanya seorang diri dalam tu. Kemudian bercakap macam orang miang. Kononnya nak temankan saya.. nak tolong janda yang sedang keseorangan macam saya ni. Walaupun dia tak pernah cakap tapi saya tahu niat dia apa sebab saya bukannya perempuan bodoh! Janda macam saya ni hanya sesuai jadi pemuas nafsu untuk lelaki macam dia! Jadi awak tolong jauhkan diri dari saya sebab saya tak berminat nak keluar dengan sesiapa buat masa ni terutamanya dia dan awak jugak!”
Lukman terpaku melihat ketegasan Laila. Langsung tidak memberi peluang kepadanya sedangkan dia tidak berniat begitu. Sedikit sebanyak hatinya sakit mengenangkan Nazim. Kerana Nazim peluangnya untuk mendekati Laila hancur berkecai!
“Jangan samakan saya dengan dia, Laila. Memang dia kawan saya tapi tak bermakna saya jugak berperangai sama macam dia. Saya tak pernah pandang rendah pada status awak, Laila. Saya tak seteruk itu!” tegas Lukman cuba mempertahankan dirinya.
“Maaf, saya tak berminat dengan pelawaan awak tu. Tolong pergi sekarang!”
“Laila, dengar dulu..” Lukman semakin mendekati Laila.
“Saya takkan ubah pendirian saya, Lukman!” celah Laila tanpa memberikan Lukman peluang.
“Kalau awak tak beri peluang macamana awak nak tahu saya ikhlas atau tidak?” pujuk Lukman kian mendayu. “Saya takkan sengaja nak memalukan muka membiarkan diri saya dimarahi macam ni kalau bukan sebab saya memang berniat baik pada awak. Lagipun apa untungnya saya menipu awak?”
“Janda macam saya memang menguntungkan lelaki macam awak dan Nazim kalau saya lemah kepada kata-kata yang boleh diukir secara percuma! Saya bukannya tak tahu betapa rendahnya maruah perempuan macam saya di mata Nazim. Saya jugak tahu apa yang Nazim buat pada setiap perempuan yang dia bawa keluar setiap hari. Bagi dia perempuan ni murah. Boleh dipakai percuma dan dicampak bila dah tak mahu! Saya tak rasa nilai diri saya ni jauh berbeza berbanding perempuan-perempuan yang pernah dia bawa. Saya pun masih tak bertemu dengan apa-apa alasan lain untuk Nazim hormatkan saya. Kalau dah perempuan lain pun dia boleh buat macam lampin pakai buang, apa bezanya dengan saya? Maaflah kalau disebabkan sikap dia begitu saya menganggap awak jugak tak jauh bezanya dari dia. Kalau tak takkanlah awak suka sangat berkawan dengan orang macam dia?” cemuh Laila tetap tidak memberikan dirinya peluang untuk mendengar kata-kata Lukman.
“Tak adil awak judge saya begitu, Laila.” bicara Lukman kian merendah saat itu. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia terasa ingin menangis kala ini. Tiba-tiba dia merasakan dunia ini tidak adil kepadanya. Mengapa apabila terbit secebis keikhlasan dia pula yang diketepikan seperti ini?
“Saya hanya menjaga diri saya dan maruah saya dari lelaki-lelaki yang saya tak kenal. Itu aja! Jawapan saya tetap tidak! Jadi tak perlulah awak membazir masa di sini lagi. Ramai lagi perempuan di luar sana yang sudi keluar dengan awak. Pergilah cari yang sesuai dengan awak!” ucap Laila tanpa mempedulikan perasaan Lukman yang tercalar dengan kata-katanya.
“Saya ikhlas, Laila. Saya memang sukakan awak semenjak dari kali pertama saya jumpa awak,” ucap Lukman semakin resah dengan reaksi Laila.
“Saya tak boleh! Maaf. Tolong tinggalkan saya sendiri.”
“Laila, tolong jangan kecewakan saya. Sekurang-kurangnya awak kena kenali siapa saya sebenarnya sebelum awak buat keputusan. Saya tak seteruk itu! Memang saya tahu Nazim suka mempermainkan perempuan tapi itu dia. Saya tak boleh terima hukuman yang dijatuhkan pada saya sedangkan dia yang buat salah. Itu tak adil untuk sata!” tekan Lukman cuba mempertahankan dirinya. Dia malu sendiri dengan pembohongan yang sudah diluahkan namun demi merebut hati Laila dia terpaksa melakukannya.
Adil? Laila seperti mahu tergelak apabila nama keadilan bermain di bibir Lukman. “Jangan dekati saya lagi, Lukman. Saya tak suka!” tekan Laila tetap tidak berganjak dari kemahuannya.
“Laila, saya sukakan awak semenjak dari kali pertama saya ternampak awak dulu. Saya ikhlas. Saya tak berniat nak mempermainkan awak macam yang awak anggap tu,” pujuk Lukman semakin lembut.
“Saya anggap awak dah tersalah orang. Jangan sia-siakan perasaan untuk orang yang tak tepat. Masih ada masa untuk awak berpatah balik,” jawab Laila sambil memandang Lukman di hadapannya itu. Dia sedar betapa sayunya pandangan lelaki itu kepadanya namun dia menganggap riak sebegitu amat mudah direka apabila perlu.
“Bukan saya yang buat pilihan itu. Awak tak boleh suruh saya berpatah balik seolah-olah semua tu di bawah kuasa saya. Saya tak minta semua ni berlaku pada saya. Apa yang dia buat pada semua perempuan tu saya tak suruh dan saya pun tak suka, Laila. Jangan kerana dia yang buat hal, saya yang dihukum. Atau paling kurang mungkin kita boleh berkawan supaya Laila kenal hati budi saya yang sebenarnya,” ucap Lukman bersungguh. Hipokritkah dia kala ini? Mungkin! Tetapi jika berlaku jujur akan membuatkan Laila semakin jauh darinya seribu kali pun dia akan membiarkan diri sehipokrit ini.
Laila ekadar menggeleng, tetap berdegil. Lukman tidak berhak meminta dia menukarkan pendiriannya setelah apa yang berlaku antara dia dan Nazim sebelum ini. Sebelum nasi berubah menjadi bubur biarlah dia menjauhkan diri daripada lelaki-lelaki ini.
Lukman menelan liurnya. Pahit perasaanya melihat keengganan Laila. Dia sudah mati akal, tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan untuk memujuk Laila. Perlahan semangatnya melurut bersama kekecewaan yang kian melaut. Perlahan Lukman berpaling bersama kekecewaan yang melaut. Tanpa kata dia melangkah untuk keluar dari bilik itu. Dalam diam hatinya menyumpah-nyumpah Nazim yang menyebabkan ini terjadi!
“Lukman..” panggil Laila sebelum sempat Lukman melepasi pintu biliknya.
Lukman berpaling lemah. Wajah Laila dipandang penuh mengharap agar Laila mengubah pendiriannya.
“Maafkan saya kalau kata-kata saya tadi ada menyakitkan hati awak. Saya doakan awak bertemu dengan seseorang yang sesuai dengan awak.” Laila melembutkan suaranya. Sesungguhnya tiada langsung niat dihatinya mahu bermusuh dengan sesiapa.
Lukman langsung tidak menjawab. Kata-kata Laila sedikit pun tidak mengurangkan kekecewaannya. Tanpa menanti lagi Lukman segera meninggalkan bilik itu tanpa menoleh lagi. Hari ini buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa betapa terhinanya dia setelah niat sucinya ditolak mentah-mentah. Lebih malang lagi dia ditolak oleh seorang wanita berstatus janda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan