Khamis, 29 Ogos 2013

7-8 MSM

7
“Kau gila???” desis Lukman agak kuat kepada lelaki itu.
“Alah! Relaxlah. Nak terkejut apanya?” ucap Nazim selamba. Rokok di tangannya disedut dalam-dalam sebelum dihembuskan sementara Lukman hanya memandang perbuatan lelaki itu dengan perasaan bercampur baur. Ada rasa gusar mengepung dadanya mendengar kata-kata Nazim. Hairan dia melihat Nazim boleh setenang itu sedangkan apa yang diucap oleh lelaki itu bukan perkara yang main-main.
“Kau kalau terkantoi buat kerja macam ni, makan tak habis kau tahu? Dengan aku sekali habis!” ucap Lukman serius.
“Alah! Aku dah biasa buat macam ni. Tak pernah kantoi! Kali ni kalau aku berjaya memang untung besarlah syarikat aku tu. Apa kau nak takut sangat?  Pandai makan pandai simpanlah, Luk. Dunia perniagaan memang macam ni. Kalau tak suap menyuap mana nak kenyang. Makan sendiri aja, lambatlah kaya.” Nazim menjawab masih tetap selamba tanpa sedikit pun merasa bersalah atau gentar dengan risiko yang ada. Ah! Dia bukannya bodoh. Semua itu sudah lama berada di benaknya selama ini. Tahulah dia mengelak semua itu.
Lukman mengeluh perlahan memandang Nazim. Tidak sangka juga dia. Nazim ini rupanya suka kepada aktiviti rasuah. Tapi dia? Dia tidak pernah buat begitu dan dia tahu dia tidak seberani Nazim. Dia hidup sepenuhnya di dalam kongkongan keluarga terutama sekali ayahnya. Tidak selamanya rahsianya boleh disimpan. Paling dia bimbang ayahnya dapat menghidu taktiknya itu. Apa yang harus dikatanya nanti?
“Apa fikir lagi. Barang baik punya aku bagi kau ni, Luk. Takkan tak nak? Ni budak memang tip top kalau bab melayan lelaki. Rugi kau nanti kalau tak merasa.” Melihat kebisuan Lukman, Nazim pantas melengkapkan hasutannya. Dia tahu sedikit lagi Lukman pasti berjaya ditawannya. Setahunya Lukman bukannya tidak gemarkan perempuan. Mereka sama sahaja!
“Pelacur ke?” soal Lukman pula. Kalau benar wanita itu pelacur dia akan menolak. Bimbang juga kalau virus HIV menular ke dalam dirinya kala dia sedang asyik melayan nafsu bersama wanita itu. Tidak terbayang dia jika dia dijangkiti penyakit yang tidak mempunyai ubat itu.
“Dia ni bukan jenis pelacur murahan tu. Ni yang high class punya. Orang biasa tak mampu nak pakai! Dato’-dato’ dengan tan sri-tan sri aja yang mampu. Jangan bimbanglah. Aku bawak khas untuk kau!” ujar Nazim meyakinkan Lukman.
“Kalau pelacur aku tak mahu!” putus Lukman pantas. High Class atau apa itu bukan jaminannya. Asalkan pelacur baginya sama sahaja!
“Ni bukan pelacur biasa..”
“Biasa atau tak, dia tetap pelacur! Buatnya dia ada HIV atau AIDS, mati aku! Kalau orang biasa bolehlah,” ujar Lukman tegas. Namun dia sendiri tidak tahu dia yakin dengan tidak dengan apa yang dimahukannya itu. Dia sendiri masih belum memutuskan mahu melakukan apa-apa untuk memenuhi segala permintaan Nazim tadi.
“Kau nak yang macamana? Bagitahu aku. Nanti aku dapatkan,” sambut Nazim pantas. Dia rela menjelajah seluruh benua untuk mencari wanita yang sesuai dengan selera Lukman asalkan projek yang dimahukannya itu berjaya di dapatinya. Alah! Dia percaya dia tidak perlu menjelajah ke mana-mana untuk mencarikan perempuan untuk memenuhi selera Lukman. Di Kuala Lumpur sendiri ramai wanita sanggup berbuat apa sahaja demi wang!
“Biarlah dulu. Aku tak beranilah. Kalau bapak aku tahu mampus aku, Zim! Ini bukan soal main-main,” ujar Lukman akhirnya. Dia tidak mahu kerana nikmat yang sedikit itu dia melepaskan segala-galanya yang dia miliki. Ayahnya jika sudah marah macam-macam boleh dilakukan oleh ayahnya itu kepadanya. Itu yang Lukman tahu.
“Kau ni pengecut betul! Namanya aja jantan! Buat apa kau nak explain kat bapak kau? Diam-diam sudahlah. Kau lobikan aja proposal aku kat dia pelan-pelan. Pujuk dia supaya pilih aku untuk tender tu. Dia takkan perasan punya. Kalau aku bagi kau duit senang orang nak trace. Susah nanti kalau kantoi. Kalau aku bagi kau perempuan, lepas pakai humban jauh-jauh, jangan bagi dia jumpa kita semula. Kira hapus buktilah ni. Takde bukti takde siapa boleh sabitkan kita,” ujar Nazim memberi tunjuk ajar kepada Lukman tentang selok belok dunia perniagaan busuknya!
Lukman terdiam bersama rasa serba salahnya. Kalau sebut perempuan memang dia mahu tapi bab yang melobi syarikat Nazim pada ayahnya itu, itu tidak tahu lagi. Dia masih kabur adakah dia berani melakukannya. Sehebat-hebat dirinya dalam soal ini dia belum lagi sampai ke tahap itu. Dan dia juga yakin dia tidak sepakar Nazim dalam soal itu.
“Aku tak tahulah, Zim. Aku ni cuma arkitek. Nak ke bapak aku tu dengar cakap aku? Lagipun kalau aku masuk campur dalam soal itu bapak aku akan perasan!” luah Lukman masih menebal keraguannya. Apa yang pastinya abangnya lebih berpengaruh kepada ayahnya itu berbanding dirinya yang masih dianggap semuda rebung dalam selok belok perniagaan.
Nazim mendecit perlahan. Susah juga mahu memujuk anak orang kaya ini! Getus hatinya bengang. “Kau cuba jelah dulu! Apa nak susah. Bukannya keluar duit pun! Cakap lembut-lembut aja! Kasi up syarikat aku sikit!” ujar Nazim sudah mula geram dengan keengganan Lukman.
Lukman menoleh perlahan kepada Nazim. “Tengoklah dulu. Nanti apa-apa aku beritahu kau, okay?” sambut Lukman akhirnya.
Nazim mengangguk pantas. “Tapi pasal ni rahsia kita berdua aja tau!”
“Aku tahulah..” sambut Lukman meleret.
Pertemuan malam itu berakhir dengan kesudahannya Lukman menjadi pemikir yang kusut tentang tawaran Nazim itu saat dia sedang memandu pulang ke rumahnya. Dia hanya perlu melobi kepada ayahnya mengenai proposal Nazim supaya ayahnya memilih proposal syarikat itu sebagai penerima tender. Sebagai ganjarannya dia diberikan seorang perempuan yang akan melayani kehendak lelakinya. Nampak mudah bak kata Nazim tapi hakikatnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gentarnya dia untuk melakukan semua itu.
Ini rasuah kecil-kecilan namanya.. bisik hati Lukman lalu dia tersenyum sendiri. Ah! Dia bukannya hairan sangat dengan duit ringgit Nazim. Dia sendiri memang banyak duit. 
Tapi jika soal perempuan? Susah! Apabila sudah melakukannya sekali, keinginan itu kian mengasak dirinya hari ke hari. Kalau dahulu sekadar suka-suka berkawan tetapi kini sudah ada seorang dua kaum Hawa yang sudah ‘dibaraikannya’ tanpa merasa menyesal. Setakat ini semuanya masih selamat tetapi dia tahu dia harus berhati-hati. Tidak selamanya langit akan cerah.
Tetapi dalam keadaan begini, tawaran Nazim itu bagaikan bantal yang disorongkan kepadanya saat-saat dia sedang mengantuk seperti ini. Sukar mahu dilepaskan dari fikirannya. Cumanya.. dalam keberanian yang tidak seberapa dia masih ada rasa takut yang menebal. Bimbang jika tertangkap oleh ayahnya. Bimbang jika dia terlalu bebas nanti dia akan mendapat penyakit kelamin. Dalam keinginan yang ada Lukman masih memikirkan natijahnya.
“Agaknya aku ni patutnya dah kena kahwin..” omel Lukman sendiri. Bukankah perkahwinan mencegah diri dari berbuat dosa besar itu?
Tetapi siapa pula yang akan dipilihnya untuk dijadikan isteri? Kriteria seperti mana yang dicarinya? Lukman sendiri masih tidak tahu wanita seperti apa yang dia berkenan untuk dijadikan isteri. Hakikatnya dia juga masih belum puas hidup bebas seperti ini. Berkahwin banyak tanggungjawab yang harus dipikulnya selain daripada kehendak lelakinya akan sentiasa dipenuhi. Sesudah berkahwin langkah kakinya akan sentiasa terbatas. Mahu berjumpa kawanpun susah. Itu belum soal anak lagi!
Ah! Lukman ngeri sendiri memikirkan itu. Tidak! Dia tidak suka hidup terkongkong. Tidak mungkin dia akan menamatkan zaman bujangnya dalam usia yang masih mentah seperti ini. Kerjayanya masih belum kukuh. Dia juga masih belum puas hidup bebas. Tetapi menerima tawaran Nazim itu juga dia masih bimbang. Bimbang akan ada natijah kemudian hari.
Ahhh!!! Lukman menjerit keras cuba menentang hasutan demi hasutan yang semakin menyesatkan imannya. Susah betul! Fikirnya. Menerima susah, tidak menerima juga susah. Dia kian keliru dengan kehendak diri sendiri. Lalu apa? Entahlah! Lukman sendiri tidak tahu. Tetapi jika sekadar perempuan murahan yang dipilih oleh Nazim, berbaloikah untuk dia mencelarkan kepercayaan ayahnya itu? Bukannya dia tidak tahu ayahnya memang ramai ‘mata-mata’ di KL ini. Kadang-kala orang yang tidak dikenalinya itu rupanya kenalan ayahnya.
Setelah puas dia berfikir akhirnya keputusan sudah didapati. Kehendak Nazim diturutkan namun dia tidak meminta sebarang ganjaran untuk usahanya itu. Memang terkilan hatinya namun dia lebih rela begini daripada susah kemudian nanti.

“Apasal pulak? Kau ni tolak tuah betullah!” gerutu Nazim masih tidak berpuas hati saat dihubungi Lukman pagi itu. Keputusan Lukman benar-benar menimbulkan rasa peliknya. Takkan Lukman tidak terliur dengan tawaran hebatnya?
“Aku tak beranilah. Kalau terkantoi habis aku. Kau tahulah.. bapak aku ni memang pantang kalau bab-bab macam ni,” jelas Lukman segera beralasan. Dia tahu keberaniannya masih tidak seberapa buat masa ini.
“Anak bapak betul kau ni, Luk!” kutuk Nazim selamba.
“Lain kalilah. Aku sibuk sekarang ni. Ada apa-apa berita aku bagitahu kau nanti.” Lukman memutuskan enggan melayan kutukan Nazim itu. Katalah apa sahaja. Dia sedia menerimanya. Sebab dia tahu kutukan Nazim kala ini tidak sedasyat kemarahan ayahnya nanti. Lukman tidak sanggup!
“Eh! Nantilah dulu. Rugi ni, Luk. Aku dah jumpa perempuan seorang untuk kau. Yang ni memang betul-betul hot ni, Luk. Cantik! Body solid macam model. Dia.. bla..bla.. bla..”
Lukman terdiam sahaja di hujung talian bersama keluhan yang terhela perlahan. Pujukan Nazim masih berterusan di telinganya. Namun satu pun tidak mampu difikirkannya saat itu. Fikirannya bercelaru dengan pertentangan antara desakan hati dan kewarasan akalnya.
“Aku tak boleh, Nazim. Aku tak berani buat macam tu.” Lemah sahaja jawapan Lukman. Menolak dalam keterpaksaan memang begitulah gayanya.
“Alah! Dengan si Mastura tu kau boleh pulak? Apasal kali ni kau tak mahu pulak?” degus Nazim tetap tidak berpuas hati.
“Mastura tu lain. Dia pandai simpan rahsia. Kalau perempuan sembarangan ni aku takut diorang bocorkan rahsia aku! Kalau ayah aku tahu apa yang aku buat selama ni, mati aku!” tukas Lukman tegas. Dia tahu ayahnya bukanlah seorang yang terbuka dalam hal seperti ini.
“Aku akan pastikan takde siapa yang tahu pasal ni. Aku janji!”
“Tak boleh! Aku tak mahu buat semua tu, Zim. Aku tak berani.” Lukman tetap dengan pendirian. Dia serik! Sebelum ini salah seorang gadis siswi yang pernah ditidurinya terpaksa dibayar harga yang cukup tinggi bagi mengelakkan rahsianya terbongkar. Mujurlah setelah disuap gadis itu tidak lagi mencarinya. 
“Suka hati kaulah! Tapi kalau kau ubah fikiran cepat-cepat bagitahu aku!”
Lukman sekadar mengiyakan sebelum mematikan perbulana mereka. Perlahan telefon bimbitnya disimpan di dalam laci meja kerjanya. Apa yang dibicarakan Nazim menghasilkan menungan panjang Lukman dalam pada rasa hatinya yang begini. Saat memikirkan diri yang sedikit terumbang ambing kala itu tiba-tiba dirinya ditusuk rasa sesal yang tidak berkesudahan. Jika dia tidak menyambut pelawaan Mastura dahulu mungkin keadaan tidak jadi seperti ini. Kata orang kalau sudah sekali melakukan dosa keji itu sememangnya susah untuk menghentikannya lain kali. Begitulah juga dia. Mungkin seminggu dua dia boleh bertahan tetapi kalau sudah berbulan begini, ditambah pula ada teman yang ‘baik’ seperti Nazim. Lukman tidak hairan kalau akhirnya dia kalah juga kepada tuntutan nafsunya.
Jadi apa yang harus dilakukan untuk menyekat kemahuan yang satu itu? Berkahwin? Tidak! Dia tidak mahu berkahwin buat masa ini. Dia masih belum bersedia untuk ke arah itu. Jadi, jika berkahwin juga bukan jalan keluarnya? Apa yang harus dilakukan? Bertemu Mastura lagi? Sampai bila dia harus begini?
Entahlah! Lukman benar-benar tidak tahu.

“Macamana kerja kat sini?” tanya lelaki itu lembut ketika usai waktu pejabat.
“Okay.” Sepatah sahaja jawapan Laila dalam kehambaran yang sengaja disuakan tanda malas mahu melayani lelaki itu. Mejanya dikemaskan tanpa mempedulikan kehadiran Nazim di dalam biliknya. Apa yang dia tahu dia mahu lekas pulang untuk mengelak dari terus menghadap lelaki ini.
“Okay je?”
“Habis tu Encik Nazim nak saya jawab apa selain itu? Dah namanya okay, okaylah! Takkan nak jawab KO pulak?” balas Laila semakin hambar.
“Apa kata kita keluar lepas ni? Saya nak belanja Laila makan malam. Saya teringin nak kenal dengan Laila dengan lebih dekat lagi. Bolehkan?” pancing Nazim dengan sengih kerangnya. Semenjak sebulan lalu baru kini dia berani mengutarakan ajakannya kerana selama dia memerhatikan wanita ini Laila bukan senang mahu bertepuk tampar dengan kakitangan lelaki.
Ajakan itu sempat membenihkan tawa Laila. Ucapan lelaki bernama Nazim membuatkan dia merasa begitu janggal sekali dengan niat sebenar lelaki itu. “Kenal saya untuk apa, Encik Nazim? Kisah lalu saya tak perlulah Encik Nazim ambil tahu. Tak penting pun!” ujar Laila sudah mula terhidu kelainan sikap lelaki itu.
“Alah.. apa salahnya kalau kita kenal dengan lebih rapat lagi. Saya pun teringin juga nak tahu kisah hidup Laila. Setahu saya Laila pernah berkahwin sebelum nikan?” ucap Nazim sambil menggesekkan kedua-dua telapak tangannya bagaikan sedang kemiangan. Wajah ayu jelita di hadapannya ini membuatkan dia terasa cukup sayang untuk melarikan bola mata lelakinya itu. Masalahnya wanita ini pula yang sering melarikan pandangannya. Liar sungguh!
Ucapan Nazim semakin membuahkan rasa tidak senang di hati wanita itu tiba-tiba. Untuk apa lelaki ini mahu tahu kisah perkahwinannya yang lalu? “Saya rasa tak perlulah. Saya pun tak sesenang itu untuk bercerita tentang kisah lalu saya kepada orang yang saya tak kenal, Encik Nazim. Lagipun takde apa yang menarik untuk diceritakan.” Sinis ucapan Laila saat itu. Rasanya cukuplah untuk membuatkan Nazim mengerti betapa terbatasnya mereka saat ini.
Nazim ketawa kecil sambil memandang Laila. Sikap pesimis Laila sudah dijangkanya. Laila tidak semesra wanita-wanita lain yang pernah didekatinya selama ini. Namun itu tidak bermakna dia sudah berpatah semangat. Semakin itu dia mahu menguji kemampuannya menawan wanita persis ini. Jika berjaya hebatlah dia!
“Tak semestinya kita kena bercerita tentang masa lalu Laila. Apa yang pasti saya nak kenal Laila dengan lebih dekat lagi. Lagipun kita ni rakan sekerja. Apa salahnya kalau saya ajak Laila keluar dengan saya.”
Kali ini giliran Laila pula ketawa. Namun terkandung kejengkelan dalam nada tawanya. Inilah yang dikatakan tidak sedar diri. Bukannya dia tidak tahu lelaki ini sudah berkeluarga.
“Takpelah, Encik Nazim. Saya belum terfikir nak keluar dengan Encik Nazim buat masa ni. Lain kali aja,” ujar Laila tetap menolak.
“Okay, saya pegang kata-kata Laila kali ni. Mungkin lain kali aja kita keluar bersama,”  ucap Nazim enggan memaksa lagi. Tiada guna dia memaksa kerana dia sedar bukannya hari ini sahaja yang dimilikinya. Esok-esok masih ada.
Laila menjeling sekilas pemergian lelaki itu dengan rasa meluat yang meluap-luap. Bimbang lelaki itu datang lagi ke biliknya Laila segera menyudahkan kerja yang sedang dilakukannya. Setelah itu bilik kecil itu digelapkan dan dia terus pulang.

Dalam jam selewat ini suasana rumah banglo itu sudah gelap menandakan kebanyakan penghuninya sudah beradu. Menyedari dia yang paling lewat pulang ke rumah Lukman sengaja mengatur langkah perlahan bagaikan pencuri. Bimbang benar kepulangannya akan mengejutkan sesiapa. Dia tahu jika ayahnya tahu dia pulang selewat ini pasti panjang sesi soal siasat nanti.
Namun sedang dia terkial-kial mendaki tangga tiba-tiba sahaja lampu ruang tangga dihidupkan seseorang. “Oppocot!!” Terkejut beruk Lukman saat itu. Seperti mahu gugur jantungnya saat terpandangkan satu lembaga berdiri di tangga yang paling atas sedang memandang kepadanya. Serta merta pucat wajahnya bagaikan tidak berdarah apabila menyedari dia sudah tertangkap oleh ayahnya.
“Baru balik ke? Awal lagi ni..” sergah Tan Sri Fatah agak sinis.
“Err.. a’ah. Luk jumpa kawan lama waktu study tadi, ayah. Itu yang lambat sikit.” Tergagap juga anak muda itu menjawab kepada ayanya itu. Wajah tegang ayahnya sudah dapat dibaca apa maknanya.
“Oh! Jumpa kawan lama..” ejek Tan Sri Fatah sinis kepada jawapan Lukman. Jawapan itu sudah sering didengarinya. “Kawan lelaki ke perempuan?” soal Tan Sri Fatah tidak lama kemudian.
“Kawan lelaki, ayah. Kenapa? Ayah ingat Luk ada buat perkara yang tak baik ke?” balas Lukman dalam pada dia cuba mengawal kegelabahannya. Hakikat sebenarnya biarlah hanya dia sahaja yang tahu. Mati hidup semula dia tidak akan membongkarkan rahsianya.
“Baik atau tidak itu kamu sendiri yang lebih tahu. Kalau ayah tanya sekalipun kamu takkan mengaku, betul tak? Mana ada orang nak mengaku berak tengah jalan,” perli Tan Sri Fatah sambil melangkahi tangga di hujung kakinya itu. Wajah anaknya itu masih tidak lepas dari pandangannnya. Dalam seramai-ramai anaknya dia tahu dia terpaksa lebih berhati-hati dengan anaknya yang ini. Sikap kaki perempuannya sudah menyerlah semenjak dari zaman sekolah lagi. Setiap alasan yang diberikan tidak boleh dipegang semudah itu.
“Ayah cakap apa ni? Luk tak faham,” ucap Lukman sambil menelan liurnya. Kegelabahannya masih tidak memudar sepenuhnya.
“Ayah tak suka kamu selalu sangat balik lambat, Luk. Ayah nak kamu sedar ada banyak lagi perkara yang lebih berfaedah boleh dibuat malam-malam begini selain dari menghabiskan masa dengan perempuan-perempuan di luar sana. Ayah tak mahu kamu tersalah jalan suatu hari nanti,” ucap Tan Sri Fatah saat dia berdiri dekat dengan anaknya itu.
“Ayah, Luk tak sejahat itu. Luk masih tahu halal haram. Ayah janganlah bimbang. Luk bukannya budak kecik,” jawab Lukman dalam pada dia menyembunyikan kebenaran yang tersimpan selama ini.
Sebab kamu bukan budak kecil ayah cakap begini, Luk. Kebanyakan orang yang buat salah ni tahu halal haram, Luk. Tapi tetap buat juga sebab apa? Sebab kalah pada tuntutan naluri. Desakan nafsu ni tak mengira siapa kita. Kalau kita tak berjaga-jaga tak mustahil kita akan kalah! Budak-budak takde nafsu kalau nak dibandingkan dengan orang dewasa!” tegas Tan Sri Fatah tidak cepat merasa lega dengan jawapan Lukman.
“Ayah janganlah bimbang. Luk cuma kawan aja dengan diorang tu. Bukannya ada apa pun. Luk belum terfikir nak pergi sampai ke situ buat masa ni, ayah. Luk masih waras,” ucap Lukman cuba meyakinkan ayahnya itu. Namun dalam diam dia sedar betapa hipokritnya dia kepada dirinya sendiri.
“Luk, selagi ayah mampu berkata-kata selagi itu ayah akan terus ingatkan anak-anak ayah. Kerana ini adalah tanggungjawab ayah. Ayah tak mahu kamu membuang masa dengan kerja yang tak mendatangkan faedah apatah lagi yang menyesatkan. Ayah mahu anak-anak ayah bahagia dunia dan akhirat dan ayah tak pernah ajar anak-anak ayah perkara semacam itu. Ayah tak mahu kamu tersalah langkah hari ini kerana pergaulan yang tidak ada batas. Kamu boleh sembunyikan segalanya dari pandangan mata ayah tapi Allah lebih tahu apa yang kamu buat di belakang ayah. Kamu jangan lupa, setiap zarah dosa yang kita lakukan akan dibalas kemudian hari. Azabnya nanti tak tertanggung, Lukman. Ayah tak mahu kamu tersesat akibat tersalah percaturan sedangkan kamu rasa apa yang kamu buat sekarang ni tak ada salahnya. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah jalan paling mudah untuk manusia melakukan dosa zina. Ayah tak mahu kamu sampai jadi begitu, Lukman. Ayah tak sanggup melaluinya.”
Bait-bait kata sang ayah membuatkan Lukman terdiam seketika. Entah kenapa dia tiba-tiba disapa rasa bersalah pula kerana membohongi ayahnya. Peringatan yang dihulurkan oleh sang ayah membuatkan dia merasa malu kepada dirinya sendiri. Dia sudah banyak berbuat dosa selama ini. Ditambah lagi dia berbohong pula kepada orang tuanya mengenai kegiatannya selama ini.
“Luk tahu tu, ayah.” Rendah sahaja jawapan Lukman.

“Pergilah naik. Dah pagi benar ni. Kamu pun kena ke pejabat pagi nanti,” ucap Tan Sri Fatah enggan meleteri anaknya lama-lama. Harapannya Lukman akan sedar mana yang baik dan mana yang tidak atas segala perbuatannya. Walaupun Lukman tidak mengakuinya tetapi sebagai ayah nalurinya ada mengatakan sebaliknya. Dia tahu ada yang tidak kena dengan anaknya ini.


8

“Laila..” panggilan itu menghentikan langkah Laila yang mahu ke tandas di hujung pejabatnya. Kepalanya dipalingkan untuk mencari si pemanggil. Bola matanya singgah seketika di wajah seorang lelaki sedang berjalan menghampirinya. Nafas sabar lantas dihela perlahan. Entah kenapa setiap kali berurusan dengan lelaki ini perasaannya sering bergolak hebat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tidak senangnya dia dengan lelaki seorang ini. Namun sayang, kerana mereka sepejabat sukar untuk dia mengelakkan diri dari Nazim.
“Ya, Encik Nazim. Ada apa yang boleh saya bantu?” soal Laila masih cuba berlembut. Namun jelas terhela kebosanan yanga tidak tertahan dalam nadanya. Muak dia melihat tampang lelaki miang di hadapannya ini.
“Banyak. Tapi sebelum tu saya nak tanya, malam ni awak ada buat apa-apa?” tanya Nazim bersama kuntuman senyum yang tersirat seribu makna. Wajah janda muda itu dipandang tanpa jemu. Semakin dipandang semakin manis pula rasanya. Geram rasa hatinya mahu mendampingi wanita muda yang sering jual mahal kepadanya itu.
Laila terdiam seketika. Pandangan lelaki awal empat puluhan itu dibalasnya dengan sebelah keningnya diangkat. Kenapa pula agendanya malam ini menjadi perhatian lelaki itu? Mahu menggatal lagi? Perlahan dia menggelengkan kepalanya. Bosan dengan makhluk di hadapannya ini!
“Kenapa Encik Nazim sibuk tanya tentang itu?” tidak mahu menjawab sebaliknya dia pula bertanya semula. Rasanya dia tidak perlu mengkhabarkan apa-apa kepada lelaki ini tentang perjalanan hidupnya baik di tempat kerja mahupun di rumah.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya. Kita makan malam bersama lepas tu kita pergi karaoke nak tak?” Tanpa segan silu lelaki bernama Nazim itu tersengih di hadapan Laila.
Tidak perlu menanti lama Laila segera menggeleng. “Oh, tidak!” ucapnya sedikit sinis.
“Saya tak berminatlah, Encik Nazim. Lagipun saya ada kerja nak buat malam ni. Saya memang tak biasa keluar malam-malam nak-nak lagi kalau berdua aja. Maaflah. Encik Nazim ajaklah orang lain,” jawab Laila pantas sahaja beralasan. Dia tidak bodoh. Agenda lelaki itu yang berjawatan sebagai pengurus projek di tempat dia berkerja ini.
Lelaki yang dikenalinya semenjak mula menjawat jawatan sebagai pembantu akauntan di sini memang seorang yang mata keranjang. Bukan hanya kata-kata orang yang membuatkan dia menganggap begitu tetapi kelakuan lelaki itu sendiri sudah membenarkan apa yang disangkanya.
“Sesekali kita keluar bersama takkan tak nak? Awak ni asyik memerap kat rumah aja tak bosan ke? Kita keluar release tension sekali sekal apa salahnya. Jomlah, Laila. Saya ikhlas ni.” Nazim berkata lembut masih cuba memujuk.
Dalam hati Laila mendongkol sendiri dalam hati. Kenapa perkataan ‘ikhlas’ itu mesti kedengaran sekali. Dah sinonim sangat bila nak memikat gunakan perkataan itu. “Takpelah, Encik Nazim. Lebih baik saya berehat aja kat rumah. Lagipun saya takut nanti isteri Encik Nazim serang saya pulak. Saya tak berani,” ucap Laila selamba. Sengaja dia menyebut tentang isteri lelaki itu agar Nazim ingat tentang statusnya sebagai suami orang.
“Hish! Siapa cakap dengan awak macam ni? Tak baik buat fitnah tentang isteri saya tau. Isteri saya tak macam tu. Lagipun kita bukan buat apapun. Setakat pergi karaoke aja. Takkan itu pun tak boleh? Kalau setakat keluar dengan kawan sekerja isteri saya langsung tak kisah. Betul!” bersungguh-sungguh Nazim mengayat. Masih tidak jelak untuk memujuk Laila biarpun ini bukanlah kali pertama ajakannya ditolak mentah-mentah.
“Laila saya ikhlas ni,” ucap Nazim lagi dengan sengihan yang melebar. Harapannya dengan jawapannya seperti itu Laila akan menerima pelawaannya. Sudah lama dia memandang. Tidak sanggup lagi dia memendam rasa untuk mendekati wanita muda ini.
Laila tersenyum sinis mendengar ucapan sinonim Nazim itu. “Saya tak naklah. Saya tak keluar dengan suami orang. Bahaya keluar dengan suami orang ni. Daripada macam tu lebih baik saya duduk rumah aja. Encik ajak ajalah orang lain,” kata Laila sejurus kemudian dia berpaling mahu meneruskan hajat untuk ke tandas.
“Laila, nanti dulu!” Nazim lebih pantas menghalang dengan mengalihkan kedudukan dengan berdiri di hadapan Laila. “Awak ni cepat aja nak perginya. Tak suka ke berbual dengan saya? Saya belum habis cakap lagi ni,” ucap Nazim lembut sambil tersengih.
“Hish! Ada apa lagi ni, Encik Nazim.. Saya nak ke tandas ni. Saya takde masa nak dengar ni semua. Kerja saya kat dalam pejabat tu berlambak lagi yang nak saya sudahkan. Jangan bazirkan masa saya untuk benda yang tak berfaedah macam ni!” gerutu Laila semakin tidak senang dengan kelakuan lelaki itu. Bukan sekali ini sahaja lelaki ini pernah mengajaknya keluar tetapi sudah acap kali. Namun setiap penolakannya tidak pernah membuatkan lelaki ini mengerti yang dia tidak berminat untuk menjalinkan hubungan dengan lelaki itu. Tak faham bahasa ke apa, dia ni? Karang aku cakap tamil, lagi dia tak tahu bahasa! Getus hati Laila geram.
“Alah! Awak ni macam anak daralah, Laila. Mahal sangat. Nak ajak keluar makan pun jual mahal. Sesekali apa salahnya. Duduk rumah ajapun buat apa? Boring!” Nazim berkata selamba. Kemudian dia tersengih cuba menyampaikan makna yang sedang tersirat di hati kecilnya.
Tersirap darah Laila mendengar apa yang diucapkan oleh lelaki itu. Berdesing juga telinganya dengan perlian lelaki itu. Pandangannya terasa mula mengecil kepada lelaki miang ini. Rasanya tiada gunanya dia bercakap baik-baik dengan lelaki seperti ini. Memang jenis manusia mintak dimaki ni!
“Saya dengar macam ada sedikit hinaan untuk status diri saya ni dalam kata-kata Encik Nazim. Anak dara? Siapa anak dara?” ucap Laila tajam.
“Eh! Mana ada. Awak ni sensitif sangatlah..” sambut Nazim sambil tertawa perlahan.
Tawa Nazim semakin membuatkan Laila merasa benar-benar terhina dengan gelagat lelaki itu yang tidak pernah mahu menghormati maruah perempuan sepertinya. Perangai Nazim hari ke hari semakin menjelekkan perasaannya. “Hey! Ada juga satu hari dalam sejarah makan mesin faks tengahari buta ni!” getus Laila agak perlahan.
“Saya tak dengar. Apa awak cakap?” soal Nazim sambil tersengih.
“Saya kata, sayalah orang yang paling bodoh dalam dunia ni kalau saya ikut lelaki kaki betina macam Encik Nazim ni. Tapi hakikatnya saya belum begitu bodoh untuk membiarkan diri saya dekat dengan lelaki yang meletakkan maruah perempuan di bawah alas kakinya macam yang Encik Nazim buat selama ini. Kalau saya janda ke balu ke, Encik Nazim ada masalah ke? Encik Nazim tak berhak untuk paksa saya atau hina saya supaya keluar dengan Encik Nazim semata-mata kerana saya ni janda. Hak saya untuk keluar atau pun tidak dengan mana-mana lelaki dalam dunia ni adalah mutlak. Encik Nazim jaga ajalah anak isteri encik di rumah tu baik-baik. Tak payah nak sibuk hal orang lain. Rasanya malamlah masa yang sesuai untuk beri perhatian pada keluarga. Bukannya mengajak perempuan lain ke bilik karaoke. Kalau Encik Nazim rasa saya ni senang diajak ke sana kemari hanya kerana saya pernah bersuami, rasanya encik ni dah tersalah orang. Mungkin orang yang encik sangka tu orang lain agaknya. Yang pasti saya takkan kemana-mana berdua sahaja dengan mana-mana suami orang terutama sekali awak, Encik Nazim!” bidas Laila berani. Geram dia dengan keceluparan mulut lelaki itu. Mentang-mentanglah dia begini maka senang sahaja lelaki ini mahu mengambil kesempatan kepadanya.
Sesaat itu wajah Nazim terus berubah melihat reaksi Laila. “Takdelah macam tu. Awak tak sunyi ke takde suami, Laila? Dengarnya dah lama awak ditinggalkan. Tak teringin ke nak mencari pengganti?” miang sekali nada lelaki itu menyoal. Bertambah meluat Laila dengan lagak lelaki tidak sedar diri itu.
“Pernah ke saya komplen pada Encik Nazim selama ni? Tak pernahkan? Jadi tak payahlah Encik Nazim nak sibuk saya jadi kaunselor pulak. Kalau saya sunyi sekalipun saya akan cari teman yang sesuai untuk menemankan saya. Bukannya suami orang. Tak payahlah nak menyibuk tentang hal peribadi saya!” ujar Laila semakin keras.
“Relaxlah.. jangan marah. Saya cuma tanya aja.”
“Tak payahlah tanya hal yang tak sepatutnya. Saya di sini untuk berkerja bukannya bercinta atau mencari suami. Hal peribadi saya bukan urusan awak untuk ambil tahu. Awak jaga rumahtangga awak dan saya jaga hidup saya. Adilkan? Kalau takde apa-apa lagi saya pergi dulu.” Laila dengan penuh keberanian menempelak lelaki itu. Puas hatinya!
Tidak menunggu lagi Laila terus berlalu. Lagi lama dia di situ memang semakin naik darjah kemarahannya nanti. Lelaki ini bukannya boleh dilayan selalu. Kalau dilayan semakin melalut lelaki itu jadinya. Selama 6 bulan dia berkerja di sini dia selalu dinasihati agar berhati-hati dengan lelaki bernama Nazim itu. Bagi Laila bukan sekadar Nazim tetapi dengan semua lelaki akan dilakukan perkara yang sama. Bukan Nazim sahaja yang pernah cuba untuk mengambil kesempatan dengannya tetapi ramai lagi..
“Huh! Sombong betul! Macamlah bagus sangat!” desis Nazim geram. Biarpun geram dia terus memandang lenggok wanita berbaju kurung itu berlalu.
Namun ketika dia berpaling untuk kembali ke pejabatnya dia tersentak apabila terpanah olehnya pandangan seorang wanita. Serta merta riak wajahnya berubah. Namun dia pura-pura tenang sambil melangkah ke arah wanita itu untuk kembali ke pejabatnya.
“Awak buat apa tadi, Nazim?” tanya wanita itu kepada Nazim saat lelaki itu melintasi tempat dia berdiri.
“Er.. takde apa-apa, puan.” Nazim menjawab dalam sedikit kegelabahan.
“Janganlah awak kacau dia. Cukup-cukuplah dengan yang lepas-lepas tu. Fokus pada kerja awak itu lebih baik daripada awak mengganggu perempuan-perempuan dalam pejabat ni. Laila tu staf saya. Saya tak suka awak ganggu dia,” wanita itu menegur selamba. Tidak tertahan rasa meluatnya melihat lelaki ini menganggu kakitangannya.
“Takdelah, puan. Saya cuma berbual aja dengan Laila. Saya sambung kerja dulu,” jawab Nazim sebelum terus berlalu meninggalkan wanita itu. Bimbang lagi banyak teguran yang akan didapatinya nanti.

Mata Nahij Lukman memandang ralik wanita bertudung yang baru sahaja melintasi bilik Pengurus Projek itu. Lama matanya menilik lenggok wanita itu sehingga lelaki di hadapannya itu tersenyum melihat gelagatnya.
“Hai.. sampai begitu sekali kau pandang. Kalau teleng kepala kau tu nanti aku jugak yang susah nak hantar kau ke hospital.” Tegur Nazim sambil menggeleng melihat telatah Lukman. Pantang nampak perempuan mulalah memandang sampai nak terlondeh biji mata dari soketnya.
“Saja pandang. Bukan luak pun!” sambut Lukman sambil mengukirkan sengihan gatal. Kedua-dua telapak tangannya digeseknya bagaikan ada sesuatu yang mahu dilakukannya saat itu. Buat seketika dia menoleh lagi mahu melihat lagi wanita itu.
“Ingatkan dah bertaubat, tak mahu main perempuan lagi?” perli Nazim sambil mengerling kawannya itu sekilas. Saja mahu melihat reaksi Lukman.
Lukman menggaru kepalanya seketika. Dia tahu dirinya sedang diperli Nazim.
“Susah nak pikat dia tu. Liar sikit.” Nazim terus bersuara tanpa disuruh oleh Lukman. Sedar dirinya. Bukan hanya Lukman yang sanggup tertoleh-toleh untuk melihat wanita itu sebaliknya dia juga lebih kurang sama sahaja. Balu bernama Siti Laila itu memang jelita.
“Liar? Kenapa pulak?” soal Lukman mula berminat. Dia memandang Nazim semula setelah bayangan wanita itu langsung tidak dapat dilihatnya lagi. Tetapi di dalam hati ada rasa tidak puas kerana dia suka melihat keayuan wanita yang berkulit putih mulus itu.
“Janda...” Nazim berkata sambil tersengih.
“Janda liar ke? Bukan sepatutnya lagi jinak?” ulas Lukman pula. Dia menoleh memandang lagi arah yang dilalui oleh wanita sebentar tadi. Cantik.. itulah yang dibisikkan oleh hati kecilnya itu. Status janda wanita itu merupakan satu bonus kepada kaum lelaki seperti mereka kerana selalunya wanita seperti itu mudah diperdayakan kerana dilihat terdesak mahu bersuami lagi. Itu setahunyalah!
“Ni janda lain. Kau tengok ajalah dia tu. Alim, pakai tudung. Nak ajak keluar sikit punya susah. Salah cakap aku disemburnya balik!” getus Nazim menjawab sambil mencebik sedikit. Geram kerana ulahnya mahu memikat tidak menjadi sebaliknya dia dibahasakan semula oleh Laila sebentar tadi. Masih terngiang-ngiang bahasa Laila yang kedengaran lembut tetapi kesat itu.
Lukman mengeleng perlahan. Pakai tudung atau tidak baginya tiada bezanya bagi wanita zaman ini. Ramai wanita yang bertudung sudah runtuh moralnya. Bukan semua wanita tidak bertudung itu tidak baik. “Dia budak baru ke? Tak pernah pun nampak sebelum ni?” tanya Lukman seolah berkenan.
“Baru tak baru sangatlah. Dah lebih lima bulan kat sini. Kau yang tak pernah nampak dia sebab kau dah lama tak datang sini. Lagipun dia selalu memerap dalam bilik dia. Dia akauntan kat sini,” jawab Nazim jujur.
Memang begitulah Laila selalunya. Hanya keluar bilik apabila perlu. Selalunya wanita itu akan duduk di mejanya menyudahkan kerja. Jarang melepak di meja kakitangan lain apabila bos tiada. Wanita itu memang komited orangnya.
“Kau dah try ke?” soal Lukman kepada teman di hadapannya itu.
“Tengah trylah ni. Dapat pegang sekali dua bagus juga. Tapi susah sikit. Dia tak mahu. Nampak aku aja terus cabut. Aku tahu ramai dah kapur fikiran dia cakap aku ni playboy. Lagipun bukan senang sebab dia berkerja bawah makcik kau. Bahaya aku kalau terkantoi,” ujar Nazim bersungguh.
Lukman tertawa seketika. Peduli apa dia dengan makciknya itu. “Hai! dengarnya kau ni banyak ilmu. Takkan dengan janda sisa orang macam tu ilmu kau tak jalan kot? Ilmu dia lagi power dari ilmu kau ke? Playboy amatur lagilah kiranya kau ni.” Lukman ketawa lagi saat melontarkan sindirannya kepada Nazim. Puas hatinya dapat memulangkan sindiran kepada Nazim semula. Cakap besar! Dengan janda pun tak lut, apa cerita? Ejek Lukman dalam hati.
Masam kelat wajah Nazim menahan pedih telinganya akibat disindir oleh Lukman. Semakin menebal rasa bengangnya kerana gagal mendapatkan seorang wanita yang sudah pernah berkahwin itu. Entah apa sialnya setiap kali dia mendekati wanita itu akan pergi menjauh. Laila memang lain dari yang lain. Dia tidak jinak seperti sesetengah wanita yang sukakan perhatian lelaki.
“Kau tak nak try? Cantik tu, Luk. Rugi besar kalau tak dapat.” Nazim mula membaling umpan kepada Lukman pula. Lukman lain. Kalau terkantoi mempermainkan Laila sekalipun tidak akan menjejaskan kerjayanya kerana Lukman berkerja di syarikat lain. Lainlah dia. Skandal di dalam pejabat merupakan satu kesalahan besar. Lagipun masakan makcik si Lukman ini akan membunuh Lukman jika Laila mengadu apa-apa?
“Budak mana tu? Anak datuk ke bukan?” soal Lukman seakan tidak mendengar kata-kata Nazim sebentar tadi.
“Budak Ipoh. Budak kampung je tu. Tapi setahu aku bapak dia pekebun biasa aja. Bukan anak loadlah pendek katanya,” ujar Nazim perlahan.
“Banyak juga kau tahu pasal dia ya? Kau dah pasang spy ke? Kau tahu ke kenapa dia bercerai? Jantan mana yang bodoh sangat ceraikan bini cantik macam tu?” soal Lukman sedikit kehairanan. Tanpa sedar banyak pula pertanyaannya tentang Laila.
“Laki dia dah mati bukannya bercerai. Itu aku dengar budak-budak opis ni yang bercerita. Siapa sanggup nak ceraikan bini cantik macam tu? Kalau aku tak keluar bilik dia aku kerjakan.” Nazim menjawab memperbetulkan kata-kata Lukman sambil tergelak sendiri. Walaupun tidak banyak yang diketahuinya tentang Laila namun dari cerita yang sedikit itulah yang membuatkan dia meroyan mahu memikat Laila.
Lukman juga ikut ketawa. Tahu benar perangai buaya darat Nazim. semua perempuan mahu dibawa ke bilik. Agaknya pokok kelapa yang baru menjalani pembedahan plastik jadi perempuan pun dia mahu tambat di katil.
“Oo... balulah ni. Kenapalah laki dia mati awal ya? Sayang bini cantik macam tu kena tinggal begitu saja,” olok Lukman lantas tertawa. Begitu juga Nazim. Gelihati pula dia dengan jenaka Lukman yang tidak berapa jenaka itu.
“Dengarnya bekas suaminya dulu tentera. Terhempas helikopter dengan dia-dia sekali jalan!” Nazim turut menambah olokan Lukman tadi. Langsung tidak sedar yang dia juga akan mati suatu hari nanti.
“Kasihan.. muda-muda lagi dah hilang suami,” ucap Lukman dengan simpati yang tidak seberapa. Dalam hatinya bersyukur juga. Mati suami wanita itu bermakna adalah jalan untuknya mendekati wanita secantik itu. “Kalau dah pakai tudung litup pun cantik kalau buka tudung entah macamanalah rupanya ya?” entah kenapa ayat itu meluncur keluar dari dua ulas bibir Lukman. Rasa kagum dan terujanya masih tidak mampu dihalau pergi apabila membayangkan wanita tinggi lampai itu.
Nazim terus ketawa mendengar kata-kata Lukman itu. “Gatal jugak kau ni ya? Ingatkan anak bapak lagi! Baguslah kalau laki dia mati cepat. Kau juga yang dapat hikmahnya. Kalau bini orang tak merasalah kau bodynya. Mantap tu, Luk. Silap-silap tak keluar bilik kau dibuatnya. Ramping.. aku tengok pun geram,” tokok Nazim mengiat Lukman pula.
“Kau ni.. tak sedar dah ada bini agaknya? Bagilah can pada aku pulak. Asyik kau aja!” tukas Lukman sambil menggeleng memandang teman di hadapannya itu.
“Alah! Bini lain yang sampingan ni lain. Kira snek waktu lapang aja ni. Buat penyedap sekali sekala apa salahnya,” tokok Nazim lantas ketawa bangga dengan sikap mata keranjangnya. Langsung tidak takut dosa. Ah! Nanti dah pencen barulah taubat! Kalau sempat pencenlah. Kalau nyawa yang pencen dulu, terima ajalah akibatnya.
Lukman hanya mampu menggeleng melihat lelaki itu. Mata keranjang Nazim mengalahkan dia yang muda. Tak kira siapa semuanya disapunya asalkan perempuan!
“Suka hati kaulah, Nazim. Jangan nanti kantoi makan tak habis kau dibuatnya,” ujar Lukman sambil tersenyum sinis memandang temannya itu.
“Pandai makan pandai simpanlah, bro. Dah makan buat apa nak kecoh.”
Lukman diam malas mahu menjawab. Jawpaan itu sudah acap kali disumbat ke lubang telinganya. Bukan setakat sudah kenyang, dah hadam pun! Malas mahu melayan Nazim automatik kepala Lukman terhala lagi ke arah tadi. Sekali lagi mahu mencuba nasib untuk melihat bayang wanita itu. Tanpa sedar kelakuannya diperhatikan Nazim yang sedang tercongok di hadapannya itu.
“Nak try ke?” soal Nazim agak perlahan.
Sepantas kilat Lukman menoleh semula kepada Nazim di hadapannya itu. “Apa dia?” tanyanya pantas.
“Nak try pikat dia ke? Dengan aku memang tak jalan. Tak tahulah kau yang muda belia ni. Mana tahu dengar kau anak Tan Sri dia nak pulak? Nak cuba? Aku boleh kenalkan dengan kau,” pelawa Nazim bersungguh.
Lukman terdiam. Cuba memikirkan kata-kata temannya itu. Tetapi setelah dia teringatkan kata-kata Nazim tadi yang wanita itu langsung tidak mahu melayan Nazim segera dia menggeleng. Bukannya apa. Jika dia mahu biarlah dia sendiri yang pergi kepada wanita itu. Nazim tidak perlu menjadi orang tengah baginya.
“Tak payahlah. Aku saja je tanya,” jawab Lukman akhirnya.
Berkerut kening Nazim melihat Lukman. “Tadi pandang macam nak tertanggal biji mata. Bila aku nak kenalkan tak mahu pulak! Fikir baik-baik! Kalau kau tak mahu aku mahu!” kata Nazim. Diakhir bicaranya dia ketawa pula.
Tawa Nazim disambut oleh oleh senyum kelat Lukman. Geram pula dia dengan ‘jantan tua’ di hadapannya ini. Gatal tak kena tempat! “Pikatlah kalau dia lalu tengok muka kau tu. Jangan nanti dia tak dapat kerja kau terbang entah ke mana dibuatnya,” ejek Lukman sinis.
“Perempuan ni mula-mula aja liat. Bila dah dapat sekali nak lagi! Tak percaya kau tengoklah nanti. Jangan dengki pulak kalau kau tengok aku berkepit dengan dia nanti,” ucap Nazim berbunyi bangga. Dia tahu dia memang pakar memikat dan memperdayakan perempuan. Lebih pakar berbanding Lukman yang masih dianggap sebagai playboy amatur.
Malas mahu melayan Nazim lagi Lukman segera meminta diri. Sewaktu berjalan menuju ke pintu utama ruangan pejabat itu liar matanya mencari di mana gerangan wanita itu berada. Matanya meligas ke kiri ke kanan untuk melihat lagi kejelitaan janda muda yang diperkatakan oleh Nazim sebentar tadi. Saat dia memandang ke sebuah bilik yang bercermin kaca, dadanya berdegup kencang apabila terpandang lagi wanita yang dilihatnya sebentar tadi sedang khusyuk melakukan kerjanya. Bertambah tidak keruan perasaan Lukman apabila tidak semena-mena wanita itu turut mengangkat kepala memandang kearahnya melalui cermin jernih itu.
Lukman terpana. Panahan mata sang wanita yang hitam bersinar tajam bagaikan menikam jauh ke lubuk hatinya. Renungan tajam itu berkilau indah sehingga ketenangan hatinya berubah serta merta. Sempat juga Lukman menilik nama di hadapan pintu bilik wanita itu. Nama wanita itu disebutnya sekali lalu di dalam hatinya.
“Siti Laila Huda..” Dalam senyuman Lukman berbisik sendirian.

Laila tergelak gelihati mendengar lelucon teman sejawatnya itu. Bukan hanya dia yang ketawa sebaliknya kesemua yang ada di situ juga ikut tergelak. Semuanya gara-gara gelaran ‘Nazim kayap buta’ yang disebutkan oleh Marlina.
“Kau ni jahat tahu tak!” getus Anisah kepada temannya itu setelah usai tawanya. Bahu Marlina ditamparnya geram. Hampir tersedak dia dengan jenaka yang dibawa Marlina tadi.
“Nasib dialah. Siapa suruh buat perangai gatal. Nasib aku panggil dia kayap buta. Kalau aku panggil dia jantan kemaruk betina, lagi teruk bunyinya.” Marlina membalas selamba. Semakin seronok mengutuk Nazim apabila teman-teman yang lain ikut melayan jenakanya.
“Aku memang meluat dengan dia tu. Walaupun aku ni lelaki tetapi aku ni taklah sekronik si kayap buta tu. Ee... memalukan betul! Kadang-kadang bila aku nampak dia tersengih-sengih pandang perempuan, aku rasa macam nak pergi tumbuk aja dia tu.” Irfan yang turut semeja dengan mereka ikut menyampuk menambah perasa bagi menghangatkan lagi topik yang sedang mereka perkatakan.
“Alah! Kau dengan Laila masih dikira baru kat sini. Dulu kalau kau tengok perangai dia tu lagi menjengkelkan. Aku rasa bukan setakat nak tumbuk rasa nak santau aja terus! Sekarang ni bila Tuan Haji Hamidon yang ambil alih tempat Datuk Bakar dia mula slow sikit. Kalau tak akak yang kerja tea lady tu pun nak dikacaunya. Aku sampai pernah terfikir nak simbah ‘anu’ dia tu dengan asid. Biar terkopak, tak boleh pakai terus!” Anisah pula menambah cerita sambil menyuap makanannya.
Berderai lagi tawa mereka di meja itu.
“Dia tu sekali kena debik ramai-ramai kat luar baru dia insaf. Perangai dah macam apa entah. Buat malu orang lelaki aja.” Sambut Irfan tanpa memandang mereka. Dia sekadar tunduk mengunyah nasinya sambil menceceh. Namun riak yang digambarkan oleh wajahnya seolah tidak tersukat lagi kebenciannya kepada lelaki bernama Nazim itu.
Laila sekadar mendengar sahaja sambil memandang teman-teman sepejabatnya itu. Sesekali dia tunduk menyuap makanannya sambil menadah telinga kepada perbualan mereka. Dia masih belum beroleh idea untuk menyampuk perbualan itu.
“Sekarang ni dah turn kau pulak, Laila. Jangan nanti kau pun berhenti kerja sebab dia dahlah. Banyak dah perempuan berhenti sebab tak tahan kena ganggu dengan dia.” Anisah berkata kepada Laila pula.
Laila memandang teman sepejabatnya itu sambil tersenyum kecil. “Insya-Allah, minta-minta tak begitu. Aku ni selagi boleh tahan aku tahan jelah. Lagipun bukan senang nak cari kerja sekarang. Kena fikir banyak kali sebelum buat apa-apa keputusan,” jawab Laila lembut. Soal Nazim memang malas mahu diperbesarkan. Selagi dia boleh bertahan maka dia akan bertahan. Jika tidak dia akan membuat aduan kepada orang atasan. Namun setakat ini Nazim memang tidak pernah melampaui batas. Tidak pernah menyentuhnya seperti yang diceritakan orang lain tentang sikap Nazim dahulu. Rasanya dia masih boleh bersabar lagi dengan kerenah lelaki itu.
“Tapi kalau kau dah tak tahan lebih baik kau berhenti aja, Laila. Daripada kau tak tahan lepas tu kau terjerumus ke dalam perangkap dia sebab sayangkan kerja. Nauzubillahiminzaliklah kalau kena dengan lelaki macam tu. Mintak jauhlah! Mandi dengan bahan peluntur klorok sekoyanpun belum tentu boleh hilang jijiknya. Eeei!! Geli..,” sambut Marlina pula.
“Betul.. betul.. aku sokong kata kau, Mar.” Irfan segera menyambut.
“Hey.. janganlah cakap macam tu. Seram aku dengar, Mar. Ada untung apa aku gadai body pada dia? Kalau dapat emas segunung puas juga hati tapi kalau setakat buat kotor badan aku aja baik tak payah. Aku ni belum terdesak sehingga macam tu sekali. Nak berhenti memang boleh tapi sekarang bukan senang nak dapat kerja. Aku kena cari kerja dulu sebelum berhenti. Korang janganlah doakan yang tidak-tidak. Geli aku bayangkan apa kau cakap tu Mar. Rasa nak terkeluar balik apa yang aku makan ni. Kalau kau dengar aku dah tergadai body kat dia tu maknanya aku dah gilalah tu. Bukan aku yang ada kat depan korang sekarang.” Laila menjawab agak tidak senang dengan kata-kata Marlina. Geli geleman tubuhnya saat membayangkan tubuhnya dijamah oleh lelaki bernama Nazim itu. Sudahlah tidak hensem, muka berminyaknya itu sudah cukup meloyakan untuk dia memandang lama-lama.
Mereka tergelak seketika. Namun dalam tawa itu sebenarnya masing-masing tidak suka dengan lelaki yang bernama Nazim itu. Masing-masing seronok mengutuk dan mengata lelaki itu.
“Kalau dia melebih sangat kau lapor aja pada Puan Maznah. Tuan Haji Hamidon pun bukan suka sangat dengan benda ni semua. Orang tua tu kan alim? Dia memang pantang kalau kita buat kerja yang bukan-bukan ni. Dulu Tuan Haji Hamidon pernah pecat eksekutif dia sebab rasuah. Tuan Haji tu bagus. Dia memang jaga semua staff termasuklah staff bawahan.” Anisah memberi cadangan yang dirasakan baik untuk Laila.
“Setakat ni takdelah dia melebih sangat bila dekat dengan aku. Biasa aja. Cuma aku ni aja yang rimas bila dia asyik nak beramah tamah dengan aku sedangkan aku ni banyak kerja nak buat. Belum pernah lagilah dia tu meraba ke atau pegang aku kat mana-mana. Tapi kalau dia buat macam tu takkanlah aku nak tergelak suka pulak. Mestilah aku akan bagi dia penampar sedas sebelum laporkan. Jangan bimbang, Nisa. Aku akan buat apa yang kau suruh tu.” Laila menjawab lembut. Akur dengan peringatan yang diberikan oleh teman-temannya itu.
“Kalau dia buat kau macam tu kau cakap dengan aku. Tak dapat kenakan kat sini aku panggil kawan aku bantai dia kat luar. Biar padan dengan muka dia!” ujar Irfan yang turut mahu menawarkan bantuan.
“Janganlah, Fan. Nanti kalau sampai jadi kes polis kau juga yang susah. Tak payahlah buat sampai macam tu sekali. Lagipun kalau setakat Nazim tu seorang kalau kena dengan abang aku celah gigi dia aja. Kalau aku nak kenakan dia dengan cara macam tu tak payah aku susah-susah bayar duit pasang kaki pukul. Abang aku Arman memang dah macam kaki pukul,” ujar Laila sambil memandang mereka bergilir.
“Abang kau kaki pukul ke, Laila?” soal Marlina sedikit terkejut.
“Bukanlah kaki pukul. Aku kata macam kaki pukul..” sambut Laila sambil tergelak seketika. Teringat dia kepada abangnya Arman yang sedang bertugas di Kem Bukit Jugra itu. Askar komando seperti abangnya sememangnya dilatih tahan dengan penderaan pihak musuh dan turut diajarkan ilmu mempertahankan diri agar tidak mudah kalah dengan musuh. Lagipun abangnya memang ada belajar ilmu persilatan semejak zaman sekolah dahulu juga masih aktif mempelajari ilmu itu sehingga kini.
“Orang macam tu kena ajar sikit baru dia tahu. Tak pun dia punya tut.. tu potong lepas tu buang dalam kolam buaya. Biar buaya makan.” Irfan semakin seronok membuat cadangan mengarutnya. Kemudian dia ketawa bersama yang lain.
“Entah-entah buaya pun tak nak makan anu dia. Buaya pun tak mahu sebab takut terkena kayap..” dalam tawanya Marlina masih sempat menambah lagi dengan lawaknya.
Kah.. kah.. kah.. kah.. tersembur-sembur mereka ketawa. Laila juga akhirnya ikut tergelak akibat tidak tahan dengan jenaka Marlina yang cukup pedas itu. Namun mereka segera mengawal tawa setelah terpandangkan pandangan mata ketua mereka Puan Maznah dari jauh. Namun seketika kemudian wanita awal lima puluhan itu tersenyum sahaja melihat keletah anak-anak buahnya.

Lama mata tua itu memandang Laila yang tunduk menyuap makanan. Acap kali dia memerhatikan wanita itu tanpa disedari oleh Laila. Buat seketika dia tersenyum sendiri. Senang sekali memerhatikan keperibadian wanita itu. Sikap wanita itu memang sederhana namun disenangi ramai. Pendek kata jika dia punya anak lelaki seusia itu pasti mahu dijodohkan dengan Laila. Pakej-pakej sebagai wanita yang ada pada balu muda itu cukup lengkap. Pasti bertuah lelaki yang dapat menyunting wanita itu kelak. Puan Maznah berfikir sendirian sambil memerhatikan gerak-geri kakitangan bawahannya itu.
Namun seketika kemudian dia melihat meja itu didekati seseorang. Mata Puan Maznah terus memerhatikan Nazim yang cuba menegur Laila di mejanya. Jelas sekali keterpaksaan Laila dalam pada melayan ulah lelaki itu. Riak tidak ikhlas jelas terpampang di wajah wanita muda itu ketika melayani gelagat miang Nazim. Mujur juga keadaan itu tidak berlangsung lama. Nazim bergegas pergi dari kawasan itu.
Seketika kemudian Puan Maznah menggeleng berberapa kali. Geramnya tidak terluah dengan perangai lelaki bernama Nazim itu. Sudah acap kali dia mengulangi perangai kaki perempuannya sehingga membuatkan ramai kakitangan wanita di tempat kerja mereka berhenti kerja. Walaupun sudah ditegur berkali-kali nampaknya Nazim langsung tidak gentar. Puan Maznah tahu kali ini dia tidak harus memandang sahaja. Dia harus bertindak sesuatu untuk melindungi kesemua pekerja wanitanya daripada bahaya lelaki bernama Nazim itu.
Namun tidak hairan juga jika dia melihat Nazim asyik menggangu Laila. Kerana pada mata Puan Maznah, Laila memang cantik orangnya. Ketika dia menemuduga wanita itu dahulu dia mendapat tahu yang Laila pernah bersuami. Sayang sekali dalam usia sebegitu muda dia sudah kehilangan suami. Laila setahunya masih menyendiri sehingga kini.
Kasihan dia.. keluh hati wanita tua itu.

Suatu petang..
Setelah semua kakitangan pulang ke rumah Laila terpaksa berhadapan lagi dengan Nazim. Kali ini bukan lagi secara tidak sengaja sebaliknya Nazim memang berniat mahu mendekati Laila di biliknya.
Lelaki itu segera masuk ke bilik Laila sambil merapatkan pintu yang sememangnya sentiasa dibiar terbuka luas oleh Laila selama ini. Perbuatan lelaki itu membuatkan Laila mula merasa tidak senang hati. Ada sedikit rasa gentar mula merantai dirinya melihat derap Nazim mendekati mejanya.
“Belum balik lagi?” tanya Nazim sambil tersengih.
“Encik Nazim nampak dengan jelaskan saya masih di sini? Jadi maknanya saya belum baliklah! Kalau saya dah balik siapa pulak yang ada depan awak sekarang?” Laila menjawab sedikit kasar saat hati mulai dikuasai oleh rasa bengangnya dengan lelaki ini. Tangannya pantas mengemas mejanya yang sedikit berselerak sebagai persediaan untuk pulang.
“Awak ni rajin betullah, Laila. Selalu balik lambat. Bertuah syarikat ada pekerja rajin macam awak,” puji Nazim masih tidak berputus asa mahu mendekati Laila. Wajah manis itu tidak lepas dari pandangannya.
“Saya rajin sebab saya nak cari rezeki yang halal, Encik Nazim. Lagipun kerja saya memang banyak. Kalau saya tak siapkan siapa pulak yang nak buat nanti?” balas Laila masih seperti tadi. Tiada kemesraan langsung dalam nadanya. Niatnya hanya satu! Biarlah Nazim mengerti yang dia benar-benar tidak suka dan lekaslah berhambus!
Namun dasar tidak reti bahasa, Nazim masih juga berada di situ. Geram betul dia! Laila mengerling sekilas lelaki itu yang berdiri di hadapan mejanya. Dia sudah mula buntu untuk menghentikan ganguan lelaki ini kepadanya. Haruskah dia melaporkan kepada pihak atasan?
“Lepas ni awak ke mana?”
“Balik!”
“Awal lagi nak balik rumah. Kita keluar ke mana-mana mahu?” ajak Nazim tanpa tahu rasa berputus asa kepada janda muda ini.
Laila menghela nafas bosan dengan lelaki di hadapannya itu. Terhenti segala kerja yang sedang dilakukannya akibat rasa marah yang mula menguasai hatinya yang sememangnya amat rapuh apabila berurusan dengan Nazim. “Encik Nazim ni tak faham atau buat-buat tak faham? Dah takde kerja lain ke?” luah Laila dalam bentakkan yang tertahan.
“Saya tak faham..” balas Nazim masih selamba.
“Saya rasa encik patut berhenti mengajak saya keluar sebab saya dah mula muak dengan semua ni. Saya tak mahu keluar kemana-mana dengan Encik Nazim. Rasanya dah beratus kali saya katakan benda yang sama. Saya dah tak tahu nak cakap macamana lagi supaya encik faham apa yang saya katakan tadi. Saya di sini nak berkerja. Encik tolonglah jangan ganggu saya. Saya hormat pada encik sebab encik Nazim ni berpangkat lebih tinggi dari saya dan lebih tua dari abang saya yang sulung. Jadi encik tolonglah jangan buat saya hilang rasa hormat pada encik. Saya bukan macam perempuan lain yang senang dibawa ke sana ke mari, Encik Nazim! Tolonglah jangan ganggu saya! Saya tak suka nak berkasar tapi janganlah suruh saya ulang benda ni banyak kali,” ujar Laila agak keras.
Bicara Laila membuatkan riak di wajah Nazim berubah sedikit saat itu. Kini dia akui Laila nampak sahaja lembut tetapi dia seorang yang tegas rupanya. Bukan mudah untuk menundukkan Laila pada kehebatan seorang lelaki. Wanita itu keras hati! Itulah penilaian Nazim pada mata lelakinya yang miang itu.
“Saya bukannya nak buat apa-apa pada awak, Laila. Saya cuma nak berkawan. Takkan itu pun salah?” balas Nazim lembut. Sengihan miang yang terpamir sedari tadi sudah menghilang. Terkilan juga dia dengan penolakan Laila kali ini. Bicara Laila yang pedas itu juga sudah merubah keyakinannya.
“Kalau kita tak berkawan sekali pun itu takkan mencacat celakan hidup Encik Nazim! Semenjak dulu pergaulan saya dengan lelaki memang amat terbatas. Apatah lagi dengan lelaki yang dah beristeri dan lelaki yang baru lima bulan lebih saya kenali di sini. Saya memang tak banyak kawan lelaki selama ni, Encik Nazim. Sebab saya rasa selesa macam ni. Saya tak mahu daripada hubungan yang dikatakan sahabat akhirnya timbul fitnah yang bukan-bukan. Lebih teruk lagi hubungan ni mendekatkan kita pada dosa zina. Lebih dasyat lagi hubungan Encik Nazim suami isteri berantakan kerana saya. Saya takut hukuman ALLAH di akhirat nanti. Saya rasa Encik Nazim juga patut berpendirian begitu. Sebab hidup atas dunia ni bukan nikmat hubungan seks saja yang harus dikejar sebaliknya kita harus mengejar kenikmatan abadi di akhirat nanti. Itukan matlamat kita hidup atas dunia ni? Mengejar reda Allah. Bukannya hidup bergelumang dosa dan maksiat. Ingatlah.. Allah melihat kita semua, Encik Nazim. Setiap dosa yang kita lakukan Allah akan balas dengan azab siksa yang tak tertanggung. Paling utama sekali.. semakin berusia kita semakin dekat kita dengan kematian. Encik Nazim tak takut mati ke? Tak takut azab Allah? Kalau sekadar nafsu yang bersifat ilusi itu pun tak mampu nak tahan macamana nak tahan azab Allah nanti? Encik Nazim dah ada isteri, kembalilah pada yang halal. Jangan asyik nak mengajak saya keluar. Saya bosan!” Laila dengan berani menempelak lelaki itu. Biarlah apa pun penerimaan Nazim. Ada dia kisah? Saat ini kesabarannya sudah menipis senipis kulit bawang.
Nazim terkumpal-kumpal tidak mampu menjawab apabila Laila sudah memulakan ceramah bab agamanya. Tebal juga mukanya apabila Laila dengan berani sekali menegurnya begitu. Selama ini tidak pernah ada mana-mana perempuan berani menceramahkan lubang telinganya ini tentang perihal berkaitan agama seperti itu. Bicara Laila yang lantang bagaikan sudah membuka lubang-lubang kejahilannya.
“Saya rasa lebih baik encik keluar sekarang sebelum saya laporkan pada pihak pengurusan.” Laila mengancam pula lelaki itu apabila dilihatnya Nazim sudah kalah berbicara.
“Awak ni sombong sangatlah, Laila. Setakat nak ajak keluar pun awak nak ceramah saya sampai macam ni,” desis Nazim kesal. Rasa malunya masih tidak mampu dikikis.
“Saya cuma ingatkan kalau-kalau encik tak ingat. Perbuatan encik ni tak elok. Saya tak suka dan saya rasa kalau isteri encik Nazim dapat tahu dia mesti sedih. Saya tak mahu ada perempuan lain menangis disebabkan saya. Kerana itu saya cakap begitu dengan encik tadi. Maaflah kalau saya dah berkasar. Rasanya lebih baik encik balik aja. Takut-takut nanti saya buka pula ceramah agama bab lain telinga encik tak tahan aja nanti. Saya tak berniat nak malukan encik tapi encik pun jagalah tingkah laku. Jangan sampai tingkah laku encik tu yang memalukan diri encik sendiri!” jawab Laila selamba.
Nazim mendegus tidak senang. Tanpa kata dia terus berpaling untuk berlalu.
“Tolong buka balik pintu tu!” ucap Laila tegas tatkala lelaki itu memegang tombol pintu. Tajam renungannya kepada Nazim yang memandangnya semula. Seketika kemudian lelaki itu berlalu dengan wajah mencuka.
Laila menghela nafas lega setelah lelaki itu meninggalkan biliknya. Lama dia memandang kelibat Nazim sehinggalah lelaki itu menghilang dari pandangan matanya. Bagaikan tidak percaya dia dengan keberanian yang ada untuk membahasakan lelaki itu. Mungkin sebenarnya dia sudah tidak tertahan dengan gangguan lelaki itu. Syukur kerana Allah sudah menyelamatkannya daripada lelaki itu.
Ah! Sebenarnya Laila sedar, dia jadi seberani ini kerana dia sedar pejabat ini tidak kosong sepenuhnya pada waktu seperti ini. Puan Maznah masih ada di biliknya seperti selalu. Wanita itu selalunya hanya akan pulang selepas selesai solat maghrib kerana mahu mengelakkan kesesakan jalan raya. Malahan di hadapan pintu utama pejabat dan bangunan ini ada beberapa pengawal keselamatan ditempatkan selama 24 jam untuk memantau keadaan. Di setiap pelusuk ruangan pejabat juga terdapat kamera cctv yang dipasang bagi mengelakkan kejadian curi di pejabat ini. Kerana itu Laila tidak bimbang apabila pulang lewat dari pejabat setiap hari. Saat ini dia amat berharap bedilan bicaranya sebentar tadi akan membuatkan Nazim berputus asa selama-lamanya. Kerana tiada sekelumit rasanya untuk melayan kemiangan lelaki itu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan