37
Selama dua minggu ini
rutin kehidupan Laila agak padat. Sebelum pergi ke pejabat dia akan memastikan
makanan Lukman akan siap dimasak olehnya. Penat? Adakah perkataan itu wujud di
dalam kamus tanggungjawab seorang wanita sepertinya?
“Laila..” satu suara menyapa lembut saat Laila sedang
menanti panggilannya dijawab di hujung sana.
Spontan Laila memanggung pandangannya. Apabila terlihat
kelibat Devy di matanya Laila terus melambaikan tangannya menggamit wanita itu
agar masuk. Tumpuannya masih kepada talian itu. Namun setelah kedengaran mesin
suara yang menjawab panggilannya dia terus meletakkan ganggang kembali ke
tempatnya.
“You call siapa tu?” tanya wanita India berkulit cerah
itu setelah masuk ke bilik Laila. Sebuah fail di atas meja Laila sambil dia
memandang lama wajah bosnya itu. Ada sedikit stress yang dilihatnya pada wajah
itu.
“Mr. Joker..”
“Pasal kena ke Singapore tu ya?” ucap Devy lantas duduk
di salah satu kerusi di hadapan meja Laila. Seminggu yang lalu mereka menerima
email dari Dubai yang menyatakan Laila diminta ke Singapura dalam tempoh
terdekat ini untuk mengambil alih tugas di sana untuk sementara waktu.
Laila sekadar mengangguk kepada soalan itu. “I tak boleh
pergi ke sana dalam keadaan I macam ni, Devy. I nak dia pertimbangkan semula
keputusan dia tu.”
“I tahu..” ucap Devy lembut. Siapa yang tidak faham
keadaan Laila sekarang. Masakan Laila mahu berpindah tugas sejauh itu dalam
keadaan dia sedang hamil dan berpisah pula dengan suami. Setahunya suami Laila
juga masih belum sembuh sepenuhnya. Masalahnya majikan mereka yang tidak faham
semua itu. “You dah call GM ke sebelum you call Mr, Joker?” soal Devy. Bukannya
apa.. dia bimbang bos mereka Puan NurAzlyn akan mengamuk jika mendapat tahu
Laila terus merujuk hal itu kepada bos besar di Dubai sebelum pergi kepadanya.
“Dia yang suruh I call Joker sendiri sebab dia dah tak
boleh nak slow talk dengan Joker. You
tahu ajalah Joker tu. Apa dia nak, dia mesti dapat. Puan Azlyn pun pening
dengan perangai dia. Semalam dia dah call Joker mintak tangguh tapi Joker tak
layan,” ucap Laila lemah sahaja. Dek kerana bengang hilang gelaran Mr yang
seharusnya digelarkan kepada lelaki Arab itu. Masalahnya panggilannya sebentar
tadi tidak berjawab. Mungkin lelaki itu masih belum masuk ke pejabat
memandangkan waktu di Dubai saat ini masih pagi. Waktu pejabat baru bermula.
“Joker tu takde bini sebab tu dia tak faham perasaan
orang lain. Bagi arahan ikut sedap tekak dia aja. Ingat orang ni semuanya
bujang macam dia agaknya.” Devy ikut meluahkan rasa tidak senangnya dengan
lelaki itu.
“Nasiblah dapat bos besar macam ni,” keluh Laila
perlahan. Semenjak dari mula dia mendapat tahu tentang itu dia sudah pening.
Ini Lukman belum tahu. Kalau dah tahu entah apalah reaksi suaminya itu.
“You sihat ke ni, Laila? You nampak macam tak bermaya.”
Devy berkata lembut sambil memandang Laila. Dia benar-benar bimbang keadaan
Laila kerana bosnya itu sedang hamil. Dua tiga hari ini Laila sering nampak
letih.
Laila segera menggeleng sambil tersenyum sedikit.
“Taklah. I sihat cuma I penat sikit,” jawab Laila bersungguh.
“Youkan mengandung? Kenapa tak rehat cukup-cukup? Nanti
kandungan you bermasalah,” nasihat wanita India itu lembut. Kasihan benar dia
melihat Laila. Dalam keadaan suami yang masih sakit, Laila diarahkan ke
Singapura pula. Dia sedar bukan sedikit beban yang ditanggung Laila saat ini.
“Nak rehat macamana Devy? Kalau I rehat nanti habis semua
kerja tak jadi,” balas Laila biasa. Merungut sampai terlondeh bibir pun takde
guna kalau dah ini resamnya. Lagipun jika nak dibandingkan dengan nasib wanita
lain di luar sana, dia lebih beruntung. Lukman bukanlah sakit sampai tak boleh
bangun langsung. Dalam soal kerja pula, kalau tidak sanggup menanggung beban
yang besar jangan menjawat jawatan tinggi. Jadi pekerja kilang lebih baik.
Cukup masa boleh punch card, balik!
“Husband you
masih MC lagi? Dia macamana sekarang?”
“Dia MC lagi. Tapi I nampak dia dah okay sikit dah. Dah
boleh hantar I pergi kerja. Makan pun dah makin berselera. Takdelah sampai tak
boleh bangun langsung,” ujar Laila sambil tersenyum kepada pembantunya itu.
“Nasib baiklah dia okay. Kasihan you. Dahlah tengah pregnant macam ni, suami pulak accident. Nak jaga diri lagi, suami
lagi, kerja di office pun berlambak. Bos pulak kepala batu. Memang memenatkan!”
rungutan itu diluahkan Devy tanpa disuruh.
“Itu dah tanggungjawab sebagai isteri dan pekerja, Devy.
Takkanlah nak tolak pulak. Sabar ajalah..” Laila membalas lembut sambil
menekan-nekan kalkulator di hadapannya. Mujurlah ada Devy yang rajin
bersembang. Jika tidak boleh gila dia jadinya dengan segala macam kerja yang
dibebankan kepadanya.
“Takut pulak rasanya bila fikir soal kahwin ni.
Macam-macam hal! Mak mertualah.. suamilah..anak lagi... semuanya membebankan,”
keluh Davy perlahan. Seketika kemudian dia menggeleng. Dia tidak mengerti
mengapa dalam perkahwinan ada banyak peraturan dan tanggungjawab. Itu
membuatkan dia berfikir banyak kali untuk menjalinkan hubungan serius dengan
mana-mana lelaki.
Laila mengalihkan perhatiannya setelah mendengar
kata-kata Devy itu.“Itu semua dipanggil tanggungjawab, Devy. Tanggungjawab dan
beban maksudnya tak sama. Beban ni sesuatu yang kita tak suka tapi tapi tetap
datang pada kita. Dalam agama islam perkahwinan ni sangat digalakkan kerana
perkahwinan sebenarnya salah satu cara untuk mempereratkan hubungan sesama
manusia. Memang susah nak menjaga ramai orang dalam suatu masa tapi Tuhan
menjadikan manusia bersama naluri yang memerlukan kasih sayang. Bukan sekadar
antara suami dan isteri tetapi di kalangan seluruh ahli keluarganya. Kalau you
takut berkahwin hari ni you kena bersedia untuk tua seorang diri suatu hari
nanti. Mana you nak?” Laila membalas lembut. Tanggapan yang salah itu cuba
diperbetulkan dengan penerangan yang paling mudah untuk difahami Devy. Bukan
sekali ini dia mendengar gadis ini memperlekehkan kebaikan perkahwinan.
“Tapi orang sekarang senang berkahwin senang bercerai.
Kadar penceraian sangat tinggi sekarang. Lebih baik hidup sendiri daripada
bersama dengan lelaki yang tak bertanggungjawab. Lebih teruk lagi ada
sesetengah lelaki tak tahu menghargai pengorbanan wanita yang terlalu banyak.
You lainlah.. suami you baik. Dia romantik dengan you.” Selamba sahaja Devy
membalas.
Tanpa dapat ditahan Laila ketawa perlahan. “Aik? Mana you
tahu suami I romantik? You pernah tanya dia ke?” usik Laila bersama sedikit senyuman.
“Lately I
nampak dia tunggu you waktu you habis kerja. Mana ada lagi suami zaman sekarang
yang nak jemput isteri sampai ke pintu pejabat? Paling pun duduk dalam kereta
aja. Tapi suami you sanggup datang sampai ke bilik you ni semata-mata nak
jemput you balik. Tak ke romantik namanya tu? Bagi I lelaki begitu dah pupus
zaman sekarang ni, Laila. Tapi suami you bukan setakat romantik tapi dia caring pasal you. I rasa itu adalah
ciri-ciri calon suami yang dimahukan oleh semua wanita dalam dunia ni. You
memang bertuah!” ulas Devy sambil tersenyum kepada Laila.
Laila terdiam seketika dalam pada dia mengukir segaris
senyuman mengiringi pujian itu. Begitukah penilaian Devy tentang suaminya?
Lukman persis seperti lelaki idaman wanita? Bukan sekadar kerana rupa paras
yang dimilikinya tetapi sikapnya juga dikagumi oleh wanita yang memandang.
Padanlah dia ramai teman wanita dahulu. Kalaulah Lukman dengar pujian Devy ni
agaknya kembang bertaman-tamanlah lelaki itu! Bab kena puji Lukman memang peka.
“You kena bagitahu I kat mana you jumpa dia dulu. I pun
nak ke sana jugak. Mana tahu terjumpa lagi seorang yang sama macam suami you?”
seloroh Devy lantas ketawa sendiri.
“I jumpa dia kat pejabat lama I. You pergilah sana kalau
you nak. Tapi I ingatkan you, kat sana ada seorang lelaki yang memang gemar
dengan anak-anak dara macam you ni. Jangan you tersangkut dengan dia sudahlah!
Dia tu dah kahwin,” jawab Laila selamba.
“Eee.. tak naklah!” getus gadis India itu pantas. Mereka
berdua tertawa serentak.
Buat seketika Laila tenang kerana dapat keluar dari
ketegangan bebanan kerja. Tetapi seketika kemudian tawa Laila memudar dengan
sendirinya apabila terkenangkan Lukman di rumah. Ingatannya melayang kepada
perbualan yang aneh di antara dirinya dan Lukman dahulu. Entah kenapa dia tidak
mengerti kenapa Lukman berkata begitu. Sayangkah lelaki itu kepadanya? Soalan
itu kerap bermain di benaknya semenjak kebelakangan ini.
“Perkahwinan ni kadang-kadang memang memeningkan, Devy. I
dengan Lukman pun selalu macam tu. Kadang-kadang kami bergaduh pasal benda yang
remeh temeh. Nasiblah Lukman tu jenis rajin memujuk kalau I marah. You tahu ajalah..
perempuan tengah bawak perut macam ni, memang macam-macam kerenah. I mengaku
kadang-kadang sesetengah perkara I buat I tak fikir perasaan dia. Bila I dah letih
balik kerja senang aja I jadikan suami tempat melepaskan geram,” akui Laila
jujur.
“Husband you jenis penyabar ya?”
“Boleh dikatakan begitu lah. Kalau I puji karang you kata
I saja nak up husband sendiri pulak.
Tapi honestly I sebenarnya tak pernah
jumpa lelaki macam dia. I lepaskan geram kat dia pun dia diam aja.” Laila
berkata dalam pada dia mengimbas semula segala perbuatannya kepada Lukman
dahulu. Kebelakangan ini dia sudah tidak mengulanginya lagi. Dah sayanglah tu
namanya..
“Jahat jugak you ni ya?”
“I pun tak tahu kenapa I buat masam tu. Tapi seriously, kalau I tak dapat sakitkan
hati dia memang tak seronok hidup I ni, Devy. I suka tengok muka dia bila dia
bengang dengan I. I pun tak tahulah ini pembawakan budak ke apa,” tambah Laila
sambil tergelak perlahan. Peristiwa ketika di hospital dahulu bermain lagi di
benaknya. Seronok betul bila dapat mengenakan Lukman.
“Macam-macamlah you ni, Laila. Okaylah.. borak pasal ni
sampai minggu depan pun takkan habis. I nak sambung buat kerja. You jangan
stress sangat. Nanti terberanak kat sini, I yang susah,” ucap Devy sambil
ketawa.
Laila hanya mengangguk sambil memandang Devy berlalu dari
biliknya. Wanita India itulah yang sering mengambil alih kerjanya ketika dia
bercuti selama ini. Tidak dinafikan hubungan mereka memang baik sebagai
pengurus dan penolong pengurus. Sepeninggalan Devy Laila terkenang lagi tentang
Lukman.
Dah makan ke dia? soal hati Laila sendirian.
Laila melepaskan keluhan perlahan. Semenjak kebelakangan
ini dia sering mengimbau semula segala tindak tanduk Lukman kepadanya.
Kadang-kala gelihati pun ada dengan gelagat lelaki itu. Apabila dimasakkan
bubur nasi dia mula mengomplen sudah muak dengan bubur nasi yang cair sahaja. Tidak
kenyang katanya.. Tetapi yang peliknya, setiap kali pulang dari pejabat bubur
nasi yang sudah masaknya pasti licin dibaham Lukman. Apabila ditanya dengan muka
selamba Lukman menjawab.. ‘nasiblah periuk tu keras. Kalau tak periuk tu pun
abang makan kalau dah lapar sangat!’.
Terkenangkan lelaki itu Laila akhirnya mengangkat
ganggang telefon. Nombor Lukman didailnya. Sekejap sahaja talian segera
berjawab. Bukan main ceria lagi suara Lukman menyapanya.
“Abang tengah buat apa tu?”
“Takde apa. Abang sebenarnya bosan sangat kat rumah ni.
Tak tahu nak buat apa. Abang dah kemas rumah tapi bosan tak hilang juga,”
rungut Lukman perlahan.
“Abang kemas rumah? Wah.. bagusnya? Tak payahlah Laila
kemas rumah lagi bila balik nanti. Bolehlah Laila rehat aja nantikan?” ujar
Laila ceria. Senang hatinya jika Lukman sedia membantu meringankan sedikit
beban kerjanya. Tidaklah balik nanti dia terkocoh-kocoh untuk memasak dan
mengemas rumah yang seharian ditinggalkannya.
“Laila tak perlu terkejar-kejar buat semua tu. Abang tahu
Laila penat. Sekarang ni abang tengok Laila nak berjalan pun payah. Dahlah
perut Laila tu boyot semacam aja. Kaki Laila tu dah makin teruk bengkaknya.”
Lukman membalas perlahan. Memang dia benar-benar kasihan melihat Laila yang
masih juga membuat kerja rumah setelah penat di pejabat sepanjang hari. Apa
yang mampu dibantu, dia ikut meringankan tulangnya bagi menyenangkan isterinya
itu. Untuk mengupah orang gaji, rasanya dia masih belum mampu.
Laila tersenyum sendiri mendengar kata-kata Lukman itu.
“Kalau abang kasihankan Laila, tak banyak yang Laila mintak dari abang. Lepas minum
cawan tu basuh atau sekurang-kurangnya bawa ke sinki. Jangan biarkan
merata-rata. Lepas buat air, packet 3 in 1 yang dah kosong tu buang dalam tong
sampah dan yang paling utama.. jangan tinggalkan G-string abang tu merata-rata,” ucap Laila selembut yang boleh.
“Abang tinggalkan seluar dalam merata-rata? Mana ada!”
gumam Lukman pantas. Tanpa dilihat Laila wajah lelaki di sana sudah mula
memerah ditegur tentang itu. Sensitif, beb! Lagi satu.. abang tak pernah pakai G-string, okay! Pandai-pandai je Laila
ni! getus hati Lukman sendiri.
“Cuba abang ingat semula, selalunya kat mana abang letak G-string abang lepas abang tanggalkan?”
soal Laila cuba memerah semula ingatan Lukman tentang tabiat kebiasaanya itu.
Lukman terdiam seketika. Permintaan Laila diturutinya
bersungguh-sungguh. Akhirnya dia menemukan jawapan yang dicarinya. Lukman
akhirnya tergelak sendiri apabila menyedari tabiat kurang sopannya itu.
“See? Orang
dewasa.. bila tanggalkan pakaian yang kotor, dia akan letakkan dalam bakul kain
kotor. Bukannya biarkan atas lantai macam tu aja untuk dikutip oleh orang lain.
Laila maksudkan semua jenis pakaian, termasuklah yang sotong-sotong tu sekali!”
ucap Laila sudah terasa menang apabila Lukman terdiam agak lama.
“Mana ada sotong. Yang ada sotong Laila, bukan abang!”
tukas Lukman bersahaja sengaja mahu mengenakan Laila semula.
“Apa-apalah! Laila serius ni!” rengus Laila geram.
“Abang lupa..”
“Lain kali jangan buat lagi.”
“Okey, sayang..” sambut Lukman mendayu.
Terkesima Laila dibuatnya dengan panggilan semendayu itu.
Wajahnya mula terasa hangat. Namun dia segera mencari idea untuk menutup
reaksinya. Dalam riak hati yang berbunga indah. Bukannya dia tidak pernah
mendengar Lukman memanggilnya sayang tetapi kali ini lain macam pula rasanya.
Macam terlebih romantik pula.
“Kalau abang bosan pergilah jalan-jalan. Keluar ambil
angin ke...” Laila segera mengalihkan topik.
“Keluar jalan-jalan? Malaslah! Keluar sorang-sorang abang
rasa macam orang bodoh pulak.” Lukman pantas menolak cadangan itu. Kalau dia
mahu awal-awal lagi dia sudah melakukannya. Tetapi saat ini apa yang sangat
dimahukannya adalah kehadiran Laila untuk mengusir kesepiannya.
“Kalau macam tu abang duduk ajalah di rumah. Tengok tv.”
“Abang sebenarnya...” Lukman terdiam tidak jadi
meneruskan bicara. ‘Abang sebenarnya rindukan Laila.’ bait-bait itu hanya
terdaya diseru oleh suara hatinya. Entah kenapa berat benar mahu meluahkan
rasa.
Laila terus menanti Lukman menghabiskan kata tetapi
lelaki itu teragak-agak pula. Bosan pula dia dengan kebisuan lelaki itu. “Apa
yang abang nak cakap ni?” soal Laila tidak sabar.
“Err.. takde apalah. Abang dah terlupa nak cakap apa
tadi,” jawab Lukman sedikit hambar. Bilalah keberanian itu akan tiba untuk dia
meluahkan cintanya? Kalau dahulu dia cukup berani menabur ayat-ayat manis
dengan wanita, kenapa sekarang dengan Laila dia jadi penakut pula? Lukman
sendiri tidak mengerti.
“Kalau dah takde apa nak buat berehat ajalah kat rumah
tu. Tengok tv ke, tidur ke, Tak payah fikir banyak,” ujar Laila mudah.
“Yalah. Nanti petang abang ambil Laila ya?”
“Yalah..”
‘I
love you, sayang..’ sekali
lagi luahan itu hanya bergema dalam hatinya. Rontaan hatinya tidak mampu
menandingi rasa takutnya sekiranya Laila menolak isi hatinya.
Setelah tiada apa lagi yang mahu diperkatakan Laila
segera memutuskan talian. Tetapi setelah itu dia termenung panjang. Lukman yang
ada di hadapannya hari ini tidaklah seburuk dahulu. Suaminya itu sudah banyak
berubah. Namun masih ada yang tidak kena dirasakannya. Dia masih ingat, Lukman
hanya pernah memanggilnya saya berkali-kali. Tetapi tidak pernah mengucapkan
kata-kata sayang kepadanya. Melainkan ketika dia hayal di hospital dahulu. Kini
dia mula keliru sendiri. Entahkan benar Lukman sudah berubah. Atau pun ini
sekadar jerat untuk mengenakannya.
Tetapi jika difikirkan semula, apa pula gunanya Lukman
mahu memperdayakannya? Entahlah! Laila tidak tahu bagaimana untuk memastikannya.
Dia sungguh-sungguh keliru dengan pendirian lelaki itu.
“Marajuk!” usik Lukman cuba menarik perhatian wanita itu kepadanya. Sudah setengah
jam Laila mogok suara dengannya akibat marah digelar ‘mak cik boyot’ ketika di
dalam kereta sebentar tadi.
Laila sekadar menjeling lelaki itu. Ingat kelakarlah tu..
malas nak layan! Bentak hatinya. Dia berpaling ke arah kabinet tanpa
mempedulikan lelaki itu. Pintu kabinet dibuka sambil matanya memandang
barang-barang dapur yang masih bersisa di dalam kebinet itu. Fikirannya ligat
mencari idea apa yang harus dimasak untuk makan malam mereka.
“Nak masak apa malam ni?” soal Lukman dari belakang.
Ruang dalam kabinet itu ikut diperhatikannya.
“Tak tahu. Laila takde idea nak masak apa. Laila
sebenarnya penat sangat ni!” Laila mengeluh perlahan.
“Tak payah masaklah malam ni. Kita makan kat luar,” usul
Lukman mudah.
“Makan kat luar? Laila dah tak larat nak keluar lagi,”
keluh Laila kebosanan.
“Tak payah
masaklah. Kita makan luar aja. Pergilah siap. Lambat kita pergi, lambat kita
sampai sana. Lambat pulak anak-anak kita ni makan. Cepat! Baby papa dah ready
dengan sudu dan garfu dah tu,” pujuk Lukman sambil menarik tangan isterinya
agar meninggalkan kawasan dapur itu.
Laila tidak terdaya untuk membantah tatkala dirinya terus
diheret Lukman keluar dari kawasan dapur itu. Longlai sahaja langkahnya kerana
dia sebenarnya memang sedang keletihan dan malas! Dia hanya mahu
bermalas-malasan di rumah, itulah impiannya saat ini.
Lukman membawa Laila ke sebuah restoran melayu di Kampung
Kerinchi. Laila sekadar memesan nasi goreng kampung. Lukman pula tidak pernah
lekang dengan tomyam pedasnya. Semenjak dari dalam kereta sehinggalah makanan
di hidangkan di atas meja Lukman melihat Laila asyik menguap sahaja.
“Banyak kerja ke hari ni?” soal Lukman simpati melihat
garis kelesuan yang masih tidak berganjak dari wajah isterinya itu.
“Manalah pernah tak banyak kerja semenjak dari hari
pertama Laila kerja kat situ. Hari-hari sama je!” balas Laila agak lemah. Nasi
goreng di pinggannya itu terasa agak tawar dan terlalu pedas namun dek kerana
sudah kelaparan disuapnya juga ke mulut.
“Esok ada program apa-apa?” soal Lukman agak mesra. Esok
Sabtu bermakna Laila tidak ke pejabat.
“Takde. Kenapa?” balas Laila sambil pandangannya dialihkan
kepada suaminya itu. Lukman mahu mengajak dia berjalan-jalan ke?
“Takde apa-apa. Saja je tanya. Manalah tahu Laila ada
keinginan nak keluar ke mana-mana esok. Boleh abang bawakkan,” ucap Lukman
sambil terus menyudu kuah tomyam ke pinggannya.
“Taknaklah. Laila letih sangat minggu ni. Laila nak
berehat aja di rumah,” jawab Laila kembali fokus kepada pinggan nasinya. Minggu
ini dia bagaikan tidak sabar mahu menunggu hari Sabtu. Sehari-hari ini dia
berperang dengan keletihan dan kemalasan saat berkerja. Mulalah dia terasa nak
memohon cuti mengandung pula. Cuti bersalin memang sedia ada dalam
undang-undang buruh tetapi cuti mengandung belum ada lagi. melainkan jika
wanita itu ada masalah kesihatan. Agak-agak bosnya yang berkepala batu itu mahu
ke meluluskan jika dia memohon cuti mengandung dengan alasan dia malas nak
bekerja? Bolehlah agaknya. Dengan syarat dia akan bercuti sampai bila-bila. Tak
payah datang kerja terus lepas tu..
“Laila dah decide
nak bersalin di mana nanti?” tanya Lukman meneruskan perbualan mereka. Rasanya
inilah masa yang sesuai untuk dia berbincang dengan Laila tentang itu.
“Laila belum fikir lagi pasal tu. Abang rasa macamana?”
Laila mengembalikan semula soalan itu kepada Lukman. Seharusnya mereka sudah
membuat keputusan tentang itu awal-awal lagi.
Lukman tersenyum dalam hati. Apabila Laila bertanyakan
pendapatnya dia merasakan dirinya benar-benar telah diangkat sebagai seorang
suami. Satu pembaharuan yang bagus! “Abang tak tahu pasal ni semua. Tapi kalau
Laila tanya pendapat abang, kalau boleh abang nak Laila bersalin di KL aja,”
ucap Lukman.
“Dan suruh mak abang jaga Laila waktu tengah berpantang
nanti?” sambung Laila sedikit jengkel. Meremang bulu romanya membayangkan emak
Lukman yang garang itu menjaganya ketika dia berpantang nanti. Kalau tidak gila..
mungkin meroyan pula dia nanti.
“Apa salahnya kalau mama yang jaga?” duga Lukman mesra.
“Salahlah kot sebab Laila bukannya menantu kegemaran mama
abang!”
“Tak baik cakap macam tu, Laila. Janganlah panggil mama
macam tu. Mama abang mama Laila jugak!” tegur Lukman. Ada rasa tidak senang
memalu hatinya mendengar Laila menggelarkan emaknya begitu. Seolah-olah emaknya
itu tiada hubungan langsung dengan Laila.
Laila terkebil-kebil seketika saat mengunyah nasi goreng.
Teguran Lukman membuatkan mulutnya terus terkunci saat itu. Dia mula tersedar
keceluparannya.
“Soal mama Laila serahkan pada abang ya? Biar abang yang
pujuk mama. Lagipun bukan Laila yang buat salah pada mama tapi abang. Mama
takde sebab nak bencikan Laila.” Melihat Laila terdiam Lukman berkata lagi.
Jauh di sudut hatinya besar harapannya untuk melihat emaknya menerima Laila
sebagai menantu.
“Laila sebenarnya rindu sangat dengan ayah. Dah lama
Laila tak jumpa ayah,” luah Laila mula menenggelamkan topik tentang emak
mertuanya itu.
“Laila takde call ayah ke?” tanya Lukman mula kasihan
mendengar rintihan isterinya. Dia sedar semenjak mereka berkahwin dahulu Laila
tidak lagi pernah pulang ke kampung.
“Ada. Tapi call dengan berjumpa tak sama rasanya,” jawab
Laila agak hambar.
Rindunya kepada ayahnya itu sudah tidak terbendung lagi.
Tetapi untuk pulang ke kampung dalam keadaan begini dia merasa cukup berat.
Selama berbual dengan ayahnya dia hanya mendengar keinginan ayahnya untuk
melihat keadaannya. Laila tahu ayahnya juga amat merinduinya.
“Habis tu kenapa kita tak balik kampung aja?” ucap Lukman
lembut.
Kali ini Laila diam tidak menjawab. Berat rasanya untuk
membuka isi hati yang sudah lama terkurung. Sebolehnya dia tidak ingin lagi
menyebut tentang kisah lama itu. Tetapi kisah itulah yang menyekat langkahnya
ini untuk pulang bertemu ayah kesayanganya.
“Kita boleh balik kampung kalau Laila nak. Sekarang ni
abang cuti. Laila boleh ambil cuti jugak. Kita spend masa kat kampung lama sikit,” pujuk Lukman lembut.
“Tak boleh. Laila dah banyak kali bercuti. Lagipun Laila
kena simpan cuti tu untuk waktu bersalin nanti,” balas Laila sambil menunduk
memandang nasi di dalam pinggannya itu.
“Kalau macam tu kita balik hari Sabtu dengan Ahad.”
“Bukan itu yang Laila fikirkan sekarang. Abang takkan
faham apa yang ada dalam hati Laila sekarang ni. Laila tak tahu macamana nak
berhadapan dengan cakap-cakap orang di kampung kalau dia orang nampak keadaan
Laila macam ni. Kita baru kahwin 6 bulan tapi kandungan Laila dah nak masuk 8
bulan. Laila mungkin tak seberapa sangat tapi ayah! Dia yang akan menghadap
cakap-cakap orang tu semua. Laila tak sanggup!” gumam Laila pantas. Bercakap
memang senang tapi dia yang melaluinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa
peritnya semua ini.
“Siapa kata hanya Laila yang perlu menghadap semua tu?
Abangkan ada? Apa kita nak peduli cakap orang, Laila. Ini anak kita! Laila
masih rasa malu dengan kewujudan dia?” tekan Lukman tanpa sedar. Hatinya terhiris
apabila Laila sengaja melupakan kewujudannya di sisi Laila. Sedangkan dia sudah
lama bersedia menghadapi apa sahaja bersama Laila. Itulah yang sedang dibuktikannya
selama ini.
“Laila tak kata Laila malu. Laila cuma kesiankan ayah.
Dia yang duduk di kampung sehari-hari. Apa yang orang nak kata tentang kita,
ayah yang akan dengar. Ayah cuma seorang diri di kampung, bang. Susah dan
senang dia hanya sendiri. Dengan keaiban yang Laila bawa pada dia, Laila tak
tahu macamana dia harunginya sendiri! Abang takkan tahu tentang itu!” balas
Laila sedikit meninggi kepada suaminya itu.
Bicara Laila membuatkan kunyahan Lukman mula melambat.
Buat seketika otaknya keras memikirkan apa yang harus dikatakan kepada
isterinya ini. “Okay.. mungkin abang tak sensitif pasal tu. Tapi abang tak
sanggup tengok Laila bersedih macam ni. Kita pedulikan apa orang nak kata.
Selama mana dia orang nak mengata kita, Laila. Yang penting kita dengan hidup
kita dan ini semua takde kena mengena dengan dia orang semua. Takde siapa yang
berhak mempertikaikan status baby kita,” pujuk Lukman lembut.
Laila diam memikirkan kata-kata Lukman. Namun dalam
kebisuannya itu Lukman maju dengan tindakan seterusnya. Jemari Laila dicapai
lalu dielus lembut. “Abang tak sanggup biarkan segala tindakan abang dulu
menyebabkan Laila terpisah dari ayah Laila. Laila takkan sendirian. Abang ada!
Abang cuma nak tengok Laila gembira semula. Itu aja! Pedulikan apa yang orang
nak kata pada kita. Kalau kita ambil berat semua tu, sampai mati pun kita takkan
boleh puaskan hati semua orang,” ucap Lukman bersungguh. Dia tahu banyak kesan
dari perbuatannya yang membuatkan hidup Laila kucar kacir. Semua itu akan
dikembalikannya sedikit demi sedikit.
Laila terdiam sayu. Sentuhan Lukman dan kata-kata lelaki
itu membuatkan hatinya tersentuh. Betapa saat ini Lukman membuatkan dia merasa
dia mempunyai seorang suami yang amat menyayanginya. Tanpa dipaksa sebahagian
hatinya mula disirami oleh rasa bahagia. Perlahan genggaman lelaki itu
dibalasnya bersama sedikit senyuman. Sejenak itu mereka berdua saling
bertatapan bersama keindahan yang hanya dirasai oleh mereka berdua. Sehingga
hati Laila mula tertanya-tanya sendiri, apa sebenarnya rasa yang sedang bermain
di hati suaminya itu untuknya?
“Makanlah. Jangan sedih-sedih lagi. Baby papa kalau tak
kenyang nanti tengah malam dia orang mengamuk. Jangan nanti mama suruh papa
keluar cari satey je sudah!” ucap Lukman sambil memandang pinggan Laila.
Laila ketawa seketika sambil meleraikan genggaman tangan
suaminya itu. Lima belas minit kemudian mereka sudah kembali ke kereta. Laila
seperti yang dilihatnya tadi kelihatan amat lesu. Lukman yang sedang
menghidupkan enjin kereta terfikir-fikir seketika. Tiba-tiba timbul satu idea
di benaknya. Namun melihatkan keadaan Laila begitu dia ragu pula.
“Kenapa tak jalan lagi ni?” soal Laila hairan melihat
Lukman yang masih tegak di kerusinya. Kereta itu juga masih di tempat yang sama
sedangkan enjin sudah dihidupkan.
“Laila letih sangat ke?” soal Lukman setelah bola matanya
diarahkan kepada Laila.
“Abang ni peliklah! Mulut Laila ni dah macam nak terkoyak
menguap aja dari tadi, abang masih nak tanya soalan tu? Jomlah balik cepat!”
degus Laila sudah tidak tertahan. Dia hanya mahukan tilam dan bantalnya!
“Kita nak balik jauh ni. Laila tidur aja kat sebelah biar
abang drive ya?”
“Tidur apa kebendanya abang ni. Rumah kita bukannya jauh
mana pun. Kat bawah bukit tu aja!”
“Tak, maksud abang lepas ni kita balik rumah kemas baju
lepas tu kita balik ke Ipoh jumpa ayah. Sebelum ni kita dah ke rumah keluarga
abang jadi minggu ni abang fikir elok kita balik rumah keluarga Laila pulak.
Nak tak?” ucap Lukman meluahkan idea spontannya. Dia tidak sampai hati
membiarkan Laila terus kerinduan. Lagipun dia tidak mahu terus mengabaikan
orang tua itu. Sebagai menantu sekali sekala dia harus pulang menjenguk bapa
mertuanya.
Laila terlopong saat itu. Cadangan Lukman seakan tidak
mampu dipercayainya namun hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya dia.
“Abang tak main-mainkan?” soal Laila dalam keharuan. Sehingga matanya berkaca
menahan rasa gembira.
“Suka ke?”
“Sukalah!” jawab Laila dengan senyum lebar.
“Tadi kata tak larat?” usik Lukman sambil mencubit
sedikit pipi isterinya itu. Kegembiraan Laila membuatkan hatinya kembang oleh
rasa bahagia. Usahkan ke kampung, jika ke langit hijau pun kalau itu yang
dimahukan oleh permaisurinya ini dia akan segera mencari kapal angkasanya!
“Dah tak penat dah! Tapi abang larat ke nak drive? Ipoh tu bukannya dekat,” ucap
Laila pula. Dia tidak mahu kerana keinginannya Lukman terpaksa mengorbankan
diri pula. Sedangkan Lukman juga sepertinya penat.
Lukman tersenyum seketika. “Abang dah biasa drive malam. Takpe, kalau setakat Ipoh
tu celah gigi aja. Kita balik kampung ya? Baby-baby kita pun mesti nak jumpa
atuk,” ucap Lukman sambil membelai lembut perut Laila.
Laila terus mengangguk. Betapa saat ini mahu sahaja dia
memeluk lelaki itu sebagai balasan kebaikan Lukman. Tetapi dia benar-benar
malu! Laila akur kini. Dia tidak lagi mahu menyesali takdirnya. Hari ini
setelah sekian lama dia menjadi isteri Lukman, lelaki itu membuatkan dia merasa
teramat-amat bahagia.
38
Berada
di kampung semula Laila tidak mampu menolak kegembiraan yang menghuni hatinya
saat melihat kegembiraan ayahnya menyambut kepulangan mereka berdua. Wajah tua
itu tidak lekang dengan senyuman. Lukman juga rupanya pandai mengambil hati
ayahnya. Kebetulan pula buah-buahan di kebun ayahnya sedang masak ranum. Jadi
kepulangan mereka dianggap sebagai langkah kanan!
Petang itu Laila mengajak Lukman merayap ke kebun
ayahnya. Walaupun di rumah sebenarnya ada buah-buahan itu namun Laila mahu
melepaskan rindunya dengan tanah yang selama ini banyak menyimpan memori
hidupnya. Dia seolah-olah sudah terlupa yang tubuhnya sudah tidak seramping
dulu.
“Betul ke boleh ni?” soal Lukman bagaikan tidak percaya.
Berkali-kali dia memandang Laila dari atas ke bawah. Dengan kain batik dan baju
kedahnya Lukman melihat Laila sebagai wanita desa yang sejati. Tetapi dengan boots getahnya, Lukman benar-benar mahu
tergelak melihat Laila. Macam nak pergi menoreh aja bini aku ni.. bisik hati
Lukman.
“Bolehlah. Berapa kali nak tanya?” tegas Laila buat
kesekian kalinya. Geram dia melihat renungan mengejek Lukman pada kasut butnya
itu.
“Okay!” balas Lukman akur lantas cuba menghidupkan enjin
motor. Namun masuk kali ke-15 dia mencuba motorsikal kebanggan negara berjenama
modenas itu tetap tidak dapat dihidupkan Lukman. Sebaliknya betisnya pula yang
terasa sakit pula akibat ditendang semula oleh pedal penghidup tendang motor
itu.
“Meh sini.. biar Laila yang hidupkan,” ucap Laila kasihan
melihat kepayahan suaminya itu.
“Hish! Tak payah. Abang tahu buat! Ingat abang tak pernah
bawak motor ke?” dengan lagak serba bolehnya itu Lukman menolak tawaran
isterinya. Hidup motor pun nak suruh bini yang buat, apa barang? Malulah dia.
Namun masuk kali entah ke berapa puluh usahkan untuk menghidupkan enjin,
menendang penghidup enjin itu pun dia semakin terkial-kial.
“Boleh ke tak boleh ni? Kalau macam ni lepas raya hajilah
baru sampai kat kebun,” perli Laila gelihati melihat wajah keruh suaminya.
Start motor pun tak reti ke? Tadi kata boleh! Ejeknya dalam diam.
“Boleh.. boleh..” jawab Lukman saja mahu menjaga air
mukanya. Sekali lagi dia menyepak penghidup tendang itu. Tetapi masih gagal.
Lukman akhirnya putus asa. “Motor ayah Laila ni makan kaki abanglah..” rungut
Lukman sambil menyelak kaki seluarnya. Mukanya berkerut menahan sakit sambil
menggosok betisnya.
“Itulah.. orang nak buatkan, tak bagi. Berlagak! Siapa
suruh abang pakai selipar yang dah haus tu? Kalau pakai selipar tu memanglah
susah sebab tempat penyetat tu dah senget ke bawah. Dah turun! Serahkan pada
yang pakar.” Laila sudah sedia maklum penyakit kronik motor ayahnya itu. Hanya
orang yang tahu sahaja boleh menghidupkan motor ini tanpa perlu merasa
kesakitan di mana-mana.
“Hah! Cubalah.. jangan terberanak kat tepi motor ni
sudahlah,” cabar Lukman enggan kalah kepada isterinya itu.
Laila sengaja menunjukkan sengih jengkelnya kepada
Lukman. “Lain kali.. start motor jangan pulas minyak, bang. Bertambah tak boleh
hidup motor. Dan jangan sesekali gelakkan kasut Laila ni sebab but getah ni
memang banyak gunanya. Terutama sekali untuk motor yang dah uzur macam ni.
Faham?” Laila sempat memberikan petua menghidupkan motorsikal sambil memerli
Lukman. Akhirnya dengan sekali tendang tanpa perlu mengeluarkan peluh barang
setitis pun motor lama itu sudah berjaya dihidupkan Laila.
“See?” perli
Laila selamba. Melihat riak terkejut Lukman melihat kepakarannya menghidupkan
motor itu dia terasa menang pula. Moralnya.. jangan sesekali pandang rendah
pada wanita mengandung!
“Macamana Laila buat? Abang buat tak boleh pun,” ucap
Lukman kagum. Macam nak tertanggal isi betis pun dia tetap gagal menghidupkan
motor itu. Laila pula dengan sekali percubaan sudah berjaya. Menakjubkan! Bekas
minah rempit ke bini aku ni?
“Adalah..” balas Laila bangga.
Dengan motosikal milik Haji Syahar, Laila membonceng di
belakang Lukman. Dalam keadaan itu Lukman sudah tentu yang paling gembira
apabila tubuhnya dipeluk erat oleh Laila dari belakang. Sengaja dia
memperlahankan kelajuan agar dapat berlama-lama dengan Laila di atas motor.
“Lajulah sikit! Macam ni maghrib nanti baru sampai. Kebun
ayah tu bukannya dekat,” tegur Laila apabila Lukman semakin memperlahankan
kelajuan motor itu.
Terpaksalah Lukman menuruti arahan puan besarnya itu.
Dengan bantuan Laila sebagai penunjuk arah barulah Lukman sedar apa yang
dikatakan Laila itu benar. Kebun milik bapa mertuanya itu terletak hampir 5 km
melalui lorong tar yang dibina membelahi belukar. Saat mereka tiba di kebun itu
Haji Syahar ada beberapa orang peraih masih sibuk memungut buah-buahan yang
baru dikait. Sebuah lori kecil terpakir di tepi jalan.
Haji Syahar terkejut melihat anaknya berada di situ.
“Laila buat apa datang sini?”
“Saja. Dah lama tak datang sini,” jawab Laila sambil
memandang sekeliling. Bersih kebun ayahnya. Tiada semak samun seperti
kebanyakan kebun yang orang lain yang dilihatnya sepanjang jalan tadi. Ayahnya
memang rajin menjaga kebun seluas lebih lima hektar ini. Tanah inilah punca
pendapatan mereka sekeluarga setelah ayahnya bersara dari askar lebih 10 tahun
dulu.
“Lukman nak makan buah pulasan? Tu ha.. ada ayah dah
kumpul bawah pokok sana. Pergilah tengok,” ucap Haji Syahar sambil menundingkan
ke satu arah.
Lukman memandang tempat yang ditunjukkan oleh bapa
mertuanya itu tetapi dia tidak tahu pokok yang mana dikatakan pokok pulasan.
Matanya dikaburi oleh keranuman buah rambutan yang bergayut dipokok-pokok yang
ada di hadapan matanya. Mulalah dia rambang mata. Tidak tahu yang mana satu
mahu dimakannya. Ada rambutan berwarna kuning dan ada yang merah. Semuanya
nampak menyelerakan. Yalah.. orang bandar manalah nak merasa pengalaman seperti
ini. Laila terus menarik tangan Lukman masuk lebih jauh ke dalam kebun itu.
“Baik-baik jalan tu, Laila.” Lukman sempat berpesan
kepada isterinya yang sudah teruja semacam. Di bawah telapak kakinya itu, tanah
yang diselimuti rumput tebal itu rupanya tidaklah serata seperti yang
dibayangkan. Ada banyak lubang yang disembunyikan oleh rumput itu. Bimbang akan
langkah isterinya, Lukman tidak melepaskan genggamannya kepada Laila.
“Banyaknya buah..” seru Lukman antara kekaguman dan
kejakunan. Sempat dia meneguk liurnya saat terpandangkan longgokkan buah
pulasan yang kemerahan. Lebih membuatkan dia teruja tidak jauh dari tempat
mereka berhenti kelihatan pokok mata kucing juga sedang berbuah lebat.
“Kita makan buah ni ke atau buah tu?” tanya Lukman sambil
mengalihkan tundingan ke arah pokok mata kucing itu. Kecur liurnya melihat buah
longan yang sudah masak sepenuhnya. Best gila!
“Abang pandai panjat pokok ke?” soal Laila saat memandang
arah yang ditunjukkan Lukman.
“Disebabkan Laila tak boleh panjat pokok, jadi abang
terpaksa memandaikan diri abang. Takkan abang nak suruh Laila yang panjat pulakkan?
So biar abang yang panjat poko tu!” balas Lukman tanpa mengalihkan pandangannya
dari pokok itu. Terus tangan Laila ditariknya ke arah itu. Laila hanya akur.
Longgokan buah pulasan tadi sudah tidak lagi menarik minatnya.
“Montoklah buahnya..” puji Lukman setelah memetik sebiji
buah mata kucing di dahan yang mampu dicapainya. Kulitnya dikoyakkan dan isinya
terus disumbat masuk ke mulut. Setelah meludah keluar bijinya Lukman mencapai
lagi sebiji dan seperti tadi dia terus memasukkan ke dalam mulut tanpa
menyedari Laila yang memandang sudah terliur.
“Emm.. manis betul isinya!” puji Lukman nikmat.
“Manis ya? Habis tu Laila ni tengok aja? Laila ke abang
yang mengidam sebenarnya ni?” celah Laila tidak berpuas hati. Lukman hanya
mengambil untuk dirinya sedangkan dia tidak mampu mencapai biar sebiji pun.
“Oh, lupa! Baby-baby papa pun nak makan buah mata kucing?
Biar papa panjat ya? Mama duduk bawah diam-diam!” ucap Lukman sambil ketawa
kecil.
Tanpa menunggu lagi dia segera mendekati batang pokok
itu. Buat seketika dia memandang ke atas. Pokok itu tidaklah setinggi mana
tetapi dia sebenarnya bukanlah budak kampung yang waira panjat pokok.
Terkial-kial juga memikir bagaimana nak menempatkan diri ke atas pokok itu.
“Boleh ke tak boleh ni?” tanya Laila sedikit memerli. Dia
lihat Lukman masih terkial-kial untuk memanjat pokok itu. Dia tahu Lukman tidak
biasa.
“Susah jugak panjat pokok ni ya?” ucap Lukman sambil
tergaru-garu sendiri.
“Pokok nilah yang paling senang nak panjat, bang.
Pokoknya pun rendah aja.”
Lukman tidak menjawab. Setelah pasti tiada kerengga di
batang pokok itu Lukman segera memanjatnya. Setelah berhempas pulas bergayut
akhirnya dia berjaya duduk di atas dahan pertama.
“Pandai pun abang! Ingat orang bandar tak tahu panjat
pokok!”
Lukman sempat tersenyum. Kembang hatinya apabila Laila
memujinya. Lebih 5 minit berada di atas pokok dia turun semula. Mereka
sama-sama duduk di bawah pokok itu sambil melahap hasil tangkapan.
“Petik sendiri dengan beli di kedai tak samakan
nikmatnya? Petik sendiri lagi puas makan,” ucap Lukman sambil memandang
isterinya itu.
“Sebab tu Laila ajak abang ke sini. Laila memang suka ke
sini bila pokok-pokok ni berbuah. Lagipun banyak kenangan Laila kat sini
sebenarnya yang membuatkan Laila rindu nak ke sini selalu,” balas Laila.
“Iya? Antaranya?”
Laila terdiam seketika. Kebun ini dahulu pernah menjadi
markas dia dan abang-abangnya melarikan diri apabila dibelasah oleh arwah emak
mereka. Kebun ini juga pernah menyaksikan dirinya berubah menjadi anak remaja
yang mula kenal apa maknanya cinta.
“Dulu arwah Abang Nahij selalu tolong ayah di kebun ni.
Kadang-kadang Laila sengaja datang sini sebab nak dekat dengan dia,” cerita Laila
sambil tersenyum kecil tatkala mengimbas kisah lalunya. Semua itu kini sekadar
satu kenangan yang manis dikenang olehnya.
Lukman menilik wajah Laila agak lama. Cuba ditafsirkan
apa yang sedang terbias di wajah wanita itu. Apakah masih ada rindu atau dendam
kasih lama sedang terbias di mata itu? Namun Lukman tidak berjaya kerana wanita
itu sedikit menunduk menyembunyikan apa yang terbias di wajahnya.
“Apa keistimewaan dia pada Laila sampai Laila masih tak
boleh lupakan dia?” soal Lukman sedikit rendah nadanya. Siapa tidak tercabar
jika isteri yang disayangi masih mengingati bekas suaminya?
“Dia seorang suami, abang. Mana ada isteri yang mudah
lupakan suaminya,” jawab Laila perlahan sahaja. Walaupun kepedihan yang ada
sudah tidak sepekat dulu namun itulah hakikatnya. Masih tidak dapat dilupakannya
hujung keranda yang disentuh seolah-olah jasad lelaki itulah yang sedang
disentuhnya.
“Kalau abang yang mati Laila akan kenangkan abang macam
tu?” soal Lukman sengaja mahu menduga.
Laila terdiam dalam pada memandang Lukman. Jika perlu
berlaku perpisahan seperti itu dia berharap biarlah ianya terjadi dalam keadaan
dia bersedia. Kerana dia sudah tidak sanggup menerima kejutan seperti itu lagi.
Semuanya terlalu perit untuk diingati apatah lagi untuk dilalui sekali lagi.
“Takkanlah Laila nak bersedih ya tak? Yalah.. Abang ni
jahat! Siapalah yang nak kenangkan lelaki macam abang ni,” ujar Lukman dalam
nada rendah. Kekecewaannya disembunyikan dengan menundukkan sedikit wajahnya
sambil mengupas kulit buah longan itu.
“Abang yang cakap macam tu. Laila takde cakap apa-apa
pun!” sanggah Laila pantas.
“Kalau abang mati hari ini, Laila akan bebas dari
perkahwinan ni,” ujar Lukman sedikit kelat.
Laila menghela nafas perlahan. Bicara Lukman memalu hebat
hatinya. Soal Nahij atau Lukman tidak mahu diperpanjangkan lagi. Dia mahu
mengajaknya masuk lebih jauh ke dalam kebun itu. Dia tidak mahu soal itu
akhirnya menjadi pertengkaran yang merosakkan mood mereka di sini. Di
pertengahan jalan itu mereka berdua menemui sebuah pondok di tepi tali air yang
merentangi kawasan kebun itu. Pondok itu tidaklah begitu menarik bagi Lukman tetapi
tali air itu memang sudah melambai-lambai mengajak dia berkubang di dalam sana.
“Tali air ni bersih kalau nak buat mandi. Ayah selalu
mandi dan ambil wuduk kat sini,” ucap Laila.
“Laila pernah mandi kat sini?”
“Selalu. Tapi itu waktu Laila masih sekolah rendahlah.
Dah besar-besar macam ni manalah boleh buat semua tu lagi. Laila tahu abang nak
cuba mandi kat sinikan?” ucap Laila sambil mengerdipkan matanya kepada Lukman.
Lelaki itu terus menyeringai sambil menanggalkan
t’shirtnya. Belum sempat Laila berkata apa-apa Lukman terus menghumban dirinya
ke dalam air. “Fuh! Best gila!”
Lukman memekik teruja. Kalaulah tidak difikirkan Laila yang sedang memboyot
sudah lama wanita itu ditariknya bersama.
Laila tergelak kecil melihat gelagat lelaki itu. Kasihan..
orang bandar memang macam ni agaknya. Jakun! Sangkanya orang bandar seperti
Lukman tidak suka dengan aktiviti di kampung tetapi rupanya tidak. Lukman tidak
cerewet dengan keadaan kampung yang tidak semoden di bandar. Juga tidak pernah
komplen keadaan rumah ayahnya yang agak panas. Tidak merungut saat terpaksa
mencedok air kolah yang sejuk untuk mandi di awal pagi.
Laila menanti duduk di tebing. Lama dia memandang
gerak-geri Lukman sambil mengelamun sendiri. Sesungguhnya tiada siapa yang
mampu menduga. Saat pertama dia mengenali lelaki ini hari ini mereka akan
berada di sini dalam keadaan begini. Dia tidak ingin menafikan kebahagiaan yang
mula hadir dalam hatinya semenjak kebelakangan ini. Mereka semakin serasi
dengan ikatan ini.
Laila sedar semenjak Lukman keluar dari hospital hampir
tiga minggu lalu boleh dikatakan setiap malam mereka tidur bersama.
Kadang-kadang di biliknya. Kadang-kadang di bilik Lukman. Kadang-kala apabila
tersedar di tengah malam dia menyedari dia hanya sendirian di biliknya, dia sendiri
dengan rela hati berpindah ke bilik lelaki itu. Entah kenapa tanpa kehadiran
Lukman di sisinya dia sudah tidak betah lagi. Dia benar-benar kesunyian. Tiada
batas lagi buat mereka berdua dalam hubungan ini.
Bukankah itu tandanya Lukman mula penting buat dirinya?
Kelembutan Lukman mula mencairkan sekeping hatinya. Kini dalam diam, dia
merindui setiap tingkah dan canda Lukman kepadanya. Setiap hari ketika di
pejabat dia ternanti-nantikan panggilan Lukman walaupun panggilan lelaki itu
sekadar perbualan kosong antara mereka berdua. Bukankah itu tandanya mereka
saling memerlukan?
Sampai bila dia mahu menidakkan hatinya yang mendambakan
kasih sayang seorang suami? Tetapi.. dia keliru dengan pendirian Lukman tentang
perkahwinan mereka. Semenjak kebelakangan ini dia sering terdengar Lukman
berkias-kias tentang perjanjian mereka dahulu. Dia tidak faham apa sebenarnya
yang cuba disampaikan Lukman. Adakah Lukman sememangnya tidak mahu meneruskan
perkahwinan ini selepas dia habis berpantang nanti? Tambahan pula Lukman sendiri
tidak pernah mengucap sayang secara berterus-terang kepadanya. Masakan dia mahu
tersua-sua? Malulah! Getus hati Laila sendiri.
Malam
itu selepas berjemaah di masjid kampung Lukman di sapa seseorang ketika di luar
masjid. Dia sebenarnya ingat-ingat lupa kepada orang yang menyapanya itu. Namun
sapaan itu disambut baik olehnya.
“Bila kamu balik?” soal Pak cik Zahari lembut.
“Semalam, pak cik.” Lukman tersengih-sengih di hadapan
lelaki itu. Kekok pula mahu berbual dengan lelaki itu.
“Laila tak datang sekali ke?” soal lelaki itu lagi.
Matanya sempat memandang sekeliling mencari kelibat wanita yang dimaksudkannya
tadi di kalangan jemaah wanita yang berpusu-pusu keluar dari pintu masjid.
“Laila kat rumah. Tak larat nak datang katanya. Saya
sendiri aja ke sini,” balas Lukman dalam pada dia masih tertanya-tanya siapa
lelaki sebaya ayah mertuanya itu.
“Tak larat kenapa? Dia tak sihat ke?” soal lelaki itu
lagi.
“Emm.. kandungannya dah besar. Malam-malam macam ni dia
memang selalu berehat aja. Lagipun siang tadi kami ke kebun ayah. Dia penat!”
masih dengan kelembutan Lukman melayan pertanyaan lelaki itu. Saat itu barulah
memorinya kembali segar. Lelaki inilah yang membantunya ketika dia dibelasah
Arman dahulu. Tetapi siapa namanya ya? Ah! Nanti tanya Laila ajalah..
“Alhamdulillah.. dah nak jadi ayah kamu ya? Syukurlah!”
bahu Lukman ditepuk Pak cik Zahari sambil dia tersenyum. “Orang mengandung ni memang
itulah ragamnya. Nanti ajaklah Laila ke rumah. Uminya tu rindu selalu menyebut nak
jumpa dia. Dah lama benar kami tak berbual dengan dia. Kamu pun jemputlah ke
rumah sekali. Boleh kenal-kenal dengan keluarga pak cik,” ucap lelaki itu
mesra.
“Insya-Allah, pak cik. Esok sebelum kami balik ke KL,
saya ajak Laila ke rumah pak cik.” Lukman membalas akur. Terharu hatinya
melihat kemesraan lelaki itu. Inilah kali pertama dia ditegur seseorang
semenjak pulang ke kampung Laila. Jemaah yang lain memandangnya seolah-olah dia
seorang penjenayah yang baru habis menjalani hukuman penjara.
“Pak cik balik dulu. Kirim salam pak cik pada Laila ya?”
Lukman sekadar mengangguk. Sepeninggalan lelaki itu
Lukman segera mencari motorsikalnya. Sebentar tadi bapa mertuanya meminta dia
pulang dahulu kerana dia masih mahu berada di masjid itu. Lagipun mereka datang
berasingan. Setiba di rumah dia sudah ternampak Laila duduk termenung di
hadapan pintu.
“Ayah mana?” tanya Laila sebaik sahaja ternampak kelibat
suaminya.
“Ayah belum balik lagi. Mengaji agaknya di masjid tu. Laila
buat apa termenung depan pintu ni?” tanya Lukman setelah mendekati isterinya
itu. Kopiah di kepalanya ditanggalkan lalu diselitkan ke kocek baju melayunya.
“Laila tunggu abanglah! Laila dah lapar. Jom kita makan.
Sebelum tu abang kena tolong bangunkan Laila dulu sebab Laila tak larat nak
angkat buntut,” ujar Laila sambil terus mencapai kedua-dua tangan Lukman.
Lukman ketawa kecil melihat aksi manja isterinya itu.
Namun jauh di sudut hatinya dia amat menyenanginya.Tidak berlengah lagi mereka
berdua terus ke dapur untuk mengisi perut. Ketika sedang makan Lukman segera
menyampaikan salam yang dikirimkan oleh lelaki tua yang ditemui di masjid
sebentar tadi. Sempat dia bertanya siapakah gerangan lelaki itu sebenarnya.
“Pak cik Zahari tu ayah abang Nahij, bekas bapa mertua
Laila.”
“Ooo...” agak panjang lopongan Lukman mendengar itu.
Namun seketika kemudian ada semacam rasa tidak enak memalu hatinya. Kalau
mendengar nama ayahnya sahaja sudah gembira bagaimana pula keadaannya kalau dah
mendengar nama anaknya? Duga hati Lukmaan sendiri. Kegembiraan Laila tidak
mampu dikongsikannya sebaliknya dia tidak senang! Siang tadi sudahlah mengimbas
kenangan lama sewaktu dengan bekas suaminya. Kini bekas mertua pula rindu mahu
bertemu. Aduhai... susahlah aku macam ni! keluh hati Lukman sendiri.
“Jadi sebelum balik esok abang nak bawa Laila jumpa umi
dulu?” tanya Laila apabila melihat Lukman hanya berdiam diri sambil meneruskan
makan.
“Yalah. Abang dah janji dengan Pak cik Zahari. Takut
nanti dia ternanti-nanti pulak.” Lukman menjawab perlahan sahaja. Kubur anaknya
nak pergi jugak? Kalau nak abang boleh bawakan. Nak bermalam kat tepi kubur tu
pun boleh! Kita pasang kanopi kat situ.. desis hati Lukman sakit.
Jawapan Lukman menggariskan senyuman lebar di bibir Laila
tanpa disedari olehnya sekeping hati milik lelaki itu retak melihat
keakrabannya dengan keluarga bekas mertuanya. Keceriaannya menenggelamkan rasa
cemburu yang dipendam Lukman.
“Laila pun rindukan umi sangat-sangat. Selama ni umi
terlalu baik pada Laila. Semenjak dulu dia selalu layan Laila macam anak dia
sendiri,” luah Laila tanpa disuruh.
Lukman semakin terhiris dengan pujian itu. Yalah..
tahulah mak abang tu garang macam singa.. keluh hati Lukman menjawab bicara
Laila. Dia sedar emaknya tidak melayan Laila sebaik bekas mertuanya. Dia pula
tidaklah sehebat bekas suami Laila. Pendek kata dia mungkin bukan saingan yang
layak untuk bertanding dengan lelaki itu. Lukman tersenyum pahit mengenang itu.
“Kalau abang nak tahu, umi antara orang yang paling banyak
menasihati Laila agar lupakan arwah Nahij. Dia nak Laila teruskan hidup bersama
orang lain. Umi lebih mudah menerima kenyataan berbanding Laila. Sehinggakan
pada hari kita bernikah dulu dia masih lagi datang pada Laila dengan
nasihat-nasihat dia. Selain arwah mak, umi adalah antara wanita yang paling
memahami Laila yang kehilangan suami dan emak dalam tempoh yang singkat. Dia
menyayangi Laila sebagai anak supaya Laila tak rasa kekosongan,” tambah Laila
lagi saat Lukman sekadar diam.
Apa yang diucapkan oleh Laila menarik perhatian Lukman
sedikit. Tiba-tiba dia disapa oleh keinginan untuk mengenali siapa wanita yang
dikagumi Laila itu. “Esok sebelum kita balik kita singgah rumah umi ya? Abang
pun nak kenal dengan dia.” Lukman berkata lembut. Dia sedar dia tidak
seharusnya berburuk sangka kepada bekas mertua Laila itu.
Ketika jam sudah menginjak ke angka sebelas Laila sudah
tidak mampu lagi mengangkat matanya. Namun saat terpandangkan Lukman yang asyik
benar menonton tv dia cuba menahan diri. Tetapi akhirnya dia kalah. “Abang, jomlah
tidur..” ajak Laila lembut.
“Laila pergilah dulu. Abang nak tengok cerita ni..” balas
Lukman tidak memandang Laila di atas kerusi. Cerita cerekarama yang disiarkan
di TV3 itu menarik pula dirasakannya.
Laila sedikit kehampaan apabila Lukman tidak mengendahkan
ajakannya. Seronok sangat ke tengok cerita lelaki kahwin dua macam tu? getus
hatinya geram. Namun dia tidak mahu berputus asa. Perlahan dia bangun dari
kerusi lalu mendekati Lukman yang masih asyik menonton. Tangan Lukman dicapainya.
“Jomlah...” ajaknya sedikit manja.
Suara yang kedengaran cukup manja itu segera menggugah
perhatian Lukman. Dadanya mula berdebar. Entah kenapa dia merasakan ajakan
Laila itu mempunyai makna. Kalau dia menolak alamat dialah yang rugi besar! Tiba-tiba
segala yang ditayangkan di tv itu sudah tidak menarik lagi. Lukman terus
bangkit dari pembaringannya dan televisyen itu segera dimatikan.
Tidak tertahan geloranya apabila Lukman melihat Laila
menepuk-nepuk tilam bersebelahan dengannya bagaikan arahan agar dia berbaring
di situ. Melihat senyum manis Laila, Lukman memang tidak ingin membazirkan masa
walau sesaat pun. Tubuhnya dilabuhkan di atas tilam sambil matanya terus
memandang Laila yang masih tersenyum kepadanya. Buat seketika mereka saling menghadap
berdua. Saling memandang sambil tersenyum.
“Assalamualaikum.. tidur dah ke?” bisik Lukman lembut.
“Waalaikumusalam.. taklah. Mana ada nak tidur. Mata ni memang tengah
celikkan? Kalau tidur dah pejam dah. Lagipun mana ada orang jawab salam waktu tengah tidur,” balas Laila lantas tergelak.
“Tak nak buat apa-apa ke sebelum tidur?” bisik Lukman
mengumpan Laila dengan senyuman manisnya.
“Nak buatlah ni. Tu yang Laila ajak abang masuk bilik..” jawab Laila manja.
Tersengih-sengih Lukman. Hatinya sudah kembang kuncup
tidak terkawal. Adalah rezeki aku nampaknya malam ni.. bisik hatinya sudah tidak
tertahan. Laila pun nampak mesra semacam aja dengannya. “Cepatlah..” bisik
Lukman lantas memejamkan mata. Bibirnya dimuncung mengharapkan sesuatu. Tetapi
sesaat.. dua saat.. tiga saat berlalu tiada apa-apa yang berlaku.
Lukman kembali membuka mata. Dia nampak Laila sedang
menadah tangan dan mulutnya terkumat-kamit berdoa. Aik? Bukan ke sepatutnya aku
yang baca doa? Apasal dia pulak yang baca doa? Lukman pelik melihat Laila.
“Laila buat apa tu?”
“Baca doa..”
“Alah.. itukan tugas abang?”
“Tugas abang apa bendanya. Kan semua orang kena baca doa
sebelum tidur?” balas Laila menadah lagi tangannya menyambung doa yang
tergantung sekejap tadi.
Lukman menggaru kepalanya. Apa kena pulak dengan bini aku
ni. Dia terus memandang Laila yang khusyuk benar membaca doa. Lamanya berdoa.
Dia baca surah Al Baqarah sekali ke?
“Tadi kata nak sayang-sayang?” tanya Lukman setelah
selesai Laila meraup wajahnya.
“Bila masa pulak Laila cakap nak sayang-sayang?” tanya
Laila selamba sambil menarik selimut.
“Habis tu yang ajak abang masuk tidur tadi tu buat apa?
Kata nak ajak abang buat sesuatu sebelum tidur?” semakin tidak faham Lukman
dengan gelagat Laila. Entah-entah aku ni kena kelentong! Detik hatinya sendiri.
“Yalah.. orang baca doa sebelum tidur. Ada orang baca doa
tengah tidur ke? Itu pun dikira aktiviti sebelum tidur apa,” balas Laila sambil
memejamkan matanya dengan muka selamba. Tetapi sebenarnya saat itu hanya Tuhan
sahaja yang tahu betapa dia mahu tergelak melihat suaminya itu dah terkena
dengan olahnya.
Betapa geramnya Lukman mendengar kata-kata Laila itu.
Memang sah dia sudah ‘dikencing’ isterinya itu. “Laila main-mainkan abang ya?
Merajuklah macam ni!” Lukman berpaling membelakangi isterinya itu dengan
harapan Laila akan memujuknya. Tetapi seketika kemudian dia terdengar bunyi
dengkuran dari arah belakangnya.
Lukman menoleh sedikit. Laila sengaja buat-buat bunyi
dengkur supaya dia faham yang rajuknya tidak dilayan. Geram dengan gelagat
wanita itu Lukman berpaling semula. “Laila ni memang nak kena!” Wanita itu
terus diterkam Lukman. Dikeheningan malam itu tiba-tiba meledak jeritan halus
Laila. Dan diikuti gelak dan tawa tanda kala itu bahagia sedang menyinggah
disinggah sana mereka berdua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan