Jumaat, 30 Ogos 2013

35-36 MSM

35

Tan Sri Fatah dan Amirah sudah tergelak sendiri. Gelagat Lukman kala itu memang cukup menggelikan hati. Lukman yang perasan adik dan ayahnya itu ketawa mula tarik muka. “Kenapa gelak? Ada kumpulan Jambu ke dalam bilik ni?” tegurnya geram. Apa? Ingat ni pentas maharaja lawak ke?
“Takdelah. Mana ada. Teruskanlah..” Amirah lekas-lekas menahan tawanya dalam pada dia menjawab kepada abangnya itu. Tan Sri Fatah memandang ke arah lain. Bimbang tawanya terhambur di situ.
Lukman kembali memandang isterinya. Jemari Laila dioles-oles lagi. “Nanti kalau abang mati, Laila kahwin lain tak?”
Laila sudah menghela nafas melihat Lukman. Padan pun ayah dan adik Lukman ketawa. Fikiran lelaki ini dah merapu yang bukan-bukan. “Abang cakap apa ni? Jangan sebut pasal mati waktu-waktu macam ni boleh tak?” marah Laila.
Lukman buat muka sedih. “Yalah, manalah tahu nanti abang mati waktu dalam bilik opration tu nanti. Kalau abang mati, Laila kena jaga anak-anak abang baik-baik.”
Amirah sudah tergelak di hujung bilik itu. Laila juga sebenarnya mahu tergelak tetapi dia tidak sampai hati pula. Dia tahu Lukman takut sebenarnya. “Bang, abang bedah hidung sikit je. Tak sampai pun kat mana-mana organ penting. Bukannya doktor tu nak belah otak abang ke.. jantung abang ke.. tak pun limpa abang tu ke.. sampai nak kena bagi wasiat-wasiat ni semua. Ini minor operation je, bang. Sejam aja selesailah. Tak payahlah nak takut sangat,” keluh Laila mula tidak tertahan dengan ragam lelaki seorang ini. Kenapalah dengan laki aku ni? Badan je besar. Tapi ngok!
“Mana ada abang takut?” sanggah Lukman cuba membesarkan matanya kepada Laila. Namun sukar. Kulit mukanya sudah tegang sepenuhnya.
“Tak payahlah nak temberang lagi, bang. Cara abang pandang jarum kat tangan nurse tu aja Laila dah tahu. Baru sikit macam ni dah menggelabah. Kalau suruh beranak agaknya tak tahulah kecohnya macamana. Mahu retak hospital ni dibuatnya. Macamanalah rupa abang waktu berkhatan dulu ek? Ada kalut macam ni tak?” Laila menggerutu geram kepada suaminya itu. Meledak tawa Amirah dan Tan Sri Fatah yang mendengar.
Berubah wajah Lukman saat itu. “Pasal berkhatan jangan sebut-sebut, okay! Itu maruah, abang!” tekan Lukman dengan wajah merah padam.
“Laila nak dengar cerita tentang Lukman waktu dia berkhatan dulu?” Tan Sri Fatah terus menyampuk perbualan suami isteri itu. Dia ada pengalaman yang tidak dapat dilupakan tentang kisah itu.
“Ayah!” tegah Lukman keras.
“Eh! Apasal marah pulak ni? Ada apa-apa yang menarik ke yang abang tak nak Laila tahu?” usik Laila sudah tidak tertahan mahu ketawa. “Ceritalah, ayah. Mesti bestkan jalan ceritanya..” giat Laila dengan senyum tertahan.
Lukman hanya terdaya menelan liur mendengar kata-kata isterinya itu. “Buat apa nak sibuk tahu pasal tu semua? Hish! Bengang betullah!” Getus lelaki itu geram. Tawa Amirah pula semakin memarakkan rasa tidak puas hatinya. Seronok sangat ke ketawakan orang? Macamlah kau tahu rupa aku waktu bersunat dulu macamana, getus Lukman dalam diam.
“Ayah cerita ya, Luk?” soal Tan Sri Fatah seolah-olah meminta izin. Padahal dia mahu mengenakan anak lelakinya itu. Dia tahu pasti tiada wanita lain yang benar-benar tahu kelemahan diri Lukman sebenarnya. Melainkan Laila.
“Janganlah, ayah! Malu!” marah Lukman.
“Apa salahnya? Nanti senanglah Laila nak cerita pada cucu-cucu ayah ni pasal kau,” jawab Tan Sri Fatah selamba. Lukman terus berpaling dan menutup kepalanya dengan bantal. Tak sanggup mendengar kisah itu diimbas semula.
“Aik.. belum cerita dah tutup muka? Menarik ni.. ceritalah, ayah.” Semakin tidak sabar Laila mahu mengetahui kisah lalu suaminya itu.
“Ayah ni ada dua orang anak lelaki. Yang sulung tu biasa ajalah, macam orang lain. Tapi yang kedua ni agak ‘bingung’ sikit! Bukan ‘bingung’ sikit sebenarnya, tapi banyak.” Mukadimah cerita Tan Sri Fatah itu sudah membuatkan Laila dan Amirah sudah ketawa besar di dalam wad itu.
“Yalah.. budak-budak lelaki ni kebanyakannya bila disuruh berkhatan mula-mula nampak macam berkobar-kobar benar. Nak jadi lelaki sejati kononnya! Tapi bila depan tok mudim, kecut atas bawah!” Tan Sri Fatah terdiam seketika mengimbas semula kisah itu. Malu besar dia dibuat Lukman pada hari itu. Sampai ke hari ini dia masih teringat.
“Adalah seorang anak ayah tu. Bila sampai depan doktor yang nak potong dia, terus dia senyap. Nampak aja pisau doktor tu, dia punya takut.. sampai dia terkencing depan orang. Malu besar ayah hari tu. Habis dia spray air kumbahan dia kat doktor tu..”
Belum habis Tan Sri Fatah bercerita tawa dua wanita itu sudah terhambur tidak terkawal. Lukman sudah tidak mampu membiarkan wajahnya dimamah sesiapa. Bantal ditekupkan ke telinganya sekuat-kuat hatinya. Tidak sanggup mendengar tawa-tawa yang sedang mengejeknya. Malunya! Laila tidak mampu menahan rasa geli hatinya. Rasanya inilah rahsia besar Lukman yang paling memalukan.
“Patutlah marah sangat bila sebut pasal berkhatan. Rupanya ada kisah tersendiri,” komen Amirah masih tidak berhenti tergelak.
“Macam tu ke abang dulu? Bang, dengar tak Laila tanya ni? Bukaklah bantal tu! Kita orang tengah seronok cerita pasal abang ni. He.. lemas pulak laki aku ni karang,” usik Laila semakin seronok mengerjakan Lukman. Lengan lelaki itu ditarik agar memandangnya namun Lukman merentap semula tangannya. Semakin kuat bantal itu dilekapkan ke telinganya.
Tidak lama kemudian bilik itu mula dipenuhi oleh pakar bius. Wajah kecut Lukman sudah mula terserlah. “Laila jangan tinggalkan abang tau. Jangan pergi mana-mana,” ucap Lukman sudah kalut.
“Ya.. Laila tunggu!”
“Agak-agak sakit sangat ke nanti tu? Kalau sakit, kita kansel ajalah.” Perlahan sahaja lelaki itu berkata kepada isterinya.
“Astaghafirullah.. cubalah bawak bertenang, bang. Sakit sikit takkanlah tak boleh tahan?” Laila sudah menggeleng melihat gelagat suaminya. Penakut doktor betul!
Masam kelat rupa Lukman diejek isterinya itu. Hakikatnya bau ubat-ubatan yang kuat menyengat sudah membuatkan dadanya berdegup kencang. Rupa picagari ‘gergasi’ yang dipegang oleh pakar bius itu cukup-cukup membuatkan tekaknya terasa kering. Belum lagi terpandangkan pisau dan gunting di dalam bilik bedah nanti.
Laila terasa mahu ketawa benar melihat muka pucat suaminya itu. “Kalau rasa nak terkencing baik pergi sekarang. Nanti terspray pulak air kumbahan tu kat doktor. Laila jugak yang malu nanti!” perli Laila sempat mengerling suaminya itu.
Betapa bengkaknya hati Lukman mendengar ejekan isterinya itu. Ditambah lagi dengan tawa seronok Amirah dan bapanya. Kurang asam punya bini! Air kumbahan? Huh!

Lukman masih lemah saat dibenarkan keluar dari wad setelah selesai pembedahan kecil itu. Dek kerana ‘daya tahan menahan sakit’ Lukman yang agak luar biasa, doktor terpaksa menambah sedikit lagi ubat bius bagi mengelakkan bilik bedah itu pecah.
Penghabisannya terpaksalah Amirah memandu kereta Lukman untuk membawa mereka pulang ke rumah. Seharusnya atas saranan doktor, Lukman perlu tinggal di wad buat sehari lagi untuk dipantau keadaannya. Tetapi lelaki itu berkeras mahu pulang kerana tidak sanggup menghidu bau ubat lagi.
Lukman hanya diam sepanjang perjalanan pulang ke rumah tetapi dia tidak tidur di atas pangkuan Laila di kerusi belakang. Matanya layu sahaja. Yalah.. dah nama pun sakitkan? Namun dalam kebisuan bertiga tiba-tiba sahaja dia bangun lalu menghulurkan tangan ke arah radio di hadapan. Dia menaikkan tahap volume radio apabila sebuah lagu didendangkan oleh deejay Sinar Fm itu.
Laila memandang hairan perbuatan lelaki itu. Pelik! Sangkanya Lukman tidak memasang telinga kepada radio yang membebel entah apa-apa itu. Rupanya tidak. Yalah.. hidung aja yang sakit. Telinga elok lagi. Tapi sebentar tadi disuruh duduk bersandar pun tak lalu. Nak kena berpangku di kerusi belakang. Mengada-ada betul!
Laila cuba mendengar apa yang sedang didengari Lukman itu. Lagu bertajuk ‘Mahligai Seribu Mimpi’ itu ikut dihayati Laila tanpa sedar. Tidak tahu pula dia yang Lukman meminati lagu itu sedangkan setahunya lagu itu hanya popular sekitar tahun 90-an dahulu. Pelik! Kali ini dalam pada diri masih sakit-sakit pun dia masih mahu mendengar lagu rock kapak. Jiwang pulak mamat seorang ini rupanya!
“Laila tak tahu pula abang suka kumpulan Iklim?” soal Laila perlahan sahaja.
“Laila tak pernah tanya..” Meleret sahaja jawapan Lukman.
Loyar buruk pulak dia! “Tengah sakit-sakit pun mulut boleh macam longkang lagi! Janganlah anak kita ni ikut perangai sengal abang ni,” gerutu Laila geram. Amirah di hadapan sudah mengulum senyum. Memang padanlah Laila dengan abangnya. Seorang bermulut longkang, seorang lagi bermulut cili api! Memang kena!
Entah kenapa dalam kesukaran itu Lukman masih mampu tersenyum pula mendengar kata-kata Laila itu. Ya sayang, ini anak kita.. bisik hatinya yang mula diresapi rasa indah mendengar Laila memanggil bayi itu sebagai anak mereka berdua. Selalunya anak awak! Seolah-olah anaknya seorang sahaja sedangkan Laila ibunya.
Sambil berbaring, wajah Laila ditatap Lukman tanpa jemu. Walaupun jelas sekali isterinya sudah keletihan, namun kecantikannya masih tetap terzahir di mata Lukman. Inilah isteri ku.. yang akan menemani aku sehingga akhir hayat ku nanti. Yang akan melahirkan zuriat-zuriat ku, bisik hati Lukman bangga.
“Abang pandang Laila macam tu kenapa? Ada doremon ke kat muka Laila ni?” tegur Laila selamba. Bukannya dia tidak perasan lelaki itu asyik merenungnya.
“Sekarang ni siapa pulak yang mulutnya macam longkang? Nanti terkenan anak kita siapa yang susah?” balas Lukman kian ceria hatinya. Dia ingin tersenyum lagi tetapi bengkak di wajahnya ini menyukarkan pergerakan otot wajahnya.
Laila mengalihkan pandangannya bersama sebuah jelingan tajam. Geram bila dia pula yang dikenakan Lukman. “Tak kelakar langsung!” desisnya menyampah. Namun sebenarnya hujung hatinya mula tercuit dengan usikan lelaki itu. Timbul rasa ingin ketawa pula. Tetapi sengaja dia menahan. Egolah kononnya!
Sesampai sahaja di rumah mereka Lukman terus sahaja masuk ke biliknya untuk berehat. Setelah meletakkan barangan Lukman di dalam bilik Laila mula berkira-kira untuk memasak sesuatu untuk lelaki itu. “Abang nak makan apa? Tadi abang tak makan,” ucap Laila lembut.
“Apa-apalah. Abang sebenarnya tak selera.” Lukman menjawab perlahan sahaja. Kesan ubat masih mampu dirasakan sehingga dia bagaikan tidak mampu membuka mulut untuk menjawab.
“Laila masakkan bubur nasilah ya? Abang pun bukannya boleh makan sembarangan. Nanti Laila letak daging ayam dalam bubur tu supaya senang abang nak makan,” cadang Laila setelah puas dia memikirkan apa yang harus dihidangkan kepada Lukman.
“Ikan bilis gorenglah.” Sempat juga Lukman membuat permintaan itu. Dia memang suka jika bubur dicampurkan dengan ikan bilis goreng.
“Ikan bilis gorengkan keras? Makanlah makanan lain yang lembut. Abang tu tak boleh gerakkan rahang banyak sangat. Nanti muka tu bertambah bengkak. Bengkak yang ada tu pun tak surut lagi.” Laila cuba menolak kehendak Lukman selembut yang mungkin. Bukannya susah sangat mahu menunaikan kehendak lelaki itu tetapi dia hanya menurut apa yang telah dipesan oleh doktor.
Lukman hanya diam. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Sehingga Laila mula diserang rasa serba salah. Bimbang lelaki itu merajuk dengannya. “Bukannya Laila tak mahu tunaikan apa yang abang nak tapi abang tak boleh makan benda keras. Abang dengarkan apa yang doktor pesan tadi?” ucap Laila lembut cuba memujuk. Dia kasihan melihat kerutan di wajah Lukman.
“Apa-apalah. Jangan abang mati kebulur dahlah..” Lukman menjawab meleret. Hanya sedikit mulutnya dapat dibuka. Siksa benar rasanya.
“Laila pergi masak sekejap. Abang tidurlah dulu. Nanti dah siap Laila kejutkan.” Laila membalas lembut sambil dia membetulkan kedudukan bantal di kepala Lukman.
Lukman hanya diam namun dia amat tenang sekali dengan perhatian wanita ini. Baginya kalau pun Laila masih tidak mahu menyambut cintanya, layanan selembut ini sudah cukup menenangkan perasaannya. Asalkan Laila tidak terus membencinya sudahlah. Siksa hatinya jika dia terus menjadi mangsa kebencian isteri sendiri.
“Laila..” Lukman memanggil Laila saat Laila mahu melepasi pintu biliknya itu.
Langkah Laila pantas terhenti. Dia memandang Lukman semula.
“Jangan susah-susah kerana abang, Laila. Abang tak mahu Laila pula yang sakit kerana abang. Lagipun Laila mengandung, Laila pun perlukan rehat. Dari semalam Laila asyik melayan abang. Abang kasihankan Laila. Baby kita pun nak kena jaga jugak,” luah Lukman agak perlahan.
Entah kenapa memandang Laila saat itu hatinya diusik kesayuan. Kesetiaan Laila tidak mampu dihargakan dengan mana-mana mata wang di atas dunia ini. Dalam keadaan wanita itu sedang hamil begitu wanita itu setia setia berada di sisinya ketika dia sedang sakit. Walaupun hubungan mereka masih tidak dapat disamakan seperti hubungan suami isteri yang lain namun Laila tetap mahu bersusah payah untuknya. Lukman cukup terharu. Dia sedar bukan mudah untuk dia menemui wanita sesabar ini pada masa yang lain, jika dia tidak tahu menghargai apa yang dimilikinya saat ini.
“Takpe. Abang suami Laila bukan hanya waktu sihat aja. Masa sakit begini pun abang tetap suami Laila,” balas Laila lantas tersenyum kepada lelaki itu.
Amirah yang memandang sketsa pendek itu tiba-tiba merasa kagum pula. Kesusahan Laila dan Lukman selama ini mereka menanggungnya sendiri. Tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka sentiasa ada untuk satu sama lain. Kini Amirah mengerti betapa besarnya hikmah yang telah Allah sediakan untuk mereka. Sayang sekali emaknya tidak melihat apa yang sedang dilihatnya saat ini.

Setelah sejam lebih di dapur Laila ke biliknya. Bubur nasi untuk Lukman sudah selesai hanya perlu disejukkan sebelum dihidangkan. Badannya terasa amat letih sekali. Amirah baru sahaja pulang sekejap tadi setelah selesai membantu kakak iparnya itu memasak. Janjinya dia akan datang lagi esok pagi bersama Syahreena.
Untuk seketika Laila duduk di birai katil untuk melepaskan lelah. Azan asar sudah lama kedengaran namun dia masih belum menunaikan solat. Menyedari itu Laila segera bersiap ke bilik air untuk mandi. Setelah selesai bersolat barulah Laila menjenguk Lukman di dalam biliknya. Amat kasihan dia melihat Lukman yang terpaksa tidur menganga kerana tidak dapat bernafas melalui hidung seperti biasa.
“Abang..” Laila mengejutkan lelaki itu lembut. Sekali sahaja dia memanggil mata Lukman sudah terbuka. Matanya merah bak saga, mungkin kerana masih mengantuk. Kasihannya dia.. detik hati Laila belas.
“Makan sekarang ya?” Laila mengajak lembut.
“Abang tak nak makan,” jawab Lukman perlahan sekali sambil menggeleng. Hampir sahaja dia mahu menyambung tidurnya semula.
“Abang kena makan. Kalau abang tak larat nak bangun, Laila bawa makanan ke sini ya? Jangan tidur dulu. Abang kena makan sikit untuk isi perut tu sebelum makan ubat. Makan sikit ya?” pujuk Laila sekali lagi.
Lukman diam tidak menjawab. Badannya terasa amat lemah sekali. Kesan ubat bius sebentar tadi sudah mula menghilang, membuatkan dia mula merasa tidak selesa. Kini panas badannya sudah meningkat tiba-tiba.
“Abang macam nak demam ni. Tekak ni betul-betul tak selera,” keluh Lukman teramat lemah. Bukannya dia tidak sudi untuk menjamah masakan Laila tetapi dia benar-benar tidak berselera walaupun perutnya sudah mula terasa pedih.
Mendengar itu Laila terus duduk di tepi Lukman. Dahi Lukman dijamahnya. Saat itu dia mengakui apa yang Lukman katakan tadi benar. Panas badan lelaki itu memang agak tinggi. “Laila bawa nasi ke sini ya? Lepas abang makan nanti bolehlah makan ubat,” pujuk Laila lembut. Dia kemudian terus bangun tanpa menunggu jawapan Lukman.
Tidak lama kemudian Laila sudah siap menatang makanan ke bilik Lukman. Lelaki itu dibantunya untuk duduk bersandar supaya boleh makan dengan selesa.
“Makan sikit. Tadi sebelum operation pun abang tak makan,” ucap Laila sambil menyuakan sudu berisi bubur ke mulut Lukman. Risau pula dia melihat keadaan Lukman saat itu. Doktor tidak pula ada mengatakan yang demam ini adalah kesan sampingan pembedahan itu.
Melihat usaha Laila, Lukman memaksa juga dirinya untuk menerima suapan isterinya. Tetapi seketika kemudian dia terus menggeleng tidak mahu bubur itu lagi. Berkerut wajah saat menelan bubur yang masih bersisa di dalam mulutnya. “Abang tak boleh nak telan,” keluh Lukman lemah.
“Laila nak abang cepat sembuh. Laila betul-betul bimbang tengok abang begini. Makanlah sikit lagi, bang.” Pujukan wanita itu mula kedengaran bergetar. Ada kesedihan yang sedang ditahan oleh suara itu. Kesengsaraan yang dirasainya saat melihat lelaki itu terlantar lemah benar-benar mencengkam kalbunya. Inilah kali pertama dia melihat suaminya benar-benar sakit.
Lukman hanya diam sambil memandang Laila sambil bersandar lesu kepada kepala katil. Dia tidak mahu Laila pula menanggung rasa bersalah atas perbuatan Arman tetapi dia seperti tidak berdaya untuk berkata-kata. Hanya wajah sedih itu terdaya dipandangnya.
“Abang makanlah lagi. Jangan ikutkan sangat selera tu. Tengah sakit macam ni memanglah tak mahu makan tapi badan kalau nak sihat kena ambil makanan sikit.” Laila memujuk lagi setelah beberapa ketika dia cuba mengawal perasaannya.
Sudu yang sudah berisi sedikit bubur kembali disuakannya kepada Lukman namun hanya sebahagiannya sahaja yang dijamah Lukman. Lelaki itu kembali menggeleng. Akhirnya Laila mengalah juga sambil menghela nafas perlahan. Sudu itu dikembalikan ke dalam mangkuk.
“Abang tak pernah salahkan Laila atas semua kejadian ni.” Tiba-tiba Lukman meluahkan bicara. Sinar matanya pudar saat memandang si isteri.
Laila yang kebetulan sedang menunduk segera menuntaskan pandangannya kepada Lukman. Pandangan mereka bertaut lembut. Laila tiba-tiba kelu saat menadah renungan Lukman yang seperti sedang mengharap sesuatu daripadanya. Tetapi dia tidak tahu apa yang hendak difahaminya melalui pandangan itu. Dia keliru.
“Abang memang berhak mendapat semua ni sebab abang ni...” Lukman tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Entah kenapa dia merasa sedih melihat kesusahan yang dilalui Laila kerana dirinya. Perlahan dia tersandar kelesuan di bantal yang menjadi alas belakangnya.
“Janganlah sebut lagi perkara yang dah lepas.”
Lukman menatap lagi tampang si isteri. “Mahu ke Laila maafkan abang? Abang ni lelaki yang kejam tapi sayangnya abang juga suami Laila. Abang pernah menganiaya Laila sehingga Laila jadi macam ni. Disebabkan itu Laila terperangkap dalam perkahwinan yang Laila tak harapkan. Kerana anak ni Laila terpaksa berhadapan dengan dengan lelaki yang Laila tak suka. Esok lusa entah apa lagi yang berlaku yang semuanya yang Laila tak mahu. Mahu ke Laila maafkan abang kalau abang tak mampu memberikan Laila kebahagiaan seperti yang seharusnya?” soal Lukman agak lemah dan sayu.
Laila semakin kekeluan mendengar nada Lukman sebegitu. Tidak tahu mengapa tiba-tiba Lukman meluahkan kekesalannya. Dalam rasa kasihan dan keperitan perasaannya, dia kini bagaikan terkandang di antaranya. Dia tidak tahu mahu berkata apa untuk menyedapkan hati Lukman. Sekaligus hatinya sendiri.
“Kalaulah masa boleh diputarkan..”
“Abang, apa yang abang merepek ni? Laila rasa ubat yang doktor bagi ni dah buat abang berfikir yang bukan-bukan. Lebih baik abang berehat daripada bercakap perkara yang tidak-tidak!” tukas Laila lebih pantas sebelum sempat Lukman menyudahkan bicaranya.
“Laila terlalu sempurna untuk lelaki macam abang. Abang memang bodoh kerana menganiaya Laila dulu. Abang minta maaf sangat-sangat pada Laila. Abang tahu sampai mati pun abang tak mampu kembalikan semula apa yang abang dah rampas dari Laila dulu.” Lukman dengan lembut menyentuh tangan isterinya.
Laila terpaku menatap perbuatan suaminya itu. Sesungguhnya saat ini perasaannya amat berbeza sekali tatkala mendengar Lukman meluahkan maafnya dengan nada sebegitu rendah. Sesungguhnya hati perempuannya amat tersentuh.
“Kalaulah anak ni tahu apa yang abang dah buat pada Laila selama ini..”
“Abang, berhentilah berfikir yang tidak-tidak. Fikiran abang dah pergi terlalu jauh. Sebagai seorang ayah, takkanlah abang tergamak untuk memberitahu perkara yang akan melukakan hati anak-anak abang sendiri. Apa yang terjadi pada masa lalu, itu rahsia kita berdua. Anak-anak kita tak perlu tahu!” Laila memintas sebelum Lukman sempat meluahkan apa yang bermain di fikirannya. Kebimbangan Lukman itu sering menjadi kebimbangannya selama ini. Namun dia tidak mahu terus menekan pemikirannya dengan andaian yang belum tentu akan terjadi.
Lukman akhirnya menghela nafas perlahan setelah mendengar bicara Laila itu. Seketika kemudian tangannya beralih ke perut wanita itu. “Abang harap anak-anak kita takkan mewarisi segala perangai buruk abang.”
“Abang ayah dia. Abang didiklah dia sebaik-baiknya. Setiap yang kita harapkan kita kena usaha sehingga berjaya. Semuanya takkan datang macam tu aja. Takde mak dan ayah yang nak anak-anak berakhlak buruk. Tapi buruk atau tidak anak-anak kita nanti semuanya bermula daripada kita berdua,” sambut Laila lembut.
“Tapi macamana? Suatu hari nanti Laila juga akan tinggalkan abangkan? Laila akan memilih seorang lelaki yang lebih baik dari abang. Takde perempuan yang mahu bersuamikan lelaki jahat macam abang ni. Laila kahwin dengan abang pun sebab Laila mahu anak ni lahir dalam ikatan perkahwinan. Selepas dia lahir nanti apa akan jadi pada kita? Laila akan tinggalkan abangkan?” Lukman akhirnya meluahkan juga andaian yang sering bermain di dalam dirinya. Dia benar-benar kecewa mengenang semua itu. Sampai bila perkahwinan ini dapat dipertahankan, dia sendiri masih tidak tahu. Masalahnya hanya dia yang mencintai Laila. Laila tidak begitu. Mereka hanya berkongsi cahayamata ini. Hanya itu!
Melihat Laila sekadar mendiamkan diri Lukman menambah lagi bicaranya. “Abang memang tak layak untuk Laila. Abang cuma nak Laila bahagia dengan abang selagi diberikan kesempatan untuk kita hidup bersama.”
Laila menghela nafas perlahan. Bicara Lukman semakin memahat kesayuan di hatinya. Sesungguhnya tiada lain yang berlagu di hatinya ini, dia berharap jika diberikan kesempatan untuk dia menikmati kebahagiaan biarlah kebahagiaan itu berkekalan sehingga ke akhir hayatnya dan bukan hanya untuk sesaat dua.
“Tidurlah. Rehatkan fikiran abang. Ini bukan masa yang sesuai untuk abang fikirkan tentang ini semua.” Laila memutuskan untuk tidak memberikan sebarang komen mengenai apa yang sedang diperkatakan Lukman. Sesungguhnya dia tidak tahu apa yang harus dikatakannya. Diakah yang harus membuat keputusan tentang hidup mereka berdua? Dia? Dia hanya seorang isteri yang bergantung harap kepada kesudian seorang lelaki bernama suami untuk menerima dan menjaga dirinya.


36

Ketika keluar dari keretanya Syahreena terpandangkan kelibat seseorang yang juga sedang menuju keluar dari keretanya. Kereta itu terpakir selang tiga petak dari tempat dia memakir. Syahreena lantas menutup pintu keretanya dan mendekati lelaki yang masih tidak perasan akan kehadirannya.
“Arman..” panggil Syahreena setelah kakinya terhenti lebih kurang semeter dari lelaki itu.
Arman terus berpaling mencari orang yang memanggilnya. Ada perubahan terpeta di wajahnya apabila dua bola matanya menemukan Syahreena di situ. Alamak.. dia nak bagi ceramah lagi ke? Detik hati lelaki itu kalut. Tiba-tiba dia merasa tidak bersedia pula untuk berhadapan dengan wanita itu setelah apa yang berlaku sebelum ini. Rasa malunya pun masih tebal setebal kamus dewan!
“Hai!” sapa Syahreena sekali lagi setelah dirinya hanya dipandang sahaja oleh Arman. Dia tahu lelaki itu terkejut melihat kehadirannya di situ.
Hayalan Arman mati apabila sekali lagi dia disapa Syahreena. “Err.. Hai! Sorry..” Arman menggaru kepalanya sambil tersengih. “Saya tak sangka jumpa awak kat sini? Awak nak tengok Lukman ke?” cuba melayan Syahreena sebaik mungkin tanpa mahu memikirkan peristiwa yang berlaku sebelum ini.
“Saya dengar dia demam teruk. Ayah suruh saya tengok keadaan dia. Kalau teruk saya nak bawa dia ke hospital semula,” ujar Syahreena sambil memandang tepat raut lelaki itu. Dengan t’shirt kolar bulat dan seluar jeans Arman nampak lebih lembut berbanding dalam seragam kerjanya.
Arman sekadar mengangguk tanpa menjawab apa-apa. Entah kenapa dia sukar mengatur bicara saat berhadapan dengan wanita itu. terasa ideanya untuk berbual kering kontang pula.
“Awak jumpa adik awak ke?” soal Syahreena pula. Hairan dia melihat Arman. Banyak berangan pulak dia ni!
“Aa? Ya! Er.. saya ada call Laila tadi. Dia ada mengadu pada saya yang Lukman masih demam semenjak semalam. Sebab tu saya datang. Saya nak tengok keadaan mereka berdua,” jawab Arman sedikit kalut. Entah kenapa fikirannya melayang entah ke mana.
Syahreena mengangguk perlahan. Entah kenapa saat ini dia merasa canggung berada di hadapan lelaki itu. “Awak okaykan?” tanya Syahreena agak perlahan. Dia seolah-olah tidak tahu apa yang mahu dibualkan melihat gelagat aneh Arman.
“Saya okay.. saya biasa je,” jawab Arman pantas sambil dia cuba menghela nafas agar dirinya tenang. Apa kena dengan kau ni, Arman? Tak habis-habis nak jatuhkan maruah sendiri? Cool, man! Dia sempat memarahi dirinya. Namun senyuman terus diukir agar Syahreena tidak perasan apa yang berlaku kepada dirinya saat itu.
“So awak nak naik sekarang ke?” Syahreena lagi yang bertanya untuk merancakkan bicara antara mereka.
“Ya.. ya..” sekali lagi Arman terkena penyakit gelabahnya.
Syahreena sudah mengulum senyum melihat Arman. Lelaki itu nampak benar-benar resah. Tengkuknya diusap berkali-kali untuk mengawal diri. Tanpa kata wanita itu terus berjalan ke arah lobi kondominium itu sambil diekori oleh Arman. Di hadapan lif tiba-tiba beg hitam yang dijinjingnya diambil oleh Arman. Lelaki itu tersenyum sengaja mahu mengambil hati si perempuan.
“Terima kasih,” ucap Syahreena lembut.
“Kasih mu ku terima sekarang juga!” balas Arman sambil tersengih.
Tergelak wanita itu dengan jawapan ala-ala lawak miang itu. Saja nak mengoratlah tu. Kelakar rupanya mamat kaki pukul ni.. detik hatinya sendiri. Namun ada sedikit bahagian di hatinya itu sudah terusik dengan telatah Arman. Saat pintu lif terbuka, mereka masuk serentak. Kini mereka berdua terkurung dalam kebisuan di dalam kotak besi itu. Masing-masing melayan perasaan sendiri.
Di rumah Lukman meriah dengan kehadiran adik beradik Laila dan Lukman. Amirah memang sudah ada di rumah itu semenjak awal pagi lagi. Di dalam bilik Lukman masih terlantar dengan demam yang masih tidak kebah.
“Dia nak makan tak?” Syahreena bertanya kepada Laila.
“Mana nak makannya. Jenuh Laila pujuk dia tetap tak mahu,” jawab Laila rendah sahaja. Matanya terus memandang Lukman yang sedang terlena di atas katil. Pagi ini barulah lelaki itu mahu tidur selepas semalaman dia meracau entah apa-apa. Dia pun sama tak dapat tidu melayan kerenah lelaki itu. Sekejap sakit kepala. Sekejap lagi nak muntah pula.
“Panas sangat ni,” keluh Syahreena setelah melihat termometer yang dilekatkan di atas dahi adiknya.
“Letak kain basah atas kepala dia. tengahari nanti kalau panasnya tak turun jugak, kita bawak dia pergi hospital,” ucap Syahreena kepada Laila di tepinya.
“Jelumlah kepala dia biar panas tu turun sikit,” sampuk Arman sedari tadi dia hanya memandang sahaja.
“Emm.. itupun  boleh jugak. Buat kerap supaya panas dia tu tak bertambah. Kalau mama, dia selalu campur daun bunga raya sebab daun bunga raya boleh kurangkan panas badan,” balas Syahreena.
“Daun bunga raya? Manalah nak cari kat sini ni?” keluh Laila perlahan. Kalau di rumah ayahnya memang banyak. Memang dia tahu daun bunga raya itu amat baik untuk orang demam. Namun semalam dia sekadar menjelumkan kepala Lukman dengan menggunakan asam jawa. Itu juga petua arwah emaknya dahulu selain daripada menggunakan daun bunga raya. Itu sahaja yang mudah dicari buat masa ini.
“Kalau Laila nak, abang boleh carikan daun bunga raya.”
“Kat mana pulak Abang Man nak cari?” tanya Laila hairan.
“Adalah..” Arman tersenyum serta merta. Terbayang di matanya di mana dia melihat pokok bunga raya sebentar tadi. Dia melihatnya di tepi highway..
“Ambil bunganya sekali, Man. Lagi baik kalau kita campurkan sikit dengan bunganya,” ucap Syahreena kepada Arman yang berdiri di belakang mereka.
“Biar saya pergi cari.” Arman akur dengan permintaan bakal buah hatinya itu. Walawei.. dah panggil bakal buah hati. Dah hilang malulah tu! Syahreena punya pasal, usahkan daun bunga raya.. daun bunga refleasia pun dia akan pergi cari sekarang juga!
“Macamana akak boleh datang sekali dengan Abang Man?” tanya Laila setelah Arman keluar mendapatkan apa yang diminta mereka tadi.
 Syahreena yang sedang membasahkan kepala Lukman dengan air sejuk menoleh kepada Laila. “Akak bukan datang sekali dengan Arman. Kami cuma terserempak kat bawah aja tadi.”
“Oo..” melopong sedikit Laila mendengar penjelasan itu. Apa cerita abangnya itu mahu memikat Syahreena? Berjaya ke tidak? Dia terasa mahu tahu pula. “Abang Man ada cakap apa-apa ke dengan akak waktu dia balik dengan akak semalam?” tanya Laila sedikit berkias-kias.
“Cakap apa?” Syahreena merenung seketika wajah adik iparnya itu.
“Yalah.. ada ke dia kata yang pelik-pelik kat akak?”
“Pelik-pelik? Maksud Laila, ajak akak keluar ke?” Syahreena ketawa sedikit.
Terbeliak mata Laila mendengar itu. “Dia dah ajak akak keluar dengan dia ke?” berani sungguh abangnya mengajak Syahreena keluar dalam keadaan begini. Dia tak ingat ke apa yang dia dah buat pada Lukman? Hati Laila terusik sendiri.
Syahreena ketawa santai. “Ada. Tapi akak dah reject!” jawab Syahreena selamba. Tumpuannya dikembalikan kepada adiknya itu. Wajah Lukman sedikit kemerahan dilihatnya. kasihan benar dia melihat adiknya itu.
“Kak Reen menolak sebab tak suka Abang Man atau sebab akak marah apa yang dia dah buat pada Lukman?” duga Laila lembut.
Sekali lagi Syahreena memandang Laila. Namun dia tidak segera menjawab. Buat seketika dia menilai semula pendiriannya tentang itu. “Arman memang jenis panas baran ke?” soal Syahreena semula kepada Laila. Mungkin penilaian dia salah tentang Arman. Kerana baginya, sesiapa pun boleh jadi seperti Arman jika adik sendiri dianiaya orang.
“Abang Man bukan jenis panas baran membabi buta. Dia jenis orang yang berani. Sikap dia yang macam tu buat sesetengah orang rasa dia ni macam samseng. Selama ni Abang Man tak pernah cari pasal dengan orang melainkan kalau ada orang kacau kami,” jawab Laila jujur.
Syahreena terdiam seketika menilai semula gambaran yang Laila berikan kepada dia saat itu. Kemudian cuba dibandingkan semula dengan peristiwa semalam. Arman tidak marah langsung bila dinasihati. Kalau benar dia jenis panas baran, masakan lelaki itu sanggup membiarkan seorang wanita mencalarkan ego lelakinya?
“Mungkin Kak Reen yang salah menilai dia agaknya,” ucap Syahreena seolah-olah sedang bercakap dengan dirinya sendiri. Namun sebenarnya bicara itu sempat didengari oleh Laila.
“Laila akui apa yang dia buat pada Lukman memang melampau. Tapi Laila tak pernah anggap Abang Man tu jahat, kak. Kalau akak kenal dia, Abang Man tu sebenarnya penyayang. Selama ni dia yang manjakan Laila berbanding Abang Idhan.”
“Berapa usia Arman sebenarnya?” tanya Syahreena lagi. Masih tidak jemu berbicara tentang lelaki itu.
“Abang Man sebaya dengan Abang Nizam..”
Syahreena mengangguk perlahan. Jadi maknanya Arman cuba tua darinya setahun. “Akak sebenarnya tak senang dengan apa yang berlaku pada Lukman. Aka faham apa yang Arman rasa selama ini. Tapi cara dia hanya buat keadaan jadi bertambah tak elok. Sekarang ni bila Lukman dah jadi begini, Laila yang paling banyak menanggung kesusahan. Dalam keadaan begini, akak paling bimbangkan keadaan Laila. Laila tengah mengandung sekarang, tambah pula nak jaga Lukman sakit. Itu perkara pertama yang akak selalu fikir, Laila. Tapi akak bukannya nak bermusuhan dengan Arman.”
“Laila faham, kak.”
“Lega jugak hati akak ni bila tengok dia okay dengan akak. Akak bimbang juga dia tak boleh terima penolakan akak.”
Laila ketawa pula. “Kak, dia tu muka sardin. Semalam akak reject dia hari ni dia menebeng lagi kat akak. Laila nampaklah semua tu,” tukas Laila masih dengan tawanya. Syahreena juga akhirnya tergelak. Geli hati memikirkan gelagat Arman.

Petang itu Syahreena dan Amira mula beransur mahu beredar dari rumah itu. Keadaan Lukman juga sudah tidak begitu serius lagi. Dia sudah boleh duduk dan berbual dengan orang lain. Melihat Syahreena sudah mahu berlalu, Arman pun mengekorlah juga. Bersungguh benar dia mahu mengorat Syahreena. Setiba di kereta Amirah terus masuk ke dalam kereta kakaknya itu.
“Dah nak balik ke?” tanya Arman.
Syahreena yang sedang membuka pintu keretanya sempat memandang lelaki itu dengan pandangan aneh. Kalau bukan sebab nak balik, masakan mereka berlalu dari rumah Lukman dan Laila sebentar tadi.Aapa punya soalan tu, der..
“Nak baliklah ni. Takkan baru nak datang pulak..” jawabnya selamba.
“Tak nak sembang-sembang dulu?” tanya Arman lagi dengan sengihan mintak simpatinya itu.
“Kat atas tadi tak cukup sembang lagi ke, Arman?” perli Syahreena dengan sedikit kerlingan.
“Itu sembang beramai-ramai. Sembang kita berdua je belum lagi.” Arman menyambut dengan senyum penuh makna. Ah! Kena tasbiah ke.. tarbiahke.. aku tak peduli! Aku nak jugak dia ni.. bisik hatinya nekad.
Syahreena menggeleng sambil tersenyum. Nampaknya lelaki ini masih tidak mengalah. “Awak nak apa sebenarnya ni, Arman?” soal Syahreena lembut.
“Saya nak awaklah!” sambut Arman selamba.
“Jangan main-mainlah..” getus Syahreena tidak senang dengan jawapan Arman.
“Saya nak keluar dengan awak. Kan saya dah cakap semalam?”
“Dan saya pun dah bagi jawapankan?”
“Selagi saya tak dengar jawapan yang saya nak, saya akan terus tanya,” sambut Arman langsung tidak kecewa dengan reaksi wanita itu.
“Betullah Laila cakap awak ni jenis muka sardin,” ucap Syahreena selamba.
“Laila cakap saya macam tu? Kurang asam punya adik! Sepatutnya dia kena up saya sikit,” getus Arman sedikit terkejut. “Saya tak kisah awak nak kata saya muka sardin ke.. muka tembok ke.. saya tetap nak keluar dengan awak dan awak pun kena keluar dengan saya.”
Syahreena terkesima seketika. Dia tidak mengerti apa yang dimaksudkan Arman. “Kenapa pulak saya kena keluar dengan awak?” soalnya dengan sedikit kerutan di kening.
“Yalah.. awak kata awak nak dua hubungan keluarga ni baik..”
“Ya memang betul. Tapi saya maksudkan hubungan mak saya dan Laila dan hubungan Lukman keluarga awak. Bukannya hubungan kita berdua,” ucap Syahreena sebelum sempat dia termakan temberang Arman.
“Yalah.. kalau hubungan kita berdua baik, itu dah kira bonus. Lagi kukuh!”
“Ada aja jawapan awak nikan? Lelaki kalau tak jual minyak memang tak sah!” keluh Syahreena sambil menggeleng.
Please.. awak tak boleh judge yang saya ni jahat hanya disebabkan kes saya dengan Lukman sebelum ni. Seteruk-teruk adik awak tu, adik saya masih boleh terima dia. Takkan orang macam saya ni awak nak reject macam tu aja? Tak adil!” keluh Arman separuh merayu.
“So awak nak kata pada saya yang awak ni jauh lebih baik daripada Lukmanlah?” balas Syahreena sedikit sinis.
Arman menghela nafas perlahan. “Saya tak kata begitu. Awak ingat saya ni takde perasaan ke bila adik ipar saya mempersendakan saya? Laila tu adik saya, Reen. Awak belum pernah nampak adik awak menangis kerana perbuatan seorang lelaki. Kalau awak dah melalui keadaan tu, awak akan faham apa yang saya rasa selama ini!” ujar Arman bersungguh.
“Tapi itu tak bermakna awak bebas buat apa sajakan? Man, bila saya takde keyakinan pada seorang lelaki, saya takkan bazirkan masa saya dengan dia. Itu prinsip saya selama ini.”
Berubah wajah Arman mendengar kata-kata yang kedengaran cukup tegas itu. Bicara itu menggambarkan yang dia adalah seorang lelaki yang tidak boleh dipercayai pada penilaian wanita itu. Mungkin juga alasan agar dia tidak terus menggangu wanita itu. Mudah sungguh hukuman dijatuhkan kepadanya atas apa yang berlaku selama ini.
“Kata-kata awak tu membuatkan saya teringatkan apa yang pernah Laila ceritakan pada saya dulu. Dulu waktu mereka berdua tu baru berjumpa, Laila pernah rasa yang Lukman bukan seorang lelaki yang baik untuk diri dia. Sebab tu dia asyik menolak Lukman. Tapi akhirnya kita nampak sendirikan ke mana arah hidup mereka sekarang? Saya tak pernah menolak kehadiran Lukman dalam keluarga kami, Reen. Cuma mungkin disebabkan sejarah lalu Laila yang masih terpahat kukuh dalam otak saya ni membuatkan saya terlalu menjaga dia. Bukan setahun dua dia pernah menderita kerana sayangkan seorang lelaki. Dan Laila bukan jenis orang yang senang membuka rahsia hidup dia pada orang lain. Bukan sekali dua saya dapat pujuk dia agar dia lupakan kesedihan hidup dia. Tapi bertahun-tahun!” Arman tunduk seketika sambil menghela nafas sebelum kembali memandang Syahreena yang tenang sahaja memandangnya.
“Awak seorang doktor. Mungkin sepanjang pengalaman awak memegang profession ni, ada sekali dua awak terpaksa berhadapan dengan keluarga pesakit yang tak berjaya diselamatkan. Mesti awak rasa sedih bila nampak keluarga pesakit tu menangis sebab tak mampu menahan rasa sakit akibat kehilangan orang yang disayangi. Tapi saya.. lebih 4 tahun dulu saya pernah melalui pengalaman yang lebih teruk dari itu. Arwah Nahij hilang bila pesawat yang dia kendalikan terhempas di Long Saridan. Saya di antara pegawai tentera yang dihantar ke sana untuk mencari dia. 9 hari lepas berlaku kemalangan tu baru jasad dia dijumpai. Saya yang berada di dalam pesawat tu waktu jenazah ditebangkan ke hospital. Saya yang menunggu di tepi keranda sepanjang perjalanan kami balik ke sini. Saya pandang jenazah dia tapi hanya wajah Laila yang saya nampak di ruang mata saya. Saya tak tahu macamana Laila nak berhadapan dengan kenyataan tu. Perasaan tu tak mampu saya gambarkan dengan apa-apa perkataan sekali pun. Sampai sekarang saya masih terdengar suara Laila meraung bila saya bagitahu dia yang Nahij dah takde. Dia tak ingin cepat kalah pada dugaan hidup ni, Reen. Tapi dalam tahun yang sama dia kehilangan dua orang yang dia sayang. Emak saya meninggal lebih kurang 6 bulan lepas Nahij meninggal. Setabah mana pun dia, dia tetap kalah! Tapi ini semua takde kena mengena dengan Lukmankan? Takde kena mengena dengan keluarga awak, terutama sekali mama awak yang tak boleh terima adik saya disebabkan dia berstatus balu sebelum berkahwin dengan adik awak.
“Ayah saya menangis di hadapan saya bila dia dapat tahu Laila menjadi mangsa rogol. Tak pernah sekali pun terlintas di benak saya ni saya akan berhadapan dengan kenyataan tu. Baru sekejap saya nampak dia mula tersenyum, tiba-tiba kami dihadiahkan dengan kenyataan tu. Awak tak tahu betapa payahnya ayah saya nak membenarkan Lukman menikahi Laila kerana dia bimbang Laila tak bahagia. Jangan suruh saya bersabar. Jangan minta saya bersikap waras dalam keadaan ni, Reen. Takde siapa yang tahu apa yang ada di dalam hati saya ni bila saya nampak adik saya dibawa pergi oleh lelaki yang menjahanamkan maruah dia. Dia satu-satunya adik saya. Kalau dia sengsara, maka sengsaralah saya. Saya tak pernah anggap Lukman lebih teruk dari saya atau saya lebih mulia dari dia. Tapi Lukman.. dia takkan tahu apa yang saya rasa selama ini sampailah dia berada di tempat yang pernah saya lalui selama ini. Dia takkan tahu menghargai apa yang dia ada selagi dia tak merasa kehilangan orang yang dia sayang.”
Syahreena terpaku mendengar luahan Arman. Semua itu terlalu asing kepadanya selama ini. Atau dalam erti kata lainnya, mereka semua tidak pernah mengambil tahu tentang sejarah lalu Laila. Buat seketika Syahreena hanyut sendiri dengan perasaannya.
“Okaylah.. mungkin lain kali bila awak dah bersedia, awak boleh pertimbangkan hasrat saya tadi. Saya tahu saya tak seharusnya mendesak awak,” ucap Arman perlahan.
“Saya minta maaf kalau apa yang saya kata tadi mengecilkan hati awak, Man.”
Arman sekadar tersenyum pahit menelan ucapan maaf itu. Rasanya tiada apa lagi yang mahu diucapkan kepada Syahreena yang sedang memandangnya. “Saya pergi dulu.”
Syahreena sekadar memandang Arman bergerak ke keretanya. Entah kenapa cerita yang dibawakan Arman sebentar tadi membuatkan hatinya sayu dan insaf. Sekurang-kurangnya keluarganya tidak pernah diuji dengan ujian seberat itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan