Khamis, 29 Ogos 2013

4, 5 & 6 MSM

4
“Alah! You ni pemalu sangatlah, Luk. Apa nak dimalukan? Bukannya orang lain tahu pun. Ini rahsia kita berdua..” rengek wanita bernama Mastura agak manja. Lengan sasa lelaki itu diusapnya berkali-kali untuk melemahkan lelaki itu. Semakin itu tidak tertahan rasa hatinya mahukan tubuh lelaki itu berada dalam pelukannya.
Lukman resah sendiri. Inikah tujuannya Mastura mengajak dia ke rumah wanita itu? Wanita itu mahu mengajaknya berseronok. Mahu menolak tidak sanggup rasanya. Mahu menurut begitu sahaja dia takut pula. Walaupun dia ramai teman wanita namun dia tidak pernah melakukan perkara seperti itu seumur hidupnya. Entah apa mimpi Mastura tiba-tiba pula mengajaknya melakukan perkara itu.
“Luk, jomlah..” pujuk wanita itu semakin galak. Telinga lelaki itu diusiknya untuk melemahkan Lukman. “I can teach you if you want. Apa yang nak dimalukan? Biasalah tu kalau baru first time..” bisik Mastura semakin lembut membuai.
“Janganlah. Nanti orang tahu susah kita nanti. I tak berani..” keluh Lukman semakin serba salah. Tanpa sedar kelemahannya terserlah sudah. Sebagai lelaki siapa yang tidak lemah jika dipujuk begini? Dia pula bukannya alim benar. Serba serbi kurang!
“Siapa yang tahu tu? Kita bukannya kat Malaysia sekarang. Mana ada pencegah maksiat tu semua. Orang kat sini tak peduli pun apa kita nak buat. You aja yang takut sangat. Alah! Saja suka-suka. Jomlah. Rumah I free sekarang. Diorang semua pergi travel sepanjang musim cuti semesta ni,” rengek wanita itu masih tidak berputus asa.
“Nanti kalau you pregnant macamana?” soal Lukman masih ragu walaupun keinginan yang sama sudah mula timbul di hatinya. Apalah dayanya untuk menolak sementelah dirinya memang berharap suatu hari nanti dia dapat merasai nikmat yang satu itu.
“I takkan pregnant. I ada pil. You jangan risau pasal tu. You ingat I nak anak ke? No way! I cuma nak berseronok sekejap dengan you. Please..” rayu Mastura tanpa segan silu. Lengan Lukman ditariknya untuk masuk ke bilik.
Lukman semakin resah. Imannya mula goyah. Seumur hidupnya selama 23 tahun ini inilah kali pertama dia digoda wanita sehingga begini sekali. Wanita bernama Mastura ini memang berani. Mengajaknya ke katil sedangkan mereka bukan pasangan kekasih apatah lagi suami isteri. Mereka sekadar teman senegara dan seuniversiti di Manchester ini.
“Janganlah, Mas. I tak berani buat macam tu. Kalau apa-apa terjadi nanti I tak mahu bertanggungjawab. I tak mahu kahwin paksa sebab nak tutup malu ni, you tahu?” tegah Lukman yang masih bersisa sedikit keteguhan imannya.
“Luk, ini rahsia kita berdua di sini. Come on.. kita di UK sekarang. Mana ada orang tahu. Lepas kita grade nanti kita akan balik ke Malaysia. You akan balik pada family you dan I akan balik ke rumah orang tua I. Semuanya akan berlalu begitu saja. Takde siapa yang kisah pun tentang ini semua. Tak semestinya lepas kita tidur bersama you kena kahwin dengan I sebab I buat semua ni bukan sebab nak kahwin dengan you. Kita cuma nak berseronok sekejap aja.” Tidak berputus asa Mastura untuk memujuk lagi.
Sudah lama dia teringin mahu merasai kejantanan Lukman yang amat tampan dan sasa ini. Bukannya dia mahu mengikat lelaki ini kepadanya sebaliknya hanya untuk ‘merasa’ melepaskan gian sekali sekala. Lama dia memendam rasa kepada Lukman. Namun bukan memendam rasa cinta sebaliknya memendam rasa berahinya kepada lelaki itu. Lukman memang kacak, ditambah lagi tubuhnya memang sasa. Semakin geram Mastura dibuatnya.
Please… you cuba sekali dulu. Lepas ni I percaya you takkan menyesal,” ucap Mastura semakin berani. Dia tahu benar Lukman sudah goyah. Pendiriannya tidaklah sekental mana. Mana ada kucing yang mahu menolak ikan? Apatah lagi playboy seperti Lukman!
Akhirnya setelah lebih seharian berada di rumah wanita itu, Lukman bergegas keluar dari rumah wanita itu. Dia berjalan kaki pulang ke rumahnya. Namun pengalaman pertamanya bersama Mastura benar-benar membuatkan dia tersenyum sendiri. Semuanya bagaikan mimpi. Mastura pula memang bijak melayan malah menurunkan sedikit ilmu kepadanya yang masih kaku dan lugu. Sepanjang berada di atas katil bersama Mastura, Lukman merasakan dia seperti berada di tengah-tengah syurga dunia. Tanpa sedikit pun terdetik rasa kesal tanpa rasa sedetik pun merasa bersalah hari ini indah sungguh permandangan bandar Manchester ini dirasakannya!

“Laila! Laila!” panggilan dari Hamidah itu lantas membuatkan Laila menoleh ke arah sahabatnya itu. Perbualannya bersama dengan Professor Ismail di koridor hadapan pejabat pensyarah itu terhenti sebaik sahaja terpandangkan Hamidah. Lelaki tua itu juga memandang hairan kelakuan Hamidah yang kalut semacam.
“Kenapa ni, Midah?” soal Laila mulai cemas setelah melihat sahabatnya itu.
“Prof, maaf ya? Saya ada hal dengan Laila. Penting!” ucap Hamidah kepada lelaki yang merupakan tenaga pengajar di situ. Lelaki itu lantas mengangguk dan berlalu masuk ke pejabatnya. Hamidah segera menarik Laila agar menjauhi kawasan pejabat pensyarah itu.
“Aku ada berita buruk ni..” ucap Hamidah agak resah pada permulaannya. Wajah Laila dipandang antara rasa simpati dan cemas. Entah bagaimana mahu diluahkan berita itu.
“Berita apa ni, Midah?” desak Laila mulai tidak sabar. Serta merta dadanya berdegup kencang. Melihat wajah Hamidah dia tahu ada sesuatu yang buruk telah berlaku.
“Kau sabar ya? Aku tahu kau masih bersedih atas kehilangan arwah Nahij. Aku pun serba salah nak bagitahu kau macamana,” luah Hamidah masih terus berteka teki. Dia sendiri tidak sanggup mahu berterus terang kepada Laila. Bimbang temannya itu tidak mampu menerimanya.
“Bagitahu apa? Midah, kau jangan nak main-mainkan aku. Ini bukan bulan April tau!” bentak Laila sudah hilang sabar.
“Aku bukannya nak buat lawak April fool dengan kau sekarang, Laila. Ini pasal mak kau. Dia pengsan di rumah malam tadi. Tadi waktu aku kat rumah ayah kau call telefon kau banyak kali tapi kau tak jawab. Jadi aku tolong jawabkan bagi pihak kau. Ayah kau kata mak ke sekarang dah dipindahkan ke IJN. Sekejap lagi abang kau akan datang ambil..”
Laila tersentap tidak terkata mendengar setiap butiran yang keluar dari mulut Hamidah. Beberapa kali dia menggelenng bagaikan tidak bersedia untuk menerima berita itu. Nafas yang dihela untuk menenangkan sekeping hatinya terasa begitu  payah untuk keluar dari rongga hidungnya. Mulutnya terkumat kamit menyebut kalimah istighfar beberapa kali. Segala kesakitan yang menyentak hebat ulu hatinya cuba dilepaskan dari dua ulas bibirnya namun dia tidak berupaya untuk menahan dirinya. Lalu tanpa mampu ditahan Laila menangis juga di kaki lima bangunan pentadbiran itu.
Laila tahu emaknya memang menghidap penyakit kegagalan jantung yang sudah memasuki tahap ke tiga. Seharusnya emaknya menjalani pembedahan pemindahan jantung tetapi organ penting itu sememangnya tidak mudah untuk dicari. Emaknya terpaksa menunggu sehingga kini.
“Laila, jangan buang masa lagi. Mari kita keluar. Abang kau dah janji nak datang kampus ambil kau. Aku temankan kau ke hospital, okay?” pujuk Hamidah sambil mengusap bahu teman serumahnya itu.
Mujur juga dia berada di rumah tadi. Mereka yang sedang menghabiskan cuti semesta sememangnya jarang berada di rumah. Laila masih sibuk dengan kelas tutorialnya bagi mengejar semula pelajaran yang sudah banyak ketinggalan sebelum ini. Hamidah pula kadang-kala sibuk dengan aktiviti luar kampus yang dianjurkan oleh kelab-kelab di kampus dan ada rakan serumah mereka ada yang mengambil peluang ini untuk berkerja mencari pengalaman dan duit poket.
“Jom, Laila. Kita jangan membazir masa lagi,” ajak Hamidah. Tanpa kata Laila segera bergerak meninggalkan bangunan itu. Langkah kakinya diatur menuju ke pintu utama kampus universiti untuk ke hospital segera. Debaran di dadanya sudah tidak mampu ditahan kencangnya. Hanya wajah sang emak sahaja yang berada diruang matanya.
Lima minit berjalan kaki akhirnya mereka tiba di luar pintu utama universiti itu. Kelihatan kereta abangnya sudah berada tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Sebaik sahaja terlihat kelibat mereka kereta proton satria berwarna perak itu bergerak mendekati mereka. Laila segera masuk melalui pintu sebelah pemandu.
“Abang Man, mak macamana?” soal Laila cemas sebaik sahaja punggungnya mencecah kusyen kereta itu.
“Mak tenat sekarang. Doktor tengah cuba sedaya upaya untuk selamatkan mak kita. Kita kena berdoa banyak-banyak supaya mak selamat,” ucap Arman lembut cuba memujuk adiknya itu.
“Ya, Allah..” hanya itu yang mampu diluahkan Laila mendengar apa yang diberitahu oleh abangnya itu. Selebihnya dia terus tersandar lemah dan menangis di kerusinya. Hanya itu yang terdaya dilakukan oleh dirinya yang sememangnya masih lemah untuk menghadap berita buruk seperti ini.
“Laila, sabar. Banyakkan berdoa supaya mak kau selamat. Hanya Allah yang mampu membantu mak kau dalam keadaan begini,” pujuk Hamidah juga. Bahu Laila disentuh dari belakang. Diusap lembut bagi menenangkan kekusutan perasaan sahabatnya itu. Namun semakin dipujuk tangisan Laila semakin pecah. Dengan hakikat yang sedang terbentang di hadapan mata dia merasakan dirinya benar-benar malang.
“Laila, abang ada dengan Laila. Kita akan melalui keadaan ni bersama-sama. Insya-Allah, mak akan sembuh, Laila. Laila kena kuat. Ayah perlukan kekuatan kita semua untuk menempuh keadaan ini. Kalau kita lemah dia pun akan lemah, Laila.” Arman pula mengambil peluang memujuk adiknya itu.
“Betul tu, Laila. Kau kena kuat. Ini ujian Allah,” ucap Hamidah segera menyokong kata-kata abang Laila.
“Laila tak mampu untuk menerima kehilangan lagi, bang. Cukuplah dengan yang lalu. Laila tak sekuat tu,” ucap Laila bersama tangisan yang tidak terkawal lagi. Wajahnya lencun oleh air mata kepiluan mengenangkan emaknya. Tanpa sapu tangan atau tisu dia hanya membiarkan sahaja setiap titis air mata membasahi pipinya.
“Laila, kita belum melalui kehilangan tu lagi. Jangan fikir sejauh itu, dik. Doakanlah mak tak apa-apa. Tangisan takkan membantu mak sebaliknya doa kita amat bermakna untuk dia,” pujuk Arman sambil memandang ke hadapan. Saat dia sedang memandu begitu dia tidak mampu memberi perhatian sepenuhnya kepada adiknya itu.
Laila terus terdiam mendengar itu. Tangisannya cuba dikawal namun bahunya terus terhenggot-henggot akibat sendu yang masih tidak larut sepenuhnya. Betapa dugaan ini terasa begitu berat berada di pundaknya. Dia merasa cukup tidak berdaya.
“Tarik nafas perlahan-lahan. Bertenang, Laila. Istighfar banyak-banyak,” kata Hamidah pula apabila dia melihat sahabatnya itu kian tenang setelah mendengar kata-kata Arman. Meluruh sedikit kebimbangannya melihat Laila biar pun tidak kesemuanya.
Mereka tiba di Institut Jantung Negara empat puluh minit kemudian. Laila dan Hamidah terus dibawa ke Unit Rawatan Rapi oleh Arman. Namun mereka tidak dibenarkan masuk kerana peraturan unit itu hanya membenarkan seorang pelawat sahaja yang masuk pada satu masa. Terpaksalah Laila menanti di luar sementara Arman pergi memanggil ayah mereka. Hamidah pula duduk di kerusi yang disediakan berhadapan dengan pintu wad itu.
Sebaik sahaja ternampak wajah ayahnya Laila terus meluru ke arah ayahnya itu. Segala kesedihan dan tangisannya dihamburkan di sebalik tubuh lelaki itu. Tidak dipedulikan pandangan orang disekelilingnya saat itu. Tubuh pakcik Syahar dipautnya erat sehingga lencun kemeja lelaki itu oleh airmatanya.
Pakcik Syahar kelu untuk memujuk anak perempuannya itu kerana dia sendiri sedang hebat dilambung kepiluan. Hanya pelukan Laila mampu dibalasnya. Perlahan setitis demi setitis air matanya ikut mengalir menangisi penderitaan isterinya. Perkhabaran dari doktor sebentar tadi membuatkan dia semakin kelu untuk meluahkan apa yang tersirat di hatinya saat ini. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dalamnya kesedihan yang dialaminya saat melihat sang isteri yang selama ini amat setia kepadanya lemah tidak berdaya begitu. Tetapi apakan daya. Kuasa Allah lebih hebat menandingi segalanya. Dia harus reda dengan hakikat ini.
“Laila, pergilah tengok mak. Dia takkan lama lagi dengan kita, nak.” Pakcik Syahar berbicara perlahan. Kepala anak bongsunya itu diusap perlahan. Hakikat itu tidak mampu disembunyikan lagi. Laila perlu tahu keadaan sebenarnya supaya mereka sama-sama dapat bersedia.
“Laila tak sanggup kehilangan mak, ayah. Laila tak mampu untuk menghadapi semua ni. Tolonglah Laila, ayah. Jangan biarkan mak tinggalkan kita.” Laila merintih dalam tangisannya. Tubuh sang ayah masih tidak mampu dilepaskan. Kepalanya digelengkan perlahan. Hakikat itu tidak mampu untuk diterimanya.
“Ayah juga begitu, Laila. Tapi suratannya tak sama seperti yang kita mahukan. Kita harus reda dengan semua ni. Itu lebih baik daripada kita melihat mak terus menderita dengan penyakitnya. Bersabarlah, nak.” Nada Pakcik Syahar bergetar akibat dicengkam sebak yang cukup menyiksakan.
Semakin kuat tangisan Laila sehingga Arman yang hanya memandang dari tadi turut memegang bahu adiknya itu. Tanpa dapat ditahan lagi air matanya juga ikut mengalir. Betapa dia sendiri juga tidak kuat untuk menerima kata-kata ayahnya itu. Betapa singkatnya masa yang diberikan kepada mereka untuk merasai kasih seorang ibu oleh Tuhan. Tanpa sedar masa itu kini kian menuju ke pengakhirannya. Selepas ini tiada lagi suara emak mereka memujuk dan meleterkan mereka saban hari. Melihat dua anaknya itu menangis akhirnya Pakcik Syahar juga akhirnya ikut menangis sambil mendakap anak-anaknya itu. Tangisan tiga beranak itu turut diiringi oleh linangan air mata dari Hamidah yang hanya memandang dari tadi. Dia sendiri sebak melihat kepiluan satu keluarga itu.
Pakcik Syahar melepaskan pelukannya setelah dirinya tenang. Air matanya dilap dengan lengan bajunya. “Ayah mahu anak-anak ayah tabah dengan dugaan Allah kali ini. Anak-anak ayah adalah kekuatan ayah. Pergilah jumpa mak selagi masih diberikan kesempatan. Hidup kita memang bukan untuk selamanya. Hari ni mungkin dah ditentukan Allah mak akan pergi meninggalkan kita. Esok lusa kita takkan tahu siapa pula yang menyusul. Pergilah. Mak ada di katil nombor 4,” ucap Pakcik Syahar setelah dia mendapat sedikit ketenangan.
“Laila, pergilah tengok mak. Lepas tu baru abang pergi,” ucap Arman lembut meminta Laila mendahuluinya.
Laila akur. Dia sempat menyapu pipinya yang basah dengan telapak tangannya sebelum menolak pintu wad itu. Buat seketika dia sempat memandang semula ayahnya. Anggukan ayahnya itu bagaikan menyalurkan sedikit lagi kekuatan buatnya untuk meneruskan langkahnya.
Di dalam wad itu banyak pesakit yang mungkin senasib dengan emaknya ditempatkan. Laila mencari emaknya berdasarkan nombor katil yang telah disebutkan oleh ayahnya. Setelah dibantu oleh jururawat yang menyapanya dia akhirnya menemukan batang tubuh wanita yang melahirkannya suatu masa dahulu dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan berpuluh wayar berselirat merentangi tubuh itu. Betapa hanya air mata yang mampu dialirkan bagi menggambarkan rasa hatinya saat ini. Mesin penyambung hayat yang dipasangkan mengeluarkan bunyi ‘beep’ agak perlahan menandakan denyutan jantung si pemakainya amat perlahan saat ini. Carta yang tertera di skrin hitam itu juga menunjukkan graf timbul yang mewakili denyutan jantung itu hanya melintas sekali-sekala sahaja.
Laila menangis semahu-mahunya di sisi katil itu. Dia tahu ayahnya tidak beromong kosong tentang keadaan emaknya. Penyakit jantung kronik yang dihidapi oleh emaknya itu sudah menuju ke tahap akhir. Tiada apa lagi yang dapat mereka lakukan selain dari berserah kepada ketentuan Yang Maha Kuasa.
‘Wahai Tuhan ku yang amat aku kasihi.. ringankanlah penderitaan ibu ku. Ringankanlah derita di hati ku ini. Ringanlah kesedihan yang sedang bertapak di jiwa ku ini. Sesungguhnya aku tahu Engkau sedang menguji ku.’ Hati Laila berbisik dalam.
“Mak, jangan tinggalkan Laila. Laila masih perlukan mak dalam hidup Laila. Laila tak mahu mak pergi secepat ini. Mak tolonglah kembali semula pada kami,” ucap Laila sambil dia menyentuh tubuh emaknya itu. Rambut sedikit keputihan ibu kesayangannya diusap lembut.
Wanita itu hanya membisu tidak mampu lagi memberi apa-apa reaksi kepada bicara si anak. Kesedihan si anak juga tidak dapat dipujuknya. Tiada lagi nasihat sebagai penguat semangat. Semuanya sudah terhenti saat itu. Laila terus memandang ibunya. Tampang sang ibu dipandang sepuas-puas hatinya agar satu masa nanti dia tidak terlupa akan rupa wanita yang melahirkan dan membesarkannya selama ini. Namun semakin itu dia tidak dapat menahan air matanya. Bibirnya bergetar hebat menahan tangis namun dia tidak berdaya. Penghadang di tepi katil itu digenggam kuat sebagai penyokong kakinya yang mula terasa lemah.
“Mak, macamana Laila nak menghadapi semua ni? Laila tak kuat, mak. Laila nak mak selalu ada dalam hidup Laila. Laila belum bersedia untuk kehilangan mak. Laila tak sanggup, mak. Jangan tinggalkan Laila.” Laila merintih kesayuan sendiri di situ.
“Mak, jangan pergi..” Laila terus merintih dengan sejuta harapan agar wanita itu mendengar bicaranya. Namun wanita tua itu terus kaku.
Malam itu setelah selesai menunaikan solat isyak Laila duduk bermunajat di atas sejadah. Lama sekali dia menadah tangan memohon kepada Yang Esa. Bibirnya terkunci namun hatinya terus berkata-kata dengan mata yang kian berkaca. Kepada Yang Esa dia meminta agar penderitaan emaknya dikurangkan. Kepada Yang Maha Mengampunkan dia memohon agar segala dosa emaknya diampunkan. Kepada Tuhan yang maha pengasih dia merayu agar wajah emaknya dipalingkan dari api neraka. Tidak lupa kepada Yang Maha Melihat dia menggantung harapan agar dirinya diberikan kekuatan untuk meneruskan hidup ini.
Laila sedar tiada apa yang membataskan dia dari pandangan Allah. Sesungguhnya dia tahu Allah maha mengerti apa yang sedang dilaluinya ini. Dipujuknya hati agar mengerti yang Allah tidak akan menzalimi dirinya sebaliknya setiap yang telah Allah tentukan sudah tercatat di Loh Mahfuz dan tersirat seribu hikmah yang tidak diketahui oleh akalnya yang terbatas. Selepas mengaminkan doanya dia berteleku seketika di sejadah itu sambil mengira tasbih. Zikir dialunkan tanpa henti sebagai penguat semangatnya untuk menempuh setiap dugaan selepas ini.
Namun seketika kemudian alunan zikir itu terhenti apabila terasa dirinya disentuh dari belakang oleh seseorang. Laila tahu ada seseorang yang masuk ke surau itu. Laila menoleh agak lambat untuk melihat siapa yang menyapanya dengan sentuhan itu.
Hamidah sedang memandangnya. “Ayah kau panggil.” Hamidah berkata perlahan serba ringkas.
Laila mengangguk perlahan. Marhana ditanggalkannya dengan seribu ketenangan di hati. Dia tahu pasti ada sebab mengapa dia dipanggil ayahnya. Dia sudah bersedia biar pun apa yang dihadapkan kepadanya nanti tidak akan menggembirakan. Selepas memasukkan kelengkapan solatnya ke dalam begnya dia berjalan menuju ke wad tadi. Kalau sebentar tadi di luar wad ada abang Idhan dan kakak iparnya, Maryam menanti kini ruang itu sudah tidak lagi berpenghuni.
Laila segera masuk ke wad ICU itu bersama Hamidah. Di katil yang menempatkan emaknya dia menemukan kesemua ahli keluarganya berkumpul termasuklah bekas mertuanya suami isteri.
“Laila, mari jumpa mak buat kali terakhir. Mak dah tak kuat lagi, nak. Dia takkan mampu bertahan lebih lama lagi,” ucap Pakcik Syahar. Setitis air matanya mengalir saat memandang anak perempuan tunggalnya itu. Tangan Laila dipegang erat agar anaknya kuat untuk menempuh saat-saat ini.
Laila akur. Dalam pada dia mendekati katil itu kaki dan tangannya menggigil. Buat seketika dia sekadar memandang sayu raut wajah ibunya. Paras itu dipandang sepuas-puas hatinya. Namun seketika kemudian dengan perlahan dia tunduk mendekatkan bibirnya ke telinga emaknya. Semoga emaknya mendengar apa yang dibisikkannya saat itu.
“Mak.. pergilah, mak. Laila sedar mak bukan milik Laila selamanya. Kita semua hak Allah. Ampunkan dosa-dosa Laila selama ini. Halalkan air susu mak yang mengalir menjadi darah dalam tubuh Laila ni. Mak, Laila sayangkan mak sangat-sangat. Mak akan selalu berada di hati Laila dan nama emak akan terus berada dalam doa Laila selagi Laila hidup. Redakan hidup Laila, mak dan Laila reda mak pergi untuk menyempurnakan perjalanan yang masih tidak lengkap. Detik waktu yang berlalu dalam hidup kita semuanya akan berakhir kepada Allah. Pergilah, mak.” Laila berbisik perlahan.
Seketika kemudian Laila mengucup lembut dahi emaknya. Menitis lagi air matanya yang ditahannya sedari tadi. Akhirnya dia teresak lagi. Kekuatan yang ada tidak setara dengan kehibaan hatinya saat ini. Esakan Laila sudah tidak tertahan lagi sehinggalah bahunya dipaut seseorang dari belakang.
Idhan memicit lembut bahu Laila meminta adiknya itu bersabar. Seketika kemudian Laila dibawa menjauhi emaknya itu sementara ayah mereka mengambil alih tempatnya tadi. Dengan linangan air mata Laila memandang ayahnya membisikkan kalimah mentauhidkan Allah sebagai Tuhan yang satu di telinga emaknya. Kali kedua bisikan itu dialunkan kelihatan kerongkong wanita yang sedang terbaring lemah itu bergerak-gerak sedikit sebelum akhirnya tubuhnya kaku.
Garisan putih panjang yang timbul di skrin mesin penyambung hayat itu segera difahami oleh mereka semua. Bunyi nyaring yang kedengaran dari mesin itu mengesahkan lagi yang emak mereka sudah tidak bersama mereka lagi.
Tidak mampu memandang kain putih menutupi jenazah emaknya Laila berpaling. Hamidah di belakangnya segera memeluknya. Di sebalik pelukan erat sahabatnya itu tertumpah lagi air matanya buat kesekian kali. Sepanjang masa ini air matanya menjadi terlalu murah. Kehilangan demi kehilangan yang dialaminya benar-benar menguji keimanannya sebagai hamba Allah.
“Setiap yang hidup pasti akan mati, Laila. Dari Allah kita datang dan tidak akan ke mana perginya penghujung hidup kita ini melainkan kembali ke pangkuan-Nya. Bersabarlah..” Hamidah berbisik lembut.

Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, Johor Bharu.
“Fasubanallazi biyadihi malakutu kullisyain wailaihiturjaunnn… Sadaqallahul adzim..” Bacaan surah Yasin itu diakhirinya dengan lelehan air mata. Naskah suci itu dikucupnya dengan rasa sebak yang amat dalam. Kini sudah enam bulan berlalu semenjak dia kehilangan suaminya, Nahij. Kesedihan yang ada tidak berkurang sebaliknya dia diuji lagi dengan pemergian emak tercinta.
Laila sudah tidak memiliki apa-apa kekuatan untuk tabah lagi. Namun biar apapun keadaanya, sama ada dia bersedia atau tidak, inilah suratan buat dirinya. Kalau dahulu naskah suci itu dibacakan buat suami tercinta namun kini dia membacanya untuk ketenangan roh arwah emaknya yang jasadnya semenjak semalam dikebumikan di tanah perkuburan ini. Emaknya pergi juga setelah beberapa tahun bertahan dengan penyakit jantung yang dihidapinya.
“Mak.. Laila rasa kehilangan sangat. Tanpa mak dalam hidup Laila, entah macamana Laila nak meneruskan hidup ni. Laila masih perlukan mak. Laila sedih, mak. Orang-orang yang Laila sayang dah tinggalkan Laila. Abang Nahij, mak.. dah pergi jauh dari Laila. Pada siapa Laila nak mengadu nasib Laila kalau mak dah takde lagi dengan Laila? Mak yang paling mengerti hati Laila selama ini,” luah Laila dengan lelehan air mata.
Namun seperti mana dia sering berbicara dengan pusara arwah Nahij begitu juga dengan kuburan ini. Kaku! Bisu! Itulah yang didapatinya. Bukannya Laila tidak sedar orang yang sudah mati tidak akan bisa lagi bangkit berbicara dengannya. Tetapi hanya itu sahaja caranya masih ada untuk dia meluahkan kesedihannya.
“Laila..” panggilan itu tidak dihiraukan Laila. Dia terus melayan kesedihannya dengan memandang tanah merah di hadapannya itu.
Hamidah dam Asmadi mendekati Laila di pusara itu.
“Mari kita balik? Dah lama kita kat sini,” ucap Hamidah lembut sambil meraih bahu Laila agar bangun dari situ. Asmadi sekadar memandang sahabatnya itu yang masih kesedihan.
“Aku nak duduk sini, Midah. Biarkan aku di sini. Aku nak temankan mak aku..” luah Laila agak lemah.
Hamidah mengeluh perlahan. Sempat dia memandang Asmadi seakan meminta bantuan lelaki itu untuk memujuk Laila. Namun Asmadi sekadar membuat isyarat mata agar dia mencuba lagi.
“Laila, tak baik begini. Biarkan roh mak kau aman di sana. Kita tak boleh meratapi pemergian ni kerana mereka pergi bertemu Allah, Laila. Kau dah lupa? Kita semua adalah milik Allah. Mak kau tak kemana-mana. Dia hanya kembali pada Allah yang mencipta kita semua. Jangan biarkan kesedihan kau tu menyesatkan kau. Tak baik macam ni.” Hamidah memujuk lagi dengan sabar.
“Aku tak tahu macamana nak harungi semua ni. Aku rindukan mak aku, Midah. Aku rindu sangat-sangat. Aku fikir aku boleh hadapi keadaan ni tapi tak boleh! Aku bukan orang yang kuat, Midah.” Laila merintih sambil memandang kuburan ibunya. Sekali lagi dia menangis hiba. Tidak tertahan akhirnya kedua belah tangannya ditekapkan ke wajahnya. Bahunya terhinggut-hinggut mengawal tangisan.
“Aku faham perasaan kau. Kita sama-sama dah kehilangan ibu. Laila, janji Allah kepada arwah sudah tiba. Kita kena reda. Sabarlah, Laila. Allah takkan biarkan kita begitu sahaja. Sakit ni hanya sementara. Lama kelamaan akan pergi jugak. Ingat Allah banyak-banyak.” Hamidah berbicara lembut sambil mengusap bahu Laila dari belakang.
Memang tepat keputusannya untuk menemankan Laila di sini. Laila memerlukan teman. Laila tidak boleh dibiarkan sendirian mengharungi keadaan ini. Itulah kata hati Hamidah saat memandang betapa lemahnya diri Laila saat itu. Menerima berita pemergian suami dan emak dalam tempoh yang tidak jauh seperti ini memang tidak mudah. Namun bagi Hamidah, Allah tidak akan menduga manusia melebihi dari kekuatan yang ada pada hamba-Nya itu. Begitu jugalah dengan Laila.
Arwah emak Laila berasal dari Kampung Melayu yang terletak di tengah-tengah bandaraya Johor Bharu ini. Namun menurut apa yang pernah diceritakan Laila dahulu emaknya sudah lebih 20 tahun tidak pulang ke JB setelah pemergian arwah neneknya. Emaknya sememangnya tidak mempunyai saudara mara lagi di sini. Kerana mengahwini ayah Laila, emak Laila akhirnya menetap di kampung asal ayah Laila setelah dirinya sebatang kara. Namun sebelum meninggal tempohari arwah sempat berpesan agar jasadnya disemadikan di tanah perkuburan ini bersebelahan dengan kubur arwah emak dan ayahnya. Setelah menghembuskan nafas yang terakhir di IJN dua hari lalu arwah emak Laila terus dibawa balik ke sini untuk di kebumikan.
“Laila, tabahlah. Dugaan di atas dunia ni hanya sedikit. ALLAH takkan memberatkan kita dengan sesuatu yang tak mampu kita galas, Laila. Sabarlah..” pujuk Hamidah apabila Laila masih juga berteleku di tepi kuburan ibunya yang masih merah itu. Tidak tahu lagi mahu berkata sementelah setiap pujukannya langsung tidak memberi kesan kepada Laila.
“Laila, kita ni orang islam. Sebagai orang islam wajib kita berpegang kepada qada’ dan qadar dari Allah. Bukan begini caranya kalau betul kau sayangkan arwah mak kau. Kau kena kuat, Laila. Tak lengkap iman kita sebagai hamba Allah kalau kita tidak diuji dengan kesakitan seperti ini. Allah uji kita bukan kerana Dia bencikan kita sebaliknya kerana Dia sayangkan kita. Aku rasa kau tahu tentang itukan?” Asmadi pula tiba-tiba bersuara setelah puas memandang sahaja dua sahabatnya itu.
“Memang mudah untuk kita kalah dalam keadaan begini. Kita selalu menjadikan kelemahan kita sendiri untuk tersesat sedangkan kita tak sedar, Allah tahu apa yang ada dalam diri kita ni. Berhenti menangis, Laila. Berhenti menangisi takdir kau sebab Allah berikan ganjaran yang baik untuk orang yang sabar dan reda. Menyalahkan takdir tu bukan sifat orang beriman. Tangisan kau tak menguntungkan sesiapa pun termasuk diri kau sendiri.” Asmadi berkata lagi sambil merenung Laila. Kali ini nadanya sedikit tegas.
Laila akhirnya akur dengan bicara Asmadi. Tubuhnya yang lemah itu dibantu oleh Hamidah untuk bangun. Seketika kemudian mereka beredar namun Laila menoleh semula ke arah kuburan itu dengan lelehan air mata di pipi. Terlalu berat untuk dia pergi namun dia sedar hidup harus diteruskan. Di sanalah tempat emaknya sebaliknya dia harus terus menongkah arus dunia ini untuk mencari keredaan Allah.
“Laila, sesuatu yang dipinjamkan kepada kita kemudian diambil semula oleh tuannya, wajarkah kalau kita berasa sedih sedangkan semenjak awal lagi kita sedar yang itu bukan milik kita yang mutlak? Apa yang kita ratapi itu adalah milik Allah. Allah lebih berhak kepada setiap hamba-Nya. Panjang umur kau akan ke sini lagi, Laila. Tapi waktu tu takkan ada lagi air mata. Takkan ada lagi rintihan pilu. Takkan ada kekesalan. Sebab waktu tu kita sudah mampu belajar tentang hidup ini. Waktu tu kita semua akan sedar tiada gunanya kita menangis. Kerana sampai satu masa nanti kita juga akan diusung ke sini. Kita juga takkan mahu orang yang menghantar kita ke sini meratap menangis kerana waktu tu kita sudah sampai ke peringkat seterusnya sebelum kita bertemu Allah,” ujar Asmadi lembut di sisi Laila.
Laila menoleh semula kepada Hamidah dan Asmadi yang begitu setia menemaninya sehingga ke sini. Seketika kemudian dia mengangguk tanda akur menerima nasihat yang dihulurkan oleh sahabatnya itu. Ya! Semua manusia adalah milik Allah. Bukankah setiap manusia harus mengimpikan untuk bertemu dengan Allah suatu hari nanti? Kematian adalah satu-satu jambatan untuk bertemu dengan Allah di akhirat nanti.
“Ingatlah, Allah sentiasa sayangkan kita, Laila. Tiada kasih sayang di atas dunia ini yang setanding dengan kasih-Nya kepada kita semua.” Asmadi berbicara lagi.

Langkah kembali diatur oleh mereka untuk meninggalkan tanah perkuburan itu. Malam ini mereka akan pulang semula ke kampung di Perak. Mungkin dalam tempoh yang terdekat ini Laila tidak akan mampu kembali ke sini untuk menjenguk emaknya namun tidak mengapa. Dia tahu doanya sudah cukup untuk mengiringi langkah arwah emaknya itu di alam sana. Seperti mana dia sering mendoakan arwah Nahij begitu juga emaknya. Dia tidak akan lupa!


5
“You tipu I kan?” soal gadis itu.
Lukman menghela nafas keras sambil menggeleng perlahan. “Tipu apanya?” degusnya kebosanan. Wajah wanita itu sengaja tidak dipandangnya. Derai air mata di pipi wanita itu langsung tidak membenih biar sedikit pun rasa simpati di hatinya. Rasanya dia lebih seronok memandang orang ramai yang lalu lalang di sekeliling mereka daripada memandang gadis itu.
“Kenapa semenjak kebelakangan ni you selalu mengelak bila I minta you datang ke London? You dah ada orang lainkan?” soal wanita itu dalam tangisan yang tertahan.
Cerita demi cerita yang didengarinya selama ini cukup-cukup menghancurkan hatinya. Sikap acuh tidak acuh Lukman kepadanya selama ini menambah lagi kesengsaraannya. Tidak cukup Lukman mempermainkan perasaannya, kini kegadisannya juga ranap di tangan lelaki ini.
Lukman sekadar mendiamkan diri tanpa memandang wanita itu. Bosannya! Degus hatinya sendiri. Kalau boleh dia mahu segera pergi. Malas mahu melayan Lukman sengaja berlagak seolah-olah wanita itu tidak wujud di hadapannya. Itu cara yang terbaik untuk dia tidak memeningkan kepalanya dengan masalah perempuan ini.
“Luk, kenapa you layan I macam ni? Apa salah I?” rayu wanita itu tanpa segan silu. Sedaya upaya cuba untuk menyelamatkan hubungannya dengan Lukman walaupun dia tahu harapannya tipis.
“Tolonglah! You ni membosankan, tahu tak! I takde masa nak fikir pasal ni semua. Kalau takde apa-apa lagi I nak balik kampus sekarang!” degus Lukman sedikit kasar. Tajam pandangannya saat bola matanya menyinggah seketika di wajah sendu di hadapannya. Tangisan sang perempuan tidak langsung mampu menjentik rasa simpatinya.
“Sampainya hati you, Luk. Takkanlah selama lapan bulan kita berkawan ni you langsung takde rasa apa-apa pada I? You tahukan yang I sayangkan you?” keluh wanita itu kesayuan. Lengan Lukman cuba disentuhnya namun lelaki itu hanya bungkam bagaikan tidak berperasaan di hadapannya.
“I memang bodoh! I sepatutnya dengar nasihat kawan I. Semenjak awal lagi dia dah ingatkan I supaya jangan percayakan you tapi I yang tak mahu dengar. I sangka you akan berubah bila kenal dengan I. Tapi I salah! You buat I sama aja macam perempuan-perempuan yang you kenal sebelum ni. You hanya main-mainkan I!” Semakin berderai air mata wanita itu di akhir bicaranya. Esakannya mengalunkan kekesalan tidak terhitung. Betapa bodohnya dia kerana mempercayai lelaki ini.
Come onlah, Sha! Apa yang I dah buat pada you? Apa bendanya yang I tipu you? Bila masanya I main-mainkan you? I tak pernah declare yang kita ni lebih dari seorang kawan. Jadi bahagian mana yang I ni dah main-mainkan you?” bentak Lukman sambil menarik kembali lengannya dari wanita itu. Kasar perbuatannya membuatkan gadis itu tersentak. Karater Lukman yang berada di hadapannya ini terlalu jauh berbeza daripada yang dilihatnya selama ini.
“Jadi selama ni you bawa I travel sampai ke Scotland tu untuk apa? Sekadar kawan? You bagi bunga dan mesej-mesej romantik pada I tu semua? Juga sebagai kawan? Kenapa you layan I macam ni, Luk? Kalau I sekadar kawan kenapa you panggil I sayang selama ni? Kalau I bukan kekasih you kenapa you sentuh I?” ucap wanita tidak mudah membenarkan dirinya diabaikan semudah itu oleh lelaki ini.
Kali ini Lukman terdiam. Ada sedikit perubahan mula terlakar di wajahnya. Terlupa pula yang dia memang ada memanggil begitu kepada wanita itu. Hujah wanita itu tidak terdaya dibalasnya untuk memenangkan diri sendiri melainkan dia asyik memikirkan taktik untuk menang dengan cara kotor. Wanita itu dibiarkan terkapai-kapai begitu sahaja.
“I cuma nak dengar apa yang benar sekarang. Kalau you memang tak mahu I lagi berterus-teranglah. Jangan biarkan tertanya-tanya begini. Kalau betul perasaan ni hanya milik I seorang I takkan ganggu you lagi!” desak wanita itu saat melihat Lukman sekadar mendiam diri.
Lukman pantas mengalihkan pandangannya kepada wanita itu. “Okey! I akan berterus terang kalau itu yang you nak. I dengan you memang tak pernah ada apa-apa yang boleh dikatakan lebih dari seorang kawan. Maaflah kalau you terasa I ni kejam tapi I memang suka panggil kawan-kawan perempuan I begitu. I harap you faham sikap I yang sebenarnya. I tak pernah terfikir nak jadikan you lebih dari itu dan you tak boleh salahkan seorang dalam hal ini. Kita berdua terlanjur pun bukan I yang paksa, you sendiri yang relakan. Are we done here?” ucap Lukman antara sinis dan jengkel.
Wanita itu mengangguk perlahan sambil menyeka sisa-sisa air matanya. Tiada guna dia melalak bertangisan di situ lagi kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Biarpun ucapan Lukman menyiat pedih hatinya namun dia sedar sudah tiada gunanya dia menangis di situ. Lelaki itu tidak pernah ikhlas kepadanya.
“I faham. Cinta tak boleh dipaksa dan I takkan merendahkan maruah I untuk itu. Kalau itulah yang you katakan I harus akur, Luk. Cuma I ada soalan untuk you. Apa sebab you buat semua ni?” suara wanita itu sedikit tenang saat itu.
“Apa maksud you?” soal Lukman semula sambil mengangkat keningnya.
“Kenapa you main-mainkan kami semua? Apa yang you cari sebenarnya?”
Lukman ketawa sekilas dalam kesinisan. “You rasa I dah main-mainkan you ke? Takdelah! I tak main-mainkan sesiapa. Cuma I ni memang cepat bosan. I tak suka serius dalam satu hubungan. Sebab perempuan ni bila dah sayang mulalah nak tetapkan seribu satu syarat untuk lelaki sedangkan I paling tak suka dikongkong. I jenis lelaki yang tak suka komitmen.” Lukman menjawab selamba tanpa merasa bersalah.
“Ya! Mungkin I yang tersalah menduga selama ini. I memang bodoh kerana percaya pada you. Takpelah! I rasa ini mungkin akan jadi perbualan yang terakhir kita. I minta maaf kalau selama ini I ada menyusahkan you. I ikhlas sayangkan you tapi mungkin Tuhan menetapkan I tak cukup baik untuk you.”
Lukman sekadar memandang langkah wanita itu yang semakin jauh. Tiada kesedihan yang dirasainya biarpun sedikit. Tiada kesayuan menapak di hati saat melihat wanita itu menghilang dari sisinya. Sebaliknya dia merasa amat lega setelah wanita itu dapat disingkirkan dengan semudah ini.

Kenduri tahlil sudah lama berakhir. Namun kesedihan masih sama. Menungannya juga masih berkisarkan tentang kisah yang sama. Dirinya tidak ubah seperti mayat hidup. Makan dan minum bukan lagi keutamaan sebaliknya menangis sudah menjadi makanannya setiap hari sehingga Hamidah sudah tidak tahu mahu berkata apa lagi untuk memujuk.
“Mak, Laila rindukan mak. Kenapa mak pergi terlalu cepat. Langsung takde petanda. Sama macam abang Nahij tinggalkan Laila dulu. Kenapa, mak?” luah Laila seorang diri setelah dia puas memikir. Sekalian itu air matanya jatuh di pipi. Tidak tertanggung kepiluan hati mengenang kedukaan hidupnya semenjak kebelakangan ini.
Menungan Laila langsung tidak tergugah tatkala terdengar pintu biliknya ditolak seseorang dari luar. Sedikit pun dia tidak menoleh malahan dia langsung tidak mempedulikan kehadiran manusia itu. Kekosongan hatinya membawa hayalannya jauh terbang mencari bayang arwah emaknya.
“Laila..” satu suara garau menyapa lembut deria pendengarannya. Laila sekadar bungkam tidak menjawab sapaan itu. Atau sebenarnya dia tidak peduli dengan panggilan Abang Armannya itu.
Arman mengambil tempat di sisi katil pembaringan adiknya itu. Tidak jauh dari tingkap tempat Laila meluahkan kesedihannya. Buat seketika Arman memerhatikan sekeliling bilik itu sebelum memandang semula Laila yang masih hanyut dengan dunianya. Untuk ketika cuba dimengertikan setiap cebis kesedihan dan penderitaan adiknya itu.
Bukan mudah! Itulah jawapan yang didapatinya setelah dia cuba meletakkan dirinya seketika di tempat adiknya itu. Bukan mudah untuk menjadi Laila seperti Laila yang ada pada hari ini jika dia tidak terselam perasaan adiknya itu. Tempat bergantung juga tempat bermanja diambil semula oleh Sang Pencipta dalam tempoh yang tidak jauh. Kasihan sungguh kasihan tetapi inilah hakikat yang ditetapkan Allah buat mereka semua.
Arman memandang lama belakang tubuh adiknya itu. Tubuh itu kian susut saban hari. Apa tidaknya.. jika sekadar tangisan dan menungan yang menjadi makanannya sehari-hari apalah yang mampu disimpan lagi oleh batang tubuh itu?
“Laila, abang benar-benar risaukan Laila. Dah beberapa hari Laila tak makan. Laila tak lapar ke?” Arman akhirnya meluahkan bicara setelah lama diamati adiknya itu.
Laila hanya diam. Terus juga membuang pandangan ke luar tingkap seolah-olah tidak mendengar apa-apa. Malah dia terus beraksi seolah tiada sesiapa berada di bilik itu bersamanya. Namun dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sebaknya dia mendengar bicara abangnya itu. Hatinya berkata-kata sendiri. Makan? Apalah yang mampu ditelannya dalam keadaan hatinya seperti ini? Apalah yang mampu diisi ke dalam perutnya jika sepanjang masa dia hanya terbayangkan bayang arwah emaknya melayannya berbicara ketika di meja makan? Apalah yang mampu disuapkan ke dalam mulutnya jika dia asyik terfikirkan masakan emaknya? Dia rindu semua itu. Kerinduan itulah yang menyiksanya setiap saat!
“Laila, kami semua masih ada untuk Laila. Kami semua masih perlukan Laila. Jangan terus begini, dik.” Arman mencuba sekali lagi dengan sabar.
Memujuk orang yang sedang begini memang tidak akan semudah yang dibayangkannya. Itulah pesanan ayah mereka sebentar tadi. Dia harus bersabar dan tidak cepat berputus asa. Laila dilihatnya masih seperti tadi. Berdiam diri sambil memandang keluar tingkap tingkap seolah tidak mendengar apa yang diucapkannya.
“Laila, abang ada di sini kalau Laila nak berkongsi rasa. Jangan bersendiri begini. Iblis sangat suka dengan keadaan kita seperti ini. Inilah saat yang paling tepat untuk dia menyesatkan kita,” pujuk Arman lembut.
“Laila tak apa-apa. Abang jangan bimbang. Laila cuma nak bersendirian,” balas Laila mendatar sambil menoleh sedikit kepada abangnya itu. Seketika kemudian permandangan di luar tingkap itu kembali dipandangnya tanpa jemu. Seolah-olah batang tubuh arwah emaknya sedang dilihatnya di sana.
“Laila minta abang jangan bimbang? Macamana, Laila? Arwah mak jugak mak abang. Abang juga sedih sama macam Laila. Tapi sekarang abang rasakan abang bukan sekadar kehilangan mak tapi adik kesayangan abang juga turut hilang sama. Kalau Laila rasakan hanya Tuhan yang tahu perasaan Laila. Kalau Laila merasakan hanya orang yang pernah melalui pengalaman seperti Laila saja yang mengerti rasa yang terkurung dalam dada Laila, begitu juga abang, Laila. Takde seorang pun yang akan faham perasaan seorang abang dan seorang ayah setelah melihat keadaan Laila begini. Abang memang sedih bila kehilangan mak. Tetapi abang lebih sedih tengok adik abang jadi begini,” luah Arman cukup sayu. Bergetar nadanya dek kerana dicengkam sebak mengenangkan dugaan yang mendatang.
Laila masih diam tidak berkutik di jendela itu. Bicara Arman didengarinya sekali lalu.
“Bukan ini yang arwah mak nakkan dari kita, Laila. Bukan ini yang arwah mak ajarkan kepada kita selama ini. Bersedih dan murung begini takkan menguntungkan apa-apa. Malah arwah mak kita takkan tenang di sana.” Arman menambah lagi bicaranya setelah melihat Laila terus membatu.
Kata-kata Arman itu membuatkan Laila kembali teresak. Arman segera bangun dari duduknya. Perlahan tubuh adiknya itu dibawanya ke dalam dakapannya. “Adik abang kuat. Abang tahu Laila boleh jadi lebih tabah dari hari ini. Sebab tiada siapa yang akan menjanjikan dugaan hidup kita akan berhenti setakat ini. Mari makan ya? Kalau tak dapat banyak sikit pun jadilah. Biarkan kali ini ayah senang hati bila tengok Laila mahu makan. Laila tak kasihankan ayah? Ayah baru aja kehilangan teman hidupnya. Kita sebagai anak patut jadi peneman dia supaya dia tak terus bersedih. Kalau kita tak mampu menghilangkan kesedihan ayah pun tak mengapa asalkan kita tak membuat dia semakin sedih. Kasihan ayah, Laila. Ayah selalu menangis sendiri mengenangkan emak. Abang tak mahu ayah pula sakit selepas ni. Kita semua masih perlukan ayah. Kita semua mesti jadi penguat semangat ayah. Tanpa mak kehidupan ayah takkan mungkin akan seindah dulu. Takkan sama lagi seperti dulu. Ini semua tak mudah untuk ayah,” nasihat Arman lembut sambil mengusap kepala Laila penuh kelembutan.
Tangisan Laila memudar akhirnya setelah mendengar kata-kata Arman. Sebahagian kata-kata Arman sudah berjaya memujuk kesedihannya. Setelah mengelap segala sisa air mata Laila segera keluar dari bilik itu beriringan dengan abangnya itu. Di luar dia bertembung dengan abang Idhannya. Lama lelaki itu memandang wajah sembab Laila sebelum dia pula memeluk Laila untuk menawarkan sedikit kesedihan Laila. Sekali lagi Laila menangis tetapi kali ini dalam pelukan abang sulungnya itu. Maryam isteri Idhan yang memandang babak sedih antara suami dan adik iparnya itu mula mendekati mereka berdua. Belakang Laila diusap lembut juga untuk menenangkan Laila.
“Laila, tangisan, air mata dan kemurungan kita semua takkan mampu membawa emak kemana-mana sebaliknya doa kita semua sebagai anak insya-Allah akan membantu dia ke syurga. Emak dah memberi kepada kita secukupnya sebelum dia pergi. Kita jangan cepat hilang arah. Sabar ya? Kalau Laila sayangkan mak, doakan dia. Itu lebih afdal daripada menangis dan termenung sepanjang hari,” pujuk Idhan pula.
Laila mengangguk perlahan. Akur dengan nasihat abangnya itu.
“Laila, mari makan ya? Kak Mar tahu Laila mesti lapar.” Maryam pula ikut mencuba nasib memujuk adik iparnya itu. Laila hanya diam sambil menyeka wajahnya yang kebasahan.
“Laila, kena kuatkan semangat. Lawan perasaan sedih tu. Kalau Laila menyiksa diri begini mak di sana takkan tenang. Kasihankan mak, Laila. Mari kita makan. Kalau tak mampu banyak, sikit pun jadilah asalkan perut tu tak kosong. Kalau badan kita lemah, jiwa kita pun lemah penyakit senang datang.” Tambah Maryam setelah ajakannya tadi tidak berjawab.
“Betul cakap Kak Mar tu. Pergilah makan. Abang tahu Laila dah beberapa hari tak makan. Tak baik begitu. Allah tak menduga kita supaya kita menyiksa diri kita dengan ini semua. Itu bukan tujuan-Nya dan Allah tidak akan membantu umat-Nya yang tak sayangkan diri sendiri.” Idhan ikut menyokong bicara isterinya.
“Maafkan Laila, bang. Laila dah menyusahkan semua orang terutama sekali ayah. Laila cuma rindukan mak,” ujar Laila bagaukan baru beroleh semula suaranya.
“Tak apa. Takde apa yang nak dimaafkan. Abang faham keadaan Laila. Abang jugak seorang anak sama macam Laila. Kita sama-sama sedih dengan cubaan ni. Kita sama-sama rindukan mak. Sekarang ni kita kena fikirkan ayah. Ayah lebih sedih dari kita semua sebab mak tu teman hidup dia. Mak juga kekasih dia. Mungkin tanpa pengetahuan kita ada terpahat janji mereka untuk sehidup semati bersama tapi hakikatnya Allah menentukan takdir yang berbeza untuk emak dan ayah. Selama ini mak ada bersama ayah sewaktu kita semua sibuk dengan urusan hidup kita sendiri. Selepas ini ayah terpaksa meneruskan hidup sendiri selepas kita semua balik ke tempat kita semula. Kalau kita mampu berdiri teguh, meneruskan hidup dengan sabar itu dah cukup bagi ayah. Fahamkan apa yang abang maksudkan ni? Kekuatan kita adik beradik itulah kekuatan ayah. Kesabaran kita akan menjadi pendorong kepada ayah untuk teruskan hidup.” Idhan menambah sedikit lagi nasihatnya.
“Laila faham, bang.” Laila menjawab perlahan.
“Sekarang abang nak Laila pergi makan. Kak Mar akan temankan Laila.”
Laila berpandangan dengan kakak iparnya itu. Kelihatan sedikit senyuman terukir di bibir wanita itu bersama dengan anggukannya. Laila akhirnya berlalu ke dapur bersama Maryam. Di dapur Hamidah tersenyum kelegaan melihat Laila sudah mula meninggalkan tempat berkurungnya. Sedikit kerunsingannya beransur pergi. Lega hatinya melihat Laila sudah mula terpujuk sedikit.
“Ayah mana, kak Mar?” tanya Laila kepada kakak iparnya itu setelah dia menyedari tiada kelibat ayahnya di ruang dapur itu. Di ruang tamu itu juga tiada.
“Ayah ke masjid solat di sana. Tadi ayah ke kebun. Kak Mar tahu ayah sengaja sibukkan diri supaya dia tak terfikir sangat tentang ini semua,” jawab Maryam lembut sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi putih buat Laila.
“Kak Mar tak makan sekali? Midah kau tak mahu makan dengan aku?” ucap Laila kepada dua wanita di meja makan itu.
“Kami dah makan tadi dengan ayah. Laila makanlah. Laila aja yang belum makan.” Sekali lagi Maryam yang menjawab. Mendengar itu Laila akur. Terus dia mengambil tempat di satu kerusi. Di bawah tudung saji ada bermacam lauk pauk.
“Akak yang masak semua ni?” tanya Laila pada kakak iparnya itu.
“Tak. Lauk asam tempoyak ni Makcik Jihah yang hantar tadi. Akak dengan Midah cuma masak ala kadar aja. Kami pun tak tahu nak masak apa.”
Laila segera mengangguk pada jawapan Maryam. Terasa bersalah pula kepada kakak iparnya itu kerana membiarkan segala urusan di dapur diuruskan oleh Maryam yang jarang berada di rumah ini. Sudah tentulah wanita itu kekok tidak tahu mahu buat apa. Setelah membaca doa makan dia segera menjamah nasinya sebelum mencedok kuah asam tempoyak ke dalam pinggan. Walaupun amat tidak berselera dipaksakan juga makanan itu masuk ke dalam perutnya.
Saat dia sedang mengisi perut di meja itu Idhan dan Arman ikut menyertai tiga wanita itu. “Abang ada satu perkara nak bincang dengan adik-adik abang. Abang harap kamu semua setuju.” Idhan meluahkan bicaranya lembut.
 Tiada jawapan yang kedengaran sebaliknya mereka hanya memandang Idhan. Menanti Idhan melengkapkan bicara.
“Abang tahu dalam tahun ni banyak perkara yang menyedihkan berlaku pada keluarga kita. Mula-mula Nahij meninggal sekarang mak pula menyusul. Tapi walau apapun yang dah berlaku kita semua kena berfikiran positif dalam hal-hal sebegini. Ini bukan petanda nasib kita malang atau sesuatu yang seperti itu. Kita kena selalu ingat Allah menguji sesuatu kaum kerana Dia mahu berada dekat dengan hamba-Nya. Begitulah keadaan kita hari ini. Jadi abang minta kita semua bersabar dan banyakkan istighfar. Jangan cepat hanyut dengan perasaan sedih kita. Mula-mula memang susah kita nak biasakan diri dengan keadaan baru kehilangan macam ni tapi sedikit masa lagi insya-Allah semuanya akan kembali tenang. Abang tahu adik-adik abang semuanya orang yang kuat. Jadi sekarang ni apa yang nak abang bincangkan adalah mengenai rancangan abang tentang arwah mak. Sebelum ni abang ada berhajat nak menghantar mak dan ayah ke Mekah untuk mengerjakan haji tapi sayangnya waktu tu abang masih tak cukup duit. Tapi walaupun mak dah takde dengan kita, abang tetap akan teruskan juga rancangan tu. Bezanya kali ni mungkin ayah saja yang sempat sampai ke sana. Bagi pihak arwah mak pulak abang nak upah orang untuk tunaikan haji untuk dia. Abang rasa dalam keadaan ayah yang masih bersedih begini memang sesuai sangatlah kalau kita hantar ayah ke Mekah. Siapa tahu dengan izin Allah bila ayah balik dari Mekah nanti ayah akan lebih kuat dan tenang. Abang harap sangat Allah akan makbulkan impian abang ni. Jadi abang minta sokongan kamu semua untuk abang suarakan hal ini pada ayah. Jadi apa pendapat kamu semua?” luah Idhan panjang lebar.
“Man setuju sangat, bang. Rasanya itulah sebaik-baiknya.” Arman pantas menyambut mendahului Laila.
“Laila?” soal Idhan kepada Laila pula.
“Laila ikut aja, bang.” Laila menjawab perlahan.
“Laila ada keinginan nak ke sana?” tanya Maryam kepada Laila.
Laila mengalihkan pandangannya kepada Maryam. “Maksud akak apa?”
“Kerjakan umrah mungkin. Kalau dapat kerjakan haji terus itu lebih baik. Tapi untuk mengerjakan haji banyak persediaan yang kita kena lakukan selain dan kita kena menunggu giliran yang diberikan oleh pihak Tabung Haji. Tetapi umrah kita boleh pergi bila-bila masa aja yang kita mahu. Laila, setiap kebaikkan yang kita mahukan dalam hidup ni kita kena meminta pada Allah. Di sana adalah tempat yang paling sesuai. Tapi jangan salah faham kata-kata Kak Mar ni. Bukanlah bermakna kalau kita berdoa dari sini doa kita tak termakbul. Itu semua urusan Allah tapi apa yang kak Mar maksudkan mungkin ada baiknya dalam tempoh yang terluang ni Laila cari ketenangan dengan cara yang paling Allah redhai. Minta ketenangan dan ketabahan tu di tempat yang paling dekat kita dengan Allah. Minta pertolongan Allah di tempat yang termakbul doa kita oleh Allah iaitu di hadapan Kaabah.”
Laila diam tidak menjawab kata-kata Maryam namun dalam pada itu kesemua bola mata sudah terhala kepadanya menantikan jawapannya. “Entahlah. Laila tak tahu nak kata apa,” itulah jawapan Laila akhirnya.
“Abang setuju dengan cadangan Kak mar tu. Banyak dugaan yang Laila lalui semenjak kebelakangan ni. Mungkin ada baiknya Laila buat umrah. Disamping dapat buat ibadah dapat juga Laila hiburkan hati Laila dengan melihat suasana baru. Duduk terperuk aja di rumah kadang-kadang buat kita makin runsing. Abang sendiri pun rasa begitu,” sambut Arman perlahan sambil meneliti reaksi adiknya itu.
“Apa-apa pun Laila kena tanya ayah dulu,” jawab Laila masih tetap perlahan seperti tadi. Bukannya tidak berminat dengan cadangan kakak iparnya itu tetapi sebagai wanita dia memerlukan keizinan dari mahramnya iaitu ayahnya sementelah kini dia tidak lagi mempunyai suami.
“Kalau Laila nak abang cakap dengan ayah bagi pihak Laila, abang takde masalah. Di sana nanti abang dengan kak Mar ada untuk temankan Laila. Kita buat umrah sama-sama. Nanti sampai giliran ayah, ayah pula akan ke sana untuk kerjakan haji. Kesempatan ni takkan ada selama-lamanya, Laila. Kontrak kerja abang dengan kak Mar akan tamat dua tahun lagi. Lepas tu kami akan balik ke sini semula. Sementara masih diberi peluang ni ada baiknya kita gunakan.” Idhan memujuk lembut adiknya itu.
“Aku rasa ada baiknya kau ikut cakap abang kau tu, Laila. Siapa tahu lepas kau balik umrah kau akan rasa tenang sikit. Lagipun sekarang kita masih dalam cuti semesta. Takde masalah kalau kau nak ke sana. Dapat tengok-tengok suasana luar siapa tahu itu boleh kurangkan sikit kesedihan kau tu,” tambah Hamidah pula.
Laila akhirnya mengangguk perlahan. Anggukan Laila itu disambut oleh senyuman gembira dan rasa syukur mereka yang berkumpul di meja itu.

Gelak tawa dua manusia itu membuatkan Zakuan menggeleng sendiri. Hairan melihat gelagat teman serumahnya itu. Semenjak kebelakangan ini dia perasan hubungan Mastura dan Lukman semakin rapat. Mereka sering dilihat bersama bagaikan pasangan kekasih. Malah Lukman sudah tidak ada segan silu lagi membawa Mastura melepak di rumah mereka dan tidur sebilik. Tetapi yang peliknya Lukman masih juga berkepit dengan kawan-kawan perempuannya yang lain.
“Kau dengan Mas tu steady couple ke?” soal Zakuan suatu malam saat mereka berdua berada di rumah. Mastura sudah pulang sejam tadi.
“Mastura tu?” Lukman terus ketawa seolah-olah lucu benar dengan pertanyaan yang dilontarkan Zakuan.
“Kenapa kau gelak? Salah ke apa yang aku tanya ni?” Zakuan sempat merasa pelik melihat kelakuan Lukman dalam pada dia sibuk menghadap buku pelajarannya.
“Gilalah aku kalau aku ambil dia jadi girlfreind aku,” selamba sahaja jawapan Lukman. Dia dan Mastura sekadar kawan biasa.
“Itu aku percaya. Tapi yang kau kepit dia ke hulu ke hilir tu kenapa? Dah macam couple aja aku tengok.” Kali ini Zakuan menoleh lama kepada Lukman yang masih tidak beralih pandang dari kertas lakaran berwarna putih di atas meja belajarnya itu.
“Aku dengan dia kawan aja. Takde apa yang lebih dari itu,” ringkas sahaja jawapan Lukman. Rahsianya bersama Mastura terus dipertahankan. Zakuan tidak perlu tahu tentang itu dan dia tidak merasakan dia perlu membuka rahsianya bersama Mastura kepada orang.
“Baguslah kalau kau kata macam tu. Aku bukannya apa. Mastura tu ramai teman lelaki. Aku takut kau kena tipu dengan dia,” ujar Zakuan sambil kembali menumpukan perhatiannya kepada buku-bukunya. Entah kenapa dia merasa terpanggil benar untuk menasihati rakan serumahnya itu. Baik tentang Mastura mahupun sikap Lukman sendiri. Bisik-bisik serong rakan senegara mereka yang lain sudah acap kali didengarinya. Rasanya sudah sampai masanya dia menegur.
Lukman tersenyum sendiri mendengar bicara Zakuan itu. Baginya selagi Mastura memiliki ramai teman lelaki selagi itulah dia boleh mengambil kesempatan ke atas wanita itu tanpa perlu berfikir untuk bertanggungjawab. Itu sebab utamanya dia selalu bersama Mastura. Setahunya Mastura juga tidak pernah membataskan pergaulannya dengan lelaki lain selama mereka rapat berdua dan dia juga begitu. Masih bebas berkawan dengan mana-mana wanita yang dimahunya.
“Aku kawan dengan suka-suka aja. Sama macam girlfriend-girlfreind aku yang lain. Bukannya serius pun,” ucap Lukman tidak lama selepas itu. Tanpa merasa bersalah dia mengeluarkan bicara itu. Sedangkan dia tahu apa yang dilakukannya sudah cukup serius untuk hubungan yang tidak serius seperti dakwaannya.
Zakuan menggeleng beberapa kali mendengar ucapan Lukman. Dia masih ingat ada seorang gadis dari Universiti Oxford yang merana membawa diri pulang ke London akibat kecewa dengan perbuatan Lukman. Sehingga kini gadis itu tidak pernah lagi datang mencari Lukman sedangkan selama ini mereka akrab bak belangkas. Perangai kaki perempuan Lukman masih tidak pernah berubah semenjak itu sehinggalah kini. Malah makin menjadi-jadi pula dilihatnya.
“Tak baik main-mainkan perasaan perempuan, Luk. Main-mainkan hati perempuan ni ibarat satu sumpahan dalam hidup lelaki kalau kau nak tahu. Sampai satu masa kau pulak yang akan kena semula. Waktu tu tak bernafas kau dibuatnya,” ucap Zakuan lembut sekadar mahu menasihati.
“Alah! Aku bukannya ada buat apa-apa pun pada diorang. Sekadar kawan biasa aja. Tapi kalau diorang yang nak rasa lebih dari itu, manalah aku boleh kawal semua tu,” jawab Lukman masih bernada selamba. Nasihat Zakuan juga tidak langsung memberi apa-apa kesan kepada dirinya.
“Jadi selama kau berkawan dengan diorang semua tu, takde seorang pun yang kau anggap lebih dari seorang kawan? Mustahil!”
Lukman sekadar menggeleng tanpa memandang Zakuan. Tanpa memandang Zakuan dia tersenyum sendiri. Kerjanya tetap diteruskan walaupun mereka berdua berbual dari meja masing-masing yang terletak sedikit jarak di ruang tamu itu.
Jawapan Lukman membuatkan Zakuan semakin berminat untuk menyelongkar isi hati temannya ini. “Jadi kalau semua perempuan yang kau kawan masih takde yang mampu menawan hati kau, perempuan macamana yang kau cari selama ini? Cuba bagitahu aku,” ucap Zakuan serius.
“Siapa kata aku berkawan dengan diorang untuk memenuhi pencarian aku kepada gadis idaman? Aku belum nak kahwin lagi, Zack. Jauh lagi impian aku untuk ke situ. Bila aku dah terfikir nak kahwin barulah aku serius mencari perempuan yang kena dengan citarasa aku. Buat masa ni aku sendiri pun tak tahu perempuan jenis apa yang aku suka. Aku lebih senang begini. Berkawan dengan sesiapa yang aku suka sebab aku tak bersedia untuk ada sebarang komitmen dengan seorang perempuan. Aku belum bersedia untuk hubungan yang lebih serius.” Lukman sempat ketawa kecil dalam pada dia menjawab pertanyaan serius Zakuan. Pandangannya dilontarkan sekilas kepada Zakuan di mejanya.
“Kalau dah tahu kau tak suka pada komitmen kau tak sepatutnya beri harapan palsu pada mereka semua, Luk. Tak baik kau buat macam ni. Ada antara diorang tu memang betul-betul suka dengan kau tapi kau hanya main-main. Setiap keburukan yang kita lakukan sesama manusia ni akan dibalas semula. Kau kena ingat tu,” ucap Zakuan lembut cuba menyedarkan Lukman dari sikap buruknya.
“Mana ada aku beri mereka harapan? Kau jangan nak mengarutlah, Zack. Aku cuma kawan dengan diorang tu semua. Salah ke?” tukas Lukman pantas sambil merenung Zakuan yang sedang memandangnya.
“Tapi cara kau layan mereka dah tak macam kawan aku tengok. Aku yang sekadar memandang aja boleh menganggap yang bukan-bukan inikan pulak diorang. Aku tahu bukan seorang dua yang kecewa dengan perbuatan kau ni!” balas Zakuan tidak berpuas hati. Mudah benar jawapan Lukman didengari oleh telinganya. Seolah-olah tiada rasa berdosa langsung melakukan semua itu. Dia bukannya buta tidak mampu melihat gelagat Lukman selama ini.
“Aku tak suruh pun diorang jatuh hati pada aku. Kalau itu yang diorang rasa apa aku boleh buat? Bukannya aku boleh sekat perasaan diorang tu semua. Aku malaslah nak layan cinta-cinta ni semua. Bagi aku hubungan cinta ni ada banyak kongkongan sedangkan aku belum bersedia untuk ke arah itu. Kalau bercinta pun aku dah rasa boring, kahwin lagilah teruk! Aku belum bersedia untuk mengorbankan kebebasan aku ni untuk seorang perempuan. Aku lebih suka macam ni,” jawab Lukman tetap selamba biarpun dia sedar apa yang dikatakan Zakuan itu benar belaka.
Zakuan terdiam seketika mengenang sesuatu. Apa yang selama ini sering dilihatnya dibandingkan pula dengan kata-kata Lukman sebentar tadi. Tidak suka pada hubungan yang lebih serius tetapi kebanyakan perempuan yang berkepit dengan Lukman dikelek, dipeluk, dicium dan dihadiahkan dengan macam-macam hadiah seolah-olah mereka ada hubungan yang serius. Jika itu bukan sesuatu yang serius jadi apa? Sekadar main-main? Sekadar kawan?
Zakuan menggeleng perlahan. Penjelasan Lukman itu dianggap bersifat mementingkan diri sendiri. Dia sedar Lukman memang memiliki paras yang cukup menarik. Mudah untuk dia memikat sesiapa yang dimahukannya. Tetapi sebagai manusia kadang-kadang dia merasa kasihan dengan gadis-gadis itu. Sebagai sahabat pula dia tidak mahu melihat Lukman riyak dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya sehinggakan kelebihan itu digunakan untuk menyakitkan hati orang lain.
“Kenapa kau menggeleng? Tak setuju dengan pendirian aku ni? Atau kau rasa aku ni lelaki yang teruk?” teka Lukman sambil tersenyum.
“Kalau aku kata aku tak setuju nak ke kau ubah pendirian tu?” ucap Zakuan pula sengaja mahu menduga temannya itu.
Lukman sekadar menjungkit bahu sebelum kembali memandang kertas lakaran bersaiz A1 di atas mejanya. Baginya apa sahaja anggapan Zakuan kepadanya dia tidak peduli. Tidak penting!
“Kau jangan lupa, Luk. Setiap keburukan yang kita lakukan atas dunia ni Allah akan balas. Kalau kita sakitkan hati orang Allah takkan ampunkan kita selagi kita tak mendapatkan keampunan dari orang yang kita sakiti. Aku hanya nak ingatkan kau. Berpada-padalah dalam berbuat sesuatu hal. Hidup atas dunia ada pemerhatinya. Jangan sampai bila Allah dah cabut nyawa kita barulah kita nak sedar sudahlah,” ucap Zakuan lembut.
Lukman menoleh seketika kepada Zakuan. Bicara temannya itu tidak dibalasnya. Nasihat seumpama itu sudah lama tidak menerobos corong telinganya ini. Tetapi dia sekadar berdiam. Tidak berani untuk membalas.


6
Haji Syahar menggeleng perlahan melihat anak perempuannya itu. Seketika kemudian dia menoleh kepada bekas besannya. Tampang sahabat sekampungnya itu dipandang seketika sebelum kembali memandang kelibat anak perempuan tunggalnya itu.
“Kau nampakkan? Itu ajalah kerjanya bila balik ke kampung. Risau aku, Har. Aku tak tahu sampai bila dia nak begitu.” Haji Syahar mengeluh perlahan.
Kelakuan Laila di tanah perkuburan itu turut dipandang lama oleh Pakcik Zahari. Dia membisu sahaja tidak mampu untuk berkata apa. Kasihan.. itulah yang sedang dirasakan oleh hati kecilnya ini. Laila bekas menantunya itu masih belum menerima kenyataan tentang kehilangan Arwah Nahij. Sudah lebih 4 tahun arwah pergi namun Laila masih terus berada di pusara itu mengutip cebisan kenangan yang masih tinggal.
“Mujurlah arwah emaknya dikuburkan di JB. Kalau di sini juga entahlah,” ucap Haji Syahar sayu. “Tiap-tiap hari dia di sini. Macam dah satu kemestian untuk dia datang ke sini. Aku benar-benar bimbang. Aku takut dia akan terus begitu selamanya,” tambah Haji Syahar perlahan sambil terus memerhatikan belakang tubuh anak perempuannya itu dari jauh. Biarpun tidak pernah diucapkan namun dia tahu Laila menderita dalam diam. Anaknya itu sudah tidak seceria dulu.
“Kau ada bercakap hati ke hati dengan dia pasal ini?” soal Pakcik Zahari lembut. Wajah sahabat sekampungnya itu dipandang seketika sebelum kembali merenung tubuh wanita nun jauh di sana.
Haji Syahar menghembuskan keluhannya seketika. Sebagai ayah itulah yang pertama dilakukannya kepada anaknya itu. “Dah jenuh, Har! Takde yang berubah pun biar berbakul-bakul aku nasihatkan dia. Alasannya tak lain, dia masih tak boleh lupakan Nahij. Dia kata dia rindukan Nahij sebab tu dia ke kubur Nahij setiap hari. Aku tak kisah dia nak menziarah kubur anak kau, Har. Tapi apa yang aku takutkan, Laila akan terus hidup dengan kenangan lama dia bersama Nahij sedangkan Nahij dah takde lagi. Aku selalu nampak dia menangis sendiri. Selalu termenung seorang. Itu yang membuatkan aku makin risaukan keadaan dia.”
“Jadi kau nak aku buat apa sekarang?” tanya Pakcik Zahari lantas mengalihkan pandangannya kepada wajah Haji Syahar yang mendung.
“Kalau boleh aku nak minta Najihah nasihatkan dia. Mungkin kalau umi dia yang bercakap dengan dia, mahu dia mendengar. Aku dah takde siapa lagi nak minta tolong, Har. Isteri aku dah jauh. Laila dah takde sentuhan seorang emak. Itu yang dia amat perlukan saat ini. Dia perlukan seseorang untuk berkongsi cerita. Aku dah tak nampak orang lain lagi selain Najihah,” luah Haji Syahar mula sebak. Mungkin jika arwah isterinya ada keadaan Laila tidak seteruk ini. Tetapi sayang isterinya juga sudah pergi menghadap Ilahi.
“Insya-Allah aku akan cuba cakap dengan Najihah tentang ini. Dia pun rapat dengan Najihah. Aku pun hairan juga. Aku tengok kadang-kadang bila dia datang ke rumah aku nampak dia macam biasa aja. Takde yang tak kena dengan Laila.” Pakcik Zahari segera akur. Simpatinya melimpah lauh kepada sahabatnya itu. Tiada sentuhan dari seorang wanita sesebuah keluarga memang lekas tumbang. Itu dia percaya!
“Sebab kat rumah kau di sana ada banyak kenangan lama dia dengan Nahij. Gambar-gambar lama Nahij masih ada. Tapi bila dia balik ke rumah dia selalunya sendirian. Mulalah dia termenung sana sini. Itu yang aku bimbang,” balas Haji Syahar pula.
Pakcik Zahari menghela keluhan perlahan melihat bekas menantunya itu. “Kau kahwinkan ajalah dia. Carikan dia suami. Mana tahu bila dah berteman ni takdelah dia asyik teringatkan arwah. Mungkin dia sunyi perlukan teman hidup.” Tanpa amaran Pakcik Zahari segera meluahkan idea spontan yang sempat melintas di benaknya itu.
Bicara Pakcik Zahari lantas membuatkan Haji Syahar terdiam pula. Lama pandangannya dihalakan ke arah kawasan perkuburan itu dalam pada dia memikirkan idea bekas besannya itu. Mungkin ada benarnya juga kata-kata sahabatnya itu. Tetapi bolehkah dia mengahwinkan Laila dalam pada keadaan Laila yang masih belum dapat melupakan cinta lamanya? Boleh jadikah? Jangan nanti timbul lagi masalah lain yang paling tidak dimahukannya. Ah! Susah benar.
“Entahlah! Apa-apa keputusan yang aku nak buat kenalah dengan kerelaan dia, Har. Aku bimbang keputusan yang aku buat akan buat dia lebih merana. Sebetulnya aku tak mahu memaksa dia. Tapi mungkin ada betulnya cadangan kau tu. Siapa tahu kalau dia berteman hilang sikit sedihnya tu.” Haji Syahar menjawab juga akhirnya.
“Cubalah tanya dulu. Kalau si Laila tu mesti ramai yang mahu jadikan isteri. Aku percaya. Tinggal dia aja mahu atau tidak. Bincanglah baik-baik dengan dia. Nanti aku akan cuba cakap dengan bini aku. Minta dia nasihatkan Laila kut kalau dia mahu mendengar kata. Rasanya kalau orang perempuan ni berbincang lembut sikit dari kita yang lelaki ni. Kita ni cepat aja nak marahnya. Kau jangan bimbanglah. Setiap masalah mesti ada penyelesaiannya. Insya-Allah,” ujar Pakcik Zahari lembut sambil menepuk bahu teman sekampungnya itu.
Haji Syahar mengangguk perlahan. Seketika kemudian mereka berdua beredar dari kawasan itu. Laila yang langsung tidak sedar akan kedatangan ayahnya terus berada di situ sendirian. Dia terus hanyut dengan dunianya. Dunianya bersama Nahij!

Hampir dua jam Laila berada di kuburan itu. Mentari mula memanaskan bumi. Tatkala kakinya digerakkan untuk pulang dia terkejut apabila melihat kelibat bekas emak mertuanya berada beberapa kaki di belakangnya.
“Umi?” soal Laila masih dengan riak terkejut di wajah.
“Laila kenapa tak balik lagi?” tanya Makcik Najihah lembut.
“Laila dah nak balik ni, umi.” Laila menjawab lembut tanda hormat kepada wanita seusia arwah emaknya itu.
Bekas emak mertua Laila itu tidak berkata apa-apa lagi. Lantas dia mendekati kubur anaknya itu. Buat seketika dia mencangkung di situ. Nesan putih itu diusap lembut, berkali-kali sambil membacakan surah Al-Fatihah buat si anak yang sudah lama bersemadi di situ. Perbuatan wanita itu diamati oleh Laila tanpa berkelip. Seketika kemudian tanpa kata wanita itu terus bangun untuk beredar bersama Laila. Mereka berdua beriringan meninggalkan kuburan lelaki kesayangan mereka.
“Laila selalu ke sini?” soal Makcik Najihah saat mereka melalui tepian kuburan di situ untuk ke jalan utama.
“Selalu.” Sepatah jawapan Laila.
“Hari-hari ke?” soal Makcik Najihah lagi sengaja mahu menduga. Jika suaminya tidak memberitahunya tadi sampai bila-bila pun mungkin dia tidak tahu perbuatan bekas menantunya ini.
Kali ini Laila memilih untuk tidak menjawab. Dia tahu tiada siapa yang suka dengan perbuatannya itu. Kerana itu dia tidak menjawab soalan itu.
“Umi memang rindukan Nahij. Setiap saat memang tak pernah berhenti teringatkan dia. Rasa macam baru semalam semua tu berlaku,” luah Makcik Najihah di sisi Laila. Laila hanya diam sambil mengamati bicara wanita itu.
“Umi ni dah tua, Laila. Itulah satu-satunya anak umi. Hilang dia dah takde lagi gantinya yang lain. Dulu memang umi nak beranak ramai tapi hasrat umi ALLAH tak makbulkan. Hanya Nahij anak umi. Bila dia dah takde umi rasa macam dah kehilangan semuanya. Sunyi benar hidup umi semenjak dia takde. Tapi ini dah ditentukan Allah. Suka atau tidak umi dengan babah kena terima.” Makcik Najihah berkata lagi.
Laila masih juga mendiamkan diri. Dia hanya memandang ke hadapan dalam pada dia cuba memahami apa yang sedang disampaikan oleh Makcik Najihah kepadanya.
“Laila, umi sayangkan Laila macam anak umi sendiri. Semenjak Nahij takde umi anggap Laila adalah pengganti dia. Laila tempat kami suami isteri menumpang kasih, menghilangkan sepi. Sebagai ibu, umi tak mahu Laila terus begini. Umi nak Laila teruskan langkah mencari kebahagiaan Laila sendiri. Kebahagiaan Laila bukan lagi dengan Nahij sebab kita sama-sama tahu itu semua mustahil. Tapi umi nak Laila berbahagia dengan sisa kehidupan Laila yang masih tinggal, sebelum Allah benar-benar menjemput Laila kembali kepada-Nya. Laila nak jadi macam umi? Membilang hari yang hanya dipenuhi kesunyian sedangkan takdir Laila masih boleh diubah. Masa akan terus berlalu. Sedar tak sedar kita hanya membazirkan masa mengenangkan sesuatu yang takkan mungkin boleh dikembalikan semula sedangkan di luar sana masih ada kebahagiaan yang sama menanti kita untuk mengecapinya. Semuanya bergantung pada kita aja sama mahu atau tidak. Jangan tunggu dia lagi, nak. Pergilah cari kehidupan Laila di luar sana. Dia takkan kembali lagi pada kita. Umi percaya, bukan ini yang Nahij harapkan dari Laila. Nahij pasti mahu Laila gembira dunia dan akhirat,” nasihat makcik Najihah lembut.
“Laila dah cuba sedaya upaya untuk lupakan dia tapi Laila tak boleh, umi. Dia masih ada. Dalam ingatan Laila dia masih hidup. Dia tak pernah tinggalkan Laila. Hanya jasad dia aja yang dah lama berkubur tapi cinta dia masih ada dalam hati Laila.”
Makcik Najihah hampir terkedu mendengar bicara bekas menantunya itu. Sesuatu yang selama ini tidak pernah dijangkanya. Selama ini Laila hanya gembira di hadapannya. Mereka boleh berbual dan ketawa seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tapi sayangnya semua kegembiraan itu palsu. Rupanya dalam diam Laila rupanya masih menghitung kisah cinta lama yang tak mungkin akan kembali semula kepadanya. Buat seketika Makcik Najihah terdiam tidak berupaya membalas kepada Laila.
“Umi, seekor burung perlukan sayapnya untuk terbang. Tanpa sayap dia takkan tahu betapa tingginya angkasa. Tanpa sayap seekor burung takkan boleh hidup! Begitu juga Laila. Umi nak Laila jalani hidup dan cari kebahagiaan di luar sana? Tapi macamana? Selama ini Laila hidup di luar sana, umi. Tapi kemana pun Laila pergi semuanya takkan ada maknanya kalau jiwa dan raga Laila dah takde lagi. Semuanya sudah berkubur bersama Abang Nahij semenjak hari pertama dia dikuburkan di situ. Di sanalah tertinggalnya jiwa Laila ni, umi. Kerana itu Laila selalu ke sana. Kerana di sana barulah Laila merasakan hidup ini kembali bermakna. Di sanalah sayap Laila tertinggal untuk Laila terbang semula mencari kebahagiaan dalam hidup ni.” Laila membalas sambil menunding semula ke arah yang mereka tinggalkan sekejap tadi. Buat seketika langkah mereka terhenti di situ.
Makcik Najihah terdiam menatap wajah Laila. Buat sesaat dua itu hatinya benar diruntun rasa kasihan dan sayu melihat wanita muda ini. Baru dia sedar kini betapa beratnya jiwa wanita ini menderita sendiri. Baru sekarang dia sedar wanita di hadapannya ini rupanya sekadar jasad tanpa jiwa. Begitu bijak Laila menyembunyikan semua itu darinya selama ini.
Ya Tuhan, mengapa sampai jadi begini? Keluh hati Makcik Najihah sendiri.
“Katakan apa yang harus Laila buat umi? Laila memang masih sayangkan Abang Nahij. Salah ke Laila selama ini? Bukan Laila minta keadaan jadi macam ni tapi Laila benar-benar tak berdaya. Laila tetap sayangkan dia seperti 4 tahun dulu, umi. Walaupun hati ni meronta-ronta meminta Laila lupakan dia tapi Laila tak boleh! Laila rindukan dia sangat-sangat, umi. Laila nak dia kembali semula pada Laila.” rintih Laila benar- benar kesayuan.
“Astaghafirullah.. Laila sedar tak apa yang Laila cakap ni?” tegas Makcik Najihah. Tidak disangkanya rupanya selama ini Laila selemah ini. Spontan lengan wanita muda itu direnggutnya. “Laila, berdosa besar Laila buat begini. Menolak takdir Allah bermakna apa, Laila? Apa hukumnya? Laila orang islam, apa yang harus Laila pegang sebagai orang islam yang taat pada Allah? Sedarlah, Laila. Umi nak Laila kembali ke alam yang nyata,” ucap Makcik Najihah sambil lengan Laila digoncangnya kuat untuk menyedarkan Laila. Dia sedar Laila sedang terkapai-kapai mencari jalan keluar setelah sekian lama tersesat dalam dunianya sendiri.
Laila tertunduk tidak mampu menjawab. Dia sedar dia tidak harus tunduk kepada kehendak diri yang tidak semuanya benar. Tiba-tiba dia merasa bersalah kerana terlalu mengikutkan perasaan.
“Umi tahu.. umi faham perasaan Laila. Tapi patah tumbuh hilang berganti, nak. Sayap yang hilang akan berganti baru, Laila. Kerana seekor burung tidak akan dipanggil burung jika dia tidak lagi bersayap. Seekor burung takkan Allah biarkan burung itu hidup tanpa sayapnya sedangkan dia adalah seekor burung. Burung yang hidup tanpa sayap hidup burung tu akan berakhir kerana dia tak akan mampu mencari rezeki untuk dia teruskan hidup. Tapi kita manusia ada kemampuan lebih dari itu, nak. Laila orang berpelajaran. Umi percaya Laila juga orang yang beriman. Inilah qada’ dan qadar dari Allah. Selagi kita tidak melembutkan hati meredakan segalanya selagi itulah kita takkan bertemu dengan ubatnya. Ada caranya untuk melupakan semua ini. Tetapi biar apa pun cara yang Allah bentangkan di hadapan kita jika kita tak mahu berusaha, semuanya tidak akan bermakna. Dengarlah nasihat umi ni, Laila. Ayah Laila, umi dengan babah benar-benar risaukan Laila. Kami tak mahu Laila terus hidup dengan kenangan lama sedangkan semua itu sudah tidak boleh dikecapi lagi dengan Nahij. Kehidupan Laila sudah Allah tentukan bukan bersama Nahij tetapi dengan orang lain yang mungkin akan muncul dalam hidup Laila suatu hari nanti. Insya-Allah, percayalah cakap umi ni. Apa yang Allah dah tentukan untuk Laila selepas ini sudah pasti lebih baik berbanding apa yang Laila dapati daripada Nahij sebelum ini.” Mendayu-dayu suara makcik Najihah memujuk Laila. Dia tahu bukan senang memujuk wanita ini.
Laila hanya diam sambil memandang ke hadapan. Namun setiap nasihat orang tua itu didengarinya. Cuba disematkan di fikirannya. Akhirnya sebuah keluhan terhela perlahan. Bukan pintanya untuk berkeadaan begini. Bukan pintanya juga untuk menyintai lelaki itu. Semuanya terjadi begitu sahaja.
Laila akur.. mungkin benar kata uminya. Bahagianya pastilah dengan lelaki lain di luar sana. Kehadiran Nahij dalam hidupnya cuma untuk seketika. Tetapi persoalannya, bagaimana caranya untuk dia melepaskan segala kenangan lalu itu. Bagaimana untuk dia melupakan segala keindahan yang pernah ada dalam hidupnya? Dia sudah cuba untuk melupakan namun semuanya masih ada! Masih setia bersamanya. Lelah dengan desakan perasaan akhirnya dia kembali menjadi pemuja cinta yang setia kepada yang sudah pergi. Laila sedar itu salah tetapi usahkan setahun.. sesaat sahaja dia tidak sanggup berjauhan dengan lelaki itu. Hidupnya nanar. Tetapi pilihan yang ada tidak banyak. Hanya ini sahaja cara yang ada untuk dia melepaskan rindu.
“Tak salah ingat pada dia, Laila. Dia memang takkan pernah mati dalam ingatan kita sampai bila-bila. Umi tak minta Laila lupakan Nahij tapi yang umi mahu Laila lupakan segala janji-janji dia untuk bahagiakan Laila sebelum ini. Lepaskan rasa sayang dan semua kenangan lama tu. Semua itu dah takde maknanya lagi. Selagi Laila berpegang kepada semua itu selagi itulah Laila takkan boleh memujuk hati untuk terima kenyataan ini. Memang berat dugaan ini tapi Laila jangan lupa, sedasyat-dasyat peristiwa yang kita lalui ramai lagi manusia yang melalui keadaan yang lebih teruk. Tetapi bukan semua mereka tu kalah dengan dugaan Allah, Laila. Ada yang masih bahagia sehingga sekarang. Ambillah contoh yang baik. Banyakkan beristighfar, Laila. Banyakkan mengaji Al Quran supaya hati lebih tenang dan kuat semangat. Sakit seperti ini hanya Allah sahaja yang mampu memberi ubatnya. Percayalah, Allah menjadikan semua itu bersebab. Hanya Dia sahaja yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita kena banyakkan bersabar.” Makcik Najihah terus menasihati Laila.
“Laila faham, umi. Laila akan cuba buat apa yang umi katakan tadi.” Akur dengan kata-kata wanita itu Laila akhirnya menjawab perlahan. Kesayuannya masih mampu kedengaran dalam suaranya.
“Umi tak marahkan Laila. Tapi umi juga susah hati tengok ayah Laila bersusah hati dengan keadaan Laila sekarang. Umi tak mahu tengok Laila terus hidup dalam kepompong kenangan yang tak mampu direalisasikan lagi. Keluarlah dari dunia tu, Laila. Jangan biarkan diri Laila tersesat di situ lagi. Kami semua nak tengok Laila bahagia suatu hari nanti. Kami tak mahu tengok Laila menyendiri saja sampai akhir hayat. Hidup yang masih tinggal jangan dibazirkan, Laila. Carilah kebahagiaan Laila sendiri. Itu yang Allah minta dari kita. Umi pasti kebahagiaan yang seterusnya nanti pasti itulah yang akan kekal dengan Laila sehingga Laila mati suatu hari nanti. Insya-Allah umi akan selalu doakan, nak. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah sebab Allah selalu ada untuk kita. Kita ni aja yang selalu lupa pada Dia bila hidup kita senang.” Tambah Makcik Najihah lagi. Bahu Laila diusapnya lembut.
Laila akhirnya mengangguk perlahan. Dia tahu segala yang dikatakan oleh Makcik Najihah itu benar. Mungkin dia terlalu alpa dengan perasaannya sehingga dia terlupa untuk memuhasabahkan dirinya di kala hatinya susah. Dia hanyut dengan kehendak hati yang tidak selamanya benar.
“Maafkan Laila, ya umi? Laila dah banyak susahkan umi, babah dengan ayah selama ini. Laila hanya fikirkan diri Laila aja sedangkan di sekeliling Laila ramai orang yang sayangkan Laila.” Laila berkata lembut.
“Baguslah kalau Laila sedar yang di sekeliling Laila ada ramai orang yang sayangkan Laila. Harapan kami tak banyak, Laila. Kami tak perlukan intan berlian untuk balasan kasih sayang dan perhatian kami pada Laila. Kami pun tak harap Laila akan sentiasa berterima kasih pada kami bila Laila teringatkan itu semua. Cuma kami mahu Laila hargai hidup yang ada selagi berpeluang. Kalau Laila bahagia kami semua akan juga akan merasa yang sama. Itu saja yang kami harapkan dari Laila selama ini. Laila fahamkan apa yang umi maksudkan ni?” Makcik Najihah menjawab pantas.
Laila terus mengangguk sambil mengukirkan sedikit senyuman buat wanita itu. Jiwanya mula disapa rasa tenang dengan segala nasihat dan kata-kata bekas emak mertuanya itu. “Bukan umi aja yang anggap Laila ni macam anak umi tapi Laila juga dah lama anggap umi macam mak Laila sendiri. Kalau umi takde anak lagi Laila pula dah takde emak. Umi aja yang Laila ada. Laila pun sayangkan umi dengan babah.” Laila berkata perlahan.
Makcik Najihah tersenyum. Serentak itu dia memaut tubuh Laila dari sisinya sambil mereka kembali meneruskan perjalanan pulang. “Kalau betul Laila sayangkan kami, ikutlah apa yang umi nasihatkan Laila tadi. Semua yang berlaku ada hikmahnya, Laila. Dunia ini ada putarannya. Kematian adalah salah satu bahagian daripadanya. Mungkin kita rasa ini semua kejam untuk kita tapi kalau kita selaminya dalam-dalam, kita akan faham. Umi hilang anak lelaki sebelum ini, tapi kali ini Allah gantikan dengan anak perempuan. Umi bukannya pernah merasa ada anak perempuan,” ucap Makcik Najihah sambil tersenyum kepada Laila.
Laila tertawa perlahan. “Laila pula tak pernah merasa ada dua ayah sekaligus..” jawabnya selamba. Serentak itu mereka tergelak berdua. Senang hati makcik Najihah melihat Laila sudah boleh kembali tersenyum. Dia tahu sedikit masa sahaja lagi yang diperlukan. Suatu hari nanti luka di hati Laila pasti akan sembuh juga. Insya-Allah..
“Umi, mungkin minggu depan Laila akan kembali ke KL. Laila dah dapat kerja.”
“Iya? Alhamdulillah.. baguslah, Laila. Apa-apa pun dalam hidup ni, kejayaan yang nak dicapai kena sertakan dengan usaha. Umi tahu suatu hari nanti Laila mesti akan jadi orang yang berjaya. Inilah permulaannya. Jangan sia-siakan peluang ni dan jangan lupa setiap perkara baik yang kita lakukan mesti ingat Allah. Insya-Allah hidup akan mudah.” Makcik Najihah menasihati Laila lagi.
“Terima kasih, umi. Kalau takde umi dalam hidup Laila, entah macamana Laila sekarang. Walaupun tempat arwah mak di hati Laila takkan dapat diganti oleh orang lain tapi umi juga istimewa pada Laila.”
Makcik Najihah tersenyum lembut. “Ingat apa umi kata tadi? Umi tak perlukan terima kasih tu. Yang umi mahu Laila ingat dan amalkan nasihat yang umi berikan pada Laila. Umi buat semua ni untuk kebaikan Laila.”
Sekali lagi Laila mengangguk dan tersenyum.
“Sekarang ni jom ikut umi balik. Umi ada masak lauk kegemaran Laila, masak lemak tempoyak ikan baguk. Sebelum Laila ke KL Laila kena makan masakan umi puas-puas supaya nanti takdelah Laila rindu sangat dengan masakan umi,” ucap wanita tua itu mesra. Bahu wanita muda itu dipautnya selamba.
Makan? Mendengar itu senyuman Laila semakin melebar.

“Luk, you tahu tak yang I sayangkan you?”
Lelaki itu mendegus keras. Lengannya yang dipegang oleh Amalina dilepaskannya agak kasar. Apabila wanita sudah mengucapkan sayang dan cinta dia sudah mula dilanda sindrom bosan. Kenapa perempuan mudah benar jatuh cinta? Baru dua minggu dia kenal gadis ini soal cinta sudah mula diperdengarkan di lubang telinganya. Sedangkan hatinya masih juga begini. Tidak terusik langsung dengan rajuk manja gadis metropolitan ini.
“Kenapa dengan you ni?” Amalina mula tarik muncung panjang melihat gelagat Lukman.
“You nak apa?” tukas Lukman mula bengang.
“I nak kahwin dengan you, Luk. I betul-betul sayangkan you,” rayu Amalina tanpa segan silu lagi. Rasanya seluruh jiwa dan hatinya sudah terjatuh buat lelaki ini.
“Kita baru kenallah, Amy! Kahwin apa kebendanya!” Lukman segera membantah dengan nada meninggi. Mahu kahwin? Hish! Gila ke apa!
“Tapi I sayang you sangat. I nak kita ada hubungan yang lebih kukuh, sayang. Walaupun kita baru kenal tapi dapat rasakan yang kita ni memang ada chemistry. I janji I akan buat you happy lepas ni, Luk. Please, sayang..”
Lukman ketawa sinis. “Kalau you nak buat I happy senang aja. Berhenti cakap pasal kahwin dan cinta dengan I,” ucapnya sinis bersama sebuah jelingan tajam.
Kata-kata Lukman membuatkan wajah Amalina terus berubah tiga ratus enam puluh degree. Terketar-ketar bibirnya saat itu kerana dia sudah melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan Lukman saat itu. Sikap dingin yang datang tiba-tiba membuatkan dia merasa rasa cinta itu hanya datang dari dirinya seorang dan tiada pada Lukman. Tetapi..? Apa maknanya kemesraan mereka selama ini?
“Tapi kenapa? I ingat you pun ada perasaan yang sama pada I.” Sukar untuk dia meluahkan pertanyaan itu namun rasa ingin tahunya kian mendesak. Apa yang tidak kena dengan layanannya selama ini sehingga Lukman berubah tiba-tiba?
“Kenapa? Sebab I belum ada rasa macam tu pada you. Kita cuma kawan, Amy. You janganlah anggap lebih-lebih pulak. I memang layan semua kawan perempuan macam ni! I tak cintakan you sikit pun!” balas Lukman bagaikan orang tidak berperasaan langsung. Sedikit pun tidak kisah dengan penerimaan wanita itu. Peduli apa dia?
Terkedu Amalina mendengar bicara Lukman yang cukup mudah meluncur keluar tanpa bertapis itu. Sampainya hati lelaki ini! Kalau sekadar kawan mengapa lelaki ini tergamak mengucup bibirnya sebelum ini? Adakah itu sememangnya tabiat Lukman selama dengan kawan perempuannya? Perlahan Amalina memegang kepalanya. Terasa dirinya sudah tidak jejak di situ.
Bodohnya aku! Amalina mengutuk dirinya. Mujurlah mereka tidak terlanjur sebelum ini. Mujurlah dia bijak menolak ketika Lukman menggodanya sehingga ke arah itu. Jika tidak? Tidak mustahil dia akan ditinggalkan begitu sahaja oleh Lukman setelah madunya puas dihirup.
“Jadi selama ni you sekadar nak berseronok dengan I ke?” teka Amalina dengan alasan yang paling mudah. Jika bukan itu apa lagi?
Eh, kita pernah tidur bersama ke sebelum ni? Bila kita pernah berseronok?” soal Lukman dengan nada cukup mengejek.
“Tapi you pernah cuba bawa I ke arah itu! Jangan lupa tentang itu!” tegas Amalina dalam hati yang sudah hancur berkecai. Dia tidak sangka di sebalik manis bicara lelaki ini rupanya lelaki ini seorang kaki penipu! Menyesalnya dia.
Lukman segera tertawa perlahan. Tanpa diketahuinya sebabnya dia menggeleng sendiri. Memang benar kata Amalina. Tetapi mereka tidak pernah terlanjur pun. Jadi untuk apa berkahwin? Lagi pun tempohari dia sekadar mencuba nasib. Siapa tahu kesempatan akan terbuka di hadapan mata? Tetapi sayangnya setelah beberapa ketika mereka bermesra di dalam kereta Amalina menolak apabila diajak pulang ke kondonya. Tapi ada baiknya juga! Tidak perlulah dia bertanggungjawab kepada Amalina selepas ini.
“You main-mainkan I ke, Luk? Jadi selama ni you anggap I ni sekadar ‘one night stand’ untuk you?” soal Amalina saat memandang riak selamba di wajah lelaki itu. Betapa hanya Tuhan yang tahu betapa sakit hatinya kala ini. Kolam matanya berkaca biar pun puas dia bertahan namun setitis air matanya mengalir juga di hadapan lelaki itu. Kejamnya lelaki ini mempermainkan perasaannya!
“Baguslah kalau you dah tahu. Hati I ni tak mudah untuk jatuh cinta kepada seorang wanita, Amy. I tak..”
“Kalau dah tahu macam tu kenapa you layan I macam kekasih you? Apa tujuannya?” pintas Amalina agak meninggi. Bicara Lukman tidak masuk akal dirasakannya. Tidak mudah jatuh cinta tetapi melayannya seperti seorang kekasih, itu apa maknanya?
“Itu cuma perasaan you! I tak berniat begitu!” nafi Lukman mudah, enggan tunduk kepada anggapan Amalina.
“Tak berniat? Tapi you cium I seolah-olah I ni isteri you tu apa maknanya? Suka-suka?” bentak Amalina sudah mula merasa tertipu dengan permainan lelaki ini. Menyesal benar dia kerana membenarkan Lukman menyentuhnya. Jenis apa sebenarnya lelaki ini? Romeo?
“Yang you senang-senang bagi tu kenapa? Bukannya I paksa you pun. Jadi janganlah salahkan I seolah-olah semua tu salah I seorang,” ujar Lukman sengaja meleretkan nadanya. Sengaja mahu mengenakan Amalina semula. Jika soal itu mahu diperbesarkan rasanya bukan salahnya seorang. Amalina sendiri yang merelakan perbuatannya itu. Lukman sempat ketawa sinis sengaja mahu mengejek wanita itu.
“Jadi memang betullah you cuma nak berseronok dengan I? You tak pernah berniat nak menjadikan I lebih dari itu?” soal Amalina masih tidak berpuas hati.
Lukman sekadar menjungkit bahunya, meminta Amalina memahaminya sendiri tanpa perlu dia menjelaskannya lagi. Takkan tak faham-faham lagi kut? Apa punya bebal perempuan ni.. maki Lukman dalam hati.
Fine! Tak perlulah I nak dengar penjelasan lelaki penipu macam you ni. Buang masa! You tolak I macam sampah hari ni, you jangan mimpi you akan semudah itu akan bahagia suatu hari nanti, Luk. Perempuan bukan objek pemuas nafsu you aja! Sampai satu masa you sendiri akan menangis kerana perbuatan you hari ni. I tahu Tuhan Maha Adil. Hari ni you mempermainkan perasaan I. Suatu hari nanti you akan rasa macamana pula sakitnya bila seorang wanita melukai hati you. You tengoklah! What goes around one day it must come around, Luk. Cepat atau lambat. Itu sahaja!” tegas Amalina dengan satu jari ditundingkan kepada Lukman yang memandangnya selamba. Semakin sakit hatinya melihat Lukman ketawa kepadanya.
Tanpa menunggu lagi dia segera mencapai beg tangannya dan bangun dari kerusi. Lukman ditinggalkan sendirian di situ tanpa mahu menoleh lagi. Tiada guna untuk dia terus mengharapkan lelaki ini lagi.
Cukuplah! Dia tidak akan berpaling lagi untuk lelaki persis ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan