BAB
19
LEBIH seminggu ditahan di wad, kesihatan Afyra semakin baik.
Setelah pihak doktor berpuas hati, dia diberikan kebenaran untuk pulang. Hanya
itulah berita gembira yang dinantikan semenjak beberapa hari lalu.
“Tak mahu balik rumah mommy ke?” tanya Insyirah sambil
membantu mengemas barang Afyra.
“Tak apalah. Fira tak apa-apa, mommy. Fira boleh jaga
diri sendiri. Fira tak mahu susahkan mommy. Fira rasa kuat aja ni,” jawab Afyra
bersungguh.
“Betul ke ni?” balas Insyirah lembut.
“Betul. Mommy dah beritahu apa yang perlu dibuat.
Insya-Allah, kami tak apa-apa. Kalau ada apa-apa, Fira call mommy nanti,” ujar
Afyra dengan sedikit senyuman.
“Doktor bagi cuti rehat, jangan fikir nak masuk kerja
awal pulak. Pastikan diri tu sihat betul. Ingat apa yang mommy pesan sebelum
ni. Makan jangan sembarangan,” balas Insyirah akur. Lagi pula dia lihat fizikal
Afyra tidak lagi lemah. Sudah mampu berjalan sana sini.
Afyra sekadar mengangguk kepada ibunya. Selesai urusan
pembayaran, Fakhri membawa beg pakaian isterinya ke bawah. Afyra masih di atas
bersama ibunya.
“Ada masa mommy ajaklah Rania datang. Kadang-kadang
Fakhri tak ada. Bosan juga duduk rumah seorang,” ucap Afyra sambil memegang
tangan ibunya.
“Mommy bukan tak mahu. Tapi Rania tu faham-faham ajalah
mulutnya. Cakap main ikut sedap dia aja. Nanti kecil hati Fakhri. Mommy pun tak
suka sangat ganggu orang baru kahwin ni,” jawab Insyirah perlahan.
“Tak ada apalah. Dia memang macam tu, kan? Biar ajalah.”
Afyra tersenyum sendiri mengenang adik bongsunya itu. Mulut banyak sama macam
dia.
Setelah semua barang dibawa turun, barulah Fakhri
mengajak isterinya keluar dari kamar itu. Walaupun sekadar baru lepas mengalami
keguguran, rupa Afyra dah macam orang dalam pantang dengan baju sejuk dan
stoking.
“Hati-hati.” Lelaki itu terus mencapai tangan Afyra saat
mahu masuk ke lif. Mereka bertiga turun bersama ke lobi.
“Mommy tak ikut sekali? Saya boleh hantarkan terus ke
rumah,” pelawa Fakhri.
“Tak apalah, Fakhri. Saad ada di depan tu,” jawab
Insyirah.
Sebelum masuk ke dalam kereta, Afyra sempat mendakap
ibunya. “Thank you so much, mommy.”
“Jangan gaduh-gaduh ya? Sabar banyak-banyak. Tengah sakit
begini banyak pahala Allah beri kalau kita sabar. Jaga mulut. Jangan cakap
bercakap kasar pada suami,” pesan Insyirah. Kedua-dua belah pipi anaknya itu
dikucup bergilir. Kemudian berakhir di dahi.
“Kirimkan salam saya pada daddy ya?”
“Ialah. Jaga isteri kamu baik-baik,” pesan Insyirah
kepada menantunya itu pula.
“Insya-Allah..” Fakhri tersenyum lembut kepada Insyirah.
Fakhri terus memandu pergi setelah melihat ibu mentuanya
masuk ke dalam sebuah kereta tidak jauh dari situ.
Sepanjang perjalanan Afyra hanya memandang ke luar. Namun
dia perasan, hala tuju kereta ini tidak lagi ke rumah mereka. Fakhri
membelokkan kereta menuju ke lebuh raya persekutuan. Malah semakin jauh pula
perginya.
“Kita ke mana?” akhirnya Afyra menoleh.
“Rumah kita,” jawab Fakhri dengan sedikit senyuman.
Afyra tidak
bertanya lagi. Sekadar bersandar di kerusi sambil memandang sekeliling.
“Aku dah bawa barang-barang kau ke sana. Kereta pun aku
dah pindahkan ke sana,” ujar Fakhri sambil meletakkan tangannya di atas tangan
Afyra.
“Okay..” jawab Afyra perlahan.
Fakhri menoleh semula kepada isterinya. Macam tidak
berminat sahaja lagak Afyra.
“Lepas ni mungkin perjalanan untuk kau pergi kerja agak
jauh. Aku boleh hantarkan. Aku biasa masuk kerja jam 10.”
“Okay.”
“Kita balik terus ya? Tak ada apa-apa nak bawak balik
lagi, kan?” ujar Fakhri lembut.
“Okay.”
Okay lagi! Rungut hati Fakhri. Itu aja dialog Afyra
sekarang. Namun dia hanya berdiam menahan sabar. Kalau dia marah pun apa guna
jika isterinya dua kali ganda lebih marah kepadanya?
Pemanduan diteruskan sehingga mereka tiba di pesisir
daerah Shah Alam. Kereta Fakhri mula memasuki satu kawasan perumahan berkembar
dua Semi-D di kawasan Bukit Jelutong.
“Home sweet home,” ucap Fakhri setelah berhenti di hadapan rumah itu.
Afyra menoleh ke arah lelaki itu sekilas. Terus sahaja
dia membuka pintu. Macam sudah tidak sabar mahu keluar.
“Slowly,” tegur Fakhri. Cepat sahaja dia keluar dari kereta untuk
mendapatkan isterinya.
“I’m
fine!” tegas Afyra enggan
membiarkan dirinya dilayan macam orang kurang upaya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri. Isterinya tetap dipimpin menuju
ke pintu rumah.
“Kau masuk dulu. Aku ambil beg ya?” ucap Fakhri setelah
membuka pintu.
Afyra terus masuk tanpa menjawab. Tubuhnya dibawa ke sofa
dan dia terus duduk. Baju sejuknya ditanggalkan. Kemudian stoking yang membaluti
kaki juga ikut ditanggalkan. Fakhri sempat memandang isterinya saat meletakkan
beg di depan pintu. Melihat itu, Afyra bangun semula.
“Tak payah. Biarkan kat situ,” tegah Fakhri.
“It’s
okay. Aku boleh angkat
yang ringan ni.”
“Ada aku suruh angkat beg tu ke?” ucap Fakhri dengan pandangan tajam kepada si isteri.
“Bila aku kata tak payah. Maknanya tak payah. Biar aku
buat,” tegas lelaki itu tidak senang.
“Yes.
Of course!” Afyra mencebik
sambil menjeling lelaki itu. Terus sahaja dia berpaling semula sofa dan duduk
semula. Sudahnya dia sekadar memandang ruang tamu itu. Tv sebesar-besar tv!
Sofa jenis kulit yang pastinya belas ribu-riban harganya! Cantik. Mewah.
Nampaknya citarasa ‘suamiku bukan penganggur rupanya jutawan’ itu tidak
alang-alang juga.
Kemudian dia bangun menuju ke dapur. Mencari apa yang
dirasakan amat penting. Okay, peti ais ada. Mesin basuh ada juga. Afyra
memandang sekeliling lagi. Dapur itu lengkap. Afyra terus mengitari dapur itu
tanpa sedar Fakhri telah datang kepadanya.
“Cari apa?” bisik lelaki itu sambil memaut bahu Afyra.
Belakang kepala isterinya dikucup sekilas. Afyra sekadar menoleh sedikit ke
tepi.
“Aku rasa aku tahu kau cari apa,” ucap Fakhri lunak.
“Aku cuma nak tahu kau ada beli washing machine ke tidak.”
“Aku dah dapat agak tu.” Perlahan lelaki itu menurunkan
tangan ke pinggang Afyra. Tubuh isterinya dipeluk dari belakang. Namun kemudian
dia perasan yang Afyra masih kemas bertudung.
“Kenapa masih pakai tudung dalam rumah?”
Peluang yang sedang terbentang segera digunakan Afyra
untuk menjauhkan diri. Tanpa kata dia ke hadapan semula. Beg-begnya masih
bertaburan di hadapan pintu. Lambat-lambat Fakhri mengekori isterinya sehingga
ke ruang tamu semula.
“Kita nak atas ya?” ajak Fakhri. Dua buah beg yang
menghalang pintu itu dialihkan ke tepi. Pintu ditutupnya. Setelah pintu
tertutup rapat barulah Afyra membuka tudungnya.
“Aku nak duduk kejap,” ucap Afyra sambil memegang
perutnya. Waktu begini dia mesti makan sesuatu. Teringat pula kepada makanan
yang diberi oleh emaknya tadi. Tidak jadi mahu duduk. Bekas tupperware yang
terbiar di tepi longgokan beg itu diambilnya.
“Fira..” panggil Fakhri sewaktu belum jauh wanita itu
berlalu.
Afyra sekadar menoleh dengan pandangan biasa.
“Boleh tak kalau kita jangan terus begini?”
“Aku nak makan dulu,” jawab Afyra tanpa memandang Fakhri.
Fakhri segera mendekati sang isteri. Kemudian dia duduk
di hadapan isterinya. “Fira.. pandang sini.”
“Apa lagi yang kau nak?” balas Afyra sedikit tidak
senang.
“Aku nak isteri aku yang dulu.” Fakhri membalas dengan
tatapan tepat ke dalam mata sang isteri. Cuba membaca apa yang tersirat di
sebalik kedinginan yang ada antara mereka. Apa sebenarnya yang Afyra mahukan
darinya. Dia akan cuba memberikannya.
Afyra berdiam memandang sang suami.
“Aku suami kau. Aku sayangkan kau, Fira.”
“Apa yang ada depan mata kau selama ni tak cukup? Apa
lagi yang kau nak aku beri pada kau, Fakhri?” balas Afyra keliru. Tatapan sang
suami dibalas dengan kerutan di kening.
Fakhri diam pula. Dagu tirus isterinya diusik dengan dua
jarinya. Namun fikirannya ligat bermain. Selama ini dia tidak tersedar akan
sesuatu yang penting dalam hidupnya. Diberikan seorang wanita yang sangat mudah
dan ringkas di samping cabaran hidup berumah tangga yang terasa susah bagi
mereka yang tidak arif seperti mereka. Tetapi sikap suka mengambil mudah
menyebabkan mereka jadi begini. Setiap pertanyaan Afyra dijawab mahu tidak
mahu. Dalam diam ada ego yang dibelanya.
“Kau tahu.. daddy aku paksa aku kahwin dengan seseorang
yang dirasakan bagus. Bukan sempurna. Tapi dia mampu jadi suami. Sayangnya, aku
jadi macam ni. Jadi cakaplah.. apa lagi yang aku tak berikan pada kau sampai
kau buat aku macam ni. Aku dah pikul semua kesalahan masa lalu aku. Apa lagi
yang kurang?” ucap Afyra mula bergetar nadanya. Lekas air matanya bertakung.
“Bukan salah kau. Salah aku.”
“Tapi hukumannya aku yang terima, kan? Sebab Naquib. Aku
tak mampu nak padamkan kisah lalu aku dengan dia! Kenapa kau nak simpan lagi
bekas kekasih abang kau ni ha? Kau mampu hadap muka aku dengan rasa benci tu?”
sanggah Afyra.
Fakhri diam semula. Berkali-kali dia menghela nafas agar
dirinya tetap tenang.
“Tiga bulan, Fakhri. Baru dua minggu aku tak pedulikan
kau, kau rasa apa? Seronok tak? Malam tu kita bergaduh, esoknya aku bangun pagi
aku harap kau akan berubah. Tapi kau makin jauhkan diri. Kau balik lambat, kau
tidur di luar. Macam dah jijik sangat dekat aku ni! Aku rasa aku ni memang
perempuan tak tahu malulah. Orang dah tak mahu masih mahu berharap!”
“Bukan macam tu. Aku pun runsing. Aku tak tahu apa nak
buat untuk pujuk kau. Aku tak pernah berniat nak buat keadaan sampai jadi
begini. Percayalah,” ucap Fakhri bersungguh.
“Jadi kau hanya main-mainlah ya? Lepas kau dah puas
barulah kau ambil aku jadi isteri kau yang sebenar-benarnya. Tak logik, Fakhri.
Kau tak mahu mengaku tapi aku tahu itu memang betul, kan?”
“Fira, boleh tak kalau kau maafkan aku sekali ni. kita
lupakan semua yang dulu tu. Aku ikhlas kali ni, Fira. Tolonglah beri aku
peluang. Kau nak hidup macam orang lain, aku pun begitu, Fira. Apa terjadi
antara aku dan Naquib sekali pun, kau tetap isteri aku,” ujar Fakhri lembut.
“Yang boleh kau layan seperti apa sahaja yang kau nak.
Satu KL ni boleh kenal kau siapa. Tapi aku tak kenal kau. Aku orang luar.
Setiap hari kau pandang aku sebagai bekas kekasih Naquib, kan? Bukan sebagai
isteri kau,” sambung Afyra tanpa bertangguh.
“Itu dulu. Aku sanggup mengaku apa saja kalau itu boleh
buatkan kau puas hati. Tapi boleh tak kalau kau maafkan aku lepas ni?”
Fakhri menghela keluhan perlahan sebelum meluahkan
bicara. “Aku mengaku aku cemburu selama ni. Aku sakit hati bila lelaki macam
dia menjadi keutamaan kau berbanding aku. Kenapa bukan aku? Waktu ayah beritahu
yang Naquib tak mahu bernikah, aku setuju dengan permintaan ayah begitu saja.
Aku tak fikir kesannya. Aku buat silap. Tapi sekarang aku dah menyesal. Berilah
aku peluang untuk perbetulkan kesilapan aku.”
Afyra terus merenung tampang suaminya. Lama. Dia tahu
masih ada yang Fakhri rahsiakan darinya. Penjelasan itu telah dipintas menjadi
pendek oleh Fakhri.
“Aku betul-betul minta maaf, sayang. Aku tahu kau rasa
terhina dengan apa yang aku buat sebelum ni. Sepanjang seminggu ni, baru aku
sedar.. aku dah tersilap banyak dalam menilai siapa kau sebenarnya. Kau tak
pernah malukan aku depan orang tua kau. Daddy sentiasa pandang aku. Aku tahu
dia benar-benar nak tahu apa yang dah terjadi antara kita. Sikit pun kau tak
buka mulut cerita masalah kita. Aku tahu kau terlalu berbeza berbanding apa
yang aku bayangkan selama ni,” ucap Fakhri bersungguh.
Fakhri diam seketika sambil menjatuhkan pandangan. Dia
tahu sukar mahu menepis kisah itu dari hidup mereka. Terlanjur cinta, mata jadi
buta. Terlanjur kata hati jadi binasa.
“Aku yang ada depan kau sekarang itulah suami kau yang
sebenar, Fira. Aku tak ada apa nak disembunyikan lagi. Ya, semua ni hak aku.
Aku usahakan semenjak dulu. Aku bukan tak ada kerja. Cuma aku bekerja ikut masa
aku sendiri. Aku uruskan tiga perniagaan yang dikongsi dengan kawan-kawan aku
yang aku kenal waktu di Sydney dulu,” ujar Fakhri.
“Sekarang aku menyesal kerana bercinta dengan Naquib
dulu. Kalau aku tahu kau lebih hebat dari dia, dah lama aku tinggalkan dia
untuk kau. Sekarang ni, aku nak kau ambil pembantu rumah ramai sikit. Sebab aku
penat buat kerja rumah waktu kita di rumah buruk tu. Dahlah buruk, sempit pulak
tu. Kau tak tahu betapa bencinya aku duduk rumah begitu. Untuk apa ada suami
kaya kalau aku juga yang kena basuh kain baju kau.” Afyra menjawab selamba.
Bekas makanan di tepi Fakhri diambilnya dan dia terus ke dapur.
Bisa. Namun Fakhri hanya mampu menghela nafas perlahan.
Sabar sajalah. Dia tahu dia yang memulakan keadaan ini. Sudahnya dia membawa
naik beg isterinya ke atas. Sempat dia memandang kamar tidur mereka. Masih sama
seperti ditinggalkan beberapa minggu lalu.
Usai menunaikan solat, Fakhri turun ke bawah semula
mencari Afyra.
Konon tidak mahu buat kerja rumah, mahu orang gaji. Dia
lihat Afyra sibuk menyelongkar dapur. Entah apa dicarinya. Orang dapur tetaplah
orang dapur.
“Cari apa, sayang?” sapa Fakhri lunak.
Afyra menoleh. “Gula ada? Kopi? Teh?” ucapnya. Dari tadi
mencari tidak jumpa. Yang ada hanya paket kopi segera 3 dalam 1.
“Tak ada. Aku hanya beli nescafe dalam paket tu aja,”
ujar Fakhri sambil mendekati isterinya.
Mendengar itu Afyra terus sahaja mengambil sepaket nescafe
itu lalu dibancuh di dalam mug. Kemudian dibiarkan saja mug itu di situ. Sambil
berlalu dia menjeling Fakhri.
“Untuk siapa air tu?” tanya Fakhri sebelum isterinya
menjauh.
“Untuk suamiku hantu!” jawab Afyra sekadar sambil lalu.
Terkedu Fakhri
serta merta. Dia kata aku hantu?? Namun tidak dipedulikan mug itu. Dia
mengekori Afyra ke ruangan makan. Wanita itu sedang mencedok nasi.
“Dah ambil ke airnya? Jomlah makan cepat,” ucap Afyra.
“Janganlah marah lama-lama. Kesian aku ni. Kurang kasih
sayang,” ucap Fakhri sambil memeluk wanita itu dari belakang. Erat.
“Biarlah aku nak marah berapa lama pun. Bukan guna hati
kau pun. Sibuk aja nak kawal-kawal hati orang,” cebir Afyra selamba.
“Aku tak suka bergaduh dengan kau, Fira. Janganlah macam
ni.”
“Aku suka. Kau tu jenis suami, bila aku cakap elok-elok,
kau main-mainkan aku. Bila mulut aku ni dah jahat, baru kau nak merayu-rayu.
Padan dengan muka kau!” balas Afyra pantas.
“Ialah. Aku tahu aku dah buat silap. Takkan tak ada maaf
langsung,” ujar Fakhri mula merendahkan suara. Meminta simpati.
“Tak ada mood nak maafkan kau sekarang. Aku nak makan.
Badan aku dah rasa lain macam,” jawab Afyra selamba.
“Okaylah. Jom kita makan,” sambut Fakhri akur. Kerusi
terus ditarik lalu punggung dilabuhkan. Matanya terus memerhatikan isterinya
menyenduk nasi ke dalam pinggannya.
Sepanjang duduk berdua di meja makan, dua manusia itu
lebih banyak berdiam. Suapan Fakhri amat lambat. Sesekali dia memerhatikan sang
isteri. Afyra nampak berselera. Mungkin sedang lapar.
Seketika kemudian lelaki itu termenung pula merenung nasi
di dalam pinggan. Ralik berfikir sendiri. Sesungguhnya dia sedar. Ada sesuatu
tentang mereka yang perlu diubah jika ingin hidup seperti orang lain.
“Fira..”
keheningan ruangan makan itu dicelahi oleh suara Fakhri.
Afyra sekadar memandang lelaki itu sekejap. Nasi yang
masih bersisa di dalam pinggan kembali disuap ke mulut.
“Aku perasan sesuatu. Waktu kita di hadapan orang tua
kau, kau tak pernah biarkan mommy dan daddy dengar kita membahasakan diri aku
kau.”
“So?” jawab Afyra sekadar sepatah.
“Kita tak selamanya dapat berlakon di depan orang lain,
kan? Lama kelamaan dia orang akan tahu juga ada yang tak kena dengan kita.
Abang tak sanggup berhadapan dengan daddy tentang itu. Abang malu. Orang tua
Fira terlalu baik pada abang selama ni.”
Wajah Afyra berubah sedikit saat menoleh kepada Fakhri.
Lelaki itu masih merenung tampangnya tanpa jemu.
“Kita kena ubah sebelum ini jadi kebiasaan sehingga
sebati dalam diri kita,” ujar Fakhri lembut.
Afyra memandang suaminya sekilas.
“Abang suami. Fira isteri. Kita perlu ada adab sopan
dalam membahasakan diri masing-masing,” luah Fakhri lagi.
“Ialah. Abang tahu..” Afyra tersentak tiba-tiba. Tidak semena-mena
apa yang hendak diucapkan lenyap dari mindanya. Kosong. Dia melugu memandang ke
hadapan dengan kerutan di kening. Apa aku nak cakap tadi ya?
Fakhri tertunduk serta merta menahan rasa nak ketawa
melihat gelagat isterinya.
“Gelaklah! Dah lupa apa nak cakap!” Afyra menjeling. Malu
sendiri.
“Tak apa. Biar abang yang bercakap kali ni.”
“Ia.” Hanya itu yang mampu dijawab Afyra. Malu pula rasanya
nak mengubah kebiasaan itu. Tadi itu agaknya dia tersasul.
“Boleh panggil abang? Jangan bahasakan diri aku lagi,” ucap
Fakhri cukup lembut.
“Boleh aja,” jawab Afyra selamba. Janggal dan kekok.
Tetapi sesungguhnya benarlah kata Fakhri. Masakan mereka mahu menjadi pasangan
yang aneh? Membahasakan suami dengan panggilan engkau sedangkan berbicara
dengan suami mestilah berlemah lembut.
Puas berdiam diri, seketika kemudian Afyra memberanikan
diri membalas pandangan suaminya.
“Sepatutnya begitu. Tapi entahlah. Rasa janggal sebab dulu
kita tak begitu kenal,” ujar wanita itu rendah.
“Tak apa. Yang dulu kita lupakan saja. Kita mulakan
cerita yang baru. Abang ada buat salah. Abang harap dimaafkan dan diberikan
peluang sekali lagi. Dengan begini, kita akan lebih dekat,” balas Fakhri dengan
sedikit senyuman. Lapang hati mendengar nada akur sang isteri.
Afyra tidak menjawab. Baki nasi disuap ke mulutnya sambil
memikirkan kata-kata Fakhri. Sejujurnya dia juga seperti wanita lain. Dia ingin
merasa dibahagiakan. Juga membahagiakan.
“Abang tak mahu gaduh dengan Fira. Abang manusia biasa. Ada
waktunya abang tersilap dan abang harap abang akan dimaafkan. Diberikan peluang
sekali lagi. Dan abang takkan ulangi lagi kisah dulu. Abang janji. Cuma beri
abang peluang sekali lagi. Itu aja,” ucap Fakhri bersungguh.
“Kalau peluang tu tak diberi, abang ingat kita akan ada di
meja makan ni makan bersama?” balas Afyra pantas.
Fakhri terdiam seketika. Perlahan dia tersenyum. Sedar atau
tidak memang Afyra sedang memberikan dia peluang.
“Kita takkan lalui keadaan seperti dulu. Abang lalai
selama ini. Abang terlupa ada perasaan yang perlu dijaga.”
Afyra hanya diam mendengar kata-kata Fakhri. Sudikah dia
memaafkan Fakhri begitu sahaja? Sejauh mana harapan itu mampu disandarkan? Tetapi
hakikatnya, jika dibentangkan ruang, bagaimana bahagia itu akan hadir antara
mereka?
WALAUPUN masih perlu menjaga kesihatan, tidak betah pula mahu
melepak sahaja di atas ranjang. Petang tadi, setelah naik ke kamar barulah dia
terlihat hampir kesemua pakaiannya rupanya sudah dipindahkan oleh Fakhri dari
rumah sana semenjak sebelum itu. Kata Fakhri, hanya tinggal sedikit barang yang
tinggal di rumah sana. Kebanyakannya tidak penting. Lega jugalah hatinya
mendengar itu.
Namun setelah dikemaskan pakaiannya ke dalam ruangan
pakaian, barulah dia perasan ada terkurang sesuatu. Sesuatu yang sangat penting
langsung tidak kelihatan. Kain bajunya ada. Tudung, anak tudung, pin tudung
semuanya ada. Tetapi ada dua persalinan yang amat penting tiada.
Afyra mula menggaru kepala. Mencari mana tahu ada beg lain
yang tersorok tidak ditemuinya. Tiada pula. Semuanya beg yang ada sudah kosong.
Fakhri yang baru masuk ke kamar itu, segera perasan gelagat aneh isterinya.
“Cari apa, sayang?” tanya Fakhri kehairanan.
“Semua baju Fira abang dah ambil ke?”
“Dah. Tak ada apa sangat dah kat rumah sana. Kenapa?”
jawab Fakhri yakin dengan apa yang ada dalam ingatannya.
“Yang dalam kabinet bertingkat tu?”
“Kabinet mana pulak?” soal Fakhri sambil menggaru kepala.
Berapa banyak kabinet pakaian yang mereka ada di rumah sana?
Afyra segera menghela nafas panjang. Sudah dapat mengagak
Fakhri tidak ingat akan kabinet berlaci itu. Letaknya di belakang pintu kamar.
“Yang belakang pintu. Pakaian dalam Fira semua ada dalam
tu. Mana ada kat dalam beg ni semua. Sehelai pun tak ada,” ujar Afyra sambil
memandang beg pakaian yang terbiar di lantai.
“Ooo..” panjang lopongan Fakhri mendengar itu. Ia tak ia
juga. Ada satu lagi kabinet di dalam kamar itu. Letaknya agar tersorok. Dia
tidak perasan.
“Apa yang ooo?”
Fakhri ternganga pula. Cuba menutupi khilafnya. “Ooo tu
bermaksud abang baru teringat tentang kabinet tu. Kabinet tu abang tak sentuh
pun. Abang lupa langsung tentang kabinet tu,” jawab Fakhri perlahan.
“Habis tu macam mana sekarang? Pakaian dalam Fira yang
bawak balik dari hospital semuanya baru masuk mesin basuh. Bogel ajalah untuk
dua tiga hari?” ujar Afyra sambil mengerling lelaki itu.
“Yang bawah tu rasanya boleh pinjam abang punya. Tapi
yang atas tu, nanti kejap. Bagi abang fikir dulu macam mana nak buat. Mesti ada
jalan keluarnya.”
Afyra terus berlalu mendapatkan tuala. “Hmm.. Fikirlah
sampai jumpa jalan,” desis Afyra selamba. Laju kakinya menuju ke kamar mandi.
Kemas. Lantai di dalam ruangan itu kering seperti kamar
mandi hotel. Sambil berdiri di sinki dia membelek segala macam barangan
peribadi milik Fakhri di dalam kabinet di sebalik cermin. Kemudian dia
memandang sekeliling. Tab mandi sederhana besar. Kawasan pancuran hanya
dilindungi oleh kaca jernih yang tembus oleh pandangan dari kedua-dua sisi.
Motif?
Selesai menyegarkan wajah, Afyra keluar semula. Sebaik
sahaja terlihat kelibat isterinya, Fakhri segera bersuara.
“Esok abang pergi ambil.”
“Nak ikut.”
“Tak payahlah. Nanti mulalah sibuk nak angkut barang sana
sini. Mommy cakap apa sebelum ni? Jangan angkat barang berat, kan?” balas
Fakhri sambil menggeleng tanda tidak senang dengan kehendak sang isteri.
Afyra diam pula. Benar. Bimbang dia lambat sembuh kalau
terlalu aktif.
“Ambil mana yang penting dulu. Nanti kita pergi sana
sama-sama. Clearkan mana yang ada,” ujar Afyra akur juga.
Fakhri mengangguk setuju. Esok dia masih tidak bekerja.
Jadi eloklah dia ke rumah sana untuk menyudahkan kerja yang masih terbengkalai.
“Nak apa-apa sebelum abang turun bawah?”
“Tak ada-apalah.” Afyra menjawab perlahan sambil mencapai
baju sejuk miliknya di atas katil. Dia memandang Fakhri seketika sambil baju
itu disarungkan ke tubuh. Stoking wajib dipakai! Kemudian Afyra terus membawa
dirinya ke atas ranjang.
“Nak tidurlah. Penat. Good
night.”
Fakhri sekadar membiarkan isterinya membaringkan tubuh
tanpa membalas ucapan itu. Dia keluar dari kamar itu kemudiannya. Segelas air masak
diambil di dapur. Kemudian dia naik semula bersama bungkusan ubat milik Afyra.
“Makan ubat dulu sebelum tidur,” ucap Fakhri sambil
kampit ubat-ubatan itu dibuka satu persatu.
Terlihat apa yang dibawakan Fakhri, Afyra memaksa diri bangun
semula. Lupa langsung tentang itu. Beberapa biji kapsul ditelan sekaligus
sambil disulam dengan air.
“Dah?” tanya lelaki itu lembut.
Afyra mengangguk. “Thank’s a lot.”
Fakhri tersenyum memandang isterinya. Gelas itu
diletakkan di atas meja di sisi katil. Buat seketika dia duduk menghadap Afyra
sesudah wanita itu kembali berbaring. Selimut ditarik lembut menyelimuti separuh
tubuh sang isteri.
“Like
a baby,” usik Fakhri sambil
mencuit dagu sang isteri. Afyra ketawa kecil.
“Ada kerja lagi ke?” tanya Afyra perlahan. Tidak penatkah
lelaki ini?
“Ada. Fira tidurlah. Abang ada banyak kerja nak buat,”
balas Fakhri sambil mengusap rambut isterinya.
“Cepat sembuh ya? Abang tahu Fira rasa tak selesa
begini.”
Afyra hanya diam merenung tampang lelaki itu. Senyuman
segera terukir di bibir. Seronok dibelai begitu. Sudahnya dia menarik Fakhri
agar berbaring sama dengannya. Fakhri tersenyum senang. Nampak macam sudah
terpujuk. Dia berbaring di belakang isterinya sambil mengusap belakang wanita
itu berkali-kali. Disertakan dengan sedikit urutan di bahu. Mereka berdua berdiam
buat seminit dua.
“I
like that,” bisik Afyra separuh
terlena.
Fakhri ralik berfikir sambil memerhatikan tindak tanduk
isterinya. Tentang sikap dan tindak tanduk sang isteri yang mudah difahaminya.
Afyra tidak memerlukan kata-kata yang hebat untuk
terpujuk. Dia akan terpujuk dengan sendirinya. Hanya berikan masa.
Fakhri menjengah, cuba memandang wajah isterinya dari
belakang. Lama.
“I
love you,” bisiknya perlahan. Kemudian
dia tunduk mengucup pipi sang isteri. Afyra sudah tidak sedar. Perlahan dia
turun dari katil. Kamar itu ditinggalkan senyap-senyap.
Di bawah Fakhri kembali duduk menghadap kerja. Telefon
segera dicapai. Nombor seseorang dipanggil.
“Esok aku cuti lagi. Isteri aku baru keluar hospital,”
ucap Fakhri. Buat seketika dia diam mendengar bicara orang di sana.
“Dia okay. Tak apalah. Kau email aja proposal tu. Aku
semak. Tentang rancangan kita hari tu, kita bincang semula nanti. Aku bagitahu
bila aku free. Tarikh tutup permohonan tender tu hujung bulan ni, kan?” ujar
Fakhri kepada orang di sana.
Dia membisu lagi sambil memandang ke hadapan. Sesekali
kepala diangguk.
“Okaylah kalau begitu. Kita bincang semula nanti. Bye,”
ujar Fakhri lembut.
Panggilan dimatikan. Sebuah helaan nafas dilepaskan.
Harap-harap permohonan untuk menjadi pengedar alat-alat tulis di beberapa buah
pejabat berjaya. Kesunyian ruangan itu memudahkan dia untuk menghadap kerja
yang masih belum sudah. Berpuluh email tidak sempat dibacanya sebelum ini. Kesemuanya
perlu perhatian segera.
Setelah berjam-jam menghadap kerja, Fakhri naik semula ke
atas. Sudah jam tiga pagi rupanya. Tubuhnya sudah letih benar. Namun sebelum
naik ke katil dia terpaku melihat keadaan Afyra. Pakaian di tubuh Afyra sudah
bertukar. Baju sejuk sudah terlempar ke lantai.
Dengan gerakan perlahan dia naik ke ranjang. Isterinya
itu diselimutkannya. Namun Afyra terjaga. Pantas dia menolak selimut itu.
“Sejuk nanti,” ucap Fakhri lunak.
“Tak mahu. Panas ni.” Afyra merengek perlahan. Dalam
badannya terasa bahang biarpun kamar itu dingin sekali dengan penghawa dingin.
Apa tidak, dalam makanannya sentiasa ada lada hitam.
Fakhri hanya mampu memandang isterinya menyambung tidur.
Afyra panas. Dia pun panas juga melihat isterinya berpakaian begitu terbuka.
Dengan sekadar baju nipis bertali halus di bahu. Yang tidak tahannya, isterinya
pakai boxer.
Siapa punya boxer? Sendiri mahu ingatlah!