Jumaat, 30 Ogos 2013

21-22 MSM

21
Laila terus bungkam tidak jauh dari lelaki itu di ruang tamu itu. Dia tidak tahu apa yang mahu dibualkan dengan Lukman. Dia juga tidak tahu apa yang mahu dilakukan saat ini. Sebenarnya dia amat canggung dengan perubahan hidupnya kini. Semuanya bagaikan mimpi! Semenjak tadi mereka lebih banyak berdiam diri memandang tv. Macam pasangan suami isteri bisu pula mereka.
“Aku dah takde rumah sekarang. Kondo tu bapak aku dah ambik balik. Semuanya aku dah hilang. Aku harap kau puas hatilah selepas ni. Kau boleh ketawa puas-puas dengan kemenangan kau ni,” ucap Lukman tiba-tiba setelah lama berdiam diri di ruang tamu itu.
Laila terus diam membatukan diri. Kata-kata Lukman seolah angin lalu sahaja di telinganya. Tidak kuasa dia mahu membalasnya. Baginya itu topik yang mampu menarik minatnya untuk berbual mesra dengan lelaki itu.
“Kau duduklah di sini. Aku akan cari tempat tinggal aku sendiri. Nanti ada masa aku akan jenguk kau,” ucap Lukman lagi. Sengaja dia berkata begitu untuk memancing reaksi Laila. Sambil itu dia mengerling sejenak wajah si isteri. Macam tiada emosi sahaja wanita itu.
Laila sekadar mencebik dalam hati. Lantak kaulah! Ada aku kisah kau ada rumah ke tak? kutuk hatinya sendiri. Siapa kata dia berselera untuk duduk serumah dengan lelaki itu? Buat sakit jiwa aku aja pandang muka kau hari-hari! Walaupun membisu namun hati Laila asyik mengata lelaki itu.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?” Lukman menaikkan sedikit suaranya apabila Laila terus terusan mendiamkan diri. Sakit hatinya apabila Laila berlagak seperti tunggul semenjak mereka tiba di rumah ini tadi. Menghidangkannya segelas air juga tidak. Laila hanya mengeras di sofa itu bagaikan patung batu. Tidak langsung peduli padanya.
“Saya tak pekak lagi..” sambut Laila selamba tanpa sedikit pun mengalihkan pandangan kepada Lukman.
Semakin sakit hati Lukman. Bengang benar dia melihat sikap kepala batu Laila kepadanya. Langsung tiada hormat kepadanya. “Aku nak kau jelas dengan keadaan kita sekarang. Aku kahwin dengan kau sebab budak dalam perut kau tu. Kalau bukan sebab tu aku pun tak ingin nak buat macam ni. Jadi kau jangan fikir aku nak layan kau istimewa sangat sebab aku pun tahu kau sendiri memang benci tengok muka aku. Jadi tak perlulah kita nak duduk serumah macam orang lain. Buat masa ni aku akan duduk tempat lain,” ucap Lukman nekad. Dia tahu tiada gunanya dia mengalah jika inilah sikap Laila saban hari kepadanya.
Laila diam lagi. Dia tidak tahu apa yang harus dijawabnya. Jika sudah itu pilihan Lukman masakan dia mahu menangis berguling-guling di lantai? Dia sendiri memang tidak mahu terhegeh-hegeh kepada lelaki itu. Memang taklah! Mungkin lagi baik Lukman tinggal di rumah lain kerana dengan itu tidak perlulah dia fikir bagaimana untuk melayani lelaki itu sehari-hari dalam keadaan hatinya masih sarat dengan rasa benci. Usahkan mahu serumah dengan lelaki itu, bercakap pun dia tidak selera.
“Aku tahu kau bencikan aku atas apa yang aku dah buat pada kau. Aku tak kisah pun! Memang aku ni kejam. Jadi aku akan buat apa yang terbaik untuk kita lepas kau habis berpantang nanti. Aku memang tak pernah mengharap apa-apa dari perkahwinan ni sebab kita pun bukannya macam orang lain yang berkahwin sebab suka sama suka. Daripada kita saling membenci lebih baik kita buat hal sendiri. Aku pun sebenarnya bukannya nak kahwin sangat!”
“Suka hati awaklah!” ucap Laila seakan mendongkol sendiri. Sempat juga dia menghela nafas keras.
Lukman sempat memandang reaksi Laila. Geram! Tetapi ditahan sahaja perasaannya itu kerana kesakitan di wajahnya ini sudah mula menekannya. Lukman memegang mulutnya yang luka angkara Arman sebentar tadi. Habis bengkak bengkol wajahnya akibat dibelasah abang Laila. Hatinya sakit tetapi dia tidak berani melawan lagi. Dia tahu ugutan abang Laila bukan main-main apatah lagi dia tahu dia bukan tandingan Arman budak kampung yang pakar bersilat itu. Lukman mengerling Laila di tepinya itu seketika. Laila masih tetap diam sambil memandang ke hadapan. Entah dia mendengar entahkan tidak.
Tetapi lain bagi Laila saat itu. Siaran tv dipandangnya namun fikirannya sudah berlayar jauh entah kemana. Lukman dianggapnya seperti tidak wujud di situ. Bia dia bercakap seorang diri macam orang gila, ejek Laila dalam diam.
Semakin sakit hati Lukman melihat gelagat Laila seperti sengaja memperlekehkannya. “Kau ni asyik tengok tv dari tadi. Aku bercakap dengan kau tapi kau buat bodoh aja! Seronok sangat ke rancangan tu?” bentak Lukman mulai geram.
“Habis tu awak nak apa lagi? Awak dah cakap apa yang awak nak, jadi saya dengar ajalah! Awak nak ceraikan saya lepas saya habis pantang nanti, fine! Habis tu awak nak saya menangis meratap macam orang gila kat sini pulak?” tukas Laila bengang apabila tiba-tiba dimarahi Lukman.
“Aku ni sakit kena belasah dengan abang kau tu. Tolonglah sapu ubat ke apa! Ini tak! Buat bodoh aja. Kau ingat muka aku ni tembok ke? Tak tahu sakit bila kena penumbuk abang kau tu? Ini semua sebab mulut kau tu yang suka mengadu!” Lukman yang semakin berang mula mengherdik perempuan itu.
Laila sempat mendegus melepaskan geram. Hatinya mendongkol penuh kebencian terhadap lelaki itu tetapi dia menurut juga kehendak Lukman. Laila bingkas bangun mengambil ubat luka dan air suam di dapur untuk membersihkan luka di wajah Lukman. Jika bukan kerana abangnya yang mencederakan Lukman memang tidak ingin dia menurut arahan lelaki itu. Biar padan dengan muka!
Seketika kemudian Laila sudah berada dekat dengan lelaki itu. Dia sebenarnya teramat canggung untuk melakukannya tetapi dipaksakan juga dirinya. Kesan darah yang sudah mengering itu cuba dibersihkannya dalam pada dia terkial-kial tidak tahu bagaimana mahu melakukannya. Tetapi setiap kali dia meletakkan tangannya ke wajah lelaki itu, Lukman melolong kesakitan pula.
“Perlahanlah sikit! Sakitlah!” bentak Lukman sudah tidak tertahan.
“Saya dah cukup perlahan ni. Nak perlahan macamana lagi?” gerutu Laila bertambah geram. Kalau ikutkan hatinya memang sudah ditenyehnya luka itu. Biar bertambah bengkak! “Tahanlah sikit. Awak jugak yang suruh saya sapu ubat..” sambung Laila dengan bebelan itu. Jeritan Lukman tidak dipedulikanya.
Spontan Lukman menolak kasar tangan Laila. Ucapan Laila semakin menghidupkan bara di hatinya. “Habis tu takkan aku nak suruh jiran sebelah pulak yang sapu ubat ni. Kau tu bini aku. Buatlah apa yang patut! Kau ingat aku kahwin free dengan kau ke? Aku bayar 20 ribu kat bapak kau tau! Abang kau tu pun satu! Sedap aja belasah aku. Dah aku setuju nak nikah dengan kau dia masih nak belasah aku. Dia ingat aku ni punching bag ke apa?”
“Sapulah sendiri! Suruh orang sapu ubat tapi nak menengking-nengking pulak! Awak ingat saya ni tunggul? Bukannya saya yang suruh abang Man belasah awak. Siapa suruh awak buat saya macam ni? Padanlah dengan muka awak. Baru kena tumbuk sikit macam dah nak mati sangat siksanya! Cerita macam dah kuat sangat!” bentak Laila. Dia pula yang bengang. Kapas di tangannya dicampaknya geram. Terus dia bangun berpindah duduk ke sofa lain. Tidak kuasa lagi mahu menadah dirinya kepada jerkahan lelaki itu.
Terjegil mata Lukman memandang Laila yang berani sekali melawan kata-katanya. Sangkanya Laila akan berdiam diri kerana takut dengannya. Serta merta dia teringat tingkah Laila ketika berada di dalam kereta tadi. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya, Lukman.. hatinya sempat mengingatkan dia akan hakikat itu.
“Laila, tolonglah sapukan ubat ni. Kau ni tak kesian dengan aku ke? Aku betul-betul sakit ni.” Lukman mula menukar rentak dengan mengendurkan suaranya cuba menarik perhatian Laila agar membantunya. Dia sedar dia tidak seharusnya meminta Laila membantunya dalam nada kasar seperti itu.
“Klinik berlambak kat luar sana. Hospital pun banyak. Pergi ajalah! Awak bukannya takde duit! Saya bukannya hamba sesedap rasa awak nak tengking herdik,” degus Laila. Serik dia mahu melakukan apa-apa untuk lelaki itu kalau ini yang dia terima.
“Janganlah macam tu. Tolonglah..” rayu Lukman cuba memujuk lagi.
“Dah sedar diri nak minta tolong orang, janganlah nak menengking orang sesedap rasa. Awak ingat saya ni pekak tak dengar suara awak yang macam petir tu? Awak ingat awak seorang aja yang sakit sekarang? Awak sakit esok lusa boleh baik tapi saya ni? Sakit mengandung saya nak kena tanggung, sakit jiwa nak menghadap perangai awak lagi. Esok sakit nak menerankan anak awak lagilah teruk!” balas Laila sambil menjeling.
“Yalah! Yalah! Jangan nak membebel lagi. Cepat sapu ubat ni..” Lukman akhirnya mengalah juga. Malas dia mahu mendengar ungkitan Laila. “Tolonglah..” ucap Lukman separuh merayu apabila Laila masih tetap membeku di tempatnya.
Melihat Lukman sudah mula berlembut dengannya, Laila akhirnya mengalah juga. Kapas tadi diambilnya semula sambil duduk di sisi lelaki itu. Namun seketika kemudian dia seperti mahu tergelak melihat mata Lukman yang membuntang kesakitan apabila kesan darah beku itu terpaksa ditekan agak kuat untuk membersihkannya. Dia tahu Lukman sedaya upaya menahan jeritannya kerana bimbang dia marah lagi.
“Sakit! Sakit! Tak boleh tahan ni.” Lukman akhirnya terpaksa menahan tangan Laila yang sedang menyapu ubat di pipinya yang sudah lebam. Dia sudah tidak tertahan lagi kesakitan yang dirasainya membuatkan matanya berair.
Tetapi saat itu Lukman mula tidak keruan apabila jemarinya mula merasai kelembutan tangan Laila. Matanya terus dialihkan kepada Laila yang duduk dekat dengannya. Hati lelakinya mula diserang oleh rasa asyik tatkala memandang wajah Laila sebegitu dekat. Tangan Laila yang lembut terus berada digenggamannya bagaikan tidak mahu dilepaskan. Lukman terlalai seketika. Dia terlupa yang wanita itu membencinya. Perlahan dia meramas lembut jemari itu.
Sedar keadaan sudah mula melarat jauh sepantas kilat Laila menarik tangannya dari pegangan Lukman. Tanpa kata dia segera mengemaskan pekakas yang digunakan untuk mengubati Lukman. Terus sahaja dia bangun tanpa sepatah kata. Betapa hatinya cukup-cukup tidak suka dirinya disentuh oleh Lukman seperti itu. Biarpun pesanan ayahnya masih utuh difikirannya meminta dia agar taat kepada lelaki itu. Namun dia tidak mampu merelakan hatinya dengan ikhlas.
Lukman menelan liurnya memandang Laila yang berlalu. Lama matanya memandang lenggok tubuh Laila yang sudah ke dapur. Seketika kemudian dia mula dihambat rasa kesal pula kerana sebentar tadi dia memutuskan untuk tinggal di tempat lain. Kalaulah dia boleh tinggal di sini dengan Laila, alangkah bagusnya...
Lukman tergaru-garu apabila ditinggalkan sendirian di situ. Sebenarnya dia tidak tahu ke mana arahnya selepas ini. Tidak mungkin dia akan tinggal lagi di rumah ayahnya. Matilah dia sekiranya sekiranya ayahnya tahu dia meninggalkan Laila di rumah ini sendirian. Mencari rumah sewa? Tiba-tiba terlintas satu idea di benaknya saat ini.
“Bila awak nak balik?” soal Laila dari tengah rumah itu. Selamba sahaja dia bertanya walaupun dia sedar dia seperti menghalau pula.
Terkesima Lukman seketika. Laila bagaikan ada magik yang mampu membaca apa yang sedang berada di fikirannya kala itu. “Kau halau aku?” soal Lukman sedikit terkilan.
“Maaflah kalau saya nampak macam menghalau. Awak yang kata awak nak duduk rumah lain jadi bolehlah beransur sekarang sebab saya nak berehat. Saya betul-betul penat sekarang!” jawab Laila agak mendatar saat mendekati ruang tamu itu semula semula. Dengan muka selamba dia duduk di sofa agak jauh dari Lukman. Tidak berani lagi duduk bersebelahan dengan Lukman seperti tadi. Bimbang benar dia jika Lukman mengulangi lagi nafsu buasnya apatah lagi hanya mereka berdua sahaja di dalam rumah ini. Tambah pula ikatan sudah menghalalkan membuka jalan untuk Lukman bebas berbuat apa sahaja kepadanya. Oh no!
Lukman diam seketika sambil memandang Laila. Ke mana halanya selepas ini? Dia tidak tahu. “Aku dah takde rumah..” ujar Lukman perlahan sahaja. Sengaja mahu menagih simpati Laila. Memang pun dia sedang terdesak!
“Hai.. rumah ayah awak yang sebesar-besar tidak tu bukan rumah ke?” tempelak Laila pantas setelah terhidu akan maksud rintihan lelaki itu. Mahu meminta simpati konon! Boleh blah!
“Kau fikir ayah akan lepaskan aku macam tu aja kalau dia tahu aku tinggalkan kau kat sini lepas tu balik duduk dengan dia? Kau dah lupa yang ayah nak aku bertanggungjawab pada kau?” balas Lukman sudah berubah pula pendiriannya. Pulang ke rumah ayahnya tanpa kehadiran Laila? Mahu mati?
“Jadi yang awak kata kita bawa haluan sendiri tadi tu apa? Ayah awak tak bunuh awak ke kalau dia tahu awak tinggalkan saya kat sini seorang diri?” ucap Laila sengit. Sengaja mahu mengenakan Lukman dengan kata-katanya yang bongkak sebentar tadi. Takkan dah lupa pulak? Tanpa dapat menyekat dirinya lagi, Laila terus tersenyum sinis sengaja mahu mengenakan Lukman semula.
Lukman terdiam tidak mampu menjawab. Baru tersedar akan kesilapannya. Ya! Sama sahaja jika dia tinggal di tempat lain sekali pun. Ayahnya pasti akan tahu juga dia tidak bertanggungjawab kepada Laila seperti yang seharusnya. Buat sesaat pesanan bapa mertuanya itu berlegar di benak Lukman. Tetapi sebenarnya bukan pesanan itu yang penting kepadanya. Kalau tidak dipesan begitu pun memang dia yang nak duduk situ kalau Laila sudi! Saja je berlagak hipokrit kononnya.
“Aku tak tahu apa nak buat sekarang,” keluh Lukman cukup perlahan.
“Saya tahu jaga diri saya. Saya bukannya nak memusnahkan hubungan awak dengan keluarga awak, Lukman. Saya buat ni untuk anak dalam perut saya ni. Awak balik ajalah ke rumah ayah awak. Saya pun tak ingin nak memaksa awak bertanggungjawab pada saya kalau bukan itu yang awak nak. Saya tahu saya ni cuma janda murahan!” Laila meluahkan bicaranya tanpa memandang Lukman. Matanya terus menatap tv yang menayangkan cerita inggeris.
Lukman diam lagi. Matanya juga memandang tv tetapi memikirkan apa yang Laila katakan. Entah kenapa Lukman kesal pula kerana mengikut rasa hati. Kini bukan hanya dia yang sudah kehilangan harga diri di hadapan ahli keluarganya tetapi Laila juga terpaksa mengorbankan hidup untuk menerima perkahwinan ini. Seronoknya hanya seketika tetapi kini dia terlibat dalam masalah yang berpanjangan. Tetapi permintaan Laila agar dia pulang ke rumah ayahnya itu memang tidak boleh diikutinya sama sekali. Kalau dia buat begitu entahkan boleh pekak telinganya dileteri ayahnya nanti.
“Err.. kalau aku duduk sini dengan kau boleh tak?” soal Lukman kemudian dengan muka sekupang. Betapa saat itu keberaniannya untuk mempertaruhkan pertanyaan itu sebenarnya tidak seberapa. Dia hanya nekad!
Laila mengalihkan pandangannya kepada Lukman. Pandangannya tajam memanah wajah lelaki itu sehingga Lukman akhirnya tunduk tidak mampu menentang pandangan isterinya itu. Laila mendegus keras. Tidak senang sungguh dia dengan permintaan Lukman itu. Mahu tinggal sekali pula! Tadi Lukman yang bongkak sekali memutuskan mahu tinggal di rumah lain. Baru sahaja hatinya mahu aman, kini sudah kacau bilau pula dengan permintaan Lukman itu.
“Untuk sementara saja sampai aku dapat rumah lain. Aku tahu kau tak suka aku. Aku takkan buat lagi apa yang aku dah buat dulu, Laila. Aku janji ini cuma untuk sementara saja. Lepas kau sihat nanti kita akan selesaikan hal kita. Kita akan bebaskan dari semua ni,” kata Lukman bagaikan tahu apa yang bermain di dalam fikiran Laila saat itu.
“Boleh percaya ke janji awak ni?” sinis bunyi balasan Laila.
Lukman menghela nafas perlahan. Terasa diri tidak hebat lagi sebagai Lukman yang dulu. Dia malu kepada Laila kerana kini dia sudah hilang banyak kelebihan yang dahulu didapati dari ayahnya. Itu peringatan pertama buat Lukman. Ayah dan mamanya juga sudah tidak mahu bercakap dengannya. Lukman tidak betah lagi berada dalam lingkungan keluarganya. Kebisuan Nizam bagaikan menghukumnya. Begitu juga dengan pandangan sinis Amirah kepadanya. Hanya Syahreena sahaja yang masih melayannya dengan baik. Itupun dia jarang dapat bersua muka dengan Syahreena. Kini dia bagaikan sudah tersingkir dari keluarganya sendiri.
“Aku dah takde sesiapa lagi. Semua ahli keluarga aku dah benci tengok muka aku. Aku malu nak balik rumah ayah bila semua orang dah memulaukan aku. Diorang buat aku macam tak wujud aja dalam rumah tu,” luah Lukman entah kenapa mengadu nasib pula kepada Laila.
Dia tahu tiada gunanya dia berbuat begitu tetapi saat ini dia hanya ada Laila sahaja biarpun dia tahu Laila teramat benci akan dirinya. Tetapi dia benar-benar memerlukan seseorang yang boleh mendengar rasa hatinya.
Laila hanya diam tidak membalas. Namun dalam hatinya asyik memadankan muka Lukman dengan nasib yang didapatinya. Siapa suruh Lukman membuat onar? Dirinya lagi malang kerana terpaksa berkahwin dengan lelaki yang amat dibencinya.
“Aku janji takkan paksa kau buat apa-apa untuk aku, Laila. Kau boleh buat apa yang kau suka. Kau dengan hal kau, aku dengan hal aku. Aku janji! Bolehkan aku tinggal sini? Rumah kau nikan ada banyak bilik lain? Aku boleh duduk bilik tu. Sewa rumah ni biar aku yang bayar,” ucap Lukman setelah dia melihat Laila hanya berdiam diri. Diam itu maknanya setuju! Untuk seketika hati Lukman gembira pula.
“Saya nak awak janji yang awak takkan buat lagi apa yang awak dah buat pada saya. Saya tak suka awak paksa saya buat apa yang saya tak rela. Saya harap awak jelas tentang itu. Kalau awak langgar janji, saya takkan maafkan awak!” sambut Laila akur juga dengan permintaan Lukman.
Terbit sedikit rasa kasihannya kepada lelaki itu. Tidak tergamak pula mahu menghalau Lukman pergi. Sebagai balasannya dia mahu Lukman menjaga tingkah lakunya sepanjang berada di rumah ini.
“Aku janji. Tapi kalau aku pegang kau sikit-sikit takkan kau nak marah kot? Bukan luak pun. Kau pun bini aku,” usik Lukman nakal. Sengaja mahu bergurau tanpa disedarinya soal itu terlalu sensitif bagi Laila.
Mencerlung mata Laila memandang Lukman. Belum apa-apa dah tunjuk perangai gatal dia! Teramat benci telinganya mendengar Lukman memanggilnya seperti itu. Kalau dia rela sekalipun dia mahu menjadi seorang isteri dan bukannya setakat ‘bini’ seperti yang ada dalam bayangan Lukman.
“Bini? Bini setakat untuk kesedapan awak? Lepas buat tinggalkan macam tu aja? Awak ingat perempuan ni tempat lelaki memuaskan nafsu ke? Lepas dapat tak mahu mengaku pula. Memang padanlah mulut awak tu kena tumbuk dengan Abang Man. Nasiblah dia cuma tumbuk awak aja. Kalau ikutkan kepala otak dia yang gila tu, entahkan 6 kaki bawah tanah tempat awak lepas ni!” balas Laila sengit. Jelingan tajamnya cukup untuk menunjukkan betapa kebenciannya bagaikan tidak mampu disukat lagi.
Lukman terkedu sambil menelan liurnya menelan kekesatan kata-kata Laila itu. Pedih hatinya dengan kata-kata itu. Dia tahu dia memang tidak layak untuk dimaafkan. Gurauannya pula tidak kena tempat! Jadi padanlah dengan mukanya!
“Oh Lupa pulak. Saya nikan janda takde maruah? Murah aja. Ramai lelaki boleh datang dan pergi sesuka hati macam yang awak cakap pada mama awak. Huh!” tambah Laila masih belum puas mengungkit semua kesalahan Lukman. Di akhir kata Laila sempat tergelak sinis.
“Aku main-main aja. Janganlah marah..” pujuk Lukman dengan nada rendah. Bingitnya telinga ni kena sindir! Keluh hati Lukman.
“Saya tak main-main dalam soal ini. Pasal awak saya tak dapat gaji yang seharusnya saya dapat di tempat kerja lama. Saya terpaksa lepaskan kerja yang saya idam-idamkan selama ini! Segala apa yang saya rancangkan semuanya musnah. Saya nak awak jelas dengan perasaan saya pada awak. Memang saya layan awak baik esok atau lusa tapi saya tetap tak sukakan awak. Saya tak mungkin boleh menerima lelaki yang dah menghancurkan masa depan saya. Sayang sekali nama awak hampir sama dengan nama arwah suami saya yang dulu.”
Wajah Lukman berubah mendengar kata-kata Laila pada bahagian hujung itu. Namanya sama macam arwah suaminya? Semacam ada benda tajam mengelar perasaannya saat mendengar kenyataan yang lahir dari mulut isterinya itu. Dia langsung tidak tahu menahu tentang itu. Ah! Dia memang tidak pernah mengambil tahu kisah silam Laila dahulu.
“Nama aku sama macam nama arwah suami kau dulu?” soal Lukman meminta kepastian biarpun telinganya mendengar dengan jelas apa yang diucapkan Laila sebentar tadi.
“Ya! Nama dia Muhammad Nahij. Tapi hakikatnya nama saja yang hampir sama tapi perilaku langsung tak sama. Saya tak sangka sama sekali yang saya akan berkahwin kali kedua dengan lelaki yang bernama Nahij tetapi bezanya waktu saya kahwin dengan arwah Nahij saya teramat sayangkan dia dan saya bahagia tetapi dengan awak lain. Saya tak suka awak sikit pun walaupun awak juga Nahij!” ucap Laila semahu hatinya. Biarlah Lukman marah atau apa sekali pun. Dia langsung tidak kisah. Dia tidak menemukan sebarang sebab untuk menjaga hati lelaki itu selama mereka masih dalam ikatan ini. Dia hanya berpegang kepada kata-kata Lukman, hubungan ini hanya untuk sementara!
Wajah Lukman berubah lagi saat itu. Terhiris hatinya dengan kata-kata Laila itu. Sememangnya dia sedar dia bukanlah lelaki anganan Laila. Selebihnya dia masih berasa sangsi mendengar kata-kata Laila itu. Dari cara Laila bercakap Lukman dapat merasakan Laila masih belum melupakan arwah Nahij yang lagi satu itu.
“Kau masih ingatkan dia? Sebab tu kau ke kubur dia tadikan?” soal Lukman sedikit kelat. Kini dia pasti apa sebabnya Laila masih mahu berteleku di pusara lelaki itu. Rupanya lelaki itu masih ada dalam anganan Laila.
“Arwah Nahij?” balas Laila sambil tersenyum pahit.
“Ya. Arwah suami kau yang dulu tu?” balas Lukman enggan menyebut nama itu. Serasa seolah dialah yang telah mati itu. Ngeri!
“Dia akan terus berada dalam ingatan saya sampai bila-bila. Dia cinta pertama saya yang tak mungkin akan saya lupakan sampai saya mati.” Laila menjawab jujur. Itulah hakikatnya yang masih dipegangnya saat ini.
“Jadi sebab itu ke kau tak layan aku dulu?” soal Lukman lagi. Masih tidak puas mengorek rahsia hati Laila.
Laila berdiam. Lama dia berfikir tentang itu. Hakikatnya ya! Itu adalah antara sebab mengapa dia menolak Lukman dahulu. Tetapi itu bukanlah sebab utamanya kerana hatinya pernah merasa goyah dengan pujukan Lukman. Dia menolak Lukman kerana Nazim! Lukman kawan baik Nazim. Dia dapat merasakan lelaki ini mungkin sekufu dengan lelaki itu dan akhirnya masa membukakan kebenaran yang tidak pernah dimahukannya.
“Saya memang susah nak percayakan lelaki. Arwah Nahij hanya salah satu penyebab yang membuatkan saya semakin susah untuk memberikan peluang kepada lelaki lain,” ujar Laila amat perlahan.
Lukman mengangguk perlahan mendengar itu. Namun dia menahan rasa perit yang menikam dada. Sepertinya dia sedikit hampa mendengar itu. Patutlah Laila amat sukar didekati dahulu. Patutlah Laila amat jual mahal. Rupanya ada kenangan lama yang masih dipegang kemas di dalam hidupnya. Pusara itu buktinya Laila masih menyintai Nahij yang itu. Jika bukan kerana cinta tidak mungkin Laila sanggup berpanas di tepi pusara kaku itu.
“Kenapa dia tak pernah sentuh kau sedangkan kau dah kahwin dengan dia?” soal Lukman lagi. Hairan.. kucing mana yang sanggup menolak ikan sesegar ini?
Pertanyaan itu membuatkan Laila menoleh pantas ke arah suaminya itu. “Mana awak tahu dia tak pernah sentuh saya?” soal Laila sedikit terkejut dengan pertanyaan itu. Rasanya dia tidak pernah membongkar rahsia itu kepada sesiapa. Rasanya dia tiada sebab untuk membuka rahsia itu termasuklah ketika di hadapan keluarga Lukman tempohari. Terlupa benar dia yang Lukman pernah memberitahunya dari mana dia tahu tentang itu.
“Aku lelaki, aku tahulah!” ucap Lukman dengan nada berbaur kebanggaan. Buat seketika dia merasa menang. Menang kerana berjaya mendapatkan kesucian Laila berbanding arwah Nahij yang tidak sempat merasa apa-apa.
Laila mencebik tanda meluat. Malas dia mahu melayan kata-kata Lukman jika sekadar itulah alasannya. Masih mahu berbangga dengan noda yang ada? Apa untungnya semua ini? “Orang banyak pengalaman bersama dengan perempuan memang begitu! Dosa dengan pahala, neraka dengan syurga dah takde erti lagi kalau nafsu mengatasi segalanya. Baguslah! Bosan masuk neraka sendiri ajaklah kroni-kroni ramai sikit. Baru meriah nanti!” desis Laila sengaja mahu menyakitkan hati Lukman.
Berdesing telinga Lukman diterjah sindiran Laila. Boleh tahan juga mulut Laila rupanya. Nasiblah yang berkata itu Laila. Jika wanita lain mesti mulut itu sudah ditamparnya. Tetapi disabarkan dirinya kerana sebenarnya dia tiada sebab untuk menafikan kalau memang benar dia bukanlah sebaik mana. “Kan aku pernah cakap dengan kau Dr. Rajesh yang bagitahu,” ujar Lukman sedikit kelat.
“Sebabnya biarlah saya saja yang tahu. Takde sebab saya nak ceritakan pada awak tentang itu. Itu semua terlalu peribadi. Cukuplah awak tahu yang Arwah Nahij tak pernah gunakan saya untuk kepuasan nafsu lelaki dia. Sebab tu saya sayangkan dia sehingga sekarang. Lelaki macam dia mungkin takkan datang lagi dalam hidup saya. Takkan ada lagi yang sebaik dia!” Mengendur sedikit ketegangan Laila tadi. Hatinya mula berubah sayu kerana saat ini dia kembali diingatkan tentang arwah Nahij yang terlalu jauh untuk dikejar.
Lukman memandang Laila lama. Seketika kemudian dia mengangguk akur bersama keluhan perlahan. Pahit! Itulah yang dirasainya saat ini. Dia tahu Laila memaksudkan dia juga terkeluar dari senarai lelaki idaman Laila. Selebihnya dia sendiri merasakan dirinya terlalu kerdil untuk digandingkan dengan Laila. Biarpun seorang balu tetapi Laila bukan sisa orang sehinggalah dia mencemar kehormatan wanita itu. Sebaliknya dia yang bujang memang sudah tidak teruna semenjak sebelum dia menyentuh Laila dahulu.
“Kau masih cintakan dia?” tanya Lukman perlahan sahaja.
“Awak ni pekak agaknya! Tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Untuk apa awak tanya semua ni? Itu semua biarlah saya saja yang tahu. Soal saya dengan dia, takde kena mengena dengan awak. Cukuplah bercakap pasal dia!” Laila menjawab separuh membentak.
“Apa salahnya? Sekurang-kurangnya aku tahu aku memang tak layak meminta apa-apa dari kau, Laila. Sekurang-kurangnya aku tahu di mana tempat aku dalam hidup kau,” balas Lukman pantas.
Laila tidak segera menjawab. Matanya memandang Lukman yang juga sedang menatapnya. Namun dia lebih pantas melarikan pandangannya. “Ya! Saya memang masih cintakan dia. Teramat-amat cintakan dia! Puas hati awak sekarang? Ada apa lagi yang awak nak tahu?” bentaknya geram. Semakin dia mahu melupakan arwah Nahij semakin itu Lukman mengungkitnya.
Lukman terkedu seketika mendengar jawapan Laila. Tersiat juga hatinya mendengar pengakuan ‘berani mati’ Laila itu. Namun dia sabarkan dirinya. Siapa suruh tanya tadi? Padan dengan muka aku, kutuk hatinya sendiri.
“Emmm... pasal kerja yang kau cakap tadi, kau nak kerja di mana sebenarnya?” takut dia terdengar lagi pengakuan berani mati Laila, Lukman segera menukar topik perbualan.
“UMBS Holding..” jawab Laila mendatar.  Kecewa juga saat memikirkan tentang itu. Dahulu dia membuat pilihan untuk tidak menerima kerja di situ kerana dia mahu berada jauh dari Nazim dan Lukman. Tetapi sekarang Lukman sudah pun berada di hadapannya.
“GM kat UMBS Holding tu pak cik aku.” Lukman berkata perlahan.
Laila diam lagi dalam pada hatinya terus bermonolog sendiri. Dia sudah tahu tentang itu. Pak cik Abdullah juga turut hadir pernikahan mereka tadi. Jadi apa sekarang?
“Nanti aku cuba bincang dengan dia..”
“Tak payahlah. Saya dah dapat kerja kat tempat lain. Lebih jelas lagi saya sebenarnya tak mahu terhutang budi. Nanti takut tergadai body pulak. Susah!” sindir Laila bersama dengan kerlingan penuh makna. Dia mahu Lukman mengerti yang dia memaksudkan yang dia sememangnya tidak rela memberikan apa-apa pun kepada lelaki ini dan tidak mahu berhutang apa-apa.
Sekali lagi Lukman terasa disindir. Laila nampak sahaja lembut tetapi bila berkata-kata, apa yang terlahir dari ulas bibirnya amat tajam menikam. “Tapi tadi kau kata kau memang bercita-cita nak kerja kat situ. Takpelah. Biar aku bincang dengan dia nanti. Aku tahu ini semua sebab aku. Biar aku tebus balik salah aku dengan cara ni,” pujuk Lukman biarpun hatinya pedih asyik disindir Laila.
“Tak payah. Saya tak mahu kerja kat situ lagi.”
“Kenapa pulak?”
Laila terdiam seketika. Dahulu dia memutuskan untuk menolak kerja itu kerana enggan terserempak dengan Lukman tetapi kini bukan lagi sebab enggan terserempak dengan Lukman sebalik orang lain. Wajah seseorang segera melintas di benaknya. Dia bimbang dia akan terserempak dengan Asmadi. Beberapa bulan lagi perutnya pasti akan kelihatan. Jika dia terserempak dengan sahabatnya itu apa yang harus dikatakannya?
“Lukman, awak kenal Asmadi Bakirin? Dia kerja di syarikat ayah awak,” ucap Laila tanpa menjawab soalan Lukman sebentar tadi.
“Kawan kau tu? Kenapa dengan dia?”
“Awak tahu dia kawan saya? Mana awak tahu?” meletus reaksi terkejut Laila. Reaksi Lukman seperti selamba sahaja seolah-olah Lukman sudah tahu segalanya tentang dirinya.
Lukman masih selamba sahaja biarpun Laila nampak terkejut. “Aku pernah nampak kau makan dengan dia dulu,” jelas Lukman jujur.
Laila diam seketika. Lama dia berfikir mencari jawapannya sendiri. Tetapi dia enggan mengambil tahu di mana dan sebagainya, sebaliknya dia mahu Lukman lekas mengetahui apa yang ada di fikirannya saat ini. Itu lebih utama.
“Awak jangan beritahu dia apa-apa pasal kita ya?” itulah kali pertama nada Laila bertukar lembut dan bertenaga buat Lukman.
“Kenapa pulak nak berahsia dengan dia?” soal Lukman pelik. Masakan Laila mahu berahsia pula dengan statusnya? Apa salahnya jika Asmadi tahu yang mereka sudah bernikah? Atau Laila dan Asmadi.. Ah! Lukman tiba-tiba disapa rasa ngeri jika benar telahan buruk yang sedang bermain di otaknya ini.
Laila hanya diam. Kalau boleh dia mahu Asmadi tahu dari mulutnya sendiri. Kerana dia tidak mahu orang lain tahu apa yang telah terjadi kepada dirinya. Itu tujuannya dia meminta Lukman merahsiakan pernikahan ini daripada pengetahuan Asmadi. Dia harus merangka suatu cerita yang ‘baik’ untuk mengaburi mata Asmadi dan Hamidah.
“Kau dengan dia tu ada apa-apa ke? Setahu aku Asmadi tu dah kahwin.” Lukman sempat berprasangka kepada Laila apatah lagi dia pernah melihat Laila begitu mesra dengan Asmadi. Tetapi masakan Laila mahukan suami orang? Dia yang bujang langsung tidak dipandang Laila sebelum ini! Ah! Sakit lagi hati Lukman memikirkan itu.
“Tak payahlah awak nak speculate pasal saya dengan dia. Tentang itu saya lebih tahu dari awak. Saya kenal dia semenjak zaman kami masih belajar lagi. Isteri dia juga kenal saya dah lama. Saya cuma tak mahu mereka tahu apa yang dah jadi pada saya. Saya perlukan alasan yang logik untuk menerangkan pada mereka kenapa kita bernikah tiba-tiba. Saya tak bangga dengan hakikat yang saya hamil sebelum bernikah. Awak bangga ke dengan ini semua? Lagipun saya tak jemput pun mereka waktu kita nikah tadi.” Laila membalas sengit sekalian itu dia menjeling tajam kepada Lukman.
Lukman terdiam menelan kepedihan kata-kata Laila itu. Ya tak ya juga.. Ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Pastinya Laila malu pada kawan-kawannya jika mereka tahu Laila hamil dahulu sebelum bernikah. Dia juga mungkin akan malu kepada kakitangannya jika rahsia pernikahannya ini tersebar. Buat masa ini hanya ahli keluarga mereka sahaja yang tahu tentang perkahwinan menutup malu ini. Mereka tidak ada menjemput sesiapa di pejabat kerana sebenarnya di sebelah pihak lelaki tidak akan ada majlis menyambut menantu seperti mana lazimnya pasangan-pasangan yang berkahwin.
“Saya tahu tak selamanya saya boleh sembunyikan kenyataan. Tetapi saya perlukan masa untuk berterus terang dengan mereka semua. Cuma saya harap awak jangan cakap apa-apa pada Asmadi dulu. Biar saya yang cakap dengan dia.” Suara Laila teralun lagi seketika kemudian. Lembut tanda mengharapkan pengertian Lukman berpihak kepadanya dalam soal itu.
Lukman hanya mengangguk sahaja kepada kemahuan Laila. Lagipun dia bukannya rapat sangat dengan Asmadi. Laila yang menjadi teman Asmadi, jadi biarlah Laila sahaja yang berterus-terang dengan Asmadi. Tidak perlulah dia menyibuk tentang hal itu.

Malam itu..
Laila resah di pembaringannya. Wajah Lukman asyik dikenangkannya. Adakah dia sudah tersampuk hantu cinta kepada si Lukman itu? Tidaklah!
Apa yang sedang berada di pemikiran wanita itu benar-benar meresahkan. Kata-kata ayahnya sehari sebelum dia bernikah dengan Lukman terus terngiang-ngiang di telinganya. Apa yang dikatakan oleh ayahnya sangat mustahak untuk dipertimbangkan demi status anak dalam kandungannya ini. Tetapi perkara itulah teramat sukar untuk dilakukan.
Menurut ayahnya anak dalam kandungannya ini hanya boleh dibinkan kepada nama Lukman sekiranya lahir setelah 6 bulan qamariah ke atas, bersamaan dengan sekurang-kurangnya 180 hari selepas dia dan Lukman ‘bersama’ sebagai suami isteri yang sebenar. Pernikahan ‘kontrak’ sekadar untuk menutup cerita, tidak mencukupi syarat untuk dia mengesahkan anaknya ini lahir dari hasil perkahwinan yang sah. Laila harus akur membenarkan Lukman menyentuhnya dan selepas itulah baru bayi ini boleh dibinkan kepada suaminya itu. Laila masih ingat kata ayahnya.
‘Kita boleh menipu orang lain dengan membuat perkahwinan kosong, Laila. Tetapi kita tak boleh menipu Allah dan Rasul-Nya. Perkahwinan dan hukum-hukumnya tak boleh dibuat sendaan. Ayah tahu sikap Laila. Ayah tahu apa yang Laila nak lakukan. Ayah juga tahu kenapa Laila begitu mudah menerima Lukman sebagai suami. Tapi ayah nak Laila jelas dengan peraturan Allah. Laila mesti jadi isteri zahir dan batin kepada Lukman barulah anak ni boleh disahkan anak dia. Silap perhitungan hari ni kita akan menanggung dosa sepanjang hayat. Ayah tak mahu Laila tersesat kerana menurutkan rasa hati.’ Begitulah kata-kata ayahnya yang masih tersemat diingatannya.
Laila sedar niat asalnya menerima Lukman sebagai suami adalah kerana tidak mahu anaknya bergelar anak haram. Jauh di sudut hatinya dia memang dia tidak berniat untuk menjadi isteri Lukman zahir apatah lagi secara batin. Dia hanya mahu berlakon di sebalik perkahwinan ini. Laila sedar dia sudah berdosa kerana memasang niat yang tidak baik, lantas itulah dia berikan peringatan itu.
Jadi apa yang harus dia lakukan? Membiarkan Lukman menidurinya? Oh tidak! Ngeri dia memikirkan kemungkinan itu. Tetapi adakah dia diberikan pilihan lain? Laila melepaskan keluhan perlahan. Semua ini bak sebuah mimpi ngeri kepadanya. Merelakan dirinya disentuh lelaki yang amat dibencinya? Aduhai..
Perlahan Laila bangun dari katilnya. Hati yang rapuh dikuatkan. Syaitan yang berbisik nyaring tidak diendahkan. Dia sudah melangkah sejauh ini. Apa lagi yang boleh menghalangnya? Laila yakinkan dirinya dia siap berkorban demi masa depan anaknya. Apa sahaja dia rela!
Langkah kakinya berhenti di hadapan pintu bilik berhadapan dengan biliknya. Buat seketika Laila masih teragak-agak untuk mengetuk. Dia seperti tiada kekuatan untuk melakukannya lantaran hati yang masih terasa amat berat untuk merelakannya.
Malunya! Hatinya menjerit sendiri. Dia tidak tahu di mana mahu disorokkan wajahnya ini. Betapa maruahnya bagaikan sudah menyembah bumi dengan semua ini. Dirinya terasa seperti diawang-awangan. Sejuk kaki dan tangannya. Perasaannya cemas dengan degupan jantung yang kuat bagaikan mahu memecahkan dadanya.
Namun tanpa sedar tangannya sudah pun maju dengan mengetuk pintu bilik lelaki itu. Tidak sampai beberapa saat Lukman sudah menjengulkan wajahnya. Lelaki itu tergamam melihat Laila berdiri tegak di hadapan pintu biliknya dalam waktu selewat ini.
“Tak tidur lagi?” soal Lukman sambil memandang hairan Laila di hadapannya itu. Meliar mata lelaki itu melihat wanita itu dalam baju tidurnya.
“Err.. boleh saya masuk?” soalnya amat perlahan. Wajah lelaki itu tidak mampu dipandangnya. Malu! Degupan jantungnya sudah tidak terkawal rentaknya.
Semakin melaut rasa hairan Lukman mendengar permintaan itu. Tanpa mengerti apa-apa dia terus melebarkan pintu biliknya. Dari riak yang terhias di wajah wanita itu Lukman tahu pasti ada yang penting mahu dicakapkan oleh isterinya itu.
Laila lantas menyumbatkan dirinya ke dalam ruangan yang diperuntukkan untuk lelaki itu. Lukman menutup pintu biliknya perlahan sambil memandang belakang Laila yang menapak mendekati katilnya. Kehadiran Laila saat itu bagaikan mimpi biarpun dia masih tidak tahu apa mahunya wanita itu darinya.
“Kenapa tak tidur lagi?” soal Lukman lembut kepada si isteri yang hanya berdiri di sisi katilnya. Apabila berdua begini dalam bilik yang bertutup mudah benar dia disapa gelora. Namun dia tahu Laila kekok. Kaku benar wanita itu dilihatnya.
‘Buat aja lekas! Tak perlu cakap banyak lagi!’ Seru hati Laila yang sudah tidak keruan. Ini memang gila! Laila tidak menjawab pertanyaan Lukman. Dia akhirnya menoleh kepada lelaki itu. Cuba ditenangkan hatinya yang masih dikuasai seribu jenis rasa yang meminta dia segera menarik diri. Memandang Lukman sahaja dia sudah tidak sanggup inikan pula mahu menyerahkan tubuhnya kepada lelaki itu. Gila!
“Kenapa ni, Laila?” soal Lukman hairan dengan kebisuan Laila.
“Saya dalam bilik awak. Awak boleh buat apa yang awak suka pada saya! Saya takkan halang awak,” ucap Laila dalam pada dia berusaha sedaya upaya untuk berlagak tenang. Namun getaran dalam suaranya kedengaran juga. Saat ini dia merasakan telapak tangannya mula diselaputi oleh peluh dingin.
Ucapan Laila semakin membuatkan Lukman pening, tidak mengerti. “Maksud kau apa?”
“Saya memang tak sukakan awak tapi saya terpaksa buat macam ni. Saya harap awak tak anggap yang saya dah bersedia menjalankan tugas sebagai seorang isteri. Saya lakukan untuk anak ni,” ucap Laila sambil mengusap perutnya seketika.
Lukman diam memandang isterinya itu. Kata-kata Laila membuatkan otaknya keras memikirkan maksud Laila itu. Demi anak mereka? Apa yang mahu dilakukan Laila saat ini? Lama Lukman berfikir namun dia tersasar seketika. “Maksud kau apa?” tanya Lukman semakin keliru. Wajah isterinya direnung dengan sedikit kerutan di kening.
Laila menghela nafas cuba membebaskan apa yang menyenakkan ulu hatinya. Banyak tanya pulak Lukman kali ini! Sedangkan dia tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada Lukman. Kalau boleh dia mahu segalanya selesai dengan cepat agar dia boleh pergi segera dari bilik ini.
“Saya takde apa nak cakap pada awak. Saya cuma harap akan faham sendiri,” ucap Laila sedikit dingin. Dia melabuhkan punggungnya di tepi katil. Pandangannya dilarikan dari wajah suaminya itu. Saat ini dia merasakan dia bukan lagi Laila yang semalam kerana datang menyerah kepada lelaki ini. Dia merasakan dia seorang perempuan murah!
Lukman semakin terpaku memandang isterinya itu. Akalnya mentafsirkan sesuatu tetapi mustahil! Masakan Laila mahu dia.. Biar benar! Masakan dalam kebencian yang melaut itu Laila mahu menikmati hubungan asmara dengannya pula?
Tetapi.. peluang keemasan! Sorak hati Lukman sendiri. Ah! Jika Laila sudah mengajak, masakan dia mahu menolak pula? Bodohlah aku kalau aku tolak! ucap hati Lukman lagi. Dia lantas duduk bersebelahan dengan Laila yang menunduk ke lantai.
“Kenapa tiba-tiba ubah fikiran?” soal Lukman lembut. Macam mimpi pulak ni! ucap hati Lukman mula merasa seronok. Inilah malam pertama mereka. Terlupa pula dia. Sisi wajah Laila dipandang penuh asyik. Cantiknya! Hatinya memuji. Perlahan gelora ‘itu’ semakin meresap ke dalam urat sarafnya setelah menyedari Laila sendiri yang datang ke bilik ini. Dengan ikatan yang ada tiada apa lagi yang menghalang.
“Awak ni banyak cakaplah! Kalau awak terus buang masa macam ni, saya akan ubah fikiran dengan keluar dari bilik ni. Awak nak ke tak ni?” ucap Laila dengan nada sedikit keras. Dia tidak ada mood langsung mahu beramah tamah lagi dengan lelaki itu. Dia tidak mahu Lukman menganggap dia masuk ke bilik ini untuk berseronok dengannya.

“Eh, mestilah nak!” jawab Lukman kian teruja dalam pada dia masih dapat mengesan kedinginan Laila kepadanya. Kelakuan Laila membuatkan dia semakin tertanya-tanya. Entah apa yang menganggu fikiran wanita itu Lukman tidak pasti. Tetapi yang pastinya dia tidak ingin mengecewakan Laila malam ini. Tidak sama sekali!

22

Resah hati seorang suami..
Lukman menghela nafas perlahan. Kejadian malam tadi terimbas lagi difikirannya. Gembira? Jauh lagi untuk dia merasa gembira. Resam pengantin baru seperti mereka seharusnya gembira melalui malam pertama tetapi dia? Dia merasa amat terhina dengan sikap Laila kepadanya. Seharusnya saat-saat seperti ini mereka pergi berbulan madu meraikan perkahwinan yang baru terbina. Tetapi mereka? Terperuk di rumah buat hal masing-masing!
Lukman menyelak langsir di tingkap. Pandangan matanya dihalakan ke luar. Masih pagi lagi. Dari pemerhatiannya di tingkap itu manusia berduyun-duyun keluar yang mana sebahagian besar daripada mereka mungkin keluar untuk memulakan kehidupan mencari rezeki. Permandangan stesen LRT yang sibuk terbentang di hadapan matanya dipandang kosong. Gambaran peristiwa semalam terus membawanya jauh ke alam pemikiran.
Buat pertama kalinya dia merasakan dirinya sudah lengkap sebagai seorang suami namun semuanya musnah apabila isteri yang dikahwininya melayannya seperti seorang pesakit HIV yang harus dijauhi.
Percaya atau tidak, malam tadi wanita itu berlagak seperti mayat yang kaku kebekuan tatkala tubuhnya dijamah suami. Lebih menyakitkan lagi sehabis sahaja upacara ‘rasmi tanah’ itu, Laila terus bangun dan meninggalkannya seorang diri terpinga-pinga. Panggilannya langsung tidak dihiraukan oleh isterinya. Kebahagiaan yang sempat singgah di hatinya berkecai seribu dek hempasan di pintu biliknya oleh Laila.
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa remuk hatinya semalam. Sangkanya Laila sudah berubah hati menerimanya. Rupa-rupanya tidak. Laila ada agendanya sendiri. Menggunakannya untuk mendapatkan sesuatu yang sehingga kini dia tidak tahu. Biar apa pun alasannya Lukman benar-benar terkilan.
Ah! Kenapa aku nak hairan dengan reaksi dia macam tu? Selama ni dia memang tak pernah menyerah pada aku pun! Aku tetap dapat apa yang aku nak. Aku tetap happy! Kenapa sekarang aku nak kisah pulak? Apa kenanya dengan aku ni? Lukman berbicara sendiri dalam hatinya. Fikirannya tidak lagi berpusat sepenuhnya kepada isterinya yang teramat dingin itu sebalik dia hairan dengan dirinya. Tidak faham dengan apa yang sedang dialaminya ini. Kenapa dia mesti begitu sensitif?
Akhirnya sebuah keluhan terlepas berat dari rongga hidungnya. Baru sehari menjadi seorang suami dia sudah merasa kekecewaan. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia harus merasa kecewa sedangkan mereka berdua bukannya menginginkan perkahwinan ini. Lukman tidak mengerti apa sebenarnya yang diharapkan dari ikatan mereka. Bahagia? Layakkah dia mengharap Laila akan menghadiahkan kebahagiaan itu selepas segala yang berlaku kepada wanita itu adalah hasil dari kezalimannya? Mengapa pula dia mengimpikan bahagia sedangkan dia sendiri yang sudah memutuskan untuk berpisah nanti.
Entahlah! Keluh Lukman sendiri. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Ketika jam sudah menunjukkan ke angka sebelas pagi kelibat Laila masih tidak kelihatan. Lukman buntu sendiri di rumah itu. Kebosanan mula melanda diri. Penat berkurung di bilik Lukman ke ruang tamu. Mencari-cari apa yang boleh dilakukan untuk mengisi kekosongan. Akhirnya rancangan tv pula yang dihadapnya. Kebetulan pula saluran HBO mula menayangkan filem yang bertajuk Faster lakonan The Rock sedikit demi sedikit perhatiannya mula terhala kepada filem aksi itu. Layan sajalah!
Namun sehinggalah filem itu selesai ditontonnya, Laila masih tidak keluar dari sarangnya. Risau pula Lukman memikirkan isterinya itu. Masakan mahu duduk di dalam bilik saja tanpa makan minum? Memasak jugak tidak. Tiada apa yang boleh dimakan di dapur. Seingatnya pagi tadi Laila hanya minum susu panas dengan oat untuk mengalas perutnya. Rasanya itu sekitar 4 jam yang lalu. Sekarang ini sudah masanya untuk makan tengahari. Dia sendiri sudah terasa lapar. Jika tidak mengenangkan wanita itu sedang hamil sudah tentu kerisauannya tidak setebal ini.
‘Takkan dia tak lapar kot?’ hati Lukman menyoal sendiri.
Akhirnya Lukman bangkit dari duduknya. Pintu bilik Laila dijengahnya. Tertutup sama seperti yang dilihatnya kali terakhir tadi. Tiada apa yang berubah. Lalu Lukman memberanikan diri mengetuk daun pintu itu untuk memanggil isterinya itu.
“Laila!” panggil Lukman apabila ketukannya tidak mendatangkan apa-apa hasil seperti yang diharapkan. Beberapa saat menanti masih tidak mendapat sebarang jawapan dari dalam bilik itu. Takkan dia tidur lagi? Detik hati Lukman mula kerisauan.
“Laila, bukak pintu ni!” panggil Lukman sedikit kuat bersama ketukan. Mana tahu Laila tertidur tidak mendengar panggilannya.
Namun saat itu telinganya sempat terdengar sayup-sayup jawapan wanita itu dari dalam. Teramat perlahan sehingga dia terpaksa melekapkan telinganya ke pintu itu untuk mendengar. “Laila, bukak pintu ni!” ucap Lukman sedikit cemas. Ada yang tidak kena dengan isterinya itu. Dia sempat terdengar erangan wanita itu memanggilnya.
Tombol pintu itu dipulasnya beberapa kali. Menyedari usahanya tidak berhasil Lukman berpatah balik ke ruang tamu. Tempat Laila menggantung kunci rumah dijengahnya. Ada segugus kunci yang agak sarat dilihatnya. Tanpa berfikir panjang Lukman terus mencapai kunci itu. Bilik Laila kembali dijejakinya. Satu persatu kunci itu dicubanya sehinggalah akhirnya salah satu kunci itu berjaya membuatkan pintu berwarna putih itu terbuka luas. Lukman meluru masuk ke dalam bilik itu. Dilihatnya Laila mengerekot di atas katil mengerang sambil memegang perutnya.
“Kenapa ni, Laila?” soal Lukman lantas mendapatkan wanita itu.
“Saya sakit perut. Sakit sangat ni!” ucap Laila dalam erangan. Berpeluh-peluh dahinya menahan sakit pada ari-arinya. Dia tahu ada yang tidak kena dengan anaknya ini.
Wajah Laila sedikit pucat dilihat oleh Lukman. Membuktikan yang Laila memang tidak berbohong. “Sakit perut? Kita pergi klinik?” ucap Lukman pantas. Laila terus mengangguk tanpa banyak soal. Memang itu yang dia mahukan sangat saat ini.
“Sekejap! Aku ambil dompet..” Lukman berlari pantas ke biliknya.
Seketika kemudian dia sudah berada di bilik itu semula. Laila dilihatnya sedang cuba bangun dari katil itu. Pantas dia menghulurkan bantuannya. Wanita itu dipapahnya ke almari. Di almari itu Laila sekadar mencapai tudung lalu disarungkan ke kepalanya. Kemudian dia mencari dompetnya dan kad kesihatan yang dibekalkan oleh hospital sebelum ini.
“Boleh jalan tak ni?” soal Lukman benar-benar risau.
“Sakit!” keluh Laila dengan mata terpejam. Memang sakit! Ari-arinya terasa seperti dicucuk-cucuk oleh benda tajam dan sakit itu bergerak ke seluruh rahimnya setiap kali dia menggerakkan tubuhnya.
“Kau tak makan dari tadi sebab tu sakit agaknya. Kau kan tengah mengandung. Lain kali makan tu jangan missed!” ucap Lukman sempat membebelkan isterinya itu.
Laila hanya diam. Dia sudah tidak mampu menjawab leteran suaminya itu. Apa yang dia mahu kesakitan ini dapat dihilangkan segera! Itu sahaja!
Melihat Laila sudah tidak mampu melangkah Lukman lantas mencempung tubuh isterinya itu. Risau juga sekiranya mereka berlama-lama di situ keadaan Laila akan lebih buruk. Laila pula sudah tidak terdaya untuk menghalang lagi. Rasanya ini bukanlah masa yang sesuai untuk dia berlagak sombong kepada pertolongan Lukman.
Mujurlah rumah mereka tidak jauh dari klinik kesihatan.
“Betul ke kau nak dapatkan rawatan kat sini? Ramai orang tu?” soal Lukman sambil memandang ke dalam klinik dari dalam keretanya. Dia dapat melihat masih ramai yang menanti untuk menerima rawatan.
“Kat sini aja. Cepatlah! Saya tak larat nak jalan ni,” ucap Laila malas mahu bersoal jawab lagi dengan keputusannya itu. Dia lebih tahu apa yang baik untuk anak dalam kandungannya itu.
Pintu kereta suaminya itu ditolak perlahan. Dia sudah bersiap sedia untuk keluar dari kereta itu untuk ke klinik itu. Lukman ikut melakukan perkara yang sama. Sepantas mungkin dia mendapatkan Laila yang sedang berusaha untuk keluar. Tanpa sedar, saat melihat Laila tidak menolak segala pertolongan yang dihulurkan rasa bahagia segera meresap jauh ke dalam hatinya. Buat pertama kali dalam hidupnya dia merasa dirinya berguna untuk Laila. Wanita itu didudukkan di satu kerusi sementara dia pergi membuat pendaftaran. Pegawai pendaftar segera meminta dia menunggu seketika sehingga selesai urusan pendaftaran.
Tidak sampai 5 minit menanti nama Laila sudah dipanggil untuk masuk ke satu bilik. Lukman segera memapah isterinya itu. Di bilik itu seorang doktor perbidanan sudah bersedia untuk merawat Laila. 
“Sakit perut? Ada bleeding tak?” tanya Dr. Anisah setelah Laila mengadu masalahnya.
“Takde,” ucap Laila sepatah.
Tanpa kata tirai segera dikembangkan mengelilingi katil itu. Lukman diminta menanti di luar kawasan itu. Hampir lima minit kemudian barulah Laila kelihatan semula di matanya. Laila dilihatnya sudah lega dari kesakitannya. Kali ini doktor itu mula menyelak baju Laila untuk membuat pemeriksaan melalui mesin pengimbas ultrasound.
“Baby okay. Tekanan darah pun okay ni. Takde apa-apa yang tak kena.” Dr. Anisah berkata lembut sambil terus menggerakkan hujung scanner di atas perut Laila. Matanya terus memandang ke skrin mesin pengimbas di tepi katil itu.
Laila ikut memandang apa yang sedang diperhatikan oleh Dr. Anisah. Tetapi dia tidak begitu faham apa yang sedang dipandangnya itu. Hanya ada warna hitam dan putih di skrin itu dan warna itu bergerak-gerak di lihatnya.
“Saiz baby pun bersesuaian dengan usia kandungan. Bermakna baby ada membesar macam biasa. Takde apa yang nak dirisaukan, Puan Laila. Sakit tu mungkin cuma pembawakan budak. Ni dah masuk minggu baru, so akan ada sikit perubahan alahan. Kadang-kadang sesetengah ibu mengandung ni mereka alami perubahan alahan setiap kali usia kandungan bertambah. Tak perlu bimbang tentang itu. Cuma banyakkan minum air ya? Awak banyak muntah waktu pagi, jadi awak kena minum banyak air untuk mengembalikan cecair dalam badan awak. Walaupun rasa loya tetapi awak kena minum jugak. Saya akan bagi asid folik untuk awak ambil setiap pagi. Buat masa ni jangan terlalu aktif sangat. Kandungan puan masih baru. Masih belum kukuh, jadi kena jaga baik-baik.” Dr. Anisah berkata lagi sambil terus menggerakkan hujung alat pengimbas di atas perut Laila yang terdedah. Setelah berpuas hati barulah dia mengalihkan ‘scanner’ itu.
Laila mengucapkan kalimah syukur dalam hatinya mendengar penjelasan Dr. Anisah. Wanita itu terus dipandang menantikan tindakan yang selanjutnya. Dr. Anisah kembali memandang Laila bersama sedikit senyuman.
“Anak pertama memang macam ni. Kadang-kadang kita excited sampai risau tak tentu hala. Tapi dari apa yang saya tengok tadi takde apa yang tak kena dengan baby. Semuanya okay. Tapi kalau sakit tu berulang lagi disertakan dengan pendarahan cepat-cepat pergi hospital.”
Laila sempat tersenyum sebelum mengangguk kepada pesanan wanita itu. Lega hatinya mendengar kata-kata doktor itu.
“Tadi Puan Laila kata morning sickness yang puan alami agak teruk. Kalau morning sickness tu terlampau teruk sampai tak boleh makan langsung cepat-cepat pergi hospital. Tapi kebiasaannya memang akan ada juga muntah awal pagi. Rasa pening sepanjang masa. Itu yang membuatkan kita selalu rasa tak mahu makan. Tapi macamana tak selera sekali pun tetap kena makan jugak. Tak boleh ikutkan sangat rasa loya tu sebab baby ni bergantung sepenuhnya pada puan untuk dapatkan nutrien. Jadi kalau puan tak makan maknanya dia pun tak makan. Kadang-kadang makanan yang biasa kita makan macam nasi itu akan buat kita lagi cepat nak muntah. Dalam keadaan macam ni semua benda yang kita tengok kita rasa tak mahu makan. Saya cadangkan puan Laila cuba makan sesuatu yang kurang lemak. Kalau suka dengan buah-buahan, makan banyak buah-buahan. Muntah lima minit atau sepuluh minit selepas makan, itu memang biasa. Sebolehnya kurangkan stress. Waktu-waktu pregnancy macam ni puan kena lapang-lapangkan fikiran. Apa yang berlaku pada puan akan mempengaruhi bayi puan juga dan jangan lupa ambil asid folik tu setiap pagi. Itu penting,” nasihat doktor itu lembut.
Laila sekadar mengangguk akur dengan pesanan doktor itu. Petua yang diberikan doktor itu akan dicubanya nanti untuk kebaikan bayinya ini.
“Encik..”
“Lukman..” sambut Lukman pantas.
“Encik Lukman, pastikan isteri encik ni makan ikut waktu. Jangan tak makan lagi disebabkan loya tu dan jangan banyak sangat makan asam ya? Cuka yang ada dalam asam tu akan effect baby, nak-nak lagi dalam keadaan kandungan masih belum kukuh. Selalu orang mengandung ni suka sangat dengan asam. Nak hilangkan loya kononnya. Tapi kena ingat terlalu banyak sangat makan makanan tajam yang berasid ni boleh melemahkan kandungan. Bahaya!” ucap Dr. Anisah.
Lukman pantas mengangguk tanda menerima nasihat itu sebaik-baiknya.
Laila tersenyum sendiri mendengar kata-kata Doktor Anisah itu. Sebelum sempat dia membeli asam pesanan itu sudah dititipkan kepadanya sedangkan saat ini dia sudah berkira-kira mahu membeli asam sebentar lagi untuk menghilangkan rasa mual yang dirasainya.
“Anak pertama macam ni memang rasa mencabar sikit sebab kali pertama kenal dengan ragam-ragam waktu mengandung ni. Kena banyak sabar. Selalunya morning sickness akan hilang lepas usia kandungan melepasi lima bulan. Bergantung pada keadaan orang yang mengalaminya. Lain orang lain ragamnya. Tapi kalau betul caranya insya-Allah takde apa yang perlu dirisaukan,” ucap Dr. Anisah sambil menulis sesuatu pada buku merah di tangannya. Laila sekadar mengangguk tanda mendengar nasihat doktor itu.
“Puan Laila kakitangan kerajaan atau swasta?”
“Swasta,” jawab Laila perlahan.
Dr. Anisah menganguk perlahan. “So rasanya itu aja buat masa ni. Kita akan jumpa lagi untuk pemeriksaan seterusnya pada tarikh yang sama bulan depan. Kalau boleh jangan miss temujanji dengan doktor. Usahakan untuk datang ya? Sekarang boleh keluar ambil ubat kat bahagian farmasi,” ucap wanita itu lagi.
Laila lantas mengangguk sebelum dia bangun dari baringannya. Lukman lantas mendekati untuk membantu. “Terima kasih banyak, doktor.” Lukman sempat menitipkan ucapan itu mewakili mereka berdua sebelum keluar dari bilik itu.
“Sama-sama.” Mereka yang berada di bilik itu menjawab serentak.
Baik Lukman mahupun Laila masing-masing cukup kelegaan setelah mengetahui keadaan bayi mereka itu baik-baik sahaja. Setelah menunggu seketika untuk mendapatkan ubat yang diberikan Dr. Anisah tadi mereka terus keluar dari klinik perbidanan milik kerajaan itu.
“Perut kau sakit lagi?” soal Lukman sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta.
Laila sekadar menggeleng tanpa memandang Lukman. Walaupun tanpa perkataan hati Lukman tetap kelegaan melihat jawapan Laila. Namun dia tetap tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh doktor itu kepada Laila sebentar tadi ketika tirai dikembangkan bagi mengelak dia melihatnya.
“Doktor tu bagi apa kat kau sampai hilang sakit tu?” soal Lukman lagi sambil menghidupkan enjin keretanya.
“Dia bagi injection..” masih seringkas yang mungkin jawapan Laila.
Namun itu sudah cukup memuaskan hati Lukman. Tanpa berkata apa-apa lagi dia terus mengundurkan kereta keluar dari kawasan parkir. Dia tahu Laila tidak berminat mahu berbual dengannya. Tidak mengapa. Dia tidak kecil hati. Ragam wanita mengandung begitu agaknya. Suka membisu sepanjang masa! Namun hala tuju kereta tidak dibawa ke arah rumah mereka sebaliknya dia membawa Laila ke sebuah kedai makan.
“Kita makan? Kau belum makan semenjak pagi tadi. Aku pun dah lapar ni,” ucap Lukman lembut. Pesanan doktor tadi akan dipatuhi sebaik mungkin demi kebaikan Laila dan anak mereka.
Laila terus tidak menjawab. Namun dia tetap membuka pintu untuk keluar dari kereta. Tanpa menunggu Lukman dia terus melangkah ke arah kedai makan tidak jauh dari tempat Lukman memakirkan kereta.
Lukman segera membuntuti Laila sejurus dia menekan alat kawalan jauh untuk mengunci keretanya. Di dalam kedai itu Laila meneliti barisan lauk pauk yang dihidangkan secara buffet itu. Semuanya tidak menyelerakan. Malahan memandang ke arah lauk itu sahaja sudah membuatkan tekaknya terasa mual. Dia tidak tahu apa yang harus dimakannya.
“Nak makan apa?” tanya Lukman lembut. Masih tetap mahu memancing perhatian Laila kepadanya.
“Tak tahu. Saya tak selera,” jawab Laila agak perlahan. Matanya terus memandang ke arah lauk pauk di hadapannya itu. namun tiada satu pun yang mampu untuk dipilihnya. Dalam keadaan begini semua yang dipandangnya semakin menolak seleranya untuk makan.
“Doc kata tadi kau kena makan..” pujuk Lukman cukup lembut.
“Saya tahu tapi semua yang ada depan mata saya ni bukan setakat tak menyelerakan tapi meloyakan. Macamana saya nak makan?” balas Laila sedikit mendegus.
“Habis tu kau nak makan apa? Aku carikan?” pancing Lukman lembut.
Laila terdiam. Cadangan Lukman segera difikirkannya. Namun apa yang disarankan oleh Doktor Anisah sebentar tadi bagaikan menarik minatnya untuk mencubanya. Lantas dia memandang Lukman yang masih setia memandangnya. “Kita singgah Carefour lepas awak makan nanti?” ucapnya lembut.
“Tak mahu makan di sini?” tanya Lukman lembut cuba mengambil hati. Jika Laila enggan makan di sini dia juga tidak mahu makan sendirian.
Laila menggeleng perlahan. Lauk yang dihidangkan itu benar-benar tidak mampu untuk membuka seleranya walau sedikit. “Tak mahulah. Saya tak selera. Awak makanlah. Saya tunggu.”
Lukman terdiam seketika sambil memandang sekelilingnya. Jika tidak mahu makan masakan dia mampu makan dengan selesa di situ?
“Kau tak mahu makan aku pun tak mahulah. Kita pergi Carefour aja terus. Kat sana ada banyak kedai makan. Nanti aku bungkus aja,” putus Lukman akhirnya.
Malas mahu membangkang keputusan Lukman dia terus keluar untuk kembali ke kereta. Lukman terus menghidupkan enjin keretanya semula. Mujurlah tempat yang dituju tidak jauh dari mereka. Tidak sampai lima belas minit mereka sudah berada di Mid Valley Mega Mall.
“Nak beli apa kat sini?” Saat berada di dalam pasaraya itu barulah Lukman bertanya apa sebenarnya tujuan Laila mahu ke situ. Dia menyorong troli di sisi Laila sambil merenung segala tindak tanduk isterinya itu.
“Saya nak beli barang dapur sikit.” Laila menjawab tanpa menoleh. Entah kenapa bayangan semalam masih ada. Itu yang menyebabkan dia tidak mampu memandang wajah Lukman lama-lama. Sisa rasa jijik masih ada. Malah masih menebal!
Lukman mengangguk sendiri. Langkah isterinya itu diturutinya tanpa banyak kira. Mungkin barang dapur sudah habis di rumah kerana itulah Laila tidak memasak. Tetapi.. pandai memasak ke Laila selama ini? Hatinya sempat tertanya. Ah! Wanita berasal dari desa seperti Laila masakan tidak tahu memasak. Lainlah Syahreena, Amira dan Balqis yang sememangnya dikenali tidak pernah ke dapur!
Semua kelakuan Laila ketika memilih barangan diperhatikan Lukman penuh minat. Tidak perlu lama untuk memilih barang dia seolah-olah sudah terbiasa melakukan hal itu. Dia tahu apa yang mahu dibelinya tanpa perlu menghabiskan masa membelek lama-lama. Sehinggalah tiba di kawasan buah-buahan agak banyak buah yang dibelinya. Hairan juga Lukman melihatnya.
“Banyaknya beli buah?” akhirnya kehairanannya diluahkan juga apabila Laila mengambil seplastik buah pear sedangkan dia sudah memasukkan buah anggur hijau, anggur merah, epal merah dan hijau ke dalam troli itu.
“Saya nak ikut macam yang doktor pesan tadi. Saya nak cuba makan buah.”
Sekali lagi Lukman menjadi burung belatuk, terangguk-angguk macam orang lugu. Kemudian memerhati lagi dengan penuh minat. Seronok juga rupanya menemankan ‘orang rumah’ pergi membeli barang dapur ini rupanya. Pengalaman pertama yang menyeronokkan sebagai seorang suami selain daripada malam pertama yang hambar dan menemankan isteri melakukan pemeriksaan kandungan di klinik.
“Awak takde nak beli apa-apa ke?” soal Laila setelah selesai mendapatkan apa yang diperlukannya. Dia menoleh sekilas kepada lelaki itu. Dengan t’shirt berkolar V warna kelabu dan jeans lusuh lelaki itu kelihatan santai.
“Err.. ada jual makanan yang mengenyangkan ke kat sini?” sedikit lugu nada pertanyaan itu.
Laila menoleh kepada suaminya itu. Soalan bodoh! “Ikan mentah tu kalau awak lahapkan macam tu aja boleh jugak kenyang.” Dia menjawab selamba kepada soalan yang kedengaran bodoh di telinganya itu.
Lukman serta merta terdiam. Nak kata Laila melawak tidak pula terdengar nada lawaknya tetapi apa yang pasti dia merasa terhiris mendengar nada Laila semacam itu. Apa yang pasti dia tidak terasa mahu ketawa saat itu.
“Kalau awak lapar kita singgah kat Tony Rhomas. Awak makanlah kat situ.” Laila berkata kemudian.
Kasihan pula dia mengenangkan lelaki itu yang masih belum makan. Rasanya tidak wajar dia bersikap mementingkan diri sendiri setelah apa yang sudah dilakukan Lukman kepadanya hari ini. Walaupun benci namun dia masih ada hati sebagai manusia.
Lukman membisu tidak menjawab. Malas dia mahu memanjangkan bicara. Buat sakit hati aja! Dia tahu Laila tidak ingin berbaik dengannya. Saat ini segala kebahagiaan yang menapak di hatinya mula terhakis sedikit demi sedikit.

Kehidupan sudah berubah kini. Walaupun cuba dinafikan namun Laila akui hatinya tidak tenang setiap kali memikirkan apa yang sedang dilalui dalam hidupnya kini. Menjadi seorang isteri dalam masa yang sama dia tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sepenuhnya, tidak pernah melegakan sekeping hatinya ini. Semuanya tidak semudah yang dibayangkan. Dia boleh mengabaikan segala tanggungjawabnya kepada Lukman namun tiada siapa yang tahu apa yang sedang bersultan dalam hatinya ini. Dia serba salah dengan sikapnya sendiri.
Malam itu Laila tidur agak lewat. Selama di dalam bilik dia lebih banyak termenung sahaja melayan diri. Puas mengiring di atas katil dia melentang pula. Penat menelentang dia mengiring lagi. Buat seketika fikirannya mula terkenangkan keadaan kandungannya. Alahan yang menyiksakan merubah rutin hidupnya. Dia lebih banyak berada di atas katil sepanjang hari. Berjalan pun dia seakan tidak berdaya. Namun dia akui dia mula dapat merasai kehadiran janin di dalam dirinya itu.
Sedang dia asyik melayan fikirannya, Laila terkesan bunyi pintu grill rumahnya sedang dibuka seseorang dari luar. Laila tahu Lukman sudah pulang. Seperti biasa dia hanya membatukan diri. Dia tahu Lukman pasti akan terus masuk tidur selepas mandi nanti. Begitulah selalunya rutin hidup mereka. Jarang berbual dan bertemu muka biarpun serumah. Laila sendiri sengaja mengunci diri di dalam bilik apabila lelaki itu berada di rumah.
Tetapi tidak lama kemudian dia terdengar seperti ada aktiviti yang sedang dilakukan di dapur. Bunyi seperti dapur gas telah dihidupkan seseorang. Aik? Hati Laila sebu oleh kehairanan. Memasak pulak ke mamat tu? Pandai ke dia memasak? Jangan nanti terbakar dapur aku tu sudahlah, sempat juga hati Laila mengomel sendiri.
Tidak tertahan didesak oleh rasa ingin tahu mengenai apa yang sedang dilakukan Lukman di dalam dapur sana, Laila memberanikan diri keluar dari biliknya. Langkahnya diatur teramat perlahan seolah-olah sedang menghendap pencuri. Akhirnya dari ambang dapur dia ternampak aktiviti suaminya itu.
Lukman dilihatnya sedang berdiri membelakanginya sambil menghadap ke arah dapur gas. Lampu dapur tidak dihidupkannya sebaliknya ruang sederhana luas itu sekadar diterangi oleh sisa cahaya dari lampu ruang makan. Nampaknya Lukman ingin memasak sesuatu.
“Awak buat apa?” sergah Laila tiba-tiba.
“Hish!!!” spontan itu juga Lukman melompat terkejut sehingga senduk di tangannya melambung ke udara dan penghabisannya terjatuh di lantai dapur itu. Buat seketika riuh rendah dapur itu dengan dentingan senduk besi itu.
“Kau ni buat terkejut aku aku aja! Ingatkan siapa tadi..” omel Lukman sambil mengutip semula senduknya itu. Buat seketika dia mengurut dada.
Laila seperti mahu tergelak melihat reaksi spontan Lukman tadi tetapi sengaja ditahan rasa gelihatinya itu di hatinya. Wajahnya sengaja diseriuskan sambil memerhatikan Lukman yang masih kalut.
“Awak buat apa?” soal Laila mahu tahu. Dia mendekati dapur dan memperlahankan api dapur yang sudah membuatkan kuali berasapkepanasan. Sekejap sahaja dapur itu sudah dilanda jerebu dari asap kuali itu.
“Aku nak goreng telur. Aku lapar..” ucap Lukman perlahan.
“Awak tak makan lagi ke?” Laila sekali lagi diserang kehairanan.
Tidak pernah pula dia melihat Lukman makan di rumah. Selalunya lelaki ini akan terus tidur selepas pulang. Walaupun mereka amat jarang bersua muka tetapi itu tidak bermakna dia tidak tahu apa yang Lukman lakukan di dalam rumah ini. Dia sedar sepanjang dua minggu ini Lukman hanya menjadikan rumah ini sebagai tempat tidurnya sahaja. Perkara lain Lukman jarang ambil tahu. Tetapi Laila sedikit pun tidak kisah dengan keadaan itu. Ataupun sebenarnya dia lebih suka begitu. Buat hal masing-masing je sudah..
“Aku dah bosan makan kat kedai mamak. Malam-malam macam ni bukannya ada restoran melayu yang buka lagi dekat sini,” kata Lukman masih bernada perlahan seperti tadi. Terkial-kial dia mahu memecahkan telur di tangannya.
“Jangan nak kelentonglah. Banyak kedai yang buka lagi. Kalau setakat nak makan nasi goreng kampung tu masih ada waktu-waktu macam ni,” sanggah Laila sambil dia mengambil telur itu dari tangan Lukman. Terus sahaja dia memecahkan telur itu ke dalam kuali yang sudah kepanasan.
“Sahlah tak tahu memasak! Ada ke goreng telur pakai senduk? Orang pakai sudiplah, Encik Lukman..” omel Laila sambil dia terus mencapai sudip dari tempat penyangkutnya.
Lukman tergaru-garu sendiri tidak mampu menjawab teguran isterinya itu. Memang pun dia tidak tahu memasak. Mana pernah dia memasak biarpun sekadar memanaskan air di dapur. Semuanya sudah tersedia sendiri.
“Aku ingat nak makan kat rumah hari ni. Boring asyik makan di kedai aja,” ujar Lukman perlahan di tepi Laila. Dia memandang sahaja segala perbuatan Laila.
“Kau makan apa kat rumah siang tadi?” soal Lukman sambil memerhatikan telur yang sedang digoreng oleh Laila. Sesekali dia memandang rambut hitam lebat yang disanggulkan Laila. Saat berdiri dekat dengan Laila dadanya terasa lain macam apabila menghidu haruman rambut isterinya itu. Dia akui sebagai lelaki, dia memang alah kepada kecantikan perempuan. Sukar dia untuk mengawal perasaannya apabila berdekatan dengan Laila. Kalau dah dasar miang tu, dekat ke jauh ke memang alah, Lukman oi! Tak payahlah nak hipokrit sangat! ejek hatinya sendiri.
Lukman meneguk liurnya. Dia sedar dia menumpang di sini jadi dia harus menjaga tingkah lakunya sewaktu bersama dengan Laila. Dia tidak mahu tersilap lagi sehingga menambahkan tahap kebencian Laila kepadanya. “Kau makan apa tadi?” soalan itu diulang lagi apabila Laila tidak menjawabnya.
“Saya makan nasilah..” jawab Laila agak dingin. Telur yang sudah hampir masak di dalam kuali itu dibalikkannya.
Lukman mendegus seketika. Laila masih tidak berubah nampaknya. Masih kaku dan dingin kepadanya. Menjawab pertanyaan sekadar acuh tidak acuh. “Tahulah makan nasi. Takkan kau makan batu pulak. Lauk apa?” tiba-tiba dia jadi geram pula dengan jawapan semacam itu.
“Tiba-tiba awak nak tahu apa yang saya makan kenapa?” soal Laila sambil menoleh sejenak ke arah lelaki yang berdiri di belakangnya itu. Telur itu diangkat dari kuali sebelum dia berpaling menghadap Lukman. Wajah lelaki itu dipandangnya selamba.
Lukman meneguk liurnya lagi. renungan Laila mula mengundang gundah entah dari mana. “Kan anak aku dalam perut kau tu? Salah ke kalau aku nak tahu apa anak aku makan hari ni? Aku cuma tak mahu kau sakit lagi macam sebelum ni. Kalau kau sakit aku susah hati!” balas Lukman sambil memandang tepat kepada bola mata isterinya yang hitam bersinar itu.
Aduhai.. kala itu dadanya terus disapa debaran akibat panahan mata si perempuan yang berkilauan indah. Memandang Laila sebegitu dekat membuatkan matanya terus ditadahkan dengan kemulusan pipi dan kemugilan bibir wanita itu. Lukman menarik nafasnya, cuba menenangkan perasaannya.
Laila ketawa mengejek dalam hati. Lukman susah hati tentang dirinya? Hati Laila diusik kehairanan mendengar apa yang Lukman katakan. Namun dia terus mengawal dirinya dengan beriak selamba. Ada hati perut rupanya lelaki ini. Dalam hatinya, keinginan untuk mengenakan Lukman yang pernah menyakitkan hatinya dahulu masih tidak padam. Perlahan dia mendekatkan dirinya kepada Lukman yang masih tidak berganjak di hadapannya.
“Dulu depan mak ayah awak, awak kata entah-entah ni anak Nazim. Hari ni mengaku ni anak awak pulak? Awak pasti ke ini anak awak? Sayakan janda murahan yang senang ditiduri lelaki? Dah lupa ke?” Tanpa mensia-siakan peluang yang terbentang, Laila terus mengenakan Lukman tanpa merasa bersalah. Sempat dia tersenyum sinis saat menyerahkan telur goreng yang sudah diletakkan di dalam pinggan itu.
Kali ini air muka Lukman mula berubah. Dia rasa tersindir dengan kata-kata Laila itu. Namun dia hanya diam sahaja walaupun hatinya mula meradang. Kalau dilayan sindiran itu boleh jadi dia akan hilang selera nanti. Laila yang sudah mahu berlalu dipandang lagi.
“Kau tak nak makan sekali?” pelawa Lukman masih tidak berputus asa untuk berbaik dengan Laila.
“Awak makanlah. Bau telur ni buat tekak saya loya. Saya masuk bilik dulu.” Laila menjawab sambil menjauhi lelaki itu. Memandang Lukman juga menambah rasa loyanya.
“Aku baru ingat nak ajak kau temankan aku. Dah dua minggu aku kat sini susah aku nak nampak muka kau. Marilah duduk sini temankan aku. Kita berbual sekejap,” pelawa Lukman sekali lagi.
Laila menoleh setelah menghentikan langkahnya di ambang dapur itu. Ajakan Lukman tidak mampu menarik perhatiannya biarpun seinci. “Nak berbual apanya..” dengusnya bosan.
“Apa-apalah. Marilah duduk sekejap, temankan aku makan,” pujuk Lukman sengaja melembutkan nadanya. Wajah Laila ditatap penuh harapan agar wanita itu mengerti keinginannya. Dia hanya mahu ditemani. Itu saja!
“Tak naklah. Saya nak muntah bau telur goreng tu.” Laila lantas menggunakan alasan itu biarpun sebenarnya bukan itu alasan utamanya untuk menjauhkan diri. Jika dia tidak loya sekali pun dia memang tidak ingin berada di situ bersama Lukman.
Lukman memandang seketika telur goreng itu. Tetapi kemudian dia memandang semula Laila yang berdiri tidak jauh darinya itu. “Kau masih loya-loya lagi? Takde ubat ke untuk hilangkan rasa loya tu?”
“Ubat apa kebendanya? Perempuan mengandung memanglah macam ni. Lagipun saya penat, nak berehat!” getus Laila muak melayan kehendak suaminya itu. Makan pun nak berteman segala!
Lukman mengangguk seketika bagaikan baru tersedar akan keadaan itu. “Takpelah kalau macam tu. Pergilah tidur.” Akur akhirnya Lukman mengalah enggan memaksa Laila lagi.
Laila terus mengangguk. Hatinya teramat lega setelah berjaya melepaskan diri dari lelaki itu. Di dalam bilik Laila tersenyum sendiri. Dia sedar Lukman cuba untuk berbaik-baik dengannya. Tetapi dia, hatinya masih keras. Buat masa ini biarlah mereka dengan hidup masing-masing.

Suatu pagi selesai solat subuh Laila terdengar ketukan di pintu biliknya. Sekalian itu terdengar suara Lukman memanggilnya dari luar biliknya. Masuk kali ketiga namanya dipanggil Laila akhirnya bergerak malas mendekati pintu itu. Pintu bilik itu direnggangkan sedikit untuk melihat Lukman.
“Ada apa cari saya pagi-pagi ni?” soal Laila cukup dingin. Muak dia melihat riak bersahaja di wajah lelaki itu. Ada-ada sahaja tujuan lelaki itu mencarinya.
“Kau dah bangun ke?” soal Lukman. Kepalanya dijengukkan ke dalam mahu melihat keadaan bilik tidur wanita itu. Namun sukar kerana pintu itu hanya terbuka sedikit sahaja.
“Dah. Ada apa awak cari saya?” balas Laila dengan reaksi yang sering ditunjukkan kepada Lukman. Dingin!
“Aku laparlah. Kita keluar sarapan nak? Hari ni aku tak kerja.” Lukman mengajak lembut. Sempat dia tersengih di hadapan isterinya itu bagi menggambarkan keceriaan hatinya.
Ya, hari ini cuti umum. Laila sudah tahu itu. “Awak pergilah. Saya malas nak keluar.” Laila pantas menolak ajakan itu.
“Marilah sekali. Kau kena sarapan juga. Takkan kau tak lapar?” ajak Lukman masih enggan mengalah. Dia tahu Laila berbohong. Bukannya wanita tidak lapar sebaliknya enggan menerima pelawaannya.
“Saya biasa sarapan kat rumah aja. Awak nak keluar, awak pergilah. Jangan tunggu saya.” Seperti mana tadi seperti itu juga kali ini. Laila tetap dingin kepada kelembutan Lukman.
Lukman terdiam seketika. Hatinya mula dibayangi kehampaan apabila Laila langsung tidak sudi didekati olehnya. Bukannya dia meminta apa-apa tetapi setakat bersarapan bersama, masakan itu juga Laila tidak sudi untuk menunaikannya?
“Aku beli sarapan kat luar kita sarapan sama-sama nak? Kau nak makan apa? Biar aku pergi cari.” Lukman mencuba cara lain pula apabila cara tadi tidak begitu berhasil.
Laila menghela nafas perlahan. Nampaknya lelaki ini tidak faham. Sengaja mahu menyulitkan keadaan dirinya yang sudah sedia kala sulit. Dia benar-benar tidak mahu ada apa-apa kebaikan dari lelaki ini. Biar sahaja dia menjalani hidupnya sendiri itu lebih baik!
“Lukman, jangan buat macam ni. Antara kita ni berbatas. Saya nak awak faham itu. Tak payah susah-susah pasal saya. Saya tahu jaga diri saya. Bila saya nak makan nanti saya masaklah,” ucap Laila mulai tidak senang dengan gelagat lelaki itu. Memaksa pulak dia!
“Batas apa yang kau kata ni? Kalau aku nak belikan kau sarapan itu salah ke? Aku ajak kau makan dengan aku pun kena tengok di mana batasnya? Bukannya aku minta apa-apa dari kau, Laila. Setakat teman nak berbual pun kau tak sudi nak tunaikan? Aku bukannya nak apa-apakan kau pun kalau kita berbaik. Aku akan terus berpegang pada janji-janji aku dulu,” balas Lukman sedikit lembut.
Huh! Boleh pakai ke janji tu? omel hati Laila sendiri.
“Awakkan ramai kawan. Nazim mana? Diakan selalu temankan awak. Kenapa saya kena jadi teman berbual awak kalau awak ada teman yang sekepala dengan awak? Saya tak nak ada apa-apa dengan awak. Awak juga yang kata kita dengan hidup masing-masing. Jadi kita dengan hidup masing-masinglah! Tak payah berkawan nak berkawab segala. Tak payah apa-apa. Kita macam ni aja!” tegas Laila.
Lukman diam sambil mengeluh seketika. Laila suka benar menyindirnya. Langsung tidak mahu bertolak ansur dengannya. Dia tidak tahu sejauh mana dia mampu bersabar dengan wanita yang bermulut pedas seperti ini. Masalahnya apabila dia sudah cuba untuk berbaik tetapi Laila pula menggunakan kesempatan itu untuk menyakitkan hatinya.
Salahkah apa yang dilakukannya ini? Sekadar mengambil berat antara satu sama lain, itu juga salah? Laila sedang hamil. Dia bimbang Laila akan jatuh sakit jika kurang makan. Jika Laila sakit siapa juga yang susah? Dia juga!
“Takpelah kalau kau tak suka. Aku keluar dulu. Kalau kau perlukan apa-apa telefon aja aku,” ujar Lukman amat rendah seakan sedang berkecil hati dengan sikap Laila.
Laila tidak memperdulikan reaksi Lukman dengan penolakannya itu. Namun pemergian lelaki itu dipandangnya juga sehingga lelaki itu hilang sepenuhnya dari pandangan mataya. Memang pada dasarnya dia tidak seharusnya memperlakukan Lukman seperti itu tetapi bukan mudah untuknya menyediakan ruang buat lelaki yang tidak boleh dipercayai seperti Lukman! Lagi pula dia tidak mahu hatinya tersiksa nanti sekiranya mereka memilih untuk berpisah. Cukuplah dia merasa tersiksa kerana seorang lelaki sebelum ini.
Itulah maksud Laila sebentar tadi. Dia amat berharap agar Lukman mengerti mengapa ada batas seperti itu. Dia tidak mudah untuk menyediakan ruang untuk lelaki kaki perempuan persis Lukman!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan