Jumaat, 30 Ogos 2013

29-30 MSM

29

Tengahari itu ketika Laila dan Devy menjamu selera di cafeteria mereka didatangi seorang wanita.  “Boleh join?” mesra pertanyaan dilontarkan oleh wanita bernama Ramona itu.
“Duduklah, kak Mona..” Laila segera menjawab sambil tersenyum. Wanita itu terus mengambil tempat bersebelahan dengan Devy. Pinggan nasinya dan gelas teh ais di letakkan di atas meja itu.
“Jarang nampak Kak Mona rehat waktu-waktu macam ni?” soal Devy agak hairan melihat kemunculan Mona tiba-tiba.
Schedule flight dah berubah sekarang. Flight 336-337 kan dah dibatalkan sampai bulan Oktober ni. Dah ganti dengan EK 348-349. So sekarang ni bermula dari pukul 1 sampai pukul 3 akak free,” ucap Mona dengan panuh senang hati.
Memang jarang dia dapat makan seperti waktu orang lain. Selalunya terpaksa makan awal, jika tidak jam 4 petang barulah dia dapat menyuap nasi ke mulut dek kerana jadual penerbangan yang padat setiap hari.
“A’ahlah! Lupa pulak pasal tu,” sambut Laila baru teringat tentang itu. Jika tidak selalunya bahagian operasi penerbangan jarang dapat melepak bersama dengan mereka.
“Nasiblah, Laila. Selalunya akak makan seorang aja. Tak dapat join korang. Seronoklah korang bahagian sales ni. Jam 1 tengahari aja dah boleh cari nasi. Akak ni kalau tak makan awal, alamat petanglah baru makan,” ujar Mona.
“EK 348-349 siapa control, kak?” tanya Laila sekadar ingin tahu. Setahunya penerbangan itu turun jam lapan malam dan terbang semula pada jam dua pagi. Rasanya itu sudah melepasi waktu kerja Mona.
“Si Vearane yang jaga. Akak ni mana boleh. Askar akak yang enam orang tu siapa nak jaga kalau malam akak kerja? Laki akak sekarang ni takde.”
“Bila balik suami akak tu?” tanya Devy pula.  Mereka berdua sudah lama tahu suami Ramona yang bertugas sebagai jurutera Petronas sedang berada di Sudan untuk kerja cari gali minyak.
“Entahlah. Yang pastinya selagi tak 6 bulan dia di sana, tak payahlah nak sibuk tanya bila dia nak balik. Akak dah biasa sangat dengan keadaan macam ni, Devy. Ini bukan sekali dua Abang Harun tinggalkan akak dengan anak-anak. Sebelum ni ke China. Paling lama pulak di Rusia. Sampai tiga tahun baru dia dapat balik ke Malaysia semula,” cerita Mona tentang pengalaman hidupnya bersama Harun.
“Kesian akak, ek? Anak dahlah ramai. Lepas tu suami takde pulak.” Devy segera meluahkan komen itu setelah mendengar bicara Mona.
“Takpelah, Devy. Anak akak yang sulung dengan yang kedua dah boleh diharap sikit. Ada jugak diorang tolong-tolong akak jaga adik-adik dia kat rumah bila time akak sibuk. Takdelah akak rasa susah sangat,” balas Mona tentang anak-anaknya pula. Tersenyum dia mengenangkan enam cahaya matanya selama lebih 13 tahun berkahwin dengan lelaki bernama Harun itu.
“Ai! Banyaknya lauk dalam pinggan tu, Laila. Ni makan berdua ke bertiga?” tegur Mona kepada Laila apabila terpandangkan pinggan Laila yang masih membungkit sedangkan Devy sudah hampir selesai.
“Dia makan berempat untuk suami dia sekali, kak Mona.” Sebelum sempat Laila menjawab Devy sudah terlebih dahulu menjawab bagi pihaknya.
“Berempat? Kenapa sampai empat pulak?” tanya Mona hairan.
Laila dan Devy saling bertukar pandangan dan senyuman buat seketika. “Laila baru buat check-up hari Isnin hari tu. Doktor sahkan Laila mengandung anak kembar,” jelas Laila lembut.
Mona sempat ternganga sebelum mengucapkan kalimah syukur. “Bertuahnya, Laila. Bukan semua orang dapat peluang macam ni. Tahniah!” Mona berkata dengan mata yang bersinar ceria.
“Itulah.. Laila pun tak sangka sebenarnya. Anak pertama, kemudian kembar pulak tu. Serius, Laila memang tak pernah jangka akan dapat anak kembar. Tapi happy tu memang tak boleh nak katalah. Macam nak melompat depan doktor,” komen Laila lantas tergelak sendiri mengenang dirinya.
“Ini anugerah Allah. Ramai orang terimpi-impi nak dapat anak kembar. Tup-tup.. Laila yang dapat. Alhamdulillah..” sambut Mona sambil tersenyum.
“Agaknya sebab tulah dia selalu lapar, Kak Mona. Kadang-kadang sampai tak boleh tahan. Jam satu aja dah berkejar pergi food court cari nasi. Lapar punya pasal nasi pun dah sama tinggi dengan bumbung KLIA,” cerita Devy pula bagi pihak Laila.
“Amboi! Sedapnya you fitnah I ya, Devy. Mana ada sama tinggi dengan bumbung KLIA. Mengarutlah tu!” tukas Laila lantas menampar lengan Devy di atas meja.
Mona sempat ketawa melihat gelagat mereka berdua. “Biasalah tu, Laila. Lain kali dalam office tu letaklah something yang senang nak disediakan. Macam nestum 3 in 1 tu ke? Roti ke? Biskut pun boleh. Jangan makan meggi aja sudah! Bila rasa lapar aja, makanlah sesuatu. Alas perut tu sebelum makan tengahari. Jangan tunggu makan tengahari baru nak makan. Siksa Laila nanti! Lapar tu memang kadang-kadang tak boleh ditahan. Yalah, orang dalam tu dia bukan kira ini lunch hour ke tidak. Kalau dia dah nak, naklah jawabnya. Takde tunggu-tunggu lagi dah!” ucap Mona kembali serius. Dia yang sudah enam kali melalui keadaan ini sudah tahu benar dengan keadaan itu.
“Apa kata bila you lapar aja I orderkan you pizza? Boleh I tumpang sekaki,” sambut Devy sengaja mahu bercanda.
“Amboi! Ingat ni parti orang bujang ke nak order-order pizza ni semua. Buatnya korang berdua tengah sedap kendurikan pizza tu, Puan Azlyn muncul kat pejabat korang. Kau yang tak mengandung ni pun boleh terberanak dibuatnya kau tahu tak! Tak pun jadi pizzalah jawabnya muka kau disembur dek perempuan tu. Kau jangan main-main dengan perempuan tu,” ucap Mona sementara Laila sudah tergelak serentak dengan Devy.
“Susah jugak mengandung ni ya? Asyik lapar, asyik nak marah. Itu belum masuk lagi asyik nak ke tandas aja.” entah kenapa si Devy pula yang tolong mengeluh untuk Laila.
“Aik? Mana tahu perempuan mengandung ni asyik nak ke tandas?” soal Laila sambil memandang Devy dengan senyumnya.
“Kawan I ceritalah. Pengalaman dia. I pun ada kawan-kawan yang senasib dengan you jugak,” jawab Devy bersungguh.
“Memang orang mengandung ni senang nak terkencing. Ada masa tu sampai tak boleh dikawal. Kalau tak sempat ke tandas tu, tahu-tahu ajalah apa tindakan seterusnya..” sambut Mona lantas mengiakan kata-kata Devy tadi.
Devy sudah tergelak namun tidak bagi Laila. Dia termenung seketika memikirkan kata-kata Mona. Bab asyik nak ke tandas itu sudah mula berkurangan. Keadaan itu sering dialaminya ketika awal kehamilan dahulu tetapi asyik mahu marah itu sudah acap kali dirasainya. Selalunya apabila ternampak muka Lukman mulalah marahnya berapi-api walaupun lelaki tidak ada menyakitkan hatinya.
Tetapi yang anehnya, kadang-kadang apabila mereka tidak bertemu mulalah dia asyik terfikirkan suaminya itu. Kasihan juga apabila dia terkenangkan wajah mendung Lukman setiap kali mereka bertengkar. Tetapi apabila sudah bertemu muka, kebenciannya kepada lelaki itu bagaikan tidak mampu ditahan-tahan. Dia sendiri tidak faham kenapa emosinya sering berubah apabila dekat dengan suaminya itu. Ini pembawakan budak ke? Ada ke pembawakan yang jenis macam ni? Asyik nak marah suami? Tanya hati Laila sendiri. 
“Laila, kenapa tak makan?” tegur Mona yang terperasan Laila asyik termenung sendiri.
Laila tersentak lantas memandang Mona. Apabila terpandangkaan wajah wanita itu mula timbul hasratnya mahu bertanya. Sementelah Mona pula memang berpengalaman. “Laila nak tanya Kak Mona sikit boleh tak?” ucap Laila lembut.
“Tanya jelah..”
“Akak dulu masa mengandung pernah ke akak rasa benci tengok muka laki akak? Pernah tak bila akak rasa nak renyuk-renyuk aja muka laki akak tu walaupun dia takde buat salah?” tanya Laila sambil memandang Mona.
Terbeliak mata Devy mendengar soalan Laila itu. Sekilas itu dia sudah tahu apa yang dimaksudkan Laila. Sudah tentu dia sendiri yang merasa begitu!
“Kenapa? Laila benci tengok muka suami sendiri ke?” tanya Mona semula sambil meneruskan makannya. Langsung tiada rasa terkejut mendengar soalan itu berbanding Devy yang mula menatap wajah bosnya itu terus-terusan persis seorang penyibuk.
“Entahlah! Dua tiga minggu ni emosi Laila selalu tegang aja bila dengan dia. Macam tak boleh tengok muka dia langsung. Bila tengok aja muka dia tu, mulalah Laila rasa benci. Masalahnya bila dia takde depan Laila, takde pulak Laila asyik nak marah aja. Asal nampak muka dia aja mulalah nak berperang! Dia pun agaknya dah muak melayan kerenah Laila. Laila tahu dia kecil hati dengan Laila sebab baru-baru ni kami bergaduh lagi. Laila ada mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya Laila ucapkan pada dia.” Laila meluahkan bicaranya perlahan.
Entah kenapa sayu juga hatinya apabila terkenang Lukman yang masih terasa hati dengannya. Dua tiga hari ini mereka tidak banyak bercakap. Lukman juga begitu, sengaja menyibukkan diri dengan kerja pejabatnya tanpa mahu bergurau senda dengannya lagi. Laila sendiri, semakin Lukman berkeras kepadanya semakin itu dia bersikap keras kepala.
“Jangan ikutkan sangat perasaan tu. Memanglah mood kita ni asyik berubah-ubah aja waktu mengandung. Dah nama pun ujian, Laila. Akak faham perasaan Laila. Sebab akak sendiri pun pernah lalui keadaan tu. Tapi kita kena ingat, watak yang kita bawa waktu tengah macam ni akan menurun pada anak yang dikandungkan. Sebab tu dalam islam amat-amat dituntut agar kita bercakap yang elok-elok pada orang sekeliling sebab anak dalam kandungan boleh dengar apa yang ibunya katakan. Inikan pula kalau tak hormat pada suami. Kalau sekarang ni Laila kerap sakitkan hati suami, nanti anak tu lahir dia juga tak tahu hormatkan mak dan ayah dia.”
Laila termanggu seketika saat mendengar nasihat Mona itu. Ngeri juga dia memikirkan jika anak-anaknya tidak hormat kepadanya. Serta merta dia kembali diimbaskan dengan kata-kata lancang yang telah dilemparkan kepada Lukman lebih seminggu yang lalu. Langsung tidak ada belas kasihan saat dia meluahkannya. Tetapi apabila difikirkan semula dia benar-benar menyesal meluahkan kata-kata seperti itu. Dia bukanlah orang yang suka menggunakan bahasa kesat tetapi tidak tahu mengapa saat itu kebenciannya kepada Lukman bagaikan tidak bertebing.
“Laila, jangan ikutkan sangat perasaan tu. Itu semua hasutan iblis. Bila dalam keadaan emosi lemah memang senanglah benda-benda buruk ni hinggap. Sesetengah orang kata pembawakan budak. Kalau pembawakan budak sekalipun benda yang tak elok kita kena tepis sebaik-baiknya. Menyakitkan hati suami ni tak termasuk dalam pembawakan budak. Banyakkan beristighfar. Memang susah kalau nak difikirkan. Dengan sakit mengandung kita nak tahan, dengan kerja di rumah nak dibuat. Suami lagi nak dilayan seleranya. Tapi kalau kita sabar. banyak ganjarannya,” nasihat Mona lembut.
Laila mengangguk perlahan akur dengan nasihat Mona. Dia ingin menuruti nasihat Mona itu tetapi dia sendiri tidak tahu sejauh mana dia mampu menahan sabar kepada Lukman.
“Kadang-kadang kasihan jugak tengok dia. Tapi entahlah! Bila depan dia semuanya macam tak boleh dikawal. Kadang-kadang Laila macam dah tak ingat yang dia tu suami Laila.” Laila mengeluh sendiri sambil diperhatikan oleh Devy dan Mona. Hilang seleranya apabila terkenangkan lelaki itu. Entah kenapa bila berjauhan begini dia sering teringat tetapi apabila dekat dia mula merasa benci.
“Bertahanlah. Keadaan ni bukannya kekal sampai bersalin nanti. Ragam orang mengandung ni selalunya berubah-ubah. Tengok oranglah. Lain orang lain ragamnya. Akak dulu paling teruk macam Laila nilah. Bila nampak muka laki asyik nak marah aja. Tak mahu tidur sebilik. Bercakap dalam telefon pun boleh bergaduh. Nasib baiklah laki akak tu jenis blur. Kena marah pun diam aja. Tapi bila dah mengandung lagi kali yang kedua dan seterusnya akak dah faham. Itu cuma sebahagian dari ujian Allah. Banyakkan baca ayat Kursi bila lepas solat. Ini semua kerja iblis nak sesatkan kita”
Laila sekali lagi mengangguk. Ya, suratul Kursi memang sesuai untuk menghalang gangguan iblis dan syaitan. Banyak manfaatnya membaca surah itu.
“Seronok tengok kak Mona ni. Walaupun suami selalu kerja jauh tapi akak nampak happy aja. Akak tak kisah pun jaga anak-anak sendiri,” komen Devy yang hanya membisu sahaja sedari tadi.
“Sebenarnya seronok ada ramai anak ni, Devy. Sesetengah orang tak suka sebab pening nak melayan kerenahnya. Tapi kalau kita ni jenis penyayang kita akan rasa nikmatnya ada anak ramai ni. Anak-anak akak banyak membantu akak waktu suami akak jauh. Kalau takde anak sunyilah hidup akak,” ujar Mona sambil tersenyum.
“”You jenis macamana, Devy? Penyayang ke pemarah?” soal Laila sengaja mahu mengusik wanita berusia 24 tahun itu.
“I jenis yang takut kahwin sebab nanti kena beranak..” jawab Devy selamba sehingga meledak tawa Laila dan Mona. Ada-ada sahajalah Devy!


Entah apa mimpinya petang itu Lukman muncul di tempat kerja Laila. Salmi yang membawa Lukman ke bilik Laila sempat melirikkan senyuman penuh makna kepadanya. Laila segera mengerti apa kandungan senyuman itu.
“Kenapa?” soal Laila kepada kakitangannya itu.
“Ingatkan siapa tadi. Baru nak ngorat. Rupa-rupanya suami Puan Laila.” Salmi menjawab sambil tersengih kepada Laila. Lukman di sebelahnya dikerling nakal.
Terbeliak mata Laila melihat kenakalan Salmi itu. Memang nak kena budak ni!
“Banyak awak punya mengorat. Saya belum mati lagi awak dah ada impian nak ambil alih tempat saya ya? Miang!” desis Laila geram kepada Salmi.
Dia sedar Salmi diletakkan di bahagian Sales kerana gadis itu memang suka melayan lelaki. Ramai teman lelaki! Tetapi itu tidak bermakna prestasi kerja Salmi tidak bagus. Tabiatnya itu amat berguna untuk mereka semua di situ.
Salmi menyeringai bagaikan orang terkena miang rebung. “Gurau aja. Jangan marah ya, puan?” ucap Salmi selamba. Sebuah senyuman sempat dilemparkan kepada Lukman sebelum beredar dari situ.
“Laila dah habis kerja?” soal Lukman kepada Laila setelah Salmi berlalu dari bilik itu.
“Dah. Abang buat apa kat sini?” soal Laila kehairanan.
“Abang ada meeting dengan pengurus besar MAB untuk projek yang akan dijalankan di sini tak lama lagi. Jadi alang-alang dah petang abang ingat nak ajak Laila balik sekali dengan abang. Jom balik?” ucap Lukman lembut seperti kebiasaannya. Alasan lain yang dia ada saat ini ialah dia tidak mahu Laila pulang lewat lagi seperti semalam dan sebelum ini. Dia mahu Laila kembali menjadi Laila yang dahulu.
Laila sekadar mengangguk sambil membuat prosedur untuk mematikan komputer di tepinya itu. Sambil menanti alat eletronik itu terpadam dia mengemas mejanya sambil terus diperhatikan Lukman.
Lukman sempat tersenyum memandang perbuatan isterinya itu. Meja itu tidaklah bersepah benar dilihatnya tetapi Laila terlalu cerewet dengan kekemasan tempatnya berkerja. Seperti mana rumah mereka juga, Laila tidak suka ada cawan yang sudah digunakan terbiar di atas meja.
“Dah?” soal Lukman setelah Laila bangun bersama beg tangannya. Kerusinya ditolak rapat ke meja. Sempat lagi dia memandang sekelilingnya. Mencari apa yang belum disudahkan sebelum dia pulang.
“Dah okay dah tu..” perli Lukman sengaja mahu mengusik Laila.
Laila sekadar menjeling sengihan lelaki itu. Seperti kebiasaannya usikan Lukman tidak dibalasnya. Ketika dia sampai di hadapan Lukman, lelaki itu terus mengambil beg dari tangannya. Laila sekadar membiarkan. Mereka berjalan menuju ke tempat Lukman memakirkan kereta.
“Kenapa parking jauh sangat?” soal Laila sudah mula terasa letih berjalan.
Lukman membawanya ke kawasan parking bersetentangan dengan bangunan MTB, bersebelahan dengan Pan Pacific Hotel. Agak jauh! Itu pun mereka masih belum tiba di kereta Lukman.
Meeting tu kat Pan Pac tadi. Sebab tu abang parking kat sana,” jawab Lukman dalam pada dia cuba menyaingi Laila yang agak lambat.
Melihat Laila seperti keletihan tangan Laila dicapainya. Cuba dipimpinnya wanita itu namun Laila lekas sahaja meleraikan tautan tangan mereka. Seolah-olah tidak sudi membiarkan dirinya disentuh Lukman.
“Kenapa? Abang pegang sikit pun dah tak boleh ke?” soal Lukman mula terkilan dengan sikap Laila. Dia bukannya mahu mengambil kesempatan sebaliknya dia kasihan melihat Laila yang sudah kepenatan berjalan.
Laila buat tidak tahu sahaja pada luahan lelaki itu. Namun hatinya mendongkol benci. Entah kenapa tega benar dia membuat suaminya begitu. Dia macam tidak takut langsung sekiranya Lukman kecil hati lagi dengan sikapnya. Malah kebaikan Lukman tidak teringat untuk disyukurinya.
“Sampai bilalah Laila nak buat abang macam ni..” keluh Lukman agak perlahan.
“Sampai bila-bila! Dahlah! Jangan nak cari gaduh time-time macam ni. Laila penat nak bergaduh selalu dengan abang!” degus Laila mulai bosan dengan ragam Lukman.
“Jadi kita janganlah bergaduh selalu. Abang pun letih kalau asyik kena marah aja!”
“Nak balik ke tidak? Kalau tak Laila naik tren aja!”
Lukman hanya mampu menghela nafas sabar buat kesekian kalinya. Berkali-kali dipujuk hatinya agar mengalah. Mungkin ini cuma ragam wanita yang sedang hamil.
Mereka hanya membisu sahaja sepanjang perjalanan ke rumah. Sehinggalah tiba di rumah, Laila masih dengan wajah mencuka. Sebaik sahaja kereta Lukman berhenti di hadapan bangunan kondominum itu wanita itu turun dari kereta tanpa memandang lelaki itu. Lelaki itu ditinggalkan begitu sahaja sambil menuju ke lif. Entah apa salah Lukman kepadanya, hatinya terus membengkak bagaikan mahu disiat-siatnya kulit lelaki itu. Nasihat Mona sudah tidak lekat diingatannya lagi.
Di rumah..
“Laila..” Lukman segera memanggil Laila sebelum wanita itu menghilangkan diri di dalam bilik seperti kebiasaannya.
Langkah Laila terhenti di muka pintu. Dengan hanya menoleh sedikit dia cuba memberi perhatian kepada apa yang Lukman mahu katakan kepadanya. Semacam sudah tidak sudi benar dia mahu memandang wajah suaminya itu walaupun terserlah kelembutan Lukman untuk membeli hatinya.
Langkah kaki Lukman terhenti berdekatan dengan Laila. Wajah si isteri ditatap dari tepi. “Hari Sabtu ni abang nak balik rumah mama dengan ayah. Laila ikut abang sekali ya? Kita jumpa mama dengan ayah.” Lukman meluahkan bicaranya lembut. Dia tahu jika caranya selama ini tidak berjaya menawan Laila, kali ini biarlah dia melibatkan keluarganya pula.
Pelawaan yang tidak dijangka itu membuatkan Laila menoleh mencari anak mata Lukman. Ada sedikit rasa terkejut kerana dia tidak pernah menjangka Lukman mahu mengajaknya ke rumah orang tua lelaki itu.
“Untuk apa Laila ikut abang?” soalnya tanpa kemesraan. Cepat pula Lukman berubah sedangkan dia tidak ada bercakap dengan Lukman tentang itu seperti yang dimahukan oleh kakak iparnya.
“Sebab Laila isteri abang. Apa pulak kata ayah kalau abang balik sendiri aja?” Lukman menjawab lembut dalam pada renungannya memanah lunak ke mata hitam milik isterinya itu.
“Laila tak mahu, bang. Cukuplah Laila dimalukan sebelum ini. Rasanya takde sebab Laila kena ikut abang sebab Laila tahu mak abang tak suka Laila. Laila pun tak tahu apa yang patut Laila buat di sana,” jawab Laila sambil menggeleng.
“Abang akan pastikan Laila takkan dihina lagi kali ni. Laila isteri abang, dah jadi tanggungjawab abang melindungi Laila dalam apa juga keadaan. Abang hanya nak Laila diterima sebagai menantu di rumah tu. Atau sekurang-kurangnya Laila berhak dihormati sebagai ibu kepada anak abang. Itu saja,” pujuk Lukman lembut sambil merenung Laila penuh mengharap. Dia harap Laila mengerti akan niatnya itu.
“Kenapa tiba-tiba aja abang nak balik ke rumah ayah?” terpacul soalan itu dari dua ulas bibir Laila.
Lukman menghela nafas perlahan. “Abang Nizam dengan Kak Reen dah banyak kali nasihatkan abang supaya balik ke rumah ayah. Cuma abang aja yang selalu bertangguh sebab abang rasa belum bersedia untuk berdepan dengan mama dan ayah. Tadi abang Nizam membebel lagi pasal tu. Abang rasa dah sampai masanya untuk abang ubah keadaan tu. Selagi abang menjauhkan diri dari mereka selagi itulah hati abang tak tenang,” jawab Lukman jujur.
Laila bungkam tidak segera memberikan persetujuan. Renungan Lukman dan kata-katanya membuatkan perasaannya gundah seketika. Lukman mahu membuat dirinya diterima di rumah itu? Untuk apa? Bukankah mudah begini supaya tiada sesiapa yang akan terasa apabila mereka berpisah nanti?
“Boleh ya? Kita kena mencuba. Abang tak boleh terus menjauhkan diri dari keluarga abang, Laila. Kita tetap akan kembali semula kepada keluarga suatu hari nanti,” pujuk Lukman semakin bersemangat apabila melihat kebisuan Laila. Dia yakin Laila akan akur juga.
“Abang memang akan kembali kepada keluarga abang. Tapi Laila bukannya sesiapa pada keluarga abang. Mama marah dengan abang tapi marah emak takkan ke mana perginya. Suatu hari nanti dia akan terima abang jugak. Tapi Laila ni lain. Mama abang tak suka Laila sebab Laila ni janda sebelum jadi menantu dia. Laila tak layak berada dalam keluarga abang. Laila pun tak harap mama akan memuliakan Laila sebagai menantu sebab Laila tahu taraf Laila serendah mana pada mata dia. Suatu hari nanti Laila hanya akan kembali pada keluarga Laila. Di sanalah tempat Laila sebenarnya.” Agak sayu kedengaran nada yang dilahirkan Laila kala itu.
“Jangan cakap macam tu, Laila. Laila tetap isteri abang. Pasti Laila juga ada tempat di dalam keluarga abang. Kita cubalah dulu. Siapa tahu mama tak marah lagi sekarang ni. Lagipun Laila tak salah apa-apa. Abang yang buat salah pada mama dan ayah. Bagilah abang peluang untuk memperbetulkan keadaan. Bukan Laila yang perlu dihina tapi abang!”  Saat itu tangan Lukman secara automatik naik menyentuh pipi Laila. Pipi mulus itu diusapnya lembut. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu sayangnya dia kepada wanita ini. Biar sesakit mana pun hatinya diguris wanita ini, cintanya masih utuh kepada Laila.
Laila terpegun sendiri menikmati belaian Lukman. Sesunguhnya diakui dirinya memerlukan seorang lelaki untuk memenuhi fitrahnya. Kemesraan yang diberikan Lukman mula merubah arus perasaannya saat itu. Hampir sahaja dia kalah dengan perasaannya namun ada suara mengejutkannya. Laila segera tersedar. Tangan Lukman dialihkannya pantas. Dia tidak mahu begitu cepat kalah dengan kuasa lelaki itu. Dia tidak mahu perasaannya layu dengan sebegini pantas.
“Kita pergi ya?” pujuk Lukman lagi.
“Tengoklah nanti. Laila tak janji,” ucap Laila sengaja tidak mahu memandang Lukman. Dia tidak mahu Lukman perasan rona yang mula menghiasi wajahnya saat itu. Lebih malu jika Lukman terkesan akan perubahan perasaannya saat ini.
“Janganlah macam tu. Bukan senang abang nak buat keputusan macam ni. Laila fikir abang tak takut? Abang pun takut abang tak diterima, Laila. Ayah sampai sekarang masih tak mahu pandang muka abang. Tapi sampai bila abang nak larikan diri? Abang sedar selama ni abanglah yang banyak buat salah. Dah sampai masanya abang memperbetulkan kesilapan abang.” Lukman tidak berputus asa untuk memujuk Laila. Mata Laila yang bersinar itu cuba ditatapnya namun Laila masih terus melarikan pandangannya.
“Laila..” Lukman jadi tidak sabar dengan sikap Laila yang agak liar dengannya. Dia menarik dagu wanita itu agar kembali memandangnya. “Mama tentu suka bila dia tengok cucu-cucu dia ni. Percayalah!” ucap Lukman sambil mengusap lembut perut Laila itu. Kemudian jemari Laila dicapainya lalu digenggam erat.
Laila cuba untuk menjawab namun lidahnya kelu sebaik sahaja anak matanya bertaut erat dengan Lukman. Entah kenapa dia mula kalah setelah diri dihambat keasyikan dengan kemesraan lelaki itu. Kelembutan Lukman benar-benar merubah arus yang bertali dijiwanya sebelum ini. Apa maknanya semua ini?
“Boleh ya? Kalau Laila tak mahu bermalam di sana kita balik petang tu. Apa yang penting kita jumpa mereka,” sambung Lukman lagi.
“Tapi Laila takut..”
“Abang ada. Abang akan pastikan tiada siapa yang akan lukakan hati Laila. Percayalah!” sambut Lukman bersungguh.
Laila lemah akhirnya dengan pujukan Lukman itu. Anggukan diberikan kerana dia kelu tidak tahu mahu bicara apa lagi dengan Lukman. Namun sebenarnya keikhlasan langsung tidak mampu dihadirkan dalam dirinya bersama keakuran itu.
“Kalau takde apa-apa lagi Laila masuk bilik dulu,” ucap Laila seakan meminta izin. Lukman melepaskan jemari wanita itu perlahan.
Namun seketika kemudian Laila menoleh semula kepada Lukman yang masih setia memandangnya. “Abang kena beli makanan kat luar malam ni. Laila penat sangat. Tak larat nak masak,” pesan Laila lembut.
Lukman hanya mengangguk dalam keterpaksaan. “Nanti abang pergi beli,” ucapnya lembut.
Kalau boleh dia mahu berlama-lama lagi dengan Laila tetapi Laila seakan tidak sudi dengannya. Dia juga sebenarnya malu untuk tersua-sua lagi jika sudah jelas penolakan Laila yang sudah acap kali diterimanya.
Laila di dalam bilik mendiamkan diri di birai katil. Rentak hati yang sudah berlainan cuba ditafsirkan sebaik-baiknya. Debaran yang masih bersisa cuba ditenangkan. Gelora itu cukup mengasyikkan. Hangat membasahi seluruh pelusuk hatinya. Impaknya sudah membawanya jiwanya ke angkasa raya yang luas. Indah! Itulah perasaan yang dirasainya saat ini.
Laila akhirnya menemukan jawapannya. Perasaan inilah yang dirasakannya bertahun dahulu setiap kali dia memandang arwah Nahij. Kini tanpa sedar dia sudah jarang mengingati wajah itu. Dia sudah bebas dari rantaian kenangan lalu.
Laila menghela nafas perlahan. Dia tahu jika tidak berhati-hati tidak mustahil dia kalah pada perasaan wanitanya. Namun dia bukanlah seorang yang kebal. Terlalu sukar untuk dia menolak kelembutan seorang lelaki yang cukup sabar menangani setiap kerenahnya yang sering sahaja tidak menentu. Setiap cebis kesabaran yang dipertaruhkan Lukman semakin membuatkan arus hatinya berubah rasa. Laila sedar dalam keegoan dan kedegilannya hatinya mula tersentuh dengan layanan Lukman. 
‘Siapa sebenarnya aku pada dia? Kenapa dia layan aku macam ni kalau akhirnya dia akan ceraikan aku?’ hati Laila bertanya sendiri.
Semakin lama dia semakin keliru dengan pendirian sendiri. Walaupun membentak marah namun akhirnya dia akui dia juga yang kalah kepada naluri sendiri. Kebenciannya suatu masa dahulu sudah merebah kini setelah ditakluki seorang lelaki yang amat dibenci.
Laila sedar pintu hatinya sudah mula terbuka sedikit kepada lelaki itu. Rasanya tidak salah sekiranya dia terjatuh hati kepada lelaki itu. Masalahnya dia cukup sedar yang Lukman seorang lelaki yang tidak boleh dipercayai. Laila amat takut meletakkan harapan kerana takut terletak di tempat yang salah. Akhirnya dia juga yang merana nanti.
Jadi apa yang harus dia lakukan?

Sementara itu Lukman masih terpegun di hadapan pintu bilik Laila. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia mengetuk pintu itu semula. Wajah itu ingin ditatapnya lagi sehingga puas. Masih terbayang-bayang olehnya renungan Laila yang cukup bertenaga saat pandangan mereka bertaup sebentar tadi. Entah kenapa kali ini Laila tidak lagi melarikan pandangannya seperti selalu. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa istimewanya wanita itu di matanya.
Hati lelaki Lukman merintih dalam diam. Apakah Laila pantas untuk dicintainya? Apakah Laila sudi untuk menerima jika dia mengakuinya?

Entahlah.. Jawapan yang ada sebenarnya sedikit pun tidak memihak kepadanya. Buat pertama kali di dalam hidupnya Lukman mengenali apa itu kecewa setelah puas dia mengecewakan kaum Hawa.


30

Kita nak bawak apa untuk ke rumah mama nanti?” tanya Laila saat duduk berdua dengan lelaki itu di ruang tamu. Sambil itu dia melipat kain baju yang baru diangkat dari penyidai sebentar tadi. Semak matanya melihat timbunan kain baju yang tidak berlipat semenjak beberapa hari yang lepas.
Lukman yang sedari tadi asyik dengan kerja pejabatnya menoleh pantas kepada isterinya itu. “Nak kena bawa apa-apa ke?” tanyanya sedikit bodoh. Keningnya berkerut tanpa disedarinya.
“Dah berapa bulan abang tak jumpa mama? Takkanlah abang tak mahu beri mama apa-apa? Nak datang melenggang aja ke?” balas Laila kembali. Laju tangannya meratakan kesan ronyok pada t’shirt Lukman yang dibentangkan di atas permaidani itu.
Lukman terdiam memikir seketika. Ucapan Laila mengusik hati kecilnya. Begitu rupanya cara Laila mahu mengambil hati emaknya. Tetapi jujurnya, selama ini dia jarang memberikan hadiah kepada emaknya. Jadi dia tidak tahu apa yang harus dibeli untuk mamanya itu.
Kebisuan Lukman membuatkan Laila menoleh kepada suaminya itu. Entahkan bicaranya tidak menarik minat Lukman, entahkah Lukman tidak faham apa yang sedang diperkatakan. Tetapi melihat reaksi yang terlakar di wajah suaminya itu dia dapat meneka apa yang sedang bermain di kepala Lukman.
“Takde idea ke nak bagi mama apa?” soalnya pelik melihat kelakuan suaminya itu. Ini sah tak pernah ambil tahu pasal mak sendiri! Getus hati Laila sendiri.
“Abang tak tahu nak bagi apa pada mama. Lagipun perlu ke? Takut nanti mama tak mahu terima pulak pemberian abang! Abang nikan anak tak guna?” ucap Lukman perlahan sahaja. Namun ada sedikit rasa kecil hati ternada dalam luahannya.
“Bagi ajalah. Terima ke tidak itu kemudian punya cerita. Apa salahnya mencuba?” balas Laila lembut sambil dia kembali meneruskan kerjanya yang tergendala. Jika Lukman tiada idea, dia ada! Dahulu ketika ke Alamanda dia ada melihat beberapa pasang jubah yang mungkin sesuai jika dihadiahkan kepada emak mertuanya itu.
“Nak bagi apa? Laila ada idea?” Lukman bertanya sambil merenung Laila yang sedang meneruskan kerjanya. Lincah sekali tangan isterinya itu melipat kain baju mereka berdua. Dalam dia akui Laila memang pandai menguruskan kerja rumah mereka walaupun dalam keadaan begitu. Sedikit sebanyak dia bangga melihat isterinya itu. Laila seorang isteri yang melengkapi kehidupannya. Menjaga segala keperluannya. 
“Dulu waktu abang ke Phnom Phenh, Laila ada tengok jubah di Alamanda. Cantik-cantik semuanya. Bagi mama jubah sesuailah agaknya,” jawab Laila tanpa menoleh.
Betul juga! Mendengar kata-kata Laila itu barulah Lukman beroleh idea. Emaknya bertudung jadi tidak ada masalah jika dihadiahkan jubah bak kata isterinya itu.
“Esoklah abang pergi tengok,” putus Lukman sebelum kembali menumpukan perhatian kepada kerjanya. Laila sekadar diam meneruskan kerjanya.
“Selagai ada mak, hargailah. Jangan sakitkan hati mak. Macam Laila ni dah takde mak, boleh tengok ajalah orang lain ada mak,” ucap Laila tiba-tiba.
Lukman memandang isterinya itu. Dia tahu peringatan itu jelas ditujukan kepada dirinya. Kasihan.. detik hatiya sendiri. “Mak abang pun mak Laila jugak,” jawab Lukman akhirnya.
“Yalah, kalau mak abang terima Laila..” ujar Laila perlahan membuatkan Lukman terdiam di situ. Dalam diam dia berjanji dia akan memujuk emaknya agar menerima Laila sebagai menantu.
Sejam kemudian..
“Abang, tolong Laila nanti boleh tak?” ucap Laila lembut sambil memandang suaminya yang masih sibuk dengan kerjanya.
Lukman sekadar menoleh sekilas. Dahinya digaru perlahan. “Tolong apa?”
“Angkat baju yang dah berlipat ni masuk almari abang nanti ya? Laila dah tak larat. Pinggang ni dah sakit sangat,” adunya perlahan sambil menekan-nekan pinggangnya.
Bicara Laila membuatkan perhatian Lukman terus memusat ke arah isterinya yang sedang duduk bersila di atas permaidani. Tumpah lagi simpatinya kepada wanita itu. Perlahan dia mendekati Laila. Tanpa disuruh Lukman duduk bersebelahan dengan isterinya.
“Kalau tak larat nanti baju kita semua abang hantar dobi ya? Perut Laila dah makin besar. Kasihan abang tengok Laila buat semua kerja rumah,” ucap Lukman lembut. Tangannya terus diarahkan ke pinggang wanita itu. “Pusing. Biar abang urut,” ucap Lukman lagi sambil menarik pinggul wanita itu agar Laila bergerak lebih dekat kepadanya.
“Semenjak kebelakangan ni Laila dah kerap sakit pinggang. Nak duduk lama-lama pun dah tak larat,” adu Laila tanpa segan silu.
“Laila duduk lantai lama sangat sebab tulah sakit pinggang.” Lukman menjawab lembut. Kadang-kadang apabila dia nampak Laila termengah-mengah membuat kerja rumah, dia kasihan. Apa yang termampu dilakukan untuk meringankan kesusahan isterinya dia sedia menghulur. Yalah.. isterinya jadi begini sebab siapa lagi kalau bukan dia?
Laila tidak menjawab sebaliknya mula mengeluh nikmat hasil urutan suaminya itu. Kesakitan yang dirasai menghilang sedikit setelah bahagian yang keras ditekan Lukman. Kalau boleh dia mahu berterusan begitu sehingga ke pagi nanti. Saat ini hatinya mula mengakui betapa bertuahnya dia kerana memiliki suami yang punya hati sebagai seorang manusia. Peduli dengan keadaannya. Sedangkan di luar sana dia sedar tidak semua wanita sebertuah dia.
“Sakit lagi?” bisik Lukman lembut.
“Urutlah lagi. Sedap abang urut,” puji Laila tanpa sedar.
Lukman di belakang tersenyum mendengar itu. Pujian itu semakin mendorong dia untuk terus memanjakan wanita kesayangannya itu. Yalah.. inilah masanya dia nak mengambil hati Laila. “Tapi lepas ni Laila urut abang pulak ya?” usik Lukman nakal.
Namun usikan itu dibalas dengan cubitan di pahanya oleh Laila. “Mengada-ada betul! Baru mintak urut sikit dah nak tuntut upah!” desis Laila bersama jelingannya. Namun usikan Lukman membuatkan dia tersenyum entah kenapa. Keadaan mereka berdua saat itu membenihkan rasa tenang di hatinya. Lenyap marah dan bencinya dengan perhatian lelaki itu.
Lukman sempat ketawa. Dalam diam dia dapat menafsirkan jelingan itu. Langsung tidak terkandung rasa marah dengan nada yang kedengaran sedikit manja. Mungkin kemarahan Laila tidak lagi setebal dulu. Mungkin juga hati wanita itu tidak lagi sedingin saat awal perkahwinan mereka. Atau mungkin sayang yang diharapkan selama ini sudah mula bersemi di hati wanita itu. Mungkin!
“Kalau abang tanya sikit, boleh tak?” ucap Lukman agak perlahan. Suasana gurau senda mereka tadi mula menghambat pergi.
“Apa dia?” balas Laila bersahaja. Apa yang sedang berlaku kepada Lukman di belakangnya tidak diendahkannya sebaliknya matanya terus terpejam membiarkan tangan Lukman bermain-main di belakang tubuhnya.
“Laila marah abang lagi?” bisik Lukman halus sambil merenung wanita itu dari belakang. Sengaja mahu menguji perasaan isterinya saat ini. 
Soalan itu membuatkan Laila menoleh sedikit ke mencari wajah suaminya itu. Dia tidak mengerti apa maknanya pertanyaan itu. Terpandangkan wajah lugu Lukman entah kenapa dia jatuh kasihan pula. “Laila memang selalu marah abang selama ni. Marah yang mana satu abang maksudkan ni?” ucap Laila dalam pada dia cuba berlagak tenang.
“Hmm.. ya tak ya jugakkan? Abang ni memang jenis muka asyik kena marah aja. Dah macam tempat lepas geram pun ada,” balas Lukman sengaja mahu memerli isterinya.
Laila ketawa pula tiba-tiba. “Main perli-perlilah pulak!” desis Laila selamba. Namun soalan lelaki itu bermain lagi di fikirannya. Dia faham apa yang Lukman maksudkan. Mungkin tentang pertengkaran besar mereka sebelum ini. “Kalau Laila marah lagi dah lama Laila bagi penyepak bila abang sentuh Laila,” balas Laila selamba. Sengaja dia membalas begitu. Dia pasti Lukman mesti faham apa maksudnya.
Lukman ketawa sekilas. “Ganas betul bini abang ni!” usiknya senang.
“Siapa cakap Laila ni baik?” tukas Laila pantas.
“Abang yang kata bini abang baik. Walaupun Laila bencikan abang tapi Laila masih sudi hidup dengan abang. Jaga makan minum abang. Basuh kain baju abang. Kalau perempuan lain, agaknya abang ni dah kenyang kena maki. Laila memang isteri yang baik pada abang,” ujar Lukman lembut mengalunkan keikhlasan hatinya. Nak ambil hati bini, ayat kena power!
Laila terdiam mendengar bicara Lukman itu. Pujian itu lantas membuatkan hatinya dibaluti rasa bersalah. Sayu hatinya kerana Lukman tetap menganggap dia seorang isteri yang baik biarpun layanannya kepada Lukman selama ini teramat buruk. Dia tidak menunaikan ketaatannya secara berterusan kepada Lukman. Entah kenapa saat itu hatinya disapa keinsafan.
“Sepatutnya Laila yang patut tanya abang marah ke tidak dengan Laila. Laila yang selalu marah-marah abang tanpa sebab. Laila tahu Laila banyak buat salah pada abang. Hakikatnya biar sejahat mana pun abang selama ini, syurga Laila tetap pada abang,” ucap Laila mula merendah nadanya.
“Abang tak marah Laila. Abang faham kenapa Laila selalu marah abang. Tekanan yang Laila tanggung selama Laila mengandungkan anak-anak abang, abang takkan dapat rasakan sampai abang mati. Abang cuma boleh bantu Laila sikit-sikit aja untuk ringankan kesakitan Laila. Jadi apa pun yang Laila buat abang tak pernah simpan dalam hati. Abang dah halalkan semuanya,” ucap Lukman lembut. Melihat kesakitan dan penderitaan isterinya saban hari, dia insaf. Dia tidak harus memikirkan perasaannya sahaja.
“Laila minta maaf sebab tengking abang hari tu. Laila tak sepatutnya bercakap dengan abang macam tu. Laila menyesal sangat,” ucap Laila perlahan.
“Takpe, sayang. Abang dah maafkan Laila. Abang faham, Laila tertekan waktu tu. Cuma lain kali abang minta Laila jangan jauhkan diri dari abang lagi. Abang bimbangkan keadaan Laila. Jangan kuncikan diri dalam bilik macam dulu. Abang cuma nak tahu Laila sihat ke tidak. Sehari abang tak nampak Laila.. abang susah hati,” luah Lukman lembut.
Laila mengangguk perlahan dengan permintaan suaminya itu. Takdir ini ingin diterimanya dengan hati yang lapang. Dia mengerti bukan semua yang berlaku kepada dirinya pahit semata. Laila sedar perkahwinan ini bukanlah satu kesilapan biarpun bermula hasil dari satu kesilapan. Tidak bermakna selama ini dia tidak bahagia langsung dengan kehidupannya selama dia bersuamikan lelaki ini. Mengapa harus dia menidakkan apa yang sedang bermain di hati jika benar inilah yang dimahukan oleh semua wanita dalam dunia ini?
“Laila pergilah masuk tidur. Rehat! Baju-baju ni nanti biar abang uruskan,” ucap Lukman lembut.
“Abang tak mahu tidur lagi ke? Dah lewat ni.” Laila sempat mengerling jam di dinding. Sudah jam 11 malam. Semenjak lepas makan tadi dia lihat suaminya itu sibuk dengan kerja pejabatnya.
Pertanyaan itu membuatkan Lukman tersengih di belakang Laila. “Err.. kalau tidur sekali dengan Laila, tak boleh ke? Nanti tak payahlah Laila penat nak kemas dua katil lagi. Jimat tenaga..” usik Lukman sengaja mahu menduga pendirian isterinya itu. Masih mahukah berjauhan darinya? Masih adakah batas di antara mereka? Atau mereka sudah boleh memulakan perjalanan hidup sebagai suami isteri yang saling berkongsi rasa dan kehidupan bersama?
Laila menoleh kepada suaminya itu. Kerlingan dan senyuman yang diberikan terkandung makna untuk ditafsirkan sendiri oleh Lukman. Biarlah Lukman faham-faham sendiri apa isi hatinya saat ini.
Lukman yang sempat menangkap reaksi itu segera mengucap syukur dalam hati. Perlahan dia membimbing wanita itu yang agak kepayahan untuk bangun dari duduknya. “Anak-anak papa ni berat sangat agaknya sampai mama tak larat nak angkat buntut!” komen Lukman melihat isterinya itu. Perut Laila sempat disentuhnya.
Sambil berjalan mereka saling berpimpinan. Laila menyambut mesra huluran Lukman sehingga lelaki itu mula merasakan tiada apa lagi yang merentangi mereka saat ini. Setelah beberapa hari hubungan mereka diselubungi kemendungan, hari ini hati Lukman mula beroleh kedamaian. Keikhlasan Lukman membuatkan hati Laila berubah lembut selembut-lembutnya.
“Laila nak tidur dalam bilik abang tak malam ni? Kalau Laila sejuk abang boleh tolong peluk? Kalau Laila sakit kaki abang boleh sapukan minyak,” ucap Lukman saat mereka berada di hadapan pintu biliknya. Tersengih-sengih dia menayangkan gigi kepada Laila. Kalau Laila menolak takdelah dia malu habis!
“Kat dalam tu pun ada katilkan?” balas Laila dalam senyum malunya. Dalam hati dia seperti mahu melonjak suka dengan pelawaan itu. Ya! Jika dia kesejukan bolehlah Lukman memeluknya. Kalau dia sakit adalah yang akan mengurutnya. Tidaklah dia sendiri memendam siksa.
“Ada. Walaupun tak sebesar katil Laila tapi untuk kita berempat masih muat lagi,” Lukman menjawab sambil terus menyeringai. Kerelaan Laila membuatkan dia seperti tidak mampu menghentikan sengihannya. Gembira!
Melihat Laila mula melangkah masuk ke dalam biliknya Lukman di belakang seperti mahu melompat gembira. Yes! Aku berjaya akhirnya pujuk dia..

Nak buat apa bawak Mira datang sini?” soal Amirah hairan melihat Lukman mengheretnya jauh sehingga ke Butik Muslimah di Alamanda pada waktu berkerja begini. Kalau ayah mereka tahu mereka menghabiskan waktu berkerja di pusat membeli belah seperti ini alamat tamatlah riwayat mereka berdua.
“Mira tolong abang pilih baju, boleh?” ucap Lukman. Lehernya sudah panjang menilik ke serata pelusuk kedai. Banyak pakaian wanita yang dilihatnya.
“Baju untuk siapa?”
“Mama..”
“Oh! Nak pujuk mamalah nanti ni?” ucap Amirah sambil tersenyum memandang abangnya itu. Sekilas itu dia mengerti mungkin ini adalah salah satu usaha Lukman untuk mengambil hati emak mereka yang masih tercalar.
“Agak-agak kalau abang belikan mama jubah mama terima tak pemberian abang?” ucap Lukman sengaja mahu meminta pendapat adiknya itu.
“Entahlah. Alah! Abang beli ajalah. Mama terima ke tidak itu lain cerita. Yang penting niat abang tu ikhlas nak berbaik dengan mama.”
Lukman mengangguk seketika sebelum kembali memandang deretan jubah yang ditayangkan di situ. “Mira tolong abang pilihlah. Abang ni bukannya tahu sangat yang mana sesuai untuk mama,” pinta Lukman. Baru memandang sekilas dia sudah rambang mata. Semuanya nampak cantik di matanya.
“Mama memang tengah mabuk dengan jubah sekarang. Rasanya kalau abang hadiahkan jubah memang kenalah dengan minat mama,” ucap Amirah sambil membelek satu persatu jubah di hadapannya itu.
Lukman tidak menjawab kerana matanya sudah dipukau oleh sehelai jubah berwarna ungu lembut bersulam manik di dada yang dipamerkan oleh model patung tidak jauh darinya. Cantik! Desis hatinya kagum.
Tanpa kata Lukman meninggalkan Amirah untuk mendapatkan model patung itu. Saat memandang jubah itu dari dekat hatinya semakin tidak dapat menolak rasa terujanya untuk melihat jubah secantik ini disarungkan ke tubuh wanita kesayangannya.
“Hmm.. yang ni memang special. Nak belikan mama yang ini ke? Warna macam ni lebih sesuai untuk orang muda rasanya” tegur Amirah dari tepi. Apa yang sedang dipandang Lukman ikut ditelitinya penuh minat.
Lukman menoleh sekilas kepada adiknya. “Err.. untuk Laila sesuai kut?” ucap Lukman sambil tersengih.
Tumpuan Amirah kepada jubah ini terus terhala kepada Lukman serta merta. “Ini nak belikan untuk mama ke untuk Laila sebenarnya? Jubah untuk mama belum cari lagi untuk Laila dah ada dah! Amboi..” tukas Amirah sengaja mahu mengenakan abangnya itu.
“Tak, abang tak sengaja ternampak yang ni. Memang niat abang nak belikan untuk mama. Tapi alang-alang dah jumpa yang cantik apa salahnya abang belikan untuk Laila sekalikan? Abang pun kena belikan dia baju sebab dia isteri abang. Nanti dia pakai baju yang sama je, abang jugak yang malu,” ucap Lukman sedikit tersipu. Bimbang benar dia jika Amirah tersalah sangka.
“Yalah tu! Ambil hati mama tu 10 peratus aja yang lebihnya tu ambil hati Lailakan? Macamlah Mira tak boleh baca! Sudahlah!” getus Amirah siap dengan cebikan dan jelingan buat Lukman.
Lukman tergelak kuat mendengar omelan adiknya itu. Namun dalam hatinya dia seperti mahu mengiyakan telahan adiknya itu. Dia tahu dengan sedikit lagi usaha lagi Laila pasti dapat dimiliki sepenuhnya. Bukan sekadar zahir dan batin tetapi juga jiwa dan hatinya. Itulah matlamatnya semenjak awal lagi. Dia rela bersabar asalkan mahligai seribu mimpi yang diimpikannya menjadi nyata. Di mahligai cinta itu mereka berdua akan mengukir seribu impian bersama.
“Hah! Termenung tu ingat mak buyung dialah tu! Semenjak dua menjak ni abang dah jiwang semacam pulak ya? Seronok ke hidup semenjak jadi suami ni?” usik Amirah saat melihat senyuman yang melata di bibir abangnya. Dapat ditafsirkan yang senyuman itu adalah senyum bahagia sebagai seorang suami.
“Mestilah seronok! Hari-hari ada orang masakkan nasi.. malam ada orang peluk. Best! Siapa tak kahwin dia rugilah!” jawab Lukman selamba. Bukan sekadar mahu membalas usikan Amirah sebaliknya itulah yang sejujurnya dirasainya selama ini.
“Takpelah. Hari tu dia belikan baju abang kali ni abang belikan untuk dia pulak. Saja nak ambil hatilah tu!” Amirah membalas sambil tersenyum. Dalam hati dia amat bersyukur melihat kebahagiaan Lukman kebelakangan ini. Laila memang wanita yang tepat untuk digandingkan dengan Lukman. Kerana dia sudah mula melihat perubahan Lukman selepas kehadiran perkahwinan ini.
“Hmm.. baju yang dia beli hari tu siapa yang buat pilihan? Mira ke Laila?”
Nope! Dia yang pilih. Mira cuma tolong menyibuk aja waktu tu,” ucap Amirah lantas beralih ke tengah kedai. Jubah untuk emak mereka harus segera dicari kerana selepas ini mereka harus kembali ke pejabat.
Lukman mengangguk puas hati dengan pengakuan adiknya itu.
Setelah hampir sejam menghabiskan masa di situ Lukman berjaya mendapatkan apa yang dimahukannya. Saat itu betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kobaran semangatnya untuk melihat wanita-wanita yang disayanginya gembira dengan pemberiannya.

Kenapa lambat sangat abang datang? Penat Laila tunggu abang!” Laila sempat mengomel saat kereta Lukman dimasukinya petang itu.
Bibirnya sedikit memuncung tanda bengang walaupun dia sudah diberitahu yang lelaki itu keluar dari pejabat agak lambat. Campur tolak masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas untuk tiba di KLIA sudah lebih sejam dia tercongok menanti Lukman di kerusi menunggu di ruang legar balai ketibaan.
Sorry sayang, abang ada hal kat pejabat tadi,” ucap Lukman lembut. Bimbang benar dia Laila akan mengamuk lagi kerana kelewatannya itu.
“Laila dah lapar sangat ni. Jomlah kita pergi makan dulu.” Tanpa sedar nada itu berubah sedikit rendah. Kedengaran begitu naif tanda dia memerlukan perhatian dari seseorang yang diharapkannya. Seseorang yang selama ini telah menjadi tempat untuk dia bergantung.
“Okay, kita pergi makan sekarang. Baby papa jangan mengamuk dulu, okay?”
Kereta berwarna kelabu itu terus digerakkan meninggalkan kawasan itu. Tidak perlu untuk pergi terlalu jauh Lukman membawa Laila mengisi perut di Bandar Baru Salak Tinggi. Kemudian mereka berhenti bersolat maghrib seketika di surau berdekatan.
“Dah kenyang?” soal Lukman saat menghidupkan enjin keretanya.
“Dah!” jawab Laila bersama dengan senyuman ceria tanda senang hati.
“Nak bungkus apa-apa lagi sebelum balik?” dalam pada dia bertanya matanya sempat mengerling bungkusan makanan di tangan Laila.
“Abang ni menyindir ke? Ini kan dah ada?” tukas Laila geram dengan usikan berbaur sindiran itu. Di tangannya ini masih ada sepuluh biji kaya ball dan dua cawan jagung rebus yang dibelinya di sebuah gerai tidak jauh dari surau yang mereka singgah sebentar tadi.
“So dah boleh balik sekarang?” sambut Lukman sambil ketawa seketika. Laila pantas mengangguk. Rasanya tiada apa lagi yang diperlukannya saat ini melainkan merehatkan dirinya di rumah segera.
Namun ketika di dalam perjalanan ini suasana kelam ruangan dalam kereta itu membuatkan Laila asyik berfikir sendiri saat memandang permandangan di luar melalui cermin tingkap di sisinya. Perkara itu sering merajai fikirannya semenjak kebelakangan ini. Sehingga kini masih tidak ketemu jawapannya. Sikap lunak mesra Lukman kepadanya kebelakangan ini sering membuatkan dia tertanya sendiri. Apakah makna semua ini sebenarnya? Apakah ada sesuatu antara mereka selama ini yang sengaja disembunyikan Lukman?
Laila tidak mengerti. Kebaikan Lukman berlandaskan apa sebenarnya? Sayang? Atau sekadar rasa tanggung jawab yang hadir akibat peristiwa lalu?
“Kalau Laila tanya sikit abang jangan marah ya?” ucap Laila setelah mengalihkan pandangannya kepada Lukman yang serius mengendalikan kereta.
Lukman sekadar mengangguk sekilas.
“Kenapa abang baik sangat dengan Laila selama ini?” Laila akhirnya cuba memberanikan diri bertanya.
Dia mahukan sebuah kepastian! Dia penat bermain dengan telahan sendiri. Tampang si lelaki di sisi ditatap lama oleh Laila untuk mencari jawapan yang pasti kepada persoalan yang sudah lama terukir di hatinya ini. Namun sukar untuk ditebak apa yang sedang berada di wajah sang lelaki saat itu.
“Salah ke kalau abang buat baik dengan Laila?” Lukman menjawab dengan nada aneh. Dia menoleh kepada Laila sekilas sebelum terus memandang keadaan jalan di hadapan.
“Laila tak kata salah tapi kenapa?”
“Kena ada sebab untuk buat baik?” berlagu-lagu nada lelaki itu menandakan dia tidak serius.
“Mestilah!” degus Laila mula tidak senang dengan reaksi tidak bersungguh Lukman. Sengaja mahu bertarik tali enggan berterus terang kepadanya.
“Nak buat baik pada isteri sendiri kena ada sebab. Oh! Siapa punya ajaran macam ni? Tak pernah dengar pun?” ucap Lukman semakin aneh nadanya. Ada rasa tidak senang dan dingin dalam nadanya itu.
Laila terdiam cuba mengumpul kata-kata yang terbaik untuk membuatkan Lukman mengerti apa yang dimaksudkannya. Tetapi untuk bertanya lebih-lebih dia tidak sanggup. Rasa malunya masih menebal.
“Kalau abang biarkan isteri abang tanpa nafkah dan perhatian itu baik ke, Laila? Alasan tu tak masih tak boleh dijadikan sebab untuk abang layan Laila dengan baik? Apa Laila akan rasa kalau abang biarkan aja Laila dalam keadaan Laila macam ni?” kali ini Lukman bertanya lembut kepada isterinya itu.
“Abang kata Laila ni isteri? Iya ke? Kita ni bukannya suami isteri tapi lebih kepada kawan serumah. Tidur bilik asing-asing. Bila-bila suka, kita bersama macam suami isteri yang lain, kemudian bila dah jemu kita balik bilik masing-masing buat hal sendiri,”  balas Laila sambil tergelak perlahan cuba meredakan debar di hatinya.
Lukman merenung seketika tampang di sebelahnya itu bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. “Rakan serumah mereka tak lakukan hubungan suami isteri, Laila. Suami isteri aja yang buat macam tu. Lagipun lelaki dan perempuan yang bukan muhrim mana boleh duduk serumah. Zina nanti!” Lukman menjawab selamba.
Spontan itu Laila terus mencubit paha Lukman. Semakin geram dia dengan jawapan main-main suaminya. Lelaki itu sekadar ketawa tanpa menyedari hati Laila kian terhiris melihat gelagatnya. Laila terkilan, dalam pada dia menagihkan kepastian begini Lukman sekadar main-main.
“Abang buat macam ni sebab nak menebus kesalahan abang sebelum nikan? Atau sebab anak dalam perut Laila ni. Tak pernah lebih dari itu. Betulkan?” ucap Laila dalam berkias. Itulah alasan yang paling logik selain dia merasakan Lukman memang berniat untuk memikatnya. Kalau Lukman berkata ya pada telahannya tadi maka dia akan mengingatkan dirinya sentiasa agar membataskan perasaannya kepada lelaki itu. Jika Lukman meluahkan perasaannya yang sebenar insya-Allah dia akan mempertimbangkan demi kebaikan mereka berempat.
“Mungkin..” Lukman menjawab pendek. Antara benar dan tidak sahaja jawapannya. Namun akalnya masih berkira-kira apa yang perlu dikatakan bagi memuaskan hati Laila.
Jawapan Lukman membuatkan Laila segera meletakkan kepalanya ke penyadar. Saat itu dia terus membuang pandangan ke luar. Entah kenapa saat mendengar sepatah jawapan Lukman tadi, dia mula dilanda kecewa. Jadi itulah alasannya Lukman melayan dengan baik. Bermakna apa yang ditelahkannya selama ini adalah benar. Lukman cuma merasa berdosa kepadanya. Tidak pernah lebih dari itu. Hanya dia sahaja yang lekas benar terbuai dengan baik budi lelaki itu. Hanya dia sahaja yang merasakan mereka perlu membina hubungan yang lebih kukuh. Hanya dia yang ada impian itu!
“Laila..” panggil Lukman setelah mereka sampai ke rumah. Dia hairan melihat Laila sudah berubah menjadi pendiam tiba-tiba.
“Ya,” jawab Laila.
“Abang ada belikan sesuatu untuk Laila. Nanti lepas kita solat abang bagi ya?” ucap Lukman sambil tersenyum.
Laila sekadar mengangguk. “Laila nak masuk bilik dulu. Nak mandi,” ucap Laila sedikit menunduk.
“Kita solat sekali?”
“Nanti Laila datang bilik abang. Laila mandi dulu,” jawab Laila akur. Terus dia meninggalkan Lukman untuk ke biliknya.
Lukman sempat memandang langkah wanita itu. Ironinya ketika berada di ambang pintu Laila sempat menoleh kepadanya dan tersenyum. Hati Lukman kembang bahagia. Selangkah dua lagi dia pasti akan dapat menakluki sekeping hati itu. Dia yakin!
Seusai solat isyak bersama Lukman mengambil beg plastik sederhana besar yang dibawanya pulang sebentar tadi. Jubah yang memikat matanya siang tadi, kini sudah berada di tangannya untuk diserahkan kepada pemilik sebenarnya.
“Ini untuk Laila,” ucap Lukman.
“Apa ni?” tertanya seketika Laila saat menyambut pemberian itu. Namun daripada nama yang terpapar di luar plastik itu dia sudah dapat mengagak apa isi kandungan beg itu. Setelah menjenguk ke dalam beg itu bibir Laila terus mekar dengan senyuman. Dengan sedikit rakus dia mengaut isi kandungan beg itu untuk melihat dengan lebih jelas lagi. Tanpa dapat disekat bibir Laila terus menguntum senyum.
“Suka?” soal Lukman. Keterujaan Laila saat itu membuatkan dia sudah merasa bahagia biar pun ucapan terima kasih belum diterimanya.
“Cantik. Cantik sangat! Pandai abang pilih,” jawab Laila seronok. Melihat pemberian yang sebegitu cantik, kekecewaan yang menyinggah di hatinya sebentar tadi mula beredar pergi.
“Habis tu kalau suka cakap apa?” giat Lukman dengan senyum yang terkulum.
“Terima kasih, bang..”
Wrong answer! Cuba sekali lagi. Cakap apa?” usik Lukman sambil tersenyum. Perlahan dia mencapai jemari wanita itu. Dikucupnya lembut tanda kasih.
“Cakap apa lagi selain terima kasih? Manalah Laila tahu nak cakap apa selain tu?” balas Laila dengan mata terbuntang memang Lukman.
“Patutnya Laila cakaplah dengan abang, jom tidur?” selamba sahaja ayat itu dilontarkan Lukman.
Namun ada kerutan sudah mula terukir di kening Laila mendengar kata-kata Lukman. Jam belum pun menunju ke angka sembilan sudah mahu tidur? “Jom tidur? Itu ke yang Laila kena cakap?” soal Laila benar-benar tidak faham dengan ulah suaminya itu.
Lukman mengangguk. Begitu bersungguh dia mengangguk. Namun sekilas itu kenakalannya sudah mampu dilihat Laila. Sepantas itu juga maksud Lukman sudah dapat ditekanya.
“Gatal betul!” desisnya kuat. Laju aja tangannya memiat paha Lukman.
“Habis tu nak buat apa lagi malam-malam macam ni? Itu ajalah!”
‘Ketaatan Laila pada dia akan menyenangkan arwah mak kat sana. Selagi isteri tidak dihampakan suami, takde sebab untuk isteri menolak suamiya.’ ucapan si ayah terngiang lagi di telinga Laila saat itu. Perlahan Laila menghela nafasnya. Sukar untuk dia menahan hatinya saat ini.
‘Ayah, Laila terima hakikat ini. Laila cuma nak jadi isteri yang baik selagi Laila diberikan kesempatan menjadi seorang isteri..’ ucap hati Laila akur. Dia rela melakukan apa sahaja demi taatnya kepada seorang suami. Bukan sekadar ini malah lebih lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan