Jumaat, 30 Ogos 2013

31-32 MSM

31

Seperti yang dijanjikan Sabtu itu mereka berdua berkunjung ke rumah keluarga Lukman di Bukit Damansara. Baik Laila mahupun Lukman, masing-masing masih tidak tahu apakah penerimaan keluarga setelah sekian lama mereka menyepikan diri daripada keluarga mereka.
Rasanya saat itu Laila yang gentar mahu berhadapan dengan semua itu. Tatkala Lukman mematikan enjin keretanya dia merasakan kedua-dua telapak tangannya bagaikan sudah beku oleh peluh dingin. Jika sebentar tadi saat Lukman menggerakkan kereta meninggalkan kediaman mereka masih ada tersisa ketenangannya namun kini kesemuanya sudah bertempiaran lari meninggalkannya.
“Jomlah..” ajak Lukman tanpa menyedari apa yang sedang berlaku kepada Laila.
“Abang, Laila takutlah! Jomlah kita balik!” luah Laila sudah tidak tertahan lagi. Bola mata yang dihalakan ke arah pagar besi yang dicat warna emas itu, sudah cukup menggambarkan betapa cemasnya dia saat itu. Rupanya dah macam orang yang ternampak hantu pula. Punya takutnya nak jumpa mak mertua!
“Ish! Ada pulak nak balik?” Lukman sempat tergelak melihat gelagat cemas isterinya itu. Tadi bukan main relax. Siap boleh make-up cantik-cantik lagi. Yalah, nak ambil hati mak mertualah kononnya. Takkan nak serabai aja, ya tak?
“Gelak pulak dia ni! Orang tengah takut, dia boleh lagi tersengih macam kerang. Laila tengah seram habis ni!” Laila mendegus geram.
“Jangan risau. Abang ada, sayang. Semua akan okay nanti. Percayalah!” pujuk Lukman sambil meraih jemari Laila. “Bini abang dah make up cantik-cantik ni takkanlah mak abang tak berkenan lagi?” usik Lukman lantas tersenyum. Sejuk dirasakannya tatkala jemari wanita itu diramasnya.
Ironinya kali itu Laila tidak menolak sentuhan Lukman. Malah sentuhan itu dirasakan seperti penguat semangatnya pula. Bukti yang mereka berdua sebenarnya saling memerlukan.
“Laila tenang, ya? Insya-Allah semuanya akan baik,” pujuk Lukman tanpa melepaskan jemari itu.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah itu, mereka berdua terus menjadi habuan pandangan keseluruhan ahli keluarga. Termasuklah orang gaji rumah itu! Laila mula merasa canggung. Terasa dirinya seperti baru disumpah menjadi ikan buntal yang teramat hodoh rupanya. Perasaannya kembali tidak keruan apabila tidak ada seorang pun menyapa mereka. Seolah-olah kehadiran mereka saat itu tidak dialukan. Kalaulah boleh.. pertama yang dia ingin lakukan sangat-sangat saat ini ialah.. dia mahu melarikan diri secepat yang mungkin dan selaju yang mungkin! Kenyataan yang dia sedang ‘memboyot’ saat itu akan diletakkan di tempat yang terakhir asalkan dia mampu lepas dari semua ini.
Akhirnya tanpa sedar Laila memaut lengan Lukman di sisinya sehingga Lukman menoleh kepadanya. Lelaki itu tersenyum sambil menepuk lembut lengannya cuba untuk menenangkan sekeping hatinya yang sedang diamuk resah itu.
“Ayah..” seru Lukman lembut.
“Hmm.. baru sekarang nak balik sini, kenapa?” soal Tan Sri Fatah tanpa mengalihkan pandangan tajamnya dari wajah anak lelakinya itu. Sinis bunyi nadanya sehingga Lukman terus mati kata tidak tahu mahu menjawab apa.
“Tahu pula kamu jalan balik ke rumah ni ya? Akhirnya..” sindir lelaki itu lagi.
“Luk.. Luk minta maaf, ayah. Bukan Luk sengaja tak mahu balik tapi Luk malu pada ayah dan mama,” ujar Lukman lembut mengalah. Dia menarik Laila agar mendekati ayahnya itu. Lukman pantas menghulurkan tangan kepada ayahnya itu mendahului si isteri.
“Hmm.. maaf untuk apa? Maaf untuk kesombongan kau selama ini? Ayah ingat kau dah tak hairankan kami di sini lagi?” sindir Tan Sri Fatah masih tidak puas. Namun dia tetap membiarkan anak lelakinya itu mencium tangannya. Lukman terkumpal-kumpal dalam telinganya berdesing menelan sindiran demi sindiran daripada ayahnya itu.
“Ayah, sudahlah tu. Kan Luk dah balik tu? Kesian dia, ayah. Kita kena bagi dia peluang untuk perbetulkan kesalahan dia. Dia perlukan sokongan kita semua.” Nizam yang memandang segera memujuk ayahnya. Bimbang benar jika Lukman berkecil hati adiknya itu serik mahu menjejakkan kaki ke rumah ini lagi. Sudah jenuh dia dan Syahreena memujuk Lukman.
Setelah Lukman menjauhi ayahnya, Laila pula yang mendekati orang tua itu. Dia malu saat melihat mata lelaki itu turun ke arah perutnya. Namun dia tetap menghulurkan tangannya kepada lelaki itu. “Ayah, apa khabar?” soal Laila sambil tunduk mencium tangan bapa mertuanya itu. Walaupun sedar masih ada sedikit kerapuhan hubungannya dengan Lukman, namun ada sedikit harapan di hatinya agar dirinya tidak dipulaukan. Sekurang-kurangnya untuk hari ini.
“Ayah sihat. Laila macamana? Baby macamana?” tidak seperti tadi, kali ini suara Tan Sri Fatah berubah mesra kepada menantu perempuannya itu.
“Alhamdulillah.. Laila sihat, ayah. Baby pun sihat,” jawab Laila bersama seribu kelegaan mula menghuni hatinya. Nada mesra Tan Sri Fatah memberitahunya yang dia tidak pernah dibenci oleh lelaki ini.
“Mama mana ayah?” soal Lukman lembut.
“Kejap lagi mama turun. Duduklah dulu. Masih awal lagi ni. Kita sarapan bersama sekejap lagi.” Seperti air batu mudah sekali hati tua Tan Sri Fatah terpujuk kepada si anak. Marahnya tidak semana setelah melihat keadaan Laila yang sudah memboyot. Sedikit masa lagi dia akan menjadi datuk. Kenyataan itu sudah cukup untuk membasuh segala amarahnya kepada Lukman.
Lukman mengangguk dalam sedikit kelegaan. Sekurang-kurangnya ayahnya tidak menyindirnya terus-terusan. Dia menarik Laila agar duduk berhampiran dengannya. Nizam pula berlalu untuk memanggil emaknya yang masih tidak sedar akan kedatangan Lukman dan Laila.
“Kamu berdua tinggal di mana sekarang?” soal Tan Sri Fatah kepada anaknya itu. Walaupun setiap hari bertemu di pejabat mereka jarang bercakap jika tiada hal penting. Malahan selalu juga mereka tidak bercakap dalam masa sehari. Sengaja dia mahu melihat sejauh mana kedegilan Lukman untuk mengakui kesalahannya. Alhamdulillah.. kali ini dia lihat raut wajah Lukman agak tenang. Sikapnya kelihatan lebih matang daripada dahulu.
“Kami menyewa di kondo Laila yang lama tu, di Pantai Baharu.”
Tan Sri Fatah mengangguk perlahan. Jika rumah itu yang dikatakan Lukman bermakna dia tahu mana harus dituju untuk mencari mereka berdua. “So takde perancangan nak beli rumah sendiri? Kau dah ada keluarga sekarang, Lukman. Takkan nak terus menyewa di kondo?”
Lukman menoleh kepada Laila sekilas sebelum menjawab. Soalan ayahnya menyentak perasaannya. Hakikatnya dia masih tidak tahu apakah ‘keluarga’ yang dikatakan oleh ayahnya itu akan terbina atau tidak. Semuanya masih samar-samar walaupun dia cukup mengimpikan mahligai seribu mimpinya akan berkekalan sehingga ke akhir hayatnya.
“Belum ada perancangan lagi, ayah. Tengoklah nanti lepas Laila bersalin nanti Luk akan fikirkan pasal tu,” balas Lukman agak gugup. Malah kedengaran agak formal kerana Lukman tidak pernah bersedia untuk ditanyakan tentang itu.
“Hmm.. sebut pasal bersalin ni, Laila nak bersalin di sini atau di kampung? Dah ada buat persediaan?” soal Tan Sri Fatah lagi. Berminat benar dia apabila topik perbualan mereka sudah menjurus kepada cucu sulungnya itu.
“Laila bersalin di sini aja, ayah.”
“Di sini tu di mana? Di rumah ni?” terpa satu suara agak garang dari arah tengah rumah itu.
Laila dan Lukman pantas menoleh. Puan Sri Mahani mendekati mereka diikuti oleh Nizam dan Amirah. Puan Sri Mahani duduk di sebelah suaminya dengan riak keangkuhan yang cukup terserlah di wajahnya. Langsung tiada kemesraan saat menyambut salam Laila mahupun Lukman. Namun mata Puan Sri Mahani terpanah lama kepada Laila di sebelah Lukman. Kelu lidah Laila dibuatnya apabila dipandang setajam itu oleh emak mertuanya.
“Mama, apa khabar?” Lukman cuba memulakan perbualan dengan emaknya itu.
“Mama masih hidup lagi!”
“Mama, ini Luk belikan untuk mama.” Lukman menyerahkan jubah yang dibelinya bersama Amirah tempohari. Berdebar dadanya bimbang emaknya menghumban semula pemberiannya itu di hadapan isterinya. Namun lega benar hatinya apabila emaknya itu mengambil juga beg itu akhirnya.
“Hmm.. pandai kau kan? Nak ambil hati mama beli aja hadiah untuk mama. Siapa beritahu kau mama suka jubah? Amirah?” ucap Puan Sri Mahani agak kesat saat menilik jubah berwarna putih berbunga-bunga kosong yang dibeli Lukman. Walaupun marah namun dia tetap terpikat dengan kecantikan jubah itu.
Lukman tunduk seketika. Dia tahu emaknya masih tidak memaafkan segala kesalahannya. Lantas kata-kata itu sengaja tidak dijawabnya. Rasanya ada perkara yang lebih penting dari itu untuk diperkatakannya. Lukman menelan liurnya seketika saat memandang emaknya yang masih ralik dengan jubah itu.
“Mama, balik ni sebab Luk nak minta maaf pada mama. Luk tahu mama kecewa dengan apa yang Luk dah buat. Luk janji akan berubah, ma. Luk harap mama terimalah Laila sebagai menantu mama. Dia tak salah pada sesiapa pun dalam rumah ni.”
“Kau balik ni sebab nak minta maaf atau kau nak minta kebenaran kami supaya Laila boleh berpantang di rumah ni? Kau ingat rumah ni rumah tumpangan?” soal Puan Sri Mahani tajam. Laila sempat dijelingnya sekilas.
“Bukan itu niat Luk. Soal itu Luk boleh selesaikan. Luk boleh jaga Laila dan anak kami. Luk balik sebab Luk nak minta maaf pada mama dan Luk bawa Laila jumpa mama dengan ayah sebab Luk mahu dia diterima dalam keluarga kita.” Lukman menjawab sedikit mendayu. Tidak mudah rupanya untuk dia mengambil hati emaknya setelah dia melukainya. Dia tidak kisah dimarahi kerana dia tahu dia yang bersalah. Tetapi Laila? Kasihan isterinya..
Puan Sri Mahani tergelak sinis. Kata-kata Lukman kedengaran mudah tetapi dia seorang emak dia tahu setiap kepayahan yang akan dilalui Lukman dan Laila. “Kau pandai jaga budak ke? Kau ingat senang jaga anak? Laila pun bukannya pernah ada anak. Korang tahu jaga bayi?” meledak lagi suara wanita itu sengaja mahu mengejek dua manusia itu. Kata-kata Lukman sebentar tadi benar-benar mencabar naluri keibuannya. Dia merasa terhina apabila Lukman berkata seolah-olah sudah tidak memerlukan dirinya lagi.
Laila dan Lukman terdiam. Lain niat mereka lain pula yang timbul saat ini. Perasaan Lukman hampir tewas melihat kedinginan emaknya itu. Menyedari diri masih tidak mempunyai tempat di rumah ini mahu sahaja dia menarik tangan Laila agar pergi. Tetapi dibiarkan sahaja bisikan hasutan di telinganya itu. Dia harus bersabar.
“Memang mudah minta maaf. Buat aja salah, minta maaf! Kau ingat mama ni takde perasaan ke?”
Lukman sekadar tunduk menelan leteran emaknya itu.
“Bukan semudah itu untuk mama letakkan semula kepercayaan mama pada Luk. Selama ni mama percaya Luk anak yang baik, lelaki yang baik tapi sebaliknya.. mama tak sangka Luk sanggup memalukan mama sampai macam ni sekali. Hati mama benar-benar hancur, Luk! Apa yang paling mama takut itulah yang terjadi pada mama.”
“Ma, Luk tahu semua ni salah Luk tapi bagilah Luk peluang untuk memperbetulkan keadaan. Luk dah nikah dengan Laila, ma. Luk dah bertanggungjawab pada Laila dan anak ni. Tolonglah jangan marah Luk lagi. Luk cuma nak mama dengan ayah terima Luk dan Laila semula. Itu aja, ma.” Lukman menjawab dalam nada rendah. Mengangkat muka kepada emaknya itu aja, dia sudah tidak berani.
“Perbetulkan macamana? Anak dalam perut tu bukannya boleh dihilangkan dengan begitu sahaja. Anak itu akan jadi salah satu tanda kesilapan Luk selama ni. Boleh jadi suatu hari nanti dia akan tahu apa yang dah berlaku selama ni. Kau sanggup hadapi itu semua?” Puan Sri Mahani membalas lantang.
“Anak ni anak Luk. Dia bukan kesilapan tapi satu anugerah! Luk yang silap selama ni kerana menganiaya ibunya. Tapi Luk dah bertaubat, ma. Sumpah Luk dah tak pernah buat macam tu lagi. Luk akan jaga Laila dan anak kami baik-baik,” ucap Lukman tetap merendahkan nadanya. Kata-kata emaknya itu amat memedihkan hatinya namun dia sedar apa yang dikatakan emaknya ada sebahagiannya benar. Dia tidak mampu menolaknya apatah lagi melawannya.
Laila tiba-tiba menoleh memandang suaminya yang masih berbalas kata dengan emak mertuanya itu. Ada sebahagian kata-kata Lukman mengusik hati kecilnya. Tetapi dia sendiri tidak tahu apakah Lukman benar-benar memaksudkan kata-kata itu atau sekadar mencipta kemanisan agar tidak terus dimarahi emaknya. Tetapi janji-janji itulah yang teramat diharapkannya. Siapa yang mahu ditinggalkan sia-sia setelah hati menyayangi?
“Laila, semenjak Laila kahwin dengan Lukman sombong betul jadinya ya? Sekalipun tak pernah jejak rumah ni jumpa kami. Apa Laila ingat kami yang tua ni yang kena pergi cari korang berdua? Korang berdua boleh hidup aman tanpa mak ayah? Mama tahu Laila memang dah takde mak tapi Lukman masih ada emak untuk dihormati!” kali ini serangan Puan Sri Mahani tertuju kepada Laila pula.
Laila terpempan apabila dia pula yang menjadi mangsa kemarahan ibu mertuanya itu. Akibat tidak bersedia dia akhirnya terkumpal-kumpal tanpa jawapan. Berdesing telinganya dengan kepedasan dan ketegasan nada mama. Pandangan adik beradik Lukman bagaikan tidak mampu ditadahnya. Malu!
“Bukan salah Laila, Luk yang tak pernah ajak dia ke sini. Mama jangan marah dia. Please, ma. Luk yang salah selama ni. Luk minta maaf,” keluh Lukman separuh merayu.
“Kau dengan Laila sama saja. Memang patutlah korang berdua ni berkahwin.”
Sekali lagi telinga Laila berdesing mendengar kata-kata emak mertuanya itu. Namun dia hanya diam sahaja. Takkanlah dia menyinsing lengan bergaduh dengan emak mertua pada hari pertama bertemu, ya tak? Tak pernah dibuat orang. Jadi sabar ajalah..
“Mama ni sudah tu! Bila abang Luk dan Laila tak balik ke sini mama bising. Sekarang dia orang dah balik pun mama marah lagi. Kalau Mira dilayan dek mak mentua macam ni, alamat sekali ni ajalah Mira jejak kaki kat rumah mertua,” celah Amirah cuba meredakan ketegangan saat itu. Dia sudah mengesan riak tidak gembira Laila. Kasihan dia melihat wanita itu.
“Huh! Dah kahwin berbulan-bulan baru nak balik, macamana mama tak marah?” sergah Puan Sri Mahani masih belum puas.
“Sudahlah tu, Mah. Kita lupakan semua yang dah lepas tu. Mari kita sarapan sekarang nanti lapar pulak cucu kita tu. Hari ni korang berdua makan tengahari di sini. Kita pun dah lama tak berkumpul sekeluarga ni.” Tan Sri Fatah segera mencelah bagi meredakan keadaan. Melihat kesedihan di wajah anak lelakinya dia merasa kasihan pula. Dia tahu Lukman merasa serba salah kepada Laila.
Laila memaksakan juga dirinya untuk melakarkan sebuah senyuman kala itu. Sebenarnya amatlah tidak sedap untuk makan bersama sebagai satu keluarga, jika baru lepas ‘ditembak’ berdas-das oleh tuan empunya rumah. Sudahlah ini kali pertama dia berhadapan keluarga mertua selepas bernikah. Kini dia juga ikut dimarahi atas kesalahan orang lain. Sebal memang tak boleh nak cakaplah! Rasa macam nak balik aja! Jika Lukman yang dimarahi, dia tidak kisah lagi, sebab wanita itu adalah emak Lukman. Tetapi dirinya, dia merasa amat terhina apabila dimarahi saat pertama kali menjejakkan kaki ke rumah mertua. Bak kata Amirah tadi.. sekali ini ajalah!
Di meja makan itu Tan Sri Fatah cuba menghidupkan suasana. Tidak kurang dengan Amirah dan Nizam. Cuba juga melayan Laila dan Lukman sebaik mungkin agar dua manusia itu tidak merasa tersisih. Namun kekelatan di wajah Lukman terus tidak memudar apabila emaknya sedikit pun tidak mahu bermanis muka dengan mereka. Lebih menyiksakan apabila dia melihat Laila yang jelas sekali tidak gembira dengan penerimaan emaknya. Muka ketat isterinya dah macam kena paksa telan beras. Padahal nasi lemak yang dihidang elok aja, cukup santannya. Sedap rasanya..
Lukman benar-benar bimbang Laila akan serik untuk ke rumah ini lagi sedangkan baginya inilah satu-satunya jambatan terbaik untuk dia terus memiliki Laila. Sekiranya Laila diterima keluarganya harapannya untuk terus memiliki Laila semakin besar.
Tetapi malangnya bukan sahaja dia tetapi Laila juga asyik menerima tempias kemarahan mamanya itu. Laila asyik disindir dengan kata-kata yang berbaur hinaan. Lukman susah hati melihat senyuman Laila yang terukir hambar setiap kali ayahnya cuba untuk melenyapkan suasana tegang di antara ahli keluarga mereka. Lukman tidak sanggup melihat wanita kesayangannya diperlakukan sebegitu. Namun apa dayanya kerana dia sedar maafnya langsung tidak bernilai kepada emaknya itu.
Entahlah.. Lukman tersiksa melihat Laila begitu. Setiap kali emaknya memerli Laila dia yang merasa pedihnya. Wajah sedih Laila benar-benar membuat dia tersiksa. Dia bimbang, dengan penerimaan emaknya yang begitu Laila akan lebih nekad mahu bercerai dengannya.
Saat ini Lukman mula menyedari jalannya bukan semudah seperti yang dibayangkannya. Amat sukar untuk dia menggapai apa yang dimahukannya. Mungkin inilah balasannya kerana dosa-dosanya sebelum ini. Lukman menyesal. Benar-benar menyesal!

“Jangan ambil hati sangat dengan mama tu, Laila. Mungkin mulutnya tak menyenangkan Laila tapi dia sebenarnya sayang semua anak menantu,” ucap Tan Sri Fatah kepada menantunya lewat petang itu.
“Takpe. Laila faham, ayah.” Laila menjawab kelat. Yalah, tak faham pun buat-buat faham ajalah. Dah nama pun orang tua. Kenalah hormat.
“Mama cuma tak berpuas hati sebab Lukman tak pernah bawa Laila balik ke sini lepas kamu berdua berkahwin. Tak pernah cuba telefon mama tanya khabar mama. Seorang ibu akan cepat terasa hati kalau diperlakukan oleh seorang anak begitu.” Tan Sri Fatah berkata lagi sambil memandang raut jernih Laila.
Laila diam namun hatinya asyik berbicara sendiri. Sukar untuk dia menahan hati dengan kata-kata sindiran emak mertuanya itu. Namun dia tetap mahu mencubanya. Dia sedar tidak selamanya dia mampu menjauhi emak mertuanya.
“Ayah harap Laila tak akan serik balik ke sini. Cubalah dekatkan diri dengan mama. Kalau Laila kenal sikap sebenar mama Laila akan tahu mama tu cukup sayangkan Lukman selama ini. Tak mustahil dia juga akan sayangkan Laila juga suatu hari nanti. Ayah juga percaya Laila boleh jadi menantu yang baik kepada kami,” nasihat Tan Sri Fatah lembut.
Bicara Tan Sri Fatah itu membuatkan Laila sedar. Besar harapan yang sedang disandarkan kepadanya. Laila sendiri tidak tahu apakah dia mampu untuk menjadi menantu yang dapat memuaskan hati emak dan ayah mertuanya. Tetapi dia sedar selagi dia bersuamikan Ahmad Nahij Lukman, baik atau tidak dirinya dia tetap seorang menantu kepada mertuanya itu.
“Macamana Lukman sekarang? Apa komen Laila kepada dia sebagai suami?” topik kali itu sudah bertukar kepada Lukman pula.
Nama yang disebut oleh Tan Sri Fatah itu membuatkan mata Laila terus terarah kepada si pemilik nama yang sedang duduk bercakap dengan emaknya di meja makan. Lelaki itu tunduk sedikit saat mendengar bicara emaknya. Serius benar bicara dua beranak itu. Laila tahu, emak mertuanya itu masih belum puas mentarbiahkan suaminya. Padan muka dia! Anak emak! Sempat lagi hati Laila mengejak lelaki itu.
“Dia baik, ayah.” Laila menjawab bersama sedikit senyuman.
“Itu aja komen Laila? Atau ada sesuatu yang Laila sembunyikan dari ayah?” teka Tan Sri Fatah tanpa mengalihkan pandangannya dari wajah Laila.
Laila tunduk seketika dalam pada dia tersenyum sendiri. “Laila tak pernah menyesal dengan apa yang Laila ada hari ini. Walaupun semua ini bermula dalam keadaan yang Laila tak jangka. Sebahagian sebabnya, mungkin kerana Lukman dah menjadi seorang suami yang sempurna untuk Laila. Laila ikhlas, ayah. Takde apa yang Laila nak sembunyikan.”
Terbit senyuman di bibir lelaki tua itu mendengar kata-kata menantunya itu. Alhamdulillah.. hatinya mengalunkan pujian kepada Tuhan kerana telah memakbulkan doanya selama ini. Betapa besarnya hikmah yang telah Allah berikan kepada mereka setelah apa yang berlaku.
“Ayah sebenarnya Laila ada sesuatu yang nak diberitahu pada ayah pasal kandungan Laila ni,” ucap Laila sementelah dia berpeluang.
“Hah! Kenapa dengan kandungan Laila? Ada masalah ke?” Hati Tan Sri Fatah mula berasa tidak sedap. Harap-harap cucunya itu sihat-sihat sahaja.
“Tak, bukan macam tu. Sebenarnya sebelum ni doktor ada memberitahu yang kami mungkin akan mendapat bayi kembar,” jelas Laila ringkas sahaja. Semenjak tadi Lukman tidak ada memberitahu keluarganya tentang itu, jadi biarlah dia yang mengkhabarkannya.
“Betul ke ni? Ya, Allah.. alhamdulillah,” ucap Tan Sri Fatah benar-benar teruja. Serentak itu dia terus melaung nama isterinya. Apabila wanita itu menoleh Tan Sri Fatah segera melambai meminta isterinya itu meminta wanita itu menyertai mereka berdua di ruang tamu itu.
“Ada apa, bang oi!” rengus Puan Sri Mahani dengan wajah selamba.
“Tahun ni nampaknya kita kena renovate rumah kita ni. Kena tambah bilik lagi! Kita ni nak menyambut dua cucu,” ujar Tan Sri Fatah ceria sambil mengusap pundak isteri yang duduk di sebelahnya itu.
Lukman yang duduk bersebelahan dengan Laila segera memandang isterinya itu. Pantas bibirnya tersenyum senang kerana Laila sudah memberitahu berita gembira itu kepada ayahnya bagi pihak dirinya. Dia sebenarnya sudah terlupa. Maklumlah.. telinganya dah hampir pekak kene leter dari tadi. Macam-macam azimat yang diberikan emaknya. Terutamanya cara-cara nak jadi suami yang baik dan cara-cara nak menjaga wanita mengandung.
Berita yang dibawa oleh suaminya itu membuatkan wanita tua itu terlopong seketika. Namun matanya secara automatik terus memusat kepada perut Laila. Memang dari penilitiannya perut Laila memang kelihatan agak besar bagi kandungan yang baru berusia lima bulan lebih. Saat itu sebenarnya mahu sahaja dia pergi memeluk menantunya itu tetapi demi menegakkan egonya, riak gembira di wajahnya sengaja dikawal rapi. Walaupun sebenarnya ada juga sedikit sebanyak yang sudah keciciran tanpa sedarinya.
“Iya ke? Baguslah!” ucap Puan Sr Mahani selamba seolah-olah tidak terasa apa-apa mendengar berita itu. Sedaya upaya dia berlagak selamba walaupun rasa tidak sabar untuk menyambut cucu-cucunya itu bagaikan tidak terkawal lagi. Yalah, inikan cucu sulung!
“Kami pun dapat tahu baru-baru ni, ayah. Tiba-tiba doktor nampak ada seorang lagi bila kedudukan baby berubah sikit. Sebelum ni tak nampak pun,” ucap Lukman dengan senyum mewarnai bibir. Siapa tidak bangga jika anak sendiri mewarisi genetik kembarnya.
“Alhamdulillah.. rezeki kamu ni, Lukman. Ramai orang yang teringinkan anak kembar tapi tak dapat. Kamu pulak senang aja dapat anak kembar!” komen Tan Sri Fatah terus tersenyum.
“Hmm.. nak jadi mak bapak ni bukannya senang. Kenalah belajar penuhkan ilmu untuk jadi mak bapak yang baik. Bukannya main terjah aja. Anak-anak zaman sekarang ni pun bukannya macam anak-anak zaman dulu lagi. Budak sekarang ni senang aja nak langgar cakap mak bapak! Anak sekarang ni kebanyakannya degil tak mahu dengar cakap. Lain yang kita suruh buat lain yang dia buat!” nasihat itu dilemparkan Puan Sri Mahani agak sinis dengan kerlingan tersirat makna. Entah siapa yang diperlinya.
Lukman dan Laila tersenyum biasa.  Walaupun kedengaran agak kasar bicara Puan Sri Mahani kepada mereka, mereka hanya mahu mengambil yang baik-baik sahaja dari nasihat itu. Demi kebaikan mereka berdua juga.

Kira-kira jam 10:30 malam mereka berdua bergerak meninggalkan rumah orang tua Lukman. Saat mencecahkan punggung ke kusyen kereta, Laila segera melepaskan nafas panjang. Dia merasakan seolah-olah dia baru sahaja dibebaskan dari sebuah penjara yang mengerikan. Betapa leganya perasaannya saat itu. Saat memandang semula ke rumah itu Laila, tidak pasti bila pula dia sanggup mencecahkan kakinya ke situ semula. Dia tidak sanggup!
“Penat?” soal Lukman setelah keretanya meninggalkan kediaman keluarganya itu.
“Sangat-sangat!”
“Penat badan ke penat fikiran?” usik Lukman sambil tersenyum memandang ke hadapan. Dia mengerti apa yang dialami oleh Laila sebentar tadi kerana dia juga lebih kurang sama. Jika tidak kerana ayah mereka tidak mahu mereka lekas pulang, pasti saat ini mereka sebenarnya sudah berada di rumah dan bukannya baru memulakan perjalanan pulang.
“Dua-dua tapi yang paling penat sebenarnya hati!” jawab Laila separuh menyindir. Sedih dia dengan layanan Puan Sri Mahani kepadanya. Masih tetap sama walaupun dia sudah mencuba yang terbaik untuk mengambil hati mertuanya itu.
Lukman sekadar tersenyum penuh pengertian.  “Nak ke sana lagi bila ada masa?” soal Lukman masih lagi berupa usikan.
“Entahlah! Taklah kot. Laila lebih rela jaga diri Laila sendiri waktu dalam pantang nanti daripada mengharapkan mak abang! Susah senang biar Laila tanggung sendiri!” degus Laila sakit hati. Biarpun tidak pernah meminta namun itulah dijadikan modal emak mertuanya itu untuk menghinanya.
Lukman mengangguk perlahan. Dia faham.. Dalam keadaan tidak begitu berdaya Laila sanggup ke dapur memasak makan tengahari semata-mata untuk mengambil hati emaknya. Itu pun emaknya masih buat tidak nampak sahaja. Mujurlah Amirah dan Mbak Surinah pembantu rumah indonesia itu mahu membantu. Malam pula setelah makan malam Laila gagahkan diri mengemas meja makan sedangkan orang lain sudah bersenang lenang di ruang tamu. Lukman bangga melihat kesabaran isterinya.
“Sabarlah. Mama memang macam tu tapi dia baik. Lama-lama nanti dia akan terima kita jugak. Kita kena usaha sikit aja lagi,” pujuk Lukman lembut. Saat itu tangannya terasa ringan mahu menyentuh Laila. Tetapi mengenangkan mood Laila sedang tidak menentu dia tidak berani pula.
 Laila sekadar diam sambil menyandarkan kepalanya ke kerusi. Matanya terkebil-kebil memandang ke luar tingkap. Segala yang berlaku di rumah mertuanya tadi kembali dikenangnya. Sengsara sungguh menahan hati dengan sikap emak mertuanya. Jelas sekali wanita itu memandangnya hanya sebelah mata. Hina sangat ke aku ni hanya disebabkan aku pernah berkahwin dulu? hati Laila bertanya sendiri.
“Nak balik terus atau nak singgah mana-mana lagi?”
Pertanyaan dari si suami memecah lamunan Laila. Perlahan dia menoleh kepada Lukman yang sedang memandu tenang di sebelahnya. “Kaki Laila ni sakit sangat. Nak berdiri pun macam dah tak larat. Kita balik teruslah. Laila nak rehat,” adu perempuan itu perlahan. Berdiri lama di dapur sebentar tadi memang menyakitkan.
“Nanti sampai kat rumah tukar baju minum susu lepas tu tidur. Tak payah buat apa-apa lagi,” sambut Lukman benar-benar simpati.
Laila terus mengangguk. Memang pun itu yang dia mahukan saat ini.
“Kesian bini abang ni. Balik rumah mertua, kena dera memasak kat dapur pulak.”
“Hmm.. asyik kena marah pun ya jugak,” perli Laila sambil mengerling Lukman dengan ekor matanya. Kena memasak dia tidak hairan. Tetapi bab kena marah, itu yang buat dia sakit jiwa!
Lukman tersenyum memandang buah hatinya itu. “Okaylah, disebabkan malam ni Laila dah banyak buat abang bangga, abang bagi upah. Esok kita keluar tengok barang-barang baby nak?” umpan Lukman cuba menceriakan semula perasaan isterinya itu. Esok hari Ahad dan mereka sama-sama tidak berkerja. Barangan bayi juga masih banyak yang belum dibeli.
Laila segera menuntaskan pandangannya kepada Lukman. Dengar Lukman mengajaknya pergi shopping terus hilang marah. Hilang penat! “Boleh jugak. Abang plan nak ke mana?”
“Abang takde plan lagi. Kita plan sama-samalah,” balas Lukman cukup bahagia melihat keceriaan Laila saat itu. Senang aja nak pujuk rupanya..
Laila segera teringat beberapa minggu yang lalu dia ada melihat barangan bayi di Modern Mom. Ada yang dia berkenan, cuma kerana waktu itu dia hanya sendirian jadi dia tidak dapat membuat keputusan.  “Laila nak tengok katil baby kat Modern Mom. Kita pergi Alamanda boleh?”
“Okay. Abang ikut je,” ucap Lukman senang hati. Usahkan ke Alamanda. Ke Alabama kat US tu pun boleh, sayang.. seru Lukman dengan hati yang cukup gembira. Kemesraan Laila kepadanya membuatkan bibirnya sudah tidak mampu berhenti tersenyum. Harap-harap esok akan merubah keadaan mereka berdua.
Setiba di rumah mereka Laila sudah tidak bermaya. Langkahnya terus dihalakan ke biliknya. Dia hanya terbayangkan katilnya untuk dia merehatkan dirinya. Setiba di biliknya Laila terus mencapai tuala dan terus menghilang ke dalam bilik air.
Lukman juga ikut melakukan hal yang sama. Dia mandi sepantas yang mungkin dan terus menyarung uniform tidurnya iaitu pijama yang dibelikan Laila dahulu. Selesai berpakaian dia keluar dari biliknya. Menyedari Laila sudah keletihan, Lukman terus ke dapur. Di dalam sebuah mug dia membancuh susu untuk Laila. Kemudian bersama mug itu Lukman ke bilik Laila. Pintu bilik wanita itu diketuknya beberapa kali. Beberapa saat kemudian Laila muncul di muka pintu. Lukman terpempan seketika. Keadaan Laila saat itu membuatkan liur yang ditelan terasa tersangkut di kerongkongnya. Alahai.. seksi betul, sayang! Sakita jantung abang ni.. keluh hati Lukman sudah mula tergoda.
“Ada apa lagi?” soal Laila agak meleret.
“Ni.. Laila belum minum susu lagi,” ucap Lukman sambil menyuakan mug itu kepada Laila. Laila memandang susu itu seketika. Sebenarnya dia sudah terlupa tentang rutinnya itu.
“Laila lupa. Thank’s..” ucap Laila sambil mug itu diambilnya dari tangan Lukman. Wajah suaminya itu dipandangnya sekilas. Sempat akalnya mentafsirkan lelaki itu memandangnya seolah-olah dia masih berhutang sesuatu dengan lelaki itu.
“Kenapa abang pandang Laila macam tu?” soal Laila kehairanan.
“Err.. esok kita nak pergi pukul berapa?” soal Lukman agak gugup.
Dengan gaun tidur yang agak jarang, Laila benar-benar membuatkan keinginan lelakinya menggelodak di dalam. Darahnya mula terasa berdesir laju. Bentuk tubuh wanita hamil itu semakin membuatkan dia tidak mampu menahan keinginannya.
“Suka hati abanglah nak pergi pukul berapa. Bukannya Laila yang drive,” jawab Laila selamba. Langsung tidak perasan mata Lukman yang asyik meratah bentuk tubuhnya.
“Er..” benak Lukman berputar ligat cuba mencari idea lain untuk terus berlama-lama di situ. “Apa kata kalau abang picitkan kaki Laila yang sakit tu?” soal Lukman cukup lembut.
“Abang nak picit kaki Laila?”
“Abang cuma kasihankan Laila. Abang tahu kaki Laila selalu sakit berdiri lama-lama kat dapur tadi. Biar abang sapu minyak kat kaki tu,” ucap Lukman cukup lembut. Kaki Laila sakit tapi lain ceritanya dengan kakinya ini. Dah tidak sabar rasanya mahu masuk ke bilik itu!
Laila terdiam seketika. Mahu menolak tidak sanggup pula rasanya kerana dia sememangnya amat memerlukan sesuatu yang dapat meredakan rasa sakit pada seluruh kakinya ini. Lagipun Lukman memang mempunyai bakat semula jadi, pandai mengurut. Rugilah dia kalau menolak tuah yang sedang terhidang di hadapan mata.
“Biarlah abang tolong Laila. Laila suka sebab abang pandai urutkan?” ucap Lukman semakin bijak memancing Laila.
Laila memandang Lukman seketika. Cara Lukman meluahkan bicara agak aneh. Namun tawaran Lukman masih tetap menarik perhatiannya. Ya! Dia memang memerlukan urutan saat ini. Itu saja! Akhirnya Laila merenggangkan pintu itu dan membiarkan Lukman masuk ke ruangan peribadinya.
Heh..heh..heh.. Lukman sudah tersengih sendiri. Tanpa berlengah lagi dia masuk dan pintu terus dirapatkannya. Laila yang sudah berlalu ke katil dipandang tanpa jemu. Kemudian dia juga ikut ke katil itu dengan debaran yang sudah memuncak. Jika ikutkan hatinya Laila sudah diterkamnya. Tetapi.. jangan gelojoh, Lukman! Tak lari gunung dikejar, bisik hatinya.
Lukman segera duduk di birai katil bersebelahan dengan Laila yang sedang menikmati susu di dalam mug itu. Wajah si isteri dipandang tanpa jemu. ‘Kenapalah kau cantik sangat?’ bisik hati kecil Lukman sendiri.
Laila terus menoleh setelah susu itu selamat masuk ke perutnya. Dia perasan Lukman asyik merenungnya semenjak tadi. Seram pula dia mengenangkan mereka berada di dalam bilik yang bertutup dan duduk agak rapat.  Dada Laila mula berdebar tidak keruan saat terpandangkan renungan tajam yang masih tidak teralih dari rautnya. Alahai.. macamlah tak biasa, Laila! Buat-buat malu pulak! Degus hatinya mengejek dirinya sendiri.
“Abang kata nak urutkan kaki Laila?” ucap Laila sengaja mahu menyembunyikan resah hati yang semakin bergejolak. Wajahnya segera dilarikan dari tadahan mata suaminya itu. Malu pula rasanya bila direnung-renung seperti itu.
“Laila belum bukak baju lagi?” sambut Lukman pantas.
“Bukak baju nak buat apa?” sambut Laila sedikit terlopong. Apa kena mengena kaki dengan baju pulak ni? Jauh benar!
“Eh! Tak.. tak.. maksud abang, Laila selaklah sikit kain tu. Biar senang abang nak urut,” ucap Lukman mula menggelabah. Hish! Apalah mulut ni! Tak boleh cover langsung! Buat malu aku aja.. gerutu Lukman sendiri.
Tanpa diduga Laila ketawa pula. “Jauh perginya otak tukan? Sampai kena bukak baju segala. Padahal urut kaki je. Tengah fikir apalah tu..” perli Laila sambil mengerling sinis lelaki itu. Spontan dia mengesot ke arah kepala katil dan kakinya terus diletakkan di atas paha lelaki itu.
Lukman sekadar tersengih. Perlahan dia mula menyentuh telapak kaki Laila dan sebelah tangan lagi menggentel lembut hujung jari wanita itu.
Namun Laila tiba-tiba mengeliat lalu spontan tawa besarnya terhambur. Terkejut juga Lukman dibuatnya apabila Laila merentap kakinya tiba-tiba.  “Gelilah! Janganlah buat macam tu..” 
“Habis tu kat mana yang tak geli?” soal Lukman semakin seronok dengan keadaan mereka saat itu. Hei.. hilang sabar aku ni, aku cium jugak dia ni karang, bisik hati Lukman geram. Tanpa disedarinya kaki perempuan itu diusapnya lembut.
“Urut kat betis tulah..” balas Laila mula terbuai dengan sentuhan lembut itu. Dadanya terasa sesak entah kenapa. Sakit di kaki sudah tidak terasa mencengkam sebaliknya ada perasaan lain yang semakin hebat mengganas di hatinya.
Perlahan tangan Lukman mula merayap naik ke atas. Betis Laila diusik dengan jemari kasarnya. Diurut lembut dan sesekali bahagian bawah betis itu diusapnya sehingga ke bawah lutut. Sentuhan demi sentuhan itu benar-benar merubah keadaan mereka berdua. Masing-masing terdiam menahan rasa yang dikongsi bersama. Hening suasana bilik itu seakan sedang memberi laluan kepada mereka berdua menyemai benih-benih kasih di hati yang kehausan. Lukman semakin hanyut saat telapak tangannya menikmati kelembutan kulit Laila. Sentuhan itu berakhir di perut Laila. Perlahan Lukman membelainya.
“Jangan susahkan mama ya, sayang. Kesian mama. Anak-anak papa baikkan?” Lukman berbisik perlahan kepada dua anaknya itu. Perbuatan Lukman itu diperhatikan Laila penuh minat. Hati kecilnya terusik. Bibirnya segera tersenyum. Rasa bahagia itu semakin mendamaikan hatinya.
Tanpa sengaja pandangan mereka bertaup lembut. Tiada bicara yang mewarnai mereka sebaliknya hati yang saling menghantar rasa. Lukman memberanikan dirinya mendekati Laila yang tergadah rela. Saat itu keinginan lelakinya sudah tidak mampu disekat lagi. Demi tuntutan yang satu itu Lukman nekad! Apa nak jadi malam ini, jadilah!
“Pejam mata ya anak-anak papa. Papa nak sayang-sayang mama dulu..”

32

Suasana di Alamanda cukup sesak hujung minggu itu. Laila dan Lukman sudah menghabiskan masa lebih dari 5 jam di situ. Di butik Modern Mom Laila memilih beberapa keperluan sebagai persediaan untuk menyambut kelahiran bayinya nanti. Tidak lupa juga beberapa helai pakaian yang sesuai untuk ‘saiz’ dirinya. Lukman hanya berdiri di belakang memandang kosong apa yang dipilih oleh isterinya itu. Seorang jurujual setia melayani setiap kehendak Laila.
Bosan dengan suasana kedai itu Lukman mula beralih angin. Dua bola matanya dihalakan ke arah kaki lima kedai itu. Terkenang lagi dia kejadian malam tadi. Tanpa dapat ditahan dia tersenyum sendiri. Malam itu buat pertama kalinya dia melihat kemesraan Laila yang cukup luar biasa. Bahagia yang dirasainya tidak terucap.
“Yang ini okay tak, bang?” tanya Laila tiba-tiba kepada Lukman.
Sehelai kain berbentuk empat segi dan bertali pada hujungnya ditunjukkan kepada Lukman. Ada sedikit corak bunga pada kain berwarna biru itu. Buat seketika Lukman terpinga-pinga. Dia tidak tahu apa yang sedang ditunjukkan Laila. Kain yang ditunjukkan Laila disambutnya bersama sedikit kerutan di kening.
“Ini kain barut untuk baby,” jelas Laila tanpa disuruh apabila terpandangkan reaksi kebingungan Lukman.
“Oo..” Lukman terlopong seketika. “Cantik! Boleh.. boleh..” balas Lukman pantas. Kain barut? Apa tu? Untuk apa? Soalan-soalan itu terus berlegar di benaknya saat memandang kain itu.
Laila mengambil semula sambil mengerling geram wajah suaminya itu. Dia tahu Lukman bukannya tahu apa yang sedang berlaku saat ini. Semenjak tadi Lukman sekadar menjadi pak pacak sahaja di sisinya. Selebihnya matanya liar memandang anak-anak dara yang lalu lalang. Geram betul dia melihatnya! Contoh kain barut tadi diberikan semula kepada pembantu kedai itu.
“Saya ambil yang inilah,” ucap Laila setelah membuat pilihannya.
“Katil baby tadi macamana, kak? Nak ke?”
“Abang suka yang mana?” soal Laila kepada Lukman yang kebetulan sedang memandang ke luar kedai itu.
“Hah?” soal Lukman sekali lagi terpinga-pinga.
Laila menghela nafas cuba bersabar. Keluar shopping dengan dia ni memang menyakitkan hati! Kalau tidak kerana ada orang lain di antara mereka saat ini lelaki ini memang sudah disemburnya. “Baby court tadi jadi ke tak?” tanya Laila dengan lebih jelas lagi.
“Oh!” Saat itu barulah Lukman mengerti apa yang dimaksudkan Laila.
Dia diam seketika. Berfikir! Sekadar katil untuk bayi dengan harga seribu lebih? Tercekik juga dia rasanya! Barulah Lukman tahu banyak juga duit yang harus dihabiskan untuk keperluan bayi mereka. Tetapi mahu berkata tidak dia bimbang akan mengecewakan isterinya yang nampak berminat benar dengan katil jenis itu. Lagipun itulah satu-satunya katil bayi kembar yang berharga paling murah.
“Bolehlah..” balas Lukman akhirnya.
Pelayan itu segera mengangguk dan berlalu bersama barangan yang dipilih Laila. Saat tinggal berdua aja barulah Laila meluahkan sakit hatinya. “Boring ke keluar dengan Laila ni?” tanyanya dalam nada menyindir.
“Taklah! Mana ada!” tukas Lukman pantas.
“Habis tu kenapa asyik pandang kat luar aja? Abang ada nak ke mana-mana ke? Kalau ada abang pergilah. Biar aja Laila kat sini. Abang ada kat sini pun kalau sekadar jadi tunggul pun tak guna! Atau abang nak cuci mata pandang perempuan-perempuan kat luar tu pun Laila tak kisah!” ucap Laila sedikit tajam tanpa memandang Lukman. Dia terus membelek baju bayi yang dipamirkan di hadapannya. Gelagat Lukman benar-benar membuatkan hatinya seperti mahu bertukar menjadi zombie saat ini.
Lukman meneguk liurnya. Berdesing telinganya diperli sebegitu oleh Laila. Bila masa pulak dia cuci mata tengok perempuan? Namun menyedari dia memang ada terleka sebentar tadi Lukman diam sahaja. Perlahan Lukman meraih jemari isterinya itu. Diramasnya lembut untuk memujuk. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kasihnya sudah tertumpah kesemuanya kepada wanita ini. Tiada yang lain lagi!
Namun bagi Laila tidak semudah itu dia boleh terpujuk dengan sentuhan itu. Tautan tangan mereka dileraikan sedikit kasar. Selama ini dia sudah berjanji kepada dirinya untuk meletakkan sedikit kepercayaan kepada Lukman tetapi lihat sahajalah hari ini. Semuanya musnah sudah! Dasar lelaki! Mata keranjang Lukman masih tidak berubah biarpun sudah beristeri. Langsung tidak mahu menjaga hatinya tatkala sibuk memandang yang lain.
“Yang, kenapa marah-marah ni?” bisik Lukman lembut.
“Tanyalah diri abang sendiri..” desis Laila mula dingin. “Tahulah kuota 4. Janganlah tunjuk sangat gatal tu depan bini!” Laila merungut sendiri. Bengang!
“Mana ada abang pandang perempuan..” ujar Lukman cuba lagi memujuk. Namun Laila sekadar membeku seolah-olah tidak mendengar. Tetapi air muka ketatnya sudah mula dipamirkan kepada lelaki itu.
“Laila..” kata-kata Lukman dicantas oleh kedatangan jurujual sebentar tadi.
“Baby court tadi saya dah letak kat kaunter dengan barang-barang tadi, kak.” Jurujual itu berkata kepada Laila dan Lukman.
Laila segera menuju ke kaunter pembayaran diikuti oleh Lukman. Sementara menanti harga barangan dikira Lukman segera mengeluarkan dompetnya. Setelah disebutkan jumlah bagi keseluruhan harga barangan yang mereka beli Lukman menghulurkan kad kreaditnya kepada juruwang. Dalam kepalanya mencongak-congak berapa lagilah duit yang harus dikeluarkan hari ini untuk memujuk Laila.
Selesai itu mereka keluar dari kedai itu. Niat di hati Lukman mahu mengajak Laila ke kedai lain namun belum sempat dia membuka mulut Laila sudah mengajaknya pulang. Melihat wajah yang sedang mencuka itu Lukman tahu biar sejuta wang yang dihabiskan untuk memujuk pun belum tentu Laila akan terpujuk dengannya.
Akhirnya Lukman sekadar mampu menghela nafas sendiri. Di dalam kereta Laila sengaja memejamkan mata enggan berbual dengan Lukman. Ternguap-nguaplah lelaki itu memandu pulang seorang diri. Bosan!
Tiba di rumah Laila seperti biasa terus masuk ke biliknya. Pintu ditutupnya sebagai tanda boikot. Tetapi sengaja tidak dikucinya. Kenapa begitu? Sebab dia sebenarnya mengharapkan Lukman meringankan sedikit mulut untuk memujuknya. Macam ni rupanya ragam perempuan mengandung merajuk!
Tetapi sayangnya sampai ke sudah Lukman membisu sahaja. Semakin benganglah perempuan itu jadinya. “Bila aku kunci pintu, dia sibuk ketuk nak mintak itu ini. Bila aku tak kunci dia takde dia sibuk nak masuk pulak! Huh!” Laila menggerutu sendiri.
Tetapi sebenarnya Lukman bukanlah dia berniat mahu mengabaikan isterinya itu. Dia sebenarnya keletihan. Usai solat isyak dia terlelap tanpa sengaja sehinggalah ke pagi. Susu si Laila pun dia buat dalam mimpi aja..

Setelah sekian lama barulah Laila ada keberanian untuk mengajak Asmadi dan Hamidah untuk makan malam bersama. Pertemuan yang dirasakan amat penting bagi Laila bagi menyelesaikan masalah yang masih tertangguh. Laila perlu menerangkan kedudukan sebenar yang masih dirahsiakannya daripada sepasang suami isteri itu. Selagi dia tidak berterus terang selagi itulah dia berasa terbeban.
Asmadi dan Hamidah amat terkejut apabila melihat fizikal Laila yang cukup ketara berlainan saat menemui Laila malam itu. Mereka berpandangan berdua dengan wajah melogo antara tidak mengerti dan terkejut. Apa sudah jadi dengan Laila? Itulah yang timbul di benak mereka. Hamidah sekana tidak terkata. Hanya matanya seakan mahu terbeliak memandang Laila yang berwajah selamba sahaja di hadapannya.
“Kenapa pandang aku macam tu?” soal Laila sambil cuba untuk tersenyum kepada sepasang suami isteri itu. Dia tahu Asmadi dan Hamidah terkejut sehingga tidak terkata saat melihat dirinya yang sudah ‘kedepan’ perutnya. Sejak bila pulak si Laila ni suka main sorok belon dalam baju? Kalau boleh, takkanlah si Laila ni boleh pakai baju mengandung? Hamidah sempat tertanya sendiri.
“Kau.. kau mengandung ke, Laila?” soal Hamidah agak payah setelah dia melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Laila. Dia sudah tidak sabar untuk mengetahui apa yang telah terjadi. Tampang yang cukup selamba itu ditatap tidak putus-putus. Tiada kelihatan riak kesusahan atau kesengsaraan dilihatnya. Laila nampak cukup berseri di mata Hamidah.
“Ya. Dah nak masuk 6 bulan,” jawab Laila sambil tersenyum sedikit.
Asmadi dan Hamidah berpandangan lagi. Pengakuan Laila masih tidak mematikan seribu tanda tanya di benak Hamidah. Namun Asmadi agak tenang. Dia percaya sudah tentu ada penjelasan yang logik di sebalik semua ini.
“Kau dah kahwin ke?” soal Hamidah lagi.
“Dah. Aku baru kahwin beberapa bulan lepas, Midah. Janganlah kau risau sebab anak dalam perut aku ni ada ayahnya.” Laila tetap tenang walaupun hatinya pedih dengan pertanyaan Hamidah itu. Namun dia akur dengan sikap sahabatnya yang selalu mengambil berat akan dirinya.
“Bukan itu maksud aku. Dulu kau ada cerita pada kami yang kau asyik kena ganggu dengan kawan sepejabat kau. Aku bimbang ada orang kenakan kau,” luah Hamidah sambil memandang Asmadi seketika.
“Kau bimbang aku hanyut dengan dia?” telah Laila biasa.
“Bukan begitu, Laila. Aku kenal kau dah bertahun, Laila. Itu perkara terakhir yang ada dalam fikiran aku ni. Aku cuma risau kau kena aniaya dengan orang lain. Kau tu dahlah tinggal sendiri.” Hamidah membalas bersungguh. Entah kenapa dia tidak mampu merasa gembira melihat Laila hamil selagi dia tidak tahu apa sebenar yang terjadi.
Laila tersenyum sedikit. Buat seketika dia menatap perutnya itu dan mengusapnya perlahan. Soal aniaya yang dikatakan Hamidah membuatkan hatinya sayu sejenak. Memang ini hasil dari penganiayaan orang lain. Tetapi bukan rakan sepejabatnya seperti yang dianggap oleh Hamidah tetapi bos Asmadi. Sampai saat ini Asmadi masih tidak tahu yang dia isteri kepada Lukman.
“Kalau aku cakap sesuatu kau jangan marah ya, Madi?”
“Cakaplah..” balas Asmadi tenang.
“Aku sebenarnya dah menipu kau sebelum ni. Aku minta maaf.”
“Tipu tentang apa?”
“Pasal Nahij.” Laila membalas pendek.
“Arwah Nahij? Kenapa dengan Arwah Nahij?”
Laila menggeleng sedikit. “Bukan tentang arwah tetapi Nahij Lukman yang ada kat pejabat kau tu.”
“Nahij Lukman, bos aku tu ke? Kenapa dengan dia?” sambut Asmadi pantas.
Laila menganguk perlahan. Dia tunduk seketika. Ada cerita yang sudah direkanya. Maafkan Laila ayah, mama. Demi maruah Laila dan Lukman.. Laila terpaksa buat begini, hati Laila berbisik sendiri.
“Kenapa, Laila? Ada apa-apa masalah ke?” soal Asmadi semakin tidak sabar.
“Aku dah nikah dengan Lukman, Madi. Waktu kau ceritakan tentang dia pada aku dulu, kami memang dah kenal sebelum tu.”
“Ha?” Asmadi dan Hamidah terkejut bersama-sama. Reaksi mereka melonjak kaget. Tidak percaya.. tetapi terpaksa juga percaya kerana kenyataan itu keluar dari mulut Laila sendiri.
“Kau nikah dengan dia? Ahmad Nahij Lukman tu? Kenapa kau tak beritahu aku?” soal Asmadi bertalu-talu kerana masih lagi terkejut. Tidak sangka Laila adalah isteri kepada bosnya itu. Masalahnya selama ini dia langsung tidak tahu yang Lukman sudah berkahwin.
“Ada sebab kenapa aku rahsiakan. Ini sebenarnya masalah antara keluarga. Kau tahu ajalah. Aku ni balu. Bukan semua mak ayah suka kalau anak yang masih bujang kahwin dengan sisa orang. Macam tulah kami, Madi. Jadi kami bernikah macam tu aja tanpa restu keluarga. Kami nikah tanpa kenduri kendara macam orang lain.”
Melopong Asmadi dan Hamidah. Cerita Laila benar-benar ‘suprise’ dirasakan mereka saat itu. Tidak tahu apakah mereka harus merasa gembira atau apa saat ini. “Kau nikah kat Siam ke, Laila?” Hamidah pula bertanya.
Laila menggeleng sambil tersenyum sedikit. “Takdelah sampai ke Siam sana, Midah. Kami nikah kat kampung aku tapi keluarga Lukman takde. Hanya dia dengan ayah dan adik beradik dia aja yang datang sebab mak dia tak suka aku.”
Laila tahu dia bersalah kerana menggunakan nama emak Lukman. Tetapi dia tidak berbohong mengenai ketiadaan emak Lukman saat Lukman menikahi dirinya. Sehingga kini emak mertuanya masih tidak mampu menerima dirinya. Itu juga tidak bohong!
“Kau dengan Lukman memang bercinta ke sebelum ni? Kau tak cakap dengan aku pun waktu aku cakap pasal bos aku tu?” soal Asmadi masih kabur dengan cerita Laila.
“Sebenarnya waktu kau cerita pasal dia tu aku tak tahu dia yang kau maksudkan. Waktu tu kami baru kenal dan aku tak tahu di mana dia berkerja,” jelas Laila kepada Asmadi. Kemudian pandangannya dihalakan kepada Hamidah pula. “Kau ingat lagi tak aku ada cerita pada kau yang ada lelaki cuba pikat aku dulu, Midah? Kau kata aku patut beri diri aku peluang untuk kenal lelaki lain. Lelaki yang aku maksudkan waktu tu, Lukman bos Madi ni. Cuma waktu tu aku memang tak tahu langsung yang dia tu bos Madi. Waktu kami dah nak bernikah barulah aku tahu. Aku minta maaf banyak-banyak, Midah. Sepatutnya aku jemput kau waktu aku kahwin tapi aku tak dapat buat macam tu. Kami kahwin tanpa keluarga. Aku tak rasa nak buat majlis besar-besar kalau mak dia tak mahu terima aku. Sebab tu aku tak jemput korang.”
Asmadi diam seketika. Wajahnya masih tenang walaupun masih banyak persoalan yang masih tidak dijelaskan oleh Laila kepadanya. Namun atas kesedaran yang ada Asmadi tahu dia bukanlah orang yang berhak untuk membuat penghakiman ke atas Laila. Cuma dia amat bimbang dengan kenyataan yang baru disebutkan Laila yang mana perkahwinannya tidak mendapat restu emak Lukman.
“Susah kahwin tanpa restu keluarga ni, Laila. Lebih-lebih lagi kalau emak yang tak restu. Kau pulak tengah mengandung macam ni. Habis tu macamana sekarang? Kau tak okay lagi ke dengan emak Lukman tu?” balas Hamidah masih gusar dengan keadaan Laila.
Laila menghela nafas perlahan. “Kalau dah ini pilihan aku susah ke tidak aku kena terima, betulkan? Kami sikit masa lagi nak dapat anak tapi kami ni masih lagi hidup dalam buangan. Memang susah. Tapi apa nak buat kalau hati dah suka. Aku ambil anak dia cara macam ni akibatnya aku kena terimalah,” jawab  Laila perlahan sahaja.
“Kasihan kau, Laila. Dah ada yang kau suka, mak dia tak suka pulak. Tapi soal mak mertua ni kita kena pandai ambil hati dia. Takkan selamanya dia nak bencikan kita, betul tak?” komen Hamidah mula menyokong Laila pula. Langsung tidak tahu ada rahsia lagi yang tidak diceritakan Laila.
“Ni Lukman kenapa tak datang sekali?” Asmadi ikut mencelah perbualan Laila dan Hamidah. Lukman mengenalinya jadi mengapa tidak ke mari bersama Laila?
Laila hanya menggeleng. Lukman sudah tahu dia ke sini untuk bertemu Asmadi dan Hamidah tetapi Lukman tiada meminta untuk ikut bersama. Jadi Laila juga tidak mahu mengajak.
“Aku tak ajak. Dia pun agaknya segan dengan kau, Madi.”
“Alahai! Apalah nak segannya? Aku terima kalau inilah yang terbaik untuk kau. Harap-harap apa yang kau pilih ni inilah yang terbaik untuk kau. Bukannya apa, kami tak mahu nanti kau kecewa lagi, Laila. Cukuplah kami menjadi saksi kesengsaraan kau berpisah dengan arwah Nahij dulu,” balas Asmadi cukup terbuka. Tidak kisahlah siapa asalkan lelaki itu sayangkan Laila sesungguhnya. Itu sudah cukup bagi mereka berdua.
Hamidah terus mengangguk tanda menyokong apa yang dikatakan oleh suaminya itu. “Sebagai kawan kami akan sentiasa mendoakan. Dengan siapa kau berkahwin itu bukan masalahnya tapi kami ni bimbangkan kau. Aku takut kau kecewa lagi. Aku tahu kau bukan jenis perempuan yang senang nak lupakan kisah lama. Cukuplah kau dah terlalu banyak menangis kerana arwah Nahij sebelum ini. Aku paling takut kau menangis lagi kerana Nahij yang ini pula.”
Laila mengangguk dalam senyuman kelatnya. Sayu hatinya apabila nama Arwah Nahij sekali lagi disebut di telinganya. Hakikatnya biarpun dia memiliki seorang lagi Nahij tetapi hati belum mampu untuk sebahagia dahulu. Hubungannya dengan Lukman masih ada pasang surutnya. Kadang kala mesra macam dah sejati sangat bercinta, kadang-kadang bila berperang.. hebohnya sampai Iraq dengan US pun boleh terasa nak letak senjata. Punya hebatnya..
Tetapi semua itu ditelannya sendirian. Memang dia tidak mampu menolak suratan. Tetapi sehingga kini hatinya masih tertanya-tanya tentang status dirinya dalam hati Lukman. Hubungannya dengan Lukman masih terlalu kabur arahnya. Dia keliru dan tidak tahu apa yang ada untuk dipertaruhkan dalam hubungan mereka.
“Insya-Allah aku baik-baik aja. Doakanlah semoga aku tak kecewa lagi seperti yang sebelum ini. Aku tahu apa yang kau katakan itu betul tapi harap-harap pengalaman lalu aku sentiasa menjadi panduan untuk aku. Harap-harap nasib akan menyebelahi aku kali ini.”
“Kandungan kau dah nak masuk enam bulan. Wah! Lawan tauke kau ya? Aku dengan Madi belum lagi kau dah mendahului. Hebat betul kau dengan Lukman. Cemburu aku ni, Laila.” Hamidah mula mengalihkan topik. Bercahaya matanya memandang perut Laila yang sudah mula kelihatan. Mulalah timbul kobaran semangat untuk menyaingi langkah Laila dalam hal itu.
“Belum sampai rezeki kau dengan Madi agaknya. Sabarlah, nanti adalah tu. Korang pun muda lagikan. Apa nak bimbang?” balas Laila lantas tersenyum. Rasa hati yang bahagia saat bercakap tentang bayinya ini sudah tidak dapat ditolak. Semakin hari dia merasakan gerakan janinnya. Semakin itu dia tidak sabar untuk melihat wajah anak-anaknya.
“Aku ni kena berguru dengan Lukman agaknya.”
“Berguru tentang apa?” soal Laila tidak mengerti apa yang dimaksudkan Asmadi.
“Berguru tentang cara-cara nak dapat anak cepatlah!” sambut Asmadi sambil tergelak. Hamidah tersenyum memandang Asmadi. Nama Lukman selalu disebut oleh suaminya tetapi orangnya masih belum pernah dilihatnya.
Laila sekadar tersenyum sendiri. Memang patut kau berguru dengan dia, Madi. Dia kalau bab membuntingkan perempuan memang pakar! Pantang diajak, mahu aja! Desis hati Laila mengumpat suami sendiri.
“Aku ni selalu sangat dengar nama suami kau tu, Laila. Madi ni selalu cerita pasal Lukman waktu kat rumah. Tapi orangnya aku tak pernah nampak lagi. Lain kali kenalkanlah kat aku. Manalah tahu terserempak kat mana-mana aku tahulah itu suami kau,” kata Hamidah kepada Laila.
“Insya-Allah, ada peluang nanti kau jumpalah dia. Lain kali kalau kita makan bersama lagi aku akan ajak dia.” Laila menyambut biasa. Dia sebenarnya tiada hati mahu memperkenalkan Lukman kepada Hamidah dalam keadaan hubungan mereka yang masih belum ada kepastian. Asmadi pula rasanya tidak perlu lagi dia bersembunyi.
Terlalu asyik berbual mereka tidak sedar masa sudah pun berlalu. Hampir jam 11 malam barulah mereka beransur keluar dari restoran itu untuk pulang. Laila pada mulanya bersetuju membiarkan Asmadi dan Hamidah menghantarnya pulang memandangkan waktu sudah lewat. Namun baru sahaja mereka mahu masuk ke kereta ada sebuah kereta yang amat dikenali oleh Laila berhenti di belakang kereta Honda Civic Asmadi. Mereka sempat memandang hairan melihat kereta itu. Namun Laila yang amat mengenali pemilik kereta itu sudah bengang. Untuk apa Lukman menyibuk di sini? Hatinya serta merta merasa tidak senang melihat kedatangan lelaki itu.
Lukman keluar dari keretanya. “Nak balik dah, yang?” soal Lukman mesra kepada Laila.
“Ya,” jawab Laila agak hambar. Namun apabila menyedari pandangan mata Asmadi dan Hamidah kepada mereka berdua dia pura-pura tersenyum gembira dengan kehadiran Lukman.
“Marilah. Balik dengan abang,” ujar Lukman mesra kepada isterinya itu. “Biarlah Laila balik dengan saya, Asmadi. Terima kasih banyak-banyak sebab tolong jagakan dia sementara saya takde,” ucap Lukman kepada Asmadi pula.
“Boleh, apa salahnya. Takkanlah saya nak halang pulak kalau Laila nak balik dengan Encik Lukman. Saya ingat nak hantarkan dia sebab saya ingat Encik Lukman tak datang jemput dia,” sambut Asmadi ceria.
“Oh! Memang saya nak jemput Laila tadi kalau dia masih belum balik tapi tak sengaja ternampak dia kat sini. Nasib baik saya sampai cepat. Kalau tak menyusahkan awak aja. Itu isteri awak ke?” pandangan mata Lukman singgah seketika kepada wanita yang cukup setia memandangnya.
“Ya, ini isteri saya Hamidah. Kami dulu sama-sama di UM dengan Laila. Isteri saya ni pernah serumah dengan Laila waktu masih belajar kalau Encik Lukman nak tahu. Kami kenal dah lama. Cuma lepas masing-masing dah ada kerja dah ada kehidupan sendiri jarang dapat berkumpul semula,” jawab Asmadi sambil memandang Hamidah yang masih berdiri di sebelah kiri kereta itu.
“Hamidah apa khabar? Saya Lukman suami Laila.” Lukman lantas memperkenalkan dirinya apabila dia melihat Laila masih tidak berbuat begitu. Wanita itu hanya terpacak memandang mereka bertiga.
“Alhamdulillah, saya sihat. Tadi saya baru aja cakap dengan Laila yang saya nak sangat kenal suami dia. Tak sangka cepat juga Tuhan makbulkan permintaan saya. Nak tunggu makan malam lagi macam tadi, entah bilalah.” Hamidah menyambut sambil tersenyum. Akhirnya paras lelaki yang pernah Laila ceritakan kepadanya dahulu dapat juga dilihatnya. Rupanya inilah lelaki yang pernah membuat Laila termenung panjang. Memang tak boleh tahan tengok orangnya. Kacak!
Lukman turut tersenyum sambil matanya mengerling seketika kepada isterinya yang hanya membatu. Langsung tidak bersuara sebaliknya hanya tersenyum.
“Okaylah, terima kasih banyak-banyaklah Asmadi. Saya kena bawa isteri saya balik sekarang. Tahu ajalah perempuan mengandung bukannya boleh letih sangat. Ni pun dah lambat ni. Selalunya waktu macam ni dia dah berkubang atas katil. Ada masa lain kali kita jumpa lagi,” ucap Lukman mesra. Lega perasaannya saat ini. Akhirnya dia tidak perlu lagi berahsia dengan kakitangannya itu.
Asmadi dan Hamidah ketawa mendengar bicara Lukman. “Sama-sama, Encik Lukman. Lain kali datanglah sekali dengan Laila. Dapat juga berbual-bual. Ada masa jemputlah ke rumah. Kita sembang-sembang.” Asmadi menjawab tanpa rasa canggung melihat Laila dan Lukman. Pada matanya semuanya baik-baik sahaja walaupun Laila agak pendiam pula saat itu.
“Insya-Allah, kalau ada kesempatan nanti, saya mesti datang dengan Laila. Jalan baik-baik,” ucap Lukman dengan senyum lebarnya.
Mereka berbalas lambaian sebelum berpisah. Lukman tetap tersenyum senang hati namun Laila sudah mencuka sebaik sahaja berada di dalam kereta lelaki itu. Terhenti sudah segala lakonannya sebentar tadi.
“Abang buat apa kat sini? Intip Laila ya?” soal Laila sebaik sahaja kereta Lukman meninggalkan restoran Eden Seafood Village itu.
“Taklah.” Lukman pantas menafikan.
“Jadi macamana abang boleh ada kat sini? Saja-saja? Terserempak dengan Laila? Laila tak suruh pun abang jemput Laila?” sindir Laila benci. Dia menjeling tajam suaminya itu. Mengada-ada betul!
Lukman menggeleng perlahan. Perang dingin mereka belum habis lagi nampakya. “Kalau abang jemput Laila pun apa salahnya? Abang cuma bimbangkan Laila sebab Laila tengah mengandung sekarang. Abang takut Laila sakit ke.. apa ke..” jawab Lukman sambil mengerling sekilas kepada isterinya
Laila mencebik meluat dengan jawapan Lukman. jawapan Lukman sedikit pun tidak membuatkan dia terharu. Siang tadi dia ada memberitahu suaminya yang dia mahu bertemu Asmadi di sini. Tetapi sengaja nama Hamidah tidak dinyatakan sekali. Walaupun membenarkan namun Laila tahu Lukman seperti berat hati mahu membenarkan dia bertemu Asmadi. Jika tidak masakan Lukman sampai bertanya apa yang mahu dibualkan dengan Asmadi ketika makan malam nanti? Takut dia sakit konon!
“Abang bimbang sebab Laila mengandung atau abang bimbang takut Laila menggatal dengan Asmadi tu? Yalah, Laila nikan janda? Abang sendiri pernah kata janda ni murahan. Janda terdesak macam Laila ni memang senang dipergunakan lelaki,” ucap Laila tajam memulangkan semula kata-kata yang pernah Lukman lemparkan kepadanya. Penjelasan Lukman langsung tidak mampu dipercayainya.
“Laila, janganlah cakap macam tu. Sekarangkan Laila isteri abang? Apa janda-janda ni semua? Abang tak sukalah!” luah Lukman mula sakit telinga apabila Laila mengungkit lagi tentang itu.
“Laila susah nak percayakan abang. Lelaki macam abang ni memang senang menabur kata-kata manis. Lagi mudah mengkhianati kepercayaan yang diberikan. Cukuplah Laila dah pernah terkena sekali. Laila serik!” getus Laila lantas memalingkan pandangannya ke luar tingkap. Peristiwa Lukman merenung anak-anak dara ketika di Alamanda beberapa hari lalu kembali menerjah ingatannya. Sakit jiwanya mengenang itu.
Lukman menoleh dengan pandangan tajam. “Pernah ke Laila letakkan kepercayaan pada abang sebelum ni? Kalau ada, cuba katakan bila masanya Laila ada bagi abang peluang untuk membuktikan siapa diri abang ni sebenarnya?” balas Lukman pula. Kata-kata Laila benar-benar mencabar egonya. Setahunya Laila hanya tahu menolak dirinya semenjak dari mula mereka bertentang mata dahulu sehinggalah saat ini! Tiada apa yang baik pada dirinya di mata Laila.
“Hakikatnya apa yang Laila nampak hari tu dah lebih dari terbukti. Pantang tengok perempuan. Mulalah merenung sampai nak terkeluar biji mata!” cemuh Laila kesat.
“Astaghafirullah.. tak baik Laila tuduh abang macam ni. Mana ada abang pandang perempuan lain? Kalau yang tertengok tu, takkan nak ambil kira jugak. Kalau macam tu esok bila kita jalan kat pasaraya, abang pakai penutup mata. Senang!” sambut Lukman lantas menggeleng sendiri. Tuduhan Laila memang tak boleh diterimanya.
Laila terdiam sambil memandang ke luar. Entah kenapa saat memandang kegelapan di luar kereta itu, dia merasakan masa depannya juga segelap itu. Masih ada perkara yang tidak pernah lepas dari fikirannya.
 “Laila masih ingat Laila pernah bercerita pada Hamidah tentang abang sebelum kita kahwin dulu. Sebelum malapetaka tu terjadi pada Laila!” luah Laila tiba-tiba. Suaranya mula bertukar sedih. Perlahan wanita itu menoleh kepada lelaki di sisinya itu.
“Abang tahu apa nasihat dia pada Laila? Dia suruh Laila bukakan pintu hati Laila pada lelaki lain. Dia minta Laila lepaskan kenangan lama tu dan beri peluang pada abang untuk dekati Laila. Laila hampir-hampir mengaku kalah, bang. Sebab Laila masih ingat apa yang dia katakan pada Laila waktu tu. Keikhlasan seseorang tidak boleh dinilai dengan hanya sekali pandang. Keikhlasan bukan untuk dilihat oleh mata tapi untuk dirasai oleh hati. Laila takkan tahu abang ikhlas atau tidak kalau Laila tak berikan abang peluang. Laila nampak kesungguhan abang untuk dekati Laila walaupun Laila dah cuba menolak abang banyak kali. Laila sedar tak patut Laila kecewakan abang begitu sahaja tapi disebabkan perangai kawan baik abang yang bernama Nazim tu, Laila selalu ragu-ragu. Sampailah akhirnya abang sendiri yang menunjukkan warna sebenar diri abang pada Laila sampai Laila jadi macam ni! Laila nak sangat percayakan abang. Tapi macamana? Dalam masa yang sama mata abang sibuk nak memandang yang lain. Tengok gelagat abang waktu kita kat Alamanda hari tu Laila rasa sakit jiwa. Kenapa? Dah tak sabar sangat ke nak cari pengganti Laila?”
“Sampai hati Laila tuduh abang macam ni ya?” meninggi suara Lukman menafikan tuduhan isterinya itu.
Laila terus berpaling. Lukman menghembuskan nafas keras dalam pada tengkuknya diusap seketika bagi meredakan tekanan yang sedang dirasainya. Apa yang Laila ucapkan satu persatu masuk ke benaknya. Menambahkan lagi kekesalan yang sudah tidak terhimpun dek hatinya saat ini. Alangkah baiknya jika masa boleh diulang semula. Jika Tuhan mengizinkannya sumpah dia tidak terburu mengikut nafsu yang akhirnya mengheret dia ke lembah kehampaan yang menyedihkan.
Mereka berdiam. Laila lebih senang bersandar di kerusi sambil memandang kegelapan di luar kereta berbanding memandang Lukman. Kesedihan dan kekecewaannya saat ini sudah hampir memuntahkan air mata. Kenapa kepada lelaki seperti ini juga hatinya terpaut? Walaupun sudah cuba ditahan namun dia akui sayangnya tumpah juga akhirnya. Apa akan jadi padanya jika Lukman benar-benar menceraikannya nanti? Merana lagikah dia?
Perlahan Laila memejamkan matanya. Manik jernih yang sudah lama tersimpan itu kembali mengalir di pipinya. Jika Lukman memiliki perasaan yang sama sepertinya mengapa sekali pun tidak pernah dia mendengar Lukman meluahkan cinta? Adakah selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan? Tetapi segala kebaikan dan kelunakan itu, apa maknanya? Hanya main-main? Laila menghembus keluhan tanda dia sudah benar-benar lelah memikir sendiri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan