Khamis, 29 Ogos 2013

15-16 MSM

15

Dalam kereta lelaki itu Laila hanya bungkam. Lukman di sebelah memandang sekilas Laila yang hanya memandang ke luar. Dia dapat melihat ada air mata yang masih mengalir di pipi Laila. Entah kenapa terbesit rasa bersalahnya apabila terpandangkan air mata itu. Dia tahu Laila pasti terluka dengan apa yang berlaku.
“Aku minta maaf pasal semalam,” ucap Lukman memecahkan suasana bisu antara mereka. Laila dipandang lagi namun wanita itu langsung tidak memberi apa-apa reaksi kepada ucapannya sebentar tadi.
Lukman menghela nafas geram. Sudah rabak begitu pun masih nak menyombong! Bentak hati Lukman tercabar. Namun disabarkan sedikit dirinya. Bukannya apa.. dia sudah tidak berminat lagi mahu memikat Laila. Tetapi dia harus memujuk Laila agar Laila tidak melaporkan kepada polis. Selebihnya dia harus menghilangkan bukti yang ada sebelum Laila terfikir mahu ke balai polis.
“Kita ke klinik?” ucap Lukman lembut.
Laila yang mendengar lantas menoleh ke arah Lukman. Ke klinik? Untuk apa? Namun melihat wajah yang paling dibencinya itu dia segera memalingkan wajahnya semula. Tidak tertahan rasa bencinya saat ini. Kalau boleh dia tidak mahu melihat wajah ini lagi sampai mati!
“Nak tak?” tanya Lukman sekali lagi.
“Aku nak balik!” balas Laila keras.
“Aku tengok kau berdarah semalam. Aku cuma risau kau cedera aja. Jomlah aku hantar kau ke klinik,” ucap Lukman lembut memujuk.
“Kalau kau rasa dengan berlagak macam lelaki budiman macam ni aku akan mengalah pada kau, kau memang salah! Kau dah menang! Aku harap kau puas lepas apa yang kau dah dapat dari aku. Sekarang tolong hantar aku balik. Itu aja yang aku nak sekarang!” ucap Laila tajam. Kebaikan Lukman semakin menjijikkannya. Kini dia sudah tahu lelaki ini persis lelaki jenis apa. Percaya kepada Lukman? Seinci pun tidak!
“Kau ni memang jenis perempuan sombongkan? Setiap kebaikkan aku langsung takde harganya pada kau. Kau layan aku macam sampah!” herdik Lukman mula berang. Sikap Laila masih tidak berubah biarpun sudah ‘diajar’ secukupnya semalam.
“Siapa yang dilayan macam sampah sekarang? Kau ke aku?” tempelak Laila berani. Matanya melolot tajam ke arah lelaki itu. Entah dari mana datang keberaniannya itu dia sendiri tidak tahu.
“Kaulah lelaki yang paling menjijikkan yang aku pernah jumpa. Malah sejuta kali lebih menjijikkan berbanding kawan kau tu! Kau fikir dengan mengugut aku macam tu aku takkan lapor polis? Kalau kau nak bunuh aku sekalipun aku dah tak kisahlah, binatang! Puas hati?” tambah Laila tajam.
Lukman menggertap rahangnya menahan marah. Cabaran yang dilontarkan Laila membuatkan api kemarahannya sukar dikawal. Plan A tidak menjadi kini dia sedang bersedia dengan plan B. Dia tahu apa yang harus dilakukannya. Hala tuju kereta dilencongkan ke satu tempat yang sudah berada di fikirannya semenjak awal lagi. Dia harus membawa Laila bertemu dengan seseorang untuk menutup mulut Laila yang celupar itu.
Laila terpinga-pinga seketika apabila kereta Lukman berhenti di hadapan sebuah klinik. Lukman di sebelahnya sempat dipandang untuk meminta penjelasan. Namun Lukman tanpa berkata apa-apa terus keluar dari kereta. Seketika kemudian Laila turut diheretnya keluar dari kereta itu kasar.
“Apa kau nak buat ni?” jerit Laila keras.
“Diam! Aku tampar kau nanti! Ikut aja aku! Jangan banyak cakap!”
Menyedari dia sememangnya masih tidak begitu berdaya Laila akur apabila Lukman membawanya ke dalam sebuah klinik. Klinik itu kosong tanpa pesakit. Mungkin kerana klinik itu baru dibuka.
“Doktor Rajesh ada?” tanya Lukman kepada jururawat yang berada di kaunter.
“Ada. Nak jumpa doktor ke? Daftar dulu, encik..” lembut jawapan gadis itu.
“No need! Just let her know Lukman is here!” tegas Lukman serius. Gadis itu hanya mengangguk sambil menghilangkan diri ke dalam. Tidak sampai seminit kemudian dia keluar semula.
“Doktor suruh you masuk,” ucap gadis itu kepada Lukman.
Tanpa mengucapkan terima kasih Lukman mengheret Laila masuk ke sebuah bilik yang berada di sebelah kaunter pendaftaran itu. Di dalam ruangan itu seorang doktor wanita berbangsa India sedang menanti bersama pembantunya.
“Lukman..” sapa Doktor Rajesh mesra.
Yes it me. Rajesh, I nak minta tolong you ni,” ucap Lukman seakan sudah tidak mampu bersabar lagi. Dia mahu proses ini lekas selesai. Laila terus didudukkan di kerusi hadapan meja doktor itu.
“Tolong apa?” soal wanita akhir tiga puluhan itu. Ada sedikit kerutan di kening saat memandang Lukman dan Laila secara bergilir.
Lukman pantas mendekatkan dirinya kepada wanita itu. Sesuatu dibisikkan ke telinga wanita itu sehingga Laila dapat melihat ada perubahan riak di wajah doktor itu. jelas sekali Dr. Rajesh terkejut dengan apa yang dibisikkan Lukman. Spontan itu bola mata wanita India itu singgah di wajah Laila agak lama. Dia terus tergamam dengan situasi yang dihidangkan Lukman kepadanya. Selesai membisikkan hajatnya Lukman kembali duduk berdekatan dengan Laila. Tenang sahaja wajahnya menanti tindakan selanjutnya dari Dr. Rajesh.
Buat yang terawalnya Doktor Rajesh terdiam seketika seakan memikirkan sesuatu. Sesekali dia memandang Laila yang bungkam di hadapannya. Kemudian dia menoleh kepada gadis yang setia berada di sisinya semenjak tadi.
“Please leave us..” ucap wanita itu kepada pembantunya yang turut berada di bilik itu. Gadis tadi sekadar patuh dengan arahan doktor itu. Pintu yang memisahkan bilik itu dengan kawasan pendaftaran dirapatkan.
Selepas itu barulah Dr. Rajesh bangun dari kerusinya. Laila digamitnya agar menurutinya. “Come with me, girl. Let me check you,” ucap wanita India itu lembut.
Laila terpinga-pinga seketika tanda tidak memahami apa yang sedang berlaku di bilik itu. Dia tidak tahu apakah keperluannya dia dibawa bertemu dengan pakar perubatan ini. Namun isyarat yang diberikan Lukman membuatkan dia segera membuntuti doktor itu. Sebaik sahaja berada di ruang pemeriksaan Laila diarahkan baring diatas katil untuk diperiksa. Tirai dikembangkan bagi melindungi kawasan itu.
“You ada rasa sakit kat mana-mana?” soal doktor itu lembut sambil menaikkan kedua-dua kaki Laila ke atas pelantar kiri dan kanan di hujung katil itu.
What do you mean?” soal Laila tidak faham.
“You ada mandi lepas bersama dengan dia?” soal wanita itu tanpa menjawab soalan Laila tadi. Walaupun bicaranya lembut namun tidak terhias sebarang senyuman di bibir wanita itu.
“Bersama?” tanya Laila lagi. Jijik dia mendengar perkataan itu. Seolah-olah semua yang berlaku semalam adalah kerelaannya sedangkan dia dipaksa dan diseksa.
“Look here, girl. I tahu you budak baik. Dia cuma bimbangkan you. Takut ada kecederaan serius pada organ you. So I tanya tadi, you ada rasa sakit pada lower abdomen? Atau pada mana-mana bahagian lain?” ucap Dr. Rajesh lembut. Wajah Laila dipandang dengan rasa simpati.
Tanpa menyedari apa niat sebenar Lukman, Laila segera memberitahu bahagian yang dirasakan masih sakit.
Doktor itu mengangguk tanda mengerti. “Ada mandi sebelum datang ke sini tadi?” tanya Dr. Rajesh sekali lagi.
“Ada..”
“Ada rasa sakit waktu nak buang air kecil?”
Laila mengangguk sebagai jawapan. Melihat itu Dr. Rajesh segera membuat persediaan untuk memeriksa Laila. Selesai memakai sarung tangan dia terus kepada apa yang harus dilakukannya. Bersendirian dengan Dr. Rajesh, Laila diperiksa sebaik-baiknya. Semua prosedur bagi merawat mangsa rogol dilakukan. Cumanya tiada sebarang rekod dibuat semasa rawatan itu.
Lukman terus menanti di kerusinya tanpa menganggu urusan dua wanita itu. Perasaannya lega seleganya kerana selepas ini tiada bukti yang boleh menyabitkan dirinya dengan jenayah itu. Semuanya sudah dihapuskan oleh Dr. Rajesh.
“Is this your first time, girl?” seketika kemudian soalan itu dilontarkan oleh Dr. Rajesh kepada Laila. Perlahan sahaja nadanya seperti tidak mahu orang lain mendengar pertanyaannya itu.
Lama Laila mendiamkan diri. Namun melihat wanita India itu terus memandangnya seakan menagih jawapan dia akhirnya mengangguk juga. Tanpa sengaja terhela keluhan dari dua ulas bibir wanita India itu. Entah kenapa dia menggeleng perlahan. Entahkan kesal atau apa Laila sendiri tidak tahu.
Hampir sejam kemudian barulah Laila dapat kembali ke kerusinya. Langkahnya teramat perlahan. Rasa sakit hasil perbuatan Lukman masih terasa. Seketika kemudian Dr. Rajesh ikut kembali ke mejanya.
“I hope that kind of incident won’t happened again,” ucap Dr. Rajesh khas buat Lukman. Wajah lelaki itu dipandangnya serius.
“Is she okay now?” soal Lukman sedikit bimbang.
This time, yes! Nothing serious to her lower abdoment. But maybe not for the next time. Jangan berkeras sangat dengan perempuan, Lukman. This is not good. You boleh menyebabkan dia mati, you should now that! Kecenderungan melakukan seks dengan kasar boleh menyebabkan kerosakan kekal pada pangkal rahim wanita. Juga boleh membawa maut! That’s not a joke, Luk. You must aware about the risk next time,” ucap Dr. Rajesh sambil mengerling Laila sekilas.
Lukman terdiam sambil menghela nafasnya. Kata-kata Doktor Rajesh langsung tidak dijangkanya. Dia tidak berniat untuk mencederakan Laila sehingga begitu sekali. Tiba-tiba dia merasa kesal pula. Sisa simpatinya masih ada saat memandang wanita di sebelahnya itu.
“Laila, I akan berikan you ubat supaya sakit pada ari-ari tu hilang. Kalau boleh habiskan ubat tu. I akan berikan you MC beberapa hari. You kena rehat,” pesan Dr. Rajesh kepada Laila. Laila hanya mengangguk akur.
And you, Lukman. This is the first dan the last time you brough me something like this. Lain kali I takkan tolong you lagi. I tak mahu bersubahat dengan perkara semacam ini. Kalau you tertangkap I pun akan kena sama.”
“It won’t happened again. I promise!” sambut Lukman pantas sebelum memandang Laila di sebelahnya.
Tanpa menjawab Doktor Rajesh bangun dari kerusinya. Batang tubuhnya menghilang di sebalik pintu ke kaunter pendaftaran. Lukman menoleh seketika pada Laila di sisinya. Wajah Laila dipandang lama sebelum Laila turut menoleh kepadanya. Lantas dia berpaling apabila terpandangkan jelingan maut Laila kepadanya. Geli pula hatinya melihat tingkah Laila. Tidak lama kemudian Doktor Rajesh kembali semula ke bilik itu. Satu bungkusan ubat diletakkan di hadapan Laila.
“Take that pils three times a day. Rehat banyak-banyak. Jangan buat kerja-kerja berat buat sementara ni,” ucap Doktor Rajesh kepada Laila. Laila hanya mengangguk.
“Kalau sakit tu tak berkurangan selepas tiga hari dia kena buat pemeriksaan di hospital. You yang buat dia sampai jadi macam tu jadi you kena bertanggung jawab,” ucap Dr. Rajesh kepada Lukman pula.
Lukman memandang Laila sekilas. Kemudian dia mengangguk akur dengan pesanan doktor wanita itu. Setelah selesai dia mengeluarkan beberapa helai not lima puluh lalu diberikan kepada wanita itu. Tanpa banyak kira doktor itu menyambut sahaja.
Selesai itu Lukman mengajak Laila berlalu. Wanita itu harus dihantar pulang segera. Sebelum tiba di rumah wanita itu Lukman sempat singgah bagi membelikan Laila makanan. Mendengar penjelasan doktor sebentar tadi dia menganggap dirinya sudah dipertanggungjawabkan untuk memastikan keadaan Laila baik-baik sahaja. Sekurang-kurangnya sisa kemanusiaannya masih ada biarpun dia jelas Laila semakin benci kepadanya.
“Makan ubat yang doktor bagi tu,” ucap Lukman setelah keretanya berhenti di hadapan rumah Laila. Matanya sempat memerhatikan kawasan halaman rumah teres lama itu. Agak redup dengan sebatang pokok yang mungkin ditanam oleh pemilik rumah lama dahulu. Kini pokok itu sudah merendang memenuhi kawasan halaman rumah yang tidak begitu luas.
Laila tidak menjawab. Segala barangan miliknya dipastikan ada di tangannya bagaikan tidak mahu lagi berurusan dengan lelaki ini. Tanpa menoleh dia terus membuka pintu.
Namun Lukman sempat menahannya. “Ni nasi kau. Makan! Nanti kau sakit aku pulak yang susah!” ucap Lukman sedikit keras. Geram melihat Laila sengaja tidak mengambil makanan yang dibelikannya.
Malas mahu melihat Lukman lagi Laila terus mencapainya. Langsung tidak terbit ucapan terima kasih dari bibirnya dalam keadaan hatinya begini. Lukman hanya memandang gerak geri Laila dari dalam keretanya. Dia terus berada di situ sehinggalah Laila menghilang di sebalik rumahnya.

Mata Tan Sri Fatah tidak lepas daripada memerhatikan anak ketiganya yang baru sahaja duduk di meja makan pagi itu. Dia terkesan kelainan pada wajah anaknya itu. Dahinya lebam dan ada kesan luka pada leher Lukman. Sang ayah segera berpandangan dengan Nizam, anak lelaki sulungnya itu.
Nizam juga tidak ketinggalan menatap kelainan pada adik lelakinya itu. “Kenapa dengan leher kau tu, Luk?” Nizam terus menyoal mendahului ayahnya.
Lukman mengerling abangnya itu seketika. Namun dia hanya membatu tanpa jawapan. Tidak senang apabila abangnya itu menyibuk bertanya tentang dirinya. Atau sebenarnya dia tersalah menduga. Sangkanya ayahnya atau sesiapa sahaja tidak akan perasan dengan lebam di dahinya itu kerana dia sudah menepeknya dengan bedak. Tetapi tidak!
“Kau dengar tak aku tanya ni?” soal Nizam agak meninggi.
“Jangan sibuklah!” balas Lukman tidak senang dengan pertanyaan abangnya itu. Nadanya kasar walaupun dia sedar kedua bola mata ayahnya sedang galak merenungnya. Mentafsirkan apa yang perlu mungkin..
“Aku tak mahu menyibuk hal kau tapi kau tu adik aku. Kalau ada sesiapa apa-apakan kau takkan aku nak diam aja? Kau bergaduh dengan orang ke? Kau ada masalah dengan sesiapa ke?” balas Nizam agak keras.
Geram dia dengan jawapan kasar adiknya itu. Kurang ajar benar Lukman semenjak mula menjejaki dunia pekerjaan. Langsung tidak tahu menghormati kedudukannya sebagai abang. Tidak boleh ditegur langsung perbuatannya.
Lukman terus membisu seolah-olah tiada sesiapa di meja itu bersamanya. Dengan riak selamba dia menuangkan teh untuk mengisi perutnya. Namun dia tunduk seketika apabila ternampak emaknya datang ke meja itu. Malah pandangan Tan Sri Fatah tidak berani dibalasnya. Dia tahu ayahnya masih memerhatikan dirinya.
“Kenapa dengan Luk ni? Kenapa ada luka-luka ni?” Puan Sri Mahani segera mendekati anak lelaki kesayangannya itu apabila ternampak kesan luka di leher Lukman. Dari wajah ceria, riak kebimbangan mula mewarnai wajah wanita tua itu.
“Takde apa-apa, ma. Luk terlanggar pokok bunga mama semalam. Ni luka kesan kena duri. Ma jangan risaulah. Bukannya teruk pun.” Lukman segera berdalih. Namun dalam pada itu dia tidak berani untuk menganggkat muka memandang ibunya itu kerana takut ibunya ternampak lebam di dahinya itu pula. Dia tidak mahu sesiapa tahu mengapa dia mendapat kecederaan itu. Mahu sakit jantung ayahnya jika ayahnya tahu apa yang dilakukannya pada Laila.
“Luka kena duri ke atau luka kena cakar dengan orang. Selalunya yang suka mencakar ni perempuan. Lelaki suka menumbuk. Tak gitu, bang?” sampuk Amirah sambil mengerling Lukman, abang kembarnya itu.
Lukman hanya diam sahaja seolah-olah tidak mendengar. Namun dia cuak apabila tekaan Amira itu bagaikan sudah mengena pada batang hidungnya. Reaksinya dikawal sebaik mungkin agar rahsianya terus selamat bersamanya.
“Perempuan mana yang cakar kau?” soal Nizam masih tidak berpuas hati.
“Nizam, kan Luk kata itu luka kesan kena duri. Cakar apa pulak ni? Jangan tuduh sembarangan. Perempuan mana pulak nak cakar dia? Jangan nak mengarut yang bukan-bukan!” tegas Puan Sri Mahani segera membela anak ketiganya itu.
Walaupun dia tahu anaknya itu ramai kawan perempuan tetapi selama ini dia tidak pernah melihat anaknya itu mendapat apa-apa masalah dari sifatnya itu. Jadi dia merasakan tuduhan Nizam itu tidak berasas. Dia yakin Lukman pandai menjaga batasnya.
Nizam mendegus tidak senang dengan gelagat ibunya itu. Sering sahaja percaya membuta tuli dengan apa sahaja alasan Lukman sedangkan dia tidak bodoh untuk ditipu seperti itu. Dia tahu Lukman pasti ada melakukan  sesuatu sehingga mendapat luka seperti itu. Alasan yang diberikan Lukman tidak logik langsung di telinganya.
“Kalau kesan luka tu sebab kena duri yang dahi kau tu lebam kenapa? Kau terlanggar pasu pokok bunga tu pulak ke? Atau pasu tu terbang naik atas kepala kau?” sindir Nizam semakin geram.
Amirah spontan tergelak mendengar sindiran abangnya itu kepada Lukman. Lukman yang bengang terus sahaja bangun dengan kasar. Meja itu ditinggalkan begitu sahaja. Sepatah kata tiada diucapkan untuk ibu dan ayahnya yang berada di meja itu. Sakit hatinya bukan kepalang kepada Nizam sehingga dia langsung tidak mahu memandang abangnya itu. Telahan Nizam kian menyulitkan dirinya sedang dibelenggu kebimbangan. Adat orang yang sudah berbuat salah dia sering ketakutan. Takut ada polis datang mencarinya atas segala perbuatannya.
“Luk...” Puan Sri Mahani cuba memanggil anaknya itu semula untuk menahan tetapi Lukman terus sahaja menonong meninggalkan mereka semua di meja makan itu. Terpaksalah dia mengejar langkah anaknya itu sehingga ke muka pintu.
“Nizam ada salah cakap ke, ayah?” soal Nizam kepada ayahnya itu. Dia hairan mengapa Lukman sensitif benar pagi ini.
Tan Sri Fatah sekadar menghela nafas sendiri melihat sketsa di hadapan matanya. Walaupun sekadar berdiam namun hatinya asyik berkata-kata sendiri. Akalnya sering mentafsirkan itu dan ini tentang anak lelakinya yang bernama Lukman itu. Apa yang dilihatnya kepada Lukman amat tidak menyenangkan hatinya.
“Apa ni, Nizam? Kan dia baru nak sarapan tu? Kenapa kau berdua ni suka cari pasal waktu makan? Waktu nak menghadap rezeki ni jangan nak dijadikan medan berperang kalau korang berdua ada yang tak puas hati!” Puan Sri Mahani terus memarahi dua anaknya itu setelah kembali ke meja makan. Geram dia melihat Nizam dan Amirah yang bertukar senyum. Seolah senang melihat Lukman begitu.
“Mama percayalah cakap dia tu, ma. Entah perempuan manalah yang cakar dia semalam. Entah anak dara manalah yang dah dirogolnya. Takkanlah bunga mama yang kat laman tu boleh mencakar sampai ke leher dia. Pandai pula pokok bunga tu melompat sampai ke leher dia.” Nizam membalas sedikit tajam.
Terbeliak mata Puan Sri Mahani memandang anak sulungnya itu. Celupar benar mulut Nizam. “Jaga mulut tu sikit, Nizam. Jangan sedap bercakap sampai tak gunakan otak. Takkanlah adik kau tu nak buat begitu? Kau tu asyik nak menuduh dia begitu tu kenapa? Apa kau nampak ke apa yang dia buat selama ni? Sepatutnya kau doakan supaya dia tak buat macam tu!” jerkah Puan Sri Mahani geram pada anak sulungnya itu. Pagi-pagi lagi sudah mencari fasal adik-beradik.
Nizam tertawa sinis. Meluat dia apabila mendengar emaknya membela Lukman lagi. Semakin banyak lemaklah Lukman. Semakin menjadi-jadilah perangai kaki perempuan Lukman itu. Nizam sedar kelemahan emaknya, mudah percaya kepada anak-anak. Kelemahan itulah yang sering dipergunakan Lukman selama ini.
“Memang Nizam tak nampak, ma. Tapi sebelum Nizam nampak lebih baik Nizam bercakap dulu. Luk tu adik Nizam. Kalau dia menconteng arang pada muka ayah dengan mama, maknanya muka Nizam pun hitam sekali. Itu maksud Nizam. Bukannya Nizam nak dengkikan dia dengan tuduhan melulu,” ujar Nizam biasa sebelum bangun dari kerusinya. Tanpa kata dia menghulur tangannya kepada emaknya. Setelah tangan emaknya itu dicium dia terus berlalu.
“Mama, ayah, Mira pergi pejabat dulu ya? Jumpa ayah kat pejabat nanti.” Amirah juga malas untuk berada di situ untuk mendengar emaknya membela abang kembarnya itu.
Puan Sri Mahani hanya mampu memandang Nizam dan Amira yang berlalu dengan pandangan kosong. Sebahagian hatinya sudah merasa tidak enak kala itu. Namun dipujuk lagi dirinya agar tidak menyangka yang tidak-tidak tentang Lukman.
Syahreena yang baru tiba di meja itu sekadar memandang adik dan abangnya yang berlalu. Dia sempat terdengar pergaduhan di meja makan sebentar tadi namun masih tidak faham apa yang berlaku sebenarnya.
“Kenapa ni, ma? Pagi-pagi lagi dah kecoh?” soal Syahreena sambil mencapai cawan kosong di atas meja itu. Teh susu dari dalam teko terus dipenuhkan di dalam cawan itu.
“Nizam dengan Mira tu. Suka sangat cari fasal dengan Lukman. Entah apa kenanya dengan diorang tu. Asyik nak takutkan mama aja dengan benda yang bukan-bukan!” degus Puan Sri Mahani tanpa memandang Syahreena. Hakikatnya biarpun Nizam sudah tiada di situ namun sebahagian dari kata-kata anaknya itu terus memberi kesan kepada dirinya.
Syahreena memandang ayahnya seketika. Lelaki itu hanya diam tidak berkata apa. Namun dari riak yang ditunjukkan, Syahreena tahu ayahnya tidak suka dengan apa yang berlaku. Jadi dia juga ikut diam enggan mengeruhkan keadaan. Selesai menghabiskan air di dalam cawannya Syahreena terus bangun.
“Mama.. ayah, Reen pergi dulu ya?” ucapnya lembut. Tangan emaknya diambil dan dikucup sebelum berpindah kepada ayahnya. Kedua orang tua itu hanya mengangguk tanda merestui perjalanan hidup yang bakal dilalui oleh sang anak sebentar lagi.

Tan Sri Fatah terus bungkam di kerusinya. Namun dalam diam hatinya dia asyik berbicara sendiri. Biarpun perit untuk diakui namun dia sebenarnya semakin tidak senang melihat gelagat anak lelakinya yang seorang lagi itu. Ada yang tidak kena dengan Lukman. Kelakuannya semakin hari semakin mencurigakan. Bukan sekali dua dia mendengar cerita orang yang mengatakan Lukman gemar bertukar teman wanita. Kesemua kawan-kawan Lukman sekufu perangai dengannya. Semuanya kaki perempuan.
Sudah lama juga dia tidak melihat Lukman bersolat. Anaknya itu bagaikan sudah lupa siapa dirinya sedangkan usianya masih terlalu muda. Lukman baru berusia 27 tahun. Masih bertatih-tatih membina hidupnya tetapi anaknya itu berlagak seperti sudah arif benar dengan salah-silah dunia ini. Mungkin juga apa yang dibicarakan Nizam sebentar tadi ada benarnya. Tan Sri Fatah bimbang melihat kelakuan Lukman.
Tan Sri Fatah tahu, dia tidak harus membiarkan begitu sahaja. Dia akan menyiasat apa sebenarnya yang dilakukan Lukman di luar sana. Sebagai ayah dia tidak rela membiarkan anaknya itu terjerembab ke lembah dosa maksiat sedangkan selama ini anaknya itu dididik penuh dengan adab sopan dan ajaran agama.
“Awak dah nak pergi ke?” soal Puan Sri Mahani apabila melihat suaminya itu bangun dari duduknya.
“Saya ada hal sikit pagi ni. Saya pergi dulu,” ucap Tan Sri Fatah ringkas. Sebelum pergi Tan Sri Fatah sempat mengambil sesuatu dari dalam ruangan kerjanya. Setelah itu dia terus mendapatkan Ariffin, pemandunya.
“Ke pejabat Tan Sri?” soal Ariffin sebaik sahaja majikannya itu masuk ke kereta.
“Ke Damansara, Ipin. Saya nak ke kondo Lukman di Mutiara Damansara.”
“Baik, Tan Sri.” Ariffin menjawab patuh dengan arahan majikannya itu.
Sesampai sahaja di tempat yang dimahukan Tan Sri Fatah terus naik ke kondo milik Lukman yang dibelikannya tahun lalu. Dia tahu Lukman selalu singgah di kondo itu. Kadang-kala Lukman sengaja tidur di situ.
Tan Sri Fatah berjaya masuk ke dalam rumah itu dengan kunci pendua yang ada padanya. Matanya memandang persekitaran rumah itu. Semuanya kemas kecuali meja kopi di hadapan tv yang terdapat tin-tin coke yang tidak tahu sudah berapa lama berada di situ. Tan Sri Fatah masuk pula ke bilik tidur. Dia memerhatikan bilik tidur itu. Agak berselerak bilik itu. Katil tidak berkemas. Kain baju bersepah sana sini.
Seperti penyiasat, segala barang yang ada di dalam bilik itu dibelek Tan Sri Fatah. Segala laci meja diselongkarnya. Namun saat memandang tilam ada rasa tidak enak dirasakan apabila melihat tilam itu tidak bercadar seperti selalu. Bertambah pelik pula apabila melihat hanya cadar yang ditanggalkan sedangkan bantal masih bersarung elok. Malahan di dalam bakul sampah dia melihat kaca dan lampu tidur yang sudah berderai mungkin akibat terjatuh ataupun disenggol.
Tetapi dari pemerhatinnya dia tahu meja lampu tidur itu tidak mungkin mampu merosakkan lampu itu sehingga begitu sekali kerana meja itu agak rendah. Boleh jadi lampu itu berderai kerana dibaling seseorang. Tidak dapat tidak, hatinya semakin diasak oleh persoalan tentang apa sebenarnya yang sudah berlaku di dalam rumah ini?
Tan Sri Fatah mengambil sebiji bantal itu lalu diteleknya dengan lebih dekat. Walaupun dia sudah tua tetapi cermin mata yang ada di matanya ini masih boleh melihat dengan jelas. Dia melihat ada helaian rambut panjang pada bantal itu. Lama mata tua itu membelek rambut itu. Masakan rambut Lukman boleh sepanjang ini? Dadanya sebu apabila mengenangkan anak lelakinya mungkin membawa wanita ke dalam rumah yang dihadiahkannya ketika Lukman berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam kerjaya sekitar setahun yang lalu. Dia menghadiahkan rumah ini kepada Lukman kerana Lukman berjaya memberikan inspirasi kepada syarikat mereka untuk menangani sebuah projek yang berharga puluhan juta. Itu sesuatu yang luar biasa bagi anak muda semuda Lukman.
Tan Sri Fatah tidak berpuas hati dengan sekadar pemerhatian kosong begitu. Dia terlalu ingin tahu ke mana cadar itu dialihkan. Dia tidak sedap hati melihat rambut panjang itu.
Fikirannya sempat meneka mungkin cadar itu sengaja disorokkan di satu tempat. Mungkin di dalam plastik untuk dibawa ke dobi. Tan Sri Fatah memerhatikan sekeliling sehingga dia teringat yang rumah ini ada sebuah mesin pembasuh baju.
Di dalam mesin itu akhirnya Tan Sri Fatah menemui cadar putih yang sudah disumbatkan ke dalamnya tetapi masih belum dicuci. Pantas Tan Sri Fatah mengeluarkan cadar itu semula. Keseluruhan cadar itu dibentangkan di atas lantai untuk melihat kesan di atas cadar itu dan akhirnya dia menemukan beberapa kesan tompokan darah pada cadar itu.
Tan Sri Fatah terlopong sendiri melihat permandangan itu. Dia tahu Lukman sudah melakukan sesuatu yang tidak elok. Dia tahu! Jika tidak mengapa Lukman boleh cedera seperti yang dilihatnya pagi tadi. Kesan cakaran itu membuatkan dia lebih yakin kerana dia juga mengakui jika pergaduhan sesama lelaki sudah pasti Lukman lebam akibat ditumbuk. Tetapi kesan cakaran itu membuatkan Tan Sri Fatah merasakan ada pergelutan berlaku di atas tilam yang berbalut cadar ini. Dan Lukman telah dicakar seseorang!
Lama lelaki tua itu membeku di situ sambil mengenangkan anak lelakinya itu. Kesal hati tuanya kerana selama ini dia tidak pernah mendidik anak-anaknya agar menjadi orang yang kejam. Puas dia menegur. Puas dia menasihati tetapi ini juga yang menjadi pilihan anaknya. Lebih malang sekali dia tidak tahu siapa wanita yang sudah menjadi mangsa kejahanaman anaknya itu. Tan Sri Fatah amat kasihan kepada wanita itu.
Tan Sri Fatah mengeluarkan telefon dari poketnya. Nombor anak keduanya itu didail. Tidak lama kemudian panggilannya bersambut.
“Reen, ayah ni..” ucap Tan Sri Fatah lembut.
“Ya, ayah. Ada apa?”
“Reen dah sampai hopital ke?” soal Tan Sri Fatah pada Syahreena.
“Belum. Kenapa?”
“Ayan nak jumpa Reen kalau Reen free pagi ni. Ada hal penting ke pagi ni?” ujar Tan Sri Fatah lembut. Dia benar-benar inginkan pertolongan anaknya yang bertugas sebagai doktor di Institut Jantung Negara itu.
Syahreena diam seketika. Seketika kemudian barulah dia menjawab. “Boleh. Kat mana ayah nak jumpa Reen?”
“Ayah kat rumah Lukman di Mutiara Damansara. Datang sekarang ya? Ayah tunggu,” balas Tan Sri Fatah kelegaan. Dia tahu hanya Syahreena yang mampu merungkaikan tanda tanya di benaknya ini.
“Ok, Reen datang sekarang.”
Panggilan terus dimatikan. Tan Sri Fatah berpindah ke ruang tamu pula. Di sofa itu dia duduk termenung sambil menanti kedatangan Syahreena. Bersendirian di situ fikirannya kembali berkisar tentang Lukman. Tentang sikap Lukman semenjak pulang dari luar negara. Anak itu kian jauh darinya. Jarang berada di rumah. Lukman sibuk dengan pelbagai agenda yang tidak diketahuinya. Lukman kian hanyut dengan keseronokan berkawan di luar sana sehingga sanggup mengenepikan perasaannya sebagai ayah. Setelah dicerakinkan kesemuanya hanya sebuah gelengan yang mampu dilakukan saat itu oleh Tan Sri Fatah.
Dia letih memikirkan apa yang sedang melanda keluarganya. Lukman tidak mudah lagi berbaik antara adik beradik sendiri mahu pun dengan Amirah adik kembarnya sendiri. Anak itu langsung tidak mahu mengambil berat akan keluarga. Sikap mementingkan diri sendiri semakin menebal. Nilai kekeluargaan sudah menyurut apabila diri semakin dewasa. Malah sekian lama ini, dia tidak tahu sudah berapa lama Lukman mengamalkan sifat suka berbohong kepadanya.
Kesal! Tan Sri Fatah tidak tahu di mana silapnya dalam mendidik anaknya yang itu. Jika nasihat dan tegurannya sudah tidak mendatangkan makna kepada Lukman, apa lagi yang harus dilakukannya?
Tidak lama kemudian Syahreena tiba di rumah itu. Dia terus masuk untuk mencari sang ayah. Pertama yang dilihatnya batang tubuh ayahnya sedang membeku sendirian di sofa ruang tamu itu. Sekilas dia memandang Syahreena tahu ayahnya ada masalah.
“Assalamualaikum, ayah..” ucap Syahreena lembut untuk menyedarkan ayahnya akan kedatangannya.
Tan Sri Fatah segera menoleh kepada Syahreena. Syahreena lihat tampang ayahnya sedikit murung. Dia tahu ayahnya sedang bergelut dengan masalah yang mungkin memerlukan bantuannya. Syahreena terus mengambil tempat di sofa.
“Kenapa ayah? Apa ayah buat kat sini?” tanya Syahreena mula kerisauan.
Tan Sri Fatah tidak segera menjawab. Helaan nafasnya mengatakan dia sebenarnya tidak tahu bagaimana mahu memulakan cerita. Dia bimbang apa yang sedang bermain dibenaknya ini dibenarkan oleh Syahreena sedangkan dia berharap benar semua itu hanya satu sangkaan yang tidak berasas.
“Ayah ada masalah ke?”
“Ada..” jawab Tan Sri Fatah perlahan. Wajah ayu Syahreena direnung seketika. “Ayah nak minta tolong Reen. Ayah perlukan satu jawapan bagi semua persoalan yang ada dalam diri ayah sekarang. Tentang Lukman, tentang rumah ni. Tapi ayah harap segala yang berlaku dalam rumah ni, Reen tak ceritakan pada sesiapa. Terutama sekali pada mama. Ini hanya rahsia kita berdua. Janji dengan ayah ya? Jangan beritahu sesiapa.” Tan Sri Fatah mula membuka bicara.
“Ya, ayah. Reen akan rahsiakan. Pasal apa sebenarnya ni?”
“Mari ikut ayah..” ajak Tan Sri Fatah bagi menjawab pertanyaan anak gadisnya itu.
Tan Sri Fatah terus bangun dari sofa dan diikuti oleh Syahreena. Mereka mengatur langkah masuk ke dalam bilik tidur utama. Cadar yang masih terbentang di atas lantai bilik itu segera dijengah mereka berdua. Syahreena tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melihat apa yang terdapat di atas cadar itu.
“Apa yang dah jadi ni, ayah? Darah siapa ni?” soal Syahreena sedikit terkejut dengan apa yang dipandangnya.
“Itu sebabnya ayah panggil Reen ke sini. Ayah sendiri takde jawapan pada semua soalan tu. Tapi hati ayah merasakan Lukman ada berbuat sesuatu yang tak elok di sini. Lampu meja yang ada dalam bakul sampah tu pecah. Pada bantal tu ayah ada jumpa sehelai rambut panjang. Rasanya bukan rambut Lukman. Darah ni.. ayah nak tahu darah siapa. Lukman sendiri ada kesan luka pada lehernya. Tapi dia kata itu kesan terkena duri. Ayah tahu ada sesuatu yang dia sembunyikan dari ayah. Kesan luka tu kecil aja kalau nak dibandingkan dengan tompokan darah di atas cadar ni. Lagipun, kalau tak silap ayah dah dua malam dia tak balik ke rumah. Ayah cuma nak tahu adakah kesan darah ni milik Lukman atau bukan. Itu sahaja! Kalau benar darah ini darah Lukman legalah hati ayah. Hanya Reen yang boleh tolong ayah jawab semua ni. Ayah tahu Reen mesti tahu apa yang perlu dibuat dengan semua nikan?” Tan Sri Fatah segera menjelaskan tujuannya memanggil anaknya itu ke situ.
Syahreena terdiam seketika. Sedikit sebanyak dia mengerti apa yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Tetapi pertolongan yang diminta ayahnya itu bukan senang untuk diberikannya. Itu bukan bidangnya. Tetapi untuk menghampakan ayahnya itu, dia tidak tergamak. Syahreena merenung lagi cadar putih yang bertompok dengan darah itu.
“Boleh Reen tolong ayah?” tanya Tan Sri Fatah sekali lagi. Nadanya lembut penuh dengan harapan agar permintaannya ini tidak diabaikan.
“Boleh tu boleh. Tapi ini akan ambil masa sikit ayah. Mungkin seminggu atau lebih,” ujar Syahreena yang tidak sampai hati mahu menghampakan ayahnya. Dia kasihan melihat kesedihan di raut tua itu. Lebih dari itu dia sendiri tidak ketinggalan mahukan jawapan dari semua yang dilihatnya ini.
“Boleh. Seminggu tak begitu lama untuk ayah untuk satu kebenaran yang pasti. Ayah akan tunggu,” jawab Tan Sri Fatah sedikit kelegaan. Sebahagian dari kerisauannya sudah menghilang.
“Lepas ayah tahu tentang darah ni, apa yang ayah nak buat?” soal Syahreena. Jika darah ini milik Lukman legalah mereka. Tetapi bagaimana pula jika darah ini milik orang lain? Masakan mereka mahu berdiam sahaja?
“Entahlah, Reen. Ayah sendiri pun tak tahu. Biarlah ayah fikirkan dulu.”

Di pejabat segala kerja tidak mampu lagi diberikan perhatian seperti selalu. Masalah yang dibikin oleh anaknya terus menduduki tempat pertama dalam benaknya ini. Akhirnya kepada pembantunya dia meminta sedikit ruang untuk menenangkan fikirannya. Dia tidak ingin diganggu. Malahan segala urusan penting terpaksa dibiarkan begitu sahaja.
Tan Sri Fatah termenung lama memandang permandangan Kuala Lumpur dari arah balkoni pejabatnya. Namun sebenarnya fikirannya sudah terbang jauh memikirkan apa yang dilihatnya pagi tadi ketika di rumah Lukman. Semuanya masih dalam simpanan rahsianya. Tetapi saat ini lelaki tua itu amat mendambakan seseorang untuk mendengar bicara hatinya. Dia memerlukan seseorang untuk memujuk jiwanya dari terus dihantui prasangka kepada Lukman. Dia mahu seseorang yang dapat menawarkan kesedihannya tentang anak lelakinya itu.
“Ayah..” suara Nizam yang kedengaran memanggilnya dari dalam pejabat mematikan hayalan orang tua itu. Tan Sri Fatah menoleh mencari kelibat anak lelaki sulungnya itu.
Saat terdengarkan suara Nizam Tan Sri Fatah segera tersedar. Dia hanya memiliki dua anak lelaki. Namun Nizam adalah anak yang sering mengambil berat tentang keluarga berbanding Lukman. Nizam jauh lebih bertanggung jawab kepada dirinya sendiri berbanding Lukman. Entah kenapa saat itu hati tua itu tega sekali membandingkan sikap di antara kedua-dua anak lelakinya itu.
“Ayah..” panggil Nizam sekali lagi.
“Ya. Ayah kat sini, Nizam. Marilah sini.” Tan Sri Fatah segera menyambut panggilan Nizam dari balkoni itu.
“Kenapa ayah duduk sini?” soal Nizam sebaik sahaja menemukan ayahnya itu. Dia hairan melihat ayahnya itu termenung seorang diri seperti sedang menanggung masalah yang menggunung. Daripada Suraya setiausaha ayahnya dia mendapat tahu ayahnya membatalkan semua temujanji penting. Aneh! Itu bukan sikap ayahnya selama ini.
“Takde apa. Saja ayah nak ambil angin di sini,” balas Tan Sri Fatah lembut.
“Kenapa ni, yah? Macam ada masalah aja?” tegur Nizam masih tidak berpuas hati dengan jawapan ayahnya tadi. Dia tahu ayahnya sedang memikirkan sesuatu yang penting. Sikap ayahnya selalu yang dilihatnya ayahnya memang jarang termenung begitu sahaja. Katanya masa itu emas dan tidak harus dibazirkan dengan termenung. Lagipun kemendungan yang tertera di wajah itu masih tidak mampu untuk menipunya.
Tan Sri Fatah diam tidak menjawab. Soalan Nizam berlalu begitu sahaja.
“Ada masalah apa ni, ayah? Cakaplah dengan Nizam. Business kita ada masalah ke?” soal anak muda itu yang kian gusar apabila melihat kelainan sikap ayahnya itu.
“Soal Lukman, Nizam. Tentang apa yang kamu berdua gaduhkan pagi tadi. Ada perkara yang ayah tak senang selama ini. Runsing fikiran ayah ni memikirkan dia,” luah lelaki tua itu bersama helaan berat. Rusuhan yang yang membebani hatinya ingin diluahkan kepada Nizam.
“Apa dia yang ayah bimbangkan? Cakaplah dengan Nizam. Apa saja kekusutan yang ada, kita fikir sama-sama.” Nizam berkata lembut. Dia tidak sampai hati membiarkan ayahnya terus bergelut dengan masalah sendirian.
“Ayah ke kondo dia pagi tadi. Macam-macam yang ayah jumpa. Ayah syak dia ada buat perkara yang tak baik. Sebab tu leher dia luka dan dahi dia lebam.” Tan Sri Fatah memulakan bicaranya perlahan.
“Maksud ayah apa?” Nizam menyoal lagi. Dia masih tidak jelas dengan apa yang ayahnya maksudkan. Namun jika sudah terlihat menungan ayahnya seperti ini sudah pasti perkara itu bukan sesuatu yang remeh.
Tan Sri Fatah menceritakan serba ringkas apa yang ditemuinya di kondo Lukman pagi tadi. Seperti mana janjinya pada Syahreena begitu juga Nizam. Dia tidak mahu isterinya tahu tentang itu. Bukannya apa, dia tidak mahu hati isterinya hancur setelah mendapat tahu semua itu. Bukannya dia tidak tahu selama ini isterinya itu menyembunyikan kebimbangannya dalam hati sendirian.
“Ayah betul-betul bimbang, Nizam. Ayah rasa dia bukan lagi anak ayah yang dulu. Lukman dah terlalu jauh berubah,” ucap Tan Sri Fatah tidak mampu menahan sebaknya. Namun dihelanya nafasnya berkali-kali agar apa yang berkurung di dada berlalu pergi. Dia tidak mahu cepat kalah dengan cubaan kali ini.
Nizam terdiam seketika. Dia juga ikut terkesan apabila terlihat kesedihan ayahnya. “Ayah tak cuba tanya dia?” soal Nizam kemudian.
Tan Sri Fatah menggeleng. “Kau rasa dia akan jawab kalau ayah tanya dengan jujur? Kalau dia boleh berlaku jujur, dia takkan beri alasan bodoh pada soalan kau pagi tadi. Ayah langsung tak percaya dengan jawapan dia tu. Ayah tahu dia banyak berbohong pada ayah selama ini.” Tan Sri Fatah menjawab sambil memandang Nizam.
“Ayah bimbang kalau dia terlibat dengan kes jenayah. Ayah takut dia jadi begitu akibat kelalaian mama dan ayah dalam mendidik dia supaya dia menjadi manusia.” Tan Sri Fatah menambah bicara lagi saat Nizam sekadar mendiamkan diri.
“Ayah ni... janganlah fikir sampai ke situ. Entah-entah darah tu darah dia sendiri. Lagipun ayah kata ada lampu meja pecah, mungkin Lukman terluka sewaktu membersihkan kaca sebab tu ada kesan darah pada cadar tu,” ujar Nizam perlahan.
Sebenarnya dia juga sedang cuba menyedapkan hati sendiri. Walaupun dia dan Lukman sering tidak sebulu tetapi dia tetap sayangkan adiknya itu. Sudah tentu dia tidak mahu adiknya mendapat kesusahan seperti itu. Mintak dijauhkanlah segala keburukan seperti itu. Jika ayahnya susah hati atau mendapat malu dia juga akan ikut merasa yang sama.
“Harap-harap begitulah, Nizam. Harap-harap ada pula penjelasan lain yang lebih  munasabah untuk rambut panjang yang ayah jumpa pada bantal dia.”
Nizam terdiam menelan kata di kerongkongnya. Ya tak ya juga! Apa pulak alasannya untuk rambut wanita itu? Ah! Lukman memang suka cari nahas. Suka memeningkan kepala orang lain! Getus hati Nizam marah.
“Entahlah! Ayah tak tahulah apa nak jadi dengan dia tu. Ditegur tak mahu dengar. Bercakap dengan dinding lagi baik dari bercakap dengan dia tu. Pandai saja dikonarnya kita balik. Penghabisannya ayah yang naik angin dengan perangai dia tu. Rasanya menjaga Lukman yang hari ini lebih payah berbanding menjaga dia ketika dia masih kecil dulu. Ayah tak tahu kenapa dia jadi begitu,” keluh Tan Sri Fatah lagi.
“Cubalah ayah cari masa yang sesuai berbual dengan dia. Agaknya dia nak kahwin kot?” Nizam berkata sekadar untuk menyedapkan hati sang ayah padahal dia juga sebenarnya tidak tahu jika benar adik lelakinya itu ada meniduri wanita lain di rumah itu.
“Kalau nak kahwin ayah boleh kahwinkan. Ayah takkan menghalang sesiapa pun anak-anak ayah nak berkahwin. Itu lagi ayah suka. Tapi jangan buat maksiat. Ayah tak suka! Ayah ni dah tua, Nizam. Kalau anak-anak mampu mengendalikan hidup dengan baik, mampu menjaga perniagaan kita ni dengan bagus, ayah nak berehat. Ayah nak ada cucu. Ayah nak keturunan kita ni dipanjangkan lagi dengan pewaris-pewaris kita yang akan datang. Tapi ayah tak pernah memaksa kalau kamu semua belum bersedia untuk memikul tanggungjawab tu. Soal berkahwin memang bukan mudah. Kahwin ni memerlukan kesediaan mental dan rohani. Perlukan kekuatan dalam jiwa. Tapi itu tak bermakna kamu semua bebas berbuat apa sahaja. Berzina ni berdosa besar, Nizam. Berat hukumannya di akhirat nanti. Takde alasannya untuk kita berbuat dosa kalau sebenarnya kita mampu untuk mengelak dari berbuat dosa,” balas Tan Sri Fatah meluahkan harapannya yang dipahatnya selama ini. Tiada apa yang diharapkan pada kesemua anak-anaknya itu melainkan berkeluarga dan hidup sejahtera bersama teman hidup masing-masing.
Nizam terdiam sendiri mendengar leteran ayahnya itu. Dia mengerti keinginan sang ayah yang mahukan dirinya dan adik-adiknya memiliki keluarga sendiri sementelah dia sendiri sudah berusia tiga puluh satu tahun. Tetapi dia menganggap jodohnya masih belum tiba kerana buat masa ini dia masih belum menemukan seseorang yang amat disenanginya. Begitu juga dengan Syahreena yang komited dengan tugas sebagai doktor, Amirah yang baru memulakan tugas di syarikat ini dan Balqis yang masih menuntut di USA. Masing-masing sedang seronok mengejar cita-cita.
“Entahlah! Ayah pun tak faham. Kenapa Lukman sanggup buat macam ni. Apakah ayah selama ni tak pernah memberi pendidikan agama pada kamu semua? Ayah rasa ayah melayan kamu semua sama rata. Kalau ayah garang pada Nizam begitu juga pada Syahreena, Amirah, Lukman dan Balqis. Ayah tak bezakan anak-anak. Semuanya ayah sayang. Tetapi Lukman ni dah pergi terlalu jauh. Ayah dah tak pernah nampak dia bersolat sekarang. Maghrib selalunya dia di luar. Tak pernah lagi berjemaah di rumah dengan kita. Hujung minggu dia dengan kawan-kawan. Malam pulak selagi tak sampai ke subuh selagi itulah dia di luar rumah. Ayah rasa dia bukan lagi Lukman yang ayah kenal dulu,” luah Tan Sri Fatah kesal.
Nizam terdiam lagi. Dia hanya mampu mendengar sahaja rintihan hati sang ayah. Kasihan juga dia kepada ayahnya ini. Tetapi dalam soal Lukman memang bukan mudah kerana Lukman selama ini cukup perahsia. Selama ini mereka memang tidak rapat. Semenjak dari zaman sekolah menengah mereka berdua sering terpisah arah apabila dia dihantar masuk ke sekolah berasrama. Lukman pula bersekolah di sekolah yang sama dengan Amirah berdekatan dengan rumah keluarga mereka.
“Ayah harap suatu hari nanti Lukman akan berubah. Ayah mahu dia menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab pada diri dia. Ayah tak mahu dia terus hidup dalam keadaan berdosa.” Tan Sri Fatah menambah lagi kata-katanya. Masih tidak berputus asa memasang harapan tentang anak ketiganya itu. Dia tahu Lukman pasti boleh diubah supaya kembali kepada dirinya sendiri.
“Masih belum terlambat kalau ayah nak membentuk dia. Pasti ada caranya, ayah. Janganlah ayah putus asa. Suatu hari nanti dia akan berubah juga, insya-Allah..” pujuk Nizam lembut. Mungkin Lukman cuma hanyut seketika dengan desakan arus kehidupan yang meliar di sekeliling mereka.

Tan Sri Fatah mengangguk perlahan. Ya! Dia berharap suatu hari nanti akan ada jalan yang mampu mengubah cara hidup Lukman. Dia berharap Lukman akan kembali ke pangkal jalan. Dia mahu Lukman insaf akan segala kesilapannya. Itulah harapannya sebagai ayah.

16

Lukman memandang sekeliling buat kesekian kalinya. Dengan sedikit perasaan cemas dia mencari sekiranya ada kelibat orang di sekelilingnya. Kawasan itu sunyi sekali dan agak gelap. Saat itu dia yakin tiada siapa yang melihat kehadirannya di situ. Dengan hati-hati dia memanjat pintu pagar di hadapannya untuk masuk ke kawasan rumah itu, sambil bola matanya terus meliar memerhatikan sekeliling.
Setelah berada di dalam kawasan halaman rumah itu Lukman mengatur langkah pantas untuk mendekati pintu rumah itu. Buat seketika dia mengintai ke dalam melalui kaca cermin tingkap di tepi pintu utama itu namun gagal melihat apa-apa kerana kaca itu berwarna gelap. Buat seketika Lukman bungkam di situ memikirkan cara untuk masuk ke rumah itu.
Nak kena bagi salam ke ni? Nanti dia menjerit pulak, ucap hati Lukman sendiri. Buat seketika Lukman tergaru-garu sendiri memikirkan cara untuk masuk ke dalam rumah itu. Keinginan yang semakin sukar dibendung membuatkan dia nekad datang  ke situ biarpun dia sedar risiko perbuatannya itu terlalu besar. Ah! Dia sudah tidak peduli! Apa yang dia tahu dia hanya mahukan Laila.
Gagal menemukan apa-apa peluang di situ akhirnya Lukman bergerak senyap ke bahagian belakang rumah. Mujur juga rumah itu merupakan rumah ‘corner lot’. Senanglah kerjanya kerana tidak banyak mata memandang. Jiran bersebelahan rumah Laila juga kelihatan seperti tiada rumah malam ini. Rumah itu gelap gelita. Kawasan sekeliling yang kebanyakannya dihuni oleh penduduk bukan berbangsa Melayu membuatkan urusannya semakin mudah.
Tiba di pintu belakang Lukman membuka cermin tingkap yang kelihatan sedikit renggang. Rupanya tingkap itu renggang kerana tidak boleh dikunci dari dalam akibat selak yang sudah patah. Lukman menghembuskan nafas kelegaan. Kerjanya kian mudah! Sekejap sahaja tingkap itu sudah terbuka luas di hadapan matanya.
Lukman cuba mengintai ke dalam ruangan dapur. Lampu yang terpasang di ruangan tengah rumah membuatkan Lukman percaya yang rumah itu masih ada penghuninya. Ruangan dapur itu walaupun tidak dinyalakan lampu. Namun ruangan itu masih boleh dilihat dengan jelas dengan dibantu oleh cahaya dari lampu tengah rumah dan juga lampu dapur jiran belakang rumah itu.
Tidak perlu lama, mata Lukman yang cukup peka segera terpandangkan segugus kunci yang tergantung di dinding tidak jauh dari tingkap tempat dia mengintai. Lukman tersengih sendiri. Dia sudah tahu apa yang perlu dibuat untuk mendapatkan kunci itu. Buat seketika Lukman menjauhkan diri dari tingkap itu. Matanya meliar memerhatikan sekeliling tempat dia berdiri, mencari sesuatu yang boleh digunakan untuk mencapai kunci yang tergantung terlalu hampir dengan tingkap itu.
Beberapa saat dia memandang matanya terpandangkan sesuatu yang tersangkut di ampaian yang difikirkan amat berguna kepadanya. Penyangkut baju jenis dawai dicapainya lalu dileraikan ikatannya. Dawai itu diluruskan sebelum membuat bentuk ‘J’ pada hujung penyangkut baju itu. Dengan menggunakan dawai itu akhirnya dengan mudah segugus kunci itu berjaya diambilnya.
Setelah kunci itu berada di tangannya Lukman segera mencuba satu persatu kunci itu untuk membuka pintu besi yang menjadi penghalang utama untuk dia masuk ke dalam rumah. Kunci yang terakhir di tangannya itu berjaya dipulas menandakan pintu itu sudah terbuka. Apabila kesemua pintu berjaya dibukanya hati Lukman terus bergema sorakan gembira.
Dalam pada itu hati lelaki itu sempat memuji kebodohan Laila kerana membiarkan kunci pintu dapur tersangkut berhampiran dengan tingkap yang tidak boleh dikunci. Tetapi kalau Laila tidak sebodoh itu tidak dapatlah dia merasa masuk ke rumah ini dengan mudah, ya tak? Tidak sampai sepuluh saat kemudian ruangan dapur itu terbentang luas di hadapan mata Lukman. Dia tersenyum menang meraikan pencapaiannya dalam kerja jahatnya ini.
Tak sangka pandai jugak aku pecah masuk rumah orang, bisik hati Lukman sendiri dalam pada matanya memerhatikan persekitaran dapur yang cukup kemas itu.
“Tunggu sayang. Aku datang!” bisik Lukman sendiri sambil tersenyum.
Kemudian Lukman mengunci semula pintu itu tanpa segan silu seolah-olah rumah itu sudah menjadi rumahnya. Kunci itu kembali disangkutkan semula ditempat yang sama. Kakinya berjalan perlahan untuk mencari sasarannya. Daripada pemerhatiannya saat itu rumah teres setingkat itu terdapat tiga bilik. Berdekatan dengan dapur terdapat satu bilik dan dua lagi di hadapan.
Lukman asyik seketika menyaksikan keadaan rumah yang cukup kemas dan berbau harum. Sesuai benar dengan pemiliknya yang sudah membuatkan dia tidak tidur lena semenjak kebelakangan ini. Lukman sempat merasa kagum dengan keperibadian perempuan ini. Berbeza jauh jika dibandingkan dengan Mastura dan juga beberapa perempuan yang pernah didampinginya selama ini. Tanpa orang gaji rumah ini tetap kelihatan kemas sempurna.
Langkah pertama, Lukman memeriksa bilik yang berada di bahagian tengah rumah itu. Bilik itu kosong tanpa penghuni biarpun lengkap dengan set bilik tidurnya. Lukman yakin sasarannya sedang berada di bilik yang lagi satu. Dengan debaran yang menggunung Lukman memandang seketika pintu bilik yang tertutup rapat. Seketika kemudian dia memegang tombol pintu itu. Dia benar-benar berharap agar pintu itu tidak berkunci. Akhirnya dengan sekali pulas pintu bilik itu terbuka sedikit.
Tersentak juga Lukman seketika. Tidak menyangka segala urusannya jadi semudah ini. Akhirnya Lukman menjengukkan kepalanya masuk ke dalam bilik. Bilik itu lengang tanpa sesiapa namun dia tahu inilah bilik Laila berdasarkan barang-barang yang terdapat dalam bilik itu.
Lukman masuk senyap-senyap ke dalam untuk melihat keadaan bilik itu. Namun ketika dia berada di tengah bilik itu dia terdengar seperti bunyi air dicurah ke lantai dari dalam bilik air yang terdapat dalam bilik itu. Lukman melekapkan telinganya ke pintu bilik air. Dia tersenyum lebar kerana dia yakin wanita itu rupanya sedang mandi.
Sedang Lukman termanggu sendiri di hadapan pintu bilik air itu tiba-tiba bunyi air tadi lenyap. Sepantas kilat dia menyembunyikan dirinya ditepi almari. Dalam keberanian yang ada dadanya tetap berdegup kencang. Dia tahu kehadirannya ini tidak mendapat restu penghuni rumah ini. Dia tahu dia tidak akan disambut dengan senyum manis.
Tidak sampai lima minit dia menyorok akhirnya pintu bilik air dibuka dari dalam. Kelibat Laila yang hanya berkemban tuala separas paha terhias bebas di hadapan mata. Dalam persembunyiannya itu matanya tidak mampu berkelip memandang Laila. Keadaan itu semakin melonjakkan keinginan lelakinya yang kehausan. Kulit putih mulus itu membuatkan air liurnya kecur seolah-olah tidak sabar lagi mahu menunaikan hajat jahatnya. Dia tidak tahu mengapa, kecantikan wanita ini telah membuatkan dia hilang kewarasan sedangkan di luar sana dia mampu mendapatkan sesiapa sahaja yang dimahukannya dengan mudah.
Laila yang baru keluar dari bilik air terpaku seketika apabila terhidu bau minyak wangi yang tidak pernah dimilikinya. Bau itu membuatkan dia segera teringat kepada kejadian dua malam yang lalu. Rasa trauma yang masih ada membuatkan akalnya pantas mentafsirkan sesuatu yang buruk. Spontan itu Laila terus meluru ke meja soleknya untuk mencapai telefon bimbitnya. Apa yang terlintas di fikirannya hanya satu. Dia mahu segera menelefon polis. Namun belum sempat dia mencapai telefon itu tubuhnya terus direnggut kuat dari belakang. Mulutnya ditekup pantas dan dia segera dibawa jauh dari telefon itu.
Tindakan Lukman ternyata lebih pantas berbanding Laila kerana dia sudah lama bersedia dan dia tahu apa yang mahu dilakukan Laila. “Jangan cuba! Kalau tak aku patahkan leher kau,” ugut Lukman dalam bisikan di telinga wanita itu.
Laila sempat meronta dalam pada dirinya sudah tercungap cemas. Tangan Lukman cuba dilepaskan dari mulutnya namun gagal. Kekuatan lelaki itu bukan tandingannya. Sementelah dia sendiri sedar rontaannya itu dengan mudah membuatkan tuala yang membaluti tubuhnya itu tertanggal.
“Kau tak dengar apa ku cakap tadi? Kau nak mati cepat ya??” bentak Lukman agak keras di telinga Laila.
Laila menggeleng seketika. Namun ugutan Lukman berjaya membuatkan dia berhenti meronta. Dadanya terus turun naik akibat ketakutan. Apa yang berlaku dua hari lalu terimbas lagi di ruang fikirannya. Dia tahu Lukman datang untuk mengulangi perbuatannya yang dulu.
“Bagus! Sekarang aku nak kau layan aku macam sebelum ni.” Lukman berbisik dekat di telinga Laila. “Kau pun baru lepas mandi. Memang saat yang sangat tepat, Laila.” Tambah Lukman lagi. Haruman ditubuh Laila sempat dinikmatinya dalam-dalam. Bau itu amat disukainya, membuatkan dia khayal terpesona sendiri.
“Aku memang suka bau ni. Kau buat aku tak boleh tidur lena. Aku asyik teringat-ingatkan kau, Laila. Kau layan aku malam ni, gambar bogel kau akan selamat..” umpan Lukman semakin berani.
Laila yang tidak dapat berbicara hanya mampu menggeleng bersama lelehan air mata. Permintaan Lukman kedengaran teramat mudah sedangkan itulah yang tidak dapat dilakukannya.
“Boleh! Dengan aku kau mesti boleh. Kau hak aku sekarang. Aku akan buat apa yang aku suka. Tapi ingat! Aku tak suka kau layan jantan lain terutama sekali si tua Nazim tu. Kau hak aku seorang!” ucap Lukman keras.
Tanpa menanti lagi tubuh Laila terhumban di katil dengan sekali tolakan dari Lukman. Hampir tertanggal tualanya namun Laila pantas menyelamatkan tubuhnya dari terus terdedah di hadapan lelaki itu.
“Lukman, jangan buat aku macam ni. Tolonglah!” rayu Laila cuba menepis tangan Lukman yang sudah mencapai kedua-dua belah tangannya. Dia hanya mampu menangis.
Namun Lukman langsung tidak peduli kepada rayuan itu. Tubuh Laila terus dihempapnya bagi menghalang wanita itu dari melarikan diri atau meronta.
“Lukman!!!” jerit Laila sambil menangis.
“Diam! Jangan bising aku kata!” jerkah Lukman kasar.
“Kenapa kau buat aku macam ni ha? Kau ni binatang!!!” jerit Laila tetap tidak peduli dengan jerkahan Lukman. Apa yang dia tahu dia mahu menyelamatkan dirinya dari menjadi mangsa kerakusan lelaki itu.
Akibat jeritan itu pipi Laila ditampar kuat oleh Lukman tanpa belas kasihan. Terteleng wanita itu akibat kekasaran Lukman. Serta merta jeritannya lenyap berganti dengan tangisan sayu. Kesakitan yang dirasainya membuatkan kepalanya terasa pening. Laila terdiam tidak berdaya.
“Aku kata diam! Kalau kau bagi kerjasama takdelah aku pukul kau macam ni tapi kau ni degil! Aku ajak baik-baik tapi kau nak juga aku buat cara kasar macam ni,” bentak Lukman kepada Laila yang sudah menutup wajahnya dengan kedua-dua belah tangannya. Wanita itu hanya mampu menangis tersedu-sedu. Tidak berani lagi melawan kata-kata Lukman. Mungkin takut pipinya ditampar lagi.
Perlahan Lukman menarik tangan Laila dari menutupi wajahnya. Namun entah kenapa saat matanya ditadahkan dengan kepiluan di wajah wanita itu, juga kesan darah di hujung bibir Laila dia disapa oleh rasa simpati pula. Lama dia memandang Laila yang menangis teresak-esak. Teringat dia pesanan Dr. Rajesh. Kekasarannya boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak dijangka berlaku. Dia tidaklah sekejam itu.
“Laila, aku minta maaf. Aku tak berniat nak berkasar macam ni,” ucap Lukman entah kenapa. Raut jelita itu dielusnya lembut dan pipi wanita itu dikucupnya lama. Suatu masa dahulu wajah ini pernah dipuja dalam tidurnya. Tetapi hari ini menyakiti wanita ini hanya kerana dendam apabila cintanya tidak disambut.
“Aku janji kita akan kahwin. Sekali ni aja, sayang. Tolong bagi aku kesempatan tu. Aku janji aku takkan berkasar lagi macam malam tu.” Lukman membisikkan pujukan lembut dan manis itu buat Laila. Kerelaan Laila ditagihnya. Dia bukanlah psikopat yang suka mendera perempuan untuk memenuhi keinginan lelakinya. Dia hanya seorang lelaki yang cepat kalah kepada tuntutan nafsu yang sering dahagakan belaian wanita.
“Kalau kau kasihankan aku jangan buat aku macam ni, Lukman. Apa perasaan kau kalau ahli keluarga kau yang diperlakukan macam ni? Aku manusia, Lukman! Tolonglah jangan buat aku macam binatang! Lepaskan aku!” dengan kekuatan yang tidak seberapa Laila merayu kepada lelaki itu agar dirinya dilepaskan.
“Aku memang nak lepaskan kau. Tapi macamana aku nak lepaskan kau dalam keadaan macam ni? Aku lelaki, Laila. Aku tak mampu nak kawal nafsu bila aku ingat apa yang berlaku dua malam lepas. Maafkan aku. Aku takkan sakitkan kau kalau kau tak melawan lagi macam tadi. Aku janji kita akan kahwin lepas ni! Aku memang sukakan kau sungguh-sungguh. Aku janji aku akan bertanggungjawab pada kau,” bisik Lukman lemah akibat sudah dikawal rasa berahi. Kepalanya ditundukkan mahu menjamah bibir Laila namun Laila pantas mengelak.
“Aku takkan izinkan! Kau jangan mimpi aku akan menyerah pada lelaki macam kau biar apa pun yang kau nak buat pada aku lepas ni! Aku tak nak kahwin dengan kau, setan!” cemuh Laila kasar. Kata-kata Lukman tidak mampu memujuknya sebaliknya semakin menjijikkan.
Lukman masih sempat tersenyum biarpun sebentar tadi dia kecewa kerana tidak dapat menyentuh bahagian yang amat disukainya pada Laila. “Aku dah pun dapat kau samaada kau sudi atau tidak. Dr. Rajesh ada beritahu aku yang kau sebenarnya masih suci sebelum aku sentuh kau. Aku tahu aku lelaki pertama yang sentuh kau. Aku memang bertuah. Lebih bertuah dari bekas laki kau yang dah lama reput dalam kubur tu! Aku bukannya dapat sisa orang tapi kau percaya atau tidak, hakikatnya dia memang tinggalkan kau untuk jadi habuan aku!”
“Kau ni memang syaitan!” jerit Laila serentak itu tangannya dilayangkan ke wajah Lukman. Namun tangannya sempat dihalang oleh lengan lelaki itu. Sekali lagi Laila tewas kepada kekuatan Lukman.
“Aku takkan lepaskan kau selagi aku tak betul-betul puas! Takde perempuan yang pernah menolak aku sebelum ini, kau faham?” ucap Lukman penuh dendam kesumatnya. Tubuh Laila dirangkulnya biarpun wanita itu berhempas pulas menolak dirinya. Seperti mana yang pertama kali, buat kali ini juga Lukman tidak bermasalah untuk memiliki Laila semahunya.

Pagi itu..
“Berambus kau dari rumah aku!” jerit Laila lantang. Botol minyak wangi yang terdapat di atas meja solek dilemparnya kepada Lukman. Tetapi dengan mudah lelaki itu menyambut objek yang dibaling Laila dengan tangannya.
“Okay! Aku pergi. Tapi ingat! Malam tadi rahsia kita berdua. Kalau kau bagitahu sesiapa aku sebarkan gambar bogel kau! Ayah kau akan menjadi orang pertama tengok gambar kau tu nanti. Ingat tu baik-baik sebelum kau terfikir nak buat apa-apa pada aku!” ucap Lukman langsung tidak gentar dengan kemarahan Laila.
“Aku doakan hidup kau sengsara lepas ni, Lukman! Jantan sial macam kau tak layak untuk mana-mana perempuan pun! Kau aniaya aku dalam keadaan aku macam ni, takpe! Allah melihat segalanya. Tuhan akan membuat perhitungan untuk aku suatu hari nanti. Hari ni kau menang tapi suatu hari nanti kau jangan melutut di hujung kaki aku untuk sebuah kemaafan. Aku takkan maafkan perbuatan kau ni sampai mati, binatang!”
Lukman hanya menjungkit bahu sambil mengenakan pakaiannya semula. Matanya hanya memandang selamba Laila yang masih menangis akibat perbuatannya. Apa yang dia tahu dia benar-benar gembira kali ini. Tidak susah untuk menawan Laila rupanya. Sepanjang malam wanita itu digauli seolah-olah wanita itu adalah isterinya tanpa dapat dihalang Laila.
“Ini nombor telefon aku. Kalau kau terasa mahu lagi macam semalam telefon aja. Aku akan lekas-lekas datang untuk kau!” ucap Lukman sambil mencampakkan kad namanya ke atas katil. Seketika kemudian dia ketawa gembira. Dia berlalu tanpa memandang Laila lagi.

Laila menangis semahu-mahunya mengenangkan keadaan dirinya. Sudah lebih tiga minggu dia tidak datang berkerja. Selepas apa yang berlaku dia sememangnya sudah tiada hati lagi untuk itu semua. Hidupnya terasa sudah musnah. Tiada gunanya lagi tawaran kerja yang hebat. Tiada gunanya lagi gaji yang tinggi. Dia sudah tidak berminat lagi. Dalam keadaan dirinya yang kotor oleh palitan noda ini dia tidak mampu lagi menyekat kebinatangan Lukman kepadanya. Dia tidak tahu ke mana harus dia pergi untuk melarikan diri daripada kebuasan nafsu lelaki itu. Lukman datang dan pergi sesuka hatinya seolah dia adalah perempuan simpanan lelaki itu.
Ugutan Lukman sentiasa bermain-main di fikirannya. Dia ingin mendapatkan keadilan untuk dirinya tetapi ugutan demi ugutan Lukman sering melemahkannya. Dia takut Lukman mengapa-apakan keluarganya. Dia takut gambar dirinya dan Lukman tersebar di internet. Dia amat takut!
Selama tiga minggu ini dia hanya berkurung di dalam rumah. Meratapi nasib malang yang menimpa dirinya. Tanpa dapat menghalang dia hanya mampu menadah dirinya kepada perbuatan laknat Lukman.
Laila menangis lagi. Dugaan ini amat berat dirasakannya. Tidak pernah dia termimpi akan menjadi mangsa rogol. Selama ini dia terlalu berhati-hati tetapi apa yang paling dielakkan itulah juga yang terjadi. Laila kesal. Jika dia mengikut Puan Maznah malam itu mungkin perkara ini tidak akan terjadi.
“Abang, kenapa abang tinggalkan Laila? Kalau abang ada dengan Laila hidup Laila takkan jadi macam ni!” Laila merintih dalam tangisannya.
Dalam kerapuhan hati dia sering teringatkan Arwah Nahij. Seumur hidupnya selama perkenalannya dengan Nahij, Nahij tidak pernah memperlakukan dirinya seperti itu. Malahan Nahij amat menjaga batas mereka sehinggalah mereka akhirnya terpisah. Nahij tidak pernah menyentuhnya selama ini. Nahij tidak pernah mengambil kesempatan kepada ikatan pernikahan mereka walaupun mereka sudah dihalalkan bersama. Nahij mahu menanti sehingga mereka sama-sama bersedia untuk melayari hidup bersama. Tetapi segalanya punah. Lelaki yang menyentuhnya bukan Nahij tetapi Lukman. Amat malang sekali dirinya diambil oleh lelaki bukan suaminya dengan cara yang kejam.
Malam itu Laila tergamam seketika apabila melihat kunjungan Puan Maznah dan suaminya, Encik Abdullah. Dia tidak sangka sama sekali Puan Maznah begitu mengambil berat akan dirinya sehingga sanggup datang ke rumahnya semata-mata kerana mahu melihat keadaannya.
“Kenapa tak datang berkerja, Laila? Ada masalah ke?” soal Puan Maznah lembut saat mereka hanya berdua sahaja di dapur. Puan Maznah dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Laila. Walaupun cuba diselindungkan namun dia dapat melihat ada sesuatu yang sedang ditanggung oleh wanita itu.
“Saya okay. Saya cuma tak berapa sihat.” Laila cuba berdalih. Namun getaran dalam suaranya tidak dapat ditahan.
“Tak berapa sihat? Habis tu awak dah ke klinik ke?” soal Puan Maznah masih tidak berpuas hati. Wajah Laila memang sedikit pucat dilihatnya.
“Kalau tak sihat kenapa tak ke klinik?” apabila Laila tidak menjawab soalannya Puan Maznah bertanya lagi.
Laila hanya menggeleng. Sesungguhnya dia tidak tahu apa jawapan yang harus diberikan kepada wanita yang amat baik hati ini. Dia terharu dengan perhatian wanita ini tetapi bukan semua perkara dapat dikongsikan dengan wanita ini.
“Muka awak pucat. Awak nampak macam ada masalah aja. Beritahulah saya kalau awak ada masalah. Saya tahu mesti ada yang tak kena ni. Kalau tak takkan awak tak datang kerja sampai tiga minggu. Langsung tak telefon pulak tu. Ini bukan sikap sebenar awak,” ucap Puan Maznah masih mempertahankan apa yang disangkakannya.
“Takde apa, Puan Maznah. Saya hanya tak sihat aja. Saya selalu sangat demam sekarang ni. Tak tahulah kenapa. Mungkin sebab cuaca panas sekarang.” Laila cuba berdalih lagi. Sesungguhnya dia tidak mahu sesiapa tahu apa yang telah menimpanya. Dia takut Lukman benar-benar mengotakan kata-katanya.
“Takpelah. Jadi awak tak mahu balik berkerja lagi? Awak masih ada dua minggu notis dengan syarikat.” Puan Maznah terpaksa akur apabila Laila tetap enggan juga membuka rahsianya. Dia sedar desakan bukanlah cara yang terbaik dalam keadaan Laila begini.
Laila berdiam lagi. Dia tidak mahu ke sana lagi tetapi dia tahu dia sudah melanggar protokol syarikat. Kini dia serba salah kepada Puan Maznah yang amat baik dengannya. Tetapi saat ini dia memang tidak ingin lagi memandang wajah Nazim. Dia tahu lelaki itu pasti bersubahat dengan Lukman.
“Laila, jangan berdiam diri macam ni. Saya bimbang tengok awak macam ni. Saya tahu ada sesuatu yang awak sorokkan dari saya. Berterus-teranglah! Anggap saya ni macam ibu awak. Jangan malu dengan saya. Apa sahaja masalahnya kita cuba selesaikan bersama. Takde masalah yang takde jalan keluar,” pujuk Puan Maznah lembut. Bahu Laila diusapnya perlahan.
“Tiada gunanya lagi. Hidup saya sudah musnah!” jawab Laila sebak. Air matanya terus mengalir tanpa dapat ditahan lagi. Dia sudah tiada emak. Sentuhan wanita ini benar-benar mengusik nalurinya. Saat-saat begini dia amat memerlukan ibunya untuk mengadu sayangnya emaknya sudah tiada lagi. Laila akhirnya tersedu-sedu menahan tangis di hadapan wanita itu.
“Kenapa ni, Laila? Apa yang dah berlaku sebenarnya? Cakap dengan saya!” desak Puan Maznah mula hilang sabar apabila melihat air mata Laila. Syaknya semenjak tadi memang berasas. Jika tidak masakan Laila menghilang begitu sahaja sedangkan pada kali terakhir dia melihat Laila, Laila amat ceria dengannya. Pasti ada sesuatu yang telah berlaku. Tambah lagi Laila sering mengelak dari memandangnya. Jelas sekali Laila sedang menyembunyikan suatu rahsia yang besar darinya.
Laila terus teresak-esak tanpa dapat memulakan bicara. Apa yang dilakukan Lukman selama beberapa minggu ini ini benar-benar menyiksa batinnya. Tanpa dapat ditahan dia dijadikan hamba seks oleh lelaki itu. Dia benar-benar sudah tidak sanggup lagi hidup begini. Inikah balasan yang harus diterimanya setelah menolak cinta lelaki itu?
“Jangan rahsiakan! Ceritakan pada saya..” desak Puan Maznah lagi.
“Saya diperkosa...” Laila akhirnya membuat pengakuan itu lantas dia menangis lagi.
Puan Maznah terpaku dengan mata terbuntang. Mulutnya terkumat-kamit menyebut kalimah istighfar. Tidak dia menyangka Laila akan mengalami nasib sehingga begini sekali. Akibat dek rasa terkejut dadanya yang sesak dipegangnya.
“Bila? Di mana? Siapa yang lakukan?” Puan Maznah mula dihambat rasa terkejut. Soalannya bertalu-talu. Ada sebahagian fikirannya sudah meneka yang ini perbuatan Nazim.
Laila menggeleng. Bibirnya bagaikan tidak sanggup untuk menyebut nama lelaki keji itu. Dia terlalu jijik dengan perbuatan lelaki. Hampir setiap malam dia bermimpi ngeri tentang lelaki itu.
“Awak dah buat laporan polis?” sekali lagi Puan Maznah menambah soalannya biarpun dia tahu Laila tidak mampu menjawabnya.
Sekali lagi Laila menggeleng. Dia tidak mampu mengawal kesedihannya lagi sehingga dia tidak berdaya untuk menjawab setiap soalan itu. Dia menangis sayu. Malang sungguh. Apa yang dilakukan Lukman tidak mampu ditahannya dan tidak mampu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Laila, cakap dengan saya. Jangan menangis! Siapa yang lakukan?” desak Puan Maznah agak kuat sambil memegang bahu Laila erat. Dia sudah tidak kisah lagi dengan tangisan Laila. Apa yang dia mahu tahu ialah siapa yang melakukan perbuatan keji itu kepada Laila.
“Lukman.” Laila akhirnya menyebut nama itu dalam esakan sayu.
“Lukman?” Dada Puan Maznah semakin tidak enak apabila mendengar nama itu. Dia cuba menolak kenyataan tetapi amat sukar. Harap-harap bukan Lukman anak saudara sepupunya itu. “Lukman mana ni? Awak kenal dia?” tanyanya pantas.
Laila hanya mengangguk. Sudah tentu dia kenal akan Lukman keparat itu. Lukman dan Nazim sama-sama iblis yang bertopengkan manusia. Konon mengaku sukakannya. Tetapi di sebalik itu Lukman ada hati yang cukup jahat!
“Lukman mana, Laila? Kenapa awak tak buat laporan polis?”
“Dia ugut saya. Saya takut dengan dia..”
“Lukman yang mana satu ni?”
“Lukman kawan Nazim.”
“Ahmad Nahij Lukman ke? Anak Tan Sri Fatah tu?”
Tangisan Laila terhenti terus apabila Puan Maznah menyebut sepotong nama itu. Nahij? Nama itu selalu berada di hatinya. Tetapi nama yang disebutkan oleh Puan Maznah ini bukan menggambarkan lelaki yang dipujanya. Nama itu mungkin milik lelaki lain.
“Apa puan cakap?” soal Laila sedikit tergamam.
“Saya tanya awak, Lukman anak Tan Sri Fatah tu ke? Atau Lukman lain?”
“Saya tak tahu. Yang saya tahu nama dia Lukman saja. Dia kawan Nazim. Dia selalu datang pejabat kita,” jawab Laila perlahan.
“Astaghfirullah-al-adzim! Dia anak Tan Sri Fatah dari Capital Holding. Dia Ahmad Nahij Lukman anak kepada tuan punya syarikat yang pernah berikan kita tander projek sebelum ini. Macamana awak kenal dia? Macamana ini boleh terjadi?”
Laila terpaku. Nahij lagi? Nama Lukman juga ada Nahij? Kebetulan apakah ini? Jadi lelaki yang menyentuhnya juga adalah Nahij tetapi bukan Nahij yang selalu berada di dalam bayangannya tetapi Nahij lain. Capital Holding? Asmadi...
Laila memegang kepalanya. Terasa langit sedang menghempap tubuhnya yang tidak bermaya. Ujian apakah ini? Banyak sungguh kebetulannya. Capital Holding adalah tempat kerja Asmadi. Laila masih ingat Asmadi ada memberitahu tempat kerjanya dengan UMBS Holding hanya dipisahkan beberapa blok bangunan sahaja. Asmadi ada memberitahu nama bosnya hampir sama dengan nama arwah suaminya tetapi dia yang tidak pernah mengambil berat. Dia tidak sangka Nahij yang dimaksudkan Asmadi adalah Lukman yang dikenalinya. Aduhai.. sungguh payah untuk dia menelan hakikat yang terbentang di hadapan matanya. Mengapa yang melakukan durja kepadanya juga memiliki nama Nahij?
“Awak kena buat laporan polis, Laila. Perkara ini tak boleh dibiarkan. Ini dah kes berat!” tekan Puan Maznah bersungguh. Dia tidak kisah siapa Lukman. Apa yang dia tahu Lukman mesti dihukum.
“Jangan, Puan Maznah! Saya tak mahu..”
“Kenapa? Dia dah buat awak macam ni awak masih nak biarkan dia?” ucap Puan Maznah meninggi tanpa dapat ditahannya. Masakan Laila hanya mahu menangis sepanjang hari tanpa melakukan apa-apa untuk penjenayah seperti itu?
“Bukan saya nak biarkan dia. Tapi dia dan Nazim ada kaitan. Saya takut mereka akan apa-apakan keluarga saya di kampung. Lukman dah ugut saya. Tolonglah, puan. Jangan hebohkan perkara ni. Lagipun dia.. dia..”
“Dia apa? Cakap, Laila!”
“Dia ada ambil gambar saya waktu saya tak sedar malam tu. Dia ugut akan sebarkan ke dalam internet kalau saya buat laporan polis. Lagipun dia banyak duit. Saya tahu dia akan buat apa sahaja asalkan dia terlepas. Apa akan jadi pada saya lepas tu? Saya takut!” luah Laila amat tertekan sekali.
Puan Maznah tergamam seketika sambil memandang Laila. Setakat ugutan yang satu itu masih boleh diselamatkan tetapi yang berkaitan dengan gambar itu ternyata amat sukar kerana ini melibatkan maruah Laila. Memang banyak sekali kisah yang didengarinya yang melibatkan penganiayaan dengan menggunakan teknologi internet. Sekelip mata sahaja keaiban orang boleh tersebar ke seluruh dunia.
“Astaghafirullah-al-adzim... apa nak jadi dengan dunia sekarang ni? Kenapa sampai macam ni sekali jahatnya manusia. Ya, Allah! Ya, Allah!” Puan Maznah mengeluh sambil memegang kepalanya. Dia menggeleng beberapa kali. Lukman adalah anak sepupunya dan apa yang dilakukannya kepada Laila amat berat untuk diterima!
“Jahat sungguh Lukman tu. Saya tak sangka dia sejahat itu!” luah Puan Maznah mengeras. Kini dia juga sudah tidak tahu apa yang harus dilakukan. Bimbang tersalah langkah maruah Laila lebih tercemar.
Laila hanya mampu mengesat air matanya. Dia tahu nasibnya memang malang. Amat kasihan sekali kerana dia tidak berani untuk mendapatkan pembelaan untuk dirinya. Dia tidak berdaya.
“Jadi macamana sekarang ni, Laila?”
“Saya tak tahu..”
Puan Maznah mengeluh seketika. Seketika kemudian dia memandang Laila semula. Dia bersimpati tetapi dia tetap tidak mahu Laila melumpuhkan semangatnya untuk bangkit semula.
“Beginilah.. Apa kata awak ambil sedikit masa ni untuk tenangkan fikiran awak. Saya tahu ini semua amat berat untuk awak pikul. Tapi percayalah, Laila. Keadilan yang paling adil adalah dari Allah. Jangan putus asa. Teruskan hidup macam biasa. Jangan patah semangat kerana ujian ini. Sayangkan kehidupan awak. Jangan musnahkannya kerana apa yang dah terjadi,” nasihat Puan Maznah lembut.
“Saya dah takde apa-apa lagi dalam hidup ni, puan. Semuanya dah musnah kerana jantan tu! Saya dah tak sanggup hidup macam ni!”
“Jangan cakap macam tu. Tak baik awak berputus asa macam ni. Memang mudah saya bercakap sebab tak kena pada saya tapi ingatlah, awak masih ada orang tua awak yang sayangkan awak. Jangan biarkan segala yang awak ada musnah kerana dia. Hidup mesti diteruskan, Laila. Dengar nasihat saya. Takde apa yang berubah dalam hidup awak. Awak masih ada orang tua awak. Awak masih ada saya yang selalu ambil berat tentang awak. Awak masih ada tawaran kerja yang masih menunggu awak. Jangan musnahkan semuanya kerana perbuatan Lukman. Dia akan mendapat balasannya, Laila. Percayalah! Janji Allah cepat atau lambat suatu hari nanti dia akan datang melutut pada awak memohon maaf pada awak atas apa yang dia dah lakukan pada awak. Buat sementara waktu awak bersabar dulu. Saya akan fikirkan apa caranya untuk menyelesaikan masalah awak ni.”
“Tapi dia tahu saya di sini, Puan Maznah. Dah banyak kali dia datang cari saya. Saya tak tahu mana nak pergi lagi. Saya dah tak sanggup lagi dijadikan hamba nafsu dia. Dia ugut saya macam-macam. Saya takut!” ucap Laila pula.
“Dia ada ulang semula perbuatan tu?”
“Banyak kali. Saya dah tak tahu nak buat apa. Kalau saya melawan dia pukul saya. Dia ugut nak bunuh saya dan keluarga saya. Saya buntu, puan. Dia buat saya macam pelacur!” rintih Laila dengan deraian air mata.
“Buat sementara ni saya nak awak tukar kunci rumah awak. Saya akan usahakan supaya awak berpindah ke tempat lain. Awak jangan bimbang. Dia takkan boleh cari awak lagi. Percaya pada saya! Kalau awak biarkan dia begitu sahaja, dia akan naik lemak. Dia anggap awak mainan dia sebab awak lemah. Awak jangan tunduk pada kehendak dia!” ucap Puan Maznah bersungguh.
Laila akur dalam diam. Sedikit sebanyak dorongan Puan Maznah menghidupkan semula hatinya yang terluka atas apa yang terjadi.
“Saya akan selalu hubungi awak. Jangan berdiam diri macam sebelum ni. Saya bimbangkan awak. Awak kena tahu ada orang sekeliling awak yang sayangkan awak macam anaknya sendiri,” tambah Puan Maznah sedikit lembut.
Laila sebak dengan kata-kata wanita itu. Terus sahaja dia memeluk wanita itu dan menangis lagi. syukur.. jika tiada Puan Maznah dia sendiri tidak tahu apa yang bakal berlaku pada dirinya. Dia amat berharap dapat keluar dari kehitaman ini secepat yang boleh!
“Jangan sedih. Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Bersabar! Allah ada bersama dengan kita, Laila. Jangan takut!” pujuk Puan Maznah lembut. Tubuh Laila diusapnya agar wanita itu tenang.
Dalam hati Puan Maznah dia amat simpati dengan nasib wanita ini. Sudahlah tidak bersuami lagi kini dirinya pula menjadi permainan lelaki durjana yang selalu menganggap wanita hanya bahan pemuas nafsu. Dalam diam Puan Maznah memasang tekad. Jika ada caranya untuk mengajar Lukman dan Nazim, dia berjanji sama sekali tidak akan melepaskan dua manusia itu.
Sama sekali tidak akan!

Esoknya Puan Maznah datang lagi ke rumah Laila. Kali ini dia membawa berita yang amat menggembirakan Laila. Puan Maznah sudah menemukan Laila sebuah rumah lain. Walaupun mungkin harga sewanya dua kali ganda dari harga rumah yang didudukinya sebelum ini namun yang pastinya hanya dengan cara itu dapat menyelamatkan Laila dari dijadikan mangsa nafsu buas Lukman lagi. Sebuah apartment siap dengan perabot di Pantai Baharu yang dirasakan selamat buat Laila memandangkan mempunyai kawalan keselamatan kepada harta benda dan juga penghuninya.
Laila nekad tidak ingin menunggu lagi. Setelah dibawa oleh Puan Maznah bertemu dengan tuan rumah itu Laila segera diberikan kunci rumah. Mujur juga rumah itu baru dikosongkan oleh penyewa lama. Tidaklah berhabuk sana sini. Dia boleh terus memindahkan barangannya. Mujur juga barangannya tidak sebanyak mana. Kebanyakan perabot adalah milik tuan rumah. Dia hanya perlu membawa pakaian dan beberapa keperluan lain. Laila turut menukar nombor telefonnya kerana dia tahu Lukman pasti akan menelefonnya jika gagal mencarinya di rumah.
Puan Maznah sendiri ikut membantu Laila memindahkan barangannya ke rumah itu. Malahan ada beberapa pekakas eletrik dibelikannya untuk Laila. Terlalu banyak bantuan yang diberikan oleh Puan Maznah kepadanya sehingga dia tidak tahu bagaimana hendak berterima kasih.
Namun bagi Puan Maznah perhatian yang diberikannya ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Dia hanya mahu Laila memulakan hidupnya dengan selamat di rumah itu tanpa gangguan lagi. Mungkin mereka tidak mampu untuk mengheret lelaki itu ke muka pengadilan seperti yang seharusnya. Cukuplah jika Laila dapat melupakan semuanya dan meneruskan hidup yang penuh cabaran ini dengan tabah.
Beberapa hari itu hidup Laila kembali tenang. Tiada lagi kerisauan sekiranya Lukman mengetuk pintu rumahnya pada malam hari. Laila sedia untuk melupakan semuanya biarpun dirasakan sukar. Biarpun kerisauan masih ada namun dia yakin Lukman tidak akan menemui dia di sini kerana hanya Puan Maznah yang tahu di mana dia berada kini.
Laila mula memikirkan apa yang harus dilakukannya selepas ini. Rasanya dia tidak boleh lagi memulakan kerja di UMBS kerana tempat itu berdekatan dengan Lukman. Keberangkalian untuk dia menemui Lukman agak besar. Memikirkan itu Laila memutuskan untuk memulakan pencariannya di tempat lain. Dia yakin, bukan sekadar di UMBS dia boleh mencipta kejayaan dalam hidupnya. Rezeki berada di mana-mana.
Melalui internet Laila memulakan pencarian. Tanpa jemu dia membelek lama-laman web yang ada memaparkan tawaran kerja dan menyelak akhbar untuk mencari peluang yang ada. Nasibnya agak baik kerana melalui laman web dia melihat ada beberapa tawaran yang memerlukan kemasukan segera mungkin bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang dia miliki. Lebih bernasib baik lagi dua hari selepas dia membuat permohonan satu panggilan masuk ke telefonnya yang meminta dia untuk bertemu dengan seseorang yang bernama Mahesh pada jam dua petang pada hari yang sama untuk proses temuduga. Kini setelah beberapa minggu hidupnya diselubungi kesedihan baru kali ini dia merasa sedikit kegembiraan biarpun tidak sepenuhnya.
Pertemuan dengan Encik Mahesh dari syarikat penerbangan Emirates Airlines itu membenihkan kegembiraan yang lebih besar buat Laila. setelah hampir setengah jam berbincang dia diminta oleh Pengurus Sumber Manusia Emirates Airlines itu untuk menghadiri sekali lagi sesi temuduga di pejabat operasi syarikat itu setelah segala dokumen yang diperlukan dapat disediakan. Tanpa banyak kira Laila segera bersetuju. Baginya tidak susah untuk dia menyediakan passport antarabangsa dan juga beberapa dokumen berkaitan sejarah pendidikannya sebelum ini. setahunya untuk mendapatkan passport antarabangsa proses permohonannya hanya memakan masa seminggu. Dari Encik Mahesh syarikat sedia memberikan dia tempoh itu sebelum menghadiri temuduga kedua. Dari Encik Mahesh juga dia diberitahu sekiranya calon sudah dipanggil untuk temuduga kali kedua itu bermakna calon itu sudah dipilih untuk menjawat jawatan yang dimohon. Betapa bersyukurnya Laila dengan rezeki yang datang. Dia sedar dalam dugaan yang melanda dia yakin ALLAH masih kasihankan dirinya. ALLAH tidak akan menzaliminya. Sesuatu yang hilang dari sisinya ALLAH akan gantikan semula dengan yang lain. Kini keyakinan Laila semakin terpahat kukuh. Tidak selama hidupnya akan derita.

1 ulasan: