Sabtu, 31 Ogos 2013

39-40 MSM

39

Bahagia tidak selamanya milik kita..
Pagi itu Lukman muncung sahaja. Ada yang dia tidak puas hati nampaknya. Semuanya gara-gara peristiwa malam tadi. Sengaja dia buat-buat tidak nampak kepada isterinya itu tanda boikot.
“Abang marah Laila ke ni?” soal Laila sengaja memanjakan suaranya kepada Lukman yang sedang mengenakan baju di tepi katil.
“Tak..” jawab Lukman meleret tanpa memandang Laila. Namun jika Laila lihat tanda-tanda yang ada di tubuhnya pasti Laila tidak akan bertanya seperti itu. Tidak dapat dinafikan dia bengang dengan apa yang berlaku semalam. Sudahlah apa yang diharapkan tidak terjadi. Sebaliknya tubuhnya penuh dengan corak gigitan isterinya. Kalau gigitan cinta yang mereka maksudkan di sini tidak mengapalah juga! Tetapi ini gigitan kanibal!
Laila menapak mendekati suaminya itu. Lengan Lukman dipautnya lembut. “Laila minta maaflah pasal semalam tu,” ucap Laila yang mula dihambat rasa serba salah melihat Lukman acuh tidak acuh kepadanya. Lengan Lukman diusap lembut tanda memujuk.
Lukman menghela nafas perlahan sambil memandang isterinya. Pandangan Laila yang sedang menagih simpati darinya tidak mampu diendahkan begitu sahaja. Jika tidak difikirkan wanita ini adalah buah hatinya memang Laila sudah ditamparnya semalam. Tetapi dia benar-benar tidak mengerti apa yang sedang berlaku kepada Laila. Tiba-tiba tabiatnya berubah. Suka menggigit pulak! Takkan pembawakan budak macam ni gayanya? Pelik!
“Sedap sangat ke gigit abang ni, Laila?” soal Lukman kesal. Dia menggeleng perlahan. Dahlah sakit kena gigit. Apa yang dia nak dia tak dapat, memanglah bengang!
“Abang tak suka ke?” soal Laila lembut sambil tergelak perlahan.
“Suka? Abang macam dah nak histeria semalam, Laila boleh tanya macam tu pada abang? Hilang mood nak sayang-sayang! Laila ni memang teruk!” tempelak Lukman dengan mata membulat kepada isterinya itu. Inikah Laila yang dikenalinya? Sikap Laila aneh benar. Sekejap manja.. sekajap lagi ganas pulak. Bila dah naik angin nanti, mulalah mogok bercakap sampai berminggu-minggu.
“Alah.. gurau sikit pun nak marah. Bukannya Laila gigit kuat sangat pun. Gigit manja je. Abang yang tak nak sayang-sayang semalam. Bukan Laila yang tak bagi ya?” Laila membalas selamba macam semua itu bukan satu masalah yang besar baginya.
“Manjalah sangat sampai lebam badan abang ni! Kalau dah kena gigit sampai nak berlubang badan ni, siapa yang ada mood nak sayang-sayang. Laila ingat badan abang ni sama macam ayam KFC ke? Sakit tahu tak!” getus Lukman semakin geram. Sedap aja dia bercakap! Lukman menggeleng perlahan. Aneh!
Wanita itu tergelak kuat. “Okeylah, Laila tak buat lagi..” ucap Laila kasihan melihat muka suaminya yang sudah tegang menahan buku dihati. Namun dia tidak mampu menahan tawanya melihat gelagat suaminya itu.
“Yalah tu! Dahlah! Jom kita sarapan.” degus Lukman terus keluar dari bilik.
Laila hanya tersenyum sambil membuntuti Lukman keluar dari bilik. Ketika di dapur ayahnya sudah duduk di kerusi sambil menghirup kopi. Laila pula segera ke rak untuk mengambil cawan buat Lukman. pagi ini mereka bersarapan mihun goreng yang digorengnya selepas subuh tadi.
“Ayah tak ke kebun hari ni?” soal Lukman setelah duduk di hadapan Haji Syahar.
“Tak. Semalam Cina pemborong tu dah datang ambil buah-buah kat kebun tu. Lagipun kamu berdua nak balik hari nikan? Ayah ingat nak duduk rumah aja hari ni. Pukul berapa kamu nak balik KL?” tanya orang tua itu lembut.
“Lepas zohor nanti, ayah. Tapi nak ajak Laila singgah di rumah Pak cik Zahari. Semalam dia ada menjemput ke rumah.”
“Elok benarlah tu kau pergi ziarah Pak cik Zahari dengan Mak cik Najihah tu. Boleh juga kamu berkenalan dengan dia orang berdua tu. Dia orang berdua tu rapat dengan ayah. Dah macam adik beradik. Lagipun dia orang tu dah takde sesiapa lagi selain kita semua,” ucap Haji Syahar lembut.
Lukman sekadar mengangguk kepada bicara ayah mertuanya itu. Kerusi di sebelahnya ditarik buat si isteri yang datang kepadanya. Tatkala Lukman sedang menoleh ke arah Laila, Haji Syahar ternampak sesuatu di leher menantunya itu.
“Kenapa dengan leher kamu tu, Lukman? Merah kenapa tu? Kamu kena sengat dengan serangga ke waktu di kebun semalam?” soal Haji Syahar tidak tertahan. Kesan kemerahan itu agak jelas dan nampak seolah-olah masih baru.
Lukman mengerling Laila yang sudah tersenyum semacam sambil menuangkan kopi buatnya. “Kena gigit dengan serangga ni ha!” ucap Lukman sambil memuncungkan bibirnya kepada Laila yang sudah tergelak. “Entah tersampuk apa, nak menggigit pulak! Sampai tak tidur malam kita dibuatnya. Ni ayah tengoklah.. semua kerja dia. Siksa betul!” desis Lukman sambil menyelak lengan bajunya.
“Ya, Allah.. apa Laila buat ni?” terkejut besar lelaki tua itu melihat kesan-kesan itu. Ada yang nampak teruk kesannya. Pantas matanya terarah kepada Laila yang selamba sahaja menyuap mihun goreng ke mulutnya.
“Nak jadi kanibal pulak agaknya.”
Jenaka Lukman itu segera menerbitkan tawa Haji Syahar. Sempat dia menggeleng sambil memandang Laila. “Ini pembawakan budak agaknya,” ucap Haji Syahar sekadar meneka. Selalunya perempuan hamil akan ada keinginan yang berlainan dari kebiasaan. Cuma tabiat Laila ini agak pelik.
“Tak mungkin pembawakan budak, ayah. Ini mesti wayar dia ada tersimpul kat mana-mana ni,” jawab Lukman dengan selamba dilukunya kepala isterinya itu.
“Sakitlah!” getus Laila sambil menjeling sekilas kepada lelaki itu. “Laila geram dengan abang sebab tu Laila gigit abang. Habis tu takkanlah nak gigit tiang seri rumah ni,” jawab Laila selamba tanpa merasa bersalah.
“Laila ni macam-macamlah. Waktu arwah mak mengandung dulu tak pernah pulak ayah kena gigit dengan mak,” kata Haji Syahar pula.
“Ini tabiat khas untuk wanita yang ada suami sengal, ayah. Macam Laila ni..” jawab Laila selamba dengan jelingan ekor matanya kepada suaminya itu.
Haji Syahar tergelak besar melihat Lukman menoleh dengan muka ketatnya kepada Laila. “Kurang asam punya bini! Ingat abang ni pekak ke tak dengar Laila kata abang ni sengal. Oh! Waktu nak suruh picit kaki, tak sengal pulak?” getus Lukman geram. Sedap aja dia mengutuk aku!
“Mengungkitlah tu! Kena gigit sikit je pun nak kecoh sampai ke Zimbabwe..”
Terbeliak mata Lukman saat itu. “Sikit? Macam ni sikit?” Geram dengan jawapan mudah isterinya dia menyelak lengan bajunya untuk dilihat Laila. Kemudian baju t’shirt itu diselak ke atas untuk tatapan isterinya. “Tengok ni.. tengok!” Selesai di dadanya Lukman mendongak sedikit dan bahagian dagunya disuakan untuk dilihat Laila. Semua bahagian itu terdapat kesan akibat perbuatan Laila malam tadi.
“Tak kuatkan? Sikit je ni! Ingat badan abang ni getah sekerap ke?” ejek Lukman geram sehingga terhambur tawa Laila kepada Lukman. Haji Syahar sekadar tersenyum melihat gelagat Laila dan Lukman bertekak di hadapannya. Pada matanya dia melihat ada keserasian yang ikhlas dalam hubungan mereka berdua.
“Ada satu aja cara kalau abang tak mahu Laila gigit abang,” ucap Laila sambil menjeling Lukman sekilas. Bibirnya terukir senyuman penuh makna.
“Apa caranya?”
“Abang jangan tidur dengan Laila lagi. Tidur bilik lain! Kalau abang takde sebelah Laila takdelah Laila gigit abang lagi,” ucap Laila mudah tanpa memandang Lukman. Mihun di pinggan terus di angkat dengan garfu lalu di suap ke mulut tanpa merasa bersalah sedangkan Lukman sudah merenungnya dengan pandangan tajam.
“Tak baik Laila cakap macam tu pada suami,” tegur Haji Syahar lembut bersama sedikit senyuman.
“Takpe, ayah. Nanti dia tahulah bila kaki dia sakit takde siapa yang nak sapukan minyak. Time tu mulalah.. abang.. abang.. kaki Laila ni sakit,” ejek Lukman dengan mulut herot berot mengajuk gaya Laila memanggilnya.
“Abang ni..” tukas Laila sambil ketawa. Serentak itu dia menempel lagi di tepi Lukman seolah-olah mahu bermanja. Tetapi spontan itu juga lengan Lukman yang berbalut dengan t’shirt putih itu digigitnya geram.
Terbeliak mata Haji Syahar melihat gelagat Laila yang sudah tidak boleh dikawal.
“Ayah nampakkan?” ucap Lukman sambil menoleh ke arah bapa mertuanya itu.
“Sedaplah gigit abang ni. Betullah abang cakap tadi. Macam rasa ayam kfc,” ucap Laila setelah melepaskan lengan Lukman.
Haji Syahar hanya mampu ketawa melihat gelagat anak perempuannya itu. Dalam keadaan Laila begitu dia tidak tahu bagaimana mahu menegur Laila. Dia tahu tindakan Laila itu disebabkan oleh pembawakan bayi dalam kandungannya.
“Macamana? Seronok jaga orang mengandung ni, Lukman? Ayah dah merasa tiga kali. Kamu tak tahulah berapa kali.”
“Pening, ayah!” sambut Lukman pantas sambil mengerling Laila yang tersengih sendiri.
Haji Syahar ketawa perlahan. “Sabarlah, Lukman. Anak siapa lagi kalau bukan anak-anak kamu.” Hanya itu yang mampu diucapkan Haji Syahar kepada Lukman. Namun saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gembirnya dia melihat gelak tawa Laila kembali semula di matanya. Sinar di mata Laila sudah cukup untuk dimengertikan olehnya. Laila sedang bahagia dengan kehidupannya kini.
Syukur.. semua yang berlaku sudah pun Allah tunjukkan hikmahnya.

“Lain kali bila balik ke mari singgahlah di rumah pak cik ni, Lukman. Tak payah tunggu kami jemput, datang aja. Keluarga Laila ni dah macam keluarga kami sendiri.” Pak cik Zahari berkata lembut usai pertemuan mereka petang itu.
“Insya-Allah, pak cik. Ada kesempatan kami ke mari lagi,” balas Lukman lembut dengan senang hati. Kehadirannya disambut baik oleh dua orang tua itu. Sangkaan demi sangkaan buruk yang pernah menerjah hatinya dahulu mula lenyap dengan sendirinya tanpa dipaksa.
“Umi, babah.. kami balik dulu ya?” ucap Laila lembut sebelum masuk ke dalam kereta.
“Iyalah. Bawa kereta baik-baik, Lukman. Jaga Laila tu elok-elok. Ada masa balik jenguk ayah kamu tu. Kesian dia sendiri aja di rumah tu,” pesan Pak cik Zahari lembut.
“Pak cik, mak cik.. kami jalan dulu. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Lukman pula kepada Pak cik Zahari dan Mak cik Najihah. Dua manusia itu sekadar mengangguk dan melambai sebelum mereka berlalu.
Sebelum meninggalkan kampung itu sekali lagi Lukman diminta oleh Laila untuk singgah di pusara. Biarpun agak berat namun Lukman tidak sampai hati pula mahu menolak. Walkswagon Passat itu dibelokkan menuju ke kawasan perkuburan. Sebaik sahaja berhenti di hadapan gerbang masuk ke kawasan perkuburan itu Laila terus keluar dari kereta. Lukman juga ikut melakukan hal yang sama. Kali ini dia berhasrat untuk  menurut isterinya itu ke pusara yang mahu dijengah Laila.
“Abang nak ikut sekali ke?” tanya Laila sambil menghentikan langkahnya.
“Yalah. Tak boleh ke abang nak jumpa madu abang tu?” balas Lukman. Nadanya tiba-tiba bertukar dingin. Sakit hati pula apabila Laila bertanya begitu. Seolah-olah Laila tidak senang dia ada bersama.
Laila hanya diam. Dia kembali meneruskan langkahnya menuju ke pusara yang dahulu sering dijengahnya. Saat tiba di situ entah kenapa hatinya kembali disapa pilu. Perlahan Laila duduk bersimpuh di sisi pusara itu sambil diperhatikan oleh Lukman. Nesan berwarna putih itu disentuhnya.
“Abang, Laila datang ziarah abang,” luah Laila agak perlahan.
Abang? Yang itu abang.. aku pun abang. Banyaknya abang! Satu sudahlah.. Lukman di sebelah mendegus dalam diam. Sudahlah panas! Kini hatinya sakit bagaikan dilapah-lapah melihat Laila menyentuh nesan kaku itu seolah-olah sedang menyentuh kekasih hatinya.
“Laila datang dengan suami dan anak Laila, bang. Maafkan Laila sebab dah lama tak datang sini. Mungkin lepas ni Laila tak dapat selalu ke sini. Laila dah ada kehidupan sendiri.” Laila bersuara lagi.
Ada getaran kesayuan dalan suara itu yang didengari Lukman. Buat seketika dia teringin untuk menyelami kesedihan Laila namun tidak mampu. Kerana saat ini hatinya hanya sarat oleh cemburu. Bosan memandang kubur itu Lukman memandang ke arah lain. Permandangan batu-batu putih di sekelilingnya diperhatikan. Kemudian dia bergerak menjauh meninggalkan Laila sendirian di kubur itu.
Hampir lima belas minit berada di situ akhirnya Laila bangkit semula. Dia menoleh mencari Lukman. Lelaki itu ditemuinya sedang duduk di birai batu sebuah kubur tidak jauh darinya. Perlahan dia melangkah mendekati suaminya itu.
“Tak elok abang duduk kat situ,” ucap Laila setelah berada di hadapan lelaki itu. Berpeluh-pelih Lukman dilihatnya.
“”Habis tu nak duduk kat mana? Mana ada sofa atau kerusi untuk bersantai-santai kat sini. Dah puas ke?” soal Lukman sinis. Pantas dia bangun sambil mengelap wajahnya yang sudah lencun dipanggang mentari. Mahu tidak! Sekarang baru jam tiga petang. Matahari masih garang!
“Apa yang puas?” balas Laila semula. Tidak faham reaksi lelaki itu.
Lukman tidak menjawab. Tanpa mempedulikan Laila dia terus berlalu dari kawasan itu. Laila yang memerhati mula terasa hairan. Tiba-tiba angin pulak dia! Detik hati Laila sendiri. Apa yang tidak kena?
Sepanjang perjalanan pulang ke KL Lukman lebih banyak berdiam diri. Wajah cerianya sebelum ini lesap entah kemana. Laila pula mengelamun sendiri memikirkan perubahan lelaki di sebelahnya. Apa kesalahan yang sudah dilakukannya? Adakah Lukman marah dia ke kubur arwah Nahij sebentar tadi? Dia sekadar menziarah, salah ke? Mood kurang baik Lukman cuba difahaminya. Namun kebisuan Lukman saat ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya. Dia tidak akan mengerti jika tidak Lukman sendiri yang berterus terang.
“Nak pergi tandas?” Setelah berjam-jam mogok suara, baru kini kedengaran suara Lukman menyapa. Ketika itu kereta lelaki itu mula membelok masuk ke sebuah hentian rehat dan rawat.
Laila sekadar menggeleng. Melihat gelengan itu Lukman meneruskan hala tuju keretanya ke stesen minyak. Tanpa berkata apa-apa dia terus keluar dari kereta. Selesai mengisi minyak kereta itu mula bergerak kembali ke lebuh raya.
“Abang marahkan Laila ke?” soal Laila akhirnya. Dia sudah tidak lagi mampu berdiam diri.
Lukman hanya membisu. Soalan itu terbiar begitu sahaja. Hatinya masih sakit mengenangkan kenyataan yang ada. Laila masih memuja bekas suaminya sedangkan suaminya yang masih hidup ini perasaannya terbiar begitu sahaja! Tidak adil! Sia-sia sahaja semuanya!
“Kalau abang tak puas hati dengan Laila cakap ajalah. Jangan boikot Laila macam ni,” ucap Laila lagi. Dia benar-benar sudah tidak tahan menghadap kebisuan Lukman.
“Mana ada abang boikot Laila. Abang diam sebab abang takde mood nak berbual. Salah ke?” balas Lukman agak kasar berserta sebuah kerlingan tajam.
Laila sedikit terkejut mendengar nada kasar Lukman. Sakit hatinya melihat sikap Lukman. “Suka hati abanglah. Laila tanya elok-elok abang layan Laila macam ni. Fine! Kalau sekadar singgah di kubur tadi tu menyusahkan sangat pada abang, Laila takkan ajak abang balik kampung Laila lagi. Lagipun apa nak kisah.. lepas Laila bersalin nanti kita akan bercerai. Kita dengan jalan hidup kita masing-masingkan? Itu yang abang nak sangat!” degus Laila semakin sakit hati. Serentak itu dia terus bersandar ke kerusi lalu memejamkan mata. Tadi aku ajak pergi situ dia tak kata pulak tak boleh. Sekarang aku pulak dimarah-marahnya.. dalam dia hati Laila mendongkol sendiri.
Terkedu Lukman mendengar bicara Laila itu. Namun dia hanya berdiam. Kenyataan Laila benar-benar tadi tidak disukainya. Namun dia seperti sudah hilang daya untuk membantah. Serta merta babak-babak ketika mereka di tanah perkuburan tadi terimbau dek benaknya. Sebuah keluhan terhela tanpa sengaja. Memang benar dia cemburu mengenangkan kasih Laila kepada lelaki itu. Susah benar untuk dia menapak di taman hati isterinya sendiri. Tujuan dia membawa Laila kembali ke kampung adalah untuk membuat wanita itu gembira tetapi sebaliknya hatinya yang tersiksa. Beberapa bulan ini dia tegar mendekati Laila biarpun kadang-kala layanan wanita itu teramat dingin. Semuanya kerana dia mahukan kasih Laila menjadi miliknya tetapi sayang, lelaki itu juga yang dipuja Laila. Apa yang kurang padanya berbanding lelaki itu?
Keadaan bisu itu berterusan sehinggalah mereka tiba di rumah. Laila yang keletihan terus masuk ke bilik tidur. Dia hanya mahu berehat. Merehatkan tubuh yang kelesuan dan merehatkan hati yang berperang hebat. Lukman langsung tidak ditegurnya.
Namun sehingga ke tengah malam itu Laila terbedik-bedik sendiri tidak mampu melelapkan mata. Kerinduan itu timbul lagi tanpa dapat disekat. Saat ini apa yang dimahukannya hanyalah kehadiran Lukman di sisinya. Pelik! Dia sendiri tidak tahu mengapa dia mengalami keadaan ini. Dalam keadaan hatinya masih berbuku kepada Lukman dia masih mahukan lelaki itu berada dekat dengannya. Dia masih mahukan pelukan dan belaian Lukman.
Teringat Laila akan kejadian malam semalam. Lukman mengalah kepadanya biarpun tersiksa menanggung kesakitan. Dia pula seronok memperlakukan Lukman semahunya. Mengenangkan kemesraan itu, ego Laila rebah menyembah bumi. Sengketa mereka enggan terus dibajai.
Tanpa sedar dia bangun dari pembaringannya. Laju sahaja kakinya mencari bilik Lukman. Tanpa segan silu laju pula tangannya memulas tombol pintu bilik itu. Apabila daun pintu itu terbuka luas Laila terus menyelinap masuk.
Lukman yang sudah terlena keletihan memandu siang tadi langsung tidak sedar kehadiran Laila. Dengkuran halusnya memecah keheningan bilik itu. Laila mengusap lembut rambut Lukman.
Sayang ke dia pada aku? bisik hati kecil Laila.
Wajah si suami ditatapnya lama. Ada kedamaian hadir di lubuk hatinya saat memandang lelaki itu. Adakah itu tandanya hatinya sudah diikat kepada lelaki ini? Dulu benci macam nak gila.. sekarang suka bagai nak rak.. hati Laila berkata-kata lagi. Perlahan Laila merebahkan tubuh bersama perut boyotnya di sisi Lukman. Batang tubuh si suami dipeluknya gemas untuk meredakan rindunya yang sedang membuak-buak.
Namun seketika kemudian Lukman tersedar. Dia terkejut melihat Laila berada di sisinya. Mindanya segera teringat kepada kejadian malam semalam. Dia tahu apa yang dimahukan Laila saat ini. “Abang penat, Laila..” ucap Lukman lantas menolak tangan Laila yang melingkari tubuhnya. Serentak itu dia berpaling membelakangi isterinya. Sesungguhnya saat ini dia terlalu letih untuk menjadi bahan deraan wanita itu.
“Laila tak boleh tidur kalau tak dapat peluk abang,” rengek Laila manja.
“Habis tu takkan Laila nak buat abang sampai tak boleh tidur sama macam Laila pulak. Abang penat ni!” degus Lukman tidak peduli.
Laila sedikit terhiris dengan penolakan itu. Namun dia tidak ingin berputus asa secepat ini. Dari belakang dia kembali memeluk Lukman. Tubuh tidak berbaju itu diusap berkali-kali sehingga Lukman kembali merasa terganggu. Angin yang tidak baik ditambah dengan keletihan pada tubuhnya segera membuatkan kemarahannya melonjak naik serta merta. Tangan Laila ditolaknya kasar. Lukman bingkas bangun dari pembaringannya lalu berdiri di tepi katil dengan wajah bengis.
“Aku penat, kau faham tak? Baru sekarang kau nak ingat aku! Kenapa kau tak peluk aja bekas suami kau dalam kubur tu tadi? Tak boleh ke kau biarkan aku berehat sekejap daripada melayan perangai kau yang entah apa-apa ni? Tak habis-habis nak menyusahkan hidup aku!” tengkingnya tanpa sedar.
Laila tersentak hebat. Herdikan itu ternyata lebih lantang dan kasar berbanding semalam. Watak Lukman saat ini mula mengingatkan dia kepada seorang lelaki yang pernah menzaliminya suatu masa dulu. Tanpa sedar Laila mengingsut menjauhi lelaki itu. Betapa saat ini hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa remuk hatinya dengan kata-kata Lukman. Rupanya selama ini dia telah banyak menyusahkan lelaki itu. Barulah dia tersedar dari mimpinya.
Saat itu Laila segera bangun dari katil itu bersama esakannya terhela kuat. Laila terus berlalu ke arah pintu bilik itu bersama hati yang punah berkecai. Tangisan Laila membuatkan Lukman segera tersedar akan perbuatannya.
“Sayang..” panggil Lukman pantas. Wanita itu segera dikejarnya. Pergelangan tangan Laila diraihnya ketika mereka berada di hadapan pintu bilik Laila. “Laila, abang tak sengaja cakap macam tu tadi. Abang tak berniat macam tu. Maafkan abang,” ucap Lukman penuh kekesalan.
“Takpe. Laila takkan susahkan hidup abang lagi lepas ni. Laila janji! Abang tersiksa hidup dengan Lailakan? Abang penat layan kerenah Laila. Cuma tiga bulan aja lagi. Lepas tu Laila akan pergi jauh dari hidup abang,” ucap Laila dalam esakan. Pautan Lukman segera dileraikan. Hatinya hancur luluh mendengar bicara Lukman sebentar tadi.
“Laila, jangan macam ni. Abang tak sengaja, sayang. Tolong jangan buat abang macam ni. Abang cuma..” Lukman tidak dapat menghabiskan bicaranya apabila Laila lebih pantas menghilangkan diri ke dalam bilik. Lelaki itu kekeluan memandang pintu bilik yang tertutup rapat. Saat itu dia benar-benar kesal kerana menurutkan hasutan iblis. Tidak tertanggung olehnya rasa kasihan mengenangkan keadaan Laila yang sedang hamil.
Letih? Apalah yang hendak diletihkan benar jika esok dia tidak berkerja? Lukman cuba membuka pintu itu namun pintu itu berkunci. Sudah lama Laila meninggalkan tabiat mengunci pintu biliknya. Kini fiil itu sudah kembali semula. Perasaan Lukman benar-benar tidak sedap jadinya.
“Sayang, bukak pintu ni. Bagi abang masuk..” pinta Lukman sambil mengetuk perlahan pintu itu. Namun tiada balasan langsung dari Laila.
“Sayang, bukaklah pintu ni. Tolong jangan buat abang macam ni. Sayang nak gigit abang sampai pagi pun abang bagi. Nanti Laila tak boleh tidur kalau tak gigit abangkan? Laila nak buat apa pun abang bagi. Bukalah pintu ni, sayang..” seru Lukman cukup lembut untuk menambat semula hati wanita yang sedang merajuk di dalam bilik itu. Namun masih juga hampa.
“Sayang, janganlah marah abang. Jangan benci abang,” keluh Lukman benar-benar kesedihan.
Lukman menghela nafas perlahan. Peristiwa tadi terimbas lagi di fikirannya. Rengekan Laila sebentar tadi membuatkan dia merasa amat bersalah. Apa salahnya dia berkorban sedikit?
“Yang, bukalah pintu ni. Kesianlah dekat abang ni. Abang tak boleh tidur kalau Laila merajuk macam ni. Please...” rayu Lukman mencuba sekali lagi. Namun seperti tadi Laila masih tidak mempedulikan pujukannya.
“Esok pagi kejut abang ya? Abang hantar Laila pergi kerja. Jangan pergi sendiri tau!” ucap Lukman lagi. Sudah macam orang bodoh dia bercakap dengan pintu. Lukman pegun seketika menanti apakah ada apa-apa reaksi dari dalam bilik itu namun dia hampa lagi.
“Sayang dengarkan apa abang cakap tadi? Tunggu abang esok ya?”
Menyedari tiada apa lagi yang dapat dilakukan Lukman masuk semula ke dalam biliknya dengan langkah longlai. Beberapa minit setelah berbaring sambil memikirkan Laila dia akhirnya terlelap.

Keesokan paginya Lukman kelewatan bangun. Tergopoh gapah dia mencari Laila di biliknya namun kelibat Laila sudah tiada. Lukman memandang bilik itu bersama seribu kehampaan. Seketika kemudian Lukman ke dapur. Seperti biasa Laila ada menyediakan makanan untuknya. Kali ini Laila tidak lagi menyediakan bubur nasi sebaliknya lauk asam rebus ditinggalkan di dalam periuk dan sayur sawi goreng di bawah tudung saji.
Lukman kesal sendiri. Laila tidak mengejutkan untuk menghantar wanita itu ke tempat kerja. Laila kembali semula kepada tabiat lamanya. Lukman tahu kerana kejadian semalam Laila kembali meletakkan tembok antara mereka. Namun saat ini biar apa pun keadaannya dia sama sekali tidak akan membenarkan!

40

Hari ini Laila terpaksa bercuti separuh hari memandangkan dia harus ke klinik untuk rutin pemeriksaan kandungannya. Seingatnya sebelum ini Lukman ada berjanji mahu menghantarnya ke klinik yang terletak dekat dengan kediamannya. Tetapi sudah hampir sejam dia menanti bayang Lukman tidak juga kelihatan. Sedangkan waktu temujanjinya dengan doktor sudah hampir tiba dan apa yang paling penting saat ini, segala urusan melepasi angka tiga petang tidak akan dilayan lagi di klinik itu. Rasanya Lukman juga sedar setiap hari Isnin dan Selasa pada setiap minggu dia harus ke membuat pemeriksaan di klinik ibu-ibu mengandung di Pantai Bharu. Masakan Lukman lupa sedangkan sebelum ini lelaki itu tidak pernah culas menghantar dan menjemputnya untuk urusan itu?
Demi perkembangan kandungannya Laila sedia melupakan peristiwa malam tadi. Namun puas dia memanggil lelaki itu. Tidak sekali pun panggilannya dapat dihubungkan. SMS yang dikirimkannya juga tidak dijawab oleh Lukman. Perutnya juga sudah mula berkeroncong. Akhirnya Laila memilih untuk makan di cafeteria aras 3 sementara menanti Lukman membalas panggilannya.
Namun sehingga selesai mengisi perut masih juga tiada panggilan masuk dari Lukman. Menyedari jam sudah menuju ke 1:30 tengahari Laila memilih untuk pergi sendiri menaiki ERL. Rasanya menggunakan pengangkutan itu lebih pantas berbanding menaiki teksi atau limosin yang terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya.
Laila tiba di klinik itu sejam kemudian. Termengah-mengah dia kerana terpaksa berkejaran untuk tiba ke klinik itu sebelum jam tiga petang. Mujurlah dia tetap dilayan biarpun sempat dimarahi kerana lambat.
Sedang dia berurusan di dalam bilik pemeriksaan tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan satu sms masuk ke telefon bimbitnya. Laila pantas membukanya dengan harapan Lukman sudah membalas smsnya. Tetapi apa yang kelihatan di skrinnya bukanlah satu sms sebaliknya mms daripada seseorang yang tidak dikenalinya.
Berderau darah Laila melihat gambar suaminya bersama dengan seorang wanita yang tidak dikenalinya. Haru biru perasaannya seakan saat itu juga dia mahu keluar dari bilik pemeriksaan. Di bahagian bawah gambar itu tertera nama lokasi.
Garden Hotel- Room 1819
Patutlah aku telefon tak dapat. Rupanya sedap kepit betina lain! desis Laila bengang. Matanya membulat merenung gambar yang dihantar kepadanya itu. Namun semakin lama dia memandang jiwanya sendiri yang semakin parah!
Laila tidak ingin berfikir yang tidak-tidak. Mungkin segalanya tidaklah seburuk yang disangka. Namun hanya Tuhan yang tahu, saat ini hatinya bak kaca yang sudah terhempas ke batu! Kecurangan Lukman begitu jelas di hadapan matanya. Bagaimana dia mahu bertenang lagi?
Laila sampai di rumah ketika jam sudah hampir ke angka 5 petang. Cuba ditenangkan hatinya dengan bersolat. Namun bayangan Lukman benar-benar menggangu emosinya.
Air mata Laila menitis ke pipi. Selama dia di klinik sebentar tadi sekalipun Lukman tidak ada menelefonnya untuk bertanya di mana dia berada. Hatinya semakin sarat oleh rasa luka. Entah kenapa saat ini dia merasakan dirinya sudah diketepikan. Dia bukan lagi agenda pertama dalam hidup Lukman setelah wanita itu hadir di hadapan matanya. Saat ini dia ingin percaya bahawasanya perkahwinan ini sememangnya hanya untuk seketika. Lukman tidaklah seperti yang disangkanya!
Mengapa semua ini berlaku setelah hatinya sarat oleh rasa sayang kepada lelaki itu? Tetapi salahnya juga! Mana pernah Lukman mengatakan cinta kepadanya? Sekalipun tidak pernah! Hanya dia yang perasan sendiri. Tanpa dapat ditahan air mata Laila semakin laju membasahi pipi. Mengapa kebahagiaan yang dirasakan hanya untuk seketika? Mengapa?

Hampir jam 12 malam barulah Lukman pulang ke rumah. Laila yang masih berjaga segera mematikan diri di dalam bilik. Saat ini dia memang tidak bersedia untuk menemui lelaki itu. Dia tidak sudi untuk memandang Lukman! Hatinya masih berdarah akibat peristiwa semalam dan hari ini.
Seperti yang dijangkanya tidak lama kemudian Lukman mula mengetuk pintu biliknya. Tetapi dia hanya buat pekak dan bisu sahaja. Kononnya dia sudah tertidur. Padahal matanya asyik merenung pintu itu seolah-olah dia sedang melihat aksi Lukman mengetuk pintu biliknya sambil memanggil namanya berkali-kali.
Tidak berjaya dengan mengetuk pintu akhirnya Lukman membuat panggilan ke telefon bimbit Laila pula. Berkali-kali panggilan itu masuk dan sekalipun Laila tidak melayannya sehinggalah Lukman berputus asa sendiri. Bersama langkah longlai Lukman kembali ke biliknya. Dia sedar ini kali kedua dia menghancurkan hati Laila setelah kejadian semalam!
Di biliknya Lukman duduk di birai katil. Kejadian siang tadi diimbas semula dengan jiwanya hebat bergolak. Dia tidak mengerti bagaimana semua itu boleh berlaku. Kalaulah dia tahu dia tersasar sejauh itu, sumpah! Dia tidak ingin melayan ajakan Mastura untuk bertemu siang tadi. Kini setelah semua itu, Lukman merasakan kiri dan kanan jalannya penuh noda. Dunianya seperti sudah berputar arah. Dia memendam rasa berdosa.
Lukman, dia pernah berjanji tidak akan mengulangi semua itu lagi. Tetapi apa yang paling dia tidak fahami. Mengapa semua itu boleh juga terjadi? Entahlah..

Keesokan paginya Laila bangun awal seperti biasa. Dia mula memasak seperti kebiasaannya. Selesai itu dia mula menyiapkan diri dan seterusnya ke tempat kerja seperti kebiasaannya.
Namun sepanjang masa itu, mood Laila bagaikan kapal terbang baru terhempas. Bersepai dan tidak ketentuan. Devy dan kakitangan bawahan yang lain mengerti dengan keadaan Laila, masing-masing tidak banyak cakap. Hanya fokus pada kerja mereka.
Entah apa yang tidak kena, hari itu bertimpa-timpa kedukaannya. Email sekali lagi tiba memberitahu dia tetap harus ke Singapura dalam waktu terdekat ini. Ditambah lagi MMS demi MMS aneh yang datang, semuanya semakin merosakkan perasaannya. Siapa si pemberi itu? Setiap kali Laila cuba memanggil semula, talian pasti dimatikan di hujung sana. Gambar-gambar Lukman yang dikirim membuatkan hatinya sakit diasak oleh rasa syak wasangka. Apa yang dilakukan Lukman di hotel itu bersama wanita lain?
Tengahari itu saat dia sudah bersiapa sedia untuk keluar makan ada panggilan masuk ke telefon di mejanya. Sangkanya pasti itu panggilan penting tetapi sebaik sahaja diangkat dia terdengar suara perempuan yang amat dikenalinya. “Puan Laila, panggilan dari husband you,” ucap Salmi.
Hati Laila menggerutu geram. Tidak berjaya berhubung melalui telefon bimbitnya Lukman menghubungi tempat kerjanya pula. Mahu sahaja dia menghamburkan kemarahannya saat itu tetapi menyedari yang berada di talian saat itu bukannya Lukman dia menyabarkan dirinya.
“Sambungkan,” pinta Laila lembut. Sesaat dua dia menanti akhirnya terdengar suara Lukman menyapanya. Terus dadanya berombak ganas. Gambar-gambar yang dikirimkan kepadanya kembali tertayang di hadapan matanya.
“Ada apa?” soal Laila mendatar.
“Kita makan tengahari bersama. Abang dah ada kat sini,” ucap Lukman lembut.
“Sini mana pulak?” soal Laila tidak mengerti.
“La.. kat KLIA nilah..”
“Buat apa abang datang?” ucap Laila separuh membentak. Kehadiran Lukman saat itu menambah lahar di hatinya.
“Kan abang dah cakap nak keluar makan dengan Laila?” Lukman tetap membalas lembut. Apa yang terjadi sekalipun dia harus memujuk Laila lagi. Soal semalam ingin dilupuskan dari ingatannya biarpun Lukman tahu itu mustahil.
“Laila tak cakap pun nak makan dengan abang. Yang abang sibuk datang sini, nak buat apa? Kan Laila dah masak kat rumah? Lain kali kalau abang suka sangat nak merayap ke sana ke mari tak payahlah Laila memasak lagi. Buat penat aja!” Laila masih dengan nada yang sama. Bengang dan marah terus menekan hatinya. Kali ini lebih hebat lagi.
“Laila, sekejap aja. Keluarlah.. abang ada kat pintu nombor 5, Arrival Hall ni. Cepatlah datang! Ada polis nak saman abang ni,” ucap Lukman merayu pula.
“Tunggulah!” Laila terus meletakkan telefon setelah itu. Dia kemudian memandang Devy yang masih menanti di ambang pintu biliknya. Wanita itu sedang tersenyum memandangnya.
“Perang ke?” soal Devy sambil tersenyum kecil. Bukannya dia tidak dengar perbualan Laila tadi.
“Ha’ah! Perang dunia tak tahu yang ke berapa pulak ni. Devy, I makan dengan husband I. Dia ada kat luar. You pergilah dengan dia orang ya?” ucap Laila lembut.
No problem. Pergilah habiskan perang you tu,” jawab Devy sambil tersenyum.
Laila terus mencapai beg tangannya tanpa mempedulikan usikan Devy. Kakinya terus dihalakan keluar dari bangunan ketibaan. Di seberang jalan Laila melihat Lukman berdiri di sebelah kereta sambil bercakap dengan seorang pegawai polis berbaju putih. Entah apa yang mereka bualkan tetapi Laila mengagak pegawai polis trafik itu pastinya menyuruh Lukman mengalihkan kereta dari situ memandangkan kawasan itu adalah kawasan larangan meletak kenderaan.
Pandangan mata Lukman segera beralih kepada Laila yang semakin menghampirinya. Dia tersenyum senang sambil menunjukkan kedatangan Laila kepada pegawai polis itu.
“Okaylah. Isteri saya dah sampai. Saya akan alihkan kereta ni sekarang,” ucap Lukman lembut.
“Lain kali jangan letak kereta kat sini, encik. Sini kawasan larangan meletak kenderaan,” ujar pegawai polis itu lembut.
Lukman hanya tersenyum sambil membukakan pintu buat Laila. Setelah Laila masuk dia sempat melambaikan tangan kepada penjawat awam yang sudah bersedia untuk meninggalkan tempat itu dengan motorsikalnya.
“Kenapa pagi tadi Laila tak kejutkan abang?” soal Lukman sebaik sahaja dia masuk ke kereta dan menghidupkan enjin kereta itu.
“Malas!” Pendek sahaja jawapan Laila. Dia tersandar di kerusi sambil memandang ke hadapan. Bengkak hatinya bagaikan berdenyut-denyut tinggal menunggu masa sahaja untuk meletup. Mereka diam seketika saat kereta itu meninggalkan kawasan itu. Laila juga tidak bertanya kemana Lukman mahu membawa dirinya untuk makan tengahari.
“Laila marahkan abang lagi?” Lukman memberanikan diri untuk menyoal.
“Kenapa pulak Laila nak marah abang?” balas Laila cukup sinis.
Lukman menghela nafas perlahan. Dia berasa bersalah kepada Laila. Dia sedar dia sudah menyakiti hati perempuan ini dengan melupakan janjinya semalam. Dia masih ingat sebelas panggilan tidak dijawab pada telefon bimbitnya semalam. Semua panggilan itu datangnya daripada Laila. Entah bagaimana dia boleh terlupa kepada Laila setelah bertemu dengan Mastura rakan lamanya itu.
“Abang minta maaf. Abang terlupa semalam, Laila. Abang tertinggal telefon dalam kereta waktu abang jumpa kawan semalam.” Lukman cuba menjelaskan keadaan yang berlaku semalam.
Laila hanya diam. Namun membara hatinya mendengar alasan ‘terlupa’ Lukman. Seronok benar Lukman berbual dengan wanita itu sehingga terlupakan janjinya. Namun itu masih tidak menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku di hotel sehinggalah Lukman pulang pada jam 12 tengah malam? Terlupa jalan balik ke rumah pulak ke?
“Laila, kenapa diam ni? Abang betul-betul minta maaf, Laila. Abang tak sengaja.” Lukman bersuara lagi untuk memujuk.
“Terpulang pada abanglah. Takkanlah Laila nak marah pulak bila abang tak datang ambil Laila. Cuma lain kali bila abang nak jumpa perempuan lain jangan pandai-pandai nak berjanji dengan Laila pulak. Atau sekurang-kurangnya bagitahu dulu tak dapat datang! Sebab Laila tak mahu jadi orang bodoh tertunggu-tunggu sampai Laila hampir terlepas temujanji dengan doktor semata-mata sebab menunggu abang!” desis Laila agak kasar.
Lukman pantas menuntaskan pandangannya kepada Laila. Seperti mahu tercekik rasanya apabila Laila begitu. Laila tahu dia bertemu dengan seorang wanita semalam? Padahal dia tidak ada mengatakan yang kawannya itu seorang wanita. “Mana Laila tahu abang jumpa perempuan semalam?” soal Lukman masih dengan reaksi terkejutnya.
“Tak payahlah abang tahu macamana Laila tahu. Apa yang penting Laila tahu. Laila bukannya dengar cakap orang! Alah! Setakat Mid Valley dengan Garden Hotel tu besar manalah sangatlah untuk seorang suami menyorokkan kecurangannya.” Laila menjawab tajam tanpa memandang Lukman.
Lukman menelan liurnya. Terasa kelat tekaknya saat ini. Perasaannya mula merasa tidak enak apabila mendengar nada Laila yang amat tajam itu. Apakah Laila nampak dia dan Mastura masuk ke hotel semalam? Alamak! Matilah aku..
“Laila, abang dengan dia tu cuma kawan biasa. Dia kawan lama abang masa di UK dulu. Abang cuma berbual dengan dia. Maklumlah dah lama tak jumpa. Rindu kenangan masa di UK dulu.” Entah kenapa ayat-ayat itu dilahirkan Lukman untuk mengaburi mata Laila. Hakikatnya apa yang berlaku semalam hanya dia dan Mastura yang tahu. Dia yakin!
Laila ketawa pahit. Semakin hancur hatinya mendengar alasan Lukman.
 “Abang minta maaf, Laila. Hari ni abang janji akan ambil Laila. Laila tunggu ya?” enggan berputus asa Lukman cuba memujuk lagi.
“Janganlah nak berlakon lagi, bang. Laila tahu apa yang abang cuba sembunyikan di belakang Laila.”
“Apa Laila cakap ni?”
“Abang ada di Garden Hotel semalam. Abang buat apa kat sana sampai tengah malam baru balik?” serang Laila tanpa menunggu lagi. Lahar yang disimpan akan diluahkan saat ini juga. Dia sudah tidak peduli!
Lukman meneguk liurnya. Jika dapat dilihat Laila pasti wanita itu tahu wajahnya sudah pucat sepucat-pucatnya. Namun Lukman pantas mengawal diri. “Hotel? Hotel apa pulak ni?” Lukman pantas berselindung namun dadanya sudah tidak keruan dengan degupan yang cukup pantas. Mengakui yang dia memang berada di bilik 1819 bersama Mastura semalam? Oh tidak!
“Teruskan berbohong kalau itu yang abang rasa baik. Tapi jangan lupa, kebenaran lambat atau tidak akan terbuka juga suatu hari nanti. Laila boleh maafkan abang kalau abang mengaku kesalahan abang tapi Laila takkan berkompromi kalau Laila dapat tahu abang main-mainkan perasaan Laila!” tegas Laila.
“Apa yang Laila merepek ni? Mana ada abang main-mainkan Laila!” bentak Lukman mula bengang dengan tuduhan Laila.
“Merepek? Abang rasa Laila merepek ke? Oh! Atau abang nak kata yang Laila tak berhak masuk campur dalam urusan abang sebab kita ni bukannya nak hidup bersama selamanya. Hubungan ni cuma sementara ajakan? Abang pun nampaknya dah mula maju selangkah ke depan berbanding Laila!” bentak Laila semakin meninggi.
“Kita yang memilih untuk berpisah atau Laila yang nak begitu? Masih tak boleh lupakan cinta lama?” Lukman yang mula sakit hati lantas meluahkan sindiran itu. Dia paling tidak suka mendengar atau berbual mengenai topik ini jika pengakhirannya dia akan mendengar perkataan cerai atau berpisah.
“Laila ke yang keluar dengan perempuan lain semalam?” meledak lagi kemarahan Laila saat itu. Nada suaranya terus meninggi tanpa dapat ditahan.
“Kan abang dah cakap yang dia tu kawan abang. Dia bukannya kekasih abang sampai perlu ke hotel semua! Laila nak abang cakap macamana lagi baru Laila nak faham?” Sebagaimana suara Laila yang meninggi begitu juga suara Lukman. Sakit hatinya apabila Laila asyik mencari kesalahannya.
“Peduli apa Laila dia tu kawan abang atau tidak! Tapi Laila ni benganglah, bang. Bila Laila keluar dengan Asmadi abang sengaja ikut Laila sebab abang takut Laila menggatal dengan lelaki lain. Seminit pun abang tak pernah lupa nak mengintip Laila. Abang marah Laila bila ziarah kubur arwah Nahij. Sedangkan abang sedar, apalah sangat orang yang dah mati boleh buat pada Laila? Mustahil dia boleh bangun semula dan rampas Laila dari abang! Tapi bila abang keluar dengan perempuan terus lupa apa yang abang janjikan dengan Laila! Jumpa perempuan bukan main seronok lagi berpegangan tangan, berpeluk-pelukkan macam orang takde bini! Itu yang abang kata sebagai kawan! Jadi abang beritahu Laila, siapa yang nampak macam nak berpisah sangat sekarang? Laila?” Laila terus menempelak Lukman lantang.
Lukman terus kehilangan bicara dihentam oleh bicara Laila. Dia menoleh seketika kepada isterinya itu. Dia sedar sifat cemburunya pernah membawanya sehingga mengintip pertemuan Laila dan Asmadi padahal pertemuan itu turut disertai oleh isteri Asmadi. Dia sedar dia tidak mampu untuk terus membiarkan begitu sahaja perasaan resah yang sering dialaminya kerana Laila.
Lukman menghela nafas cuba untuk mengawal kegelabahannya. Dia berharap Laila akan mengerti perasaannya saat ini. Dia teramat-amat menyayangi Laila. Itu yang dia tahu. Semalam? Semalam adalah satu kesalahan yang tidak mampu dibayangkannya. Dia sendiri tidak tahu mengapa itu semua terjadi. Tetapi berterus terang dengan Laila? Minta jauhlah! Menyedari keadaan sudah cukup tegang mereka berdua berdiam diri. Namun bagi Laila dia masih tidak berpuas hati selagi dia tidak tahu mengapa Lukman ke hotel semalam. Apa yang terjadi sekali pun dia tetap akan bertanya!
“Apa yang abang buat di hotel dengan perempuan tu semalam?”
“Okey! Okey! Abang tahu Laila marahkan abang sebab semalam. Abang minta maaf, Laila. Semalam tu abang memang terlupa. Abang minta maaf!” ucap Lukman separuh merayu. Soalan Laila sengaja diabaikannya.
“Laila bukannya bercakap pasal abang tak ambil Laila semalam. Tapi Laila bercakap pasal abang berada di Garden Hotel dengan perempuan seksi! Jangan nak mengelak! Tolonglah!” jerkah Laila semakin hilang sabar. Turun naik dadanya menahan marah. Belum sembuh luka di hatinya akibat diherdik Lukman kini Lukman menambah lagi sakit hatinya.
“Laila, sabarlah. Jangan macam ni. Baby kita..”
“Selama ni Laila percaya yang abang dah berubah. Abang yang selalu kata macam tu pada Laila selama ini. Kalau apa yang Laila syak ni tak benar, tolong beritahu Laila alasan yang logik kenapa abang berada di hotel sampai tengah malam baru balik rumah?” pintas Laila masih tetap meninggikan suaranya. Namun tanpa disedarinya air matanya sudah berderai di pipi. Betapa saat ini dia sudah tidak mampu menahan luka di hatinya.
Melihatkan keadaan yang sudah cukup tegang itu Lukman nekad menghentikan keretanya di tepi jalan. Wajahnya diraut perlahan. Semalam adalah kesilapannya yang teramat dasyat! Kesilapan yang tidak seharusnya dilakukan setelah dia meyakini yang dia amat mencintai Laila. Namun nafsu tidak mengenal apa-apa! Nafsu juga tidak mengira siapa! Lukman akur pada kebesaran dan kehebatan Yang Maha Kuasa! Sebentar sahaja kebenaran yang pernah dirasakan tidak akan terbuka sudah pun terbuka di hadapan Laila. Di pundaknya ini tertanggung satu beban yang maha besar. Dia tahu sepatah sahaja kata-kata yang akan dilahirkannya sudah tiada jalan untuk dia kembali menagih kasih Laila. Tetapi jalan untuk dia membohongi Laila juga tidak kelihatan lagi dihadapan mata. Lukman tahu dia sudah terperangkap dalam kesalahannya sendiri.
“Cakap, abang! Jangan berdiam diri macam ni. Laila nakkan penjelasan. Apa abang buat di hotel dengan perempuan tu?” herdik Laila masih tidak puas.
“Abang khilaf, Laila.”
Laila tersentak hebat mendengar mukadimah itu. Dadanya sudah tidak keruan. Adakah itu memaksudkan Lukman meniduri wanita lain selain dirinya?
“Abang..” Lukman tidak mampu meneruskan bicaranya. Di hadapannya kabur dengan cecair jernih yang sudah mengaburkan pandangannya. ‘Ya, Tuhan.. aku berdosa kepada-MU. Aku berdosa kepada isteri ku. Berilah aku jalan untuk kembali, Ya Tuhan. Tolonglah aku!’ hati Lukman merintih dalam kepiluan.
“Apa maksudnya abang khilaf? Cakap, bang!” desak Laila sudah tidak keruan. Tidak cukup itu lengan Lukman digoyangnya kuat agar lelaki itu berterus-terang.
“Maafkan abang, Laila. Abang cintakan Laila sangat-sangat! Abang tak mahu Laila tinggalkan abang. Abang tak boleh hidup tanpa Laila,” ucap Lukman cuba mengalih perhatian Laila namun dia tersentak apabila Laila menjerit sekuat-kuat hatinya. Tidak cukup itu wanita itu memukul wajah Lukman bagi melepaskan rasa sakit di hatinya.
“Sayang, jangan macam ni..” rayu Lukman.
“Kenapa abang tergamak buat Laila macam ni? Kenapa? Sampainya hati abang! Apa salah Laila, abang??” tempik Laila bagaikan orang hilang akal.
“Abang tak sengaja. Maafkan abang, sayang. Abang khilaf..” luah Lukman dalam kepiluan. Saat itu dia sudah teresak-esak menangis. Tubuh Laila dipeluknya erat biarpun wanita itu menolaknya. Namun akibat tidak berdaya Laila akhirnya teresak-esak menahan kesayuan di dalam pelukan Lukman.
“Abang janji takkan buat lagi. Berilah abang peluang sekali lagi, Laila.” Lukman merebut kesempatan itu untuk menagih kepercayaan Laila sekali lagi.
Namun saat itu Laila hanya menggeleng. Peluang apa lagi yang dimahukan Lukman? Semuanya sudah musnah! Baru sahaja hatinya mahu merasa bahagia kini Lukman sudah menghancurkan hatinya. Peluang apa lagi?
“Sayang, jangan macam ni. Maafkanlah abang. Abang tak sengaja, sayang. Jangan paksa abang berpisah dengan Laila. Abang tak boleh!” ucap Lukman bersungguh merayu.
Laila pantas menolak tubuh Lukman darinya. “Kalau betul abang sayangkan Laila abang takkan buat macam ni pada Laila! Kalau betul abang tak mahu berpisah dengan Laila abang akan fikir banyak kali sebelum masuk ke bilik hotel tu. Tapi tak! Semalam abang bukan main gembira seolah-olah Laila memang dah tak wujud lagi dalam hidup abang. Macamana Laila nak percayakan abang lagi? Abang dah janji takkan buat macam tu lagi tapi abang dah langgar janji! Abang nak Laila tanggung rasa bersalah ni seumur hidup? Sebab Laila ke abang jadi macam ni? Sebab layanan Laila kurang ke abang sampai hati buat macam ni?” ucap Laila kuat.
“Tak, sayang! Itu semua salah abang. Abang yang lemah. Abang yang bodoh!”
“Cukuplah! Laila tak mahu dengar apa-apa lagi.”
“Sayang, jangan macam ni. Cakaplah yang Laila maafkan abang. Tolonglah!”
“Maafkan abang lepas apa yang awak buat dengan perempuan tu? Tidak! Laila takkan maafkan abang sebab baru sekarang Laila tahu yang abang ni jenis lelaki penipu! Abang cakap abang dah berubah. Abang buat Laila percaya yang abang bukan lagi Lukman yang dulu, tapi tak! Abang masih Lukman yang dulu. Abang tak pernah berubah. Abang berikan Laila harapan palsu. Abang buat Laila jatuh hati pada abang. Tapi kemudian tanpa belas kasihan abang khianati perasaan Laila. Laila tak tahu kenapa Laila mesti teruskan perkahwinan ni! Laila nak abang ceraikan Laila sekarang!!” jerit Laila sudah hilang pertimbangan. Saat itu kepalanya benar-benar sakit namun dia tidak peduli. Rasa sakit yang terpendam di hatinya lebih dasyat dari sakit di kepalanya ini.
“Laila..” Lukman menangis teresak-esak. Sayu hatinya mendengar permintaan wanita itu. Namun saat ini dia sudah tidak mempunyai idea untuk membela dirinya. Di dalam kereta itu sepasang manusia itu saling bertangisan menyesali apa yang telah berlaku.
“Abang tak boleh ceraikan Laila. Abang tak sanggup!” ucap Lukman dalam esakannya.
“Laila tak nak dengar lagi. Cukuplah abang berbohong pada Laila.”
“Laila..”
“Tolong hantar Laila balik ke pejabat. Laila dah tak boleh lagi berfikir sekarang. Tak guna abang memujuk rayu dalam keadaan fikiran Laila macam ni. Kalau pun Laila perlu maafkan kesalahan abang ni, takkan boleh dalam sekelip mata. Laila perlukan masa! Tolonglah jangan paksa Laila!” pintas Laila enggan mendengar lagi.
Sesungguhnya hari ini dia bagaikan telah ditimpa oleh satu mala petaka yang amat besar! Terlalu besar!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan