Khamis, 17 Disember 2015

BAB 11-13 RELAKAN JIWA

BAB 11

TIADA istilah bertunang. Hanya tarikh nikah ditetapkan dalam masa terdekat itu. Tiada apa yang perlu mereka lengahkan lagi untuk dua manusia itu hidup bersama.
“Dira ajak Dani pergi beli cincin nikah. Mama tak ada masa nak pergi sekarang. Lagipun mama tahu, yang mama pilih mesti Dira tak berkenan. Jangan tangguh-tangguh lagi. Masa dah suntuk ni. Kada jemputan dah edar. Cincin nikah belum beli,” pesan Fatyma ketika makan malam bersama malam itu.
“Okay, ma.”
Usai makan malam, Adira terus naik ke kamar. Niatnya mahu mengubungi lelaki seorang itu. Sementelah sepanjang hari mereka tidak dapat berbual. Entah kenapa, kali ini dia tidak perlu menghubungi lelaki itu selalu. Memeriksa di mana lelaki itu berada. Apa yang sedang dibuatnya. Di mana malam dihabiskan. Dia tidak merasa tertekan memikirkan itu. Mungkin kerana dia tahu sikap lelaki itu seperti apa. Konsepnya mudah sahaja. Sekiranya lelaki itu tidak menghubunginya lama, dia yang akan menghubungi lelaki itu.
“Saya baru ingat nak call awak,” ucap Mat Dani setelah menjawab salam gadis itu.
“Awak kat mana?” tanya Adira lembut.
“Kat rumah. Baru lepas makan.”
Adira memandang jam. Hampir jam sembilan setengah. “Tak keluar merambu ke malam ni?”
“Soalan lain?”
Spontan Adira ketawa gelihati. Dah tentulah dia ni bukan kaki clubbing, lagi mahu tanya keluar ke tidak?
“Apasal awak gelak?” tanya Mat Dani.
“Awak ni kadang-kadang kelakarlah. Kadang-kadang serius.”
“Awak tanya saya tak keluar ke malam ni? Apa benda yang ada di luar tu malam-malam macam ni? Duduk rumah, rehat lagi bagus. Bangun pagi segar aja. Pergi kerja tak adalah mood berterabur.”
“Saja aja tanya. Manalah tahu ada aktiviti malam ni yang menarik kat luar tu yang awak berminat.”
“Saya keluar kalau ada sebab aja. Tipulah kalau saya tak keluar langsung.”
“Dani sayang..” panggil Adira lembut.
“Err. Ya..” lembik lututnya mendengar nada begitu halus itu. Rasa macam nak terbang mencari Adira di sana sahaja.
Seterusnya mereka berdiam. Mat Dani juga seperti tiada apa mahu diucapkan.
“Awak menggelabah ya?” teka Adira lantas ketawa.
“Saya tak pernah dengar awak panggil saya macam tu. Ada apa, Dira?” ujar Mat Dani perlahan.
“Hujung minggu ni kita keluar nak?”
“Boleh. Nak pergi mana?”
“Mama dah bising. Suruh pergi beli cincin.”
“Oh. Esok pun boleh.”
“Amboi. Ajak pergi beli cincin, terus free esok ya?”
“Hujung minggu lama lagi. Dah beberapa hari kita tak jumpa,” balas Mat Dani sambil menggaru kepalanya.
“Kenapa? Rindu ke?”
“Emm..” semakin tidak tentu arah lelaki seorang itu. Dia mana pandai berjiwang karat sangat. Dengar pula nada manja semacam di talian itu, mulalah dia kalut semacam.
“Hello.. ada orang ke tidak ni??” tegur Adira melalui corong itu.
“Saya dengar ni. Awak rindu saya ke?”
“Ni apasal tiru orang punya tag line ni?” getus Adira membuatkan Mat Dani ketawa pula.
“Saya rasa janggal. Selalunya kita tak macam ni,” ujar Mat Dani perlahan.
“Habis tu selalunya kita macam mana dulu?”
“Awak pun suka tiru tag line saya.”
“Mana ada!”
“Yang blur sentiasa ni saya. Awak jangan tiru perangai saya.”
“Mengaku pun!” ujar Adira lantas ketawa di talian. Sudahnya mereka sama-sama ketawa di talian itu.
“Esok saya ambil awak lepas kerja ya? Kita pergi beli cincin. Sambil kita makan malam bersama,” ujar Mat Dani lembut.
“Okay. Setakat pergi beli cincin aja, kan?”
“Maksud awak?”
“Ialah. Setakat pergi beli cincin ajalah. Mama yang suruh,” cebir Adira perlahan.
Mat Dani diam seketika. Seakan ada sesuatu yang dia mengerti di sebalik kata-kata itu.
“Saya memang nak jumpa awak. Saya rindukan awak.”
“Finally.. dengar juga mulut awak yang berat tu mengaku rindukan saya,” balas Adira pantas.
Tersengih-sengih Mat Dani seorang diri. Kelemahan dirinya, dia memang tidak pandai menabur ayat cinta dan rindu. Dia pemalu.
“Jumpa esok ya? Bye, abang..”
Sekali lagi Mat Dani terkedu. “Err.. apa awak pangil saya tadi?”
“Abang..”
Tidak tertelan liur Mat Dani mendengar itu. Seketika kemudian dia tersenyum. “Saya selalu ternanti-nanti panggilan tu.”
“Hanya untuk lelaki yang akan jadi suami saya.”
“Dira..” panggil Mat Dani lembut.
“Saya ni memang tak pandai bermain kata-kata. Mulut saya tak selalu ucapkan yang saya rindu. Tapi saya pergi cari awak bila saya terlalu rindu. Manusia, bila-bila masa aja kata-kata dan perbuatan tak seiring. Saya harap awak faham sikap saya.”
Adira tersenyum lembut mendengar kata-kata lelaki itu. “Ya, Dira faham. Saja aja nak test tadi.”
Mat Dani senyum seorang diri. “Abang selalu sayang Dira.”
Saat itu Adira pula yang terdiam. Dia pula yang macam nak rebah dibuatnya. Aduh! Lembutnya suara dia. Cair aku macam ni.. getus hati Adira sendiri.
“Assalamualaikum..” ucap Mat Dani tanpa menunggu balasan dari Adira.
“Waalaikumsalam..”

SELALUNYA dia pulang bersama mamanya. Hari itu ada seseorang yang istimewa datang menjemput. Kisah tentang perkahwinan yang bakal berlangsung sudah tersebar di kalangan sebilangan orang.
“Hai..” sapa Adira saat masuk ke kereta.
“Hai. Mama Dira dah balik?”
“Ada kat atas lagi. Dah nak balik tu,” jawab Adira lembut.
“Kita nak beli cincin di mana ni?”
“Mama suruh tengok dekat Habib Jewel aja. Senang nak cari cincin untuk lelaki. KLCC ada.”
“Okay.” Mat Dani terus menggerakkan kereta pergi.
Ketika berurusan di kedai barang kemas itu, lengang sama sekali di situ tanpa pelanggan lain. Setelah diterangkan tujuan dan apa yang hendak dicari, beberapa jenis cincin platinum dicadangkan kepada mereka. dan mereka sepakat bersama. Cincin pihak lelaki, bakal isteri yang pilihkan. Begitu juga sebaliknya.
Sudahnya dalam kesibukan itu, mereka berdua terpisah tanpa sedar. Masing-masing ralik dengan barangan yang hendak dibeli. Namun koleksi cincin untuk lelaki, tidak diminati Adira. Dia lebih suka memandang koleksi butang baju melayu. Dalam tidak sedar, ada seseorang yang melintas terpandangkan Adira bersendirian di situ. Pantas dia mendekat. Buat seketika dia berdiri di sebelah Adira. Memandang apa yang sedang dibelek oleh gadis itu.
“Abang..”
Mekar senyum Darius mendengar panggilan itu. “Ya, sayang..”
Adira terus menoleh. Berderau darahnya. Pantas ditarik semula tangannya. Tersalah pegang!
“Macam mana Dira tahu abang ada sebelah Dira?”
Soalan itu tidak berjawab sebaliknya dia menoleh mencari lelaki seorang itu. Dia terlihat Mat Dani sedang berurusan dengan seorang pelayan lain.
“Abang rindukan Dira. Maafkan abang. Abang rindu nak dengar suara Dira panggil abang.”
“Err..” Adira tidak terkata. Kalut. Aku bukan panggil kau tadilah! Mat Dani dilihatnya masih leka di hujung sana.
“Buat apa kat sini?” tanya Adira agak payah.
“Abang nak belikan sesuatu untuk Dira. Pilihlah mana yang Dira suka. Abang bayar,” ucap Darius dengan senyum manis.
“Dira dengan dia..” ucap Adira sambil memuncungkan mulutnya kepada lelaki seorang itu. Sedang membelek cincin.
Melihat lelaki itu, wajah Darius berubah serta merta. “Itu Dani, kan?”
“Ia. Kami nak beli cincin nikah.”
Sentap habis Darius mendengar itu. Baru sahaja putus tunang kini Adira sudah memilih lelaki lain sebagai penggantinya.
“Jadi memang betullah anggapan abang selama ni?”
“Abang anggaplah apa saja yang abang nak. Dira tak mahu explain kalau abang tetap nak percaya apa yang ada dalam fikiran abang.”
Kala itu Mat Dani menoleh. Melihat seseorang yang dia kenal berada di sisi Adira, dia segera mendekat. Tangan cuba dihulurkan kepada Darius. Namun Darius mendengus tidak suka.
“Kau tak payah nak poyolah!” getus Darius tanpa menyambut huluran tangan Mat Dani. Seterusnya dia segera berlalu dengan wajah mencuka. Terkedu mereka berdua di situ.
“Meroyan!” ucap Adira sepatah.
“Hmm..” tegur Mat Dani sambil menggeleng.
“Opss! Sorry..” Adira segera memegang mulutnya.
“Dia tak tahu kita nak kahwin?” tanya Mat Dani perlahan.
Adira terus menggeleng. “Dira tak pernah contact dia semenjak lepas putus tunang,” jawab Adira perlahan.
“Dia marah lagi tu,” komen Mat Dani perlahan.
“Jomlah cepat. Dah laparlah,” rungut Adira.
“Abang dah pilih cincin untuk Dira. Dira?”
“Dira tak mahu belikan abang cincin. Butang baju melayu boleh ya? Dira berkenan dengan satu jenis ni,” ucap Adira lantas mengajak lelaki itu melihat koleksi yang ditunjukkan kepadanya.
Mat Dani ikut membelek butang baju melayu itu. Memang cantik. Sudahnya dia bersetuju sahaja.
Mereka makan bersama di restoran berdekatan. Perbincangan lebih banyak kepada majlis nikah yang sudah tidak lama lagi. Tidak sampai sebulan.
“Dira rasa Dira nak jemput Darius. Tapi takut nak jumpa dia,” ucap Adira kepada lelaki itu.
“Kenapa?”
“Takut dia ingat Dira sangaja nak sakitkan hati dia. Tak jemput rasa macam tak elok pulak.”
“Jemput ajalah. Yang penting kita ikhlas nak jemput. Bukan sebab nak ejek dia. Suruh Abang Ryan yang cakapkan,” jawab Darius lembut.
“Esok Dira nak ofis abang Ryan. Dira nak jumpa dia sekali. Boleh ya?”
Mat Dani sekadar mengangguk. Rasanya tiada apa yang perlu dirisaukan. Dia tahu Adira sekadar mahu menyelesaikan masalah lama itu. Dan dia pun bukan jenis lelaki cemburu buta.

BAB 12

“DIRA?” 
Darius terkejut besar melihat Adira berdiri di pintu pejabatnya. Pantas dia bangun.
“Dira singgah sekejap aja. Nak beri ni,” ucap Adira sambil dia berjalan ke arah meja Darius. Sekeping kad bersampul di letakkan di atas meja.
Darius memandang seketika. Tidak perlulah dibelek atau dibaca. Dia tahu itu kad jemputan perkahwinan Adira.
“Dira nak minta maaf pada abang. Kalau ada salah silap Dira. Dira lukakan hati abang. Dira minta maaf sangat-sangat. Dira harap abang akan lupakan semua yang pernah kita ada.”
Darius meraup wajah perlahan. “Sampai hati Dira buat abang macam ni. Abang malu pada semua orang. Bertunang dengan orang lain. Nikah dengan orang lain.”
Adira menghela nafas perlahan. “Sekali lagi Dira minta maaf. Dira tahu keputusan Dira sebelum ni menyusahkan keluarga abang. Keluarga Dira juga.”
“Jadi kenapa Dira tergamak kecewakan abang. Dira tahu, kan? Abang sayangkan Dira. Kenapa dia?? Abang mampu bahagiakan Dira lebih daripada dia!” tekan Darius. Macam mahu menangis sahaja rasanya.
“Itu aja Dira nak cakap dengan abang. Ajak mak abang sekali. Dira tak mahu kerana hal kita, hubungan baik dua keluarga ni berantakan. Dira nak balik ni.”
“Dira..” Darius terus mengekori Adira keluar.
“Dira, dengar dulu cakap abang.”
Langkah Adira terhenti di hadapan lif. “Tolonglah, bang. Lupakan Dira. Dira tahu lelaki macam abang mudah cari pengganti.”
“Tapi abang sayangkan Dira. Tak akan tak ada nilai langsung perasaan sayang yang ada pada abang ni?” rayu lelaki itu.
“Dira dah minta maaf. Apa lagi yang abang nak Dira cakap?”
“Abang nak Dira semula! Tak adil Dira buat abang macam ni. Kenapa bila abang dah bersungguh, Dira sanggup tinggalkan abang?”
Adira menggeleng tanda malas mahu memanjangkan lagi hal itu. “Dira turun dulu.”
“Dira..” Darius ikut masuk ke dalam lif.
“Abang, jangan buang masa merayu-rayu lagi. Biarpun Dira tak kahwin dengan Dani, Dira tetap tak akan pilih abang.”
Tersentak hebat Darius mendengar itu. “Apa kurangnya abang?”
“Dalam keadaan begini Dira tak mahu buat perbandingan antara abang dan lelaki lain. Cukuplah abang faham yang perasaan tak boleh dipaksa,” ujar Adira. Sebaik sahaja pintu lif terbuka dia terus keluar. Namun di sapa seseorang. Serentak dua manusia itu menoleh.
“Dira buat apa kat sini?” tanya Rayyan hairan melihat Adira ada di situ.
“Dira hantar kad pada budak-budak ofis Dira dulu.”
Rayyan sempat memandang Darius yang berdiri di belakang adiknya.
“Dira nak balik ni, bang. Jumpa nanti.”
Rayyan sekadar mengangguk. Namun dia lihat Darius mengekori adiknya. Adira berjalan cukup laju seolah mahu mengelak lelaki itu. Tidak sedap hati, dia berjalan perlahan ke arah Adira dan Darius.
“Dira.. sini dulu.”
“Jangan sentuh!”
“Kita bincang ya? Dira nak pergi mana? Abang bawak, kan? Kat sini tak sesuai kita nak bercakap.” Sekalian itu tangan Adira terus dicapainya. Adira merentap tangannya sehingga terlepas. Namun sekali lagi Darius mencapai tangannya. Kali itu dipaksa Adira agar mengikutnya.
“Apa ni?? Janganlah!! Abang!!!” jerit Adira saat tangannya dicekak kuat oleh Darius.
Rayyan terus berlari ke arah adiknya. Lelaki itu pantas ditolaknya. “Hei!” tangannya ditunding kepada lelaki itu sebagai amaran.
Darius terpaku memandang Rayyan. Adira sempat membelek lengannya. Sakit!
“Dia dah bagi peluang pada kau. Tapi kau sia-siakan. Jadi kau jangan ganggu adik aku lagi. Sedarlah diri tu sikit! Orang dah tak nak, kau nak paksa buat apa?? Mama aku memang suka bagi muka pada kau. Tapi dengan aku, kau jangan harap! Tak cukup keluarga aku kena tanggung keluarga kau, sekarang keluarga aku pulak kau nak hancurkan. Tak tahu dek untung kau ni!” ucap Rayyan sambil dada lelaki itu ditolaknya sehingga lelaki itu terdorong ke belakang.
Darius diam sambil mendengus. Kelat sekelat-kelat tidak wajahnya. Tanpa kata dia berpaling. Sakit hatinya mendengar kata-kata Rayyan tadi. Tidak ubah mengungkit semula jasa-jasa Puan Sri Fatyma kepadanya.
Rayyan terus memandang sehingga lelaki itu menghilang. Kemudian dia mendengus.
“Tak pernah lagi aku tengok orang macam ni. Serupa lepaskan anjing tersepit!” bebelnya masih sakit hati. Adira sekadar diam. Masih tidak habis membelek tangannya.
“Dira nak pergi mana lepas ni?” tanya Rayyan sambil mencapai tangan adiknya itu. Merah pergelangan tangan Adira.
“Nak balik ofis.”
“Abang hantar sampai kereta. Jumpa mangkuk ayun tu nanti, entah apa dibuatnya lagi karang. Dia tu memang nak kena,” gerutu Rayyan.
“Dira balik dulu, bang. Terima kasih.”
“Sama-sama. Jalan elok-elok,” ujar Rayyan lembut.
Adira sempat tersenyum kepada abangnya sebelum menutup pintu kereta. Seterusnya kereta terus dilarikan pergi sehingga ke pejabatnya.

PUKUL berapa nikahnya ni, Ti?” sapa seorang jiran setelah masuk ke rumah. Tangan dihulurkan kepada tuan rumah.
“Lepas zohor ni. Jemputlah,” ucap Puan Sri Kartini kepada tetamu-tetamu itu. Semuanya jiran terdekat dengannya.
“Menyambut cucu menantu lagi orang rumah ni. Murah rezeki,” usik salah seorangnya sambil bersalaman.
“Begitulah nampaknya.”
Semakin dekat dengan waktu dijanjikan, semakin ramai tetamu. Dua beradik itu, Ammara dan Amanina asyik berkepit dengan Adira. Bukannya apa? sibuk nak minta mak andam make upkan dia juga.
“Bajet lawalah tu,” cebir Adira kepada dua adiknya itu. Dengan gincu di bibir merah menyala. Konon dah habis jelita!
Sewaktu Fatyma menjenguk kamar pengantin itu, dia sempat menggeleng melihat dua anak daranya itu bermake up begitu tebal siap dengan crown atas kepala. Kalah si kakak yang nak menikah!
“Mama tak suruh, kan? Nanti ayah marah..” ucap Fatyma.
“Alah.. mama ni.”
“Ayah tak suka, Ammara. Pakai tudung tu elok-elok. Mama ada banyak benda nak buat ni. Ara dengan Nina jangan macam-macam.”
Mahu tidak mahu dua beradik itu akur juga. Fatyma pergi mencari dua lagi anak lelakinya. Dia bertemu dengan Udin dan Fuad di dalam kamar mereka. Imran sedang menguruskan mereka berdua.
“Tak nak baju tu.”
“Habis tu nak pakai baju mana?”
“Pakai baju ni.” Fatyma segera menyampuk. Dua helai baju melayu baru diberikan kepada Imran.
“Udin nak pakai baju macam dalam tv tu,” cebir Udin.
“Eh! Jangan nak mengada-ada pulak ya? Mama tak kuasa nak layan. Pakai baju tu!” tegas Fatyma. Ada ke nak pakai kot dengan bow tie macam majlis kahwin mat salih. Banyak sangat tengok tv inilah jadinya.
Panjang muncung Udin akibat rasa tidak ikhlas. “Mama memang tak suka tengok Udin jadi handsome. Mama jelous ramai orang suka Udin.”
Tergelak Imran mendengar kata-kata anaknya itu.
“Eee.. nak muntah rasanya,” gerutu Fatyma sambil mengerling anaknya itu.
“Tak baik cakap dengan mama macam tu. Pakai aja baju ni. Mama beli untuk Udin dengan Fuad. Tengok adik tu. Dah siap pakai baju dah.” Imran memuncungkan mulutnya kepada anak lelaki bongsunya.
“Okay. Tapi Udin nak pakai samping macam samping Abang Dani.”
“Ialah..” jawab Imran akur.
Fatyma sekadar menggeleng. Nak dia jugak yang lebih dari orang!
Usai solat zohor, kedengaran rombongan pengantin lelaki sudah berada di kawasan rumah mereka. cemas semacam Adira saat diberitahu Mat Dani sedang dalam perjalanan ke rumah itu dari masjid. Serba tidak kena. Masa itulah perut tiba-tiba memulas nak membuang.
“Mainan perasaan aja tu. Jangan dilayan sangat,” ucap mak andam yang semenjak tadi setia menemani dia.
Riuh rendah di hadapan rumah menarik perhatian Adira di dalam kamar. Bunyi letupan kuat sekali, mengejutkannya. Ada orang membakar mercun sebagai tanda pengantin lelaki sudah tiba. Pantas dia menjengah ke jendela. Sipi-sipi sahaja dia dapat melihat kelibat beberapa buah kereta sedang berhenti di hadapan pintu pagar rumahnya. Seorang lelaki berbaju melayu putih keluar dari kereta itu. Dia membuka pintu belakang. Opah Milah keluar bersama dengan seorang lagi wanita sebayanya.
Lama Adira memandang. Lelaki itu membetulkan kain samping dan kemudian songkok di kepalanya. Kelihatan rambutnya sudah dipotong kemas. Entah kenapa bibirnya tersenyum. Sedikit masa lagi lelaki itu bakal imamnya di masa depan.
“Dira.. turun bawah. Kadi dah sampai. Ara, Nina.. turun sekali dengan kakak ya?”
Teguran itu menyentak menungan Adira di jendela itu. Rasa gemuruh semakin hebat.
“Yeay! Kakak kita nak kahwin,” ucap Ammara seronok. Dua beradik itu tersenyum simpul seolah merekalah pengantin hari itu.
Baju nikahnya iaitu kurung johor kegemarannya dibetulkan seketika sebelum keluar dari kamar itu. Ketika di pertengahan tangga, riuh rendah di bawah sudah kedengaran. Dan dia terpandangkan ruang yang dijadikan tempat akad nikah penuh dengan manusia.
Mat Dani sempat memandang bakal isterinya. Sekuntum senyum diberikan kepada wanita itu. Alhamdulillah.. bisik hatinya. Gerbang perkahwinan yang selalu diharapkan akan dilalui dengan wanita ini, hanya sejengkal di hadapan mata.
Seperti kelaziman, kadi pasti akan memeriksa segala macam dokumen yang diperlukan sebelum memulakan akad nikah.
“Alhamdulillah.. semuanya lengkap. Selawat ke atas jujungan besar Nabi Muhammad SAW..” mereka berselawat beramai-ramai dan beristighfar.
“Wali nikah ni abang pengantin ya?” ucap Kadi itu kepada Rayyan.
“Ia. Ayah saya dah tak ada.”
“Kalau begitu saya serahkan akad nikah ni pada wali pengantin perempuan,” ucap Kadi itu sambil memandang lelaki muda di tepinya.
Namun baru sahaja Rayyan menjabat tangan Mat Dani, dia tunduk seketika. Entah kenapa dia sebak.
“Ni apasal jurunikah yang menangis ni? Patut pengantin yang nangis?” beberapa tetamu ketawa melihat gelagat Rayyan.
“Sedih, tok. Sepatutnya arwah ayah saya yang duduk depan pengantin lelaki,” jawab Rayyan sambil menyapu air matanya.
“Tak apalah. Istighfar banyak-banyak..” belakang lelaki itu ditepuk perlahan oleh Tok Kadi.
Rayyan menghela nafas perlahan sebelum membaca lafas akad yang tertera di atas buku itu.
“Ahmad Daniel Bin Norzuki.”
“Saya.”
“Aku nikahkan dikau dengan Noris Nur Adira Binti Mohd Rafizi dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit Malaysia tunai!”
“Aku terima nikahnya Noris Nur Adira Binti Mohd Rafizi dengan mas kahwinnya lima ratus ringgit Malaysia tunai.” Akad itu disambut lancar oleh Mat Dani.
“Sah ke saksi?” tanya Kadi itu kepada dua lelaki yang mendengar akad nikah itu.
“Sah!” kedua-dua saksi menjawab sah secara bergilir.
“Alhamdulillah..” kadi itu terus menadah tangan memulakan bacaan doa. Mat Dani tunduk mendengar bacaan doa sambil mengaminkan dalam diam.
Usai bacaan taklik dan solat sunat nikah, pengantin lelaki diberi ruang untuk mendekati isterinya. Dia lihat mata Adira merah. Pastinya kerana menangis. Namun dia tersenyum. Sebentuk cincin yang dipilihnya disarung ke jari sebagai tanda, wanita ini milik seseorang. Kemudian tangan diletakkan di atas kepala wanita itu. Dan doa dibacakan lagi. Mat Dani tersenyum lagi saat melihat Adira tunduk mengucup tangannya tanda bermula ketaatan sebagai isteri.
“Mahar ini tak semahal pengorbanan yang akan dilakukan oleh seorang isteri kepada suaminya. Tapi abang akan selalu berdoa kepada Allah, semoga akhirnya Allah kurniakan syurga di atas pengorbanan isteri abang yang tak mampu abang balas di dunia ni,” ucap Mat Dani saat menyerahkan duit mas kahwin.
Menderu-deru air mata Adira. Terharu. Kesederhanaan itu lebih baik untuknya. Dia berjanji akan merelakan seluruh jiwa. Demi ketaatan seorang isteri kepada suami.

BAB 12
USAI majlis bermakna kehidupan mereka sedang bermula. Kalau dahulu sendiri. Kini berdua.
Malam itu malam pertama mereka tidur sekamar. Walaupun agak janggal, masing-masing cuba berlagak biasa. Bagaimana untuk beraksi di hadapan seorang lelaki sedangkan dia tidak punya pengalaman tentang kehidupan seorang isteri? Dia menjadikan ibunya sebagai contoh terdekat.
Usai solat maghrib berdua, Adira mengajak suaminya turun ke bawah. Di bawah kerja mengemas masih rancak. Susun atur ruang tamu dikembalikan ke bentuk asal.
“Hadiah tu bila nak buka? Kami tunggu aja ni. Nak juga tengok apa ada dalam bungkusan banyak-banyak tu,” perli Afyra kepada sepasang pengantin baru itu. Rayyan sudah ketawa mendengar kata-kata isterinya. Macam mengerti aja apa yang dimaksudkan Afyra.
Tersengih-sengih Adira memandang kakak iparnya itu. Selepas menghidangkan makan malam buat lelaki itu, Adira duduk bersama suaminya. Hanya Mat Dani yang makan. Dia masih kenyang. Ahli keluarga lain ramai yang masih tidak mahu meninggalkan kerja masing-masing.
Sesudah itu barulah mereka menghadap hadiah yang sebanyak-banyak tidak.
“Adik-adik kakak, mari tolong kakak buka hadiah.”
“Yes!” Fuad yang paling awal berlari ke arah Adira.
“Suka dia ya?” usik Adira sambil mengusap rambut adiknya itu. Udin menyempit antara Fuad dan Mat Dani. Ammara dan Amanina sibuk mengendeng Adira.
“Ada gula-gula tak?” tanya Amanina perlahan.
“Bukaklah sendiri,” ucap Adira sambil memberikan sekotak hadiah kepada dua adik perempuannya itu.
Fuad membuka sebuah hadiah berbentuk kotak. Udin ikut membuka hadiah lain. Masing-masing ralik. Sehingga Ammara mula membelek kotak hasil dari hadiah yang sudah ditelanjangkan balutnya. Lama dia memandang kotak itu.
“Kakak, kondom tu apa?”
Spontan Mat Dani dan Adira memandang adiknya. Ammara masih ralik merenung kotak itu.
“Hish! Bak sini!” Adira terus merampas kotak itu dari tangan adiknya. Terkejut Ammara memandang gelagat kakaknya. Mat Dani ternganga memandang isterinya.
“Apa tu? Kenapa kakak ambil balik? Macam gula-gula je?”
“Tak. Taklah. Ini bukan gula-gula ni.” Tergagap-gagap Adira menjawab. Selebihnya dia tidak tahu mahu berkata apa.
Ammara terus menoleh ke arah mamanya. “Mama, kondom tu apa?”
Spontan ruangan rumah itu hening. Fatyma terkedu memandang anaknya. Apa ke hal pulak anak aku ni boleh tanya pasal kondom!!
“Eh! Mama tak tahulah. Siapa punya kerja tu?” ucap Fatyma.
“Entah.” Adira mencapai pembalut. Ada kad kecil tertera di pembalut itu. Pantas dicabut lalu dibacanya.
‘Untuk kegunaan Mat Dani sahaja. Sila kawal jumlah anak anda. Jangan sampai lebih ramai dari kami.
Amaran keras dari Rayyan dan Naufal!
Spontan Adira bangun. Rayyan sudah tiada di tempat tadi. Kotak itu dikoyakkannya. Isi kandungannya diambil.
“Abang Ryan dengan Abang Naufal punya kerja. Mana dia??” ucap Adira tidak puas hati. di dapur rupanya dia lelaki itu sedang sibuk mencari tempat menyorok. Terkekeh-kekeh masing-masing gelak dalam kekalutan untuk menyelamatkan diri.
“Pandai pulak menyorok??”
“Abang main-main aja! Mama tolong!!!” terjerit-jerit Rayyan diterpa Adira.
“Pandai-pandai aja bagi benda ni kat Dani ya?? Tak pasal-pasal Ara yang tengok. Sini!! Geramnya aku dengan dia orang ni!!” getus Adira semakin geram. Benda alah itu mahu disumbatnya ke dalam mulut abangnya itu. Naufal mahu lari, sempat ditahan Adira.
“Mana nak lari??”
“Ni semua idea dia. Abang cumatolong  beli sampul aja,” ucap Naufal kalut. Baki kampit kecil itu ditonyoh ke mukanya oleh Adira.
“Ampun!! Okay. Okay. Mama tolong!! Dira ngamok..” mengilai-ngilai Rayyan dan Naufal diganyang Adira.
“Lantaklah! Siapa suruh cari pasal,” jawab Fatyma selamba.
“Ni nak pergi mana pulak ni?” tanya Fatyma sambil memandang Ammara berlari ke dapur. Ammara sekadar buat tidak dengar pertanyaan emaknya. Di ambang dapur dia melihat si kakak cuba memasukkan beberapa paket kecil ke dalam mulut abangnya. Melihat ada beberapa keping berteraburan di lantai. Sepantas kilat Ammara mengambil sekeping lalu berlari ke depan semula. Kemudian dia duduk di sofa membelek benda itu. Paket itu sememangnya iras paket berisi gula-gula.
Melihat tiada sesiapa mahu menjawab soalannya, Ammara bangun mencari ayahnya pula.
“Ayah! Sini..” panggil Ammara kepada si ayah di luar.
“Apa dia?” balas Imran setelah dia muncul di situ. Dahi anaknya itu sempat dikucupnya. Kemudian dia menarik anaknya itu ke sofa. Punggung dilabuhkan untuk melepaskan lelah.
“Tengok kakak. Gaduh dengan abang kat dapur.”
Imran sekadar menoleh sedikit. “Tak adalah. Kakak gurau dengan abang.”
“Tadi Ara dapat hadiah. Mesti ada candy kat dalam tu. Sebab tu kakak tak mahu bagi Ara. Kakak bagi abang aja. Ara nak..”
“Tak elok makan gula-gula malam-malam macam ni.”
“Tapi Ara ada satu. Ayah tolong bukak ya? Ara nak..” spontan objek di tangan diberikan kepada si ayah.
 Imran mengambil paket itu. Cuba dibukanya. Namun dia terkaku memandang objek itu.
“Eh! Mana Ara dapat ni??” tanya Imran terkejut besar melihat ‘gula-gula’ yang dibawa Ammara.
“Ara ambil kat dapur. Ada kat lantai.”
Imran terus memandang wajah anaknya. Ammara sedang menunggu dia membuka paket itu.
“Ini.. ini bukan gula-gula ni.”
“Habis tu kenapa kakak masukkan benda ni dalam mulut abang?”
Imran meneguk liur memandang wajah si anak. Macam mengharap benar. Dan entah bagaimana tiga lagi anaknya bangun mendekati mereka berdua. Masing-masing mahu mengendeng ‘gula-gula’ yang didapati Ammara. Terkulat-kulat Imran memandang anak-anaknya.
“Ini bukan untuk dimakan, sayang.”
“Tadi Ara baca kat kotak tu, dia kata ini kondom. Kondom tu apa?”
Terkedu Imran memandang wajah anaknya. Terkulat-kulat dia cuba mencari jawapan yang sesuai.
“Err.. ini stocking budak kecik.”
“Ayah tipu! Mana ada stoking rupa macam tu? Selalu Ara punya stoking, mama lipat macam lain.”
“Err.. ini stoking pakai buang, sayang. Budak kecik, bila malam-malam dia sejuk. Jadi mak dia bagi pakai stoking. Inilah stoking dia. Tapi Ara tak boleh. Sebab Ara dah besar. Stoking ni untuk budak kecik.”
“Kecik macam baby kak Fi dengan kak Melly ke?” tanya Fuad sambil merenung objek di tangan sang ayah.
“Err.. tak. Ni untuk budak yang paling kecik sekali. Err.. tapi kita panggil stoking tau. Jangan panggil kondom. Tak boleh sebut kondom!” ujar Imran sedikit tergagap-gagap kepada anaknya.
“Kenapa tak boleh sebut kondom? Kalau Udin cakap kat cikgu, cikgu marah tak?” tanya Udin pantas.
“Err..” Imran sudah terdiam. Fatyma tersenyum-senyum memandang gelagat suaminya. Jawab.. jangan tak jawab!
Tergaru-garu Imran mencari idea untuk menjelaskan kepada anak-anaknya. Bukannya dia tidak tahu perangai anak-anak ini, selagi dia berikan jawapan yang boleh membuatkan mereka jelas, mereka akan terus bertanya. Biarpun setelah sebulan kemudian ketika mereka kembali teringat tentang ini. Yang menakutkan dia hanya satu. Buatnya ketika itu pengetua sekolah yang ada depan anak-anaknya, tidak ke bersepai air mukanya kalau anak-anaknya bertanya kepada pengetua.
“Emm.. biar ayah jelaskan ya? Ini bukan untuk budak-budak. Ini untuk orang dewasa, sayang. Budak-budak tak boleh main stoking ni. Tak elok.”
“Kenapa pulak orang tua aja yang boleh pakai stoking tu? Ara pun selalu pakai stoking pergi sekolah?” tanya Ammara masih tidak faham.
Imran menghela nafas perlahan. Cuba mencari idea yang berkesan. “Err.. macam ni. Stoking ni khas untuk orang lelaki dewasa. Budak-budak tak boleh main ni. Tak boleh tanya pada cikgu. Nanti cikgu cakap Udin biadap. Faham tak apa ayah cakap ni?”
“Orang dewasa mana muat pakai stoking tu, ayah? Kan kaki ayah besar. Stoking ni kecik. Muat ke?” balas Udin masih tidak faham.
Sekali lagi Imran menghela nafas panjang. Bertambah lagi soalan anaknya.
“Cakap ajalah terus terang. Selagi dia tak dapat jawapan dia akan terus tanya,” sampuk Fatyma dari jauh.
Empat beradik itu sempat memandang mamanya sebelum kembali memandang wajah sang ayah. Teguh masing-masing menunggu jawapan.
“Emm.. ayah malu nak cakap. Tapi ayah kena bagitahu. Err.. benda ni, untuk orang.. err..” Imran  berdehem seketika.
Fatyma mula bangun mendekati anak-anak dan suaminya. Punggungnya di labuhkan di sebelah sang anak.
“Biar mama yang jawab. Suruh ayah jawab, kelaut perginya.”
“Orang perempuan bila cukup masa dia akan datang bulan. Bermakna dia dah akil baligh atau cukup umur. Macam mama, macam kak Fi, Kak Melly, Kak Dira kami semua dah datang bulan. Dah boleh berkahwin. Tengok tadi. Kak Dira kahwin dengan Abang Dani. Maknanya kami dah datang bulan.”
Serentak empat beradik itu mengangguk. Tapi masih menganga tidak faham.
“So, bila orang perempuan datang bulan dia akan pakai satu benda sebab tak mahu kotor. Kita panggil benda tu sanitary napkin atau menstrual pad. Ara dengan Nina selalu tengok benda tu. Mama ada banyak. Kak Dira pun ada banyak dalam laci dia.”
“Oh, benda yang panjang warna putih tu, kan?” sampuk Ammara pantas.
“Yes! Pandai pun anak mama ni. Orang lelaki pulak, bila dia dah dewasa dah cukup umur, macam ayah, abang Ryan, abang Naufal dan abang Abang Dani dah boleh berkahwin. Lepas berkahwin orang lelaki pun akan datang bulan macam orang perempuan. So, kalau dia tak mahu kotor-kotor dia kena pakai stoking tu. Sebab kita tidur kan ganas? Kekotoran tu keluar waktu kita tidur. Ayah selalu tidur sebelah mama. kalau mama datang bulan mama kena pakai pad. Kalau tak nanti kekotoran tu terkena dekat ayah. Macam tu jugak ayah. Bila dia datang merenyam.. opss! Datang bulan maksud mama.” fatyma sempat mengerling suaminya. Mulutnya dikertap cuba menahan gelak.
“Bila ayah datang bulan, ayah kenalah pakai stoking dia tu. Takut nanti terjangkit kat mama. orang lelaki datang bulan lepas kahwin aja tau. Macam Udin, Fuad, Fayyad, Maliq, belum cukup dewasa.. maknanya belum datang bulan. So tak boleh main benda tu. Tak elok. Malu orang tengok. Faham tak?”
Spontan empat beradik itu mengangguk. Fatyma sempat memandang suaminya. Imran tersengih-sengih kepadanya. Mat Dani ketawa sambil menggeleng. Spontan hadiah yang dirasakan boleh menimbulkan kontroversi disimpan di belakangnya.
Bukan sekadar kondom yang dihadiahkan oleh abang iparnya. Birasnya Afyra menghadiahkan benda yang lebih kurang sama saja. Alat ujian kehamilan dibaginya pada Afyra!

BAB 13
“SUDAHLAH tu. Banyak sangat makan coklat. Nanti ayah marah. Sambung esok pulak,” tegur Adira kepada adik-adiknya. Seronok benar berkenduri makan coklat bersama anak-anak buahnya yang lain. Banyak pula mereka mendapat hadiah coklat.
Usai mengemas segala pembalut hadiah, Adira mencari suaminya. Rupanya Mat Dani sedang berbual dengan Imran sambil meneguk kopi. Rayyan juga ada di luar. Kawasan halaman rumah mereka sudah hampir bersih sepenuhnya. Sampah sarap yang ditinggalkan tetamu sudah dikumpul. Cuma khemah masih belum dibongkar oleh pemiliknya.
Di dalam dia bertemu dengan mamanya.
“Naiklah rehat, Dira. Semua dah siap ni,” ujar Fatyma senang hati. kawasan dalam rumah itu sudah teratur semula. Berkat kerja sama semua anak-anak dan menantu membantu mengemas.
“Ayah kat luar lagi tu, ma.”
“Biarlah. Dia nak minum kopi,” jawab Fatyma lembut.
“Dira naik dulu ya? Nak mandi.”
“Ialah..” jawab Fatyma lembut. Dia juga mahu naik ke atas untuk mandi dan bersolat.
Usai mandi, dia membelek semula hadiah-hadiah yang sudah diambil. Hanya sebahagian sahaja yang diambil. Ambil mana yang perlu. Yang lain diberikan kepada orang lain. Tersenyum sendiri Adira melihat hadiah dari mamanya. Sangat istimewa. Seorang emak yang sangat memahaminya.
Terima kasih, mama. Dira sayang mama ketat-ketat! Bisik hatinya sendiri. Sebuah loket lama. Loket ini dimiliki oleh mamanya pada hari nikah mama dan papanya. Masih tersimpan sehingga kini. Hari ini mama menghadiahkan loket kenangan itu kepadanya. Juga tiket berbulan madu ke Milan. Kenapa Milan? Kerana dia sememangnya sudah lama ingin ke sana. Dia bukan anak orang kaya yang asalkan mahu, semudah memetik jari semuanya boleh didapati. Mamanya hanya akan memberi apabila tiba masa yang sesuai.
Bapa tirinya itu? Adira tersenyum sendiri lagi. Tidak kurang juga istimewanya, biarpun hadiah itu tiada nilai sentimentalnya. Kereta baru jenama VolksWagen yang paling diidamkannya? Siapa tak mahu? Rasa macam nak melompat-lompat bagai nak gila aja! Hadiah perkahwinan yang paling mahal diterimanya membuatkan abang-abangnya cemburu sebentar tadi. Masing-masing asyik mengekori ayah tiri mereka itu. Menuntut hadiah yang sama dari Imran.
Tetapi kata mama, ini semua tetap adil antara mereka adik beradik. Berbanding abang-abangnya, dia hanya memiliki sebuah kereta yang direcycle semula dari mamanya. Kereta lama yang usianya sudah hampir 20 tahun. Tidak pernah merasa ada kereta baru berbanding abang-abangnya. Berbuah-buah kereta termasuk kereta syarikat yang mereka gunakan sehari-hari.
Mama dan ayahnya tetap ibu bapa yang terbaik untuk dirinya! Majlis perkahwinannya, dia dan Mat Dani tidak keluar belanja sesen pun. Semuanya ditanggung oleh mama dan ayah. Mat Dani hanya menyediakan wang mahar dan segala macam hantaran untuk dia. Betapa beruntungnya dia memiliki ibu dan ayah yang pemurah seperti dua manusia itu.
Tapi hadiah dari kakak iparnya Melly memang tidak tahan. Set minyak wangi dan lingerie! Tidak pernah seumur hidupnya memakai pakaian tidur seperti itu. Nak pakai macam mana pun dia tak tahu. Malu! Sudahnya Adira menyumbat hadiah itu di dalam laci bersama pakaian dalamnya. Janganlah hendaknya Mat Dani terlihat baju tidur itu. Mana dia nak lari kalau Mat Dani suruh dia pakai baju itu?
Puas berlegar di dalam kamar itu sendirian, Adira mengintai di jendela. Tidak nampak pula dek kerana ruang halaman sudah ditutupi kanopi. Tetapi sayup-sayup dia terdengar suara orang berbual. Bermakna Mat Dani masih di tempat yang sama seperti yang dilihatnya tadi.
Sudahnya dia memanjat tilam berbalut cadar satin itu. Tubuhnya dilabuhkan di situ. Mahu terus menganyam lena begitu sahaja, tidak sedap hati pula. Sedar yang dia sudah ada suami. Terkebil-kebil dia memikirkan keadaan selepas itu. Apa akan berlaku?
Ketika pintu kamar dibuka seseorang, Adira cepat-cepat menarik selimut dan memejamkan mata. Buat seketika kamar itu hening. Entah apa yang dilakukan Mat Dani. Walaupun mahu tahu tetapi dia tidak berani mahu bergerak. Biar lelaki itu sangka dia sudah lena.
Saat terasa ada beban tubuh di belakangnya, perlahan kelopak matanya terbuka. Namun dia tidak masih berkutik. Sehingga dia terasa ada elusan lembut pada rambutnya. Buat seketika Adira sekadar membiarkan tangan itu mengelus rambutnya. Seketika kemudian tangan itu mula turun menelusuri pangkal leher sehingga ke lengannya. Dan ada kucupan lembut singgah di bahu yang terdedah. Perlahan Adira mula menoleh ke belakang. Wajah Mat Dani menyapa pandangannya amat dekat sekali.
“Abang ganggu ke?”
“Kenapa lambat?”
Mat Dani tersenyum lembut. “Dira tunggu abang?”
Adira diam. Malu pula nak jawab ya. Macam dah terdesak benar bunyinya.
“Pusinglah sini. Kata orang tak baik tidur membelakangkan suami.”
Selimut ditolaknya sedikit sebelum dia mengubah posisinya menghadap lelaki itu. Namun seterusnya dia terkaku. Lelaki ini tidak berbaju! Tiba-tiba dia rasa lain macam pula.
“Kenapa?” tanya Mat Dani hairan melihat wajah Adira berubah semacam. Dia sempat terpandangkan kerlingan Adira.
“Tak ada apa-apa,” jawab Adira sambil menggeleng.
“Segan dengan abang ke? Tak ada apa yang nak disegankan.” Mat Dani berkata perlahan. Serentak itu tangan isterinya itu diambil lalu diletakkan di dadanya.
“Sentuhlah kalau nak sentuh. Abang tak makan orang.”
Terkedu Adira serta merta. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia lari keluar dari kamar itu. Malu ya ampun! Sudahnya dia kaku membiarkan Mat Dani memegang tangannya. Namun dia sempat memandang. Sado ke laki aku ni? Bisik hatinya.
Sadolah sikit. Bolehlah tu.. jawab hatinya juga. Mama selalu kata, syukurlah dengan apa yang ada. Dan dia bersyukur lelaki ini yang menjadi suaminya. Sahabatnya semenjak zaman remaja.
Mat Dani tersenyum melihat isterinya terkebil-kebil begitu. Dia tahu Adira kekok. Baru sahaja Mat Dani mendekatkan wajah kepadanya.
“Eh! Dira.. err.. Dira lupa gosok gigilah!”
Mat Dani terus mengerut kening memandang isterinya bangun. Terkocoh-kocoh Adira membetulkan baju tidurnya. Cuba menutupi bahagian yang terselak tanpa sengaja. Mat Dani sekadar memandang Adira berlalu ke kamar mandi.
Kemudian dia juga bangun. Niatnya mahu mencari pakaian miliknya. Namun dia tidak tahu di mana Adira menyimpan baju-baju yang dibawanya sebelum ini. Sudahnya satu demi satu pintu almari dibukanya. Namun satu bahagian itu membuatkan Mat Dani terpaku lama. Satu bahagian itu sahaja penuh dengan pakaian rahsia Adira. Ada yang bergayut. Ada yang di dalam laci. Pendek kata bahagian itu penut padat dengan pakaian dalam semata. Berkilau biji matanya memandang.
“Banyaknya..” Dan dia terlihat baju tidur satin berbentuk dress, berwarna hitam bergantung di hujung. Hanya sehelai tersesat di situ. Laju tangan Mat Dani mencapai baju itu. Masih ada tanda harga. Baru dibeli agaknya.
Puas membuang masa di dalam kamar mandi, Adira keluar setelah dirinya merasa berani. Namun keberanian yang sempat dikumpul tadi rebah serta merta saat terpandangkan baju tidur yang dibelinya sebelum ada di atas tilam. Langkahnya termati serta merta. Adira pantas memandang sekeliling. Mat Dani tiada di dalam kamar itu.
“Apa maksud dia ni?” bisik Adira sudah mula terasa gemuruh semula.
Sedang dia termenung sendiri, Mat Dani kembali semula ke kamar itu dengan sebotol air mineral. Lama matanya memandang gelagat Adira.
“Cantik baju tu,” komen Mat Dani biasa.
Adira mula menelan liur sendiri. “Err.. maksudnya?”
“Abang suka kalau Dira pakai.”
“Baju tidur ni tak cantik ke?”
“Yang tu lagi cantik.”
“Nak kena.. nak kena tukar ke ni?” tanya Adira payah.
Mat Dani mengangguk dengan muka tidak berperasaan. Kemudian dia melabuhkan tubuhnya di atas tilam sambil memandang Adira. Seram sejuk perempuan seorang itu melihat Mat Dani memandang dia dari atas ke bawah.
“Okay..” Adira segera mencapai.
“Tapi perlu ke setiap kali nak salin baju mesti ke kamar mandi. Memang habit salin baju dalam kamar mandi ke?” tegur Mat Dani saat Adira mahu berpaling.
Langkah Adira terhenti serta merta. Namun dia tidak berpaling. Dadanya sudah bergendang hebat. Mat Dani mahu dia menukar baju di hadapan lelaki itu? Alamak!
“Dira segan..” ucap Adira setelah memandang lelaki itu sekilas.
“Kenapa nak segan? Sampai bila?” tanya Mat Dani biasa.
“Okay. Tapi abang jangan tengok.”
Mat Dani ketawa serta merta. “Okay..” jawabnya dalam konon macam bersungguh.
Terhegeh-hegeh Adira menanggalkan butang baju tidurnya sambil membelakangkan lelaki itu. Betapa payahnya saat baju mahu dilurutkan. Tiba-tiba dia teringat satu lagi cara menyalin baju tanpa menanggalkan baju yang sedia ada. Sudahnya dia mencapai gaun satin itu lalu disarungkan ke kepala sehingga ke bahu sebelum baju tidur yang ada di tubuhnya dilepaskan. Fuh! Lega.. namun dia terkaku sekali lagi. Lain macam rasa gaunnya itu. Macam ada yang tidak kena. Mat Dani ketawa galak melihat gelagat isterinya.
“Janganlah ketawa,” getus Adira malu.
“Baju tu terbalik, sayang..” ucap Mat Dani lantas ketawa lagi. Dengan gaun terbalik dan seluar tidur yang berlainan corak dan calour, isterinya memang nampak menggelikan hati. Sudahnya lelaki itu bangun. Wanita itu ditarik memandang kepadanya.
“Terbalik pun tak apa. Tetap cantik,” ujar Mat Dani lembut. Terkebil-kebil Adira memandang lelaki itu.
“Kenapa pandang abang macam tu?” tanya Mat Dani sedikit lunak.
“Pelik. Selalunya abang tak macam ni.”
“Macam mana apa? Daring? Cakap ikut suka? Dengan perempuan yang bukan isteri, boleh kea bang cakap ikut suka aja? Memikat dengan kata-kata berbaur nafsu? Antara lelaki ajnabi dan wanita ajnabi ada batas biarpun bercinta,” balas Mat Dani biasa.
Terdiam Adira merenung tampang lelaki itu. Jadi selama ini Mat Dani sengaja menahan diri kerana takut bermain dengan dosa?
“Jangan malu dengan abang. Apa yang Dira itu untuk suami. Kenapa nak sembunyikan? Kat luar dah puas kena tutup aurat. Dalam ni ada kelonggaran. Nak bogel pun tak apa. Sebab abang ni suami Dira. Yang tak betulnya bila di luar mahu kelihatan seksi supaya ramai orang pandang. Tapi dalam ni kedekut. Tak mahu berseksi supaya suami tertarik,” balas Mat Dani lembut.
Perlahan sedikit senyum merayap di bibir Adira. Ya Allah.. sejuk hati aku dengan dia ni, bisik hati Adira sendiri.
“Boleh betulkan baju ni? Dira malu. Abang tak paksa. Abang sudi berikan masa.”
Namun saat lelaki itu mahu berlalu, tangannya dicapai Adira. Mat Dani menoleh semula kepada wanita itu. Adira menghela nafas perlahan.
“Sini..” panggilnya lembut. Sebelah lagi tangan dihulur kepada lelaki itu.
Senyum di bibir Mat Dani semakin lebar. Tidak bertanggung isterinya itu didekatinya. Perlahan dahi isterinya dikucup lembut. Dan Adira terus memeluk tubuh sang suami. Matanya terpejam perlahan. Indah debar yang terasa di dalam dada. Terbayang kehidupannya di hari kemudian nanti. Susahkah nanti? Adakah dia dan Daniel sama seperti pasangan suami isteri yang lain. Asal berjumpa bertengkar tentang hal remeh temeh? Hidup menjadi bosan. Sudahnya mereka akan ikut haluan sendiri ketika anak-anak masih dahagakan kasih sayang.

Tidak! Dia percaya. Lelaki yang diangkat menjadi suaminya pembimbing terbaik buat dirinya. Dan dia ingin merelakan seluruh jiwanya untuk buat lelaki ini bahagia.

Rabu, 16 Disember 2015

BAB 9-10 RELAKAN JIWA

BAB 9
TEGAK dua beradik itu duduk di sofa. Muncung Udin bukan main panjang lagi saat terpandangkan Adira sudah mula turun ke bawah.
“Janganlah masam-masam. Tak handsome dah adik kakak ni,” ucap Adira sambil mengusap rambut adiknya itu.
Makin panjang muncung Udin melihat kakaknya sudah selesai bersiap, mahu keluar. Imran sempat mengerling anaknya itu.
“Duduk situ. Jangan pergi mana-mana.”
Udin menjeling tajam ayahnya itu. Baru terfikir nak berjimba-jimba di luar. Berkecai harapannya. Tidak lama kemudian ada seseorang memberi salam. Serentak mereka menjawab.
“Ayah, Dira pergi dulu ya?”
“Ialah. Jaga diri,” jawab Imran sambil dia bangun. Di hadapan pintu, Mat Dani sudah menunggu untuk menjemput buah hatinya.
“Uncle Im, saya ajak Dira keluar sekejap ya.”
“Ialah. Jangan lambat sangat balik tu,” pesan Imran.
Saat kedua-duanya berjalan ke arah pintu pagar, secara tidak sengaja Adira menoleh semula kepada Imran. Namun dia ternampak seseorang di pintu gelangsar membuat aksi tidak puas hati. Pantas dia menekup mulutnya menahan tawa.
“Kenapa?” tanya Mat Dani.
“Tengok tu. Budak tak puas hati sebab tak dapat pergi,” ucap Adira sambil menunding ke arah cermin itu. Mat Dani terus memandang ke arah yang ditunjukkan Adira. Di cermin Udin sedang melekatkan bibirnya ke cermin sambil menjulingkan matanya ke arah mereka.
Tidak tertahan Mat Dani. Terhambur gelaknya melihat rupa Udin di cermin itu. “Apa dia buat tu?”
“Dia memang macam tu. Kalau ada yang dia tak puas hati, mulalah dia buat aksi pelik-pelik. Dia mengejek kita.”
Mat Dani ketawa lagi sambil menggeleng. Budak itu memang peramah.
“Kelakarlah Udin tu. Saya suka dia. Bijak budaknya.”
“Kaki menyakat orang, itulah dia. Ada aja idea dia nak mengenakan orang. Padan muka. Ayah tak bagi dia ikut. Kalau bab pergi berjalan dia nombor satu. Ayah tak bagi dia keluar, kalau boleh orang lain pun kalau boleh kena duduk rumah aja.”
Mat Dani sempat memandang semula ke arah Udin. Kali itu anak itu memandang ke arah mereka dengan pandangan sayu. Kemudian dia melambai pula. Mat Dani tersenyum sambil membalas lambaian Udin. Kasihan pula dia melihatnya.
“Saya tak kisah pun dia nak ikut. Lagi ramai lagi best,” ujar Mat Dani perlahan.
Adira menoleh ke sebelahnya. “Ayah tak bagi sebab dia sekolah esok. Takut dia penat,” ucapnya sambil menarik tali pinggang keledar. Dating bawa adik? Orang lain kisah. Mat Dani suka pula. Dengan Darius dulu jangan haraplah Udin boleh meminta untuk ikut bersama. Udin pun macam tahu lelaki seorang itu tidak begitu suka melayan kerenah dia. Dahulu Darius sering juga datang ke rumahnya. Cuma semenjak mereka sudah mula bekerja, lelaki itu tidak pernah lagi singgah ke sini. Rimas agaknya. Adik beradik dia ramai yang masih kecil.
Mat dani terus menghidupkan enjin dan kereta digerakkan pergi. Seperti kebiasannya, lelaki itu memandu tenang sahaja. Pergerakan kereta tidak begitu laju, tidak juga perlahan.
“So awak nak bawa saya ke mana sebenarnya ni?” tanya Adira setelah beberapa ketika mereka membisu semata.
Mat Dani diam sambil memandang ke hadapan. Kerutan di keningnya jelas menunjukkan dia sedang berfikir. Belum ada keputusan.
“Saya tak tahu. Saya tak biasa macam ni,” ujar Mat Dani perlahan.
“So, sekarang ni awak masih belum ada planlah?”
Mat Dani sekadar mengangguk. Adira mengangguk sambil memandang ke hadapan.
“Emm.. awak nak pergi mana?” tanya Mat Dani pula sambil menoleh ke sebelah seketika.
“Saya ikut awak. Awak yang ajak saya keluar.”
Mat Dani menggaru kepala seketika. “Muzium?”
Adira terpempan memandang ke hadapan. “What??”
“Err.. saya ingat awak suka pergi muzium.”
“Itu waktu saya masih sekolah, cik abang. Sekarang ni bukan lawatan sambil belajar,” ucap Adira sambil mengangkat kening.
Mat Dani tergaru-garu lagi. “Saya tak pandai. Awaklah cakap nak pergi mana,” ujar Mat Dani perlahan. Malu rasanya mahu memandang Adira. Ada ke bagi cadangan pergi muzium? Mulut ni memang tak membantu betul! Rasa mahu dilepuk sahaja mulutnya itu.
Adira membisu sambil mengertap bibirnya. Saat Mat Dani menoleh, pantas dia memandang ke tepi. Takut lelaki itu perasan dia sedang menahan gelak.
“Emm.. awak nak pergi mana? Saya ikut aja,” ucap lelaki itu perlahan.
“Okay. Zouk.”
“Okay..” lelaki itu menjawab sepatah sambil mengangguk.
Spontan Adira menoleh ke sebelah. “Okay?”
“Err.. tapi Zouk tu kat mana? Saya mana tahu Zouk tu apa benda. Pasaraya ke?”
Mulut ditekup Adira pantas. Blurnya mamat ni. Zouk dia tak tahu??
“Kenapa?” tanya Mat Dani hairan melihat reaksi Adira.
“Okaylah. Kalau macam tu kita pergi Beach Clublah. Atau Luna Bar.”
Sepantas kilat Mat Dani menoleh ke arah Adira dengan pandangan mencerun. Keningnya juga dikerutkan. “Bar?”
“Tempat clubbing. Tak pernah pergi ke?”
“Tak pernah.” Mat Dani menelan liur seketika. Takkanlah dia nak bawa Adira ke situ? Apa kata mama Adira nanti? Buatnya Imran dapat tahu, tak pasal-pasal dia kena pelangkung nanti.
“Jomlah kita try pergi sekali. Dengarnya seronok di sana,” ujar Adira sambil memandang lelaki itu.
Mat Dani menghela nafas tanpa menjawab. Berfikir apa yang patut dijawabnya. Kemudian dia menoleh lagi. “Awak pakai tudung. Tak sesuai masuk ke sana.”
“Awak tak pakai tudung pun. Alah.. tudung boleh tanggal. Apa nak kisah?”
“Tempat clubbing belum bukak agaknya.”
“Tak apalah. Kita tunggu. Sambil tu kita lepaklah kat mana-mana,” jawab Adira selamba.
Sekali lagi Mat Dani menghela nafas panjang. “Err.. tapi KL jem sekarang, kan? Kita pergi dekat-dekat sini ajalah.”
“Alah, jem sekejap aja. Untuk saya tak akan awak tak mahu redah jem tu?” pujuk Adira lembut.
“Tapi apa kita nak buat kat situ?” Mat Dani menoleh dengan pandangan serba salah. Mahu menolak takut Adira kecil hati.
“Apa-apalah. Menari ke? Minum ke?”
“Minum kat sini pun boleh. Ni banyak kedai. Awak haus ke? Saya berhenti beli air ya?” ujar Mat Dani sambil memandang sekeliling.
Adira sudah menjulingkan mata ke atas. Apasal nerd sangat dia ni??
“Saya tahu awak tak pernah pergi tempat-tempat macam tu. Tapi saya nak try sekali. Saya nak pergi sana jugak. Kita pergi sekali aja. Please?”
Mat Dani diam sekejap. Berfikir apa kata yang sesuai untuk menegah. Berkali-kali dia menghela nafas.
“Boleh tak, sayang?”
Lembik lutut Mat Dani mendengar panggilan itu. Lambat-lambat dia menoleh. Adira sedang merenungnya dengan pandangan lunak.
“Tak boleh,” jawab Mat Dani agak payah.
“Kenapa tak boleh?”
Mat Dani meraup wajah seketika. “Saya tak ada duit nak belanja awak masuk sana.”
“Saya ada duit.”
“Tapi tetap tak boleh. Kenapa kita nak pergi sana? Apa kita dapat masuk ke sana?”
“Berhiburlah. Seronok. Kalau tak seronok tak akanlah orang berduyun-duyun nak ke sana,” ucap Adira selamba.
“Tak payahlah. Orang lain nak pergi tak apalah. Kita jangan pergi. Banyak lagi tempat lain kita boleh pergi.”
“Betul ni awak tak mahu bawak saya ke sana? Saya merajuk nanti, baru tahu. Sekali ini aja saya minta nak ke sana, awak tak sudi nak tunaikan kehendak perempuan yang awak sayang. Awak tak sayang saya sebenarnya.” Adira merungut perlahan.
“Bukan macam tu. Benda tu tak elok. Tak boleh buat. Membazir duit. Nak buat kita ke sana?”
Adira memandang lama lelaki itu.
“Saya tak suka bukan sebab saya tak sayang awak. Tapi benda tu tak mendatangkan kebaikan pada kita. Kat dalam sana ramai lelaki. Bahaya untuk perempuan macam awak. Kalau saya ikut kehendak awak, saya ni lelaki tak guna. Tak payahlah pergi sana. Saya tak suka.”
“Itu aja yang saya nak dengar sebenarnya. Saya nak tengok awak tunduk pada kehendak saya ke tidak, itu saja yang saya nak tahu. Tolong bawa saya KLCC. Saya nak beli kasut,” ucap Adira selamba.
“Beli kasut boleh. Pergi club tak boleh.”
Adira tersenyum sendiri. Seorang lelaki yang tetap berpegang kepada pendirian biarpun cinta diuji. Bukannya kalah awal sebelum waktunya. Lelaki yang boleh diangkat menjadi imam dalam keluarga.
“Dani..” panggil Adira seketika kemudian.
“Ya..”
“Kalau saya tanya sesuatu, awak jangan ketawa ya?”
“Tanyalah..”
“Awak sudi tak jadi suami saya?” tanya Adira tanpa segan silu.
Terkedu Mat Dani kala itu. Dan seterusnya dia memandang ke hadapan. Mimpikah dia saat ini?? Oh, dah tentulah dia sudi seribu kali sudi!!





BAB 10
TIBA di Suria KLCC mereka berdua berjalan seketika di dalam gedung membeli belah. Adira menyeret lelaki itu ke sebuah butik barangan wanita. Lelaki itu sekadar mengekori gadis itu sambil memerhati Adira mencari kasut yang dia berkenan. Kemudian mereka bergerak ke tempat lain.
Kemudian Mat Dani mencuit Adira untuk singgah di satu tempat. Adira menoleh. Mat Dani sudah masuk ke situ.
“Kedai candy?” ucap Adira seorang diri. Dia lihat Mat Dani berjalan dari satu rak ke satu rak.
“Awak suka candy?” tanya Adira pelik. Semenjak bila?
“Saya nak belikan untuk adik awak. Kesian dia kena tinggal,” ucap Mat Dani perlahan.
“Oh..” terlopong Adira memandang lelaki itu. Serius memilih jenis-jenis candy yang menarik di matanya. Mana Mat Dani tahu adik-adiknya suka semua benda begini? Lama Adira memandang gelagat lelaki itu. Khusyuk. Seolah-olah ini sesuatu yang penting.
“Adik awak suka gula kapas, kan? Saya belikan dia gula-gula ni sebagai ganti. Kalau saya jumpa gula kapas, saya belikan dia nanti.” Mat Dani tersenyum sambil menayang beg plastic di tangannya.
“Dia suruh awak belikan ke?”
“Taklah. Saya cuma teringatkan dia.”
Sehingga penghujung aktiviti jalan-jalan itu mereka singgah di Louis Vuitton. Sementara seorang wanita lain melayan Adira mencari beg tangannya, dia membelek handbag wanita di tempat lain. Cantik di matanya. Namun harga memang tidak tahan. Dia letak semula.
“Awak tengok apa?”
“Tak ada apa. Awak tak beli beg tadi?” tanya Mat Dani sambil memandang tangan Adira. Hanya ada satu beg kecil.
“Tak ada yang cantik di mata saya. Tak padan dengan harga. Jom,” ajak Adira sambil lengan lelaki itu ditarik pergi.
Seterusnya mereka mencari tempat makan. Bukan di dalam pusat membeli belah itu. Mat Dani memandu ke Menara Kuala Lumpur pula. Ironisnya lelaki itu mengajak dia masuk ke restoran agak eksklusif di puncak menara itu.
Banyak duit pulak mamat ni. Tadi aku ajak pergi clubbing dia kata tak ada duit, bisik hati Adira sendiri. Namun diikutkan juga langkah lelaki itu. Sepanjang masa itu, lelaki itu kurang bercakap. Hanya sekali sekala menegur permandangan cantik di sekeliling mereka. Jelas sekali dia lebih banyak berfikir.
Namun Mat Dani sempat terpaku saat terpandangkan renungan Adira kepadanya. Perlahan dia mengukir senyum.
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” tanya lelaki itu lembut.
“Dari tadi awak cuma diam. Awak tak jawab soalan saya,” ucap Adira perlahan.
Mat Dani diam pula. Semalam juga soalan yang sama sudah ditanyakan kepadanya oleh Imran. Dia meminta sedikit masa sebelum memberikan jawapan. Tidak sangka tadi Adira bertanya juga soalan yang sama. Bukannya dia sengaja mahu mengabaikan hasrat baik itu. Tetapi dia ada pendirian dia sendiri.
“Awak tak sudi ya?”
“Bukan macam tu.” Mat Dani menggaru pelipisnya perlahan. Adira ralik memandang lelaki di sebelahnya itu.
“Awak ada perasaan pada saya ke selama ni?” tanya Mat Dani perlahan.
“Awak rasa?”
“Saya tak tahu apa yang ada dalam hati awak buat saya. Saya ni tak pandai buat perempuan jatuh cinta. Saya ni kolot sikit. Mungkin juga membosankan.”
Adira tergelak perlahan mendengar itu.
“Saya akan ambil awak jadi isteri saya di waktu awak benar-benar dah bersedia untuk terima saya. Saya takut awak terpaksa terima saya sebab kesiankan saya.”
“Dani, saya tak buat begini sebab kesiankan awak. Saya buat sebab saya kesiankan diri saya.”
“Kenapa macam tu?”
“Semenjak dulu ada seorang lelaki di sebelah saya yang tak pandai ke kelab hiburan. Tapi saya tak sedar dia ada di sebelah saya. Mata dan perasaan saya tertipu dengan luaran seorang lelaki. Di belakang saya dia lain. Di depan saya dia lain. Tapi masih juga saya membiarkan diri saya berada di jalan yang salah. Mama selalu kata, kahwin bukan untuk sehari dua. Hari ni waktu hati tengah cinta semuanya elok. Semuanya manis. Semuanya wangi. Tapi lama kelamaan, saya akan merana sendiri,” luah Adira rendah.
Mat Dani terus memandang gadis itu. Dia lihat Adira seakan sedang memendamkan sesuatu.
“Awak tahu saya putus tunang dengan Darius. Sepatutnya saya kahwin dengan dia bulan ini. Tapi saya nekad atas sebab sesuatu. Kemudian saya jumpa awak. Mungkin awak rasa saya tanyakan soalan tu tadi sebab saya terdesak mencari pengganti. Saya bukan cari seorang pengganti. Saya boleh tanyakan soalan tu pada lelaki lain kalau saya nak. Tapi saya tak akan tanya sebab ciri-ciri lelaki yang tepat tu, tak ada pada sebilangan lelaki di sekeliling saya. Hanya saya lihat ada pada awak.”
“Ciri-ciri apa yang awak maksudkan?” tanya Mat Dani lembut.
“Nak rumahtangga bahagia, jangan pilih suami sebab cinta semata-mata. Saya akan sesat. Tapi pilih suami yang ada agama, kemudian baru cinta. Insya-Allah saya akan bahagia. Itu pesanan ayah pada saya berkali-kali. Baru sekarang saya rasa apa yang dia kata tu benar.”
Mat Dani terus memandang gadis itu sehingga Adira tersenyum kepadanya.
“Awak nak saya kahwini awak sebab cinta? Mana tahu suatu hari nanti cinta akan hilang, saya pun akan hilang dari hidup awak. Saya tinggalkan Darius sebab saya dah jemu cintakan dia. Kejam, kan?”
Terkebil-kebil Mat Dani memikirkan segala kata-kata Adira. Terbayang dia lelaki seorang itu. Lagak gayanya sedikit angkuh. Dia pernah merasa ketinggalan berbanding Darius yang nampak secocok dengan Adira. Malah kelihatan seperti seorang lelaki ‘sempurna’ di mata wanita.
“Awak macam ayah tiri saya. Saya sayangkan dia macam ayah saya sendiri. Dia didik saya menjadi seorang perempuan seperti yang awak nampak hari ni. Dulu saya tak macam ni. Hidup saya penuh kesombongan sebab saya anak tan sri.”
“Saya tak nampak kesombongan tu semenjak dari hari pertama saya kenal awak.”
“Sebab waktu tu Imran dah jadi ayah tiri saya. Dia kawal pergerakan saya sebab saya perempuan. Dia tak mahu hidup saya hancur kerana fitnah dunia. Dan dia bukan seorang lelaki yang berkejaran mahu membina nama dalam dunia korporat. Itu dunia mama. Hanya mama seorang. Dia tak berada di situ. Sebab tu saya sayang dia. Dulu saya ingat ayah tiri ni jahat. Tapi saya salah. Ada seorang ayah tiri yang lebih baik berbanding ayah kandung. Pokok pangkalnya manusia tu sendiri, kan?”
Mat Dani tersenyum mendengar cerita Adira.
“Saya nak kahwin dengan awak. Lengkaplah hidup saya, kalau saya ada seorang wanita sudi berada di sisi saya sepanjang hidup ni, Dira. Emm.. tapi saya tak ada cincin nak bagi sekarang.”
“Tak apa. Saya tak suruh awak jadi seperti lelaki lain semata-mata untuk memikat hati saya. Saya terima awak seadanya. Saya suka awak seorang yang jujur. Awak cakap apa yang perlu awak cakap. Walaupun kadang-kadang saya rasa nak ketawa dengar apa yang awak cakap.” Adira tergelak serta merta di hujung bicaranya. Namun tawanya memudar saat terpandangkan renungan Mat Dani kepadanya. Manis! Seolah-olah ada senyuman terlahir dari bersama renungan itu.
“Saya tak mampu belikan awak Louis Vuitton selalu. Dan saya rasa awak tak perlukan itu sepanjang hidup awak kerana itu bukan pokok pangkal kebahagiaan kita.”
“Betul.” Adira menyambut akur.
“Sepatutnya soalan tu saya yang tanyakan pada awak. Tapi tak apa. Saya tak suka berdolak dalik. Adira, kahwinilah saya. Saya mahu jaga awak sebaik-baiknya. Saya mahu letakkan awak ditempat yang istimewa di dalam hidup saya iaitu sebagai isteri saya. Saya sediakan satu tempat paling sunyi yang akan selalu awak berada iaitu dalam hati saya. Dan insya-Allah saya akan beri apa sahaja yang berhak awak terima sebagai isteri saya.”
Bercucuran air mata Adira mendengar kata-kata itu. Sebuah ikrar namun bukan janji. Kerana manusia sering berjanji sesuatu yang dia sendiri tidak mampu tunaikan. Sedangkan ikrar itulah yang berada di dalam lingkungan perintah Allah.
“Saya nak awak selalu ada dalam hidup saya. Jangan pergi tinggalkan saya untuk sesuatu yang lain melainkan Allah yang pisahkan kita.”
Mat Dani meraup wajah sambil menghela nafas perlahan. Satu kelegaan yang amat besar sedang melapangkan rasa di dalam dada. Ya Allah.. sungguh indah percaturan-Mu. Tiada apa yang dapat melankaui kekuasaan-Mu. Aku pernah terpisah darinya. Sehingga Engkau juga yang membawa dia datang kepadaku, menunaikan doaku. Aku cintai-Mu, Ya Allah. Dan aku sayangkan dia..
Selepas masuk waktu maghrib, mereka singgah bersolat di surau. Mat Dani memutuskan untuk menghantar Adira pulang. Setiba di rumah, dia singgah seketika. Udin bukan main gembira lagi mendapat hadiah dari Mat Dani.
“Calit sikit!” ucapnya sambil tangan lelaki itu diambilnya. Ibu jarinya dilagakan dengan Mat Dani. Lelaki itu ketawa perlahan sambil mengusap rambut Udin.
“Bagi kakak sama. Jangan nak bolot sorang,” ucap Imran sewaktu anak itu berlalu. Fatyma hanya menggeleng melihat anaknya itu.
“Uncle Im, saya ada sesuatu nak cakap.”
“Ma, Dira naik dulu ya. Ada hal sekejap,” ucap Adira mahu berlalu dari situ. Fatyma tidak sempat menjawab. Adira sudah bangun.
Mat Dani sempat tersenyum kepada gadis itu saat Adira melintasinya. Kemudian dia kembali memandang dua manusia itu.
“Saya tak ada ahli keluarga lain yang boleh saya wakilkan diri saya untuk datang meminang atau merisik. Jadi biarlah saya cakap sendiri. Saya nak minta izin, saya nak kahwin dengan Adira.”
“Alhamdulillah..” hampir serentak jawapan Imran dan Fatyma. Gembira mendengar kata-kata itu terluah sendiri dari mulut Mat Dani.
“Uncle dengan auntie dah ada pendirian kami sendiri. Kami setuju.” Imran menyambut sambil memandang isterinya. Fatyma ikut mengangguk setuju kepada suaminya.
“Beginilah, Dani. Uncle boleh minta opah Milah jadi wakil untuk Dani. Tahulah dia apa nak buat.”
Mat Dani mengangguk perlahan.
“Terima kasih, uncle, auntie. Terima kasih sebab terima saya.”
“Dari dulu lagi auntie memang berkenankan Dani. Tapi ada aja halangannya. Tapi tak apalah. Kalau dah Allah tentukan jodoh Dani dengan Dira, lambat atau cepat termakbul juga. Insya-Allah..”

Mat Dani tersenyum malu mendengar itu. Ia. Cepat atau lambat, tiada siapa yang mampu menolak sekiranya Allah sudah berkehendak.