Khamis, 29 Ogos 2013

9-10 MSM

9
“Laila..” Laila segera mengangkat pandangan apabila terdengar namanya dipanggil seseorang. Pena di tangannya segera diletakkan apabila ternampak Puan Maznah memasuki biliknya itu. Dia mahu bangun dari kerusinya tanda menghormati kedatangan ketuanya itu tetapi wanita itu segera menghalangnya.
“Duduklah. Kamu sibuk ke?” soal wanita itu lembut. Dia tersenyum menatap Laila.
“Sibuk jugak. Kenapa, puan?” balas Laila sedikit tertanya-tanya tentang kehadiran Puan Maznah ke bilik itu. Sudah pasti ada yang penting untuk diperkatakan. Aku ada buat salah ke? Sempat juga Laila membelek semula segala tindakannya selama ini. Mana tahu ada yang kekurangan.
“Kita makan bersama hari ni? Ada benda yang saya nak bincangkan dengan awak. Penting! Saya mahu kita berdua saja hari ini.” Puan Maznah meluahkan hajatnya sambil merenung mesra pekerja di bawah jagaannya itu. Harap-harap Laila sudi menyambut pelawaannya.
Laila diam seketika memikirkan ajakan itu namun melihat wanita itu benar-benar bersungguh dengan hasratnya akhirnya dia mengangguk. Lagipun Puan Maznah ada mengatakan mahu berbincang sesuatu dengannya. Masakan dia sanggup menghampakan bosnya itu?
“Jam 1 nanti awak panggil saya di bilik?”
“Insya-Allah, puan..”
Puan Maznah terus berlalu setelah itu. Lama Laila memerhatikan langkah wanita gempal itu dengan segala macam persoalan di benak. Pelik juga dia kerana tidak pernah sekalipun selama dia berkerja di sini wanita itu mengajaknya makan bersama. Pasti ada perkara yang penting sehinggakan wanita itu mengajaknya makan bersama. Tidak dapat ditahan dia tertanya-tanya sendiri apakah hal yang mahu dibincangkan oleh Puan Maznah dengannya. Aku ada langgar peraturan syarikat ke? Kalau ya kenapa kena berbincang di luar pejabat? Soal Laila sendiri. Pelawaan Puan Maznah itu sedikit sebanyak sudah mencacatkan perhatiannya kepada tugasnya. Dia mula sibuk memikirkan segala tindak tanduknya selama bertugas di situ.
Jam 1 tengahari yang dijanjikan Puan Maznah membawa Laila makan di luar bangunan pejabat mereka. Sengaja mengajak Laila ke tempat lain kerana dia tidak mahu kakitangan lain melihat dia makan bersama Laila. Lebih dari itu dia sebenarnya tidak mahu apa yang dibincangkannya dengan Laila didengari oleh kakitangan lain.
Mereka menikmati makan tengahari di Restoran Italianies, Garden Mall. Pada mulanya Puan Maznah lebih banyak bertanyakan latar belakang kehidupan Laila sebelum ini. Laila hanya menjawab apa yang sepatutnya. Perbualan mereka lebih santai sambil menikmati makanan di situ.
Sebenarnya inilah pertama kali Laila makan di restoran barat ini. Sedaya upaya dia cuba juga membawa dirinya dalam suasana baru ini sebaiknya walaupun makanan yang sedang dimakannya ini kelihatan agak aneh. Namun rasanya boleh tahan juga. Enak! Suasana restoran juga agak privasi tanpa suasana bising dengan perbualan orang sekeliling.
“Ada tujuannya mengapa saya bawa awak ke sini. Saya sebenarnya tak mahu apa yang saya nak bincangkan dengan awak ni didengari oleh pekerja lain. Tak elok kalau mereka tahu apa yang saya buat ni. Sebab tu saya sengaja ajak awak makan jauh sikit dari pejabat.” Puan Maznah memulakan bicara kepada pokok perkara yang mahu dibincangkan dengan Laila setelah lama mereka sekadar berbual biasa. Mungkin lebih baik mereka berbincang setelah selesai makan.
“Kenapa pulak macam tu, puan?” Laila membalas lembut sambil mengerutkan keningnya. Sikap Puan Maznah yang seakan sengaja mahu bermain teka teki dengannya semakin mengusutkan fikiran.
“Sebab apa yang saya buat ni tak elok untuk syarikat. Macam mengkhianati syarikat tempat saya bekerja.” Puan Maznah menjawab perlahan bersama sedikit senyuman.
“Saya tak faham..” ujar Laila semakin tidak mengerti.
Puan Maznah tersenyum seketika. Wajah manis Laila tidak jemu ditatapnya. Laila yang berkulit putih dan senyumannya memang manis. Matanya yang hitam bersinar itu membuatkan orang lain suka merenung matanya saat berlawan bicara dengannya. Roman serius tetapi lembut di wajahnya semakin menyerlahkan kematangannya sebagai wanita. Sekali lagi hati Puan Maznah disapa kekaguman saat memandang wanita ini secara dekat. Keaslian yang dimiliki oleh wajah melayu itu tetap terserlah tanpa solekan tebal.
“Kalau awak nak tahu, selama ini saya selalu perhatikan awak, Laila. Cara awak berkerja memang saya suka. Awak komited dan cepat belajar. Tak sepatutnya awak di sini. Maksud saya, peluang awak akan lebih cerah jika awak di syarikat yang lebih besar. Banyak kelebihan yang awak akan dapat di syarikat yang lebih besar dan banyak yang awak boleh pelajari sekiranya sektor perniagaan sesebuah syarikat itu lebih meluas.” Puan Maznah akhirnya memulakan mukadimahnya setelah puas memandang Laila. Selebihnya dia tidak mahu Laila hairan pula dengan tingkahnya saat itu. Lagipun waktu makan tengahari mereka bersisa sedikit sahaja lagi.
Laila tidak menjawab namun dia akui apa yang dikatakan oleh ketuanya itu benar. Tetapi memandangkan buat masa ini tawaran kerja untuknya agak terhad jadi dia terima sahaja apa yang ada.
“Pernah dengar tentang UMBS Holding?” soal Puan Maznah setelah mendiamkan diri seketika.
Laila terus sahaja mengangguk. Nama besar seperti itu selalu terdapat di dalam berita di tv dan surat khabar. Setahunya syarikat itu adalah sebuah syarikat gergasi yang menjalankan perniagaan import eksport dan perkapalan.
“Suami saya baru sahaja dilantik sebagai General Manager dalam syarikat itu. Jadi dia ada meminta saya untuk mencarikan seorang akauntan terlatih untuk berkerja bagi syarikat itu. Selepas dia bercakap dengan saya tentang itu terus saya terbayangkan awak. Saya rasa mungkin awak orang yang dia maksudkan.”
Laila memandang wanita di hadapannya itu dengan mata yang terkelip-kelip. Kata-kata Puan Maznah membuatkan dia bagaikan berada diawang-awangan mimpi. Ada rasa tidak percaya menerpa dirinya. Dia? Berkerja dengan UMBS Holding? Mimpikah dia? Apa yang hebat tentang dirinya sehingga wanita itu terbayangkan dia sebagai calon yang dimahukan oleh suaminya itu? Bertalu-talu soalan itu ditanyakan kepada dirinya yang masih tidak percaya.
“Saya percaya peluang awak akan lebih cerah di sana, Laila. Awak ada potensi untuk berjaya kerana saya suka dengan cara awak yang cukup berdisiplin dan komited pada tugas awak. Awak juga seorang yang teliti dengan setiap kerja yang diberatkan kepada awak. Bukan senang menjadi seorang akauntan tetapi saya nampak awak cekap dengan kerja awak,” terang Puan Maznah lembut penuh diplomasi.
“Tapi saya ni kurang berpengalaman, puan. Suami puan mencari akauntan terlatih sedangkan saya masih kurang pengalaman. Nak dikatakan terlatih masih jauh agaknya,” ujar Laila tanpa lekas terlena dengan pujian itu.
Dia sedar akan hakikat yang ada pada dirinya. Dia baru memasuki usia 26 tahun. Masih terlalu muda untuk mengharungi cabaran sebesar itu. Takut dengan pengalaman yang tidak seberapa yang ada padanya ini, tidak tergalas dia tanggungjawab yang diberikan nanti.
“Pengalaman akan datang setelah awak mencarinya. Jangan tolak peluang ini. Sayang masa depan awak jika awak terus bersama dengan syarikat kita sekarang. Gaji awak tak sebesar mana dan peluang awak untuk menimba pengalaman juga agak terhad. Dalam syarikat besar bukan hanya ada awak sebagai akauntan tetapi ada ramai lagi yang lain. Dengan adanya mereka yang berpengalaman awak boleh menimba lebih banyak pengetahuan dari mereka selain daripada pakej gaji yang lebih menarik dan insentif lain sebagai pekerja. Semua tu awak takkan dapat di tempat awak duduk sekarang.”
“UMBS Holding syarikat ternama. Saya takut saya tak cukup hebat untuk mereka. Saya masih baru dan terlalu muda untuk syarikat besar seperti itu,” jawab Laila yang masih dibaluti keraguan.
Puan Maznah tersenyum lembut. Kegusaran Laila sudah mampu lama dijangkanya semenjak awal lagi. Tetapi dia menganggap itu semua lumrah bagi yang kurang pengalaman berkerja. Dia tahu Laila masih baru dalam semua ini. Tetapi itu tidak bermakna Laila harus lekas berundur sebelum menyahut cabaran itu.
“Usaha tu tangga kejayaan, Laila. Takde seorang pun yang dilahirkan di dalam dunia ni terus sahaja pandai dalam masa sehari. Kita kena melalui peringkat pembelajaran sehinggalah kita mahir. Begitu juga dengan awak. Kerana awak mudalah saya mahu peluang ini diberikan kepada awak kerana inilah saat yang paling baik untuk awak membina kerjaya awak. Saya pandang awak lebih layak berbanding yang lain kerana awak memang rajin. Berusahalah sehabis baik disamping itu awak perlu belajar untuk menjadi yang setara dengan mereka yang berpengalaman. Jangan malu bertanya jika awak rasa awak baru dengan kerja itu. Insya-Allah, takde apa yang mustahil di dalam dunia ni kalau kita berusaha. Yakin dengan diri awak sendiri, Laila. Kalau saya mampu melihat potensi tu dalam diri awak masakan awak nak merendahkan diri awak sebegitu sekali?” Puan Maznah menasihati Laila lembut. Gayanya bukan lagi seperti seorang ketua tetapi seperti seorang guru kepada muridnya.
Laila diam namun akalnya terus mempertimbangkan kata-kata Puan Maznah itu. Bohonglah jika dia tidak tertarik dengan tawaran itu. Tetapi sebenarnya dia masih ragu dengan keupayaan dirinya. Apa tidaknya, dia masih baru di dalam bidang ini. Pengalamannya tidak setara mana. Sebelum ini dia berkerja secara kontrak selama setahun di sebuah syarikat kewangan. Kemudian apabila kontraknya tamat dia berkerja dengan syarikat sekarang yang mana belum cukup setahun. Dia juga sebenarnya masih dikira fresh graduted. Namun dia amat bersyukur jika benar pandangan Puan Maznah menyatakan yang dia lebih layak berbanding dengan yang lain.
“Bagaimana? Awak nak menyahut cabaran ni?” tanya Puan Maznah sambil tersenyum menatap Laila.
“Boleh saya fikir dulu, puan? Bukannya apa. Saya tak mahu apa yang dikejar tak dapat nanti apa yang saya ada keciciran. Bukan senang mencari pekerjaan sekarang ni,” jawab Laila lembut.
“Boleh. Kenapa tidak? Ambillah masa untuk fikirkan. Bila awak dah ada jawapannya nanti, bagi tahu saya” Puan Maznah menyambut penuh kelegaan. Selebihnya dia berdoa agar wanita ini segera dijauhkan dari lelaki seperti Nazim.
Laila mengangguk sambil tersenyum kepada wanita itu. “Terima kasih sebab Puan Maznah memandang saya seistimewa itu. Memang kalau boleh semua orang mahukan peluang yang lebih baik dalam hidup mereka tetapi tidak semua yang akan dapat peluang sebaik ini. Saya akan fikirkan sebaik-baiknya apa yang puan katakan pada saya tadi.”
“Umur awak baru 26 kan, Laila?” kali ini topik perbualan mereka sudah sedikit melencong dari apa yang Puan Maznah ucapkan sebelum ini. Namun Laila terus mengangguk sebagai jawapan.
“Saya juga ada anak perempuan hampir sebaya dengan awak. Cuma anak saya tidak berada di dalam bidang ini. Dia lebih suka kepada bidang Medical. Dia pun masih belajar lagi sekarang. Sebenarnya saya memang suka perhatikan awak. Awak tak banyak cakap. Awak lebih suka buat kerja daripada berbual kosong. Itulah yang paling saya suka tentang awak. Kadang-kadang fikiran saya ni melalut sampaikan saya teringin pulak nak bermenantukan awak kalau saya ada anak lelaki sebaya awak. Tapi sayangnya anak lelaki saya yang sulung muda 6 tahun dari awak. Tak sesuai pulak nampak gayanya,” ujar Puan Maznah sambil ketawa perlahan.
Laila sedikit tersentak dengan jenaka selamba wanita itu. Ke situ pula perginya fikiran orang tua ini. Puan Maznah ketawa lagi apabila melihat perubahan di wajah Laila.
“Saya tahu apa yang awak fikirkan. Selama ni saya jarang menegur awak jadi awak ingat saya tak pedulikan awak? Sebagai ketua jabatan saya selalu menilai pekerja bawahan saya. Tak terkecuali awak. Awak takde teman lelaki? Tak keterlaluankan kalau saya bertanya soalan yang lebih bersifat peribadi?” Puan Maznah memandang Laila mesra. Saat ini ingin digunakannya sebaiknya untuk mengenali wanita ini dengan lebih dekat.
Laila menggeleng bagi soalan yang penghabisan itu. Namun wajahnya memudar seketika. “Saya ni janda, puan.” Laila menjawab jujur. Istilah teman lelaki langsung tiada dalam kamus hidupnya buat masa ini. Masa hadapan? Entahlah! Dia sendiri tidak tahu.
“Saya tahu. Dulu awak ada bagitahu saya yang awak kematian suami hampir 4 tahun lepas. Awak sebenarnya balu bukannya janda. Saya pun ada mendengar orang bercerita tentang kisah hidup awak sebelum ini. Jadi apa masalahnya? Balu atau janda tak perlu ada teman lelaki? Balu atau janda atau apa sekalipun semuanya perlukan teman hidup,” sambut Puan Maznah cuba bersikap optimis. Baginya tidak hina menggalas gelaran sebagai janda mahu pun balu. Semuanya makhluk Allah.
Laila cuba untuk tersenyum namun kelat senyumannya sekelat perasaannya apabila dirinya dibawa ke arah kenangan itu. Ada kepiluan kembali menerjah ruang hatinya tatkala kenangan lama itu kembali terimbau dek benaknya. Pahit! Perit! Itulah yang dirasakan selama ini. Bukan mudah untuk dia melupakan cinta pertama yang pernah singgah dalam hidupnya. Sehingga kini dia masih seorang pengenang yang setia.
“Suami awak meninggal sebab apa, Laila?” Puan Maznah yang tidak menyedari apa yang sedang berlaku kepada Laila melanjutkan lagi pertanyaannya.
“Arwah suami saya bekas juruterbang TUDM. Dia meninggal dunia dalam nahas pesawat waktu membuat penerbangan ihsan dalam misi bantuan untuk penduduk di sebuah kampong di Be’kalalan, Sarawak. Waktu tu saya masih menuntut di UM baru ditahun kedua. Sebenarnya waktu tu pun kami baru 4 bulan berkahwin.”
“Kasihan awak. Memang dugaan dari Allah ni kita takkan jangka bila masa datangnya,” komen Puan Maznah perlahan.
“Memang betul. Saya akui waktu tu saya memang tak cukup bersedia untuk menerima kehilangan dia tapi biar apa pun keadaannya saya takkan boleh halang dia pergi kerana kita semua adalah milik Allah. Arwah hilang selama beberapa hari waktu kejadian tu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sengsaranya saya menanti berita dari pihak yang sedang berusaha mencari arwah suami saya. Hanya selepas 9 hari barulah mereka jumpa jasad arwah. Tapi waktu tu arwah memang dah meninggal dunia. Dia orang terakhir yang dijumpai dalam kejadian tu.” Laila bercerita lagi tentang kisah hidupnya.
 Terdiam seketika Puan Maznah mendengar cerita Laila itu. Simpatinya melimpah ruah kepada wanita muda itu. Di mata Laila dia masih melihat ada kepiluan yang masih tertinggal akibat peristiwa lama itu.
 “Selepas itu awak tak pernah cuba berkawan dengan sesiapa? Mana tahu dengan berkenalan dan mengenali hati budi orang lain pintu hati awak akan terbuka untuk orang lain.”
Laila pantas menggeleng bersama sebuah senyuman tawar. “Walaupun dah hampir 4 tahun berlalu tapi traumanya masih ada. Memang sakit bila kita kehilangan seseorang yang kita harapkan. Secara jujurnya saya tak mampu menerima sesiapa di dalam hidup saya sebab saya masih teringatkan dia. Selepas dia saya memang tak berminat nak berteman dengan sesiapa. Bukannya takde yang datang tapi memang hati saya belum terbuka lagi nak mencari pengganti,” jawab Laila perlahan. Entah kenapa dengan rela hati dia akhirnya membuka rahsia hatinya selama ini di hadapan Puan Maznah.
Puan Maznah memandang Laila sayu. Dia kasihan melihat perempuan muda di hadapannya ini. Masih muda tetapi sudah diduga dengan cabaran yang amat berat. Tetapi selama ini dia melihat Laila kelihatan baik-baik sahaja di hadapan matanya. Itu membuatkan dia sedar Allah menduga manusia kemudian Allah kirimkan juga ketabahan untuk membuat manusia bertahan.
“Allah takkan menzalimi umat-Nya, Laila. Tidak selamanya kita akan berduka sahaja. Banyakkan lagi berdoa. Insya-Allah, suatu hari nanti awak akan bertemu dengan seseorang yang akan menemani awak sehingga ke akhir hayat awak. Mungkin bukan hari ni tapi insya-Allah suatu hari nanti mesti ada yang akan datang mengambil tempat arwah suami awak dalam hati awak. Semua orang sudah ditentukan akan hidup berpasang-pasangan,” nasihat Puan Maznah lembut. Nadanya mula kedengaran seperti seorang ibu bukan lagi seorang bos.
Hati Laila tersentuh. Sekoyong-koyong itu raut sang emak melintasi ruang kenangannya. Laila tunduk seketika dalam menahan kerinduannya pada sang ibu. Sudah lama dia tidak menjenguk pusara arwah emaknya semenjak aidilfitri yang lalu.
“Harap-harap begitulah, Puan Maznah. Saya pun macam orang lain juga. Ada impian untuk memiliki sebuah keluarga. Ada anak-anak yang akan menjaga saya pada masa saya sudah tua. Saya bukan selamanya akan muda. Cuma buat masa ini, 4 tahun masih tidak cukup untuk saya melupakan kesakitan masa lalu.”
“Saya faham. Memang sakit bila kita kehilangan sesuatu yang amat kita sayang. Awak tak ramai kawan lelaki?”
Laila menggeleng terlebih dahulu. “Yang ada pun cuma kawan-kawan seuniversiti dulu. Itupun tak berapa akrab sangat.” Saat itu dia terbayangkan wajah Asmadi. Hanya Asmadilah kawan lelaki yang agak rapat dengannya. Itupun sudah berbulan dia tidak bertemu Asmadi. Asmadi kini sudah berkahwin dengan Hamidah sebaik sahaja mereka tamat pengajian dahulu. Mungkin kini mereka berdua sedang bahagia meniti alam berumahtangga.
“Nazim pulak macamana dengan awak?”
Laila tersentak apabila telinganya disapa dengan nama itu. Lama dia memandang Puan Maznah apabila nama itu dikaitkan dengan dirinya. Ada rasa kaget dan hairan yang bercampur menjadi satu kerana dia sedar Puan Maznah sengaja menyebut nama itu untuk menduganya. Adakah Puan Maznah menganggap dia dan Nazim ada hubungan selama ini? Oh tidak!
“Kenapa puan tanya pasal dia pada saya?” soal Laila agak tidak mengerti. Hatinya merayu sendiri, janganlah ada cerita-cerita yang tidak enak timbul antaranya dan Nazim.
“Saya tahu dia selalu ganggu awak. Kita tak boleh hentikan tabiat orang lain tetapi saya nasihatkan awak supaya berhati-hati dengan dia kerana dia bukan jenis lelaki yang elok untuk dijadikan kawan atau teman. Apatah lagi nak dijadikan sandaran hidup,” jawab Puan Maznah lembut mahu mengingatkan Laila.
“Encik Nazim tu nak saya jadikan sandaran hidup?” Laila lantas ketawa hambar. Sempat dia menggeleng beberapa kali bagi menggambarkan betapa tidak tergamaknya dia untuk menganggap lelaki itu sehingga begitu sekali.
“Daripada bersama dengan dia lebih baik saya menjanda sampai tua. Saya tak pernah terfikir nak menganggu kehidupan wanita lain untuk kepentingan diri saya apatah lagi meruntuhkan rumahtangga orang lain. Memang Encik Nazim selalu ajak saya keluar dengan dia tapi saya tak pernah ikut dia. Saya tak berani. Saya tahu dia tak ikhlas dan saya tak minat suami orang!” jelas Laila jujur.
“Baguslah kalau awak kata begitu. Kalau boleh jauhkan diri dari dia. Bukan sekadar tak mahu mengganggu rumahtangga dia sahaja, tapi awak kena berhati-hati kerana dia selalu menggunakan perempuan untuk keseronokan semata-mata. Sebelum ini saya dah ada dua tiga orang kakitangan yang terpaksa berhenti kerja kerana olah Nazim. Saya tak mahu awak pula yang menjadi yang seterusnya. Ada lelaki dalam dunia ini yang menganggap nilai wanita terlalu rendah untuk dimuliakan. Dia adalah salah seorangnya,” pesan Puan Maznah bersungguh.
Laila segera mengangguk. Perkara itu sudah lama ada di dalam pengetahuannya. Kerana itulah dia tidak pernah membiarkan dirinya didekati lelaki miang itu. Cara Nazim memandangnya sahaja dia sudah tahu apa yang Nazim mahukan darinya.
“Saya tahu, Puan Maznah. Saya sedar dia memandang saya sebagai janda yang kesepian yang memerlukan teman. Saya tak sebodoh itu untuk lelaki seperti dia. Terima kasih sebab Puan Maznah sudi ingatkan saya tentang itu.”
“Jaga diri awak baik-baik. Memang bukan semua orang dilahirkan dengan hati manusia walaupun dilahirkan sebagai manusia.” Puan Maznah berkata lagi. Harap-harap Laila akan mendengar nasihatnya ini.
Laila pantas mengangguk. Seperti mana nasihat teman-teman yang lain begitu juga dengan pesanan ikhlas wanita itu. Semuanya disemat kukuh di benaknya. Tidak sekali pernah dia membiarkan dirinya alpa kepada lelaki yang sedang mereka perkatakan ini. Sebagai wanita dia tidak akan membiarkan maruahnya digadaikan semudah itu. Sama sekali tidak akan! Maruah dirinya bukan untuk Nazim, juga bukan untuk sesiapa. Maruahnya hanya akan dipersembahkan untuk lelaki yang sudah menjadi suaminya nanti. Insya-Allah..

Hari itu Laila masuk kerja agak lewat. Selepas selesai waktu makan tengahari barulah dia tiba di pejabat. Senyumannya saat itu cukup memberitahu sesiapa yang melihatnya yang dia sedang dalam kegembiraan.
Laila tidak pernah merasakan dirinya segembira itu sebaik sahaja selesai menjalani sesi temuduga kerja. Tetapi sebentar tadi dialah manusia yang paling gembira apabila bertemu dengan lelaki bernama Abdullah itu. Dia ditawarkan kerja dengan pakej gaji yang sangat menarik. Ditambah lagi beberapa insentif tambahan Laila tidak ingin berfikir dua kali untuk meninggalkan kerjanya kini untuk tawaran di UMBS Holding. Dia nekad! Cabaran Puan Maznah akan disambutnya. Dia akan membuktikan keupayaan dirinya bersama dengan syarikat gergasi itu. Tanpa sedar Laila termenung sendiri mengenang apa yang berlaku di pejabat UMBS Holding itu. Dia tersenyum sendiri.
Happy nampaknya? Ada apa-apa yang awak nak kongsikan dengan saya ke?” sapaan garau itu menyentakkan lamunan Laila. Dia segera memandang ke arah pintu biliknya. Berderau darahnya melihat tuan punya syarikat itu sedang berdiri di ambang pintu biliknya. Sedang menelek aksi dirinya.
“Erk?? Tuan Haji..” balas Laila sedikit gugup. Dia terus berdiri sebagai menghormati lelaki tua itu. Ada sedikit rasa takut mula menyapa dirinya kerana dia telah tertangkap ketika sedang termenung oleh lelaki ini.
“Awak menungkan apa, Laila? Sambil tersenyum pulak tu?” mesra sahaja suara lelaki itu menyoalnya. “Dari luar saya boleh nampak senyum awak tu? Awak ada nak bagi kad jemputan ke?” tambah lelaki itu lagi. Tanpa disuruh dia mendekati Laila di mejanya.
“Kad jemputan?” soal Laila lantas mengerutkan kening tanda tidak mengerti.
Tuan Haji Hamidon ketawa sedikit melihat keluguan Laila. “Selalunya orang yang tersenyum sendiri ni tandanya dia nak kahwin. Awak nak kahwin ke dalam masa terdekat ni? Itu yang saya tanya awak ada nak bagi kad jemputan ke?” ucap lelaki tua itu sengaja bergurau dengan Laila.
Kali Laila pula yang menyambung tawa lelaki itu. “Takdelah, Tuan Haji. Mana ada..” Laila sedikit tersipu dengan tebakan rambang lelaki itu. Malu pula dia dikatakan termenung kerana mahu berkahwin. Jauh menyimpang!
“Hmm.. ingatkan awak termenung sebab nak kahwin. Macamana kerja di sini? Okay tak? Ada apa-apa masalah setakat ini?”
Apa da, Tuan Haji ni. Dah hampir enam bulan aku kat sini barulah mahu bertanya aku ok atau tidak. Aku dah nak berhenti pun.. getus hati Laila sendiri. Kemesraan Tuan Haji Hamidon membuatkan Laila kembali tersenyum.
“Okay, Tuan Haji. Saya selesa kat sini. Orang sekeliling banyak membantu saya selama ni,” balas Laila lembut. Kisah lelaki ini sering didengarinya dari orang sekelilingnya. Lelaki yang tegas namun baik hati. Sayangnya selama dia berada di sini dia tidak pernah berpeluang mengenali lelaki ini sebegini dekat.
“Betul?” tanya Tuan Haji Hamidon sekadar mahu mengesahkan apa yang dikatakan Laila sebentar tadi.
“Betul, Tuan Haji. Saya suka kerja kat sini,” jawab Laila lembut.
Tuan Haji Hamidon mengangguk perlahan. “Saya dengar Puan Maznah kata awak ni salah seorang pekerja yang terbaik di antara pekerja-pekerjanya yang boleh diharapkan. Antara perkerja yang paling berdedikasi. Awak sentiasa komited pada kerja awak. Baguslah kalau begitu. Orang macam awak ni boleh berjaya dalam hidup kalau terus bersikap begitu,” balas Tuan Haji Hamidon lembut.
Cewah!! Melambung pujian orang tua itu. “Tuan Haji, janganlah puji sangat. Kembang saya nanti terus tak jadi kerja,” ujar Laila sambil tunduk sedikit untuk menyembunyikan senyum malunya.
Tuan Haji Hamidun ketawa melihat Laila. “Saya cakap benda yang betul. Kembang pun takpelah. Tapi jangan sampai tak buat kerja langsung pulak. Itu bukan kembang namanya. Itu kembong!”
Laila tergelak lagi. Kelakar jugak orang tua ini rupanye..“Saya cuma buat kerja saya aja, Tuan Haji. Saya ikut peraturan dan arahan bos saya. Rasanya itu memang kewajipan saya sebagai orang yang digajikan. Dalam kerja kita kena ikhlas dan jujur. Barulah rezekinya berkat,” ujar Laila pula. Syukur kepada Allah setelah telinganya diperdengarkan pujian tentang dirinya dari majikannya ini. Sekurang-kurangnya dia merasa usahanya dihargakan juga dengan sedikit kata-kata yang sedap didengar.
“Saya suka dengan pendirian yang macam tu. Walaupun hakikatnya tak semua pekerja yang mahu berfikiran macam awak ni. Takpelah.. sambunglah kerja awak semula.” Seketika kemudian Tuan Haji Hamidon mula bergerak mahu meninggalkan Laila.
Namun separuh jalan dia berhenti. “Kerja baik-baik, Laila. Orang yang jujur dan ikhlas dalam kerjanya Allah akan kayakan dia dengan rezeki dari-Nya.” Di muka pintu itu lelaki itu berkata lagi sambil tersenyum kepada Laila.
“Insya-Allah, Tuan Haji. Terima kasih atas nasihat tu..” ucap Laila sebelum lelaki itu menghilangkan diri dari biliknya. Kini senyuman Laila semakin melebar. Dengan sedikit pujian dan dorongan tadi dia pasti dia boleh berjaya di mana saja dia berkhidmat.
Fuh! Kembang aku kena puji.. Laila tersenyum sendiri

Dua hari kemudian Laila sekali lagi bertemu dengan Tuan Haji Hamidon. Kali ini dia dipanggil ke bilik lelaki itu. Laila tenang sahaja kerana dia sudah tahu apa yang menyebabkan dia dipanggil. Sebaik sahaja bertemu dengan setiausaha lelaki itu dia terus diarahkan masuk bertemu dengan lelaki itu.
“Rasanya saya baru aja tanya awak tentang kerja awak di sini, Laila. Sekarang awak dah nak berhenti. Awak tak suka saya bertanya atau awak ada masalah di sini? Kenapa tiba-tiba nak berhenti?” lelaki itu terus sahaja kepada pokok perbincangan tanpa mahu berbasi-basa lagi.
“Saya takde masalah di sini, Tuan Haji. Saya sebenarnya ditawarkan kerja di tempat lain. Tawaran yang saya rasa menarik dan saya sebenarnya memang sentiasa berharap dapat berkerja di syarikat tu,” jawab Laila perlahan dalam kegentaran saat berhadapan dengan Tuan Haji Hamidon. Bimbang benar dia tindakannya ini akan menimbulkan masalah kepada orang lain.
“Syarikat mana?”
“UMBS Holding.”
“Oh! Besar tanggungjawab tu. Bukan senang nak jaga kapal laut ni, Laila. Awak dah fikir masak-masak ke? Takut awak mabuk laut pulak nanti,” balas Tuan Haji Hamidon sedikit bergurau.
Laila lantas tertawa. Rasa gentarnya mula memudar sedikit melihat tawa lelaki tua itu. “Saya kerja di office aja, Tuan Haji. Tak sampai pun ke muka pintu kapal. Tengok dari jauh aja,” balas Laila selamba. Sengaja mahu membalas usikan lelaki itu. Seperti yang diduga Tuan Haji Hamidon ketawa mesra. Seketika kemudian lelaki tua itu menghela nafas perlahan.
“Huh! Saya ni asalkan ada pekerja yang baik aja selalu kena rembat dengan syarikat lain. Yalah.. gaji mereka memang lebih menarik berbanding di sini. Terus terang saya katakan buat masa ni saya memang tak berani nak menahan awak untuk keluar dari syarikat ni dengan janji yang saya tak mampu nak tunaikan. Awak tahu ajalah.. semenjak kebelakangan ni syarikat hanya bergantung kepada projek yang sedang berjalan. Kita takde projek baru. Jadi saya kena bertahan dengan apa yang ada,” luah Tuan Haji Hamidon jujur. Dia sedar dia tiada kuasa yang mutlak untuk menahan Laila dari memilih yang lain.
“Maafkan saya, Tuan Haji. Saya harap tindakan saya ni tak mengecilkan hati Tuan Haji. Saya takde niat nak menyusahkan sesiapa.” Mendengar kata-kata Tuan Haji Hamidon itu dia merasa bersalah pula. Seolah-olah dia seorang pekerja yang tidak setia pula apabila majikannya sedang diambang kejatuhan.
“Takpe. Tindakan awak ni tak salah. Kalau saya ditempat awak sekalipun saya akan buat perkara yang sama. Dah tentu saya mahukan sesuatu yang mampu menjamin masa depan saya. Saya terima surat perletakan jawatan ni. Saya harap awak akan berjaya membina kerjaya di sana nanti, Laila. Tapi sekiranya awak terasa nak ubah fikiran, nak terus kekal di sini beritahu aja pada Puan Maznah. Awak boleh terus berkerja dengan saya,” kata Tuan Haji Hamidon lembut.
“Terima kasih banyak, Tuan Haji. Saya senang dengan cara Tuan Haji mengendalikan syarikat ni. Secara jujurnya saya sebenarnya suka berkerja di sini. Orang di sekeliling saya baik-baik semua termasuklah Tuan Haji sendiri.”
Tuan Haji Hamidon tersenyum. “Saya anggap peluang yang datang tu memang pada masa yang amat tepat. Kalau awak ni anak saya memang saya akan suruh awak terima tawaran tu. Takde sebab awak nak menolak kalau dah memang itu rezeki untuk awak. Orang muda macam awak ni perlu banyak mencuba untuk belajar tentang sesuatu. Jadi ini adalah masanya. Takpelah.. kalau itu alasannya awak berhenti kerja saya memang takde masalah untuk menerima keputusan awak ni. Saya cuma bimbang kalau-kalau awak berhenti sebab lain. Sebab tu saya bertanya sebelum ni. Saya dah ada sejarah pekerja wanita yang datang dan pergi dari syarikat ni disebabkan ada masalah dengan pekerja lain. Jadi saya pun tak mahu itu terjadi kepada awak,” ujar Tuan Haji Hamidon akur dengan keputusan Laila.
Laila cuma diam dalam pada dia memikirkan apa yang dimaksudkan oleh Tuan Haji Hamidon itu. Teringin benar dia mahu bertanya lebih lanjut tentang masalah perkerja-pekerja wanita itu namun saat itu juga Tuan Haji Hamidon meminta dia kembali ke biliknya. Terpaksalah dia mengangkat buntut saat itu juga.

Namun sepanjang perjalanan ke biliknya dia asyik terfikirkan apa yang dimaksukan oleh majikannya itu. Adakah hal itu berkaitan dengan Nazim? Masakan semua perkerja wanita itu ada masalah bergaduh sesama pekerja melainkan mereka diganggu oleh Nazim yang teramat miang itu.


10

Petang itu setelah selesai waktu kerja Laila seperti biasa tidak terus pulang ke rumah. Kerjanya masih berlambak perlu disudahkan memandangkan hari ini dia masuk lambat ke pejabat. Tanpa disedarinya ada seorang lelaki berdiri di hadapan biliknya memerhatikan dirinya dengan penuh minat.
Kaki Lukman bagaikan terpaku di lantai apabila bola matanya terlihat kelibat seorang wanita yang masih khusyuk dengan kerjanya melalui cermin di hadapannya. Perasaan Lukman mula tidak keruan. Debarannya bagaikan mahu meletupkan jantungnya. Bagaikan dejavu sedang melintasinya saat memandang raut itu. Sekadar memandang sahaja dia sudah hayal sendiri.
Lukman terus memakukan kaki di tempat dia berdiri sambil menikmati keindahan pada raut wanita yang masih tidak perasan dengan kehadirannya. Tanpa sedar aksinya seolah-olah dia adalah seorang lelaki yang tidak pernah melihat perempuan cantik sebelum ini. Jakun!
Laila seperti yang pernah dilihatnya sekali lagi mengenakan baju kurung. Kali ini berwarna hijau pucuk pisang dan tudung berwarna putih. Lukman tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Serasanya dia mahu mendekati Laila tetapi ada rasa segan menyapa dirinya. Entah kenapa tiba-tiba dia dilanda perasaan begitu sedangkan dia bukannya seorang penyegan selama ini. Segan dengan perempuan? Memang rugilah kalau ada lelaki yang begitu.
Aku nak cakap apa dengan dia ek? Nak bagi salam ke..? Atau nak cakap.. hai! Lukman tertanya sendiri. Tetapi masakan dia mahu melepaskan peluang yang ada apatah lagi hanya mereka berdua sahaja di situ? Cepat rebut peluang ni, Lukman! Kalau malu melepas! Ada bisikan halus mula mendesaknya. Argh!! Apa nak jadi, jadilah! Agi idup agi ngelaban! Sedikit kata-kata perangsang ditiup ke dalam diri untuk mengumpul keberanian.
Akhirnya Lukman nekad untuk mendekati pintu bilik yang terbuka luas. Nama yang tertera di pintu itu masih sama seperti yang ada diingatannya selama ini, Siti Laila Huda binti Syaharuddin.
“Ehhemm..” deheman suara lelaki itu spontan membuatkan Laila terkejut dalam pada dirinya asyik sendirian. Sepantas kilat dia memandang ke arah pintu biliknya yang terbuka luas. Dadanya berdebar kencang apabila ternampak kelibat seorang lelaki yang tidak dikenalinya sedang berdiri di hadapan pintunya.
“Cari siapa?” soal Laila sedikit gentar. Serasanya dia tidak pernah melihat lelaki ini. Dia pasti lelaki ini bukan kakitangan di syarikat ini.
“Saya cari kawan saya tadi tapi nampaknya dia dah balik. Secara tak sengaja saya ternampak awak di sini. Saja je saya singgah. Tak balik lagi?” Lukman mula meramahkan dirinya dengan Laila.
Laila mengerutkan keningnya saat itu. Ini lagi seorang manusia suka bertanya soalan budak tadika. Kalau aku dah balik masakan ‘belaan’ pulak yang duduk di sini. Sudah tentulah aku masih belum balik. Tanyalah soalan dah makan ke? Dah solat ke? Lagi relevan.. desis hati Laila sendiri.
“Belum,” ringkas sahaja jawapan Laila sekadar mahu menjaga hati tetamu tidak diundang itu.
“Saya Lukman, kawan Nazim Projek Manager kat sini.” Lukman memberanikan diri mendekati Laila di mejanya. Tangannya segera dihulurkan kepada Laila namun wanita itu tidak segera menyambutnya. Hanya memandang sahaja huluran tangannya. Perbuatan Laila itu membuatkan Lukman teringat semula. Nazim ada memberitahunya yang Laila alim orangnya. Jadi pantaslah wanita itu tidak menyambut huluran tangannya. Dengan agak malu Lukman kembali menarik tangannya.
“Saya kenal siapa Nazim. Saya nampak dia dah balik tadi. Maaf, saya tak berniat nak berkurang ajar tapi kita bukan muhrim. Jadi tak seharusnya kita bersalaman.” Laila menjawab biasa. Apabila nama itu yang disebut Lukman tiba-tiba mood Laila untuk melayan lelaki itu terus merudum jatuh. Entah kenapa telinganya alah kepada nama itu sedangkan nama itu sebenarnya amat sedap jika diletakkan kepada anak lelaki.
Lukman sekadar mengangguk perlahan. Dia sedar tidak seharusnya dia mengajak wanita yang dikatakan alim oleh Nazim ini bersalaman dengannya. Bukan ke bersentuhan lelaki dan wanita bukan muhrim hukumnya haram? Entah kenapa saat itu segala kenangannya bersama Mastura terimbas semula di ruang fikiran. Terasa dirinya kerdil dibandingkan dengan wanita ini.
“Cik Laila belum nak balik lagi? Tinggal awak aja kat sini,” ucap Lukman cuba menghidupkan perbualan dengan Laila.
“Mana awak tahu nama saya? Nazim yang bagitahu ke?” Laila menyoal hairan. Tajam matanya memandang Lukman yang berdiri berseluk poket di hadapan mejanya. Jika Lukman kawan Nazim dia memang tidak ingin melayan. Mungkin Lukman sama sahaja seperti Nazim.
“Ada kat depan pintu tu, Siti Laila Huda. Itu nama awakkan?” balas Lukman yang masih tidak mahu berputus asa mendekati Laila biarpun dia sedar layanan Laila amat hambar. Sempat dia menundingkan jarinya ke arah pintu tempat di mana dia mendapat tahu nama wanita itu.
Taklah! Itu nama nenek aku! Suka-suka je baca nama orang.. detik hati Laila tidak senang. Laila hanya diam sahaja dengan jawapan Lukman. Matanya diarahkan semula kepada dokumen di atas mejanya itu. Harapannya saat ini Lukman sedar yang dia tidak berminat untuk berbual dengan lebih lanjut lagi dan lekas-lekaslah pergi. Tetapi lelaki muda itu hanya berdiri sahaja di situ.
“Ada apa lagi yang awak nak tahu ke, Encik Lukman selain dari nama saya?” tanpa mengangkat pandangannya Laila menyoal dalam nada tidak senang.
“Er...” Lukman tiba-tiba kekeluan untuk meneruskan bicara. Hanya matanya sahaja yang mampu memandang Laila yang menunduk ke arah dokumennya. Entah kenapa berhadapan dengan wanita ini hilang kepetahannya dalam berbicara. Sedangkan selama ini dialah juara dalam menabur ayat-ayat manis untuk memikat wanita. Kenapa dengan aku ni? Wake-up, Lukman! detik hatinya sendiri.
Melihat Lukman masih teragak-agak di situ Laila kembali memandang lelaki itu. “Apa awak nak dari saya ni?” soal Laila sekali lagi.
Jantung Lukman berdegup kencang apabila dipanah oleh cahaya dari renungan tajam sang perempuan. Berhadapan begini matanya bagaikan disihirkan oleh renungan Laila. Sehingga dia tidak terkata jadinya. Ayat yang dirangka semenjak tadi terasa sudah bersepai di dalam otaknya. Dia terkaku dalam aksinya! Hanya hati yang mampu berbicara sedangkan lidah terus kelu. Terkulat-kulat Lukman di tempatnya berdiri.
“Encik Lukman nak berdiri kat situ pandang saya sampai bila?” soal Laila dingin.
“Kalau boleh sampai tua..” meluncur jawapan tidak diduga itu tanpa sengaja.
Laila sedikit tersentak dengan jawapan itu. Wajahnya mula berubah. “Apa awak cakap?”
“Eh! Takde apa-apa! Saya terlepas cakap. Hish! Mulut ni! Sopan sikit!” Lukman menepuk mulutnya beberapa kali.
Laila mengulum senyum melihat tingkah Lukman. Gelihati namun sengaja ditahan rasa itu. Dia tidak mahu Lukman menganggap dia sudah bersedia untuk beramah tamah dengan lelaki itu. “Jadi kalau takde apa-apa, kenapa awak pandang saya lagi? Saya tak perlukan sesiapa untuk temankan saya kat sini,” ujar Laila selamba.
Tak boleh jadi ni.. bisik Lukman dalam diam. “Saya nak berkenalan dengan awak. Bolehkan, Cik Laila?” Lukman lantas mengucapkan sepotong ayat yang sempat melintas di benaknya. Dia sudah tidak punya banyak masa lagi untuk merekacipta ayat yang berbunga-bunga buat Laila. Apa yang ada disambarnya sahaja.
“Awak dah tahu nama saya, apa lagi yang awak nak tahu?” dingin sahaja balasan Laila.
Lukman diam kembali. Cuba memikirkan apa sebenarnya yang harus diucapkan kepada Laila yang nampak amat berat dengannya ini. Kalau selalunya dia punya banyak idea untuk memikat wanita tetapi kali ini dia terkial-kial pula. Ah, gasaklah!
“Kalau saya ajak Cik Laila keluar dengan saya, Cik Laila sudi?” akhirnya Lukman menebalkan muka menyampaikan hajat di hati.
“Keluar ke mana?” balas Laila sedikit aneh.
“Kita pergi makan. Maksud saya, kita berbual sambil makan malam. Saya cuma nak berkawan dengan Cik Laila. Tak salahkan?” Lukman tersenyum penuh keikhlasan. Dalam hatinya dia tahu biar bagaimanapun Laila berkeras, kerasnya hanya sekeras kerak nasi sahaja. Pasti layu juga apabila dipikat dengan ayat-ayat manis seorang lelaki.
“Maaf, saya bukannya nak memalukan awak, Encik Lukman. Cuma ada perkara yang saya belum bersedia buat masa ni.” Laila menjawab perlahan.
Bicara Laila mencetuskan sedikit kerutan di dahi Lukman. “Apa yang Cik Laila belum bersedia?” soalnya tidak mengerti.
“Keluar dengan lelaki,” jawab Laila mudah tetapi serius. Biar lelaki ini faham dan tidak terus membazirkan masanya. Dia tidak mahu!
“Ooo..” Lukman mengangguk sedikit dalam kehampaan. Sangkanya apabila Laila bersoal jawab dengannya tadi Laila sudah tertarik dengan tawarannya. Rupanya tidak. Memang benar kata Nazim. Laila bukan sembarangan janda. Janda ini janda liat!
“Kenapa kalau keluar dengan lelaki? Cik Laila dah ada yang punya ke?” ucap Lukman cuba berlagak tenang. Latahnya tidak akan sesenang itu ditunjukkan kepada wanita ini. Dia juga tidak semudah itu akan tunduk kepada kemahuan Laila. Kalau untuk yang sejelita ini dia sanggup bersusah untuk memikatnya. Dia rela serela-relanya!
“Takde siapa yang punya cuma saya yang belum berminat ke arah itu. Itu sahaja!” Laila menjawab tegas seraya mengerling lelaki di hadapannya itu.
Pandangan mata Lukman yang tajam terarah kepadanya mulaa mendebarkan perasaan wanitanya ditambah lagi wajah itu seiras dengan pelakon Hollywood bernama Alex O’loughlin yang melakonkan watak utama sebagai drakula dalam drama bersiri bertajuk Moon Light yang pernah ditontonnya suatu ketika dahulu. Lukman berkulit sederhana cerah dan agak tinggi orangnya. Senyuman lelaki itu benar-benar menawan apatah lagi dengan lesung pipit yang dimilikinya membuatkan senyuman itu kelihatan amat manis. Tetapi dia kawan Nazim.. Ah!! Laila cuba menepis bayangan itu. Kenapa lelaki yang datang dekat dengan aku sekarang ini mesti ada kena mengena dengan Nazim? Bentak hatinya kesal.
“Jadi saya kena jadi perempuan dulu, baru dapat keluar dengan Cik Laila ke?” usik Lukman sambil menyeringai sendiri.
“Eh! Jangan nak mengarut boleh tak? Takkanlah semata-mata nak keluar dengan saya awak nak buat pembedahan tukar jantina pulak!” degus Laila.
“Tapi kenapa? Bunyinya macam Cik Laila pernah kecewa atau masih menunggu seseorang,” ucap Lukman mula membuat andaian sendiri. Dia bukanlah bijak benar dalam membaca hati perempuan tetapi apa yang diluahkannya itu sebenarnya sekadar mahu terus berlama-lama di bilik itu bersama Laila.
“Saya tak bincangkan hal seperti itu dengan orang yang saya tak kenal. Lebih baik Encik Lukman balik sekarang. Tak elok kalau kita berdua aja kat sini. Lagipun Encik Nazim dah balikkan? Jadi lebih baik Encik Lukman datang esok aja. Esok insya-Allah, Encik Lukman akan dapat jumpa dia.”
Lukman tersenyum mendengar apa yang Laila katakan itu. Kedegilan Laila menarik perhatiannya. Semakin mencabar untuk mendapatkan Laila semakin dia suka. Tidak mengapa. Lain hari masih ada. Dia akan mencuba lagi. Suatu hari nanti Laila pasti akan kalah dengan kuasa lelakinya. Aku akan pastikan hari itu akan tiba juga nanti, tekad hati Lukman sendiri.
“Memandangkan awak dah halau saya, saya pergi dululah. Mungkin lain kali Cik Laila akan mempertimbangkan niat ikhlas orang lain yang nak berkawan dengan Cik Laila.” Lukman bijak memainkan wataknya dengan merendahkan suaranya agar Laila tahu dia telah berkecil hati dengan penolakan Laila kepadanya.
“Saya tak halau awak. Cuma tak elok awak ada di sini berdua saja dengan saya. Itu yang saya maksudkan. Janganlah awak nak merajuk pulak dengan apa yang saya kata tadi.” Laila berkata selamba. Tidak berniat mahu memujuk tetapi tidak juga berniat mahu mengecilkan hati lelaki itu.
“Saya memang nak merajuk ni sebab awak tolak pelawaan saya,” ucap Lukman sengaja memuncungkan sedikit bibirnya. Mengada-ada kau, Lukman!
Laila sempat mencebik. Ada aja ulah lelaki ini untuk menarik perhatiannya. “Tapi kalau awak merajuk pun saya memang tak berniat nak pujuk! Merajuklah kalau awak nak merajuk!” ucap Laila selamba sambil dia kembali meneruskan kerjanya.
“Saya merajuk betul-betul ni..”
“Merajuklah, Encik Lukman oi! Takdenya saya nak pujuk awak,” balas Laila semakin bersahaja.
Lukman sempat ketawa mendengar bicara Laila itu. Keselambaan Laila semakin mengusik nalurinya. Akalnya mengorek lagi idea untuk berbicara dengan Laila.
“Jadi kalau ada orang lain di antara kita Cik Laila akan mempertimbangkan apa yang saya katakan tadi?” ucap Lukman mula kembali bertenaga. Dia kini sudah mula menemui temponya. Lukman yang asal sudah kembali kepadanya.
Laila sekali lagi terpaksa memandang lelaki itu dengan kerutan di keningnya. Ada lagi konarnya lelaki ini. “Saya yang tak faham atau awak yang tak faham sekarang ni?” Laila mengeluh lembut. Sebuah helaan dilepaskan dari rongga hidungnya.
Sorry. Tadi Cik Laila kata kita cuma berdua sahaja di sini. Jadi kalau kita berada di tempat terbuka yang ada lebih ramai orang di sekeliling kita itu lebih maniskan? Macamana kalau saya ajak Cik Laila makan malam dengan saya? Di tempat yang terbuka yang ada ramai orang,” ujar Lukman selamba. Biarlah Laila mahu mengatakan dia muka tembok sekali pun. Dia tidak peduli!
Laila menghela keluhan perlahan. Lukman nampaknya tidak tahu erti putus asa. Lain yang dikatanya lain pula konarnya lelaki ini. Lelaki ini memang bijak memerangkap. Dialah yang harus berhati-hati kerana tidak mahu nanti terjatuh di tempat yang salah. Kalau sudah berkawan dengan buaya darat seperti Nazim tidak mustahil lelaki ini juga berasal dari spesis yang sama.
“Awak ni, pandaikan? Tempat ada ramai orang konon..” getus Laila.
“Salah ke apa yang saya cakap tadi?”
“Kedai yang takde ramai orang kedai yang dah tutup aja, Encik Lukman. Yang lain semuanya ada ramai orang. Kalau bukan pelanggan yang ramai, pekerja yang ramai. Sama ajakan? Tak payahlah awak nak konar sana sini bagi kepala saya pening.” Laila mendegus geram.
Lukman tersengih. Sedar kini ulahnya tidak menjadi. “Takkan tempat ramai orang pun cik Laila tak sudi?” tanya Lukman selamba.
“Apa bezanya ajakan awak yang pertama tadi dengan yang terbaru ni? Tadi awak ajak saya keluar ke mana sebenarnya?” soal Laila dengan sorotan mata tajam.
“Erk?” Lukman terpempan seketika. Tidak sangka dia akan dismash Laila begitu.
“Sama ajakan? Takde beza. Jadi itu pun tak boleh, Encik Lukman.” Laila menjawab selamba.
“Kenapa tak boleh? Ada orang lain marah kalau Cik Laila keluar makan dengan saya? Tadi Cik Laila kata Cik Laila belum ada yang punya jadi saya anggap saya masih ada peluang.” Lukman berbicara selamba. Dia sempat tersenyum kepada Laila.
“Peluang apa yang Encik Lukman cakapkan ni?” tekan Laila mula hilang sabar.
“Peluang untuk saya mengenali Cik Laila dengan lebih dekat lagi. Tak salahkan apa yang saya katakan ni? Rasanya saya bukannya sedang bercakap dengan isteri orang atau tunang orang.” Lukman terus tersenyum lembut di hadapan Laila. Matanya bagaikan tidak pernah jemu biarpun sorotan mata hitam bersinar itu langsung tidak memaparkan rasa teruja melihat kekacakannya.
“Saya tak mahu. Lebih baik Encik Lukman balik saja. Jangan bazirkan masa Encik Lukman dengan menunggu saya di sini. Saya takkan memberikan apa-apa yang Encik Lukman mahukan. Maafkan saya kalau saya dah memalukan Encik Lukman. Tapi saya memang tak berminat.” Dalam kelembutan suaranya tetap terselit ketegasan pendiriannya.
Memudar senyuman Lukman kala itu. Umpannya tidak dimakan oleh Laila. Kini dia sedar Laila memang keras hati orangnya. Itulah yang dikatakan oleh hati lelakinya saat itu. Melihat Laila enggan melayannya Lukman akhirnya akur. Dia hampa tetapi dia tidak mahu berputus asa. Lain kali pasti masih ada caranya. Pasti!
“Okaylah. Mungkin lain kali..” sambut Lukman sedikit hampa.
Laila hanya diam. Pemergian lelaki itu hanya dipandang sekilas sebelum dia menyambung semula kerjanya. Namun seketika kemudian Laila menghela nafas perlahan. Cuba menimbang semula caranya tadi. Adakah dia sudah berkasar dengan Lukman? Ah!! Susah betul! Dia tidak ganggu orang tapi orang yang sibuk datang mencarinya. Sekarang dia pula yang resah sendiri.

Di dalam kereta Lukman tersengih sendiri. Senang hatinya dapat berbual dengan Laila. Walaupun hanya untuk seketika tetapi dia puas kerana Laila kini sudah mengenali dirinya. Lain masa tidak perlulah lagi dia terintai-intai seperti tadi. Lebih mudah untuk dia memasang strategi untuk mendapatkan wanita itu. Penolakan Laila sebentar tadi langsung tidak membuatkan dia mahu berputus asa sebaliknya dia seolah diampu semangat yang kental untuk mendekatkan diri kepada Laila.
‘Tunggulah, Laila. Kau jual mahal sangat. Suatu hari nanti kerana aku kau akan jadi murah semurah-murahnya pada aku. Tengoklah! Jangan esok kau tak nampak muka aku sehari kau tak lalu nak makan, sudahlah! Aku akan jadikan kau hak aku!’ ucap hati Lukman penuh tekad.

Laila menoleh apabila terkesan dek ekor matanya kedatangan seseorang ke dalam pantry pejabatnya itu. Berderau darahnya apabila ternampak Nazim sedang menutup pintu pantry itu sambil tersengih kepadanya.
“Ada apa ni, Encik Nazim? Kenapa tutup pintu tu?” soal Laila kehairanan. Ada sedikit kegelabahan apabila menyedari hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik kecil itu.
“Takde apa. Saya cuma nak berbual dengan awak aja,” balas Nazim. Dia memandang Laila dari atas ke bawah. Kalau diikutkan hati lelakinya ini Laila sudah dipeluknya tetapi menyedari ramai kakitangan yang sedang sibuk di luar sana terpaksa dimatikan hasratnya itu buat masa ini.
“Saya nak balik ke bilik saya. Tolong ke tepi,” ucap Laila cuba melarikan diri. Dia seram melihat cara Nazim memandangnya. Dia tahu niat yang terselindung di sebalik niat lelaki itu membuatkan mereka berdua terkurung di dalam ruang kecil itu. Sebelum apa-apa terjadi lebih baik dia menghindar.
“Eh! Nantilah dulu. Minumlah dulu air awak tu. Masih banyak lagi yang tak habis. Sambil tu kita berbuallah. Saya bukannya nak apa-apakan awak, Laila. Jangan takut dengan saya.” Nazim lantas menghalang dengan berdiri rapat kepada pintu pantry itu. Dia tersengih lagi kepada Laila. Matanya meliar memandang Laila yang sudah tidak tentu arah. Saat itu melaut rasa geramnya kepada Laila yang amat sukar didekati. Langsung tidak berpeluang!
Laila mula dikuasai oleh rasa cemas saat itu. Cara Nazim benar-benar menakutkannya. Senyum miang lelaki itu sudah dapat dibaca apa ertinya. “Saya takde masa nak berbual! Saya ada banyak kerja sekarang ni, Encik Nazim. Tolonglah jangan halang saya. Tolong ke tepi!” bentaknya.
“Awak ni sombong betullah, Laila. Langsung tak kasi can pada saya. Apa salahnya kita berbual sekejap. Saya ada benda nak tanya ni. Sekejap aja, please..” pujuk Nazim lembut. Tubuh gempalnya masih menghadang laluan Laila.
“Tanya apa?” Gemuruh yang dirasakan membuatkan Laila membentak tanpa sedar.
“Betul ke awak dah nak berhenti kerja?”
“Itu bukan urusan Encik Nazim! Tak payah nak sibuk hal peribadi saya!”
“Awak ni.. saya ni ikhlas, Laila. Saya dah lama sukakan awak. Tapi awak buat tak layan aja dengan saya. Saya ajak awak keluar dengan saya pun awak tak mahu. Saya cuma nak tolong awak,” pujuk Nazim semakin mendayu-dayu.
“Tolong apanya? Saya tak perlukan bantuan apa-apa dari Encik Nazim! Encik Nazim jangan nak kurang ajar. Saya jerit nanti kalau encik sentuh saya!” Dalam rasa cemas itu Laila masih mampu berbalas kata dengan Nazim. Sakit hatinya dengan gelagat lelaki miang ini. Mahu sahaja disepaknya muka lelaki tidak tahu malu ini.
Nazim semakin mendekati Laila dengan sengihannya. Ugutan Laila langsung tidak memberi kesan kepadanya. “Laila, awak kerja di mana lepas ni? Saya nak tahu..”
“Jangan dekat dengan saya, Encik Nazim. Kalau tak saya jerit nanti!” Laila mengugut keras. Tiada jawapan diberikan kepada soalan Nazim sebentar tadi sebaliknya dia berundur sedikit cuba menjauhi lelaki itu.
“Laila, saya ni ambil berat pasal awak. Takkan langsung takde sikitpun kebaikan saya yang boleh melembutkan hati awak?” suara Nazim mula mengendur. Mungkin kecewa kerana Laila masih susah untuk dijinakkan dengan ayat-ayat manisnya.
“Ambil berat pada isteri dan anak-anak Encik Nazim itu lebih berfaedah! Saya tak suka awak buat macam ni. Ini pejabat, Encik Nazim. Jangan melampaui batas! Nanti Encik Nazim jugak yang susah!” ancam Laila cuba menghindar dari lelaki itu.
“Apa, teruk sangat ke saya ni? Kenapa awak benci sangat dengan saya? Apa salah saya?” tekan Nazim semakin kecewa. Melihat Laila cuba mengintai peluang untuk melarikan diri dia kembali menghalang pintu.
“Saya rasa awak tahu apa yang membuatkan saya tak senang dengan awak selama ni, Encik Nazim. Jangan buat-buat tak tahu! Awak sendiri tahu apa yang awak buat. Perempuan bukan makhluk untuk diperbodohkan dan dipergunakan sesenang hati. Apa perasaan awak kalau adik awak atau anak perempuan awak diperlakukan macam sampah? Akan sampai satu masa semua perbuatan kita akan dibalas, Encik Nazim.”
“Laila, niat saya baik. Saya hanya nak tolong awak. Tolong hilangkan kesunyian awak. Tolong belai awak. Tolong...” Kata-kata Nazim terputus di situ apabila pintu pantry itu tiba-tiba diterjah kuat oleh seseorang dari luar. Kekuatan tolakan itu membuatkan Nazim terdorong ke hadapan akibat diterjah pintu itu. Nasib baik Laila sempat mengelak tubuh sedikit gempal lelaki itu. Jika tidak sudah pasti dia terlentang dilanggar lelaki itu.
Dua batang tubuh manusia menerpa masuk sebaik sahaja pintu itu terngangan luas. Mata Tuan Haji Hamidun melolot tajam memandang Nazim dan Laila silih berganti. Puan Maznah ikut berdiri bersebelahan dengan lelaki tuan punya syarikat itu.
“Apa awak buat ni, Nazim?” suara garau Tuan Haji Hamidun meledak kuat kepada kakitangan lelaki itu. Matanya tajam memandang Nazim yang semakin tidak tentu arah. Geramnya dia bagaikan mahu disiat-siatnya kulit Nazim saat itu jika boleh.
“Takde apa-apa, Tuan Haji. Saya hanya berbual dengan Laila.” Menggelabah juga Nazim saat menjawab kepada lelaki tua itu. Dia memandang Laila sekilas sebelum kembali menghadapkan pandangannya kepada Tuan Haji Hamidon. Tanpa sedar wajahnya mula berubah pucat.
“Berbual? Inikan waktu kerja? Awak dah takde kerja lain nak buat selain dari mengekor buntut staf perempuan kat sini? Ini aja kerja yang awak tahu buat selama ini?” jerkah Tuan Haji Hamidon kepada Nazim.
“Tak! Tuan Haji, saya hanya temankan Laila sekejap,” balas Nazim masih cuba untuk menyelamatkan dirinya di hadapan lelaki itu. sempat dia memandang Laila, meminta Laila ikut menyokong kata-katanya agar dia terselamat dari Tuan Haji Hamidun. Namun Laila sekadar memandangnya sinis.
“Patutlah ramai kakitangan perempuan takut nak kekal di sini. Rupanya ini kerja awak. Menganggu kakitangan perempuan!”
“Takde, Tuan Haji. Saya hanya berbual aja dengan Laila. Saya takde niat lain..” Nazim masih cuba membela diri. Namun suaranya sudah menunjukkan betapa gentarnya dia dengan keadaan saat itu.
“Sudah! Jangan nak banyak alasan lagi! Laila, balik bilik awak! Nazim, awak jumpa saya di bilik saya. Sekarang!” ujar Tuan Haji Hamidun cukup lantang.
“Ba.. baik, Tuan Haji.” Nazim akur dalam kegagapan.
Dua lelaki itu pantas meninggalkan ruang pantri itu. Laila sempat memandang Puan Maznah yang sedang memerhatikan Nazim yang membuntuti langkah Tuan Haji Hamidon. Wanita itu menggeleng sendiri.
“Laila, balik bilik awak.” Kali ini suara Puan Maznah pula kedengaran setelah memandang Laila yang terkaku di tempanya berdiri.
Laila mengangguk sambil membawa cawan yang digunakannya tadi ke sinki. Sempat dia mencuci cawan itu sebelum akur dengan arahan Puan Maznah agar segera meninggalkan ruangan pantry itu. Saat itu barulah dia terlihat jari jemarinya menggigil saat dia memegang cawan itu. Sempat dia menghela nafas kelegaan untuk meredakan perasaannya. Kedatangan Tuan Haji Hamidun dan Puan Maznah sebentar tadi adalah penyelamat buat dirinya.
Tetapi saat itu dia mula menyedari, di sini bukanlah tempat yang selamat untuknya lagi. Dia tahu dia harus menerima apa yang ditawarkan untuknya. Apa yang baru berlaku tadi membuatkan Laila bagaikan tidak sabar lagi untuk menyudahkan notis perletakan jawatan tiga bulan yang sudah diberikan kepada majikannya itu. Dia harus segera menjauhkan diri dari lelaki bernama Nazim itu.

Laila..” suara Puan Maznah yang menyapa dari pintu bilik itu membuatkan apa yang sedang dimenungkan Laila bertebaran. Laila lantas mengangkat kepala memandang ke arah Puan Maznah. Getaran yang dirasakan tadi masih bersisa membuatkan dia gagal menumpukan perhatian kepada kerjanya.
“Puan Maznah..” Laila membalas sapaan itu dalam kelembutan. Dia tahu dia pasti akan disoal siasat tentang apa yang berlaku di dalam pantry sebentar tadi. Harapannya agar penjelasannya sama seperti yang diberikan oleh Nazim. Tiada ada ditokok tambah atau diadu-domba oleh lelaki itu.
“Apa Nazim cuba buat pada awak tadi?” Puan Maznah menyoal setelah mendekati Laila. Dia duduk di hadapan Laila tanpa disuruh.
“Saya tak tahu. Tapi dia kata dia hanya nak berbual dengan saya.” Laila menjawab jujur tentang apa yang terjadi sebentar tadi.
“Kenapa sampai tutup pintu pantry kalau setakat nak berbual? Nasib baik Jessica nampak apa yang Nazim buat tadi. Dia beritahu saya dan saya terus bagitahu Tuan Haji Hamidun. Kali ni saya nak Tuan Haji nampak sendiri apa yang Nazim cuba buat. Selama ni Tuan Haji hanya dengar cerita orang sahaja. Kali ini saya puas hati sebab dia dah nampak sendiri apa yang Nazim selalu buat pada kakitangan perempuan di sini. Saya nak Nazim diberikan hukuman yang setimpal untuk kesalahannya.”
Laila diam sambil memandang wanita di hadapannya itu. Dalam hati dia amat berterima kasih dengan apa yang Puan Maznah lakukan untuknya.
“Awak tak apa-apa ke? Awak nampak tertekan sangat. Kalau nak saya boleh berikan awak cuti separuh hari untuk awak tenangkan fikiran.” Puan Maznah berkata lembut. Dia tahu Laila pasti fobia dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
“Saya okay. Cuma masih rasa terkejut sikit aja disebabkan peristiwa tadi. Nazim tak sempat buat apa-apa pun pada saya. Takpelah, Puan Maznah. Saya masih boleh teruskan kerja saya,” ujar Laila menolak cadangan Puan Maznah.
“Syukurlah kalau macam tu,” sambut Puan Maznah perlahan.
“Terima kasih banyak, puan. Kalau puan takde tadi saya pun tak tahu apa yang akan jadi pada saya. Saya dah putuskan apa yang terbaik untuk saya, puan. Soal Encik Nazim saya mahu letak ke tepi. Kalau boleh saya tak mahu lagi jumpa dia seumur hidup saya ni,” luah Laila perlahan. Tenang sedikit hatinya saat itu.
“Jangan lakukan ini kerana mahu lari dari Nazim. Tiada siapa yang boleh jamin awak takkan bertemu lagi dengan lelaki seperti Nazim ketika awak di luar sana. Kuatkan hati, Laila. Selalu berpegang kepada pendirian. Jangan lemah dengan dugaan seperti ini. Ini dah dikira gangguan seksual di tempat kerja. Kalau awak terus diganggu seperti ini jangan ragu-ragu, terus laporkan kepada pihak atasan.”
“Saya tahu tu, Puan Maznah. Terima kasih sebab Puan Maznah selalu ambil berat tentang saya,” ucap Laila lembut.
“Saya bertanggungjawab menjaga kesemua pekerja di bawah tanggungjawab saya. Awak masih dikira sebagai pekerja di sini selagi notis awak belum tamat tempohnya. Kalau gangguan agak berat kita akan laporkan kepada polis. Perkara ini tak boleh didiamkan sahaja. Bukan seorang dua yang pernah terkena macam awak ni. Selama ni Nazim tak pernah dilaporkan oleh sesiapa jadi dia semakin berani. Tetapi kali ini saya serius. Saya tak mahu kakitangan saya diganggu oleh dia lagi. Lagipun negara kita ada akta yang melindungi pekerja daripada gangguan seksual di tempat kerja. Saya paling tak mahu ada mana-mana pekerja saya yang merasakan syarikat ini tak selamat buat mereka hanya kerana ada pekerja yang tak beretika macam Nazim,” ujar Puan Maznah kepada Laila.
Laila kembali diam sambil memandang meja di hadapannya itu. Bimbang juga dia sekiranya Nazim berdendam dengannya. Apa sahaja lelaki itu boleh lakukan jika dia sudah dikenakan. Laila tahu segalanya tidak akan berhenti di sini sahaja. Pasti ada rentetan peristiwa. Mengenang itu Laila gentar seketika. Serasanya hidupnya tidak akan aman selama dia mengenali lelaki bernama Nazim itu.
“Sambunglah kerja awak. Saya keluar dulu. Jangan lupa apa yang saya katakan tadi. Kalau Nazim ganggu awak lagi, beritahu saya.”
Laila segera mengangguk. Matanya memandang wanita yang mungkin hampir sebaya dengan arwah emaknya itu berlalu. Dalam hatinya dia menghargai perhatian wanita itu kepadanya. Bukan semua orang peduli dengan keadaan dirinya. Sesungguhnya dia amat bertuah sekali kerana mempunyai ketua sebaik Puan Maznah.

Sementara itu di bilik Tuan Haji Hamidon..
“Kalau macam nilah punya proposal yang awak nak bagi pada Capital Holding, baik campak aja dalam tong sampah! Buat malu saya aja! Ini rupanya kerja awak ya, Nazim. Ganggu staf sana sini. Kerja awak tak jalan tapi kerja lain yang awak jalankan kat dalam syarikat saya ni. Saya tak bayar awak untuk makan gaji buta!” herdik Tuan Haji Hamidon kepada Nazim di hadapan mejanya itu.
Nazim hanya mampu tunduk. Tidak berani dia mahu membalas kata-kata majikannya itu.
“Awak tahu syarikat ni sikit lagi nak bungkus. Projek dah lama tak masuk. Projek dengan Capital Holding tu adalah satu-satunya jalan untuk selamatkan syarikat ni. awak masih nak main-main?” jerkah Tuan Haji Hamidon yang masih belum puas menyembur kemarahannya.
“Dengar sini baik-baik. Sekali lagi aja peluang saya berikan pada awak. Kalau awak gagal dapatkan projek dari Capital Holding ni, jangan mimpi awak boleh masuk ke pejabat ni sebagai pengurus projek di sini. Saya bayar awak untuk cari projek di luar bukannya mengayat staff perempuan kat dalam ni ajak buat projek dengan awak. Faham??” herdik Tuan Haji Hamidon lagi.
“Fa.. faham, tuan haji.” Nazim tergagap-gagap sedikit. Malunya dia bukan kepalang kepada lelaki ini. Langsung tidak bertapis bahasanya. Main sedap bercakap saja!
“Sekarang berambus! Bawak sekali kerja awak yang entah apa-apa ni!” herdik Tuan Haji Hamidon masih panas hati kepada lelaki itu. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia terus memecat Nazim. Tetapi dia masih ada hati perut. Dia tahu Nazim mempunyai anak isteri yang perlu disara.
Nazim akhirnya berlalu dengan tebal muka. Wajah majikannya itu tidak mampu dipandang lagi. dia tahu apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Hamidon harus diambil berat. Sudah sampai masanya untuk dia serius dalam soal kerjanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan