Khamis, 29 Ogos 2013

Prolog-MSM

Pudarnya Satu Nama
Tiada bicara tiada kata-kata
Terurai sudah patri janji terikat
Manis madah senyum tawa pesona
Terpadam satu dunia dari lubuk jiwa..
Manakah bisa mana lautan bara
Kecundang jua satria perlibur lara
Hanya mimpi mungkinkan tinggal mimpi
Yang pasti aku sendiri tetap begini..
Rasa cinta ku pada mu hanya Tuhan yang tahu
Yang ku rindu hanya satu hangat sentuhan mu..
Makin kelam detik dulu
Makin membuka ruang-ruang luka ku
Mana janji, mana rindu?
Tinggal aku..
Kisah hidupnya adalah satu kisah yang menyedihkan. Perhentian demi perhentian disinggahi namun matlamat yang ingin dikecapi masih juga tidak mampu dicapai dengan kudratnya. Kisah cinta pertamanya rebah oleh kehendak Yang Maha Kuasa. Wanita itu sedar hidup dan mati adalah ketentuan Ilahi. Dia pasrah akhirnya walaupun bertahun dia cuba untuk menerima hakikat itu. Cinta kedua hadir dalam keadaan yang tidak dijangkanya. Dua lelaki yang kebetulan memiliki nama yang sama namun hakikatnya sangat berbeza paras rupa dan perilaku. Sukar untuk wanita itu menolak kehendak takdir, sekali lagi hatinya diketuk oleh rasa kasih dan rindu kepada lelaki itu. Kerana cinta dia rela memaafkan. Kerana cinta dia sedia untuk menyerah.
Tetapi.. hari ini dia sendirian lagi meniti hidup. Sendirian menggalas tanggungjawab kepada dua buah cinta mereka berdua. Sendirian menahan tangis dan derita. Sendirian mengutip kenangan masa lalu. Bertahun-tahun ini hidupnya sarat dengan dilema. Betapa hanya Tuhan yang mengerti apa yang menghuni hatinya selama ini.
Puas dia bertanya diri, mencari di mana silapnya sehingga dia dihadiahkan dengan hakikat sebegini. Dua kali menyulam cinta dua kali dia merana. Dua kali membina bahagia dua kali juga dia kecewa dan dua kali juga dia ditinggalkan begitu sahaja akhirnya..
Akan adakah harapan untuk kali ketiga? Entah! Dia sendiri masih tidak tahu apa kesudahan untuk episod cinta dalam kehidupannya ini.
“Laila dah sedia?” soal Haji Syahar lembut kepada anak perempuannya itu. Dia tahu hari ini adalah hari yang sukar untuk Laila.
“Laila dah sedia, ayah.” Laila menjawab lembut bersama dengan sedikit senyuman untuk menyedapkan hati ayahnya. Bersedia atau tidak dia harus juga menempuhnya. Kerana ini adalah pilihannya sendiri. Tiada siapa yang memaksa. Namun sejujurnya betapa hanya Tuhan sahaja tahu perasaan pilu yang sedang menghuni relung hatinya ini. Menanti masa sahaja untuk meledak. Mahligai yang pernah jadikan sandaran hidupnya kian rapuh saban hari. Kosong sama sekali!
“Apa saja keputusan hakim nanti Laila kena terima dengan reda, nak. Ini semua dugaan Allah. Ibu faham tak ada seorang perempuan pun dalam dunia ni mahu menggalas gelaran janda. Tapi walaupun menjanda tak bermakna semuanya dah berakhir,” ucap makcik Sarimah, emak tiri Laila pula sambil bahu wanita berusia 28 tahun itu diusap lembut untuk menguatkan semangatnya.
Laila sempat melemparkan senyuman kepada wanita yang baru setahun menjadi peneman hidup kepada ayahnya itu. “Laila dah sedia, ibu. Takde sebab untuk Laila tak reda kalau dah ini yang Laila pilih untuk diri Laila,” jawab Laila lembut tanda hormat kepada emak tirinya itu.
“Ibu doakan Laila akan ketemu dengan cinta sejati Laila nanti. Insya-Allah..
jika bukan ini jodoh untuk Laila pasti ada yang lebih baik menanti di luar sana. Percayalah, Allah pasti akan temukan Laila dengan seseorang lelaki yang akan menjadi teman hidup Laila nanti,” ucap Makcik Sarimah lagi. Hidup sebagai janda selama sepuluh tahun membuatkan dia lekas simpati kepada nasib anak tirinya itu. Walaupun baru mengenali anak ini namun dia senang dengan kelembutan Laila dan kesudian Laila menerimanya sebagai sebahagian dari keluarga ini semenjak awal lagi.
“Terima kasih, ibu. Selama ini ibu dah banyak memberi nasihat dan dorongan pada Laila dalam saat-saat Laila susah. Laila hargai,” balas Laila. Tubuh wanita itu terus dipeluknya. Semenjak wanita ini mengambil alih tempat arwah emaknya di sisi sang ayah, kepada wanita inilah dia mengadu susah senangnya semenjak ditinggalkan suami.
“Pergilah. Pergi dengan hati yang tenang. Apa pun keputusannya nanti, kami semua tetap akan bersama Laila dan anak-anak,” ucap wanita itu lembut di telinga Laila. Belakang Laila sempat diusapnya.
Laila mengangguk perlahan sebelum keluar dari rumah itu beriringaan dengan ayahnya. Lelaki itu akan menemaninya sepanjang prosiding di mahkamah nanti. Hari ini setelah dua tahun dia dibiarkan suami yang kini entah di mana barulah dia ada kekuatan untuk menuntut keadilan buat dirinya. Berbekalkan lafaz taklik yang pernah dilafazkan suaminya hampir tiga tahun lalu saat menikahinya dia nekad menuntut kebebasan buat dirinya setelah dua tahun dia menanti. Demi kebaikan dirinya Laila mahu bebas sendirian tanpa ikatan yang sudah tidak memberi apa-apa makna lagi kepada mereka berdua. Dua tahun ini sudah cukup mengajarnya bahawa dia sudah tidak boleh bergantung harap lagi kepada lelaki itu.
Cinta yang pernah ada sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Jika di sinilah terletak noktahnya kepada kisah rumahtangganya Laila rela menerimanya. Kerana dia tahu dia sudah mencuba yang terbaik untuk diri dan anak-anaknya.

“Maafkan Laila, ayah.. mama. Laila harap ayah dan mama faham mengapa Laila buat begini. Selepas semua yang berlaku Laila rasa inilah yang terbaik untuk diri Laila.” Perlahan sahaja suara wanita itu teralun.
Setelah masing-masing ikut mendengar keputusan hakim yang membenarkan perkahwinan antara Laila dan Lukman dibubarkan, kini di luar kamar mahkamah itu Laila bertemu seketika dengan dua orang tua yang kini sudah pun bergelar bekas mertuanya. Biarpun sekadar bekas mertua namun Laila cukup sedar tali persaudaraan anak-anaknya tidak akan pernah terputus dengan keluarga mertuanya ini. Mereka masih perlu dihormati.
Malang nasibnya, dua kali berkahwin dua kali juga dia kegagalan. Namun Laila reda dengan ketentuan ini. Setiap yang berlaku pasti ada hikmah yang Allah sediakan untuk hamba-Nya. Dia mengambil ini semua sebagai ujian Allah kepada dirinya. Hidupnya tidak tamat hanya kerana kisah cinta sudah berlalu.
“Takpelah. Ayah faham, Laila. Ayah reda dengan keputusan Laila. Ayah tahu Laila juga berhak untuk merasa bahagia sedangkan apa yang berlaku selama ini ayah anggap itu sudah boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kepada Laila sebagai seorang isteri.” Lelaki tua itu menjawab lembut tanda akur dengan keadaan mereka kini. Tiada sekelumit marah atau dendam di hatinya apabila mendapat tahu Laila mahu menuntut cerai di mahkamah.
Kali ini pandangan mata Laila terarah kepada bekas emak mertuanya itu. Kesedihan di wajah itu cuba dimengertikan. Sebenarnya jika kesedihan yang sedang dirasai oleh wanita itu, dia lebih dari itu. Bukan senang untuk dia membuat keputusan untuk kembali menyendiri begini. Bersama dengan dua cahaya mata yang harus dibesarkan sendiri hanya kekebalan semangat yang dia ada untuk mengharungi segala cabarannya.
“Mama, maafkan Laila atas segala-galanya. Laila..” Laila tidak mampu meneruskan kata-katanya apabila tubuhnya terus diraih oleh wanita itu pantas. Tanpa dipinta air matanya mengalir laju ketika berada di dalam dakapan wanita tua itu. Mereka berpelukan erat sekali. Kepiluan yang tersimpan selama ini terhambur juga saat itu. Laila teresak sendiri di sebalik tubuh wanita itu. Memeluk wanita itu membuatkan secebis kerinduannya kepada lelaki itu meluntur kerana wanita inilah yang melahirkan lelaki itu.
“Mama tak marah Laila cuma mama harap Laila izinkan mama untuk terus berdoa supaya masih ada jalan dan ruang dibentangkan untuk Laila menjadi menantu mama lagi suatu hari nanti. Mama takkan berputus asa hari ini, nak. Kerana mama tahu Laila adalah wanita yang terbaik untuk anak lelaki mama. Maafkan mama kalau layanan mama selama ini tak seperti yang Laila harapkan. Mama pernah tersilap menilai Laila.” Suara wanita tua itu bergetar menahan sebak yang cukup dalam.
Perlahan pelukan wanita itu dileraikan Laila. Air matanya diseka perlahan dari parasnya. “Laila bangga kerana mama pernah menjadi emak mertua Laila. Laila tahu bukan semua orang bernasib baik seperti Laila kerana ada mak mertua yang begitu mengambil berat keadaan Laila selama ini. Sedikit pun tak pernah ada terlintas rasa kesal atau rasa tak puas hati di hati Laila selama ini kerana Laila tahu, selama suami Laila takde dengan Laila mama dengan ayahlah yang paling mengerti kesengsaraan Laila. Takde apa yang nak dimaafkan, mama. Laila minta mama halalkan segala yang dah mama berikan pada Laila selama ini. Laila harap perhubungan kita tidak akan terputus setakat ini walaupun Laila bukan lagi menantu mama,” Seperti mana wanita itu begitu juga Laila. Dia sebak menahan kesedihan.
“Jaga cucu-cucu mama baik-baik, Laila. Mama tahu Laila mampu jadi ibu yang baik kepada anak-anak Lukman. Mama harap Laila jangan jauhkan mereka berdua dari mama selepas ni,” ucap wanita tua itu sayu.
“Takde sebab Laila nak buat macam tu, ma. Anak-anak Laila masih perlukan kasih sayang mama dan ayah sebagai datuk dan nenek mereka. Sedikit pun tak pernah terlintas di hati Laila nak memisahkan kasih sayang mama dari mereka. Laila takkan buat macam tu. Apa yang Laila putuskan untuk diri Laila bukan untuk memisahkan kasih sayang mama daripada mereka berdua,” balas Laila bersungguh.
Wanita tua itu mengangguk sayu. Dia tahu sudah sampai masanya dia membebaskan Laila dari kurungan hidup mereka. Laila juga berhak untuk mencari kebahagiaannya sendiri.
“Maafkan kami, haji. Kami ni tak pandai didik anak sampai jadi begini,” ucap Tan Sri Fatah kepada Haji Syahar yang hanya memerhatikan mereka.
“Tak usahlah minta maaf pada saya, Fatah. Saya tak pernah berdendam atau marah pada Lukman. Dia tentu ada sebabnya sendiri mengapa dia buat begini. Mungkin hanya kita yang tak tahu. Semua ni kententuan Allah. Tak perlulah minta maaf kerana saya reda kalau inilah yang harus dilalui oleh Laila. Saya percaya Allah akan selalu bersama dengan Laila dan cucu-cucu kita tu,” jawab Haji Syahar lembut sambil memandang anak perempuannya yang sedikit tenang riak pada parasnya.
“Saya ni bukannya apa. Saya memang terkilan dengan apa yang berlaku dulu. Besar harapan saya nak tengok mereka ni kekal bersama. Tapi ini yang terjadi. Takpelah. Mungkin inilah yang dikatakan dah takdir. Apa boleh buat,” ucap Tan Sri Fatah agak kesayuan.
“Takde apa yang nak dikesalkan lagi, Fatah. Ada jodoh mereka takkan kemananya. Mungkin pada mata kita ini seolah-olah satu penamat bagi sebuah cerita. Siapa tahu jika ini sebenarnya permulaannya. Percaturan Allah lebih baik berbanding kita, Fatah. Kita berserahlah pada Dia. Walaupun keadaan dah tak seperti dulu tapi silaturahim kita semua tetap kekal. Insya-Allah,” ucap Haji Syahar lembut dengan senyumannya.
 Bicara semacam itu membuatkan Laila memandang ayahnya. Cuba dimengertikan apa yang dimaksudkan oleh ayah itu namun ketenangan di wajah tua itu membuatkan dia sukar untuk menerka apa yang ada di fikiran ayahnya. Namun apa yang dia tahu ini memang bukan satu penamat cerita cinta tetapi permulaan bagi kehidupannya sebagai seorang wanita yang berstatus janda pula.

Dingin sungguh malam itu. Angin menghembus deras seakan sedang membawa khabar bahawa titis-titis hujan akan menuruni bumi sebentar lagi.
Menungan jauh Laila di muka pintu itu diperhatikan lama oleh Haji Syahar. Renungan wanita itu membelah kegelapan malam bagaikan sedang keluar memburu setiap jawapan yang tidak pernah diketemukannya selama ini.
Perlahan hati tuanya diresapi oleh rasa simpati melihat nasib yang diterima oleh Laila selama ini. Liku-liku hidup Laila selama ini disaksikannya satu persatu, hanya Tuhan yang tahu betapa remuk hatinya melihat semua itu. Tetapi sebagai umat islam dia harus menerima segala qada dan qadar yang sudah diberikan oleh Allah kepada mereka semua. Ini sekadar ujian Allah kepada mereka.
Haji Syahar tahu.. setiap cebisan kenangan yang diimbau Laila pastinya tentang kisah-kisah dukanya selama ini. Setiap satu kebahagiaan yang pernah berada digenggamannya hanya untuk seketika. Nahij.. satu nama yang cukup memberikan kesan yang amat dalam kepada diri anaknya itu. Ironinya satu nama namun dua watak yang berbeza. Dua kali Laila mengahwini lelaki yang bernama Nahij, dua kali juga dia merana penghabisannya. Betapa uniknya percaturan yang ditentukan Allah untuk mereka semua pelajari.
“Laila..” Haji Syahar akhirnya mendekati anaknya itu.
Laila pantas menoleh. Melihat ayahnya berada di tepi pangkin tempat duduknya dia terus mengingsut untuk memberi tempat kepada orang tua itu.
“Kenapa termenung jauh ni? Laila fikir apa?” tanya lelaki itu lembut.
Laila sempat tersenyum memandang ayahnya itu. “Takde apa. Laila cuma fikir tentang anak-anak. Tentang masa depan mereka berdua.” Lembut jawapan wanita itu sambil merenung seketika tampang si ayah di sisinya.
Haji Syahar turut membalas dengan merenung lama wajah anak perempuannya. Kejujuran Laila cuba dibacanya dengan mata tuanya. Dia yakin bukan semua menungan itu berkisarkan tentang anak-anak. Orang tua sepertinya tidak susah untuk meneka apa yang sedang bermain di benak anaknya itu.
“Bertahun-tahun ni ayah sedar banyak kejadian yang Laila lalui. Ayah tahu ada sebahagiannya dah membuatkan air mata Laila mengalir. Laila menyesal ke dengan semua ni?” soal Haji Syahar lembut.
Laila tidak terus menjawab pertanyaan sang ayah. Keadaan permukaan hatinya dinilaikan sebaik-baiknya. Menyesalkah dia selama ini? Itukah yang dirasainya saat dia menuntut kebebasan dari ikatan perkahwinannya selama ini?
“Perkahwinan ni tetap satu sunnah biar pun terjadi akibat satu paksaan ataupun sekadar kebetulan. Takde perkahwinan yang dianggap satu kesilapan. Sebaliknya jika berlaku perkara seperti ini bermakna ada berlaku kesilapan dan kekurangan kita masing-masing selama ini.”
“Laila faham, ayah. Laila tak pernah kesal dengan takdir yang Allah berikan pada Laila. Sedetik pun tidak! Pengalaman yang lalu dah cukup mengajar Laila untuk menerima semua ni.” Laila menjawab perlahan. Permukaan lantai papan yang dilapisi oleh tikar getah itu dikuis-kuis dengan hujung jari.
“Ayah tahu anak ayah ni tabah orangnya. Sebagai orang islam kita kena selalu berbalik kepada Allah. Cintai Allah melebihi yang lain. Barulah hidup kita akan selamat,” nasihat Haji Syahar lembut.
Laila terdiam dalam pada dia menilai semula dirinya. Apakah selama ini dia mencintai seorang lelaki melebihi rasa cintanya kepada Allah? Kerana itukah Allah mengujinya begini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan