Jumaat, 30 Ogos 2013

27-28 MSM

27

Sudah lebih seminggu Lukman berada di luar negara. Apabila bersendirian begini Laila mula terasa sunyi pula. Selalunya waktu cuti-cuti begini mereka berdua lebih suka memerap di rumah, Lukman dengan kerja pejabatnya dan dia pula mengemas atau menghias rumah. Selalu bila lelaki itu ada dia buat tidak tahu. Bila dah takde tercari-cari pula. Laila.. Laila..
Semenjak hari pertama Lukman tiba di Phnom Phenn tidak habis-habis dia melayan kerisauan lelaki itu. Sehingga lemas dia dengan ragam Lukman. Mana tidaknya tidak cukup menelefon setiap 2 jam bertanya tentang keadaannya, setiap malam lelaki itu mahu menghubunginya melalui video call pula. Alasannya dia tidak akan senang hati jika tidak melihat sendiri keadaan Laila dengan dua mata di kepalanya itu. Terpaksalah Laila melayan ragam lelaki itu. Komputer ribanya yang sudah lama tidak terusik terpaksa dijengahnya semula.
Namun Laila terpaksa akui. Sikap perihatin Lukman kadang-kala membuatkan dia merasa hidupnya tidak ubah seperti mana wanita-wanita lain di luar sana yang memiliki seorang suami yang cukup penyayang.
Cuma dia sebenarnya keliru dengan keadaan mereka kini. Ada sesuatu tentang Lukman yang membuatkan dia keliru. Semenjak kebelakangan ini Lukman kerap pula mengugutnya enggan menceraikannya nanti jika kehendaknya tidak dituruti. Mahukah dia menghadap Lukman seperti sebelum ini seumur hidupnya? Sudah tentulah tidak! Lagi cepat dia diceraikan itu lebih baik! Jadi dia ikut sahaja kehendak lelaki itu. Iya ke? Benar ke dia sudah tidak sabar untuk diceraikan? Atau itu sekadar satu alasan untuk dia menutupi perasaan senangnya dengan layanan lelaki itu? Takut ego rosak?
Alah! Bukan luak apa pun. Biarlah Lukman mengambil apa sahaja yang dikehendaki selagi berkesempatan. Sampai masanya dia pula akan meminta apa yang dimahukannya!
Tetapi betul ke aku ni nak bercerai? Sanggup ke aku lalui keadaan tu sekali lagi? setiap kali dia termenung seorang, hati Laila pasti diusik oleh soalan itu. Berkali-kali dia cuba menilai semula pendiriannya tentang perkahwinan ini. Namun semakin dia memikir semakin itu dia keliru dengan kehendak dirinya.
Bosan sendirian di rumah Laila memutuskan untuk keluar. Memandangkan dia memandu kereta Lukman jauh sedikit jangkauannya kali ini. Dia ke rumah makcik Maznah dan selepas lebih dua jam meluangkan masa di rumah wanita itu dia ke butik Modern Mom di Alamanda pula.
Di butik itu Laila mula meninjau barangan untuk bayinya. Rasanya elok juga dia mula membuat persediaan untuk bayinya. Setelah lebih sejam menghabiskan masa di situ dia membeli sehelai blaus untuk wanita hamil dan kain lampin untuk bayinya. Setelah itu dia meninjau di tempat kedai-kedai pula. Namun ketika dia keluar dari sebuah butik Muslimah tanpa diduga, dia terserempak dengan seseorang. Mereka berdua terpaku seketika saling berpandangan kaget. Amirah sempat memandang perut Laila yang sudah kelihatan.
“Laila..” sapa wanita itu lantas mendekati Laila.
“Mira..” balas Laila sambil tersenyum. Mereka bersalaman seketika.
“Seorang aja ke?” soal Amira mesra. Tidak sangka hari ini dia berkesempatan untuk bertemu Laila di sini.
“Seorang ajalah. Lukman kan ada di Phnom Phenn. Mira pulak buat apa kat sini?” balas Laila lembut. Serta merta senang hatinya dengan kemesraan adik iparnya itu.
“Sepatutnya Mira jumpa kawan kat sini tapi dia ada hal. Tapi lambat sikit dia sampai. Jadi Mira jalan-jalan dulu. Tengah shopping ke ni?” soal Amira sambil memandang barang-barang yang dibawa Laila.
“Beli barang baby sikit tadi. Sambil tu saja je habiskan masa dengan window shopping. Boring pulak duduk rumah sorang-sorang. Itu yang sampai ke sini merayap.” Laila menjawab sambil menunjukkan barangan yang dibelinya.
“Hmm.. alang-alang dah jumpa ni biar Mira teman Laila. Mira pun sendiri aja ni. Laila nak ke mana lagi ni?” balas Amirah sambil mengambil barang-barang yang dibawa Laila.
“Tak tahu lagi. Tengok-tengok dululah. Jom!” ucap Laila senang. Bagus juga ada escort yang membantu. Tak perlulah dia berpenat mengangkut barangannya itu.
“Tak takut ke tinggal sendiri selama Lukman di Phnom Phenn ni?” Amirah terus berbual sambil mereka berjalan menyusuri kaki lima di hadapan kedai-kedai di tingkat 3, pusat membeli belah Alamanda itu.
Laila sempat tersenyum mendengar pertanyaan Amira itu. “Takut tu tidaklah. Tapi kalau sunyi tu ya. Selalu dia ada kat rumah. Ini dia takde, takde kawan nak berborak,” jawab Laila jujur. Tanpa sedar tersunging segaris senyuman saat wajah lelaki itu melintas di benaknya. Berboraklah sangat!
“Oh! Lukman sekarang dah tahu lekat di rumah ya? Kalau tidak dulu asyik kawan aja yang dia cari. Baguslah! Lepas kahwin ni dia dah berubah. Abang Nizam pun selalu cakap Lukman sekarang dah tak macam dulu. Mira senang hati kalau perkahwinan ni boleh buat perangai dia tu berubah,” komen Amirah senang.
“Alhamdulillah.. setakat ni Laila nampak dia okay. Dah tak keluar malam lagi. Balik kerja dia terus lekat di rumah,” ucap Laila senang. Memang itulah hakikatnya yang sering dilihatnya.
“Dia tu sebenarnya nakal. Semenjak sekolah lagi dah simpan ramai girlfreind. Sampai ayah pun pening dengan perangai dia. Waktu dia form 4 dah pandai angkut anak dara orang keluar. Bila ayah marah pandai aja dia auta orang tua tu. Tapi nakal-nakal dia pun dia best student waktu SPM. Tu yang mama sayang sangat kat dia.” Amirah berkata perlahan sambil tersenyum nipis.
Laila tersenyum sendiri mendengar cerita Amira. Sambil itu matanya memandang ke hadapan. Kan betul dia tu kaki perempuan. Ikhlas konon, detik hati Laila sendiri.
“Tapi sekarang dia dah berubahkan? Mungkin sebab Laila dia berubah,” ucap Amirah dengan senyum yang kian melebar. Baginya wanita seperti Laila tidak sepadan jika mahu dibandingkan dengan keperibadian abangnya itu. Tetapi urusan jodoh dan pertemuan semuanya ketentuan Allah.
“Laila tak pernah pun suruh dia berubah apa-apa. Dia yang berubah sendiri, Mira. Mungkin dia dah sedar tanggungjawab dia sebagai ayah dan suami,” luah Laila sedikit perlahan. Sesungguhnya dia tidak rela menerima pujian yang tidak berhak untuk diterimanya.
“Laila happy dengan dia?” tanya Amirah lembut sambil memandang raut kakak iparnya itu dari sisi.
Laila menoleh perlahan kepada Amirah bersama sedikit kerutan di keningnya. Apa tujuannya pertanyaan itu? Entah kenapa nada Amirah seolah-olah dia sedang merisik rahsia hidupnya bersama Lukman.
“Kalau Mira nak tahu Mira kahwin lekas. Nanti Mira akan dapat jawapannya. Bagi Laila perkahwinan ni bukan satu perkara yang boleh dicuba-cuba. Bahagia ke tidak dialah suami Laila. Melainkan kalau dia yang dah tak mahukan Laila. Itu lain cerita.” Laila menjawab sedikit lirih. Sebagai perempuan dia hanya mengikut panduan suami yang dianggap sebagai ketua keluarga. Apa yang diputuskan Lukman itulah keputusannya.
“Mira tak nampak apa sebab dia nak bazirkan perkahwinan ni. Bagi Mira apa yang Allah dah berikan pada dia dah berlebihan dari apa yang selayaknya dia terima. Kalau dia sia-siakan anugerah ni, maknanya Luk memang tak pernah berubah selama ini,” ulas Amirah pula.
Anugerah? Hati Laila terusik mendengar apa yang diucapkan Amirah. Setinggi itukah dirinya diangkat di sisi Lukman? 
Saat terpandangkan butik pakaian lelaki di hadapan mereka Laila terus menarik tangan Amirah untuk ke situ. Bercakap pasal Lukman dia segera teringat untuk membelikan sehelai dua baju untuk Lukman. Kasihan anak emak itu! Takde baju!
“Laila nak beli baju untuk Lukman? Oh! Laila dah tahu yang dia tu tak pandai beli baju sendiri?” ucap Amira lantas ketawa kecil. Nampaknya tugas membelikan Lukman pakaian sudah berpindah kepada isterinya. Baguslah!
Laila ikut ketawa dengan kata-kata Amirah. Mujurlah dia tahu tentang itu. Jika tidak entah sampai bila Lukman akan berbaju yang sama sahaja. “Laila sebenarnya tak tahu langsung yang dia tu anak manja.” Laila pantas memberikan komen itu sambil ketawa perlahan.
Amirah ikut ketawa. Laila adalah orang yang seterusnya menggelarkan Lukman sebagai anak emak. Nampaknya tanggapan itu bukan dari dirinya seorang. Kini Laila juga berpendapat begitu.
“Laila pun tak tahu dia suka jenis baju yang macamana. Selalu Mira beli fesyen macamana untuk dia?” ucap Laila sambil matanya meliar memandang ke pelusuk kedai itu.
“Ha! Kalau Laila nak tahu yang bagusnya dia ni, bab fesyen baju dia tak memilih. Apa yang kita beli dia pakai aja. Cantik ke tak cantik ke.. dia pakai semacam! Laila beli aja mana yang Laila rasa sesuai untuk dia. Tapi t’shirt dia tak suka yang gedobos. Dia suka t’shirt yang slim. Sebab tu kami selalu beli yang kolar V tu. Corak tu tak kisahlah. Dia hentam aja corak apa pun!” ucap Amira memberi sedikit tips tentang Lukman.
“Patutlah dia asyik pakai baju yang sama aja Laila tengok. Bila Laila dah tegur dalam almari dia takde banyak baju barulah dia mengaku yang dia tak pandai hal-hal shopping ni semua,” ucap Laila sambil membelek sehelai t’shirt yang bersusun di atas rak.
Lukman memang macam tu. Semua benda pasal dia, mama yang uruskan semenjak dari zaman sekolah lagi. Sebelum ni dia mana pernah basuh baju sendiri, kemas bilik sendiri. Sampai ironkan kemeja kerja pun semuanya mama yang buat. Dia tahu ambil dalam almari aja. Berbanding abang Nizam, Lukman memang kurang tahu berdikari. Waktu dia kat UK dulu dia sanggup berhabis duit upah orang kemaskan rumah dia. Sebab tu sebulan dia punya duit sara diri ayah bagi dua kali ganda lebih dari gaji Mira sekarang,” cerita Amirah lagi tentang siapa diri Lukman sebenarnya. 
Laila terpaku seketika mendengar cerita Amirah. Dibandingkan pula dengan keadaan Lukman kini. Bab mengemas bilik itu memang benar! Setiap hujung minggu dia yang akan mengemaskan bilik lelaki itu. Basuh baju juga lebih kurang sama. Baju akan dilonggok sahaja di dalam bakul kain. Setiap dua hari dia terpaksa membasuh kesemuanya. Tetapi bab menggosok baju itu dia tidak pernah lakukan untuk Lukman. Dia sendiri kadang-kadang tidak perasan bila masanya Lukman menggosok baju sebelum pergi kerja selalunya.
“Yang ini okay tak?” tanya Laila sambil menunjukkan Amirah sehelai t’shirt kolar bulat berwarna oren. Corak di hadapan baju itu agak menarik di matanya.
“Cantik. Orennya tak terlalu terang. Ambil saiz L. Dia tak suka baju besar-besar ni,” kata Amirah sambil membelek baju yang dipilih Laila.
Laila membelek lagi t’shirt yang lain. Dia berhasrat mahu membelikan lebih buat Lukman memandangkan ada potongan setengah harga untuk semua t’shirt yang disusun di situ.
“Nasib baiklah Laila dapat suami yang tak cerewet. Kalau tak pening juga nak memilih. Itu belum lagi jenamanya. Kalau dah cerewet tu mana nak yang setengah harga ni semua. Nak yang mahal aja!” ucap Laila sekadar berbasi basa. Sehelai lagi t’shirt diambilnya. Kali ini berwarna putih pula.
“Betul. Lelaki zaman sekarang ni cerewetnya mengalahkan perempuan. Bab shopping diorang lagi hebat dari kita! Tapi Lukman kalau bab duit dia agak boros sikit. Dia suka habiskan duit untuk perempuan,” ujar Amirah lagi.
“Iya ke? Laila tak tahu pulak pasal tu..” ucap Laila sambil memandang adik iparnya itu. Dia mengaku selama ini dia tidak pernah mengambil tahu tentang kewangan suaminya itu. Berapa gaji Lukman sebulan dan berapa yang dihabiskan untuk rumah mereka juga dia tidak pernah mengambil tahu. Apa yang dia tahu semuanya beres. Namun kadang-kala dia juga ada menambah sedikit sebanyak keperluan rumah apabila sudah berkurangan.
“Itu dululah. Sekarang dah ada isteri dia habiskan duit untuk rumahtangga pulaklah jawabnya,” balas Amirah sambil mengukirkan senyum nipis. Dia tidak mahu kerana bicaranya nanti meretakkan hubungan Laila dan Lukman. Dia hanya mahu Laila mengawal segala tindakan abangnya itu.
“Yalah.. playboy mana ada yang kedekut, Mira. Kalau tak takkan perempuan nak dekat dia,” komen Laila sedikit kelat. Kata-kata Amirah sebentar tadi sedikit mencalarkan emosinya. “Tengok kat sana pulaklah!” ajak Laila sambil mencuit lengan Amirah. Mulutnya dimuncungkan ke arah deretan kemeja lengan pendek yang bergantungan di bahagian paling hujung kedai itu.
Sambil memilih baju-baju di situ Laila berbual lagi dengan Amirah yang turut memilih di sisinya. “Hari tu Laila ada terdengar Lukman kata kondo di Mutiara Damansara tu ayah dah ambil semula. Mira tahu pasal tu?” tanya Laila lembut.
“Ha’ah. Kondo tu ayah hadiahkan pada dia kalau tak silap Mira dua tahun lepas. Tapi disebabkan apa yang dah berlaku dulu tu ayah ambil balik kondo tu. Mira dengar Abang Nizam kata ayah nak jual kondo tu,” cerita Amirah.
“Lukman setuju ke dengan keputusan ayah untuk jual kondo tu?”
“Setuju ke tidak ayah mana peduli. Kondo tu atas nama ayah jadi dia bebas nak buat apa yang dia suka. Kalau Lukman tahu pun dia tak boleh nak cakap apa sebab secara teknikalnya kondo tu masih dikira ayah yang punya,” balas Amirah bersahaja.
“Lukman tak tahu ke pasal penjualan kondo tu?” sedikit berkerut dahi Laila tanda tidak mengerti dengan keadaan sebenarnya.
“Entahlah. Mira tak perasan pulak pasal tu. Kami pun jarang sangat berbual di pejabat. Kami ni nama aja kembar. Tapi kalau jumpa gaduh aja kerjanya. Lagipun Mira tak selalu ada di pejabat. Jadi kami jarang sangat jumpa,” cerita Amira lagi.
“Eh! Mira dengan Lukman adik beradik kembar ke?” tanya Laila sedikit tersentak mendengar kenyataan itu. Rupanya ada lagi yang dia masih ketinggalan selama ini.
“Lah.. Laila tak tahu ke?” kali ini rasa terkejut itu berpindah kepada Amirah. Masakan Laila tidak tahu sejarah keluarga suami sendiri?
Laila pantas menggeleng. Lukman mana bercerita sangat tentang adik beradiknya. Kalau ada pun pasal Syahreena sahaja. Laila dapat membayangkan Lukman lebih rapat dengan Syahreena berbanding adik beradiknya yang lain. Alah! Untuk apa Lukman berkongsi cerita dengannya jika mereka tidak mahu perkahwinan ini kekal selamanya? Sampai masa mereka akan mengikut haluan sendiri.
“Kami kembar yang tak serupa serba serbi. Langsung tak seiras. Yalah, diakan lelaki, Mira perempuan. Mana nak seirasnya. Perangai pun tak seiras semenjak kecil. Sampai mama dengan ayah pelik tengok kami berdua. Nama aja kembar tapi selalu tak ngam! Mungkin sebab perangai kami macam ni ramai yang tak tahu kamu adik beradik kembar.” Amirah semakin seronok mengomel sendiri tentang kisah dirinya dan Lukman.
“Lukman langsung tak pernah bagitahu Laila yang Mira ni kembar dia. Laila ingat Mira ni muda dari Lukman. Rupanya sebaya. Tapi sebabkan Laila ni pangkat kakak ipar takpe kan kalau Laila tak panggil Mira kakak?” balas Laila sambil memandang Mira sekilas.
“Nanti pelik pulak orang kalau kakak ipar panggil adik ipar kakak, ya tak?” sambut Amirah sengaja menggunakan nada lawak. Laila ketawa.
“Kalau Mira tanya sikit boleh?”
“Tanyalah, Mira..” bersahaja sahaja nada Laila dalam pada matanya meliar mencari baju yang berkenan di matanya.
“Sebelum kahwin dengan Lukman dulu, Laila memang tak pernah ada hubungan cinta dengan dia ke?” agak perlahan soalan itu kedengaran dari mulut Amirah. Serba salah dia mahu bertanya. Bimbang dia menyentuh sesuatu yang agak sensitif bagi Laila sedangkan keinginan untuk menyelongkar kisah hitam itu bagaikan sudah tidak mampu disekat lagi. Namun dia lihat Laila hanya selamba sahaja.
“Kenapa Mira tanya pasal tu?” ucap Laila sambil menoleh sekilas kepada Amirah. Dia terus memilih baju-baju di hadapannya itu agar Amirah tidak terkesan rasa tidak senangnya kepada soalan itu. Dia tahu Amirah mahu mencungkil cerita sebenarnya tentang apa yang berlaku antara dirinya dan Lukman dahulu.
“Saja je Mira nak tahu..”
“Laila kenal dia tak lama sebelum kami kahwin, Mira. Itu pun kenal macam tu aja. Dia memang pernah cuba dekat dengan Laila dulu tapi Laila tak layan. Sebenarnya dia tu boleh diketegorikan sebagai lelaki yang Laila tak gemar. Laila tahu dia tu kaki perempuan. Selebihnya cerita tu Lukman yang lebih tahu apa sebenarnya yang berlaku,” ujar Laila biasa sahaja.
“Habis tu sekarang ni masih tak gemar ke dengan dia?” Amirah bertanya lagi. Ada sedikit senyuman nakal tersuging di bibirnya buat Laila.
Spontan terus Laila ketawa kecil. “Dah hidup bersama takkanlah tak gemar lagi, Mira..” balasnya selamba. Selebihnya itu rahsia dia dan Lukman. Orang lain tidak perlu tahu!
Setelah dua jam menghabiskan masa di situ mereka singgah minum di Medan Selera. Memandangkan teman yang dinantikan Amirah sudah tiba Laila memilih untuk balik sahaja. Segan dia mahu mengacau merpati dua sejoli itu setelah Amirah memperkenalkan lelaki itu sebagai teman lelakinya kepada Laila. Sementelah dia juga sudah letih berjam-jam menghabiskan masa di Alamanda. Kakinya sudah mula merasa kejang.
Laila puas. Semua yang dikehendakinya berjaya didapatinya hari itu termasuklah baju untuk suaminya yang rupanya anak emak!

21 hari yang dijanjikan Lukman berada di Phnom Phenn menjadi 17 hari sahaja. Hari ke 18 dia sudah berangkat pulang KL. Dek kerana rindu yang sudah tidak tertahan dia sanggup menghabiskan kerjanya secepat mungkin dan pulang ke KL. Saat itu hanya wajah Laila yang ingin ditatapnya sepuas hati.
Lukman dan Nizam tiba di KLIA pada jam lapan malam. Sebaik tiba mereka dijemput oleh pemandu Tan Sri Fatah. Lukman terus di hantar pulang ke rumahnya.
“Kirim salam abang pada Laila,” ujar Nizam. Lukman sekadar mengangguk sebelum kereta itu berlalu dari kawasan apartment itu.
Setiba di rumah Laila rupanya sedang memasak di dapur. Terkejut besar dia melihat Lukman sudah pulang.
“Kata tiga minggu kat sana?” soalnya hairan melihat Lukman sudah berada di hadapan matanya. Masih terlalu canggung mahu mengubah panggilannya. Kalau ikhlas takpelah jugak. Ini terpaksa!
“Kerja habis awal. Tengah memasak apa?” soal Lukman saat terbau sesuatu yang harum. Kebetulan pula dia memang belum makan. Ketika di dalam penerbangan Air Asia sebentar tadi hanya Nizam yang ada membeli sandwich.
“Saya masak asam pedas. Tapi belum masak lagi. Awak mandilah dulu. Nanti dah siap saya panggil,” ujar Laila setelah menutup pintu.
“Apa dia?” soal Lukman sengaja buat-buat tidak dengar. Laila sudah mula semula tabiatnya. Sengaja mahu melupakan perjanjian mereka.
“Abang pergilah mandi. Laila nak sambung kerja. Nanti Laila panggil,” rengus Laila mula menunjukkan kebosanan melayan ulah Lukman. Terus dia kembali ke dapur.
Lukman sempat tersenyum memandang lenggok isterinya hingga tubuh itu hilang di sebalik dapur. Mungkin menjangkakan dia tiada di rumah malam ini berani sungguh Laila memakai pakaian sependek itu. Bukan senang dia dapat melihat permandangan itu. Mahunya tidak! Laila hanya mengenakan t’shirt yang labuhnya sehingga ke paras paha. Selebihnya terdedah begitu sahaja!
Saat menjejakkan kaki ke biliknya, Lukman perasan ada banyak perubahan pada biliknya. Susun aturnya sudah berubah termasuklah katil. Terpaku Lukman seketika sambil memikirkan gerangan manusia yang mengubahnya. Siapa lagi kalau bukan Laila? Lukman menggeleng seketika. Bukannya dia tidak suka tetapi Laila menolak almari seorang diri dalam keadaan dirinya hamil begitu? Itu dia tidak suka!
Selesai mandi Lukman membuka almarinya. Sekali lagi dia terkejut apabila ternampak sepasang baju tidur berwarna biru gelap tergantung di dalam almari itu. Seterusnya dia ternampak juga beberapa helai baju yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Sudah pasti baru dibeli Laila. Lukman tersenyum sendiri sambil menyentuh baju tidur itu. Benar kata Syahreena dahulu. Walaupun sekadar hal yang remeh namun itulah pengikat mereka selama ini. Saat itu hati Lukman mula disapa bahagia.
Nak bercerai konon! Desis hati Lukman. Kini dia tahu Laila juga mengambil berat tentang dirinya. Setelah bersolat Lukman segera keluar dari biliknya untuk melihat Laila.
“Kenapa tukar susun atur dalam bilik tu?” tanya Lukman lembut ketika berada di belakang Laila. Wanita itu sedang mencuci peralatan dapur yang digunakan ketika memasak tadi.
“Saja..” balas Laila bersahaja.
“Laila tengah macam ni abang tak suka Laila buat semua tu. Nanti kalau jadi apa-apakan susah? Dahlah abang takde kat rumah,” ucap Lukman dalam kelembutan menegur isterinya itu. Terlebih rajin!
Laila sekadar diam tidak menjawab. Bicara Lukman itu dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa merasa apa-apa. Kerjanya diteruskan tanpa mempedulikan kewujudan Lukman dekat dengan dirinya.
“Kenapa pakai seksi sangat ni?” tanya Lukman lagi sengaja mahu mengusik Laila. Matanya tidak mampu dilarikan dari lengan mulus isterinya itu. Geram!
Saat itu barulah Laila menoleh dengan jelingannya. “Suka hatilah! Kenapa? Terganggu ke?” ucapnya sedikit sinis.
Lukman ketawa perlahan. “Kalau dah dua minggu tak berada di rumah, kemudian balik-balik aja tengok isteri pakai baju singkat macam ni. Malaikat aja yang tak merasa terganggu. Nasib baik abang tengah lapar nasi ni. Kalau tak kat depan sinki ni jugak abang kerjakan Laila!” balas Lukman nakal.
Laila menoleh sekilas untuk memandang lelaki itu. Melihat pandangan miang Lukman pada bahagian belakangnya Laila terus menyimbah muka lelaki itu dengan air yang ditadah dengan tangannya.
Akibat tidak bersedia sebahagian wajahnya sudah basah. Terkejut beruk Lukman dengan tindakan Laila. “Laila ni.. masuk air dalam hidung!” getus Lukman sedikit bengang. Mujur juga Laila tidak menyimbahnya dengan air sabun pencuci pinggan itu.
“Jomlah makan. Baby dah lapar sangat ni,” ucap Laila malas mahu melayan kemiangan suaminya itu. Selamba sahaja dia melintasi lelaki itu seolah tiada apa-apa yang berlaku. Padahal dada Lukman sudah panas memandang betis putih Laila. Namun dek kerana dia juga sedang lapar terus dia membasuh tangan dan ke ruangan makan.
Di atas meja nasi sudah siap dihidangkan Laila. Lukman sekadar duduk menanti wanita itu menghidangkan nasi putih buat dirinya.
“Semenjak kahwin dengan Laila, abang rasa makan di rumah lebih mengenyangkan berbanding di kedai. Walaupun dah makan di luar, abang tetap nak makan bila balik ke rumah,” ujar Lukman mesra. Seronok kerana balik sahaja dari luar dapat menghadap rezeki bersama orang yang paling disayanginya. Ini rupanya nikmat perkahwinan yang tidak pernah diketahuinya suatu ketika dahulu.
“Cakap ajalah kalau nak Laila memasak hari-hari. Tak payah konar sana konar sini, Ayat macam tu dalam tv dah banyak ada,” balas Laila selamba. Sempat dia menjeling lelaki itu sekilas.
Lukman tergelak seketika. “Kalau Laila larat apa salahnya. Tapi kalau Laila tak larat, abang tak marah. Abang faham Laila penat,” balas Lukman cukup lembut cuba memancing perhatian wanita itu kepadanya.
Setelah berbelas hari tidak bertemu hari ni Lukman perasan wanita itu selamba sahaja di hadapannya. Hairan dia seketika. Selalunya pantang dicuit mulalah melenting. Kali ini gurauan dan usikannya tidak menaikkan darah Laila. Sudah hilangkah benci Laila kepadanya? Entah!
“Laila sebenarnya ada buat salah dengan abang,” luah Laila tiba-tiba. Pandangannya diangkat. Sinar matanya memanah lembut renungan sang lelaki kepadanya. Entah kenapa saat ini perasaannya mula berasa aneh.
“Salah apa?”
“Laila ada keluar dari rumah waktu abang takde. Laila tak pernah cakap dengan abang. Laila ada ke rumah Makcik Maznah, lepas tu Laila ke Alamanda,” ujar Laila sambil menunduk memandang nasi di dalam pinggannya.
“Abang tahu..” ucap Lukman selamba dalam pada nasi disuap masuk ke mulutnya.
“Abang tahu?” soal Laila sedikit hairan. Macamana Lukman boleh tahu?
“Baju-baju dalam almari abang tu yang bagitahu Laila ada keluar bershopping waktu abang takde. Abang tak marah. Asalkan Laila balik rumah dengan selamat itu dah cukup bagi abang.” Selamba sahaja jawapan Lukman seolah tidak terdetik sedikit pun kemarahan atau ketidaksenangannya tentang itu.
“Oh!” sepatah sahaja jawapan yang mampu dilahirkan Laila kala itu. Baguslah kalau Lukman sudah tahu. Tidak perlulah dia menanggung rasa serba salah ini lama-lama.
Ketika mereka sedang menjamu selera secara tidak sengaja kaki Lukman tersentuh kaki wanita itu di bawah meja. Laila tersentak. Serentak itu pandangan mereka bertaut.
“Tak sengaja,” ucap Lukman sambil tersengih apabila matanya menangkap sorotan mata Laila yang tajam memarahi perbuatannya. Dia memang tidak sengaja tetapi kalau sengaja pun apa salahnya. Dia memang suka!
Malam itu Lukman dengan berbesar hati membantu Laila mengemas meja. Tetapi sebenarnya kebaikan yang dihulur ada terkandung makna. Namun dia masih ragu biarpun mood Laila memang bagus malam ini.

Selesai mengemas meja Laila membancuhkan Lukman air milo sementara suaminya itu dibiarkan berehat di hadapan tv. Kemudian dia terus masuk ke bilik untuk bersolat isyak.
Lukman memandang kosong televisyen di hadapannya. Namun apa yang ditayangkan tidak difikirkannya sebaliknya fikirannya sarat oleh bayangan Laila. Rindunya belum sepenuhnya dapat dilunaskan. Masih ada yang tersisa.
Agak-agak boleh ke aku peluk dia malam ni? Mood dia tengah baik tu.. hati Lukman bertanya sendiri sambil menggaru pipinya. Kalau dah Laila seksi benar, manalah dia mampu menahan nafsu. Sambil menghirup milonya Lukman terus memikirkan strateginya.
Tidak lama kemudian Laila keluar semula dari biliknya. “Abang nak apa-apa lagi ke? Laila dah nak tidur ni..”
“Eh! Nantilah dulu. Abang ada belikan Laila hadiah dari Cambodia..” ucap Lukman sambil dia memadamkan tv di hadapannya. Inilah masanya! Detik hatinya gembira.
“Hadiah apa? Laila ingat abang tak belikan Laila apa-apa,” balas Laila tanpa menyedari perangkap yang sedang dipasang Lukman.
“Mana boleh tak beli. Jom!” ajak Lukman sambil terus menarik Laila menuju ke biliknya. Menyedari beg Lukman memang berada di dalam bilik lelaki itu, Laila mengikut sahaja tanpa banyak kira.
Lukman sempat melemparkan senyuman kepada isterinya itu. Kembang hatinya melihat Laila berada di biliknya lagi. Bukan senang untuk dia melupakan kehangatan tubuh Laila yang dinikmatinya sebelum dia ke Phnom Phenn tempoh hari.
‘Sabar Lukman. Bagi hadiah dulu. Lepas tu barulah boleh mintak hadiah kau pulak..’ bisik hatinya yang sudah tidak sabar.
Ketika mereka berdua duduk di birai katil Lukman segera menyerahkan sebuah kotak baldu berwarna hitam kepada Laila.
“Tengoklah..” ucapnya lembut. Harap-harap Laila suka dengan pemberiannya ini.
Laila membuka kotak baldu itu dengan sedikit debaran. Saat matanya terpandangkan seutas rantai berloket berlian bibirnya terus tersenyum tanpa dapat ditahan. Pada loket itu terukir tulisan LL. Berkerut seketika keningnya.
“Apa maksud LL? Satu L tu mewakili Laila, nama saya. Yang lagi satu tu apa?” tanya Laila dalam sedikit keluguan.
“L for Lukman pun boleh jugak. Kalau tak mahu, L lagi satu tu boleh juga dianggap sebagai Love,” ucap Lukman selamba. Sebenarnya L itu sempena namanya.
“Laila lebih suka L for Love..” jawab Laila pantas.
“Kalau L for Lukman tak boleh ke?” giat Lukman sambil menyengih.
“Tak boleh!”
“Kenapa tak boleh? Nama Lukman tak sedap ke?” usik Lukman lagi.
Laila mengerling dengan ekor mata kepada lelaki itu. Soalan Lukman tidak mahu dijawabnya. Lelaki ini memang bijak mengayat perempuan!  “Terima kasih banyak-banyak untuk hadiah ni.” Laila terus mengubah topik. Rasanya lebih elok jika dia balik segera ke biliknya.
“Terima kasih je?” ucap Lukman sedikit kecewa. Sudahlah soalannya tidak bersambut. Kini Laila macam sudah tidak sabar mahu meninggalkannya di bilik ini. Hadiah Laila sudah diberikan tetapi hadiah dia mana? Takkan takde kot?
“Selain terima kasih, abang ada harapkan apa-apa lagi ke sebagai balasan dari hadiah ni?” perli Laila saat tampang di sisinya itu dipandang lama.
“Kalau ada tak boleh ke?” balas Lukman selamba.
“Kalau macam tu ambil balik hadiah ni! Tak ikhlas!” Kotak baldu itu pantas disuakan semula oleh Laila kepada Lukman. Geram betul! Bagi hadiah tapi tak ikhlas! Getus hatinya sendiri.
Namun Lukman tidak peduli. Bekas itu diambilnya lalu dibuka semula. Rantai itu dikeluarkan dari bekas baldu itu lalu dikalungkan ke leher Laila tanpa bertanyakan keizinan Laila.
Laila terpaku seketika dengan perbuatan Lukman. Namun kalau dah namanya wanita siapa yang tidak suka dengan barang kemas? Kalau Lukman tidak ikhlas sekali pun, dia sudah tidak peduli! Bak kata Lukman adat orang memberi maka kena juga ada menerima. Adilkan?
“Cambodia memang banyak batu permata. Cantik-cantik semuanya. Perempuan kat sana pun cantik-cantik jugak tapi yang secantik Laila tak pernah jumpa lagi. Sebab tu abang tak sabar nak balik,” bisik Lukman saat matanya memandang leher jinjang yang sedang terpapar di hadapan matanya. Sesudah itu tangannya mula diturunkan menyelusuri lengan Laila bagaikan sedang menyampaikan hasratnya.
Laila terdiam dalam pada dia terkapai-kapai sendiri. Rantai emas putih yang sudah terkalung di lehernya dan sentuhan Lukman, kedua-duanya mula membuatkan perasaannya mula menghangat. Keinginan Lukman difahaminya. Jika ditanyakan pada dirinya mungkin keinginannya tidak sama seperti lelaki itu namun dek kerana keindahan kalung itu Laila seperti tidak sanggup pula mahu menolak kehendak Lukman. Buatnya Lukman meminta semula rantai itu, siapa yang melepas? Dia juga!
Namun satu soalan sempat terlintas di benaknya. Perhubungan ini sebenarnya berlandaskan apa? Kasih sayang? Atau nafsu semata-mata? Entahlah! Laila sendiri tidak tahu. Apa niat Lukman kepada dirinya, itu juga dia tidak tahu. Apa yang dia lihat Lukman hanya mengambik kesempatan dari ikatan halal ini untuk berseronok dengannya.
Pada mulanya semuanya berlangsung elok. Namun saat tubuhnya digomol agak rakus perasaan Laila berubah serta merta. Nafsu lelaki itu yang cukup membuak-buak membuatkan dia mula diimbas peristiwa hitam dahulu. Kerakusan Lukman saat ini seiras benar dengan malam itu. Tiada kasih sayang yang dirasainya sebaliknya dia merasa dirinya seperti sedang dipergunakan semahunya kerana nafsu!

Tanpa Lukman sedari di hati wanita itu, rasa benci dan jijik kembali menjalar dalam diam. Disaat dirinya dilambung keindahan asmara dia sama sekali tidak sedar apa yang sedang dilalui Laila. Langsung tidak sedar!

28

“Macamana keadaan Laila sekarang?” soal wanita itu lembut. Matanya meneliti tubuh Laila yang terperosok di kerusi di hadapannya.
“Laila okay, kak. Mana akak tahu Laila kerja kat sini?” soal Laila setelah soalan Syahreena dijawab seadanya.
“Lukman bagitahu Kak Reen yang Laila bekerja di sini. Kebetulan akak ada kerja di Hospital Putrajaya tadi, so akak singgah sini sekejap jumpa Laila,” balas Syahreena tetap dengan kelembutannya. Kandungan Laila sudah sedikit kelihatan dan itu benar-benar membuat dia teruja untuk menyambut kelahiran anak saudaranya beberapa bulan lagi.
“Hari tu Laila ada spent time dengan Mira ya? Kenapa tak ajak akak sekali?”
“Alah! Kitorang bukannya plan nak keluar sama pun. Terserempak dengan dia kat Alamanda. Laila bosan kat rumah sendiri waktu Lukman out station. Tu yang pergi sana tengok-tengok barang baby. Pandai Mira pilih tempat dating. Jauh nun kat Alamanda. Takut ayah tahu agaknya!” ucap Laila sambil ketawa mengenangkan adik kembar Lukman itu.
“Mira dah ada boyfreind ke? Sumpah Kak Reen tak tahu apa-apa! Ini yang Kak Reen bengang ni. Anak murid dah lawan sifu!” terbeliak seketika mata Syahreena mendengar itu. Dia langsung tidak tahu tentang itu.
“Dia introduce kawan dia pada Laila sebagai boyfreind dia tapi dia mintak Laila rahsiakan dulu dari semua orang. Agaknya takut ayah tahu. Kalau ayah dapat tahu ada kemungkinan dia kena kahwin cepat!” ucap Laila sambil tersenyum kepada Syahreena.
“Itu dah tentu! Ayah memang pantang dengar kalau Kak Reen atau Mira keluar dengan lelaki. Mulalah sibuk tanya bila nak kenalkan dengan ayah. Nak suruh kahwin cepat!” sambut Syahreena lantas ketawa serentak dengan Laila.
“Kami ni dah memang patut kahwin pun. Tapi belum ada yang sejuk mata memandang nak buat macamana,” ujar Syahreena lagi mula berkisar tentang dirinya pula. Bukannya dia tidak risau dalam usia sebegini dia masih solo begini sedangkan si adik sudah maju ke hadapan mencari teman sejiwanya.
“Kak Reen belum ada calon yang sesuai ke?”
“Laila ada calon ke? Kenalkanlah seorang pada Kak Reen.” Syahreena menyambut tidak serius.
“Akak ni.. kebanyakan kakitangan Laila yang masih bujang semuanya lebih muda dari Laila. Tak sesuai! Kalau ada pun yang lebih kurang sebaya Kak Reen, Abang Arman yang suka mengamuk tu! Dia memang single lagi. Nak ke?” kali ini giliran Laila pula mengusik kakak iparnya itu.
“Tak naklah! Garang sangat dia tu. Seram akak tengok muka dia waktu dia mengamuk hari tu. Kak Reen pun nak dilanggarnya. Takut! Lagipun hari tu dia langsung tak pandang akak. Kalau dia menolak, malu Kak Reen nanti. Tak payahlah!” jawab Syahreena pantas.
“Abang Man tu memang cepat marah. Tapi dengan perempuan boleh tahan jugak tu. Ramai girlfreind. Ayah Laila pun bising jugak dengan abang Man tu. Asyik berkepit sana sini tapi kahwin tak jugak! Entah anak raja mana yang ditunggunya,” cerita Laila tentang abang itu. Sempat dia menggeleng mengenang Arman.
“Patutlah dia dengan Lukman tak ngam. Sekufu rupanya!”
Laila tergelak serentak dengan Syahreena. Langsung tidak terasa hati mendengar komen Syahreena tentang Arman. Memang benar pun abangnya itu ramai teman wanita. Sampai dia sendiri tidak ingat nama-nama mereka.
“So baby macamana? Laila dah decide nak bersalin di mana?” kali ini topik perbincangan mereka sudah berubah tentang kandungan Laila pula.
Laila tersenyum sambil menyentuh perutnya. Keterujaan Syahreena lebih kurang sama seperti Lukman dilihatnya. Sekurang-kurangnya ada juga orang lain yang senang dengan kehadiran anak ini selain dia dan Lukman.
“Baby sihat tapi Laila belum putuskan nak bersalin di mana. Lukman ada cadangkan Laila bersalin di Hopital Pantai tapi Laila rasa nak bersalin di hospital kerajaan aja. Alah! Ada lima bulan lagi untuk Laila fikirkan pasal tu,” jawab Laila sambil mengusap-usap perutnya yang sudah mula terbonjol. Bayi dalam kandungannya sudah berusia empat bulan lebih.
“Kak Reen sokong kalau Laila putuskan nak bersalin di goverment hospital. Lebih terjamin dan jimat! Tapi sesetengah orang tak suka sebab terpaksa menunggu lama,” sambut Syahreena segera bersetuju dengan perancangan Laila itu.
“Laila tak kisah pasal tu. Selama ni Laila buat check-up bulanan kat klinik kerajaan aja,” jawab Laila pula. Baginya pemeriksaan doktor di hospital kerajaan lebih menyeluruh berbanding hospital berbayar. Itu yang membuatkan dia tetap mahu membuat pemeriksaan kandungan di klinik kerajaan setiap bulan biarpun Lukman mampu mengupah doktor di klinik swasta.
“Jadi nanti Laila nak bersalin di Ipoh atau di sini?” tanya Syahreena lagi.
Laila terdiam seketika. Wajah Syahreena hanya mampu dipandang. Bersalin di kampung? Kalau boleh memang itu yang diinginkannya tetapi dia tidak mahu orang lain bercakap yang tidak-tidak tentang keluarganya.
“Entahlah, Kak Reen. Laila tak tahu nak cakap macamana. Laila segan nak balik kampung dalam keadaan Laila macam ni. Takut orang cerita yang bukan-bukan pasal Laila dan Lukman,” ujar Laila agak perlahan. Buat seketika dia tunduk memandang perutnya sebelum kembali memandang Syahreena. Sinar ceria di wajahnya sebentar tadi menyurut sedikit demi sedikit mengenang itu.
“Pedulikan apa orang nak kata, Laila. Mulut orang ni kita tak buat salah pun kadang-kadang orang tetap mengata. Inikan pula kalau buat salah. Lama-lama dia orang bosan, senyaplah tu. Kalau nak dilayan semuanya tak kuasa kita, Laila.” Syahreena berkata perlahan sedikit memujuk. Dia mengerti perasaan wanita muda ini. Siapa yang tidak tertekan dengan kenyataan seperti ini.
“Laila tak kisah dengan perasaan Laila, Kak Reen. Laila bukannya menetap di kampung tapi Laila kisah tentang ayah Laila. Laila tak mahu dia dijadikan bahan cerita orang kampung sebab Laila. Laila sedar, tak selamanya Laila boleh mengelak tapi buat masa terdekat ni Laila belum bersedia untuk balik ke kampung,” jawab Laila semakin merendah nadanya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa rindunya dia kepada ayahnya itu.
“Kak Reen faham. Kalau Kak Reen di tempat Laila pun, Kak Reen akan berperasaan yang sama. Sayangnya adik akak tu yang tak faham perasaan seorang perempuan, Laila. Tapi bersalin di mana pun sama aja bagi akak. Cuma kalau di sini mama ada boleh tolong tengok-tengokkan Laila waktu Laila tengah berpantang nanti.”
Laila tersenyum kelat mendengar kenyataan Syahreena itu. Sayangnya wanita ini tidak tahu yang dia dan Lukman tidak akan kekal lama dalam perkahwinan ini. Mungkin kerana itulah Lukman tidak pernah melibatkan dia di dalam keluarganya. Laila masih tidak tahu arah perkahwinan ini walaupun Lukman sudah banyak berubah semenjak kebelakangan ini.
“Lukman macamana sekarang?”
“Macam tulah..”
“Dia ada ambil berat keadaan Laila tak?” tanya Syahreena masih tidak berpuas hati dengan jawapan Laila yang serba ringkas. Ada yang masih tergantung pada pengamatannnya. Masih ada yang tidak kena dengan mereka berdua.
“Dia memang caring tentang Laila, Kak Reen. Buat masa ni dia memang tak pernah missed temankan Laila pergi check-up.” Laila menjawab jujur. Sebagai seorang ayah Laila sedar Lukman sememangnya amat bertanggungjawab. 
“Baguslah kalau macam tu. Kak Reen nak dia bertanggungjawab sepenuhnya pada anak dia ni. Jangan tahu buat anak aja!” komen Syahreena senang hati.
Spontan Laila tertawa perlahan mendengar kata-kata Syahreena yang penghabisan itu. “Alahmdulillah, setakat ni Laila memang nampak usaha dia untuk menjaga Laila. Laila bersyukur sangat dia tak seperti yang Laila bayangkan selama ni. Sebagai ayah dia lebih bertanggungjawab dan sebagai suami Laila akui dia memang seorang yang lembut,” balas Laila setelah usai tawanya. Satu pengakuan yang jujur dibuatnya selepas apa yang dilihatnya selama ini.
Namun saat nama Lukman disebut oleh mereka, Laila tidak mampu menepis kenangan beberapa hari yang lepas. Mereka dingin lagi buat kesekian kalinya. Entah kenapa dia tidak mampu bereaksi selembut ini ketika di hadapan Lukman. Memandang wajah itu membuatkan marahnya kembali berapi-api. Tetapi apabila berjauhan tidak pula dia merasa marah kepada lelaki itu. Laila sendiri tidak tahu mengapa perasaannya begini.
“Alhamdulillah, legalah hati Kak Reen kalau itu yang Laila kata. Tapi Lukman tak pernah lagi balik ke rumah jumpa mama dengan ayah. Akak rasa sebagai anak, dia tak sepatutnya buat perangai macam tu. Sampai bila dia boleh jauhkan diri dari keluarga dia sendiri? Laila sendiri tak pernah jumpa mama selain dari peristiwa malam tu kan? Kak Reen nak kita semua berbaik semula sebagai satu keluarga,” ucap Syahreena lembut. Resah dia mengenangkan keadaan keluarganya kini. Kedegilan Lukman tentang itu benar-benar membimbangkannya.
“Kak Reen takde bercakap dengan dia pasal tu?”
“Dah jenuh, Laila. Jawapan dia satu aja, nantilah! Nanti bila tu tak tahulah,” komen Syahreena sambil menjungkit bahunya.
Laila tersenyum sahaja mendengar kata-kata Syahreena itu. Lukman tidak pernah bercerita apa-apa tentang itu kepadanya. Ah! Mereka berdua pun kalau bertemu muka asyik bertengkar aja. Mana ada masa untuk bercerita tentang keluarga masing-masing.
“Akak ada jumpa Lukman ke baru-baru ni?”
“Takde pulak. Akak cuma selalu contact dia melalui sms aja. Kenapa?”
“Takde apa-apa. Laila saja tanya. Pasal mama dengan ayah tu Laila memang tak tahu, Kak Reen. Lukman jarang bercerita pasal tu dengan Laila.”
“Apa yang Lukman dah buat pada Laila memang kejam. Bukan setakat Laila menanggung susah. Tapi mama dengan ayah betul-betul terkilan dengan segala penipuan Lukman selama ni. Mereka malu dengan perbuatan Lukman. Kalau boleh Kak Reen nak Laila dan Lukman balik jumpa mama dengan ayah. Mama memang masih berbuku hati dengan Lukman tapi kalau kena cara memujuknya mama akan terima jugak korang berdua. Sebagai anak kita yang kena mengalah, Laila. Kak Reen tak suka tengok keadaan keluarga kita berpecah belah begini. Laila tak mahu balik kampung. Lukman pula tak mahu balik jumpa ayah dan mama. Tak selamanya kau orang berdua boleh hidup begini,” luah Syahreena tentang keresahan yang tersimpan jauh di lubuk hatinya.
“Habis tu Kak Reen nak Laila buat apa?” soal Laila yang merasakan Syahreena seperti sedang mengharapkan sesuatu darinya dari cara penyampaiannya.
“Kak Reen harap Laila boleh pujuk Lukman tentang ini. Suka atau tak, dia kena berani berdepan dengan kesalahan dia. Keadaan sekarang dah tak sama lagi macam dulu, Laila. Mama sampai sekarang masih tak mahu nama Lukman disebut depan dia. Kak Reen risau dengan keadaan ni. Makin lama Lukman berdiam diri mama akan makin marah pada dia. Sebagai anak lelaki penting untuk dia sedar yang mama dan ayah masih berada yang paling atas dalam hidup dia walaupun dia dah berkahwin,” balas Syahreena bersungguh.
Laila terdiam seketika. Permintaan itu tidaklah seberat mana sebenarnya tetapi untuk dirinya memang berat. Soal keluarga Lukman dia tidak mahu masuk campur. Tetapi menolak secara terang di hadapan Syahreena pasti akan menimbulkan spekulasi pada Syahreena.
“Nanti Laila cuba berbincang dengan dia.” Akhirnya janji itu diukir Laila sebagai memuaskan hati Syahreena yang kelihatan amat berharap. Namun pada batinnya Laila sendiri tidak tahu sejauh mana dia mahu menunaikan janji itu.
“Itu dah cukup melegakan hati Kak Reen, Laila. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Syahreena dengan senyuman yang kian mekar. Dia amat berharap dengan campur tangan Laila adiknya itu mahu menundukkan egonya.
Laila sekadar tersenyum namun dalam diam dia masih ragu. Bila dia mahu bercakap dengan Lukman tentang itu? Entah! Rasanya takkan kut!
“Pasal baby Laila ni, kak Reen harap Laila sedar, tak semestinya wanita mengandung ni akan lahirkan anak pada usia kandungan sembilan bulan. Banyak kes sekarang perempuan melahirkan anak waktu usia kandungan lapan bulan atau lapan bulan setengah. Cepat-cepatlah buat persediaan. Bila kandungan dah lepas lima bulan jangan buat kerja berat sangat. Pastikan rehat tu cukup. Selalunya orang yang bersalin awal sebab kandungannya cepat matang berbanding usia kandungan yang normal dan kes-kes mengandung kembar juga berisiko bersalin awal. Tapi selalunya kalau ada kes macam ni doktor dah boleh kesan awal. Tengok kedudukan baby nanti macamana,” kata Syahreena.
Laila mengangguk akur dengan nasihat kakak iparnya itu. Dia tahu sebagai pakar perubatan Syahreena pasti tahu apa yang terbaik untuknya. Nasihat wanita itu tidak boleh dipandang ringan.
“Kak Reen cakap pasal bersalin ni terus Laila rasa seram. Tak tahu keadaannya macamana nanti. Bila difikir-fikirkan tentang itu takut jugak. Takut bila sampai masanya Laila tak mampu nak tanggung sakitnya,” ucap Laila perlahan.
“Insya-Allah semuanya akan baik nanti, Laila. Jangan risau sangat. Lagi kita risau lagi susah kita nak hadapinya nanti. Relax aja. Ada orang beranak dalam masa lima minit aja tahan sakit. Anggap Laila juga macam tu nanti,” nasihat Syahreena lembut. Sebelum ini dia pernah ditugaskan di bilik bersalin sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Banyak keadaan yang sudah dilihatnya. Ada yang mudah dan tidak kurang juga yang memeritkan. Usahkan Laila dia sendiri juga kadang-kadang selalu terimbas pengalaman-pengalaman itu.
“Kak Reen ada tips tak untuk Laila senang bersalin nanti?”
Syahreena tersenyum memandang adik iparnya. “Senang bersalin atau tidak ni bergantung pada kita sendiri dan kedudukan baby waktu dia nak keluar nanti. Kalau kedudukan baby betul-betul menuju ke pintu rahim, insya-Allah takkan ambil masa yang lama. Tapi itu bergantung pada ibu yang nak melahirkan anak tu pulak. Cara nak meneran dan kedudukan ibu waktu nak melahirkan anak memainkan peranan yang besar dalam proses kelahiran. Jugak mengurangkan koyakan pada pintu faraj. Cuma dalam sesetengah kes, doktor tak begitu membantu dengan mengajar pesakit untuk meneran dan duduk dengan cara yang betul. Itu yang membuatkan ada sesetengah perempuan serik mahu bersalin lagi. Ada baiknya Laila banyak bertanya pada orang sekeliling Laila yang dah ada pengalaman melahirkan anak. Atau pada doktor perbidanan yang terdekat. Tapi apa yang Kak Reen boleh cakap pada Laila sekarang ni, tabiat waktu mengandung ni penentu susah ke tidak nak bersalin nanti. Sesetengah perempuan terlalu malas nak bergerak waktu mengandung menyebabkan pergerakan anak dalam kandungan juga pasif. Bila sampai masa nak bersalin kedudukan bayi jauh dari pintu rahim. Nasihat Kak Reen senang aja. Waktu mengandung macam ni tak salah kalau Laila banyak bergerak atau buat kerja rumah tapi bukannya kerja-kerja berat macam mengangkat barang ke tempat tinggi atau berlari. Banyak berjalan ni dah dikira bersenam. Kalau Laila aktif tumbesaran baby waktu dalam rahim jugak normal. Disamping tu pemakanan jugak kena jaga. Jangan terlalu mengambil makanan berlemak sebab kalau saiz anak terlebih besar itu jugak akan menyebabkan Laila susah nak melahirkan. Sekarang ni banyak kes ibu-ibu mengandung terpaksa melahirkan melalui kaedah caeseran sebab anak tak boleh keluar secara normal kerana bersaiz besar. Makan banyak sayur-sayuran. Itu pemakanan yang paling baik untuk baby dan Laila sendiri. Bila dah semakin dekat dengan duenya selalu buat pemeriksaan supaya doktor tahu adakah kedudukan baby tu turun ke pintu rahim atau tidak.” Panjang lebar informasi yang diberikan Syahreena kepada Laila.
“Wah! Berdebar jugak dada Laila ni bila dengar Kak Reen kata saiz baby besar. Dua tiga hari ni Laila suka makan kek. Takut nanti baby terlebih besar pulak,” ucap Laila sambil ketawa kecil.
“Bolehlah kalau teringin sekali sekala tapi jangan amalkan sepanjang masa. Ambil jugak makanan serat supaya nutrien baby tu seimbang. Biasanya ibu-ibu mengandung ni memang ada banyak keinginan sebab bila kandungan makin besar mereka akan lebih cepat merasa lapar. Selalunya seleranya pada yang tak berhasiatlah. Diorang gunakan alasan mengidam untuk makan apa aja yang diorang suka sedangkan pemakanan ni mesti dikawal sebab apa yang kita makan bermakna itulah yang baby kita makan. Kalau kita ambil yang tak elok maknanya dia makan yang yang tak elok juga. Lagipun waktu kehamilan macam ni senang nak dapat penyakit diabetes kalau pemakanan yang tak berhasiat. Kawan-kawan Kak Reen suggest ibu mengandung ni ambil susu sebab itu pemakanan yang paling baik untuk baby.”
“Hmm.. susu tu memang dah makanan wajib setiap malam. Doktor yang suggest Laila minum susu khas untuk ibu mengandung ni. Selalunya kalau Laila tak larat Lukman yang tukang buatkan bagi Laila minum,” ujar Laila sambil tersenyum mengenangkan lelaki seorang itu. Kadang-kala bimbangnya seolah-olah dialah yang sedang mengandung.
“Baguslah kalau macam tu. Kak Reen tahu dia sayangkan Laila dan baby tu. Ada sesetengah perkara yang dia tak pernah buat dulu sekarang dia dah mula belajar,” ucap Syahreena pula. Senang hatinya mendengar cerita Laila tentang adiknya itu.
Kali ini Laila terdiam memikirkan kata-kata Syahreena itu. Benarkah? Entahlah! Dia keliru sebenarnya. Apa yang masih tidak mampu dilupakan Lukman sering mengatakan dia menjalankan tanggungjawabnya demi anak ini. Tidak pernah lebih dari itu! Dia masih ingat segala perilaku Lukman kepadanya. Lelaki itu memang jenis suka mengambil kesempatan di atas kelemahannya. Itu yang membuatkan dia benci yang teramat-amat sangat!
Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terhinanya dia dengan perbuatan Lukman malam itu. Apabila bangun pagi dia lihat lehernya penuh dengan kesan love bite. Bertambah sakitlah hatinya! Pagi itu mereka berperang besar.
Sudah beberapa hari berlalu namun perasaannya masih belum terubat. Apatah lagi Lukman sering berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Itu yang membuatkan dia semakin bengkak hati!

Lukman tahu tidak mengapa Laila teramat dingin dengannya semenjak kebelakangan ini. Dia sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk. Wanita itu enggan lagi dijemput sewaktu pulang kerja. Malahan Laila selalu pula pulang lewat.
Lukman tidak mengerti apa sangatlah yang dibengangkan Laila saat itu. Adakah maafnya masih tidak cukup? Setakat leher ada kesan love bite masakan marahnya sehingga berhari-hari? Pelik!
Lukman resah memikirkan Laila semakin jauh darinya. Dia amat rindukan Laila tetapi Laila seperti tidak mahu melihat wajahnya. Ketika pergi kerja bersama Laila hanya diam sahaja. Kadang-kala pura-pura tidur sehinggalah keretanya berhenti di hadapan bangunan tempat kerjanya. Melihat Laila semakin dingin dengannya dia kelu untuk menjernihkan keadaan. Dia seperti tidak tahu apa yang mahu dibualkan walaupun dia amat rindukan suara wanita itu yang lunak. Biarpun sekadar sindiran yang pedas namun dia tetap mahu Laila berbual dengannya. Berdiam diri begini Lukman benar-benar mati akal untuk memujuk!
Malam itu setelah puas Lukman bermundar-mandir di ruang tamu itu, barulah Laila pulang ke rumah. Apabila pulang wanita itu buat tidak nampak sahaja kepadanya yang sedang terpacak di tengah rumah itu. Wajahnya? Tidak usah cakaplah! Masam menyakitkan mata memandang! Macam baru lepas kena simbah asid.
Lukman memandang jam di dinding. Sudah jam 10:30 malam. Semalam juga waktu ini barulah Laila menjelmakan wajah di rumah. Entahkan banyak kerja atau sengaja mahu mengelak darinya.
“Kenapa hari-hari lambat balik?” soal Lukman mula tegang perasaannya. Setiap pujukannya tidak jalan kini dia sudah hilang sabar dengan wanita ini.
Laila membisu seolah-olah tidak mendengar soalan suaminya. Apabila terpandangkan Lukman kebenciannya mula berombak ganas tidak semena-mena. Tanpa mempedulikan Lukman dia terus mahu ke bilik namun Lukman pantas merenggut pergelangan tangannya.
“Apa ni?” bentak Laila lantas menarik tangannya kasar namun tidak berjaya.
“Abang bercakap dengan Laila! Jangan layan abang macam tunggul!” suara Lukman mula meninggikan suaranya melawan kemarahan Laila. Sudahlah dia pening memikirkan isterinya. Isterinya pula senang-senang menaikkan suara kepadanya.
“Laila penat, faham tak! Boleh tak jangan ajak Laila bertekak malam-malam macam ni? Laila bosan hidup macam ni!” balas Laila kasar. Tangannya cuba direntap dari Lukman namun Lukman tetap tidak mahu melepaskan.
“Kalau Laila mengalah sikit takdenya perlu kita nak bertekak selalu. Ini tak! Asyik nak marah-marah pada abang. Abang bercakap dengan Laila tapi Laila buat abang macam tunggul. Cakap apa lagi yang patut abang buat supaya Laila tak terus buat abang macam ni?” semakin meninggi suara Lukman kepada isterinya itu. Sikap Laila saat ini terlalu biadap dirasakannya.
“Ceraikan Laila sekarang! Laila dah tak sanggup jadi hamba layan kehendak abang. Laila bukannya perempuan pemuas nafsu! Abang fahamkan? Laila benci tengok muka abang! Abang takkan tahu apa yang Laila rasa bila tubuh Laila disentuh oleh lelaki yang Laila benci! Jijik tahu tak??” Laila terus memekik untuk meluahkan perasaannya yang berbuku selama ini.
“Laila!” jerkah Lukman kuat. Tanpa sedar tangannya diangkat tinggi mahu menampar Laila. Namun masih sisa kewarasan yang masih ada lantas menyekatnya daripada mengasari wanita itu. Namun perasaannya benar-benar tercalar.
“Tamparlah! Kenapa berhenti? Dulu bila Laila tak mahu tunduk pada kehendak abang, abang tampar Laila tanpa rasa belas kasihan. Sekarang kenapa berhenti?” cabar Laila yang masih belum puas.
“Laila, serasanya itu adalah kata-kata yang tidak seharusnya diucapkan oleh seorang isteri pada suaminya. Sabar abang ada hadnya, Laila!” tegas Lukman dengan dada yang sudah turun naik menahan marah.
“Suami konon! Lelaki kaki perempuan macam abang ni tak layak jadi suami, abang tahu tak? Laila benci tengok muka abang!” Laila terus menjerit meluahkan perasannya.
Dalam nafas yang berombak ganas Lukman terus berlalu ke biliknya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terlukanya dia dengan kata-kata Laila. Setelah menukar kain pelekatnya Lukman terus mencapai kunci keretanya. Biarlah dia keluar untuk menenangkan hatinya. Dia tidak mahu mereka bertengkar terus terusan sehingga dia hilang pertimbangan. Dia masih ada belas kasihan biarpun Laila tidak pernah peduli kepada perasaannya.
“Kalau dah benci sangat dengan abang, setiap kali lepas bersolat doakan abang mati cepat. Barulah hidup Laila akan aman nanti bila abang dah takde lagi depan Laila. Insya-Allah.. lepas empat puluh kali Laila berdoa, lelaki yang Laila benci ni akan lenyap dari hidup Laila terus!” ucap Lukman saat melintasi Laila. Tanpa memandang lagi dia terus keluar dari rumah.
Seharusnya saat itu Laila bergembira meraikan kemenangannya setelah berjaya merobohkan tembok kesabaran Lukman. Dia berjaya mengguris sekeping hati lelaki itu semahunya.
Namun tidak! Sepeninggalan Lukman tanpa dapat ditahan Laila menangis teresak-esak di tepi katilnya. Biarpun tembok keegoannya masih terpacak kukuh namun dia benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Dia sedar dia sudah berlebihan menyakiti hati Lukman. Kata-kata Lukman sebentar tadi benar-benar membuatkan dia lebih tertekan.
Laila sedar sebagai isteri dia tidak seharusnya mengungkit tentang itu semua. Sementelah Lukman tidak pernah culas menyediakan keperluannya. Dari segi wang ringgit tiada sesen pun duitnya dibelanjakan untuk makan minumnya sendiri termasuklah ketika dia keluar berkerja. Semuanya Lukman yang beri. Dalam soal mengambil berat akan kesihatan bayinya juga Lukman sudah mencuba yang terbaik.
Jadi apa masalah lagi? Siapa sebenarnya yang bermasalah di sini? Diakah? Laila tidak tahu! Dia sudah tidak tahu apa yang benar kini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan