Khamis, 29 Ogos 2013

17-18 MSM

17

Biarpun sudah berhari-hari berlalu, sudah berpindah kediaman namun Laila masih juga tidak mampu melepaskan setiap kenangan hitam yang terjadi kepada dirinya. Tetapi dia akur dengan suratan. Hidup mesti diteruskan. Terkenangkan temuduga kerja yang mesti dihadiri esok Laila akhirnya memilih untuk bangun dari kehancuran ini. Perut mesti diisi. Tidak boleh kenyang dengan hanya berair mata. Dia pula sudah dikira tiada perkerjaan. Laila sedar dia harus kuat untuk menempuh hidup yang penuh dengan pancaroba ini.
Hari itu seawal pagi dia sudah berada di bangunan yang maksudkan oleh Encik Mahesh yang dihubunginya tempohari. Dengan segala dokumen yang dibawanya dia yakin urusannya hari ini tidak akan sukar. Permohonan passport antarabangsanya juga sudah selesai dan dia sudah mendapatkan dokumen itu semalam. Jam 9 pagi Laila dibawa ke bahagian HR. Dia diminta mengisi beberapa borang sebelum dibawa bertemu dengan Puan Nur Azlyn yang merupakan Pengurus Besar Emirates Airlines cawangan Kuala Lumpur.
Wanita jelita awal tiga puluhan itu meneliti resumenya buat beberapa ketika.
“You seorang akauntan dulu..” komennya lembut sambil tersenyum kepada Laila.
“Ya, puan..” jawab Laila lembut.
“Boleh berkerja dalam tempoh yang lama?” soal Puan Azlyn.
“Maksud puan lebih dari lapan jam?” soal Laila semula.
Pantas wanita jelita itu mengangguk. Tatapan matanya mesra membuatkan Laila tidak merasa kekok berhadapan dengan wanita itu.
“Boleh. Takde masalah.”
“Betul? Kadang-kadang kakitangan terpaksa habiskan masa di lapangan terbang lebih dari sepuluh jam. Sesetengah orang tak tahan dengan keadaan tu. Tapi you belum berkahwinkan? I harap you boleh,” ucap Puan Azlyn lembut sebelum kembali menatap resume Laila.
Laila tidak menjawab sebaliknya hanya memandang sahaj segala tindakan wanita di hadapannya itu.
“I nak you banyakkan belajar. Kerja yang kita tawarkan pada you jauh menyimpang dari tugas you sebelum ni. Malah takde kena mengena pun. Tapi rasanya mengawal selia setiap penerbangan tak sesusah menjaga angka dalam sesebuah syarikat. Itu pendapat I sebab dulu I pun macam you. Belajar bidang lain tapi kerja bidang lain. Langsung takde pengetahuan dan pengalaman. Tapi I belajar. Hasilnya dari sekadar pengurus operasi penerbangan sekarang I jawat jawatan ni.” Puan Azlyn menambah bicaranya. Bibirnya sentiasa tersenyum sehingga Laila merasakan wanita ini memiliki kejelitaan yang cukup sempurna.
“So Laila, semenjak beberapa minggu yang lepas syarikat ada membuat beberapa perubahan. Pertamanya di KLIA kita tidak lagi menggunakan khidmat wakil agen jualan tiket untuk operasi penjualan tiket. Sebaliknya syarikat sudah membuka satu pejabat operasi penjualan milik syarikat memandangkan kenaikan permintaan kepada khidmat penerbangan Emirates Airlines dan anak syarikat Sri Lankan Airlines semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi kita memang memang ada beberapa kekosongan jawatan yang perlu diisi dan I bersetuju untuk menawarkan jawatan pengurus penjualan tiket di KLIA secara kontrak selama 5 tahun bagi kontrak pertama. Dengan beberapa kelebihan yang ditawarkan kepada kakitangan oleh syarikat, I harap you berpuas hati dengan tawaran gaji pokok sebanyak RM 5 ribu sebulan dan kita tidak mengenakan sebarang tempoh sah jawatan pada semua pengurus memandangkan kakitangan diambil berkerja secara kontrak. Setelah kontrak ditandatangani you tidak dibenarkan berhenti kerja dengan apa juga alasan melainkan melibatkan ketidakupayaan berkerja yang disahkan oleh doktor di hospital yang dilantik sebagai hospital panel syarikat. Dengan perestasi kerja yang baik dan tanpa masalah serius yang melibatkan atittude sewaktu bekerja you takkan ada masalah untuk menyambung kontrak kerja lagi. I seorang yang sangat pentingkan keselesaan kakitangan kakitangan bawahan sewaktu bertugas jadi I harap sebagai ketua you akan melayan mereka dengan adil.
Sebagai pengurus penjualan you layak menerima elaun bulanan sebanyak 11 peratus dari hasil jualan tiket bagi cawangan yang you jaga dan beberapa elaun lain seperti yang kita berikan kepada kesemua pengurus yang kita gajikan kecuali elaun penerbangan kerana kerja you tidak melibatkan kerja berdekatan dengan pesawat. Elaun tu adalah elaun sara diri sebanyak RM 500 sebulan, elaun dobi bagi pakaian seragam sebanyak RM 300 sebulan, elaun kedatangan RM 150, elaun rumah sebanyak RM 500 sekiranya you tidak menetap di rumah yang disediakan syarikat dan jugaa elaun transport yang ditentukan mengikut kilometer. Elaun transport ini tetap akan dibayar pada semua biarpun you menggunakan pengangkutan awam. Jam yang seterusnya selepas jam lima kita akan bayar overtime seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang buruh. Ada apa-apa soalan sebelum I teruskan?”
“No question for this time being,” jawab Laila semakin teruja.
“Gaji yang kita bayar memang besar tapi tanggungjawab juga besar. Kerja you di KLIA bukan sekadar menjaga penjualan tiket tapi juga pekerja-pekerja yang berkerja di cawangan itu. Bekerja dengan EK kita tidak mengkhususkan pekerja hanya duduk pada satu jabatan selama-lamanya. Bila-bila diperlukan kita berhak mengarahkan you untuk bertukar ke jabatan lain. Ini tidak boleh dikompromikan melainkan ada you alasan yang kukuh untuk tidak ditukarkan. Juga kena bersiap sedia sekiranya diarahkan bertukar ke cawangan yang lain termasuklah ke luar negara. Ada masalah dengan syarat itu?” soal Puan Azlyn serius.
“Takde masalah. Saya akur dengan syarat tu,” jawab Laila yakin.
Good! Untuk pengetahuan you jugak Sri Lankan Airlines dan Etihad Airways berada di bawah seliaan kita jadi itu juga akan menjadi tanggungjawab you. It is not easy work, I told you. Segala urusan you must report to me because you’re under my superior. Masa kerja takkan selamanya ‘nine to five’ macam orang lain yang bekerja office hour. Selalunya you akan balik lambat. Tapi macam yang I jelaskan tadi setiap jam selepas angka lima kita akan bayar OT. Semua pengurus diberikan cuti pada hari Sabtu dan Ahad termasuklah you. Waktu kerja diwajibkan memakai uniform. Oleh kerana you bertudung jadi kita juga akan berikan tudung pada you. Tak boleh pakai tudung selain itu ya?” dihujung kata wanita itu tersenyum kepada Laila.
Laila tertawa perlahan. Dia akur dengan syarat itu. “Saya paling bimbang jika saya tak dibenarkan bertudung.” Laila menjawab lembut. Mujur juga dia dibenarkan memakai tudung kerana setahunya kebanyakan syarikat penerbangan tidak membenarkan kakitangan wanita memakai tudung.
“Untuk pramugari penerbangan, ya! Memang tidak dibenarkan bertudung. Boleh berkahwin tetapi tidak lagi boleh menyertai mana-mana penerbangan sekiranya hamil. Atau dalam erti kata yang lebih tepat kontrak akan digantung atau ditamatkan sekiranya pegurusan merasakan ada keperluan untuk berbuat begitu. Tetapi untuk kakitangan ‘on ground’ macam kita ada diberikan kelonggaran. Boleh bertudung dan berkerja seperti biasa ketika hamil. Boleh hamil sebanyak mana yang kita mahu tanpa dihadkan berapa kali kita mengambil cuti bersalin. Jadi sesiapa yang bertudung samaada memilih kerja ‘on ground’ atau buka tudung kalau nak jugak jadi pramugari penerbangan. Berkenaan cuti am dan peruntukan cuti pula, kita mengambil semua cuti am yang diiktiraf kerajaan sebagai hari public holiday tetapi mana-mana kakitangan yang diarahkan bertugas pada hari tu akan dibayar dua kali atau tiga kali mengikut gaji hari. Semua kakitangan wanita kita peruntukan cuti bergaji selama enam puluh hari dan tambahan tiga puluh hari tidak bergaji untuk mereka yang melahirkan anak. Tetapi klinik panel yang dilantik syarikat tidak akan menanggung sebarang kos yang melibatkan pemeriksaan kehamilan melainkan berlaku kemalangan di tempat kerja sehingga menjejaskan kehamilan. Jadi selepas ini I akan minta you lapor diri di klinik syarikat untuk pemeriksaan asas kesihatan. Hasil pemeriksaan yang berkenaan akan dihantar sendiri oleh doktor syarikat pada HR.”
Laila pantas mengangguk. Tiada masalah rasanya untuk itu.
“So..” Puan Azlyn terhenti seketika sambil memerhatikan jam di tangannya. Kemudian dia memandang kalendar di atas meja itu. “Sekarang kita berada pada minggu ketiga. So I akan berikan you tempoh sebulan untuk you bersedia sebelum you memulakan kerja. Untuk tempoh itu juga I akan minta HR sediakan kontrak kerja you. Satu hari bulan depan jam sembilan pagi you jumpa Mahesh di HR untuk sain kontrak kerja. Selepas tu you akan mula kerja di branch KLIA. Welcome to Emirates, Laila. Harap you sedia memberikan khidmat yang terbaik kepada syarikat ni. Harap kedatangan you akan memeriahkan dan memajukan lagi perniagaan syarikat ini.”
“Terima kasih, Puan Azlyn.” 
Selepas selesai urusan di bilik GM sebentar tadi Laila segera melapor diri di klinik syarikat seperti yang diminta. Dengan hanya perlu ke tingkat bawah bangunan setinggi dua puluh dua tingkat itu dia akhirnya pergi mendapatkan pengesahan kesihatan daripada doktor syarikat.
Selepas sampel air kencingnya diambil dia akhirnya dipanggil oleh doktor yang bertugas. Seketika kemudian dia dipanggil untuk pemeriksaan seterusnya. Di dalam bilik itu Laila diminta menjalani ujian pernafasan bagi mengesan penyakit asma sambil keputusan ujian itu dicatatkan di atas sehelai borang. Sedang doktor india itu menulis pembantunya datang memberikan sehelai kertas untuk dilihat oleh doktor itu. Setelah menyambutnya doktor lelaki itu menelek seketika hasil pemeriksaan ujian air kencing Laila. Kemudian Laila diarahkan duduk di hadapan mejanya. Doktor itu kembali menulis di borang tadi sebelum kertas keputusan ujian air kencing itu dibelek sekali lagi. Kali ini barulah lelaki itu mengangkat pandangan kepada Laila.
“Are you pragnent?” soal doktor itu kepada Laila.
“What?” soal Laila agak terkejut.
“Puan Siti Laila, ujian air kencing tadi menunjukkan yang awak mengandung. Congratulation!” ucap doktor itu sambil tersenyum.
Laila tercengang. Apa dia? Mengandung? Congratulation? Laila bagaikan mahu pengsan mendengar itu. Mulutnya terbuka tetapi tidak mampu berkata-kata. Nafasnya seakan terputus dipertengahan jalan.
“Awak tak tahu?” soal doktor lelaki India itu apabila melihat Laila tercengang.
Laila hanya mampu menggeleng. Dalam keadaan itu dirinya sebenarnya sudah tidak keruan. Mahu mati pun ada. Hamil angkara jenayah lelaki itu? Mengapa begitu cepat berhasilnya benih haram lelaki itu?
Aduhai.. berat sungguh dugaan di bahunya ini.
“Oklah. Rasanya cukup buat setakat ini. Hasil ujian ni I akan hantar pada HR.”
“Err.. I nak tahu. Laporan ujian air kencing tadi you akan berikan pada HR ke?”
“Dah tentu!” jawab doktor itu sedikit hairan dengan soalan Laila.
“So HR akan tahu yang I mengandung sekarang?” soal Laila agak berat.
“Betul tapi itu belum menyebabkan you gagal dalam pemeriksaan kesihatan ni. Sebenarnya bukan kertas laporan ujian ni yang akan dibawa naik ke atas tetapi hanya borang yang I isi ni,” jelas doktor itu sambil menunjukkan satu borang yang menyenaraikan jenis ujian yang harus dijalani olehnya. Borang itu sempat diteliti Laila buat seketika.
“Dalam borang ni I hanya akan tandakan lulus pada semua ujian yang kita dah buat dan sekiranya ada masalah I hanya perlu nyatakan sebab you gagal pemeriksaan kesihatan ini. Pregnancy tak membuatkan you gagal medical test ni. Kita hanya buat pemeriksaan ini untuk melihat sama ada you ada penyakit berjangkit atau penyakit serius. Itu aja. Kalau ada masalah untuk berkerja ketika hamil sekalipun pemeriksaan harus dibuat di klinik luar dan bukan di sini. Jangan bimbang, puan. Kalau you mengandung sekalipun you tetap akan diambil berkerja.” Doktor india itu menambah lagi tanpa mengetahui apa sebenarnya yang ingin diselindungkan Laila.
Laila menghela nafas perlahan. Tiada kelegaan yang dirasakannya dengan penjelasan doktor itu. Sukar untuk dia berharap agar tiada siapa yang tahu tentang itu sedangkan pada borang itu dibawah sekali tertera soalan adakah calon sedang hamil atau tidak. Petak itu hanya terbiar kosong tanpa ditanda oleh Dr. Siraj. Laila yakin sebentar lagi petak yang kosong itu pasti akan terisi juga setelah dia tiada di bilik ini. Laila tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Pada resumenya jelas ada menyatakan status dirinya sebagai bujang tetapi hasil pemeriksaan kesihatannya mengatakan yang dia hamil.
“Tapi kalau you belum buat pemeriksaan ada baiknya pergi buat secepat yang mungkin. Ini anak pertama ke?” semakin ramah pula doktor india itu.
Agak lambat Laila mengangguk. Dirinya bagaikan sudah tidak jejak lagi di bumi. Sudah terbang entah ke dunia mana. Dadanya sesak memikirkan satu lagi masalah yang baru timbul ini. Dia tahu dia tidak mungkin akan merasa gembira dengan kehadiran bayi ini dalam keadaan dirinya tidak bersuami.
“Okay. Rasanya takde apa-apa masalah buat masa ini. Sekarang awak boleh balik.”
Laila mengangguk lagi seperti robot. Terasa hanya jasad sahaja yang ada di sini tetapi rohnya sudah berada di alam lain. Jika tidak pasti bocor rahsianya yang sebenarnya dia tidak bersuami. Tetapi selama mana dia boleh menyembunyikan rahsia itu kerana data peribadinya sudah berada di tangan pihak HR. Ujian air kencing juga tidak mungkin akan membohongi mereka.
Laila meninggalkan bangunan itu dengan perasaan yang kosong. Dia tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Dia tidak tahu kemana dia harus pergi untuk menyembunyikan dirinya yang sudah jatuh ditimpa tangga. Dia tidak mahu percaya akan kenyataan itu tetapi masakan doktor itu tersilap?
Laila buntu dengan pilihan yang ada. Akhirnya dia pergi juga untuk mendapatkan pengesahan di sebuah klinik tidak jauh dari bangunan yang disinggahinya sebentar tadi. Tetapi setelah diperiksa dia sekali lagi mahu pitam dengan berita yang didengarinya.
“Awak hamil empat minggu. Dalam usia kandungan seperti ini awak kena berhati-hati. Jangan stress. Jangan buat kerja berat... bla..bla..bla..” Laila tidak mampu mendengar lagi. Dia seperti sudah tidak jejak di bumi. Nyawanya bagaikan sudah dicabut bersama sedikit ketabahan yang baru terbina. Di hadapannya hanya kelam! Dahan untuk berpaut tidak dimilikinya dan bila-bila masa sahaja dia boleh rebah.

Di luar klinik Laila kebuntuan. Tiada arah untuknya pergi. Tiada jalan untuknya melepaskan diri. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan kepada dirinya dan anak di dalam rahimnya ini. Hinggalah akhirnya dia teringatkan kad yang pernah diberikan Lukman kepadanya. Pantas dia menyelongkar beg tangannya untuk mencari kad itu semula. Lalu nombor peribadi lelaki itu dipanggilnya.
“Aku nak jumpa kau sekarang. Kita jumpa di Starbuck Cafe, Maju Juction. Penting!” ucap Laila setelah panggilan telefonnya disambut Lukman. Tanpa salam dan tanpa pamitan Laila terus mematikan talian. Setelah itu Laila terus mendapatkan teksi untuk ke tempat yang dijanjikan kepada Lukman tadi. Setelah tiba di sana dia memilih untuk duduk di Starbuck Cafe yang berada di luar bangunan itu. Sepuluh minit menanti dia akhirnya melihat batang tubuh Lukman menghampirinya. Lelaki itu terus duduk berhadapan dengannya.
“Kau sengaja pindah dari rumahkan? Nak lari dari aku kononnya! Sekarang ni apa hal kau panggil aku ke sini?” soal Lukman sedikit kasar setelah berada di hadapan Laila. Geram dia. Beberapa hari dia kebuntuan mencari Laila. Pandai pula wanita itu melarikan diri daripadanya.
Laila diam seketika sambil memandang lelaki di hadapannya itu. Betapa rasa benci dan segala macam rasa lagi mengepung hatinya. Jika boleh mahu diludahnya mula lelaki bongkak ini!
“Aku nak kau tunaikan janji-janji kau sebelum ni..” ucap Laila cuba bertenang biar pun nadanya kedengaran sedikit bergetar. Sungguh! Jika dia punya pilihan lain usahkan meminta-minta begini bertemu muka berdua sahaja pun dia tidak sanggup! Maruahnya yang sudah punah akan semakin tercela di mata Lukman.
“Janji apa?” soal Lukman buat-buat tidak mengerti pula. Wanita di hadapannya itu dikerling penuh keangkuhan.
“Aku mengandung, Lukman. Semua ni angkara kau! Kau jangan nak lepas tangan sekarang!” tekan Laila mula hilang sabar. Dia tahu Lukman sengaja mahu mempermainkannya.
Ucapan Laila itu tiba-tiba membuatkan keangkuhan yang menyinari wajah Lukman sebentar tadi terus melenyap entah ke mana. Apa yang dikatakan Laila sesuatu yang tidak dijangkanya saat mendengar permintaan Laila untuk bertemu. Sesungguhnya dia tidak tahu reaksi apa yang harus ditunjukkan saat ini memandangkan berita ini adalah sesuatu yang amat tidak diharapkannya.
Lukman menelan liurnya kepayahan. “Kau.. kau mengandung? Takkan cepat sangat kau mengandung? Kau pasti ke kau mengandung?” tergagap-gagap juga Lukman saat itu. Sempat dia memandang sekelilingnya seolah-olah bimbang ada orang lain ikut terdengar perbualan mereka.
Laila sempat memandang sinis wajah Lukman. Jijik dia dengan lagak lelaki ini. Sangkanya lelaki ini hebat rupanya tidak! Hanya dengan satu berita ini satu kelemahan Lukman sudah terpapar di hadapan matanya tanpa diduga.
“Apa untungnya aku menipu dalam soal macam ni? Kau yang buat budak ni takkan kau tak tahu cepat ke lambat?” ejek Laila sudah mula terasa menang pula walaupun hakikatnya dia biar pun menang saat ini dia hanya akan menjadi abu. Tiada untung baginya langsung!
Lukman menarik nafas dalam. Dirinya yang sudah mula kalut cuba ditenangkan. Perlahan rautnya diraup sambil memikirkan apa yang harus dikatakannya saat ini.
“Aku bagi kau duit. Kau buang budak tu. Aku tak nak anak tu..” ucap Lukman cukup serius. Hanya itu jalan yang terlintas di fikirannya untuk menyelamatkan keadaan.
Laila terus terpaku mendengar bicara Lukman. Dia tidak menyangka itu jalan yang akan dipilih oleh lelaki ini. Dia tidak sangka lelaki ini rupanya sekejam ini. Langsung tiada hati perut! Barulah dia kenal hati budi sebenarnya lelaki bernama Lukman ini. Semudah itukah semuanya dapat dihilangkan? Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu gelap pandangan Laila saat ini.
“Kau cakap aja nak berapa. Aku akan bagi! Yang peting budak tu takde kat depan mata aku!” tambah Lukman bersungguh.
“Senangnya? Dulu kau cakap lain..” ucap Laila yang sudah tidak mampu mengawal perasaannya. Dia tahu sedikit sahaja lagi empangan air matanya ini akan pecah.
“Dulu aku cakap macam tu sebab nak kau layan aku. Itu aja! Siapa yang nak kahwin dengan perempuan yang dah tak dara macam kau?” tukas Lukman lebih pantas.
Memang tidak pernah terniat di hatinya mahu mengahwini Laila setelah perempuan itu dirosakkan tempohari. Semua yang dijanjikan hanya kata-kata manis sahaja agar Laila menyerah. Laila sama sahaja seperti wanita-wanita lain yang pernah ditidurinya. Cuma silapnya akibat kegelojohan sendiri, dia terlalai!
Betapa remuknya hati Laila saat itu. Bicara Lukman segera menyedarkannya. Tiada gunanya pertemuan ini! Dirinya tidak ubah sekadar pemuas nafsu. Perlahan air mata mula bergenang di tubir matanya. Mudah sungguh lelaki ini memperlakukan dirinya sewenang-wenangnya. Kini tatkala dia amat memerlukan Lukman, lelaki itu enggan bertanggungjawab sedangkan sebelum ini lelaki ini juga yang berjanji akan mengahwininya nanti. Rupanya semua itu bohong!
“Gugurkan kandungan tu! Aku tak nak kau simpan dia! Aku tak nak ada anak dengan kau!” tekan Lukman kepada Laila.
“Tak semudah itu, Lukman! Nyawa budak ni Tuhan yang bagi. Macamana aku nak gugurkan? Aku bukan pembunuh! Takkan kau takde sikit rasa belas kasihan pada budak ni? Ini anak kau!” tekan Laila. Esakan sayunya terhela perlahan. Bicara Lukman kian membawa dia ke hujung jalan yang mati.
“Aku tak peduli tu semua! Hey, aku bukannya nak anak dengan kau. Kau gugurkan! Aku tak mahu bertanggungjawab pada budak tu! Aku tak nak sesiapa tahu itu anak aku, kau faham! Kalau keluarga aku tahu mana aku nak letak muka aku ni?” Lukman membentak dalam nada yang tertahan. Saat ini maruahnya lebih berharga berbanding anak hasil perbuatannya kepada Laila.
“Aku rasa aku dah tak ingin bercakap dengan kau lagi. Takde gunanya! Hidup aku memang sial sebab kenal lelaki syaitan macam kau. Ingatlah, Lukman. Hari ni kau terlepas. Kau tipu aku. Tapi depan Allah nanti kau akan menjawab semuanya. Kalau inilah harganya yang aku harus bayar sebab menolak kau dulu, aku terima! Aku terima dengan hati yang terbuka. Segalanya aku serahkan pada Ilahi. Dia yang maha mengetahui. Aku harap hidup kau akan tenang lepas apa yang kau buat pada aku!” ucap Laila sambil terus mencapai beg tangannya. Tanpa kata lagi dia terus bangun. Lukman ditinggalkan begitu sahaja biarpun dia masih terdengar panggilan lelaki itu.
Namun setelah beberapa langkah dia menjauhi pusat membeli belah itu Laila kembali melihat dunianya yang sebenar. Kepiluan yang ditahan semenjak tadi terlepas juga. Dalam langkah yang kian melonglai Laila menangis sendirian.
Laila hanyut sendiri bersama dunianya yang dirasakan begitu sempit sekali. Terlalu sempit! Entah kemana mahu dibawa dirinya dalam keadaan begini. Semuanya gelap! Kelam! Fikirannya buntu memikirkan kesudahan yang terbaik buat dirinya. Harapan yang tidak sebanyak mana juga sudah tidak kesampaian. Kini dia tinggal sendiri melalui hidup yang amat-amat sadis.
Terngiang lagi permintaan Lukman yang mahukan dia menggugurkan kandungan ini. Air mata Laila mengalir lebat di pipi. Tegakah dia melakukannya? Jika tidak bagaimana mahu dihadapkan wajahnya ini kepada masyarakat dengan keadaan diri yang sebegini? Apa kata ayahnya?
‘Ya Tuhan, apa sebenarnya salah aku sehingga aku dihukum dengan hukuman seperti ini? Apa yang harus aku buat, ya ALLAH. Tolonglah aku..’ hati Laila merintih hiba. Langit dipandang namun tiada jawapan yang kelihatan.
Lalu di tepian jalan dia mengatur langkah bersama deraian air mata. Fikirannya ligat memikirkan keadaan dirinya. Ssebuah penyelesaian digali sekeras-kerasnya dari pemikirannya. Namun kosong! Tiada jalan yang ditemuinya.
Tanpa sedar tekanan demi tekanan yang sedang memberat di bahunya membuatkan keadaan dirinya semakin lemah. Langkah yang diatur lama kelamaan semakin longlai. Kepalanya terasa benar-benar sakit akibat tangisan yang tidak berhenti semenjak tadi. Namun digagahinya juga dirinya untuk berjalan mengikut kehendak kaki yang sudah tidak sekuat mana. Laila sudah seperti orang yang tidak siuman. Berjalan tanpa haluan sambil membiarkan air matanya terus menitis di pipi.
Akhirnya Laila rebah juga. Rebah ke dalam pelukan seseorang.
“Ya Allah, puan!!” lelaki itu memanggil namun Laila sudah tidak mampu menjawab lagi. Akhirnya dunia yang selalu berada di hujung matanya menjadi gelap segelap-gelapnya!

“Puan ni emaknya ke?” soal lelaki itu kepada Puan Maznah yang baru tiba di ruangan itu.
Puan Maznah menggeleng seketika kepada anak muda itu. “Saya bekas ketua dia. Macamana awak tahu nombor telefon saya? Macamana awak boleh jumpa dia?” soal Puan Maznah. Hairan dia. Lelaki ini menelefonnya memberitahu tentang Laila yang pingsan di tepi jalan.
Pemuda bernama Husni itu menyelok poket seluarnya. Sebuah telefon bimbit diserahkan kepada Puan Maznah. “Saya terbaca sms Laila pada puan dalam telefon ni. Nampak macam dia kena baik dengan puan. Maaflah kalau tindakan saya memanggil puan ke sini dah tersilap. Saya ada juga cuba cari nombor telefon keluarga dia dalam telefon tu tapi tak jumpa. Sebab tu saya call puan. Mana tahu puan boleh bantu cari keluarga dia. Saya nak tinggalkan dia sendiri di sini pun tak sampai hati,” jelas Husni perlahan.
Puan Maznah menyambut gadjet itu dari tangan Husni. Skrin telefon itu sempat dipandangnya. “Apa yang dah jadi sebenarnya?” soal Puan Maznah masih tidak faham letak duduk cerita.
“Saya nampak dia macam ada masalah. Dia menangis waktu saya berselisih dengan dia tadi. Tiba-tiba aja ada dia pingsan depan saya. Sebab tu saya hantar dia ke sini.”
Puan Maznah menghela nafas perlahan mendengar cerita Husni. Kesal dia kerana semua ini berlaku pastinya kerana kisah hitam itu. “Terima kasih banyak-banyaklah sebab awak dah tolong dia, Husni. Memang tepat tindakan awak panggil saya ke sini,” ujar Puan Maznah lembut kepada pemuda itu.
“Kalau puan boleh tengokkan dia, saya rasa saya nak beredar dulu. Saya ni pun sebenarnya nak masuk kerja.”
“Boleh. Takde masalah. Nasib baik ada orang baik macam awak ni. Kalau tidak tak tahulah apa nak jadi. Terima kasih banyak-banyak, Husni.” Puan Maznah berkata lembut kepada anak muda itu.
“Sama-sama.”
Lima belas minit setelah Husni meninggalkan Puan Maznah menunggu Laila di situ tiba-tiba seorang jururawat keluar menjengukkan wajahnya melalui pintu bilik kecemasan itu. “Ahli keluarga Siti Laila Huda siapa?” ucap jururawat itu agak kuat.
Spontan Puan Maznah terus bangun dari duduknya. Gadis awal 20an itu didekatinya. “Saya,” jawab Puan Maznah sepatah.
“Sila ikut saya,” balas jururawat itu lalu merenggangkan pintu bilik itu bagi membolehkan wanita itu masuk.
Puan Maznah dibawa mendekati satu katil. Ada beberapa petugas perubatan di situ. Sebaik sahaja tubuh gempalnya berada di kawasan itu seorang doktor wanita tersenyum kepada Puan Maznah. “Puan ni emak dia ke?”
“Err.. bukan. Saya emak angkat dia.” Puan Maznah segera menjawab.
“Suami dia mana?”
Puan Maznah terpaku seketika. Suami?
“Err.. suami dia.. kerja luar agaknya. Saya tak pasti, doktor. Kenapa dengan dia? Ada masalah serius ke?” gusar seketika hati tua itu setelah diasak pertanyaan doktor wanita itu. Macam ada yang tidak kena sahaja dari gaya doktor itu bertanya tentang suami Laila.
“Takde apa yang serius buat masa ni. Cuma saya dapati tekanan darah dia naik mendadak. Badan pun lemah kurang air. Ini boleh membahayakan kandungan dia. Dia kena banyak berehat dan tak boleh stress. Kita terpaksa tahan dia di sini sehingga tekanan darah dia normal semula.”
Tersentak Puan Maznah mendengar bicara wanita itu. “Dia mengandung ke?” spontan soalan itu terluah dari mulutnya bersama rasa terkejutnya.
“Dia mengandung. Puan tak tahu ke?” tanya doktor itu dengan kerutan di kening.
Puan Maznah hanya mampu menggeleng. Tubuh Laila di atas katil itu dipandangnya. Kini dia mengerti mengapa wanita itu terkedang tidak sedarkan diri di situ. Rupanya bukan sedikit tekanan yang sedang ditanggung Laila. Ya Tuhan, kasihanya dia.. keluh hati wanita tua itu sendiri.
“Kalau boleh, tolong bagitahu suami dia. Lagi baik kalau suami dia ada temankan dia di sini sebab esok pagi pakar gynea akan datang jumpa pesakit ni. Apa saja penjelasan doktor nanti seeloknya suami dia pun kena dengar sekali,” ucap doktor itu lagi dalam pada Puan Maznah masih merenung Laila.
“Saya akan maklumkan pada suami dia nanti, doktor.”
“Kalau macam tu pesakit ni kita akan hantar ke wad lepas ni. Tapi buat masa ni biarkan dia berehat. Jangan bagi dia banyak bergerak.”
Puan Maznah hanya mampu mengangguk. Kebuntuan yang dialami membuatkan lidahnya seakan kelu. Hanya mata yang masih mampu memandang batang tubuh Laila yang langsung tidak bergerak. Kasihan dia.. bisik hati tua itu sendiri.
Saat itu tiba-tiba Puan Maznah teringatkan seseorang. Dia tahu semua ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Sudah sampai masanya semuanya harus diselesaikan! Keadilan harus ditegakkan. Mesti!


18

Pagi itu seawal jam 8 pagi Puan Maznah sudah muncul di tepi katil Laila. Ketika itu Laila baru sahaja selesai membersihkan diri. Kemunculan Puan Maznah kali itu tidak berseorangan sebaliknya dia membawa seorang lelaki seusianya yang tidak Laila kenali.
Laila sempat terpinga melihat kedatangan wanita itu. “Macamana puan tahu saya di sini?” soalnya kehairanan. Lelaki di sisi bekas ketuanya itu sempat dipandang namun seketika kemudian dia memandang Puan Maznah semula.
“Saya tahu..” jawab Puan Maznah tenang bersama secebis senyumannya. “So macamana keadaan Laila pagi ni?” tanya Puan Maznah mesra.
“Baik sikit hari ni.” Sambut Laila lembut.
Biarpun tanda tanya di benaknya ini masih tidak terungkai namun Laila senang dengan kehadiran wanita itu. Kehadiran wanita itu menguatkan sedikit semangatnya yang masih tidak sekuat mana. Namun Laila sedar bukan sekadar kehadiran Puan Maznah yang membuat dia berubah hari ini. Keajaiban yang dirasainya hari ini, saat dia membuka mata dia membuka mata sebagai seorang ibu. Perasaan halus itu meresapi ke lubuk hatinya yang paling dalam. Ada sedikit kegembiraan dirasakan dalam kekalutan jiwanya biarpun hakikatnya masih tidak berubah, dia hamil tanpa suami.
Buat seketika ruangan wad itu hening. Puan Maznah masih terfikir untuk mengatur bicara manakala Laila seakan kelu dengan kehadiran seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Dia tidak tahu untuk apa lelaki itu berada di situ saat ini.
“Laila dah sarapan ke?” soal Puan Maznah lembut. Tampang berbalut kedukaan itu dipandang lama.
“Dah, puan. Baru sekejap tadi saya sarapan.”
“Laila jangan panggil saya Puan Maznah lagi. Panggil aja saya makcik Maznah. Makcik bukannya bos Laila lagi sekarang. kita dah macam satu keluarga dan..” Puan Maznah memandang lelaki di sebelahnya itu seketika. “Mungkin akan jadi satu keluarga suatu hari nanti,” sambung wanita tua itu lembut.
Bicara wanita itu membuatkan Laila mengerutkan kening tanda tidak mengerti. “Apa maksud, puan?”
“Makcik Maznah. Panggil saya Makcik Maznah.”
Laila sekadar mengangguk akur dalam pada dia menanti penjelasan wanita tua itu. Semakin lama semakin banyak teka teki yang dimainkan oleh Makcik Maznah kepadanya. Kemunculan mengejut Makcik Maznah di wad ini masih terungkai persoalannya kini bertambah lagi.
“Laila, makcik tahu apa yang berlaku pada Laila sekarang ni. Makcik dah dengar penjelasan doktor semalam. Waktu Laila pengsan di tepi jalan ada seorang lelaki yang hantar Laila ke sini. Dia yang telefon makcik minta makcik datang jenguk Laila di wad semalam. Makcik nak Laila berterus terang sekarang. Jangan rahsiakan lagi apa yang berlaku.”
Serta merta ekspresi tenang di wajah Laila tadi mula menghambat pergi. Serasa wajahnya tidak lagi mampu diangkat kepada lelaki yang masih setia memandangnya dari tempat dia berdiri.
“Saya tak faham apa yang makcik cakapkan ni,” ucap Laila pura-pura tenang. Namun hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bergelodaknya jiwanya saat ini. Menceritakan kisah hitamnya kepada orang asing ini? Untuk apa?
Puan Maznah memandang lelaki di sisinya itu seketika sebelum mengembalikan hala tuju pandangannya kepada Laila. “Kenalkan ini Tan Sri Fatah, ayah Lukman dan ayah Lukman ni dengan saya adalah sepupu, Laila. Lukman tu lebih kurang macam anak saudara saya.” Saat itu bicara makcik Maznah tertuju kepada Laila semula.
Laila terus terpaku memandang makcik Maznah. Serta merta kepuraan yang terhias di wajahnya sebentar tadi terbang entah kemana. Tidak mampu ditahan rasa terkejutnya mendengar penjelasan Makcik Maznah kepadanya. Ini ayah Lukman sepupu Makcik Maznah? Jadi Lukman dengan Makcik Maznah adalah bersaudara?
Kenapa kecil benar dunia ini? Kenapa sebelum ini makcik Maznah tidak berterus terang dengannya mengenai ikatan persaudaraan antara dia dengan Lukman? Laila menelan liur sendiri. Namun kelat dirasakan perasaannya. Patutlah makcik Maznah beria-ia mahu menolongnya. Rupanya Lukman adalah sanak saudaranya.
“Laila apa khabar?” Kali ini barulah lelaki itu bersuara. Suara Tan Sri Fatah yang kedengaran lembut mula mengembalikan Laila ke alam realiti. Sebentar tadi dia bagaikan tidak jejak ke bumi setelah dihadapkan dengan satu lagi berita yang tidak dijangkanya.
“Saya baik-baik aja, Tan Sri.” Laila menjawab perlahan.
“Rasanya Laila ada perkara penting nak cakap dengan pakcik. Apa dia?” lembut sekali suara Tan Sri Fatah berbicara kepada Laila. Wajah Laila yang pucat seperti orang yang sedang menanggung sakit kronik itu lekas benar menjemput rasa simpatinya.
Laila tidak segera membuka bicara. Ada sebahagian besar dirinya masih tertahan enggan membuka rahsianya. Dia malu! Ragu! Apa yang harus diceritakan kepada lelaki ini?
“Laila, kalau makcik nak makcik boleh ceritakan semuanya kepada Tan Sri Fatah. Tapi seeloknya biarlah Laila sendiri yang bagitahu keadaan sebenarnya. Laila perlukan pembelaan. Jangan diamkan lagi, nak. Keadaan sekarang dah semakin sulit!” tegas Makcik Maznah apabila Laila masih terus begitu. Membisu seribu bahasa.
Laila cemas seketika. Biar pun benar apa yang diucapkan oleh Makcik Maznah namun dia tidak tahu bagaimana untuk membuka cerita. Dia malu untuk tersua-sua begini sementelah lelaki yang seharusnya bertanggungjawab kepadanya sudah lepas tangan semenjak awal.
“Laila tak tahu apa perlunya kita buat macam ni, makcik kalau dah lelaki tu sendiri jelas tak mahu bertanggungjawab pada Laila! Untuk apa semua ni?” ucap Laila mula sebak. Lekas benar kolam matanya berkaca.
“Dia mesti bertanggungjawab, Laila!”
“Dia sendiri yang suruh Laila gugurkan kandungan ni!” tegas Laila lantas dia teresak sendiri. Kehibaannya terhambur juga di hadapan lelaki itu.
Tan Sri Fatah sempat berpandangan dengan Makcik Maznah. Segera ada perubahan di raut lelaki tua itu mendengar ucapan spontan Laila.
“Siapa yang tak mahu bertanggungjawab pada Laila? Siapa yang suruh Laila gugurkan kandungan? Cakap dengan pakcik!” kali ini Tan Sri Fatah pula mengambil alih tugas untuk memujuk Laila. Sedikit penjelasan wanita muda itu cukup membuatkan dia semakin tidak sabar untuk mengetahui apa kebenaran yang sedang disimpan Laila.
“Laila..” panggil lelaki itu lembut.
“Ya. Saya..” Laila menyeka air matanya perlahan. Dirinya cuba ditenangkan.
“Jangan menangis, nak. Apa yang Laila nak bagitahu pakcik? Apa yang patut pakcik tahu tentang Laila?” tanya Tan Sri Fatah mesra. Suara yang bernada mesra itu dapat ditafsirkan Laila sebagai seorang lelaki yang penyayang.
Laila kembali sebak mendengar lelaki itu memanggilnya selembut itu. Hatinya lantas tersentuh. Tidak disangkanya ayah Lukman sebaik ini. Kenapa Lukman tidak sebaik lelaki ini? Kenapa Lukman mesti bersifat seperti binatang?
“Saya.. saya...” Laila masih teragak-agak. Tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Tidak tahu cerita itu harus dimulakan dari mana.
“Cakaplah. Jangan malu-malu. Ada apa sebenarnya?”
“Ceritalah, Laila. Jangan simpan lagi rahsia ni. Tan Sri Fatah perlu tahu apa yang berlaku pada Laila.” Makcik Maznah juga ikut bersuara mendesak Laila agar membuka rahsia itu.
“Saya takut apa yang saya cakap ni buat Tan Sri terkejut. Lebih lagi saya takut orang lain anggap saya menipu. Tapi saya dah tak tahu apa lagi nak buat selain ini. Saya dah tak mampu nak fikir apa-apa lagi! Saya buntu!” luah Laila sambil mengesat butir jernih yang mengalir di pipinya. Berat penanggungannya saat ini sehingga dia tidak tahu kepada siapa dia harus meminta tolong.
“Cakaplah.. buat pakcik faham apa sebenarnya yang bermain dalam fikiran Laila. Kalau Laila tak cakap macamana pakcik nak tahu. Apa yang pakcik boleh bantu pakcik akan bantu Laila. Jangan bimbang tentang itu. Pakcik bukannya nak marah Laila.” Lelaki itu menyambut kata-kata Laila dengan lembut dan tenang seakan memujuk.
“Saya mengandung...” luah Laila akhirnya.
Tan Sri Fatah hanya tenang. Itu dia sudah tahu. Apa yang dia tidak tahu siapa punya angkara sehingga dia dipanggil menghadap wanita muda ini. Lukman atau Nizam?
“Kalau tak keberatan bagi Laila pakcik nak tahu, anak siapa yang Laila kandungkan?” tanya Tan Sri Fatah masih mampu bertenang. Dia tidak ingin membiarkan dirinya hanyut dengan prasangka yang tidak-tidak sebelum dia menyiasat apa yang berlaku sebenarnya.
“Lukman...”
Tan Sri Fatah terkedu juga seketika biarpun semenjak tadi dia sudah cuba mengajar dirinya agar menerima semua itu dengan tenang. Sepotong nama yang disebut Laila benar-benar telah menghancurkan hatinya. Tan Sri Fatah cuba bertenang namun nafas di dalam dada terasa seolah telah tersekat, sukar untuk dihela dengan tenang. Kenyataan ini bukan sekadar amat sukar untuk diterimanya tetapi amat memedihkan keseluruhan hatinya. Akhirnya apa yang paling ditakutkan sudah dihadapkan ke hadapan mukanya.
Tan Sri Fatah berpaut perlahan pada hujung katil yang didiami Laila. Berpinar seketika pandangannya saat itu. Biar apa pun kenyataannya kini, dia cuba juga untuk bersabar. Sudah diagaknya ini adalah angkara anak lelakinya yang itu. Dia tidak mahu menyebut nama lain walaupun dia memiliki dua anak lelaki kerana dia yakin selama ini Nizam tidak pernah berperangai sedasyat itu.
Lama matanya memandang wanita dihadapannya dengan perasaan yang mula bercampur baur. Perlahan Tan Sri Fatah mengambil kerusi lalu duduk dekat dengan Laila yang juga sedang duduk di atas katil.
“Laila terlanjur dengan Lukman ke?” teka Tan Sri Fatah sambil merenung Laila yang masih tunduk tidak memandangnya.
Telahan rambang itu terus membuatkan Laila mengangkat pandangan kepada lelaki itu. Satu telahan yang membuatkan dirinya berasa begitu kecil dan tidak bermaruah. Kronologinya mudah sahaja, sesudah sesat bersama dosa zina kini dia terpaksa pula merayu lelaki ini untuk memperbetulkan kekhilafannya. Murah sungguh dirinya!
Begitulah yang dirasai oleh Laila saat ini. Perkataan ‘terlanjur’ itu sama sekali tidak boleh diterimanya kerana tidak sesaat pun dia pernah merasa nikmat dari perbuatan laknat Lukman kepadanya. Sebaliknya dia merasa cukup benci kepada lelaki itu kerana mengotori tubuh badannya!
“Saya tak semurah itu, Tan Sri. Kalau saya semurah itu saya takkan tergamak membiarkan wajah saya ni berada di hadapan Tan Sri sekarang!” tegas Laila bagaikan sudah mendapat kekuatannya.
“Panggil pakcik aja. Tak perlu terlalu formal, Laila. Jadi kalau tidak begitu apa sebenarnya yang terjadi? Macamana pula Laila boleh mendakwa itu anak Lukman kalau bukan sebab terlanjur dengan dia?” Tan Sri Fatah terus berlembut dengan Laila.
“Tapi bukan sekadar sepasang manusia yang terlanjur saja boleh menyebabkan saya mengandung, betulkan? Lelaki banyak duit macam Lukman boleh dapat apa saja yang dia nak. Petik aja jari! Semuanya dia boleh dapat walaupun terpaksa menyakitkan orang lain!” ucap Laila sedikit sinis. Tiba-tiba dia merasakan tindakan Makcik Maznah membawa lelaki ini bertemu dengannya adalah satu kesilapan yang besar. Dia semakin merasa terhina.
Tan Sri Fatah menghela nafas perlahan. “Maafkan pakcik kalau apa yang pakcik katakan tadi menganggu perasaan Laila. Pakcik hanya bertanya. Laila ceritalah apa yang benar. Biar pakcik tahu cerita sebenarnya,” ucap lelaki itu tetap lembut.
Laila diam seketika. Kelembutan Tan Sri Fatah segera melenturkan sebahagian rasa bengangnya sebentar tadi. Rasa serba salahnya mula terlentur menjadi satu keyakinan.
Akhirnya Laila mengalah. Satu persatu diceritakan tanpa ada satu pun bahagian yang ditokok tambah. Tiada juga yang ketinggalan. Termasuk juga tentang penolakan Lukman untuk bertanggungjawab kepada hasil yang sudah dikandungkannya ini. Namun sepanjang masa itu air matanya tidak berhenti mengalir. Betapa tingginya harapannya saat itu. Harap-harap setelah dia menceritakan kisah ini akan ada penyelesaian kepada masalahnya ini.

Lukman mendegus keras. Sakit hati! Panggilannya terus tidak berjawab. Semenjak beberapa hari lalu tiada satu pun panggilannya disambut oleh orang yang dipanggilnya. Sms yang diberikan juga langsung tidak dibalas. Dia terus terkapai-kapai sendiri dalam keresahan dan kebimbangan.
Buat seketika dia tidak pasti adakah nombor yang didailnya itu masih digunakan Laila. Entah-entah nombor itu sudah tidak aktif lagi. Tetapi tak mungkin! Kalau nombor itu tidak lagi digunakan masakan nombor itu masih boleh dihubungi? Lukman mencuba pula nombor yang lama namun sayangnya panggilannya dijawab oleh seseorang yang memberitahu nombor itu tidak dapat dihubungi buat masa ini.
Resah yang melanda semenjak dia mendapat tahu Laila hamil tidak dapat diredakan lagi. Dia asyik memikirkan tentang itu. Entah kenapa Lukman merasakan dia tidak seharusnya membiarkan Laila begitu sahaja. Seharusnya dia membawa Laila ke mana-mana klinik agar perkara yang memalukan itu dapat dilenyapkan segera. Sekurang-kurangnya tidaklah hatinya sebimbang ini jika dia pasti ‘benda’ itu sudah dilenyapkan?
‘Aku dah silap! Sepatutnya aku berhati-hati. Kenapa aku cuai sangat?’ keluh hati Lukman sendiri. Dirinya kian tersepit dalam masalah yang cukup berat.
‘Kalau dia tak gugurkan matilah aku! Habislah kalau orang tahu itu anak aku. Kalau dia bocorkan rahsia ni pada orang lain, macamana? Apa aku patut buat sekarang? Mana aku nak cari dia?’ sambil berbaring di atas katil hati Lukman terus berkata-kata sendiri lagi.
Dua tiga hari ini fikirannya terus diasak oleh kehamilan Laila. Berita yang dibawa Laila beberapa hari yang lepas benar-benar berjaya memusnahkan ketenangan dirinya sedangkan saat ini dia sudah tidak tahu Laila berada di mana. Rumah lama Laila hanya gelap setiap kali dia ke sana.
Lukman bangkit dari katilnya. Tubuhnya dibawa keluar ke balkoni kondomoniumnya untuk melepaskan tekanan yang melanda. Dari balkoni itu matanya memerhatikan keindahan malam di hadapannya. Namun wajah sayu Laila terus menabiri ruang matanya. Entah kenapa ada satu perasaan halus menyelinap dalam hatinya. Perasaan yang boleh ditafsirkan sebagai rasa bersalah.
Suatu masa dulu wajah itu pernah membuatkan hatinya diresapi rasa indah saat memandang Laila. Dia pernah ternanti-nanti untuk melihat lagi raut lembut itu. Tetapi akhirnya dia sendiri yang tega menyakiti wajah itu dengan tamparannya. Dia juga yang membuatkan wanita itu menangis kerananya.
‘Kenapa aku begitu kejam pada dia kalau betul aku ikhlas pada dia?’ soal Lukman sendiri. Tanpa sedar dia memejamkan matanya cuba meredakan rasa kesal yang mula membanjiri hatinya.
‘Ah!! Takde gunanya aku nak menyesal lagi. Semuanya dah berlaku. Dia memang layak diperlakukan macam tu. Kau yang tak tahu menghargai keikhlasan aku, Laila!’ degus hati Lukman sendiri. Enggan membiarkan dirinya hanyut oleh perasaan sendiri.
‘Aku kena buat sesuatu supaya rahsia ni tak bocor pada sesiapa. Tapi macamana? Mana aku nak cari dia?’ hati Lukman berbicara sendiri lagi. Otaknya terus ligat berfikir tempat yang memungkinkan Laila berada. Entah bagaimana saat itu Lukman segera terfikirkan Asmadi. Mungkin Asmadi tahu di mana Laila berada.
‘Nanti aku akan tanya dia!’ putus Lukman sebelum masuk semula ke dalam rumah.
Namun baru sahaja dia mahu melabuhkan tubuh ke atas tilam telefon yang terdampar di atas tilam itu berbunyi nyaring. Apabila dipandangnya nama ‘rumah’ tertera sebagai pemanggil. Lukman segera menjawab panggilan itu. Suara ibunya kendengaran memberi salam.
“Waalaikumussalam. Ada apa, ma?” soal Lukman sedikit hambar.
“Luk kat mana ni? Kenapa dah seminggu Luk tak balik rumah? Ayah bisinglah Luk dah lama tak balik! Mama dah tak sanggup dengar lagi. Baliklah!” ucap Puan Sri Mahani segera.
“Luk kat kondo ni. Malaslah nak balik, ma!” degus Lukman malas mahu melayan emaknya itu. Dia sudah lama tahu ayahnya memang mahu dia pulang ke rumah tetapi.. malaslah!
“Malas kenapa pulak? Luk ni ada masalah ke? Mama tengok semenjak kebelakangan ni Luk asyik menghilangkan diri. Kalau ada apa-apa cakaplah dengan mama. Jangan bagi mama risau!”
“Luk takde masalah. Luk cuma nak tidur kat kondo ni, salah ke?” balas Lukman sedikit menekan.
“Luk, baik Luk balik sini. Mood ayah tengah tak baik ni! Kalau ayah mengamuk nanti Luk jugak yang susah!” ucap Puan Sri Mahani serius.
“Alah! Dah malamlah! Esok Luk baliklah..” ucap Lukman tetap tidak mahu mengambil serius apa yang dikatakan oleh emaknya itu.
“Janji esok balik tau?”
“Ya, Luk janji. Luk nak tidurlah, ma. Good night!”
Setelah mendengar balasan dari emaknya itu talian terus dimatikan. Arahan ayahnya dan kegusaran emaknya tidak mampu disumbat lagi ke dalam kepalanya. Fikirannya sudah cukup sarat dengan masalah Laila. Dia hanya mahu bersendirian buat masa ini. Leteran sang ayah hanya akan membuatkan dia bertambah tertekan.
Arghh!!! Jeritan itu bergema keras di dalam bilik itu. Hanya itu yang terdaya dilakukannya untuk meredakan ketegangan perasaannya. Lukman mengambil bantal lalu ditekupkan ke wajahnya. Wajah Laila dan kisah bayi miliknya itu terus mengasaknya. Dia sudah tidak berdaya lagi menanggung semua ini. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan