Khamis, 29 Ogos 2013

1-3 MSM

       1

Bermulanya satu kisah..
“Kami sudah berjaya menemui mayat suami puan. Kami harap puan tabah dengan takdir ini. Leftenan Muhammad Nahij disahkan terkorban dalam nahas tu. Jenazah sekarang berada di Hospital Besar Miri untuk segala tindakan susulan. Setelah itu kami akan segera menerbangkan jenazah suami puan untuk upacara pengkebumian nanti. Apa sahaja perkembangannya nanti kami akan segera maklumkan kepada puan.”
Kata-kata itu kedengaran cukup jelas di telinga wanita itu. Malahan sehingga kini masih terngiang-ngiang biarpun sudah lebih empat jam berlalu semenjak dia diperdengarkan berita itu. Penantiannya sudah menemui noktahnya. 4 jam ini bagaikan empat ribu tahun dirasakan. Dia rindu.. teramat rindu mahu menatap wajah lelaki itu tetapi keadaan sudah berubah kini. Mampukah dia memandang lagi lelaki itu selepas ini?
Wanita itu bungkam sendirian di ruang tamu rumah itu melayan kepiluan hati. Televisyen yang terpasang dipandangnya dengan air mata yang tidak pernah putus mengalir di pipi. Dirinya terus hanyut dalam kesedihan yang tidak berpenghujung. Seketika kemudian apabila siaran berita mula memaparkan lagi berita terkini tentang nasib malang yang menimpa beberapa anggota tentera yang terlibat dia mula mengikuti siaran berita itu dengan sepenuhnya.
Buletin utama TV3..
“Kita mulakan berita malam ini dengan kejadian nahas Nuri di Long Seridan. Setelah hampir 9 hari operasi mencari dijalankan mangsa terakhir nahas pesawat Sykorsky Nuri yang terhempas di kawasan hutan pergunungan Long Seridan, Serawak akhirnya telah berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia ketika ditemui. Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij bin Zahari, 26 tahun ditemui hampir 10 batu dari kawasan nahas itu dan mangsa telah ditemui oleh anggota dari Pasukan Khas Angkatan Udara yang turut sama menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa nahas helikopter TUDM yang telah berusia 40 tahun itu semenjak lebih seminggu yang lalu.
Menurut jurucakap ketua operasi tersebut Mejar Jeneral Ahmad Zulkarnain, Allahyarham Leftenan Muhammad Nahij dipercayai telah tercampak keluar dari pesawat ketika nahas berlaku menyebabkan mangsa gagal ditemui bersama dengan mangsa yang lain. Berikutan keadaan muka bumi yang berbukit bukau, berkabus tebal dan cuaca buruk lebih menyukarkan anggota penyelamat menemukan mayat mangsa. Allahyarham ketika ditemui masih lengkap dengan pakaian juruterbang namun terdapat kesan kecederaan yang agak parah di kepala dan badan. Jenazah Allahyarham kini telah dihantar ke Hospital Besar Miri untuk proses bedah siasat. Jenazah akan dihantar pulang ke kampung halaman sebaik sahaja proses besah siasat selesai pagi esok dengan menggunakan pesawat Charlie C130 dari Lapangan Terbang Tentera Udara, Kuching. Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Ipoh pada jam 12:30 tengahari esok sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya untuk dikebumikan. Allahyarham dijangka akan disembahyangkan dan dikuburkan di kampung halamannya, Kampung Pasir Panjang Ulu, Chemor, Perak setelah selesai solat Asar. Berikutan kejadian, Allahyarham yang sudah berumahtangga kini meninggalkan seorang balu, Siti Laila Huda berusia 22 tahun.
Berikut adalah berlangsungkawa mengenai Allahyarham. Leftenan Muda Muhammad Nahij dilahirkan pada 27 September 1986 merupakan anak kelahiran Chemor, Perak mula menyertai Angkatan Tentera Udara setelah menamatkan latihan di Maktab Tentera Udara Diraja dan memulakan kerjaya sebagai pembantu juruterbang. Allahyarham kini bertugas sebagai pembantu juruterbang di Pangkalan Tentera Udara, Miri. Allahyarham yang merupakan anak tunggal kepada pasangan Zahari bin Arshad dan Najihah binti Nasri dikatakan baru sahaja berumahtangga.
Menurut jurucakap tentera Allahyarham dijangkakan bakal memulakan tugas di Pengkalan Tentera Udara Sungai Besi pada awal Julai ini berikutan permohonan Allahyarham untuk berpindah tugas di Semenanjung sudah diluluskan. Malangnya akibat nahas yang melibatkan sebuah helikopter milik TUDM, Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij telah terkorban bersama dengan enam lagi anggota lain. Menurut salah seorang sahabat Allahyarham penyebab Allahyarham memohon untuk ditukarkan bukan sekadar enggan lagi berjauhan dengan isterinya sebaliknya beliau pernah melahirkan kebimbangan dan kerisauan mengenai jentera yang dikendalikannya sudah berusia agak tua berikutan sejarah penggunaan pesawat jenis Sykorsky Nuri ini oleh Tentera Udara Malaysia telah hampir mencecah 40 tahun. Namun malangnya kerisauan Allahyarham kini telah menjadi nyata.”
Air mata wanita itu mengalir setelah mendengar nama suaminya disebutkan sebagai mangsa terakhir itu. Namun dalam kesedihan itu berita dari tv itu terus dipandangnya. Sememangnya dia semenjak sembilan hari lalu asyik berada di hadapan tv untuk mengetahui berita yang terkini selain daripada menunggu panggilan telefon dari pegawai atasan arwah suaminya.
“Berikut adalah kronologi kejadian.. 26 Mei lalu negara sekali lagi telah digemparkan oleh nahas helikopter jenis Sykorsky Nuri di kawasan Pergunungan Long Seridan ketika dalam perjalanan untuk ke Ba’kalalan. Pesawat malang itu dilaporkan hilang dari radar sebaik sahaja melalui lereng pergunungan itu dan dipercayai telah terhempas di kawasan hutan tersebut akibat hemtaman angin lintang. Kesemua tujuh anggota yang terlibat dalam nahas itu dikatakan dalam operasi menghantar bantuan makanan ke sebuah perkampungan orang tempatan di sembilan buah kampung yang telah mengalami banjir semenjak seminggu yang lalu. Berikutan kejadian operasi mencari dan menyelamat dengan bantuan tenaga seramai 350 anggota yang terdiri anggota tentera daripada Batalion ke 25 RAMD yang berpengkalan di Bentong, Pahang selain daripada operasi menyelamat dilakukan sepenuhnya oleh Batalion ke 13 RAMD yang berpengkalan di Pakit, Sri Aman dan juga dengan kerjasama Bridget ke 11 Pasukan Gerakan Am(PGA) di Kuching terlibat secara langsung dalam operasi secara besar-besaran untuk mengesan lokasi nahas. Namun berikutan bentuk muka bumi yang tidak sekata ditambah lagi cuaca yang tidak mengizinkan operasi mencari dan menyelamat menjadi semakin sukar apabila anggota menyelamat tidak berjaya mengesan mana-mana cebisan bangkai pesawat itu setelah dua hari operasi dijalankan. Rondaan di udara juga gagal memperlihatkan bangkai pesawat itu berikutan kabus yang tebal dan permukaan hutan yang telah menyukarkan pandangan dari udara. Berikutan keadaan itu operasi telah diperluaskan lagi sehingga 5 km ke arah utara dengan tambahan anggota seramai 300 anggota dari Batalion ke 16 PGA yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Setelah hampir lima hari pencarian dilakukan akhirnya bangkai pesawat Nuri ditemui tersadai disebuah cenuram di kaki gunung Long Seridan kira-kira 10 km dari pusat operasi menyelamat. Pada hari yang sama mayat enam mangsa telah ditemui bersama dengan bangkai pesawat walau bagaimana pun salah seorang anggota iaitu Leftenan Muda Muhammad Nahij yang merupakan pembantu juruterbang masih gagal ditemui. Operasi terpaksa diperluaskan untuk mengesan wira negara itu berikutan tiada sebarang tanda yang mangsa berada di sekitar kawasan nahas itu sementara mangsa-mangsa yang telah ditemui dihantar pulang untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing setelah selesai proses bedah siasat. Akhirnya dengan usaha keras anggota misi mencari dan menyelamat, kira-kira jam 10:35 minit pagi tadi mayat mangsa terakhir telah berjaya ditemui oleh anggota penyelamat dalam keadaan masih lengkap berpakaian tentera kira-kira lima batu dari lokasi bangkai pesawat itu. Walau bagaimanapun mangsa dilaporkan telah meninggal dunia di tempat mayat ditemui..”
“Ini adalah retetan cerita nahas pesawat yang melibatkan helikopter Nuri. Nahas pesawat Nuri ini dilaporkan merupakan antara nahas yang terburuk sepanjang perkhidmatan helikopter itu bersama dengan TUDM selama empat dekad ini. Kejadian buruk itu telah mengorbankan 7 anggota tentera udara iaitu Mejar Ahmad Roslan 38 tahun, Leftenan Muda Muhammad Nahij 26 tahun, Sarjan (U) Saiful Malik 32 tahun, Pegawai Waran 1 Hambali Jusuh 35 tahun, Laskar( U) Ahmad Muslim 26 tahun, Laskar(U) Radhi Rahman 24 tahun dan juga Laskar (U) Joseph Anak Kiting 24 tahun. Pesawat ini dilaporkan hilang dari radar sebaik sahaja melalui kawasan pergunungan itu dan dipercayai terhempas akibat cuaca buruk dan angin lintang. Saksi kejadian sebelum ada melaporkan melihat jentera itu terbang rendah sebelum hilang di celahan pokok di kawasan pergunungan itu. Sepanjang perkhidmatan helikopter itu negara telah mencatatkan lebih dari sepuluh nahas yang telah mengorbankan ratusan anggota tentera yang terlibat. Menurut jurucakap kementerian Pertahanan, Perdana Menteri kini sudah mula menimbangkan untuk menamatkan perkhidmatan helikopter jenis itu kerana dikhuatiri helikopter itu sudah tidak sesuai lagi digunakan untuk operasi tertentu. Namun pihak kementerian menafikan bahawa helikopter itu terbang dalam keadaan tidak diselenggarakan dengan baik. Untuk seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama islam, pesanan perdana menteri kita semua harus menerima ini semua sebagai qada’ dan qadar dari ALLAH.
Berikutan itu kami seluruh warga kerja dari pusat penyiaran TV3 juga mewakili seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham Leftenan Muda Muhammad Nahij dan juga seluruh anggota yang telah terkorban. Semoga ALLAH merahmati roh Allahyarham dan semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang beriman.”
Wanita itu kelu memandang gambar arwah suaminya yang terus terpampang di kaca tv.  Sakit! Terlalu sakit! Itulah yang dirasakannya saat ini. Penantiannya sudah berkakhir. Jawapan sudah didapatinya. Setiap yang hidup pasti akan mati. Begitulah juga dengan kebahagiaannya selama ini. Semuanya sudah mati!
 
Hidup ini ibarat roda. Sesekali di atas sesekali juga di bawah. Sebagai manusia yang sentiasa mahu kesempurnaan memang segala kesusahan kepincangan sangat tidak diingini di dalam hidup. Tetapi diantara tangan manusia dengan Sang Pencipta siapalah yang mampu menidakkan betapalah kuasa Sang Pencipta adalah melebihi segala-galanya.
Wanita itu.. dia tidak pernah meminta nasib dirinya jadi begitu. Tetapi apa yang datang diterimanya walaupun terpaksa ditadah dengan deraian air mata. Sekali ini dia akhirnya mengakui tidak selamanya hidup itu indah. Tidak selamanya bahagia akan kekal bersamanya dan duka itu sesekali akan datang menduganya. Cumanya terlalu hebat dugaan yang datang menimpanya sehingga dia tidak tahu dengan apa dapat dirawat hatinya ini. Tangis hiba orang sekelilingnya membuatkan pilu di hati bagaikan tidak terbendung. Sang emak meratap saat diminta menemui jenazah anak yang bakal dibawa ke tanah perkuburan sebentar lagi. Wanita tua itu tidak kuat untuk menahan duka yang mendatang. Di tepi keranda yang bertutup itu dia menangis memanggil nama Tuhan. Betapa inilah kali terakhir dia dapat mendekati jasad anak yang pernah dikandungnya.
Dia? Dia sudah puas menangis. Semenjak mula mendapat berita kehilangan suami tercinta dia sudah menumpahkan air mata. Saat diminta mendekati keranda itu dia akur dalam duka yang tidak terbendung. Dua tangan ditadahkan untuk memohon kepada Yang Esa. Bacaan Al Fatihan dialunkan dalam senyap bersama kepiluan yang tidak berpenghujung. Sinaran lensa kamera wartawan yang merakamkan detik hiba itu tidak langsung dipedulikannya.
Biarlah.. lihatlah dunia. Dia sudah pun melalui satu kehilangan yang cukup menyayat hati. Inilah salah satu tanda betapa berkuasanya Allah yang esa. Setiap manusia adalah milik Allah dan kepada-Nyalah manusia akan pulang apabila sampai masanya. Biar dengan air mata darah sekalipun dia tidak akan mampu menahan kehendak takdir.
Demi Tuhan jika diturutkan hati memang Laila tidak mampu melepaskan Nahijnya pergi. Namun dia bukanlah seorang yang amat berkuasa. Akhirnya keranda kaku dan bisu itu dibawa pergi juga darinya dan dia hanya mampu pasrah dalam duka yang kian parah.
Ketika upacara pengkebumian, suasana tanah perkuburan itu suram sekali biarpun dipenuhi orang ramai. Kehadiran lelaki-lelaki berpakaian seragam tentera di situ menarik perhatian ramai orang. Ada diantara mereka yang terbabit dengan upacara pengkebumian yang dilakukan mengikut istiadat tentera dan sebahagian lagi sekadar datang untuk menziarah si mati buat kali terakhir.
Sebentar tadi saat kereta jenazah menurunkan keranda kayu itu dari van jenazah beberapa das tembakan kedengaran. Kemudian keranda itu diusung oleh beberapa anggota tentera yang lengkap berpakaian istiadat ke tanah perkuburan. Ketika keranda kayu yang dibaluti oleh jalur gemilang di atasnya itu diturunkan perlahan ke dalam liang lahat oleh pegawai-pegawai tentera itu kedengaran lagi beberapa das tembakan. Seketika kemudian barulah bendera kebanggaan negara yang menutupi keranda itu itu dilipat oleh beberapa pegawai tentera sebelum liang lahat sempit itu ditimbusi tanah merah yang melekit.
Laila menyaksikan semua itu bersama linangan air mata. Sang emak yang menemani tidak putus-putus membisikkan kata-kata dorongan meminta dia beristighfar agar hati yang sedang rapuh saat itu tidak disesatkan iblis.
Selesai talkin dibacakan tiga das tembakan dilepaskan sebelum beberapa anggota segera berdiri tegak memberi tabik hormat buat kali terakhir kepada jasad prajurit yang sudah selamat disemadikan itu. Bendera berlipat tiga segi itu diserahkan oleh seorang pegawai tentera udara berpangkat Mejar kepada wanita itu.
“Kami dari pihak tentera udara mengucapkan takziah pada puan sekeluarga. Semoga puan dan keluarga tabah dengan ujian ini,” ucap lelaki itu lembut sahaja.
Wanita itu sekadar mengangguk sambil menyambut kenangan terakhir dari pasukan yang disertai oleh arwah suaminya itu. Bendera itu dipeluknya erat. Selepas itu lambat-lambat seorang demi seorang para prajurit-prajurit itu berlalu untuk meneruskan kehidupan mereka, meninggalkan satu lagi prajurit yang sudah terkorban.
Siti Laila Huda terkaku di situ biarpun kawasan itu sudah mulai dikosongkan. Perginya suami tercinta setelah terkorban ketika bertugas diiringi dengan lara yang tidak mampu digambarkannya. Baru sekejap mereka menikmati ikatan suci ini kini suaminya Arwah Nahij yang bertugas sebagai juruterbang TUDM sudah hilang dari hidupnya dipanggil menghadap Ilahi. Tangannya sememangnya tidak berdaya untuk menahan lelaki itu daripada pergi kepada Yang Berhak.
“Laila..” panggilan itu hanya dibiarkan biarpun dia sedar itu suara emaknya. Dia masih tekun memandang nisan yang kaku itu. Di situlah jasad lelaki kesayangannya berada.
“Sudahlah tu, nak. Yang dah pergi biarlah dia pergi. Redakanlah..” pujuk makcik Halimah lembut kepada Laila.
“Biarlah Laila di sini sekejap, mak. Cuma ini sahaja masa yang tinggal. Laila cuma nak bersendirian di sini. Sekejap lagi Laila balik. Mak jangan bimbangkan Laila. Laila tak apa-apa,” jawab Laila amat perlahan. Wajahnya tenang namun hatinya terus dihujani tangisan yang menggila. Tiada siapa melainkan Allah sahaja yang mengerti betapa berat penanggungannya saat ini. Perpisahan ini langsung tidak pernah diduganya pada kali terakhir dia bertentang mata dengan lelaki kesayangannya. Kejutan ini langsung tidak disangkanya pada saat terakhir dia mendengar suara lelaki itu. Gembira? Sudah tentulah tidak tetapi dia sedar dia hanya perlukan sedikit ruang untuk menerima suratan ini.
“Jangan lama-lama sangat ya? Ni dah petang benar ni. Tak baik duduk di sini waktu maghrib.” Pesanan sang emak teralun lembut tanda berhati-hati dengan emosi yang anak yang terlalu rapuh saat ini. Kasihan.. namun sang emak mengerti. Setiap yang hidup akan merasai mati. Itu sudah janji Allah.
Laila hanya mengangguk sahaja. Langkah emaknya tidak dipandang sebaliknya dia kembali memandang nisan kaku itu. Namun sebaik sahaja dia bersendirian di situ air matanya mengalir lagi dari sudut matanya. Lekas-lekas disekanya agar tidak jatuh. Saat ini dia seakan merasakan Arwah Nahij ada di situ bersamanya. Seakan arwah sedang memerhatikannya. Sedang menemaninya.
Terlalu pantas masa berlalu. Tidak disangkanya setelah empat bulan Nahij menjabat tangan ayahnya, menyunting dirinya sebagai suri hidup kini Nahij pergi buat selama-lamanya meninggalkannya seorang diri. Tiada pesan tiada kata-kata terakhir buatnya. Nahij pergi begitu sahaja. Dia tidak sangka sama sekali perbualan terakhir bersama Nahij tiga hari lalu akan menjadi perbualan terakhir buat mereka berdua.
“Kenapa abang tinggalkan Laila? Kenapa?” tiba-tiba terluah soalan itu dari bibirnya yang terketar menahan sedih.
“Kenapa semuanya berlaku begitu sahaja. Takde petanda.. tanda pesan yang dapat Laila jadikan penguat semangat untuk meneruskan hidup. Abang tinggalkan Laila macam tu aja. Mengapa?” sekali lagi dia bertanya seolah-olah Arwah Nahij akan menjawabnya.
Namun tiada jawapan yang kedengaran. Hanya bisu nisan itu. Hanya kaku begitu sahaja. Laila menyeka lagi air matanya yang amat murah kala itu. Jika diikutkan rasa hati pasti saat ini dia sudah meraung-raung menangisi kesakitan yang yang sedang dirasainya namun dia sedar sebagai orang islam dia harus berpegang kepada ketentuan Allah. Nahij bukan miliknya yang mutlak sebalik milik Allah. Kini dia sudah mengetahui betapa pedihnya sebuah kehilangan itu. Teramat sakit sehingga bisa seluruh hatinya. Kehilangan ini bukan kehilangan sementara tetapi untuk selamanya. Bagaimana untuk dia meneruskan hidup ini tanpa kehadiran lelaki ini lagi? tiada harapan lagi yang dapat disandarkan. Tiada cinta yang dapat disemai dan tiada lagi ikatan yang harus dipertahankan. Tiada! Semuanya sudah lenyap sepertimana lenyapnya kegembiraan semenjak dirinya diangkat oleh Nahij menjadi seorang isteri.
Lama Laila menghabiskan masa di situ. Setelah akhirnya dia menyedari suasana sudah kelam menanda waktu sudah hampir ke maghrib dia akhirnya bangun dan melipat tikar yang menjadi alas duduknya di tepi kuburan itu. Sebelum berlalu dia menoleh lagi memandang tempat jasad lelaki kesayangannya itu disemadikan. Dia tahu lelaki itu akan kekal di situ. Dia yang masih perlu meneruskan hidup harus melengkapkan perjalanannya sebelum dia juga berakhir di situ. Dia tahu dengan air mata darah sekalipun Arwah Nahij akan terus berada di situ. Akan terus berada di situ selama-lamanya kerana itu sudah janji dari-Nya.
Sayangnya biarpun lelaki itu sudah tiada di sisinya namun kenangan manis dulu masih utuh dilipatan kenangan Laila. Sesaat pun tidak dia mampu melupakannya. Dia tidak tahu berapa lama masa yang harus diambilnya untuk melepaskan Nahij dari hatinya. Namun Laila pasti, cintanya kepada Nahij tidak mungkin akan sama lagi dengan yang akan hadir nanti. Laila pasti!

Dia milik Allah tetapi kenangan itu milik aku..
“Abang tahu..”
“Habis tu kalau dah tahu kenapa abang buat?” soal Laila sedikit keras seolah-olah tidak berpuas hati. Geram dia dengan lelaki ini. Tindakan Nahij langsung tidak mampu diduganya. Terasa seperti sedang bermimpi pun ada. Terkejut sudah tentu!
Lelaki berkulit cerah itu tergaru-garu seketika melihat kemarahan sang gadis. Entah bagaimana mahu dijelaskan dia sendiri tidak tahu. Tetapi apa yang dia tahu kerana cinta dia jadi segila ini!
“Abang nekad aja! Abang dah tak tahu apa yang harus abang buat. Bila abang balik ke sini abang ingatkan nak jumpa Laila tapi rupanya Laila dah ke KL. Abang segan nak tanya pada Abang Man alamat Laila. Sebab tu abang buat macam ni,” jelas Nahij perlahan tanpa dapat menghalakan pandangannya kepada Laila yang sedang merenungnya tajam. Rasa bersalah kepada Laila kian membukit. Dia tahu dia sudah menyusahkan gadis itu.
“Laila tak faham dengan abang ni. Ini semua tak masuk akal!”
“Abang tahu..”
No! Abang tak tahu. Bukan sehari dua abang tinggalkan Laila tau! Tapi 2 tahun, bang! 2 tahun abang tak balik kampung. Abang hanya membisu! Laila keliru dengan sikap abang sebenarnya. Kalau abang betul sukakan Laila, kenapa abang hanya diam biarkan Laila terkapai-kapai sendiri? Apa sebenarnya yang berlaku, bang?” luah Laila agak keras.
Dia benar-benar sudah letih. Selama ini dia terus menyimpan rasa tidak puas hati kepada lelaki itu. Dia masih ingat 2 tahun lalu Nahij ke Sarawak begitu sahaja tanpa bertemu dengannya. Tanpa merungkaikan segala persoalan di benaknya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa kecewanya dia dengan lelaki ini.
Nahij yang duduk mencangkung di tanah di hadapan rumah itu tunduk seketika. Dia tahu dia bersalah kepada Laila. Tetapi segala tindakannya berlandaskan sebab. Bukannya dia senang meninggalkan Laila begitu sahaja tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang harus dibuat untuk mengikat Laila kepada dirinya.
“Abang, tolong jangan diamkan diri lagi. Laila nakkan penjelasan abang. Kenapa abang tiba-tiba balik dan masuk meminang Laila? Apa sebenarnya yang abang cuba buat ni?” soal Laila semakin kuat suaranya. Dia sudah muak melihat kebisuan Nahij. Selama ini kebisuan itulah yang membuatkan dia cukup terdera.
“Abang buat macam ni sebab abang sayangkan Laila. Abang sayangkan Laila semenjak dulu. Dulu abang memang nak berterus terang tapi waktu tu Laila tengah marah dengan abang. Lagipun waktu tu Laila masih bersekolah jadi abang tak berani nak mulakan. Abang takut ayah Laila dapat tahu. Sungguh, abang takde niat nak buat Laila tertanya-tanya begitu. Abang buntu waktu tu, Laila. Abang tengok Laila betul-betul marah dengan abang. Langsung tak mahu tengok muka abang. Abang pergi bukan dengan senang hati. Abang sengsara selama di sana, Laila. Sengsara sangat-sangat!” jelas Nahij agak sayu.
“Itu aja alasan abang? Sebab Laila masih bersekolah?” sindir Laila masih bersisa geram. “Abang tahu tak selama ni Laila lagi tersiksa dengan sikap abang yang sekejap ada sekejap hilang. Laila selalu tunggu abang tapi abang balik sini cuma nak jumpa Abang Man. Dia kawan abang dunia akhirat. Kenapa abang tak meminang aja Abang Man tu? Dia pun masih bujang sama macam abang!” getus Laila masih tidak habis-habis dengan bengkak hatinya kepada Nahij.
Nahij tersentak seketika dengan kata-kata Laila. “Sayang, takkanlah abang nak meminang Abang Man pulak? Abang lelaki, dia pun lelaki. Kalau dua-dua lelaki macamana nak dapat anak? Berdosa kahwin sesama jenis ni, Laila. Siksa abang di akhirat nanti..” getus Nahij sedikit terkejut dengan apa yang diucapkan Laila. Namun dia sedar Laila berkata begitu kerana bengang dengannya.
Kali ini Laila terdiam pula. Dia sedar dia sudah terlebih meluahkan rasa. Namun dek kerana rasa bengang yang masih bersisa lelaki itu dijelingnya tajam. “Sakit hati Laila ni bila abang buat tak tahu aja pada Laila. Laila aja yang selalu ingatkan abang,” ucap Laila sedikit mengendur nadanya.
“Abang minta maaf sangat-sangat. Abang tak bermaksud nak susahkan hati Laila,” sambut Nahij bersungguh.
Laila menghela nafas perlahan. Maafkan Nahij? Sudah tentulah dia akan memaafkan Nahij kerana saat ini dia sebenarnya teramat gembira lagi bahagia. Tidak sangka rupanya ayahnya meminta dia balik ke kampung bersebab. Inilah sebabnya. Nahij telah menghantar rombongan meminang untuk menyuntingnya sebagai suri hidup.
“Jadi Laila terima pinangan abang?” soalan itu dilontarkan Nahij lembut namun penuh dengan harapan. Paras sang kekasih yang selama ini setiap saat berada dalam igauannya itu direnung lama. Berkali-kali hatinya menyeru kepada Yang Esa, janganlah dia diberikan kekecewaan kali ini. Harap-harap Laila sudi. Kerana dia juga sudah letih memendam rasa.
Laila mengerling Nahij sekilas. Mahu berkata ‘ya’ begitu sahaja dia malu pula. Nampak benar gelojohnya. Kawal diri tu sikit Laila oi! Jangan nak malukan kaum! “Abang ingat kalau Laila tak terima Laila nak ke jumpa abang sekarang? Kalau Laila menolak, Laila cakap terus dengan ayah. Biar ayah yang sampaikan pada abang. Kalau Laila menolak cara berhadapan macam ni, tak ke malu abang nanti? Laila tak sekejam tu nak memalukan abang.” Laila menjawab lembut bersama senyum nipisnya. Ah! Malulah pulak...
Bicara Laila menerbitkan senyuman di bibir Nahij. “Alhamdulillah..” luah Nahij penuh kelegaan. Betapa saat ini rasa kasih yang tersimpan kian menggebu di hati. Ikutkan hatinya mahu sahaja dipeluk Laila namun dia sedar batas mereka masih ada. Sabarlah wahai cinta.. bisik hati kecilnya.
“Tapi dengan syarat!” ucap Laila tiba-tiba meninggikan suaranya semula.
“Apa syaratnya, sayang? Laila cakap aja. Apa pun abang akan tunaikan,” sambut Nahij sambil menyeringai di hadapan Laila yang sedang duduk di atas bangku kecil yang selalu digunakan oleh Makcik Halimah ketika membelek bunga di dalam pasu di halaman.
Laila menjeling seketika. Kekok pula apabila dilayan selembut itu oleh Nahij. Tidak sangka dalam sekelip mata kebahagiaan yang dinantikannya selama ini pulang menjengah dirinya. Kini dia bakal isteri kepada Nahij, lelaki idaman Malayanya.
“Kalau abang hilang lagi macam dulu, Laila takkan layan abang lagi!” ucap Laila bersungguh. Jika Nahij boleh senekad itu, dia juga boleh.
“Kali ni abang takkan hilang lagi sebab umi dah berhajat. Dia nak kita nikah aja terus. Tak payah tunang-tunang macam orang lain. Best tak perancangan umi abang?” jawab Nahij dengan senyum lebarnya. Jika Laila bersetuju maka dialah orang yang paling bahagia saat ini.
Namun reaksi Laila berubah tiba-tiba. Bicara Nahij merubah 70 peratus kegembiraan yang terhias di wajah Laila semenjak tadi. Nikah terus? Alamak! Tiba-tiba dia merasa telapak tangannya sejuk. Ngerinya? Dia masih dalam pengajian. Masih banyak yang perlu dikejarnya. Tidakkah terlalu awal mereka menoktahkan hubungan ini dengan ikatan suami isteri?
“Laila tak setuju?” soal Nahij lembut setelah mengesan perubahan di wajah buah hatinya itu. Rentak hatinya juga ikut berubah senada dengan perubahan negatif Laila. Jika Laila menolak alamat kecewalah dia lagi.
“Bukan! Bukan macam tu. Laila masih belum bersedia, bang. Semua ni terlalu cepat. Kita baru aja berjumpa semula. Kenapa nak tergesa-gesa?” Laila menjawab pantas. Bimbang Nahij berfikir yang tidak-tidak tentang dirinya.
“Lepas ni kita akan selalu berjumpakan? Kalau takde ikatan tu Laila rasa ayah Laila benarkan abang jumpa Laila di KL? Kalau abang dah jadi suami Laila, hubungan kita akan lebih kukuh. Abang boleh jenguk Laila bila-bila masa yang abang suka.” Nahij menyambut dengan alasan yang sudah lama ada di benaknya.
“Tapi Laila masih belajar, bang..”
“Abang tak minta Laila berhenti belajar. Bukan itu niat abang, sayang. Abang cuma nak kita ada ikatan yang sah sementara abang di Sarawak dan Laila di sini. Ikatan ni yang akan membuatkan kita saling ingat satu sama lain sebab kita masing-masing ada tanggungjawab pada hubungan kita. Abang bukannya nak mengongkong Laila supaya ikut kehendak abang. Lagipun kalau abang dah berkahwin lebih mudah abang minta ditukarkan sebab abang dah ada isteri. Itu antara sebab-sebabnya abang nak kita nikah cepat.” Nahij meluahkan bicaranya lembut.
Laila terdiam menelan bicara Nahij. Biarpun semua itu masuk akal jiwanya terus bergolak sendiri. Antara mahu dan tidak. Antara bersedia dan tidak untuk menggalas gelaran sebagai seorang isteri. Namun memikirkan kesengsaraannya selama bertahun-tahun ini dia akhirnya nekad! Dia hanya mahu Nahij menjadi miliknya. Dia tidak sanggup hidup berulam duka bersulam air mata. Tidak sanggup lagi jadi pengenang yang setia sedangkan cinta masih jauh untuk digapai. Mungkin benar, dengan ikatan itu mereka akan lebih dekat biarpun jauh dipisahkan Laut Cina Selatan. Kerana tidak sanggup melalui semua itu lagi Laila akhirnya mengangguk menyatakan kesediaannya!
Hampir melompat lelaki itu saat itu. Terlalu gembira akhirnya impiannya untuk memiliki Laila kini berada diambang nyata. “Terima kasih, sayang. Terima kasih sebab sudi terima abang. Inilah saat yang paling membahagiakan dalam hidup abang.”
“Terima kasih jugak sebab abang sudi jadikan Laila sebagai sebahagian dari hidup abang. Terima kasih sebab sudi terima Laila yang serba kekurangan ni. Terima kasih sebab akhirnya abang berikan Laila jawapan yang membahagiakan setelah penat Laila menunggu abang selama ini.” Laila ikut membalas ucapan lelaki itu. Bibirnya tersenyum manis menandakan kebahagiaan yang dirasai oleh Nahij saat ini turut dirasainya. Sudah lama dia memasang angan. Dia sudah penat menantikan jawapan. Akhirnya kini Nahij kembali bersama hakikat yang amat dinantikannya dan dia sama sekali tidak ingin melepaskan hakikat itu pergi jauh darinya lagi.

“Abang yang seharusnya berterima kasih pada Laila. Laila setia menunggu abang walaupun abang tak pernah menjanjikan apa-apa pada Laila. Abang akui abang banyak kelemahan tapi abang janji abang akan cuba yang terbaik untuk hubungan kita. Insya-Allah..”


   2

“Aku terima nikahnya Siti Laila Huda Binti Syaharudin dengan mas kahwinnya 500 ringgit, tunai!” Lancar dan terang akad itu disambut sang lelaki. Dengan sokongan dari dua saksi yang memerhatikan upacara itu akhirnya Laila kini telah pun bergelar seorang isteri kepada lelaki itu.
Bahagia! Itu yang sedang dirasai oleh hatinya saat dirinya dipeluk erat oleh emak mertua. Sayu! Itu pula yang dirasainya apabila terpandangkan renungan sang emak yang merelakan dirinya mencari kebahagiaan diri setelah bertahun dia hidup di bawah payungan kasih sayang emak dan ayahnya. Terpisah sudah tanggungjawab ayahnya kepada dirinya. Sebaliknya kini sudah berpindah kepada lelaki itu.
Betapa cintanya kepada lelaki bernama Muhammad Nahij itu bagaikan tidak mampu disukat lagi saat jarinya disarungkan cincin tanda sebagai pengikat kasih sayang antara mereka berdua. Kasihnya bagaikan tidak terbendung kala tangan lelaki itu dikucup sebagai permulaan dia menzahirkan ketaatan seorang isteri kepada seorang suami. Sayangnya seolah tidak terucap saat matanya terpejam tatkala dahinya dikucup tanda kasih berpanjangan dari seorang suami. Indahnya saat itu tidak mampu dibayangkan. Tidak pernah dibayangkan dalam usia semuda ini dia akan ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang paling disayanginya. Rasa syukurnya kepada Yang Esa hanya mampu diluahkan oleh hujung lidahnya.

“Abang tak boleh lama di sini. Abang cuti lima hari aja, sayang. Nanti waktu kenduri kita nanti baru abang cuti lama sikit. Esok abang kena balik ke Miri semula.” Lelaki itu berbicara lembut kepada sang isteri ketika mereka berdua mahu berpisah malam itu.
“Takpelah, Laila faham. Laila akan tunggu abang balik.”
“Jangan nakal-nakal waktu abang takde nanti tau!”
“Mana ada Laila nakal! Abang tu yang jangan nakal kat sana nanti. Dahlah kat sana takde siapa yang boleh tengokkan abang. Laila kat sini lainlah! Ramai yang jaga,” tukas Laila lantas mencubit perlahan lengan lelaki itu.
Nahij tertawa lunak dengan senda gurau mereka berdua saat itu. Namun perlahan tawanya memudar apabila terpandangkan batang tubuh emak mertuanya naik ke atas rumah. “Mak..” sapa Nahij lembut.
“Kamu nak balik ke rumah umi kamu ke, Nahij? Kenapa tak tidur di sini aja?” ucap sang emak apabila terpandangkan menantu lelakinya itu masih dengan pakaian yang sama sedari tadi sedangkan Laila sudah menukar pakaiannya.
“Bukan saya tak mahu tidur sini, mak tapi umi minta saya balik ke rumah sana. Katanya tak manis orang tengok sebab kami ni nikah gantung,” jawab Nahij sambil tersenyum nipis kepada sang isteri.
“Apa pulak tak manisnya? Nikah gantung tu cuma istilah kita aja. Ikut hukum kamu berdua memang dah halal walaupun belum nak pelamin. Takde salahnya kamu nak tidur sini,” ucap Makcik Halimah lembut.
Nahij tersenyum sambil merenung seketika raut sang isteri. Dia tahu ada sebab mengapa Laila meminta dia tidur di rumah sana. Bukan kerana tidak manis orang melihat tetapi isterinya sedang berada dalam keadaan uzur. Laila tidak mahu dia kecewa nanti jika apa yang diharapkan tidak mampu dikecapi.
“Takpelah, mak. Nahij ada berbincang dengan Laila pasal ini. Kami sama-sama setuju untuk menanti sampai masa yang sesuai. Saya mahu Laila gunakan masa ni untuk bersedia secukupnya untuk menjalankan tanggungjawab dia pada saya nanti. Saya pun tak mahu terburu-buru,” ucap Nahij lembut tanpa mahu mengecilkan hati emak mertuanya itu.
“Yalah. Kalau itu dah kata kamu berdua mak tak mahu paksa. Asalkan jangan kamu pakai hukum yang tak digariskan dalam agama aja sudah. Cakap orang kampung ni bukannya boleh pakai sangat! Kita pakai hukum Allah. Itu yang betul!” ujar Makcik Halimah akur dengan keputusan anak dan menantunya itu.
“Mak, Laila uzur sekarang. Biarlah abang Nahij tidur sana,” ucap Laila pula dengan selambanya.
“Aik? Sebabkan tengah uzur, Laila sampai hati suruh suami pergi tidur tempat lain. Kalau macam tu nampaknya kenalah kamu selalu tidur di hotel lepas ni, Nahij. Asalkan dia datang bulan aja kamu kena tidur di tempat lain!” perli makcik Halimah dalam pada dia menggeleng melihat anak bongsunya itu. Nahij sempat ketawa memandang raut isterinya yang sudah berubah.
“Mak ni ke situlah pulak perginya! Laila seganlah! Tak biasa abang Nahij ada kat sini. Laila perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan ni. Bukannya Laila sengaja nak dera abang Nahij.” Sempat lagi Laila menjawab kepada emaknya itu.
“Suka hati kamulah, Laila. Asalkan suami kamu reda mak tak boleh nak kata apa. Terpulang pada kamu berdua. Hmm.. sebelum balik jumpa ayah dulu, Nahij. Terkejut pulak dia nanti tengok kamu takde di sini,” ucap Makcik Halimah sebelum meneruskan langkah untuk ke biliknya.
“Mak tu jangan lupa makan ubat. Mak tak boleh penat sangat. Dapur tu nanti biar Laila yang kemas,” sempat Laila berpesan kepada emaknya yang sudah menuju ke bilik. Wanita tua itu sekadar tersenyum tanda akur kepada pesanan anaknya itu.
Nahij kembali memandang isterinya itu setelah mereka ditinggalkan berdua. Jemari sang isteri diraihnya lalu digenggam erat. “Terima kasih sebab Laila sudi jadi suri hidup abang. Insya-Allah selagi hayat abang dikandung badan abang takkan pernah sia-siakan Laila.”
Laila tersenyum dalam keharuan. Tanpa kata tubuhnya terus dihumbankan ke dalam pelukan lelaki itu. Rasa malu sudah ditolaknya ketepi.
Nahij tertawa perlahan melihat kemanjaan isterinya. Namun tawanya perlahan-lahan usai apabila menyedari tubuh yang sedang berada dalam dakapannya ini milik wanita yang paling didambakannya selama ini. Bagaikan mimpi sahaja semua ini. Inilah pertama kali tubuh ini dapat didakapnya. Cukuplah untuk pelepas rindu sehingga kepada pertemuan mereka selepas ini. Perlahan rambut sang isteri diciumnya. Keharuman rambut wanita itu membuatkan dia terpesona seketika. Seperti dirinya sedang terbang di awan biru. Indahnya bagaikan tidak terucap oleh kata-kata.
‘Ya Tuhan, syukur aku kepada Mu kerana Engkau telah memberikan aku peluang untuk menikmati kebahagiaan ini. Inilah anugerah Mu yang tidak pernah aku bayangkan kenikmatannya. Terima kasih, Ya Allah..’ hati Nahij berbisik sendiri. Matanya terpejam separuh terlena dengan keindahan jalinan kasih sayang mereka berdua.
Seketika kemudian Laila mendongak memandang wajah lelaki pujaannya. Lunak pandangannya beradu dengan sang kekasih. “Laila janji Laila akan setia pada abang. Sebab hati Laila semenjak awal lagi adalah milik abang. Sama seperti yang abang janjikan Laila hanya nak bahagiakan abang seumur hidup ni,” ucap Laila.
“Laila adalah cinta pertama dan terakhir bagi abang. Abang bersyukur kerana selama ini apa yang abang harapkan akhirnya Allah dah berikan kepada abang. Insya-Allah, kebahagiaan yang kita harapkan akhirnya akan dapat kita kecapi, sayang. Abang harap Laila boleh bersabar seketika kalau kita terpaksa berjauhan. Abang akan usahakan untuk bertukar ke semenanjung secepat yang mungkin.”
“Takpelah. Laila dah lama terima hakikat yang Laila akan berjauhan dari abang buat sementara waktu ini. Abang jangan risaukan Laila. Laila cuma nak abang kerja baik-baik dan jangan lupa call Laila selalu. Laila sentiasa doakan supaya Allah lindungi lelaki yang Laila sayang ni. Laila nak abang hati-hati waktu berkerja nanti. Laila nak abang balik ke sini semula dengan selamat untuk Laila,” balas Laila lirih. Sayu hatinya dengan perpisahan sementara ini namun dia harus meredakannya.
“Insya-Allah abang akan balik nanti, sayang.”

Itu semua kenangan dulu. Kini yang tinggal hanya sendu dan pilu.
‘Insya-Allah abang akan balik nanti, sayang.’ Sepotong ayat itu bergema lagi di ruang hatinya. Janji itu sudah dikotakan. Namun dalam keadaan yang berbeza. Jasadnya yang berbungkus putih di dalam keranda singgah seketika di hadapan mata. Kemudian terus dibawa pergi, tidak akan pernah muncul lagi. Allah menentukan itulah kepulangan abadi sang lelaki kepada Sang Pencipta.
Laila termenung lama di jendela tingkap biliknya. Jauh matanya memandang sebegitu jugalah fikirannya terbang jauh mengingati lelaki seorang itu. Rindunya sudah tidak terucap lagi. Luluh hatinya tidak terkata saat kenangan demi kenangan bermain di fikirannya. Semua kenangan masa lalu bersilih ganti, bermain di fikirannya membuatkan dia akur betapa siksanya dia untuk mengajar hatinya menerima suratan ini. Dia terlalu mendambakan arwah Nahij. Kenangan lama itu tanpa dapat ditahan terus tersingkap satu persatu membuatkan hatinya semakin berkecai seribu mengenangkan Nahij.
Laila ingin pasrah demi merawat jiwanya yang patah tetapi terlalu sukar. Bayangan Nahij terus menghantuinya tanpa belas kasihan. Setiap saat, setiap detik hanya lelaki itu yang ada dalam kenangannya. Hati Laila terus menangis sendirian setiap kali dia berusaha untuk menggenggam hakikat yang Nahij sudah tiada lagi. Tidak akan pernah ditemuinya lagi.
Muhammad Nahij adalah cinta pertamanya semenjak dia ditingkatan empat. Dia sememangnya memendam rasa kepada Nahij semenjak dizaman sekolah. Mereka sekampung dan pernah bersekolah di sekolah yang sama. Semenjak dahulu dia memang suka memandang Nahij yang tua empat tahun daripadanya. Tetapi setelah Nahij memasuki akedemi tentera mereka terpisah seketika sehinggalah dia tamat SPM. Pertemuan semula dengan Nahij setelah masing-masing dewasa telah membuahkan ikatan yang lebih kukuh setelah masing-masing juga mengakui perasaan yang ada.
Tetapi takdir yang tertulis menyebabkan impiannya untuk hidup bersama Nahij berkecai seribu. Kini Nahij sudah tiada. Belum pun sempat mereka merasa naik pelamin seperti pasangan lain, Nahij sudah tiada. Belum pun sempat mereka membina impian bersama kini semuanya sudah musnah. Laila nanar ditinggalkan sendiri.
“Laila..” Suara garau ayah Laila membuatkan lamunan Laila pecah berterbangan. Pantas air mata di pipinya diseka. Enggan membiarkan ayahnya melihat kesedihannya.
“Ya, ayah.” Panggilan si ayah dijawab lirih.
“Laila buat apa tu?” Pakcik Syahar terus masuk ke bilik anak perempuannya itu. Laila yang sedang berdiri kaku di tingkap yang terbuka luas itu didekatinya.
“Laila cuma tengok kat luar aja, ayah.” Perlahan sahaja jawapan Laila.
“Jangan dikenangkan sangat apa yang dah berlaku. Sedih memang sedih tapi perasaan tu kita kena lawan. Ayah tak mahu Laila ikutkan sangat perasaan tu. Ayah bimbang Laila akan jatuh sakit nanti. Sabar ya?” pujuk Pakcik Syahar lembut kepada satu-satu anak perempuannya itu.
“Laila tahu, ayah.” Pahit sekali jawapan Laila. Sabar? Bagaimana untuk bersabar?
“Malam ni Laila tak mahu ke rumah umi? Malam ni malam terakhir tahlil arwah. Nanti apa pula kata umi kalau Laila tak ke sana. Sekalipun Laila tak pernah ke sana semenjak mereka buat tahlil.” Pakcik Syahar berkata lembut sambil merenung tampang sayu anak perempuannya itu. Dia mengerti apa yang sedang menghuni perasaan itu tetapi dengan menyembunyikan diri seperti ini segalanya tidak akan pulih. Malah akan semakin sakit. Kemurungan Laila kian hari membuatkan dia semakin bimbang.
Laila diam seketika. Bukannya dia mahu meminggirkan umi dan babah. Tetapi dia sememangnya tidak kuat untuk melihat semua itu. Di dalam rumah umi penuh dengan gambar Arwah Nahij. Penuh dengan segala kenangan tentang lelaki itu. Dia tidak sanggup untuk melihat lagi semua tentang Nahij yang sudah pasti akan membuatkan dia semakin tertekan.
“Jodoh dan pertemuan semuanya keputusan Allah, Laila. Tabahlah dengan apa yang Allah dah tentukan untuk kita. Sakit ni masa yang akan menjadi ubatnya. Suatu hari nanti hati kita akan faham dan menerima semua ini. Datang ya? Jangan kecilkan hati umi dengan babah. Laila hilang suami tapi mereka hilang anak. Perasaan mereka lebih parah kerana itulah satu-satunya anak mereka. Takkan ada gantinya lagi. Sekali ini cubalah gembirakan hati mereka pulak,” pujuk Pakcik Syahar selembut yang boleh.
Setelah lama berdiam Laila akhirnya mengangguk perlahan. Malam ini adalah malam terakhir tahlil jadi biarlah dia ke sana. Sekali ini sahaja apa salahnya jika dia bertahan. Kalau dia berduka emak mertuanya pasti lebih dari itu.
“Laila dah solat asar ke?” soal Pakcik Syahar lagi.
“Sekejap lagi, ayah.”
“Jangan tangguhkan solat. Dalam keadaan begini kepada Allah kita meminta. Hanya Dia yang tahu bagaimana untuk mengubati hati kita. Laila melekakan diri begini tanpa menyegerakan solat, syaitan yang akan mengambil tempat menghuru-harakan hati kita. Lekaskan solat tu. Ayah nak turun bawah sekejap. Lepas solat nanti turun makan. Dari semalam lagi ayah tengok Laila tak makan. Tak baik macam tu. Itu namanya menyiksa diri. Allah tak menguji kita supaya kita jadi begini. Ujian Allah bersifat mendidik, Laila. Mendidik kita agar sabar dengan kesusahan hidup,” nasihat pakcik Syahar lembut.
Laila lantas mengangguk. Dia tahu kewajipannya saat itu. Dia tidak seharusnya melewa-lewakan solat yang selalu menjadi keutamaannya. Dia sedar selain dari mengubat jiwanya inilah saatnya dia mendoakan kesejahteraan arwah Nahij di alam sana. Inilah saatnya!
Selepas solat Laila bermunajat lama di atas sejadah. Kepada Sang Pencipta dia meminta supaya roh suaminya ditempatkan di kalangan yang syahid. Semoga dosa suaminya diampunkan Allah. Kepada Allah juga dia meminta sedikit ketabahan agar mampu meneruskan hidup dengan kekuatan jiwa yang utuh. Dia tahu, sedih sebagaimana sekalipun hidup harus diteruskan. Bukan juga dekat perjalanannya nanti. Dia masih perlu meneruskan pengajian dan seterusnya mencari arah hidupnya nanti. Inilah harapan Nahij kepadanya. Ini juga untuk masa depannya setelah dia kehilangan suami untuk bergantung hidup. Laila sedar dia harus akur dengan tuntutan yang ada biarpun apa yang telah terjadi. Kerana diantara kesemua makhluk di atas dunia ini dia bukanlah sesiapa melainkan hamba kepada Yang Esa yang amat berkuasa.
Buat kesekian kalinya air mata Laila mengalir di pipi. Kesayuannya tidak dapat  dibendung lagi. Ya Tuhan.. tawarkanlah kesedihan ku ini. Berilah aku kekuatan untuk meredai Mu. Berilah aku kudrat untuk menerima ketentuan yang Engkau berikan kepada ku. Aku tunduk pada kuasa Mu, Ya Lathif...
Ya Allah Ya Tuhan ku
Ku sujud pada kudrat Mu
Ku serahkan jiwa raga ku
Pada takdir iradat Mu
Pimpinlah daku dalam reda Mu
Kasihi daku dalam rahmat Mu
Hanya pada Mu aku mengadu
Ya Allah Ya Tuhan ku..
Air mata Laila kian murah bagaikan air hujan menuruni pipi mulusnya. Kepada Tuhan yang satu dia memohon kekuatan diri agar kehilangan yang dirasakan saat ini dapat digantikan dengan kesabaran. Agar kesepian tidak terus menghukum dirinya. Sesungguhnya dia mahukan kekuatan untuk meneruskan hidup. Dia ingin terus hidup namun.. tanpa Nahijnya. Entahlah.. dia benar-benar tidak tahu!

Arman memandang adiknya yang masih diulit kemurungan sendirian. Setelah dua bulan berlalu hari ini dia melihat sekali lagi Laila ke kuburan itu. Sengaja dia mengikutnya senyap-senyap kerana dia bimbang dengan kemurungan Laila yang semakin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini. Selalunya adiknya itu suka tersenyum dan meleterkannya jika tidak membasuh pinggan selepas makan tetapi Laila yang ada di hadapan mereka ini, jiwanya bagaikan sudah terbang jauh mendapatkan kekasih hatinya. Hanya sekadar jasad tanpa jiwa.
Arman sedar, pegawai tentera udara seperti dirinya dan Nahij memang selalu berhadapan dengan risiko nyawa. Tetapi sebenarnya mati itu berada di mana-mana sahaja. Seluruh umat manusia juga akan mati. Bukan hanya pegawai tentera sahaja yang akan mati. Tetapi takdir yang tertulis mengatakan inilah masanya buat Nahij.
Lama Arman memandang Laila yang bertapa di kuburan Nahij. Setelah habis membacakan surah Yassin, Laila merenung dan mengusap nisan yang kaku itu. Arman tahu Laila masih belum boleh menerima hakikat tentang hidupnya kini.
“Laila...” panggil Arman setelah mendekati adiknya itu.
“Abang Man? Buat apa kat sini?” soal Laila kepada abang keduanya itu.
Dia dan Arman cuma tiga beradik. Abang mereka yang sulung kini bertugas sebagai seorang pegawai pengurusan jemaah yang mengerjakan umrah dan haji di bawah pengurusan Tabung Haji. Abang sulung mereka Shahrul Idhan memang jarang balik ke kampung semenjak mula ditugaskan jauh di tanah suci Makkah itu. Tanpa Idhan tinggal mereka dua beradik di sini.
“Abang cari Laila. Abang dah agak mesti Laila kat sini,” balas Arman sambil duduk bersebelahan dengan Laila. Dia memandang pusara itu seketika. Sayu juga hatinya kerana hilang adik ipar dan rakan sekampung yang akrab.
“Laila okay?” tanya Arman perlahan sambil memandang adiknya itu dari sisi.
“Macam yang abang nampak ni. Begitulah Laila.” Hambar sekali nada Laila.
“Tak sangka cepat betul masa berlalu. Dulu dia dengan kita sekarang Allah dah ambil dia. Inilah satu kejutan yang paling abang tak sangka selama ini,” ujar Arman perlahan sahaja. Sememangnya dia juga ikut merasa teruji dengan keputusan takdir yang tidak dijangka seperti ini.
Laila sekadar diam menelan setiap kebenaran kata-kata Arman itu. Lidahnya kelu dalam menahan kepiluan yang terkurung di dadanya.
“Abang tahu Laila sedih. Tapi Laila jangan lupa di sekeliling Laila ada orang yang sayangkan Laila. Kami semua bimbang tengok Laila macam ni.” Arman menyambung katanya. Cuba menasihati satu-satunya adik perempuan yang dimilikinya.
“Laila tahu, bang. Laila cuma perlukan sedikit masa untuk menerima hakikat ni. Itu saja. Abang, mak dengan ayah janganlah bimbang. Laila takkan buat sesuatu yang tak elok pada diri Laila kerana kecewa. Laila tak senekad itu.” Laila membalas pahit dalam menahan getaran sebak yang begitu kejam menghujam dadanya.
Arman menghela nafas perlahan. Dahulu dialah yang membantu arwah Nahij untuk mendapat tempat Maktab Tentera Udara. Ketika itu dia masih baru mula bertugas di dalam tentera. Tetapi kerana berkongsi cita-cita yang sama dia dengan rela hati membuat surat sokongan kepada pihak atasannya agar Nahij diterima masuk ke Maktab Tentera Udara. Tetapi setelah tamat pengajian di kolej tentera Nahij memulakan tugas sebagai juruterbang manakala dia pula di Unit komando Udara. Dia di Banting dan Nahij di Sarawak.
Sewaktu dia menerima berita kemalangan yang menimpa pesawat yang dikendalikan Nahij, dirinya seakan tidak jejak di bumi. Dia juga terkejut dan sedih kerana Nahij pergi begitu cepat. Namun dia reda pemergian Nahij memang sudah ditakdirkan berlaku pada waktu ini dan dalam keadaan seperti ini. Sememangnya sebagai juruterbang mereka sentiasa terdedah kepada risiko seperti yang dialami oleh arwah Nahij. Cumanya Arman sebenarnya tidak menyangka kebimbangan Nahij tentang risiko kerjanya akhirnya menjadi nyata.
Nahij sebelum ini pernah mengutarakan kebimbangannya kerana pesawat yang dikendalikan sudah berusia agak tua. Malahan sebelum ini sudah banyak kali nahas seperti itu berlaku dek kerana keupayaan pesawat itu yang sudah ketinggalan zaman itu agak terbatas. Nahij pernah menceritakan kepadanya tentang hasratnya untuk memohon kepada pihak atasan bagi menjalani latihan mengendalikan pesawat jenis lain setelah tamat kontraknya nanti.
Tetapi sayang, belum sempat semua itu berlaku takdir Allah sudah mendahului. Inilah suratan-Nya. Nahij sudah tiada lagi. Sewaktu diberitahu pesawat malang itu hilang dan dipercayai terhempas Arman sudah menjangka dan mempersiapkan dirinya untuk menerima takdir Allah. Malahan dia juga salah seorang dari ratusan anggota yang diterbangkan serta merta ke Sarawak untuk melakukan misi mencari dan menyelamat selama hampir sembilan hari itu. Dia yang menemani jenazah adik iparnya saat diterbangkan dari lokasi mayat dijumpai ke Hospital Besar Miri. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu rentak perasaannya kala itu. Namun bagi Arman hanya itu bakti yang mampu dicurahkan buat kali terakhir untuk Nahij. Dia harus kuat untuk menyokong adiknya yang sudah pasti lebih sukar menerima berita ini.
Arman sedar ini sudah merupakan saat yang paling menduka citakan Laila. Sudahlah emak mereka sedang menderita sakit lemah jantung kini suaminya pula meninggal dunia tiba-tiba.
“Abang mahu Laila tabah. Memang mudah bila abang bercakap begini tetapi apalah daya kita untuk menolak kuasa Allah.” Arman menyambung bicara lagi setelah imbasan kisah Nahij berlalu dari fikirannya.
“Laila tahu Laila takde pilihan lain, bang. Kalau Laila meratap menangis macam orang gila pun Abang Nahij takkan balik semula kepada Laila. Tapi untuk reda begitu sahaja susah, bang. Laila hanya manusia biasa yang kurang serba serbi.” Laila membalas sayu kepada lelaki yang lebih tua hampir lapan tahun daripadanya itu.
“Abang tahu memang susah, dik. Tapi patah tumbuh hilang berganti. Insya-Allah suatu hari nanti Laila akan menemui gantinya. Walaupun takkan sama dengan yang ini tapi itulah jodoh Laila sebenarnya. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Takde ujian yang Allah turunkan bersifat kejam untuk menyiksa kita, Laila. Semua yang Allah beri adalah kerana Allah sayangkan kita dan Allah ambil dia dari kita kerana Allah lebih sayangkan dia.” Arman memujuk lembut sambil memaut bahu adik bongsunya itu erat.
Laila tidak membalas. Namun saat berada dalam pautan tubuh sang abang dia mula dilanda sebak yang teramat sangat. Matanya berkaca jernih lalu air matanya mengalir perlahan di pipi. Di dalam diam hatinya berbisik, ‘Pergilah wahai suami. Aku redakan. Tetapi sebelum pergi kembalikan semula hati ku. Kerana aku memerlukannya untuk meneruskan hidup ku yang entah bila sampai kepenghujungnya. Janganlah hendaknya aku merana kerana cinta yang tak kesampaian. Damailah hendaknya engkau di sana, sayang ku. Tetapi pulangkan semula hati ku..’


3

“Laila..” gemersik panggilan itu membuai seketika perasaan remaja gadis itu. Dia mahu lekas menoleh namun menyedari dia hanya menudung kepalanya dengan tuala, Laila menahan seketika perasaannya. Rambut yang terkeluar sedikit dari celahan tuala yang dijadikan penutup kepala lantas disisipkan masuk ke dalam tuala berwarna merah jambu itu. Baju diampaian segera dirapikan sidaiannya. Selesai itu barulah dia menoleh.
Pertama yang dilihatnya adalah sinar mata lelaki itu tajam menikam kepadanya. Ada kejutan yang dirasakannya saat itu setelah menatap sang lelaki. Dadanya mula bergemuruh hebat. Laila tunduk seketika untuk mencari kekuatan sebelum menentang semula pandangan lelaki itu.
“Abang Nahij?” soal Laila gugup. Sumpah! Dia benar-benar tidak menyangka lelaki itu akan datang menyapanya. Debar di dada Laila bagaikan tidak keruan. Seolah-olah dia baru disapa oleh penyanyi yang paling digilainya. Gila!
“Ya, abang Nahij ni..” jawab lelaki itu lantas tersenyum. Sempat dia memandang ampaian di belakang Laila. Rajin Laila membuat kerja rumah. Hatinya masih ingin memuji biarpun dia sedar kebanyakan gadis kampung memang pandai membuat kerja rumah kerana mereka memang sudah dididik begitu. Di kampung manalah ada rumah yang memiliki orang gaji atau pembantu rumah seperti di bandar.
“Abang Nahij baru balik? Bila abang balik?” soal Laila sedikit segan berada di hadapan lelaki itu. Tidak tentu arah perasaannya kerana Nahij lebih banyak memandangnya daripada bercakap. Dia pula? Dia semenjak azali memanglah bukan jenis perempuan yang peramah! Aduhai.. lupa pulak nak tepek bedak tadi! Gincu ada pakai tak tadi? Eh! Aku mana ada gincu tu semua! Bisik hatinya semakin tidak keruan.
“Laila ingat abang lagi?” soal Nahij lembut sambil tersenyum. Teruja perasaannya kerana Laila masih mengingatinya biarpun sudah lama tidak bertemu. Jika tidak kerana berdosa pasti batang tubuh sang perempuan ini sudah didakapnya untuk melunaskan kerinduannya selama ini. Ah! Siksanya menahan rasa rindu. Itulah yang dirasai Nahij selama ini.
Laila pura-pura ketawa untuk mengusir debarnya. Memang sudah lama mereka tidak ketemu namun tempoh itu masih belum boleh memadamkan ingatannya kepada lelaki itu. Nahij adalah bekas pelajar seniornya. Jika tidak silap sudah hampir dua tahun Nahij meneruskan pengajian dalam bidang yang diminatinya iaitu ketenteraan.
“Bila abang balik kampung?” soal Laila cuba bertenang.
“Semalam. Laila sihat ke?”
“Macam yang abang nampak nilah..” jawab Laila lembut. “Abang?”
“Macam yang Laila nampak jugak..” Nahij menjawab dalam usikan sehingga membenihkan tawa sang gadis. Namun tawa itu tidak mampu bertahan lama kerana dia semakin tidak selesa tatkala dirinya diamati oleh Nahij.
“Laila makin cantik sekarang..” ucap Nahij lembut. Wajah sang perempuan ditatap tanpa jemu. Tanpa alat solek wajah itu tetap mampu mendebarkan perasaannya. Bibir merah pudar itu memang menggiurkan. Sinar di mata hitam itu membuatkan hatinya semakin hebat dilambung asmara.
Laila hanya diam bersama sedikit senyuman. Tidak tahu pula mahu berbual apa dengan lelaki ini. Sungguh! Perasaannya lain macam apabila bertemu semula dengan lelaki yang pernah diintai dalam diam dahulu. Rasanya perasaan semenjak dari zaman sekolah berlanjutan pula sehingga kini. Alahai.. janganlah renung macam tu. Nak pitam dah ni! Keluh hati Laila sendiri.
“Abang datang ni sebab nak cari Abang Man ke?” soal Laila kemudian. Semakin tidak keruan apabila dirinya direnung terus-terusan begitu. Bukannya dia tidak suka tetapi dia tidak tahu apa sudah jadi pada kulit wajahnya saat ini. Terasa hangat semacam! Dadanya ini juga sudah tidak boleh dikawal lagi. Tidak tentu arah!
“Abang Man ada di Bukit Jugrakan?” balas Nahij turut dengan soalan. Kerana Arman sedang berada di Bukit Jugralah dia berani ke mari. Jika tidak.. boleh jadi nanti dia dibelasah rakan sekampungnya itu kerana menganggu adik kesayangan Arman.
Laila lantas mengangguk. “Jadi abang cari ayahlah ni?” teka Laila lagi apabila sangkaannya yang Nahij tidak tahu yang Arman berada di kemnya sekarang sudah meleset.
“Kan abang bercakap dengan Laila sekarang? Kalau abang cari ayah Laila mestilah abang pergi kebun dia,” jawab Nahij sambil tersengih sedikit. Semua manusia yang disebutkan Laila itu tidak seistimewa wanita ini di matanya.
Laila terkedu mendengar bicara Nahij. Nahij mencarinya? Untuk apa? “Abang cari Laila untuk apa?” tanya Laila sedikit hairan.
“Laila dah habis SPM ke?” soal Nahij mesra.
“Dah lama pun. Minggu depan dapat resultnya.” Laila masih menjawab biarpun dia masih dibaluti kehairanan mengapa lelaki ini banyak bertanya tentang dirinya. Sedangkan selama ini mereka jarang bercakap.
“Lepas dapat result SPM ni Laila rancang nak buat apa?”
“Emm.. mungkin sambung belajar lagi. Kalau ada rezeki Laila nak naik tingkatan enam. Kenapa, bang?” tanya Laila semakin hairan. Kisah pula lelaki ini tentang dirinya. Sangkanya Nahij tidak hairan langsung tentang perkembangan dirinya.
Nahij terdiam seketika sebelum kembali bersuara. “Kenapa Laila tak minta masuk kolej aja? Atau mana-mana universiti ke?”
“Laila memang dah lama merancang nak ambil STPM. Mungkin lepas STPM barulah Laila fikirkan cadangan abang tu. Kenapa abang tanya semua ni?” tanya Laila kepada lelaki itu.
Nahij terdiam seketika sambil menghela nafas. Soalan Laila terbiar begitu sahaja. dia sendiri tidak tahu apa yang harus dijawabnya.
“Abang datang sini semata-mata nak tanya itu aja?” soal Laila lagi semakin hairan dengan lelaki seorang ini. Selama ini dia hanya membisu. Langsung tidak pernah menegurnya tetapi kini datangnya tiba-tiba membawa sifat prihatinnya. Manalah dia tidak hairan.
Nahij lantas tersenyum lembut sambil merenung tampang Laila yang sedikit gusar. Mungkin juga tertanya-tanya dengan tingkah beraninya ini. “Abang saja nak tahu. Tak salahkan kalau abang bertanya? Kita pun dah lama tak berbual. Nama aja sekampung tapi jarang bertegur sapa.”
“Kita dah lama tak berbual atau tak pernah berbual semenjak dulu?” ujar Laila cuba memperbetulkan kata-kata lelaki itu. Kali ini dia lihat Nahij tertawa. Barisan gigi putih teraturnya kelihatan. Semakin segak lelaki itu di mata Laila. Ah! Hati kalau dah suka gigi rompong pun nampak macam elok aja.
“Kita tak pernah berbual ke sebelum ni?” soal Nahij semula. Dia menyeringai seketika sambil menggaru pipinya sedikit.
“Yalah. Abang kalau datang sini hanya cari Abang Man aja. Kalau Laila ada pun abang buat-buat tak nampak,” jawab Laila sengaja menrendahkan nadanya. Serentak itu dia berpaling semula ke arah ampaian dan membetulkan kedudukan kain baju yang disidainya tadi. Sengaja dia berbuat begitu untuk menyembunyikan kehangatan yang sedang mewarnai wajahnya.
“Kalau abang cari Laila nanti  takut ayah Laila marah. Laila masih sekolah. Tapi sekarang dah lain.” Nahij segera menjawab saat bola matanya singgah di belakang tubuh wanita itu. Bicara simboliknya bagaikan sedang memberi bayangan apa yang sedang tersimpan kemas di hatinya.
Laila sepantas kilat menoleh mencari semula wajah Nahij. Buat seketika mereka berpandangan berdua. Masing-masing menghantar hasrat yang sudah lama terperam. Namun ada sedikit rika keliru terlakar di wajah Laila saat menikmati kelembutan pandangan si lelaki. Buat seketika dia bagaikan dapat membaca maksud yang terselindung namun dia tidak berani untuk meyakininya. Bimbang dia tersalah sangka.
“Apa maksud abang tadi?” soal Laila perlahan.
“Laila..” panggilan itu mematikan hasrat Nahij untuk menjawab. Serentak itu mereka menoleh ke arah pintu dapur. Makcik Halimah sedang berdiri di pintu dapur itu sambil memandang mereka.
“Ya, mak.” Laila menjawab agak kuat kepada emak yang berada sedikit jauh darinya.
“Siapa yang datang tu?”
“Abang Nahij, anak makcik Jihah..” jawab Laila sambil mengerling Nahij seketika. Nahij tanpa menunggu terus mendekati tempat emak Laila berdiri. Laila turut mengikuti langkah lelaki itu apabila menyedari kain sudah selesai disidainya. Bakul kosong dikelek bersamanya.
“Saya, Nahij. Makcik dah tak ingat saya ke?” soal Nahij setelah mendekati emak Laila.
Makcik Halimah tergelak tiba-tiba. “Kamu rupanya. Bukannya makcik tak ingat tapi kamu berdiri jauh sangat. Makcik ni manalah nampak sangat. Dah tua!” balas makcik Halimah mesra. Mana mungkin dia boleh lupakan Nahij? Anak muda ini sering datang ke rumahnya dahulu kerana Nahij memang akrab dengan Arman anak keduanya.
“Makcik sihat ke?” Laila terdengar Nahij bertanya kepada emaknya. Sifat budiman Nahij sering memikat hatinya. Ah! Puji lagi!
“Sihat macam nilah. Sihat orang tua, Nahij.” Makcik Halimah menjawab lembut. Penyakit yang bersarang dalam dirinya tidak ingin diceritakan. “Kamu datang ni cari Arman ke ni?”
“Err… ha’ah! Tapi tadi Laila kata Man tak balik ya? Saya ingatkan dia cuti,” jawab Nahij sedikit menggelabah sambil menoleh mencari Laila yang berdiri di belakangnya.
Laila pula terus membuat muka. Tadi jika tidak silap Nahij tahu yang Arman masih berada di Kem Bukit Jugra. Kini di hadapan emaknya lain pula kata-kata lelaki itu.
“Hmm.. bulan lepas dia dah balik. Bulan ni tak baliklah agaknya. Kamu ni dah habis ke belajar di sekolah askar tu?” tanya makcik Halimah lembut.
“Belum lagi. Sekarang saya tengah cuti. Ni yang balik kampung jenguk umi dengan babah.” Nahij menjawab sopan.
“Hmm.. baguslah. Marilah masuk. Biar makcik buatkan air. Kamu pun dah lama benar tak datang ke mari.”
“Eh! Tak payahlah, makcik. Saya singgah sekejap aja ni. Saya nak balik temankan umi kat rumah. Laila, abang balik dulu ya?” ucap Nahij lekas mahu berlalu. Bukannya dia tidak mahu tetapi dia amat segan kala ini. Entah bagaimana mahu berhadapan dengan Laila bersama soalan yang masih belum dijawabnya.
“Yalah. Kirim salam pada umi dengan babah kamu tu, Nahij..”
“Ya, makcik. Assalamualaikum,” ucap Nahij lembut kepada kedua-dua wanita itu.
Laila menjawab salam itu dalam hati. Pemergian lelaki itu dihantar oleh pandangan matanya bersama seribu persoalan di benaknya. Dirinya terbang ke alam lain tanpa sedarinya. Dia tidak tahu apa maksudnya Nahij berkata begitu kepadanya. Sayang sekali belum sempat Nahij menjelaskan kepadanya emaknya sudah mencelah.
“Tak baik pandang anak bujang orang begitu, Laila. Awak tu anak dara! Malu sikit!” tegur Makcik Halimah dari dalam apabila dilihat batang tubuh anaknya masih berada di luar sambil memandang ke arah anak teruna itu berlalu.
Laila tersentak dengan teguran lantang emaknya. Merona hangat wajahnya apabila kelakuannya diperhatikan emaknya itu. Malu tidak terkata saat dia ditegur emaknya begitu. Tanpa menunggu lagi dia terus masuk ke dalam bersama bakul kosong di tangannya.

“Ayah dah ada seorang lagi pembantu yang sudi nak tolong ayah besarkan ruang dapur ni,” ujar Pakcik Syahar lewat petang itu. Laila yang sedang menelaah buku di pangkin belakang rumahnya terus mengalihkan pandangannya kepada lelaki tua itu.
“Esok kami akan mula beli barang-barang mana yang perlu,” tambah pakcik Syahar lagi. Senyum yang sedang melata di bibirnya menandakan dia teramat gembira dengan apa yang sedang dirancangkan.
Bicara sang ayah itu membuatkan pandangan Laila melekat lama wajah lelaki itu sambil berfikir sendiri. Setahunya abang Idhan kini di Jeddah. Tidak mungkin abang sulungnya itu akan pulang membantu ayahnya dan Abang Arman untuk membesarkan ruangan dapur itu. Laila jadi pemikir seketika. Siapa orang ketiga yang ayahnya maksudkan itu?
“Nahij tu baik budaknya. Memang rajin menolong kita.” Emak Laila menyampuk saat menatang air buat ayahnya yang sedang duduk berehat di ambang pintu dapur itu.
Nahij? Laila menyebut semula nama itu dalam hatinya? Nahij sudah pulang? Nahij mahu menolong ayahnya membesarkan dapur itu? Mengapa dia tidak tahu? Ah! Hati Laila terusik lagi. Lelaki itu sekejap ada sekejap timbul. Kadang-kala datang menyapa, kadang-kala menyepikan diri apabila berada di kampung. Kalau sudah kembali ke tempatnya sudah pastilah mereka akan terputus hubungan dalam tempoh yang lama. Laila seakan mahu berputus asa untuk mengharap kepada lelaki yang jelas sekali tidak memiliki perasaan yang sama seperti dirinya. Hanya dia sahaja yang teringat-ingat selalu.
“Itulah.. bertuah Har ada anak lelaki macam dia. Boleh diharap.” Pakcik Syahar menyambut pula sambil pandangannya dilemparkan ke arah halaman rumah mereka. “Kita pun ada anak-anak yang baik. Rajin menolong kita. Alhamdulillah..” Pakcik Syahar menambah lagi bicaranya apabila terpandangkan anak lelaki keduanya itu terbongkok-bongkok sendiri merapikan bunga-bunga di laman rumah itu.
Arman juga jenis yang sering membantunya bila pulang ke kampung. Kali ini Arman bercuti lama sedikit jadi bolehlah dia meminta anaknya itu membantunya meluaskan ruang belakang dapur rumah mereka. Nahij juga sukarela mahu menawarkan bantuan. Ringan sedikit bebannya.
“Man tu tadi mengadu sakit kepala. Terlebih tidur agaknya. Itu yang dia buat kerja kat laman tu. Nak hilangkan lesu badan. Sekali sekala dapat tidur selesa mulalah susah nak bangun. Itu yang awak ke kebun dia masih di katil.” Makcik Halimah pula berbicara mengenai anak lelakinya itu.
“Kalau dah tahu susah nak bangun pagi kahwinlah cepat. Apa tunggu lagi? Esok dah ada anak isteri susahlah nak bangun lambat lagi. Yelah.. kalau dah ada anak nanti manalah dapat nak tidur lena lagi,” ujar Pakcik Syahar sambil menoleh seketika kepada isterinya itu. Dia tersenyum sendiri mengenakan apa yang dibicarakannya.
Makcik Halimah mencebik seketika. “Dia kalau disebut suruh kahwin mulalah angkat kaki. Malas nak dengar. Entah-entah antara dia dengan Laila, Laila kahwin dulu..” ucap Makcik Halimah pula sambil mengerling anak perempuannya yang sedang ralik memandang buku di atas pangkin itu.
Laila yang sedari tadi menelinga sahaja perbualan kedua orang tuanya lantas mengangkat pandangan kepada emaknya. Dia lihat ayahnya sedang berbalas senyum dengan emaknya. Senyum yang terkandung makna.
“Mak cakap apa ni?” soal Laila pantas. Tidak puas hati apabila namanya pula yang dikaitkan dalam soal itu sedangkan tidak terlintas langsung di fikirannya untuk berfikir soal kahwin buat masa ini.
“Hmm.. kalau sebut soal kahwin dengar aja dia. Tengah baca buku ke berangankan seseorang?” sindir makcik Halimah sinis. Sengaja mahu mengusik anak daranya itu. Dalam diam dia tahu Laila ada menyimpan rahsia darinya. Pastinya tentang Nahij. Walaupun Laila tidak pernah berkata kepadanya namun matanya dapat meneka maksud pandangan anak gadisnya itu kepada Nahij.
“Mak ni.. Laila tengah baca bukulah. Dah Laila dengar mak sebut nama Laila, Laila tanyalah. Nak berangan apanya?” tukas Laila tidak senang. Malu dia dengan usikan emaknya yang tidak pernah habis itu. Ketara benarkah perasaannya kepada Nahij sehingga emaknya dapat memerlinya begitu.
“Hmm.. baca buku tu baik-baik. Kalau tak lulus STPM tu nanti, tahulah mak nak suruh siapa yang masuk meminang Laila nanti,” ujar Makcik Halimah sekali dengan kerlingan penuh makna. Sekali lagi dia berpandangan dengan suaminya. Kali ini Pakcik Syahar sudah tersenyum lebar. Macam tahu sesuatu namun dia hanya diam sahaja enggan memberi komen. Soal cinta muda mudi dia malas mahu masuk campur. Biarlah..
“Mak cakap pasal siapa ni?”
“Adalah. Nak mak sebut nama orangnya depan ayah ke?” usik Makcik Halimah penuh makna.
Laila terus diam tidak berani mahu bertanya lagi. Bimbang jika dia bertanya nanti rahsia hatinya segera dibongkar emaknya. Jika nama Nahij yang disebut oleh emaknya tidak tahu di mana mahu dia menyorokkan wajahnya ini. Sementelah dia tahu reaksi dirinya sedang berada dalam perhatian ayahnya itu. Buku di tangannya kembali dipandang Laila. Pura-pura menelaah sedangkan tumpuannya sudah tidak lagi ke situ. Sebaliknya seraut wajah lelaki itu mula menabiri ruang ingatannya. Rindu benar dia mahu menatap wajah lelaki itu. Tetapi berertikah rindunya ini? Sebelum ini lelaki itu hanya datang ke rumah apabila abang Armannya pulang. Itu pun Nahij sering datang ketika dia ke sekolah. Entah kenapa Laila merasakan Nahij seakan-akan sengaja mengelak untuk bertemu dengannya. Atau sebenarnya dirinya tidak pernah mempunyai kepentingan kepada lelaki itu.
Sedang pada itu Arman tiba-tiba datang lalu duduk berkongsi pangkin yang sama dengan Laila. Laila sempat menoleh kepada abangnya itu. Berpeluh-peluh Arman dilihatnya.
“Laila, buatkan abang air..” pinta Arman lembut.
“Air apa?”
“Apa-apalah..”
Laila lantas akur dengan permintaan abangnya itu. Bukunya ditinggalkan seketika di bangku itu. Di dapur dia membancuh nescafe o kegemaran abangnya. Namun dalam pada dia merapikan tempat dia melakukan kerjanya sebentar tadi emaknya meminta dia membuatkan lagi secawan air. Tanpa bertanya Laila segera akur. Tidak sampai lima minit kemudian dia sudah menatang dua mug air nescafe itu untuk dibawa keluar. Namun ketika dia mendekati pintu dapur dia terdengar suara orang rancak berbual. Emak dan ayahnya juga sudah berpindah duduk di pangkin itu. Di ambang pintu dapur itu barulah Laila perasan rupanya mereka ada tetamu.
Langkah Laila terhenti di situ. Entah kenapa tiba-tiba dia berasa berat hati untuk mendekati pangkin itu semula. Lelaki yang sedang duduk berbual dengan abang dan orang tuanya itu membuatkan hatinya mula berkocak hebat.
“Laila, mana airnya?” Makcik Halimah lantas menyoal apabila ternampak Laila yang sedang berdiri di pintu dapur.
“Ni ha..” ujar Laila sambil mengunjukkan dulang di tangannya agar emaknya datang mengambilnya. Malu dia mahu berhadapan dengan lelaki itu. Bimbang rindu yang tersimpan mudah terbarai di hadapan lelaki itu.
Makcik Halimah segera bangun. Dulang di tangan Laila diambilnya. “Laila nak kemana?” soalnya apabila dilihatnya anak daranya itu mula berundur masuk semula ke dalam rumah.
“Masuk dalam..” jawab Laila ringkas sahaja.
“Kan abang Nahij ada tu. Tak baik biarkan tetamu kat luar ni.”
“Takpelah, mak. Laila nak study kat dalam. Kalau ramai orang nanti Laila tak boleh nak concentrate.” Laila segera beralasan kerana mahu mengelak dari bertentang mata dengan Nahij. Jika lelaki itu tidak sudi untuk bertemunya untuk apa dia tersua-sua? Cukuplah dia ternanti-nanti selama ini. Nahij hanya biasa sahaja dengannya. Hanya dia sahaja yang mengharap semenjak dirinya dihantui oleh perbualannya bersama Nahij dahulu.
“Yelah..” Makcik Halimah akur sahaja enggan memaksa Laila. Lagipun Laila perempuan dan Nahij lelaki. Jika terlalu rapat nanti tidak manis dilihat orang. Mudah sahaja orang mencipta anggapan yang bukan-bukan tentang keluarga mereka.
Laila terus naik ke atas rumah rumah. Namun biarpun dia berhasrat mahu mengulangkaji pelajaran namun perhatiannya tidak sepenuhnya kepada buku pelajarannya itu. Wajah Nahij yang sempat dilihatnya seketika tadi terus mengitari ruang fikirannya. Entah kenapa sukar benar dia melupakan lelaki itu. Perasaannya kepada Nahij masih sama semenjak dahulu, malahan semakin hebat setiap kali bertemu. Sekian lama tidak ketemu dia akui dia teramat rindu untuk memandang lelaki itu lagi. Tetapi sebenarnya memendam rasa seperti ini dia amat tersiksa. Mahu meluahkan sudah tentulah dia malu. Buatnya ditolak Nahij dia juga yang malu. Entahkan selama ini Nahij hanya menganggap dia seperti adik sahaja. Entahkan hanya dia yang perasan!
“Abang, kenapa Laila selalu berperasaan macam ni pada abang? Kenapa Laila mesti ingat pada abang sepanjang masa!” keluh Laila sendiri. Resah dengan perasaan yang kian menghantui dirinya.
“Abang Nahij, Laila sayangkan abang..” keluhnya sendiri. Seorang diri memang tiada rasa malunya. Lain cerita jika berhadapan dengan Nahij. Mati hidup semula dia tidak akan meluahkan jika Nahij masih juga begitu. Sekejap hilang sekejap timbul!
Lewat petang itu selepas kepulangan Nahij, Laila segera kembali ke pangkin itu untuk mencari buku pelajarannya yang tertinggal di pangkin tadi. Namun tiada kelibat buku itu di situ. Puas ditanyakan kepada seluruh isi rumah tentang kehilangan buku itu namun seorang pun tidak tahu menahu tentang buku itu. Malahan mereka langsung tidak nampak kelibat sebarang buku di pangkin itu ketika berbual dengan Nahij sebelum ini.
Laila jadi pelik mengenangkan itu. Seingatnya dia memang meninggalkan buku Perdagangannya itu di situ sebelum membancuhkan air buat abangnya dan Nahij. Dia masih ingat dengan jelas. Namun gagal mendapatkan buku itu Laila akhirnya membiarkan sahaja. Hasratnya esok dia akan melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kehilangan buku teks pinjaman itu.

Namun pagi Isnin itu saat dia tiba di sekolah lain yang terjadi. Dia ternampak kelibat Nahij tidak jauh dari tempat ayahnya menurunkannya sebentar tadi. Lelaki itu menyorok seketika di sebalik sebatang pokok sehinggalah kelibat ayahnya berlalu bersama dengan kereta Proton Saganya. Setelah itu barulah Nahij mendekati Laila. Di tangannya ada sebuah buku yang amat dikenali oleh Laila. Buku itulah yang dicarinya semalam.
“Abang buat apa kat sini?” soal Laila pelik. Tampang lelaki itu dipandang penuh kerinduan yang tersimpan jauh di lubuk hatinya namun sayangnya lelaki itu langsung tidak tersenyum kepadanya. Wajah Nahij serius sahaja dilihatnya. Tiba-tiba hatinya dijentik kehampaan. Semakin itu Laila merasakan perasaan ini hanya ada pada dirinya.
“Abang nak bagi buku ni pada Laila,” jawab Nahij lantas buku itu dihulurkan kepada gadis itu. Namun baru sahaja Laila mahu menyambutnya lelaki itu kembali menariknya. Seolah-olah sengaja mahu mempermainkan gadis itu.
“Kenapa semalam Laila tak keluar waktu abang datang? Abang tahu Laila sengaja menyorok dalam rumah bila nampak abang. Kenapa? Abang kecil hati tahu tak?” ucap Nahij masih lagi tanpa senyuman.
“Kenapa Laila nak kena keluar bila abang datang?” soal Laila semula.
Kali ini dia nekad dia enggan kalah lagi pada perasaannya. Lebih baik dia menghindar daripada hatinya terus dipermainkan begini. Nahij datang dengan seribu kemesraan dan seketika kemudian lelaki itu menghilang tanpa khabar berita. Kemudian buat-buat tidak tahu pula kepadanya. Malam tadi dia mendapat tahu dari Arman yang Nahij akan mula bertugas di Sarawak nanti. Mereka akan lebih terpisah jauh. Ditambah lagi dengan kehadiran gadis-gadis Sarawak yang manis, dia bukan sesiapa lagi kepada lelaki itu.
“Laila tak suka abang datang rumah Laila ke?” duga Nahij perlahan. Kelat perasaannya melihat Laila yang dingin sedingin pagi itu.
“Ada ke Laila kata macam tu? Abang datang jumpa abang Man, buat apa Laila nak menyibuk sama?” tukas Laila sedikit hambar. “Bagi balik buku tu. Laila nak guna buku tu hari ni,” ucap Laila masih kekal hambar seperti tadi.
Nahij terdiam melihat reaksi Laila. Buku itu terus dipegangnya tanpa berhasrat untuk dipulangkan kepada Laila dalam masa seminit dua itu. Wajah pujaan hatinya itu dipandang dengan seribu rasa terkilan apabila Laila sengaja memandang ke arah lain, enggan memandangnya.
“Abang, Laila nak buku tu! Laila dah lambatlah! Jangan main-main boleh tak?” Laila mula membentak geram apabila Nahij sengaja mahu membuang masanya di luar pagar sekolah. Wajah sang lelaki yang sering membuat dia kerinduan enggan ditatap lebih lagi sebaliknya dia hanya mahukan buku itu dan segera menjauhi lelaki itu. Dia sudah tidak sanggup lagi membiarkan hatinya bergolak sendiri memikirkan tentang Nahij. Kerana dia sudah tahu dia bukanlah sesiapa kepada Nahij.
“Kenapa Laila macam ni? Laila dah banyak berubah sekarang,” keluh Nahij kian kehampaan. Sikap Laila saat ini langsung tidak pernah berada dalam fikirannya selama ini. Setahunya Laila seorang gadis yang lembut.
“Abang tahu ke Laila ni macamana sebenarnya? Kita bukannya kenal sangat pun selama ni.” Laila menjawab agak sinis. Wajah masam kelatnya dipalingkan ke arah lain biarpun bibirnya mengomel kepada lelaki itu.
“Laila, kenapa Laila layan abang macam ni?” nada Nahij jelas sekali sudah berubah. Dia benar-benar tertekan dan kecewa dengan layanan Laila kepadanya. Laila tidak lagi seperti selalunya yang dikenalinya. Selama ini Laila tidak pernah sekasar ini kepadanya.
“Layan abang macamana? Laila biasa aja. Laila ada sakitkan hati abang ke?”
“Laila dah tak sama macam dulu lagi. Abang ni dah macam orang asing. Apa salah abang pada Laila?” soal Nahij masih dibaluti kecewa. Harapannya untuk membina kemesraan dengan gadis pujaan hatinya berkecai kini.
“Abang nak apa sebenarnya dari Laila ni? Siapa sebenarnya Laila ni pada abang?” tukas Laila enggan terus bertingkah kata dengan Nahij. Teka teki yang diberikan Nahij lebih setahun dulu amat-amat menyesakkan fikirannya. Dia sudah tidak mampu berfikir sendiri lagi. Dia sudah penat menunggu Nahij datang untuk merungkaikannya. Saat ini dia hanya mahu Nahij berterus terang.
Nahij mengeluh seketika bagi meredakan perasaan yang kian mengasak diri. Dia tahu dia tidak seharusnya mendesak Laila dalam keadaan begini. Masanya tidak sesuai.
“Takpelah. Ambillah buku ni. Ada masa nanti kita berbual lagi. Pergilah masuk kelas. Nanti lambat Laila kena marah dengan cikgu pulak,” ucap Nahij perlahan sambil menghulurkan buku di tangannya itu kepada Laila.
Lambat-lambat Laila menyambutnya. Soalan yang mudah ditanyakan kepada Nahij sebentar tadi tetap tidak mampu dijawab Nahij. Saat ini kehampaannya mungkin sudah setepu garam di lautan.
“Laila rasa lebih baik kita tak payah bercakap lagi. Selama ni abang bukannya pedulikan Laila pun! Laila dah malas nak layan semua ni! Buang masa aja!” tukas Laila sebal. Tanpa menunggu sesaat pun dia terus meninggalkan Nahij keseorangan di situ.
Biarlah.. biarlah apa pun anggapan Nahij kepadanya selepas ini. Cukuplah hanya dia yang menanggung siksa perasaan itu selama ini. Dia benar-benar tidak ingin terus dipermainkan lagi! Cukuplah!

Paling menyedihkan apabila diri tidak dipedulikan oleh orang yang diharapkan. Itulah yang berlaku kepada Laila. Setiap hari Nahij berada di hadapan matanya namun lelaki itu langsung tidak menyapanya. Hanya sibuk membantu ayahnya menyiapkan kerja-kerja membesarkan bahagian dapur rumah itu. Apabila Arman sudah habis bercuti tinggal dia sahaja yang membantu Pakcik Syahar membina ruangan kecil berhampiran dengan dapur itu. Laila seolah tidak wujud di hadapannya biarpun saban hari mereka ada bertemu muka selepas Laila pulang dari sekolah.
Semakin hari semakin sakit jiwa Laila memandang lelaki itu. Dia tidak sangka Nahij benar-benar mengotakan apa yang dimintanya sebelum ini. Lelaki itu benar-benar tidak lagi bercakap dengannya walaupun sepatah. Semakin itu Laila tidak tertahan dengan sikap acuh tidak acuh Nahij kepadanya. Batinnya terus tersiksa menahan rasa sedangkan sang lelaki hanya membisu sepanjang masa.
“Laila, apa termenung lagi tu? Pergilah bawa nasi tu ke pangkin sana. Abang Nahij tu dah lapar agaknya.” Makcik Halimah menegur lembut.
Laila terkejut dengan teguran emaknya itu. Dia menoleh sekilas kepada makcik Halimah yang berada agak jauh darinya sebelum akur. Mangkuk yang sudah berisi nasi putih itu dibawa keluar. Nahij di pangkin hanya berseorangan kerana ayahnya terpaksa ke pekan sebentar untuk membeli beberapa beg simen yang masih tidak mencukupi. Lelaki itu kelihatan sudah bersedia untuk menjamah makan tengahari di tempat kebiasaannya dia merehatkan diri setelah penat berkerja.
Nahij sempat memandang wajah Laila saat Laila meletakkan mangkuk nasi itu berdekatan dengannya. Menyedari dirinya sedang direnung Laila mengalihkan fokusnya. Buat seketika mereka berpandangan namun Laila terus membisu tanpa senyuman mahu pun sedikit kemesraan. Beberapa saat kemudian Laila sudah berpaling dari situ.
“Laila..” panggil Nahij pantas.
Laila tidak menyahut sebaliknya dia hanya memandang lelaki itu.
“Kenapa Laila marahkan abang sampai macam ni sekali? Kalau abang ada buat salah abang minta maaf,” ucap Nahij lembut sahaja.
“Abang takde buat salah. Takde apa yang nak dimaafkan..” balas Laila agak hambar. Namun kehampaannya terus ada. Bukan maaf yang dia inginkan tetapi perhatian dan kasih sayang lelaki itu.
“Laila, jangan berdiam diri macam ni. Abang balik sini pun sebab Laila.”
Laila terkelu seketika mendengar kata-kata Nahij itu. Nahij pulang kerananya? Ah! Lelaki ini memang bijak membuai perasaannya. Nanti apabila dia sudah dilambung gelora asmara Nahij akan membiarkan dia terkapai-kapai seperti dahulu.
“Kenapa pulak sebab Laila?” soal Laila selamba seolah-olah ucapan itu tidak bermakna sedikit pun kepadanya.
Nahij terdiam. Buat seketika dia menghela nafas perlahan. Ada sesuatu yang mahu dibicarakan namun payah sekali. Reaksi Laila sebegini, adakah pantas dia meluahkan perasaannya? Buatnya Laila menolak, tidakkah dia malu nanti? Lebih teruk lagi jika Laila mengejeknya pula. Ah! Sukar betul untuk dia mendapatkan gadis ini. Laila pula masih di bangku sekolah. Apa penerimaan orang tua Laila jika dia memikat anak gadis Pakcik Syahar dan makcik Halimah itu?
“Laila dah makan?” Nahij lantas mengelak lagi seperti sebelum ini.
Laila menggeleng perlahan melihat tingkah Nahij. Kesal! Benar telahannya sebelum ini. Nahij hanya mahu mempermainkan perasaannya. Tidak lebih dari itu! Kini apabila dia bertanyakan kepastian lelaki itu mengelak lagi. Dia sudah jelak dilayan seperti ini.
“Abang sebenarnya cuma nak main-mainkan Lailakan?”
“Apa Laila cakap ni?” tukas Nahij sedikit terkejut mendengar tuduhan itu.
“Kenapa abang datang sini? Untuk jumpa Laila? Kalau betul abang datang sebab nak jumpa Laila kenapa abang datang waktu Laila takde?” soal Laila bertalu-talu. Sakit hatinya sudah tidak mampu ditahan lagi saat ini.
Nahij terdiam memandang pujaan hatinya itu. Wajah Laila sedikit merah mungkin sedang marah kepadanya.
“Abang tanya Laila kenapa sebelum ini? Seharusnya soalan itu yang Laila tanyakan pada abang! Abang datang pada Laila dengan sikap aneh abang. Buat-buat baik dengan Laila tapi lepas tu biarkan Laila macam tu aja. Abang ingat Laila ni apa?” soal Laila agak meninggi. Kelakuan Nahij benar-benar membuatkan dia hilang sabar.
“Laila, apa bising-bising tu?” pertanyaan dari ambang dapur itu membuatkan Laila segera berpaling. Tanpa kata lagi dia terus meninggalkan Nahij dengan wajah mencuka. Sakit hatinya kepada Nahij kian meruap-ruap. Makcik Halimah yang melihat kelakuan anak daranya mula diserang rasa hairan. 
“Laila bergaduh dengan Nahij ke?” sempat juga makcik Halimah bertanya kepada Laila saat anak gadisnya itu melintasinya di pintu dapur itu.
“Mak tanyalah dia!” degus Laila kasar.
Makcik Halimah menggeleng perlahan melihat aksi dua anak muda itu. “Belum kahwin lagi dah bergaduh. Esok dah kahwin entah macamanalah.” Makcik Halimah sengaja mengomel kuat. Biar kedua-dua manusia itu mendengar tegurannya.
Nahij segera memandang ke arah emak Laila. bicara emak Laila membuatkan dadanya bergetar hebat.
Laila pula? “Mak tak payahlah nak mengarut. Siapalah yang nakkan Laila ni? Nanti kata dek orang hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Alah! Pinggan tak retak nasi tak dingin. Orang tu tak nak Laila seribu kali tak ingin! Bukan dia aja lelaki dalam dunia ni!” ucap Laila sedikit lantang dari hujung dapur itu kepada emaknya yang masih berdiri di ambang pintu dapur.
“Tak baik Laila cakap macam tu. Dengar dek Abang Nahij tukan tak elok?” tegur Makcik Halimah kepada anaknya itu.
“Biarlah..” degus Laila sebelum akhirnya dia membawa dirinya naik ke atas. Hanya satu yang diperlukannya saat ini. Meredakan hatinya yang panas! Di dalam bilik dia berkurung. Biarpun agak panas namun dia tidak peduli! Itu lebih baik dari memandang wajah lugu Nahij.
Buat-buat tidak tahu konon! Gerutu hatinya geram. Ah! Kenapa susah benar untuk dia mengawal perasaannya? Mengapa? Mengapa biar selama mana pun Nahij pergi.. tanpa khabar berita untuknya melepaskan rindu tetapi perasaan itu masih tetap ada untuk Nahij? Mengapa kasih di hatinya tidak pernah tawar sedikit pun?
Kekecewaan Laila rupanya tidak menyurut semenjak itu. Lebih merana lagi apabila dia mendapat tahu dari orang lain yang Nahij sudah terbang ke Miri untuk memulakan tugasnya di sana beberapa hari kemudian. Terkilan benar dia kerana lelaki itu pergi begitu saja. Tiada ucapan selamat tinggal untuk dirinya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa murahnya air mata Laila kala itu. Betapa kala itu hatinya amat terluka dengan perbuatan Nahij kepadanya.
Namun rupanya kesengsaraan itu tidaklah bersifat selamanya. Ketika dia sedang menuntut di Universiti Malaya Nahij, tiba-tiba pulang semula ke kampung setelah hampir dua tahun mereka tidak bertemu. Lelaki itu menyediakan kejutan yang paling indah untuk dirinya. Betapa saat itu dia terlalu bahagia dilambung ombak cinta. Selepas dua bulan dia dipinang oleh Nahij mereka akhirnya bernikah dengan restu kedua-dua belah keluarga. Tetapi sayang seribu kali sayang. Kehadiran Nahij sebagai suaminya sebenarnya adalah dugaan yang amat hebat buat dirinya. Akhirnya tanpa sebarang petanda dia ditinggalkan selama-lamanya oleh lelaki itu bersama duka nestapa.
Bagi diri Laila.. cintanya tidak mungkin akan terpadam biar sejauh mana Nahijnya pergi dahulu. Tetapi kini keadaan sudah tidak sama lagi. Nahij sudah kembali ke tempat asalnya. Jadi untuk apa dia menyimpan rindu dendam kepada lelaki itu lagi? Tetapi biar apa pun kenyataannya, hatinya ini terlalu degil untuk mengerti. Biar masa terus berlalu lelaki itu tetap setia dikenangannya.
Laila sendiri tidak tahu sampai bila dia harus begini. Dia tidak pasti sampai bila hidupnya akan terus berteman air mata dan bersulam kedukaan. Apa yang dia tahu rindu di jiwanya ini bagaikan tidak terluah lagi. Terlalu menyiksakan. Jiwanya meronta dalam diam setiap saat memanggil lelaki itu. Pujukan demi pujukan oleh ahli keluarganya tidak mampu untuk melenyapkan barang sedikitpun kesengsaraan jiwanya ini. Terlalu berat dugaan ini. Tetapi sebagai hamba Allah dia akhirnya berserah diri kepada Yang Esa apabila kesakitan yang ada sudah tidak tertanggung lagi untuknya. Biarlah Dia yang memberikan penawarnya..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan