Jumaat, 30 Ogos 2013

25-26 MSM

25

Pertengkaran di dalam kereta tempohari berlarutan panjang. Seperti yang sudah dijangka Laila pastinya akan meminggirkan diri. Pulang sahaja dari kerja dia akan memerap di bilik. Makan minum dan segala perihal Lukman langsung tidak diambil tahu.
Begitu keras pendirian Laila, Lukman sekadar mampu memujuk dirinya agar terus bersabar dalam menangani situasi seperti ini. Jika dia lemah atau cepat marah pasti keadaan mereka akan lebih buruk. Bak kata Nizam dahulu dia harus bijak mengambil hati Laila.
Petang itu setelah selesai waktu pejabat, Lukman singgah seketika di tempat kerja kakaknya. Terkejut juga Syahreena melihat kemunculan Lukman di tempat kerjanya. Semenjak Lukman berkahwin inilah kali pertama dia dapat bersua muka dengan adiknya itu. Nasiblah dia tidak sibuk waktu ini.
“Apa mimpi datang sini?” soal Syahreena ceria.
“Saja. Dah lama tak jumpa, kak Reen. Mama apa khabar?” soal Lukman lembut.
“Kenapa mesti risik pasal mama dari akak? Kenapa Luk tak balik sendiri tengok keadaan mama?” balas Syahreena juga dengan soalan. Tampang adiknya itu dipandang lama. Ada rasa kasihan mengenangkan Lukman.
Lukman sekadar mendiamkan diri tanpa terus memberikan jawapan. Bukannya dia tidak mahu balik tetapi dia belum bersedia. Dia cukup sedar bukan semua orang mampu menerima baik kehadirannya seperti mana Nizam dan Syahreena.
“So macamana kehidupan Luk sekarang semenjak bergelar suami? Happy tak?” Syahreena akhirnya mengalihkan topik apabila di matanya melihat ada sedikit kesedihan menyapu wajah Lukman.
“Macam tulah! Takde apa yang berubah pun. Sama aja macam masa bujang dulu,” keluh Lukman perlahan. Kecewa, luka dan rindu berbaur rata saat dia mengenangkan isterinya itu. Bahagia yang diharap masih jauh untuk digapai sedangkan hatinya kerap merintih memerlukan wanita itu.
“Kenapa macam tu pulak? Kamu berdua ada masalah ke?”
“Entahlah, Kak Reen. Luk ni bukannya tahu sangat cara nak ambil hati orang perempuan. Nak-nak lagi yang tengah mengandung ni. Sepanjang masa berangin satu badan. Nak kata pembawakan budak pun ya jugak. Nak kata memang benci sangat-sangat pun boleh jadi jugak. Semuanya ada. Tak boleh disentuh sikit. Asyik nak marah aja. Bila gaduh aja mulalah asyik cakap pasal cerai. Nak pujuk macamana lagipun Luk dah tak tahu,” luah Lukman sedikit rendah nadanya.
Syahreena tersenyum melihat tingkah Lukman. Bukannya dia mahu mentertawakan Lukman tetapi sebenarnya dia bersyukur melihat sikap Lukman kini. Keluhan Lukman itu bermakna Lukman ada mencuba untuk menerima perkahwinan ini. Bermakna Lukman sudah berusaha untuk bertanggungjawab kepada Laila dan bayi yang dikandungkannya.
Alhamdulillah.. ucap hati Syahreena penuh kesyukuran. Cuma masalahnya sekarang mungkin Laila yang masih belum boleh memaafkan segala perbuatan Lukman dulu. Itu yang mampu ditafsir Syahreena.
“Laila sihat ke? Dia ada alahan tak?” tanya Syahreena lembut.
“Dia sihat tapi alahannya memang teruk. Balik kerja dia dah tak larat nak buat apa dah. Tidur ajalah. Waktu awal-awal mengandung hari tu lagi teruk. Sampai tak boleh makan langsung. Asyik terbaring atas katil aja kerjanya. Kasihan jugak bila tengokkan keadaan dia tu. Tapi nak buat macamana. Bukannya Luk boleh tolong,” cerita Lukman.
“Orang mengandung ni memang itulah ragamnya, Luk. Kesakitan yang ditanggung Laila tu menyebabkan mood dia berubah-ubah. Bila badan sakit senanglah nak naik angin sana sini. Sebab tu ada orang kata buat anak ni memang senang tapi nak jaga tu yang susah. Daripada mula mengandung sampailah nak membesarkan anak. Itu belum masuk cerita lagi waktu kat bilik bersalin nanti. Bukannya senang semua tu, Luk. Selalunya yang tak senang tu orang perempuanlah! Orang lelaki ni kena sabar dan faham dengan perangai orang perempuan waktu tengah macam ni. Tapi orang perempuan ni macam-macam yang dia alami. Kalau bagi orang lelaki rasa pengalaman tu, tak tahulah berapa ramai anak diorang sanggup keluarkan,” balas Syahreena bersahaja. Dia mahu adiknya sedar akan hakikat itu. Tidak sekadar menyalahkan Laila dalam semua hal.
“Luk tahu tu, Kak Reen.” Rendah sahaja suara Lukman memberi respon kepada nasihat Syahreena.
“Kak Reen faham apa yang Luk rasa. Kadang-kadang suami cepat merasa terabai waktu isteri dalam keadaan macam ni. Kehendak isteri sahaja yang nak diutamakan sedangkan suami juga ada keinginan. Tapi apa yang Kak Reen nak Luk faham, apa yang dia alami saat-saat macam ni hanya dia sahaja yang tahu, Luk. Sebab tu Kak Reen nak Luk bersabar. Bertolak ansurlah dengan dia. Kalau keadaan ni mudah untuk dia, takkan dia nak jadi macam tu. Masing-masing kena berkorban sikit. Luk kena korbankan perasaan dan keinginan sebagai suami untuk sementara waktu ni. Kadang-kadang perempuan ni tak mampu tunaikan semua tanggungjawab dalam masa yang sama. Sebagai suami sekadar faham dan sabar dengan keadaan isteri itu aja dah cukup. Tapi kalau sanggup nak berbuat lebih dari itu untuk meringankan beban isteri itu lebih bagus,” nasihat Syahreena lagi.
Lukman mengangguk perlahan, akur dengan kata-kata Syahreena. Itulah yang sedang dipertaruhkan saat ini. Jika dia tidak faham atau bersabar entahkan lagi teruk keadaan hubungan mereka.
“Orang perempuan ni hatinya tak sekeras mana, Luk. Kalau kena cara memujuknya insya-Allah apa yang Luk harapkan akan jadi kenyataan. Kak Reen tahu Luk dah sayangkan Lailakan? Yalah, suami mana yang yang tak sayangkan isteri, ya tak? Cuma mungkin kamu berdua kurang sefahaman. Hati tak sekata.”
“Mana Kak Reen tahu?” soal Lukman sedikit hairan. Seolah-olah kakaknya itu sudah dapat membaca keadaan sebenar hubungan mereka. Cara Syahreena bercakap seperti dia sudah ada pengalaman berumahtangga.
Fisrtly waktu kamu berdua bernikah dulu Kak Reen tengok cara Luk pandang dia, Kak Reen dah dapat agak dah. Alah! Potong jarilah tak sayang kalau dapat isteri cantik macam tu, ya tak? Hari-hari pandang, lama-lama berkenanlah!” usik Syahreena lantas tergelak kecil.
Tanpa dapat ditahan Lukman juga ikut ketawa. Namun tawanya memudar mengenangkan sikap Laila semenjak kebelakangan ini. Terlalu sukar untuk didekati. Terlalu susah untuk difahami. Itulah Laila!
“Luk sayang dia tapi dia bencikan Luk. Asyik ungkit kesalahan Luk pada dia. Luk tertekan dengan keadaan ni, Kak Reen. Nak ajak berbaik aja pun susah. Luk dah tak tahu nak buat apa sekarang. Semenjak dia dah mula kerja semula ni, susah Luk nak jumpa dia. Dia asyik mengelak aja,” keluh Lukman dalam pada dia tunduk merenung meja di hadapannya itu. Sebagai suami dia merasa benar-benar terabai dan kesunyian apabila tidak dapat mendekati isterinya sendiri.
“Kak Reen faham sangat, Luk. Tapi Kak Reen nak Luk sedar sesuatu. Cinta ni takkan datang macam tu aja dan takkan kekal macam tu aja. Kata orang kalau tak kenal maka tak cinta. Macam tu jugalah dengan Laila. Semua benda atas dunia ni, kita kena usahakan barulah Allah akan beri. Buat masa ni Luk cuma perlu bagi dia kenal sikap Luk yang sebenarnya. Tunjukkan sikap yang baik. Biar dia lihat keikhlasan Luk dalam menjaga kebajikan dia. Selagi Luk berdiam diri selagi itu dia akan terus menganggap yang Luk ni tak pernah berubah dan tak layak untuk mengangkat tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Disamping tu jangan lupa berdoa minta Allah lembutkan hati dia pada Luk. Kak Reen percaya Luk tak sejahat yang disangkakan. Dekatkan dia dengan keluarga kita. Supaya dia rasa kedudukan dia di sisi Luk lebih kukuh berbanding sebelum ni. Kalau Luk nampak dalam diri dia ada api kebencian Luk kena bersedia untuk menjadi air. Insya-Allah, kalau Luk sabar semuanya akan baik-baik aja nanti. Yakin dengan Allah. Setiap kebaikan yang kita usahakan Allah akan membantu mempermudahkannya,” tambah Syahreena lagi.
“Soal yang lain tu bagi Luk tak jadi masalah. Tapi pasal famili kita ni Luk berat sikit. Luk bukannya tak mahu bawa dia jumpa mama, kak. Tapi Luk bimbang penerimaan mama dengan ayah. Kalau ada sesuatu yang tak baik berlaku waktu di rumah kita nanti tak mustahil dia akan semakin benci pada Luk. Dia akan semakin salahkan Luk. Luk tak sanggup memandang kebencian dia tu lagi, Kak Reen. Luk dah cukup kecewa dengan apa yang berlaku sekarang ni,” ucap Lukman pula.
“Macam yang Kak Reen katakan tadi semua ni memang bukan mudah, Luk. Tapi kalau membiarkan begitu sahaja pun tak boleh. Keadaan akan jadi lebih rumit. Marah mama tu takkan lama, Luk. Mana ada emak yang sanggup membuang anaknya. Tapi sebagai anak kita jugak kena banyak mengalah kepada orang tua. Lebih-lebih lagi bila kita dah buat salah. Hanya Luk yang boleh betulkan keadaan ni. Bukannya orang lain. Hanya Luk yang boleh mengembalikan kepercayaan mama dan ayah pada Luk. Semua orang berhak mendapat peluang kedua, Luk. Tapi bila dah diberikan peluang kedua kita kena gunakan sebaik-baiknya. Jangan buat salah lagi,” ulas Syahreena tenang sahaja.
Lukman terdiam sambil memikirkan kebenaran yang diucapkan Syahreena. Memang benar itu semua namun dia yang tidak punya keberanian untuk mengubahnya. Dirinya tidak cukup kuat untuk menahan kesusahan yang mendatang.
Lukman menghela nafas perlahan. Keinginan dan perasaan Laila amat susah untuk dimengertikannya. Seribu kebaikan yang dihulur tiada satu pun dapat menambat hati Laila. Dia terlalu bimbang untuk mengheret Laila bersama dalam masalah hubungannya dengan kedua ibu dan ayahnya pula.
“Luk nak Kak Reen bercakap dengan dia?”
“Eh! Jangan, kak Reen. Dia tu susah nak jangka. Kadang-kadang lembut. Kadang-kadang sampai anginnya tu asyik nak marah aja. Biarlah Luk selesaikan sendiri masalah ni. Luk rasa masalah ni masih boleh ditangani,” tegah Lukman pantas. Dia bimbang campur tangan Syahreena dalam keadaan Laila begini akan membuatkan keadaan akan lebih teruk lagi.
“Sebenarnya waktu macam nilah paling sesuai untuk Luk ambil hati dia. Setiap isteri pasti mahu suami mengambil berat segala kesusahannya waktu-waktu dia tengah mengandung macam ni. Gunakan peluang ni sebaiknya. Bukannya susah sangat, cuma temankan dia pergi check-up selalu, bantu buat kerja rumah sikit-sikit atau belikanlah makanan yang dia suka makan. Itu dah memadai! Selebihnya perlahan-lahanlah. Lama-lama dia perasanlah yang Luk ni sayang kat dia,” ucap Syahreena sambil tersenyum memandang tampang Lukman.
Serta merta Lukman tersenyum mendengar idea Syahreena itu. Temankan Laila sewaktu pemeriksaan kandungan, itu sudah dilakukannya selama ini. Membantu buat kerja rumah? Itu susah sikit sebab dia bukannya tahu semua itu. Tetapi membelikan makanan yang Laila suka makan? Ya tak ya juga! Kenapalah dia tidak terfikir tentang itu selama ini? Nampaknya dia harus bermula dengan itu!
“Luk ni bukannya pandai sangat ambil hati perempuan, Kak Reen.” Akui Lukman jujur.
Syahreena ketawa perlahan. “Yalah.. playboy pun ada kelemahan jugakkan? Bukan semua hal perempuan dia tahu walaupun berlagak macam dah tahu sangat. Bila kena marah dengan bini, mulalah pening tak tahu nak pujuk,” perli Syahreena selamba sehingga wajah Lukman berubah tersipu-sipu menerima kutukan itu. Lega juga hati Syahreena kerana Lukman dilihatnya mahu mengambil serius apa yang disarankannya.
Seketika kemudian Syahreena menyambung bicaranya lagi. “Kadang-kadang perempuan ni tak perlu dimanjakan dengan hal yang besar-besar, Luk. Cukup dengan ambil tahu tentang hal yang remeh-temeh. Belikan kereta besar, rumah mewah, bagi duit berguni-guni pun tak guna kalau hati isteri tak tahu nak jaga. Ada segala bentuk material pun kalau sering diabaikan perempuan akan merasa lebih tersiksa. Perempuan ni suka lelaki yang bersifat perihatin. Walaupun dalam hal yang remeh. Kerana dari sifat itulah wanita memandang seorang lelaki tu sebagai lelaki yang boleh diharapkan. Lepas tu sendiri mahu ingatlah!” 

Hari itu sebelum pulang ke rumah Lukman singgah seketika di kedai kek. Teringat dia seminggu dua ini Laila sudah mula gemar makan makanan yang manis pula. Selalunya ada sahaja kek atau roti yang dibelinya selepas kerja untuk dibawa pulang ke rumah.
Setelah hampir lima belas minit memilih Lukman akhirnya memilih tiga potong kek berlainan rasa. Selesai membungkus makanan buat dirinya Lukman terus memandu pulang. Dalam pada itu dia masih berkira-kira sendiri. Harap-harap Laila sudi menerima pemberiannya.
Sepanjang masa pulang ke rumah itu bibir Lukman tidak berhenti tersenyum. Wajah manis itu terus terbayang di ruang matanya.  Berbekalkan nasihat Syahreena sebentar tadi Lukman yakin dia mampu melembutkan hati Laila sekiranya dia bijak membaca kemahuan isterinya itu.
Setiba di rumah Lukman terlihat kasut Laila sudah berada di kabinet kasut. Lega hatinya melihat isterinya sudah selamat tiba di rumah. Menyedari waktu solat maghrib hanya tinggal sedikit Lukman terus masuk ke bilik. Setelah selesai membersihkan diri dia terus bersolat maghrib dan isyak. Sehabis berwirid serta doanya Lukman keluar dari biliknya untuk melihat keadaan Laila.
Lukman menjengah bilik Laila yang bertutup seperti biasa. Perlahan Lukman mengetuk pintu bilik itu. Pada mulanya ketukannya tidak mendapat sebarang reaksi namun setelah berkali-kali dia mengetuk akhirnya pintu itu terbuka. Laila menjengahkan dirinya dalam marhananya. Matanya kelihatan sedikit merah seperti orang baru bangun tidur.
Sorry, tengah solat ke tadi?” tanya Lukman lembut.
“Saya tertidur. Ada apa?”
“Aku nak ajak kau makan sekali dengan aku.”
“Saya nak solat dulu,” ucap Laila agak hambar sambil dia terus masuk semula ke dalam. Namun pintu itu dibiarkan sahaja terbuka.
Dari pintu itu Lukman memerhatikan Laila di dalam. Laila menanggalkan marhananya untuk mengambil wuduk semula. Melihat itu Lukman terus berlalu dari situ. Sementara menanti Laila siap bersolat Lukman menonton tv.
Namun baru sahaja dia mahu melabuhkan punggungnya di sofa telefon bimbitnya berbunyi dari dalam bilik. Pantas Lukman pergi mendapatkannya. Sangkanya pasti ada yang penting tetapi nama Mastura tertera di skrin itu.
Buat seketika Lukman tidak mengerti apa yang dimahukan Mastura darinya. Sudah lama mereka tidak berhubung. Biarpun tidak senang dengan panggilan itu, Lukman tetap menekan butang hijau untuk menjawab panggilan itu.
“Hello..” satu suara halus manja menyapanya
“Ada apa call I ni malam-malam ni?” tanya Lukman tidak berminat mahu berbasi basa dengan wanita itu.
“Amboi! Sombongnya bunyi? You dah tak suka nak berbual dengan I lagi ke, Luk? You dah lupakan I?” ucap Mastura selamba mengusik emosi Lukman.
“Ada apa call I ni, Mas?” soal Lukman lagi tetap enggan melayan gurau senda wanita itu. Hatinya mula dilanda rasa tidak senang kala ini. Jika Mastura menghubunginya semula pasti ada mahunya. Itu dia pasti!
“I nak jumpa you, boleh? Kita jumpa kat Hilton KL malam ni? I akan book bilik untuk kita,” pelawa Mastura dengan suara lunak menggoda.
No! I tak boleh. I tak senang sekarang.” Lukman sekadar membalas dingin. Pelawaan itu sudah cukup dimengertikannya. Malangnya dia sudah tidak berminat untuk melalui keadaan seperti itu lagi. Dia insaf!
“Kalau macam tu malam esok macamana?”
“Boyfreind you mana? Ajaklah dia! I bukannya spare part you!” tanpa sedar Lukman mendegus perlahan.
Degusan Lukman membuatkan Mastura terdiam seketika di hujung talian. Ada kelainan pada lelaki itu yang dirasakan saat ini. “Kenapa dengan you ni, Luk? You dah tak macam dulu. Selalunya you tak kisah pasal tu.” Nada Mastura mula berubah serius.
“Ya, I dah tak macam dulu. Semua tu I dah tinggalkan, Mas. I dah kahwin sekarang,” akui Lukman jujur.
“Wow!” sambut Mastura antara terkejut dan kagum mendengar pengakuan itu. Lukman sudah berkahwin? “You kahwin tak jemput I pun? Kejamnya? Siapa perempuan yang bertuah dapat menawan hati playboy macam you ni? Dulu you kata tak suka komitmen?” usik Mastura sambil ketawa perlahan.
“Mas, I tak boleh berbual sekarang. I ada kerja nak buat. Lain kali kita chat lagi, okay? Bye..” tanpa menunggu lagi Lukman segera mematikan talian. Dia tahu lebih lama dia melayan Mastura, lebih cepat dia tumbang. 
Sehabis berbicara Lukman keluar dari bilik. Bilik Laila kembali dijengahnya. Wanita itu begitu tenang sedang melipat telekungnya. Sejuk hati Lukman melihat ketenangan di wajah wanita itu.
“Makan jom?” ajak Lukman sekali lagi. Dia sebenarnya sudah lapar. Tambahan pula dia sudah tidak sabar mahu menatap seraut wajah itu. Walaupun cukup bersahaja tanpa sebarang senyuman, namun itu sudah cukup melegakan hati Lukman. Terubat sedikit hatinya yang sering didera rindu.
Laila sekadar akur tanpa kata. Terus kakinya dihalakan keluar dari bilik itu. Mereka beriringan ke meja makan.
“Penat ke?” soal Lukman saat berada di meja makan dengan Laila.
Laila sekadar mengangguk. Kek yang dibeli oleh Lukman dikuis dengan garfu lalu disuakan ke mulutnya. Dek kerana keletihan dia kurang berselera. Bukannya kek itu tidak sedap tetapi dia sebenarnya mahu tidur saat ini.
“Tak sedap ke kek tu?” soal Lukman sedikit kecewa apabila Laila kelihatan tidak berselera menikmati pemberiannya. Apa lagi yang tidak kena?
“Saya sebenarnya tak lapar sekarang. Saya mengantuk,” balas Laila sedikit rendah.
Lukman mengangguk mengerti. “Makanlah dulu sebelum tidur. Nanti masuk angin pulak perut tu,” pujuk Lukman lembut. Kasihan dia saat memandang wajah lesu tidak bermaya itu.
“Takpelah. Anak awak ni kalau dia lapar nanti tahulah dia kejutkan saya tengah malam nanti. Nanti bila dah lapar saya makanlah,” balas Laila sambil melipat semula kotak kek itu.
“Tapi nanti kalau lapar makan tau! Jangan tak makan pulak. Nanti sakit pulak macam hari tu,” ucap Lukman perlahan.
Laila sekadar mengangguk perlahan. Setelah meneguk air kosong dia terus bangun dari duduknya. Lukman ditinggalkan di situ tanpa kata. Laila terus ke biliknya. Namun baru sahaja dia mahu merebahkan dirinya ke katil pintu biliknya diketuk lagi. Dia mengeluh perlahan.
Apa lagilah yang dia nak! Degusnya dalam hati. Namun dia tetap bangun ke pintu. Penat bangun berkali-kali ke pintu untuk melayan kerenah Lukman.
“Apa?” soal Laila lemah.
“Susu ni..” Lukman menyuakan segelas susu untuk Laila.
“Boleh tak saya minum nanti?” ucap Laila dalam mata yang sudah kuyu.
“Nanti bila pulak? Minumlah, sikit pun jadilah,” pujuk Lukman mendayu lembut.
Mengenangkan susah payah lelaki itu membancuhkan susu itu Laila akhirnya menyambut juga gelas itu. Dia berjalan perlahan menuju ke katilnya.
Perlahan Lukman menolak sedikit pintu itu. Tanpa meminta izin dia terus masuk ke bilik itu. Laila dibuntutinya. Sambil menanti Laila menghabiskan susu itu dia duduk di sisi Laila. Tampang sang isteri direnung lembut.
Laila sekadar meletakkan gelas itu di atas meja lampu tidurnya setelah susu itu dihabiskannya. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu payau tekaknya ini menelan susu itu. Tetapi mengenangkan khasiat susu itu baik untuk bayinya dipaksakan juga diri menelannya.
“Sekarang baru boleh tidur,” ucap Lukman lembut.
Mengenangkan tubuhnya sudah benar-benar keletihan Laila akur sahaja dengan suruhan Lukman. Matanya bagaikan sudah tidak mampu diangkat dan batang tubuhnya sudah tidak mampu untuk ditampung. Perlahan dia terus membaringkan dirinya walaupun dia sedar Lukman masih berada di situ memerhatikannya. Entah kenapa dia hilang upaya untuk menghalang segala tindakan lelaki itu.
Keakuran Laila benar-benar menyejukkan hati Lukman. Tubuh berbalut pijama berwarna pink itu diselimutkannya. Buat seketika rambut wanita itu diusap penuh kasih.
‘Sayang abang..’ bisik hati Lukman syahdu saat menatap wajah itu. Sayangnya kian melaut saat merenung wanita itu.
Laila hanya diam menikmati sentuhan itu. Seminit kemudian matanya sudah mula memberat dan dia tidak sedar lagi. Kesempatan yang ada digunakan Lukman sebaiknya. Kening Laila dikucup halus. Berat hatinya mahu meninggalkan Laila namun mengenangkan dia tidak dipelawa untuk terus berada di situ perlahan punggung diangkat. Gelas kosong itu sempat di bawa bersamanya keluar dari bilik itu.
Tengah malam itu saat dia baru menyudahkan solat dua rakaat Lukman terdengar ada bunyi yang datang dari dapur. Tanpa sempat melipat sejadah dia terus keluar dari biliknya. Pantas matanya terlihat kelibat Laila di dapur.
“Saya laparlah!” ucap Laila tanpa disuruh setelah terpandangkan batang tubuh Lukman berdiri tidak jauh darinya. Dia mengerti maksud pandangan Lukman kepadanya. Mesti pelik melihat dia bangun tengah malam menyelongkar dapur begini.
“Mana kek tadi? Awak habiskan ke?” tanya Laila apabila kelibat kek tiada di atas meja itu. Setahunya kek itu ditinggalkan di situ. Mendung seketika wajahnya kerana saat ini rasa laparnya bagaikan sudah tidak mampu ditahan-tahan lagi.
“Dalam peti ais. Tinggal kat situ nanti semut makan,” ucap Lukman lembut. Kasihan benar dia melihat kekecewaan yang mula menghiasai wajah Laila. Tanpa disuruh dia pantas mendapatkan kek yang disimpannya tadi. Terus dibawanya kepada si isteri.
Terpaku Lukman tatkala memandang tingkah laku Laila menyuap kek itu ke dalam mulutnya. Agak gelojoh macam sudah setahun tidak makan. Habis comot mulut isterinya itu dengan krim. Namun Laila tidak peduli. Dia terus menyuap rakus seolah-olah Lukman tiada di situ.
“Lapar sangat ke?” tanya Lukman sekadar mahu mengajak Laila berbual. Seronok dia memerhatikan Laila makan. Sekejap sahaja sepotong kek itu sudah dihabiskannya. Kemudian dibuka lagi satu bungkusan kek itu. Lapar benar nampaknya anaknya itu.
Laila sekadar mengangguk. Pandangan Lukman kepadanya langsung tidak dipedulikannya. Apa yang dia tahu bayinya ini sudah tidak senang duduk di dalam sana. Kelaparan!
“Sedap tak kek tu?” tanya Lukman lagi dengan hati yang menggebu oleh rasa bahagia.
“Sedap. Awak beli kat mana ni?”
“Kat Secret Recepies. Kalau kau nak esok aku belikan lagi,” ujar Lukman senang hati. Tiada masalah baginya untuk mendapatkan apa yang Laila mahukan, kalau sekadar itu yang dimahukan isterinya.
Laila terus mengangguk. Kek berperisa blueberry dan keju ini memang sedap dirasakannya. Struktur kek yang lembut dan rasa masam blueberry itu memang menepati seleranya saat ini.
“Nanti beli dua tau!” ucap Laila setelah selesai menikmati kek itu.
Panjang senyuman Lukman melihat aksi Laila. Usahkan dua, sayang. Satu kedai tu pun kalau Laila yang nak abang belikan.. bisik hati Lukman semakin gembira.

Tengahari itu Lukman dipanggil Tan Sri Fatah ke biliknya. Saat dia sampai ke situ abangnya Nizam baru sahaja meninggalkan bilik itu.
“Pasal projek di Phnom Phenn tu ayah akan minta Nizam uruskan. Bagaimana?” ucap lelaki itu serius seolah-olah sedang bercakap dengan seseorang yang tidak dikenalinya.
Lukman terus menghela nafas kecewa mendengar ucapan ayahnya itu. Sekali lagi keputusan ayahnya mengecewakan dirinya. Tanpa sebarang projek dia tidak tahu selama mana dia boleh bertahan. Rasanya lebih baik dia berhenti kerja dan memohon di tempat lain.
“Ayah, Luk ni dah ada isteri nak disuap setiap hari. Tak lama lagi ada anak pulak yang nak dibesarkan. Rasanya ayah cukup sedar tentang itu. Luk tahu ayah marahkan Luk tapi tindakan ayah ni dah menganggu periuk nasi Luk. Semua projek yang Luk jaga sebelum ni ayah beri pada orang lain tapi Luk bersabar sebab Luk sedar itu hukuman yang setimpal bagi kesalahan Luk. Tapi masakan projek di Phnom Phenn tu ayah nak bagi pada orang abang Nizam. Sedangkan itu idea Luk. Apa yang tinggal pada Luk ni ayah?” keluh Lukman di hadapan ayahnya.
Selama ini dia hanya membuat kerja-kerja di dalam pejabat. Semua projek yang datang dari ideanya diserahkan kepada orang lain. Secara automatik kebanyakkan elaun dan komisen yang seharusnya diperolehi diberikan kepada orang yang menguruskan projek itu. Dia hanya makan gaji pokok sahaja.
Tan Sri Fatah memandang lama anak lelakinya itu. Bukannya dia tidak kasihan tetapi dia sengaja buat begitu untuk mengajar Lukman. Baru dia tahu merasa susah apabila gajinya sudah tidak setinggi dahulu.
“Susahkan bila kita ni tak berduit? Kamu tak pernah merasa susah sebab tu kamu  lekas mengeluh macam ni,” ujar Tan Sri Fatah selamba.
“Projek di Phnom Phenn tu idea Luk, ayah. Tak adil kalau ayah buat macam ni. Luk cari duit untuk masa depan keluarga. Takkan ayah tak boleh bertolak ansur dengan Luk langsung. Malu Luk pada Laila kalau sebahagian perbelanjaan keluarga dia kena tanggung, ayah. Tak lama lagi Laila nak bersalin. Banyak persediaan yang Luk nak kena buat. Semua tu nak kena ada duit.”
“Baiklah. Ayah beri Luk peluang sekali lagi. Ayah nak Luk ke Phnom Phenn hari Rabu ni. Ayah nak Luk tengok lokasi projek kita di sana. Tapi Nizam tetap akan pergi sama dengan kamu. Ayah nak kata putus tentang lokasi projek tu secepat mungkin jadi kamu berdua mesti pertimbangkan mana-mana lokasi yang terbaik bagi projek tu untuk kita bawa dalam meeting nanti. Projek ni projek dengan kerajaan Cambodia dan nilainya kamu sendiri tahu. Ayah pernah beri Luk peluang untuk bina keyakinan ayah dulu tapi sayangnya kamu musnahkan! Tapi ayah tak mahu terus berlaku kejam. Jadi ayah beri peluang sekali lagi untuk kamu handle projek ni memandang ini idea kamu. Sama ada kamu gunakan sebaiknya atau kamu musnahkannya sekali lagi itu ayah tak tahu. It’s your call!” tegas sahaja bicara Tan Sri Fatah.
Walaupun tiada sebarang kemesraan dalam bicara lelaki itu namun itu sudah cukup untuk menggembirakan Lukman. Syukurnya tidak terhingga apabila ayahnya kembali mahu meletakkan kepercayaan kepadanya. Peluang ini tidak akan disia-siakannya. Dia akan berusaha sebaiknya.
“Luk tak akan hampakan ayah lagi. Luk janji, ayah!” ucap Lukman gembira.
“Ingat, Lukman. Jangan terlalu gembira sekarang. Kesenangan yang Allah beri takkan bersifat selamanya. Kita tak seharusnya lupa diri hanya kerana kita ni banyak duit. Kalau kamu masih tak mahu berlajar dari kesalahan lalu. Rugi sahaja kamu 27 tahun kamu hidup atas dunia ni.”
Lukman terus terdiam mendengar bicara ayahnya itu.
“Itu aja ayah nak cakap. Balik bilik kamu,” ucap Tan Sri Fatah tanpa memandang Lukman.
Perlahan Lukman bangun dari duduknya. Dia sedikit kecewa kerana ayahnya masih dingin dengannya. Bicaranya selalu serius dan seringkas yang mungkin. Bertanya khabarnya dan Laila langsung tidak. Namun setelah dua langkah diatur Lukman berpaling semula kepada Tan Sri Fatah.
“Sampai bila ayah nak layan Luk macam ni, ayah?” soal Lukman perlahan.
Tan Sri Fatah memandang tajam anaknya itu. “Jawapannya ada pada kamu sendiri. Antara kamu sedar atau tidak itu aja! Kalau kamu harap kami ni akan datang cari dan melutut pada kamu,jangan mimpi!” ucap Tan Sri Fatah seolah tidak berperasaan.

Lukman menghela nafas perlahan. Dia tahu dia bukan lagi Lukman yang dahulu. Dia perlu berkerja keras untuk meraih perhatian ayahnya semula. Akhirnya dia berlalu dari bilik itu bersama hati yang luka.


26

Sepulang dari pejabat Lukman lihat di atas meja ada lauk pauk yang sudah dihidangkan Laila. Buat seketika Lukman memandang sahaja lauk pauk itu sambil berfikir sendiri. Laila memasak semua ini? Larat pulak dia?
“Lukman..” panggilan itu menggugah Lukman serta merta. Dia pantas menoleh kepada Laila yang berdiri di hujung lorong ke bilik tidur mereka. Wanita itu sudah siap dengan seragam tidurnya.
“Awak makanlah. Saya masak untuk awak sekali. Saya dah makan tadi,” ucap Laila lembut. Tanpa menanti jawapan Lukman dia terus berpatah kembali ke biliknya.
Lukman tersenyum tiba-tiba dalam pada bahagia mula menyapa dirinya. Sudah lama Laila tidak memasak semeriah ini. Hari ini nampaknya tidak perlulah dia makan makanan tapau lagi. Tanpa menunggu lagi Lukman terus ke dapur untuk mencari pinggan dan membasuh tangan. Sementelah dia sendiri sememangnya sedang lapar. Jadi ini sudah dikira langkah kanan!
Selesai makan dia terus mandi dan bersolat isyak. Kemudian dia mengetuk pintu bilik Laila. Tidak lama kemudian pintu itu terbuka. Laila menjengulkan wajahnya dengan ekspresi seperti kelazimannya. Tanpa sebarang senyuman. Namun Lukman mengerti. Pada waktu-waktu begini Laila sudah keletihan. Tiada mood lagi untuk berbual dengannya.
“Ada apa?”  tanya Laila mendatar.
“Aku nak ke Phnom Pehnn esok. Aku ada kerja sikit kat sana. Mungkin aku akan berada di sana tiga minggu,” ucap Lukman lembut sekadar mahu memaklumkan isterinya itu tentang ketiadaannya nanti.
“Hmm..” itu sahaja jawapan Laila seolah tidak terasa apa-apa dengan apa yang baru dikatakan Lukman.
“Err.. aku sebenarnya bimbang kalau kau tinggal sendiri di rumah ni, Laila. Apa kata kalau aku mintak Kak Reen atau Mira temankan kau selama aku takde?”
“Eh! Tak payahlah. Saya boleh jaga diri saya sendiri. Tak perlu susahkan diorang temankan saya.” Laila segera menolak cadangan Lukman. Membiarkan orang lain masuk ke rumah ini dan tahu rahsia mereka? Sama sekali tidak!
“Kalau kau sendiri di rumah aku takkan senang hati. Aku bimbang ada apa-apa jadi pada kau. Nanti takde siapa nak bantu.” Lukman cuba memujuk. Bukannya dia tidak percaya tapi hatinya tidak akan semudah itu tenang jika Laila hanya sendirian di rumah.
“Saya tahu jaga diri saya sendiri. Kalau saya sakit tahulah saya ke klinik. Lagipun kandungan saya okay je. Takde apa yang perlu awak risaukan,” balas Laila mudah. Namun dia benar-benar serius enggan membiarkan sesiapa datang menemankannya di sini. Dia tidak selesa!
Lukman terdiam seketika. Buntu dia dengan penolakan Laila. Resahnya tidak menghilang biar sedikitpun dengan jaminan itu. Namun keras hati Laila bukan mudah untuk dilentur. Itu yang Lukman mengerti tentang isterinya. Saat ini dia hanya mampu bergantung kepada Allah. Semoga Allah melindungi anak dan isterinya ini.
“Okaylah kalau kau kata begitu. Tapi aku nak kau janji dengan aku. Jangan culas makan lagi. Jangan balik kerja lambat sangat. Kau kena banyakkan rehat,” pesan Lukman bersungguh.
Laila sekadar mengangguk akur dengan pesanan itu. “Awak nak saya kemaskan baju awak ke?” soal Laila lembut.
“Kalau kau sudi, apa salahnya,” balas Lukman lantas tersenyum. Ketegangan hubungan mereka sudah mula menyurut sedikit demi sedikit. Dia sendiri sudah tidak sanggup menahan kerinduan. Sayangnya Laila tidak pernah menyedari sayang yang tersimpan di hatinya ini.
Tanpa memberikan jawapan, Laila lantas meloloskan diri keluar dari biliknya. Kali ini bilik lelaki itu pula dijengahnya. Lukman pula terus bergerak ke dapur semula. Di dalam bilik itu Laila segera membuka almari lelaki itu. “Aik? Ini aja baju dia?” soal Laila sendiri dalam kebingungan.
Beberapa helai kemeja bergantung pada penyangkut, tiga helai seluar slack, dua helai jeans. Setelah dibuka laci paling atas Laila melihat cuma ada tiga helai t’shirt dan dua helai kain pelekat. Manakala laci yang di bawah pula beberapa helai pakaian dalam lelaki. Hanya itu! Laila termenung seketika. Patutlah dia perasan Lukman sering memakai baju yang sama ketika duduk di rumah dan di luar rumah. Rupanya itu sahaja baju lelaki itu. Tetapi masakan cuma ini? Bukannya Lukman tidak berduit? Hairan Laila seketika dengan apa yang dipandangnya saat itu.
Tanpa berlengah lagi Laila segera mencapai beg pakaian lelaki itu. Sempat dia termenung seketika untuk memilih kemeja mana yang harus disumbat ke dalam beg itu. Akhirnya dia mengambil tiga helai kemeja berlainan warna dan corak. Satu persatu dilipat kemas kemudian disusun di tepi. Saat itu Lukman masuk ke dalam bilik itu bersama sebiji mug.
“Kau belum minum susukan?” mesra sekali nada lelaki itu.
Laila sekadar memandang tanpa memberikan respon kepada pertanyaan Lukman. Susu lagi! detik hatinya sudah mula berasa bosan.
“Nanti dah habis kemas baju tu, minum susu ni ya?” ucap Lukman lembut. Lukman meletakkan mug itu di atas meja tidak jauh dari Laila.
Laila sekadar mengangguk. Kerjanya diteruskan tanpa memandang Lukman lagi. Selesai melipat kemeja itu Laila memilih seluar dan t’shirt pula. Beberapa keperluan lain yang dirasakan perlu diambil sekali lalu di letakkan di atas tilam itu sebelum kembali semula ke almari itu.
“Kemeja tiga helai aja cukup ke?” tanya Laila sambil menoleh sekilas kepada Lukman yang duduk di atas katil di sebelah sana sambil memerhatikannya.
“Cukup.” Sepatah jawapan Lukman. Perbuatan Laila dipandang dengan senang hati.
“Mana pergi semua baju awak yang lain? Takkan ini aja yang ada dalam almari ni?” soal Laila dalam pada dia memandang persekitaran dalam almari baju lelaki itu.
“Kat rumah ayah.”
“Kenapa tak ambil? Takkan waktu di rumah dengan keluar berjalan awak pakai baju yang sama?” tanya Laila.
“Malaslah!” balas Lukman agak perlahan.
“Kalau macam tu belilah sehelai dua. Patutlah saya nampak awak asyik pakai yang sama je. Selekeh awak tahu tak!” bebel Laila lagi. Tanpa sedar gayanya sudah seperti seorang isteri yang membebelkan suami yang tidak tahu mengemaskan diri.
Lukman diam seketika. Malu pula mahu membuka rahsia yang selama ini hanya diketahui oleh keluarganya. Tetapi rasanya Laila harus tahu. “Aku tak suka pergi shopping ni semua. Boring! Seumur hidup aku ni boleh dikira dengan jari berapa kali aku habiskan masa di pusat membeli belah,” ucap Lukman kemudian.
Jawapan Lukman membuatkan Laila hairan. “Habis tu selama ni baju ni semua siapa yang beli? Takkan semuanya terbang dari kedai tu masuk dalam almari awak?”
“Mama yang beli. Kadang-kadang Kak Reen dengan Mira yang belikan bila dia orang keluar shopping,” ujar Lukman sengaja tidak memandang Laila. Saat itu dia sudah perasan mata Laila terpanah kepadanya.
“Baju awak sendiri awak suruh orang lain yang beli? Dah tua bangka macam ni mama awak masih belikan baju untuk awak? Biar betul!” tutur Laila separuh tidak percaya dengan pengakuan Lukman.
Setahunya lelaki zaman sekarang sudah seperti wanita. Mereka juga sudah pandai berfesyen dan mempunyai citarasa sendiri. Masakan Lukman tidak begitu? Tetapi Laila segera tersedar Lukman memang gemar memakai t’shirt kosong berkolar V. Hanya warna sahaja yang berlainan. Dia tidak ada melihat Lukman memakai t’shirt berkolar seperti mana Arman yang berubah-ubah jenis baju mengikut aktiviti dan situasi.
“Seluar dalam awak sendiri pun mama yang belikan?” tanya Laila yang masih tidak puas mengorek rahsia Lukman.
Lukman sekadar mengangguk mengiakan tanpa mengeksploitasikan apa-apa reaksi di wajahnya. Sedikit pun dia tidak merasa malu dengan keadaan itu.
“Kolot jugak awak ni ya? Anak emak!” ejek Laila selamba.
Lukman hanya tersenyum sendiri. Biarlah apa pun tanggapan Laila kepadanya. Dah memang dia tidak suka bershopping apa boleh buat?
“Pukul berapa flight esok?” Laila bertanya lagi sambil meneruskan kerjanya.
“Pukul dua petang. Aku akan tinggalkan kereta di KLIA. Jadi nanti kau pergi kerja pakai kereta tu ya? Takdelah letih nanti nak tukar tren banyak kali. Lagipun kalau ada kereta tak perlulah pergi awal sangat,” kata Lukman sambil mengukir segaris senyum buat wanita itu. Harap-harap Laila sudi mendengar kata-katanya. Dia hanya bimbangkan keadaan isterinya sepanjang dia tiada.
Laila terdiam dalam pada sebutir sebutir bicara Lukman masuk ke lubang telinganya. Nada dan isi bicara Lukman persis seorang suami dan bapa yang cukup penyayang. Tetapi dia tetap dibalut kemusykilan. Bolehkah manusia sekejam itu berubah dalam sekelip mata? Lebih membuatkan dia menjadi seorang pemikir lagi selama mereka menjadi suami isteri hanya sekali itulah dia menyerahkan tubuhnya kepada Lukman. Selebihnya sendiri fahamlah. Tetapi Lukman seperti tidak kisah dengan keadaan itu. Jangan-jangan... andaian rambang mula terbit dari benak wanita itu.
“Saya tak faham..” terpacul tiba-tiba bicara itu setelah puas Laila berfikir sendiri.
“Apa yang kau tak faham?” soal Lukman sedikit hairan.
“Sebelum ni saya kenal awak, awak ni..” Laila terhenti seketika. Dia tidak sanggup pula mahu menyebutnya. Dia bimbang Lukman naik angin pula jika dia mengutarakan apa yang sedang difikirnya ini. Kerjanya diteruskan sambil memikirkan kata-kata yang paling sesuai untuk dilahirkan kepada suaminya itu.
“Apa dia? Cakaplah..” ucap Lukman tenang bagaikan sudah bersedia untuk mendengar apa sahaja yang mahu diluahkan Laila.
“Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap ni mengecilkan hati awak tapi ada perkara yang saya betul-betul tak faham. Saya cuma nak tahu tentang sesuatu,” ucap Laila perlahan sambil dia menyusun baju-baju Lukman di dalam beg beroda itu.
Lukman hanya mengangguk tanda bersedia untuk merungkaikan apa sahaja kekeliruan yang membelit pemikiran Laila saat itu. Matanya terus meratah wajah ayu di hadapan matanya itu. Walaupun dia tahu mungkin apa yang mahu dikatakan Laila itu akan mencela maruahnya sebagai suami, dia tetap tidak mahu Laila memendam rasa sendiri.
Laila berhenti seketika dari segala kerja yang sedang dilakukan lalu memandang Lukman yang sedang menanti dengan sabar.  “Kenapa dulu awak buat saya macam tu, Lukman?” soal Laila sedikit lembut.
Lukman terdiam menyambut soalan yang dihulurkan si isteri. Dalam pada diri asyik berperang sendiri sebuah keluhan terhela perlahan. Ketenangan yang tadi mewarnai hati mula beransur meminta diri. Haruskah dia menjelaskan kesilapannya itu adalah angkara hati yang telah dikuasai oleh rasa tamak dan nafsu? Perlakuan itu adalah perlakuan yang tidak datang dengan pertimbangan akal yang waras. Dia gagal menahan hati yang kecewa setelah Laila menolak cintanya mentah-mentah.
“Kenapa waktu tu awak tak tunjukkan kebaikan seperti yang awak tunjukkan hari ni? Kenapa tiba-tiba awak berubah?” Laila menambah pertanyaannya lagi tatkala Lukman hanya berdiam diri.
“Kau kata aku tak berbuat baik pada kau dulu? Dulu aku pernah cuba pikat kau tapi kau yang menolak aku, Laila.” Lukman menheluh perlahan. Ada rasa kecewa yang masih dirasainya. Biarpun Laila kini miliknya namun hanya jasad! Hati Laila masih teramat keras untuknya.
“Tapi waktu tu awak tak ikhlas!”
Lukman pantas menuntaskan pandangannya kepada Laila. “Kau kata aku tak ikhlas? Mana kau tahu aku tak ikhlas? Kau boleh baca hati orang?” bidas Lukman sedikit kasar.
“Tak perlulah awak nak menegakkan itu semua. Saya bukannya bodoh! Kalau betul awak ikhlas dengan saya awak takkan menganiaya saya sampai macam tu sekali. Kalau awak ikhlas sekurang-kurangnya awak takkan menafikan apa yang awak dah buat! Kalau awak ikhlas awak takkan tergamak membiarkan saya menanggung penghinaan mak awak kepada saya. Tapi hakikatnya awak lebih teruk menghina saya berbanding mama awak. Kenapa? Saya cuma nak tahu kenapa awak sanggup buat saya macam tu?” Laila yang sudah lama bersedia terus menembak Lukman dengan kenyataan yang sudah lama disogokkan kepada dirinya.
Kali ini Lukman terkumpal-kumpal sendiri. Asakan Laila membuatkan dia kelumpuhan idea untuk membalas kerana dia cukup sedar setiap patah bicara yang dilahirkan Laila itu benar belaka. Dia mengaku saat pertama terpandangkan Laila hatinya sudah terpaut. Namun jika benar cinta telah hadir dalam hatinya dia tidak akan tergamak melakukan perkara seperti itu kepada Laila. Kerana kasih sayang membuatkan seseorang  itu sedia melakukan apa sahaja untuk melihat orang yang disayanginya bahagia. Bukan sebaliknya. Sayangnya Lukman sendiri tidak tahu apa yang sebenarnya yang menghuni hatinya kala itu. Adakah cinta? Atau sebenarnya nafsu?
“Kenapa awak diam?”
“Aku akui apa yang kau katakan tu memang betul. Maafkan aku, Laila. Aku ni memang jahat. Aku yang menganiaya kau selama ini dan aku menyesal dengan apa yang aku dah buat. Soalan kau tu aku takde jawapannya. Aku minta maaf.” Lukman menyambut bicara Laila lirih.
“Susah sangat ke mengawal nafsu ni, Lukman?” soal Laila tanpa memandang Lukman lagi. Kerja yang tergendala sebentar tadi diteruskan tanpa melihat wajah suaminya itu lagi.
“Entahlah, Laila. Aku memang tersilap dulu. Tolonglah jangan sebut lagi tentang itu. Aku betul-betul rasa bersalah. Aku tahu perbuatan aku dah menghancurkan hati ramai orang terutamanya kau. Aku betul-betul minta maaf.” Lukman membalas lemah. Wajahnya diraup bersama sejuta kekesalan.
Perbuatan Lukman itu sempat dipandang oleh Laila tanpa berkelip. Saat itu mata hatinya seolah dapat menilai kekesalan yang dilahirkan Lukman bukanlah sekadar pura-pura. Keadaan itu membuatkan Laila semakin diserang tanda tanya. Bolehkah seorang lelaki kaki perempuan seperti Lukman berubah dalam sekelip mata? Sikapnya kebelakangan ini lunak. Lelaki itu lebih banyak berada di rumah berbanding di luar.
“Jangan bimbang, Laila. Apa yang aku ada hari ni dah melebihi dari cukup. Aku takkan meminta lebih dari ini. Apa yang penting bagi aku, kau dan baby kita sihat. Itu aja!” suara Lukman kedengaran lagi memecah keheningan suasana bilik itu.
Laila diam dalam pada dia menafsirkan kata-kata Lukman. Namun apa yang terbit di benaknya ini hanya satu. Lukman memang memaksudkan perkahwinan ini hanya satu persinggahan dalam hidupnya. Tidak lebih dari itu!
“Kalau saya tanya satu perkara awak jangan marah ya?”
“Ada apa lagi yang kau nak tahu?” walaupun bimbang hatinya akan sakit dengan pertanyaan Laila namun Lukman tetap mahu melayani kemahuan wanita itu. Ini lebih baik daripada melihat Laila membisu dan tidak mahu memandangnya langsung seperti yang berlaku seminggu dua ini.
“Err.. selama kita tak bersama macam orang lain..” sekali lagi soalan itu terputus di situ. Laila masih berkira-kira sendiri apakah dia harus bertanya. Namun mengenangkan ada sedikit kerunsingan di hatinya selama ini dia memberanikan diri untuk bertanya.
“Err.. selepas kita berkahwin ni pernah tak awak bersama dengan perempuan lain di belakang saya, Lukman? Maksud saya, ada tak awak..” terputus lagi bicara Laila. Dia tidak sanggup meneruskannya. Harap-harap Lukman mengerti apa yang disampaikannya tadi.
Berkerut sedikit dahi Lukman mendengar soalan itu. “Kau syak aku ada main perempuan ke?” telah Lukman agak tidak senang.
“Saya tanya aja. Kalau takde takpelah..” sahut Laila bersahaja dengan kerlingan sekilas kepada lelaki itu.
“Kenapa kau nak tahu pasal tu? Kalau ada, kau nak tinggalkan aku?” tanya Lukman agak tajam.
“Tinggalkan awak? Kalau itu boleh membuatkan saya terlepas dari dosa saya, mungkin saya akan pertimbangkan. Tapi saya bertanya sebab saya tak mahu menanggung dosa dari kelalaian saya sendiri!” bidas Laila mula mengeraskan nadanya.
“Aku dah tak buat begitu lagi, Laila. Aku dah bertaubat! Aku tahu perbuatan tu berdosa besar,” ucap Lukman bersungguh untuk meraih kepercayaan Laila. Masakan Laila tidak melihat yang dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di luar.
“Betul ke? Tahan pulak awak ya? Berbulan-bulan awak tak dapat perempuan boleh pulak awak tahan. Dulu tak tahan!” Laila melontarkan komen itu sinis. Ada rasa sangsi dirasakannya.
Namun sesaat kemudian dia sudah menangkap pandangan mata Lukman amat tajam memanah kepadanya. Laila cuba berlagak selamba walaupun darahnya sempat berderau melihat renungan lelaki itu.
“Kenapa kau tanyakan semua ni?”
“Sebab saya nak tahulah!”
“Untuk apa? Kalau aku kata tak, kau nak percaya ke? Atau kau nak tuduh aku buat benda lain pulak?” balas Lukman dengan sinar mata yang tajam memanah wajah sang isteri.
Dia faham apa yang dimaksudkan Laila cuma dia benar-benar tidak sangka Laila akan bertanya tentang itu. Dia tidak tahu apa relevannya pertanyaan itu.
“Entahlah! Boleh percaya ke cakap awak ni. Yelah, saya terfikir juga. Saya sedar bukan semua lelaki kuat menahan nafsu, betul tak? Saya terfikir macamana pulak dengan awak sebab sebelum ni awak ni err..” Laila terhenti berbicara di situ.
Dia diam seketika. Pandangan mata Lukman yang tajam memanah padangannya hanya mampu dibalas seketika sahaja. Entah kenapa saat ini wajahnya pula yang terasa hangat. Malu!
“Kenapa kau nak tahu tentang ini semua?” soal Lukman pula.
“Sebab saya rasa saya perlu tahu adakah itu berlaku sebab saya tak jalankan tanggungjawab saya atau memang itu tabiat awak! Saya bukannya nak menghina awak tapi daripada saya menanggung dosa kerana menyebabkan awak melakukan perbuatan yang keji tu, lebih baik saya relakan awak berkahwin lagi dengan mana-mana perempuan yang awak berkenan,” ujar Laila agak tenang.
“Sesenang itu?” balas Lukman sedikit sinis. Kemudian dia ketawa perlahan.
“Dalam perkahwinan ada apa lagi selain seks, Laila?” tambah Lukman lagi.
“Ada tanggungjawablah!” balas Laila mudah.
“Ha, tahu pun! Kau nak aku kahwin lagi supaya cerita ni tamat begitu aja? Bukan semudah itu, Laila! Bukan berzina aja yang akan mendatangkan dosa tapi menuduh orang lain melakukan sesuatu yang dia tak lakukan juga berdosa. Tak berlaku adil kepada isteri juga berdosa. Tak mampu membimbing isteri supaya menjadi isteri solehah juga berdosa! Aku tak mahu kerana nak mencegah dosa yang satu ni kononnya, aku mula membuat dosa yang lain pulak. Tanggungjawab seorang suami ni bukan mudah, Laila. Seorang isteri yang aku dah ada ni pun aku tak boleh nak jinakkan, inikan pula aku nak beristeri lagi. Kau fahamkan sekarang?” Lukman membalas sedikit kerasa tidak senang dengan telahan Laila kepadanya.  Sebahagian dirinya merasa terhina dengan kemahuan Laila yang mahu dia memiliki isteri yang lain semata-mata kerana nafsu seolah-olah saat ini dia sedang terdesak. Apakah tidak ada sedikit pun anggapan yang baik dari Laila kepadanya?
Bicara Lukman membuatkan Laila tersedar sendiri. “Saya minta maaf kalau kata-kata saya dah buat awak marah. Saya tahu kadang-kadang saya ni bercakap ikut sedap mulut aja,” akui Laila perlahan.
“Baguslah kalau kau dah tahu yang kau ni suka bercakap ikut sedap mulut. Aku tak buat semua tu, Laila. Tak adil kalau kau menuduh aku begitu sedangkan sekarang ni kalau nak diikutkan nak berjalan pun aku rasa sakit. Tapi aku tak pernah marahkan kau untuk itu semua. Aku faham dengan keadaan kau! Cubalah sekali ni jangan kau membayangkan aku dengan anggapan sekeji itu. Takkan takde satu pun tentang aku ni baik pada mata kau?” keluh Lukman dalam pada dia menggeleng kesal.
“Janganlah marah. Saya cuma cakap aja..” nada Laila mula mengendur saat itu. Melihat reaksi Lukman dia mula dihambat rasa bersalah pula. Topik itu malas mahu diperdebatkan lagi. Selesai mengemas beg Lukman beg itu terus dizipnya.
“Sudahlah! Jangan fikir yang bukan-bukan. Inilah akibatnya kalau selalu memerap dalam bilik. Mulalah fikiran tu dok berfikir yang bukan-bukan. Jangan nanti kau yang buat macam tu sudahlah,” tukas Lukman selamba.
Sepantas kilat tangan Laila mencapai bantal yang berada dekat dengannya lalu dihumbannya kepada Lukman di sebelah sana. Geram dia apabila dia pula yang dikatakan Lukman melakukan perkara itu. Memalukan! Bertambah sakit hatinya melihat tawa Lukman saat menyambut bantal itu.
“Saya belum hilang akal lagi nak buat macam tu!” getus Laila siap dengan jelingan tajamnya.
“Manalah tahukan? Kau ingat lelaki aja ada buat macam tu? Perempuan pun adalah!” Lukman segera mengembalikan tuduhan tadi kepada si empunya badan sambil melemparkan lirikan ekor mata seperti mana yang dilakukan Laila tadi.
“Sudahlah! Benci saya bercakap dengan awak ni. Saya tengah memboyot macam ni, tak terfikir langsung nak buat semua tu. Buat penat badan aja!” Laila yang geram mula membentak. Melihat tawa Lukman yang seakan mengejeknya dia bertambah geram.
“Tengok! Dia yang mulakan lepas tu dia yang naik angin,” usik Lukman sambil tergelak gelihati dengan kelakuan Laila.
“Malas saya nak layan awak lagi. Lebih baik saya tidur! Buang masa aja bercakap dengan awak!” bentak Laila. Ikutkan hatinya yang geram ini muka Lukman yang sedang seronok ketawa itu mahu dikeronyoknya.
“Tidurlah. Siapa yang melarang? Itulah.. lain kali jangan merepek yang bukan-bukan. Tak baik kalau baby dengar,” ucap Lukman sambil tersengih. Dia mahu ketawa lagi melihat jelingan marah Laila kepadanya.
“Saya nak balik bilik saya. Malas saya nak layan awak merepek!” pantas Laila berjalan menuju ke arah pintu bilik Lukman yang sedang ternganga luas.
“Nanti dulu!” Lukman lebih pantas menahan langkah Laila sebelum sempat wanita itu menghindarinya. “Kau nak balik bilik kau? Tak boleh! Malam ni kau kena tidur sini,” ucap Lukman serius.
Bicara itu lantas menyentak perasaan Laila. “Tidur dalam bilik ni? Untuk apa?” soal Laila dengan mata terbeliak.
“Untuk apa-apa yang patutlah!” ucap Lukman serius dalam pada dia menayangkan wajah seriusnya.
“Jangan nak mengada-ngada! Saya masuk sini sebab nak kemaskan baju awak. Bukannya layan awak atas katil! Tolong sikit ya?” desis Laila benci.
“Aku tak mahu kahwin lagi sebab aku dah ada isteri. Aku nak isteri aku menyerah pada aku macam malam pertama kita hari tu. Kalau aku berkahwin sampai empat sekali pun takde siapa yang kata kau dah terlepas dari tanggungjawab kau layan segala kehendak aku. Selagi kau masih bergelar isteri aku, aku berhak ke atas kau zahir dan batin, Laila. Kau tentu tak mahu aku buat dosakan?” ucap Lukman semakin berani.
Laila terkebil-kebil seketika tatkala mendengar ucapan Lukman. Dia memandang lelaki itu agak lama seolah-olah sedang mencari sesuatu di wajah itu. Namun hatinya sudah mula berkocak. Lain yang dijanjikan Lukman dahulu, lain pula yang terjadi kini. Lukman mahu menuntut haknya! Laila meneguk liurnya dalam kepahitan.
“Masuk dalam!” arah Lukman semakin berani.
“Kalau saya ingkar?” cabar Laila pantas.
“Bila kita mahukan sesuatu dari seseorang maka kita juga harus siap memberi, Laila. Kau nak aku lepaskan kau macam tu aja? Mana boleh! Rugilah aku!” ucap Lukman membuatkan Laila semakin terkelu dengan keadaan mereka saat itu. Entah kenapa saat ini dia seperti melihat watak Lukman berubah tidak semena-mena.
Kemenangan yang terbentang luas pantas direbut oleh Lukman. Dia mendekati Laila di pintu itu. Wanita itu ditariknya masuk semula ke bilik itu dan pintu bilik itu di tolaknya sehingga tertutup. Lantas dikuncinya.
Laila seolah-olah sudah kehilangan upaya untuk berkata-kata melihat tingkah Lukman. Dalam keterpaksaan hatinya, dia tidak mampu melawan kekuatan lelaki ini. Laila benar-benar tidak sangka pengakhirannya begini.
“Selagi kau masih isteri aku kau kena dengar cakap aku! Aku tak benarkan kau keluar dari biliki ni selagi kau tak tunaikan hak aku. Jangan lupa, aku tak pernah culas menyediakan nafkah zahir untuk kau, Laila. Kita kena adil! Kau menerima kau juga kena memberi.” Lukman terus meluahkan kata-katanya dengan selamba. Namun nadanya serius menandakan tiada kompromi bolah dibuat saat ini.
“Awak dah janji takkan paksa saya!” desis Laila geram.
“Aku takkan paksa. Tapi kau sendiri akan merelakan sebab seorang isteri yang menolak kehendak suami dengan sengaja, malaikat akan melaknatnya sehingga ke subuh. Seorang isteri tak boleh menolak kehendak suaminya selagi dia tak dihampakan oleh suaminya. Aku tahu kau tahu tentang itukan? Takde pengecualian!” ucap Lukman dengan renungan tajam bersinar.
“Ambillah hak awak semahunya! Awak boleh gunakan kuasa awak tu untuk buat sesuka hati awak. Tapi jangan harap saya boleh buat saya menyerah! Jangan lupa saya bencikan awak!” tegas Laila setelah menyedari dia sebenarnya tiada kuasa untuk menghalang kehendak Lukman saat ini.
Lukman ketawa perlahan. Dia tidak akan memaksa tetapi dia akan membuatkan Laila menyerah kepadanya. “Iya? Kau yakin sangat ke yang kau takkan menyerah?” soal Lukman sedikit merasa tercabar dengan bicara Laila.
Perlahan kedua-dua tangan Laila disentuhnya. Jemari itu diramasnya lembut sambil matanya terus merenung dua bola mata hitam bersinar milik wanita itu. Ada sedikit kerisauan dilihatnya dalam bola mata itu. Lukman tersenyum sendiri. Seketika kemudian lengan itu diusapnya sehingga ke bahu dengan penuh kelembutan.
“Tuhan menjadi wanita juga punya keinginan pada lelaki. Lelaki yang aku maksudkan di sini tak semestinya hanya pada suami yang dicintai. Ramai perempuan di luar sana hanyut kerana nafsu. Jadi aku rasa walaupun suami itu sedang dibenci oleh seorang isteri, lelaki itu pun boleh memenuhi keinginan wanita tu. Kerana semua seorang wanita dalam dunia ni memerlukan belaian dan kasih sayang dari seorang lelaki. Betul tak? Aku tak percaya kau boleh bertahan dari semua tu.” Lukman berbisik lembut sambil kembali meramas jemari Laila. Kemudian jemari itu dibawa ke bibirnya. Dengan penuh kelembutan jemari Laila dikucup halus oleh Lukman berkali-kali.
Laila tergamam cuba menafsirkan apa yang sedang dilakukan Lukman kepadanya. Dadanya berdegup kencang melihat aksi Lukman memesrai jemarinya. Entah kenapa kakinya dirasakan bagaikan telah digam dilantai. Bisikan Lukman yang lembut turut merubah arus perasaannya. Kemesraan yang dihulurkan lelaki itu mula memberikan dia sedikit keasyikan. Juga renungan menggoda Lukman membuatkan dia terlupa di mana dia berada saat ini. Suasana di sekelilingnya hening sama sekali.
Kesempatan yang sedang terbuka luas pantas direbut Lukman. Setelah membaca sepotong doa yang dihafalnya dahi Laila dikucupnya lama. Kemudian kelopak mata yang tertutup itu pula dijamah dengan bibirnya. Nafas yang hangat menampar wajahnya membuatkan kaki Laila lemah serta merta. Dia hampir rebah namun leher Lukman sempat dipautnya. Pinggangnya terus direnggut Lukman.
Namun seketika kemudian Lukman kembali memandang Laila. “Aku nak mulai hari ni kau panggil aku abang. No more saya awak macam sebelum ni. Kalau tak kau jangan mimpi kau akan terlepas dari lelaki yang jahat ni!” ucap Lukman serius.  
“Apa?” soal Laila keluguan.
Lukman tersenyum. Menang! Dia tahu dia sudah berjaya menguasai keadaan ini. Persoalan yang dilontarkan Laila dijawab Lukman dengan kucupan di bibir wanita itu. Kelembutan yang dipamirkan si suami membuatkan wanita terkapai-kapai, tenggelam dalam kekeliruan.
Benar bak kata Lukman! Malam itu Laila kalah kepada keegoannya sendiri. Kini dia sedar ada sesetengah perkara tentang dirinya yang dia masih tidak tahu. Dia sebenarnya naif. Keegoan yang terpacak tinggi sebelum ini rebah bagaikan bangunan Highland Tower yang runtuh setelah tubuhnya disentuh Lukman dengan penuh kelembutan. Buat seketika dia sempat merasa dirinya cukup selesa berada dalam pelukan Lukman. Buat pertama kalinya dirinya ditawan keasyikan dari sentuhan seorang suami.
Sejam kemudian Laila mula bangkit dari katil itu. Malu dengan apa yang berlaku dia hanya terfikir untuk melarikan diri ke biliknya semula. Namun baru sahaja tubuhnya diangkat dari katil itu pergelangan tangannya terus direnggut Lukman dalam pada mata lelaki itu masih terpejam. Hampir gugur jantung Laila kala itu. Sangkanya Lukman sudah tidur.
“Bilik ni pun ada katil jugak. Sama aja! Tidur sini!” arah Lukman sedikit keras sambil menarik Laila agar kembali rebah di tilam.
Laila yang terkumpa-kumpal tidak sempat mahu menolak. Dia terbaring semula dan tubuhnya terus dipeluk semula oleh lelaki itu. Lukman sempat tersenyum sendiri. Dia sudah tahu Laila pasti akan kembali ke biliknya. Dia tidak akan membenarkan! Malam ini Laila miliknya zahir dan batin.
Laila hanya mampu berdiam. Dalam keterpaksaan dia cuba melelapkan mata. Namun seketika kemudian dia terasa tubuhnya kembali dibelai Lukman. “Lukman, dahlah!” pantas Laila menolak tangan lelaki itu. Dia tidak ingin lalai lagi.
“Abang! Ingat sesuatu. Kita dah ada perjanjian,” bisik Lukman di telinga wanita itu. Bisikan itu kedengaran lembut namun jelas terkandung ugutannya.
Bicara itu membuatkan Laila mula diserang debar lagi. Dia tidak mahu membiarkan dirinya kalah lagi seperti tadi. Tetapi untuk berkeras menolak dia tidak berdaya. Digantung tidak bertali? Oh, tidak!
“Anggap aja ini sebagai bekalan untuk abang selama di Phnom Phenn nanti. Boleh ya, sayang?” bisik Lukman lagi penuh kelembutan. Telinga Laila dikucup lembut dengan dada yang berombak. Di hatinya dia berbisik megah, perempuan kerasnya kerak nasi aja! Lama-lama cair jugak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan