41
Sebaik sahaja dia meninggalkan kereta Lukman, langkah kaki Laila di hentikan
oleh seorang wanita ketika dia berada di aras 3. Laila terkebil-kebil memandang
wanita itu. Namun dari pakaian seragam wanita itu dia tahu wanita itu berkerja
di bangunan yang sama dengannya.
“Awak siapa?” soalnya hairan melihat wanita itu sengaja
berdiri di hadapannya.
Wanita itu tersenyum entah kenapa. “Kenapa you menangis?
Lelaki tu sakitkan hati you ya? Dia suami youkan?” ucap wanita itu tanpa
menjawab pertanyaan Laila. Dia memandang semula tempat dia melihat Lukman
menurunkan Laila sebentar tadi.
Gelagat wanita itu membenihkan rasa hairan yang bukan
sedikit di hati Laila. Lama wajah wanita itu ditatap, cuba diingati adakah dia
mengenali wanita itu di mana-mana namun gagal. Rasanya mereka memang tidak
pernah bertemu.
“Awak ni siapa?” tanya Laila sekali lagi. Hairan dia
melihat senyuman wanita itu, seolah-olah ada makna yang tersirat.
Wanita aneh itu terus tersenyum merenung Laila. “Dia
memang dilahirkan untuk buat perempuan menangis. Lelaki macam dia sebenarnya
tak layak dijadikan suami. Kalau I jadi you, I takkan memperbodohkan diri I
untuk hidup dengan lelaki berhati binatang macam dia,” ujar wanita itu tanpa
mempedulikan pertanyaan Laila sebentar tadi. Matanya sempat menyoroti kandungan
Laila yang kelihatan agak besar.
“Apa semua ni? Tolonglah jangan serabutkan kepala saya
lagi!”
“I nak bercakap dengan you pasal Lukman. Boleh kita jumpa
petang ini?”
Laila terkesima. Dari mana wanita ini tahu nama suaminya?
“Macamana awak kenal suami saya?” soal Laila bertambah hairan.
“Petang ni.. semua soalan you tentang gambar tu akan
terjawab petang ni. Jam 5 setengah di Mc Donald aras 5 kita jumpa,” ucap wanita
itu lantas meninggalkan Laila terpinga-pinga sendiri.
Laila memandang lama langkah wanita itu. Kejutan apa lagi
kini? Rasanya wanita ini bukan wanita yang berada di dalam gambar-gambar itu.
Wanita ini lebih sopan pakaiannya dan bertudung sama sepertinya. Semakin banyak
persoalan yang menghuni benak Laila saat itu. Membuatkan dia merasa dirinya
sudah terperangkap di dalam jerat yang paling tidak dimahukan!
Lukman mundar mandir berkali-kali di ruang tamu rumahnya.
Matanya memandang lagi jam di dinding. Waktu sudah melepasi jam 10 tetapi Laila
masih juga tidak pulang. Lukman keresahan sendirian. Sebentar tadi saat dia
menelefon Laila, wanita itu mengatakan yang dia masih di pejabat. Masih banyak
kerja yang perlu disiapkan katanya. Namun Lukman yakin Laila sebenarnya mahu
mengelak darinya. Kali ini tidak terhitung lagi kebimbangannya kepada isterinya
itu. Dia bimbang Laila keletihan membawa perutnya menaiki kenderaan awam.
Sedang Lukman berkira-kira mahu pergi mengambil Laila dia
dihubungi seseorang. Apabila diamati nombor yang memanggil Lukman tidak
mengetahui siapa si pemanggil. Namun dia lekas menjawabnya kerana ada rasa
tidak enak dirasakan saat itu.
“Assalamualaikum..” kedengaran suara wanita memberi salam
kepadanya.
“Waalaikumussalam..” jawab Lukman dalam debaran yang
semakin kencang. Dia kenal itu bukan suara Laila.
“Boleh saya bercakap dengan Encik Nahij Lukman?”
“Saya Nahij Lukman. Ada apa ni?” Lukman semakin tidak
keruan apabila wanita di sana berbicara agak formal.
“Encik Lukman, nama saya Maisarah. Panggilan ni saya buat
dari Hospital Putrajaya. Saya nak tanya Siti Laila Huda, isteri encik ke?”
“Ya! Ya! Kenapa dengan isteri saya?” Lukman mendadak
cemas apabila wanita bernama Maisarah itu menyebut nama isterinya. Lebih cemas
lagi apabila mengetahui panggilan itu telah dibuat dari hospital.
“Saya nak memaklumkan yang Puan Siti Laila Huda baru
sahaja di masukkan ke unit kecemasan Hospital Putrajaya. Minta encik Lukman ke sana
segera,” ujar Maisarah agak tenang.
Lukman hampir pitam mendengar itu. Tetapi lekas-lekas
dikawal dirinya. Apa yang dia tahu dia harus menemui Laila secepat yang
mungkin. “Baiklah. Saya datang sekarang!”
Lukman lantas menukar pakaiannya. Kebimbangannya sudah
tidak mampu dikawal lagi. Kelam kabut dia mencapai dompet dan kunci keretanya. Dia
tidak tahu apa yang terjadi namun bagi Lukman yang paling utama saat ini adalah
untuk melihat dahulu keadaan isterinya itu.
Lukman melarikan kereta sepantas mungkin. Melalui
lebuhraya dia tiba di tempat yang dimaksudkan setengah jam kemudian. Setelah
memakirkan kereta di hadapan hospital itu Lukman berlari masuk ke dalam
hospital itu untuk ke wad kecemasan. Setelah menyebut nama Laila, Lukman terus
dibawa oleh petugas hospital masuk ke dalam unit kecemasan.
Saat mendekati sebuah katil air mata Lukman seperti mahu
menitis melihat Laila mengerang menahan sakit sambil dikelilingi beberapa orang
kakitangan perubatan sedang memberikan bantuan kepadanya. Seorang doktor
berbangsa India pula sedang meneliti kad laporan pemeriksaan kandungan Laila.
Lukman tahu Laila memang sentiasa membawa kad itu ke mana-mana atas nasihat
doktor. Bimbang jika berlaku kes seperti ini.
Lukman cuba mendekati Laila namun dihalang oleh salah
seorang jururawat itu.
“Tunggu sana, encik. Kami sedang rawat pesakit ni,” ujar
jururawat bertudung itu sambil merapatkan lagi tirai bagi melindungi katil itu
dari pandangan orang lain.
Lukman akur dalam keterpaksaan. Tetapi dalam pada itu dia
asyik memandang ke dalam melalui tirai yang sedikit renggang itu untuk melihat
apa yang berlaku. Dia kerisauan apatah lagi dia semakin mendengar suara Laila
yang mengerang dan menangis bagaikan dalam kesakitan yang teramat sangat.
Lukman tidak tahu samaada Laila sedang melahirkan anak mereka atau sebaliknya.
Tetapi setahunya anak di dalam kandungan Laila baru berusia 7 bulan lebih.
Tidak tertanggung lagi resahnya. Jika diikutkan hatinya mahu sahaja dirempuh tempat
itu untuk menenangkan wanita kesayangannya itu.
Lukman semakin resah dengan pelbagai andaian. Saat itu
dia hanya mampu berdoa kepada Allah semoga Laila dan anak-anaknya itu tidak
mengalami sesuatu yang buruk. Berkali-kali dia menghela nafas bagi menenangkan
dirinya. Berkali-kali dia menyebut nama Allah bagi meredakan debarannya. Hanya
satu pintanya saat ini. Selamatkan Laila dan anak-anaknya. Hanya itu!
Hampir setengah jam kemudian suara Laila tidak kedengaran
lagi. Suara bayi juga tidak kedengaran. Lukman semakin terdesak untuk
mengetahui apa yang berlaku. Tetapi tidak lama kemudian tirai itu direnggangkan
sedikit oleh salah seorang wanita india yang berpakaian biru. Beberapa orang
doktor berlalu pergi dengan fail yang mungkin milik Laila.
“Suami Siti Laila ke?” soal wanita bernama Manisha itu
kepada Lukman.
“Ya, Saya Lukman. Macamana keadaan isteri dan baby saya,
doc?”
“Encik Lukman, isteri you dimasukkan ke sini sebab dia
dilaporkan terjatuh di tangga eskulator di KLIA tadi. Kita dapati ada berlaku
sedikit pendarahan pada pangkal rahim tapi you jangan bimbang. Anak dalam
kandungan dia tak apa-apa,” jelas wanita itu tenang.
“Isteri saya?” soal Lukman masih tidak merasa lega.
“Setakat ini keadaan dia stabil tapi kita kena tahan dia
untuk sementara waktu sehingga keadaan dia benar-benar pulih kerana tekanan
darah agak tinggi. Lagipun dia mengalami kekurangan air dan darah merah. Dia
juga kurang rehat. So mengikut apa yang doktor pakar putuskan buat masa ni dia
terpaksa ditahan di wad sehinggalah pakar gynea benar-benar berpuas hati dengan
keadaan dia dan baby dalam rahim dia tu.” Dr. Manisha berkata lembut.
Lukman terdiam sambil memandang Laila yang sudah tidak
sedar dengan corong gas yang dipasangkan ke hidungnya. Dia tahu Laila tertekan
dengan pertengkaran mereka siang tadi. Lukman menggeleng perlahan. Semua ini
berlaku kerana dirinya!
“Jangan risau. After
a few days, she will be fine..”
“Macamana dengan pendarahan tu? Serius ke?”
“Pendarahan tu impak daripada gegaran akibat terjatuh
tadi. Buat masa ini pendarahan tu dah berhenti. Tetapi kita terpaksa memantau
keadaan dia kerana ada berlaku gegaran pada kandungan. Takut-takut kalau ada
implikasi lain yang timbul pada kandungan dia. So buat sementara waktu kita tak
benarkan dia bergerak walaupun untuk ke tandas untuk mengelakkan sebarang
komplikasi kepada baby. Jadi kita memang sangat perlukan kehadiran you untuk
bantu dia. Kalau you tak boleh ada hal lain you kena panggil orang lain
temankan dia. Mesti ada orang temankan dia 24 hours! Untuk beberapa hari ni
kita mahu dia betul-betul berehat untuk membantu memulihkan tenaganya dan juga
untuk elakkan komplikasi pada kandungan,” jelas Dr. Manisha dengan lebih
terperinci lagi.
Lukman menghela nafas perlahan. Dia tahu Laila keletihan
semenjak kebelakangan ini. Sering pergi kerja awal dan pulang lewat. Dia kesal
kerana tertekan dengan masalah mereka Laila jadi begini.
“Bila dia akan dipindahkan ke wad?”
“Sekejap lagi.”
Lukman mengangguk seketika. Kalau dirinya diperlukan
dengan berbesar hati dia akan melakukan apa sahaja untuk wanita itu. Usahkan
sekadar menemankan jika organnya yang diperlukan sekalipun akan diberikan tanpa
syarat. Dia akan melakukan apa sahaja asalkan Laila dan anaknya selamat.
“So ada bawa barang-barang dia?”
“Oh! Takde.. saya panik sangat tadi. Terlupa semua tu,”
ucap Lukman kesal.
“Takpelah. Untuk lapan jam pertama ini kita akan biarkan
dia tidur. Jadi you boleh gunakan masa ni untuk balik ke rumah sekejap. Rasanya
takde masalah untuk itu. Tapi tunggu sehingga dia masuk ke wad dulu lepas tu
baru you balik ambil barang-barang dia,” ucap wanita itu lembut.
“Terima kasih, doc.”
“Welcome..”
balas Dr. Manisha sebelum meninggalkan Lukman di situ.
Lukman mendekati isterinya yang sedang terlena di katil
itu. Dua orang jururawat sedang membuat persediaan untuk memindahkan Laila ke
wad. Tidak mahu menganggu kerja mereka Lukman sekadar memandang Laila dari
tempat dia berdiri. Saat itu telinganya terus diperdengarkan tangisan dan
erangan Laila sebentar tadi. Sebak dadanya mengenang kesengsaraan isterinya.
‘Sayang, abang janji takkan sakitkan sayang lagi. Abang
janji sayang takkan derita lagi!’ bisik Lukman dalam kesayuan.
Laila tersedar pagi itu ketika jam sudah menunjukkan ke angka 8
pagi. Setelah membuka mata dia keliru di mana dia berada. Serasanya sudah lama
benar dia terlelap. Puas diperhatikan sekelilingnya namun dia tidak merasakan
dia sedang berada di biliknya. Setelah melihat dua katil bersebelahan dengannya
bercadar putih Laila sedar dia kini berada di wad. Cumanya dua katil di
sebelahnya itu kosong. Perlahan dia cuba menggerakkan tangannya. Namun terasa
tangannya berat ditindih sesuatu.
Lukman yang sedang tersengguk di tepi katil itu pantas tersedar
saat Laila cuba menarik tangannya. “Laila dah sedar, sayang?” soal Lukman dalam
kelegaan. Cepat-cepat dia menggosok matanya bagi menghilangkan mamai.
Laila hanya memandang Lukman dalam kebingungan. Kemudian
dia memandang perutnya. Cuba untuk memastikan keadaan kanduangannya. Namun lega
hatinya merasa ada sedikit gerakan di dalam kantung rahimnya. Dia tahu bayinya
tidak apa-apa. Cumanya gerakan itu tidak lagi seaktif selalu.
“Laila terjatuh semalam. Jangan risau baby kita tak
apa-apa. Cuma ada sedikit pendarahan pada pangkal rahim. Yang lain semuanya
okay,” ucap Lukman memberitahu keadaan itu kepada Laila. Dia tahu Laila masih
bingung dengan apa yang berlaku.
Laila tidak menjawab kepada Lukman namun penerangan
Lukman tetap didengarinya. Syukurlah jika Lukman sudah berkata begitu. Laila
menanggalkan topeng gas yang menyerkup hidungnya. Tanpa mempedulikan Lukman di
sisinya dia cuba untuk bangun dari pembaringan.
“Kenapa? Laila nak minum?” Lukman menyoal gusar setelah
melihat Laila seakan mahu bangun pula. Sudah beberapa kali dia diingatkan oleh
ketua jururawat agar tidak membenarkan Laila bergerak atau berjalan.
“Laila nak ke toilet,” ucap Laila dalam kedinginan.
“Eh! Nanti kejap. Doktor tak bagi Laila bergerak. Nanti
abang panggilkan nurse. Laila jangan bangun! Tunggu situ!” ucap Lukman sedikit
cemas. Dia pantas bangun untuk mencari jururawat. Sememangnya dia telah
diberitahu oleh jururawat supaya memanggil mereka sekiranya Laila mahu ke
tandas.
Laila hanya mampu memandang Lukman yang sedang menuju ke
kaunter jururawat itu. Dia tidak tahu mengapa Lukman mahu memanggil jururawat
pula sedangkan dia bukannya memerlukan ubat sebaliknya dia mahu ke tandas.
Lukman kembali semula kepadanya bersama seorang wanita berpakaian putih.
“Puan Laila nak buang air ke?” soal jururawat yang
bernama Safiah itu kepada Laila. Beberapa alatan di letakkan di tepi kaki
Laila.
“Ya.” Laila menjawab perlahan.
“Jangan bangun. Doktor tak benarkan puan bangun. Saya
akan bantu puan di katil ni,” ucap jururawat itu sambil dia mengembangkan tirai
agar katil itu dilindungi. Dia kemudiannya terus memakai sarung tangan.
Laila mula cemas melihat keadaan itu. Dia tidak dibenarkan
bangun? Sekilas pandang dia sudah tahu apa yang mahu dilakukan oleh jururawat
itu apabila mula membentangkan sehelai plastik berwarna putih di bawah tempat
pembaringannya.
“Kenapa saya tak boleh ke tandas pulak?” soal Laila tidak
mengerti.
“Kandungan puan mengalami gegaran. Jadi kita terpaksa
lakukan ini untuk elakkan komplikasi lain. Lagipun kondisi badan puan lemah.
Puan tak boleh bergerak. Semuanya mesti dilakukan di atas katil ini. Ini baik
untuk kandungan puan sehingga pakar berpuas hati dengan keadaan puan. Ini
prosedur biasa, puan.” Wanita itu menjelaskan keadaan itu dengan cukup lembut.
Nampak sesuai benar dia menjawat jawatan sebagai jururawat dengan karektornya
yang selalu tersenyum dan penyabar itu.
Laila hampir ternganga mendengar itu. Tidak sangka
keadaan akan menjadi seserius ini. “Takkan sampai macam tu sekali?” soal Laila
tidak percaya.
“Memang macam tu. Bila ada berlaku pendarahan akibat
gegaran doktor tak benarkan mana-mana pesakit bergerak aktif untuk mengelakkan komplikasi lain pada bayi.
Kalau puan tak mahu apa-apa berlaku kepada anak puan, puan kena ikut arahan
doktor ni. Tak perlu malu. Bukan puan seorang yang pernah melalui keadaan ini,”
tambah jururawat itu lagi setelah melihat reaksi Laila seperti malu dengannya.
Teringatkan betapa deritanya dia semalam, Laila akur
dalam keterpaksaan. Kalau ini yang harus dilakukan demi keselamatan
anak-anaknya biarlah. Mujurlah hanya seorang jururawat yang melakukannya. Jika
tiga empat orang seperti semalam dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk dia
menutup mukanya ini.
Hampir lima belas minit kemudian barulah tirai itu
dikembangkan semula. Lukman pantas mendekati katil itu dan melihat Laila yang
terbaring sementara jururawat itu mengemaskan pekakas yang telah digunakan.
“Terima kasih, nurse..” ucap Lukman lembut.
“Sama-sama. Jangan banyak bergerak ya, puan. Kalau nak
buang air panggil nurse. Jangan pergi sendiri,” sempat lagi jururawat itu
berpesan kepada Laila.
Laila hanya mengangguk sambil mengucapkan terima kasih
kepada wanita yang berusia 30-an itu. Seketika kemudian Lukman kembali duduk di
sisi Laila. Wanita itu tetap dipandang tanpa jemu walaupun jelas sekali Laila
tidak sudi untuk memandangnya.
“Kenapa tak call abang masa nak balik semalam?” soal
Lukman lembut. Jemari itu cuba dicapainya namun Laila lebih pantas menolak
tangan Lukman. Dia terus mengiringkan tubuhnya ke arah lain enggan memandang
Lukman. Peristiwa petang semalam dan hari-hari sebelumnya masih segar dalam
fikirannya. Tidak mungkin dia dapat beramah mesra dengan Lukman setelah semua
itu berlaku.
Lukman menghela nafas perlahan melihat reaksi Laila.
Namun secebis pun dia tidak marah. Dia sudah berjanji kepada dirinya apa pun
yang terjadi dia tidak akan patah semangat. Selagi dia hidup dia akan terus
berusaha untuk memujuk sekeping hati itu. Dia tahu dia tidak harus berlengah-lengah
lagi.
“Laila, maafkanlah abang. Abang betul-betul sayangkan
Laila,” keluh Lukman perlahan.
Laila terus membatu. Gembira tidak dengan ucapan itu
sebaliknya dadanya dilanda sebak yang amat sangat. Mengapa Lukman meluahkan
cinta setelah menghancurkan hatinya? Mengapa mesti Lukman melukai hatinya
setelah dia jatuh cinta kepada lelaki itu? Mengapa Lukman tergamak mencela
hatinya setelah puas dia memujuk hatinya agar memberikan sepenuh kepercayaan
kepada lelaki itu? Mengapa Lukman sampai hati merobohkan impiannya untuk
melihat perkahwinan ini pergi lebih jauh lagi? Mengapa? Malangnya datang
bertimpa-timpa. Semalam dia diberikan kejutan demi kejutan. Setelah bertemu
seorang wanita yang mengaku bekas kekasih Lukman, dia juga diketemukan dengan
Nazim. Barulah dia tahu apa rahsia yang selamaa ini disembunyikan Lukman.
Rupanya ada yang dia tidak tahu.
“Sayang, jangan terus jauhkan diri macam ni. Abang
betul-betul minta maaf. Abang janji abang takkan kecewakan Laila lagi. Sekali
lagi aja, sayang. Abang merayu sangat-sangat ni,” pujuk Lukman sambil cuba
meraih jemari Laila namun seperti tadi Laila terus menepis tangannya seolah-olah
sudah teramat benci kepadanya. Namun seketika kemudian esakan Laila kedengaran
halus di pendengaran Lukman.
Lukman sayu mendengar tangisan itu. Dia mengeluh perlahan
dalam menahan rasa bersalahnya. “Abang mengaku abang bersalah pada Laila. Abang
tahu abang tak layak meminta Laila terima abang lagi tapi abang tak mampu untuk
kehilangan Laila. Abang tak bermaksud nak menduakan Laila. Abang betul-betul
tak sengaja. Demi Tuhan abang takkan lakukannya lagi, sayang. Tolonglah jangan
bencikan abang lagi. Abang tersiksa sangat hidup dalam kebencian perempuan yang
abang sayang. Abang tak sanggup biarkan Laila pergi dari hidup abang. Tolonglah
maafkan abang. Sekali ni aja! Please...”
“Macamana abang boleh kata yang abang tak sengaja tidur
dengan dia? Ada orang berzina sebab tak sengaja ke? Tak logik!” cemuh Laila
setelah berpaling kepada lelaki itu. Matanya sudah lencun dengan air mata. Dia
sudah tidak sanggup ditipu lagi. Cukuplah Lukman memacakkan harapan palsu
kepadanya! Dia sudah tidak berdaya lagi untuk menahan luka dihatinya.
“Abang tak tahu macamana nak explain pada Laila pasal tu. Abang tahu apa pun yang abang cakap Laila
mesti tak percaya lagi. Tapi demi Tuhan waktu abang jumpa dia semalam abang
langsung takde rancangan untuk buat macam tu. Percayalah!”
“Tak berniat nak menduakan konon! Siapa perempuan tu? Bekas kekasih abangkan?”
ucap Laila tajam. Sedikit pun tidak dia percaya dengan omongan Lukman. Dia tahu
selepas tertangkap Lukman boleh berkata apa sahaja untuk merayunya.
“Kan abang dah kata semalam, dia tu cuma kawan abang
waktu di Machester dulu. Laila, sumpah abang tak sengaja semalam. Kalau abang
waras abang takkan buat macam tu. Untuk apa? Abang ada Laila untuk apa buat
macam tu dengan dia?”
“Itu cuma abang aja yang tahu jawapannya. Laila ada pun
apa guna? Laila masuk bilik abang, abang tergamak tengking Laila. Yalah! Dalam
keadaan perut memboyot macam ni tentulah body
Laila tak bergetah macam betina tu! Laila pun bukannya jenis daring sanggup
pakai gaun singkat macam tu depan orang ramai. Laila ni perempuan kampung yang
kolot!” balas Laila tajam.
“Ya, Allah.. sayang, malam tu abang tak sengaja tengking
Laila. Waktu tu abang letih sangat, sayang. Bukan sebab Laila tengah macam ni.
Abang takde terfikir macam tu biar sedetik pun, sayang. Jangan tuduh abang
macam tu!” balas Lukman tetap lembut. Bukan masalah badan Laila tidak seksi.
Jika sudah sayang biarpun tidak seksi dia tetap mahu.
“Dengan betina tu tak letih pulak!” cemuh Laila pantas.
“Sayang, itu semua perangkap untuk abang. Percayalah..”
“Siapa yang perangkap abang? Nazim? Abang tak tunaikan
kehendak dia sedangkan abang dah janji pada dia yang abang akan serahkan projek
di KLIA tu pada dia lepas abang dapat puaskan nafsu dengan Laila. Atau
Batsrisya yang abang main-mainkan bertahun-tahun dulu? Laila dah tahu semuanya!
Abang ingat Laila jatuh semalam sebab apa? Sebab tersandung? Laila tak boleh
terima apa yang abang dah buat pada Laila ni. Lepas Laila tahu abang meniduri
perempuan lain, Laila dapat tahu rahsia yang abang sembunyikan dari Laila
selama ini. Rupanya bukan seorang dua hati perempuan perempuan yang dah abang
hancurkan. Bukan seorang dua perempuan yang abang dah bawa ke katil sebelum
Laila. Laila ni cuma barang dagangan bagi abang dan Nazim! Patutlah abang tak
mahu bertanggungjawab pada Laila dulu! Lelaki penipu!” bentak Laila semakin
meninggi. Berderai lagi air matanya mengenang cerita Nazim semalam.
Lukman terkaku bagaikan tidak percaya. Laila ada bertemu
Nazim? Batrisya? Lukman kembali mengimbas kenangannya ketika di Manchester
dahulu. Ya, dia pernah mempermainkan wanita itu. Langsung dia tidak jangka hari
ini dia kesalahannya akan dihimpun serentak untuk diadili Laila.
Saat itu habis punah harapan Lukman untuk melihat
mahligainya kembali teguh. Bertimpa-timpa malang datang kepadanya. Dia tidak
tahu apa lagi yang harus dikatakan kepada Laila. Nazim tentu sudah membuka
banyak cerita untuk menghancurkan dirinya. Sampainya hati Nazim!
“Kenapa abang buat Laila macam ni? Apa salah Laila?
Sampainya hati abang!” ucap Laila dalam esakan sayu. Tanpa disangka mereka
jeritan Laila tadi sudah didengari oleh manusia di luar wad itu. Beberapa
jururawat mula masuk ke bilik itu. Termasuklah yang membantu Laila sebentar
tadi.
“Puan Laila, kenapa menangis ni? Jangan menangis..” tegur
Safiah sambil memandang Lukman sekilas.
Melihat kedatangan orang asing Laila segera mengawal
dirinya. Wajahnya dilapkan namun dia berpaling dari memandang Lukman. Lelaki
itulah yang membuatkan dia tertekan begini.
“Jangan stress sangat, puan. Tak elok untuk anak dalam
kandungan tu. Rehat-rehatkan fikiran. Kalau ada masalah pun jangan tekan diri
sampai jadi macam ni. Kalau banyak sangat menangis nanti tekanan darah naik.
Bahaya!” ucap Safiah lagi sambil mengusap bahu Laila.
Kemudian wanita itu memandang Lukman. “Encik kalau ada
apa-apa masalah sekalipun kalau boleh jangan bincang apa-apa masalah dulu
sekarang. Biar keadaan isteri encik ni pulih dulu. Keadaan dia belum cukup
stabil lagi,” ujar Safiah kepada Lukman pula. Lukman sekadar mengangguk.
Malunya!
Lukman menghela nafas perlahan. Dia sudah tidak tahu apa
yang harus dikatakan lagi. Lebih dari itu, dia tidak mahu apabila bercakap
tentang ini Laila akan lebih tertekan sedangkan keadaannya masih belum stabil
sepenuhnya. Akhirnya mereka berdua terus berdiam diri melayan perasaan
masing-masing.
Akhir
Selepas usai makan tengahari, Laila tidak menyangka dia akan menerima kunjungan
daripada keluarga mertuanya. Bukan sekadar ayah Lukman yang datang tetapi emak
Lukman dan Amirah juga turut datang. Baguslah, fikir Laila. Hari ini dia nekad
mahu segalanya diselesaikan.
“Laila macamana sekarang?” soal Tan Sri Fatah lembut.
“Laila baik sikit, ayah.” Laila membalas lembut. Kekok
dia melihat renungan emak mertuanya itu. Namun dia sudah tidak gentar lagi.
Pedulikan! ucap hatinya nekad.
“Luk kata Laila jatuh semalam. Jatuh kat mana?” Amirah
pula bersuara. Dia memandang abangnya. Lelaki itu nampak aneh.
“Waktu nak balik semalam Laila terjatuh kat tangga
eskulator waktu nak ke stesyen ERL. Laila jalan laju sangat sebab nak kejar
tren ERL semalam. Tak sangka sampai jadi macam ni,” cerita Laila serba ringkas.
“Kau ni macamana jaga bini, Luk? Sampai jatuh kat
eskolator pulak? Kau tak ambik Laila ke semalam? Kaukan ada kereta?” tanpa
diduga suara Puan Sri Mahani terus lantang menghentam Lukman yang diam sahaja
di tepi tingkap.
Lukman terus terkejut apabila dia pula yang dimarahi
emaknya.
“Ma, bukan salah Luk. Laila yang tak bagi Luk jemput
Laila.” Laila lantas menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Memang dia yang tidak
membenarkan Lukman menjemputnya semalam.
“Ha? Kenapa pulak Laila tak bagi Luk jemput Laila? Kan
senang kalau naik kereta? Takdelah sampai jadi macam ni. Nasib baiklah baby tu
tak apa-apa.” Kali ini nada tajam itu tertuju buat Laila pula.
Laila hanya diam tidak terus menjawab.
“Berapa lama agaknya Laila kena tahan di sini?” Tan Sri
Fatah segera mencelah mematikan suasana tegang itu.
“Tak tahu lagi, ayah. Kena tunggu sampai doktor berpuas
hati dengan keadaan Laila. Lagipun doktor kata Laila kurang darah dan kurang rehat.
Tekanan darahnya pun tinggi semalam. Sebab tu dia lemah.” Lukman segera
menjawab bagi pihak isterinya itu. Namun nadanya amat lemah. Sudahlah Laila
membencinya emaknya pula, pantang ada peluang asyik marahkannya. Tidak
tertanggung tekanannya saat ini.
“Kurang darah? Laila tak makan ke? Laila selalu tak makan
ke, Luk?” Puan Sri Mahani semakin tidak berpuas hati dengan apa yang
didengarinya itu. Lukman terkumpal-kumpal tidak mampu menjawab.
“Tengok? Laila makan ke tidak pun kau tak tahu. Kau ni
tak tahu jaga anak bini agaknya. Nak berbini tapi menjaga bini kau tak tahu!
Kau fikir jadi suami ni bagi duit bulan-bulan aja dah cukup? Kesihatan bini kau
sendiri kau kena ambil tahu. Bukannya semua benda yang mama tanya kau tak tahu!
Apa nak jadi dengan kau ni entahlah! Buat anak pandai. Tapi bila bini dah
memboyot macam ni kau boleh biarkan dia naik tren balik kerja. Nasib baik baby
tak apa-apa! Kau ni memang tak boleh diharap!” Lekas sahaja Puan Sri Mahani
menghentam Lukman di hadapan Laila dan suaminya itu.
Amirah hanya diam memandang abangnya itu. Kasihan pula
dia melihat wajah mendung Lukman. Lukman hanya diam. Dibiarkan telinganya
menadah leteran emaknya itu. Dia tahu emaknya marah kerana mengambil berat akan
kandungan Laila. Dia tahu marah-marah emaknya itu, emaknya tetap mengharapkan
cucu-cucu yang bakal lahir itu.
“Mah, janganlah marah-marah macam ni. Laila tukan tengah
sakit. Nanti tertekan dia lagi susah,” ucap Tan Sri Fatah lembut.
Puan Sri Mahani menjeling Lukman geram. Masih berbuku hatinya
pada anak lelakinya itu. Muka sedih itu masih tidak mampu menerbitkan rasa
simpatinya sebaliknya dia semakin geram.
“Mama, ayah, Laila ada perkara yang nak dikatakan. Laila
harap mama dan ayah jangan terkejut dengan apa yang Laila akan katakan nanti..”
“Laila!” pintas Lukman tidak membenarkan. Dia dapat
mengagak apa yang mahu dikatakan Laila.
“Laila nak selesaikan sekarang. Laila dah tak sanggup
lagi!”
“Takkan sekarang, Laila? Kita bincang dulu! Biarlah
keadaan tenang dulu baru kita bercakap pasal ni!” tegas Lukman agak keras.
“Abang dah janji abang akan tunaikan apa yang Laila nak
kalau Laila ikut segala kehendak abang. Tunaikan janji abang tu! Sampai bila
abang nak siksa Laila macam ni? Abang sendiri kata Laila ni banyak menyusahkan
abang. Untuk apa kita teruskan lagi?” tekan Laila sedikit lantang.
“Laila, dia orang semua tu tak sabar-sabar nak tengok
rumahtangga kita musnah. Itu ke yang Laila nak? Laila sanggup tengok anak-anak
kita hidup tanpa ayah? Abang tahu abang buat salah. Tapi takkanlah Laila tergamak
memalukan abang depan orang tua abang sendiri?” bentak Lukman dengan dada yang
turun naik menahan perasaan.
“Laila dah tak peduli lagi! Tolonglah lepaskan Laila dari
semua ni! Semenjak kenal abang hidup Laila hanya ada sengsara. Laila dibenci
tanpa sebab. Sampai bila abang nak tengok Laila macam ni?” jerit Laila sudah
tidak tertahan. Berderai lagi air matanya.
Baik Tan Sri Fatah mahupun Puan Sri Mahani juga Amirah
mereka terpinga-pinga melihat sepasang manusia itu bertengkar di hadapan mereka
tanpa segan silu. “Apa semua ni, Lukman?” jerkah Puan Sri Mahani tidak sabar.
“Mama..”
“Laila, jangan buat abang macam ni. Laila tak tahu apa
yang tengah abang tanggung sekarang. Jangan hukum abang melulu, sayang. Please..” pintas Lukman sebelum sempat
Laila membuka rahsia itu.
“Laila tak nak hidup dengan abang lagi! Cukuplah kita
setakat ini.” Laila menggeleng berkali-kali menyatakan pendiriannya. Dia tidak
sanggup melalui keadaan ini berterusan. Bagaimana untuk dia hidup dengan lelaki
yang tidak mampu dipercayainya?
“Kenapa ni, Laila? Lukman? Ada apa ni?” tanya Tan Sri
Fatah cuba ikut campur.
“Ayah, Laila dah nekad. Laila nak minta cerai!” Laila
lebih pantas menjawab sebelum sempat Lukman menjawab.
Tan Sri Fatah terus tergamam dalam pada dia beristighfar
sendiri. Begitu juga dengan Puan Sri Mahani. Biarpun tidak begitu gemarkan
menantunya itu namun dia tidaklah sekejam itu untuk bergembira melihat
rumahtangga anak lelakinya itu roboh.
Lukman lebih tergamam dalam pada menahan hati yang hancur
dengan perbuatan isterinya itu. Maruahnya jatuh menyembah bumi saat dirinya
dipanah oleh pandangan emak dan ayahnya yang menagih penjelasan. Lukman terus
berpaling memandang ke luar tingkap. Saat ini kudratnya untuk mempertahankan
dirinya sama sekali sudah tiada. Dalam pada itu matanya sudah mula kabur oleh
air mata. Betapa saat ini dia merasakan dia sudah kehilangan segala-galanya!
Mahligai seribu mimpinya sudah musnah menyembah bumi.
“Lukman, jelaskan pada ayah apa semua ni?” soal Tan Sri
Fatah kepada anaknya itu.
“Laila boleh jelaskan semuanya. Beritahu semuanya, Laila.
Biar mama dengan ayah tahu siapa abang sebenarnya. Beritahulah..” ucap Lukman
pasrah tanpa menoleh kepada isterinya itu. Dia kembali berdiri di tepi tingkap
itu.
Laila tanpa berfikir panjang lagi terus menceritakan
semuanya. Kebencian yang ada di hatinya membuatkan dia nekad tidak mahu
berahsia lagi. Ketiga-tiga manusia yang serius mendengar setiap butir bicaranya
itu terlopong bagaikan tidak percaya.
“Betul ke apa yang Laila katakan ni, Lukman?” tengking
Tan Sri Fatah lantang.
Lukman sekadar mendiamkan diri sambil merenung nasibnya
melalui luar jendelanya. Tega benar Laila mengaibkan dirinya di hadapan kedua
ibu dan ayahnya tanpa berbincang dahulu dengannya. Sedangkan mereka masih tidak
tahu apa sebenarnya yang berlaku. Lukman sendiri masih keliru mengapa dia
sanggup meniduri Mastura. Apa yang dia tahu dia tidak melakukannya di bawah
kewarasan dan kerelaan sendiri. Biarpun dia bersalah namun dia masih seorang
suami. Apakah cintanya langsung tidak bernilai kepada Laila selama ini?
“Cakap, Lukman! Jangan diam saja! Apa semua ni?” kali ini
Puan Sri Mahani pula membentak Lukman.
Lukman berpaling kepada kedua ibu dan ayahnya. Seketika
kemudian dia menyeluk poket seluarnya. Kunci keretanya dikeluarkan dan dia
mendekati ayahnya. Tangan lelaki itu diambilnya lalu kunci itu diletakkan di
atas telapak tangan Tan Sri Fatah.
“Maafkan Luk, ayah. Tolong jaga Laila dan anak-anak Luk
baik-baik. Luk tak tahu apa nak kata pada ayah. Luk memang banyak buat salah
selama ini ayah. Pasal Nazim dan Mastura itu memang betul. Luk memang pernah
buat semua tu. Begitu juga dengan perempuan-perempuan tu semua. Luk tak boleh
nafikan sebab memang jelas Luk pernah tersasar suatu masa dulu, ayah. Luk dah cuba
sebaik mungkin untuk perbetulkan keadaan tapi ini juga yang terjadi. Luk masih
ingat ayah pernah kata pada Luk sebelum Luk ke Cambodia dulu. Hanya sekali
sahaja lagi peluang yang ayah akan beri pada Luk. Luk dah cuba untuk berubah,
ayah. Tapi Luk dah gagal kesemuanya. Luk tahu lepas semua yang ayah dah tahu
tentang Luk, tempat untuk Luk di sini dah takde lagi. Mulai saat ni Luk akan
letak jawatan di syarikat.” Lukman menunduk sedikit saat meluahkan bicaranya.
“Luk minta ampun, mama. Luk dah terlalu banyak melukakan
hati mama selama ini. Mama tolonglah jaga Laila selama Luk takde ni. Luk dah
tahu kepada siapa dapat Luk sandarkan harapan ni, selain mama. Luk nak mama
faham sesuatu. Perkahwinan ni adalah sesuatu yang paling berharga yang pernah
ada dalam hidup Luk. Luk teramat-amat sayang Laila, ma. Luk tak mahu mama terus
benci dia. Kalau mama terus benci dia bermakna mama juga bencikan Luk,” ucap
Lukman dalam kesayuan. Perlahan dia mendekati ibunya. Tangan wanita itu tetap dikucupnya
walaupun dia masih melihat mata ibunya membulat garang kepadanya.
“Luk minta ampun dari hujung rambut sampa hujung kaki,
mama. Sebagai anak Luk tak mampu jadi anak yang mama harapkan. Luk banyak buat
dosa pada mama dan ayah,” ucap Lukman sebak.
“Kalau kau dah tahu begitu, kenapa kau masih buat semua
tu? Kenapa, Lukman?” jerkah Puan Sri Mahani lantang. Tangannya ditarik kasar
dari anaknya itu. Saat ini kemarahan yang tidak tertahan membuatkan dia terasa
mahu menangis. Hanya seorang emak yang akan faham betapa hampanya dia saat ini
melihat anaknya jadi begini.
“Luk tak tahu apa nak cakap pada mama tentang itu. Luk
tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Luk minta maaf, ma.” Akhirnya Lukman
menangis juga. Teresak-esak dia di hadapan emaknya itu. Namun seketika kemudian
Lukman meraup wajahnya cuba meredakan kesedihannya. Wajah ibunya kembali
dipandang. Mata ibunya berkaca memandangnya. “Tolong jaga Laila, ma. Dia hanya
ada mama selepas ini. Tolong jangan abaikan anak-anak Luk,” pinta Lukman sayu.
Seketika kemudian Lukman memandang isterinya itu.
Alangkah sedih hatinya melihat raut itu. Mata Laila sembab, sudah tentu kerana
terlalu banyak menangis. Kerana dirinya wanita itu merana. Sesungguhnya ini
bukanlah impiannya semenjak dia menyedari hatinya terpaut kepada wanita itu.
“Laila, abang sebenarnya tak tahu macamana nak teruskan
hidup abang tanpa kehadiran Laila di sisi abang. Tapi tak apa.. abang memang
bersalah kepada Laila. Tentang Nazim dan Mastura, abang memang salah. Abang
mengaku abang memang ada di hotel tu. Abang mengaku semua yang berlaku dulu tu,
rancangan jahat abang dengan Nazim. Tapi itu dulu.. ada waktunya manusia
berubah, Laila. Macam tu juga dengan abang. Selama kita hidup bersama, abang
hanya ada Laila dalam hidup abang. Abang sayangkan Laila selama ini. Tapi
selepas apa yang berlaku antara abang dan Mastura, abang akui cinta abang
memang takde nilainya lagi.
Laila tak mahu tengok muka abang lagi, abang akan pergi,
sayang. Abang pernah berjanji abang takkan biarkan Laila menderita lagi. Kalau
ketiadaan abang dalam hidup Laila membuatkan Laila bahagia, abang terima dengan
hati yang terbuka. Tapi abang minta pada Laila, jaga anak-anak abang baik-baik.
Itulah harta abang yang masih tinggal buat diri abang.” Lukman tunduk seketika
menelan liurnya.
“Laila, waktu abang nikahi Laila dulu, abang ada lafazkan
taklik. Sekiranya 4 bulan berturut-turut abang tak balik dan Laila tak menerima
nafkah dari abang atau mana-mana ahli keluarga yang mewakili abang, sekiranya
Laila ada pergi membuat aduan pada mahkamah syariah maka jatuhlah talak khuluk
pada Laila. Abang pulangkan semuanya kepada Laila untuk Laila putuskan apa yang
terbaik untuk diri Laila sendiri. Demi Tuhan abang hanya nak Laila bahagia
dengan abang. Tapi sayangnya keadaan tu tak akan berlaku. Lepas semua yang
berlaku hari ini abang dah tak tahu apa lagi yang abang ada untuk
mempertahankan hubungan kita. Jaga diri, sayang. Ingatlah kasih sayang dan doa
abang akan selalu mengiringi Laila dan anak-anak kita biar di mana pun Laila
berada. Tolong jaga anak-anak abang baik-baik, sayang. Abang minta maaf atas
semua kesalahan abang pada Laila selama ini. Demi Allah abang tak berniat untuk
curang.”
Laila tidak terjawab kala itu. Melihat kesedihan di wajah
suaminya dia tiba-tiba dihambat rasa kehibaan yang maha hebat. Air matanya
terus mengalir tanpa henti. Puaskah hatinya dengan apa yang berlaku?
Kesemua manusia di dalam bilik itu terpaku memandang
langkah longlai Lukman. Tan Sri Fatah lebih-lebih lagi. Dia terduduk di birai
katil itu menekan dada. Sesungguhnya hanya Tuhan yang mengerti rasa yang sedang
memalu hebat hatinya kala itu. betapa hanya Allah yang mengerti betapa hancur
hatinya melihat harapan yang disandarkan sudah berkecai seribu. Hanya Amirah
yang pantas mengejar langkah abangnya itu.
Laila tersandar kelu saat memandang Lukman berlalu. Entah
kenapa saat itu dia tidak juga mendapat kegembiraan yang diharapkannya. Mengapa
hatinya masih hancur melihat Lukman pergi? Matanya ini sekali lagi menyaksikan pemergian
seorang lagi Nahij dari hidupnya.
Selama
enam hari Laila ditahan di wad, kelibat Lukman sudah tidak kelihatan lagi.
Lesap! Hilang begitu sahaja. Dia benar-benar mengotakan kata-katanya.
Berita tentang itu akhirnya tiba juga ke pendengaran Haji
Syahar. Lelaki itu tiba di Kuala Lumpur bersama anak sulungnya dan Maryam.
Terasa seolah-olah mimpi belaka. Baru sekejap dia melihat gelak tawa Laila
tanda bahagia dengan kehidupannya. Kini semua itu sudah lenyap semuanya. Remuk
hatinya melihat tangisan tidak terkawal anak perempuannya itu. Menandakan
kesengsaraan hatinya bagaikan sudah tidak tertanggung. Tiada pujukan dapat
diberikan melainkan meminta Laila beristigfar agar dia reda dengan ujian Allah.
Di perkarangan wad itu ramai ahli keluarga berkumpul.
Kesugulan pasangan besan itu menandakan ada sedikit kesan telah merosakkan
hubungan mereka. Sementara Tan Sri Fatah dan Haji Syahar berbincang di dalam
bilik itu, anak-anak yang lain diminta menunggu di luar. Masing-masing tidak
mahu perbincangan itu nanti diresapi emosi dan amarah yang akhirnya mengusutkan
keadaan yang sudah terlalu kusut.
Arman memilih turun ke lobi hospital itu memandangkan
kawasan itu agak sesak dengan pelawat. Dia duduk termenung sendiri di bangku di
luar hospital itu. Hanya perihal adik kesayangannya itu yang bermain di
fikirannya. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu sayu di hatinya melihat
tangisan Laila tadi. Dia sendiri tidak tahu apa reaksi yang harus diberikan
atas peristiwa yang amat mengejutkan ini.
“Man..” sapa satu suara lembut dari tepi. Arman
mengangkat wajahnya kepada wanita itu. Syahreena berdiri di tepi sambil
memandangnya.
Tanpa disuruh Syahreena duduk di berselang satu kerusi
dari Arman. Wajah lelaki yang sedikit pun tidak terhias senyuman tidak lepas
dari pandangannya. Syahreena sedar Arman pasti kecewa dengan apa yang berlaku
kepada Laila. Arman pula sekadar tunduk merenung lantai tanpa berkata apa-apa
kepada Syahreena. Tidak tahu apa yang mahu dibualkan dengan wanita itu.
“Saya sebenarnya terkejut sangat dengan apa yang berlaku.
Saya tak sangka Lukman akan buat macam ni pada Laila,” luah Syahreena memulakan
kata. Pahit perasaannya mengenangkan itu. Sampai hati benar Lukman meninggalkan
Laila dalam keadaan begini.
“Saya tahu awak mesti marah atas semua ni. Saya bagi
pihak keluarga saya betul-betul minta maaf pada awak sekeluarga, Man. Kami tak
mampu tepati janji waktu kami datang meminang Laila untuk Lukman.” Syahreena
menyambung lagi kepada lelaki itu.
Arman terus berdiam. Apa yang sedang dirasainya saat ini
bukannya marah sebaliknya kecewa yang teramat sangat. Dia sedih melihat
ayahnya. Dia sayu melihat keadaan adiknya.
“Man, cakaplah sesuatu. Jangan berdiam macam ni.”
Arman menoleh kepada wanita itu dengan tatapan kosong.
“Saya takde apa nak cakap. Semuanya dah jadi. Saya cuma nak bawak Laila balik
kampung dan biarkan dia berehat buat sementara waktu ni,” balas Arman tanpa
perasaan.
Syahreena menelan liurnya payah. Sekilas dia memandang
dia tahu Arman memendam rasa. Dia hanya berdiam begini mungkin kerana tidak
mahu tindakannya memburukkan lagi keadaan ini.
“Saya tak mahu kerana perkara ini dua keluarga ini
bermusuhan, Man.”
Arman tiba-tiba ketawa sambil bersandar dan membuang
pandang ke arah lain. Geli hati pula dia mendengar bicara wanita ini. Mudahnya?
Setelah menyakitkan dan terus menyakitkan, Syahreena meminta agar mereka tidak
bermusuh?
Syahreena semakin tidak sedap hati melihat gelagat Arman.
“Awak memang dah buktikan saya ni memang tak sesuai untuk
dekati awak. Adik awak dan mak awak dah buktikan lebih dari itu. Adik saya tu
jadi sampah akhirnya! Kami memang tak cukup baik untuk berada dalam kalangan
keluarga awak, betulkan? saya memang terlalu banyak buat salah dalam menilai
Lukman selama ini,” ucap Arman sinis dengan senyum kelatnya.
Syahreena terdiam seketika mendengar bicara Arman.
Malunya bertimpa-timpa. Sudahlah dia menolak lelaki ini. Kini Lukman pula buat
Laila begitu. “Kami sikit pun tak berniat begitu selama ni, Man.”
“Whatever!” celah Arman malas mahu mendengar lagi. Dia terus
memandang ke arah lain. Sedaplah kau bercakap. Yang kena bukan adik kau! Cemuh
Arman dalam diam.
“Man, saya tahu awak marah. Sekali lagi saya minta maaf.
Saya tahu selama ini mak saya tak layan Laila dengan baik tapi itu tak bermakna
kami tak terima Laila. Awak tahukan yang ayah saya sayangkan Laila. Macam tu
juga dengan adik beradik saya yang lain. Sedetik pun kami tak pernah
membayangkan perkahwinan Laila dan Lukman ni hanya untuk setakat ini.”
Syahreena cuba memujuk lagi tanpa mengalihkan pandangan dari lelaki itu.
Arman tunduk tiba-tiba sambil menekup wajahnya dengan
kedua-dua belah telapak tangannya. Kepalanya tergeleng-geleng seolah-olah cuba
menidakkan kekesalan yang bermukim di hatinya. Siapa yang tidak sedih jika adik
sendiri diperlakukan seperti ini. Tidak putus-putus dugaan datang menimpa
Laila.
“Man.. saya minta maaf.”
“Jangan minta maaf lagi. Maaf awak hanya buat hati saya
semakin sakit. Saya cuma perlukan masa untuk tenangkan hati saya. Itu saja,”
jawab Arman mula tenang.
Kali ini Syahreena terdiam menerima pendirian lelaki itu.
Buat seketika mereka berdua membisu di bangku itu. Masing-masing semakin
janggal mahu berbual mesra.
“Sekeping gambar boleh menceritakan seribu satu cerita.
Saya nak letakkan sedikit keyakinan bukan itu sebenarnya yang berlaku. Saya
tahu Laila sayangkan Lukman sebab tu dia jadi macam tu. Saya tak mahu
merosakkan perasaan dia dan saya tak mahu bunuh keyakinan saya selama ini. Tapi
kenapa Lukman lari! Itu yang saya kesal,” ucap Arman tiba-tiba. Syahreena
kembali memandang lelaki di sebelahnya itu.
“Maaflah.. saya bukannya nak marah atau nak menghukum
sesiapa.” Arman berkata lagi sambil memandang Syahreena yang setia merenungnya.
“Saya cuma nak tengok adik saya happy macam orang lain,
Reen. Dah lama saya tak nampak keceriaan tu ada pada wajah Laila. Saya nampak
keikhlasan dia pada Lukman. Saya nampak kasih sayang dia waktu dia melayan
Lukman ketika dia sakit. Saya tahu dia sayangkan Lukman dan saya pun tahu
Lukman juga sayangkan Laila. Sebenci-benci saya pada Lukman, saya tak tergamak
nak melihat pengakhiran mereka jadi seperti ini. Saya beri diri saya peluang
untuk terima hakikat tentang mereka berdua. Sebagai abang, saya cuma nak tengok
mereka berdua hidup saling melengkapi antara satu sama lain.”
“Saya tahu, Man. Saya faham apa yang awak rasa. Saya
jugak berpendirian macam tu,” jawab Syahreena lembut. Pemarahkah lelaki ini
sebenarnya, jika ini reaksinya tentang apa yang berlaku? Sedikit sebanyak
persepsi Syahreena tentang Arman mula terpesong. Lelaki ini langsung tidak sama
seperti yang disangkanya.
“Saya cuba untuk berfikiran positif, Reen. Semua orang
ada buat salah dalam hidup ni. Takde suami dalam dunia ni boleh hidup tanpa
buat satu kesalahan pun kepada isteri. Takde seorang suami pun dalam dunia ni
boleh jadi sesempurna manusia tanpa melukai hati isteri sepanjang hidup bersama.
Tapi sebagai lelaki, dia kena berdepan dengan setiap kesalahan dia. Itu baru
namanya lelaki! Bukannya melarikan diri macam ni..”
Syahreena akui apa yang diucapkan Arman itu benar.
Melarikan diri hanya membuatkan keadaan semakin sulit. Dia sendiri tidak tahu
apa yang berada di fikirannya adiknya itu sehingga sanggup melakukan perkara
seperti ini. bila dah terkantoi, senang aja dia pergi meninggalkan semuanya
untuk ditanggung oleh ahli keluarganya yang lain. Syahreena tahu ayah dan
mamanya malu besar kepada Haji Syahar. Tetapi ayahnya tetap mahu berhadapan
dengan besannya itu walau apapun yang bakal berlaku.
“Saya takde idea langsung ke mana Lukman menghilang. Saya
dah cuba cari dengan kawan-kawan dia tapi takde siapa yang tahu ke mana dia
pergi. Saya tak faham apa yang dia cuba lakukan sebenarnya. Saya tak tahu apa
sebabnya dia curang sedangkan selama ini saya tahu dia amat sayangkan Laila,”
jawab Syahreena perlahan.
“Mungkin dia hanya nak tenangkan fikiran dia. Kalau saya
jadi dia, saya pun tak tahu macamana nak berdepan dengan semua orang dalam
keadaan macam ni,” ujar Arman dengan andaian sendiri. Sebenarnya itulah
harapannya. Harap-harap Lukman tidak terus membiarkan Laila begitu sahaja.
Anak-anak itu perlukan seorang ayah.
Syahreena terdiam memandang Arman. Semakin banyak
persepsi buruknya menghilang mendengar bicara lelaki itu. Dia tidak sangka
Arman masih mahu berfikir seperti ini setelah apa yang dilakukan Lukman.
Yalah.. lelaki mestilah faham perasaan lelaki, ya tak? Lebih-lebih lagi dalam
isu curang pada isteri dan kahwin banyak. Lelaki yang paling faham perasaan
lelaki. Telahan itu pula bermain dalam fikiran Syahreena.
“Awak pun jenis macam tu jugak ke?” tanya Syahreena entah
kenapa.
“Jenis macamana maksud awak?”
“Jenis lelaki yang pernah tak cukup dengan apa yang dah
ada. Dah ada isteri pun masih nak cari perempuan di luar.” Syahreena menjawab
sedikit meleret. Dari Laila dia pernah mendengar Arman juga ramai teman wanita.
“Masalahnya saya belum ada. Manalah saya tahu saya dah
cukup ke belum dengan yang dah ada,” jawab Arman perlahan sahaja. Dia bukanlah
mahu menabik dada menabur kebaikkan diri sendiri. Tetapi alangkan seorang pun
susah rasanya untuk didapati, inikan pula nak pasang ramai-ramai? Lagipun tergamakkah
dia mempersiakan apa yang sudah dikurniakan kepadanya semata-mata untuk
kenikmatan sementara yang tidak halal seperti itu. Mungkin orang lain tidak
sependapat dengannya tetapi lelaki seperti dia sudah pasti akan berpendirian
begini. Bukan mudah untuk dia mendapat seorang wanita yang serasi untuk
dijadikan teman sehingga ke syurga.
“Seburuk-buruk saya, saya tak pernah meniduri perempuan
yang tak halal bagi saya, Reen.” Arman berkata perlahan tanpa memandang wanita
itu. Itu yang dia pasti tentang dirinya.
Syahreena terus berdiam walaupun dia mendengar apa yang
diucapkan Arman.
Arman menghela nafas perlahan. Wajahnya diraup lembut.
Kemudian dia berdiri. “Kita pergi makan? Saya dah lapar. Susah hati macamana
pun, nak kena makan jugak. Makan hati je tak dapat apa. Fikir macam nak pecah
kepala pun bukan dapat jawapan pun. Benda macam ni nak kena ambil masa barulah
kita semua boleh terima dengan lapang dada,” ucap Arman lembut.
Ajakan itu membuatkan wanita itu tersenyum senang. Dia
lantas mengangguk dan turut berdiri. Lega benar hatinya melihat sikap Arman
sudah mula melembut kepadanya.
Dah baca lebih dari bab ni di Ilhamgroup. Semoga cepat ke versi cetak. Harap boleh dapatkan yang berTT penulis. Bagila sikit² teasar kat group JHBR.
BalasPadamCerpen ni dah dicetak belum?
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamNovel ni dah keluer versi cetak ??
BalasPadamWah...jlan crita yg menarik,sya suka smua wtak2 dln nvl nie
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadamBest nyerr citer ni... Ada sambungan lagi tak...heehe baru baca..ke dh lama diterbitkan dlm novel?
BalasPadam