Jumaat, 30 Ogos 2013

23-24 MSM

23

Hari ini seperti mana rutin kebiasaan Laila setelah Lukman keluar berkerja dia akan mengemas rumah. Selepas itu dia memasak apa yang perlu bagi dirinya. Tetapi dia teringat pula kejadiam malam Lukman pulang dalam keadaan kelaparan. Sudah dua kali dia terdengar Lukman menyelongkar dapur selepas pulang dari kerja. Dia tahu Lukman mencari makanan untuk mengisi perutnya. Biarpun masih tidak sukakan lelaki itu tetapi tidak sampai hati pula untuk membiarkan begitu sahaja.
Jadi Laila memutuskan untuk memasak lebih sedikit. Walaupun tidak pernah menganggap lelaki itu istimewa tetapi dia tidak sampai hati pula melihat Lukman makan nasi dengan hanya berlaukan telur goreng sahaja.
Sedang dia sibuk menumis di dapur telefon bimbitnya berbunyi lantang. Laila terkocoh-kocoh mencari telefonnya itu di ruang tamu. Setelah dia menjawabnya terdengar suara Lukman di menerobos masuk ke lubang telinganya.
“Hmm.. ada apa?” soalnya mula dingin semula. Mood baiknya bertebaran pergi setelah disapa oleh suara lelaki itu.
“Kau buat apa kat rumah?” itu pula yang ditanyakan Lukman. Nadanya bersahaja seolah-olah tiada apa yang penting mahu dibicarakannya.
“Saya tengah memasak ni. Ada apa? Cakaplah cepat! Nanti hangus pulak lauk saya kat atas dapur tu,” getus Laila tidak mahu bergayut lama di telefon sedangkan dia ada kerja yang sedang menanti.
“Emmm.. kau memasak? Mesti sedap kau masak. Boleh masak untuk aku sekali?” dengan muka selamba Lukman bertanya. Langsung tidak mengambil serius permintaan Laila agar mempercepatkan perbualan mereka ini.
“Eeii.. tak malu betul suruh orang masak untuk dia. Awak telefon saya ni setakat nak cakap pasal tu je ke?” balas Laila sedikit jengkel.
Lukman ketawa seketika. “Taklah. Saja je aku nak usik kau. Aku ada jumpa Pak cik Abdullah awal pagi tadi. Dia ada bagitahu aku yang kau tolak tawaran kerja yang dia offer dulu. Kau betul-betul tak mahu kerja di sana?” tanya Lukman lembut.
“Pak cik Abdullah?” soal Laila agak keliru. Dia bertanya kerana tidak mahu tersalah sangka.
“Yalah. Kan kau kata kau nak kerja di UMBS hari tu. Pak cik Abdullah tu GM kat situ,” jelas Lukman kembali mengimbas apa yang pernah diberitahu Laila sebelum ini.
Laila diam seketika. Bukankah dia secara rasmi sudah memberi tahu yang tawaran kerja di UMBS itu terpaksa ditolaknya? Bercakap semula soal ini membuatkan dia mula ragu dengan keputusan yang telah dibuatnya.
“Emmm.. dia cakap apa lagi dengan awak?” soal Laila agak perlahan.
“Dia masih nak offer kau kerja tu. Dia ada tanyakan kau tadi. Dia kata kalau kau masih mahu berkerja datanglah jumpa dia minggu depan,” jawab Lukman.
“Saya dah putuskan sebelum ni yang saya takkan kerja di sana. Saya dah dapat kerja lain. Saya takkan ubah keputusan saya tu.”
“Kenapa?”
“Kan saya dah katakan sebabnya sebelum ni? Perlu ke saya cakap banyak kali?” balas Laila mula meninggi suaranya. Geram pula kerana Lukman dilihatnya seperti tidak faham bahasa. Suka menguji pendiriannya sedangkan lelaki itu tahu perasaannya.
“Hmm.. takpelah kalau macam tu. Nanti aku bagitahu dia. Dia ada kata Mak cik Maznah rindu nak jumpa kau.” ujar Lukman tenang sahaja. Suara meninggi Laila tidak dihairankannya. Ini mesti pasal tak mahu jumpa Asmadi, fikir Lukman.
“Nanti saya akan call Mak cik Maznah sendiri. Ada apa-apa lagi?”
“Er.. aku cuma nak tahu, kau larat lagi ke nak pergi kerja nanti? Kaukan tengah mengandung sekarang? Selalu pagi-pagi sebelum aku pergi kerja teruk juga aku dengar kau muntah,” ujar Lukman dalam rasa ragu dan perihatinnya dengan keupayaan Laila. Walaupun Laila tidak pernah mengadu kepadanya namun dia tahu alahan kehamilan yang dialami Laila teruk juga. Kasihan namun dia tidak berupaya melakukan apa-apa selain dari menyimpan rasa simpati itu di dalam hati.
“Kenapa kalau saya mengandung? Berlambak perempuan mengandung berkerja. Tak mati pun. Dia orang pun muntah waktu pagi juga,” balas Laila selamba. Malas sudah dia mahu melayan bicara Lukman yang dirasakan tidak lagi mempunyai isi-isi penting.
“Yalah.. takut kau tak larat. Kalau kau tak mahu kerja pun takpe,” sambut Lukman bersahaja.
“Ha’ah! Kalau saya tak kerja siapa nak bagi saya dengan budak dalam perut saya ni makan? Awak?” balas Laila agak tajam mengejek.
“Aku boleh bagi kau lebih lagi, Laila. Bukan setakat makan minum aja. Tapi nak buat macamana kalau orang tak sudi. Nak ajak makan sekalipun payah inikan pula nak belanja makan. Selagi kau masih isteri aku makan pakai kau tanggungjawab aku. Aku tak pernah lupa tentang itu! Aku memang jahat tapi aku bukannya lelaki kedekut sampai tak kisahkan keadaan isteri dan anak aku.” Pantas Lukman mengeraskan suaranya membalas semula ejekan Laila itu.
“Ya! Selama saya masih isteri awak bolehlah awak bagi saya makan. Tapi kalau awak dah ceraikan saya nanti takkan awak nak bagi saya makan jugak kot? Kena jugak saya cari makan sendiri. Saya bukannya jenis perempuan yang jual tubuh badan semata-mata untuk cari makan!” Kala itu semakin tidak tertahan mulut Laila mahu terus-terusan menyindir Lukman.
Lukman mengertap rahang, menahan perasaan di hujung talian. Sindiran itu tidak begitu menyakitkan hatinya tetapi perkataan cerai yang disebutkan Laila bagaikan bom atom yang diletupkan di lubang telinganya. Hatinya mula panas terbakar. Entah kenapa suka benar topik itu dijadikan modal dalam perang mulut mereka oleh. Sudah macam satu kebanggaan bagi Laila menyebut pasal cerai.
Radang yang marak membakar hatinya cuba ditahannya. Namun dia hanyalah manusia biasa yang ada perasaan. Kadang kala lidah wanita itu begitu mudah mencipta buah pergaduhan untuk mencalarkan sekeping hatinya yang ikhlas kepada Laila dan anaknya itu. “Rasanya masih ada banyak masa lagi sebelum sampai ke arah itu, Laila. Tapi nampaknya kau macam dah tak sabar sangat. Belum sampai sebulan kau jadi isteri aku, kau asyik bercakap pasal cerai. Kau nak sangat jadi janda ya? Selalunya perempuan paling takut untuk bercerai tapi kau macam nak bercerai sekarang jugak! Hina sangat ke jadi isteri aku ni, Laila? Sama hinanya dengan benih aku yang ada dalam rahim kau sampai kau tak sudi langsung menjaga makan minum anak aku?” ucap Lukman mula sengit.
Kali ini giliran Laila pula yang terdiam ditembak Lukman. Kata-kata lelaki itu benar-benar membuatkan arus hatinya berubah. Berdegup kencang jantungnya mendengar nada Lukman yang sudah lain macam. Dia mahu membalas tetapi tidak tahu apa yang mahu dikatakannya. Dalam pada itu dia mula diterpa rasa bersalah kerana bercakap mengikut sesedap mulut.
“Takpelah, aku faham. Aku memang tak layak untuk dihormati oleh perempuan semulia kau. Aku pun tak mahu kita bergaduh pasal hal yang remeh temeh ni. Aku tak kisah kau nak bencikan aku tapi aku minta pada kau satu aja. Jaga kandungan kau tu baik-baik. Lepas kau lahirkan dia nanti kau bebas buat apa saja yang kau nak. Aku takkan halang.” Rendah nada Lukman saat itu. Biarlah dia mengalah kali ini demi kesihatan Laila dan anaknya.
Laila diam lagi. Perasaannya mula berasa tidak sedap apabila mendengar nada Lukman yang sedang berkecil hati dengannya. Sensitif pula Lukman sekarang. Pembawakan budak ke? Dia yang mengandung Lukman pula yang sensitif?
“Itu aja aku nak cakap. Assalamualaikum.”
“Er.. Lukman!” sempat Laila menahan sebelum Lukman memutuskan talian itu. Tidak sedap hati pula mahu membiarkan begitu sahaja. Dia tahu dia sudah berlebihan dalam meluahkan bicara. Dia tidak mahu munafik kepada dirinya sendiri. Selama ini biar sekeras mana dia mencuba, dia tidak pernah mampu melupakan hakikat yang Lukman adalah suaminya. Dia tahu ujian yang diberikan haruslah berbatas. Jangan sampai dirinya yang dianggap nusyuz sedangkan dia tahu segala kemahuan seorang suami harus ditaati selagi kehendak suami dibenarkan hukum syarak.
Tanpa menyahut Lukman sekadar membisu di hujung talian menanti apa yang mahu diucapkan Laila kepadanya. Moodnya untuk berbual mesra sudah hilang. Jadi lebih baik dia diam sahaja.  Bimbang apa yang didengarinya nanti akan membuatkan dia lebih payah menahan diri dari api kemarahan.
“Saya minta maaf kalau apa yang saya cakap tadi dah menyakitkan hati awak. Saya tak sengaja,” ujar Laila perlahan.
“Aku yang patut minta maaf. Aku yang bersalah selama ini. Kau tak salah apa-apa, Laila. Pada aku sekarang aku cuma nak menjaga kebajikan kau selagi kau sudi jadi isteri lelaki hina macam aku ni. Tapi kalau kau tak sudi terima segala kebaikan aku, takkan aku nak paksa. Aku tahu aku memang lelaki yang teruk selama ni. Cumanya aku minta sangat-sangat pada kau. Memang anak tu anak lelaki yang kau tak suka. Tapi dia langsung tak bersalah pada kita. Kau jangan bencikan dia disebabkan kesalahan aku, Laila. Kalau kau nak hukum, hukumlah aku. Aku yang bawa dia ke dunia ni dalam cara yang kotor begitu,” luah Lukman sedikit sayu.
“Saya takde sebab nak hukum budak ni. Memang saya tak suka pada ayahnya tapi saya tak pernah lupa anak ni lahir dari rahim saya. Saya tahu tanggungjawab saya pada dia!” tegas Laila tidak rela menerima tuduhan Lukman.
Lukman menghela nafas perlahan. Hatinya masih tidak lega dengan balasan dari Laila. “Aku tahu kau memang seorang perempuan yang baik, penyayang. Tapi sebagai ayahnya, aku minta kau izinkan aku lakukan sesuatu untuk dia. Cuma ini aja yang aku mitak, Laila. Aku tak minta kau terima aku sebagai suami. Jangan tolak kebaikan yang aku hulurkan pada kau. Aku cuma tak mahu kau sakit lagi selepas ini,” sahut Lukman pula.
Laila terdiam mendengar nada Lukman yang amat rendah itu. Dalam pada itu timbul pula rasa kasihannya kepada lelaki itu. Dia sedar dia banyak menyakitkan hati Lukman. Bukannya dia tidak sedar, semenjak kebelakangan ini Lukman lebih banyak bersabar dengan kerenahnya.
“Balik kerja nanti kalau awak nak makan ambillah lauk dalam peti sejuk. Saya masak lebih sikit hari ni. Awak jangan goreng telur lagi,” ucap Laila cuba mengendurkan suasana tegang antara mereka.
“Yalah, nanti balik aku makan. Aku ada kerja nak buat ni. Assalamualaikum.”
Laila terus mematikan talian setelah menjawab salam lelaki itu. Dalam pada itu fikirannya mula terfikirkan lelaki itu. Dahulu Lukman memang kasar dengannya tetapi sekarang dia merasakan lelaki itu sudah lembut sedikit. Tetapi masalahnya, dia masih tidak mampu menolak rasa sangsinya yang masih menebal apabila terkenangkan sikap lelaki sebenar Lukman yang dianggap pakar memperdayakan perempuan. Entah-entah Lukman ada menyimpan sesuatu niat kepadanya. Siapa tahu itu semua?
Laila lantas tersedar dari menungannya apabila terbau sesuatu yang hangit dari arah dapur. Saat itu barulah dia teringat apa sedang yang dimasaknya di dapur. Alamak! Dengan pantas Laila berjalan ke dapur. Namun dia melihat apa yang berada di dalam kuali sudah pun rentung dan asap sudah berkepul memenuhi dapur itu.
Laila menepuk dahi. Gara-gara melayan penggilan Lukman dia sudah terlupa kualinya yang masih di atas api. Gara-gara melayan rasa bersalahnya dia terlupa apa yang sedang ditumisnya. Lukman memang selalu membawa malang ke dalam hidupnya!

Perlahan Lukman meraup wajahnya bersama sebuah keluhan berat apabila terkenangkan Laila. Jauh di sudut hatinya dia amat kecil hati dengan kata-kata Laila sebentar tadi tetapi dia sedar semua itu sememangnya salah dirinya. Segala kebaikannya tidak langsung memberi makna atau harga kepada wanita itu. Penolakan demi penolakan Laila semakin melumatkan rasa ikhlas di hatinya. Lukman sedih memikirkan itu.
Aku suami dia.. bisik hati Lukman. Namun sedikit pun dia tidak merasa menang dengan kenyataan itu. Suami mana yang mampu merasa bahagia jika dirinya dihadapkan dengan api kebencian isteri yang tinggi menjulang. Kesilapan masa lalunya masih terus disungkit, seolah-olah semua itu tidak akan lenyap sehingga ke akhir hayatnya. Kini Lukman kian sedar, inilah harga yang harus dibayarnya atas kesilapannya itu.
Aku menyesal, Ya Tuhan. Aku seorang lelaki yang sarat dengan dosa. Jika inilah yang harus aku tanggung seumur hidup ini, aku reda. Tetapi penuhkanlah hati ku ini dengan kesabaran agar aku tidak cepat mengalah, hati Lukman berbisik sayu.
“Luk..” panggilan itu membuatkan Lukman menoleh ke pintu biliknya. Batang tubuh Nizam dilihatnya sedang terpacak di hadapan biliknya.
“Masuklah, bang.” Lukman cuba tersenyum sambil memperbetulkan kedudukannya di kerusi.
“Kau kenapa termenung aja? Kalau ayah nampak mesti dia marah lagi. Ada masalah ke?” soal Nizam lembut sambil mendekati Lukman di mejanya.
Tadi dia sempat melihat gelagat adiknya itu. Kasihan masih bersisa di hatinya. Melihat kepura-puraan jelas sekali sedang ditunjukkan Lukman kepadanya, dia semakin tidak sampai hati. Dia tahu Lukman kian tertekan dengan segala masalah yang timbul semenjak kebelakangan ini. Terutamanya tentang ayah dan mama mereka.
“Takdelah. Luk okay je ni,” jawab Lukman bersahaja cuba menyedapkan hati abangnya itu. Namun tiada apa yang mampu melindungi kehampaan yang sedang mengempang di hatinya saat ini.
“Okay? Betul ke ni?” provok Nizam langsung tidak percaya. “Muka kau tu monyok macam ada masalah besar aja. Ayah marah kau lagi atau kau ada masalah di rumah dengan Laila?” soal Nizam lembut. Apa yang cuba dipendamkan Lukman tetap ingin dicungkilnya. Dia benar-benar tidak sampai hati melihat adiknya itu terus dipulaukan oleh emak dan ayahnya. Semenjak bernikah dengan Laila, Lukman tidak pernah pulang ke rumah lagi. Dia nekad menjauhkan diri dan semua orang seperti langsung tidak kisah dengan ketiadaan Lukman di rumah itu.
Lukman pantas menggeleng pada telahan Nizam itu. Ini sedikit pun tiada kena mengena dengan ayahnya. Ini tentang Laila yang amat susah untuk difahami. Laila yang sering memandang sinis pada dirinya.
“Habis tu kalau bukan pasal ayah, ini mesti pasal Lailakan?” sekali lagi Nizam meneka apabila Lukman tetap tidak membuka rahsia hatinya. Dia tidak ingin membiarkan Lukman tenggelam sendiri dalam masalahnya. Siapa tahu dia boleh menjadi teman berbual yang boleh meringankan tekanan Lukman?
Lukman mengeluh seketika apabila Nizam mula menyebut nama Laila. Sikap Laila yang suka menyendiri di dalam bilik sudah cukup menyesakkan perasaannya. Ditambah lagi dengan perlian yang menyakitkan telinga. Mereka langsung tidak boleh berbual dengan aman. Pengabisannya pasti akan bertekak. Keadaan ini benar-benar menyiksa batinnya. Sehingga kadang kala dia merasa berat untuk pulang ke rumah. Untuk apa pulang kalau hatinya terus disakiti? Untuk apa pulang jika kesunyian yang menjadi makanan hatinya ini? Saban hati saat pulang hanya pintu bilik Laila yang mampu dijamah oleh pandangan matanya. Sedangkan dia sangat berharap Laila akan sudi menjengulkan wajah setiap kali dia ada di rumah.
“Laila macamana dengan kau sekarang? Dah okay?” tanya Nizam apabila melihat mendung mula mewarnai wajah adiknya itu.
“Menyakitkan hati! Asyik menyindir aja,” jawab Lukman perlahan.
“Hati tengah marah memanglah macam tu. Semua ni masih terlalu baru bagi dia. Bagi dia masa sikit.” Nizam menyambut lembut.
Lukman sekadar membisu dengan pujukan mudah itu.
“Cubalah bersabar kali ni, Luk. Nanti dia sayanglah dengan kau tu. Kaukan pakar pikat perempuan? Takkanlah perempuan kampung macam si Laila tu kau tak boleh nak tawan kot? Gunalah kepakaran yang sedia ada tu untuk tawan Laila,” pujuk Nizam dalam pada menyelitkan sedikit usikan sekadar mahu membuatkan Lukman ketawa.
Lukman mendecit seketika. Pakar macamana pun dia, dia sudah merasa kalah kepada wanita itu. Laila keras hati! Paling tidak mampu dilupakan, Laila masih mencintai arwah Nahijnya. Itulah yang menyulitkan keadaannnya saat ini. Lukman tidak nampak kenapa keadaan mesti berbeza kali ini. Semenjak dahulu Laila memang sentiasa menolaknya. Tidak pernah sekali memandangnya seperti mana dia memandang Laila.
“Dalam hidup ni memang banyak cabarannya, Luk. Kenalah banyak bersabar. Abang tengok Laila tu macam perempuan baik-baik. Cantik pun cantik. Rugi kalau kau terlepas dia!” giat Nizam sengaja mahu menaikkan semangat Lukman.
“Luk tahu tu, bang. Tapi Laila tu.. sebelah mata pun tak pandang Luk ni. Luk aja yang terhegeh-hegeh nak berbaik dengan dia. Cakap baik-baik dengan dia pun tak guna. Dia asyik nak marah Luk balik. Susah betul nak faham dia!” Lukman akhirnya akur membuka rahsia masalahnya dengan Laila.
“Adatlah tu! Kau pernah buat salah dengan dia. Perasaan tu bukannya saja-saja datang. Pandai-pandailah kau ambil hati dia. Api ni lawannya air, Luk. Lagipun keras hati perempuan ni hanya sekeras kerak nasi aja. Kalau kena caranya cair juga dia akhirnya. Lagipun sebagai suami kau ada banyak peluang nak tundukkan dia pada kuasa kau sebagai suami. Abang percaya kalau kau bersabar suatu hari nanti dia akan maafkan kau juga. Yakin dengan Allah, Luk. Allah melihat keikhlasan di hati kita. Kemudian barulah Dia akan berikan ganjaran yang setimpal pada kita,” nasihat Nizam lembut.
Lukman diam sambil menghela nafas perlahan. Dia sedar perasaannya selalu goyah apabila memandang Laila terlalu lama.
“Dah berminggu kau kahwin dengan dia, masih tak berbaik lagi? Habis tu macamana kau sebilik dengan dia?” Nizam melanjutkan lagi perbualan mengenai Laila.
“Bertuahlah kalau dia sudi, bang. Mana ada kami tidur sebilik. Luk kat bilik lain dia kat bilik lain. Kalau Luk balik, dia berkurung dalam bilik. Macam dah jijik sangat tengok muka Luk ni. Nak ajak berbual sekejap pun payah. Balik-balik kita yang dikenakannya semula. Susah!” adu Lukman kehampaan.
Nizam tersenyum seketika melihat adiknya ini. “Kau ni betul-betul dah jatuh hati ke dengan Laila tu? Hari tu kau beriya-iya kau kutuk dia?” balas Nizam sengaja mahu menduga pendirian adiknya itu. Walaupun dia memang tahu kejelitaan yang dimiliki Laila memang mudah memukau setiap lelaki yang memandangnya. Inikan pula si Luman ini. Kalau sudah setiap hari serumah, takkanlah tak jatuh hati, ya tak? Hati Nizam ketawa sendiri mengenang itu.
Lukman mengerling abangnya itu. Kini Nizam pula yang mahu menyindir dirinya. Tidak habis-habis semua orang mahu mengenakannya. Tapi apa salahnya? Kalau dah cantik sangat manalah hatinya tahan memandang Laila begitu sahaja? Dia bukannya tunggul mati! Dia juga mahu menyayangi dan disayangi oleh isteri sendiri. Eh! Bukan ke aku yang meminta untuk memilih jalan sendiri nanti? Padanlah dengan muka aku! Bisik hati Lukman pula mengutuk kebodohan dirinya sendiri.
“Luk memang salah dulu, bang. Tapi bagilah Luk peluang untuk memperbetulkan keadaan. Takkan semua orang nak memusuhi Luk selamanya? Dahlah isteri sendiri pun buat tak tahu aja!” balas Lukman sedikit kelat.
“Abang tak memusuhi kau, Lukman. Cuma kau tu, betul ke cara kau memperbetulkan keadaan? Dengan melarikan diri macam ni keadaan akan jadi betul? Tentang Laila satu hal, tentang mama dengan ayah pulak macamana pulak?” ucap Nizam lembut. Sebagai abang, dia ada kewajipan menegur tingkah laku adiknya itu. Ini salah! Sebagai anak yang sudah tersilap Lukman yang harus mengalah kepada kedua orang tua mereka. Bukan sebaliknya!
“Habis tu mama dengan ayah tu macam dah benci sangat pada Luk ni. Ayah tu sepatah tak mahu bercakap dengan Luk semenjak hari tu. Padahal semua yang ayah nak, Luk dah buat.  Luk ni dah macam anak terbuang. Takde siapa yang pedulikan Luk lagi. Mama pulak langsung tak mahu pandang muka Luk semenjak malam tu,” rungut Lukman tidak berpuas hati.
“Siapa yang buang kau? Kau yang keluar dari rumah tak balik-balik. Semua tu hanya perasaan kau sendiri saja. Kalau kau betul-betul nak perbetulkan keadaan buktikan pada mama dengan ayah. Kau ingat semuanya akan baik dengan begitu saja? Semua perkara tu akan lenyap sendiri kalau kau tak buktikan keinsafan kau? Kau dah cukup dewasa, Lukman. Cubalah berlagak macam orang dewasa. Orang yang matang adalah orang yang berani berdepan dengan kesalahannya. Bukannya melarikan diri macam ni,” ucap Nizam pula.
Kata-kata Nizam membuatkan Lukman terdiam. Benaknya masih mencari kebenaran tentang apa yang diluahkan oleh abangnya itu. Dalam keadaan begini bersyukurlah dia kerana abangnya tidak memulaukannya seperti mama, ayah dan Amira. Sekurang-kurangnya Nizam masih mahu mendekatinya dan mendengar keluhan hatinya.
“Entahlah, bang. Luk tak tahu nak buat apa. Fikiran Luk macam dah stuck sekarang ni. Semua yang ada di sekeliling Luk tak menggembirakan. Balik ke rumah pun sunyi aja. Laila langsung tak peduli. Dah kahwin pun lebih kurang macam bujang jugak. Macam orang takde bini! Nak balik rumah ayah, Luk tak sanggup. Luk takut, hati Luk tak kuat,” keluh Lukman lemah.
“Tak baik kau kata begitu. Alah! Baru dua minggu lebih kau kahwin dengan dia. Jangan cepat berputus asa. Takde dugaan yang Allah berikan melebihi dari apa yang kita mampu selesaikan, Luk. Takde masalah yang takde jalan keluarnya. Tentang Laila, abang tak pandai nak beri nasihat sebab abang sendiri pun belum berumahtangga. Cuma yang boleh abang cadangkan, cuba sesekali kau bawa Laila balik jumpa mama dengan ayah. Walaupun kau berkahwin dengan Laila dengan cara begini tapi Laila tetap menantu mama dan ayah. Dia ada hak untuk berada dalam keluarga kita. Kau boleh gunakan Laila sebagai cara untuk kau berbaik dengan mama dan ayah dan kau jugak boleh gunakan mama dan ayah untuk mendapatkan perhatian Laila. Cuba fikir dalam-dalam apa yang abang cakap ni. Keluarga banyak memain peranan dalam kita mengekalkan sesuatu hubungan. Kerapuhan hubungan kau orang berdua dengan keluarga akan membuatkan hubungan kau dan Laila juga ikut rapuh sebab kau orang akan merasa bebas untuk berbuat apa sahaja. Jangan hanya fikirkan yang buruk tu saja, Luk. Timbalkan kebaikannya juga. Sebagai suami kau tentukan sendiri hala tuju perkahwinan kau barulah Laila boleh jadi pengikutnya. Jangan kau sendiri pun berjalan senget. Macamana keadaan nak jadi baik?” Nizam memujuk lembut, meminta agar Lukman berfikiran positif dalam melalui masalahnya. Dia tahu tanpa sokongan orang sekeliling Lukman akan lekas hilang punca.
“Bawa Laila jumpa ayah dengan mama? Mamakan tak suka Laila? Kebencian mama pada Laila akan membuatkan Laila semakin bencikan Luk, bang. Luk tak sanggup terus dibenci lagi,” luah Lukman perlahan. Cadangan Nizam memang baik. Boleh jadi juga.. tetapi boleh jadi juga akibat penerimaan negatif keluarganya kepada Laila, hubungannya dengan Laila akan bertambah teruk nanti.
“Mama tu bersikap begitu sebab dia tak begitu kenal siapa Laila sebenarnya. Mama tu, takkan kau tak kenal sikap sebenar dia macamana. Mama mudah percayakan kita tapi sekali kau sakitkan hati dia, macam nilah jadinya. Kau jangan lupa, depan semua ahli keluarga kita dulu, kau sendiri ada buruk-burukan Laila dengan segala macam gelaran. Siapa lagi yang kau harapkan untuk memperbetulkan tanggapan mama pada Laila kalau bukan kau sendiri? Tengok sekarang, kau pun tak pernah dekatkan Laila dengan keluarga kita. Semenjak korang berdua bernikah korang senyap macam tu aja. Sekali pun tak pernah balik rumah ayah. Manalah mama tu tak semakin marah? Sesekali bawa Laila balik ke rumah ayah. Rapatkan hubungan Laila dengan keluarga kita. Kau jangan lupa mama dengan ayah memang nak sangat bercucu dan kau pun tak lama lagi nak jadi ayah. Inilah masanya, Luk. Siapa tahu mama dengan ayah akan terima Laila nanti lepas kehadiran anak tu. Kalau niat kau baik, insya-Allah, Allah akan luaskan jalan yang kita lalui, Luk. Cubalah dulu, siapa tahu berhasil nanti,” ujar Nizam lembut.
Lukman terus mengangguk tanda sependapat dengan abangnya itu. Namun dalam pada itu dia sendiri tidak pasti apakah Laila mahu mendekati keluarganya. Sedangkan hubungan mereka sendiri saat ini amat jauh dia tidak nampak apa pula sebabnya Laila mahu mendekati keluarganya terutama sekali mamanya. Namun jauh di sudut hatinya dia benar-benar mahu mencuba. Siapa tahu apa yang dikatakan oleh abangnya itu menjadi nyata.
Tetapi satu persoalan yang sering datang ke benaknya saat ini memusnahkan apa yang diangankannya. Mampukah dia? Mampukah dia bersaing dengan arwah Nahij yang terlalu istimewa kepada Laila itu? Sudikah Laila menerima dirinya seadanya? Sudikah Laila memaafkannya dan melupakan kesalahannya yang lalu? Entah! Lukman sebenarnya sudah tahu jawapannya namun dia gentar untuk mengakuinya. Terlalu gentar!

“Aku tak boleh, Nazim.” Lukman berkata perlahan lewat pertemuan di tempat kebiasaan mereka itu.
Wajah Nazim yang cukup mengharap di hadapannya itu tidak dipandangnya. Dia lebih suka memandang orang sekeliling mereka berbanding wajah Nazim. Bukannya dia mahu menolak kesalahan dirinya tetapi jika tidak kerana desakan Nazim dia tidak akan terjerat seperti ini.
“Apa.. apa maksud kau ni?” soal Nazim agak cemas. Mukadimah yang diberikan Lukman sudah cukup mengerikannya.
“Aku tak boleh berikan apa yang kau nak tu. Maksud pasal projek yang kita janjikan tu. Aku ada krisis besar dengan ayah aku. Sekarang ni aku dah hilang kuasa di pejabat,” luah Lukman dengan lebih jelas lagi. Dia tidak mahu Nazim berharap kepadanya lagi selepas ini. Atau dalam erti kata lain dia tidak mahu Nazim terus menghubunginya menanyakan tentang projek itu.
“Luk, kau jangan buat aku macam ni. Aku dah buat apa yang kau suruh! Kau dah dapat perempuan tu. Semua tu sebab aku! Kau tahukan kalau aku tak dapat projek tu aku akan hilang kerja?” ucap Nazim bersungguh. Ini sesuatu yang tidak boleh diterimanya setelah segala kehendak Lukman dipenuhinya.
Lukman lantas menoleh kepada Nazim. “Habis tu kau nak aku buat apa lagi? Kau tak faham apa yang aku cakap? Keadaan aku dah cukup susah sekarang, Nazim. Mana yang kau nak? Hilang kerja atau kita sama-sama ke penjara lepas apa yang kita dah buat pada Laila? Kau pilih mana yang kau nak sekarang? Dengan senang hati aku akan tunaikan!” bentak Lukman mula hilang sabar. Soal kerja Nazim itu bukan urusannya!
“Soal kerja kau itu salah kau sendiri. Takde kena mengena dengan aku sikit pun! Kalau kau tak ikutkan nafsu jahanam kau tu pada Laila, kau takkan jadi macam ni. Lepas semua ni aku anggap kita sama-sama dah dapat balasannya. Adil!” tukas Lukman lagi.
Kali itu Nazim terdiam. Liur yang ditelan terasa tersekat di kerongkongnya. Perkataan penjara yang disebut Lukman cukup untuk membuatkan mulutnya terkatup saat itu. Ketidakpuasan hatinya terpaksa dikurung. Namun ada sesuatu yang diperkatakan Lukman tadi yang membuatkan dia tertanya-tanya.
 “Kau kata kau ada masalah dengan ayah kau? Apa maksud kau?” soal Nazim mahu tahu. Adakah itu berkaitan dengan Laila? Balasan apa pula yang sudah Lukman terima?
“Itu kau tak perlu tahu!”
“Tapi pasal projek ni penting untuk aku, Luk. Aku ada anak bini nak bagi makan,” keluh Nazim sudah terdesak benar. Hanya tinggal Lukman yang mampu membantunya kerana Tuan Haji Hamidon sememangnya amat berharap projek yang dimaksudkan itu dapat mereka rebut dalam masa terdekat ini.
“Baru kau ingat anak bini kau ya? Sebelum kau kacau Laila semua tu kau tak fikir? Sekarang dah susah kau gunakan alasan anak bini pulak!” perli Lukman selamba. Wajah Nazim dikerling meluat.
“Luk, tolonglah aku..”
“Maaf, aku tak dapat bantu kau dalam soal itu. Kau jangan call aku lagi. Kita kena jauhkan diri kalau tak mahu rahsia tu terbongkar. Aku harap kau pandai-pandailah uruskan masalah kerja kau tu. Jangan minta aku pulak yang selesaikan untuk kau sebab nyawa aku sendiri pun dah kat hujung. Kau yang cari fasal dengan Tuan Haji Hamidon, kau sendiri kena selesaikan,” ucap Lukman mendatar.

Tidak mahu terus berada di situ Lukman segera melambai pelayan. Harga minuman yang diminumnya diberikan kepada pelayan. Kemudian dia terus berlalu tanpa menoleh lagi. Rasanya setakat itu sahajalah perhubungannya dengan Nazim. Dia sudah serik dengan apa yang dilaluinya saat ini.

24

Pagi itu secara tidak sengaja Lukman terserempak dengan Laila ketika keluar dari biliknya. Terkejut dia seketika melihat Laila yang berpakaian kemas seolah mahu ke sesuatu tempat. Mereka sempat berpandangan seketika sebelum Laila berpaling untuk mengunci pintu bilik.
Lukman sempat memandang isterinya dari atas ke bawah. Cantik pula Laila dilihatnya hari ini. Dengan berseluar slack hitam dan kemeja formal, wanita itu nampak seperti wanita korporat. “Nak pergi mana?” soal Lukman lembut ketika Laila melintasinya.
“Saya masuk kerja hari ni,” jawab Laila sambil bergerak ke ruang tamu.
Lukman pantas mengekori langkah isterinya itu. “Kau dapat kerja kat mana?” Saat itu baru tergerak hati Lukman mahu bertanya tentang itu. Bukannya dia tidak mahu mengambil tahu tetapi dia sering terlupa mahu bertanya.
“Saya dapat kerja dengan Emirates Airlines.” Laila menjawab tanpa memperdulikan Lukman yang terkejar-kejar akan dirinya. Dia terus ke dapur untuk menyiapkan sarapan ringkas untuk mengisi perutnya sebelum keluar rumah.
“Kat mana tu?” Lukman bertanya lagi sambil memandang Laila yang mula mencapai dua biji mug di rak cawan. Belakang wanita itu dipandang terus-terusan dalam pada menagih jawapan Laila.
“Awak nak minum apa?” Laila tidak mengendahkan pertanyaan Lukman. Dia sudah tiada masa untuk bersoal jawab dengan lelaki itu sebaliknya dia mahu lekas menyediakan sarapan dan pergi ke destinasinya.
Lukman terdiam sejenak menahan rasa terkejut yang datang tiba-tiba. Laila mahu menyediakan sarapan untuknya? Sesuatu yang tidak pernah berlaku setelah hampir sebulan mereka terikat sebagai suami isteri. Buat seketika di awal pagi begini hatinya mula disapa bahagia.
Namun berlainan dengan Laila. Kebisuan Lukman menyebabkan dia segera menoleh ke arah lelaki itu. “Termenung pulak! Awak nak minum ke tak ni?” soal Laila sekali lagi.
“Apa-apalah!” balas Lukman sedikit gugup.
Malu kerana reaksinya sebentar tadi terdedah kepada pandangan Laila. Saat Laila sedang membancuh air berhampiran dengan pemanas air eletrik itu matanya terus memerhatikan Laila. Sambil itu dia asyik memikirkan apa yang harus dibualkan dengan Laila saat ini. Bukan selalu dia memiliki kesempatan ini.
Perlahan Lukman mendekatkan dirinya dengan Laila. “Er.. kau sihat ke hari ni?” soal Lukman lembut.
Suara lembut si lelaki membuatkan Laila sepantas kilat menoleh ke belakang. Berdebar dadanya melihat batang tubuh Lukman sudah berpindah dekat dengannya. Ada rasa tidak enak mula melanda hatinya. “Saya sihat,” jawab Laila ringkas sahaja. Bancuhan milo di dalam mug itu terus dikacaunya dengan sudu. Kemudian bancuhan itu diserahkan kepada Lukman.
“Air je?” soal Lukman sambil menyeringai. Sengaja mahu menghidupkan suasana gurau senda di antara mereka.
“Habis tu awak nak apa lagi? Nasi goreng? Kuih? Saya tak rajin sekarang!” balas Laila bersahaja. Langsung tidak terasa mahu ketawa dengan usikan Lukman. Mug miliknya diangkat dan dia terus ke ruang makan tanpa mempedulikan Lukman.
Terhegeh-hegehlah lelaki itu membuntuti Laila yang masih cakna tidak cakna sahaja kepadanya. “Kau kerja kat mana? Biar aku hantarkan?” ucap Lukman setelah duduk berdekatan dengan Laila di meja makan. Masih juga tidak berputus asa untuk menarik perhatian Laila kepadanya.
“Hari ni saya kena ke HQ kat Jalan P Ramlee. Esok baru saya mula kerja kat branch di KLIA.”
“KLIA?” hampir tersedak Lukman mendengar tempat yang disebutkan Laila. Terbuntang matanya memandang Laila. Jauh tu...
Laila hanya buat bodoh sahaja kepada reaksi Lukman. Dia sedar dalam keadaan dirinya berbadan dua seperti ini memang mustahil untuk dia berulang alik ke tempat kerja yang agak jauh.
“KLIA? Kan jauh tu?” akhirnya terlahir juga keraguan Lukman. Wajah Laila ditatap selama yang boleh. Namun dalam dirinya dia mula berasa tidak senang. Saat ini mahu sahaja dia menggunakan kuasanya sebagai suami untuk menghalang Laila berkerja di tempat sejauh itu. Bukannya apa, dia bimbang Laila tidak terdaya nanti.
Laila tidak menjawab. Dia hanya tunduk merenung mugnya ditangannya itu.
“Kau nak berulang alik sejauh itu setiap hari ke?” soal Lukman masih tidak mampu menepis rasa ragunya. Selama ini dia melihat Laila sering lemah dengan alahan yang teruk. Macamana pula wanita itu mahu berkerja dalam keadaan begitu?
“Ulang alik ajelah! Lainlah kalau awak tak kisah saya duduk rumah syarikat,” balas Laila selamba. Air di dalam mugnya disisip perlahan seolah tidak perasan reaksi tidak senang di wajah suaminya itu.
Semakin tidak senang hati Lukman dengan pilihan kedua yang diberikan Laila. Duduk rumah syarikat? Bermakna dia dan Laila akan duduk berasingan. Entah kenapa dia tidak suka dengan apa yang ada dalam bayangannya. Sanggupkah dia berjauhan dengan Laila?
Eh! Kenapa pula dia harus merasa begini? Bukankah dia dan Laila tidak pernah berkongsi hidup dan perasaan yang sama? Perlahan Lukman meluahkan keluhannya. Dia sendiri keliru dengan perasaannya yang sebenar. Kalau hendak dikatakan dia langsung tidak punya rasa kepada Laila, rasanya dia sudah membohongi dirinya sendiri sementelah dia sedar dia memang menyukai Laila semenjak kali pertama mereka bertemu dahulu.
Laila bangun tiba-tiba dari meja itu. Mug yang sudah kosong dibawanya ke dapur sementara Lukman masih berteleku memikirkan sesuatu. Dia memang tidak berpuas hati dengan keputusan Laila untuk berkerja di tempat sejauh itu. Tetapi untuk menegah, entah kenapa dia seperti kehilangan suara untuk menyekat kehendak Laila. Dia tahu Laila tidak berniat untuk bertanya pendapatnya tentang itu. Atau dalam erti kata yang lebih jelas Laila tidak pernah menganggap dia sebagai seorang suami yang perlu dipatuhi.
“Mari aku hantarkan kau ke tempat tu,” ucap Lukman apabila Laila muncul semula di hadapannya. Saat ini itu sahaja yang dapat dilakukannya.
“Saya boleh pergi sendiri,” balas Laila tanpa memperlahankan langkahnya untuk ke ruang tamu. Juga tidak berniat untuk menyaingi Lukman yang juga mahu ke pejabat.
Lukman lantas bangun untuk menyaingi Laila. “Aku hantarkan..” ucap Lukman sekali lagi. Perihatin yang dihulurkan bukan kerana Laila sebaliknya memikirkan kesihatan anaknya.
“Saya boleh..”
“Aku hantar. Kalau tak aku tak izinkan kau pergi!” tegas Lukman mula hilang sabar. Demi bayinya dalam kandungan Laila dia tidak ingin lagi menerima penolakan Laila. Dia tahu Laila pasti akan menolak kerana tidak mahu berada dekat dengannya. Masih benci kononnya!
Laila mengalikan pandangannya kepada Lukman. Paksaan Lukman kepadanya mula menyalakan api kemarahannya kepada lelaki itu. Namun belum sempat dia berkata apa-apa Lukman sudah mengambil beg tangannya.
“Bukannya susah. Naik kereta, duduk diam-diam kemudian sampai di tempat yang kau nak pergi. Aku ada kereta. Buat apa kau nak susahkan diri naik kenderaan awam tu semua? Kalau jadi apa-apa, siapa yang susah? Rasanya tak perlulah kita nak bertelagah tentang hal remeh temeh di awal pagi begini!” sambung Lukman cukup serius. Kasutnya terus disarungkan tanpa memandang reaksi Laila.
Menyedari dia tiada pilihan lagi, Laila mengalah akhirnya dengan kehendak Lukman. Dia tahu Lukman sudah mula berang. Namun dalam keakurannya hatinya semakin mendongkol benci kepada lelaki ini. Memang itu sikap Lukman agaknya, suka memaksa!
Lima minit kemudian mereka berdua sudah berada di atas jalan raya. Laila seperti biasa hanya bungkam memandang ke luar. Lukman juga diam. Namun dalam pada matanya memandang ke hadapan dia asyik memikirkan sesuatu.
“Aku belikan kau kereta nak?” soal Lukman tiba-tiba.
Laila terus tersentak dalam menungannya. Dia menoleh tajam kepada lelaki di sisinya itu. “Tak nak! Awak jangan nak memandai-mandai. Saya tak mahu awak belikan saya kereta tu semua. Saya okay aja macam ni,” balas Laila serius.
“Aku tak mahu kau ulang alik naik kenderaan awam ke KLIA. Jauh tu, Laila. Kalau apa-apa jadi macamana? Kalau ada keretakan senang? Kau boleh drive. Jadi takdelah kau penat naik bas tu semua. Aku tengok selama ni kau melepek aja di rumah, tak larat. Nanti kalau dah letih berkerja sepanjang hari, mulalah kau sakit ini sakit itu!” ujar Lukman terus mempertahankan kehendaknya.
“Jawapan saya masih sama!” tegas Laila enggan mengalah.
“Kenapa? Susah sangat ke kau nak terima apa yang aku beri, Laila? Teruk sangat ke aku pada mata kau? Cakap aku kau langsung tak nak dengar!” tingkah Lukman tidak berpuas hati. Wajah Laila dipandang seketika sebelum kembali memandang ke hadapan.
“Saya tahu jaga diri saya sendiri. Awak tak perlu risaukan saya sampai nak belikan saya kereta tu semua. Saya tak mahu berhutang apa-apa dengan awak sebab kita sama-sama tahu yang hubungan ni cuma sementara! Awak sendiri yang tetapkan begitu! Jangan lupa tentang itu!” balas Laila sengit.
Jawapan Laila membuatkan Lukman menoleh dengan pandangan tajam. Seketika kemudian dia menghela nafas keras cuba memandamkan bara yang sedang berasap di hatinya. Semakin jelas sekarang Laila sememangnya sedang meluaskan jurang di antara mereka berdua. Buat seketika Lukman cuba mencari idea untuk memperbetulkan keadaan mereka yang mula tegang.
Kereta Lukman mula beratur panjang dalam kesesakan bersama kereta-kereta lain. Saat itu segera dipergunakan Lukman sebaiknya untuk berbincang dengan isterinya itu.
“Anggap aja itu sebagai hadiah dari aku, Laila. Aku takkan tuntut semula semua tu lepas kita berpisah nanti. Aku buat semua ni untuk anak aku. Takde niat lain pun.” Lukman memujuk lembut. Tangannya dihulurkan lalu diletakkan di atas paha wanita itu.
“Saya tak nak! Awak jangan paksa saya, boleh tak? Saya ikut awak naik kereta ni pun sebab saya tak mahu bertengkar dengan awak awal pagi begini. Jadi awak janganlah naikkan darah saya pulak! Nak bagi hadiah sambil meraba-raba macam ni? Awak ingat saya ni apa? Pelacur?” bentak Laila sedikit meninggi sambil menepis tangan Lukman kasar.
Lukman tersentak dengan tindakan kasar Laila. Sebahagian kata-kata Laila benar-benar menghiris hatinya. “Demi Tuhan aku tak pernah berniat untuk menghina kau begitu, Laila. Kau tu isteri aku. Apa faedahnya aku menghina taraf kau serendah itu?”
“Huh!’ degus Laila sambil ketawa sinis.
“Muak saya dengar semua tu. Manis macam gula tapi hakikatnya? Sedih!” tukas Laila cukup sinis. “Saya masih tak boleh lupakan segala yang dah berlaku pada saya selama ini. Awak tahu apa yang paling susah untuk saya lepaskan dari hati saya ni tentang awak? Gelaran janda murahan yang awak lemparkan pada saya dan penipuan awak yang konon-kononnya ikhlas tu! Selagi dua perkara itu saya tak boleh lupakan, usahkan belikan saya kereta, naik kereta dengan awak pun saya kena fikir banyak kali sebab saya tak mahu kerana satu dua kebaikan awak yang saya terima menyebabkan saya terperangkap sekali lagi. Cukuplah sekali saya pernah terkena dengan lakonan awak selama ini! Beritahu saya sepuluh sebab kenapa saya kena percaya kata-kata manis seorang lelaki kaki perempuan macam awak?”
“Laila, itukan dulu? Aku dah tak begitu lagi..” luah Lukman agak perlahan. Biarpun hatinya pedih dengan kata-kata Laila namun dia tahu dia tidak mampu menolaknya.
“Bukan senang hati saya nak terubat dengan kebaikan awak lepas awak aibkan saya macam tu, Lukman. Tidak semudah itu! Lelaki macam awak senang dapat perempuan dan senang buang macam sampah tak berguna. Saya tak tahu kenapa nasib saya akan berbeza bila hidup dengan lelaki macam awak,” ucap Laila tanpa sedikit pun ada perasaan gentar menyakitkan hati suaminya itu.
“Aku pun tak minta kau percayakan aku macam tu aja. Aku buat semua ni untuk anak aku, Laila. Salah ke? Ada keretakan senang nak bergerak? Apa yang susah sangat kau nak terima pemberian aku? Bukannya aku nak belikan kau Ferari! Kereta biasa aja!” ucap Lukman pula kali ini dengan nada sedikit mengeras. Geram pula dia dengan kedegilan Laila. Ego benar tidak mahu menerima pemberiannya.
Laila ketawa jengkel. “Buat apa yang wajib aja. Yang tak perlu, tak payah! Awak jugak yang kata kita ikut jalan kita sendiri. Takde perkongsian hidup antara kita berdua! Dan itu tak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat ni. Harap awak faham dan jangan desak saya untuk semua tu! Saya tak nak terima apa pun kebaikan dari lelaki yang saya benci. Takut tak terbayar pulak nanti!” tegas wanita itu sambil menjeling Lukman sekilas.
Kali ini Lukman terus diam menahan hati. Tiada kata untuk membalas setelah Laila berkeras mengekalkan tembok itu antara mereka. Kereta itu bergerak semula membawa dua manusia yang membisu sehingga tiba ke destinasi mereka.

Lukman pulang agak lewat semenjak kebelakangan ini. Namun seperti mana semalam dan sebelum ini perasaannya amat hampa saat memandang pintu bilik Laila yang tertutup rapat. Hanya sampai di situ sahaja batasnya dengan Laila selama mereka menjadi suami isteri. Amat sukar untuk dia bertemu pandang dengan Laila. Wanita itu memang pakar mengelakkan diri darinya.
Sudah beberapa hari Laila mula bertugas di tempat kerja baru. Setahunya Laila menggunakan perkhidmatan ERL dari KL Central untuk ke tempat kerja. Setelah Laila menolak kehendaknya untuk membelikan Laila kereta tempohari ada juga keinginannya untuk menghantar Laila ke KL Central setiap pagi namun baru sahaja solat subuhnya memasuki tahiyat akhir dia sudah terdengar Laila meninggalkan rumah.
Lukman hampa lagi. Jiwanya seperti mahu berputus asa untuk mengharap kepada Laila. Hatinya seakan memberitahunya yang Laila memang tidak akan pernah memberi apa-apa peluang kepadanya tetapi hatinya berdegil pula. Tetap mahu mencuba untuk kesekian kalinya biarpun dia sudah mampu membayangkan kekecewaannya nanti.

Hari itu Lukman bangun awal. Sengaja mengunci jam awal kerana dia mahu dirinya terserempak dengan Laila sebelum wanita itu keluar rumah. Namun ketika dia sedang khusyuk mengalunkan doa di akhir solatnya, telinganya sempat terdengar bunyi pintu bilik Laila dibuka dan ditutup. Pantas Lukman mengakhiri doanya dan bangkit dari sejadah itu.
“Laila..” seru Lukman lembut tatkala terpandangkan isterinya itu.
Panggilan itu membuatkan Laila terkejut di pintu utama rumah itu. “Awak ni buat saya terperanjat aja pagi-pagi macam ni!” degus Laila sambil mengurut dadanya seketika.
Lukman hanya diam sambil mendekati wanita yang mengenakan seluar panjang warna coklat susu itu. Blaus kolar bulat sedikit ketat yang dikenakan oleh Laila diselindungkan dengan jaket yang berwarna sama dengan seluarnya. Tudung yang dipakai juga berwarna sama seperti blausnya iaitu warna krim kekuningan. Lukman akui tubuh Laila yang masih langsing kelihatan cukup bergaya dalam uniform kerjanya.
“Kau dah nak pergi kerja?” soal Lukman amat lembut sekali. Harapannya dengan kelembutan itu mencairlah kebencian Laila kepada dirinya.
“Hmm.. ada apa?” balas Laila tanpa memandang Lukman. Kasut tumit 3 inci diambil dari rak. Perbuatan itu turut diperhatikan Lukman tanpa jemu.
“Kasut tu tinggi sangat. Bahaya kalau kau terjatuh,” tegur Lukman lembut.
“Saya wajib pakai kasut ni. Ini kasut kerja saya.”
“Kita pergi sekali? Sebelum tu kita sarapan bersama. Aku pun dah lama tak nampak kau. Kita ni nama aja serumah tapi masing-masing tak tahu khabar masing-masing,” ucap Lukman.
“Buat apa awak sibuk nak tahu pasal saya? Biar ajalah saya dengan hidup saya!” balas Laila dengan nada yang seperti kebiasaannya yang digunakan apabila bercakap dengan Lukman. Tiada kemesraan dan selalu terselit kesinisannya.
Ucapan Laila itu membuatkan Lukman menghela nafas perlahan. Sabar ajalah!
“Kau tanya untuk apa? Salahkah kalau aku nak tahu khabar anak aku, Laila? Salah ke kalau aku mengambil berat pada kau sebagai ibu kepada anak aku? Aku bukannya minta kau layan aku istimewa macam seorang suami yang lain tapi sekurang-kurangnya janganlah menolak niat aku ni. Aku bukannya nak apa-apakan kau!” balas Lukman dengan nada tertahan. Laila memang suka mencabar kesabarannya di awal pagi begini.
Laila terdiam memandang Lukman yang masih berbaju melayu dan bersongkok. Dia tahu Lukman baru sahaja selesai bersolat subuh. Saat memandang ketenangan di wajah lelaki itu hatinya tiba-tiba terusik. Entah kenapa saat ini kebenciannya menyurut tiba-tiba.
“Okaylah.” Itu sahaja jawapan yang mampu dilahirkannya.
“Kau tunggu sekejap ya? Aku salin baju dulu. Tak lama. Sekejap aja!” putus Lukman sedikit ceria apabila melihat Laila mula mengalah kepadanya.
Entah kuasa apa yang memaksa Laila sekadar mengangguk tanpa relanya. Dalam hati tidak mahu tetapi entah kenapa dia tidak sampai hati pula untuk menolak lagi. Entah ilmu apa pula yang digunakan Lukman sehingga dirinya jadi selemah ini.
Laila termangu seketika di ruang tamu rumah itu saat menanti Lukman selesai menyalin pakaian. Sebenarnya dia masih canggung untuk bergaul rapat dengan Lukman. Seperti ada suara yang tidak membenarkan dia untuk mendekatkan diri kepada lelaki itu. Bimbang hati perempuannya mencair dengan pujukan sang lelaki yang bijak mempermainkan perempuan. Sejarah lalu membuatkan dia amat berhati-hati kali ini. Dia takut sekiranya Lukman mendekatinya sekadar untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya.
“Aku dah siap. Jom kita pergi..”
Lamunan Laila pecah berderai setelah mendengar sapaan Lukman yang datang tiba-tiba. Dia menoleh pantas untuk melihat lelaki itu seakan mencari kesahihan. Lukman sudah kemas dengan kemeja putih kosong dengan tali leher berwarna biru lembut. Mereka terus bergerak ke kereta.
Laila diam sahaja saat Lukman menggerakkan kereta untuk pergi. Dia seperti tiada idea untuk berbual dengan lelaki itu setelah pertengkaran tempoh hari. Dia kekok!
“Macamana kerja dengan Emirates?” Lukman cuba memulakan perbualan. Jika diharapkan Laila memulakan entahkan sampai ke langit hijau dia memandu pun belum tentu Laila mahu bercakap dengannya. Seperti ada emas di dalam mulut Laila. Takut hilang jika berkata-kata nanti!
“Okay je..” agak lambat Laila menjawab.
“Kalau kau tak suka di sana mungkin aku boleh tolong carikan di tempat lain,” pancing Lukman lagi. Isterinya itu dipandang lagi. Berdebar dadanya melihat wajah yang cukup berseri itu. Dia perasan Laila bersolek sedikit pagi ini. Itu membuatkan dia merasa tidak puas hanya memandang sekali.
“Tak perlu. Saya okay kat situ.” Laila segera menolak cadangan Lukman. Paling dia tidak mahu terikat budi lantas terjatuh hati dengan lelaki di sebelahnya ini. Susah dia nanti jika terlalu banyak bergantung kepada Lukman. Dia sedar suatu hari nanti dia pasti akan memulakan hidup sendirian. Lebih baik dia bersedia sahaja mulai dari sekarang.
Lukman menoleh lagi memandang Laila. Kemudian dia berdehem seketika untuk menenangkan hatinya yang asyik dilanda debar. Laila masih seperti tadi. Memandang ke luar tanpa memberi perhatian kepadanya. Menjawab pertanyaannya pun seringkas yang mungkin.
“Kau.. er.. kau nampak cantik dengan seragam tu. Nampak berseri kau pagi ni,” agak perlahan dan teragak-agak Lukman saat meluahkan kata-kata itu. Bimbang Laila tidak senang dengan pujiannya. Tetapi sungguh! Laila nampak berbeza kali ini berbanding ketika bertugas di syarikat lama.
Laila menoleh sedikit. Dia mendengar apa yang Lukman katakan dengan jelas. Entah kenapa dia merasa sangsi dengan pujian lelaki itu. Hatinya masih penuh dengan syak wasangka biarpun Lukman amat lembut dengannya.
“Kau tak suka aku cakap macam tu?” soal Lukman apabila terkesan reaksi Laila begitu. Usahkan tersenyum manja, memaniskan wajah sebagai tanda menghargai juga tidak. Susah benar mahu melembutkan hati Laila.
Laila mendegus seketika. Bosan dengan ulah lelaki ini. “Kalau saya tak suka sekalipun awak dah pun katakan. Takkan nak tarik balik pulak? Lagipun apa nak hairan. Ayat macam tu dah macam makanan bagi lelaki,” balas Laila bersahaja.
“Aku ikhlas, Laila..” pujuk Lukman sedikit mendayu.
Laila ketawa perlahan sebagai reaksi pertama. Rasa jengkel mula terbit di hatinya saat mendengar pujian itu. “Yelah... keikhlasan lelaki ni bukannya boleh percaya sangat. Dulu masa awak memikat saya pun awak cukup ikhlas. Tapi last-last lain yang jadi,” perli Laila sengaja meleretkan nadanya.
Lukman menghela nafas perlahan. Berdesing lagi telinganya dengan sindiran yang amat tajam itu. Tetapi hatinya lekas dipujuk agar bersabar dengan kerenah perempuan hamil ini.
“Aku dah minta maaf pada kau. Takkan kau masih nak mengungkit kisah lama tu. Aku menyesal dengan apa yang aku dah buat, Laila. Aku sedang cuba untuk berubah. Takkan kau tak nampak semua tu?” luah Lukman perlahan. Lemas dia dengan bicara Laila yang bertujuan untuk mencipta pertengkaran dengannya.
“Kesal awak takkan mengembalikan semula kehidupan saya yang dah awak musnahkan. Kekesalan awak takkan melenyapkan anak dalam perut saya ni. Kekesalan tu tak memberi apa-apa makna pada saya. Saya tak pernah percaya, sikit pun tidak!” jawab Laila sambil menoleh. Wajah Lukman ditatap jengkel.
“Sampai bila kau nak layan aku macam ni? Aku cakap baik-baik pun kau tak suka. Cuba kau cakap apa yang patut aku buat supaya kau tak bencikan aku,” keluh Lukman mulai ditekan oleh rasa kecewa.
“Tak payah buat apa-apa. Antara kita akan kekal macam ni sampai bila-bila. Sampai awak muak tengok muka saya dan ceraikan saya!” Laila menjawab dalam nada yang sudah mengeras.
Lukman menggeleng perlahan dalam lautan kekesalan. Modal pergaduhan yang dibangkitkan Laila benar-benar menyakitkan hatinya. Soal cerai yang diungkap Laila benar-benar mencabar kesabarannya.
Baiklah! Jika Laila benar mahu mencabar, dia juga tidak akan teragak-agak untuk menyahutnya. Dia mahu lihat siapa yang akan mengalah akhirnya nanti. Tiada siapa yang berhak menghalangnya jika dia terus mengikat wanita ini sebagai isterinya. Tiada siapa yang boleh menahannya walaupun ditakdirkan Arwah Nahij itu hidup semula. Laila adalah haknya! Sayang sekali kini dia terpaksa bersaing dengan orang yang sudah lama dikebumikan. Tetapi dia tahu kelebihan akan berpihak kepadanya. Kerana antara dia dan Laila walaupun saling tidak menyukai tetapi mereka saling berkongsi sesuatu. Iaitu nyawa di dalam rahim Laila itu. Anak mereka! 
Kali ini Lukman terus membisu cuba meredakan kemarahannya. Untuk sarapan pagi Lukman cuba untuk mengikuti kemahuan Laila.
Namun jawapan yang diterima, “Suka hati awaklah. Saya ikut aja..”
Jadi Lukman memilih untuk menikmati sarapan di kedai mamak. Tetapi belum lama menanti roti canai yang dipesan siap Laila sudah lain macam. Wajahnya berkerut seolah sedang menahan sesuatu.
“Kenapa?” Lukman mula cemas apabila melihat Laila menekup hidungnya.
“Saya rasa nak muntahlah. Saya tak tahan bau kari dalam kedai ni..” Laila menjawab dalam pada dia masih menekup hidungnya. Wajahnya berkerut menahan loya.
“Habis tu nak pergi tempat lain?” soal Lukman. Riak kebimbangan mula terpapar di wajahnya.
“Awak makanlah. Saya pergi naik teksi aja. Takkan sebab saya awak nak cancel semua order tadi?” ucap Laila sambil meraih beg tangannya. Kalau dia terus menunggu alamat terburailah isi perutnya di situ.
“Tak.. tak..” Lukman pantas menggeleng.
Membiarkan Laila menaiki teksi? Tidak! Lantas Lukman melambai kepada pelayan. Tanpa menikmati makanan yang sudah dipesan Lukman terus membayarnya sahaja. Kemudian dia menggamit Laila untuk pergi. Perbuatannya itu membuatkan Laila diterpa rasa serba salah. Sehingga begitu sekali kesanggupan Lukman hanya kerana mahu menjaga hatinya.
“Tak payahlah awak nak bersusah payah untuk saya sampai macam ni. Kan membazir tadi tu.” Di dalam kereta Laila meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan tindakan Lukman sebentar tadi.
“Aku tak nak makan sendirian, Laila. Tak susah mana pun. Bukannya sampai beratus harga makanan tadi tu,” balas Lukman tetap mempertahankan apa yang dilakukannya sebentar tadi.
Laila mula berasa tidak senang dengan kelakuan lelaki ini. Ada yang tidak kena dirasakannya saat ini. Seolah ada sesuatu yang sedang disampaikan Lukman dari segala tindakannya semenjak akhir-akhir ini.
“Kenapa awak sanggup buat semua ni? Apa yang awak nak dari saya sebenarnya, Lukman?” soal Laila tidak mampu menahan dirinya lagi.
“Aku tak nak apa-apa. Aku cuma nak jaga kau dengan anak aku tu sebab kau dalam tanggungan aku. Salah ke apa yang aku buat ni? Kau nak aku jadi lelaki dayus yang tak tahu tanggungjawab pada anak dan isteri aku sedangkan aku berkemampuan memberi kau apa saja? Selagi kau masih isteri aku, aku rasa aku patut buat semua tu. Tak kisahlah kau suka atau tidak!” balas Lukman serius.
Laila menoleh memandang Lukman yang sedang memandu. Rasa hatinya tidak tenang apabila Lukman menyebut perkataan ‘isteri’ dan ‘anak’ sebentar tadi.
“Sebelum ni awak jugak yang kata saya dengan hidup saya awak dengan hidup awak. Mimpi apa pulak awak nak bertanggungjawab pada saya dengan anak ni? Dari mana datang istilah isteri tu agaknya?” desak Laila yang masih tidak puas.
“Kau suka kalau aku paksa kau layan aku sebagai suami? Kau rela?” soal Lukman serius. Buat seketika dia menentang pandangan Laila.
“Oh! Sekarang macam tu pulak? Sekarang ni pasal saya pulaklah? Saya yang tak mahu jalankan tanggungjawab. Saya yang ingkar tanggungjawab saya sebagai isteri. Tapi rasanya bukan itu yang awak kata semenjak awal lagi. Apa yang awak kata awak memang tak mahukan saya. Sekarang ni awak nak salahkan saya pulak sebab ingkar dengan tanggungjawab. Saya yang tak rela atau awak yang nak menolak semenjak awal lagi?” serang Laila dengan nada tajam.
Semakin sakit hati Lukman kala itu. “Apa kau cakap ni, Laila? Aku tak kata kau ingkar.” Saat itu nadanya sudah mula mengeras tanda kesabarannya sudah mula menipis.
“Agaknya kalau ayah awak tak ambil balik kondo awak tu, saya ni memang terbiar macam kain buruk aja kat rumah saya tukan? Awak takkan pedulikan saya dan anak ni sebab awak yang putuskan kita dengan kehidupan kita masing-masing. Cuma nasib menentukan awak takde rumah dan terpaksa duduk dengan saya. Hanya sebab tu awak nak ambil berat pasal saya. Betulkan?” telah Laila tidak mempedulikan wajah Lukman yang sudah dilanda ketegangan.
Lukman berdiam. Namun hatinya sedang bertahan daripada dibakar oleh bara kemarahan yang mula menghanguskan sekeping hati lelakinya. Apa yang Laila kenali tentang dirinya sehingga boleh menilai dirinya seperti itu?
“Kenapa awak diam? Bagitahulah kalau saya dah tersalah cakap!” cabar Laila yang masih belum puas mengajak Lukman bertekak dengannya.
“Aku diam sebab aku tak nak kita bergaduh tentang perkara tak masuk akal yang kau cakapkan tadi. Aku diam sebab aku tak nak bila kemarahan melanda diri, mulalah aku bercakap perkara yang tak sepatutnya aku katakan. Aku terus mengalah sebab aku masih sedar yang kau tu isteri aku dan kau sedang mengandung. Aku tak mahu kau stress. Tapi Laila, itu tak bermakna kau boleh bercakap sesedap mulut kau menyakitkan hati aku. Sebab perkara terakhir yang akan berlaku antara kita adalah penceraian dan perkara yang harus kau ingat sekarang adalah kau tu isteri aku. Mungkin ada baiknya kalau kau sematkan sikit dalam fikiran kau tu rasa hormat pada aku sebab sebenci manapun kau pada aku ni, aku adalah suami kau zahir dan batin. Sehinggalah ke saat terakhir aku bergelar suami kau, aku tetap berhak ditaati sebagai suami! Jadi jangan asyik bercakap untuk mencari gaduh dengan aku. Fahamkan?” balas Lukman agak tegas. Wajahnya yang dihalakan ke jalan raya sudah mula kemerahan dan rahangnya dikertap menahan marah.
“Jangan mimpi saya nak taat pada awak! Saya tak ingin naik kereta dengan awak lagi! Lebih baik saya jalan kaki daripada saya pandang muka awak yang menyakitkan hati tu! Saya tak ingin jadi isteri zahir dan batin untuk awak. Saya memang bodoh sebab biarkan awak sentuh saya hari tu!” balas Laila agak selamba namun sudah cukup membuatkan Lukman semakin berangin.
Dia menoleh kepada Laila. Kalau dia menurutkan rasa hatinya saat itu memang mulut celupar Laila sudah ditamparnya. Namun mengenangkan di sisinya ini adalah isterinya dia memujuk hatinya lagi agar bersabar.
Akhirnya pagi yang seharusnya indah itu bertukar menjadi pagi yang masam mencuka kepada Laila dan Lukman kerana selepas itu Laila enggan diajak sarapan pagi bersama. Semakin Lukman berkeras semakin itu Laila mengeraskan pendiriannya. Sehingga akhirnya Lukman mengalah juga dengan kerenah isterinya itu. Hanya sepotong ayat yang mampu diucapkan dalam hatinya.
‘Sayang punya pasal, sabar ajalah Lukman ooii..’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan