Khamis, 29 Ogos 2013

Mahligai Seribu Mimpi-Sinopsis

Siti Laila Huda anak desa yang punya kisah hidupnya sendiri. Perjalanan mencari bahagia dia terpaksa singgah berkali-kali di perhentiannya. Perhentian pertamanya berkisah duka. Singgahsana bahagia yang diimpikannya musnah berkecai sebelum sempat dia dan pujaan hatinya menjejakkan kaki ke sana. Dugaan Allah datang, dalam sekelip mata dan bahagianya tiba-tiba bertukar nestapa apabila suami yang menikahinya hanya sempat memilikinya zahirnya selama empat bulan sebelum dipanggil pulang oleh Ilahi. Laila nanar sendiri mengutip setiap cebis impian dan mimpi yang tidak sempat terlaksana. Dalam keredaannya dia terus terumbang ambing sendiri. Dalam keakurannya masih ada terselit ketidakikhlasannya untuk menerima takdir Ilahi sehinggakan sering kali hatinya menyeru agak dipulangkan Nahij yang tidak mungkin akan kembali lagi kepadanya.
Seterusnya perjalanan hidupnya terhenti di perhentian kedua. Tanpa diduga dia telah diketemukan dengan seorang lelaki juga bernama Nahij A.K.A Lukman seorang kaki perempuan. Namun Laila bukanlah seorang wanita yang mudah jatuh cinta. Dalam ketidakpastian hatinya dan di sebalik kerubung budiman sang lelaki yang menutupi Laila seolah dapat melihat sifat sebenar lelaki itu. Baginya apa yang ditunjukkan Lukman masih tidak cukup untuk menutup hatinya kepada cinta yang lalu. Lantas salam perkenalan yang dihulur terus dibiarkan sepi.
Ahmad Nahij Lukman sempat merasa tercabar apabila berhadapan dengan wanita itu. Jika selama ini dia megah dengan kelebihan yang Tuhan kurniakan kepadanya, kali ini dia terpaksa mengejar bayang wanita itu. Laila ternyata amat sukar ditawan. Baru kali ini dia merasa sakitnya apabila cintanya ditolak setelah dia puas membuat wanita menangis kerana perbuatannya. Lebih menyakitkan lagi dirinya ditolak oleh seorang wanita yang berstatus balu! Namun keegoan lelakinya yang enggan mengalah telah membawanya ke jalan hitam. Laila dinodainya secara paksa untuk membalas sakit di hatinya. Sangka Lukman dia sudah cukup berkuasa untuk menutupi segala kemungkarannya namun sebenarnya kisah itu membuka lagi satu lembaran baru dalam hidupnya.
Percaturan hidup seterusnya buat kali kedua Laila dimiliki oleh seorang lelaki bernama Nahij. Namun tidak serupa wajahnya dan jauh berbeza keperibadiannya. Dia menerima lelaki itu bersama benci di hati. Baginya tidak mungkin kasihnya akan tertumpah kepada lelaki persis itu.
Namun Lukman, pada hari pertama menjadi seorang suami dia sudah disapa oleh keindahan makna cinta yang sebenar. Cinta mengajarnya menjadi seorang sabar dan tabah dalam mengharapkan impiannya menjadi nyata. Sayangnya dalam percaturan hidup mereka bukan sekadar ada kasih tetapi juga ada benci yang melata di hati. Lukman tega membina mahligainya biarpun perit dibenci isteri sendiri agar mahligai seribu mimpinya bukanlah sekadar sementara.
Laila akhirnya sedar lumrah manusia semuanya memerlukan kasih sayang dan tidak terkecuali dirinya. Namun apa yang Laila tidak tahu kala hati mula disapa bahagia, jelmaan-jelmaan kisah lalu Lukman sedang bersembunyi, menanti masa untuk meruntuhkan mahligai seribu mimpi milik mereka. Akhirnya apabila kekhilafan berlaku dan tirai semalam dibuka Laila melihat betapa hitamnya jalan yang pernah dilalui Lukman suatu masa dahulu. Kala itu dia mengutuk diri penuh penyesalan kerana menyerahkan hatinya kepada seorang lelaki yang menjadi pemusnah kepada kaum Hawa sepertinya. Lukman pula nekad menjauhkan diri apabila segala rahsianya terbongkar. Sekali lagi Laila kalah dalam pencaturannya. Hanya Tuhan yang mampu melihat derai air mata dan derita di hatinya akibat perbuatan Lukman. Bersama dua putera kesayangannya dia kembali mencari arah hidup mereka tanpa memerlukan kehadiran lelaki itu lagi.
Setelah lima tahun menjanda hadir pula seorang lelaki bernama Yusuf menantinya untuk tiba di perhentian ketiganya. Demi cinta sang lelaki sedia berikrar untuk menjadi pelindung dan pencintanya. Namun Laila tidak mudah untuk membohongi hati. Bertahun berlalu sebaris nama itu terus memberi kesan kepada dirinya. Pahit dan manis hidup bersama suatu masa dahulu terus berada dalam kenangannya walaupun hatinya pernah hancur kerana kecurangan Lukman. Biarpun cuba dilupakan namun kehadiran Lukman semula di hadapannya membuatkan hatinya kembali terumbang ambing tanpa kepastian. Setiap tanda tanya di fikirannya terus menagih jawapan sedangkan Lukman terus berdiam diri. Laila tidak tahu apakah dia bisa meletakkan lagi kepercayaan kepada bapa dua anaknya itu sedangkan Lukman terus menagih kasihnya.
Akan adakah perhentian ketiga untuknya? Atau sebenarnya selama ini dia masih berada di perhentian kedua menanti Nahijnya pulang ke pangkuannya? Laila hanya mampu berserah kepada Allah untuk memberikan jawapannya.

  

8 ulasan:

  1. CIter ni tersangat la best...sy seakan melihat perjalanan hidup laila yg sebenar...bile agaknya nak publish..

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum... permulaan citer yang sangat menarik.

    BalasPadam
  3. Hye. Dah dicetak ke ? Dah lama tunggu . X sabar dh nak beli.

    BalasPadam
  4. Bile nak ade versi cetak...best..nak beli

    BalasPadam
  5. dah takde sambungan ke? bila nk buat full n publish?

    BalasPadam