Lukman tertanya-tanya
apabila dia tidak dibenarkan balik ke kondonya malam itu. Ayahnya akhirnya
berkeras mahu dia pulang ke rumah ayahnya setelah beberapa hari dia sengaja
tidak menuruti permintaan ayahnya itu.
Hairan juga dia memikirkan kelainan sikap ayahnya.
Bukannya dia tidak biasa menghabiskan masa di kondo itu walaupun sebenarnya dia
masih dikira menetap dengan emak dan ayahnya. Tetapi malam ini keadaan sedikit
berbeza. Seolah ada sesuatu sedang melanda keluarga mereka.
Selepas Isyak menjelma barulah Lukman tiba di rumah.
Kelibat ayahnya yang sedang berada di ruang tamu itu diperhatikan seketika.
Wajah itu serius sekali seperti yang dilihatnya ketika di pejabat siang tadi.
Tan Sri Fatah pula hanya buat tidak tahu sahaja biarpun
dia sedar Lukman sudah pulang. Malah dia tidak menoleh langsung. Tiba-tiba
Lukman berasa takut pula mahu menegur ayahnya itu. Ketegangan di wajah Tan Sri
Fatah bagaikan menunggu masa untuk diletuskan. Lantas Lukman masuk ke ruang
makan untuk mencari emaknya.
Di dapur dia menyapa selamba emaknya itu. Emaknya
kelihatan biasa sahaja. Tetap ceria setelah terlihat dirinya. Seolah tiada apa
yang tidak kena. Reaksi emaknya itu melegakan sedikit perasaannya.
“Kenapa balik lambat?” soal Puan Sri Mahani kepada
anaknya itu.
“Banyak kerja di office tadi,” jawab Lukman perlahan.
Peti ais dibuka. Jus oren dalam kotak diambilnya lalu
dituangkan ke dalam gelas. Jus masam itu diteguk perlahan. Namun sikap aneh
ayahnya itu terus berada di fikirannya. Apa yang tak kena? Aku ada buat salah
ke? Soal hati Lukman sendiri.
“Dah makan ke?” tanya Puan Sri Mahani.
“Dah. Luk dah makan kat luar tadi,” jawab Lukman sambil
terus menyisip jus oran dari dalam cawannya. Tampang tenang emaknya itu
dipandang sejenak. Mula timbul ideanya untuk merisik berita dari emaknya itu.
Jika ada apa-apa yang penting pasti emak dan ayah berkongsi cerita.
“Kenapa dengan ayah tu, ma? Macam ada masalah aja?” soal
Lukman perlahan sahaja kepada emaknya itu.
“Entahlah. Mama pun tak tahu kenapa. Dia asyik nak marah
aja semenjak kebelakangan ni. Balik ke rumah diam macam tunggul. Bila mama
tanya dia tak mahu jawab pulak,” jawab Puan Sri Mahani. Dia sendiri tidak tahu
apa yang sedang ditanggung oleh suaminya itu. Lelaki itu enggan berkongsi
dengannya.
“Mama gaduh dengan ayah ke?” tanya Lukman lagi.
“Takdelah. Mama layan ayah Luk tu macam biasalah. Dah,
minum cepat! Ayah ada cakap dengan mama dia nak jumpa Luk. Jangan bagi ayah
marah lagi,” ucap Puan Sri Mahani lembut. Anak bujangnya itu ditinggalkan di
situ untuk menemani suaminya di ruang tamu. Dia juga mahu mendengar apa yang
mahu dibicarakan oleh suaminya kepada Lukman.
Lukman bergerak menyusul langkah emaknya ke ruang tamu
tidak lama selepas itu. Wajah mencuka sang ayah semakin mengundang rasa tidak
enak di hatinya. Lelaki itu langsung tidak menoleh mahupun menegurnya di ruang
tamu itu.
‘Apa aku dah buat?’ soal hati Lukman sendiri. Dia
akhirnya sekadar duduk mendengar berita yang ke udara melalui tv di ruang tamu
itu tanpa mahu bersuara.
Nizam dan Syahreena turun tidak lama selepas itu. Lega hati
si abang melihat Lukman sudah ada di rumah. Nizam juga ikut ingin tahu tentang
apa yang telah terjadi sehingga membuatkan ayahnya naik angin semenjak beberapa
hari yang lalu. Mood ayahnya sentiasa tidak elok sehingga dia sendiri takut
untuk menegur.
Namun berbeza dengan Syahreena. Dia hanya tenang sahaja
duduk berhampiran dengan emak mereka. Hanya Amira sahaja yang tidak ingin
menyertai mereka. Gadis itu lebih suka memerap di bilik.
“Ada apa ayah panggil Luk balik ni?” soal Lukman setelah
agak lama mereka berdiam diri di ruang tamu itu. Tidak betah rasanya menghadap
kebisuan ayahnya itu. Semacam ada yang tidak kena. Sikap ayahnya membuatkan dia
terasa seperti kera yang sedang berada di sebuah pulau sendirian sedangkan
ramai orang di sekelilingnya.
Tan Sri Fatah tidak segera menjawab. Dia hanya membatu
memandang tv namun ketegangan di wajahnya sudah tidak mampu disembunyikan lagi.
Menunggu masa sahaja untuk meledakkan kemarahan yang tersimpan semenjak
beberapa hari yang lalu. Di matanya ini segala tindak tanduk Lukman saban hari
semakin mencabar kesabarannya.
“Kau dah solat ke?” soal Tan Sri Fatah serius tidak lama
kemudian.
“Dah tadi!” Lukman pantas menjawab dengan jawapan itu.
“Bila? Di mana?” Tan Sri Fatah mengerling tajam anaknya
itu sebelum kembali memandang rancangan berita di tv. Biarpun itu jawapan
Lukman dia tahu dia tidak seharusnya meletakkan kepercayaan kepada anaknya itu
lagi setelah apa yang berlaku. Tidak semudah itu dia boleh dikelentong anaknya
ini lagi!
“Kat pejabat tadi Luk sembahyang,” jawab Lukman sedikit
merendah. Ada sedikit kegusaran menyerang diri mengenangkan dia sedang menipu
ayahnya.
“Iya? Kau ada mandi wajib ke sebelum bersolat, Lukman?”
begitu bersahaja soalan itu diluahkan Tan Sri Fatah. Ada sedikit kerlingan
sinis dihadiahkan kepada anaknya itu.
Lukman terpempan tidak menjawab sebaliknya dia
menuntaskan pandangannya kepada emaknya yang ada di situ bagaikan memberi
isyarat kepada Puan Sri Mahani agar segera menyelamatkannya.
“Kenapa tanya soalan yang bukan-bukan ni, bang? Budak ni
baru aja balik. Dia dah balik nak buat apa marah lagi?” Puan Sri Mahani segera
menyampuk bagi pihak Lukman.
“Awak diam! Saya tak suruh awak bercakap! Saya tak mahu
awak masuk campur dalam hal yang awak tak tahu. Saya bercakap dengan dia.
Daripada hari tu saya suruh dia balik baru hari ni dia tunjuk muka. Awak ingat
saya ni malaikat? Penyabar sangat walaupun anak saya memperbodohkan saya secara
berdepan begini?” Spontan mata Tan Sri Fatah tajam memanah pandangan isterinya
itu. Suaranya meledak lantang memuntahkan kemarahan yang sudah lama terpendam
semenjak dia mengetahui keadaan Laila baru-baru ini.
Nizam, Syahreena dan Lukman terus berdiam tidak berani
bersuara apabila melihat kemarahan ayah mereka. Mengerti sikap ayah mereka,
masing-masing tidak berani untuk bersuara walaupun mereka masih tidak tahu
sebab mengapa ayah mereka marah sehingga begitu sekali. Tidak pernah mereka
melihat ayahnya menaikkan suara kepada emak mereka di hadapan mereka.
“Selama ni apa saja yang kau buat di belakang ayah dengan
mama kau, ayah tak pernah tahu. Buruk atau baik yang kau buat semuanya kau
simpan sendiri tapi tidak hari ini, Lukman! Ayah tak sangka perangai kau ni
seteruk ini. Perangai dah macam iblis!” herdik Tan Sri Fatah semakin hilang
sabar saat memandang wajah kepura-puraan anaknya itu.
“Apa maksud ayah ni? Luk tak faham. Apa yang Luk dah
buat?”
“Kau fikirlah apa yang kau dah buat! Takkan kau dah lupa?
Dasar tak tahu diri! Aku bela kau dari kecil, bagi kau sekolah tinggi-tinggi,
ini yang kau balas pada aku!” Tempo suara Tan Sri Fatah semakin meninggi
sehingga mengejutkan mereka di situ.
“Apa ni, ayah? Tiba-tiba nak marah Luk pulak? Kalau Luk
ada buat salah bagitahulah!” Lukman mulai bengang apabila dimarahi tiba-tiba.
Sakit di hatinya mendesak keberaniannya untuk melawan bicara ayahnya itu.
“Kau sengaja langgar cakap ayahkan? Kau suka sangat mencabar
kesabaran ayah. Bila di pejabat ayah suruh kau balik rumah, kau tak balik. Bila
ayah dah naik angin barulah kau tunjuk muka kat sini. Apa nak jadi dengan kau
ni, Lukman?” bentak Tan Sri Fatah keras. Semakin Lukman menunjukkan
kekerasannya semakin itu dia tidak ingin mengalah. Sebagai ayah dia akan
menunjukkan Lukman apa yang boleh dilakukannya! Walaupun Lukman sudah dewasa
tetapi dia masih seorang ayah kepada anaknya itu.
Lukman terdiam tiba-tiba. Dia tahu dia tersalah kerana
sengaja memperlekehkan arahan ayahnya. Mungkin kerana itulah ayahnya marah
malam ini. Tetapi masakan dia harus dimarahi kerana kesalahan sekecil itu?
Dalam pada dia tunduk membisukan diri hatinya asyik mendongkol sendiri
mempertimbangkan kewajaran sikap orang tua itu.
“Kau suka duduk kondo tu?” soal Tan Sri Fatah lagi.
“Sukalah. Itukan rumah yang ayah hadiahkan untuk Luk?”
jawab Lukman hambar. Rasa hatinya yang bengkak sengaja ditunjukkan secara
halus. Masih juga mahu menunjukkan besar kepalanya.
“Memang aku hadiahkan rumah tu untuk kau. Untuk kau
tinggal dengan selesa bukannya untuk selesa bawa masuk perempuan masuk ke rumah
itu. Kau fikir aku tak tahu semua tu?” serang Tan Sri Fatah selamba namun nadanya
agak tajam.
Lukman segera terkedu mendengar serangan Tan Sri Fatah.
Tuduhan itu cukup untuk membuatkan dia kepayahan menelan liurnya. Tetapi
akalnya segera meminta dia agar menyangkal segala tuduhan ayahnya itu. Mana
mungkin dia akan mengaku!
“Ma.. mana ada, yah. Luk tak bawa perempuanlah!” bantah
Lukman. Namun tanpa sengaja dia tergagap sedikit dalam pada cuba menegakkan
kebenaran yang tiada.
Tan Sri Fatah meluahkan ketawa sinisnya dengan jawapan
anaknya itu. “Sudahlah, Lukman. Kau jangan nak main sandiwara depan aku dengan
mama kau sekarang. Itu semua dah tak laku lagi. Aku tahu apa yang dah kau buat
di dalam rumah tu. Sekarang ni ada seorang perempuan yang mengaku dah
mengandungkan anak kau. Kau nak nafikan lagi?” desis Tan Sri Fatah bertambah
geram dengan lakonan anak lelakinya itu.
Apa yang diucapkan oleh Tan Sri Fatah membuatkan nyawa
Lukman seakan mahu terputus saat itu. Serta merta pucat mewarnai wajahnya.
Mulutnya terlopong tanpa disedarinya dengan mata yang terbuntang. Kejutan yang
dipersembahkan oleh Tan Sri Fatah benar-benar membuatkan dia terasa seperti
sedang diserang sakit jantung!
Siapa perempuan yang dimaksudkan ayahnya itu? Apakah
Laila sudah membuat pengakuan depan ayahnya? Macamana pula Laila boleh bertemu
dengan ayahnya? Namun biar sebanyak mana pun pertikaian dalam dirinya saat ini,
sudah tiada lagi bayangan wanita lain yang hadir dalam benaknya melainkan
Laila.
“Ayah jangan nak tuduh sembarangan. Luk tak buat semua
tu..”
“Kau jangan nak menipu aku lagi, Lukman. Perempuan tu kau
kenal dan kau yang perangkap dia! Mengaku ajalah!” tegas Tan Sri Fatah agak
lantang.
Biarpun lantang suaranya namun keheningan ruang tamu itu
tetap kelihatan bila mana Nizam dan Puan Sri Mahani seolah tidak mampu
meluahkan bicara kerana terkejut dengan berita itu.
“Ayah, apa ayah cakap ni?”
“Tergamak kau buat macam ni pada orang lain? Kau sengaja
nak malukan aku dengan mama kau ya? Ini yang aku ajar kepada kau selama ini?”
jerkahan Tan Sri Fatah semakin kuat kepada Lukman. Penafian Lukman sudah tidak
mampu dipegangnya lagi. Cukuplah Lukman membohonginya selama ini.
“Awak jangan nak percaya cerita orang, bang. Siapa
perempuan yang abang katakan ni? Takkanlah Lukman boleh buat begitu?” Puan Sri
Mahani yang terkejut masih sempat mencelah menyebelahi anaknya itu.
“Betul, ayah. Siapa perempuan tu?” sambut Lukman pantas.
Segar sedikit perasaannya apabila dia mendapat belaan emaknya itu.
“Awak fikir anak awak ni mati pucuk? Tak boleh
mengandungkan perempuan kalau ada perempuan telanjang depan muka dia?” tempelak
Tan Sri Fatah keras kepada isterinya itu.
Seketika kemudian pandangannya dihalakan pula kepada
Lukman. “Kau tak payah nak buat-buat tak tahulah, Lukman. Aku tahu kau
sebenarnya memang dah tahu yang Laila tu dah mengandung. Tapi kau suruh dia
gugurkan kandungan tu sebab kau tak mahu bertanggung jawab. Dah lupa? Kau kenal
Lailakan?” soal Tan Sri Fatah tajam kepada Lukman.
“Laila mana ni, ayah? Luk tak kenal!” nafi Lukman yang
sudah mula tertekan dengan segala tohmahan ayahnya itu. Dia tidak tahu
bagaimana ayahnya boleh mengenali Laila. Seiring itu dia merasakan nyawanya
seperti sudah di hujung tanduk. Dia tahu bukan mudah berhadapan dengan ayahnya
kali ini.
Syahreena sempat menggeleng sambil memandang adiknya itu.
“Mulut memang boleh menipu tapi DNA tak akan menipu kita,” ucapnya selamba.
“Apa yang Kak Reen cakap ni?” tukas Lukman agak kasar.
Melihat Syahreena sudah mula menyertai ayahnya dia merasakan dirinya akan
kekalahan jika dia tidak bijak menangkis tuduhan ini.
“Kau jangan nak buat-buat tak tahu. Aku report polis baru
kau tahu nasib kau nanti!” Dengan lantang si ayah membuat ugutan itu. Semakin
geram melihat anaknya bersikap seperti seorang dayus. Biarpun sudah
terperangkap masih juga mahu menegakkan benang yang basah.
“Ayah! Ayah takde bukti nak tuduh Luk macam tu. Luk tak
kenal Laila! Jangan nak tuduh sembarangan. Ayah lebih percayakan cakap orang
daripada cakap anak ayah sendiri? Entah perempuan mana yang datang pada ayah
mengaku mengandungkan anak Luk. Jangan ayah senang tertipu!” meninggi suara Lukman
melawan kegarangan ayahnya.
“Beritahu aku kenapa aku mesti percaya kalau selama ini
aku dah cukup lama tertipu dengan lakonan kau, Lukman! Beri aku sepuluh sebab
kenapa aku kena dengar cakap kau sekali ini kalau dah jelas terang-terangan
depan mata aku yang selama ini kau memang gemar bertukar perempuan!” jerkah Tan
Sri Fatah kian lantang. Turun naik dadanya menahan bara. Inikah hasil
didikannya kepada Lukman selama ini? Ini sahaja yang mampu terbina dalam diri
anaknya itu? Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu kecewanya dia.
“Aku tak semudah itu untuk tertipu kalau depan mata aku
sendiri ada seorang perempuan terkedang sakit di hospital disebabkan kau. Anak
dalam perut Laila tu anak siapa lagi kalau bukan anak kau? Kau nak aku panggil
dia ke sini?” cabar Tan Sri Fatah cukup lantang.
“Panggil aja perempuan tu ke sini. Jangan senang-senang
dia nak buat cerita tentang anak kita sedangkan dia yang tak tahu jaga maruah
diri. Jangan dia nak suruh Lukman pulak yang jadi pak sanggupnya!” Puan Sri
Mahani terus menyampuk sebelum sempat Lukman menjawab. Dia amat yakin yang
Lukman tidak bersalah.
Tan Sri Fatah ketawa sinis kepada isterinya itu. Dia
sudah menyiapkan segalanya. Laila sudah awal-awal lagi dijemput oleh Ariffin.
Sekejap lagi pasti Laila ada di sini. Malam ini segalanya akan diselesaikan
sebaik-baiknya.
“Awak pasti awak nak macam tu, Mahani?” soal Tan Sri
Fatah kepada isterinya itu.
“Iyalah! Awak ingat perempuan-perempuan di KL ni apa?
Baik sangat? Bukan susah pun nak menuduh anak kita ni, bang. Sebut aja nama
terus semua orang percaya!” sambut Puan Sri Mahani yang sudah panas hati.
Walaupun dia sendiri tidak suka dengan kelakuan Lukman selama ini itu tidak
bermakna dia senang mahu mendengar tuduhan tanpa asas begitu.
“Mama ni janganlah cakap macam tu..” Lukman mula
bengangkan ibunya pula. Harapannya untuk menyelamatkan diri semakin dipunahkan
emaknya. Matilah dia jika dia terpaksa berhadapan dengan Laila pula.
“Kenapa pulak? Luk tak salah buat apa nak takut? Biar dia
buat pengakuan depan kita. Kalau betul Luk tak salah kita saman aja perempuan
tu. Sedap-sedap aja nak buat cerita!” Mudah sahaja Puan Sri Mahani meluahkan
kata-kata. Langsung tidak berfikir kewajaran kata-katanya itu.
“Oh, awak nak saman budak perempuan tu? Kalau anak
kesayangan awak ni bersalah apa awak nak kita buat apa pula pada dia? Dakwa dia
sebab memperkosa? Dakwa dia sebab menculik, lepas tu memperkosa kemudian
mengugut? Macam tu?” bidas Tan Sri Fatah pantas.
“Kalau betul dia tu diperkosa kenapa dia tak laporkan
pada polis awal-awal lagi, bang oi? Kenapa kena tunggu anak dalam perut tu
hidup baru dia nak ke depan? Ini dah tentulah perangkap dia. Sengaja nak
jatuhkan nama baik keluarga kita. Awak janganlah lekas termakan cakap kosong
orang ni. Bukannya susah pun menuduh Lukman mengandungkan dia! Budak tadika pun
boleh cakap macam tu kalau disuruh!” Puan Sri Mahani dengan selamba menempelak
semula suaminya itu.
“Apa yang dah merasuk fikiran awak ni, Mah? Dalam keadaan
begini awak masih nak membela Lukman lagi. Saya takkan bercakap kalau takde
kelogikan pada tuduhan saya ni. Awak ingat saya ni bodoh sangat tak tahu
membezakan tuduhan tu palsu atau tidak? Awak tahu benar ke ke mana anak awak ni
pergi bila dia tak balik rumah? Awak pasti benar dia tak buat benda tak senonoh
bila dia takde depan mata awak?” balas Tan Sri Fatah mula bertekak dengan
isterinya itu pula.
“Luk tak balik sebab Luk tidur kat rumah Luk. Takkan itu pun
salah?” Lukman lantas bersuara untuk membela dirinya.
“Awak nak tahu, mah? Budak perempuan tu tak lapor pada
polis sebab anak awak yang awak anggap baik budi, beriman tinggi ni dah ugut
nak sebarkan gambar bogel budak tu lepas dia perkosa budak tu berkali-kali.
Awak tahu tak? Bukan sekali dua dia buat macam tu. Tapi berkali-kali! Sampai
budak nekad pindah rumah sebab dah tak tahan jadi hamba seks anak awak ni! Cik
Mahani oi, sedarlah sikit. Buka mata awak luas-luas. Jangan awak nak
memenangkan lagi anak awak ni. Anak awak ni bukannya terlanjur dengan budak
perempuan tu tapi anak awak ni dah perkosa budak perempuan tu. Dia dah buat
jenayah berat. Tak cukup dia rogol budak tu di kondo tu, dia ceroboh masuk ke
rumah budak tu untuk puaskan nafsu dia. Kita ada tiga anak perempuan yang masih
belum kahwin. Awak nak menangkan dia, awak tak takut ke nanti orang buat
anak-anak perempuan kita macam tu?? Awak tak ingat tentang itu?” suara Tan Sri
Fatah semakin lantang menghentam isterinya itu.
Puan Sri Mahani terus terdiam. Riak di mukanya segera
berubah. Tampang Lukman dipandangnya cuba menagih penjelasan. Lukman pula terus
bangun dari sofa yang didudukinya. Menyedari semua rahsianya sudah pecah dia
tahu sudah tiada apa yang dapat dilakukannya selain daripada melarikan diri
tetapi Nizam dengan pantas mencekak lengan adiknya itu.
“Kau nak lari ke mana pulak ni?” soal Nizam marah.
“Saya tak mahu duduk sini lagi, bang. Saya tak mahu orang
tuduh saya yang bukan-bukan. Saya tak pernah rogol sesiapa. Perempuan tu
penipu!” Lukman menjawab lantang kepada abangnya itu. Dia sebenarnya tidak
mampu lagi untuk berhadapan dengan sesiapa dalam keadaan begini terutama sekali
emaknya.
Mata Puan Sri Mahani sudah terbuntang memandang anak muda
itu. Lukman dapat merasakan emaknya sudah mula berbelah bahagi. Sebahagian
cerita ayahnya sudah mula dimakan oleh emaknya.
“Kalau kau tak salah kenapa kau nak mengelak?” jerkah
Puan Sri Mahani geram kepada anak lelakinya itu.
“Kau jangan nak pergi mana-mana! Duduk sini sampai kita
semua dapat selesai perkara ni. Kalau tak aku debik kau karang!” herdik Nizam
geram melihat Lukman. Ada hati mahu melarikan diri dalam saat-saat begini.
“Pukullah! Saya tak takut! Saya takkan bertanggungjawab
pada perempuan yang saya tak kenal. Saya tak rogol dia! Lepaskan saya!” dek
kerana terlalu takut dia lebih rela didebik daripada duduk menghadap ibu dan
ayahnya bersama semua kesalahan yang telah dilakukannya. Mengaku anak di dalam
kandungan Laila itu sebagai anaknya? Oh, tidak!
“Kalau betul kau tak rogol dia kenapa kau nak lari? Kalau
kau lari sekarang ni, kau jangan fikir boleh jejakkan kaki ke sini lagi!”
bentak Tan Sri Farah lantang. Dia sudah melihat ketakutan di mata anaknya itu.
Lukman terpempan seolah baru sahaja ditampar oleh ugutan
Tan Sri Fatah itu. Tidak sangka ayahnya senekad itu. Tan Sri Fatah mengukirkan
senyuman sinis di hujung bibirnya. Sudah diagaknya! Keberanian Lukman tidaklah
sebesar mana. Lagak sahaja yang lebih! Kini di hadapan matanya dia sudah
melihat kegelabahan Lukman.
Serentak itu suara Ariffin kedengaran memberi salam di
hadapan pintu rumah. Pertingkaian mereka anak beranak terhenti serta merta.
Melihat batang tubuh yang berada di sebelah Ariffin wajah Lukman pucat
sepucat-pucatnya. Tiba-tiba dia merasakan tubuhnya melonglai. Dunianya punah
ranap serta merta. jalan untuk dia melepaskan diri sudah sempit
sesempit-sempitnya!
“Masuk, Laila. Memang tepat pada masanya. Senanglah kita
nak membuat kira-kira kalau semuanya dah ada di sini! Takde dakwa dakwi lagi
kalau semuanya ikut mendengar.” Tan Sri Fatah segera berdiri untuk menjemput
tetamunya itu menyertai mereka di ruang tamu rumah itu.
“Ma, cantik budaknya..” desis Syahreena saat
terpandangkan wanita yang bernama Siti Laila Huda itu masuk ke dalam rumah.
Jauh lebih cantik dari apa yang dibayangkannya.
Puan Sri Mahani sempat mengerling tajam wajah anaknya itu
tanda tidak suka dengan pujian Syahreena. Apa gunanya wajah yang cantik kalau
sudah hamil sebelum nikah? Itulah pendiriannya saat itu.
“Apa kau cuba buat ni ha!” Lukman cuba mengancam Laila
yang masuk setelah dipanggil oleh ayahnya. Buntang matanya memandang Laila.
Sudah lupakah Laila kepada ugutannya dahulu? Ah! Sememangnya dia sebenarnya tiada
apa yang boleh digunakan untuk melemahkan Laila saat ini kerana ugutan itu
sebenarnya hanya kosong!
“Kenal pulak kau dengan dia? Tadi kata tak kenal? Kalau
kau tak salah kenapa kau nak takut dia ada di sini? Ini rumah ayah. Ayah yang
jemput dia. Kau ada masalah ke kalau dia ada di sini? Duduk situ! Selagi
perkara ni tak selesai kau jangan harap kau boleh pergi. Waktu untuk berdrama
sudah habis! Duduk! Kau jangan ingat kau boleh lepas sesenang itu lepas apa
yang kau dah buat pada dia!” Tan Sri Fatah mengherdik Lukman keras.
“Kau duduk! Jangan cuba-cuba nak cabut lari pulak.” Nizam
menekan tubuh Lukman agar duduk semula di sofa itu. Saat ini adalah saat yang
paling tepat untuk mereka membersihkan nama masing-masing dengan cara
berhadapan begini.
Lukman semakin gelisah apabila melihat sudah Laila berada
dalam rumahnya. Dia tahu bukan mudah untuknya kali ini. Tetapi apa sekalipun
keadaannya dia tetap tidak akan mengakui apa yang telah dilakukannya. Menyelamatkan
maruahnya lebih penting berbanding bertanggungjawab kepada bayi yang sedang
dikandungkan Laila.
“Awak sedar tak awak dah menuduh anak saya rogol awak?
Apa bukti yang awak ada untuk tuduh anak saya macam tu?” Puan Sri Mahani terus
menyoal Laila. Nadanya keras sambil memandang tajam kepada wanita muda itu.
Laila terdiam tidak mampu menjawab. Dia tidak tahu apa
yang mahu dikatanya. Dia kekeluan apabila disoal agak kasar oleh wanita anggun
itu. Bukti? Sudah tentulah dia tiada bukti melainkan bayi dalam rahimnya ini.
“Biar saya yang jawab soalan awak tu, Mah. Sebelum Laila
datang pada saya, saya pernah masuk ke kondo Lukman waktu dia berkerja. Saya
tak percayakan cakap Laila ni begitu saja. Saya ada bukti yang mengatakan apa
yang Laila katakan tu benar! Malah saya dah dapat tahu perbuatan Lukman sebelum
saya jumpa Laila ni.” Tan Sri Fatah yang bersuara membuatkan semua yang ada di
ruang tamu itu tergamam.
“Bukti apa ni, ayah? Luk tak tahu apa yang dia cakap ni.
Luk tak kenal dia!” tegas Lukman keras. Seingatnya semua bukti sudah
dihapuskannya! Jadi Laila tidak boleh menuduhnya sesuka hati.
“Oh! Bila kau buat perkara terkutuk tu kau kenal dia, kau
tahu mana nak cari dia. Kalau betul kau tak salah, kenapa Laila kata dia
tercakar leher kau dan kebetulan pula leher kau memang ada kesan luka? Kau
ingat semula, kau ada kata pada Nizam luka tu luka terkena pokok bunga. Kalau
betul terkena pokok bunga, kenapa aku nampak ada kesan lebam pada dahi kau.
Sebelum sempat aku tanya, Laila ada kata yang dia baling kau dengan lampu tidur
sampai terkena dahi. Aku nampak lampu tidur tu dah ada dalam tong sampah dalam
bilik kau. Kalau dia mereka cerita
kenapa semua kesan tu aku nampak sendiri dengan mata kepala aku ni pada kau?
Dia yang berbohong atau kau tu yang kaki penipu? Kalau nak difikirkan logik,
kesan luka tu nampak lebih logik kalau aku katakan kesan cakar berbanding kena
duri pokok bunga. Sebab belum pernah lagi aku tengok pokok bunga di halaman
rumah ni cederakan sesiapa selama ini!”
Lukman lantas menelan liurnya. Ketegangannya mengendur
akibat kepupusan idea untuk membela diri. Akalnya cuba mencari lagi idea untuk
melepaskan diri daripada perangkap ayahnya itu. Dia tidak dia tidak harus lekas
mengalah walaupun dia tahu dia sudah hampir kalah.
“Aku tahu kau letakkan cadar dalam mesin basuh supaya
orang lain tak nampak kesan darah pada cadar tu. Tapi aku nampak semuanya,
Lukman. Aku nampak! Kalau kau tak puas hati jugak aku boleh panggil Dr. Rajesh
ke sini. Kau ada bawa Laila jumpa dia lepas kau kerjakan Laila cukup-cukup di
kondo dulu tukan? Aku dah jumpa doktor tu. Dia dah ceritakan segala-galanya
pada aku. Aku dah kata aku ada bukti. Kau nak aku report polis sekarang?”
tempelak Tan Sri Fatah semakin lantang apabila dia melihat Lukman sudah
kehilangan kata untuk menafikan.
“Ayah! Apa ni? Jangan buat Luk macam ni..”
“Apa yang aku dah buat pada kau? Kau yang tempah nasib
kau macam ni. Sekarang ni Laila dah mengandung, apa cerita sekarang ni, Lukman?
Kau nak nafikan lagi? Bila dia datang pada kau, kau suruh dia gugurkan
kandungan tu. Dia tertekan sampai masuk hospital. Mana tanggungjawab kau
sebagai manusia, Lukman? Kau ni binatang ke manusia?” tempelak Tan Sri Fatah
semakin meninggi suaranya.
“Ayah, Luk tak buat semua tu. Belum tentu lagi itu anak
Luk, ayah.”
“Tadi kata kau tak buat lepas tu kau kata belum tentu
lagi itu anak kau. Ini bermakna memang adalah kau sentuh dia? Kau sengaja nak
kata itu bukan anak kau sebab kau dayus tak mahu mengaku kesalahan yang kau dah
buat. Jadi anak siapa tu kalau bukan anak kau?” bidas lelaki tua itu enggan
kalah kepada penipuan anak lelakinya itu. Sekilas dia memandang dia tahu
anaknya itu menipu. Hanya perlukan sedikit kebijakan untuk memerangkap Lukman,
itu sahaja.
“Reen, beritahu apa yang kamu tahu sebelum ni..” ucap Tan
Sri Fatah kepada anak perempuannya itu pula.
Syahreena yang tidak bersedia terkejut sedikit apabila
namanya disebut oleh ayahnya. Sempat dia menunding kepada dirinya dengan
sedikit kerutan di kening. Mungkin dia tidak menyangka ayahnya akan menyeret
dia sama dalam masalah ini.
“Ya, bagitahu dia. Ayah nak dengar apa pulak yang dia nak
kata lepas ni!” tegas Tan Sri Fatah.
“Apa semua ni, Reen?” soal Puan Sri Mahani kepada
Syahreena.
“Reen ada ambil sikit bahagian cadar yang terkena darah
tu dan Reen ambil sampel rambut perempuan yang ayah jumpa pada bantal dalam
kondo Luk. Reen ada hantar semua sample tu pergi makmal. Seminggu kemudian Reen
dapat tahu darah tu milik Laila lepas ujian dibuat pada darah tu siap. Nama
Laila yang keluar dari sistem hospital sebab dia pernah berurusan dengan IJN
sebelum ni. Semua data peribadi dan rekod DNA dia ada dalam sistem. Juga ada
campuran DNA mereka dalam bentuk cecair lain yang membuktikan memang ada
berlaku pergaulan antara mereka berdua, ma. Susah nak nafikan lagi semua tu
sebab DNA takkan menipu kita.” Syahreena menjelaskan apa yang diketahuinya
pula. Agak pahit untuk dibongkarkan. Namun demi maruah ibu dan ayahnya dia
terpaksa.
“Ma, jangan percaya cakap Kak Reen tu. Perempuan ni janda,
ma! Janda memang senang menyerah pada lelaki. Entah-entah bukan Luk seorang
yang dah sentuh dia. Dia sengaja nak perangkap Luk.” Dengan pantas Lukman
mereka cerita yang tidak pernah diketahuinya semata-mata mahu mengaburi
pandangan kedua orang tuanya kepada Laila. Entah apa-apa yang diucapkan dia sendiri
tidak tahu.
“Balu! Janda dan balu tak sama, Lukman!” tegas Tan Sri
Fatah tidak senang dengan cara Lukman menyelar status Laila.
“Tak kisahlah balu ke janda! Sama aja bagi Luk!” degus
Lukman tetap tidak mahu mengalah.
“Oh! Sekarang kau mengakulah yang kau memang ada sentuh
dia? Bagi kau dia cuma janda jadi kau ingat kau boleh touch and go macam tu ajalah ya? Malam tu selain kau siapa lagi
yang bernafsu binatang macam kau? Bawa dia ke sini aku nak jumpa!” tempelak si
ayah tetap mahu berbalah kata dengan anaknya itu. Dia tidak akan mengalah
sehinggalah Lukman mengakui apa yang benar.
“Laila, betul ke Laila dah pernah kahwin?” kali ini Puan
Sri Mahani pula menyoal Laila. Dia tidak mahu mendengar cerita Lukman sahaja.
Dia mahukan penjelasan Laila pula. Entahkan benar apa kata Lukman, Laila senang
melayan lelaki.
“Betul. Saya dah..”
“Tengok.. belum tentu lagi itu anak Lukman, bang. Jangan
cepat menuduh anak kita. Janda ni kalau dah terdesak dengan suami orang pun
boleh apatah lagi dengan yang bujang..” Puan Sri Mahani lantas memintas
kata-kata Laila. Masih mahu memenangkan Lukman setelah Laila mengaku yang dia
janda. Laila dijelingnya tajam.
“Tapi hanya Lukman yang ada sentuh saya selama ini, Puan
Sri. Memang saya janda. Saya kematian suami empat tahun lalu. Tapi kalau saya
murah seperti yang dia katakan kenapa mesti dia perkosa saya? Kenapa mesti saya
cederakan dia waktu tu? Kalau saya murah dah tentu saya akan relakan apa yang
dia lakukan. Tapi kenyataannya tak!” ujar Laila nekad menegakkan maruahnya.
Memang hanya dia sahaja yang tahu hakikat itu tetapi
membiarkan maruahnya dipijak-pijak di hadapan keluarga ini tidak sama sekali.
Dia tahu Allah melihat segalanya. Jika kebenaran tidak terungkap hari nanti
pasti akan terungkap juga suatu hari nanti. Pasti!
“Manalah aku tahu siapa lagi yang ada sentuh kau dulu.
Entah-entah anak dalam perut kau tu anak Nazim. Nazim pun sukakan kau,”
tempelak Lukman.
Laila memandang Lukman tajam dalam pada menahan sakit di
hatinya mendengar kata-kata itu. Seperti mahu ditamparnya lelaki yang duduk
tidak jauh darinya itu. Betapa rendah nilai dirinya di mata Lukman. Seronok
benar Lukman menegakkan benang yang basah dengan mengadakan cerita kotor
seperti itu.
“Aku tak semurah itu, Lukman. Seumur hidup ni aku tak
pernah berzina dengan mana-mana lelaki sebelum ni. Memang betul aku janda
tetapi aku hanya sempat berkahwin dengan arwah suami aku selama empat bulan.
Itu pun kami bernikah gantung semasa aku masih di universiti. Kau jangan nak
nafikannya lagi! Kau yang larang aku dekat dengan Nazim sebab kau kata tubuh
badan aku adalah milik kau. Jangan jadi dayus! Mengakulah apa yang dah kau
buat. Jangan mereka cipta cerita yang takde! Kalau kau rasa kau benar aku cabar
kau bersumpah depan Al-Quran sekarang!” tembak Laila tepat kepada Lukman. Dia
nekad! Biarlah dia malu semalu-malunya kerana membongkar rahsia yang tersimpan
selama ini asalkan dia tidak dihina. Memang dia janda. Tetapi bukan janda
murahan!
Lukman lantas terdiam. Cabaran yang diberikan Laila amat
berat untuk disambutnya. Mahunya dia dipanah petir kerana membuat sumpah bohong
macamana? Naya dia nanti! Tambahan pula dia tahu benar berdosa besar memfitnah
seorang perempuan melakukan zina.
“Macamana, Lukman? Nak bersumpah depan Al Quran tak?”
soal Laila apabila melihat Lukman kematian kata-kata. Dia tahu Lukman tidak
akan berani punya!
Tan Sri Fatah tersenyum sinis sambil menggeleng. Idea
Laila itu memang bernas. Dia amat bersetuju. Tetapi kebisuan Lukman sudah
membuktikan yang anaknya itu tidak sanggup menghadapi risiko akibat perbuatan
sumpah itu nanti.
“Tadi kau kata kau tak kenal dia. Tapi kau tahu pulak ada
lelaki lain sukakan dia. Mana satu yang betul ni, Luk? Kalau dia senang
menyerah pada lelaki kenapa sampai berdarah kau kerjakan dia? Cerita apa yang
kau cuba buat ni??” Nizam menyampuk agak keras. Dia tahu saat ini bukan Laila
yang berbohong atau cuba memerangkap Lukman tetapi riak wajah Lukman yang cemas
semacam itu sahaja sudah cukup memberitahu mereka semua yang dia sememangnya
bersalah. Cakapnya juga sudah lintang pukang. Sekejap berkata tidak sekejap
mengiakan.
Lukman memandang tajam abangnya itu. Geram benar dia
apabila Nizam cuba menyukarkan lagi keadaannya. “Luk tak buat semua tu, bang.
Dia ni cuba perangkap Luk. Entah-entah dia kata itu anak Luk bila lelaki yang
buntingkan dia tak mahu bertanggungjawab. Siapa boleh buktikan yang tu memang
anak Luk yang sah?” Lukman kembali menafikan tuduhan yang terus dilemparkan
kepadanya.
“Hai.. senangnya dia nak menuduh kau? Di mana dia jumpa
kau sampai dia boleh pilih kau untuk dijadikan pak sanggup? Kalau kau tak kenal
dia takkanlah dia boleh senang-senang nak serang kau macam ni? Masuk akal ke
semua ni? Lagipun kalau betul pun dia bohong bukannya kita tak boleh buktikan.
Kita ada ujian DNA yang boleh tentukan anak tu anak siapa. Kau sanggup buat
ujian tu?” tempelak Nizam sinis.
Lukman mati kata sekali lagi. Ya! Ujian DNA boleh
menentukan anak di dalam kandungan Laila anak siapa. Kakaknya ada kemudahan
untuk membuat ujian itu. Lukman kembali cemas. Dia tahu, selepas dia menghantar
Laila pulang tempohari dia ada menelefon Dr. Rajesh untuk menanyakan keadaan
Laila sebenarnya. Wanita itu mengatakan koyakan pada selaput dara menunjukkan
Laila masih dara ketika dia melakukan perbuatan terkutuk itu. Lagipun dia
memang sudah mengesyaki Laila masih dara ketika dia ternampak darah di cadar itu.
Lukman menegur liurnya. Namun rasanya seperti liurnya
sudah tersekat di kerongkong. Dia sudah kehabisan idea untuk menafikan. Lukman
tahu sudah tiada jalan lagi untuk dia mengelak apabila kesemua pasang mata di
ruang tamu itu memandangnya tanpa henti, menagih penjelasan darinya.
“Kau nak nafikan lagi? Baiklah, Lukman. Tak perlulah kita
nak bertekak di sini lagi. Kau dengar sini baik-baik. Ayah akan buat laporan
polis malam ini untuk mengesahkan apa yang Laila katakan ni benar. Begitu juga
dengan segala penafian kau. Ayah masih simpan cadar tu dan itu akan ayah
kemukakan untuk dijadikan bukti. Kalau kau tak salah, tak perlulah kau nak rasa
takut, ya tak? Ayah pun tak suka orang tuduh anak-anak ayah begitu sahaja. Jadi
siasatan polis ni nanti akan menentukan siapa yang benar yang dan siapa yang
menuduh,” umpan Tan Sri Fatah segera menyudahkan rancangannya untuk memerangkap
Lukman.
Lukman tergamam mendengar keputusan ayahnya. Tambahan
pula secara spontan dia teringat ayahnya memang kenal baik dengan ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Berat Bukit Aman, Dato Ismail Tahar. Lagilah dia bertambah
kecut. Terbayang dia bagaimana dia nanti akan menjalani hukuman rotan akibat
jenayah merogol wanita. Sanggupkah dia menggalas gelaran sebagai banduan?
Aduhai.. Lukman benar-benar menggelabah apabila melihat
ayahnya mula mengeluarkan telefon bimbitnya untuk memanggil seseorang.
“Ayah! Jangan, ayah. Tolong jangan lapor pada polis. Luk
minta maaf. Luk janji tak buat lagi,” spontan Lukman terus bangun dan meluru
kepada ayahnya. Pergerakannya berakhir di hujung kaki ayahnya itu.
“Jadi kau mengaku sekarang?” soal Tan Sri Fatah sambil
memandang anaknya itu.
“Ya, ayah! Luk mengaku Luk memang ada buat macam tu pada
Laila. Anak tu memang anak Luk. Tapi tolonglah ayah, jangan lapor pada polis.
Luk mengaku Luk memang salah. Memang semua yang Laila cakap tu betul. Maafkan
Luk, ayah!” Hampir menangis Lukman saat itu. Dia benar-benar sudah tidak
berdaya lagi mempertahankan dirinya.
Puan Sri Mahani terlopong mendengar pengakuan anak
lelakinya itu. Nyawanya bagaikan direntap keras oleh pengakuan Lukman saat itu.
Dia tidak sangka apa yang dikatakan oleh suaminya tadi sememangnya benar
dilakukan oleh Lukman dan dia pula dengan tanpa segan silu membela Lukman yang
bersalah. Lebih buruk lagi teganya dia menghina Laila hanya kerana mahu
memenangkan anaknya yang kejam.
Malunya dia kepada Laila. Air mukanya bagaikan sudah
jatuh terjerembab di hadapan Laila saat itu. Bagaikan tiada tempat untuk dia
menyorokkan dirinya. Akibat hilang sabar Puan Sri Mahani terus bangun dari sofa
itu. Dia meluru ke arah Lukman. Bahu Lukman ditarik kasar sehingga anak
lelakinya berpaling ke arahnya. Lalu wajah itu ditampar sekuat-kuat hatinya.
“Anak tak tahu diuntung!” jerkah Puan Sri Mahani cukup lantang.
“Mama, Luk minta maaf..” Lukman sujud pula di kaki
ibunya.
“Kau dah malukan mama! Kau fikir maaf kau tu cukup? Mama
percayakan kau selama ini, Lukman. Ini yang kau balas pada mama?” semakin
meninggi suara Puan Sri Mahani. Kepala Lukman dipukulnya kuat untuk melepaskan geram.
Tidak cukup itu kepala Lukman ditunjalnya pula. Terhangguk-angguk anak muda itu
akibat ditunjal oleh emaknya.
Nizam segera bangun untuk menenangkan emaknya itu yang
mula naik hantu kepada Lukman. Tubuh emaknya yang masih menggigil menahan marah
dibawa duduk semula. Namun pandangan mata Puan Sri Mahani terus mencerlang
memandang Lukman. Masih tidak puas untuk menghukum Lukman. Sungguh memalukan
sekali, anak kesayangannya sudah menconteng arang ke mukanya.
“Kau memang tak guna, Lukman. Kau rosakkan perempuan
lepastu senang aja kau nafikan apa yang kau buat. Sampaikan kau tak sanggup
mengatakan anak tu anak orang lain padahal kau tahu itu anak kau. Kau ni memang
jenis lelaki yang tak tahu diri. Apa dah jadi dengan kau ni?” Puan Sri Mahani
yang masih belum puas menghamburkan kemarahannya mengherdik Lukman sekuat-kuat
hatinya dari tempat duduknya.
Lukman hanya mampu berdiam membatukan diri. Dia tidak
mahu menjawab lagi kerana dia takut ayah dan mamanya akan bertambah marah
dengannya. Lebih mudah dia mengaku salah sahaja daripada kes ini
diperpanjangkan kepada pihak polis.
“Mana gambar dia yang kau ambil?” soal Tan Sri Fatah mula
mengawal keadaan itu semula.
“Gambar apa?” soal Lukman sedikit lugu.
“Budak bengap! Tolol! Gambar dia yang kau gunakan sebagai
senjata untuk melepaskan diri! Kau ugut nak sebarkan gambar bogel dia. Mana
gambar tu?” herdik Tan Sri Fatah marah. Kini dia pula yang terasa mahu menampar
muka Lukman.
“Gambar tu tak wujud. Luk sengaja takutkan Laila sebab
dia ugut nak laporkan pada polis,” jelas Lukman amat rendah.
Dia masih ingat pesanan Nazim agar tidak benar-benar
mengambil gambar itu kerana gambar itu boleh menjadi bukti besar untuk
menyabitkan mereka berdua jika Laila nekad melaporkan pada polis. Tambahan pula
dia sememangnya tahu biar pun sudah ke seluruh dunia dia menyebarkan gambar
itu, siasatan pihak polis pasti akan menemukan dia sebagai si penyebar
akhirnya. Bodohlah dia kalau dia memerangkap Laila ketika Laila sedang berada
di atas katilnya. Semudah itu polis boleh mengesan perbuatan jenayahnya dengan
mengecam suasana di dalam bilik tidurnya. Kerana itu dia tidak berani
melakukannya.
“Aku tak percaya, Lukman. Kau jangan nak main-main dengan
aku.”
“Sumpah, ayah! Gambar tu memang takde. Luk hanya nak
takutkan dia saja. Luk ingat dia senang dipujuk tapi Luk salah. Laila ugut nak
laporkan apa yang Luk buat malam tu pada polis. Sebenarnya itu hanya ugutan
kosong sebab Luk dah takde cara lain nak tutup mulut Laila.” Saat itu buat
pertama kalinya dia mula bercakap benar.
“Senang kau bercakap ya? Sekarang aku nak kau
bertanggungjawab pada dia. Kau dah buntingkan dia sekarang aku nak kau
bertanggungjawab pada dia dan anak dalam kandungan tu. Kau kena kahwin dengan
dia!” kata Tan Sri Fatah sambil menundingkan jarinya kepada Laila.
Laila dan Lukman serentak tersentak dengan ucapan Tan Sri
Fatah. Berkahwin? Laila sempat membayangkan betapa gelapnya masa depannya jika
dia bersuamikan lelaki ini. Tetapi wajarkah dia mementingkan hati dan
perasaannya sedangkan anak dalam kandungannya ini perlukan pembelaan? Jika dia
menolak sanggupkah dia membiarkan anaknya menggalas gelaran anak haram?
Lantaran memikirkan itu Laila membatukan diri biarpun dia terlalu ingin menolak
permintaan Tan Sri Fatah itu.
“Ayah, Luk tak mahu kahwin sekarang. Luk belum bersedia..”
ucap Lukman setelah memandang Laila seketika. Dia tahu Laila juga sebenarnya
tidak mahu berkahwin dengannya.
“Siapa kata kau boleh memilih sama ada kau nak atau
tidak? Ini arahan aku!” ucap Tan Sri Fatah keras. “Mengandungkan dia kau
bersedia pulak. Bila disuruh kahwin kau tak mahu. Kau boleh teruskan dengan
kedegilan kau, Lukman. Tapi aku juga ada keputusan aku sendiri,” sambung Tan
Sri Fatah cukup serius. Hari ini dia akan menunjukkan siapa dirinya yang
sebenar sebagai ayah. Biar semua anak-anaknya sedar dengan siapa mereka
berhadapan sebelum terfikir untuk membuat onar begini.
“Kau kena sedar apa harga yang haru dibayar sebelum kau
ingkar pada kehendak aku. Mulai malam ini kau bungkus kain baju kau keluar dari
rumah ni. Aku haramkan kaki kau memijak rumah ni dan kau bukan lagi anak aku.
Jangan harap kau nak dapat sesen pun dari harta aku lepas semua tu. Mulakan
hidup kau sendiri dengan usaha kau sendiri. Rumah, kereta, kad kreadit dan
segala duit dalam akaun bank yang datang dari aku, aku tak benarkan kau ambil.
Selangkah kau keluar dari rumah ni aku tak nak tengok muka kau lagi sampai
bila-bila. Aku tak perlukan anak yang tak berguna macam kau! Memalukan!”
Lukman sekali lagi terkedu mendengar hukuman yang telah
dijatuhkan oleh ayahnya. Tanpa dapat ditahan matanya berkaca. Dia tidak sangka
ayahnya akan senekad itu ingin membuangnya dari keluarga ini.
“Ayah, sampainya hati ayah. Disebabkan dia ayah sanggup
buang Luk dari hidup ayah? Luk anak ayah!” tekan Lukman dengan nada yang sudah
bergetar. Air matanya terus mengalir saat itu. Betapa remuk hatinya saat itu
hanya Tuhan yang tahu. Beginikah pengakhiran hidupnya?
“Ya! Memang aku sampai hati kerana aku tak pernah ajar
kau buat begini. Kau lagi sampai hati menconteng arang ke muka aku. Kau lebih
tergamak memalukan aku dengan berperangai macam iblis. Ini aja yang kau dapat
setelah bertahun-tahun aku besarkan kau dengan titik peluh aku sendiri? Budak
dalam perut Laila tu anak kau! Tapi kau menafikannya sesudah nikmatnya kau rasa
sepuasnya? Kau bukan lagi seorang manusia, Lukman! Sekarang tanpa semua
kemewahan ni aku nak tengok sejauh mana kau boleh hidup. Kalaulah disebabkan
kemewahan yang Allah beri ni membuatkan kau jadi binatang yang serupa manusia,
maka aku tak halalkan sesen pun harta aku jatuh ke tangan kau sekiranya kau
enggan bertanggungjawab pada Laila. Kau dengar?”
“Ayah.. jangan buat Luk macam ni. Luk minta ampun, ayah.
Luk anak kandung ayah! Jangan beri hukuman ni pada Luk, ayah. Luk sayangkan
ayah.”
Esakan Lukman semakin kuat. Semakin menyayukan sehingga
Laila sendiri terpaku melihat Lukman sujud di kaki ayahnya. Lelaki itu menangis
sambil memeluk kaki ayahnya itu. Kali terakhir dia melihat Lukman betapa angkuh
dan kuatnya lelaki itu. Tetapi hari ini tanpa ayahnya Lukman bukan sesiapa.
“Buatlah pilihan yang terbaik untuk kau. Kerana sayangkan
kau ayah buat begini. Kalau ayah tak nekad, kau takkan belajar satu apa pun
dari kesilapan kau selama ini. Ayah cuma nak kau jadi seorang lelaki, Lukman.
Anak tu perlukan ayahnya. Kau nak biarkan darah daging kau sendiri jadi anak
haram semata-mata kerana mahu menjaga ego kau? Aku takde sebab nak kasihankan
kau lagi. Sekarang putuskan apa yang kau mahu. Kahwin dengan Laila atau keluar
dari rumah ni. Pilihan di tangan kau sekarang! Putuskan!” ucap Tan Sri Fatah masih
tidak mahu mengalah. Rayuan Lukman masih tidak mampu memujuk sekeping hatinya
yang sudah hancur lumat dikerjakan Lukman.
Lukman terdiam. Dia masih menangis sendiri. Namun dalam
pada itu bicara ayahnya tetap dipertimbangkan. Mengalah kepada kehendak ayahnya
atau keluar dari rumah ini selama-lamanya? Yang mana satu?
“Kahwinlah dengan Laila, Luk. Kasihan dia. Kasihankan
anak dalam perut dia tu. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab. Sekarang ni kau
boleh lari tapi nanti depan Allah kau akan menanggung azab atas setiap apa yang
dah kau kerjakan. Kau tak boleh lari sebab Allah melihat semuanya.” Nizam yang
sedari tadi hanya memerhati mula memujuk adiknya itu. Dia mula risau apabila
melihat ayahnya nekad mahu menghalau Lukman keluar dari rumah. Dia tidak sampai
hati pula melihat nasib Lukman jadi seperti itu.
“Jangan nasihatkan dia lagi! Dia dah cukup besar! Dia
patut tahu apa yang mesti dia lakukan,” ucap Tan Sri Fatah sambil menghalakan
bola matanya ke hujung kakinya itu. Di situ Lukman masih melutut mengharapkan
belasnya.
“Ayah..”
“Cukuplah! Aku tak nak dengar apa-apa lagi. Aku cuma nak
tahu, kau nak kahwin dengan dia atau tidak?” pintas Tan Sri Fatah yang masih
menantikan keputusan dari Lukman. Dia tidak ingin mendengar rayuan sebaliknya
keputusan.
Lukman akhirnya mengangguk perlahan. Dia tahu dia sudah
tiada pilihan lagi.
“Kau dengar sini baik-baik? Selepas ni aku takkan
percayakan kau lagi. Lepas apa yang kau buat ni aku memang takkan bagi muka
lagi pada kau. Pertama sekali aku nak kau bagi balik kunci kondo tu. Lepas tu
aku nak jumpa orang tua Laila dan minta maaf pada mereka. Aku mahu kau kahwin
dengan Laila dalam minggu ini juga. Kalau kau cuba larikan diri, anggap ajalah
aku ni dah tak wujud lagi untuk kau dan aku haramkan kau sentuh aku walaupun
sekadar di hujung kaki sewaktu aku mati nanti. Kau faham?” ancam Tan Sri Fatah
masih tidak mampu meletakkan biar sebutir kepercayaannya kepada Lukman. Dia
tahu bila-bila masa sahaja Lukman boleh melarikan diri. Demi itu dia juga sudah
bersedia dengan agendanya.
Lukman hanya mampu mengangguk lemah dengan amaran ayahnya
itu. Dia mengesat matanya. Wajah Laila tidak ingin dipandangnya kerana saat ini
dia amat malu kepada wanita itu. Buat pertama kali dia kalah apabila berhadapan
dengan seorang wanita. Buat pertama kali di dalam hidupnya dia rebah dek kerana
kuasa seorang wanita. Lebih malang sekali akhirnya dia terpaksa menjilat
ludahnya sendiri setelah puas dia meludahkan wanita yang dianggap murah.
Akhirnya janda yang dikatakan Nazim sebagai sisa orang itulah yang terpaksa
dikahwininya.
20
Ketibaan rombongan pengantin lelaki tepat seperti yang telah dijanjikan. Dengan
berat hati Haji Syahar menjemput kesemua ahli keluarga pengantin lelaki yang
terdiri dari Tan Sri Fatah dan anak-anaknya. Juga Mak cik Maznah dan suaminya. Kelibat
Puan Sri Mahani langsung tiada saat itu. Sewaktu adat peminangan beberapa hari
yang lalu juga emak Lukman tidak hadir sebaliknya Mak cik Maznah yang hadir
mewakili emak Lukman.
Setelah Lukman duduk menghadap kadi, Laila dipanggil
keluar untuk sama-sama mengikuti upacara akad nikah itu. Buat pertamanya,
Lukman sempat terpaku memandang wajah pengantin perempuan yang sudah disolek
berseri itu bersama dengan persalinan putihnya. Dadanya berdebar menahan pesona.
Bola matanya bagaikan sudah melekat di wajah itu.
“Cukup-cukuplah pandang tu. lepas ni dah halal kamu nak
pandang sampai seminggu tak keluar bilik pun takde siapa yang nak marah.
Sekarang kita kena jalankan upacara akad nikah ni dulu. Kalau tidak nanti nak
pandang kali kedua pun dah tak boleh!” ucap kadi itu sengaja berseloroh dengan
pengantin lelaki yang agak ‘gelojoh’ matanya.
Lukman tergaru-gary menahan sengih. Malu juga dia tatkala
kelakuannya itu menjadi bahan usikan sehingga menerbitkan tawa orang di sekelilingnya.
Jurunikah bernama Haji Sukimin itu meneliti seketika
borang nikah mereka. Kemudian perhatiannya tertumpu kepada bahagian paling
hujung borang itu. Ada tertera pemberian mas kahwin sebanyak RM 1500 dan
sebentuk cincin dari pengantin lelaki kepada pengantin wanita.
“Ada bawak mas kahwinnya?” tanya Haji Sukimin sambil
memandang Lukman dan Tan Sri Fatah secara bergilir.
“Ada di sini, tuan haji.” Tan Sri Fatah segera menjawab
sambil menunjukkan sebuah gubahan bunga yang dijadikan daripada not-not lima
puluh. Dia mengerti mengapa ada pertanyaan seperti itu kerana menurut orang
sekelilingnya undang-undang nikah kahwin bagi Negeri Perak agak ketat
berbanding di tempat lain. Sekadar sesuatu yang remeh juga perlu ditanya.
Kadi itu segera mengangguk tanda berpuas hati. “Jadi
sebelum kita mulakan upcara akad nikah ni, saya nak bercakap dulu dengan
pengantin lelaki ni. Sijil kursus kahwin yang awak dapat ni tak cukup untuk
awak jadikan panduan dalam mengemudikan rumahtangga. Kamu kena banyak belajar
lagi bagi mendalami ilmu rumahtangga. Allah memberatkan setiap lelaki yang
menjadi suami dengan beberapa amanah yang wajib dilaksanakan dengan seikhlas
hati dan sebaik-baiknya. Suami merupakan ketua rumahtangga. Jadi setiap
percaturan seorang suami mestilah membawa kepada kebaikan bagi orang-orang yang
berada di bawah tanggungjawabnya. Bukan sebaliknya. Kamu wajib menunaikan hak
isteri sebaik-baiknya, iaitu menyediakan makan minumnya, makan pakainya, rumah
yang selamat baginya dan mendidik dia sebagai muslimah supaya dia taat pada
perintah suami dan Allah subhanawta’ala. Suami juga berperanan sebagai
pelindung, bukan sekadar perlindung daripada segala ancaman bahaya sebaliknya
bahaya yang datang dari pekerjaan iblis dan syaitan. Suami merupakan seorang
penbimbing dan penegur supaya isteri dan anak-anaknya tidak lalai dari mentaati
perintah Allah.
“Manakala isteri pula wajib menunaikan hak suami, iaitu
menjaga keperluan batin suami, menjaga rumah dan segala harta bendanya
sebaik-baiknya, menjaga keperluan rumahtangga dan mendidik anak-anak. Seorang
isteri dilarang membawa orang yang tidak disukai oleh suaminya masuk ke dalam
rumah suami ketika suaminya tiada. Banyak lagi kalau nak disebutkan satu-satu.
Mungkin sampai pagi esok pun takkan habis. Jadi harap-harap selepas ini
pasangan ni akan berusaha untuk menimba ilmu berumahtangga supaya rumahtangga
yang dibina ni dapat mencapai sasaran seperti yang Allah tetapkan.” Lukman dan
Laila sempat diceramah oleh lelaki berserban itu. Luman sekadar mengangguk
akur. Laila pula hanya diam.
“Jadi kita mulakan dengan pengantin perempuan, sudi tak
jika kamu aku nikahkan dengan lelaki ini?” pandangan Haji Sukimin terhala
kepada Laila yang sedikit menunduk.
“Sudi,” jawab Laila sepatah tanpa menunggu lagi.
Lukman yang menelinga menghela nafas kelegaan sebaik
sahaja mendengar jawapan Laila. Tidak disangkanya hari ini Laila ditakdrikan
menjadi miliknya. Sukakah dia? Entah..
“Kalau begitu kita teruskan upacara ini. Sambut akad
dengan terang, jelas dan sekali nafas ya? Bukan kamu seorang aja nak dengar.
Semua yang ada di sini nak dengar apa yang kamu lafazkan,” ucap Haji Sukimin
sambil menghulurkan tangannya kepada Lukman.
Mereka lantas berjabat tangan sambil diperhatikan oleh
dua saksi. Buat seketika Haji Sukimin beristighfar perlahan namun masih mampu
didengari oleh orang berdekatan dengannya.
“Ahmad Nahij Lukman Bin Ahmad Al Fatah..”
“Saya!” jawab Lukman sedikit kuat.
“Aku nikah akan dikau dengan Siti Laila Huda Binti
Syaharuddin berwakil walikan akan Haji Syaharuddin Bin Hanafi kepada ku, dengan
mas kahwinnya 1500 ringgit, tunai!”
“Aku terima nikahnya Siti Laila Huda binti Syaharuddin
dengan mas kahwinnya 1500 ringgit, tunai!” Lukman menyambut akad itu dengan
lancar.
Haji Sukimin terus memandang saksi di sebelah kanannya.
Lelaki itu menyebut perkataan sah sambil mengangguk puas hati. Begitu juga
dengan saksi di sebelah kirinya. “Alhamdulillah..” Serentak itu kadi itu
menadahkan tangan untuk membacakan doa diikuti oleh mereka semua yang
menyaksikan acara itu.
Laila hanya tenang. Tiada air mata yang mengalir. Ini
bukanlah kali pertama dia melalui keadaan ini. Mungkin kerana itu dia sudah
boleh mengawal dirinya. Tetapi sebenarnya saat ini dia tidak merasa apa-apa.
Hatinya kosong sama sekali!
Saat itu tiada siapa yang menyedari, hati Haji Syahar
menangis hebat mengiringi peristiwa penting itu. Di sebalik rasa syukurnya dia
tetap merasa sedih kerana terpaksa menyerahkan satu-satunya anak perempuannya
kepada lelaki ini. Dia mempertaruhkan masa depan Laila dengan menyerahkan anak
perempuannya kepada seorang lelaki yang zalim. Alangkah sayu hatinya. Tetapi
demi anak dalam kandungan Laila dia terpaksa melakukannya. Hanya harapannya
semoga Allah memberikan sedikit kekuatan dan kesabaran kepada Laila untuk
melalui setiap kesusahan hidupnya nanti.
Haji Syahar yakin benar bukan mudah hidup Laila nanti. Berkahwin
dalam keadaan begini tidak pernah diimpikan Laila mahupun dirinya. Tetapi biar
apa pun hakikatnya, dia hanya mahu Laila tabah dengan segala ketetapan Allah.
Dia mahu Laila bersabar. Demi itu dia percaya Allah tidak akan membiarkan Laila
begitu sahaja. Dia tahu Allah akan selalu memberkati hidup Laila.
Mengenangkan ketiadaan arwah isterinya itu untuk
berkongsi rasa Haji Syahar semakin sayu. Kalau isterinya itu masih ada, sudah
tentu wanita itu menderita kerana Laila adalah satu-satu anak perempuan mereka
dan Laila diberikan sepenuh perhatian oleh mereka semua selama ini. Mungkin ada
baiknya arwah Hajah Halimah tidak ada di sini untuk menyaksikan semua ini. Jika
tidak semakin bertambah menderitalah wanita itu melihat nasib yang menimpa anak
perempuan mereka. Haji Syahar menyeka perlahan air matanya dalam pada dia
mengaminkan doa.
Laila adalah anak kesayangannya. Laila adalah permata
hatinya. Laila adalah penawar kedukaaannya selama ini. Alangkah zalimnya
sesiapa yang menganiaya anaknya yang sering membuatkan dia tersenyum itu. Dia
berharap Laila akan diketemukan dengan kebahagiaannya nanti. Harap-harap
kedukaan Laila akan segera berlalu pergi.
Selepas tamat upacara akad nikah itu kenduri doa selamat pula dilangsungkan secara
sederhana sebagai meraikan pasangan pengantin baru itu dengan bantuan orang
sekeliling. Namun Laila di bilik hanya bungkam. Langsung tidak mahu keluar
menunjukkan wajah kepada tetamu. Malah dia langsung tidak kisah dimana Lukman
berada saat ini. Namun bersendirian di bilik dia menjadi seorang pemikir. Hari
ini sekali lagi dia bergelar isteri kepada seorang lelaki bernama Nahij. Namun
bukanlah Nahij yang sering ada dalam kenangannya.
Berseorangan begitu Laila merenung lagi kenangan lama
yang masih tersimpan sehingga kini. Gambar arwah Nahij direnung lagi buat
kesekian kalinya. Dia sebak menahan perasaan apabila terkenangkan lelaki itu.
Kini dia milik orang. Tetapi bukan milik lelaki yang amat disayanginya
sebaliknya dia dimiliki oleh lelaki yang amat dibencinya. Walaupun memiliki
nama yang sama namun hakikatnya dua manusia itu terlalu berbeza! Jika mampu
mahu dijeritkannya kepada seluruh isi dunia ini tentang perasaan yang sedang
mengurung dada. Perlahan air matanya mengalir menangisi keadaan dirinya.
‘Abang, Laila rindukan abang. Semenjak dulu sehingga kini
dan selamanya Laila hanya inginkan abang dalam hidup Laila. Maafkan Laila,
bang. Laila tak mampu untuk melepaskan abang dari hidup Laila. Laila berdosa,
bang! Laila tak mampu pertahankan kesetiaan Laila pada abang!’ Laila
membisikkan kalimah itu bersama rindu yang amat sarat di hatinya.
“Laila..” panggilan lembut itu menyentakkan Laila yang
hanyut dalam lamunannya. Gambar arwah Nahij lekas-lekas disorokkannya di bawah
bantal.
“Umi..” balas Laila kepada sapaan wanita yang pernah
menjadi emak mertuanya itu. Dia cuba untuk tersenyum kepada wanita itu namun
senyumannya tidak berbalas. Mak cik Najihah hanya membalas senyuman itu dengan
pandangan yang amat tenang.
Wanita tua itu duduk berdekatan dengan Laila setelah
masuk ke dalam bilik itu. Buat seketika dia memandang Laila sebelum mengambil
apa yang disorokkan Laila di bawah bantal. Dia melepaskan keluhan perlahan
setelah terlihat raut anak lelakinya terhias kaku di dalam gambar itu.
“Tak baik Laila ingatkan dia lagi sedangkan Laila
sekarang dah jadi isteri orang. Tak baik buat begini,” ucap Mak cik Najihah
lembut.
Wajah ayu bekas menantunya itu dipandang penuh rasa
belas. Biarpun dia hairan mengapa Laila bernikah secara mengejut begini namun
dia reda. Semenjak dahulu lagi Laila memang bukan lagi miliknya. Laila berhak
memilih yang lain. Inilah yang sangat-sangat diinginkannya semenjak Laila
kehilangan Nahij. Bukannya merenung kenangan silam yang sudah tidak mendatangkan
apa-apa kebaikan lagi kepadanya. Tetapi seharusnya hari seperti ini Laila
gembira. Namun wanita tua itu hairan menapa tiada seri di wajah wanita itu.
Mengapa dia begini? Terpaksakah dia? Siapa yang
memaksanya? Hati wanita itu sering tertanya sendiri.
“Maafkan Laila, umi…” luah Laila kian dihambat kesayuan.
“Kenapa nak minta maaf? Laila tak salah apa-apa pada umi.
Keputusan Laila untuk berkahwin lagi tak mengecewakan umi, sebaliknya umi amat
gembira. Umi mahu Laila teruskan hidup dengan orang lain. Orang yang masih
hidup dan bukannya dengan kenangan lama ni,” nasihat Mak cik Najihah lembut
sambil mengunjukkan gambar di tangannya itu.
Laila terdiam tidak dapat mengatur kata. Gambar di tangan
Mak cik Najihah dipandang lama namun dia tidak lagi mengambilnya. Biarlah emak
arwah Nahij yang memiliki gambar itu selepas ini. Dia sedar dia tidak berhak
lagi ke atas gambar itu.
“Laila, apa pun alasannya Laila berkahwin lagi, redalah dengan
perkahwinan ni. Umi tahu ada perkara yang menganggu fikiran Laila sampai Laila
tak gembira begini. Laila, takde pengecualian bagi seorang isteri walaupun dia
dikahwini dalam keadaan dirinya terpaksa. Kalau Laila nak arwah mak Laila
tenang disana, taatlah pada suami. Kerana ketaatan seorang isteri kepada
suaminya akan membantu emak dan ayah di alam kubur. Jagalah diri Laila
baik-baik. Jadilah isteri yang terbaik kepada suami. Umi akan selalu doakan
kebahagiaan Laila dan suami Laila. Lupakanlah Nahij! Tempat dia dah ditetapkan
di sana,” ucap Mak cik Najihah lembut.
Setitis air mata Laila mengalir lagi. Tiada kata yang
dapat diungkapkannya. Betapa sebaknya dada saat dia mendengar permintaan uminya
agar dia melupakan arwah Nahij. Bukan mudah! Arwah Nahij adalah cinta
pertamanya. Cintanya masih ada pada lelaki itu biarpun tidak sehebat dulu.
“Umi faham kesedihan Laila. Umi jugak sengsara bila
kehilangan dia. Tapi Laila.. patah tumbuh hilang pasti akan berganti, nak.
Pergilah cari kebahagiaan Laila sendiri. Lupakan apa yang dah berlaku dulu.
Kebahagiaan Laila bukan dengan arwah tapi dengan orang lain. Terimalah qada’
dan qadar dari Allah, nak. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita semua,”
nasihat Mak cik Najihah lembut. Dia tidak mahu lagi melihat Laila menangisi
lagi anak lelakinya.
Namun tanpa dapat ditahan Laila akhirnya menangis sayu.
Terkenangkan nasib diri yang masih terumbang ambing, dia tidak mampu lagi
mengawal perasaannya. Kerinduan yang ada bagaikan satu beban yang amat berat
kepada dirinya. Tiada yang mengerti apa yang sedang ditanggungnya saat ini.
“Dia cinta pertama Laila, umi. Abang Nahij terlalu
istimewa pada Laila. Dia takde gantinya dalam hati Laila sampailah ke saat
ini,” luah Laila semakin sayu.
“Jangan begitu, nak. Nahij dah pergi jauh dari kita.
Tempat untuk dia bukan lagi di sini. Dia takkan mampu lagi berada di antara
kita di sini. Sebaliknya kita yang harus bersiap sedia untuk menyertai dia di
sana. Tapi sementara itu hidup ini perlu dijalankan seperti mana amanah Allah
kepada kita. Laila orang yang tabah. Umi kenal Laila sebagai orang yang kuat
berpegang kepada iman. Jangan kalah pada dugaan Allah yang tidak seberapa ni,
nak. Terimalah setiap takdir yang Allah tetapkan untuk kita dengan berlapang
dada. Jangan hukum diri Laila dengan mengenang kenangan lama tu lagi. Selepas
ini Laila kena taat pada suami Laila sekarang. Dia lebih penting, lebih utama
dalam hidup Laila berbanding orang lain. Ingatlah, tanpa keredaan dia pintu
syurga tidak akan terbuka buat Laila. Laila kena jaga perasaan dia. Kalau dia
tahu isteri dia masih mengenang lelaki lain tentu dia kecil hati. Kalau Laila
yang melalui keadaan tu Laila juga akan merasa yang sama. Lagipun berdosa Laila
menyayangi lelaki yang bukan suami Laila,” ujar Mak cik Najihah lembut. Bahu Laila
diusap penuh kasih. Empat bulan itu empat bulan yang sangat bermakna dalam
hidup wanita tua ini. Biarpun hanya seketika namun dia puas. Kehilangan anak
tunggalnya memang meranapkan segala kekuatan yang ada. Namun sebelum Tuhan
mengambil Nahij darinya, dia sempat melihat senyuman bahagia anaknya itu saat
memiliki wanita yang paling diidamkan iaitu Laila.
Laila mengangguk perlahan sambil menyeka air mata yang
masih mengalir.
“Umi doakan Laila bahagia dengan Lukman. Kacak orangnya.
Sesuai dengan Laila. Umi yakin dia boleh jadi suami yang baik pada Laila,”
bisik Mak cik Najihah sambil tersenyum untuk menghiburkan perasaan wanita itu. Pipi
Laila diusapnya seketika. Namun sayu wanita tua itu saat memandang Laila yang
masih kesedihan.
“Terima kasih, umi. Maafkan segala kesalahan Laila selama
ini.”
Mak cik Najihah lantas menggeleng. “Laila, selama ini umi
bahagia kerana Laila adalah pilihan Nahij untuk dijadikan isteri. Umi bangga
kerana pernah memiliki Laila sebagai menantu umi biarpun hanya sekejap. Umi percaya
lepas ini emak Lukman juga pasti akan merasakan yang sama. Takde apa yang umi
nak maafkan, nak. Laila dah cukup membahagiakan umi dan babah selama ini.
Selama Nahij takde Lailalah tempat kami menumpang kasih. Umi percaya Nahij juga
tentu mahu Laila bahagia.”
Spontan Laila segera mendakap tubuh wanita itu lama.
Tumpah lagi air matanya di bahu wanita itu. Selama ini bersama wanita ini dia
berkongsi kesedihan dan kerinduannya kepada Nahij. Selepas ini kehidupannya
mungkin sudah berbeza. Dia tidak lagi sebebas dulu. Ada banyak hati yang perlu
dijaganya.
Petang
itu suasana rumah mula semakin sepi. Kebanyakan tetamu sudah pulang. Yang
tinggal hanya ahli keluarga Laila dan Lukman yang masih belum pulang. Laila dan
Mariam kakak iparnya sibuk mengemas rumah yang agak bersepah. Mak cik Najihah
juga ikut membantu mengemaskan pekakas yang digunakan semasa kenduri sebentar
tadi. Di atas rumah adik beradik Lukman yang perempuan bermurah hati membantu
mengemaskan pinggan makan yang masih tertinggal berselerakan di ruang tamu.
Namun di celah kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran
kekecohan dari belakang rumah. Laila sempat menjengukkan diri melalui pintu
dapur untuk melihat apa yang berlaku. Terkejut besar dia apabila melihat abang
Armannya menjadikan Lukman sebagai beg tinjunya. Mereka berdua bertelagah tanpa
Laila dengari biji butirnya. Apabila keadaan tidak terkawal Haji Syahar lantas
meluru untuk meleraikan pergaduhan itu. Kemudian Pak cik Zahari pula ikut
membantu.
Laila lantas menyarungkan selipar untuk pergi lebih dekat
lagi.
“Jantan tak guna! Kau ni memang nak cari susah dengan aku!”
terus sahaja Lukman ditumbuk oleh Arman yang sudah dirasuk api marah.
Lukman yang tidak bersedia terus dibelasah terus-terusan
oleh abang Laila itu. Hanya lengannya sahaja perisai yang ada untuk menghalang
wajahnya dari dihentam buku lima Arman. Namun tumbukan bertalu-talu itu ada
yang tepat mengenai sasarannya.
“Man! Sudahlah! Jangan bergaduh!” jerit Haji Syahar sambil
cuba menjauhkan anak lelakinya itu daripada Lukman.
Tetapi Arman sudah kerasukan iblis sehingga dia mampu
menolak ayahnya dan Pakcik Zahari yang cuba membantu Lukman. Kekecohan itu
turut disaksikan oleh Idhan abang sulung Laila. Namun lelaki itu hanya
terpinga-pinga memandang pertengkaran itu. Nizam di ambang pintu dapur lebih
kurang sama sahaja dengan Idhan. Terpinga-pinga memandang dua manusia yang
sedang bergomol itu tanpa mahu turut sama meleraikan. Lama kelamaan kawasan
belakang rumah itu mula dipenuhi oleh semua yang ada di rumah itu termasuklah
Tan Sri Fatah.
“Arman! Sudah, ayah kata!” Pakcik Syahar akhirnya
mengherdik Arman yang naik hantu sebaik sahaja melihat kelibat Lukman sebentar
tadi.
“Biar Man ajar dia ni, ayah. Jantan tak guna! Kenapa kau
kenakan adik aku ha? Banyak perempuan lain dalam dunia ni kenapa adik aku yang
kau pilih?” jerit Arman yang masih belum berpuas hati. Lukman terus
diterajangnya dan dipijaknya untuk membalas sakit hatinya.
“Sudah, Arman!” Haji Syahar menolak Arman sekuat-kuat
tenaganya agar menjauh sedikit. Bukannya dia kasihan kepada Lukman tetapi dia
tidak ingin Arman menjadi penjenayah pula hanya kerana menurutkan nafsu amarah.
“Apa sudah, ayah? Ayah sedar tak apa yang dia dah buat
pada Laila? Dia ni memang nak mati cepat! Biar Man kerjakan dia. Baru dia tahu
Man ni siapa!” bentak Arman kuat melawan suara ayahnya. Turun naik dadanya
menahan marah.
“Sudah ayah kata!” herdik Haji Syahar kian lantang.
Herdikan itu akhirnya berjaya menjinakkan Arman yang sudah seperti singa. “Apa
gunanya kamu belasah dia lagi? Semuanya dah tak guna! Kerja kamu ni kerja yang
sia-sia! Jangan tambah lagi masalah yang ada, Man. Ayah dah cukup susah hati
sekarang. Jagalah perasaan adik kamu tu. Walaupun kamu benci dia melangit
sekalipun tapi ini tetap suami dia!” tambah Haji Syahar semakin lantang
suaranya sambil menundingkan jarinya kepada Lukman yang masih terduduk di
tanah.
Kali itu Arman terdiam tidak menjawab. Sambil memandang
Lukman yang masih terduduk di sisi Pakcik Zahari dia meludah ke tanah bagaikan
jijik memandang lelaki itu.
“Sudah! Lukman, masuk ke dalam sana,” ucap Haji Syahar
lembut. Kemudian pandangannya dihalakan semula kepada Arman yang nyata sekali
masih berdendam dengan Lukman.
“Dia orang dah pun menikah, Man. Jangan buat macam ni.
Malu orang tengok. Ayah tahu kamu sayangkan Laila. Ayah jugak sayangkan dia
tapi ini tak menguntungkan sesiapa pun. Ini bukan caranya kita selesaikan
masalah,” pujuk Haji Syahar sedikit lembut kepada anaknya itu.
“Memang diorang mesti menikah. Sebab kalau dia tak mahu
bertanggungjawab pada Laila, Man cincang-cincang dia nanti. Baru dia tahu
dengan siapa yang berurusan sekarang! Sanggup dia buat macam ni pada Laila.
Kurang ajar!” Arman berkata lantang sambil menunding kepada Lukman yang sedang
dibantu oleh Pakcik Zahari. Sekali lagi tanah diludahnya bagaikan sudah tepu kebenciannya
kepada Lukman.
“Sudahlah...”
“Hey, setan! Kau jaga baik-baik. Kalau adik aku mengadu
pada aku pasal kau, memang nahas kau, Lukman! Aku memang berdendam dengan kau
sebab kau malukan keluarga aku. Kau jaga baik-baik! Kalau kau rasa nak mati
cepat kau cakap dengan aku! Sepatah aja Laila mengadu pada aku pasal kau,
sampai lubang cacing aku cari kau! Lepas tu aku akan kenalkan kau apa itu
lubang kubur! Kau ingat tu!” Arman menjerit kepada Lukman yang kesakitan.
Sehabis berkata dia terus berlalu.
Syahreena terpaku melihat lelaki itu melintas di sisinya.
Wajah merah padam itu langsung tidak memandangnya yang sedang berdiri di pintu
dapur. ‘Sayang, muka boleh tahan tapi pemarah!’ bisik hati Syahreena sendiri.
Rupanya lelaki itu adalah abang kepada Laila. Kemudian dia memandang adiknya
pula.
Haji Syahar menghela nafas perlahan dalam gelengannya. Dahinya
dipegang sambil bahu ditepuk perlahan oleh Pak cik Zahari. “Apalah nak jadi
dengan keluarga aku ni, Har.” Haji Syahar berkata lemah. Bertimpa-timpa bala datang
kepada keluarganya. Sudahlah dia mendapat tahu Laila hamil angkara diperkosa
kini Arman mengamuk pula dihari pernikahan Laila yang dilakukan secara mengejut
ini. Dia kecewa namun apa dayanya. Sudah nasib Laila begini. Mujur juga orang
ramai tidak banyak bertanya kepadanya tentang hari pernikahan yang mengejut
begini. Namun Haji Syahar sedar biarpun orang tidak banyak bertanya itu tidak
bermakna orang lain tidak akan bercakap yang tidak-tidak.
“Sabarlah..” ucap Pak cik Zahari lembut.
Lukman yang sebal terus meninggalkan kawasan itu dengan
muka mencuka. Sebaik sahaja dia ternampak Laila langkahnya terus diaturkan
mendekati wanita itu. Tanpa kata lengan isterinya itu ditarik agar masuk ke
dalam. “Kemas baju. Kita balik KL sekarang!” ucap Lukman tegas sebaik sahaja
mereka berada di dalam bilik.
“Kenapa nak balik sekarang pulak?” soal Laila tidak
mengerti.
Saat itu mencerlang pandangan lelaki itu kepada Laila.
“Kau masih nak tanya kenapa lagi? Kau nak aku hadap semua ahli keluarga kau
yang bencikan aku, terutama abang kau tu? Kau nak dia tumbuk muka aku lagi bila
nampak aku kat sini? Kemas baju sekarang!” herdik Lukman lantang.
Biarpun geram dengan herdikan itu namun Laila tetap akur.
Perlahan dia mendekati almari sementara Lukman menukar baju melayunya kepada
pakaian lain. Lima belas minit kemudian mereka sudah keluar dari bilik itu
bersama beg pakaian. Lukman terus keluar dari rumah itu bersama beg-beg mereka
manakala Laila mencari ayahnya di dapur.
“Nak ke mana pulak ni?” Haji Syahar segera bertanya
apabila melihat anaknya itu datang kepadanya lengkap bertudung. Kelibat Lukman
tiada bersama anaknya itu.
“Laila nak balik KL, ayah.”
“Tapi kenapa? Lailakan..”
“Ayah, izinkan Laila pergi. Laila tak mahu susahkan ayah
lagi. Laila tahu ayah sengsara dengan semua ni. Dia suami Laila sekarang.
Biarlah Laila ikut dia,” pintas Laila lembut kepada ayahnya itu.
“Laila, macamanalah ayah tak susah hati, nak. Laila
satu-satunya anak perempuan ayah. Kalau Laila tak bahagia ayah lebih dari itu.
Laila pergi dalam keadaan begini itu bukan salah satu dari impian ayah.” Haji
Syahar menjawab sebak. Kepala anaknya itu diusap lembut dengan mata berkaca.
“Ayah doakanlah Laila bahagia.. insya-Allah Laila akan
bahagia. Izinkan Laila pergi, ayah. Laila harap ayah faham kalau Laila tak balik
ke sini lama. Tak mungkin Laila akan biarkan orang kampong lihat apa yang dah
jadi pada Laila. Buat masa ni inilah yang terbaik untuk Laila. Laila tak
sanggup biarkan maruah ayah tercela kerana Laila. Insya-Allah, Laila akan
selalu call ayah nanti,” ujar Laila ikut sebak memandang ayahnya itu. Sesaat
kemudian tubuh ayahnya itu terus didakapnya erat.
“Bersabarlah dengan segala kesusahan hidup ini, nak. Ayah
akan selalu doakan kesejahteraan Laila dan cucu ayah ni. Jaga diri baik-baik.
Jadilah isteri yang baik. Biar apa pun yang berlaku dia berhak ke atas Laila.
Ketaatan Laila pada dia akan menyenangkan arwah mak kat sana. Ingat tu?”
Laila mengangguk perlahan akur dengan nasihat ayahnya
itu. Sebelum mereka berdua berlalu Haji Syahar sempat bertemu dengan menantunya
itu ketika di kereta.
“Lukman, ayah tak minta banyak dari kamu. Cuma tolong
jaga anak ayah baik-baik. Dialah satu-satunya anak perempuan ayah. Sebagai
suami ayah nak kamu sedar kamu sudah memegang satu amanah yang amat berat.
Bertanggungjawablah pada dia, Lukman. Kamu takkan tahu, takkan faham betapa
siksanya seorang perempuan yang mengandung dan melahirkan zuriat kamu ke dunia
ni. Sampai bila-bila pun kamu takkan mampu merasakan penyiksaan itu. Kalau kamu
ingkar pada tanggungjawab kamu, kamu bukan sakadar menyiksa hidup Laila dan
anak kamu tetapi kamu juga menghancurkan hati ayah. Ayah minta maaf kalau
selama layanan kami di sini tak seperti yang kamu harapkan. Arman memang lekas
marah orangnya. Tapi ayah faham perasaan dia. Dia jadi begitu kerana sayangkan
Laila. Ayah harap kamu tak berdendam dengan Arman atas segala perbuatan dia
tadi. Bagi ayah apa yang dah berlaku ayah reda. Ayah reda terima kamu sebagai
menantu ayah asalkan kamu reda menerima Laila sebagai isteri kamu. Ayah harap
kamu faham apa yang ayah maksudkan ni. Kalau ada masa baliklah ke sini. Ayah
tak mahu kamu meminggirkan diri dari kami semua,” ujar Haji Syahar lembut
kepada Lukman.
Lukman terdiam seketika sambil memandang Laila yang
berdiri tidak jauh dari darinya. Kelembutan suara ayah mertuanya itu membuatkan
kemarahan yang menggunung sebentar tadi lenyap entah ke mana. Peringatan yang
diberikan oleh lelaki tua itu membuatkan keegoannya luntur sama sekali.
Penerimaan Haji Syahar kepada dirinya membuatkan hatinya diusik rasa terharu.
“Terima kasih, ayah. Insya-Allah saya akan jaga Laila
baik-baik. Maafkan saya atas semua perbuatan saya pada Laila. Saya tahu
semuanya salah saya. Saya janji perkara itu takkan berulang lagi,” ujar Lukman
agak perlahan. Buat seketika dia tidak mampu memandang ayah mertuanya itu. Dia
malu dengan dirinya. Dia berlaku zalim tetapi lelaki ini tetap menerimanya
dengan baik sedangkan dia hanya layak dihina!
“Laila isteri kamu yang sah. Kamu berhak ke atas dia tapi
sebagai suami kamu harus faham. Seorang isteri yang hidup di sisi suami juga
berhak merasa bahagia dengan kehidupannya. Layanlah isteri kamu dengan penuh
kasih sayang. Perempuan bukan sekadar tempat untuk kita melepaskan nafsu kerana
Allah mencipta makhluk wanita ini terlalu istimewa. Tanpa wanita hidup lelaki
takkan sempurna di atas dunia ni,” pesan Haji Syahar lembut.
“Saya faham, ayah.”
“Jalan baik-baik. Berhati-hatilah masa kamu memandu,”
pesan lelaki itu sekali lagi.
Lukman segera mengangguk sebelum tubuhnya dipaut oleh
Haji Syahar. Lama mereka berdakapan berdua. Terasa pautan itu begitu erat.
Sebelum tubuhnya dilepaskan dia terdengar lagi suara bapa mertuanya berkata
kepadanya.
“Laila sudah puas menangis selama ini, Lukman. Ayah harap
kamu akan buat dia tersenyum selepas ini. Ayah yakin dia akan bahagia dengan
kamu kerana Allah yang temukan jodoh dia dengan kamu,” ujar Haji Syahar sebak.
Laila yang sedang menanti di tepi kereta Lukman sayu
seketika melihat ayahnya. Dia tahu ayahnya pastilah menitipkan pesan kepada
Lukman supaya menjaganya. Namun dilihatnya Lukman sedikit berbeza daripada yang
dikenalinya sebelum ini. Lelaki itu nampak sedikit lembut saat berhadapan
dengan ayahnya.
Sebelum masuk ke kereta dia memandang semula ke rumah
yang menjadi tempat dia membesar. Ramai yang memerhatikan mereka dari atas
rumah. Namun pandangannya singgah lama di wajah uminya. Mereka berpandangan
tanpa kata sehingga wanita itu mengangguk dan tersenyum kepadanya seakan
merestui perjalanannya. Enggan membiarkan diri terus dihantui perasaan Laila
segera masuk ke dalam kereta. Namun setelah Lukman menghidupkan enjin kereta
dia memandang lelaki itu.
“Boleh saya mintak awak singgah di satu tempat?” ucap
Laila lembut.
“Mana?”
“Nanti saya tunjukkan. Awak jalan dulu.”
“Kau nak aku bawa kau ke mana?”
“Kubur!” ucap Laila sepatah.
Namun mulut Lukman terus terkunci selepas itu sebaliknya
dia hanya menurut arah yang ditunjukkan oleh Laila. Dia tidak tahu samaada
Laila memang berniat mahu ke sana atau sengaja mahu mengenakannya dengan
menyebut perkataan itu.
Mereka bungkam tanpa kemesraan sehinggalah arah yang
ditunjukkan Laila membawa mereka ke kawasan yang padat dengan nisan putih yang
hening lagi sepi. Lukman memandang sekeliling. Dia tidak tahu mengapa Laila
mahu ke situ pula dalam saat-saat begini.
“Saya nak minta izin awak untuk ziarah kubur seseorang
sekejap..” ujar Laila sebelum keluar dari kereta.
Tanpa kata Lukman sekadar menganguk. Matanya hanya mampu
memandang pemergian Laila ke arah nesan-nesan kaku itu. Dia masih tidak tahu
siapa yang mahu diziarahi Laila. Tetapi dia yakin orang itu sudah pasti penting
kepada Laila suatu masa dahulu. Mungkin arwah emaknya. Itulah tekaan Lukman.
Lukman
sekadar bersandar pada badan keretanya sambil memandang lama batang tubuh Laila
yang sedang duduk bersendirian menghadap nesan putih tidak jauh dari tempat dia
memakirkan kereta. Biarpun mentari petang masih hangat membakar namun itu
langsung tidak mematahkan semangat Laila untuk terus berada di situ.
Beberapa kali dia melihat Laila mengusap nesan kaku itu.
Beberapa kali juga dia melihat Laila menyapu sesuatu di wajahnya. Semua
kelakuan Laila diperhatikan oleh Lukman penuh rasa minat. Timbul rasa ingin
tahunya tentang orang yang sudah dikebumikan di situ.
Namun belum sempat dia mengatur langkah ke situ, Laila
tiba-tiba bangun dari duduknya. Tidak jadi Lukman mahu ke kuburan itu apabila
dilihatnya Laila sudah menapak meninggalkan kawasan perkuburan itu. Derap
langkah wanita itu dipandang penuh minat oleh Lukman bersama
persoalan-persoalan yang semakin menyarat di fikirannya.
“Dah?” tanya Lukman perlahan.
Tanpa sebarang perkataan Laila hanya mengangguk sebelum
bergerak ke tempat duduk di sebelah pemandu. Sebelum masuk ke dalam kereta dia
memandang lagi kawasan sepi itu. Perlakuannya sempat juga dipandang Lukman yang
sudah masuk ke dalam kereta. Hairan dia melihat kelakuan Laila.
Ketika memulakan perjalanan ke Kuala Lumpur mereka lebih
banyak berdiam diri. Namun ada beberapa ketikanya Lukman menoleh juga memandang
isterinya yang hanya memandang ke luar tingkap. Sekilas dia memandang dia
terperasan ada sejalur air mata mengalir di pipi wanita itu dalam diamnya.
Lukman kembali memandang ke jalan raya. Tertanya-tanya
siapa yang dikunjungi Laila sebentar tadi sehingga menangis begini. Namun
melihat kebisuan Laila dia seolah segan mahu membuka mulut. Kedinginan Laila
menunjukkan wanita itu langsung tidak mahu untuk berbual mesra dengannya untuk
mengisi kekosongan suasana di antara mereka. Tetapi boleh mengantuk dia kalau
berterusan bisu begini. Boring!
“Siapa yang kau ziarah kat kubur tadi, Laila?” akhirnya
setelah bosan tidak bercakap sekian lama Lukman membuka mulut juga.
“Bekas suami saya..” jawab Laila mendatar dan hambar.
Langsung tidak menoleh kepada lelaki itu.
Sayang sekali kubur arwah emaknya tidak berada di situ.
Jasad arwah emaknya disemadikan di kampung halamannya di Johor Bharu
bersebelahan dengan kubur arwah neneknya. Jika kubur emaknya berada di situ
sudah pasti dia akan berada lebih lama di situ.
“Bekas suami kau? Untuk apa lagi kau ke sana?” soal Lukman
antara rasa terkejut dan rasa tidak senang. Tiba-tiba hatinya dipalu oleh
sejenis rasa yang menyakitkan dengan pengakuan jujur lagi berterus terang Laila
itu. Mood baiknya rosak!
Laila segera menoleh ke arah Lukman. “Awak rasa sebab apa
saya masih ke sana? Saja buang masa?” balas Laila juga dengan soalan. Namun
tajam nadanya kerana dia memang tiada selera untuk berbual mesra dengan lelaki
ini. Terlupa sudah dia pesanan ayah dan uminya supaya melayan suaminya ini
dengan baik. Rasa benci di hati telah menguasai akal fikiran. Laila sudah tidak
kisah lagi.
Terpempan Lukman mendengar jawapan itu. Serta merta
dadanya terasa membahang. Patutlah menangis segala semenjak tadi. Rupanya
mengutip kisah lama yang sudah bersepai! Entah kenapa Lukman jadi bengang pula.
Jika dia tahu lelaki itu yang mahu dikunjungi Laila mati hidup semula dia tidak
ingin membawa Laila ke kuburan tadi. Biar perempuan ini mati kerinduan kepada
buah hatinya itu. Betapa Lukman merasa tercabar kala itu. Setia benar Laila
kepada lelaki itu. Untuk apa? Itulah yang Lukman tidak mengerti.
Malas mahu berkata-kata lagi Lukman akhirnya memutuskan
untuk berdiam diri. Sempat juga dia mendegus melepaskan rasa tidak puas hatinya
kepada wanita ini.
Laila hanyut dengan dunianya tanpa mempedulikan Lukman di
sisinya. Hatinya asyik berkata-kata sendiri. Batapa bukan mudah untuk dia
melupakan Nahij yang itu dan menerima Nahij yang ini seikhlas hatinya. Dia
hanya manusia biasa yang lemah. Semakin dia mencuba, kesedihan yang sudah lama
terkurung itu terus mengepung dada. Keindahan lalu sentiasa mengekori bayangnya
biar kemana pun dia pergi. Sayangnya hari ini dia juga disunting oleh seorang
lelaki bernama Nahij. Tetapi kegembiraan lalu tidak mampu diulang semula. Biar
sedetikpun dia tidak mampu menggembirakan dirinya. Demi Tuhan jika dia tahu
caranya dia juga tidak ingin terus berkeadaan begini tetapi apakan dayanya.
Cinta lama itu terlalu kukuh di hatinya.
Pernah satu ketika dahulu dia merasakan dia tidak akan
mungkin bercinta lagi. Sesungguhnya dia tidak mampu menyediakan ruang itu buat
lelaki lain. Lelaki yang sudah lama pergi itu terus berada yang teratas dalam
hatinya. Tanpa Nahijnya hidup Laila terlalu sepi. Hatinya meronta meminta
lelaki itu kembali semula ke dalam hidupnya biarpun dia cukup sedar itu semua
terlalu mustahil sehingga ke akhir hayatnya nanti. Tetapi bagaimanakah untuk
dia meneruskan hidupnya ini bersama Lukman jika hati masih lara, jiwa terus
kosong dan hati sering menangis sendiri?
‘Kami sudah berjaya
menemui mayat suami puan. Kami harap puan tabah dengan takdir ini. Leftenan
Muhammad Nahij disahkan terkorban dalam nahas tu. Jenazah sekarang berada di
Hospital Besar Miri untuk segala tindakan susulan. Setelah itu kami akan segera
menerbangkan jenazah suami puan untuk upacara pengkebumian nanti.’
Masih terngiang-ngiang di
telinganya suara yang mengkhabarkan berita buruk itu kepadanya. Masih jelas
semuanya. Sedetikpun Laila tidak pernah mampu melupakannya. Betapa sengsaranya
penantiannya kala itu akhirnya dia dihadiahkan dengan berita yang amat-amat
memilukan jiwa.
Akhirnya Nahij pergi
juga..
Akhirnya dia sendiri
berjalan di persisiran kenangan..
Akhirnya keindahan itu
punah juga..
“Abang sayangkan Laila
sampai mati..” suara itu kedengaran lagi berbisik halus di telinganya. “Abang
takkan tinggalkan Laila. Abang akan bahagiakan Laila selamanya,” menjelma pula
bisikan yang lain cuba menyesatkan pendirian Laila. Semuanya bergema menentang
kenyataan yang sedang terbentang di hadapan mata.
‘Abang, lepaskan Laila
dari sengsara ini. Pergilah, bang. Pulangkan hati Laila semula. Laila amat
memerlukannya. Cukuplah dengan penyiksaan ini. Cukuplah dengan segala kenangan
itu. Laila mahu hidup tenang macam orang lain. Berikanlah Laila kekuatan itu,
bang. Pulangkanlah hati Laila semula. Pergilah! Jangan datang lagi, wahai
kenangan lalu. Jangan kau buru aku lagi. Jangan kau ganggu aku lagi. Cukuplah
dengan semuanya!’ hati Laila menjerit sendiri.
Lukman menoleh kepada
Laila apabila dia terdengar esakan halus yang datang dari sebelahnya. Berdebar
dadanya apabila terlihat wanita itu menangis sendiri dalam mata yang
dipejamkan. Namun seketika kemudian dia memandang semula ke hadapan. Mahu
memujuk dia tidak pandai memujuk. Sementelah dia sendiri tidak tahu mengapa
Laila menangis lagi. Adakah kerananya? Atau kerana lain?
Entah! Lukman tidak
faham. Lalu dia hanya membisu membiarkan wanita itu hanyut dengan dunianya
sendiri. Wajahnya sendiri sudah mula terasa denyutan akibat hentaman buku lima
Arman sebentar tadi. Dia juga mula terfikir arah hidup mereka selepas ini. Di mana
akan dibawanya Laila selepas ini? Sebenarnya dia sudah tidak berumah.
Kondominiumnya sudah diambil semula. Ayahnya juga langsung tidak ada mempelawa
dia pulang ke rumah. Itu bermakna dia sememangnya tidak dialu-alukan lagi di
rumah orang tuanya. Masakan dia harus membawa Laila tinggal di hotel yang
dihuninya semenjak seminggu yang lalu?
Lukman menghela nafas
resah. Menyesal pula kerana tidak memikirkan semua itu semenjak awal lagi. Jika
tidak dapat tinggal di kondominium mungkin dia boleh mengusahakan untuk menyewa
sebuah rumah untuk mereka memulakan hidup bersama. Hidup bersama? Tiba-tiba
hati Lukman tertanya sendiri. Sudah bersediakah dia dengan tanggungjawab
sebagai suami dan ayah? Dengan kecetekan iman di dada bolehkah dia mengemudikan
rumahtangga sehingga tiba ke bahtera bahagia seperti yang diangankan setiap
manusia. Paling penting sekali, mampukah perkahwinan ini diteruskan jika
masing-masing tidak ikhlas menerima perkahwinan ini? Lukman sedar Laila juga
terpaksa menerima perkahwinan ini kerana mahu nasib anak ini terbela.
Dia? Dia terpaksa kerana
takut ayahnya akan membuangnya dari keluarga. Dibuang dari keluarga bermakna
dia akan hidup susah. Lukman sebenarnya tidak kisahkan yang lain termasuklah
anak itu. Apa yang dikisahkan jika dia harus memulakan hidup sendiri tanpa
segala kemudahan yang diberikan oleh ayahnya sebelum ini. Cuma itu!
Jadi sampai bila mereka
boleh terus bertahan? Sampai bila mereka sanggup saling memandang dalam ikatan
yang tidak dimahukan ini? Entahlah! Lukman masih tidak tahu kemana arah
hidupnya bersama Laila selepas ini. Semuanya masih kabur. Masih tidak mampu
dibayangkan oleh akalnya ini.
“Kau nak ke mana?” soal
Lukman setelah keretanya melepasi sempadan negeri Perak. Destinasi yang masih
kabur itu sebenarnya sudah dekat dengan kedudukan mereka. Sedar tidak sedar
akhirnya mereka akan tiba juga nanti.
“Manalah saya tahu. Awak
yang ajak saya balik KL tadi,” jawab Laila tanpa sedikit pun diselitkan nada
mesranya.
Lukman terdiam. Semakin
buntu apabila Laila menantikan dia untuk membuat keputusan. Yalah, akukan
suami. Aku nakhoda rumahtangga, ucap hati Lukman setelah menyedari hakikat itu.
“Aku hantar kau balik ke rumah kaulah..” ucap
Lukman agak perlahan.
Laila hanya diam tidak
menjawab. Menoleh juga tidak. Seperti tadi dia hanya memandang keluar kerana
padanya tiada keindahan yang terdapat di wajah Lukman untuk ditatapnya.
Sebaliknya dia semakin benci!
“Boleh ya?” Lukman
bertanya lembut sambil memandang Laila.
“Suka hati awaklah!”
hambar sekali balasan dari Laila.
Jemu Lukman melihatnya.
Entah apa yang menarik sangat di luar sana hingga Laila langsung tidak mahu
menoleh saat memandangnya. Laila sengaja menunjukkan kejengkelannya secara
terang. Sikap wanita itu semakin menguji kesabarannya.
“Kalau aku hantar kau ke
rumah pelacur pun, kau ikut juga ke?” soal Lukman selamba.
“Kalau awak hantar saya
ke rumah pelacur memang saya tak hairan sebab saya memang tahu awak ni lelaki
jenis apa. Kalau awak hantar saya balik dengan selamat itulah yang pelik. Awak
nak buat apa pun saya tak kisah. Sebab satu-satunya yang saya perlukan saya dah
dapat. Selebihnya awak memang tak bermakna lagi dalam hidup saya. Kalau awak
nak tinggalkan saya di tepi jalan ni pun saya dah tak kisah lagi,” balas Laila
kesat sambil menoleh sekilas dengan jelingan tajamnya kepada Lukman.
“Apa maksud kau ni, ha?”
tanya Lukman mula meninggi.
“Saya hanya perlukan
surat nikah ni. Itu saja! Saya tak berkahwin dengan awak sebab saya dah gatal
sangat nak berlaki. Dengan awak? Saya lebih baik jadi bohsia daripada kahwin
dengan lelaki macam awak!” ucap Laila tanpa sedikit pun menimbangkan kewarasan
bicaranya itu. Apa yang paling dimahukannya saat ini ialah, melambakkan segala
kebencian di hatinya kepada lelaki ini.
“Kau jangan nak kurang
ajar, Laila!” tengking Lukman kasar.
Laila hanya diam bersama
dengan senyuman sinis. Seketika kemudian dia menoleh semula memandang ke luar.
Puas hatinya kerana dapat menghina lelaki itu biarpun saat ini kereta itu mula
bergerak melulu mengikut kehendak hati Lukman yang membara. Sesaat kemudian dia
menoleh lagi kepada Lukman yang sedang melepaskan kemarahannya dengan memandu
laju seperti itu. Dia tahu Lukman mahu mengugutnya!
“Awak boleh bawak kereta
ni terus masuk ke gaung kalau awak nak. Saya tak takut. Kalau saya mati
sekalipun sekurang-kurangnya saya tak perlu menahan siksa melahirkan zuriat
awak nanti! Sekurang-kurangnya saya tak perlu menjadi ibu kepada anak lelaki
macam awak. Tanpa anak ni saya tak perlu nak menghadap lelaki macam awak seumur
hidup ni. Kalau awak nak lebih tahu lagi, saya sendiri pun tak mahu anak ni
bila saya sedar yang bayi ni datangnya dari benih awak! Tapi saya terpaksa!”
Dengan selamba Laila meluahkan bicara.
Lukman menoleh kepada
Laila dengan muka merah padam. Penghinaan isterinya itu terlalu dasyat
dirasakannya. Jika tidak difikirkan wanita di sebelahnya ini sedang hamil
memang dia sudah ditamparnya. Namun saat berpandangan dengan Laila barulah dia
melihat keberanian yang selama ini tersimpan rahsia dalam diri Laila.
Dengan kereta yang
bergerak laju di celahan puluhan kenderaan yang berserakan di jalan Laila hanya
tenang di kerusinya. Bagaikan bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang
mendatang. Malahan wanita itu sengaja tidak mengenakan tali pinggang
keselamatan di tubuhnya. Wanita itu sudah bersedia untuk mati sebagai tanda dia
enggan meneruskan hidup bersama lelaki yang langsung tidak dicintainya.
Melihat keadaan itu
akhirnya Lukman terasa kalah sendiri. Kelajuan kereta diperlahankan sedikit
demi sedikit. Bimbang jika ada apa-apa berlaku, Laila yang pertama akan terpelanting
keluar dari keretanya. Setelah mengambil lorong kiri dengan menggunakan sebelah
tangan Lukman menarik tali pingang keselamatan lalu dipasangkan sebagai
perlindungan kepada isterinya itu. Setelah itu barulah dia kembali menumpukan
perhatian ke jalan raya.
Laila pula terus bungkam
di kerusinya bagaikan orang yang tidak berperasaan.
Lukman menghela nafas
cuba menenangkan dirinya yang dirasuk api kemarahan. Dalam diam dia
beristighfar berkali-kali. Mudah sahaja dia hanyut dengan perasaan sedangkan sebelum
ini keinsafan sempat singgah beberapa kali di hatinya.
Ah! Lukman sedar. Dia
hanya seorang hamba yang lemah. Dia tidak hebat. Dia banyak kekurangan. Dia
juga sudah banyak berbuat dosa dan kini dia sudah dibalas dengan bermacam jenis
pembalasan. Entah kenapa hati Lukman sayu apabila Laila dengan teganya menghina
bayi yang datang dari benihnya. Terlalu rendah martabatnya di mata Laila biarpun
sebelum ini dialah lelaki yang hebat yang mampu melakukan apa sahaja untuk
menghina wanita itu. Entah kenapa terjentik rasa bersalah di hati Lukman
apabila terkenangkan bayi yang dikandungkan Laila. Sukar ditolak kenyataan itu.
Dia kini adalah seorang ayah. Dialah yang bersalah kerana membawa anak itu ke
dunia ini dengan cara yang kotor, lagi terhina.
Hati Lukman sayu kerana
itu adalah anaknya dan anaknya dihina kerana kesalahan yang dilakukan oleh
ayahnya. Sedangkan dia.. dia dilahirkan dalam ikatan perkahwinan yang sah! Dia
bukan anak haram tetapi anaknya tidak diberikan hak seperti itu. Sebenarnya
bukan Laila yang menghina anak itu sebaliknya dia sendiri! Alangkah sedihnya
jika anaknya itu dibenci oleh ibu kandungnya sendiri hanya kerana dirinya!
Entah kenapa hati Lukman
dihambat kepiluan. Mungkin inilah janji Tuhan. Tiada siapa yang mampu mengelak.
Biarpun dia pernah meminta Laila membuang kandungan itu namun hari ini dia
disapa oleh rasa sebagai seorang ayah apabila terdengar anaknya dihina. Hatinya
terhiris pedih! Mungkin inilah yang dirasai oleh bapa mertuanya. Mungkin inilah
perasaan ayahnya selama ini setelah dia enak membuat onar. Selama ini dia tidak
pernah peduli perasaan ayahnya. Dia berbuat sesuka hatinya. Hari ini dia
ditakdirkan menjadi seorang ayah tanpa dipintanya. Mungkin Allah mahu
menunjukkan jalan kepadanya agar dia kembali ke pangkal jalan.
Ya Tuhan, aku menyesal.
Benar-benar menyesal!
Jika hanya dia yang
ditimpakan bala atas kesalahannya dia akan menerimanya biar sedasyat manapun
penyiksaannya. Tetapi anaknya? Bayi itu tidak bersalah. Bayi itu adalah kesinambungan
hidupnya suatu hari nanti. Bayi itulah harta yang akan membantunya di alam
kubur. Tetapi hari ini anaknya dihina. Hati Lukman menangis sendiri mengenang
itu.
Enggan bertengkar lagi
Lukman berdiam diri akhirnya. Dia tahu Laila tidak sudi untuk berbual dengannya
jadi dia tidak mahu memaksa. Sehingga akhirnya destinasi yang dicari tiba juga
dihadapan mata.
Okey sedih sgt.. :,(
BalasPadam