BAB
21
BBQ!
Cuti hujung minggu Rafael mengajak adik beradiknya
berkumpul di rumah ibu dan ayah mereka bersempena hari ulang tahun perkahwinan
Ariff dan Insyirah. Berkumpul sekali maka riuh rendahlah rumah itu dengan
gelagat anak dan cucu. Awal pagi anak-anak membantu mengemas rumah. Petang hari
mereka merancang untuk mengadakan aktivit BBQ di luar rumah.
Selepas asar, masing-masing sudah membawa diri ke halaman
rumah.
“Kak Ain buat kek untuk mommy dengan daddy. Tapi rasanya
kita yang sakan menyental ni nanti,” ucap Jannah.
“Sikit bolehlah. Mommy bukannya tak suka. Tapi dah
tua-tua begini, kesihatan kena jaga,” ujar Insyirah lembut. Seronok rasanya
dihargai oleh anak dan menantu. Dapat berkumpul bersama anak beranak. Hanya
Umarul yang tidak dapat ikut serta dek kerana tugasnya sebagai pengajar.
Sementara kaum ibu sibuk membawa hidangan lain ke halaman
rumah itu, anak masing-masing sudah bertaburan di halaman rumah. Ada yang
berguling seronok. Tasnif mula memanjat paha Ariff. Lebih suka menjadikan
datuknya sebagai kerusi. Rayland dan Fakhri sibuk menyediakan api untuk
memanggang.
“Dah boleh ni,” ucap Fakhri. Ayam dan daging yang sudah
siap diperap mula disusun atas pemanggang.
“Tepi. Tepi. Acu nak duduk.”
Rauf dan Raif berebut mahu duduk sekat dengan Farouqe.
Seronok melihat bapa saudaranya datang membawa gitar.
“Acu nak buat apa?” tanya Raid.
“Acu nak nyanyi lagu untuk tok daddy dengan tok mummy.”
Masing-masing sudah tersengih-sengih melihat Farouqe.
“Acu yang nyanyi ke? Boleh ke?” ucap Raid hairan.
“Hish! Suara acu ni kalau masuk Akademi Fantasi mesti
nanti ramai yang afundi acu.”
Meledak tawa Rafael dan Mikhael mendengar jawapan
Farouqe. Poyo! Ariff sekadar tersenyum sendiri. Kali terakhir dia melihat
Farouqe menyanyi dalam acara nyanyian ketika majlis makan malam anjuran
syarikat, sakit telinganya.
“Emm.. tapi kita nak nyanyi lagu apa ni?” tanya Farouqe
kepada anak saudaranya.
“Manalah Raid tahu.”
“Okay. Acu dah tahu. Lagi ni ditujukan untuk mommy dan
daddy. Semoga panjang umur dan kekal loving
sampai bila-bila.”
Spontan Rania menekup telinganya. Perbuatannya terlihat pula
oleh Farouqe.
“Nia ni, kan? Saja ejek abanglah tu.”
“Abang Farouqe nyanyi tak sedaplah. Katak menyanyi pun
tak macam tu,” ujar Rania selamba.
Bicara yang sungguh tidak bertapis itu disambut oleh
ledakan tawa mereka semua. Terkedu Farouqe mendengar Rania menyamakan bakat
seninya itu dengan katak.
“Nia, cubalah jaga hati abang ni sikit. Nia memalukan
Abang Farouqe tahu tak!”
“Dulu abang Farouqe nyanyi depan orang. Semua orang
gelak. Kan, mommy? Mommy ingat tak?” ujar Rania sambil memandang sang ibu.
“Bila tu, Nia? Kak Deline tak tahu pun,” sampuk Adeline
sambil tersenyum-senyum.
“Eh! Apa kata kita tukar topik lain.” Farouqe tiba-tiba
bersuara kuat.
“Deline, nak tahu tak bila kejadian yang memalukan tu.
Sini.. abang ceritakan.” Rafael segera mencelah peluang untuk mengenakan
adiknya.
“Fira pun boleh cerita. Sini cepat!”
“Kak Ain pun ingat lagi pasal tu.”
“Nia pun ingatlah! Nia nak cerita!!” jerit Rania teruja.
“Kak Ti yang paling ingat kisah tu. Sini Kak Ti bisik.”
Insyirah mengekek ketawa melihat wajah bengang Farouqe.
Semua orang nak buka pekung dia!
“Abang Mika ada simpan video malam tu. Ada lagi ke, Abang
Mika?” tanya Jannah sambil tersengih-sengih memandang Farouqe.
“Ada! siapa nak tengok? Dah lama tak tengok semula video
tu. Nasib baik tak delete,” sambut Mikhael teruja. Telefonnya terus dikeluarkan
dari poket seluar.
“Ah!! Merajuklah macam ni,” cebir Farouqe. Adeline ketawa
gelihati melihat suaminya dikenakan oleh ipar-iparnya. Berlumba-lumba masing-masing mahu melihat semula video
itu.
“Macam manalah
perangai Farouqe waktu kat rumah ya? Deline, ceritalah sikit.”
Adeline tersenyum lembut saat memandang lelaki itu.
“Biasa aja. Dia suka buat kita ketawa,” jawab Adeline lembut. Farouqe tersenyum
senang memandang isterinya.
“Cepatlah nyanyi, acu! Tadi kata nak nyanyi?” ucap Raid.
“Tak jadilah. Acu tak pandai nyanyi pun. Raidlah nyanyi.
Acu main gitar ya?”
“Alah..” Raid tercebir kecewa. Dia sudah siap bersila
menghadap bapa saudaranya. Tidak jadi pula.
“Eh! Cepatlah potong kek, mommy.” Teringatkan sesuatu
yang amat penting itu belum lagi terlaksana, dia terus menegur.
Insyirah mengalihkan pandangan kepada suaminya. Lelaki
itu tetap seperti tadi. Tersenyum lembut memerhatikan setiap ahli keluarganya.
Afyra bangkit bersama Imanina untuk mengambil kek. Kek
itu dibawa kepada dua orang tua itu. Ariff memandang kek itu seketika. Kemudian
dia kepada isterinya.
“36 tahun sudah berlalu. Saya hidup dengan awak selama
itu. Rasanya macam baru semalam kita mendapat Rafael dan Mikhael sebagai anak,”
ucap Ariff kepada sang isteri.
“Tak mudah untuk sebuah perkahwinan itu mampu kekal
selama itu jika kita tak tetap pada pendirian,” jawab Insyirah.
“Ia.” Ariff menjawab lembut. Seketika kemudian dia
tersenyum.
“Sepanjang hidup ni, banyak yang kita lalui. Ada yang
teramat susah. Sebahagian dugaan yang kita lalui, anak-anak kita tidak pernah melihatnya.
Saya rasa amat bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada saya
selama ini. Saya memiliki seorang wanita yang baik, juga anak-anak yang baik.
Kehadiran menantu-menantu dan cucu-cucu saya melengkapkan lagi kehidupan kita.
Saya percaya.. jika bukan dengan bantuan dan panduan dari Allah, kita tidak
akan mampu pergi sejauh ini,” ujar Ariff lagi. Insyirah tersenyum lembut kepada
lelaki itu.
Kesemua mata yang memandang terdiam mendengar kata-kata
Ariff. Ariff mengambil pisau. Kek itu dipotong sedikit lalu disuap ke mulut
sang isteri.
“Wau.. romantiknya, daddy.” Afyra ketawa. Teruja melihat
layanan sang ayah kepada ibunya.
Ariff ketawa kecil.
“Mommy pulak!” jerit Rania seronok.
Insyirah menggeleng perlahan. Kehendak anaknya itu tetap
ditunaikannya. Malu untuk beromantika di hadapan anak-anak sebenarnya.
“Okay. Sekarang Nia pulak!” dengan muka selamba Rania
mengangakan mulutnya.
“Mengada-adalah budak ni. Makanlah sendiri!” rengus
Insyirah. Tetapi kemahuan anak manja itu tetap juga ditunaikan.
Ariff meminta Imanina memotong kek itu untuk dinikmati
oleh semua orang. Afyra membawa sepotong kek itu kepada suaminya. Fakhri masih
sibuk membakar ayam.
“Fira makanlah. Nanti abang makan.”
“Fira tak boleh makan. Abanglah makan,” jawab Afyra.
“Oh..” sudahnya mulutnya dingangakan apabila Afyra
mendekatkan sudu ke mulutnya.
“Sedapnya kek ni..” puji Fakhri.
“Buat sendiri memanglah sedap,” jawab Afyra.
“Siapa buat?”
“Kak Ain.”
Fakhri mengangguk. Sempat dia memandang ke gazebo.
Masing-masing sedang mengerjakan kek itu.
“Nak lagi?”
Fakhri terus mengangguk. dalam keadaan tangannya sibuk
bekerja, mulutnya disuapkan oleh isterinya. Insyirah sempat mencuit suaminya.
Ariff tergadah seketika memandang isterinya. Namun kemudian dia ikut memandang
apa yang diperhatikan isterinya.
“Dah berbaik nampaknya tu,” ucap Insyirah puas hati.
Ariff terus memerhatikan gelagat anaknya itu seketika.
Kemudian dia tersenyum.
“Awak pernah nampak mereka berdua bergaduh ke?”
“Tak pernah. Tapi saya tahu ada yang tak kena dengan
mereka sebelum ni,” jawab Insyirah lembut.
“Saya dapat mengagak apa yang berlaku sebelum ini. Tapi
saya menunggu dia memberitahu sendiri kepada saya. Alhamdulillah.. saya rasa
mereka mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa mengadu apa-apa kepada
kita.”
Insyirah mengangguk setuju.
“Saya tahu Afyra mampu jadi isteri yang baik. Kerana dia
anak awak. Dia akan memilih untuk mengikut apa yang baik tentang awak,” komen
Ariff lembut. Isterinya seorang pemaaf. Dia percaya Afyra juga begitu.
Insyirah kembali memandang suaminya. Bibirnya mekar
tersenyum. Sambutan ulangtahun perkahwinan yang amat bermakna buatnya. Melihat
anak-anak gembira, dia sudah tentu lebih dari itu. Penat lelah mendidik
anak-anak terasa amat bermakna saat ini.
MEREKA pulang ke rumah ketika malam
sudah pun berada di penghujungnya. Afyra tertidur di dalam kereta.
“Fira..” Fakhri menepuk lembut paha isterinya.
Afyra tersentak sedikit. Terkebil-kebil matanya memandang
sekeliling. Dah sampai rupanya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri lembut.
Longlai dek kerana masih terlalu mengantuk dan penat.
Sebaik sahaja masuk dia terus naik ke atas. Di hadapan pintu, dia teraba-raba
pintu yang masih tertutup. Fakhri yang baru muncul di belakang isterinya,
terpaku seketika memerhatikan gelagat sang isteri.
“Kat mana bilik?” tanya Afyra lantas memandang ke arah
kamar lain. Dia berjalan ke arah kamar itu pula.
“Ni, sayang. Betullah ni. Nak pergi mana pulak tu?” tegur
Fakhri lantas menarik tangan isterinya. Mengigau ke apa?
Afyra menggaru kepalanya seketika. Tanpa memandang
suaminya pintu kamar itu terus dibukanya.
“Oh.. betullah kat sini.”
Fakhri terus ketawa. Sahlah isterinya mamai tadi. Bilik
sendiri pun tak kenal. Sebaik sahaja ternampak katil, Afyra terus menghumbankan
tubuhnya ke situ. Sambung tidur!
Fakhri menggeleng semata. Tudung pun tak sempat
ditanggalkan. Afyra dah terbongkang melayan mengantuk. Sudahnya dia pergi dekat
kepada sang isteri. Stoking di kaki wanita itu ditanggalkan. Kemudian tudung
pula. Tubuh wanita itu diangkat sehingga kepala Afyra terletak elok di atas
bantal.
Perempuan itu langsung tidak membuka mata biarpun dia
tersedar saat tubuhnya dikalihkan. Fakhri duduk di sebelah wanita itu. Raut
yang sedang lena itu terus ditatapnya tanpa jemu.
Dia teringat kata-kata bapa mentuanya siang tadi.
“Seorang wanita yang sudah ditentukan buat kamu. Buruk
atau baiknya, itulah milik kamu. Jika buruk, bentuklah dia sehingga menjadi
elok. Kelebihan itu Allah berikan kepada setiap lelaki. Setiap sesuatu yang
sudah Allah berikan kepada hamba-Nya itu ada kebaikannya. Tidak mungkin Allah
akan memberikan sesuatu yang sempurna. Pasti ada cacat celanya supaya setiap
manusia itu mahu berusaha dan belajar tentang sesuatu.”
Kau memang rugi, Naquib.. bisik hati Fakhri. Sedikit pun
tidak pernah merasa kesal. Malah beruntung. Abangnya membuang wanita ini begitu
saja. Akhirnya menjadi haknya.
Fakhri tunduk sedikit. Pelipis sang isteri dikucupnya
berkali-kali. Seketika kemudian Fakhri bangkit semula. Pakaiannya ditanggalkan
sebelum dia masuk ke kamar mandi. Ketika dia mengenakan pakaian tidur ke
tubuhnya, Afyra bergerak di atas ranjang. Kemudian dia bangun lalu duduk.
“Yang..” sapa Fakhri lantas mendekat.
“Nak salin baju sekejap,” ucap Afyra sambil meraup
wajahnya.
“Nak abang ambilkan?”
Afyra menggeleng sedikit. Dia terjaga kerana tidak
selesa. Butang blausnya ditanggalkan satu persatu tanpa berganjak dari situ. Fakhri
sekadar memerhatikan tindak tanduk sang isteri. Afyra mencabut blaus di
tubuhnya lalu diletakkan di tepinya.
“Abang nak pergi kerja dah ke?” tanya Afyra saat
terpandangkan Fakhri sedang merenungnya.
Fakhri ketawa kecil spontan. “Baru pukul 1 pagi, sayang. Dah
nak suruh abang pergi kerja ke?”
“Oh ya..” Afyra melugu sambil mengetuk kepalanya.
“Tidurlah,” ucap Afyra perlahan.
“Tukar baju dulu. Abang nak tidur. Tapi abang risau, bini
abang berjalan pergi rumah sebelah pulak,” jawab Fakhri lembut.
“Abang ni..” rungut Afyra rendah. Dia mengantuk. Otak pun
rasa biol semacam saja. Lambat-lambat dia bangun lalu mencapai tuala.
Selesai mengganti pakaian tidur, Afyra terus memanjat
katil. Melihat lelaki itu sedang terlentang memandang atas, terus dia mendekati
lelaki itu. Lengan Fakhri ditariknya lalu kepalanya diletakkan di atas lengan
itu.
“Jangan tolak abang sampai jatuh katil ya?”
“Ia..” jawab Afyra perlahan sambil tersenyum sendiri.
“Tidur. Abang peluk.”
Afyra tersenyum dalam mata yang terpejam. Saat lelaki itu
mendakapnya, hati terasa amat nyaman. Di situlah tempat yang paling aman buat
dirinya. Jauh dari segala kekusutan dunia. Dan dia mahu begitu saja sampai
bila-bila!
Best......
BalasPadamBestnyaa. Nak lagii.
BalasPadamBaca dari bab 1 sampai 21.x de bab yg x best.semua best.setiap bab pnuh dgn mcm2 prasaan klakar sedih romantik plus boleh buat kita trsenyum2 smbil mnyapu air mata. Pokoknya mmg best.tahniah adnilzaff mmg x mngecewakan.
BalasPadamBest sgt citer mmg follow citer dr awal lg...dh abis ke? Nak lagi
BalasPadamterharu dengan Ariff dan Insyirah... dah lama rupanya dorang kahwin.. tengok anak-anak mereka semua termasuk Afyra bahagia aja walaupun ada dugaan.. hebat Ariff Insyirah didik anak mereka...
BalasPadamnak lagi....
BalasPadam