Isnin, 15 Ogos 2016

BAB 16 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 16
PENAT! Tubuh dan hati merasa amat penat. Menjadi isteri dan surirumah itu tidaklah mudah rupanya. Gaduh bagai nak rak sekali pun, konflik biar sebesar alam, tanggung jawab utama mesti dilaksanakan.
Dalam keadaan perasaan sedang sakit menahan kecewa, tubuh letih, dia mudah merasa tertekan. Bermacam-macam hal yang berlaku sepanjang hari ini. Membuatkan dia semakin tiada mood mahu berbicara dengan sesiapa. Rasa nak menangis itu sangat kuat. Kepada siapa hendak mengadu, dia sendiri tidak tahu.
Hari itu, walaupun tidaklah selambat semalam Fakhri pulang ke rumah ketika sudah malam. Saat menutup pintu dia memandang ke dalam mencari Afyra. Wanita itu tidak lagi datang menyambut kepulangannya. Sudah diagaknya. Afyra masih marahkan dia.
“Fira..” panggil Fakhri. Dia terus menjengah ke dapur. Namun dia lihat dapur itu amat berkecah dengan mop, baldi dan kain buruk. Afyra? Wanita itu sedang terbongkok-bongkok mahu memasang kepala pili di sinki.
“Kenapa ni?” tanya Fakhri lantas mendekat. Spontan dia memandang bawah. Basah.
“Tercabut. Tolong pasang balik.” Afyra sekadar meletakkan pili itu di sinki. Kemudian dia berlalu dari situ. Memberi ruang kecil itu kepada Fakhri.
Fakhri membelek pili itu seketika. Kepalanya digelengkan perlahan.
“Dah patah ni. Tak boleh pasang semula. Esoklah aku pasang yang baru. Kepala pilinya tak ada nak pasang ni,” ucap Fakhri lembut.
“Habis tu macam mana nak buka air kalau begini?” ujar Afyra tidak puas hati dengan jawapan itu. Tidak kisahlah kepala pili itu mahu dipasang bila. Tapi yang menjadi masalah kepadanya pili utama tidak boleh dihidupkan dalam keadaan saluran air di sinki itu tiada bertutup apa-apa. Bermakna keseluruhan rumah bakal ketiadaan air.
Fakhri memandang paip itu seketika. Berfikir apa yang harus dibuatnya. Kemudian dia memandang sekeliling. Terpandang kain buruk, terus tercetus idea yang bernas. Kain buruk itu dipotong sedikit demi sedikit kemudian disumbatnya ke dalam lubang paip itu sehingga padat. Kemudian dia turun ke bawah untuk membuka pili utama. Air dari lubang itu tidak lagi memancut keluar.
“Bolehlah buat sementara. Esok aku baiki,” ujar Fakhri sambil memandang isterinya.
Afyra sekadar mengangguk. Mop terus dicapai. Lantai yang basah perlu dikeringkan. Fakhri pula memilih untuk masuk ke kamar. Dia keluar semula setelah menanggalkan pakaian.
“Kau dah masak?” tanya Fakhri sambil berdiri di belakang isterinya.
“Dah.” Mendatar saja jawapan Afyra. Tidak mood untuk memandang wajah Fakhri.
“Oh. Aku mandi dulu. Lepas ni kita makan sama ya?”
Afyra terus membisu. Lantai terus dibersihkan. Air yang melata di lantai tadi sebentar tadi sudah mula kering. Kemudian dia masuk ke dalam kamar. Baju yang basah diganti dengan yang lain.
Mereka berdua makan malam bersama. Namun sepanjang masa itu, Afyra lebih banyak berdiam. Puas diusik, cuba menghidupkan suasana dengan perbualan, Afyra seperti tidak bermaya. Makannya hanya sedikit.
“Kau masih marahkan aku?” tanya Fakhri usai makan malam itu.
“Aku penat sangat ni, Fakhri.” Afyra menjawab rendah. Memang benar. Tubuhnya terasa amat letih saat ini.
Perlahan lelaki itu memicit bahu Afyra. Sekadar mahu mengambil hati. Afyra hanya membiarkan. Terpandangkan telefonnya yang terbiar lama di atas kerusi panjang, dia segera mencapai. Beberapa perbualan di aplikasi what’s App dibeleknya. Namun satu nombor asing menarik perhatiannya. Pantas tangan Fakhri ditepisnya.
Fakhri agak terkejut melihat gelagat isterinya. Macam ada sesuatu yang penting sedang dibaca Afyra.
“Kenapa?” tanya Fakhri.
Afyra tidak terus menjawab. Puas dibeleknya gambar itu. Wanita itu dia tidak kenal. Tetapi lelaki itu adalah suaminya. Seperti dapat dihidu apa niatnya pemilik nombor itu mengirimkan gambar itu.
“Ni siapa?” tanya Afyra sambil menayangkan telefon itu kepada suaminya.
Fakhri memandang sekilas gambar itu. Namun kemudian matanya kembali melekat di situ. Spontan dia memandang Afyra. Isterinya sedang merenung kepadanya. Tiba-tiba dia kalut tidak semena-mena.
“Kau tahu siapa yang hantar gambar ni? Abang kau!” ucap Afyra keras.
Fakhri menelan liur agak payah saat melihat gambar itu. “Err.. itu Atikah. Bekas isteri Naquib. Aku terserempak dengan dia waktu tu. Aku ajak dia makan sekali. Naquib datang tegur kami.”
“Oh..” Afyra memandang semula telefonnya sebelum gambar itu dipadamkan.
“Kau faham, kan? Apa maksud abang kau buat macam ni. Dia saja buat aku dan kau bergaduh.” Afyra memandang semula suaminya.
Fakhri diam memandang ke hadapan. Namun kemudian dia menoleh kepada Afyra. “Aku dengan perempuan tak ada apa-apa hubungan. Betul.”
“Kalau ada pun aku tak ada hak nak halang kau. Aku bukan sebahagian dari hidup kau. Kenapa kau nak kena explaine pada aku? Apa kau buat di luar, kau tak suka aku tahu.”
“Fira, janganlah cakap begitu.”
“Kau sayang aku ke? Tak, kan? Kau cuma gunakan aku untuk sakitkan hati abang kau.”
Fakhri diam menghela nafas panjang. Afyra mendengus sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Matanya kembali memandang tv namun fikirannya melayang jauh kepada peristiwa dulu-dulu. Bermula dari Naquib membatalkan perkahwinan. Kemudian Fakhri muncul sebagai penyelamat. Seterusnya wang 5 ribu yang diberikan kepada Fakhri selepas lelaki itu mengahwininya. Dan sikap aneh Fakhri yang gemar berahsia.
“Kau membayangkan perkahwinan ni hanya untuk sementara aja, kan?”
“Fira, jangan tuduh aku macam tu.”
“Jadi apa sebabnya kau buat macam ni pada aku?? Kau cuma nak main-mainkan perasaan aku ke??” bentak Afyra kembali meninggi nadanya.
Lelaki itu membisu semula. Haruskah dijelaskan apa yang menjadi rahsianya selama ini? Bimbang Afyra semakin marah kepadanya.
“Aku ni memang tak pandai layan perempuan.”
Afyra ketawa sinis. “Kau jangan nak gunakan alasan yang tak logik tulah, Fakhri. Apa, kau ingat aku ni cuma kau perlukan bila di dalam bilik tidur aja ke? Waktu tu kau tahu pulak macam mana nak layan perempuan!” tukas Afyra membuatkan Fakhri terpana disebat kata-kata sendiri. Alasan yang amat ringan.
“Aku membesar sendiri, Fira. Aku tak ada emak dan ayah yang boleh mengajar aku. Aku dah terbiasa hidup sendiri, jaga diri sendiri. Dulu waktu di kampung, aku suka berbaik dengan semua orang, percaya sesiapa sahaja yang baik dengan aku. Tapi aku difitnah. Aku dipenjarakan atas kesalahan orang lain. Ayah aku semakin jauhkan diri dari aku disebabkan itu. Abang aku pandang hina pada aku..”
“Lepas tu kau pun pandang hina pada aku. Seolah-olah aku ni mencari kesempurnaan pada seorang lelaki? Begitu ke tanggapan kau pada aku selama ni?” Afyra terus memintas.
“Kalau tidak, kenapa lelaki macam Naquib yang kau pilih?” sanggah Fakhri pantas.
Wajah Afyra berubah. Tidak sangka sama sekali tekaannya mengena tepat. “Kau marah sebab lelaki tu Naquib, bukan kau?” selar Afyra sedikit lantang.
“Ia.” Fakhri menjawab jujur.
“Aku cemburu tengok kau berkawan dengan dia dulu. Kau sikit pun tak pandang aku. Sebab aku tak hebat macam Naquib, kan? Aku tak setaraf dengan kau. Kau dah lupakan aku sebab aku hanya tukang kebun! Kau kahwin dengan aku sebab nak tutup malu, kan?”
Mata Afyra membulat sedikit mendengar jawapan Fakhri. Terus dia bangun. Betapa jauh penilaian lelaki ini kepadanya. Dia tidak pernah tahu!
“Kau yang datang meminta pada daddy untuk kahwin dengan aku! Aku terima kau sebab daddy kata kau lelaki yang baik. Kau ingat kami hairan sangat pada aib ke?? Eh! Aku benci lelaki penipu!!” meledak suara Afyra setinggi-tingginya.
Fakhri tidak menjawab. Sebaliknya matanya mencerlang garang memandang isterinya. Seolah-olah dia sajalah yang terhegeh-hegeh hendakkan Afyra.
“Kau yang tiba-tiba datang. Kau! Bukan aku yang panggil kau!” sergah Afyra lantas dada lelaki itu ditunjalnya.
“Jadi kau rasa aku ni memang tak gunalah? Siapa yang bagus? Naquib?” balas Fakhri mula hendak naik marah pula.
“Kau jangan jadi budak-budaklah, Fakhri. Kau dan Naquib saling bermusuhan tapi aku yang tak tahu menahu tiba-tiba terikut sama dalam dendam kau! Eh! Fakhri, pertama kali aku jumpa kau lebih lima tahun dulu, kau sendiri pun tak pandang aku. Waktu tu Naquib tak wujud dalam hidup aku. Tapi kau pergi macam tu aja. Jadi kau nak salahkan aku pulak bila Naquib yang ambil alih tempat tu?” suara Afyra terus lantang.
Fakhri terdiam memandang isterinya berdiri di hadapannya. Wajahnya berubah sedikit. Seolah-olah baru tersedar kenyataan itu.
“Naquib tak pernah bercerita apa-apa tentang kau pada aku. Aku tak tahu kau miskin ke kaya, kau hebat ke tidak. Aku tak tahu! Hatta kau seorang bekas pesalah juvana pun aku tak tahu! Kau rasa aku semudah itu memandang rendah pada seseorang yang aku langsung tak kenal?? Dan kau berdendam juga pada aku hanya disebabkan kali kedua kita berjumpa, aku adalah tunang abang kau. Kau harap aku teman wanita kau. Atau sekurang-kurangnya orang lain asalkan bukan abang kau. Lepas abang kau putuskan pertunangan kami, kau ambil kesempatan untuk kahwin dengan aku. Supaya kau boleh layan aku macam ni. Kau sengaja berlagak macam orang yang tak berguna. Kau tunggu aku keluarkan kata-kata yang merendahkan kau. Seterusnya kau pun mula bongkar rahsia yang kau lebih hebat berbanding Naquib supaya kau boleh padankan dengan muka aku! Kau sebenarnya berdendam juga dengan aku, kan? Kau bencikan Naquib secara tidak langsung kebencian tu pun terpalit pada aku,” tembak Afyra lantang.
Fakhri terus-terusan diam menelan kata-kata isterinya.
“Naquib aibkan pada malam pernikahan aku. Sekarang kau juga ikut jejak langkah dia. Kau lebih dahsyat lagi! Topeng kau kenakan selama ni buat aku tertipu. Sekarang beritahulah. Apa lagi yang masih belum sudah tentang dendam di hati kau pada aku. Supaya aku dapat bertahan dari segala tindak tanduk kau yang menyiat perasaan aku. Paling menyedihkan bila kita dipersalahkan atas kesalahan yang kita tak tahu, Fakhri!” tekan Afyra. Nadanya mula menurun. Dia terasa mahu menangis saja saat ini.
 “Bosanlah terlalu banyak bercakap. Tidur lagi baik,” desis Afyra sudah tidak sanggup. Semakin dipandang wajah lugu lelaki ini, dia semakin sakit hati.
“Fira..” Fakhri bangun mengekori isterinya.
“Tolong jangan ganggu aku. Please!”
“Aku minta maaf, Fira.” Fakhri terus mengekori isterinya.
Afyra ketawa perlahan. Sedih di hatinya tidak tertahan mendengar ucapan maaf itu. “Aku sukakan kau. Aku sayangkan kau sebab kau suami aku. Tapi kau buat aku macam ni. Tak apalah.”
“Fira, aku tak pernah tahu jika ada seseorang yang mampu sayangkan aku ikhlas dalam keadaan aku tiada apa-apa. Aku dah tersalah sangka. Aku minta maaf,” rayu Fakhri.
“Tolong beri aku ruang. Aku dah tak boleh dengar apa-apa lagi,” balas Afyra.
“Aku minta maaf. Aku tahu aku dah tersilap selama ni,” ujar Fakhri bersungguh. Lengan isterinya cuba dicapainya. Namun Afyra menepis.
Afyra kembali berpaling kepada suaminya. “Kau tahu tak betapa susahnya aku nak pujuk hati aku ni untuk menerima seorang lelaki dalam keadaan aku baru saja dilukai oleh seorang lelaki. Takdir yang Allah tentukan bukan semudah itu boleh dipegang. Tapi inilah rupanya yang aku terima dari kau. Kau pergunakan aku untuk puaskan rasa marah kau pada abang kau sendiri. Puaslah hati kau sekarang? Satu aja yang aku minta, Fakhri. Kalau kau betul tak mahukan aku, tolong jangan permainkan perasaan aku. Please.”
Fakhri hanya memandang Afyra menghumban tubuhnya ke tilam. Wanita itu mengambil bantal lalu menekup kepalanya. Fakhri hanya memandang. Sekilas pandang, dia tahu. Afyra menangis!

SEMENJAK pertengkaran malam itu, hubungan mereka menjadi teramat dingin. Langsung tidak bercakap. Fakhri lebih senang menghabiskan masa di luar. Setiap hari pulangnya lambat. Tidurnya di ruang tamu.
Hati merasa amat gegak gempita. Begitulah Afyra. Pulang ke rumah petang itu, sesak kepalanya dengan keadaan rumah yang berkecah. Badan pula terasa amat penat. Bertambah parah, kerosakan pada paip air itu masih belum dibetulkan Fakhri. Melihat keadaan dapur dengan pinggan mangkuk yang menimbun tetapi tidak dapat dicuci. Kemudian pada saluran yang disumbat dengan kain buruk itu, sudah mula mengeluarkan air. Air itu mengalir di dinding sehingga membasahkan lantai.
Stress! Dia rasa seperti mahu lari dari rumah sahaja. Memikirkan keadaan rumahtangganya sedang menjengah badai kehancuran, dia menangis semahu-mahunya di dalam kamar tidur. Sedikit sebanyak tindak tanduk lelaki itu membuatkan dia yakin, Fakhri memang tidak bersungguh kepadanya selama ini.
Sementara Fakhri masih belum pulang, Afyra membasuh pinggan mangkuk di dalam kamar mandi. Terpaksa juga menyelesaikan kerjanya dengan cara yang ada daripada menunggu begitu sahaja. Tidak sanggup melihat keadaan rumah yang membuatkan dia bertambah tertekan.
Fakhri hanya pulang sesudah isyak. Mereka berdua tidak bertegur sapa. Lelaki itu sekadar duduk di ruang tamu, melepaskan lelah. Melihat Afyra mencuka, bertambah tiada mood mahu menyapa. Mereka berdua terus melayan perasaan sendiri.
Ketika mahu ke kamar mandi, Afyra terpandangkan Fakhri berbaring di kerusi panjang. Terus sahaja dia ke dapur. Di dapur, lantai basah lagi dek air yang meleleh. Letih mahu turun naik untuk menutup pili utama di tingkat paling bawah.
“Fakhri, betulkan paip ni. Makin basahlah. Aku dah tak tahan macam ni.”
“Nanti aku buat,” jawab Fakhri dari depan.
Afyra terus masuk ke kamar mandi. Usai mandi dia terus mencapai tuala. Terlupa yang di hadapan kamar mandi itu basah. Sambil melangkah keluar, dia memandang ke dalam kamar mandi. Namun kakinya menggelongsor ke hadapan. Sempat dia berpaut kepada pintu kamar mandi. Namun pintu itu tercabut dan Afyra jatuh.
Bunyi bising itu membuatkan Fakhri menggelupur bangun untuk menjengah isterinya. Namun dia terpandangkan Afyra terbaring di lantai sambil tercungap-cungap memegang pinggangnya.
“Fira..” Fakhri terus mendekat. Dia sendiri hampir terjatuh dek kerana lantai itu licin.
“Darah..” ucap Afyra sambil memandang tangannya. Sakit yang dirasainya dari paras pinggang teramat dahsyat sehingga membuatkan dia tidak mampu berkata-kata.
Mata Fakhri terbeliak luas melihat darah itu. Dia cuba mengangkat isterinya. Tetapi dia lihat pada tuala Afyra ada lebih banyak darah. Afyra mula dapat merasakan ada sesuatu yang buruk berlaku kepada dirinya.
“Bangun dulu. Kita pergi hospital!” ucap Fakhri panik.
Dan saat Afyra berdiri, darah itu meluncur di celahan pahanya. Lebih banyak lagi! Kala itu Afyra sudah dapat meneka apa yang berlaku kepadanya.
“Fakhri.. anak kita.” Afyra hanya mampu memegang perutnya sambil memandang ke bawah.
Fakhri sempat terpaku melihat darah itu meleleh perlahan-lahan sehingga mencecah lantai. “Kau mengandung?”
“Ya Allah.. sakitnya,” rintih Afyra. Rasa memulas pada perutnya semakin hebat. Tidak tertahan, Afyra menangis juga. Dia tahu ada sesuatu yang buruk telah berlaku kepadanya.
“Kita pergi hospital sekarang. Jangan menangis,” ucap Fakhri. Bahu Afyra dipautnya. Dalam ketenangan yang tidak seberapa, dia sebenarnya diserang kalut dan takut. Tidak tahu apa yang harus dibuatnya terlebih dahulu. Dia tahu musibah ini berlaku kerana dia melalaikan apa yang penting dilakukannya. Akibatnya kini telah ditanggung oleh Afyra.

Dan dia tidak tahu, adakah masih ada maaf untuknya.

1 ulasan: