Jumaat, 12 Ogos 2016

BAB 9 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 9
PETANG-PETANG begitu masing-masing sudah tidak lekat di rumah. Farouqe semenjak pagi tadi bersama isterinya keluar berjalan. Ariff dan Insyirah pergi menghantar Tuan Muhammad dan Celine ke lapangan terbang. Rania pergi bersama mereka. Ada yang sudah pulang ke rumah masing-masing.
Afyra melepak sendirian di luar rumah. Fakhri? Lagi seronok menonton tv dengan anak-anak Rafael. Sibuk melayan rancangan kartun. Melihat Afyra hanya sendirian, Imanina mengajak Rafael ikut duduk di gazebo.
“Tak keluar ke?” tanya Imanina sambil melabuhkan duduk di sebelah Afyra.
“Malas.”
“Baru kahwin takkan terperuk aja kat rumah. Ajaklah dia jalan-jalan. Ambil masa berdua. Kenal-kenal. Dulu Kak Iman nikah dengan Abang Umar pun, bukan kenal sangat. Kalau kita cuba kenal dia, lama-lama kita faham dia. Insya-Allah.. kita akan terima dia juga.”
Afyra diam mendengar bicara kakaknya. Rafael memandang adiknya itu.
“Sekurang-kurangnya maniskan muka depan suami. Jangan buat muka monyok begitu. Nanti dia terasa hati,” ujar Rafael pula. Dia faham. Bukan mudah untuk Afyra menerima lelaki lain dalam hidup sedangkan baru sahaja putus cinta.
Afyra diam merenung meja. Hari kedua menjadi isteri orang. Dia masih janggal untuk bergaul dengan lelaki itu. Kekok sangat. Mereka bercakap apabila ada yang perlu.
“Tengok Farouqe wei!!” tegur Imanina membuatkan semua mata yang ada di situ tertuntas ke arah sepasang merpati dua sejoli itu. Saling berpegangan tangan dari pintu pagar sehingga ke dalam halaman rumah.
“Takut bini dia tersungkurlah tu sampai kat dalam kawasan rumah pun nak pegang tangan,” komen Rafael membuatkan tawa mereka meledak spontan.
Farouqe menoleh. Cuba mencari dari mana datangnya bunyi gelak orang itu. Rupanya adik beradiknya sedang lepak di gazebo. Beg plastik di tangan diberikan kepada Adeline. Dia mendekati kawasan itu.
“Gelak apa tadi?”
“Farouqelah. Bukan main lagi pegang tangan. Takut hilang ke apa?” ucap Imanina.
“Dulu tak dapat pegang. Sekarang kita peganglah cukup-cukup. Barulah nampak macam suami mithali. Tapi memang Farouqe suami mithali pun. Tak payah berlakon ni semua.”
Tergelak Rafael mendengar jawapan Faouqe. “Serius. Abang rasa poyo sangat sampai dalam kawasan rumah pun nak berpegang tangan.”
“Ish! Tak ada batas untuk suami mithali layan isteri dia baik-baik.”
“Mithalilah sangat!” desis Imanina menyampah dengan jawapan Farouqe.
“Betullah apa Farouqe cakap. Penat Farouqe tunggu dia. Rugilah kalau tak layan dia baik-baik,” ujar Farouqe selamba.
“Kak Iman rasa macam mimpi pulak.”
“Apasal?” balas Farouqe sambil memandang kakaknya itu.
“Famili kita ni kan.. unik tau. Ada yang kahwin dengan ustazah sendiri. Mohon terasalah kepada yang berkenaan.”
Rafael ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya.
“Ada yang kahwin dengan princess. Kak Iman kahwin dengan senior sendiri. Kak Ana kahwin dengan mamat yang duduk depan bilik dia kat ofis. Farouqe dapat jodoh best freind sendiri.”
“Ada yang kahwin dengan tukang kebun sendiri.”
Tersentak Afyra mendengar kata-kata Farouqe.
“Mulut tu kalau tak kurang ajar, tak sah, kan?” meledak kemarahan Afyra serta merta.
Berubah wajah Farouqe serta merta. “Alah.. Farouqe gurau ajalah.”
“Fira nak masuk dalam kejap.” Afyra terus bangun.
Tercengang Farouqe memandang Afyra berlalu dengan wajah mencuka.
“Mulut tu tak jaga. Dah tahu mood dia tengah tak baik, sebut pasal tu buat apa?” ucap Imanina.
“Habis tu tadi Kak Iman nak cakap apa?”
Imanina ketawa gelihati. “Akak pun nak cakap begitu juga. Nasib baik Farouqe dah cakap dulu. Kalau tak akak yang kena marah. Selamat!”
“Kurang asam, kan? Lepas tengkuk dia aja,” desis Farouqe sambil memandang abangnya. Rafael ketawa gelihati.
“Apasal Kak Fira tu?” tanya Farouqe.
“Biasalah tu. Mood dia tak berapa baik. Fikiran tak tenang. Jangan ambil hati,” balas Rafael lembut.
Farouqe diam. Sedikit sebanyak dia dapat meneka. Pasti kerana hal semalam.
“Farouqe tengok muka Naquib tu rasa macam nak tumbuk aja. Sakit hati,” ujar Farouqe pula.
“Boleh main-mainkan anak orang, kan? Tak mahu kahwin cakaplah awal-awal. Ni dah dekat nak nikah baru nak mintak putus. Kak Iman betul-betul tak suka mak dia. Punyalah bising mulut dia malam tu. Malu kat tetamu.”
“Kalaulah dia tak datang malam tu, sama-sama tak dapat malu. Orang pun tak tahu apa yang dah jadi. Orang yang datang malam tu pun bukannya tahu pengantin lelakinya dah bertukar. Sebab dia ada, tak pasal-pasal semua orang tahu,” ucap Rafael pula.
“Kita biasa pergi majlis kahwin, bukannya kita kenal sangat siapa pengantin yang tertulis atas kad jemputan. Tak ambil tahu pun. Yang penting kita datang, kan?”
“Itulah pasal. Daddy ada cakap dengan abang sebelum ni. Fakhri cerita kat dia, keluarga Naquib tu tak suka daddy. Keluarga dia anggap Fira mengongkong Naquib.” Rafael menggeleng kesal.
“Serius? Eh! Itu sudah lebih. Tak sedar diri betul. Dulu daddy pun bukannya berkenan si Naquib tu. Suka-suka hati dia aja ajak anak dara orang keluar sana sini. Daddy terima sebab Fira,” balas Imanina. Panas pula hatinya mendengar itu.
“Nasib baiklah tak jadi kahwin. Untung sebenarnya kita ni walaupun kita diuji disaat-saat akhir.”
Rafael memandang ke arah pintu gelangsar yang terbuka luas. Dia lihat Fakhri sedang berbaring di sebelah anak-anaknya. Bukan main riuh lagi mulut Rauf berborak dengan Fakhri. Afyra entah di mana.
“Rajin dia melayan budak-budak,” komen Rafael sambil tersenyum. Namun kemudian dia bangun mendekati Fakhri.
“Fakhri, pergilah ajak Fira tu keluar. Lagi terkurung di rumah, lagi tak baik mood dia.”
Fakhri memandang abang iparnya seketika. Kemudian dia terus bangun untuk mencari isterinya. Rafael terus memandang gelagat Fakhri. Harap-harap adik iparnya itu tahu bagaimana untuk mengambil hati seorang wanita yang sedang basah lukanya.

KAU nak pergi jalan ke?” tanya Fakhri setelah masuk ke kamar. Isterinya baru selesai solat.
“Malaslah.” Afyra menjawab tanpa memandang.
“Kita balik rumah sana?” ajak Fakhri dalam nada lembut.
Lambat-lambat Afyra menoleh. Lelaki itu berdiri tidak jauh darinya.
“Kau nampak tak selesa. Aku tahu kau rasa terpaksa. Aku pun tak selesa begitu,” ujar Fakhri.
Mendengar kata-kata itu, Afyra terus mengangguk setuju.
“Siaplah. Aku tunggu.”
“Mommy dengan daddy belum balik lagi. Macam mana?”
“Tak apa. Esok lusa kita balik sini semula,” jawab Fakhri lantas berjalan ke pintu semula.
Afyra sekadar memandang suaminya berlalu. Beg pakaiannya diambil lalu dibentang di atas katil. Sehelai pakaian pun tidak ada dikemasnya sebelum ini biarpun dia tahu dia harus berpindah mengikut suami.
Selesai mengemas, kesemua begnya diturunkan dari katil. Fakhri muncul semula.
“Dah?”
“Dah.”
“Baju aku?”
Spontan Afyra memandang suaminya.
“Baju dia pun kita yang kena kemas ke?” tanya Afyra.
“Habis tu?” jawab Fakhri lantas mengambil beg isterinya untuk dibawa ke bawah.
“Kunci kereta mana?”
“Kereta siapa?”
“Kereta kaulah. Aku mana ada kereta. Takkan nak balik jalan kaki pulak,” ucap Fakhri selamba.
Afyra terpegun seketika memandang lelaki itu. Habis tu Fakhri datang ke rumah ini dengan apa? Dia tertanya sendiri.
“Kat bawah. Tanyalah sesiapa kat bawah tu,” jawab Afyra acuh tidak acuh. Dia mengambil beg baju Fakhri pula. Baju lelaki itu masih bersepah sana sini belum dikutip. Ada yang di dalam bakul baju kotor.
 Sedang dia sibuk melipat baju suaminya, Fakhri muncul semula. Memerhati apa yang sedang dibuat oleh isterinya.
“Emm.. rumah aku tak besar macam rumah ni. Tak apa ke?”
Afyra mengerling lelaki itu. “Janji mak tiri dan abang kau yang tak guna tu tak ada dalam rumah tu,” jawab Afyra selamba.
Fakhri tersenyum-senyum entah kenapa. Dan senyuman aneh itu sempat dilihat oleh Afyra.
“Apasal kau senyum?”
“Aik? Senyum pun dah tak boleh sekarang?”
“Kau mengejek aku, kan?” ucap Afyra lantas bangun. Beg pakaian Fakhri dizip kemas.
Fakhri tidak membalas. Sebaliknya beg itu diambilnya lalu dibawa turun. Afyra menjeling lelaki itu. Sakit pula hatinya melihat senyuman Fakhri. Dia bersiap ala kadar dan sepantas yang mungkin.
Di bawah Fakhri sedang duduk menonton tv sementara menunggunya.
“Fira nak balik rumah Fakhri ke?” tegur Imanina.
Afyra menoleh kepada kakaknya. Kemudian dia mengangguk.
“Nanti Fira balik sini semula. kirim salam dengan mommy and daddy ya?” jawab Afyra lembut.
“Ialah.” Imanina mendekati sang adik. Afyra dipeluknya.
“Jangan gaduh-gaduh dengan suami ya? Cakap lembut-lembut. Ambil masa ni, cuba kenal hati budi dia. Kita buat baik, insya-Allah balasan yang baik juga kita akan dapat.” Imanina berbisik saat mendakap sang adik.
Afyra sekadar mengangguk. Sedikit senyuman diberikan kepada kakaknya sekadar mahu menenangkan debaran yang melanda jiwa. Memulakan hidup dengan seseorang yang asing, sudah tentu tidak mudah.
“Jom,” ajak Fakhri lembut.
Sepanjang perjalanan mereka lebih banyak berdiam. Afyra ralik memandang ke luar. Hairan. Dia yang selama ini jenis banyak mulut jadi amat pendiam pula kala ini.
“Kita makan dulu kat luar? Nanti malam tak payah masak.”
Afyra sekadar mengangguk.
“Tak ada mulut ke nak jawab?”
“Ia!” dengus Afyra spontan.
“Daddy kata kau ni jenis banyak cakap. Menceceh tak habis-habis. Tapi dengan aku kenapa kau jadi pendiam?” tanya Fakhri sambil memandang sekilas isterinya yang sedang memandang luar.
“Tak ada apa nak cakap, aku diamlah,” rungut perempuan itu perlahan.
Fakhri pula yang berdiam. Mungkin enjin belum panas tu, fikirnya.
“Kau tak suka aku?” tanya Fakhri seketika kemudian.
Lambat-lambat Afyra menoleh kepada suaminya. Lelaki itu merenungnya sedetik dua.
“Entah. Aku tak tahu nak jawab apa.”
“Aku memang tak sama macam Naquib. Aku ni..”
“Tak ada siapa minta kau sama macam mamat tak guna tu! Stop talking about him. Please!” pintas Afyra dalam nada tegas.
Fakhri menghela nafas perlahan. Kali itu diam memilih untuk berdiam. Ketika mereka hampir tiba di rumah, dia berhenti di satu kawasan perumahan pangsa di Pantai Dalam. Terdapat banyak gerai beratur di pinggir jalan.
“Makan kat sini ya?”
Afyra hanya mengangguk sambil membuka pintu. Tanpa sedar Fakhri memandang gelagat isterinya keluar dari kereta tanpa menunggunya. Buat seketika Afyra berdiri di hadapan kereta.
“Kat sanalah,” ajak Fakhri lantas menunding ke arah satu gerai di seberang jalan. Dia pergi ke arah Afyra. Tanpa disuruh tangan isterinya diraih untuk mereka berdua melintas jalan.

Terkedu Afyra melihat Fakhri menariknya setelah jalan raya selamat untuk diseberangi. Sedar atau tidak, semenjak dinikahi lelaki itu. Ini baru kali kedua lelaki itu menyentuhnya. Itu pun sekadar di tangan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan