Selasa, 9 Ogos 2016

BAB 2 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 2
ITU aja kau makan?” tanya Haiqal sambil mengerling pinggan Fakhri. Macam biasa.
“Jadilah..” ucap Fakhri perlahan.
“Tahan betul kau makan macam tu aja setiap hari. Tak jemu ke?” ujar Haiqal sambil menggaul nasi di dalam pinggannya dengan sudu. Setiap kali makan di kedai, Fakhri memilih nasi set yang berharga tiga ringgit. Air kosong. Fakhri tidak suka makan di kedai mamak kerana harganya mahal.
Dia? Dengan nasi goreng dan tom yam. Tidak selera makan sekadar ala kadar. Asal ada. Sesekali mesti mahu bertukar selera.
“Tadi kau kerja kat rumah orang kaya tu, tak dapat upah ke?”
“Dapat.” Teringat siang tadi. Upah yang dia minta sekadar 50 ringgit sahaja. Tetapi lelaki itu memberinya seratus. Murah rezekinya hari ini.
“Makanlah yang sedap sikit. Asyik makan nasi murah aja. Apa salahnya? Kau kerja teruk-teruk tapi badan kau, kau layan ala kadar aja. Tak baik begitu.”
Fakhri hanya diam. Ini sudah lebih dari syukur sebenarnya. Daripada kebuluran saja.
“Kau takut sangat tak ada duit kat sana nanti. Aku kan ada? Susah sama susah. Senang sama senang, Ri.” Haiqal tahu Fakhri berkerja keras mengumpul duit untuk menyara hidup mereka di Australia nanti.
Fakhri pantas memandang temannya itu. “Sikap suka bergantung pada orang, itu yang menyusahkan kita kemudian hari, Haiqal. Aku lebih suka beringat. Aku tak suka menyusahkan kawan-kawan. Kalau selalu sangat menyusahkan kawan, nanti orang muak dengan kita,” jawab Fakhri.
Haiqal berdiam. Sudah hampir tiga tahun mengenali lelaki ini. Rasanya dalam seramai-ramai kawannya, inilah kawan yang paling berjimat cermat sepanjang hidupnya. Baju yang sama diulang berkali-kali sampai perempuan pun tidak selera mahu memandang Fakhri. Dia tahu Fakhri bukannya tiada duit. Setiap minggu mengambil upah sebagai tukang kebun di beberapa buah rumah, sebenarnya Fakhri lebih berduit berbanding pelajar lain yang bergaya sakan dengan duit pinjaman dan biasiswa. Upahnya sebulan sampai beribu. Tetapi temannya itu suka menahan diri semata-mata untuk menyimpan.
“Tak pun carilah awek kat sana nanti. Sesak-sesak, ada juga gunanya,” ucap Haiqal tidak lama kemudian.
Suapan Fakhri terhenti. Pantas dia memandang Haiqal.
“Maksud kau?”
Haiqal ketawa kecil. Teringat teman wanitanya. Lebih berduit dari dia. Kadang-kala menjadi bank untuknya apabila duit pinjaman susut.
“Carilah awek yang berduit. Ayat baik-baik bagi dia sayang. Waktu kau susah, dia takkan biarkan kau. Hidup kena pandai, Ri.”
“Pandai tipu orang?” sambut Fakhri pantas.
“Tak adalah macam tu. Bukan aku suruh kau main-mainkan dia. nanti dah habis belajar, kahwinlah.”
“Kalau jodoh ditetapkan dengan dia? Kalau berubah hati? Kau nak bayar balik duit awek tu?” sanggah Fakhri.
“Buat pekak ajalah.”
Fakhri diam sambil menggeleng. Pendirian itu tiada padanya. Namun tiba-tiba ingatannya melayang kepada anak gadis orang kaya tempat dia bekerja siang tadi. Tinggi dan bertubuh langsing. Cantik. Hanya sedikit kelihatan roman kacukan pada wajahnya. Teringin nak pandang berkali-kali. Tetapi malu. Terasa diri tak sedar dek untung. Sudahlah diberikan kerja, anak dara tuan rumah pula mahu diuratnya.
Ah! Apa fikiran aku melalut ni? Berangan! Takkanlah anak tan sri seperti itu mahu memandang lelaki seperti dia? detik hati Fakhri. Sebuah helaan nafas dihela.
“Apasal?” tanya Haiqal dengan pandangan aneh.
“Tak ada apa-apa. Aku dah kenyang. Kau nak lepak ke? Aku nak balik.”
“Alah.. boring betullah kau ni. Lepaklah dulu. Bagi aku hisap rokok kejap. Asyik fikir duit aja kau ni,” keluh Haiqal sambil menggeleng.
“Kau ada bapak yang beri duit tiap-tiap bulan. Ada duit pinjaman menunggu. Ada makwe kaya boleh tanggung duit rokok kau. Tak ada duit, call aja. Aku tak ada semua tu, Haiqal. Tulang empat kerat ni ajalah yang aku ada. Aku nak balik. Nak rehat. Esok ada kerja lagi,” ucap Fakhri lembut.
Tanpa mempedulikan reaksi Haiqal, Fakhri tetap bangun. Biarlah orang mengata dia membosankan atau apa. Tidak suka bersosial. Dia jaga hidupnya sendiri. Dan dia tidak ingin selamanya dipandang rendah oleh wanita!

JAGA diri baik-baik ya?” ucap Ariff kepada si anak.
“I love you, daddy.” Afyra terus memeluk ayahnya itu. Di dada lelaki itu air matanya jatuh.
Ariff tersenyum lembut. “I love you too,” ucap Ariff peralahan. Kepala anaknya dikucup penuh kasih sayang.
“Jangan menangis. Hidup sendiri kamu mesti belajar untuk jadi kuat,” ujar sang ayah lagi.
“Kak Fira ni dahlah. Asyik nangis aja. Cepatlah. Nanti lambat,” celah Rania. Kakinya sudah tidak sabar-sabar nak cecah ke dalam pesawat.
“Shhttt..” tegur Insyirah tidak senang. Bab pergi berjalan nombor satu!
“Sampai sana nanti call saya. Saya sudah beritahu ayah saya. Dia tunggu di sana,” pesan Ariff kepada isterinya. Hanya Insyirah dan Rania akan mengiringi Afyra ke kota London. Dia sekadar sampai di sini.
“Insya-Allah..”
Sayu pandangan sang ayah saat salah seorang puterinya berlalu ke balai berlepas. Sedar mereka akan terpisah dalam jangka masa yang lama. Reda walaupun hati sarat oleh kerisauan untuk melepaskan anak itu pergi mencari kehidupannya sendiri setelah sekian lama berada dalam jagaannya.
Kawasan perlepasan antarabangsa agak sesak awal pagi begini. Di kaunter pemeriksaan imigresen, mereka terpaksa beratur panjang. Entah kenapa dada Afyra berdebar tidak tenang. Sekadar mahu menenangkan perasaan, dia memerhatikan orang sekeliling.
Namun saat mengalihkan pandangan, sekilas dia terpandang sekumpulan pemuda-pemuda membawa beg kembara beratur di kaunter lain. Spontan Afyra menoleh semula kepada kumpulan lelaki itu. Matanya terpandangkan seorang lelaki yang mungkin pernah dia lihat sebelum ini.
Buat seketika dia memerhatikan lelaki bertopi baseball itu sambil cuba mengingati di mana dia terjumpa lelaki itu. Sayangnya jawapan yang dicari entah di mana. Sehingga dia dicuit oleh ibunya agar terus ke hadapan, Afyra memilih untuk tidak memikirkan tentang lelaki asing itu lagi.

LIMA TAHUN KEMUDIAN.
“Mak, saya pergi dulu.”
“Ialah.” Sarimah menjawab biasa.
Naquib sempat memandang ayahnya. Pegun membaca akhbar semenjak tadi. Malas dia mahu menyapa. Sudahnya dia berlalu begitu sahaja. Sarimah mengekori anaknya ke pintu.
“Ada Atikah call engkau lagi?” tanya Sarimah di belakang anaknya.
“Tak ada, mak.” Naquib sekadar menoleh sedikit.
“Hmm.. dah malulah tu. Orang tak melayan. Jangan tunang kau tu pun buat perangai yang sama macam bekas bini kau dahlah. Mak tak berkenan,” ucap wanita itu selamba.
Naquib sekadar diam.
“Kau tu pun, dengan tunang kau tu kena berkeras sikit. Jangan ikut sangat segala kehendak dia. Semua benda keluarga sebelah sana yang tentukan. Kau kena bersuara. Kau tu lelaki,” ujar Sarimah lagi.
“Saya pergi dulu.” Naquib terus ke kereta. Malas mahu memanjang bicara tentang bekas isterinya atau tunangnya itu.
Sarimah masuk ke rumah semula setelah kereta Naquib bergerak keluar dari halaman rumah. Seketika kereta itu diparkirkan di hadapan pintu pagar sementara Naquib menutup semula pintu pagar. Namun, baru sahaja dia mahu bertolak ke tempat kerja, dia terlihat kelibat seorang anak muda berjalan kaki ke arah rumahnya. Naquib tidak jadi mahu pergi. Sempat dia memandang ke arah rumahnya sebelum kembali memandang anak muda itu.
“Bang.. Assalamualaikum,” sapa Fakhri sambil termengah-mengah. Penat!
“Kau nak apa datang sini?” tanya Naquib agak gusar. Bimbang emaknya mengamuk lagi.
“Saja. Dah lama tak jumpa ayah.”
“Hmm.. lama tak muncul, tiba-tiba muncul. Ayah sihat. Kau pergilah. Kau tahu juga mak aku tu macam mana, kan? Aku bukannya nak menghalau. Tapi aku semaklah bila gaduh-gaduh dalam rumah nanti,” ujar Naquib agak tidak senang memikirkan keadaan yang bakal datang nanti.
“Saya nak jumpa ayah sekejap aja, bang. Kat luar pun jadilah.”
Naquib menghela nafas perlahan. “Kau tak ada duit ke? Ayah tu dah tak kerja. Kau dah besar. Kerja. Jangan asyik minta pada ayah.”
Fakhri diam. Wajahnya berubah. Bila kalanya dia selalu meminta dari ayahnya? Kenapa setiap kali dia datang mahu menjenguk ayahnya, dia dianggap datang hanya untuk meminta wang?
“Ni, ambil ni.” tanpa banyak kira Naquib membuka dompet. Dua helai not seratus diambil lalu diberikan kepada Fakhri. Fakhri memandang duit itu seketika. Kemudian diambilnya.
“Ini last aku bagi kau duit. Lepas ni jangan datang sini minta duit dengan ayah,” ujar Naquib tanpa sedikit pun senyuman kepada adiknya itu.
“Terima kasih, bang.”
Naquib terus masuk ke dalam kereta. “Kau nak pergi mana lepas ni?” tanya Naquib setelah cermin diturunkan.
“Tak tahu lagi.”
“Masuklah. Aku hantar kau ke bus stop depan sana,” ajak Naquib.
Fakhri memandang seketika lelaki di dalam kereta itu. Susah benar dia mahu bertemu dengan ayah kandungnya. Menyusahkan benarkah dia selama ini? Kedatangannya langsung tidak diterima. Dia tiada sesiapa lagi selain ayahnya. Ayahnya juga tidak peduli kepadanya. Sedangkan dia juga perlukan seseorang untuk meminta nasihat, mendengar ceritanya.
“Apa lagi kau termenung tu??” tegur Naquib agak kuat.
Fakhri tersentak dari menungan. Lambat-lambat dia masuk juga ke dalam kereta lelaki itu.
Sepanjang perjalanan mereka berdiam. Sehingga tiba di perhentian bas di luar kawasan perumahan itu.
“Kau tahu nak balik macam mana, kan? Tu duit aku dah bagi. Pandai-pandailah,” ucap Naquib setelah keretanya berhenti.
Fakhri terus mengangguk. “Terima kasih, bang.”
Naquib sekadar memandang anak muda itu keluar. Kemudian kereta terus dilarikan pergi.
Fakhri terkebil-kebil memandang. Sudahnya dia duduk di bangku perhentian bas itu. Termenung memandang kereta lalu lalang. Tidak juga terasa mahu beredar biarpun sudah berbuah-buah teksi menunjuk rupa di situ.
Sedang pada itu Fakhri ternampak seorang wanita tua mengayuh basikal. Di belakangnya ada bungkusan berisi botol dan tin kitar semula. Wanita itu berhenti di tong sampah yang membuak keluar. Fakhri memandang gelagat wanita itu penuh minat. Kalaulah arwah neneknya masih ada, pasti sebaya wanita itu.
Teringat wang yang diberikan Naquib tadi, Fakhri tiba-tiba bangun mendekati wanita itu.
“Nek,” sapa Fakhri. Dua not seratus di dalam poket seluarnya diambil lalu dihulur kepada wanita itu.
“Duit apa ni?”
“Ambillah..”
“Jangan. Nanti kamu tak ada duit nak makan, cu.”
Fakhri mengeluarkan dompetnya pula. Semua duit yang ada dalam dompetnya dikaut lalu dihulurkan kepada nenek tua itu.
“Ambillah. Saya tak takut tak ada duit.”
Wanita tua itu tergamam melihat segumpal duit di tangan Fakhri. Mahu ada dalam tujuh lapan ratus duit di tangan Fakhri. Dah gila agaknya budak ni, fikirnya. Namun tangannya diambil oleh Fakhri.
“Nenek dah tua. Saya tak sampai hati tengok nenek macam ni. Nenek naik basikal di jalan sesak begini, bahaya. Saya ni masih muda. Bila saya tak ada apa yang saya perlukan, saya akan bekerja keras mencarinya. Bila dah ada, kadang kala saya jadi lalai. Ambillah, nek. Pergilah balik. Makan sedap-sedap.”
Wanita tua itu terpaku melihat duit di tangannya. Mahu menangis pula rasanya. Baik benar hati anak muda itu.
“Pergilah balik. Saya doakan nenek sentiasa murah rezeki,” ujar Fakhri lembut.
“Sepatutnya nenek yang doakan kamu murah rezeki. Masih ada ke manusia yang macam kamu ni? Peduli pada orang lain? Kamu beri semua duit dalam dompet kamu tu, kamu sendiri macam mana nanti?” ujar nenek itu.
Fakhri senyum. “Allah beri saya akal dan kederat. Selagi saya sabar dan tak putus asa, Allah akan buka jalan kepada saya untuk saya raih bahagian saya nanti, nek. Jangan risau ya?” balas anak muda itu lembut.
“Ya Allah.. Kau murahkanlah rezeki anak ini. Dia dah bantu aku yang hina ni. Senangkanlah hidupnya. Ringankanlah setiap ujiannya.” Wanita tua itu menadah tangan membaca doa di hadapan Fakhri.
“Aminn..” jawab Fakhri sambil tersenyum.
Fakhri terus berdiri di situ sehingga wanita tua itu berlalu. Kemudian dia memandang dompetnya semula. Kosong! Sedang dia belek dompet, datang beberapa gadis ke situ. Mahu menunggu bas.
“Emm.. dik, maaf abang nak tanya.”
“Ia.”
“Kat sini ATM ada kat mana?”
“Tu. Kat Shell depan tu ada,” ujar gadis itu sambil memuncungkan mulutnya ke arah stesen minyak beberapa meter jaraknya dari situ.
“Terima kasih ya?”

Fakhri berjalan kaki ke arah yang ditunjukkan gadis itu. Adakah dia memberikan semua wang miliknya kepada nenek tua itu? Tidaklah sampai begitu. Dalam dompet tiada. Dalam bank, masih ada. Banyak!

3 ulasan: