Isnin, 15 Ogos 2016

BAB 18 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 18
KAMAR itu hening begitu sahaja. Sehinggalah pintu kamar itu tiba-tiba ditolak dari luar. Wajah Ariff yang pertama terjengul di situ.
“Assalamualaikum,” ucap Ariff perlahan.
“Waalaikumussalam..” Fakhri bangun mendapatkan keluarga mentuanya. Pintu kamar itu dibuka lebih luas lagi. Rania turut ada bersama ibu dan ayahnya.
Afyra mengangkat kepala sebaik sahaja terdengar suara orang tuanya.
“Mommy..”
Insyirah segera memeluk anak itu. Pelukannya dibalas begitu kuat oleh Afyra. Dia terdengar esakan kecil. Afyra menangis di dalam pelukan ibunya. Ariff sekadar memandang anak itu dari hujung katil.
“Jangan menangis. Sabar banyak-banyak,” pujuk Insyirah sambil belakang anaknya diusap lembut.
“Mummy tak dapat tidur fikirkan Fira,” luah Insyirah perlahan.
“Semalam mummy datang ke?” Afyra cuba tersenyum sambil meraup wajahnya yang basah. Berlagak setenang-tenang yang boleh.
“Ia. Semalam Fira tak sedar. Fira rasa macam mana sekarang?”
“Dalam ni rasa mencucuk-cucuk lagi,” jawab Afyra sambil memegang perutnya.
“Makan kena jaga. Jangan makan sembarangan. Ni mummy ada bawakan makanan.” Insyirah memandang Rania. Bekal yang dibawa dari rumah sudah diletakkan Rania di atas meja.
“Mummy ada bawakan makanan. Dah sarapan ke kamu berdua ni?”
Afyra mengangguk. “Fira dah breakfast tadi.”
“Lepas ni makan ya? Yang bekas warna hijau tu untuk Fakhri. Fira jangan makan makanan tu,” ucap Insyirah lembut.
Afyra sekadar memandang dua bekas tupperware bertingkat yang terletak di atas meja. Di kala itu pandangan Insyirah terpasak jauh ke raut sang anak. Dia lihat Afyra seperti tidak gembira. Bukan. Semestinya manusia tidak akan gembira dalam keadaan begini. Tetapi dia melihat sesuatu yang lain pada raut itu. Terluka. Merana. Tidak bahagiakah Afyra bersama Fakhri? Hati Insyirah mula meneka sendiri.
Perlahan si ibu menyentuh lengan si anak. Mengharapkan agar ia bersabar dengan setiap kesusahannya. Jangan sampai dia terkeluar dari batasannya. Dia sedar setiap kehidupan pasti akan ada masalah dan ujian tertentu.
"Sabar ya? Jangan banyak fikir. Bukan salah Fira. Ini semua dah ketentuan Allah," ucap Insyirah lembut.
"Tak apa. Fira okay je ni," ucap Afyra perlahan.
Air mata yang mahu berjuraian lagi segera diseka. Tak apa? Okay? Tidak. Semua itu tipu! Sekadar mahu menutupi kesedihan sendiri. Dia tidak mahu ibu dan ayahnya tahu tentang kepincangan yang wujud antara dia dan Fakhri biarpun saat ini dia terlalu ingin dirinya dipulangkan semula kepada ibu dan ayahnya. Dia rindukan kehidupannya yang dulu. Dia tidak ingin meneruskannya lagi.
"Insya-Allah masih ada peluang lain untuk kamu berdua memiliki zuriat. Jangan sedih. Ini ujian Allah. Apa yang penting kamu mesti jaga kesihatan kamu." Ariff pula memujuk lembut.
Fakhri hanya diam memandang isterinya.
"Fira tak apa-apa, daddy. Sedih sikit aja. Fira tak tahu pun yang Fira pregnant. Rasa kesal pun ada juga. Semalam Fira rasa letih sangat. Fira ingat itu sekadar hal biasa-biasa."
“Mula-mula memang Fira akan rasa begini. Itu normal. Yang kami tak mahu, kamu berdua saling menyalahkan atas apa yang berlaku. Tiada guna salah menyalahkan. Sesuatu yang berlaku itu ada sebab, ada hikmahnya. Berlapang dada aja.”
Ariff mengangguk kepada bicara isterinya. Itu juga yang dibimbanginya sementelah dia terlihat, macam ada yang tidak kena kepada anak dan menantunya ini. Saling membisu. Sebentar tadi ketika dia masuk, dia lihat Fakhri berada jauh dari Afyra. Afyra pula tidur membelakangi Fakhri. Seolah-olah tidak mahu berpandangan.
“Semua orang yang berkahwin itu akan merasa tidak serasi dalam sesetengah keadaan. Tetapi bila berada dalam musibah begini, tetaplah bersatu. Jangan berpisah arah. Jangan sesekali merasa putus asa antara satu sama lain. Kamu berdua akan menuju kebinasaan jika perkara itu dibiarkan berlarutan lebih lama. Bersabarlah. Kita tidak selalunya benar dalam perbuatan sepanjang masa. Ada masanya khilaf. Memaafkan itu lebih meringankan perasaan berbanding menyimpan sakit di dalam hati,” nasihat Ariff.
Afyra diam. Matanya mengerling sedikit Fakhri di sana. Lelaki itu hanya mendengar tanpa meluahkan apa-apa bicara.
“Kak Fira jatuh macam mana semalam?” tiba-tiba Rania pula menyampuk.
“Jatuh macam mana? Jatuh dari atas ke bawahlah,” jawab Afyra sambil ketawa kecil.
“Mesti malu, kan? Abang Fakhri nampak tak, akak jatuh semalam?” balas Rania perlahan.
“Tak ada kira malunya. Sakitnya tak tertanggung kalau jatuh masa ada baby dalam perut, nak oi!” jawab Insyirah sambil menampar bahu Rania. Malu pulak yang difikirkannya!
“Kita tak pernah lagi pergi rumah Kak Fira, kan mommy? Nanti kita pergi nak?” ujar Rania sambil menyendengkan tubuhnya kepada ibunya.
Insyirah kembali memandang Afyra. “Nantilah. Tak mahu ramai-ramai. Bising nanti. Kak Fira bukannya sihat sangat.”
Afyra tersenyum. “Boleh aja. Nanti lepas akak dah sihat sikit, Nia ajaklah mommy datang.” Afyra menjawab biasa.
“Ha.. kak Fira kata okay?” Rania membulatkan mata kepada ibunya dengan riak teruja.
“Dengan syarat. Mulut tu jangan celupar!” balas Insyirah sambil menggeleng sendiri.
Ariff memandang sekitar kamar itu. Luas. Selesa. Kemudian dia memandang Afyra.
“Daddy masih ingat, lama dulu. Ketika itu kamu masih sekolah.” Ariff tiba-tiba bersuara. Kemudian dia ketawa sendiri.
“Apa yang lucu tu, daddy?” Rania segera bertanya. Teruja nak tahu.
“Masih ingat ketika abang Rafael kamu dimasukkan ke wad kerana demam panas? Kamu, Farouqe dan Ana datang melawat abang kamu. Kamu bertiga hanya duduk bermain dengan telefon sambil duduk di sofa. Sudahnya telefon itu hilang di luar tingkap buat selama-lamanya,” ucap Ariff.
Insyirah terus ketawa. Wajah Afyra masam manis mengenang waktu itu. Ketika itu usianya baru 14 tahun.
“Malu bila fikir balik pasal tu.” Afyra tersenyum sendiri akhirnya. Ketegasan ayahnya sering sahaja membataskan dia dalam banyak perbuatan.
“Kamu adik beradik sentiasa ada perangai yang aneh-aneh. Kalian suka mengejek antara satu sama lain. Bergaduh. Kemudian berbaik semula. Itu sajalah kegemaran kamu semua selama ini.” Ariff tersenyum sendiri mengenang anak-anaknya.
“Nia tak begitu, kan? Nia tak suka ejek orang.”
“Ialah sangat!” spontan kata-kata itu terkeluar serentak dari Afyra dan Insyirah.
“Betul, Nia. Tapi kamu yang selalu diejek oleh abang-abang kamu,” jawab Ariff membuatkan wajah Rania muram serta merta.
“Jahat tau daddy ni. Nia selalu kena buli. Daddy tak tolong Nia pun. Daddy pun suka ejek Nia,” cebir Rania. Terus kepalanya disandarkan kepada ibunya. Manja.
“Kak Fira pun mesti ada buat perangai pelik-pelik, kan? Betul tak, Abang Fakhri?” Rania segera menoleh kepada Fakhri.
“Kak Fira takut dengan ulat gonggok.” Fakhri tersenyum sendiri melihat kemesraan keluarga itu. Namun kemudian senyumannya memudar. Kagum. Akrab antara semuanya.
“Ha.. itu kita orang dah tahu. Kalau ada ulat tu kat rumah, Kak Fira akan histeria. Lepas tu dia akan panggil semua orang untuk tolong dia.”
“Nia, diam boleh tak. Tadi kata tak suka ejek orang.” Afyra segera mencelah.
“Alah.. Nia nak tahu jugak,” jawab Rania sambil mencebik.
Fakhri ketawa kecil. Tabiat paling aneh isterinya yang dia tidak pernah lupa ialah.. Afyra suka tidur dengan baju di tubuh semata-mata biarpun sebelum itu berbaju tidur lengkap dan cantik. Kalau dia berminat nak berseluar, itu pun hanya seluar dalam!
“Abang Fakhri pun mesti ada perangai yang pelik-pelik, kan?”
“Oh, ada. Tak muat kertas kajang kalau nak tulis dia punya perangai pelik.”
Wajah Fakhri berubah sedikit mendengar jawapan serta merta isterinya. Mulalah dadanya berdebar. Bimbang isterinya membuka pekung di dada mereka.
“Siang malam tak habis-habis dengan nasi goreng. Nasi goreng di restoran dia tak mahu. Dia nak nasi goreng ikut selera dia. Nak tak nak kena masak di rumah. Sebab di kedai tak sama macam yang dia nak. Masak lauk sedap macam mana sekalipun, dia lebih rela makan nasi goreng pagi tadi. Tengah malam pun nak nasi goreng jugak. Pening! Tak habis-habis dengan nasi goreng.”
“Abang Fakhri hantu nasi goreng ke?” Rania ketawa gelihati mendengar itu.
“Kak Fira pandai buat nasi goreng. Sebab tu abang jadi hantu nasi goreng,” jawab Fakhri lembut.
“Ha’ah.. memang berhantu. Kalau dia dah nak nasi goreng, selagi tak buat selagi itulah dia tak mahu tidur.”
“Bolehlah sekapal dengan Farouqe. Farouqe hantu roti canai. Dalam sehari dia mesti pekena roti canai kedai mamak. Kalau tidak, dia tak boleh tidur. Dulu dia suruh mommy belajar tebar roti canai. Khas untuk dia,” ujar Insyirah.
“Memang betul. Ingat lagi dulu waktu kita orang masih sekolah. Habis waktu sekolah aja dia mesti lesap. Rupanya dia pergi merayap sorang-sorang ke kedai mamak. Makan roti canai. Daddy ingat dia merayap di pusat membeli belah. Kronik betul dia punya ketagihan.”
“Eloklah dah ada geng ni. Seorang roti canai. Seorang lagi nasi goreng. Nasi goreng boleh tahan lagi. Senang aja nak buat. Mommy tak dapat bayangkan macam mana rupa Deline canai roti pagi-pagi untuk suami dia,” ujar Insyirah pula.
Berderai gelak mereka mendengar bicara Insyirah. Paling galak ketawa sudah tentulah Ariff. Lucu mengenangkan anak lelakinya yang seorang itu. Aneh-aneh sahaja perangainya.
Fakhri sekadar ketawa kecil. Bahagianya. Sekadar memandang sahaja pun dia sudah merasa bahagia di dalam kasih sayang keluarga ini. Bertuah atau tidak dia ditakdirkan berada di celahan sebuah keluarga yang harmoni setelah sekian lama dia sendiri?
Bertuah. Jika dia melihat semua itu tanpa dendam di hatilah!

USAI waktu ziarah, tinggal mereka berdua saja di wad petang itu. Riuh rendah tadi lenyap. Sunyi sepi berganti. Tidak banyak perbualan antara mereka.
Rimas. Hati tidak tenang sama sekali melihat isterinya tidak bercakap apa-apa kepadanya. Hanya bersandar di katil sambil memandang tv. Fakhri mendekati katil wad itu. Bekas makanan yang masih belum diusik Afyra diambilnya.
“Kau nak makan? Aku suapkan ya?” ucap Fakhri, cuba mengambil semula hati sang isteri.
Afyra menggeleng. Bekas tupperware di tangan Fakhri itu diambilnya bersama sudu. Kemudian dia memandang Fakhri yang berdiri tercegat memandangnya.
“Aku boleh buat sendiri. Kau makanlah,” ucap Afyra perlahan.
Fakhri duduk di birai katil memandang isterinya. Melihat pergerakan isterinya agak lambat, dia segera membantu. Penutup tupperware itu diletakkan di atas meja di tepi katil. Kemudian dia kembali duduk menghadap isterinya.
Baru sahaja mula menyuap, Afyra memandang lelaki itu semula.
“Kau makanlah nasi kau tu. Tak payah perhatikan aku makan. Aku boleh makan sendiri,” ujar Afyra agak tidak senang.
“Aku belum ada keinginan nak makan sekarang. Kau makanlah banyak sikit. Tadi kau makan sikit aja.” Nada Fakhri kian melembut. Kerusi di tepi katil itu ditariknya. Punggung dialihkan ke situ.
Afyra kembali meneruskan suapan. Namun seleranya tetap tidak tertambat. Keinginan untuk makan langsung tiada. Makanan itu ditelan tanpa rasa. Sudahnya bekas tupperware itu ditutup dan diletakkan semula di tepinya.
“Kenapa tak makan?” Fakhri memandang bekas itu seketika.
Afyra menggeleng pantas. Seleranya langsung tidak terbuka. “Aku nak balik. Aku tak mahu duduk sini lagi. Stresslah,” ujar Afyra perlahan.
“Kau belum sihat lagi. Sehari dua aja lagi. Sabarlah,” pujuk Fakhri dalam nada membuai mesra.
“Lepas ni kita pindah rumah baru ya?” ujar Fakhri dalam nada lunak.
Afyra sekadar memandang kosong lelaki itu. Teruja? Entahlah.
Perlahan sebuah helaan nafas dilepaskan Fakhri disaat isterinya tidak memberi sebarang reaksi. “Aku ada rumah lain sebenarnya. Kita mulakan hidup baru ya?” ujar lelaki itu seketika kemudian.
Afyra tersenyum tawar mendengar itu.
“Aku agak rumah itu semestinya sempurna, sesuai dengan status aku sebagai anak tan sri. Rumah banglo agaknya. Tapi aku tertanya, layakkah bekas kekasih abang kau ni diletakkan di dalam kehidupan kau yang sebenar?”
Berubah habis wajah Fakhri mendengar kata-kata isterinya. Sentap. Dia tahu Afyra memerlinya. Serta merta hilang idea dia mahu meneruskan bicara.
Afyra menyelak selimut. Dia mahu bangun.
“Kau nak ke tandas?” tanya Fakhri.
“Jangan susah-susah. Aku tahu jaga diri aku sendiri. Aku bukan anak orang kaya yang manja. Mak dan ayah aku tak pernah manjakan aku sampai aku jadi manusia yang tak tahu merendah diri, tak reti berusaha dengan kederat sendiri,” ucap Afyra tanpa memandang Fakhri.
“Fira, aku tahu kau masih berkecil hati dengan aku. Tapi berilah aku peluang untuk tebus kesalahan aku. Apa yang aku buat sekarang ni memang datang dari hati aku sendiri. Aku nak jadi sebahagian dari hidup kau. Dan begitu juga kau adalah sebahagian dari hidup aku.” Rendah ucapan itu kedengaran dari mulut Fakhri. Terhiris hati apabila diketepikan.
Afyra menoleh semula kepada lelaki itu. “Kau boleh lontarkan kata-kata tu selepas kau puas dengan dendam kau pada Naquib. Aku nak hidup macam orang lain. Aku tak mahu hidup di celahan dendam orang! Atau sebaiknya, kau berterus terang saja supaya aku boleh bersedia dengan apa yang akan datang pada aku.”
Fakhri tidak terjawab. Sudahnya dia sekadar memandang Afyra berjalan perlahan-lahan ke kamar mandi. Dia terduduk semula di kerusi. Tidak tahu apa yang harus dibuat untuk memujuk Afyra.
Agak lama juga isterinya di dalam kamar itu. Sudah Fakhri mendekati kamar mandi. Pintu terus disorongnya sehingga terbuka luas.
“Hei! Apa kau buat??” kelam kabut Afyra menurunkan kainnya. Seluar bahagian dalam tidak sempat dinaikkan semula.
Terkedu Fakhri sesaat dua. Ingatkan Afyra buat apa tadi.
“Err.. aku cuma risau kau lama sangat dalam ni. Ada apa-apa yang perlu aku tolong ke? Kau dah siap.. err.. tak ada apa-apalah.” Mulalah reaksi lelaki itu berubah kemalu-maluan. Terpandang sesuatu yang tidak seharusnya.
“Tolong jangan sibuk nak tengok apa aku buat dalam ni aja dah cukup. Kut ya pun risau, tanyalah dulu dari luar. Ini terus aja buka pintu tu. Kalau aku tengah meneran atas mangkuk jamban tadi macam mana?” Meninggi sedikit suara Afyra marahkan lelaki itu.
“Okay. Err.. kau nak aku tutup balik pintu ni ke?” tanya Fakhri dengan pandangan lugu.
“Tak payah. Luaskan lagi pintu tu tu. Biar satu dunia nampak apa aku buat dalam ni. Apa punya soalan entah,” jawab Afyra sambil menjeling sedikit.
Tersengih-sengih Fakhri sebelum merapatkan semula pintu itu. Spontan dia menepuk dahi.

“Apa kau buat ni, Fakhri??” Satu hari dalam sejarah, dia terlihat wanita sedang mengenakan tuala wanita!

2 ulasan: