Isnin, 15 Ogos 2016

BAB 19 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 19
LEBIH seminggu ditahan di wad, kesihatan Afyra semakin baik. Setelah pihak doktor berpuas hati, dia diberikan kebenaran untuk pulang. Hanya itulah berita gembira yang dinantikan semenjak beberapa hari lalu.
“Tak mahu balik rumah mommy ke?” tanya Insyirah sambil membantu mengemas barang Afyra.
“Tak apalah. Fira tak apa-apa, mommy. Fira boleh jaga diri sendiri. Fira tak mahu susahkan mommy. Fira rasa kuat aja ni,” jawab Afyra bersungguh.
“Betul ke ni?” balas Insyirah lembut.
“Betul. Mommy dah beritahu apa yang perlu dibuat. Insya-Allah, kami tak apa-apa. Kalau ada apa-apa, Fira call mommy nanti,” ujar Afyra dengan sedikit senyuman.
“Doktor bagi cuti rehat, jangan fikir nak masuk kerja awal pulak. Pastikan diri tu sihat betul. Ingat apa yang mommy pesan sebelum ni. Makan jangan sembarangan,” balas Insyirah akur. Lagi pula dia lihat fizikal Afyra tidak lagi lemah. Sudah mampu berjalan sana sini.
Afyra sekadar mengangguk kepada ibunya. Selesai urusan pembayaran, Fakhri membawa beg pakaian isterinya ke bawah. Afyra masih di atas bersama ibunya.
“Ada masa mommy ajaklah Rania datang. Kadang-kadang Fakhri tak ada. Bosan juga duduk rumah seorang,” ucap Afyra sambil memegang tangan ibunya.
“Mommy bukan tak mahu. Tapi Rania tu faham-faham ajalah mulutnya. Cakap main ikut sedap dia aja. Nanti kecil hati Fakhri. Mommy pun tak suka sangat ganggu orang baru kahwin ni,” jawab Insyirah perlahan.
“Tak ada apalah. Dia memang macam tu, kan? Biar ajalah.” Afyra tersenyum sendiri mengenang adik bongsunya itu. Mulut banyak sama macam dia.
Setelah semua barang dibawa turun, barulah Fakhri mengajak isterinya keluar dari kamar itu. Walaupun sekadar baru lepas mengalami keguguran, rupa Afyra dah macam orang dalam pantang dengan baju sejuk dan stoking.
“Hati-hati.” Lelaki itu terus mencapai tangan Afyra saat mahu masuk ke lif. Mereka bertiga turun bersama ke lobi.
“Mommy tak ikut sekali? Saya boleh hantarkan terus ke rumah,” pelawa Fakhri.
“Tak apalah, Fakhri. Saad ada di depan tu,” jawab Insyirah.
Sebelum masuk ke dalam kereta, Afyra sempat mendakap ibunya. “Thank you so much, mommy.”
“Jangan gaduh-gaduh ya? Sabar banyak-banyak. Tengah sakit begini banyak pahala Allah beri kalau kita sabar. Jaga mulut. Jangan cakap bercakap kasar pada suami,” pesan Insyirah. Kedua-dua belah pipi anaknya itu dikucup bergilir. Kemudian berakhir di dahi.
“Kirimkan salam saya pada daddy ya?”
“Ialah. Jaga isteri kamu baik-baik,” pesan Insyirah kepada menantunya itu pula.
“Insya-Allah..” Fakhri tersenyum lembut kepada Insyirah.
Fakhri terus memandu pergi setelah melihat ibu mentuanya masuk ke dalam sebuah kereta tidak jauh dari situ.
Sepanjang perjalanan Afyra hanya memandang ke luar. Namun dia perasan, hala tuju kereta ini tidak lagi ke rumah mereka. Fakhri membelokkan kereta menuju ke lebuh raya persekutuan. Malah semakin jauh pula perginya.
“Kita ke mana?” akhirnya Afyra menoleh.
“Rumah kita,” jawab Fakhri dengan sedikit senyuman.
 Afyra tidak bertanya lagi. Sekadar bersandar di kerusi sambil memandang sekeliling.
“Aku dah bawa barang-barang kau ke sana. Kereta pun aku dah pindahkan ke sana,” ujar Fakhri sambil meletakkan tangannya di atas tangan Afyra.
“Okay..” jawab Afyra perlahan.
Fakhri menoleh semula kepada isterinya. Macam tidak berminat sahaja lagak Afyra.
“Lepas ni mungkin perjalanan untuk kau pergi kerja agak jauh. Aku boleh hantarkan. Aku biasa masuk kerja jam 10.”
“Okay.”
“Kita balik terus ya? Tak ada apa-apa nak bawak balik lagi, kan?” ujar Fakhri lembut.
“Okay.”
Okay lagi! Rungut hati Fakhri. Itu aja dialog Afyra sekarang. Namun dia hanya berdiam menahan sabar. Kalau dia marah pun apa guna jika isterinya dua kali ganda lebih marah kepadanya?
Pemanduan diteruskan sehingga mereka tiba di pesisir daerah Shah Alam. Kereta Fakhri mula memasuki satu kawasan perumahan berkembar dua Semi-D di kawasan Bukit Jelutong.
“Home sweet home,” ucap Fakhri setelah berhenti di hadapan rumah itu.
Afyra menoleh ke arah lelaki itu sekilas. Terus sahaja dia membuka pintu. Macam sudah tidak sabar mahu keluar.
“Slowly,” tegur Fakhri. Cepat sahaja dia keluar dari kereta untuk mendapatkan isterinya.
“I’m fine!” tegas Afyra enggan membiarkan dirinya dilayan macam orang kurang upaya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri. Isterinya tetap dipimpin menuju ke pintu rumah.
“Kau masuk dulu. Aku ambil beg ya?” ucap Fakhri setelah membuka pintu.
Afyra terus masuk tanpa menjawab. Tubuhnya dibawa ke sofa dan dia terus duduk. Baju sejuknya ditanggalkan. Kemudian stoking yang membaluti kaki juga ikut ditanggalkan. Fakhri sempat memandang isterinya saat meletakkan beg di depan pintu. Melihat itu, Afyra bangun semula.
“Tak payah. Biarkan kat situ,” tegah Fakhri.
“It’s okay. Aku boleh angkat yang ringan ni.”
“Ada aku suruh angkat beg tu ke?” ucap Fakhri dengan pandangan tajam kepada si isteri.
“Bila aku kata tak payah. Maknanya tak payah. Biar aku buat,” tegas lelaki itu tidak senang.
“Yes. Of course!” Afyra mencebik sambil menjeling lelaki itu. Terus sahaja dia berpaling semula sofa dan duduk semula. Sudahnya dia sekadar memandang ruang tamu itu. Tv sebesar-besar tv! Sofa jenis kulit yang pastinya belas ribu-riban harganya! Cantik. Mewah. Nampaknya citarasa ‘suamiku bukan penganggur rupanya jutawan’ itu tidak alang-alang juga.
Kemudian dia bangun menuju ke dapur. Mencari apa yang dirasakan amat penting. Okay, peti ais ada. Mesin basuh ada juga. Afyra memandang sekeliling lagi. Dapur itu lengkap. Afyra terus mengitari dapur itu tanpa sedar Fakhri telah datang kepadanya.
“Cari apa?” bisik lelaki itu sambil memaut bahu Afyra. Belakang kepala isterinya dikucup sekilas. Afyra sekadar menoleh sedikit ke tepi.
“Aku rasa aku tahu kau cari apa,” ucap Fakhri lunak.
“Aku cuma nak tahu kau ada beli washing machine ke tidak.”
“Aku dah dapat agak tu.” Perlahan lelaki itu menurunkan tangan ke pinggang Afyra. Tubuh isterinya dipeluk dari belakang. Namun kemudian dia perasan yang Afyra masih kemas bertudung.
“Kenapa masih pakai tudung dalam rumah?”
Peluang yang sedang terbentang segera digunakan Afyra untuk menjauhkan diri. Tanpa kata dia ke hadapan semula. Beg-begnya masih bertaburan di hadapan pintu. Lambat-lambat Fakhri mengekori isterinya sehingga ke ruang tamu semula.
“Kita nak atas ya?” ajak Fakhri. Dua buah beg yang menghalang pintu itu dialihkan ke tepi. Pintu ditutupnya. Setelah pintu tertutup rapat barulah Afyra membuka tudungnya.
“Aku nak duduk kejap,” ucap Afyra sambil memegang perutnya. Waktu begini dia mesti makan sesuatu. Teringat pula kepada makanan yang diberi oleh emaknya tadi. Tidak jadi mahu duduk. Bekas tupperware yang terbiar di tepi longgokan beg itu diambilnya.
“Fira..” panggil Fakhri sewaktu belum jauh wanita itu berlalu.
Afyra sekadar menoleh dengan pandangan biasa.
“Boleh tak kalau kita jangan terus begini?”
“Aku nak makan dulu,” jawab Afyra tanpa memandang Fakhri.
Fakhri segera mendekati sang isteri. Kemudian dia duduk di hadapan isterinya. “Fira.. pandang sini.”
“Apa lagi yang kau nak?” balas Afyra sedikit tidak senang.
“Aku nak isteri aku yang dulu.” Fakhri membalas dengan tatapan tepat ke dalam mata sang isteri. Cuba membaca apa yang tersirat di sebalik kedinginan yang ada antara mereka. Apa sebenarnya yang Afyra mahukan darinya. Dia akan cuba memberikannya.
Afyra berdiam memandang sang suami.
“Aku suami kau. Aku sayangkan kau, Fira.”
“Apa yang ada depan mata kau selama ni tak cukup? Apa lagi yang kau nak aku beri pada kau, Fakhri?” balas Afyra keliru. Tatapan sang suami dibalas dengan kerutan di kening.
Fakhri diam pula. Dagu tirus isterinya diusik dengan dua jarinya. Namun fikirannya ligat bermain. Selama ini dia tidak tersedar akan sesuatu yang penting dalam hidupnya. Diberikan seorang wanita yang sangat mudah dan ringkas di samping cabaran hidup berumah tangga yang terasa susah bagi mereka yang tidak arif seperti mereka. Tetapi sikap suka mengambil mudah menyebabkan mereka jadi begini. Setiap pertanyaan Afyra dijawab mahu tidak mahu. Dalam diam ada ego yang dibelanya.
“Kau tahu.. daddy aku paksa aku kahwin dengan seseorang yang dirasakan bagus. Bukan sempurna. Tapi dia mampu jadi suami. Sayangnya, aku jadi macam ni. Jadi cakaplah.. apa lagi yang aku tak berikan pada kau sampai kau buat aku macam ni. Aku dah pikul semua kesalahan masa lalu aku. Apa lagi yang kurang?” ucap Afyra mula bergetar nadanya. Lekas air matanya bertakung.
“Bukan salah kau. Salah aku.”
“Tapi hukumannya aku yang terima, kan? Sebab Naquib. Aku tak mampu nak padamkan kisah lalu aku dengan dia! Kenapa kau nak simpan lagi bekas kekasih abang kau ni ha? Kau mampu hadap muka aku dengan rasa benci tu?” sanggah Afyra.
Fakhri diam semula. Berkali-kali dia menghela nafas agar dirinya tetap tenang.
“Tiga bulan, Fakhri. Baru dua minggu aku tak pedulikan kau, kau rasa apa? Seronok tak? Malam tu kita bergaduh, esoknya aku bangun pagi aku harap kau akan berubah. Tapi kau makin jauhkan diri. Kau balik lambat, kau tidur di luar. Macam dah jijik sangat dekat aku ni! Aku rasa aku ni memang perempuan tak tahu malulah. Orang dah tak mahu masih mahu berharap!”
“Bukan macam tu. Aku pun runsing. Aku tak tahu apa nak buat untuk pujuk kau. Aku tak pernah berniat nak buat keadaan sampai jadi begini. Percayalah,” ucap Fakhri bersungguh.
“Jadi kau hanya main-mainlah ya? Lepas kau dah puas barulah kau ambil aku jadi isteri kau yang sebenar-benarnya. Tak logik, Fakhri. Kau tak mahu mengaku tapi aku tahu itu memang betul, kan?”
“Fira, boleh tak kalau kau maafkan aku sekali ni. kita lupakan semua yang dulu tu. Aku ikhlas kali ni, Fira. Tolonglah beri aku peluang. Kau nak hidup macam orang lain, aku pun begitu, Fira. Apa terjadi antara aku dan Naquib sekali pun, kau tetap isteri aku,” ujar Fakhri lembut.
“Yang boleh kau layan seperti apa sahaja yang kau nak. Satu KL ni boleh kenal kau siapa. Tapi aku tak kenal kau. Aku orang luar. Setiap hari kau pandang aku sebagai bekas kekasih Naquib, kan? Bukan sebagai isteri kau,” sambung Afyra tanpa bertangguh.
“Itu dulu. Aku sanggup mengaku apa saja kalau itu boleh buatkan kau puas hati. Tapi boleh tak kalau kau maafkan aku lepas ni?”
Fakhri menghela keluhan perlahan sebelum meluahkan bicara. “Aku mengaku aku cemburu selama ni. Aku sakit hati bila lelaki macam dia menjadi keutamaan kau berbanding aku. Kenapa bukan aku? Waktu ayah beritahu yang Naquib tak mahu bernikah, aku setuju dengan permintaan ayah begitu saja. Aku tak fikir kesannya. Aku buat silap. Tapi sekarang aku dah menyesal. Berilah aku peluang untuk perbetulkan kesilapan aku.”
Afyra terus merenung tampang suaminya. Lama. Dia tahu masih ada yang Fakhri rahsiakan darinya. Penjelasan itu telah dipintas menjadi pendek oleh Fakhri.
“Aku betul-betul minta maaf, sayang. Aku tahu kau rasa terhina dengan apa yang aku buat sebelum ni. Sepanjang seminggu ni, baru aku sedar.. aku dah tersilap banyak dalam menilai siapa kau sebenarnya. Kau tak pernah malukan aku depan orang tua kau. Daddy sentiasa pandang aku. Aku tahu dia benar-benar nak tahu apa yang dah terjadi antara kita. Sikit pun kau tak buka mulut cerita masalah kita. Aku tahu kau terlalu berbeza berbanding apa yang aku bayangkan selama ni,” ucap Fakhri bersungguh.
Fakhri diam seketika sambil menjatuhkan pandangan. Dia tahu sukar mahu menepis kisah itu dari hidup mereka. Terlanjur cinta, mata jadi buta. Terlanjur kata hati jadi binasa.
“Aku yang ada depan kau sekarang itulah suami kau yang sebenar, Fira. Aku tak ada apa nak disembunyikan lagi. Ya, semua ni hak aku. Aku usahakan semenjak dulu. Aku bukan tak ada kerja. Cuma aku bekerja ikut masa aku sendiri. Aku uruskan tiga perniagaan yang dikongsi dengan kawan-kawan aku yang aku kenal waktu di Sydney dulu,” ujar Fakhri.
“Sekarang aku menyesal kerana bercinta dengan Naquib dulu. Kalau aku tahu kau lebih hebat dari dia, dah lama aku tinggalkan dia untuk kau. Sekarang ni, aku nak kau ambil pembantu rumah ramai sikit. Sebab aku penat buat kerja rumah waktu kita di rumah buruk tu. Dahlah buruk, sempit pulak tu. Kau tak tahu betapa bencinya aku duduk rumah begitu. Untuk apa ada suami kaya kalau aku juga yang kena basuh kain baju kau.” Afyra menjawab selamba. Bekas makanan di tepi Fakhri diambilnya dan dia terus ke dapur.
Bisa. Namun Fakhri hanya mampu menghela nafas perlahan. Sabar sajalah. Dia tahu dia yang memulakan keadaan ini. Sudahnya dia membawa naik beg isterinya ke atas. Sempat dia memandang kamar tidur mereka. Masih sama seperti ditinggalkan beberapa minggu lalu.
Usai menunaikan solat, Fakhri turun ke bawah semula mencari Afyra.
Konon tidak mahu buat kerja rumah, mahu orang gaji. Dia lihat Afyra sibuk menyelongkar dapur. Entah apa dicarinya. Orang dapur tetaplah orang dapur.
“Cari apa, sayang?” sapa Fakhri lunak.
Afyra menoleh. “Gula ada? Kopi? Teh?” ucapnya. Dari tadi mencari tidak jumpa. Yang ada hanya paket kopi segera 3 dalam 1.
“Tak ada. Aku hanya beli nescafe dalam paket tu aja,” ujar Fakhri sambil mendekati isterinya.
Mendengar itu Afyra terus sahaja mengambil sepaket nescafe itu lalu dibancuh di dalam mug. Kemudian dibiarkan saja mug itu di situ. Sambil berlalu dia menjeling Fakhri.
“Untuk siapa air tu?” tanya Fakhri sebelum isterinya menjauh.
“Untuk suamiku hantu!” jawab Afyra sekadar sambil lalu.
 Terkedu Fakhri serta merta. Dia kata aku hantu?? Namun tidak dipedulikan mug itu. Dia mengekori Afyra ke ruangan makan. Wanita itu sedang mencedok nasi.
“Dah ambil ke airnya? Jomlah makan cepat,” ucap Afyra.
“Janganlah marah lama-lama. Kesian aku ni. Kurang kasih sayang,” ucap Fakhri sambil memeluk wanita itu dari belakang. Erat.
“Biarlah aku nak marah berapa lama pun. Bukan guna hati kau pun. Sibuk aja nak kawal-kawal hati orang,” cebir Afyra selamba.
“Aku tak suka bergaduh dengan kau, Fira. Janganlah macam ni.”
“Aku suka. Kau tu jenis suami, bila aku cakap elok-elok, kau main-mainkan aku. Bila mulut aku ni dah jahat, baru kau nak merayu-rayu. Padan dengan muka kau!” balas Afyra pantas.
“Ialah. Aku tahu aku dah buat silap. Takkan tak ada maaf langsung,” ujar Fakhri mula merendahkan suara. Meminta simpati.
“Tak ada mood nak maafkan kau sekarang. Aku nak makan. Badan aku dah rasa lain macam,” jawab Afyra selamba.
“Okaylah. Jom kita makan,” sambut Fakhri akur. Kerusi terus ditarik lalu punggung dilabuhkan. Matanya terus memerhatikan isterinya menyenduk nasi ke dalam pinggannya.
Sepanjang duduk berdua di meja makan, dua manusia itu lebih banyak berdiam. Suapan Fakhri amat lambat. Sesekali dia memerhatikan sang isteri. Afyra nampak berselera. Mungkin sedang lapar.
Seketika kemudian lelaki itu termenung pula merenung nasi di dalam pinggan. Ralik berfikir sendiri. Sesungguhnya dia sedar. Ada sesuatu tentang mereka yang perlu diubah jika ingin hidup seperti orang lain.
 “Fira..” keheningan ruangan makan itu dicelahi oleh suara Fakhri.
Afyra sekadar memandang lelaki itu sekejap. Nasi yang masih bersisa di dalam pinggan kembali disuap ke mulut.
“Aku perasan sesuatu. Waktu kita di hadapan orang tua kau, kau tak pernah biarkan mommy dan daddy dengar kita membahasakan diri aku kau.”
“So?” jawab Afyra sekadar sepatah.
“Kita tak selamanya dapat berlakon di depan orang lain, kan? Lama kelamaan dia orang akan tahu juga ada yang tak kena dengan kita. Abang tak sanggup berhadapan dengan daddy tentang itu. Abang malu. Orang tua Fira terlalu baik pada abang selama ni.”
Wajah Afyra berubah sedikit saat menoleh kepada Fakhri. Lelaki itu masih merenung tampangnya tanpa jemu.
“Kita kena ubah sebelum ini jadi kebiasaan sehingga sebati dalam diri kita,” ujar Fakhri lembut.
Afyra memandang suaminya sekilas.
“Abang suami. Fira isteri. Kita perlu ada adab sopan dalam membahasakan diri masing-masing,” luah Fakhri lagi.
“Ialah. Abang tahu..” Afyra tersentak tiba-tiba. Tidak semena-mena apa yang hendak diucapkan lenyap dari mindanya. Kosong. Dia melugu memandang ke hadapan dengan kerutan di kening. Apa aku nak cakap tadi ya?
Fakhri tertunduk serta merta menahan rasa nak ketawa melihat gelagat isterinya.
“Gelaklah! Dah lupa apa nak cakap!” Afyra menjeling. Malu sendiri.
“Tak apa. Biar abang yang bercakap kali ni.”
“Ia.” Hanya itu yang mampu dijawab Afyra. Malu pula rasanya nak mengubah kebiasaan itu. Tadi itu agaknya dia tersasul.
“Boleh panggil abang? Jangan bahasakan diri aku lagi,” ucap Fakhri cukup lembut.
“Boleh aja,” jawab Afyra selamba. Janggal dan kekok. Tetapi sesungguhnya benarlah kata Fakhri. Masakan mereka mahu menjadi pasangan yang aneh? Membahasakan suami dengan panggilan engkau sedangkan berbicara dengan suami mestilah berlemah lembut.
Puas berdiam diri, seketika kemudian Afyra memberanikan diri membalas pandangan suaminya.
“Sepatutnya begitu. Tapi entahlah. Rasa janggal sebab dulu kita tak begitu kenal,” ujar wanita itu rendah.
“Tak apa. Yang dulu kita lupakan saja. Kita mulakan cerita yang baru. Abang ada buat salah. Abang harap dimaafkan dan diberikan peluang sekali lagi. Dengan begini, kita akan lebih dekat,” balas Fakhri dengan sedikit senyuman. Lapang hati mendengar nada akur sang isteri.
Afyra tidak menjawab. Baki nasi disuap ke mulutnya sambil memikirkan kata-kata Fakhri. Sejujurnya dia juga seperti wanita lain. Dia ingin merasa dibahagiakan. Juga membahagiakan.
“Abang tak mahu gaduh dengan Fira. Abang manusia biasa. Ada waktunya abang tersilap dan abang harap abang akan dimaafkan. Diberikan peluang sekali lagi. Dan abang takkan ulangi lagi kisah dulu. Abang janji. Cuma beri abang peluang sekali lagi. Itu aja,” ucap Fakhri bersungguh.
“Kalau peluang tu tak diberi, abang ingat kita akan ada di meja makan ni makan bersama?” balas Afyra pantas.
Fakhri terdiam seketika. Perlahan dia tersenyum. Sedar atau tidak memang Afyra sedang memberikan dia peluang.
“Kita takkan lalui keadaan seperti dulu. Abang lalai selama ini. Abang terlupa ada perasaan yang perlu dijaga.”
Afyra hanya diam mendengar kata-kata Fakhri. Sudikah dia memaafkan Fakhri begitu sahaja? Sejauh mana harapan itu mampu disandarkan? Tetapi hakikatnya, jika dibentangkan ruang, bagaimana bahagia itu akan hadir antara mereka?

WALAUPUN masih perlu menjaga kesihatan, tidak betah pula mahu melepak sahaja di atas ranjang. Petang tadi, setelah naik ke kamar barulah dia terlihat hampir kesemua pakaiannya rupanya sudah dipindahkan oleh Fakhri dari rumah sana semenjak sebelum itu. Kata Fakhri, hanya tinggal sedikit barang yang tinggal di rumah sana. Kebanyakannya tidak penting. Lega jugalah hatinya mendengar itu.
Namun setelah dikemaskan pakaiannya ke dalam ruangan pakaian, barulah dia perasan ada terkurang sesuatu. Sesuatu yang sangat penting langsung tidak kelihatan. Kain bajunya ada. Tudung, anak tudung, pin tudung semuanya ada. Tetapi ada dua persalinan yang amat penting tiada.
Afyra mula menggaru kepala. Mencari mana tahu ada beg lain yang tersorok tidak ditemuinya. Tiada pula. Semuanya beg yang ada sudah kosong. Fakhri yang baru masuk ke kamar itu, segera perasan gelagat aneh isterinya.
“Cari apa, sayang?” tanya Fakhri kehairanan.
“Semua baju Fira abang dah ambil ke?”
“Dah. Tak ada apa sangat dah kat rumah sana. Kenapa?” jawab Fakhri yakin dengan apa yang ada dalam ingatannya.
“Yang dalam kabinet bertingkat tu?”
“Kabinet mana pulak?” soal Fakhri sambil menggaru kepala. Berapa banyak kabinet pakaian yang mereka ada di rumah sana?
Afyra segera menghela nafas panjang. Sudah dapat mengagak Fakhri tidak ingat akan kabinet berlaci itu. Letaknya di belakang pintu kamar.
“Yang belakang pintu. Pakaian dalam Fira semua ada dalam tu. Mana ada kat dalam beg ni semua. Sehelai pun tak ada,” ujar Afyra sambil memandang beg pakaian yang terbiar di lantai.
“Ooo..” panjang lopongan Fakhri mendengar itu. Ia tak ia juga. Ada satu lagi kabinet di dalam kamar itu. Letaknya agar tersorok. Dia tidak perasan.
“Apa yang ooo?”
Fakhri ternganga pula. Cuba menutupi khilafnya. “Ooo tu bermaksud abang baru teringat tentang kabinet tu. Kabinet tu abang tak sentuh pun. Abang lupa langsung tentang kabinet tu,” jawab Fakhri perlahan.
“Habis tu macam mana sekarang? Pakaian dalam Fira yang bawak balik dari hospital semuanya baru masuk mesin basuh. Bogel ajalah untuk dua tiga hari?” ujar Afyra sambil mengerling lelaki itu.
“Yang bawah tu rasanya boleh pinjam abang punya. Tapi yang atas tu, nanti kejap. Bagi abang fikir dulu macam mana nak buat. Mesti ada jalan keluarnya.”
Afyra terus berlalu mendapatkan tuala. “Hmm.. Fikirlah sampai jumpa jalan,” desis Afyra selamba. Laju kakinya menuju ke kamar mandi.
Kemas. Lantai di dalam ruangan itu kering seperti kamar mandi hotel. Sambil berdiri di sinki dia membelek segala macam barangan peribadi milik Fakhri di dalam kabinet di sebalik cermin. Kemudian dia memandang sekeliling. Tab mandi sederhana besar. Kawasan pancuran hanya dilindungi oleh kaca jernih yang tembus oleh pandangan dari kedua-dua sisi. Motif?
Selesai menyegarkan wajah, Afyra keluar semula. Sebaik sahaja terlihat kelibat isterinya, Fakhri segera bersuara.
“Esok abang pergi ambil.”
“Nak ikut.”
“Tak payahlah. Nanti mulalah sibuk nak angkut barang sana sini. Mommy cakap apa sebelum ni? Jangan angkat barang berat, kan?” balas Fakhri sambil menggeleng tanda tidak senang dengan kehendak sang isteri.
Afyra diam pula. Benar. Bimbang dia lambat sembuh kalau terlalu aktif.
“Ambil mana yang penting dulu. Nanti kita pergi sana sama-sama. Clearkan mana yang ada,” ujar Afyra akur juga.
Fakhri mengangguk setuju. Esok dia masih tidak bekerja. Jadi eloklah dia ke rumah sana untuk menyudahkan kerja yang masih terbengkalai.
Nak apa-apa sebelum abang turun bawah?”
“Tak ada-apalah.” Afyra menjawab perlahan sambil mencapai baju sejuk miliknya di atas katil. Dia memandang Fakhri seketika sambil baju itu disarungkan ke tubuh. Stoking wajib dipakai! Kemudian Afyra terus membawa dirinya ke atas ranjang.
“Nak tidurlah. Penat. Good night.”
Fakhri sekadar membiarkan isterinya membaringkan tubuh tanpa membalas ucapan itu. Dia keluar dari kamar itu kemudiannya. Segelas air masak diambil di dapur. Kemudian dia naik semula bersama bungkusan ubat milik Afyra.
“Makan ubat dulu sebelum tidur,” ucap Fakhri sambil kampit ubat-ubatan itu dibuka satu persatu.
Terlihat apa yang dibawakan Fakhri, Afyra memaksa diri bangun semula. Lupa langsung tentang itu. Beberapa biji kapsul ditelan sekaligus sambil disulam dengan air.
“Dah?” tanya lelaki itu lembut.
Afyra mengangguk. “Thank’s a lot.”
Fakhri tersenyum memandang isterinya. Gelas itu diletakkan di atas meja di sisi katil. Buat seketika dia duduk menghadap Afyra sesudah wanita itu kembali berbaring. Selimut ditarik lembut menyelimuti separuh tubuh sang isteri.
“Like a baby,” usik Fakhri sambil mencuit dagu sang isteri. Afyra ketawa kecil.
“Ada kerja lagi ke?” tanya Afyra perlahan. Tidak penatkah lelaki ini?
“Ada. Fira tidurlah. Abang ada banyak kerja nak buat,” balas Fakhri sambil mengusap rambut isterinya.
“Cepat sembuh ya? Abang tahu Fira rasa tak selesa begini.”
Afyra hanya diam merenung tampang lelaki itu. Senyuman segera terukir di bibir. Seronok dibelai begitu. Sudahnya dia menarik Fakhri agar berbaring sama dengannya. Fakhri tersenyum senang. Nampak macam sudah terpujuk. Dia berbaring di belakang isterinya sambil mengusap belakang wanita itu berkali-kali. Disertakan dengan sedikit urutan di bahu. Mereka berdua berdiam buat seminit dua.
“I like that,” bisik Afyra separuh terlena.
Fakhri ralik berfikir sambil memerhatikan tindak tanduk isterinya. Tentang sikap dan tindak tanduk sang isteri yang mudah difahaminya.
Afyra tidak memerlukan kata-kata yang hebat untuk terpujuk. Dia akan terpujuk dengan sendirinya. Hanya berikan masa.
Fakhri menjengah, cuba memandang wajah isterinya dari belakang. Lama.
“I love you,” bisiknya perlahan. Kemudian dia tunduk mengucup pipi sang isteri. Afyra sudah tidak sedar. Perlahan dia turun dari katil. Kamar itu ditinggalkan senyap-senyap.
Di bawah Fakhri kembali duduk menghadap kerja. Telefon segera dicapai. Nombor seseorang dipanggil.
“Esok aku cuti lagi. Isteri aku baru keluar hospital,” ucap Fakhri. Buat seketika dia diam mendengar bicara orang di sana.
“Dia okay. Tak apalah. Kau email aja proposal tu. Aku semak. Tentang rancangan kita hari tu, kita bincang semula nanti. Aku bagitahu bila aku free. Tarikh tutup permohonan tender tu hujung bulan ni, kan?” ujar Fakhri kepada orang di sana.
Dia membisu lagi sambil memandang ke hadapan. Sesekali kepala diangguk.
“Okaylah kalau begitu. Kita bincang semula nanti. Bye,” ujar Fakhri lembut.
Panggilan dimatikan. Sebuah helaan nafas dilepaskan. Harap-harap permohonan untuk menjadi pengedar alat-alat tulis di beberapa buah pejabat berjaya. Kesunyian ruangan itu memudahkan dia untuk menghadap kerja yang masih belum sudah. Berpuluh email tidak sempat dibacanya sebelum ini. Kesemuanya perlu perhatian segera.
Setelah berjam-jam menghadap kerja, Fakhri naik semula ke atas. Sudah jam tiga pagi rupanya. Tubuhnya sudah letih benar. Namun sebelum naik ke katil dia terpaku melihat keadaan Afyra. Pakaian di tubuh Afyra sudah bertukar. Baju sejuk sudah terlempar ke lantai.
Dengan gerakan perlahan dia naik ke ranjang. Isterinya itu diselimutkannya. Namun Afyra terjaga. Pantas dia menolak selimut itu.
“Sejuk nanti,” ucap Fakhri lunak.
“Tak mahu. Panas ni.” Afyra merengek perlahan. Dalam badannya terasa bahang biarpun kamar itu dingin sekali dengan penghawa dingin. Apa tidak, dalam makanannya sentiasa ada lada hitam.
Fakhri hanya mampu memandang isterinya menyambung tidur. Afyra panas. Dia pun panas juga melihat isterinya berpakaian begitu terbuka. Dengan sekadar baju nipis bertali halus di bahu. Yang tidak tahannya, isterinya pakai boxer.

Siapa punya boxer? Sendiri mahu ingatlah! 

4 ulasan: