Rabu, 10 Ogos 2016

BAB 4-5 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 4
FIRA..” panggil Ariff sambil mengetuk pintu kamar anak daranya.
“Abang, Fira tak boleh bercakap lama. Daddy panggil,” ucap Afira kepada si pemanggil. Terus sahaja talian dimatikan.
Naquib di sana mendengus sakit hati apabila talian terputus begitu sahaja.
Afyra terus bangun mendapatkan ayahnya di pintu.
“Pakai tudung. Turun makan malam,” ujar Ariff sambil berpaling.
“Okay.”
Selesai mengenakan tudung, Afyra turun. Kesemua kakak dan abang iparnya sedang mengelilingi meja makan. Semua adik beradiknya sudah ada. Anak-anak buahnya sedang membuat bising di ruang tamu. Riuh sekampung oleh suara mereka.
“Fira dah pergi kursus kahwin ke?” tanya Nur Ain kepada adik iparnya.
“Dah.”
“Farouqe?”
“Farouqe lagi awal dah pergi. Dah bersiap sedia nak jadi suamilah katakan.” Insyirah tolong jawab bagi pihak anaknya.
Nur Ain ketawa kecil. Hanya tinggal tiga minggu sebelum dua kembar itu menamatkan zaman bujang mereka.
“Lepas kahwin nanti pindah duduk kat mana, Fira? Naquib tu sekarang menetap dengan famili, kan?” tanya Jannah pula.
“Duduk dengan famili dia,” jawab Afyra perlahan.
“Kenapa tak pindah?” tanya Jannah lagi.
Afyra sekadar menjungkit bahu. Tidak tahu mengapa Naquib enggan berpindah keluar dari rumah emak dan ayahnya. Agaknya emak dan ayahnya tidak izinkan.
“Sebaiknya duduk berasingan dari keluarga. Ada buruk, ada baiknya.”
“Fira ikut aja apa dia tentukan, Kak Iman. Malas nak gaduh selalu. Dia tak suka orang bangkang cakap dia,” ucap Afyra sambil memandang emaknya yang sedang merenung kepadanya.
Ariff hanya mendengar perbualan itu. Banyak persoalan yang bermain di fikirannya dan dia tahu Afyra tiada jawapan itu. Serba salah. Bimbang penilaian awalnya tersilap.
“Naquib anak tunggal. Mungkin sebab itu dia tak mahu duduk berasingan dari keluarga dia,” ujar Insyirah.
“Deline pun anak tunggal juga. Farouqe tak mahu duduk dengan mentua atau keluarga sendiri. Farouqe nak merasa hidup sendiri. Lagipun ayah Deline tak suka pun kami menyempit sekali dalam rumah dia. Hal pertama yang dia tanya pada Farouqe hari tu, bila nak cari rumah,” sampuk si Farouqe. Bunyinya macam dia juga tidak setuju kakaknya berkongsi rumah yang sama dengan mentua.
“Seharusnya begitulah. Tapi mungkin sebab dia anak tunggal, ibu dan ayah dia perlukan dia dekat dengan dia selalu.” Insyirah berkata lembut. Agak tidak gemar mendengar anak perempuannya akan duduk dengan mentua selepas nikah nanti. Kerana dia tahu kesannya. Tetapi jika Naquib pandai mengemudikan rumahtangganya, tiada masalah juga untuk tinggal bersama orang tua.
“Dia bukan anak tunggal. Dia ada adik. Sorry. Fira baru teringat,” ujar Afyra mencelah perbincangan itu. Teringat semula apa yang berlaku beberapa minggu lalu.
Spontan Ariff memandang anaknya itu. “Naquib ada adik?”
Afyra mengangguk. “Kami ada terserempak sebelum ni. Naquib kata itu adik dia. Fira tak faham kenapa dia sembunyikan hal seperti itu. Atau mungkin dia rasa tak penting sebab lelaki tu bukan adik kandung dia. Entahlah. Fira pun dah peninglah. Dia tak mahu berterus terang. Selama ni dia selalu kata dia anak tunggal.”
“Auchh..” spontan Jannah memandang Imanina. Aneh keadaan itu. Kenapa mesti berahsia?
Ariff hanya diam memandang Afyra. Tertanya juga tentang itu. Apa hal sebenarnya.
“Pendapat daddy macam mana?” tanya Imanina kepada ayahnya. Gerak geri ayahnya jelas menunjukkan lelaki itu sedang berfikir tentang sesuatu.
Ariff mula memandang anak-anaknya. Pandangannya singgah lama di wajah isterinya pula. Tenang. Namun dia tahu isterinya juga sudah mula ragu seperti mana dia sekarang.
“Jika dia pandai mengendalikan rumahtangganya tidak menjadi masalah duduk dengan mentua atau ibu bapa sendiri. Yang sering menjadi masalah apabila orang luar masuk campur dalam urusan suami isteri. Sebuah kapal hanya seorang nakhoda. Jika dua nakhoda, akan jadi masalah. Orang tua menjadi tempat kita bertanya dan meminta pendapat. Ibu bapa bukan penentu hala tuju perkahwinan anak-anak. Jika dia punya alasan yang kukuh untuk berbuat begitu, maka kita kena hormati keputusannya.”
“Agak meragukan memandangkan dia pernah berkahwin dulu. Tiada siapa tahu kisah sebenarnya dia bercerai dan dia suka berahsia tentang hal diri dia sendiri,” balas Rafael yang hanya mendengar sahaja dari tadi.
“Dia terceraikan bekas isteri dia sebab isteri dia tak mahu dengar cakap dia. Selalu keluar rumah tanpa izin, balik kerja lambat. Dan isteri dia pernah memberontak sebab tak tahan dengan mak mentua,” ujar Afyra perlahan.
Spontan suasana di meja makan itu hening. Semua mata memandang Afyra.
“Jadi mak dia suka masuk campur urusan dia orang suami isteri?” tanya Rafael.
“Fira agak, ia. Dia tak cerita secara jelas.”
“Fira masih nak teruskan ke? Masih belum terlambat untuk fikirkan semula keputusan Fira ni,” ujar Rafael lembut.
“Kenapa abang cakap macam tu? Macam tak suka Naquib sebab dia duda. Semua orang ada masalah, kan? Ada kekurangan di mana-mana?” Afyra segera menjawab.
Rafael terdiam. Tidak jadi mahu meluahkan bicara. Bimbang Afyra kecil hati.
Afyra menghela nafas panjang. Tidak jadi mahu meneruskan makan. Dia terus bangun dari situ.
“Sorry. Fira nak naik atas. Fira dah tak boleh fikir sekarang.” Sesak kepalanya apabila semua orang seolah-olah sedang mencari kekurangan Naquib. Membuatkan dia makin keliru.
“Fira..” panggil Insyirah.
“Sorry, mummy. Fira dah kenyang.” Afyra menjawab hambar. Usai membasuh tangan dia terus naik.
Rafael menghela nafas perlahan. Sedar dia sudah mengecilkan hati adiknya. Kemudian dia memandang ayahnya.
“Abang minta maaf, daddy. Abang tak berniat nak keruhkan keadaan. Tapi perasaan abang rasa macam ada yang tak kena dengan Naquib,” ujar Rafael kepada ayahnya.
“Maksud kamu?”
“Tentang tinggal di rumah mentua tu. Untuk lelaki seusia dia masih menetap di rumah ibu dah ayah? Itu agak pelik. Sebab tu abang nak tahu punca dia bercerai dulu. Bukan kita nak menyibuk. Tapi supaya kita boleh membuat keputusan dengan betul,” ujar Rafael lagi.
“Tiada apa yang pelik. Mungkin dia merasa lebih senang begitu kerana dia menjaga ibu dan ayahnya. Afyra sudah beberapa kali berjumpa dengan keluarga Naquib. Kalau dia merasa tidak selesa, pasti dia sudah beritahu semenjak awal. Dan benar juga apa yang dikatakan Fira tadi. Semua orang ada kekurangan. Kita jangan terlalu banyak fikir. Bimbang kita tersalah anggapan.” Ariff membalas lembut. Tidak mahu hanyut dengan prasangka sendiri.
“Abang tak berniat nak buruk sangka. Tapi sikap dia kadang-kadang memang agak aneh. Susah nak jelaskan macam mana. Nanti ada yang kecil hati,” ujar Rafael lagi.
“Jangan ambil hati dengan Fira tu. Dalam keadaan begini dah tentu ada tekanan dalam diri dia. Semakin banyak kita masuk campur dalam urusan dia, semakin dia keliru. Beri dia peluang untuk putuskan apa yang mahukan untuk diri dia sendiri,” balas Ariff lembut.
Ariff terus menjadi pemikir biarpun malam sudah larut. Matanya terkebil-kebil sendiri tidak dapat lena. Bukan sedikit keraguan di hati kecilnya selama ini. Naquib yang dikenalinya selama ini, sikapnya ada sedikit berbeza berbanding apa yang disangkanya. Dia sendiri pun dapat melihatnya.
Di pertengahan malam itu si ayah mengerjakan solat sendirian. Meminta bantuan Allah untuk memandu akal ke arah yang betul dalam membuat keputusan. Moga dijauhkan keraguan di hati akibat permainan syaitan.
Namun setelah terjaga dari lena, perasaannya menjadi amat ringan. Segala keraguan semalam bagaikan lenyap semuanya.
Ariff menghela nafas perlahan sambil beristighfar. Mungkin semua itu sekadar mainan perasaannya sahaja. Naquib itu normal! Tiada apa yang tidak kena dengannya. Dan dia memutuskan majlis perkahwinan Afyra akan diteruskan seperti biasa.

“SEORANG aja?”
Afyra pantas mengangkat pandangan mencari si empunya suara. Kaku seketika melihat lelaki asing itu muncul semula dekat dengannya.
“Do I know you?” kening Afyra berkerut merenung tampang lelaki itu. Ingatannya bersimpang siur, mencari di mana dia pernah bertemu lelaki ini. Entah kenapa dia merasa mereka memang pernah bertemu dulu.
“Naquib tak ada ke?”
Afyra menghela nafas perlahan apabila pertanyaannya terbiar tanpa jawapan.
“Tanyalah dia sendiri,” jawab Afyra sebal. Perangai lebih kurang sama macam Naquib. Mengelak dari sesuatu yang penting.
Fakhri mengangguk sedikit. Dingin.
“Pak cik apa khabar?”
“Pak cik?” Afyra kembali memandang lelaki itu.
“Your father..”
Pandangan Afyra melekap erat di wajah lelaki itu. Macam mana lelaki ini kenal ayahnya?
“Kita pernah jumpa sebelum ni, kan? Di mana?”
Fakhri ketawa kecil sambil menggeleng. “Kirim salam pada pak cik,” ujarnya sambil menjauhi meja itu.
“Hei! Ish! Pak cik tu dah kenapa suka lari sana sini? Aku dahlah benci teka teki teka tekuk ni semua! What is your name??” suara Afyra meninggi sedikit cuba menarik perhatian lelaki itu. Namun tidak dilayan. Lelaki itu terus berjalan meninggalkannya.
Kembali bersendirian di situ, Afyra termenung bersungguh. Otaknya ligat mencari jawapan kepada soalan yang satu itu.
“Apasal dia tu nampak familiar ya? Ke aku pernah mimpikan dia?” Afyra mula bercakap seorang. Biol rasa otaknya mencari jawapan itu.
Puas termenung, dia memandang jam di pergelangan tangannya. “Manalah dia orang ni pergi? Berjanggut aku menunggu,” keluhnya perlahan. Teman yang berjanji mahu berjumpa, entah di mana. Malas dia mahu menelefon lagi.
“Babe..” hampir lima belas minit menunggu barulah dia terdengar sapaan itu. Seorang wanita terus mengambil tempat di hadapannya.
“Sorry lambat.”
“Hmm.. jalan jem. Kucing sakit. Bla-bla. Atau lebih tepat lagi, kau bangun lambat, kan?” perli Afyra.
Rafidah ketawa kecil. “Tak adalah. Memang jalan sesak pun. Bakal pengantin janganlah cepat merajuk. Tak manis nanti,” ucapnya sambil tersenyum merenung wajah bakal pengantin itu.
“Order cepat. Lapar ni tau,” bebel Afyra sambil memuncungkan mulutnya.
Usai membuat pesanan, Afyra menyelok beg tangannya. Kad jemputan perkahwinannya diberikan kepada Rafidah.
“Datang tau, Fid.”
“Insya-Allah..” Rafidah membuka sampul lalu kad itu dibeleknya.
“Buat kenduri di rumah?”
Afyra mengangguk. “Buat serentak dengan twin aku.”
“Oh.. twin kau yang kerek tu ya?” Rafidah ketawa kecil. Selalu dengar Afyra mengutuk adiknya.
“Mamat tu bakal isteri dia ustazah. Bangga habislah.”
“Ia? Alhamdulillah.. rezeki dia. Kau tak dapat ustaz pun tak apalah. Janji Naquib betul-betul sayangkan kau,” balas Rafidah lembut. Pernah sekali dua melihat lelaki bernama Naquib itu ketika mereka berada di London dahulu.
Afyra mencebik sedikit entah kenapa. Makin dekat dengan hari pernikahan, makin aneh rasa di hatinya. Entah kenapa dia merasakan dia sedang tersilap. Tetapi tidak berani mahu mengakuinya.
“Kenapa, babe?”
“Ha?” Afyra pantas memandang temannya.
“Kenapa? Muka kau semacam aja waktu aku sebut tentang tunang kau.”
“Entahlah. Aku rasa macam tak mahu kahwin.”
“Kau biar betul-betul sikit. Lagi tiga minggu aja ni. Tiba-tiba rasa macam tu pulak.”
“Naquib selalu mengelak dari aku. Aku pun tak tahu kenapa dia macam dah berubah. Atau ini cuma perasaan aku aja? Aku call dia selalu tak jawab. Bila aku ajak berbincang pasal majlis ni, dia macam nak tak nak aja menjawab. Bila dia dah macam tu, mulalah aku asyik nak marah aja. Semalam kami gaduh. Hari ni dia langsung tak call, tak mesej.”
Rafidah diam merenung tampang Afyra. Manalah dia tahu semua itu. Mungkin tunang Afyra itu ada masalah.
“Kau dah tanya ke apa masalah dia?”
“Penat bertanya, Fid. Dia selalu bagi alasan hal tu semua mak dia yang uruskan. Dia tak tahu sangat. Malas nak fikir.”
“Orang lelaki memang macam tu agaknya. Dia orang mana suka sangat ambil tahu hal-hal macam ni. Janji dia dah selesaikan hal yang penting-penting. Lagipun dia dah pernah kahwin sebelum ni, kan? Dah tentulah excited tu tak ketara sangat.”
“Aku ni.. excited tu aku tak rasa pun. Aku sebenarnya takut. Dia macam ada sembunyikan sesuatu dari aku.”
“Fira, lagi tiga minggu aja. Jangan banyak fikir. Aku faham apa yang kau maksudkan. Lepas kahwin dunia kau akan berubah. Dah tentulah macam-macam yang kau rasa. Entah-entah dia tak apa-apa pun,” jawab Rafidah bersungguh.
Afyra menghela nafas perlahan. Ia. Mungkin ini mainan perasaannya sahaja.
“Lupakanlah. Aku takut aku yang salah sangka,” ucap Afyra lembut.
“Hmm.. macam tulah. Semangat sikit. Orang nak kahwin ni kena happy. Fikir yang baik-baik aja.”
Kata-kata temannya itu menerbitkan senyuman di bibir Afyra. Beberapa bulan tidak bertemu, masa dihabiskan sehingga ke petang bersama Rafidah. Bersama teman baiknya itu, hilang segala kekusutan di kepala. Zaman gadis dihabiskan semahu-mahunya. Selagi peluang masih ada.




BAB 5
“FAKHRI!”
Tepukan agak kuat di belakang bahu membuatkan Fakhri tersentak. Pantas dia menoleh ke belakang.
“Kak Ika?” Fakhri segera tersenyum.
“Lamanya tak jumpa kau. Apa khabar? Kau duduk mana sekarang?”
“Saya baik aja. Duduk kat kat Kerinchi,” jawab Fakhri sambil menyengih. Dia memandang penjual di sebaik kaunter semula. Makanannya masih belum siap.
“Akak nak makan? Sekalilah dengan saya. Saya belanja,” ajak Fakhri.
“Boleh jugak. Rezeki jangan ditolak.” Atikah ketawa kecil sambil memandang menu di atas kaunter itu. Melihat ada nasi ayam, dia terus membuat pesanan.
“Akak buat apa kat sini?”
“Akak ada kerja kat Jusco sana. Ada audit hari ni,” ujar wanita itu lembut.
“Akak masih kerja dengan kompeni lama?”
“Mana lagi akak nak pergi. Kau sekarang kerja kat mana?” balas Atikah pula. Mahu tahu benar tentang Fakhri. Anak muda ini selalu menghilang. Tiada khabar berita. Kali terakhir dia bertemu Fakhri ketika dia masih menetap di rumah keluarga Naquib lebih lima tahun dulu. Anak muda ini dihalau oleh emak mentuanya entah atas sebab apa. Kasihan benar dia melihatnya.
“Saya kerja office boy.”
“Kat mana?”
“Syarikat penerbitan kecil aja. Kadang-kadang saya buat part time sebagai despatch kat syarikat lain. Syarikat percetakan. Ofisnya ada kat dalam mall ni,” ujar Fakhri.
“Oh. Kau larat buat dua kerja, baguslah,” komen Atikah senang hati mendengar itu.
“Tak rajin, tak hiduplah kat sini, kak”
“Betul. Cukup-cukup makan ajalah. Mana kau pergi lama sangat tak balik rumah ayah?”
Fakhri tidak terus menjawab. Dia tunduk menyuap makanan. Pulang tetapi dia dihalau oleh emak tirinya. Ayahnya pun langsung tidak kisah.
“Ayah masih marahkan kau pasal kes bakar kebun orang tu?” tanya Atikah lagi.
Fakhri mengangguk sahaja. Teringat ketika itu. Bukan sekadar tidak mahu membantu membelanya, malah ayahnya tidak mahu ambil tahu tentangnya lagi. Membuang dia terus dari salah silah keluarga. Dia dianggap anak yang tidak membawa keberuntungan.
“Sabar ajalah, Fakhri. Takkan senang hidup orang yang fitnah kau. Ayah tu pun susah juga. Kadang-kadang dia nak bercakap dengan kau tapi takut mak mengamuk. Kau tahu ajalah perangai mak Naquib tu macam mana,” ujar Atikah. Emak mentuanya itu cukup bencikan bekas madu dan Fakhri. Walaupun bekas madunya sudah lama tiada, sentiasa dicaci cercanya wanita itu. Dianggap perampas. Fakhri enggan diakui sebagai anak Herman.
“Abang Naquib dah nak kahwin minggu depan. Akak dah tahu?”
“Tahu. Dia ada bagitahu. Eloklah tu, Fakhri. Semoga bakal isteri dia tu dapat ikut kepala dia sepenuhnya. Akak dah tak sanggup,” ujar Atikah selamba.
“Oh. Akak tak marah ke?” tanya Fakhri sambil menatap wajah Atikah.
“Marah? Syukur lagi ada. Dia tu depan mak dia pijak semut tak mati. Belakang mak dia, dia mesej yang bukan-bukan pada akak. Akak malas nak layan. Mak dia kata akak yang masih tergila-gilakan anak dia. Sorrylah. Dah ludah jilat balik, itu memang bukan prinsip akak. Dia yang ceraikan akak dulu.”
“Mesej bukan-bukan macam mana?” bola mata Fakhri terpaku seketika di wajah Atikah.
Atikah diam pula. Tunduk. Malu mahu membuka cerita. Wanita yang bakal berjodohan dengan Naquib itu mungkin tidak kenal siapa bekas suaminya yang nampak segak dan budiman di luaran. Di sebalik itu, dia kenal siapa Naquib sebenarnya.
“Abang Naquib masih sayangkan akak ke?” tanya Fakhri lagi. Sibuk nak tahu juga.
“Entah. Akak pun keliru. Akak tak faham dia nak apa sebenarnya. Sebelum ni dia mengaku tersilap ceraikan akak. Bila akak ajak rujuk semula, dia tak mahu sebab mak dia tak izinkan. Mak dia dah tak boleh terima akak. Ayah pun lebih banyak diam aja. Akak ni bukan menantu yang baik. So, kita move on ajalah. Dah tiga tahun. Akak dah terbiasa tanpa dia. Tapi kadang-kadang dia yang mesej nak datang rumahlah. Ajak jumpalah. Tapi nak rahsia-rahsia. Apa sebenarnya yang dia nak pun akak tak tahu.”
Fakhri ternganga. Ya. Apa yang abangnya mahukan ya?
Dalam fikiran Atikah tiada lain yang dapat ditekanya. Lelaki seorang itu sebenarnya mahu mengambil kesempatan ke atas status mereka sebagai bekas suami isteri. Maklumlah.. dia, kan janda? Dudanya itu pula sedang kehausan setelah lama tidak berbini! Tak kuasa dia mahu melayan.
“Akak senang dengar dia dah nak kahwin. Kalau boleh akak nak dia berhenti hubungi akak lagi. Akak tahu mak dia tak suka,” luah Atikah perlahan.
“Akak kahwin dengan saya ajalah kalau begitu.”
Tersentak Atikah mendengar itu. “Kau biar betul, Fakhri. Sisa abang kau sendiri, kau nak ke?” ucap Atikah geram mendengar loyar buruk anak muda itu.
Fakhri tersengih tanpa menjawab.
“Kau pun satu juga. Nama aja kerja despatch. Baju branded. Tak alang-alang punya brand. Orang biasa-biasa kat KL ni tak mampu nak pakai.”
Spontan Fakhri memandang baju tee berkolar di tubuhnya. “Ini saya beli di bundle, kak. Betul!” jawab Fakhri bersungguh.
“Ialah tu. Macam baru aja?” ejek Atikah tidak percaya. Lain benar rupa Fakhri berbanding yang pernah ditemuinya dahulu. Terpandang pula jam tangan di pergelangan tangan Fakhri. Rolex! Atikah tersenyum sendiri sambil menggeleng. Masakan itu pun dibeli di bundle juga?
Mereka terus berbual di situ. Atikah pula tidak bercadang mahu terus pulang. Namun kemudian kedatangan seseorang ke meja itu merubah keadaan. Fakhri agak kalut entah kenapa.
“Kenapa tak call aja?” ucapnya sambil memandang lelaki yang berdiri di tepi meja itu.
“Dah call. Tak jawab. Jita kata kau kat sini. Ni aku nak bagi kontrak penerbitan. Kau semaklah termnya. Kalau tak ada apa yang perlu diubah, aku akan hantar terus nanti,” ucap lelaki itu.
Atikah sekadar memandang sketsa di hadapan matanya tanpa menyampuk.
“Ialah. Tinggal kat sini,” ujar Fakhri sambil meletakkan tangan di atas dokumen yang ditepinya itu. Dan lelaki itu terus berlalu.
“Office boy ya?” perli Atikah sambil mengambil beg tangannya.
“Akak dah nak balik?”
“Dah petang ni. Takut jalan sesak. Terima kasih banyak, Fakhri. Sudi belanja akak makan,” ucap Atikah lembut.
“Alah, saya belanja akak di medan selera aja pun. Bukannya di restoran mewah.”
“Tak apa. Janji ada ingatan kau pada akak ni. Akak pergi dulu,” ujar Atikah sambil tersenyum.
“Bawa kereta elok-elok,” ucap Fakhri sambil mengangguk.

MAK, saya ingat saya nak cari rumah. Lepas kahwin nanti saya nak duduk di luar,” ujar Naquib lembut kepada ibunya.
“Apa??” terbeliak mata Sarimah mendengar itu.
“Tak. Mak tak setuju. Ni siapa yang punya idea? Kau ke Afyra?”
Naquib menghela nafas perlahan. “Fira tak mahu duduk sekali dengan mak dan ayah. Nak belajar bina hidup sendiri.”
Berasap telinga Sarimah mendengar bakal menantunya itu pandai-pandai membuat keputusan begitu.
“Berapa kali mak cakap dengan kau? Jangan beri muka pada tunang kau tu. Tengok! Mak dah agak dia ni memang bukan jenis perempuan yang baik. Dia sengaja hasut kau supaya membelakangkan mak dan ayah.”
“Mak.. bukan macam tu. Mungkin dia tak selesa. Dia tak biasa,” ujar Naquib lembut.
“Bila dah jadi isteri, dia kena terima walaupun tak biasa, walaupun tak suka! Kau tu suami. Kau ada kuasa. Jangan tunduk pada cakap tunang kau. Baru macam ni kau dah jadi bingung. Kalau lepas kahwin nanti macam mana? Jangan nanti maruah kau dipijak-pijaknya. Tak ingat apa yang Atikah buat pada kau dulu?”
Naquib terdiam. Sedikit sebanyak tertelan juga kebenaran kata-kata ibunya. Namun kemudian dia menghela nafas perlahan.
“Keluarga dia jenis kontrol semua hal. Jangan nanti kau pun dikawalnya. Kau ada pendirian kau sendiri. Tapi dia orang tak mahu dengar. Dia orang aja yang betul! Aku tak tahulah apa akan jadi pada kau lepas kau kahwin dengan Afyra nanti. Entah-entah kau tak boleh buat apa-apa keputusan. Semua kena dengar cakap bapak dia,” bebel Sarimah lantang.
Spontan Naquib memicit kepala. Dia sedar keadaan itu. Afyra lebih berani bersuara berbanding Atikah. Lebih tegas sehinggakan kadang kala dia kalah. Banyak kata-katanya ditolak mentah-mentah oleh Afyra.
“Orang lelaki kena ada ego. Jangan biar perempuan pijak kepala. Kau tengok bapak kau tu aja dah cukup. Kena bodoh dek bekas janda dia. Apa jadi pada dia sekarang?”
Naquib diam lagi.
“Perempuan kalau suka melawan ni, bukan boleh dibagi muka, Naquib. Fikir baik-baik. Jangan esok dah kahwin menyesal. Bercerai berai aja kerjanya. Mak memang tak berapa berkenan Afyra tu semenjak mak dengar kau cerita yang bapak dia tak bagi tangguh hari nikah. Kau yang nak nikah, suka hati kaulah nak nikah bila! Situ aja dah terbukti dia orang tu memang suka kawal kehidupan kau. Jangan ingat dia orang tu kaya, boleh buat apa suka.”
Naquib menghela nafas panjang. Pening kepalanya. Tanpa sepatah kata dia bangun dari situ. Sarimah sekadar memandang anaknya itu berlalu.
Di dalam kamarnya, Naquib memeriksa telefonnya. Ada dua panggilan tidak dijawab dari Afyra. Dan ada satu mesej juga dari Afyra.
'Abang ni nak kahwin ke tak mahu? Kalau tak mahu berterus-teranglah.'
Naquib menghela nafas perlahan. Entah kenapa perasaannya jadi hambar pula kepada wanita itu. Malas nak dengar suara Afyra.
Naquib berbaring di ranjang tanpa membalas semula panggilan itu. Otaknya ligat memikirkan kata-kata emaknya. Benar belaka. Pantang nenek moyangnya dia diperbodohkan. Dia tidak suka perempuan yang suka bertelagah dengannya. Sehari dua ini makin kerap pula Afyra membangkang kata-katanya. Terbayangkan bakal bapa mentuanya, rasa tidak sukanya semakin meluap-luap.

Patut ke aku putuskan aja pertunangan tu? Bisik hati Naquib sendiri.

1 ulasan: