Ahad, 14 Ogos 2016

BAB 12 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 12
BERKAHWIN dengan orang yang tidak begitu dikenali, sememangnya tidaklah mudah. Masih dalam proses suai kenal. Manakan tidak. Berkawan tidak pernah, bercinta apatah lagi. Sebahagian besar sikap sebenar masing-masing tidak diketahui. Sedikit demi sedikit mereka mulai hadam dengan kehidupan baru berdua.
Namun ada sesuatu yang tidak pernah lepas dari fikirannya semenjak dua minggu lalu. Tentang pekerjaan Fakhri. Apa sebenarnya yang dibuat lelaki itu untuk menyara hidup?
Hari ini selesai bersiap untuk ke pejabat, Afyra mencari Fakhri. Lelaki itu sudah kenyang bersarapan pagi. Seperti mana semalam-semalam, kerjanya hanya melepak depan tv di awal pagi begini.
“Bila kau mula kerja, pak cik? Lamanya kau cuti?” tanya Afyra. Semakin aneh melihat suaminya bersenang lenang di rumah. Nak kata bercuti lama untuk bawa dia berbulan madu. Tiada pula mereka ada ke mana-mana. Di rumah sepanjang masa. Atau sebenarnya suaminya tidak punya pekerjaan?
Fakhri seperti tidak mendengar pertanyaan isterinya. Matanya terkebil-kebil memandang tv.
“Lauk ada dalam peti ais. Nanti panaskan ya? Nasi aku dah masak tadi. Aku dah nak pergi ni,” ujar Afyra biasa. Malas mahu bersoal jawab biarpun sedikit kecewa melihat reaksi lelaki itu. Banyak hal yang memelikkan tentang Fakhri.
Fakhri terus ralik menonton tv saat Afyra menyarung kasut di muka pintu. Perasan lelaki langsung tidak bersuara, Afyra menoleh semula.
“Kau dah pekak atau kau dah bisu sebenarnya?”
“Ha?” kali itu barulah Fakhri memandang Afyra dengan mulut ternganga, riak tercengang.
“Kadang-kadang bercakap dengan kau ni, menyakitkan hatilah. Eh! Bukan kadang-kadang. Memang sentiasa menyakitkan hati!” gerutu Afyra lantas berlalu dari situ.
Di bawah Afyra pegun seketika di dalam kereta. Memikirkan perihal lelaki itu tidak sudah-sudah. Banyak persoalan bermain di mindanya. Tiada jawapan.
Afyra menghela nafas perlahan. Sudah jam tujuh setengah. Malas mahu memikirkan tentang Fakhri, dia terus menggerakkan kereta pergi.
Setiba di kamar kerjanya, dia menerima surat rasmi daripada ketua eksekutif. Rasa mahu melompat riang apabila terbaca arahan dari majikan agar dia memulakan kerja sebagai pengurus jualan di salah satu cawangan Royal Buhler pada tarikh yang ditetapkan. Berkerja di Royal Buhler, dia lebih terdedah kepada dunia luar berbanding terperap di dalam bilik kerjanya sekarang.
Tengah hari itu, Ariff mengajak anak perempuannya makan bersama. Anak-anak yang lain tidak ikut bersama. Jannah bersama Rayland makan di luar. Rafael semenjak pagi tadi tiada di pejabat.
“Daddy rasa kamu telah berjaya mendapat sesuatu yang kamu impikan dari dulu,” ucap Ariff dengan pandangan lembut kepada si anak.
“Yes. I’m glad. Thank you so much, daddy.”
“To let you know, itu bukan keputusan daddy sepenuhnya.”
“I know. Tapi daddy pun ada melobi untuk Fira, kan?” balas Afyra sambil tersenyum.
Ariff ketawa kecil sambil mengangguk. “Kita akan mengharungi satu perubahan yang besar tidak lama lagi. Abang Rafael bakal dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Royal Buhler. Rayland dilantik sebagai pengurus besar hotel kita.”
“Really? Wow! Fira bila pulak nak dapat jawatan pengarah?”
Ariff pantas memandang anaknya itu.
“Okay. Fira tak layak,” cebir Afyra sambil mencebik.  
 Ariff ketawa perlahan. “Kak Ana kamu sendiri pun masih belum layak. Kamu masih muda. Pengalaman itu penting. Abang Rafael menjadi CEO bukan kerana dia anak daddy yang sulung. Tapi kerana dia berkelayakan. Begitu juga Rayland. Dia sudah ada pengalaman dalam dunia korporat sebelum ini.”
“Tak apa. Fira faham.”
“Usahakan apa yang kamu mahu. Insya-Allah, giliran kamu akan menyusul nanti,” balas Ariff lembut.
“Lambat lagilah tu, kan?” cebir Afyra dengan raut mendung.
Ariff tersenyum sendiri sambil menggeleng. “Tugas di Royal Buhler bukan senang. Belajar dulu. Baru kamu boleh berangan yang tinggi-tinggi.”
Mereka berdiam saat pelayan datang membawa hidangan.
“Daddy, kalau Fira tanya sesuatu boleh tak?”
Ariff sekadar memandang si anak tanda bersedia untuk mendengar.
“Sebelum ni daddy banyak bercakap dengan Fakhri, apa yang dia cerita pada daddy tentang diri dia?”
“Kenapa kamu tanya begitu?”
“Tak ada apa-apa. Saja nak tahu aja.” Afyra tersenyum sedikit. Cuba melindungi rasa hati yang tidak aman.
“Dia bercerita tentang kisah lalu dia, keluarga dia. Semua itu kamu sudah tahu,” ujar Ariff lembut.
Afyra mengangguk semata sambil memulakan suapan. Namun fikirannya ralik berfikir sendiri. Patutkah dia berterus terang saja tentang apa yang bermain dalam fikirannya. Tapi dia takut dituduh mengadu domba tentang suami sendiri. Baru kahwin dah mengadu macam-macam.
“Setiap masalah itu kamu perlu berbincang dengan suami kamu, Fira. Jangan diamkan apa yang kamu tidak senang. Kita tak boleh mengharapkan orang akan fahami kita begitu sahaja. Itulah sebabnya komunikasi antara suami dan isteri itu perlu berkesan.”
Afyra memandang ayahnya seketika. Komunikasi? Bagaimana? Dia penat bertanya dan bercakap. Kadang kala Fakhri enggan menjawab. Lelaki itu suka mengelak. Dia tidak faham apa yang sedang disembunyikan Fakhri darinya.
“Mungkin Fira yang susah nak faham bila dia tak mahu berterus terang,” luah Afyra perlahan.
“Maksud kamu?”
“Daddy kata komunikasi perlu berkesan. Fira sendiri pun tak tahu macam mana nak bercakap bila orang depan kita hanya diam aja bila kita suarakan sesuatu yang penting,” balas Afyra.
“Kamu mungkin belum faham sikap dia. Sesetengah orang lebih suka berdiam. Tetapi tidak bermakna dia tidak ambil tahu. Cuma dia lebih suka fikir terlebih dahulu. Sesetengah orang lagi mungkin memilih masa yang sesuai untuk bertindak tentang apa yang kita suarakan. Dia tidak suka bercakap banyak. Hanya lebih suka melakukan. Dan tidak ketinggalan juga, memang ada yang suka mengambil sambil lewa saja biarpun itu penting,” balas Ariff dalam nada lembut.
Afyra diam memikir. Agaknya ciri-ciri yang mana satu terkena dengan Fakhri? Ah! Masih terlalu awal untuk dia merasa gusar tentang itu. Cuma, satu tanda tanya yang amat besar dalam kepalanya selama ini. Mengapa Fakhri menghadiahkan mahar pernikahan sampai sepuluh ribu jika hidup mereka sekadar di sebuah rumah yang kecil dan tiada apa-apa?
“Hidup bersama itu perlu banyak bersabar, Fira. Sesetengah sikap suami kamu mungkin tidak kena dengan selera kamu. Itu lumrah. Kamu tak boleh bentuk seseorang yang lain jadi sama serupa seperti kehendak kamu.”
“Fira faham tu, daddy.”
“Jadi, ada apa yang kamu nak adukan tentang suami kamu sebenarnya?”
Afyra ketawa perlahan. “Tak ada apalah, daddy. Fira ni memang mulut banyak. Tapi Fira tahu Fira kena jaga maruah suami.”
“Bagus. Itu yang daddy nak dengar. Awal perkahwinan ini rentak perkahwinan akan jadi sangat susah untuk kamu fahami. Kerana sebahagian sikap yang buruk dan baik itu masih asing pada pengetahuan kamu. Kamu perlu bersabar dengannya. Masuk usia tertentu, cabaran jenis lain pula akan muncul,” nasihat sang ayah tetap lembut.
Usai waktu makan tengah hari, Afyra cuba menghubungi suaminya. Sekadar mahu tahu di mana lelaki itu.
“Kat mana?” tanya Afyra sebaik sahaja terdengar sapaan lelaki itu.
“Kat luar. Lepak dengan member.”
“Oh.. dah makan ke?”
“Tengah makanlah ni.”
Afyra terdiam seketika. Agaknya lauk pauk di rumah tidak berusiklah tu, fikirnya.
“Tak apalah. Aku ada kerja ni. Kau..”
“Okay.”
Dan talian terus dimatikan oleh Fakhri di hujung sana. Afyra mendengus sedikit.
“Dia ni memang suka peningkan kepala aku agaknya,” bebel Afyra seorang diri. Talian sudah dimatikan sebelum dia habis bercakap. Pelik. Sedikit-sedikit jawapan lelaki itu. Macam tidak suka dia bertanya banyak. Apa masalah Fakhri sebenarnya??

PULANG ke rumah, sepi saja suasana rumah itu. Memang benar lauk pauk di dalam peti sejuk tidak terusik. Sehingga dia selesai menunaikan solat isyak, Fakhri masih belum pulang. Sudahnya dia makan malam sendirian. Kemudian menonton tv juga sendirian.
Sayangnya, di kala mata ralik memandang tv, fikirannya asyik memikirkan sesuatu. Sikap Fakhri, tidak bekerja tetapi suka melepak di luar sedikit menggusarkannya. Bagaimana dengan kewangan lelaki itu? Menyara isteri dalam keadaan dia seperti tidak serius dengan tanggunjawabnya.
“Ah! Peninglah aku fikir pasal dia ni!” getus Afyra akhirnya. Bosan memikir tanpa kesudahan.
Masuk jam 10 malam, Fakhri tetap juga tidak pulang. Juga tidak ada menghubunginya semenjak petang tadi. Afyra akhirnya memilih untuk memanggil telefon suaminya.  
“Dah makan?” tanya Fakhri.
“Dah. Kau tu bila nak balik?”
“Lambat sikit. Aku kena temankan member pergi klinik. Demam,” jawab Fakhri.
“Hmm.. ialah. Lambat tu pukul berapa?” tanya Afyra lagi.
“Tak tahu lagi. Kenapa? Takut duduk seorang?” balas Fakhri mesra.
“Taklah. Saja tanya. Kalau kau lambat balik, aku tidur dulu.”
“Ialah. Jangan lupa kunci pintu,” pesan Fakhri tetap lembut.
Usai berbual dengan lelaki itu, Afyra kembali menonton tv. Bosan pula tiada lelaki itu. Membelek telefon pun bosan juga. Mahu tidak mahu dipaksa juga mata memandang tv. Sedar tidak sedar sudah hampir jam 12. Minatnya kepada rancangan di tv makin ke laut. Fakhri belum juga pulang.
Malas mahu menunggu lagi, Afyra terus masuk tidur. Penat bersengkang mata. Fakhri memanglah tidak kerja. Dia kena kerja!
Puas bergolek. Tidak dapat lena. Kamar itu pula agak bahang. Hanya bertemankan kipas kecil di sudut kamar. Dia pernah meminta Fakhri memasang kipas siling. Tetapi kamar itu rupanya tidak boleh menggunakan kipas siling dek kerana silingnya rendah. Terpaksalah mereka bertahan dengan kipas itu sahaja.
Sehingga ke tengah malam, suasana di sekitar masih bising. Maklum sahajalah. Rumah pangsa itu amat dekat dengan Lebuhraya Persekutuan. Jalan raya masih digunakan. Di bawah juga masih ramai orang berkeliaran. Ada yang terpekik terlolong. Ada yang mengilai. Ada anak jiran yang memekik menangis.
Afyra diam mendengar semua itu. Sudah terbiasa belum sebulan tinggal di sini. Namun yang dia tidak tahan ialah panas! Tidak dapat tidur. Tingkap sudah dibuka luas. Lampu kamar juga telah dimatikan semenjak tadi. Hanya cahaya dari luar menerangi kamar itu.
Sudahnya Afyra bangun semula. Seluar tidurnya ditanggalkan lalu dicampak ke tepi. Kemudian dia berbaring semula. Lima minit kemudian selimut pula ditendangnya ke hujung kaki. Baru selesa. Mata kembali dipejamkan. Dan dia terlena juga akhirnya.
Hampir jam satu pagi barulah Fakhri tiba di rumah. Lelaki itu berlegar di luar untuk seketika. Tahu isterinya sudah tidur di dalam kamar. Dia mandi. Kemudian dengan sekadar bertuala dia duduk menghirup air panas di ruang tamu. Penat badan masih tidak hilang.
Setelah itu barulah dia menolak pintu untuk masuk ke kamar. Fakhri terpaku seketika.
Cahaya dari tingkap seperti sedang menyuluh ke arah isterinya. Dan matanya melihat dengan jelas. Afyra tidur dengan hanya mengenakan baju tee sendat di tubuh dan seluar kecil! Lama dia memandang.
Perlahan Fakhri mendekat. Terlupa yang dia juga belum lagi berpakaian. Bukan main lagi dipandangnya kaki isterinya. Sah! Memang tak bertutup apa-apa melainkan seluar kecil itu. Berdebar dada Fakhri. Mindanya jadi kosong. Hanya matanya terus memandang susuk kaki runcing itu.
Perlahan Fakhri meletakkan tangannya dia atas betis isterinya. Telapak tangan yang kesejukan itu mengejutkan Afyra serta merta. Dia menoleh ke arah hujung kaki. Dia lihat suaminya sedang menonggeng sambil membelek kakinya.
“Apa kau buat??” tegur Afyra. Kelam kabut dia bangun mencapai seluar. Sambil bersimpuh dia mula menyarung seluar tidurnya dari kaki. Namun baru sampai ke lutut, dia terasa pahanya yang masih belum berbalut disentuh seseorang.
Afyra menoleh ke sebelah. Fakhri sedang melugu merenung pahanya.
“Kau pegang apa?” tegur Afyra lantas tangan Fakhri dilepuknya.
“Ha?” Fakhri ternganga memandang isterinya.
“Kenapa kau seksi sangat ni?” tanya Fakhri sambil menelan liur.
“Macam ni aja pun kata seksi,” gerutu Afyra sambil kembali menyarung seluarnya. Selesai itu terus dia berbaring. Fakhri terkebil-kebil merenung susuk isterinya. Dia terpandangkan sesuatu di tepi bantal Afyra. Pantas dia memanjangkan tangan mencapai.
“Apa benda ni?” dalam gelap itu dia membelek objek itu. Namun pantas objek itu dirampas Afyra.
“Jangan sibuklah! Tu harta aku!” getus Afyra lantas menyorokkan hartanya di bawah bantal. Sibuk aja pegang harta orang, rungut hatinya.
“Apa benda tu?”
“Bra! Puas hati?” jawab Afyra pantas.
“Oh. Bra rupanya...” Fakhri ternganga lagi. Semenjak berkahwin baru kali ini dia terpegang benda alah itu. Kedekut benar isterinya. Pegang sekejap pun tak boleh!
"Bukan sepatutnya bra tu berada di.." kata-kata Fakhri terhenti apabila Afyra menoleh. Wanita itu menghadiahkan renungan tajam kepadanya.
"Err... Tak ada apa-apalah. Anggap aja aku tak kata apa-apa." Fakhri mula tersengih sendiri.
“Kau tu bila nak pakai baju? Cakap orang seksi. Dia tu?” omel Afyra lantas mengalihkan pandangan. Malu dia mahu memandang Fakhri hanya bertuala dari tadi. Itu pun dah terselak!
Namun Fakhri tidak pula pergi mencari pakaiannya. Dia berbaring di belakang Afyra. Agak rapat.
Afyra terpegun serta merta sambil memandang ke hadapan. Bagaikan sudah apa yang sedang ditagihkan lelaki itu darinya. Seketika kemudian dia terasa ada tangan memegang bahunya. Dia berdiam. Kantuknya sudah mencicit pergi entah ke mana.
Kemudian tangan itu mula memegang rambutnya pula. Rambutnya dikirai oleh jemari kasar Fakhri. Dan kelopak mata Afyra terpejam saat tangan itu mula berlabuh di hujung bahunya. Dadanya berdebar. Takut ada. Malu pun ada.
Fakhri menarik bahunya agar mereka saling berhadapan. Dalam rasa canggung, debar dan asing, dia akur juga. Dia perasan mata lelaki itu tidak berkelip memandangnya.
“Boleh ke kalau aku sentuh isteri aku?” tanya Fakhri amat perlahan.
Afyra diam. Tidak tahu apa mahu dijawabnya. Nak jawab ya, macam malu pula. Masakan dia harus menjawab tidak?
“Aku pernah berkata pada ayah kau, aku takkan sia-siakan kau.” Fakhri bersuara lagi.
“Kenapa kau kahwin dengan aku? Aku bekas kekasih abang kau,” ucap Afyra pula.
“Banyak sebab. Aku pun macam kau. Kita akur demi keadaan waktu tu. Tapi aku tak rasa terpaksa. Aku suka dengan apa yang aku buat,” ujar Fakhri lembut.
Afyra terdiam memandang lelaki itu. Jauh di sudut hatinya dia tahu lelaki ini seorang lelaki yang lembut hatinya.
“Kau ada isteri lain selain aku ke?” tanya Afyra tiba-tiba.
“Hish! Apa kau merepek ni?” sambut Fakhri agak terkejut.
Afyra diam pula. Ia. Masakan Fakhri ada isteri lain selain dia?
“Banyak persoalan dalam kepala aku tentang kau. Aku tak suka bila kau lebih suka berdiam.”
“Apa yang kau nak tahu tentang aku?” sambut Fakhri lembut.
Afyra diam seketika. Dia teringat ketika menikahi dirinya Fakhri memberikan mas kahwin sebanyak sepuluh ribu. Dia tidak menyangka nilai sebanyak itu yang akan diterima dari suami. Tetapi kemudian dia dibawa tinggal di rumah serba tiada seperti ini.
“Kenapa kau beri mas kahwin begitu banyak sedangkan kita hidup di dalam rumah seperti ini?”
“Kau tak suka?”
“Bukan itu yang aku nak sampaikan pada kau sekarang ni,” jawab Afyra pantas.
Fakhri diam pula. Perlahan pinggang wanita itu diraihnya. “Itu masih tidak setaraf dengan nilai kesetiaan seorang wanita bernama isteri,” bisik lelaki itu lembut.

Afyra diam serta merta. Saat lelaki itu berbisik lembut ditelinganya, meminta izin untuk memilikinya, dia hanya akur dalam kebisuan. Pada mulanya, malu. Tetapi lama kelamaan, dia terlupa sesuatu. Terlupa yang beberapa jam lagi dia kena pergi kerja! 

3 ulasan: