Isnin, 15 Ogos 2016

BAB 17 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 17
TERDENGAR sesuatu yang buruk menimpa Afyra, Ariff dan Insyirah segera ke hospital malam itu. Ketika tiba di situ, Afyra masih di dalam unit rawatan kecemasan. Fakhri juga tiada di situ. Mereka berdua sekadar menunggu di luar. Insyirah yang paling resah. Sekejap-sekejap dia bangun mengintai di pintu. Mahu melihat ke dalam. Tiada ternampak kelibat anaknya.
“Allahuakbar.. saya ni tak senang duduk, Ariff. Kalaulah boleh, saya nak rempuh saja pintu tu,” keluh Insyirah semakin tipis kesabarannya.
“Sabarlah. Insya-Allah dia tidak apa-apa,” jawab sang suami lembut. Tangan isterinya ditepuk lembut.
Hanya setengah jam selepas itu barulah pintu kamar itu dibuka seseorang dari dalam. Dua manusia itu terus mendekat sebaik sahaja terlihat Fakhri keluar dari unit rawatan kecemasan.
“Bagaimana keadaan Afyra?” tanya Ariff risau.
“Dia keguguran.” Fakhri menjawab perlahan.
“Innalillah..” Insyirah terus menekup mulut. Tidak mampu membayangkan apa yang sudah dilalui Afyra. Mesti sakit anaknya.  
“Macam mana boleh jadi begini?”
“Dia jatuh. Saya tak perasan, daddy. Kat rumah pili di sinki rosak. Saya belum betulkan. Lantai licin,” jelas Fakhri perlahan.
“Kamu tidak tahu yang Afyra hamil?” tanya Ariff lagi. Keningnya berkerut tebal.
“Tak tahu. Afyra pun tak tahu.” Fakhri menghela nafas perlahan. Tidak terhitung kesalnya. Dia sengaja melengah-lengahkan permintaan isterinya. Inilah akibat yang perlu ditanggungnya. Isterinya menangis semahu-mahunya saat diberitahu yang dia telah keguguran. Dia tidak berupaya untuk memujuk.
“Sudah tiada rezeki kamu berdua. Redakan saja,” ujar Ariff perlahan. Kecewa juga mendengar itu. Tetapi semuanya sudah berlaku. Hendak dikesalkan apa lagi?
Reda? Tetapi rasa kesalnya masih tidak hilang. Dia tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Afyra bersama rasa bersalah ini. Dalam keadaan gelombang rumahtangga sedang teramat besar.
“Saya cuai,” ucap Fakhri amat rendah.
“Ini sudah takdir. Hanya pinjaman. Bersabarlah. Redakan saja.” Ariff terus memintas kata-kata Fakhri.
Fakhri diam. Ia. Reda. Tetapi mahukah Afyra memaafkannya? Sudah beberapa hari kerosakan itu berlaku, dia tidak begitu memberi perhatian kepada masalah itu. Pulangnya tengah malam. Sudah tentulah semua itu sudah tiada di kepala otaknya.
“Apa saja boleh berlaku kerana kecuaian dan sikap sambil lewa kita. Musibah yang datang itu sebagai teguran dari Allah. Kita kena terima dengan lapang dada walaupun susah. Sekurang-kurangnya ujian ini tidak seberat mana. Bersabarlah. Allah tahu kita manusia sering saja khilaf. Di lain masa jangan ulangi lagi kesalahan yang sama,” ucap Ariff. Memang dia mahu marahkan Fakhri. Tetapi apa gunanya salah menyalahkan dalam keadaan begini. Hanya menambah kekusutan yang ada.
“Di mana Afyra sekarang?” tanya Insyirah pula.
“Dia akan dihantar ke wad sekejap lagi. Dia masih terkejut. Tadi dia banyak menangis. Doktor kata emosi dia lemah,” jawab Fakhri perlahan.
Ariff dan Insyirah segera berpandangan. Insyirah sudah tentu lebih memahami perasaan itu. Dia pernah melaluinya bertahun-tahun dulu.
“Pujuklah dia selalu. Awal-awal begini memang dia akan rasa sedih. Itu semua normal. Insya-Allah, lama kelamaan nanti dia akan pulih juga,” ujar Insyirah lembut.
Hampir jam 12 tengah malam barulah mereka dibenarkan untuk melihat keadaan Afyra untuk seketika. Anak itu tidak sedarkan diri saat disentuh oleh ibunya. Insyirah mengucup dahi sang anak berkali-kali.
Fakhri segera mengalihkan pandangan. Tidak sanggup memandang perbuatan emak mentuanya kepada Afyra. Jelas kelihatan kasih sayang seorang ibu yang begitu tebal. Sedangkan dia gagal menjalankan amanah itu dengan baik.
“Daddy dan mommy balik dulu. Pagi esok kami akan datang semula. Kamu akan tinggal di sini?” ucap Ariff kepada Fakhri.
“Ia. Saya akan jaga Fira, daddy.” Fakhri menjawab perlahan.
“Telefon kami jika kamu perlukan apa-apa.”
Fakhri mengangguk kepada kata-kata ayah mentuanya itu. Begitu baik mereka itu kepadanya biarpun dia sudah berbuat salah.
Setelah pemergian dua manusia itu, Fakhri duduk seketika di tepi katil. Kepala Afyra diusapnya. Kemudian dia tunduk. Sedih saat memandang wajah isterinya.
“Aku balik sekejap ya? Nanti aku datang semula,” bisik Fakhri lembut.
Namun lelaki itu tidak terus berlalu. Wajah yang sedang lena itu ditatap tanpa jemu. Fakhri tunduk semula. Dahi isterinya dikucup lama.
“Aku minta maaf. Aku pernah berjanji takkan sia-siakan kau, Fira. Aku akan kotakan apa yang aku katakan,” ucap Fakhri lagi.
Sebelum meninggalkan kamar itu, Fakhri menoleh lagi kepada isterinya. Afyra masih kaku di atas katilnya. Ikutkan hati dia tidak tergamak meninggalkan isterinya sendirian di situ biarpun hanya sekejap. Namun memikirkan ada barang yang diperlukan selama Afyra berada di situ, dia memaksa kaki untuk meninggalkan Afyra sendiri.
Di rumah Fakhri terpandang semula kawasan dapur yang berselerak. Di lantai masih ada titik-titik darah Afyra. Selesai mengemas barangan isterinya, Fakhri mengambil mop. Lantai yang terkena kesan darah dibersihkannya. Hampir jam satu pagi barulah dia bergerak meninggalkan rumah itu.
Ketika dia tiba semula di kamar itu, Afyra masih lena. Fakhri duduk di sisi isterinya. Jemari Afyra diraihnya.
“Aku dah kemas rumah. Aku akan buat apa saja agar kau maafkan aku. Aku boleh teruskan hidup biarpun dibenci keluarga sendiri. Kerana aku tahu semenjak dulu aku tak ada harganya pada mereka semua. Tapi aku rasa hidup aku dah tak bererti bila kau pun bencikan aku. Aku betul-betul minta maaf, Fira.”
Fakhri tunduk saat melekapkan belakang tangan isterinya ke bibirnya. Tiba-tiba dia rasa kesedihan yang amat dalam. Terkenangkan anak yang berada di dalam kandungan isterinya dan kata-kata bapa mentuanya yang ini semua merupakan teguran kecil dari Allah, dia kesal yang teramat sangat kerana mempermainkan janji sendiri.
Selama ini sedar atau tidak, dia hanya memiliki Afyra sebagai teman hidup. Isterinya menerima dirinya seadanya. Tidak pernah melarikan diri biarpun dia dengan kejam mengheret isterinya ke dunia yang tidak pernah dijejaki oleh wanita itu. Bukan dia mahu menguji adakah Afyra betah dengan kehidupan yang serba tiada. Sedikit pun tidak.
Dia sememangnya sengaja berbuat begitu untuk melihat wanita itu terkapai-kapai sendiri. Lengkap dendamnya setelah melihat wanita kesayangan Naquib merana. Tetapi sayangnya, Afyra tetap tidak pernah kalah dengan semua itu. Dan isterinya lebih bijak berbanding apa yang disangkanya selama ini.
Kini dia sedar. Kepura-puraan selama ini tidak mampu membawanya ke mana-mana pun melainkan ke jalan ini. Jalan kelukaan! Apa yang pernah terbina dulu, kini sedikit demi sedikit sudah mula jatuh menyembah bumi. Paling tidak disangkanya, ianya berlaku secepat ini!

AWAL pagi itu setelah terjaga, Afyra memandang sekeliling. Terpandangkan suaminya sedang berbaring sambil berpeluk tubuh di atas sofa di sudut bilik itu. Afyra memandang jam. Sudah hampir jam 6 pagi. Fakhri masih belum jaga dari lena.
“Fakhri..” panggil Afyra. Dua kali dia memanggil barulah suaminya terjaga.
“Dah subuh,” ucap Afyra perlahan.
Fakhri terpisat-pisat bangun. Mengantuk. Dia baru dapat lena. Namun digagahkan juga pergi ke kamar mandi. Sedang lelaki itu di dalam kamar mandi, jururawat mula masuk ke kamar itu untuk rutin tugas mereka.
“Jangan banyak bergerak ya? Kena jaga elok-elok. Rahim ada luka. Ingat semalam apa doktor buat?” ujar jururawat itu kepada Afyra sambil dia memeriksa tekanan darah.
Afyra tersenyum lemah. Pengalaman pertama yang dia tidak pernah tahu. “Sangat menyakitkan,” komen Afyra perlahan.
“Sebab tu kena jaga diri baik-baik. Insya-Allah, rahim tu akan sembuh semula. Kena ambil masa.”
“Sampai bila saya kena tahan di sini?” tanya Afyra perlahan.
“Itu bergantung kepada doktor dan kesihatan puan sendirilah. Kalau dia berpuas hati dengan keadaan puan, insya-Allah tak lama lagi boleh balik. Yang penting, apa yang doktor larang, jangan buat. Itu akan memudaratkan keadaan rahim puan nanti. Wanita yang keguguran ni kadang kala emosinya jadi tidak stabil. Banyakkan bersabar. Lapang-lapangkan fikiran. Bila emosi baik, secara tidak langsung membantu fizikal supaya lekas sembuh.”
Afyra mengangguk dengan sedikit senyuman.
“Jangan lupa ambil sarapan pagi ya? Kalau nak ke toilet panggil saya,” pesan wanita itu sebelum berlalu. Sekali lagi Afyra mengangguk.
“Kau bercakap dengan siapa tadi?” tanya Fakhri setelah keluar dari kamar mandi.
“Nurse.”
“Apa katanya?”
“Tak ada apa sangat. Jangan banyak bergerak, itu aja.” Afyra berbaring semula tanpa memandang lelaki itu.
Fakhri bersolat sendirian di sudut kamar. Afyra bangun sendiri untuk ke tandas. Seperti orang yang baru lepas bersalin, keluar darah kotor untuk tempoh tertentu.
Dan ketika jam hampir ke angka tujuh, sarapan pagi mula dihidangkan. Wad kelas satu, makanan pun lengkap dengan segala macam dalam sedulang! Tetapi si pesakit tidak berselera benar.
“Makanlah. Sedap tu,” ucap Fakhri lembut. Dulang makanan dibawa dekat kepada isterinya.
Afyra memandang makanan itu sambil menghela nafas. Tekak tidak mahu. Tetapi dia tahu dia harus makan juga. Sementelah semenjak semalam dia tidak ada mengambil sebarang makanan pun. Sudahnya dia hanya mencapai mangkuk kecil berisi kacang panggang. Hanya itu yang mampu diterima oleh tekaknya. Sosej dan roti? Memang tidaklah!
“Kau makanlah. Nanti membazir,” ucap Afyra perlahan. Mangkuk itu diletaknya semula. Kesan ubat membuatkan tubuhnya merasa tidak selesa. Tekak apatah lagi.
Fakhri menghela nafas memandang raut isterinya. “Aku nak kau lekas sembuh. Makanlah sikit lagi,” pujuk lelaki itu lagi.
“Aku tak boleh. Kau makanlah,” jawab Afyra sekadar memandang makanan itu tanpa selera.
“Kau nak aku belikan sarapan lain?” tanya Fakhri lembut. Berusaha bersungguh untuk mengambil hati isterinya semula.
Afyra sekadar menggeleng. Bukan kerana makanan. Tetapi dia yang tidak ada selera.
Fakhri memandang sayu raut isterinya. Serba salah. Susah untuk memegang hakikat yang Afyra jadi begini kerana kesilapannya.
“Aku minta maaf, Fira. Aku sedar perbuatan aku yang menyebabkan kita kehilangan anak kita. Aku menyesal atas apa yang aku buat pada kau selama ni,” ujar Fakhri rendah.
Afyra terus berdiam. Anak kita dah tak ada. Sebaris kata itu membuatkan perasaannya merasa begitu pilu. Sebak datang mencengkam dadanya tiba-tiba. Seolah-olah dia seorang ibu yang baru sahaja kematian anaknya.
“Fira, aku janji walau apa pun yang berlaku aku tak akan biarkan kau lagi. Aku minta maaf,” ucap Fakhri bersungguh. Jemari isterinya cuba dicapai. Namun Afyra menariknya semula perlahan-lahan.
“Aku cuma perlukan masa untuk pujuk hati aku sendiri. Aku tak perlukan janji-janji kosong lagi. Aku sebenarnya tak tahu apa yang patut aku percaya,” ucap Afyra amat perlahan.
“Aku tak menipu kau, Fira.”
“Aku tak mampu ubah sejarah dulu. Setiap hari kau akan memandang aku sebagai bekas kekasih Naquib. Macam mana kau nak hidup dengan aku? Aku tak harap kau akan tebus semula apa yang dah hilang dari dalam diri aku. Cuma jujurlah pada diri sendiri, kalau benar kau tak mampu terima aku seikhlas hati kau, tinggalkanlah aku sekarang. Aku rela maafkan kau. Tapi jangan main-mainkan aku lagi. Tolonglah.”
Fakhri terpempan mendengar permintaan sang isteri.
“Percayalah pada aku. Kali ni aku tak berbohong. Aku tak pernah anggap perkahwinan ni hanya sementara.”
Afyra diam. Menganggap perkahwinan ini sementara, itu lain topik. Perbuatan yang menjurus ke arah runtuhnya perkahwinan, itu lain pula topiknya. Tapi kedua-duanya hasilnya sama.
“Perkahwinan ni tak seperti orang lain. Terlalu banyak pembohongan. Aku rasa aku hanya keseorangan selama ini,” ujar Afyra sambil memejamkan matanya. Sungguh. Hatinya sudah hancur sama sekali. Di kala dia bertatih-tatih mendaki tangga untuk mencapai matlamat perkahwinan yang sebenar, dia merasakan Fakhri seolah-olah sedang berada di luar dari itu. Dia hanya sendirian.
“Aku tak akan ketepikan kau lagi, Fira. Aku sayangkan kau.”
“Aku tak perlukan simpati dari kau hanya kerana keadaan aku begini. Fakhri, aku akan melihatnya sendiri. Kau tak perlu bersusah payah meyakinkan aku. Mulut biasa berbohong, Fakhri. Tapi kita tak akan selamanya dapat berpura-pura. Jadi tolonglah. Jangan tabur kata-kata yang tiada erti semata-mata untuk memujuk aku,” balas Afyra tanpa memandang sang lelaki.
Fakhri terdiam. Mati akal mahu meluahkan bicara lagi.
“Makanlah. Nanti membazir makanan tu,” ucap Afyra sambil meletakkan kepala ke bantal. Mata dipejamkan serta merta. Hanya satu yang dia inginkan saat ini. Jika ada lena yang panjang, dia ingin lena itu membawa pergi segala kekecewaan yang sedang dirasakan saat ini.
Adakah suruhan itu mampu diterimanya begitu sahaja. Tidak. Fakhri mengambil jemari isterinya. Lama dia memandang Afyra yang masih memejamkan mata. Namun kemudian dia terlihat, Afyra mengusik hujung matanya. Keningnya berkerut. Dia tahu isterinya menahan tangisan.

Fakhri tunduk meramas jemari isterinya. Sungguh dia kelu melihat Afyra begitu. Tidak kedengaran herdik tengkingan atau bahasa kesat. Tetapi jelas sekali Afyra telah pun menjauhkan diri darinya.

4 ulasan:

  1. pedihnya rasa hati...huhuhu...

    BalasPadam
  2. sedihnya...... ingatkan Fakhri betul2 nak jaga Fira tapi cuma nak balas dendam... Sadisnyer.... huhu..

    BalasPadam
  3. Nak bace part pakri sakit .. hihihi tashabar nak bace

    BalasPadam
  4. sedihnya hati... sampai hati pakri buat fira mcm tu... ;(

    BalasPadam