Jumaat, 12 Ogos 2016

BAB 10 ADA ENGKAU DI JIWAKU

Bab 10
USAI makan, ketika itu maghrib sudah pun menjelang. Suasana sekeliling kelam. Fakhri memilih untuk terus pulang ke rumah dek kerana jarak rumahnya dari situ hanya lima minit saja.
Debar di dada Afyra mengencang apabila keretanya dipandu Fakhri masuk ke satu kawasan perumahan PPRT yang dikelilingi oleh kawasan setinggan.
“Kat sini ke?” tanya Afyra terkejut setelah suaminya memberhentikan kereta di hadapan sebuah blok rumah pangsa yang sudah teramat uzur.
“Ia.” Fakhri menjawab selamba.
Afyra masih tercengang sehingga dia keluar dari keretanya. Puas dia memandang sekeliling. Sesak. Kawasan masuk ke situ hanya dihiasi oleh tar berlubang-lubang. Lopak sana sini dan kotor.
“Rumah ni aku sewa dari orang. Bukan rumah aku.” Fakhri berkata sambil memandang isterinya di sebelah sana.
Afyra masih tidak mampu bersuara. Seumur hidupnya dia hanya pernah melihat keadaan seperti ini dari jauh. Tetapi tidak pernah berada atau menginap di dalamnya.
“Selamat datang ke dunia orang-orang kebanyakan macam aku. Jangan risau. Tak susah pun hidup di sini. Semua orang di sini baik-baik belaka,” ucap Fakhri sambil membuka bonet kereta isterinya. Satu persatu beg pakaian dikeluarkan.
Afyra terus berdiam. Walaupun hati mendongkol jijik dengan persekitaran yang tidak sedap mata memandang, dia tetap mengekori Fakhri. Rumah pangsa itu sekadar empat tingkat. Rumah Fakhri di tingkat yang paling atas. Liar mata Afyra memandang kawasan tangga yang penuh dengan tahi kucing dan sampah! Juga bau hancing begitu kuat. Rasa pening dan mual mendadak naik ke kepala. Macam mana dia mahu hidup di dalam keadaan ini selama-lamanya?
“Kat sini rumah kita,” ucap Fakhri setelah sampai di hadapan pintu.
Okay. Rumah itu berada yang paling hujung bersebelahan dengan tangga. Itu agak melegakannya memandangkan rumah jiran sebelah terpisah dengan tangga. Namun di koridor hadapan rumah itu ada beberapa pasu bunga yang bertanah namun tiada pula ditanam bunga. Dan di situlah ‘port’ menarik kucing menggembur sehingga penuh padat dengan ‘baja’ organik dan baunya, ya ampun! Pengsan dia kalau begini. Boleh mendatangkan pergaduhan selalu!
“Kau bela kucing ke?” tanya Afyra sambil memerhatikan pasu itu.
“Tak. Jiran sebelah yang bela. Kucing terbiar pun banyak,” ujar Fakhri biasa. Sebaik sahaja pintu dibuka, Afyra terus menolak lelaki itu masuk. Dan dia ikut masuk tanpa dijemput. Udara segar diperlukan untuk menyelamatkan paru-parunya!
Fakhri terus berjalan ke arah kamar tidur yang terletak dekat dengan dapur. Afyra mengekori lelaki itu dalam pada mata masih tidak puas meliar.
“Ni bilik kita. Bilik aku, bilik kau. Bilik kau, bilik aku juga. Tak ada asing-asing. Rumah ni satu bilik aja pun sebenarnya,” ujar Fakhri.
Afyra memandang persekitaran kamar itu. Aneh. “Katil pun tak ada?”
“Tilam ada. Jadilah..” ucap Fakhri selamba. Seolah-olah itu hanya hal kecil semata. Janji ada alas nak tidur sudahlah.
“Katil pun kau tak mampu beli?” kening Afyra berkerut memandang tampang suaminya.
“Aku miskin. Mana ada kerja tetap. Kekasih kau memanglah kaya. Aku ni anak pungut aja. Nak tutup malu, mak bapak dia suruh aku nikah dengan kau. Gantikan dia,” ujar Fakhri.
“Kau tak perlu ulang kenyataan tu banyak kali. Aku dah tahu! Soalan aku tak jawab, kau konar ke arah lain,” ujar Afyra sedikit sinis.
“Kau rehatlah dulu. Aku nak sembahyang sekejap. Aku ada kerja lepas ni,” ujar Fakhri sekadar membiarkan Afyra menjelajahi rumah itu. Dia terus ke kamar mandi. Mengambil wuduk dan mengerjakan solat maghrib sendiri.
Setelah itu Fakhri ke hadapan semula. Sebelum meninggalkan rumah itu beberapa hari lalu, pasu itu sudah dibersihkan. Hari ini sudah penuh semula dengan tahi kucing. Mahu tidak mahu perlu dibersihkan lagi jika hendak hidup aman dan tenteram.
Kamar tidur itu dipandang lama oleh Afyra. Langsir tingkap sudah buruk. Sudah hilang warna asal dek kerana sudah kerap dicuci fabriknya. Tetapi mujur jugalah langsir itu bersih. Hanya ada dua buah almari zip di dalam kamar itu, rak baju untuk baju berlipat, tilam, kipas dan tidak lupa.. tempat ubat nyamuk di sudut kamar! Dia memandang rak kain baju itu. Baju Fakhri kemas berlipat di situ. Jenis rajin juga suaminya. Tidaklah kamar itu berselerak benar di matanya. Cuma tidaklah seteliti dia mengemas kamar tidur.
Afyra pergi ke dapur pula. Dapur kecil yang teramat kecil. Kalau berdua, pasti berlaga punggung di dapur itu. Kamar mandi lagilah sadis. Lantai tidak bermamar, hanya berlantaikan simen yang berlekuk-lekuk tanda si pembuatnya memang jenis pemalas. Dek kerana teramat kecil, pintunya pun jenis berlipat. Dan.. kunci di dalamnya sudah patah!
Memang sadis. Afyra hanya mampu menghela nafas perlahan. Sukar untuk menerima kenyataan inilah rumahnya kini. Tetapi terpaksa ditelan juga. Puas menjelajah dapur kecil itu, Afyra masuk ke dalam kamar. Pakaiannya di keluarkan dari beg. Seterusnya dia mandi untuk bersolat maghrib.
Di koridor hadapan rumah itu Fakhri sedang terbongkok-bongkok mengasingkan tahi kucing dari tanah di dalam pasu itu ke dalam beg plastik.
“Pasu siapa tu?” tanya Afyra saat dia menjengah suaminya.
Fakhri menoleh seketika. “Tuan rumah ni punya. Jangan tanya kenapa aku tak buang pasu ni. Pasu ni milik tuan rumah. Dia tak bagi buang. Kalau hak aku, memang aku dah buang supaya kucing tak berak di dalam ni,” jelas Fakhri.
Afyra diam. Tidak jadi mahu bertanya. Memang soalan itu pun yang hendak dilontarkan kepada suaminya.
Usai mengutip selonggok demi selonggok najis kucing itu, Fakhri turun ke bawah. Afyra masuk semula ke dalam rumah. Dia mengambil tempat di kerusi panjang yang diperbuat dari rotan. Sudah uzur. Dia mengagak kerusi itu juga adalah milik tuan rumah. Sewaktu diletakkan punggungnya tempat duduknya terasa bergerak ke bawah. Rupanya pada satu bahagian, pakunya sudah tertanggal.
“Tak ada duit langsung ke? Kerusi ni pun dia pakai lagi. Ke tuan rumah ni sayang sangat harta dia sampai yang dah tak boleh dipakai pun dia tak bagi buang?” bebel Afyra sendiri. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. Afyra pantas mencari beg tangannya. Telefon bimbitnya diambil. Sementara Fakhri tiada, bolehlah dia menelefon ayahnya. Minta sofa satu!
Afyra pantas ke tempat duduknya tadi. Punggungnya terus dihenyak ke kusyen tanpa teringat yang kerusi itu sudah senget sebelah.
“Auww!! Pedih!” Afyra terjerit sedikit. Terlupa juga yang kerusi itu tidak seempuk sofa di rumah keluarganya. Spontan punggungnya menyenget menahan sakit.
“Aduh! Kalau selalu macam ni, tak beranaklah aku!” keluhnya seorang diri. Sambil menahan sakit, tangannya pantas mendail nombor daddynya. Kemudian telefonnya dilekap di telinga.
“Daddy..” seru Afyra teruja setelah terdengar suara ayahnya.
“Kamu di mana?”
“Kat rumah Fakhri. Sorry. Tak sempat tunggu daddy balik tadi,” ucap Afyra lembut.
“Kamu baik-baik saja di sana, kan?” tanya Ariff.
“Okay. Daddy, belikan sofa baru. Kat rumah ni sofa tak ada.”
“Eh! Mana boleh kamu buat permintaan begini. Kamu kena tanya suami kamu dulu,” balas Ariff pantas. Tidak begitu senang dengan perbuatan si anak.
“Alah! Kira hadiah takkan tak boleh?” omel Afyra selamba.
“Tak boleh. Daddy boleh belikan. Tapi hanya setelah suami kamu setuju. Daddy tak mahu dia merasa terhina atau kecil hati nanti,” balas Ariff bersungguh.
Afyra tercebik sendiri. Kalau tanya Fakhri dah tentulah lelaki itu tidak mahu.
“Kamu tak boleh hidup dalam rumah yang tiada sofa? Di rumah orang lain, usahkan sofa, beras pun mungkin tiada. Cuba kamu periksa di dapur. Mungkin suami kamu masih mampu membelikan kamu makanan,” ujar Ariff dikala anaknya membisu.
“Adalah. Tapi bukan sofa. Kerusi buruk. Sakit punggung bila duduk,” adu Afyra dengan wajah cemberut.
“Apa yang suami kamu mampu berikan, itu yang mesti kamu terima. Jangan banyak merungut! Jangan minta sesuatu yang dia tak mampu sediakan. Itu bukan satu kewajipan. Jika kamu rasa itu penting sekali pun, kamu perlu bersabar sehingga dia mampu menyediakan untuk kamu. Bukan dengan cara begini. Kamu akan menjatuhkan maruah dia,” ujar Ariff tidak senang dengan kehendak anaknya.
Bola mata Afyra membulat saat terpandangkan Fakhri di muka pintu. Spontan nadanya berubah mesra. Sementelah pandangan Fakhri terus terhala kepadanya.
“Emm.. okaylah, daddy. Kita orang okay aja ni. Fira janji tak degil cakap suami. Bye, daddy. Love you.” Talian terus dimatikan Afyra tanpa menunggu balasan si ayah.
Lelaki itu terus masuk ke dapur untuk mencuci tangan.
“Fira..” panggil Fakhri sambil melabuhkan duduk di sebelah Afyra. Spontan kerusi itu bergerak makin ke bawah. Afyra menoleh tanpa menyahut.
“Emm.. lupa pulak. Kerusi ni dah uzur,” ujar Fakhri lantas berpindah duduk di atas lantai yang beralas tikar getah.
Afyra mengerling lelaki itu sekilas. Tahu dah uzur, pakai juga. Belilah yang lain. Hatinya mengomel sendiri.
“Kat sini jangan keluar seorang diri ya? Kat setinggan sana banyak warga asing,” pesan Fakhri lembut.
“Kau kata orang di sini baik-baik belaka?” ujar Afyra separuh memerli.
“Jiran di sini. Setinggan sana macam-macam jenis orang ada. Kau pun tak kenal yang mana satu jiran yang mana satu orang asing di sini. Rumah kena selalu berkunci.”
“Aku tak mahu kita terus tinggal di sini.”
“Kenapa pulak?”
Afyra tidak menjawab. Sebaliknya dia memandang sekeliling. Dia tahu Fakhri sudah tentu tahu apa yang sedang dimaksudkan.
“Aku tak mampu nak sewa rumah besar untuk kau,” ucap Fakhri rendah.
“Aku tak minta kau sediakan rumah besar untuk aku. Kalau kau rasa aku ni anak orang kaya yang berlagak, tak boleh hidup macam orang kebayakan. Aku rasa kau langsung tak kenal aku. Encik Fakhri, aku ni orang kebanyakan! Tapi tak semua orang kebanyakan terutamanya aku, mampu hidup di kalangan warga asing yang memandang perempuan macam nak makan!” ujar Afyra pula.
Fakhri diam memandang bawah.
“Kita beli barang, bayar sama-sama. Sewa rumah kita bahagi dua,” ujar Afyra lagi.
“Tak payahlah. Kat sini pun okay aja. Pakai dulu apa yang ada. Nanti aku dah ada banyak duit, barulah kita cari rumah lain,” ujar Fakhri lembut.
“Aku tak kisah duduk rumah kecik macam ni. Tak ada katil, tak apa. Tak ada sofa tak apa. Aku boleh duduk bawah. Tapi aku tak tahan dengan bau taik kucing, bau hancing dan sampah sarap merata-rata. Dia orang ni tak ada sivik ke? Ingat tangga tu toilet?” rungut Afyra geram.
Fakhri diam pula. Terfikir-fikir apa yang perlu dibuat dengan masalah itu. Selama ini dia bukannya ambil tahu benar semua itu. Bukan masalah yang besar untuknya.
Afyra mendengus. “Menyampah bercakap dengan kau ni! Macam tunggul.” Afyra terus bangun masuk ke kamar tidur. Baik dia mengemas kamar itu daripada bercakap dengan Fakhri.
Tidak lama kemudian Fakhri menjengah isterinya. “Aku keluar sekejap,” ucapnya lembut.
Afyra sekadar buat tidak dengar. Menoleh pun tidak. Kamar itu dikemasnya sehingga sedap mata memandang. Mujur jugalah dia ada membawa cadar. Nak harapkan Fakhri? Cadar tilam pun tak wujud! Tilam yang tidak bersarung itu disampulnya. Sekalian dengan bantal-bantalnya.  
Sehingga dia selesai mengemas seluruh rumah, Fakhri masih tidak pulang. Sudah lewat malam. Hairan. Ke mana lelaki itu pergi? Di luar sana masih riuh rendah biarpun sudah malam.
 Afyra kembali menyarung tudung. Kemudian dia terus ke tangga untuk melihat ke bawah. Dari sebalik penghadang tangga dia terlihat Fakhri bersama dua tiga orang budak remaja sedang berada lelaki di tangga bawah. Apa dibuatnya?
Mencuci! Terkedu Afyra melihat suaminya begitu rajin mencuci kawasan tangga itu. Semata-mata untuk dia?? Afyra terus pegun memandang ke bawah. Namun kemudian dia masuk semula ke rumah. Pintu rumah di tutupnya. Afyra duduk di ruang tamu setelah menghidupkan tv.
Sehingga Fakhri pulang juga sejam kemudian. Lelaki itu memandang Afyra yang duduk tercongok di ruang tamu.
“Tak tidur lagi?” tegur Fakhri.
Afyra sekadar menggeleng sambil memandang tv.
“Nak makan? Aku pergi beli.”
Afyra menggeleng lagi. “Kau mandilah dulu,” ujar Afyra perlahan.
Kembali bersendirian di ruang tamu itu, Afyra ralik berfikir. Hidup barunya ini memang aneh. Tidak pernah diimpikannya. Terasa dunia teramat sempit. Namun dapatkah dia melarikan diri lagi? Tidak! Kerana dunia yang sementara, adakah dia rela menjadi isteri derhaka? Juga tidak!
Dari setinggi-tinggi darjat di atas dunia ini, kini dia berada di celahan dunia orang-orang kebanyakan. Manusia-manusia itu mampu hidup. Mengapa dia tidak?
Selesai berpakaian Fakhri duduk di sebelah isterinya.
“Fikir apa?”
“Tak ada apa,” jawab Afyra perlahan.
Mereka berdiam pula. Afyra terbau-bau haruman segar dari lelaki itu. Kini dia ralik memikirkan lelaki itu pula.
“Kalau aku tanya sesuatu, boleh tak?”
“Apa?”
“Kau kerja apa sebenarnya?”
“Kerja biasa-biasa aja.” Fakhri menjawab malas.
Spontan Afyra menghela nafas perlahan.
“Aku tanya kerja apa. Bukan kerja biasa atau luar biasa. Semenjak hari tu, aku perasan kau suka mengelak dari jawab apa yang aku nak tahu! Apa yang susah sangat nak jawab soalan tu?” ucap Afyra tajam.
Fakhri diam merenung tv berskrin 14 inci itu.
“Tv tu pun bukan aku yang punya tau. Tuan rumah punya.”
“Eh! Aku tak minatlah dengan tv tu. Tak ada mananya aku nak ambik. Kau sengaja ubah topik, kan?” rengus Afyra semakin geram. Tv pulak yang dia cerita. Senget ke apa mamat ni?
Fakhri menggaru rambutnya. “Kau tak mengantuk ke? Dah malam ni. Tidurlah.”
Afyra terus bangun. Menyakitkan hati bercakap dengan lelaki ini. Susah benar mahu menjawab soalannya tadi. Agaknya Fakhri malu nak mengaku yang dia tukang kebun. Atau ada sesuatu yang Fakhri tidak mahu dia tahu?
Entah. Yang penting saat ini, lebih baik dia tidur daripada melayan rasa sakit hatinya kepada Fakhri.
  Bosan memandang tv yang sudah tiada rancangan menarik, Fakhri bangun semula. Pintu utama dikuncinya. Kemudian lampu ruang tamu dipadamkan. Hanya mentol 25 wat di dapur dibiarkan menyala. Kemudian dia masuk ke dalam kamar. Biarpun kamar itu sudah tidak berlampu, dia masih dapat melihat Afyra sedang berbaring mengiring menghadap kipas.
Fakhri melabuhkan tubuhnya di belakang isterinya. “Letak sana kipas tu.”
“Tak payahlah. Panas.” Wanita itu lebih pantas menghalang kipas itu dialihkan.
“Aik? Kau seorang aja panas? Aku ni tak payah kena kipas ke?” ucap Fakhri sambil merenung susuk sang isteri yang pegun di atas tilam.
Afyra mencebik. Biarlah! Kipas kecik. Kedekut, bisik hatinya sendiri.
Malas mahu bergaduh, Fakhri mengalah saja. Tubuhnya dibaringkan setelah bajunya ditanggalkan.
Di tengah malam itu..
Fakhri terjaga apabila punggungnya terasa ditolak seseorang. Pantas dia menoleh. Afyra sudah berkalih ke tengah tilam. Dia sudah berada di hujung-hujung.
“Fira..” Fakhri cuba mengalihkan kaki isterinya.
“Hmm.. sanalah! Panas!” rungut perempuan itu lantas menolak belakang Fakhri sekuat-kuat hatinya.
Fakhri terkedu apabila tubuhnya menggelungsur turun dari tilam itu. Dia terbaring di atas lantai semata-mata. Dan Afyra terlentang aman damai di tempat Fakhri.
Fakhri duduk sambil meraup wajahnya. Basah oleh peluh. Memang agak panas malam ini. Kemudian dia memandang isterinya.
“Sedap dia membuta kat tempat aku. Aku tidur atas lantai,” rungut Fakhri lantas meraih bantalnya. Bantal itu ditepuknya lalu berbaring membelakangi isterinya.
Belum seminggu menjadi suami kepada seorang perempuan. Dia dah melihat belang sebenar seorang perempuan waktu tidur. Di saat matanya terkebil-kebil cuba untuk mencari lena, Afyra berkalih lagi.
Kali itu mereka sama-sama berbaring di atas lantai rapat ke dinding. Yang seksanya sudah tentulah si Fakhri. Afyra sedang menghimpitnya sambil kaki wanita itu menindih pinggangnya.
Fakhri cuba membalikkan tubuhnya. Spontan itu Afyra mengalihkan tangannya ke atas muka Fakhri. Pedih mukanya terasa seperti ditampar. Fakhri segera mengalihkan tangan isterinya. Namun Afyra mengalih semula tangan Fakhri. Kali ini kepala Fakhri dipeluknya macam bantal peluk.

Sudahnya Fakhri terkebil-kebil memandang atas sambil memikir sendiri. Sama ada isterinya tidak selesa dek kerana tempat tidur sudah bertukar.. atau dia memang jenis tidur ganas. 

3 ulasan: