Selasa, 9 Ogos 2016

PROLOG-ADA ENGKAU DIJIWAKU

PROLOG
AHMAD FAKHRI RIZAL nama si empunya diri. Lelaki itu duduk termenung di tangga rumah itu. Sepi. Hening di sekelilingnya. Kelam suasana. Maghrib sudah menjelang.
Fakhri bangkit lalu naik ke atas. Membersih diri, bersiap untuk ke masjid. Namun di sana pandangan orang kampung agak serong. Ia. Bekas pesalah juvana ini sudah pulang ke kampung. Ke mana lagi dia mahu pergi jika tidak ke sini. sayangnya di sini dia terasa semakin terbuang.
Ceramah agama berlangsung selepas isyak. Namun dia memilih untuk pulang. Sepanjang berjalan kaki ke rumah, dia terus berfikir. Apa hendak dibuatnya selepas ini? Apa akan jadi kepadanya? Bersendirian di rumah itu, memberi ruang untuk dia berfikir sedalam-dalamnya.
Namun jam 10 malam itu, dia terdengar bunyi motorsikal berhenti di halaman rumahnya. Fakhri membuka jendela. Seorang lelaki berjubah dan kopiah membetulkan kain selempang di bahunya sambil memandang ke arah pintu rumah itu.
Fakhri lekas menuju ke pintu. “Pak imam..”
“Assalamualaikum..” sapa imam itu sambil mendekati anak tangga.
“Waalaikumsalam. Jemput naik.”
“Tak payahlah. Di sini aja. Aku ada hal nak bercakap dengan kamu,” ujar lelaki itu lembut.
Fakhri mengangguk. melihat lelaki itu duduk di atas anak tangga, dia turun ke bawah. Duduk di sebelah lelaki itu.
“Aku tak tahu kamu dah keluar,” ucap Imam Hambali lembut.
“Saya sampai di kampung malam tadi,” balas Fakhri lembut.
Lelaki separuh baya itu mengangguk. “Kurus sikit aku nampak kamu ni, Fakhri. Kamu sihat ke?”
“Alhamdulillah. Pak imam dah lama tak nampak saya. Dah tentu saya nampak berbeza sikit.”
“Aku nampak kamu balik tadi. Kenapa?”
Fakhri diam. Tunduk. Tidak tahu apa hendak di jawab.
“Kamu kecil hati? Orang kampung masih tak boleh terima kamu?”
Lambat-lambat Fakhri mengangguk.
“Jangan peduli tentang orang, Fakhri. Pedulikan diri kamu sendiri. Jadi apa perancangan kamu selepas ini?” Imam Hambali memandang lama raut anak muda itu. Masih terlalu mentah untuk mengemudi hidup sendiri.
“Tak tahu,” jawab Fakhri amat perlahan.
“Bapak kamu tak ada datang?”
Fakhri sekadar menggeleng. Imam Hambali menghela nafas spontan.
“Duit?”
Sekali lagi Fakhri menggeleng. “Saya nak cari kerja di kampung aja.”
“Jangan! Ilmu tu penting untuk masa depan kamu. Allah tak akan ubah nasib kamu begitu sahaja. Untuk berusaha kena ada pengetahuan. Mana nak datang pengetahuan kalau kamu tak tuntut ilmu. Setakat SPM, di sini hanya kerja kilang aja yang lepas,” ucap Imam Hambali bersungguh.
“Saya tak ada duit, pak imam. Macam mana nak hidup kalau saya tak kerja?” Fakhri menoleh seketika kepada lelaki tua itu.
Imam Hambali diam memandang kegelapan malam di luar. Berfikir.
“Aku ni bukan nak menghalau kau dari kampung ni. tapi kalau di sini tertutup sudah ruang untuk kau membina kehidupan kau, pergilah dari sini, Fakhri.”
Fakhri tersentap. Sayu hatinya. Imam Hambali juga mahu menghalaunya? Namun dia kembali memikirkan apa yang diucap oleh lelaki itu. Ada pro dan kontranya.
“Pergi dari sini. Ramai anak muda di kampung ni pindah ke Kuala Lumpur sana untuk cari yang lebih baik. Tak salah. Agama pun galakkan kita hijrah. Dan usahalah bersungguh-sungguh, Fakhri. Allah ada dengan orang yang sabar. Aku tahu kamu baik budaknya. Aku tahu kamu tak sejahat yang disangka, dituduh dek orang. Jangan patah semangat. Ujian sebesar ini hanya datang kepada orang tertentu ada sebabnya. Allah lebih tahu siapa kamu, Fakhri. Sampai satu masa nanti Allah akan bukakan pintu kebenaran. Orang yang berdosa, tidak akan terlepas.”
“Saya tak tahu nak ke mana, pak imam. Saya sebatang kara. Ayah saya tak sayangkan saya. Saya tak ada apa-apa untuk teruskan hidup.” Air mata Fakhri gugur saat mengucapkan kata-kata itu.
“Allah ada. DIA sayangkan kamu. Jangan kamu merasa kamu hanya sendiri. Allah akan pimpin kamu. Kita fikirkan jalannya. Insya-Allah ada jalan keluar. Jangan putus asa,” ucap Imam Hambali lembut.
Fakhri mengangguk perlahan sambil menyeka air matanya. Helaan nafas dilepaskan tanda jiwa kembali kuat. Ia.. Allah ada bersamanya sentiasa.
 “Siapa pun kamu, kamu berhak mencari apa yang terbaik untuk diri kamu. Kamu berhak hidup macam orang lain. Di sini permulaannya. Jangan kamu sia-siakan peluang ni, Fakhri. Doa. Itu senjata orang mukmin. Yakin dengan Allah.” Imam Hambali menepuk bahu anak muda itu perlahan.

“SIAPA pun kamu, kamu berhak mencari apa yang terbaik untuk diri kamu. Kamu berhak hidup macam orang lain.”
Kata-kata Imam Hambali tempohari terus bermain di kotak fikiran anak muda itu. Dia sudah insaf. Tidak ingin lagi berpatah balik ke belakang. Dia juga ingin hidup seperti orang lain.
Sejarah hidupnya memang tidak indah. Arwah emaknya merupakan isteri kedua kepada ayahnya. Namun terpisah angkara orang lain. Tidak sekadar emaknya. Dia juga menanggung dendam orang. Dibiarkan begitu sahaja oleh ayah kandung, dia hanya mampu memendam rasa sendiri. Emaknya diceraikan oleh ayahnya ketika dia berusia 5 tahun. Semenjak itu mereka menetap di kampung. Sayangnya ketika dia berusia 11 tahun, emaknya pulang ke hadrat Ilahi. Tinggal dia begitu sahaja dibela oleh neneknya. Ketika dia berusia 16 tahun, dia diuji oleh sesuatu yang amat berat.
Henry Gurney! Hampir semua orang tahu itu tempat apa. Dia telah terperangkap di situ selama dua tahun. Setiap hari membilang hari, berkawan dengan yang baik dan jahat. Meneruskan persekolah di sebalik tempat terkurung itu. Jiwa terdera hanya Allah sahaja yang tahu. Kenapa dia yang dipersalahkan atas kesalahan yang tidak dilakukannya? Di mana keadilan?
Ah! Keadilan dan kebenaran hanya ada pada Allah. Tidak pada undang-undang dunia.
Fakhri masih ingat hari itu. Hari yang dirasakan paling malang dalam hidupnya. Orang kampung datang ke rumah, menuduhnya mencuri motor. Dia bersumpah dia tidak pernah melakukannya. Namun bahagian enjin motor itu telah ditemui orang kampung di bawah rumahnya. Dia dikepung oleh orang kampung. Dipukul!
Malam pada hari yang sama pula, kecoh apabila ternakan orang dicuri dan kebun terbakar. Dia diserang lagi oleh orang kampung. Cuba dia dibela oleh neneknya. Tetapi tidak berjaya. Sudahnya dia ditangkap polis. Dibicarakan di mahkamah dan dikenakan tahanan di sekolah pemulihan akhlak selama dua tahun atas kesalahan apa, dia sendiri pun tidak tahu. 
Sabar. Sabar. Sabar.
Ujian hidupnya berterusan lagi. Beberapa bulan sebelum dia dibebaskan, arwah neneknya dijemput pulang oleh Ilahi. Dia tidak sesiapa lagi. Dia harus meneruskan hidupnya dengan kecekalan yang ada. Tidak boleh bergantung hidup dengan orang lain.
Fakhri!
Berpantang maut sebelum ajal. Pantang mengalah sebelum kalah! Agi idup agi ngelaban! Dia tahu sejarah lama itu bukan alasan untuk dia hidup seperti orang lain. Kerana dia tahu.. Allah selalu ada bersamanya!
Penat termenung berhari-hari, Fakhri bangkit dari duduknya lalu masuk ke dalam kamar. Almari arwah neneknya diselongkar. Dia bertemu dengan sebuah sampul besar. Fakhri menarik beberapa helai kertas dari dalam dokumen itu. Nekad! Ini sahajalah harta yang dia punya.
Pintu rumah dikunci sebelum dia berjalan kaki ke rumah Imam Hambali. Lelaki itu baru pulang dari pejabatnya.
“Ha.. ada apa hal kamu ke sini?” tanya Iman Hambali lembut. Anak muda itu diajak duduk di bawah pokok di halaman rumahnya.
“Saya ada hajat,” ucap Fakhri lembut.
“Kamu nak pinjam duit? Berapa?”
Fakhri pantas menggeleng. Sampul surat itu diberikan kepada Imam Hambali. Lelaki itu menyambut lalu isi kandungan sampul itu dibeleknya. Ada geran tanah.
“Saya nak jual, pak imam.”
“Ini hadiah dari nenek kamu. Kamu nak jual untuk apa?”
“Saya nak teruskan hidup. Saya nak keluar dari kampung ni,” ujar Fakhri perlahan.
Imam Hambali memandang lama wajah anak muda itu. “Sayang kalau dijual ni, Fakhri. Kalau kamu nak ke KL sana, aku boleh berikan duit.”
Namun Fakhri pantas menggeleng. “Saya dah ada rancangan untuk diri saya sendiri. Saya nak sambung belajar. Saya tak mahu berhutang dengan orang.”
“Kamu dah ada rancangan?” kening lelaki tua itu berkerut memandang Fakhri.
“Saya nak kerja sambil belajar. Allah takkan ubah nasib saya, selagi saya tak berusaha untuk diri saya sendiri.”
“Ia.” Imam Hambali diam sambil memandang kertas putih di sebalik geran tanah itu. Terlukis keluasan tanah tapak rumah pusaka itu. Hanya satu hektar lebih. Lama dia berfikir kata-kata Fakhri tadi.
“Kalau boleh saya nak minta pak imam carikan pembeli.”
“Biar aku yang beli. Kamu tak mahu ambil pertolongan dari aku. Biar aku tolong dengan cara ini. Kita ke pejabat tanah esok. Dapatkan nilai harga tanah ni,” balas Imam Hambali pantas.

Fakhri pantas mengangguk. Harap-harap usahanya kali ini berjaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan