Khamis, 11 Ogos 2016

BAB 6 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 6                                                      
KEMERIAHAN majlis perkahwinan yang bakal berlangsung sudah mula terasa. Setiap ahli keluarga yang dekat dan jauh hadir lebih awal. Dua pernikahan itu dijadualkan akan berlangsung pada berlainan hari. Bermula dengan pernikahan dan walimah di rumah ibu bapa Adeline. Beberapa hari kemudian barulah walimah sebelah lelaki diadakan serentak dengan walimah Afyra dan Naquib setelah selesai pernikahan Afyra.
Pernikahan dan walimah sebelah keluarga Adeline berjalan lancar seperti yang sudah dirancang. Meriah. Namun sebelum sempat majlis yang dijadualkan berlangsung di sebelah keluarga Ariff, sesuatu yang besar melanda.
Di kala semua orang sedang sibuk, Afyra bergelut dengan masalah sendiri. Dia perasan Naquib tidak dapat dihubungi semenjak malam semalam. Berkali-kali dia memanggil telefon lelaki itu, langsung tidak bersambung. Resah hatinya tidak tertahan. Di hati seperti ada sesuatu yang tidak elok berlaku. Dia sudah seperti cacing kepanasan. Cuba juga memanggil nombor bapa Naquib. Sekadar mahu tahu apa sudah berlaku kepada lelaki itu. Namun panggilannya telah ditolak oleh orang sana.
Afyra keluar dari kamarnya. Niatnya mahu ke rumah Naquib. Namun di tangga, dia terpandangkan seorang lelaki yang pernah ditemuinya dua minggu lalu sedang bercakap dengan ayahnya di muka pintu. Kaki Afyra terus terpaku di situ. Untuk apa adik Naquib ke mari?
Afyra kembali mencari telefon di dalam beg tangannya. Nombor lelaki itu didail lagi. Tidak berjaya. Kali itu Afyra mendail nombor kedua milik lelaki itu. Entah apa ajaibnya kali itu talian bersambung. Afyra berpatah balik ke kamarnya. Mahu menjauhi keriuhan orang untuk bercakap dengan Naquib.
“Kenapa abang tutup telefon?” desak Afyra sudah memuncak oleh keresahan.
“Telefon abang rosak,” jawab Naquib perlahan.
“Adik abang ada kat sini. Untuk apa?”
Naquib diam pula.
“Abang! Ada apa ni? Fira nak jumpa abang.” Suara Afyra tidak lagi kedengaran lembut. Rasa seperti sedang putus nyawanya dibuat oleh lelaki seorang ini. Diperbodohkan begitu sahaja.
“Abang tak ada di rumah sekarang ni. Abang ada hal,” ucap Naquib rendah.
“Hal apa? Ada dah jadi ni? Fira tahu ada sesuatu yang abang sembunyikan dari Fira. Cakaplah!” desak Afyra makin meninggi nadanya.
“Emm.. Fakhri ada kat sana? Dia ada cakap apa-apa?” Naquib berdeham seketika. Tidak tahu bagaimana mahu dijelaskan. Dia lebih rela lari sahaja daripada berhadapan dengan Afyra.
“Kenapa??” tanya Afyra dengan dada turun naik. Nak menangis!
Naquib diam lagi di hujung sana. Payah mahu membuka isi hatinya.
“Cakaplah, abang! Jangan diam aja. Abang nak batalkan?” desak Afyra dengan debaran yang amat kuat memalu dada.
“Ia.” Akhirnya Naquib mengaku juga kebenaran itu.
Afyra terpaku. Hampir rebah seluruh jiwanya mendengar pengakuan itu. Berkali-kali dia bertanya, Naquib memilih untuk menjawabnya hari ini.
“Jadi kenapa abang tak berterus terang sebelum ni??” tekan Afyra cuba menahan rasa sakit yang datang.
“Abang tak sampai hati,” jawab Naquib amat perlahan.
“Abang nak malukan keluarga Fira! Apa Fira nak jawab pada daddy??” ujar Afyra agak payah.
“Maafkan abang. Abang cuma minta masa sikit.”
“Sebelum ni Fira tanya abang diam. Abang tak jawab apa-apa!! Kenapa baru hari ni abang cakap begini? Kad jemputan dah edar, kau tahu tak?? Kau ingat aku ni tak ada maruah ke??” jerit Afyra. Air matanya sudah berderai tanpa dapat ditahan. Rasa mahu meraung saja saat ini.
“Abang terpaksa. Abang keliru sebelum ni. Abang minta maaf. Abang tak berniat nak buat macam ni..”
“Maaf?? Senanglah kau bercakap. Kau ingat perasaan aku ni boleh dipermainkan macam tu aja ke?? Lelaki tak guna!!! Pengecut!!” pekik Afyra. Telefonnya terus dibanting ke dinding. Berkecai!
Afyra menangis teresak-esak di atas katil. Sampainya hati Naquib! Apa dia nak jawab kepada ayah dan ibunya?
“Kenapa ni, Fira??” Insyirah terus menerpa kepada si anak setelah membuka pintu. Pintu ditutup semula bagi menyembunyikan kekalutan di dalam itu.
“Fira, kenapa ni?” Insyirah berusaha menarik bahu sang anak. Dia lihat Afyra menangis bersungguh. Tidak selalu anaknya berkelakuan begini melainkan hatinya sudah teruk disakiti.
“Naquib..” Afyra menggeleng. Tidak mampu meluahkan apa yang baru sahaja didengarinya tadi. Esakannya semakin kuat berlagu.
“Kenapa dengan dia? Dia baik-baik aja, kan?” tanya Insyirah ikut resah. Adakah apa yang bermain di mindanya saat ini benar? Naquib mahu membatalkan pernikahan.
“Sampainya hati dia buat macam ni. Fira tak tahu nak buat apa, mommy. Tolonglah Fira,” rintih Afyra.
“Kenapa? Pandang mommy. Jangan menangis! Cakap apa yang berlaku?” tegas Insyirah. Wajah anaknya itu diraupnya.
“Dia nak batalkan pernikahan,” rintih Afyra dengan air mata lebat di pipi.
“Astaghfirullah..”
“Sebelum ni Fira dah tanya banyak kali. Dia hanya diam!! Fira tak akan maafkan dia sampai mati!!!” jerit Afyra dalam tangisan.
Insyirah terpaku begitu sahaja. Mimpikah dia saat ini? Apa harus dibuatnya? Bagaimana mahu dipujuk anaknya ini? Bagaimana mahu dihadap orang ramai?
Ya Allah.. bisik hati Insyirah sendiri. Sedih di hatinya tidak terkata memikirkan nasib anak gadisnya ini.
“Sabar, sayang. Mommy pun tak tahu nak cakap apa ni. Ya Allah..” keluh Insyirah. Anak itu terus dipeluknya. Dibiarkan Afyra menangis semahu-mahunya.
“Apa salah Fira dia buat Fira macam ni, mommy?”
“Bukan salah Fira. Tapi kalau dah tak ada jodoh, sampai depan tok kadi pun tak akan jadi. Sabarlah. Ini ujian Allah,” pujuk Insyirah.
“Mommy..” sapaan seseorang dari muka pintu, segera menarik perhatian Insyirah. Rafael sedang berdiri di celahan pintu.
“Daddy panggil Fira.”
Insyirah sekadar mengangguk. pelukannya dileraikan.
“Basuh muka. Turun bawah ya? Kita bincang semula tentang ini. Mommy nak Fira sabar banyak-banyak. Memang kita malu. Tapi pasti ada hikmahnya semua ni jadi hari ini,” ujar Insyirah lembut.
Afyra mengangguk. Air mata yang mencemari pipi disekanya. Gelap dirasakan hadapannya saat ini. Namun dia tahu, pasti akan ada jalan keluar yang akan kembali menerangi hidupnya.

LELAKI tua itu terpegun dalam keadaan fikirannya kosong. Tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku saat ini. Yang dia tahu keluarganya sudah dipermainkan oleh keluarga Naquib. Sungguh mengejutkan mendengar pengakuan anak muda itu.
“Maaf, kalau pak cik rasa saya ni biadap. Saya malu pada pak cik. Dulu pak cik pernah tolong saya. Tapi ini yang kami beri pada pak cik.”
“Keluarga kamu mempermainkan keluarga pak cik. Jadi kamu datang ke sini mahu mengatakan tentang idea gila ini? Senang? Naquib enggan menikahi Afyra, kamu akan menggantikannya.” Kening Ariff mencerun tajam. Dadanya turun naik menahan rasa mahu marah.
Fakhri tunduk. Tidak tahu apa yang mahu dijawabnya. Lama mata Ariff memandang anak muda itu. Berani sungguh anak ini datang ke sini berhadapan dengannya. Seorang diri!
“Saya tahu pak cik marah. Tapi saya ikhlas.”
“Kamu ikhlas?” tanya Ariff bersungguh.
“Maksud saya, saya tiada apa-apa niat buruk. Saya hanya nak selamatkan maruah anak dan keluarga pak cik,” luah Fakhri lembut. Bersungguh.
“Dari apa? Kita boleh batalkan saja pernikahan ini. Kamu tak perlu buat begini.”
“Saya nak kahwin dengan anak pak cik.” Fakhri berkata agak perlahan.
Lama mata Ariff merenung tampang anak muda itu. Hairan dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini. Kerja ini memang gila.
“Saya tahu pak cik takkan terima saya. Saya tak macam Naquib. Saya tak ada kerja tetap. Saya tak kaya. Tapi saya tetap nak mencuba. Saya nak kahwin dengan anak pak cik,” ujar Fakhri bersungguh.
“Kamu tahu pak cik akan buat laporan polis. Kami akan tuntut ganti rugi kepada keluarga kamu. Kamu jangan fikir dengan berbuat begini kami akan lupakan begitu sahaja.”
“Pak cik boleh saman sesiapa saja yang pak cik mahu. Saya hanya nak kahwin dengan anak pak cik. Saya tak akan pergi selagi pak cik tak beri jawapan,” ujar Fakhri bersungguh.
Ariff berdiam sambil terus merenung tampang anak muda itu. Berani benar datang bertemu dengannya dan berbicara begini.
“Daddy..”
Ariff menoleh ke belakang seketika. Fakhri ikut memandang gadis itu. Kasihan. Bengkak matanya. Pasti angkara abangnya.
“Duduklah..” suruh Ariff kepada anak dan isterinya.
Afyra akur tanpa memandang lelaki asing itu. Malu dengan apa yang berlaku. Insyirah duduk di sebelah suaminya.
“Naquib memutuskan pertunangan kamu dan dia. Ayahnya menghantar lelaki ini sebagai gantinya. Kamu masih ingat, beberapa hari sebelum pernikahan Kak Iman dia pernah ke sini dulu,” ujar  Ariff kepada anaknya.
Afyra memandang Fakhri dengan pandangan kosong. Bila? Entahlah. Dia tidak mampu menggali semua itu dalam keadaan fikirannya amat kusut.
“Fakhri melamar kamu untuk dijadikan isteri, Fira. Sekaligus dia yang akan menggantikan tempat Naquib malam esok. Tujuannya untuk menutup malu dan dia tidak mahu pihak kita membuat tuntutan di mahkamah.”
Afyra memandang lagi lelaki itu. Terkejut. Tidak sangka Naquib akan memperlakukan dia sehingga begini sekali. Memutuskan pertunangan disaat akhir. Kemudian menghantar calon suami yang lain bagi mengelakkan kesalahan ditimpakan ke pihak mereka.
Fakhri tunduk seketika sebelum kembali memandang gadis itu. Terkebil-kebil mata Afyra cuba mencerna apa yang sedang dihadapkan kepadanya.
“Fira terima.”
Pantas Ariff memandang anaknya. “Kamu bersungguh?” tanya Ariff terkejut.
Afyra mengangguk sambil meraup wajahnya. Terdesak.
“Fira nak dia kahwin dengan Fira. Kita tak perlu tuntut apa-apa dengan keluarga sebelah sana. Maaf. Fira tak mampu nak berbincang apa-apa sekarang, daddy. Fira ikut aja apa keputusan daddy.” Afyra berkata perlahan. Seterusnya dia bangun semula. Ariff hanya mampu memandang Afyra berlalu begitu saja.
Semenjak kakinya mula memijak anak tangga, air mata Afyra jatuh semula. Mengahwini lelaki asing itu bukan kerana dia sukakan Fakhri. Tetapi dia mahu Naquib terus memandang wajahnya. Dia mahu lelaki pengecut itu melihatnya selalu!
“Agak mustahil untuk pak cik menerima lamaran kamu begitu saja. Kerana kami tidak kenal kamu. Dan Afyra juga membuat keputusan dalam keadaan fikirannya tidak tenang,” ujar Ariff kepada Fakhri.
“Saya faham, pak cik.”
“Kamu dengan Naquib adik beradik. Tak mustahil sikap dan keperibadian hampir sama, kan?” ucap Insyirah pula.
“Tak. Mak cik silap. Saya dan Naquib memiliki ayah yang sama. Ibu berlainan. Sebenarnya antara saya dan dia, dia lebih bertuah. Dia ada keluarga yang sempurna. Saya ni tak ubah macam anak pungut. Saya membesar di tempat lain setelah ayah ceraikan ibu saya.” Fakhri tunduk seketika.
“Hidup saya dan dia macam langit dengan bumi. Saya tinggal di kampung bersama arwah mak dan arwah nenek. Tapi mak saya dah lama meninggal. Saya dibesarkan oleh nenek. Sayangnya nenek juga meninggal dunia ketika saya berada di pusat tahanan juvana. Ketika itu saya berusia 17 tahun.”
“Ha?” Insyirah terus ternganga. Budak ini bekas pesalah juvana??
“Ya. Saya pernah dipenjarakan di pusat tahanan juvana selama dua tahun. Maafkan saya. Saya tak berniat nak menipu. Lebih baik saya berterus terang tentang siapa diri saya supaya pak cik dan mak cik tak mendengar cerita ini dari orang lain. Selebihnya terpulang kepada pak cik dan mak cik sama ada nak terima saya atau tidak.”
Ariff terus memandang anak muda itu. “Kesalahan apa?”
“Saya dituduh mencuri motor dan mencuri ternakan orang. Ketika di kampung lama dulu.”
Ariff dan Insyirah berpandangan berdua. Wajah Insyirah jelas sekali tidak senang. Masakan dia akan membiarkan anaknya bernikah dengan bekas banduan? Namun lain yang berada dalam fikiran Ariff.
“Kamu dan Naquib tidak sama ibu?”
“Ia.”
Ariff mengangguk lagi sambil memandang cincin sebentuk di tangannya itu. Fikirannya berpusar ligat. Terutama sekali tentang kisah lalu Fakhri sebagai pesalah juvana.
“Kamu pulanglah ke rumah. Beritahu kepada ayah kamu. Pertunangan sudah diputuskan. Tentang lamaran kamu tadi. Berikan kami masa untuk membuat pertimbangan.” Ariff berkata perlahan.
“Terima kasih, pak cik.”
Ariff menghantar tetamu itu ke pintu pagar. Hanya dia yang menemani anak itu. Namun sebelum anak muda itu berlalu, Ariff tiba-tiba menahan.
“Kamu katakan tadi kamu tidak ada berkerja?” tanya Ariff. Masih ada yang dia tidak puas hati tentang anak ini.
“Saya tak ada kerja tetap, pak cik.” Fakhri menjawab lembut.
“Jadi bagaimana kamu hidup di KL ini? Bagaimana kamu akan menyara anak pak cik?”
“Saya hanya katakan yang saya tiada kerja tetap. Tak bermaksud saya tiada wang. Ada wang tak juga bermaksud saya kaya. Apa yang saya ada memadai untuk diri saya dan bakal isteri saya,” ujar Fakhri.
“Tadi kamu katakan kamu miskin?” kening Ariff berkerut lagi.
“Saya miskin kasih sayang di atas dunia ni. Keluarga saya tak terima saya. Ayah dan abang saya tak suka saya kerana sejarah hidup saya tak macam orang lain. Saya bukan orang yang hebat. Mak tiri saya bencikan saya kerana mak saya dianggapnya perampas. Saya dah biasa menjadi anak terbuang,” jawab Fakhri biasa.
“Kamu lain berbanding Naquib.”
“Serumpun tak semestinya serupa. Dalam serumpun serai, ada yang elok dan yang tidak elok serainya. Begitulah kami. Saya balik dulu,” jawab Fakhri sambil tersenyum.
Ariff ikut tersenyum. Lama matanya memandang anak muda itu. Lain. Memang lain sikap anak muda itu!
Masuk ke dalam rumah, Ariff berdiri memandang seisi rumahnya. Lama dia berfikir. Apa yang harus dibuatnya untuk esok? Dia lihat semua anak dan menantu memandang kepadanya. Menanti keputusannya. Pernah dilakukan solat istikharah, meminta restu dari Allah untuk meneruskan majlis ini. Namun petunjuk yang telah diterimanya membawa dia kepada hari ini.
“Umar, kemarilah.” Ariff memilih untuk memanggil Umarul. Bukan sekadar Umarul, semua anak lelakinya datang mendekat. Mahu tahu apa yang berlaku. Masing-masing sudah terdengar desas desus berita buruk itu.
“Ada apa ni, daddy? Macam ada masalah.” Rafael terus bertanya. Tidak sabar mahu tahu.
“Ya. Kita ada masalah yang sangat besar. Pertamanya, pernikahan Afyra dan Naquib esok akan terbatal. Kita harus berhadapan dengan semua orang bersama aib. Tapi tak mengapa. Kita bersabar sahaja. Ini ujian Allah. Jangan banyak bertanya kepada Afyra dalam keadaan dia begini. Tidak muda untuk dia terima hakikat ini.”
Rafael terduduk di sofa mendengar itu. Tidak silaplah penilaiannya selama ini.
“Keduanya?” tanya Mikhael masih tidak puas hati. Kenapa wajah ayahnya cerah sahaja. Tidak sedih pun?
“Kamu bekerja dengan jabatan agama. Daddy mahu meminta bantuan kamu. Dengan apa cara sekalipun, daddy mahu diusahakan agar Afyra menikahi lelaki tadi itu.”
“Ha??” Mereka semua ternganga. Termasuk Umarul.
“Tidak mungkin pengantin lelakinya boleh bertukar dalam sekelip mata, kan? Kamu mesti usahakan sehingga mereka dibenarkan bernikah malam esok!” ucap Ariff serius.
Umarul terkebil-kebil memandang ayah mentuanya berlalu. Kemudian mereka semua berpandangan.
“Siapa budak tadi tu?” tanya Umarul.
“Entah. Pak sanggup ke?” teka Mikhael.
“Tak mungkin daddy akan buat keputusan bodoh begitu. Tak wujud dalam kamus hidup dia istilah pak sanggup ni semua,” jawab Rafael pula. Cuba memahami apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Adakah ayahnya akan memaksa Afyra menikahi lelaki asing itu?
Jika benar begitu.. persoalannya, mengapa?

KAMU jalan kaki?” kening Ariff berkerut melihat anak muda itu termengah-mengah berjalan.
“Taklah. Saya parkir di bawah sana. Jalan kaki naik ke atas. Penuh dah kat atas ni. Kereta ahli keluarga pak cik aja dah penuh atas bukit ni,” ujar Fakhri sambil tersenyum.
Ariff mengangguk perlahan. “Kamu dah sarapan pagi?”
“Dah. Pak cik panggil saya ke mari untuk bercakap tentang lamaran saya semalam?”
“Bukan sekadar itu,” balas Ariff sambil mengamit anak itu agar mengekorinya.
Fakhri terus berjalan mengekori lelaki tua itu. Lelaki itu mengajak dia berbual di gazebo. Katanya di dalam penuh dengan orang. Agak bising. Di situ rupanya sedikit hidangan sudah tersedia menanti mereka. Menandakan kedatangannya sedang dinanti oleh tuan rumah. Berdebar-debar dada Fakhri menanti kata putus lelaki ini.
“Makan. Kita berbual sambil itu.”
Fakhri patuh. Meriah juga makanan yang disediakan tuan rumah. Membuatkan seleranya terbuka.
“Bagaimana kamu boleh begitu berani datang bertemu pak cik dan menceritakan semuanya?”
“Maksud pak cik?” pergerakan Fakhri terhenti seketika.
“Kamu ceritakan yang kamu diupah oleh ayah kamu untuk mengahwini Afyra. Kamu ceritakan yang kamu bekas pesalah juvana yang ditahan atas kesalahan mencuri. Tapi kemudian kamu katakan yang kamu ikhlas mahu melamar Afyra untuk diri kamu. Bukan kerana wang. Bukan juga semata-mata untuk menyelamatkan keluarga kamu daripada tindakan dari pihak kami.”
“Saya pernah dituduh mencuri, pak cik. Sakitnya kita bila kebenaran itu disembunyikan. Saya menanggung sesuatu yang tidak seharusnya saya tanggung. Dua tahun saya dikurung tanpa sebab. Saya sedih. Tapi ada seseorang yang mengajar saya, sentiasa berpegang kepada kebenaran. Allah bersama orang yang sabar.”
Ariff mengangguk tanpa menyampuk. Sengaja membiarkan anak itu meluahkan pendiriannya.
“Saya dah biasa dipandang rendah oleh orang lain terutamanya ayah saya sendiri, pak cik. Saya hidup sendirian selepas arwah mak dan arwah nenek dah tak ada. Saya orang yang tak ada apa-apa untuk dibanggakan. Itu hakikat. Saya tak mampu datang ke sini bercerita yang hebat-hebat tentang diri saya kerana saya bukan orang hebat,” ujar Fakhri lagi.
“Kenapa kamu nak mengahwini Afyra? Kamu tidak kenal dia. Kamu tak tahu sama ada kamu akan serasi atau tidak dengan dia,” ucap Ariff.
“Dia tidak ingat saya. Saya selalu nampak dia makan tengah hari bersama abang saya. apabila saya mahukan sesuatu, saya akan berusaha mencarinya. Afyra ada kembar lelaki bernama Muhammad Farouqe. Dia berkenalan dengan Naquib ketika abang saya ke London hampir dua tahun lalu. Dia sedang menuntut di sana waktu itu. Sekarang Afyra bekerja dengan pak cik, kan? Anak ke lima dari tujuh adik beradik.”
Kening Ariff terangkat mendengar itu. “Bapa kamu beritahu?”
Fakhri ketawa kecil sambil menggeleng. “Ayah saya hanya bercakap dengan saya apabila dia perlukan sesuatu. Bukan ketika saya perlukan sesuatu, pak cik. Saya dah terbiasa begini. Ada kebaikannya untuk saya. Apa yang saya mahu saya harus mencarinya sendiri dengan kederat yang ada. Tidak mahu menyusahkan dia.”
“Bagaimana seorang ayah boleh membenci anak kandungnya sendiri? Pak cik tidak faham.”
Fakhri diam pula sambil mencapai cawan. Air itu diteguk lambat-lambat. “Kalau diceritakan, panjang kisahnya. Dan itu aib ibu saya, pak cik.”
“Tak mengapalah. Abaikan saja soalan pak cik tadi.”
“Saya kasihankan anak pak cik. Tapi saya melamar dia bukan kerana kasihan. Tetapi saya kasihan melihat dia disia-siakan. Saya lebih kasihan melihat manusia yang tidak tahu bersyukur dengan apa yang sudah Allah bentangkan di hadapan matanya. Pak cik, ada ramai lagi anak muda macam saya, kadang-kadang tidak kelihatan di mata orang kerana kami tidak nampak hebat di mata sesetengah orang. Berbanding sesetengah orang yang ada-ada, mampu bertukar ganti wanita dengan mudah. Kalau ada perempuan yang sudi pandang orang macam saya, itu dah mujur. Kalau ada perempuan yang sudi jadi isteri kepada lelaki macam saya, dah lebih dari seribu syukur, pak cik. Waktu saya dapat tahu Naquib bertunang dengan anak pak cik dulu, saya rasa Naquib bertuah. Wanita yang sukakan dia bukan calang-calang perempuan. Kalau saya berada di tempat dia, saya akan jaga anak pak cik baik-baik.”
Ariff diam pula. Namun dia mengangguk sedikit.
“Tiada pekerjaan tetap, pak cik boleh menyuruh kamu pergi mencarinya sehingga bertemu. Malah pak cik boleh memberikan kamu pekerjaan kalau pak cik mahu. Tetapi mencari seorang lelaki yang ada keperibadian dan akhlak yang baik itu tidak semudah seperti kita pergi memohon kerja,” ujar Ariff perlahan.
Fakhri tunduk seketika sebelum kembali memandang lelaki tua itu.
“Pak cik ingin menerima kamu seikhlas hati ke dalam keluarga pak cik. Pak cik harap penilaian pak cik tentang diri kamu benar. Pak cik percaya ada sebabnya mengapa kamu tiba-tiba muncul di sini.”
Wajah Fakhri berubah sedikit mendengar kata-kata orang tua itu. “Pak cik terima lamaran saya?”
“Ia.” Ariff menjawab sepatah. Sebuah helaan nafas panjang dilepaskan. Banyak yang terangka di fikirannya perlu diluahkan.
“Dengar apa yang pak cik akan katakan ini baik-baik. Kamu hanya perlu ikut apa yang pak cik suruh. Selebihnya terserah kepada kami,” ujar Ariff lagi.
“Ia, pak cik.” Fakhri memandang tepat kepada lelaki tua itu. Setiap apa yang diucapkan Ariff didengar dengan teliti. Sesekali kepalanya diangguk tanda faham. Hanya selepas sejam selepas itu, Fakhri berlalu dari situ.
Ariff masuk ke rumah dengan senyum senang.
“Daddy ni macam ada agenda aja?” tegur Imanina hairan melihat gelagat ayahnya. Berbual berdua dengan tetamu di luar tanpa diketahui mereka apa isi perbualan. Emaknya sudah memberi ‘warning’ jangan sesiapa menyibuk urusan ayahnya.
Ariff hanya tersenyum tanpa menjawab soalan itu.
“Mana Afyra?” tanya Ariff kepada isterinya.
“Di atas. Tak mahu keluar bilik langsung,” ujar Insyirah sambil menggeleng. Susah benar hatinya memikirkan anak gadisnya itu. Kasihan. Dia tahu Afyra tertekan. Malu.
“Saya mahu bercakap dengan dia,” ucap Ariff lembut.
“Tolonglah pujuk dia. Saya tak tahu nak cakap apa lagi. Dia asyik menangis. Saya susah hati,” ujar Insyirah bersungguh.
“Saya faham. Biar saya bercakap dengan dia,” balas Ariff lembut.
Di atas pintu kamar Afyra tertutup. Semenjak semalam anak itu tidak mahu bertemu dengan orang.
“Fira, buka pintu ni.” Ariff bersuara dari luar bersama ketukan.
Tidak lama kemudian pintu kamar terbuka. Wajah Afyra terjengul. Kemerahan. Basah.
“Kamu menangis?” tanya Ariff hairan.
Afyra menggeleng semata. Pintu dibiarkan terbuka. Dia kembali ke tempatnya tadi.
“Kamu mesti belajar terima hakikat ini, Fira. Kita boleh saja memilih apa yang kita mahukan dalam hidup ni. Tapi izin Allah itu perlu. Ada sebab kenapa kita semua ditimpa ujian seperti ini.”
“Fira ni macam patung. Tak ada maruah! Tak ada harga. Disepak ke sana ke sini. Senang aja dia buat macam ni. Dia tak fikir perasaan Fira. Sekejap nak, sekejap tak nak. Fira dah tak tahu apa nak fikir sekarang,” ujar Afyra. Sekalian itu air matanya berderai.
“Apa maksud kamu?”
Afyra diam pula. Tunduk. Ariff terus mendekati anaknya.
“Apa yang kamu katakan tadi?” tanya lelaki itu lantas duduk di sebelah anaknya.
“Dia call. Dia minta maaf. Dia mengaku dia dah tersilap buat keputusan. Dia minta pertunangan tidak diputuskan. Dia akan datang malam ini! Fira tanya dia apa sebenarnya yang terjadi, dia tak mahu beritahu. Fira tak puas hati!” ucap Afyra bersungguh.
Ariff terdiam pula. Lama dia berdiam memandang ke bawah. Di dalam dada menggelodak rasa nak marah. Seketika kemudian dia menggeleng.
“Kamu bernikah dengan keizinan daddy sebagai ayah kamu. Kamu tidak lagi dapat memilih calon suami dengan kehendak kamu sendiri. Ke mari telefon kamu.”
“Daddy nak buat apa?” tanya Afyra hairan. Telefon yang sudah retak skrinnya itu diberikan juga kepada si ayah.
“Dengar sini baik-baik. Kamu bernikah bukan kerana kamu mencintai seseorang. Tetapi kamu bernikah kerana Allah telah membawa seorang lelaki yang baik kepada kamu. Jangan banyak fikir. Bertawakal saja kepada Allah. Allah akan membawa kamu ke jalan yang benar. Jauh dari kekusutan kamu sekarang,” ucap Ariff lantas bangun. Telefon itu dibawanya pergi.

Afyra hanya terkebil-kebil memandang. Faham kini. Ayahnya sedang memisahkan dia dari dunia luar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan