Ahad, 14 Ogos 2016

BAB 15 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 15
PULANG dari kerja dalam keadaan yang amat meletihkan. Rumah agak bersepah. Fakhri seperti selalu tiada di rumah ketika dia tiba. Ketiadaan lelaki itu tidaklah dihairankannya. Sudah lali dengan alasan jumpa kawan itu walaupun sebenarnya dia tidak begitu percaya.
Usai maghrib, dia membelek apa yang ada dalam peti ais untuk dimasak. Tiada apa-apa. Sudahnya Afyra keluar dari rumah. Sekadar berjalan kaki dia pergi ke kedai runcit terdekat.
Yang menjadi masalahnya saat itu, dia terpaksa melalui beberapa lagi blok rumah pangsa. Di bawahnya begitu ramai kaum Adam berkumpul bersembang. Membuatkan dia jadi tidak selesa apabila diperhatikan. Salah seorangnya cuba menegur. Afyra terus berjalan biarpun lelaki itu mula mengekori. Dadanya mula berdegup kencang. Laju kakinya dikayuh untuk menjauhi lelaki itu.
“Nak ke mana? Sinilah dulu. Sembang dengan abang,” panggil lelaki itu.
“Saya dah kahwinlah! Jangan ganggu, boleh tak?” tegas Afyra tidak senang.
“Alahai.. dah kahwinlah pulak. Baru ingat nak usha.” Lelaki itu ketawa kecil. Mujur jugalah dia berhenti mengekori setelah mendengar itu.
Malam-malam begitu tidak banyak kedai runcit yang masih beroperasi. Dia terpaksa pergi ke kawasan kondominium Desa Vista yang terletak berdekatan dengan kawasan perumahan pangsa yang didiaminya. Di bahagian bawah kondominium itu juga terdapat kedai mamak. Sesudah membeli barangan keperluannya di kedai runcit, Afyra terus ke kedai mamak tersebut.
Namun sedang dia membungkus lauk, seseorang datang menegurnya.
“Buat apa kat sini? Encik Fakhri mana?”
“Err..” Afyra ternganga memandang lelaki itu. Siapa pulak dia ni? bisik hatinya.
“Dia belum balik. Awak ni siapa?”
“Saya Luqman, pekerja dia. Akak selalu datang sini ke?” ujar lelaki itu lagi.
“Ha? Err.. selalu jugaklah. Dah nama pun duduk sini.” Afyra yang masih terpinga-pinga sekadar menunding ke arah lain.
“Duduk sini? Akak tak tinggal dengan Encik Fakhri ke? Bukan rumah Encik Fakhri di Shah Alam ke?”
Kening Afyra berkerut tebal. Apa maksud lelaki ini?
“Suami akak tak datang sekali? Petang tadi dia tak masuk pejabat. Saya tunggu dia. Ada hal penting nak diselesaikan sebelum kami ke Korea.” Tanpa menunggu jawapan Afyra, lelaki itu bertanya lagi tentang Fakhri.
“Emm.. saya seorang aja. Saja singgah sini sekejap. Tadi pergi kedai depan tu. Lapar pulak. Singgah beli lauk. Dah nak balik ni,” ucap Afyra dengan senyum tawar.
“Oh..” Luqman mengangguk sedikit.
“Err.. Nak ke Korea untuk apa?” tanya Afyra.
“Aik?” Luqman ketawa kecil.
“Dah nama pun kami ni syarikat pelancongan. Mestilah selalu ke sana,” ujar Luqman. Makin aneh rasanya. Masakan tidak tahu apa yang dibuat oleh suami sendiri?
“Oh ya.. saya tak ingat.” Afyra tersenyum kelat.
“Suami akak ada banyak business. Padanlah akak tak ingat,” seloroh Luqman sambil ketawa kecil.
Afyra ikut ketawa. Ketawa yang dibuat-buat.
“Akak seorang malam-malam macam ni, tak apa ke? Jauh nak balik ni.”
Afyra diam. Tidak tahu apa yang hendak dijawabnya.
“Awak biasa ke rumah suami saya?” kening Afyra berkerut merenung tampang Luqman.
“Dulu waktu dia bujang, adalah sekali dua ke sana bila ada hal penting. Semenjak dah kahwin ni, tak adalah lagi. Segan. Dulu Encik Fakhri memang tinggal di sini. Tapi dah dua tahun pindah ke Shah Alam.” Luqman menjawab ramah.
“Oh..” Afyra mengangguk. Nampaknya lelaki ini lebih tahu tentang Fakhri berbanding dia. Dia lebih senang diperbodohkan Fakhri.
“Tak apalah. Saya duduk dulu ya? Ingat Encik Fakhri ada sekali. Rupanya dia tak ada,” ucap Luqman kemudian. Afyra hanya mengangguk.
Sambil memilih lauk, Afyra menoleh sekali lagi kepada anak muda itu. Terngiang-ngiang apa yang diucapkan Luqman. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia bertanya lebih banyak tentang Fakhri kepada anak muda itu. Tetapi tidakkah itu akan memalukan Fakhri? Sedangkan dia sudah tidak tertahan mahu tahu. Memikirkan akibatnya buruk, ditahan sahaja niatnya mahu bertanya. Afyra berlalu setelah bertukar senyum dengan lelaki muda itu.
Namun di sepanjang jalan Afyra hanya berfikir sendiri. Lelaki tadi itu adalah pekerja Fakhri. Kenapa Fakhri sanggup berbohong kepadanya selama ini? Apa sebabnya? Tidak sedar, langkahnya terasa longlai.
Setiba di rumah, Afyra duduk termenung sendiri di ruang tamu. Apa lagi yang Fakhri sembunyikan darinya? Sedih. Mengapa orang luar lebih kenal suaminya berbanding dia? Kenapa Fakhri berahsia?
Sehingga ke tengah malam Fakhri masih belum pulang. Kalau selalu dia akan menelefon, bertanya. Entah kenapa kali itu dia tidak berminat lagi. Biarlah. Kalau bertanya pun lelaki itu sekadar mahu tidak mahu menjawab pertanyaannya.
Afyra hanya tersedar saat terasa sentuhan lelaki itu dibahunya. Ketika jam sudah lewat benar. Afyra menoleh sedikit. Dia tahu lelaki itu baru pulang.
“Dah tidur?” bisik Fakhri.
Afyra diam. Matanya terkebil-kebil memandang ke hadapan.
“Fira?” panggil Fakhri lunak. Rambut isterinya dikirai. Namun Afyra mengelak. Tidak mahu memandang lelaki itu.
“Aku mengantuk,” ujar Afyra amat perlahan. Bantal di dalam pelukannya dicengkam kuat. Rasa mahu menangis entah kenapa.
Fakhri menghela nafas perlahan sambil meletakkan kepala ke bantal. Penat. Mata terus dipejamkan tanpa memujuk lagi. Sudahnya dia terlena sendirian tanpa sedar, wanita itu masih terkebil-kebil seorang diri, menahan rasa sakit di hati.

BANGUN pagi moodnya memang berterabur teruk! Memandang wajah selamba Fakhri, hatinya semakin sakit. Benci yang teramat sangat! Pantang besar dia dengan orang berbohong kepadanya.
Usai solat subuh dia terkejar-kejar menyediakan sarapan lelaki itu. Kemudian barulah dia berpakaian.
Fakhri? Macam selalu. Tidak pernah terkejar-kejar sepertinya. Di dorong sakit hati, mulalah semua benda yang dibuatnya jadi tidak ikhlas. Hatinya membentak marah. Selesai bertudung, Afyra ke dapur. Namun matanya terpandangkan Fakhri sedang berbaring di kerusi panjang. Senang lenang!
“Woi, pak cik! Kau kata kau miskin. Tapi kau malas kerja. Hari-hari kerja kau asyik merambu sana sini. Entah apa kau buat. Bila kau nak cari kerja? Aku ni siapa nak tanggung ha? Aku kena kerja tanggung kau pulak?” ucap Afyra geram. Sakit pula hatinya. Setiap pagi dia sibuk-sibuk bersiap nak pergi kerja. Suaminya melepak depan tv!
Fakhri hanya menoleh sekilas. “Mana ada kau tanggung aku? Kau tu kedekut!” balas Fakhri acuh tidak acuh.
“Memanglah. Sekarang memang tidak. Kau asyik duduk melangut, sampai bila? Sampai bila kita nak duduk di rumah macam buruk macam ni? aku pun teringin nak hidup macam orang lain. Aku ni anak orang kaya tahu!” tekan Afyra semakin geram dengan gelagat lelaki itu.
Fakhri diam sambil terus memandang tv.
“Tengok ceramah motivasi sampai ke petang, tapi buatnya tidak jugak. Pemalas kerja! Kau dengan Naquib, kau memang jauh ketinggalan!” cemuh Afyra agak kuat. Dia terus ke dapur. Selesai menikmati secawan milo panas, jaketnya terus dicapai.
“Aku hantar kau.” Fakhri tiba-tiba bangun.
“Naik moto kau tu? Tak mainlah!” jawab Afyra geram.
“Jangan pergi dulu. Tunggu aku!” ucap Fakhri. Naik sedikit nadanya.
Afyra pegun di hadapan koridor hadapan rumah. Menunggu lelaki itu selesai bersiap. Sesudah itu dia mengekori suaminya ke tangga. Afyra tersenyum sendiri. Dia lihat Fakhri tidak membawa helmet buruknya. Ketika tiba di tepi keretanya, Fakhri berjalan lagi sehingga tiba di hujung parkir. Ada sebuah kereta bertutup sampul. Selama ini dia perasan kereta itu tidak pernah berganjak dari situ.
Afyra tergamam saat melihat Fakhri menyelak penutup kereta itu. Sebuah kereta jenis SUV berjenama Lexus.
“Wow! Kereta kau?” tanya Afyra agak sinis.
“Taklah. Aku pinjam.” Fakhri menjawab selamba. Sebaik sahaja kunci dinyahkan, Afyra terus masuk. Selamba dengan muka tapai! Dia duduk pegun memandang ke hadapan sambil menahan nafas yang menderu laju. Rasa marahnya semakin membuak-buak.
Fakhri terus memandu kereta itu keluar dari kawasan parkir. Setiba di lebuh Pantai Bharu, dia menoleh kepada isterinya. Wajah Afyra ketat seketat-ketatnya.
“Apasal kau diam? Takde nak marah-marah aku dah?” ujar Fakhri selamba.   
Afyra menoleh. “Aku diam sebab banyak kata-kata kesat yang akan keluar kalau aku bercakap dalam keadan aku sedang marah. Aku masih waras kerana aku masih sedar yang kau tu suami! Kalau kau fikir aku diam sebab aku sedang kejakunan naik kereta semahal ini, kau memang dah silap besarlah, Ahmad Fakhri! Dan aku tahu kenapa baru sekarang kau nak biar aku tahu tentang kereta ni. Kau tunggu aku buat silap dulu, kan? Kau memang tunggu aku luahkan kata-kata macam tadi tu. Hebat kau!” balas Afyra sedikit lantang.
Kata-kata Afyra membuatkan Fakhri terdiam. Berubah sedikit wajahnya.
“Kau bina perangkap, akhirnya kau yang masuk perangkap sendiri. Sebab tu kau buat macam ni pada aku. Kau tunjuk kereta besar ni pada aku selepas aku luahkan kata-kata yang merendahkan kau. Now what??” ucap Afyra terus meninggi.
“Apa maksud kau ni?” wajah Fakhri berkerut sedikit. Namun nadanya mula mengendur.
“Suka hati kaulah.” Afyra mula memandang ke luar. Semakin sakit hatinya melihat gelagat tidak bersalah Fakhri. Apa yang cuba dibuat suaminya sudah dapat dibacanya.
“Fira.. aku minta maaf.”
“Aku maafkan. Tak apa. Aku dah terlanjur pilih kau sebagai suami. Apa boleh buat? Kau rasa aku ni tak penting, takkan aku nak paksa,” jawab Afyra pantas.
Fakhri memandang lagi isterinya. “Aku tak bermaksud nak hina kau.”
“Really? So funny!” desis Afyra tanpa memandang.
Fakhri diam pula. Wajahnya diraup perlahan. Sudahnya dia berdiam dan terus memandu.
Setiba di hadapan lobi hotel itu, Fakhri terus menoleh kepada isterinya. Wanita itu sekadar memandang ke luar.
“Petang nanti aku ambil,” ucap Fakhri lembut. Tangan isterinya dicapai. Buat seketika jemari Afyra dipegangnya. Namun sedikit pun tiada balasan.
“Fira..” panggil Fakhri lembut.
Afyra sekadar pegun memandang ke hadapan. Hakikatnya di dalam dada, seumpama lava yang menunggu masa untuk dimuntahkan.
“Petang nanti aku ambil ya?” Fakhri sebut semula bicaranya tadi.
Afyra memandang lelaki itu. Buat seketika dia memandang dashboard kereta itu pula.
“Kau tahu tak.. ada satu perangai Naquib yang aku tak suka, ada juga pada kau.”
Wajah Fakhri berubah lagi. Sakit hatinya mendengar Afyra menyamakan dia dengan abangnya.
“Naquib malu nak cerita tentang kau pada aku. Tak tahu apa sebabnya. Kau pun malu pada diri kau sendiri sampai kau perlu bertopengkan manusia lain di depan isteri kau sendiri. Kau fikir, aku pilih Naquib dulu sebab dia kaya? Kau rasa aku terima kau dalam hidup aku sebab kesian semata? Kau dengan dia sama aja! Nama pun adik beradik, kan? Aku masih tak tahu apa sebenarnya yang menyebabkan kau memilih untuk kahwin dengan aku,” ucap Afyra tajam. Beg tangannya dicapai.
“Fira, kenapa kau cakap macam ni? Aku dengan Naquib tak sama!” tekan Fakhri.
“Sama! Sama ada kau sedar atau tidak. Kau dan dia suka berpura-pura untuk buat perempuan kagum dengan kau. Kau ingat, aku hairan dengan harta kau ni? Berlagak humble dan menipu tu dua perkara yang berbeza, Encik Fakhri!”
Sekali lagi wajah Fakhri berubah. Pedas. Namun dia terasa ditampar oleh tangan sendiri.
“Semalam aku jumpa staff kau yang bernama Luqman tu. Kau tahu, aku malu sendiri. Selepas tiga bulan aku jadi isteri kau, aku tak tahu rupanya kau ada dua kehidupan, dua watak. Sedih, kan? Aku rasa bodoh sangat. Kalau aku manusia yang senang memandang hina pada orang lain, aku tak akan kahwin dengan bekas penjenayah macam kau! Sekarang ni, aku tak mahu ambil tahu lagi tentang kau.” Spontan Afyra membuka pintu.
“Fira.. nanti dulu,” ucap lelaki itu perlahan. Sempat dicapainya lengan isterinya untuk menahan.
“Aku kena kerja. Hidup dengan lelaki yang penuh dengan rahsia, tak jujur.. aku kena pandai jaga diri aku sendiri. sejujurnya, aku tak kenal pun kau siapa, Fakhri. Kau bangga tengok aku macam ni? Kau anggap aku sama macam ahli keluarga kau yang lain, yang selalu pandang rendah pada kau. Kenapa? Bila kau dah tunjukkan betapa hebatnya kau selama ini, kau nak aku aku buat apa? Merayu-rayu pada kau macam perempuan yang tak ada harga diri?”
“Janganlah cakap begitu,” pujuk Fakhri lembut.
“Kau tahu segalanya tentang aku. Aku tak ada apa nak dirahsiakan lagi. Kenapa kau buat macam ni pada aku?? Aku tak faham apa yang kau cuba buat sebenarnya,” tekan Afyra mula terasa mahu menangis. Sedih yang teramat sangat dengan kenyataan ini.
Fakhri diam sekejap dengan helaan nafas panjang. “Aku memang tersilap, Fira. Aku ingat kau sama macam Naquib.”
“Tahniahlah. Kali pertama aku dengar kau berterus terang tentang itu. Terima kasihlah kerana dapat menilai diri aku dengan tepat. Encik Fakhri, kalau aku ni sekadar teman wanita kau, mungkin kau boleh buat begini. Tapi aku ni isteri kau. Pelik, kan? Aku tak tahu apa-apa tentang kau. Aku tak tahu kau kerja apa, aku tak tahu kau ke mana setiap hari. Tak apa. Teruskan hidup kau yang penuh dengan drama tu! Aku pun tak mahu terhegeh-hegeh lagi kalau kau sendiri pun lebih suka mempermainkan perasaan aku. Aku masih ingat kau kata pada malam tu. Kau tak suka aku tanya banyak tentang kau. So, aku takkan tanya lagi, Fakhri. Lebih dari itu.. aku dah mula rasa kau kahwin dengan aku atas agenda tertentu. Sampai satu masa nanti kau akan buang aku, kan?” ujar Afyra terus mengeras nadanya.
Berubah wajah Fakhri. Namun dia terdiam tidak mampu menjawab.
“Sebahagian tekaan aku memang tepat, kan? Kau tahu yang mana fakta, yang mana hanya tuduhan melulu.”
Fakhri terkebil-kebil memandang. Sebu rasa dadanya. Tahu dia sudah mengecilkan hati Afyra. Dia sekadar memandang Afyra masuk ke lobi hotel itu. Keretanya tidak segera dilarikan. Lama dia pegun di dalam kereta itu. Sehingga dia ternampak Afyra keluar semula. Sangkanya Afyra mahu mendapatkannya. Tetapi isterinya terus mendekati sebuah kereta yang terpakir di hadapan keretanya. Afyra terus masuk ke bahagian belakang.
Fakhri keluar semula dari keretanya. Cermin kereta itu diketuknya. Afyra segera menurunkan cermin.
“Ada apa lagi?”
“Marilah aku hantarkan,” ucap Fakhri lembut.
“Tak apa. Aku tak suka bergantung pada orang yang aku tak percaya. Abang Samad, jalan sekarang.” Afyra kembali menaikkan cermin tanpa mempedulikan Fakhri masih berada di situ.

Terkebil-kebil Fakhri memandang Afyra pergi. Panas telinganya mendengar kata-kata Afyra. Afyra sudah tidak percaya lagi kepadanya.

1 ulasan: