Rabu, 17 Ogos 2016

BAB 21 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 21
BBQ!
Cuti hujung minggu Rafael mengajak adik beradiknya berkumpul di rumah ibu dan ayah mereka bersempena hari ulang tahun perkahwinan Ariff dan Insyirah. Berkumpul sekali maka riuh rendahlah rumah itu dengan gelagat anak dan cucu. Awal pagi anak-anak membantu mengemas rumah. Petang hari mereka merancang untuk mengadakan aktivit BBQ di luar rumah.
Selepas asar, masing-masing sudah membawa diri ke halaman rumah.
“Kak Ain buat kek untuk mommy dengan daddy. Tapi rasanya kita yang sakan menyental ni nanti,” ucap Jannah.
“Sikit bolehlah. Mommy bukannya tak suka. Tapi dah tua-tua begini, kesihatan kena jaga,” ujar Insyirah lembut. Seronok rasanya dihargai oleh anak dan menantu. Dapat berkumpul bersama anak beranak. Hanya Umarul yang tidak dapat ikut serta dek kerana tugasnya sebagai pengajar.
Sementara kaum ibu sibuk membawa hidangan lain ke halaman rumah itu, anak masing-masing sudah bertaburan di halaman rumah. Ada yang berguling seronok. Tasnif mula memanjat paha Ariff. Lebih suka menjadikan datuknya sebagai kerusi. Rayland dan Fakhri sibuk menyediakan api untuk memanggang.
“Dah boleh ni,” ucap Fakhri. Ayam dan daging yang sudah siap diperap mula disusun atas pemanggang.
“Tepi. Tepi. Acu nak duduk.”
Rauf dan Raif berebut mahu duduk sekat dengan Farouqe. Seronok melihat bapa saudaranya datang membawa gitar.
“Acu nak buat apa?” tanya Raid.
“Acu nak nyanyi lagu untuk tok daddy dengan tok mummy.”
Masing-masing sudah tersengih-sengih melihat Farouqe.
“Acu yang nyanyi ke? Boleh ke?” ucap Raid hairan.
“Hish! Suara acu ni kalau masuk Akademi Fantasi mesti nanti ramai yang afundi acu.”
Meledak tawa Rafael dan Mikhael mendengar jawapan Farouqe. Poyo! Ariff sekadar tersenyum sendiri. Kali terakhir dia melihat Farouqe menyanyi dalam acara nyanyian ketika majlis makan malam anjuran syarikat, sakit telinganya.
“Emm.. tapi kita nak nyanyi lagu apa ni?” tanya Farouqe kepada anak saudaranya.
“Manalah Raid tahu.”
“Okay. Acu dah tahu. Lagi ni ditujukan untuk mommy dan daddy. Semoga panjang umur dan kekal loving sampai bila-bila.”
Spontan Rania menekup telinganya. Perbuatannya terlihat pula oleh Farouqe.
“Nia ni, kan? Saja ejek abanglah tu.”
“Abang Farouqe nyanyi tak sedaplah. Katak menyanyi pun tak macam tu,” ujar Rania selamba.
Bicara yang sungguh tidak bertapis itu disambut oleh ledakan tawa mereka semua. Terkedu Farouqe mendengar Rania menyamakan bakat seninya itu dengan katak.
“Nia, cubalah jaga hati abang ni sikit. Nia memalukan Abang Farouqe tahu tak!”
“Dulu abang Farouqe nyanyi depan orang. Semua orang gelak. Kan, mommy? Mommy ingat tak?” ujar Rania sambil memandang sang ibu.
“Bila tu, Nia? Kak Deline tak tahu pun,” sampuk Adeline sambil tersenyum-senyum.
“Eh! Apa kata kita tukar topik lain.” Farouqe tiba-tiba bersuara kuat.
“Deline, nak tahu tak bila kejadian yang memalukan tu. Sini.. abang ceritakan.” Rafael segera mencelah peluang untuk mengenakan adiknya.
“Fira pun boleh cerita. Sini cepat!”
“Kak Ain pun ingat lagi pasal tu.”
“Nia pun ingatlah! Nia nak cerita!!” jerit Rania teruja.
“Kak Ti yang paling ingat kisah tu. Sini Kak Ti bisik.”
Insyirah mengekek ketawa melihat wajah bengang Farouqe. Semua orang nak buka pekung dia!
“Abang Mika ada simpan video malam tu. Ada lagi ke, Abang Mika?” tanya Jannah sambil tersengih-sengih memandang Farouqe.
“Ada! siapa nak tengok? Dah lama tak tengok semula video tu. Nasib baik tak delete,” sambut Mikhael teruja. Telefonnya terus dikeluarkan dari poket seluar.
“Ah!! Merajuklah macam ni,” cebir Farouqe. Adeline ketawa gelihati melihat suaminya dikenakan oleh ipar-iparnya. Berlumba-lumba masing-masing mahu melihat semula video itu.
 “Macam manalah perangai Farouqe waktu kat rumah ya? Deline, ceritalah sikit.”
Adeline tersenyum lembut saat memandang lelaki itu. “Biasa aja. Dia suka buat kita ketawa,” jawab Adeline lembut. Farouqe tersenyum senang memandang isterinya.
“Cepatlah nyanyi, acu! Tadi kata nak nyanyi?” ucap Raid.
“Tak jadilah. Acu tak pandai nyanyi pun. Raidlah nyanyi. Acu main gitar ya?”
“Alah..” Raid tercebir kecewa. Dia sudah siap bersila menghadap bapa saudaranya. Tidak jadi pula.
“Eh! Cepatlah potong kek, mommy.” Teringatkan sesuatu yang amat penting itu belum lagi terlaksana, dia terus menegur.
Insyirah mengalihkan pandangan kepada suaminya. Lelaki itu tetap seperti tadi. Tersenyum lembut memerhatikan setiap ahli keluarganya.
Afyra bangkit bersama Imanina untuk mengambil kek. Kek itu dibawa kepada dua orang tua itu. Ariff memandang kek itu seketika. Kemudian dia kepada isterinya.
“36 tahun sudah berlalu. Saya hidup dengan awak selama itu. Rasanya macam baru semalam kita mendapat Rafael dan Mikhael sebagai anak,” ucap Ariff kepada sang isteri.
“Tak mudah untuk sebuah perkahwinan itu mampu kekal selama itu jika kita tak tetap pada pendirian,” jawab Insyirah.
“Ia.” Ariff menjawab lembut. Seketika kemudian dia tersenyum.
“Sepanjang hidup ni, banyak yang kita lalui. Ada yang teramat susah. Sebahagian dugaan yang kita lalui, anak-anak kita tidak pernah melihatnya. Saya rasa amat bersyukur dengan apa yang telah Allah kurniakan kepada saya selama ini. Saya memiliki seorang wanita yang baik, juga anak-anak yang baik. Kehadiran menantu-menantu dan cucu-cucu saya melengkapkan lagi kehidupan kita. Saya percaya.. jika bukan dengan bantuan dan panduan dari Allah, kita tidak akan mampu pergi sejauh ini,” ujar Ariff lagi. Insyirah tersenyum lembut kepada lelaki itu.
Kesemua mata yang memandang terdiam mendengar kata-kata Ariff. Ariff mengambil pisau. Kek itu dipotong sedikit lalu disuap ke mulut sang isteri.
“Wau.. romantiknya, daddy.” Afyra ketawa. Teruja melihat layanan sang ayah kepada ibunya.
Ariff ketawa kecil.
“Mommy pulak!” jerit Rania seronok.
Insyirah menggeleng perlahan. Kehendak anaknya itu tetap ditunaikannya. Malu untuk beromantika di hadapan anak-anak sebenarnya.
“Okay. Sekarang Nia pulak!” dengan muka selamba Rania mengangakan mulutnya.
“Mengada-adalah budak ni. Makanlah sendiri!” rengus Insyirah. Tetapi kemahuan anak manja itu tetap juga ditunaikan.
Ariff meminta Imanina memotong kek itu untuk dinikmati oleh semua orang. Afyra membawa sepotong kek itu kepada suaminya. Fakhri masih sibuk membakar ayam.
“Fira makanlah. Nanti abang makan.”
“Fira tak boleh makan. Abanglah makan,” jawab Afyra.
“Oh..” sudahnya mulutnya dingangakan apabila Afyra mendekatkan sudu ke mulutnya.
“Sedapnya kek ni..” puji Fakhri.
“Buat sendiri memanglah sedap,” jawab Afyra.
“Siapa buat?”
“Kak Ain.”
Fakhri mengangguk. Sempat dia memandang ke gazebo. Masing-masing sedang mengerjakan kek itu.
“Nak lagi?”
Fakhri terus mengangguk. dalam keadaan tangannya sibuk bekerja, mulutnya disuapkan oleh isterinya. Insyirah sempat mencuit suaminya. Ariff tergadah seketika memandang isterinya. Namun kemudian dia ikut memandang apa yang diperhatikan isterinya.
“Dah berbaik nampaknya tu,” ucap Insyirah puas hati.
Ariff terus memerhatikan gelagat anaknya itu seketika. Kemudian dia tersenyum.
“Awak pernah nampak mereka berdua bergaduh ke?”
“Tak pernah. Tapi saya tahu ada yang tak kena dengan mereka sebelum ni,” jawab Insyirah lembut.
“Saya dapat mengagak apa yang berlaku sebelum ini. Tapi saya menunggu dia memberitahu sendiri kepada saya. Alhamdulillah.. saya rasa mereka mampu menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa mengadu apa-apa kepada kita.”
Insyirah mengangguk setuju.  
“Saya tahu Afyra mampu jadi isteri yang baik. Kerana dia anak awak. Dia akan memilih untuk mengikut apa yang baik tentang awak,” komen Ariff lembut. Isterinya seorang pemaaf. Dia percaya Afyra juga begitu.
Insyirah kembali memandang suaminya. Bibirnya mekar tersenyum. Sambutan ulangtahun perkahwinan yang amat bermakna buatnya. Melihat anak-anak gembira, dia sudah tentu lebih dari itu. Penat lelah mendidik anak-anak terasa amat bermakna saat ini.

 MEREKA pulang ke rumah ketika malam sudah pun berada di penghujungnya. Afyra tertidur di dalam kereta.
“Fira..” Fakhri menepuk lembut paha isterinya.
Afyra tersentak sedikit. Terkebil-kebil matanya memandang sekeliling. Dah sampai rupanya.
“Jom masuk,” ajak Fakhri lembut.
Longlai dek kerana masih terlalu mengantuk dan penat. Sebaik sahaja masuk dia terus naik ke atas. Di hadapan pintu, dia teraba-raba pintu yang masih tertutup. Fakhri yang baru muncul di belakang isterinya, terpaku seketika memerhatikan gelagat sang isteri.
“Kat mana bilik?” tanya Afyra lantas memandang ke arah kamar lain. Dia berjalan ke arah kamar itu pula.
“Ni, sayang. Betullah ni. Nak pergi mana pulak tu?” tegur Fakhri lantas menarik tangan isterinya. Mengigau ke apa?
Afyra menggaru kepalanya seketika. Tanpa memandang suaminya pintu kamar itu terus dibukanya.
“Oh.. betullah kat sini.”
Fakhri terus ketawa. Sahlah isterinya mamai tadi. Bilik sendiri pun tak kenal. Sebaik sahaja ternampak katil, Afyra terus menghumbankan tubuhnya ke situ. Sambung tidur!
Fakhri menggeleng semata. Tudung pun tak sempat ditanggalkan. Afyra dah terbongkang melayan mengantuk. Sudahnya dia pergi dekat kepada sang isteri. Stoking di kaki wanita itu ditanggalkan. Kemudian tudung pula. Tubuh wanita itu diangkat sehingga kepala Afyra terletak elok di atas bantal.
Perempuan itu langsung tidak membuka mata biarpun dia tersedar saat tubuhnya dikalihkan. Fakhri duduk di sebelah wanita itu. Raut yang sedang lena itu terus ditatapnya tanpa jemu.
Dia teringat kata-kata bapa mentuanya siang tadi.
“Seorang wanita yang sudah ditentukan buat kamu. Buruk atau baiknya, itulah milik kamu. Jika buruk, bentuklah dia sehingga menjadi elok. Kelebihan itu Allah berikan kepada setiap lelaki. Setiap sesuatu yang sudah Allah berikan kepada hamba-Nya itu ada kebaikannya. Tidak mungkin Allah akan memberikan sesuatu yang sempurna. Pasti ada cacat celanya supaya setiap manusia itu mahu berusaha dan belajar tentang sesuatu.”
Kau memang rugi, Naquib.. bisik hati Fakhri. Sedikit pun tidak pernah merasa kesal. Malah beruntung. Abangnya membuang wanita ini begitu saja. Akhirnya menjadi haknya.
Fakhri tunduk sedikit. Pelipis sang isteri dikucupnya berkali-kali. Seketika kemudian Fakhri bangkit semula. Pakaiannya ditanggalkan sebelum dia masuk ke kamar mandi. Ketika dia mengenakan pakaian tidur ke tubuhnya, Afyra bergerak di atas ranjang. Kemudian dia bangun lalu duduk.
“Yang..” sapa Fakhri lantas mendekat.
“Nak salin baju sekejap,” ucap Afyra sambil meraup wajahnya.
“Nak abang ambilkan?”
Afyra menggeleng sedikit. Dia terjaga kerana tidak selesa. Butang blausnya ditanggalkan satu persatu tanpa berganjak dari situ. Fakhri sekadar memerhatikan tindak tanduk sang isteri. Afyra mencabut blaus di tubuhnya lalu diletakkan di tepinya.
“Abang nak pergi kerja dah ke?” tanya Afyra saat terpandangkan Fakhri sedang merenungnya.
Fakhri ketawa kecil spontan. “Baru pukul 1 pagi, sayang. Dah nak suruh abang pergi kerja ke?”
“Oh ya..” Afyra melugu sambil mengetuk kepalanya.
“Tidurlah,” ucap Afyra perlahan.
“Tukar baju dulu. Abang nak tidur. Tapi abang risau, bini abang berjalan pergi rumah sebelah pulak,” jawab Fakhri lembut.
“Abang ni..” rungut Afyra rendah. Dia mengantuk. Otak pun rasa biol semacam saja. Lambat-lambat dia bangun lalu mencapai tuala.
Selesai mengganti pakaian tidur, Afyra terus memanjat katil. Melihat lelaki itu sedang terlentang memandang atas, terus dia mendekati lelaki itu. Lengan Fakhri ditariknya lalu kepalanya diletakkan di atas lengan itu.
“Jangan tolak abang sampai jatuh katil ya?”
“Ia..” jawab Afyra perlahan sambil tersenyum sendiri.
“Tidur. Abang peluk.”

Afyra tersenyum dalam mata yang terpejam. Saat lelaki itu mendakapnya, hati terasa amat nyaman. Di situlah tempat yang paling aman buat dirinya. Jauh dari segala kekusutan dunia. Dan dia mahu begitu saja sampai bila-bila!

6 ulasan:

  1. Baca dari bab 1 sampai 21.x de bab yg x best.semua best.setiap bab pnuh dgn mcm2 prasaan klakar sedih romantik plus boleh buat kita trsenyum2 smbil mnyapu air mata. Pokoknya mmg best.tahniah adnilzaff mmg x mngecewakan.

    BalasPadam
  2. Best sgt citer mmg follow citer dr awal lg...dh abis ke? Nak lagi

    BalasPadam
  3. terharu dengan Ariff dan Insyirah... dah lama rupanya dorang kahwin.. tengok anak-anak mereka semua termasuk Afyra bahagia aja walaupun ada dugaan.. hebat Ariff Insyirah didik anak mereka...

    BalasPadam