Ahad, 14 Ogos 2016

BAB 14 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 14
“PUAN, kami nak keluar lunch.”
Afyra terus mendongak sebaik sahaja terdengar suara kakitangannya. Seorang wanita sedang berdiri di celahan pintu. Seorang lagi di belakangnya.
“Siapa ada kat depan?” tanya Afyra.
“Jackie dengan Erni,” jawab wanita itu.
Afyra bangun dari kerusinya. Dokumen di atas meja itu dikautnya. “Pergilah.”
“Okay.” Tersenyum wanita itu setelah mendapat kebenaran itu.
Afyra terus ke hadapan. Di lantai pameran ada dua pelanggan, kedua-duanya sedang dilayan oleh kakitangan. Afyra terus mengambil kerusi. Dia duduk di sebalik meja pameran. Melihat keadaan hanya tenang, dia menyambung kerja di situ. Ralik. Sehingga dia tidak sedar seseorang masuk dan terus mendekatinya.
Lelaki itu berhenti seketika memerhatikan Afyra. Namun kemudian dia kembali mendekat.
“Fira..”
Afyra mengangkat pandangan spontan. Pandangannya terpaku sesaat dua di wajah lelaki itu. Bekas kekasihnya!
“Fira apa khabar?” tanya Naquib tanpa putus memandang wajah wanita itu.
“Baik.” Afyra sekadar menjawab sepatah. Rasa seperti sudah berkurun dia tidak melihat lelaki ini.
“Abang selalu ada di sini. Tapi abang tak pernah nampak Fira di sini. Fira kerja di Royal Buhler ke sekarang?” tanya Naquib lembut.
Afyra mengangguk sambil membuang pandang. “Nak beli barang kemas ke?” tanya Afyra sekadar mahu tahu adakah ada tujuan lain lelaki itu bertemunya.
“Tak. Abang saja singgah nak jumpa Fira.”
“Ada apa?” balas Afyra pantas.
Naquib diam seketika. Macam tidak percaya. Wanita yang dicintainya ini, kini adik iparnya. Sesungguhnya dia sudah puas mencuba untuk menerima hakikat itu. Tetapi sukar.
“Abang ternampak Fira tadi. Susah abang nak pergi macam tu aja tanpa datang menyapa di sini,” ujar Naquib perlahan.
Afyra pula yang diam. Tidak tahu mahu jawab apa. Sedar dia kini sudah bersuamikan orang yang dekat dekat Naquib. Melayan lelaki ini dengan mesra merupakan satu ancaman yang besar kepada rumahtangganya.
“Fira gembira dengan Fakhri?”
“Kenapa soalan itu yang abang tanya?” jawab Afyra agak tidak senang. Adakah setelah menyerahkan dia kepada Fakhri, Naquib mahu berlagak baik pula. Konon mengambil berat.
“Maafkan abang atas apa yang berlaku dulu. Abang betul-betul keliru, Fira. Abang tak berniat nak buat begitu pada Fira. Selama ni abang sungguh-sungguh sayangkan Fira. Abang tak main-main.”
“Ialah sangat,” jawab Afyra sinis. Percaya benar dia dengan ayat-ayat kosong seperti itu.
“Fira, kalau Fakhri ada berbuat sesuatu yang tak elok pada Fira, beritahu abang. Abang tak akan biarkan dia macam tu aja,” ujar Naquib lagi.
“Tak ada apa yang tak eloknya. Dia okay aja,” ujar Afyra selamba.
“Fira sayangkan dia?” kening Naquib berkerut merenung wajah Afyra. Macam tidak ada apa-apa sahaja lagak Afyra. Masakan semudah itu Afyra menerima adiknya setelah berkahwin paksa?
“Ada mana-mana perempuan yang tak sayangkan suami dia? Dia baik. Tak tahulah kenapa dia dibenci sampai begitu sekali,” jawab Afyra dengan kening terjongket sebelah. Bibirnya mengukir senyum sinis buat lelaki itu.
Naquib tunduk sedikit. Pedih hatinya mendengar kata-kata Afyra. Tahu wanita itu sedang memerlinya.
“Kalau Fira merasa menyesal kahwin dengan Fakhri, abang sedia..”
“Abang ipar!” pintas Afyra pantas. Naquib terpaku memandang Afyra. Terdengar panggilan itu lebih kedengaran sebagai amaran agar dia tidak melebihi batasnya.
“Fakhri tu adik you. Bukan ke sepatutnya you doakan yang baik-baik buat dia? Buat kami?” ujar Afyra sedikit tajam nadanya.
“Abang hanya risaukan Fira.”
“You tak perlu risau. Fakhri suami yang baik. Lebih bertanggungjawab berbanding sesetengah orang yang tak pernah fikir perasaan orang lain sebelum buat keputusan!” tegas Afyra enggan termasuk dalam perangkap yang dibentang lelaki itu. Bukannya dia tidak tahu lelaki itu sedang melaga-lagakan dia dengan Fakhri melalui sifat prihatinnya.
“Dia kerja sekarang?” tanya Naquib sekadar bersahaja.
“Ya.”
“Kerja apa?”
“You tahu, I ada ramai adik beradik. Bila I nak tahu sesuatu, I akan terus call dan tanya. I tak tanya melalui orang lain. Melalui suami ke.. isteri ke.. tak! Kami akan tanya terus. Dan I tahu pekerjaan mereka semua biarpun adik beradik I jauh lebih ramai berbanding you,” perli Afyra dengan riak selamba.
Naquib terdiam serta merta. Malu sendiri dengan olah yang tidak menjadi. Sangkanya masih ada sisa-sisa kasih lama dari Afyra kepadanya. Rupanya percaturannya salah.
“Biar serendah mana dia di mata keluarga dia sendiri, dia tetap my husband. Orang lain boleh bencikan dia. Tapi I tak boleh. Sorry, sekarang waktu I bekerja. Tak ada masa nak bincang masalah keluarga di sini,” ujar Afyra tetap dengan nada yang sama. Tidak mesra.
“Tak apalah. Abang cuma risaukan Fira. Fakhri tu semenjak dulu tak pernah lekat dengan satu kerja. Apa kerja dia pun abang tak tahu. Dia lebih suka merayau sana sini. Kadang-kadang kami yang terpaksa beri duit pada dia.”
Afyra sekadar buat tidak dengar biarpun hatinya sakit mendengar Naquib merendah-rendahkan suaminya.
“Tak apalah. Abang pergi dulu,” balas Naquib lembut. Perlahan dia berpaling apabila Afyra seolah-olah malas mahu melayannya. Pedih hati tidak terucap. Memandang Afyra tidak ubah seperti menoreh semula luka di tempat yang sama. Sedangkan Afyra kini milik orang lain. Sesalnya sudah tiada guna.
Namun setelah pemergian Naquib, Afyra termenung sendiri. Sebahagian kata-kata Naquib tentang Fakhri tetap meresap masuk ke fikirannya. Terutamanya soal pekerjaan Fakhri, sikap Fakhri yang lebih suka merambu sana sini. Itu memang benar. Sehingga kini dia tidak tahu apa sebenarnya kerja suaminya dan memang benar, Fakhri itu lebih suka pergi merambu daripada pergi cari kerja!

MAZMUMAH!
Entah apa untungnya hari itu, sesudah ketemu dengan Afyra tadi, dia bertemu pula dengan Fakhri. Di dalam mall yang sama! Cuma dia terlihat Fakhri berada di sebuah restoran di lantai bawah mall itu bersama seorang perempuan.
Naquib berdiri lama memandang. Sepasang manusia itu duduk saling bersebelahan menikmati makanan Jepun. Perbualan rancak disulam dengan tawa mesra. Langsung tidak sedar mereka sedang diperhatikan.
Naquib mengambil telefonnya. Beberapa aksi dirakamkan. Sengaja disimpan gambar itu. Kemudian barulah dia mendekat.
“Rancak sembang?” tegur Naquib setelah mendekat.
Fakhri dan Atikah menoleh serentak. Naquib berdiri di sebelah Fakhri sambil memandang bekas isterinya itu. Atikah tunduk sedikit, enggan berpandangan dengan Naquib.
“Kami terserempak tadi. Saya ajak Kak Ika makan sekali,” ujar Fakhri.
“Ia? Kau apa khabar? Hebat kau sekarang ya? Kau nak lawan aku ke apa?” ujar Naquib sambil memandang Atikah.
Atikah mula mengangkat pandangan. “Akak pergi dulu ya? Waktu lunch dah habis ni.” Kemudian dia buat-buat memandang jam pula. Fakhri menghela nafas perlahan sambil memandang wanita itu bangun.
Atikah langsung tidak memandang bekas suaminya saat berlalu dari situ. Menyampah!
“Bekas isteri aku, bekas kekasih aku, semua kau nak rasa ya? Dah tak ada perempuan lain kau nak himpit? Kau dah ada bini, kan? Kalau bini kau nampak kau melayan perempuan lain, apa dia akan rasa?” ujar Naquib tetap dalam nada sinis.
“Jaga sikit mulut tu, bang. Saya hormat Kak Ika tu macam kakak saya. Sekurang-kurangnya hanya dia seorang saja dalam keluarga ni yang masih layan saya dengan baik,” ucap Fakhri tidak senang.
“Jadi Fira tak layan kau dengan baiklah ya?” jawab Naquib sambil ketawa sinis. Fakhri diam menahan sakit di dada.
“Dia masih cintakan akulah tu. Kau tu sekadar suami terpaksa dia,” ujar Naquib lagi.
Fakhri memegunkan diri memandang ke hadapan. Ikutkan hatinya, mulut lelaki ini mahu ditumbuknya.
“Kau rasa Afyra akan terima kau selama-lamanya? Dia kahwin dengan kau sebab ayah dia yang paksa, kan? Kalau tidak, dia tak pandang pun lelaki macam kau ni.” Naquib semakin rancak menabur bara di hati Fakhri.
Fakhri menoleh sambil bangkit dari kerusi.
“Ia? Dia isteri saya yang sah. Yang penting saya dah dapat pun dia, bang. Kalau abang rasa ini satu perlawanan, saya dah menang.” Fakhri membalas sambil melambai pelayan yang memandang kepadanya.
Spontan wajah Naquib pula yang berubah riak. Fakhri ketawa kecil sambil menoleh kepada abangnya.
“Jangan ditimpa perasaanlah. Afyra hak saya sekarang. Itu bukan angan-angan. Jangan selalu pandang rendah pada saya, bang. Saya takut abang malu sendiri,” ujar Fakhri sambil mengambil bil dari pelayan. Dua helai not lima puluh diletakkan di atas folder bil itu.
“Bakinya nanti bagi dia,” ucap Fakhri kepada pelayan itu.
Naquib diam saat pelayan itu memandang dia. Terbakar marak dadanya oleh api amarah melihat Fakhri mempersendakan dia.
“Afyra hak saya sekarang. Tiada siapa dapat nafikan itu. Kahwin paksa atau rela, itu bukan persoalannya. Tak penting pun bagi saya. Tetapi dia hak saya, zahir dan batin! Ada waktunya kita kena mengaku yang kita dah kalah. Giliran orang lain meraikan tropi kemenangan tu,” ujar Fakhri sambil menepuk bahu Naquib. Spontan tangannya ditepis Naquib.
“Kau jangan nak kurang ajarlah.”
“Saya kurang ajar? Saya cuma beritahu. Kalau abang nak terima, terimalah. Tak boleh terima, apa saya boleh buat. Tapi saya nak ingatkan abang sikit. Saya takkan biarkan sesiapa dekati Afyra biarpun abang ipar diri sendiri. Manusia kalau dia ada maruah, dia takkan jilat ludah sendiri.” Fakhri berkata biasa. Sempat dia tersenyum kepada abangnya.
“Kali ni saya menang. Sama ada dia cintakan saya atau tidak, itu bukan keutamaan saya. Saya tak peduli pun. Apa rasanya bila sesuatu yang bermakna tu diambil orang. Sakit, kan? Macam tulah yang rasa selama ni,” bisik Fakhri kepada lelaki itu.
Menyirap darah Naquib. Pandangan dihalakan kepada Fakhri. Tajam. Di hati percik-percik dendam mula melata.
“Masih awal untuk kau raikan kemenangan kau. Pergi habiskan masa kau dengan bersuka ria. Membuang masa. Kau orang yang tak ada masa depan, Fakhri. Hidup tiada arah tujuan.”
“Suka hati abanglah nak cakap apa. Yang pentingnya Afyra hak saya. Hak saya, bang! Ingat tu sampai bila-bila.” Fakhri sempat ketawa kecil sebelum berlalu dari situ.
Naquib menghela nafas keras saat memandang adiknya berlalu. Kini dia tahu, Fakhri mahukan Afyra tiada sebab lain, melainkan hanya untuk menang ke atas dirinya!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan