Khamis, 11 Ogos 2016

BAB 8 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 8
USAI majlis resepsi Afyra yang paling awal naik ke kamar. Tidak mahu berhadapan dengan orang ramai yang agak luar biasa ramainya. Fakhri tidak begitu dipedulikannya. Mujurlah ahli keluarga lain tidak begitu. Kehadiran orang baru dialu-alukan dengan baik.
Petang itu masing-masing sudah amat letih. Tetamu masih bersisa biarpun majlis sudah selesai selepas zohor tadi. Fakhri naik ke kamar. Pintu kamar Afyra ditolaknya. Dia terpandangkan isterinya sedang duduk di kerusi meja solek dengan telefonnya. Masih dengan pakaian tadi dengan tudung di kepala.
Afyra menoleh sedikit. Namun dia kembali tunduk memandang gadjetnya.
Fakhri merapatkan pintu tanpa putus memandang wanita itu. Semenjak tadi susah benar mahu melihat Afyra tersenyum baik kepadanya biarpun kepada orang lain. Senyum hanya terpaksa. Tatapan matanya kosong begitu sahaja. Jelas sekali isterinya tidak gembira.
“Saya nak tumpang mandi.” Fakhri bersuara lembut.
Afyra terus menunjukkan ke arah katil. Fakhri memandang ke arah yang ditunjukkan isterinya. Matanya terpandangkan sehelai tuala masih berlipat bersama jubah mandi. Fakhri kembali memandang sang isteri. Afyra masih sibuk dengan telefon barunya. Pantas dia mendekati isterinya. Telefon di tangan Afyra terus diambilnya membuatkan Afyra terkejut.
“Jangan ganggu aku!” ucap Afyra tajam.
“Sembahyang.”
“Aku tahu bila masa nak sembahyang. Bak sini telefon tu.”
“Solat. Telefon ni nanti boleh belek,” ucap Fakhri masih lembut.
Afyra tidak mempedulikan suruhan suaminya. Telefon itu mahu direbutnya semula. Namun Fakhri pantas meletakkan tangannya ke belakang membuatkan Afyra tidak jadi mahu merebut telefon itu lagi.
“Tengok bibir aku ni. Sem.. bah.. yang.. se.. ka.. rang!” ucap Fakhri sengaja menyebut suku demi suku kata agar isterinya lebih jelas dengan apa yang disuruhnya.
“Annoyinglah kau ni, pak cik!” desis Afyra lantas berlalu dari situ.
Fakhri sempat memandang isterinya mengambil pakaian dari dalam almari. Kemudian dia terus keluar entah ke mana. Lelaki itu sekadar membiarkan. Terus dia bersiap untuk membersihkan diri. Memandangkan asar sudah lama menjelang.
Namun sebelum mula bersolat, Fakhri pergi mencari Afyra. Tidak ketemu. Sudahnya dia solat sendirian di dalam kamar itu. Usai solat, Fakhri mencari lagi isterinya. Namun Afyra terus tidak kelihatan sehinggalah gelagatnya mula dikesan oleh Pak Cik Syawal.
“Kamu cari siapa ni, Fakhri?” tegur lelaki tua itu hairan.
“Afyra..” jawab Fakhri kepada lelaki tua itu.
“Mana anak kamu ni? Suami dia mencari. Dianya entah di mana,” ucap Pak Cik Syawal kepada Ariff.
“Kak Fira ada dalam bilik Rania. Dia tidur.” Rania menjawab terlebih dahulu.
“Tidur??” suara Pak Cik Syawal mendadak meninggi.
Ariff terkejut besar mendengar itu. Sempat dia memandang Fakhri. Fakhri mahu berpaling pergi mencari isterinya. Namun ditegah Ariff.
“Daddy mahu bercakap dengan dia,” ucap Ariff dengan wajah kelat.
“Eloklah tu. Kalau atuk yang bercakap nanti. Rabak gegendang telinga dia nanti,” ujar Pak Cik Syawal tidak senang.
Insyirah hanya mampu menggeleng. Cukup tidak senang melihat Afyra memalukan suami di hadapan ahli keluarga lain.
“Fakhri, pujuklah dia elok-elok. Lama-lama nanti dia okay juga tu,” ucap Insyirah kepada anak muda itu.
“Tak apa, mommy. Saya tak ambil hati. Dia terkejut lagi tu.” Fakhri menjawab lembut.
Di dalam kamar Rania. Memang benar Afyra sedang nyenyak tidur di atas ranjang. Ariff mengejutkan anak itu. Afyra terpisat-pisat bangkit dari tilam sambil menggosok mata.
“Kenapa kamu di sini?”
“Tadi Fira tumpang solat. Fira tertidur,” ucap Afyra tidak faham.
“Kenapa tidak di kamar kamu? Suami kamu mencari kamu semenjak tadi. Kamu bersembunyi di sini! Kamu jangan nak bersandiwara di sini. Daddy tahu apa yang kamu cuba buat!” ucap Ariff agak keras nadanya.
Afyra diam. Mulalah dia buat pegun di atas tilam itu macam tugu.
“Kamu cuba memberitahu semua orang yang daddy tidak pernah mengajar kamu tentang agama?”
“Mana ada macam tu,” ujar Afyra sambil menunduk.
“Jadi kamu sengaja suka-suka mengabaikan kewajipan kamu untuk menjaga maruah suami kamu? Kamu tidak mencintainya, tidak mengapa. Tetapi kamu tidak perlu melawan kata-katanya. Kamu tak perlu memalukan dia depan orang lain. Tidak cinta sekalipun, kamu tetap perlu melayannya dengan baik. Jangan kecilkan hatinya. Kamu suka melihat orang lain mengata mommy dan daddy tak pernah ajar kamu tentang ketaatan kepada suami? Kamu jangan fikir kamu boleh mempergunakan suami kamu untuk membalas dendam kepada Naquib. Semenjak awal lagi kamu sendiri yang meminta untuk dinikahkan dengan Fakhri!” leter si ayah masih dalam nada keras.
Lambat-lambat Afyra bangun juga. Selendangnya kembali dikenakan sebelum dia keluar. Ariff menggeleng berkali-kali melihat gelagat anak itu. Dengan muka tidak bermaya, Afyra turun mencari Fakhri. Dia ternampak lelaki itu di luar. Apa dibuatnya?
Mengutip sampah di halaman rumah yang masih berselerak. Afyra tidak jadi mahu mendekati lelaki itu. Dia sekadar berdiri di pintu yang sedang terbuka luas, memerhatikan Fakhri. Dalam pada itu dia masih terfikir-fikir. Bagaimana mahu meneruskan hidup dengan lelaki itu? Kenal pun tidak. Mulalah dia terasa bodoh pula kerana membuat keputusan tanpa memikirkan kesannya hari ini.
“Cubalah tanya Fakhri tu nak makan ke apa, Fira. Kesian dia. Tak baik buat dia begitu,” tegur Insyirah dari ruang makan.
Afyra menoleh sekilas. Ayahnya sedang berada di ruang tamu. Tajam pandangan Ariff kepada anaknya.
“Emm.. Fakhri..”
Spontan Ariff berdeham. Afyra sudah tidak tentu arah. Tahu dia sedang diperhatikan. Fakhri sekadar menoleh sekilas sahaja. Kemudian dia menyambung kerjanya. Kerusi yang bersepah disusunnya.
Mamat ni memang nak kena. Dia boleh buat derk aja?? Rengus Afyra sekadar dalam hati.
“Panggillah abang. Barulah sejuk hati dia,” sampuk Imanina selamba. Anaknya yang sedang berada di ruang tamu diambilnya untuk dibawa naik.
Walaupun tidak memberi sebarang reaksi, dalam diam Afyra sentap juga. Panggil abang? Eee.. janggal! Enggan membiarkan dirinya menjadi tatapan mata orang, akhirnya Afyra menyarung selipar untuk mendapatkan lelaki itu.
“Hei, pak cik. Kau tak dengar ya aku panggil tadi?” ucap Afyra sambil mencuit belakang suaminya.
“Kau nak apa? Aku sibuk,” balas Fakhri selamba. Sekadar menoleh sekilas, dia kembali mencari kerja yang perlu disudahkan. Makin bengang Afyra melihat gelagat Fakhri.
“Aku bercakap dengan kau ni!” tegas Afyra lantas lengan lelaki itu disambarnya.
Fakhri pantas memandang isterinya. Menanti apa yang mahu diucapkan Afyra. Namun Afyra terdiam pula. Serta merta lengan lelaki itu dilepaskan. Tiba-tiba dia tersedar akan sesuatu. Lelaki itu suaminya. Seseorang yang tidak layak menerima nada tinggi darinya. Apatah lagi penderhakaannya. Sementelah lelaki itulah yang menyelamatkan dia dari aib yang teramat besar.
“Err.. Tak ada apa-apalah.” Afyra berbicara perlahan.
“Cakap ajalah apa kau nak cakap. Aku tak makan orang,” ujar Fakhri sedikit lembut.
“Aku cuma nak tanya kau nak makan ke tidak,” balas Afyra.
“Itu aja soalannya? Tak perlulah buat aksi macam nak bergaduh kalau sekadar itu soalannya,” komen Fakhri biasa.
Afyra terus berpaling menuju ke rumahnya. Dia tahu Fakhri tidak berminat dengan soalannya tadi. Atau mungkin suaminya sudah kenyang.
Hampir maghrib, Fakhri naik semula ke kamar. Tanpa mengetuk pintu, kamar itu dijengahnya. Afyra sedang mengutip pakaian Fakhri yang terbiar di hujung katil. Lelaki itu masuk sambil memandang gelagat isterinya.
“Aku bertuah dapat isteri macam kau ni.” Suara Fakhri kedengaran biasa.
“Tak payahlah nak perli aku!” desis Afyra tanpa memandang lelaki itu.
“Dengar dulu apa aku nak cakap ni, mak cik.”
Afyra pantas menoleh kepada lelaki itu. Fakhri berdiri tidak jauh darinya. Lelaki itu membuat isyarat tentang tudung di kepalanya yang masih melekat semenjak tadi.
“Dalam bilik pun pakai tudung ke? Atau kau tak suka aku pandang aurat kau.”
“Aku tak ada niat macam tu sikit pun. Kat bawah sana abang-abang ipar dan sepupu-sepupu aku ada. Aku penat nak pakai tudung banyak kali. Itu aja!” balas Afyra sebal. Lelaki itu dijelingnya.
Fakhri mengangguk sedikit. Terima saja kata-kata isterinya walaupun sebenarnya dia tidak percaya.
“Aku nak pergi masjid.”
Afyra hanya diam. Saat dia berpaling mahu mencarikan persalinan lain buat lelaki itu, Fakhri sudah tiada di belakangnya. Terkejut dia.
“Eh! Pak cik tu dah pergi ke?” ujar Afyra sendiri.
Sangkanya Fakhri turun sebentar ke bawah. Namun lelaki itu terus hilang sehingga usai waktu isyak. Dia yang terakhir pulang ke rumah. Kata abangnya, Fakhri pergi dan balik dari masjid berjalan kaki. Tidak mahu naik kereta bersama mereka. Aneh. Ada kereta, nak jalan kaki pula!

USAI makan malam bersama, Afyra sengaja menyibukkan diri mengemas rumah. Sementelah memang banyak kerja yang perlu dibuat. Mereka sekeluarga bergotong royong mengemas rumah yang agak bersepah. Maklum sahajalah. Ramai saudara mara datang menginap. Luar rumah juga masih bersepah dengan kerusi dan meja di bawah khemah.
Sambil berkemas sibuk juga mereka mengusik menantu perempuan Ariff dan Insyirah. Adeline hanya tersipu-sipu malu. Tidaklah begitu kekok memandang dia sudah kenal lama dengan keluarga sebelah suami. Tidak ketinggalan juga mereka bercakap tentang Fakhri. Belum seminggu pun berkenalan dengan keluarga mentua, anak muda itu tidak kekok langsung di rumah itu. Tidak hanya berkurung di kamar macam anak dara sunti.
“Sebelah lelaki tak ada buat ke kendurinya, Kak Syira?” tanya Liana, adik ipar Insyirah.
“Tak adalah kut.” Insyirah hanya menjawab biasa. Sepatutnya mereka akan pergi bertandang di rumah keluarga lelaki esok.
“Macam mana begitu tu? Kan ke sepatutnya ada kenduri esok?” Mak cik Zaharah pula menyampuk.
“Entahlah, mak. Syira pun tak tahu nak cakap apa. Orang sebelah sana tak ada cakap apa-apa pun.” Insyirah sekadar menjawab perlahan.
“Kan ke anak dia juga tu? Apa salahnya kalau diteruskan aja? Buat aja macam kita. Orang bertanya, kita cakap ajalah nama pengantin lelaki tu tersalah cetak,” ujar Liana macam bercakap sendiri. Pelik dengan kerenah keluarga Herman. Biarpun bukan Naquib pengantinnya, Fakhri tetap anak. Majlis resepsi tetap boleh diteruskan seperti biasa. Lebih mudah daripada dibatalkan begitu sahaja.
“Entah. Anak yang ni lain. Anak yang tu lain. Ada orang sanggup pilih kasih dalam hal anak-anak ni,” komen Insyirah biasa.
Perbualan mereka terhenti sebaik sahaja Rafael muncul di dapur itu. “Haaaa... siapa nak tak mahu tidur kat ruang tamu. Siap cepat! Kita pergi hotel.”
“Nak!!! Kita orang nak pergi, Abang Rafael!!!”
Liana terkedu melihat anak-anak daranya mula terkinja-kinja. Tak mahu tidur di rumah. Tak muat! Insyirah ketawa kecil melihat anak-anak itu.  
“Mengada-ada nak tidur hotel bagai!” desis Liana sambil menggeleng.
“Biarlah dia orang,” ucap Insyirah sambil tersenyum. Bukan baru kali ini suaminya buat begini. Keluarga Ariff dan Nur Ain semuanya menginap di hotel. Kecuali Celine lebih selesa di rumah Rayland dan Jannah.
“Bankruplah pak long kau orang kalau macam ni,” ujar Liana kepada anak-anaknya.
“Bolehlah, mama.” Rayu Murni manja kepada ibunya.
“Biarlah, Liana. Sekali sekala tak apa,” ucap Insyirah.
“Nenek nak suruh atuk pergi sekali. Tengokkan budak-budak ni.” Mak cik Zaharah terus keluar dari dapur itu.
“Thank you, nenek!” ucap Murni ceria. Bukan main manis lagi senyumannya.
“Ha.. jangan lupa ucap terima kasih. Jangan buat muka sardin aja. Kaki tu jangan panjang sangat nak pergi merayap sana sini. Esok pagi mama datang.” Sempat juga Liana menjerit kepada anak-anaknya yang sudah bertempiaran mahu pergi. Bukan selalu dapat tidur hotel lima bintang free!
“Nasib baiklah Liana ni belum ada menantu. Kalau tidak meletup rumah mak long kau orang ni dibuatnya. Padat!” seloroh Liana sambil ketawa sendiri.
Meledak tawa Insyirah mendengar jenaka adik iparnya itu. Sepeninggalan anak-anak saudaranya, rumah itu sedikit lapang. Cucu Insyirah sebahagiannya sudah lena. Penat. Afyra masih di ruang tamu.
“Fira, ajaklah Fakhri tu naik. Penat dah tu agaknya.” Insyirah menegur anak perempuannya itu. Fakhri dilihatnya sedang duduk di luar meneguk air.
Afyra sekadar mengangguk. Walaupun berat hati, dia tetap mendekati pintu utama.
“Naiklah atas. Dah lewat ni,” ucap Afyra sekadar dari pintu. Fakhri hanya memandang sambil bangun. Gelas ditangannya diberikan kepada Afyra ketika dia berada dekat dengan isterinya.
“Apa?”
“Tolonglah hantar ke dapur,” ujar Fakhri lembut.
Walaupun hati tidak ikhlas, Afyra mengambil juga gelas itu.
“Macam tulah..” ujar Fakhri sambil tersenyum.
Sesudah menghantar gelas itu ke dapur, Afyra turut mendaki tangga mahu naik ke atas. Di dalam kamar itu, Fakhri sudah siap menanggalkan pakaian. Mahu membersihkan diri. Afyra buat-buat tidak memandang lelaki itu. Tiada perbualan antara mereka sehinggalah Fakhri berlalu ke kamar mandi.
Sebaik sahaja lelaki itu tiada, barulah dia menanggalkan tudung. Tubuhnya dihempas ke tilam. Penat ya ampun! Dalam pada itu dia terfikir-fikir, bagaimana harus berkongsi kamar dengan lelaki itu. Aneh benar rasanya. Teramat janggal. Menukar pakaian macam mana? Fakhri memanglah tiada masalah. Dia?
Sudahnya Afyra bangkit semula. Sementara lelaki itu tiada, bolehlah dia mengganti pakaian terlebih dahulu. Pakaian ditubuhnya ditanggalkan. Jubah mandi di sarung dan kepalanya diserkup dengan tuala. Kemudian dia duduk semula di birai katil.
“Nanti tidur macam mana pulak?” ucap Afyra sendiri. Buatnya Fakhri meminta haknya, macam mana??
“Eee.. sesaknya otak aku ni!” getusnya sambil menongkat dagu. Fikir macam mana nak lari.
Afyra terus bangun sebaik sahaja Fakhri keluar dari kamar mandi. Lelaki itu mengerut kening melihat gelagat isterinya. Menonong saja ke kamar mandi tanpa menoleh.
Baru sahaja lelaki itu mahu mencari pakaian di dalam beg, dia terlihat sepasang baju tidur berlipat kemas ada di hujung katil. Untuk dia agaknya. Terus sahaja disarung ke tubuh. Selesai itu Fakhri terus merehatkan tubuhnya yang keletihan di atas katil.
Lama benar pula Afyra di dalam kamar mandi. Hanya ketika matanya sudah hampir layu barulah kelibat isterinya muncul. Afyra terus sahaja ke pintu. Lampu dimalapkan. Kononnya supaya senang lelaki itu tidur. Padahal dia tidak mahu dirinya kelihatan jelas di mata Fakhri.
“Kau masih cintakan abang aku?” suara Fakhri tiba-tiba kedengaran memecah keheningan kamar itu.
Afyra menoleh sedikit. Dia tak tidur lagi?? Desis hatinya mula tidak tenang. Soalan itu dibiarkan tanpa jawapan. Dia terus sahaja mengenakan pakaian.
Fakhri menghela nafas perlahan sambil memandang ke atas. Afyra terus ke meja solek. Suasana kembali hening. Fakhri menoleh pula kepada isterinya. Terbau sesuatu yang harum tiba-tiba. Baru kali itu dia melihat Afyra tidak mengenakan tudung. Cantik. Terlalu cantik di matanya biarpun senyum Afyra masih terlalu mahal.
“Aku belum bersedia untuk beri diri aku pada kau dalam keadaan macam ni. Aku harap kau faham,” ujar Afyra saat dia terkesan pandangan Fakhri kepadanya.
“Asalkan jangan kau sengaja berhias terlalu cantik di mata aku,” jawab Fakhri sambil mengalihkan pandangan. Pantas dia mengiring membelakangi tempat tidur isterinya.
Afyra pegun seketika memandang gelagat lelaki itu. Baikkah lelaki itu sebenarnya? Entah. Lelaki itu dan Naquib adik beradik. Tetapi wajah mereka langsung tidak seiras. Gaya dan cara bertutur juga tidak ada kesamaan.
Puas termenung Afyra bangun mendekati ranjang. Fakhri masih berkeadaan sama seperti tadi. Tidak berkutik saat Afyra naik ke tilam. Terkebil-kebil matanya di celahan kemalapan suasana kamar. Mimpikah dia saat ini? Ada seorang lelaki di sebelahnya yang kini bernama suami. Tetapi bukan Naquib.
Perlahan Afyra menoleh ke sebelahnya. Belakang lelaki itu dipandang lama. Cuba mengenali lelaki itu dari susuknya. Namun tiba-tiba Fakhri bergerak. Afyra pantas mengalihkan pandangan. Mata dipejamkan konon sudah tidur.
“Tidurlah. Aku tak akan sentuh kau tanpa kerelaan kau sendiri,” ucap Fakhri biasa.
Lega hati Afyra mendengar itu. Dia menarik selimut sehingga ke dada. Tubuhnya dibalikkan membelakangi lelaki itu. Puas terkebil-kebil, dia akhirnya terlena. Lena di dalam keanehan rasa dan suasana baru dalam hidupnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan