Khamis, 11 Ogos 2016

BAB 7 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 7
MALAM!
Rumah itu padat dengan manusia. Seperti yang telah dikhabarkan semenjak awal, malam itu bakal berlangsung satu upacara pernikahan. Afyra disiapkan seperti pengantin lazimnya. Sepanjang masa itu, dia hanya membisu seribu bahasa. Serasa seperti semua ini mimpi. Hatinya merasa kosong sekali.
Usai dihias, kamarnya dimasuki oleh seseorang. Ariff meminta anak-anaknya yang lain keluar. Dia mahu bersendirian di situ bersama Afyra. Anak itu digamit agar duduk dekat dengannya di birai katil.
“Seorang lelaki yang kamu cintai telah melukai hati kamu. Seorang lagi datang menyelamatkan maruah kamu. Meminta untuk membela kamu. Kita tidak tahu apa akan jadi seterusnya dalam hidup kita. Tetapi sebahagian penentu esok adalah tindakan kita hari ini. Buka mata hati kamu seluas-luasnya. Buat pilihan bukan dalam keadaan hati yang buta.”
“Fira tak sanggup, daddy.” Gadis itu mula terasa mahu menangis semula.
“Fira, ada beribu sebab boleh dijadikan alasan untuk kita batalkan saja semua ini. Hanya ada beberapa sebab yang tidak pasti benar atau tidak untuk kita teruskan. Kita hanya manusia biasa yang mengharapkan pertolongan dari Allah. Sudah pun DIA berikan petunjuknya. Daddy mahu kamu menolak kehendak hati dan memilih apa yang telah ditakdirkan,” ucap Ariff lembut.
“Fira tak kenal dia siapa,” rinth Afyra. Setitis air matanya jatuh lagi.
“Masih ingat lelaki yang kamu intai waktu dia berkerja sebagai tukang kebun di rumah kita dulu? Hanya sehari dia di sini. Dialah orangnya. Kebetulan dia dan Naquib adalah adik beradik tidak sama ibu. Dia masih ingat pada Fira. Dia ada beritahu pada daddy, dia mahu mengahwini Fira kerana daddy pernah berbuat baik kepada dia.”
Afyra terpaku memandang wajah sang ayah. Keningnya berkerut. Benarkah? Lelaki yang dia lihat dulu, kumis dan janggutnya tidak terbela. Selekeh. Berbeza banyak berbanding rupa Fakhri sekarang.
“Masih ingat?”
“Ia. Muka dia berubah sikit.”
“Waktu itu dia awal 20-an. Daddy melihat sesuatu pada dia yang tiada pada Naquib. Dia datang ke sini bertemu daddy. Dia orang yang berani. Naquib tidak begitu. Dia melarikan diri, tidak mahu berhadapan dengan kita selepas membuat onar,” ucap Ariff.
Afyra tunduk semula.
“Daddy akan selalu berdoa kepada Allah. Daddy tak mahu kamu ditimpakan kesusahan. Tapi daddy yakin, keputusan yang kita telah ambil itu lebih tepat.”
“Fira ikut aja, daddy.”
Ariff mendekatkan wajahnya kepada si anak. Dahi anak itu dikucup penuh kasih sayang.
“Daddy turun bawah dulu.” Ariff bangun semula.
Namun di bawah terjadi kekecohan sedikit apabila pengantin lelaki tidak jadi itu, tiba mendahului Fakhri. Datang bersama keluarganya macam tidak ada apa-apa berlaku! Kemudian diikuti oleh kadi.
Insyirah kalut melihat Naquib yang datang bukan Fakhri. Terus dia menggamit suaminya agar menjauh.
“Macam mana ni?? Kata tak jadi?? Kenapa dia datang?” tekan Insyirah benar-benar tidak senang.
“Tenang saja. Saya tahu apa yang perlu dibuat.” Ariff membawab lembut. Sempat dia menepuk tangan isterinya.
“Saya tak suka Afyra bernikah dengan Naquib, Ariff. Biarlah malu. Saya tak rela terima dia sebagai menantu saya. Saya tak suka dia!” tekan Insyirah bersungguh.
“Ia, saya tahu. Serahkan pada saya. Tenang ya?” balas Ariff tetap lembut.
Ariff duduk berdekatan dengan kadi. Lelaki itu masih sibuk memeriksa dokumen. Debar di dadanya cuba dinyahkan. Dia yakin Allah akan membantunya. Hanya wajah Umarul yang mahu dilihatnya saat ini.
Tidak lama kemudian Umarul tiba bersama Fakhri. Menantu Ariff itu mengangguk dengan sedikit senyuman kepada bapa mentuanya. Ariff melepaskan nafas lega.
Fakhri? Lelaki itu mengenakan baju melayu putih bersamping songket berwarna ungu berbenang emas. Ariff segera membuat isyarat agar anak muda duduk dekat dengan kadi.
Naquib sempat menoleh kepada adiknya. Terkejut melihat Fakhri ada di situ.
“Aku dah cakap jangan datang, kan?? Kau tak faham bahasa ke apa??” tekan Naquib dalam nada tertahan.
Fakhri tunduk kemudian. Sempat dia memandang kepada Ariff. Namun Ariff tetap meminta dia menunggu di situ.
Umarul pula sibuk berbisik dengan kadi. Beberapa dokumen diserahkan kepada kadi. Kadi itu diam lama. Matanya memandang dokumen-dokumen yang diberikan kepadanya. Puas dibeleknya. Kemudian dia menggaru serbannya.
"Ni mana satu pengantinnya ni? Aku dah pening. Macam mana pulak boleh jadi begini?" ucap kadi itu.
"Yang ni. Yang asal tu terbatal," ujar Umarul sambil menunjukkan dokumen yang di atas sekali.
"Walinya yang mana satu?" Kadi itu memandang sekeliling. Matanya terpusat kepada lelaki tua seorang itu.
"Tunjukkan saya. Mana satu pengantin lelakinya. Ni sampai dua orang nak nikah di sini ni."
"Ini.." Ariff tersenyum sambil menunjukkan lelaki yang duduk di sebelah Naquib.
Kadi itu terus memandang Naquib. "Jadi kamu duduk depan aku ni untuk apa? Yang nak nikahnya dia!" ucapnya. Sempat dia memandang anak muda itu. Dah siap macam nak nikah lebih dari pengantin lelaki.
Wajah Naquib berubah. Ruang tamu itu mula riuh rendah.
"Daddy.. saya nak teruskan pernikahan ni," ucap Naquib perlahan. Namun tegas.
"Saya tidak izinkan anak saya dinikahkan dengan lelaki ini, tuan kadi." Ariff menjawab tenang.
Kadi itu ternganga. Tidak pernah seumur hidupnya berlaku seperti ini. Satu pengantin perempuan, dua pula pengantin lelakinya!
“Tidak boleh,” jawab Ariff.
“Saya bersungguh, daddy. Kali ni saya tak akan tarik semula keputusan saya. Tolong beri saya peluang,” rayu Naquib.
"Kamu telah menolak untuk menikahi Afyra. Kemudian kamu ubah lagi keputusan kamu di saat akhir. Kami tidak terima orang yang tiada pendirian di sini. Saya sedia menerima anak pungut itu sebagai menantu saya!" ujar Ariff kepada Naquib.
Naquib terpana. Semua mata terhala kepadanya.
“Hanya seorang lelaki yang boleh menikahi anak saya. Lelaki itu mestilah pilihan saya,” ujar Ariff kepada kadi itu.
“Tapi Afyra cintakan saya, daddy.” Naquib menyampuk.
Ariff ketawa perlahan. “Kamu tidak sedar itu sebelum kamu putuskan untuk menolak dia semalam?” jawab Ariff. Naquib terus tunduk.
“Beginilah. Panggilkan pengantin perempuannya dulu,” ucap kadi itu sambil menghela nafas perlahan.
Sementara menunggu pengantin perempuan turun, Umarul berbicara amat perlahan dengan kadi itu. Kadi itu terangguk-angguk mendengar penjelasan Umarul. Ariff sekadar memandang ke arah tangga. Menanti anak gadisnya dibawa ke situ.
Afyra tiba di bawah dengan disambut pandangan semua tetamu. Ruang tamu itu hening tiba-tiba. Kadi itu meminta dia duduk dekat dengan pengantin lelaki.
“Bapa kamu mahu menikahkan kamu dengan lelaki ini. Adakah kamu bersetuju dengan kerelaan hati kamu untuk dinikahkan dengan lelaki ini,” ujar kadi itu sambil menunding ke arah Fakhri.
Afyra memandang Naquib seketika. Kemudian dia memandang Fakhri. Yang terakhir, barulah dia memandang ayahnya. Lama pandangan matanya terhala kepada si ayah.
“Mana satu lelaki yang kamu mahu jadi suami kamu. Yang ini atau yang ini. Kamu kena jawab. Jangan diam aja. Hal begini tak boleh dibuat main. Kamu yang akan menanggungnya kemudian nanti,” ujar kadi itu kepada Afyra.
“Jawab soalan kadi tu, Fira.” Umarul bersuara lembut kepada adik iparnya.
Afyra diam lagi. Keliru di saat genting itu. Namun satu hal yang tidak pernah lepas dari fikirannya. Restu ayah dan ibunya terletak yang utama. Berbanding cinta.
“Saya setuju dinikahkan dengan dia,” ucap Afyra sambil menunding ke arah Fakhri.
Dan ruang tamu itu mula gamat usai Afyra memberi jawapan itu. Fakhri tunduk melepaskan nafas lega. Namun tidak dengan Naquib. Terkejut mendengar jawapan kekasihnya.
“Fira! Abang datang untuk Fira!” tegas Naquib. Merah wajahnya menahan malu. Tidak pernah dia dimalukan sebegini sekali di hadapan orang.
“Abang dah putuskan hubungan kita semalam. Tak ada peluang kedua lagi selepas itu. Abang dah malukan keluarga Fira.” Afyra menjawab sedih.
“Abang masih sayangkan Fira. Abang minta maaf..”
“Naquib, sudahlah! Mari kita balik,” ucap Herman pantas. Tidak mahu melihat anaknya merayu-rayu di hadapan orang ramai. Dia bangkit menarik tangan anaknya.
“Fira! Sampai hati Fira buat abang macam ni. abang bersungguh nak kahwin dengan Fira!” ucap Naquib masih tidak mahu memberikan tempatnya kepada si adik.
Afyra sekadar tersenyum sinis. Ariff pula sekadar memandang Naquib dengan pandangan kosong.
“Daddy, saya tahu saya dah buat kesilapan yang besar. Saya sayangkan Afyra.”
“Kamu tidak buat kesilapan. Tapi Allah tidak izinkan Afyra berjodohan dengan kamu. Terima hakikat itu.” Ariff menjawab lembut.
“Naquib, sudah! Mari kita balik!” bentak Sarimah sudah tidak sanggup menunggu di situ.
“Ayah tak mahu tunggu sini? Saya nak nikah,” ucap Fakhri saat Herman mahu berlalu bersama Naquib.
“Sekali kau ingkar cakap aku, kau bukan lagi anak aku!” ucap Herman perlahan. Namun tajam.
Wajah Fakhri berubah. Sedih. Terlalu sedih. Apa lagi salahnya? Liur yang ditelan terasa amat kelat. Di hadapan orang ramai ayahnya sanggup berkata begitu kepadanya.
“Astaghfirullah.. apa nak jadi ni?” ucap kadi itu sambil menggeleng. Tidak pernah melihat kejadian seumpama ini.
Umarul bangun lalu mendekati Fakhri. Dia meminta Fakhri mengambil tempat duduk Naquib tadi.
“Macam mana boleh jadi begini ni? Majlis orang dibuat main. Sekejap nak nikah. Sekejap tak mahu. Adik beradik berebutkan satu perempuan. Jangan kerana ini hubungan silaturrahim terputus. Berdosa!” ucap kadi itu kesal.
Fakhri hanya diam menghadap kadi itu.
“Boleh kita teruskan, bapaknya?” tanya kadi itu kepada Ariff.
“Ia. Silakan..” ucap Ariff lembut. Malas mahu memikirkan kekecohan tadi.
Usai memberi khutbah pendek, akad nikah diteruskan. Fakhri berjabat tangan dengan Ariff.
“Ahmad Fakhri Rizal Bin Herman.”
“Saya.”
“Aku nikah akan dikau dengan anakku, Nurul Afyra Binti Muhammad Ariff Buhler dengan mas kahwin Ringgit Malaysia sepuluh ribu tunai!”
“Aku terima nikah Nurul Afyra Binti Muhammad Ariff Buhler dengan mas kahwin Ringgit Malaysia sepuluh ribu tunai!” akad itu disambut lancar oleh Fakhri.
“Sah?” tanya kadi kepada dua saksi.
“Sah!”
“Alhamdulillah..” ucap kadi itu senang hati. Selamat juga majlis kali ini walaupun dua pula tukang suntingnya. Kata orang, lelaki yang terbaik itulah pemenang. Siapa pemenang? Sesiapa yang telah mendapat keizinan Allah!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan