Selasa, 9 Ogos 2016

BAB 1 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 1
ADAKAH hidup ini sekadar mimpi? Tidak! Orang bijak pasti akan selalu mencari jalan untuk berjaya.
Bergolok bergadai! Untuk meneruskan hidup dia berjaya menjual rumah pusaka arwah neneknya dengan nilai 45 ribu untuk anak seusia dia, memang agak banyak. Rambang mata! Boleh pergi berjoli, membeli motor baru dan sebagainya.
Namun tidak bagi Fakhri. Duit itu digunakan untuk membayar kos pengajian di sebuah kolej swasta. Bakinya barulah dia membeli motor terpakai yang berharga tidak sampai seribu. Dibaikinya sendiri dengan pengetahuan yang ada.
Mengambil kursus secara sepenuh masa, tidak mudah untuk dia menyara diri dalam keadaan tiada sumber. Dia lebih rela menongkah arus diri yang mahu serba serbi untuk nampak hebat di kota Kuala Lumpur. Susah dulu, senang kemudian. Itu juga pegangan yang sering ditekankan oleh arwah emaknya kepada dirinya. Biarlah dia menjadi orang yang paling tidak kelihatan di mata orang lain. Asalkan tidak tenggelam dalam prinsip, biar papa asal bergaya.
Kerja apa yang dia lakukan untuk menyara diri di kota serba duit itu?
Hari cuti, awal pagi dia akan membawa mesin rumputnya di kawasan perumahan terdekat. Menawarkan khidmat membersihkan halaman rumah orang. Sebenarnya, jika dia rajin mencari peluang, rezeki dalam kerja ini memang membuak-buak. Tambah pula harga yang ditetapkan lebih rendah berbanding ‘bangla-bangla’ yang konon memang pandai mencuri peluang di negara orang.
“Kau belajar lagi ke?” tanya tuan rumah yang baru selesai dibersihkannya.
“Ia, bang.”
“Mak ayah?”
“Mak dah tak ada. Ayah ada lagi,” jawab Fakhri dengan senyum manis.
Lelaki itu mengangguk sambil memandang sekeliling. Puas hati dengan kerja Fakhri. Sedap matanya memandang halaman rumahnya. Bukan sekadar rumput sudah dipotong pendek, siap bersapu dan pokok-pokok di halaman rumah juga sudah dicantas kemas oleh Fakhri.
“Begini. Aku ni tak suka nak cari tukang kebun berkali-kali setiap kali rumput panjang di halaman rumah ni. Aku nak upah kau secara tetap. Macam mana?” ujar Nizam lembut. Daripada dia mengupah lelaki bangla dengan harga RM 50 untuk sekadar memotong rumput kemudian sisa rumput terpaksa pula disapu pula sendiri atau ditambah upah lagi, lebih baik dia mengupah budak ini secara tetap.
“Boleh.”
“Boleh? Kau datang sini seminggu sekali sudahlah. Sabtu atau Ahad. Aku bayar kau sebulan tiga ratus rimggit.”
“Boleh, bang. Saya datang setiap hari Sabtu.”
“Cukup upah 3 ratus tu?”
“Cukuplah tu. Kerja saya hanya sejam dua aja, bang. Bukannya saya duduk di sini sampai sehari suntuk,” jawab Fakhri jujur.
“Okay. Aku akan rekemen kau pada jiran-jiran sebelah ni. Mana tahu murah rezeki kau,” ujar Nizam bersungguh.
“Terima kasih, bang.” Lebar senyum Fakhri mendengar itu. Petanda baik.
“Sama-sama..”
Selain itu apa lagi yang dibuat oleh anak muda itu? Di musim cuti semester, dia berkerja sebagai runner menghantar pesanan makanan dari restoran-restoran tertentu kepada pelanggan. Tidak begitu banyak upahnya. Tapi sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Bertahun-tahun itu Fakhri bertahan dengan segala macam susah. Setiap kali jiwa lemah, dia terkenangkan kehidupan yang tidak boleh dijejakinya lagi. Tiada tempat untuk dia pergi jika dia gagal.
Dengan baju yang selekeh, dia hanya orang tidak punya apa-apa. Ya, di mata orang! Tetapi setelah tamat diploma, dia melanjutkan pelajaran ke Australia. Sekaligus bekerja secara sambilan sebagai pengutip buah mengikut musim. 
Adakah dia orang yang tidak punya apa-apa? Tidak! Tidak penting pandangan orang kepadanya. Yang penting dia tahu, Allah sudah memberikan dia segala-gala yang diperlukannya.

HARI itu awal pagi rumah itu didatangi seorang pekerja upahan. Ariff pergi menyambutnya di pintu pagar.
Anak muda itu terpaku melihat seorang lelaki bangsa asing datang kepadanya. Dia kembali melihat kertas yang diberikan kepadanya oleh Nizam.
“Err.. Encik Nizam suruh saya..”
“Kamu tidak salah rumah,” pintas Ariff saat anak itu masih terkebil-kebil.
“Maaf. Tan Sri Muhammad Ariff ni tuan ke?” Fakhri ternganga sedikit. Fasih berbahasa Melayu rupanya lelaki ini.
“Ia. Panggil pak cik saja. Nama kamu siapa?” ucap Ariff lantas tersenyum.
“Fakhri. Pak cik pandai cakap Melayu ya? Saya kagum,” ucap Fakhri sambil membalas senyuman lelaki itu.
“Apa saja yang kita mahu tahu, kita akan belajar tentangnya. Amalkan. Lama kelamaan kita akan biasa. Berapa usia kamu?”
“23 tahun, pak cik.”
Ariff sekadar mengangguk. “Sudah sarapan pagi?”
Fakhri ketawa kecil. “Dah. Kalau tak makan pagi tak boleh buat kerja,” ujarnya lembut. Senang dengan sikap ramah orang kaya ini.
“Silakan masuk.”
“Pak cik nak saya buat apa lagi selain mesin rumput?” tanya Fakhri saat berjalan seiringan dengan lelaki itu.
“Kamu potong pokok bunga tu. Kemaskan. Sudah lama tidak dijaga. Pasu bunga itu semua harus dipindahkan ke tepi rumah.”
Fakhri mengangguk sambil memandang pasu bunga yang dimaksudkan oleh tuan rumah.
“Saya alihkan dulu pasu tu. Lepas tu baru saya mesin rumput,” jawab Fakhri.
Ariff sekadar mengangguk. Anak muda itu ditinggalkan di situ untuk membuat kerjanya. Mereka bersarapan sekeluarga sebelum memulakan aktiviti harian.
Di tingkat paling atas, Afyra sibuk mengemas biliknya. Kemudian dia terdengar bunyi sesuatu. Pantas dia menjengah ke tingkap. Seorang lelaki sedang menggalas mesin rumput di halaman rumah. Tidak sedar berapa lama masa sudah digunakan untuk memerhatikan gerak geri lelaki itu. Juga tidak sedar ibunya masuk ke kamarnya.
Insyirah terpaku seketika melihat gelagat Afyra. Kemudian dia terus mendekat.
“Tengok apa? Tengok apa tu??” Insyirah menepuk bahu anak gadisnya itu dua kali.
Terkejut Afyra yang sedang mengintai di cermin. Pantas dia berpaling. “Siapa tu, mommy?”
“Dah nampak dia dia buat apa kat luar tu, kan? Masih tanya lagi? Gatal ya?” balas Insyirah sinis.
Afyra terkulat-kulat memandang ibu berlalu. Namun kemudian dia kembali menyelak langsir.
“Siapa nama mamat tu ek? Macam tak sesuai aja kerja mesin rumput,” ucap Afyra seorang diri. Bukan main lagi mengintai tukang kebun di halaman rumah. Dari jauh nampak lelaki itu macam masih muda. Tetapi memandang dari atas, wajah lelaki itu tidak begitu jelas.
“Nurul Afyra Binti Muhammad Ariff! Daddy.. tengok apa anak dara awak ni buat.” Insyirah mula menjerit memanggil suaminya pula.
Tersirap darah Afyra mendengar lengkingan suara ibunya. “Fira tengah kemas mejalah, mommy..” jawab Afyra sambil dia kelam kabut menyusun buku di atas meja belajar. Mati aku kena ceramah sekejap lagi!
Saat dia berpaling ke arah pintu kamarnya, dia lihat ayahnya sedang berdiri memerhatikan dia.
“Fira tak buat apa-apa pun.”
“Daddy tak ada tanya. Kamu rasa bersalah, kenapa? Ada buat salah?” perli Ariff lantas berlalu dari situ.
Melihat ayahnya sudah berlalu, Afyra kembali lagi menyelak langsir. Lelaki tadi sudah tiada!
“Ha? Mana dia pergi? Takkan dah siap kut? Tak sempat nak tanya nama.” Terbuntang mata Afyra mencari kelibat tukang kebun itu.
“Ehemm..” deheman suara lelaki itu, mengejutkan Afyra. Pantas dia mengambil hujung langsir lalu cermin di hadapannya itu dilapnya. Ariff segera mendekati anaknya itu.
Afyra hanya berani menoleh sedikit.
“Dia hanya ada di sini hari ini saja. Daddy minta dia kemaskan halaman rumah.”
Afyra berpaling lambat-lambat kepada ayahnya. “Tak mahu tahu pun!” ucapnya selamba. Dia tahu lelaki itu diupah mencantikkan halaman memandangkan sehari dua lagi pernikahan kakaknya Imanina akan berlangsung di rumah ini.
Ariff tersenyum sendiri memandang anaknya berlalu. Tak mahu tahu tapi mengintai dari tadi.
Di bawah masih kedengaran bunyi mesin rumput. Tetapi di bahagian belakang rumah. Afyra ke dapur. Pembantu rumah sedang menyiapkan bahan untuk mula memasak. Afyra mengintai lelaki itu dari pintu dapur pula. Lelaki itu mengenakan cermin mata besar untuk melindungi matanya. Bingit bunyi mesin yang sedang digunakan lelaki itu.
“Cutelah mamat tu,” ucapnya seorang diri. Asyik sangat mengintai, tiba-tiba ada sesuatu terbang ke arahnya. Dan dalam sekelip mata objek itu mengena bawah mata. Tersentak Afyra.
“Adoi!” cepat-cepat dia masuk ke dalam semula sambil menekup bahagian yang terasa perit. Terlihat ibunya, dia segera mendekat.
“Mommy, tolong tengok kejap. Sakit.”
“Kenapa ni?” tanya Insyirah sambil menarik tangan Afyra. Bahagian bawah mata anaknya ada sedikit kesan bengkak kemerahan.
“Tak tahu. Ada benda terbang tadi waktu Fira tengok kat luar.”
“Tulah akibatnya mengintai. Gatal lagi tengok lelaki,” perli Insyirah selamba.
“Mana ada..”
“Ingat mommy tak nampaklah?” balas Insyirah sambil mengusik bahagian yang sudah timbul itu.
“Sikit aja ni. Sapu minyak gamat eloklah,” ujar si ibu lembut.
“Tak cantiklah Fira kalau macam ni,” omel Afyra sambil mencebik.
“Eh! Perasannya. Cantik ke Fira selama ni?” gerutu si ibu lantas berlalu. Malas nak layan kerenah si anak.
Afyra terkebil-kebil sendiri sambil menyentuh kawasan yang terasa sakit itu. Hilang terus minatnya mahu melihat si tukang kebun yang cute itu. Dia berlari naik ke atas untuk mencari minyak gamat.
Menjelang tengah hari, dia diminta menghidangkan lelaki itu makan. Bukan main laju lagi dia ke depan sambil menatang dulang. Lelaki itu sedang berehat. Lelaki itu sekadar memandangnya sekilas saat dia meletakkan dulang makanan di atas meja. Sepanjang dia memindahkan pinggan nasi dan lauk pauk dari atas dulang ke atas meja, lelaki itu hanya memandang sekeliling.
Dan beberapa jam kemudian dia tidak sedar entah bila lelaki itu pergi. Kawasan halaman rumah sudah kemas. Ayahnya asyik memuji-muji anak muda itu. Bagus kerjanya. Rajin.

Afyra? Terkebil-kebil mendengar celoteh daddynya. Mengintai lelaki itu sampai bengkak mata. Lelaki itu tidak peduli kehadiran dia pun!

3 ulasan: