Rabu, 16 November 2016

PROLOG MR. CRUSH

PROLOG
BERMULA sesi persekolahan awal tahun.
Pelajar-pelajar Tingkatan 3 Gigih itu segera berdiri menyambut kehadiran guru itu. Guru itu menyapa mesra.
“Kita jumpa lagi,” ucap Fareena lantas tersenyum.
“Yes!”
Fareena memandang pelajar-pelajar itu dengan kerutan di kening.
“Apa yang yes?”
Sebahagian pelajar lelaki mula tersengih-sengih memandang guru itu. Ketua kelas mengetuai ucapan salam kepada guru itu. Kemudian semua pelajar diminta duduk.
“Cikgu ajar kami math ke?” tanya pelajar yang duduk paling dekat dengan meja guru.
“Tak suka ke?” balas Fareena sengaja mengusik.
Pelajar bernama Edin itu tersengih lebar. Gila tak suka! Guru itu guru yang paling cantik dia pernah jumpa. Suka tersenyum.
“Tahun lepas cikgu mengajar sains di kelas kamu. Mulai tahun ini dan seterusnya, cikgu mengajar math dan Pendidikan Seni.”
“Yeay! Ini memang berita baik.” Beberapa pelajar ikut bersorak. Pelajar wanita hanya tersenyum.
“Kelas kami ada peraturan, cikgu.” Edin bersuara lagi.
“Peraturan apa?” tanya Fareena lantas memandang Edin.
“Cikgu tak boleh MC. Tak boleh cuti. Nanti kami susah hati tak dapat jumpa cikgu. Cikgu pun mesti susah hati bila tak jumpa kami. Betul tak, guys?”
“Betul...” sambut suara-suara lain.
“Cikgu tak payah mengajar kelas lainlah. Cikgu mengajar kelas kami aja.”
Fareena ketawa mendengar celoteh pelajar-pelajarnya. Nakal!
“Dah. Dah. Rajin bodek cikgu, kan? Semalam cikgu terjumpa mummy awak. Dia pesan, kalau awak main-main dalam kelas math, dia nak cikgu rotan.”
“I rela dirotan oleh you,” jawab Edin membuatkan kelas itu hingar bingar dengan gelak. Fareena menjegilkan matanya kepada Edin. Edin tersengih kepada guru muda itu. Fareena ketawa juga akhirnya. Pelajar bernama Edin itu memang suka mengusik. Tetapi budaknya bijak. Disayangi ramai guru.
“Okay. Dah dua hari kamu semua duduk dalam kelas cikgu tak masuk mengajar, kan? Bukan main bising lagi sampai ke bawah boleh dengar. Hari ni, sila buka buku teks Matematik dan satu buku nota. Kita mulakan dengan bab 1. Sudut Dan Garis II.”
Sementara menunggu pelajar-pelajar itu membuat persediaan, Fareena menulis di papan putih.
Sesi pengajaran berlangsung dengan baik walaupun agak panjang. Karakter guru muda tersebut mudah menarik perhatian remaja-remaja itu kepada pengajarannya. Seluruh kelas memandang ke arah papan putih.
“Gambarajah ni mewakili apa?”
“Sudut sepadan?” beberapa orang pelajar lelaki menjawab rawak.
“Salah. Tengok balik nota tadi.” Fareena segera menunding ke arah beberapa pelajar yang mengangkat tangan.
“Sudut selang-seli..”
“Good girl..” Fareena tersenyum. Satu lagi gambarajah dilukis.
“Siapa nak cuba?”
Maka berduyun-duyunlah pelajar mengangkat tangan termasuk si Edin. Tidak pernah culas mempromosi dirinya. Senang hati melihat keadaan itu. Tanda pelajar-pelajar itu berminat menguasai ilmu.
Hampir selesai waktu Matematik guru itu duduk di kerusinya.
“Cikgu, untuk math kita pakai berapa buku?” tanya Edin.
“Dua. Satu untuk nota. Satu untuk latihan.”
“Ada homework tak hari ni?” Edin segera menyeringai dengan harapan tiadalah kerja rumah diberikan kepada mereka.
“Nak ke? Cikgu boleh bagi.”
“Alah... kan baru first day hari ni? Janganlah...” rungut Edin. Fareena tersenyum.
“Hari ni tak ada. Hari Rabu nanti ada.”
Bunyi loceng menandakan waktu mengajar tamat. Kelas itu riuh rendah jadinya. Mata pelajaran lain pula mengambil giliran.
“Stand up, class..” arah Fareena sambil menutup semua bukunya. Buku itu disusun kemas sebelum diambil.
“Thank you, teacher..” seisi kelas itu serentak mengucapkan terima kasih.
Guru itu terus keluar setelah menyahut ucapan itu.
“Fuyooo... Edin rela dirotan oleh cikgu. Meh nak rotan sekali.” Bergema ejekan di dalam kelas itu. Edin menoleh ke belakang sambil tersenyum bangga.
“I love math!” ucap Edin membuatkan kelas itu riuh rendah oleh tawa dengan gelagatnya. Nakal sekali!

NUR AIN berdiri di ambang pintu gelangsar. Tersenyum sendiri memerhatikan anak-anaknya di halaman rumah. Bermain bola keranjang. Muhammad Raid Zuhayr anaknya yang sulung. Sudah berusia 22 tahun. Begitu juga dengan kembar Raid, Amanda Nur Zuhayr. Ikut sama cuba merebut bola dari tangan si abang kembarnya. Sudahnya terpekik-pekik marahkan Raid.
“Malas nak main dah! Penipu!” marah Amanda. Terus dia berlalu dari gelangang bola keranjang itu. Namun Raid sengaja melempar bola ke punggung Amanda. Menyebabkan bola itu melantun tidak tentu hala. Perbuatan si abang menyebabkan dua lagi adiknya Rauf dan Firdaus ketawa terbahak-bahak.
Amanda berkejaran mendapatkan Raid. Tetapi lelaki itu lebih cepat melarikan diri. Lintang pukang mencari tempat selamat.
I hate you, Raid!!! Mama, tengoklah dia ni!!!” jerit Amanda bengang.
Nur Ain ketawa kecil. Amanda adalah anak perempuan tunggal dia dan Rafael. Manja. Tetapi selalu menjadi mangsa usikan adik beradik lelakinya.
“Jahat! Bencilah main dengan abang tu. Main tolak aja,” rungut Amanda setelah mendekati mamanya.
“Manda ni... adat bermain ada kalah ada menang, kan?” ucap Nur Ain lembut.
“Abang tu suka buli orang.” Amanda menjeling Raid yang sedang berjalan sambil tersengih-sengih kepadanya.
“Jomlah main,” ucap Raid setelah mendekati adik dan ibunya.
“Malas!” jawab Amanda sambil menjeling.
“Alah... tak syoklah team tak cukup. Cepatlah, Manda. Usik sikit pun nak marah.”
“Asyik dia aja pegang bola. Kita tak dapat pun,” rungut Amanda sambil memandang ke arah lain.
“Dah pegang bola macam pegang shawl yang baru gosok. Kena rampaslah.” Raid terus ketawa. Kata-katanya itu turut membenihkan tawa ibunya. Makin mencuka wajah Amanda.
“Manda, cepatlah. Abang bagi bola,” pujuk Raid bersungguh.
“Bak sini..” ucap Amanda lantas menghulurkan tangan mahukan bola itu. Raid segera memberikan bola itu.
“I want to win!” ucap Amanda nekad. Penat asyik menjadi orang yang kalah. Setelah berlalu ke arah gelanggang semula, Raid memandang ibunya sambil mencebik. Mengajuk Amanda lagi.
“Raid!”
“Hah! Siapa berani mari dekat!” bola itu dimasukkan di bawah baju besarnya lalu dia berlari ke jaring. Sudahnya tiga lagi pemain berhenti mengejar. Dan Amanda begitu senang menjaringkan bola itu.
“Siapa queen sekarang? Cuba cakap??” ejek Amanda sambil ketawa bangga.
“Kak Manda, apasal main macam tu? Tak acilah. Main tipu!” rungut Rauf.
“No rules! Cuba sebut... Amanda the queen!” jawab Amanda sambil menyengetkan mulutnya buat Raid. Raid tersenyum sedikit sambil menggeleng. Dia tahu Amanda sengaja mahu mengenakan dia.
“Tak apa. Bagi dia menang. Kali ni jelah,” jawab Raid selamba. Bola itu diberikan kepadanya.
Mereka bermain lagi satu pusingan. Amanda bersungguh cuba merebut bola itu dari Raid. Lelaki itu cuba dirempuhnya. Namun tubuhnya berlaga dengan Raid lalu mereka terjatuh. Sayangnya Raid masih sempat menjaringkan bola dari jauh walaupun sudah terjatuh. Bola itu tepat masuk ke jaring.
“The queenlah sangat!” ejek Raid lantas bangun.
Amanda terduduk di atas gelanggang menahan bengang. Baru sahaja si abang mahu melangkah, dia sengaja mengalihkan kakinya. Sudahnya kaki Raid tersangkut di kasut sukannya. Dan lelaki itu terdorong ke hadapan. Puas ditahan dari terjatuh namun sudahnya tersungkur juga di luar gelanggang.
Gelagat Raid membuatkan tiga adiknya ketawa terbahak-bahak. Raid duduk di atas rumput sambil memandang Amanda yang begitu seronok ketawa.
“Cakap abang jahat. Dia tak jahatlah? Dia lagi kuat main tipu,” ucap Raid bengang.
“Padan muka!” ucap Amanda puas hati dapat mengenakan Raid.
Raid hanya menggeleng. Malas mahu melayan ejekan Amanda.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan