Isnin, 9 November 2015

DIKAULAH SELURUH CINTA BAB 12-14 (AKHIR)

Bab 12
Felda Sungai Klah, Sungkai, Perak.
“Ya. Cari siapa?” sapa Mak cik Milah sambil turun ke bawah.
“Ini rumah Imran?”
“Ia. Mak cik ni mak dia. Kamu ni siapa pulak?” balas Mak cik Milah sambil tersenyum ramah. Cantik pulak perempuan yang cari anak aku ni. Sempat juga hatinya mengomel sendiri.
“Nama saya Fatyma. Saya majikan dia.”
Lama pandangan Mak cik Milah singgah ke raut wanita itu. Cantik orangnya. Namun dia hairan, mengapa sampai ke sini wanita ini mencari Imran? Ada hal apa? Seingatnya Imran ada memberitahu yang dia sudah berhenti kerja. Makin tidak tentu arah Fatyma melihat renungan wanita itu.
“Saya nak jumpa, Imran. Dia ada?”
“Ada. Marilah masuk dulu.”
“Takpelah. Saya di luar aja,” jawab Fatyma. Dia benar-benar segan mahu berhadapan dengan wanita itu. Masih muda emak Imran rupanya.
“Ish! Marilah masuk. Takkan tak sudi? Rumah mak cik ni buruk aja,” ujar Mak cik Milah sambil tersenyum.
Fatyma diam sebelum dia membuka kata kepada wanita itu. Apa nak jadi, jadilah! “Imran tak pernah beritahu kakak apa-apa tentang saya?”
Mak cik Milah terpaku memandang wanita di hadapannya itu. Apa maksud wanita ini? Lama pandangannya singgah di wajah Fatyma. Namun sedikit sebanyak dia sudah dapat meneka. “Oh, kamu ke perempuan janda yang tergila-tergila dek Imran tu ya?” soal Mak cik Milah dengan mata membuntang luas.
Fatyma sekadar mengangguk sebelum menundukkan pandangan. Betapa hanya Tuhan sahaja yang tahu rasa malu dan gentar di dalam dadanya. Manalah tahu wanita ini mahu memaki hamunnya kerana menganggu anak teruna orang.
“Patutlah anak aku tu macam nak bunuh diri. Konon frust bercinta. Ini rupa orangnya!” omel Mak cik Milah spontan. Fatyma terus membisu. Hanya mampu menelan liur dalam keresahan.
“Marilah masuk. Nanti mak cik panggilkan Imran. Dia ada di belakang tu. Baru balik potong buah di ladang.”
“Takpelah, kak. Saya nak bercakap dengan dia di luar ni. Bukan saya tak sudi nak jejak rumah kakak. Tapi saya lebih selesa di luar ni,” ucap Fatyma sopan.
“Ialah. Nanti mak cik panggilkan dia ya? Jangan panggil kakak. Panggil mak cik. Manalah tahu esok nak kena panggil mak. Takdelah kekok,” jawab Mak cik Milah selamba. Terkebil-kebil mata Fatyma memandang lenggang wanita itu.
“Im..” laung Mak cik Milah kepada anak terunanya di belakang rumah.
“Ya, mak..” jawab Imran sekadar dari tempatnya.
“Apa kau buat lagi tu?” laung Mak cik Milah sekadar meleret.
“Tengah asah mata sabit ni. Dah tumpul sangat. Ada apa mak?”
“Ini ada orang nak jumpa,” ucap Mak cik Milah sekadar dari tingkap dapur.
“Siapa?” tanya Imran tidak beria mahu mengambil tahu.
“Marilah sini.” Mak cik Milah melambai pula kepada anak bujangnya itu.
“Siapa datang, mak?” tanya Imran setelah dia mendekati ibunya.
“Pergi tengok sendiri. Dia dah lama tunggu tu,” ucap Mak cik Milah lembut.
Imran terus berjalan ke hadapan. Namun beberapa langkah sebelum tiba di hadapan, dia terkaku memandang seorang wanita berdiri membelakanginya. Susuk itu amat dikenalinya. Namun dia tidak sangka akan melihatnya di sini. Kelopak rindunya seolah gugur satu persatu biarpun sekadar memandang dari jauh.
“Puan sri?” tegur Imran setelah dia mendekat.
Fatyma terus berpaling ke arah datangnya suara itu. Buat seketika dia kelu memandang lelaki itu. pertama kali melihat Imran dengan baju tee lusuh dan seluar jeans koyak di lutut. Persis budak kampung sejati. Imran sempat memandang dirinya yang selekeh sebelum kembali memandang Fatyma.
“Sorry. I baru balik dari ladang,” ucap Imran amat perlahan.
“Takpe.” Fatyma tunduk seketika sebelum kembali memandang Imran.
“I call you banyak kali kenapa you tak jawab?”
“Sebab I dah tahu apa yang you nak cakap. I tak mahu balik semula ke sana. I nak duduk kampung aja buat sementara waktu. Jangan bimbangkan I. Ada rezeki di tempat lain, I pergi nanti.”
“Imran..” keluh Fatyma mulai sayu.
“I minta maaf banyak-banyak. I tahu I dah lukai hati you. I tak berniat nak buat sehingga keadaan jadi begini sekali. I tak mahu kerana I, you buat keputusan begini,” luah Fatyma lirih.
“I rasa ini yang terbaik untuk I. Dan you juga. Tak perlu minta maaf. I dah maafkan. I tak berhak paksa you terima I, puan sri. I cuma perlukan sedikit masa untuk terima kenyataan ni. Itu saja,” jawab Imran perlahan.
“Kalau dah suka tu kahwin ajalah.” Tiba-tiba ada satu suara menyampuk dari tingkap yang bertudung langsir. Spontan dua manusia itu menoleh. Pemilik suara langsung tidak kelihatan.
“Mak..” tegur Imran ke arah jendela yang paling dekat dengan mereka berdua. Dia tahu emaknya sedang bersembunyi di situ.
“Apa? Mak tengah betulkan langsir nilah. Mana ada mak mengintai kau orang! Perasan!” jawab mak cik Milah dari dalam.
Imran sekadar menggeleng. Ada juga orang mengintai di tingkap itu rupanya. Merah mukanya menahan malu. Fatyma tunduk menahan senyum. Gelihati pula dengan gelagat emak Imran.
“You tak mahu masuk?” pelawa Imran.
“I segan dengan mak you,” bisik Fatyma cuba menahan reaksi.
Imran mengangguk perlahan. Kekok rasanya mahu berbicara. Sebetulnya dia tidak tahu apa yang mahu diucapkan kepada bekas majikan juga merangkap bekas kekasihnya ini.
Melihat Imran hanya kaku, Fatyma kembali bersuara. “Im, I nak you berkerja semula.”
Namun Imran pantas menggeleng. “I tak boleh. I lebih suka kita berjauhan saja. I tak boleh terus berhadapan dengan you dalam keadaan hati I macam ni, puan sri. I minta maaf. I tahu gaji di sana jauh lebih lumayan berbanding hasil potong buah sawit di ladang tu. Tapi di sini hati I lebih tenang. Sekurang-kurangnya..”
“I setuju,” pintas Fatyma tiba-tiba.
Spontan Imran tercengang. “Setuju apa?”
“Kahwin,” jawab Fatyma sepatah. Tidak terpandang dia raut di hadapannya itu. Datang ke rumah anak teruna orang, ajak kahwin. Ada ke perempuan lain yang buat serupa dia? Entah. Rasanya dia seorang aja yang sanggup buat kerja gila begini.
Imran pula terkaku memandang wanita itu. Macam mimpi pula rasanya. “Apa.. apa maksud you tadi?” tergagap-gagap lelaki mengatur bicara. Rasanya dia tidak salah dengar tadi. Janganlah hati yang sudah sedia kala robek ini dirobek lagi dengan jenaka Fatyma.
“Sebelum ni you ajak kahwin. Sekarang I beri jawapannya. I setuju.”
“Betul ke ni? You tak main-main, kan??” tegas Imran dengan mata terbeliak. Suka sudah tentu. Hilang terus duka laranya.
Belum sempat Fatyma menjawab terdengar lagi suara misteri dari jendela itu. “Kelepak kelepak kelebung kelebung kelebung kelebung kelebung..” Mak Cik Milah sibuk mengajuk bunyi kompang. Kemudian satu pelepah bunga manggar entah zaman bila punya terjulur keluar melalui celahan langsir membuatkan Fatyma segera tunduk menahan tawa. Macam tu rupanya perangai emak Imran.
“Mak ni.. dia yang over!” gerutu Imran. Malu pula diusik emaknya.
“Ha! Bila mak cik boleh masuk meminangnya, Fatyma? Janganlah lama-lama sangat. Mak cik tak tahan tengok muka orang mabuk cinta ni. Macam nak mabuk laut rasanya! Asyik termenung sana sini. Kesian!” Tiba-tiba terjengol wajah Mak cik Milah di jendela itu.
“Sekaranglah mak. Ni tuan punya badan dah ada. Terus meminanglah. Esok dah boleh nikah,” jawab Imran.
Berkerut wajah Mak cik Milah kepada anaknya. “Tak menyabar betul kau ni! Kau nak kena pelangkung dengan bapak dia ke? Dah minta izin bapak dia ke belum??” getusnya sambil menjeling.
Fatyma sekadar tersenyum sendiri. Bila? Entahlah. Yang pastinya dia tidak ingin mengecewakan Imran lagi.
“Marilah masuk, Fatyma. Takkan segan dengan mak lagi? Eloklah kita bincang di dalam.”
Imran terus menyengih kepada Fatyma. “Tengok? Mak I dah bahasakan diri mak. Kira jadilah ni,” ujarnya cukup senang hati.
Fatyma sekadar mencebik. Permintaan Mak Cik Milah diturutinya. Di dalam rumah itu dia sempat terpandangkan bingkai gambar di atas meja telefon.
“Ni you ke?” tidak tertahan lagi mulutnya mahu menegur.
“Hish! Jangan tengok. Itu zaman muda-muda punya gambar. Memalukan!”
Fatyma mengertap bibir cuba menahan rasa nak ketawa. Macam tidak puas dia memandang aksi perasan macho Imran di atas motor Yamaha RXS Conggo. Zaman dulu-dulu punya motor. Kalau tidak silapnya, tadi dia ternampak ada bangkai motor lama tersadai di bawah rumah ini.
“Itu motor arwah ayah I. Dah jahanam pun. Waktu ni I baru 15 tahun,” jelas Imran tanpa disuruh. Bibirnya tersenyum sendiri memandang gambar itu.
Mak cik Milah tersenyum saat mampir ke hadapan membawa hidangan. Imran segera bangun membantu emaknya. “Mak duduklah. Biar Im yang buat,” ucap anak itu lembut.
“Fatyma, jangan segan-segan dengan mak cik ni. Tengahari ni makan di sini ya?”
Fatyma tersenyum membalas kebaikan wanita itu. Biarpun segan ya ampun. Dipaksa juga dirinya berlaku baik untuk menjaga hati wanita itu. Imran tersengih-sengih memandang buah hatinya itu. Melihat emaknya menerima baik pilihan hatinya, singgahsana yang diharapkan bagaikan hanya sejengkal di depan mata.

“Ada orang masuk meminang mama kamu. Tok pa belum berikan jawapan. Tapi tok pa harap sangat mama kamu akan berkahwin semula,” cerita Tan Sri Fahamin kepada cucu-cucunya itu.
“What?? Dengan siapa, tok pa?” Naufal buat-buat terkejut. Dalam diam dia teruja. Namun tidak dengan Adira. Matanya membuntang cukup luas mendengar khabar itu.
“Tak nak! Mama jangan terima. Dira tak mahu ada ayah tiri.”
“Adira, dengar dulu tok pa nak jelaskan ni.”
“Tak nak! Dira tak mahu ada orang luar dalam keluarga kita. Dira tak boleh terima. Kalau mama sayangkan Dira, mama jangan terima orang tu. Dira tak mahu! Nanti mama dah tak sayangkan Dira. Mama lebihkan orang lain.” Adira terus memintas sebelum neneknya memujuk.
“Bukan macam tu, sayang. Mana mungkin mama tak sayangkan anak-anak dia. Tak semua ayah tiri jahat, sayang. Ini semua untuk kebaikan mama. Mama Dira perlukan suami untuk lindungi dia,” ucap Puan Sri Kartini lembut.
Adira terus menggeleng. “Mama terima?” tanya Adira kepada ibunya pula.
Fatyma menghela nafas perlahan sebelum menjawab. “Mama ikut apa tok ma kata tadi.”
“Fine!” Spontan Adira terus bangkit dari duduknya. Laju kakinya memanjat tangga.
“Dira tak mahu bercakap dengan mama sampai bila-bila! Dira tak mahu balik rumah sana lagi! Dira tak suka duduk dengan bapak tiri! Bapak tiri jahat!!!” jeritan itu melengking dari tingkat atas sebelum dentuman pintu mengejutkan mereka semua.
Tan Sri Fahamin menggeleng sendiri. “Ima, pergi pujuk..” ucap lelaki tua itu perlahan.
Lemah longlai si ibu bangkit mendaki tangga. Pintu kamar Adira diketuk sambil memanggil anak itu. Namun bukan suara Adira yang menyahut. Sebaliknya sesuatu dilemparkan ke arah pintu. Bunyinya begitu kuat mengejutkan Tan Sri Fahamin di bawah. Pantas dia naik ke atas.
“Adira! Kamu jangan kurang ajar dengan mama kamu! Bukak pintu ni,” marah lelaki tua itu sambil pintu itu diketuk berkali-kali.
“Dira tak mahu bercakap dengan sesiapa. Go away!!!” pekik anak itu dari dalam. Tan Sri Fahamin turun ke bawah semula. Ikutkan baran hatinya banyak hal yang mahu dilakukan untuk mengajar perangai biadap Adira. Tetapi dia kasihankan anak perempuannya.
“Dira, buka pintu ni. Mama nak bercakap dengan Dira.”
Sepi. Lama dia menunggu sehingga Fatyma mula menghela nafas perlahan. Susah benar untuk dia mendapatkan pengertian anak ini. Entah apa silapnya. Mungkin didikannya yang tidak betul membuatkan Adira jadi begini. Sedang dia termenung di hadapan pintu itu, Adira membuka pintu dari dalam.
“Adira..” Fatyma terkaku melihat anaknya sudah menyangkut beg di bahu.
“Dira nak pergi mana ni? Dengar dulu cakap mama, sayang. Jangan buat mama macam ni,” rayu Fatyma sambil dia menahan anak itu dari melintasinya.
“Biarlah! Mama dah tak sayang Dira. Buat apa nak sibuk??” melengking suara Adira serta merta. Tangan Fatyma ditepisnya garang.
“Kenapa Dira buat mama macam ni? Dira tahu tak betapa sayangnya mama pada Dira?”
“Dira dah takde ayah! Dira cuma ada mama. Dulu waktu papa ada, papa pun selalu tak pedulikan Dira. Asyik sibuk dengan kerja. Mama pun lebih kurang sama aja. Takde siapa sayang Dira. Nanti lepas mama kahwin, mama akan lebihkan orang lain dari Dira. Mama nak kahwin dengan orang tu? Pergilah! Jangan pedulikan Dira. Apa nak jadi dengan Dira, buat apa mama nak sibuk??” Berderai air mata Adira saat meluahkan kemarahannya.
Pantas Fatyma meraih anak itu ke dalam pelukannya. “Itu tak benar, sayang. Mama tak pernah terfikir nak buat macam tu. Dira, mama takkan bawa lelaki sembarangan masuk ke dalam keluarga kita. Mama sedar mama ada anak-anak. Ini bukan soal mama seorang. Tapi tentang kita semua. Hanya lelaki yang mampu sayangkan anak-anak mama aja yang layak berada di dalam keluarga ni. Apa kata Dira jumpa dulu lelaki tu. Mana tahu dia tu baik?”
“Dira tak mahu! Dira tak mahu ada ayah tiri. Kenapa mama tak faham??” bentak Adira lantas tubuh ibunya ditolak.
“Adira, mama tahu Dira perlukan seorang ayah untuk sayangkan Dira,” ucap Fatyma cuba memenangi pengertian anak itu.
“Tak! Dira hanya ada seorang ayah. Ayah Dira dah mati. Orang lain takkan boleh ganti tempat dia. Tak boleh! Mama jangan cakap apa-apa lagi. Dira tak nak dengar!! Dira dah cukup happy macam ni. Kenapa mama nak musnahkan semuanya?? Mama memang tak sayangkan Dira,” jerit anak itu semakin lantang. Kemudian dia teresak-esak menangis.
“Okay. Okay. Kita jangan bercakap pasal ni lagi. Lupakan. Jangan menangis, sayang. Mama selalu sayangkan Dira. Jangan bersangka buruk pada mama. Mana ada emak tak sayangkan anaknya?” ucap Fatyma mengalah juga kepada olah anaknya.
“Dira tak mahu ada orang lain duduk dengan kita. Ayah tiri ni jahat! Dalam surat khabar selalu tulis. Ayah tiri suka buat jahat kepada anak tiri dia. Dira tak mahu macam tu, mama. Dira tak nak!” mendayu-dayu suara anak itu meluahkan apa yang terpendam selama ini.
“Mama faham, sayang. Tapi tak semua orang macam tu.”
“Tak! Dira tak mahu. Kalau mama kahwin dengan lelaki tu, Dira tak mahu balik rumah lagi. Dira nak duduk dengan tok ma!”
Perlahan sang ibu menghela nafas panjang. Pedih hatinya mendengar ugutan demi ugutan yang diberikan sang anak. Perlahan anak itu dibawa ke dalam pelukannya. “Okaylah. Kita jangan bercakap lagi pasal ni.”
“Mama janji mama takkan kahwin dengan orang tu?” ucap Adira di sebalik tubuh Fatyma.
“Ya, sayang,” jawab Fatyma perlahan. Di ruang matanya terbayangkan lelaki seorang itu. Dia pernah cuba membawa Imran dekat dengan Adira. Sayangnya anak ini begitu peka. Seolah-olah tahu niat di sebalik kedatangan lelaki itu. Jadi bagaimana? Penentangan dari dalam keluarga sendiri saja sudah cukup melemaskan. Lantas janji kepada siapa yang harus dikorbankan? Entahlah. Dia buntu. Usai memujuk anak itu, Fatyma turun semula ke bawah. Pandangan emak dan ayahnya sengaja tidak dipandang.  
“Macam mana?” Tan Sri Fahamin segera bertanya.
“Macam tu jugak,” jawab Fatyma perlahan. Punggungnya dilabuhkan longlai.
“Dah agak dah. Lagi dipujuk lagi memantul,” jawab lelaki tua itu sambil menggeleng kesal.
“Pelan A tak berjaya. Pelan B ada,” jawab Naufal selamba. Tan Sri Fahamin tiba-tiba ketawa kepada cucunya itu.
“Pandai betul kamu ni. Apa benda pelan B tu?”
“Okay. Tapi sebelum tu tok pa kena janji. Belikan Naufal motor gaban yang Naufal idamkan tu,” jawab anak itu selamba.
Spontan Tan Sri Fahamin tersandar memandang cucunya dengan riak tidak puas hati. “Kamu ingat motor gaban tu seringgit dua harganya? Terberak tok pa nak menyediakan duitnya. Kamu tu budak-budak lagi. Tak payah berangan nak pakai motor mahal-mahal sangat!” gerutu orang tua itu.
“Apa ni? Motor gaban tu apa? Motor kat rumah tukan ada? Berapa banyak motor nak simpan kat rumah tu? Jangan nak mengada-ada!” celah Fatyma benar-benar tidak senang.
“Sorry, ma. Naufal main-main aja.” Mulalah anak itu menyengih kepada ibunya.
Tan sri Fahamin mula menggaru kepalanya. Pening dengan gelagat cucunya itu. Fatyma sekadar membisu. Seperti mana ayahnya, dia juga sedang memikirkan masalah Adira.
“Pa, Ima mintak tangguhkan dulu pasal ni.”
“No. Papa tak setuju. Kita tak perlu tangguhkan. Papa tahu pendirian dia susah nak berubah kalau kita masih terus cuba berdiplomasi,” ucap Tan Sri Fahamin.
“Jadi macam mana, pa? Papa dengar apa Dira kata tadi? Ima tak sanggup terus diugut-ugut macam ni,” balas Fatyma mula terasa sedih. Tan Sri Fahamin diam seketika.
“Dia tak kenal Imran tu siapa. Cuba bawa Imran dekat dengan dia,” celah Puan Sri Kartini pula.
“Tak lutlah, tok ma. Mama dah pernah ajak uncle Im tu datang rumah. Tak mendatangkan kesan pun. Lagi dia tak suka adalah,” jawab Naufal pula.
“Papa faham apa yang dia rasa, Ima. Dia tak mahu kehadiran orang luar membataskan dia dengan Ima. Tapi papa tak mahu sikap begitu terus ada pada Dira. Dia patut tahu had dia sebagai anak. Papa tak mahu kehendak dia terus diikutkan begitu saja. Ada masanya kita berlembut. Ada masanya kita perlu tegas. Sesekali dia perlu belajar terima sesuatu dalam hidup dia. Dia dah besar. Bukan budak tadika lagi. Terlalu dimanjakan pun tak elok, Ima. Binasa dia sudahnya nanti.”
Fatyma sekadar mendengar bicara ayahnya tanpa menyampuk. Puan Sri Kartini mengangguk setuju kepada saranan suaminya.
“Kita kena bawa dia dekat kepada Imran. Lebih dekat berbanding sebelum ni. Siapa tahu kali ni pendirian dia berubah,” ucap Tan Sri Fahamin.
“Macam mana, pa. Ima tak tahu apa nak buat.”
Tan Sri Fahamin ketawa perlahan sambil memandang cucunya. “Apa benda pelan B tadi, Naufal?”
“Kahwin senyap-senyaplah. Nak tunggu Dira setuju. Lambatlah Naufal dapat adik nanti,” jawab Naufal lantas ketawa. Spontan lelaki tua itu memandang anaknya. Kemudian dia mengangguk.
Fatyma hampir terlopong memandang anaknya dan ayahnya itu. Kahwin senyap-senyap. Biar betul! 


BAB 13
Felda Sungai Klah, Sungkai.
Jika kelazimannya majlis akad nikah diadakan di rumah pengantin perempuan, kali ini berbeza. Fatyma meminta majlis itu dilangsungkan di rumah emak Imran.
Akad nikah dijanjikan berlangsung selepas waktu zohor pada hari Jumaat. Bersama Fatyma, Tan Sri Fahamin dan beberapa saudara terdekat termasuk Melly. Namun Puan Sri Kartini, Adira dan Naufal tidak hadir. Setiba mereka di hadapan rumah itu, Melly sudah disapa teruja.
“Wow.. ramainya orang,” ucap Melly teruja melihat khemah tetamu sudah dipenuhi orang. Dengarnya tiada adat bersanding dan segala macam adat yang menjadi kebiasaan dalam majlis sebegini. Biarpun dikatakan sekadar diadakan kenduri kecil untuk tetamu. Kehadiran orang ramai seolah sedang berlangsung majlis besar-besaran.
Gemuruh juga dada Fatyma melihat begitu ramai orang membanjiri kawasan rumah itu. Tambah pula saat Mak cik Milah sibuk memperkenalkan bakal menantunya kepada tetamu di bawah khemah itu. Segan ya amat dipandang oleh orang ramai. Mujurlah Imran lekas mengajak dia naik ke atas. Namun di atas rumah juga lebih kurang sama. Ramai kaum ibu sudah bersedia mahu mengikuti majlis akad nikah.
Baru sahaja melabuhkan duduk, kedengaran suara orang memberi salam agak kuat dari bawah. Suasana mula berubah dengan ketibaan lelaki itu.
“Aku ni dah lama benar memasang hajat. Harap-harap sebelum terpejam mata aku ni, nak juga datang ke rumah ini menikahkan orang. Kalau bukan anak kamu yang bernikah, kamulah tu, Milah.”
“Hai, tok imam. Belum ada yang datang meminang mana gaya nak menikahnya. Yang ada dalam kampong ni semuanya laki orang! Tak handsome pulak tu,” jawab Mak cik Milah selamba. Gamat rumah itu mendengar celoteh wanita tua itu. Lelaki tua itu segera mengambil tempat.
“Hmm.. kahwin pun kamu ya?” tegur kadi itu kepada Imran. Imran sekadar menyengih tanpa membalas. Buat sementara, mereka menunggu segala dokumen diperiksa oleh lelaki itu.
“Handsomelah Imran hari ni. You yang nak kahwin, I yang excited. Macam nak kahwin cepat pulak rasanya,” bisik Melly di tepi Fatyma. Spontan Fatyma menoleh. Melly sekadar menyengih.
Seketika kemudian lelaki itu mula memandang Imran. “Mana mas kahwinnya? Udah siap?” tanya kadi itu kepada Imran.
“Err. Dah. Err.. Ni, tok imam..” ucap Imran sambil menunjukkan dulang di tepinya.
“Itu cincin namanya, labu! Aku kata mas kahwin. Kamu ni. Aku luku jugak kepala kamu ni,” getus kadi itu geram melihat Imran menunjuk muka blur. Beberapa tetamu mula ketawa dengan gelagat Imran.
“Err.. ni kut. Mak, ni ya mas kahwin?” tanya Imran sambil berpaling mencari emaknya. Jarinya ditunjukkan lagi dulang hantaran yang lain.
“Ini mas kahwin sayang oi! Itu sejadah namanya,” jawab Mak cik Milah agak kuat.
“Err.. itu mas kahwin, tok. Saya mana tahu. Semua ni mak saya yang buat. Duit dah macam bentuk angsa pulak jadinya,” jawab Imran tekulat-kulat.
“Mas kahwin pun kamu tak tahu yang mana satu? Kalau begini aku kahwinkan mak kamu ajalah.”
“Ish! Mana boleh, tok. Nak nikahkan mak saya dengan siapa pulak?”
“Dengan akulah! Ni calon terbentang luas depan mata kamu.”
Makin gamat ruang rumah itu mendengar jawapan tok kadi. Terkulat-kulat Imran memandang tok kadi itu.
“Cis! Ada hati tok nak mengorat mak saya!”
“Ialah. Takde siapa menjaga mak kamu. Biar aku menjaganya,” jawab si tok kadi selamba.
“Ish! Mana boleh. Sungguh saya tak rela tengok mak saya dimadukan. Jangan, tok. Jangan. Jangan mimpi!” balas Imran. Riuh rendah ruang tamu rumah itu dengan gelagat dua lelaki itu. Fatyma sudah tersenyum-senyum sendiri.
“Aku main-main aja. Mati kena pelangkung dek bini aku nanti,” ucap kadi itu sambil membetulkan letak duduknya.
“Sebelum kita terus kepada akad nikah, sedikit pesanan terutama sekali buat kamu yang bakal jadi suami. Besar amanah yang kamu akan pikul ke atas isteri kamu juga bakal anak-anak kamu.” Imran sekadar tunduk mendengar ceramah pendek itu sebelum kadi itu mengajak mereka beristighfar beberapa kali. Imran tunduk membisikkan kalimah itu. Saat itu debar di dada cukup kencang seolah-olah mindanya tidak mampu berfungsi sama sekali. Seketika kemudian upacara akad itu diserahkan kepada Tan Sri Fahamin.
“Muhammad Imran Bin Marwan.”
“Err.. Saya. Saya belum ready.”
“Apa benda kamu jawab tadi?” sampuk tok kadi itu pantas.
Imran terus memandang kepada lelaki tua itu. “Err. Sa.. saya guguplah, tok.”
“Mula sekali lagi. Tarik nafas panjang-panjang. Beristighfar dulu. Masa macam ni syaitan memang suka kacau.”
Mata dipejamkan rapat sambil dia menghela nafas berkali-kali. Lidahnya sering membisikkan kalimah itu.
“Tok imam, tolonglah nikahkan mereka. Saya wakilkan kepada tok imam aja. Dia gugup tengok saya agaknya,” ucap Tan Sri Fahamin sambil ketawa kecil.
“Itu belum lagi tengok anak kamu masa malam pertama nanti. Jangan dia lari udah le..” sambut tok kadi itu selamba. Tan Sri Fahamin terus ketawa mendengar bicara lelaki sebayanya itu. Fatyma menekup mulut cuba untuk tidak ketawa saat Imran menoleh kepadanya.
“Ha! Sini derah. Nak nikah pun susah. Kamu tak sambut akad ni elok-elok, jaga kamu. Kalau kamu tak ingat, aku nak ingatkan. Aku ni selain tok kadi, mudim pun aku juga. Tak lepas lafas akad ni, aku sunatkan kamu sekali lagi. Bagi lagi kontot anu kamu tu.”
“Ish! Janganlah, tok. Kalau tok punya pun kontot sama, takpe juga. Saya ni malam pertama pun belum,” getus Imran lantas memandang dua lelaki di tepinya. Dua lelaki itu tergelak gelihati melihat dua lelaki itu terus bertelagah.
“Aja tengin betul kamu ni! Ragam kamu ni memang sama macam arwah apak kamu. Suka loyar buruk!” ujar lelaki tua itu tidak tertahan mahu ketawa.
“Telinga tu pasang. Dengar baik-baik akad ni. Sambut jelas-jelas. Takde putus-putus. Tahu?” tekan kadi itu bersungguh. Imran segera mengangguk.
“Bismillah. Muhammad Imran Bin Marwan.”
“Saya.”
“Aku nikah akan dikau dengan Fatyma Zahra Binti Fahamin Ahmad berwakil wali akan Fahamin Ahmad Bin Sallahudin kepada diriku dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 500 tunai.”
“Aku terima nikahnya Fatyma Zahra binti Fahamin Ahmad dengan mas kahwinnya ringgit Malaysia lima ratus tunai!” akad yang dihulur disambut lancar oleh Imran kali itu. Kedua-dua saksi mengangguk tanda mendengar lafas itu dengan jelas.
“Sah ke?” tanya kadi itu kepada saksi. Kedua-duanya menjawab sah tanda ijab kabul itu sudah sempurna.
“Alhamdulillah.. selamat sudah,” balas kadi itu lantas menadah tangan.
Selesai solat sunat nikah, Imran mendapatkan wanita itu. Mak cik Milah membawa dekat dulang barang kemas. Sebentuk cincin emas putih disarungkan ke jari sang isteri. Bibirnya mengorak senyum saat tangannya dikucup oleh Fatyma. Di dalam hati dia berjanji, wanita ini akan dilindunginya sebaik mungkin. Akan diberikan kebahagiaannya semampu dirinya.
Tan Sri Fahamin sekadar tersenyum memandang anaknya itu. Lega hati sang ayah. Selesai sudah satu masalah. Harap-harap dengan ikatan yang terjalin, segala cabaran yang akan datang dapat diharungi dengan mudah oleh anaknya.
“Terima kasih, papa..” ucap Fatyma saat tangan ayahnya dikucup.
“Papa tak mahu terima kasih dari Ima. Ini tanggungjawab papa sebagai ayah. Papa cuma nak tengok Ima bahagia dengan kehidupan Ima. Papa tak mahu keadaan dulu kembali semula. Jadi isteri yang baik, nak. Doa papa selalu ada dengan Ima,” ucap Tan Sri Fahamin perlahan.
“Jaga Fatyma baik-baik, Imran. Jangan sia-siakan dia. Jangan biarkan dia seorang diri.” Tan Sri Fahamin sempat berpesan kepada menantu barunya itu saat lelaki itu dipeluknya.
“Ya, pa.” Imran menjawab akur. Sempat dia memandang wajah emaknya. Mak cik Milah tersenyum tanda kegembiraannya tidak terluak. Sekian lama menanti, akhirnya anak kesayangannya bertemu jodoh. Alhamdulillah..

LEWAT petang kenduri mereka selesai. Namun begitu masih ramai manusia di rumah itu. Ada yang membantu membasuh periuk dan pinggan. Saat Fatyma turun ke dapur, banyak mata mula memandang kepadanya. Sekadar sedikit senyuman diberikan. Matanya sibuk mencari lelaki seorang itu.
“Mak, nampak Imran tak?” tanya Fatyma kepada Mak cik Milah.
“Ada kat depan.”
“Saya pergi cari dia sekejap,” ucap Fatyma lembut.
“Ajak dia makan, Fatyma. Tadi dia mengadu lapar.”
“Ya, mak..” Fatyma segera berlalu naik ke atas semula. Di ambang pintu hadapan dia terpandangkan lelaki itu sedang membantu beberapa lelaki lain mengemas kerusi dan meja di bawah khemah. Tersenyum Fatyma memandang.
“Im..” panggil Fatyma seketika kemudian. Laju lelaki seorang itu menoleh kepada si pemanggil.
“Ya..”
“Jom makan? I laparlah,” ajak Fatyma lembut.
“I pun lapar. Kita makan kat atas. Kat dapur ramai orang,” jawab Imran akur. Fatyma sekadar mengangguk. Dia pun tidak sanggup mahu menadah muka di dapur itu. Segan benar dengan renungan orang ramai kepadanya.
Usai menghidang makanan mereka berdua duduk menghadap bersama.
“Tadi makan sikit sangat. Lantai perut pun tak lepas. Makan sambil control macho macam tulah,” komen Imran sambil mencedok lauk. Fatyma sempat ketawa mendengar celoteh suaminya. Dia pun lebih kurang sama saja.
“Err.. Im, mak you dah tahu kita nak balik esok?” tanya Fatyma perlahan.
“I dah bagitahu. Mak tak kisah pun. Dia faham apa masalah kita.”
“I rasa bersalah pada dia. Tak patut kita buat macam ni. Belum apa-apa kita dah nak balik,” ujar Fatyma rendah. Bukan dia tidak mahu berlama-lama di sini. Tetapi esok malam mereka harus berangkat ke Abu Dhabi atas urusan kerja. Tambah pula dia tidak boleh berlama-lama meninggalkan anak-anaknya. Sepanjang hari ini sahaja fikirannya asyik terkenangkan Adira. Dia tahu saat ini Adira menyangka dia sudah pun tiba di Abu Dhabi.
“Takpelah. Panjang umur lain kali kita balik lama sikit,” jawab Imran lembut.
“Mak you memang baik, Im. Selama ni I takut dia tak boleh terima I. Tapi andaian I salah. Mak youlah mentua yang paling sporting yang I pernah jumpa. I rasa bertuah sangat dapat kenal mak,” luah Fatyma perlahan sambil tunduk memandang nasinya.
Imran mula mengangkat pandangan ke arah Fatyma. “I dah pernah kata dulu, jangan judge dulu sebelum kenal mak I. Sekarang macam mana? You tahu, ramai jiran bertanya pada mak. Kenapa kita bernikah di rumah ni. Kenapa tak di rumah you. Adat manusia. Suka membuat andaian sendiri tentang sesuatu yang mereka tak tahu. Tapi mak sikit pun tak marah dengan cakap-cakap orang.”
Kali itu Fatyma hanya mampu tersenyum sendiri tanda mengakui kekhilafannya. Penerimaan Mak cik Milah kepadanya membuatkan dia merasa besar hati. Berbanding kisah dengan bekas mentuanya yang dulu. Terlalu jauh berbeza.
Usai makan Imran masuk ke kamarnya sementara Fatyma mengemas tempat mereka makan. Lauk pauk yang masih bersisa di bawa ke dapur semula. Di dapur itu biarpun masing-masing masih sibuk namun rancak suara masing-masing berbual sambil menyusun pinggan di hujung dapur. Sambil membasuh pinggan yang digunakan dia sekadar mendengar sembang kaum ibu itu. Namun pendengaran menjadi semakin tajam. Rupanya perbualan itu tentang Imran.
“Amboi.. seronoknya mengata?” tegur satu suara dari atas rumah. Pantas Fatyma menoleh ke arah tangga dapur. Imran sedang berdiri di situ sambil memandang kea rah longgokan kaum ibu itu.
“Ialah. Mengata kamulah yang paling seronok, Imran.” Jawab Mak cik Lijah selamba.
“Jangan cakap kuat-kuat sangat. Nanti orang tu dengar,” ucap Imran lantas turun ke dapur itu. Fatyma sudah tersenyum sendiri. Dia tahu Imran sedang memaksudkan dia.
“Memang kami saja nak bagi orang tu dengar. Biar dia tahu ragam kamu waktu bujang dulu macam mana.” Masih lagi Mak cik Lijah yang menjawab. Imran sudah tersengih-sengih sendiri. Mujurlah Fatyma macam tidak mendengar dari depan sinki.
“Aku ingat lagi Imran kena kurung dalam reban ayam dek apak dia dulu. Apa sebabnya, Milah? Cuba cerita balik pasal tu.”
“Hish! Jangan cerita, mak!” sambut Imran dengan mata terbeliak. Harap-harap janganlah Fatyma menelinga celoteh wanita-wanita itu. Namun dia lihat isterinya sudah berpaling.
“Dia bagi surat cinta kat cikgu kat sekolah. Cikgu tu bagitahu apak dia. Kena balunlah jawabnya. Katanya cantik sangat cikgu tu. Aku tak boleh lupa. Dia tulis dalam surat tu, saya nak berhenti sekolah sebab saya dah tak sabar nak kahwin dengan cikgu,” cerita Mak cik Milah selamba.
Tidak tertelan liur Imran melihat Fatyma memandang kepadanya. Di dapur sudah riuh rendah dengan tawa kaum ibu itu. Cis! Buat apa bongkar rahsia besar aku tu? Waktu tu aku baru 10 tahunlah! Getus hati Imran sudah menggelabah.
“Apa lagi rahsia dia yang seronok didengar, mak?” ucap Fatyma kepada mentuanya. Seronok melihat Imran semakin menggelabah.
“Banyak..” jawab Mak cik Milah sengaja meleretkan nadanya.
“Eh! Mak, ingat tak semalam..”
“Jangan tukar topik! I nak tahu sangat kisah surat cinta tu. I tak tahu pulak you pernah cuba mengorat cikgu sendiri,” celah Fatyma lebih pantas.
“Err.. sebenarnya waktu tu, apa yang I buat I pun tak tahu,” jawab Imran sambil tersengih-sengih. Berderai tawa kaum ibu mendengar jawapan Imran. Fatyma cuba menahan tawa. Namun tidak tertahan sudahnya. Bergegar-gegar bahunya menyembunyikan gelak sambil menekup mulut.
“Sukalah tu dapat tahu rahsia besar I. Gelaklah puas-puas,” gerutu Imran geram melihat isterinya ketawa.
“I tak pernah terfikir you tergamak beri surat cinta pada cikgu sendiri. Siap ajak kahwin,” komen Fatyma dalam tawa gelihati.
“Si Imran ni dulu waktu kecik memang suka buat benda yang bukan-bukan, Fatyma. Jangan kau hairan kalau dia buat perangai pelik-pelik kat kau nanti,” ujar Mak cik Milah selamba.
“Mak ni. Mana ada saya buat apa-apa yang pelik pada Fatyma. Belum sampai masanya lagi,” jawab Imran.
Spontan Mak cik Milah menoleh. “Apa maksud kau cakap macam tu? Cuba kau jelaskan dekat mak ni.”
Spontan Imran menyeringai entah kenapa. “Mana boleh bagitahu. Rahsialah, mak.”
“Eleh! Rahsia konon. Jaga-jaga, Fatyma. Mak percaya akibatnya kau jugak yang merana dibuat dek si Imran ni. Dari kajian mak nilah. Setelah ditolak campur perangai laki kau tu yang sebenar-benarnya. Asal nampak kelibat kau aja, mulalah terbuntang luas biji mata dia. Memang kau bakal merana, Fatyma. Tidak syak lagi!” jawab Mak cik Milah bersungguh.
“Ha? Apa maksud mak ni?” tanya Fatyma dengan riak wajah mula berubah. Adakah sesuatu tentang Imran yang dia tidak tahu selama ini?
Ketiga-tiga wanita itu saling berpandangan sambil ketawa. Gelihati melihat keluguan Fatyma.
“Sikit lagi buntinglah kamu dibuatnya!” sambut mereka bertiga lantas ketawa seronok. Berubah habis wajah Fatyma mendengar jawapan wanita-wanita itu. Cis! Adalah lebih kalau aku tak bertanya saja tadi! Getus hatinya benar-benar malu.
“I benar-benar bersetuju dengan apa yang diucapkan oleh mak dan kuncu-kuncunya tu. Tidak syak lagi!” sambut Imran sambil menyeringai.
“No comment!” gumam Fatyma lantas berpaling. Cepat-cepat dia membawa diri naik ke atas. Tak sanggup mahu menadah telinga kepada gelak perempuan-perempuan tua itu lagi.
“Malu tapi mahu..” giat Mak Cik Lijah separuh berbisik. Terkekeh-kekeh mereka ketawa lagi di dapur itu.
Ketika waktu maghrib hampir menjelang, Imran menjengah isterinya di dalam kamar. Terpaku dia melihat Fatyma.
“What?” sapa Fatyma pelik melihat Imran merenung kepadanya. Terlupa yang tudung sudah ditanggalkan. Perlahan lelaki itu masuk lalu menuntup pintu. Kemudian dia mendekati isterinya.
“First time tengok rambut you,” ucap Imran sambil dia berdiri di belakang isterinya. Fatyma sekadar menoleh tanpa menjawab. Tengoklah puas-puas, bisik hatinya.
 “Sekarang I tak perlu imagine macam mana rupanya you tanpa tudung. Cantik..” bisik Imran sambil kedua-dua tangannya mula dibawa ke hadapan tubuh Fatyma. Pinggang wanita itu dipeluk erat. Untuk sesaat dua itu mereka berdua sekadar membisu menikmati penyatuan rasa yang sama di hati masing-masing.
“Saat paling membahagikan seorang lelaki bila wanita yang disayanginya menjadi miliknya. I rasa macam semua ni mimpi.”
“You tak bermimpi sekarang,” jawab Fatyma lembut. Perlahan pelukan lelaki itu dileraikan sebelum dia membalikkan tubuh. Wajah lelaki itu dicari oleh dua bola matanya.
“I nak bongkar satu rahsia.”
“Apa dia?”
“Sebenarnya selama ni I tahu you selalu curi pandang I. Semenjak waktu you datang interview dulu,” ujar Fatyma biasa.
“Seriously? Macam mana you tahu?” spontan mata lelaki itu membulat. Konon terkejut.
Fatyma tersenyum sendiri. “Mula-mula tu I agak aja. Tapi lama kelamaan I rasa you memang sengaja biarkan I tahu, kan?” ucap Fatyma dengan sorotan mata mengecil.
“Eh! Mana ada. I ni sebenarnya seorang yang pemalu, sayang. Takkan I nak berbuat tak sopan dengan bos I sendiri,” jawab Imran.
“Please. I rasa nak muntah sangat dengar ayat tadi tu. Tolong fikir baik-baik sebelum you mengaku yang you tu pemalu. Ingat semula peristiwa dalam lif dulu. Depan orang memang you sopan aja. Masuk aja lif mulalah ulat bulu naik daun. Sekali mungkin tak sengaja. Tapi kalau dah banyak kali?” getus Fatyma lantas menjauhi lelaki itu. Imran hanya mampu menyeringai diperli Fatyma. Gerak geri Fatyma terus dipandang tanpa jemu.
“I nak mandilah, Im. Ada lagi tak lelaki kat luar tu?” ucap Fatyma seketika kemudian.
“Takde. Dia orang semua dah balik rumah. Pergilah mandi. I pun nak mandi juga. Nak pergi masjid sekejap lagi,” jawab Imran.
“Kalau macam tu you mandi dulu. Nanti terlepas solat jemaah.”
“Tak mahu ikut pergi masjid?”
“Takpelah. Lain kali aja. I nak tolong mak kemas mana yang belum siap. Kesian mak you,” jawab Fatyma lantas menyerahkan sehelai tuala kepada lelaki itu. Kemudian dia berpaling.
Imran sekadar meletakkan tuala itu di atas katil sebelum baju di tubuhnya ditanggalkan. Namun saat dia berpaling ke belakang. Fatyma sedang menurunkan zip pada belakang bajunya. Terkaku kaki Imran melihat belakang wanita itu sudah terdedah. Niat untuk ke kamar mandi lenyap serta merta dari fikirannya. Tidak sedar ada mata memandang Fatyma terus mengangkat bajunya. Namun entah bagaimana dia menoleh. Terkejut besar dia melihat Imran sedang memerhatikan dia tanpa berkelip.
“Eh! Pergilah mandi cepat,” tegur Fatyma lantas menurunkan semula jubahnya. Fikirnya Imran sudah keluar.
“Tak pernah seumur hidup I ada perempuan buat macam tu dalam bilik tidur I,” ucap Imran.
Terkumat-kamit mulut Fatyma menahan rasa lucu. Baru tanggal sikit rupa Imran dah macam tu. Kalau tanggal banyak? Histeria agaknya. “I tak sengaja. Ingat you dah keluar. I lupa yang you pemalu. Keluarlah dulu. Takut nanti makin tebal sifat pemalu you tu.”
“Eh! Mana ada I pemalu. I okay aja ni. Teruskanlah. Tak perlu rasa terganggu dengan kehadiran I ni,” ucap Imran macam bersungguh kononnya.
Mulalah perempuan itu menghela nafas panjang. Memang sengal anak Mak cik Milah ni. Tidak syak lagi! “Baru aja I dengar you mengaku yang you tu kononnya pemalu. Bila masuk bab menggatal, terus lupa apa yang dia cakap tadi!”
“Ia ke I ada cakap macam tu? Mungkin ada waktu-waktu tertentu, sifat pemalu tu hilang. Ish! Memang kena pergi masjid cepat ni. Kumpul iman banyak-banyak. Bahaya betul. Ada pulak makhluk buat tayangan separuh bogel maghrib-maghrib macam ni. I takut malam pertama bertukar jadi maghrib pertama,” omel Imran sambil menggeleng. Tuala di atas katil diambil lalu disarung ke kepalanya.
“Mulut you tu kalau tak over peramah, tak boleh ke? Sengal tak habis-habis! Tak kuasa nak merendek dengan you maghrib-maghrib macam ni,” tukas Fatyma geram. Namun lelaki itu sudah lesap dari kamar itu.
Seketika kemudian Fatyma memandang almari baju di belakangnya. “Aku pun dah sengal jadinya dok layan dia tu,” bebel Fatyma sambil menyelak sehelai demi sehelai baju melayu yang tergantung. Matanya segera terpandangkan sehelai baju melayu berwarna kelabu. Baju itu dibelek seketika sebelum diletakkan di atas katil bersama kain pelekat.
Tatkala masuk ke kamar itu, Imran segera terpandangkan pakaiannya sudah disediakan Fatyma. Ada sejenis rasa yang cukup mendamaikan terus meresap ke hati. Kenikmatan hidup berpasangan lambat hadir. Namun dia percaya biarpun lambat, inilah yang terbaik buatnya.
“I mandi dulu ya? Baju you ada atas katil,” ucap Fatyma lembut.
“Thank’s, sayang.”
Fatyma sekadar tersenyum sebelum berlalu. Terima kasih itu menyentuh hatinya yang paling dalam. Kerana selama ini dia tidak pernah mendengar ucapan itu diberikan kepadanya biarpun seluruh tubuhnya lumat oleh derita saat melahirkan zuriat sebagai tanda cinta. Inikan pula sekadar menyediakan pakaian buat suami!





BAB 14
“SUDAHLAH tu, Fatyma. Biarlah mak buat esok. Pergi naik. Mak pun dah penat ni. Tak banyak kerja nak dibuat dah ni,” ucap Mak cik Milah kepada menantunya itu. Puas hatinya melihat rumahnya kembali kemas. Pinggan mangkuk yang digunakan waktu kenduri sudah disusun semula di tempatnya.
“Saya nak mandilah, mak. Badan berpeluh,” jawab Fatyma perlahan. Tidak selesa mahu naik ke tempat tidur dalam keadaan tubuh berlengas.
“Mana si Imran ni?” tanya Mak cik Milah hairan. Semenjak lepas makan malam tadi tiada kedengaran suara anaknya. Masakan sudah tidur?
“Ada kat atas. Kemas ruang tamu.”
Mak cik Milah diam. Segelas air masak diteguk sebelum dia juga ikut naik ke atas bersama Fatyma. Bahagian atas itu sudah kelihatan kemas berbanding tadi.
“Kau buat apa tu, Im?” tanya Mak cik Milah saat terpandangkan anaknya duduk bersila di atas lantai di anjung.
“Kira duit sedekah, mak..” jawab Imran sambil menoleh.
“Ia tak ya juga. Mak lupa pulak pasal duit tu. Banyak yang orang sedekah?” tanya Mak cik Milah.
“Banyak juga. Seribu lebih, mak.” Imran mula bangun membawa wang yang sudah disusun kepada ibunya.
“Ambillah duit tu, Im. Duit sedekah tu hak kau. Mana tahu kau perlukan duit nanti.”
“Tak payahlah, mak. Im ada duit. Kenduri siang tadi semuanya pakai duit mak. Maklah simpan,” jawab Imran lembut sambil tangan Mak Cik Milah diambilnya. Wang itu diletakkan di atas telapak tangan ibunya.
“Mak belilah apa-apa yang mak suka. Atau ajak kawan-kawan mak pergi jalan. Apa yang mak dah buat untuk Im selama ni, tak mampu Im balas sampai bila-bila. Terima kasih, mak. Im sayang mak selalu,” ucap Imran bersungguh.
“Kau memang anak yang baik, Im. Dah tentu mak sayangkan kau. Jadi suami yang baik. Insya-Allah, hidup kau pun berkat. Rezeki bertambah banyak,” jawab Mak cik Milah lembut. Perlahan Imran menarik emaknya lalu dipeluk erat. Ya Allah, kalaulah aku mampu, aku ingin menghadiahkan syurga yang tertinggi darjahnya buat ibu kesayanganku ini, bisik hati Imran sendiri.
“Dahlah. Pergi tidur. Esok kau orang nak jalan jauh,” ucap Mak cik Milah lembut.
Di dalam kamar tidur, Imran terpandangkan isterinya berganti pakaian kepada tuala. Rasanya sebelum maghrib tadi isterinya sudah mandi.
“Nak mandi ke?”
“I tak selesa. Takut tak boleh tidur nanti. Im, temankan kejap. I tak berani. Kat belakang tu gelap sangat,” ucap Fatyma agak perlahan.
“Nak takut apa? Lampukan ada?”
Fatyma mendecit sedikit. Kamar mandi yang dibina paling hujung di kawasan dapur itu dekat dengan ladang sawit. Di belakang itu bermacam-macam bunyi binatang dia dengar semenjak tadi. Bunyi macam jeritan puntianak pun ada. Kata emak mentuanya itu bunyi babi hutan. Waktu lepas hujan begini memang selalu melilau. Tambah pula bunyi desir angin kuat mula kedengaran dari luar tanda hujan mahu turun lagi. Perasaannya jadi lain macam.
“Cepatlah, Im.”
Mahu tidak mahu Imran akur juga menemankan isterinya turun semula ke bawah. Fatyma masuk sementara dia menanti di hadapan pintu. Kalau dah namanya rumah kampong, sudah tentulah kamar mandinya tidak setaraf hotel lima bintang punya kamar mandi. Tiada pemanas air.
“Sejuknya air ni.” Terdengar suara Fatyma menjerit kecil dari dalam kamar mandi.
Imran tersenyum sendiri. Memang air paip di rumahnya sejuknya lain macam biarpun waktu tengahari. Mandi dalam waktu begini memang jarang diamalkan dalam rumahnya. Tak sanggup!
“Dah ke, yang?” tanya Imran tatkala ruang dalam kamar kecil itu sunyi sepi.
“Kejaplah..” jawab Fatyma perlahan.
Apa dia buat senyap aja? Peluang yang baik ni jangan dilepaskan! Mesti menarik permandangan kat dalam tu.. Bisik hati Imran mula sibuk nak tahu. Satu lubang kecil pada pintu yang sememangnya uzur dijengah dengan sebelah mata. Namun tiba-tiba pintu kamar itu terbuka luas akibat diterpa angin. Fatyma yang sedang mengambil baju di penyangkut terus terpandangkan lelaki itu sedang tertonggeng bagai nak rak di ambang pintu. Keningnya berkerut.
“What are you doing?” soal Fatyma hairan.
“Err.. I. I check pintu ni tadi. Macam ada rosak aja. Tiba-tiba angin tolak. You tak selak pintu ya?”
“Then, kenapa you tergagap-gagap ni? Macam ada buat salah aja?” telah Fatyma sedikit tidak percaya dengan alasan Imran.
“Err.. I takut you tuduh I mengintai you.”
“Oh.. sekarang baru I terfikir nak tuduh you mengintai I mandi! You mengintai ya??”
“Eh! Mana ada,” sambut Imran dengan mata terbuntang. Cis! Inilah padahnya kalau peramah sangat! Fatyma sekadar memandang lelaki itu dari hujung mata. Imran segera berpaling dengan muka selamba. Fatyma berjalan di belakang lelaki itu.
“You mengintai I mandi tadi, kan? Biasa dia ni! Gatal nak tengok perempuan mandi!” gerutu Fatyma sambil pinggang lelaki itu dicubitnya beberapa kali.
“Aduh! Tengok sikit ajalah,” rungut Imran sambil menggosok bekas cubitan Fatyma.
“Sikit pun tengok juga. Gatal!” sekali lagi pinggang lelaki itu dicubitnya. Dan setiba di kamar beradu, Imran terus meloncat naik ke atas katil. Fatyma pula sibuk di hadapan meja solek. Ralik lelaki itu memerhatikan isterinya sambil berbaring. Sehingga wanita itu berpaling lalu mendekati katil peraduan.
“I percaya you mampu menunggu untuk semalam saja lagi,” ucap Fatyma tanpa memandang lelaki itu. Tubuhnya terus diletakkan di ruang kosong sebelah lelaki itu.
“Maksudnya?”
Fatyma mula mengiring. Sedikit senyuman dihadiahkan kepada lelaki itu. “Maksud I, malam pertama yang diangan-angankan tu lebih manis kalau kita berada dalam keadaan privasi. Dalam rumah sendiri contohnya,” ucap Fatyma sedikit meleret.
“Oh..” Imran terlopong sedikit. Kemudian dia menggangguk tanda setuju.
“I setuju. Takut nanti mak perasan you robohkan katil ni,” jawab Imran macam bersungguh aja.
Serta merta wajah Fatyma berubah mendengar jawapan lelaki itu. “Malas nak layan you!” getus Fatyma lantas menarik selimut menutupi separuh tubuhnya. Imran tergelak kecil melihat gelagat isterinya.
“Alah, usik sikit pun marah. I main-main aja,” pujuk lelaki itu lantas mendekati sang isteri yang sudah mengubah posisi menghadap ke arah lain.
“Marah ke?” usik Imran sambil mengintai wanita itu dari belakang.
“Malas nak layan. I dah penat. Mengantuk. Tak larat nak bergurau senda lagi,” jawab Fatyma perlahan.
“Janganlah pandang sana. I kan ada kat sini?” ucap Imran sedikit lunak.
Perlahan Fatyma memusingkan semula tubuhnya menghadap lelaki itu. Buat seketika dia sekadar memandang lelaki itu berada begitu dekat dengannya. Imran tunduk mengucup dahi sang isteri. Dia sempat terkaku saat telapak tangan Fatyma mengusap tepi lehernya. Dan pandangan yang begitu redup itu benar-benar membuat dia kehilangan kata-kata.
“Kenapa?” tanya Fatyma hairan melihat suaminya hanya membisu.
“You steam tengok I ya?” balas Imran juga dengan pertanyaan.
Renungan lembut tadi serta merta berubah membulat. “You cakap apa ni ha? You ni memang suka cari pasal! Asyik I aja yang kena. Geram betullah dengan you ni!” getus Fatyma lantas mengetil di mana-mana saja yang sempat. Betapa lajunya tangan Fatyma mencari tempat melepaskan geram membuatkan Imran tercungap-cungap menahan jeritan.
“Dah. Dah. Tadi kata penat. Ni macam tak penat pun? Aduh. Dahlah. Sakitlah, yang.” Tidak tentu arah Imran cuba menepis tangan Fatyma sehingga kedua-dua tangan isterinya berjaya dikunci dalam genggaman.
“Lepas!” tukas Fatyma cuba menarik tangannya. Namun tidak berjaya.
“Tak nak. Nanti jari mak ketam ni ketil I lagi,” jawab Imran sambil ketawa. Sudahnya Fatyma duduk di atas tilam memandang lelaki itu. Geram benar melihat Imran tergelak sakan. Ikutkan hatinya dia mahu terus mencubit lelaki itu lagi. Tidak dapat dengan jari tangan, biar guna jari kaki! Sebaik sahaja tangannya dilepaskan, sepantas kilat paha lelaki itu ditamparnya.
“I’m sorry. I gurau aja tadi. Marilah baring sini,” pujuk Imran kasihan melihat wajah kelat isterinya. Wanita itu ditariknya agar berbaring semula. Sekali lagi dahi wanita itu dikucupnya penuh kasih sayang.
“I sayang you..” bisik Imran perlahan.
Sebaris kata-kata itu segera disambut dengan senyum manis sang isteri. Mudah sahaja terpujuk. Tanpa sedar lengan lelaki itu dipeluknya tanda terzahirnya rasa yang sama. Rasa bertuah dirinya masih sudi disayangi oleh seseorang.
“Tidurlah, Im. Esok nak bangun awal,” ucap Fatyma seketika kemudian.  Lelaki itu mula merebahkan kepalanya bersama helaan nafas panjang. Betapa bermaknanya moment ini. Perasaan sentiasa hangat saat memandang wanita pujaan hati.
“Janganlah tak terbangun esok. Kalau you terjaga awal kejut I ya,” ucap Fatyma lantas membetulkan kedudukan bantal di kepalanya. Tubuhnya dihempas semula ke tilam.
Tergaru-garu lelaki itu memandang perempuan di sebelah. Alahai.. apasal waktu nak tidur pun nampak cun aja dia ni? Bisik hatinya tidak keruan. Bau minyak wangi Fatyma menggoncang segenap nalurinya. Kemudian pandangan Imran singgah pada jemari yang melekap di lengannya itu. Jemari itu masih bergerak-gerak mengusap lengannya.
Seketika kemudian Fatyma tiba-tiba mengalihkan letak kepalanya. Secara tidak langsung kedudukan mereka semakin rapat. Pantas Imran mengalihkan pandangan. Lena yang dicari sulit benar pula untuk datang. Sudahnya dia tegak memandang ke atas.
“Good night,” ucap Fatyma hampir tidak kedengaran. Spontan jemarinya berpindah ke atas dada lelaki itu tanpa meminta izin. Keras kejung reaksi lelaki itu saat jemari itu seolah-olah sedang mencari sesuatu. Hati Imran sudah tidak keruan. Jemari itu masih tidak berhenti merayap. Namun sudahnya pergerakan tangan Fatyma terhenti dengan sendirinya.
“You buat apa tadi, sayang?”
“I nak kenal suami I. Supaya  waktu dalam gelap I tahu itu you. Bukan orang lain,” bisik Fatyma agak layu dek rasa mengantuk.
Ha? Imran tercengang. Dia mengigau ke ni? Dia meraba-raba, aku pulak yang tak boleh tidur.. keluh hati sang lelaki sendiri. Lama dia memandang Fatyma sehingga isterinya benar-benar terlena. Setiap helaan nafas wanita itu ditatap tanpa jemu. Alis di atas kelopak mata yang terpejam itu semakin memancing minatnya untuk mendekat. Perlahan lelaki itu berpusing menghadap sang isteri. Kening Fatyma dikucup berkali-kali. Sehingga dia terdengar suara wanita itu berbisik.
“Peluk I, please..” Permintaan Fatyma itu membuatkan Imran tersenyum senang. Kecil tapak tangan, sekampung dia sudi tadahkan!
“Tidur, sayang. I tahu you penat,” bisik Imran. Fatyma diam. Dalam gelap pandangannya, dia merasa begitu selamat. Perasaan juga begitu damai. Ironi, dia tidak lagi gentar berada di dalam kegelapan ini. Kerana kini dia berada begitu dekat dengan hati seorang suami.

KEESOKAN paginya selepas sarapan pagi, Imran mengajak isterinya keluar seketika sebelum mereka bertolak ke Kuala Lumpur sebentar lagi.
Pemanduan Imran membawa mereka ke satu kawasan agak sunyi di kampung itu. Jalan semakin mengecil. Tidak kelihatan rumah penduduk di kawasan itu. Tidak lama kemudian Fatyma terlihat tanah perkuburan yang agak luas. Kereta itu berhenti di situ dan mereka keluar serentak.
Buat seketika dia berdiri memandang sekeliling sementara Imran mengambil beberapa barang dari dalam ruangan barang di belakang. Sebatang cangkul bersama sebotol air mineral dibawa bersama anak pokok kemboja. Fatyma mengambil air mineral dari tangan suaminya sebelum mereka bergerak masuk ke kawasan itu. Seterusnya langkah mereka berhenti di celahan pusara yang beratur.
“Ni kubur arwah ayah I,” ucap Imran perlahan. Fatyma ikut memandang pusara di tepi tempat mereka berdiri. Imran duduk mencangkung setelah cangkul dan anak pokok diletakkan.
“Ayah.. Im datang ni. Dah lama Im tak dengar suara ayah,” bisik lelaki perlahan. Nesan putih itu dipegang lembut sambil dia tunduk memejamkan mata. Kesayuan itu bertandang lagi buat kesekian kalinya saat seraut wajah itu menjelma di ruang mata. Teringat ketika dia sedang menduduki SPM, dia dikejutkan dengan pemergian sang ayah. Begitu cepat Allah mengambil nakhoda kehidupan dia dan emaknya.
Fatyma sekadar memandang. Selama dia mengenali Imran, tidak pernah dia melihat lelaki itu begitu serius. Seketika kemudian anak pokok kemboja yang dibeli dua hari lepas segera ditanam di hujung pusara itu. Air di dalam botol mineral disiram. Harap-harap pokok itu tumbuh elok. Turut mendoakan kesejahteraan ayahnya. Seketika kemudian Imran berpindah pula ke pusara lain. Hanya bersebelahan dengan pusara itu.
“Kubur siapa ni?” tanya Fatyma agak perlahan.
“Muhammad Ikram. Dia abang I.”
“Oh..” Fatyma terdiam berfikir sendiri. Tidak tahu rupanya Imran punya adik beradik lain.
“Kami kembar seiras. Dia meninggal waktu usia kami sembilan tahun. Demam panas,” cerita Imran serba ringkas.
“You tak pernah cerita pun yang you ada abang? I ingat you anak tunggal,” balas Fatyma dengan kerutan pada alis. Tidak mengerti mengapa suaminya mahu berahsia tentang itu.
Imran sekadar berdiam. Kerana tidak menarik untuk diceritakan jika orangnya sudah tiada. Hanya menambah beban rindu di hatinya. Fatyma mengusap belakang lelaki itu perlahan. Dari raut sang suami, dia tahu Imran sedang menahan sedih.
“Ujian hebat buat manusia tatkala Allah ambil semula sesuatu yang amat kita sayang. Mak dah pernah rasa kehilangan anak dan suami. I dah tahu rasa sakitnya kehilangan ayah dan abang yang rapat dengan I.” Spontan lelaki itu menoleh ke sebelah dengan sedikit senyum sebagai hiasan di bibir.
“You pernah kehilangan seseorang yang you sayang. You menangis waktu tu?” ucap Imran biasa.
Fatyma menggeleng perlahan. “Tak sangat. Sebab I dah jangka dia akan pergi jugak. I dah bersedia semenjak awal lagi. Sebetulnya I dah terlalu banyak menangis sebelum itu. Penat menangis ni sebenarnya,” luah Fatyma agak lirih. Imran mengangguk berberapa kali sambil menguis daun-daun kecil dari atas pusara itu.
“Sayangnya I tak dapat kenalkan kepada you seorang lelaki yang istimewa di hati I selama ni. Ayah I seorang lelaki yang penyayang. Tapi dia garang dalam sesetengah hal. Kadang-kadang I takut dengan dia. Terutama sekali bila I ada buat salah. Ayah jarang pukul I bila dia marah. Tapi hukuman yang dia akan beri kalau I buat salah, membuatkan I jadi seorang pemikir. Kena kurung dalam reban ayam itu dah biasa. You tahu apa sebabnya dia suka kurung I dalam reban?”
Fatyma sekadar menggeleng. Tak dapat dibayangkan apa rasanya dikurung dalam reban ayam.
“Dia kata bila I buat sesuatu yang dia tak suka, I sebenarnya tak ingin jadi manusia. Jadi tempat yang sesuai adalah dengan ayam. Bila dia ajar I mengaji, bacaan masih tak lancar. Tajuid tak betul. Tak hafal apa yang dibaca. Tak faham apa-apa tentang apa yang dihafal, dia akan suruh I duduk bergelap bawah rumah. Kadang-kadang dia tak bagi I masuk rumah sampai pagi. I selalu ketawa sendiri mengenang semua tu. Ayah selalu berpesan. Sampai bila-bila pun I takkan lupa apa yang dia kata. Orang yang tak pandai mengaji hanya kegelapan yang menemani dia selepas mati nanti. Dia letak I dalam gelap berjam-jam supaya I fikir bagaimana rasanya kegelapan kubur sedangkan kita akan berada di situ sehingga kita dibangkitkan semula untuk bertemu Allah. Dalam soal itu ayah memang garang. Kadang-kadang dia suka memaksa supaya I pandai baca Al Quran. Bila I dah besar, I tahu apa yang dia buat semuanya untuk jadikan I manusia yang ada akal fikiran,” ucap Imran dengan sedikit senyuman.
Fatyma terus membisu mendengar cerita suaminya tentang lelaki itu. Sayang sekali dia tidak sempat berkenalan dengan lelaki istimewa itu. Cara lelaki itu mendidik Imran agak unik. Dia sendiri tidak pernah terfikir mendidik anak-anaknya begitu. Tapi lihatlah hasilnya. Lelaki ini seorang patuh kepada ibunya. Walaupun agak gila-gila, tetapi seorang yang tidak cepat marah. Tiba-tiba dia teringatkan bekas suaminya. Berapa kali lelaki itu mengajar anak-anaknya mengaji Al Quran? Atau mencarikan guru untuk mengajar anak-anak mengenal Al Quran. Tidak pernah! Perlahan wanita itu memejamkan mata. Dalam soal itu dirinya terasa amat kerdil berbanding lelaki kampung ini.
“Rindu yang ada dalam hati I ni takkan pergi. Bila dia dah takde, I selalu teringin nak dengar suara dia. Sekejap pun jadilah. I menangis waktu ayah meninggal. Waktu tu I rasa takde kata-kata pujukan dapat meredakan kesedihan yang I rasa. Mak tenang aja walaupun sekali sekala I nampak air mata dia jatuh juga. Mak ada kata pada I, bila kita diuji akan kehilangan seseorang, jangan meratap. Sebab pemilik sebenar setiap insan atas dunia ni bukan milik kita. Tapi hak Allah. Kenapa kita nak bersedih bila Allah ambil semula sesuatu yang sudah menjadi milik-Nya semenjak awal lagi?” luah Imran sambil tunduk memandang pusara di hadapan mereka itu.
Fatyma terus mengangguk. Memang benar kata emak mentuanya. Cuma sebagai hamba Allah yang lemah, tiada siapa yang mampu menahan tangis sebegitu mudah jika diuji begitu.
“Ayah you meninggal sakit apa, Im?”
“Ayah ditimpa buah sawit waktu di ladang. Mak yang jumpa ayah terbaring seorang diri. Orang kampong cuba bawa ayah ke klinik. Tapi tak sempat sampai. Ayah meninggal dalam perjalanan. Atas pangkuan mak,” cerita Imran sambil menghela nafas perlahan. Sendat dadanya mengenang hari bersejarah itu. Sehingga dia kembali merasa kuat, setiap hari yang dilalui terasa amat kosong.
“Sedihnya,” komen Fatyma rendah.
Imran mengangguk. Memang sedih. Namun itulah qada dan qadar buat dia dan emaknya. Ketabahan emaknya membawa dia sehingga ke hari ini.
“Kita balik?” ucap Imran lembut. Sebelum berlalu Imran berdiri seketika di tepi pusara sang ayah. Memandang lagi seolah-olah masih ada rindu yang belum terlerai. Namun seketika kemudian Imran menghela nafas perlahan. Ada kehibaan bertamu di hatinya saat mahu meninggalkan kawasan itu.
Im sayang ayah selalu. Semoga sejahtera di alam sana, ayah..


5 ulasan:

  1. huh? ending macam mana? saya tak faham.

    BalasPadam
    Balasan
    1. maaf ya. sy hanya dibenarkan memuatkan sehingga ke bab 14 oleh publisher

      Padam
  2. Nk tanya skt..buku secret lover bila nk klr? Kenapa dh xde dlm blog..tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dikaulah Seluruh Cinta ni tajuk baru utk karya Secret lover. Sebahagian cerita sy sudah edit. publish kemungkinan bulan mac tahun hadapan.

      Padam