Selasa, 9 Ogos 2016

BAB 3 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 3
KAMU nak ke mana?” tegur Ariff saat terpandang anaknya sedang menunggu lif.
“Fira dah janji dengan abang.”
Ariff memandang jam di pergelangan tangan. Saat pandangan dikembalikan kepada Afyra, renungannya mencerun tajam. Tidak senang.
“Masih waktu berkerja.”
“Sorry, daddy. Fira ada hal penting. Please,” rayu Afyra dengan muka kesian.
Ariff diam lantas berpaling semula ke kamarnya.
Di lobi, Afyra berjalan laju menuju ke luar. Dia mendapatkan keretanya. Tempat yang dijanjikan segera dijejaki.
“Sorry. Fira lambat,” sapa Afyra sebaik sahaja tiba di meja. Naquib sudah pun selesai makan. Lelaki itu sekadar memandang selamba Afyra mengambil tempat di sebelahnya.
“Abang lapar ya?” ucap Afyra sambil tersenyum.
“Lambat sangat. Mana boleh tahan. Abang makanlah dulu,” jawab Naquib selamba.
“Tak apalah. Hal kecil aja.”
Naquib tersenyum sedikit sambil melambai pelayan agar mendekat. Selesai membuat pesanan mereka kembali berpandangan. Naquib lebih berminat memandang pakaian yang dikenakan Afyra saat itu. Tidaklah seksi sebenarnya. Tudung warna kuning cair itu menyerlahkan warna kulit wajah sang perempuan. Kadang kala, semakin elok bertutup, semakin kuat pula fikirannya meneroka.
“Abang kata ada hal penting. Apa dia?” tanya Afyra sudah tidak betah menadah pandangan lelaki itu. Dan masa juga tidak banyak untuk mereka berbasi basa.
“Tak ada apa yang penting sangat. Abang nak jumpa Fira sebenarnya,” jawab Naquib selamba.
Berubah sedikit wajah Afyra. “Nanti dah kahwin, abang jangan terus amalkan budaya putar belit sana sini tu. Fira tak berapa suka,” ucapnya dengan senyum tawar. Susah payah menadah diri kepada reaksi tidak senang ayahnya, ini sahaja sebab rupanya. Nampak kecil tapi dia sakit hati.
Naquib diam. Sebahagian yang diucapkan tunangnya itu seolah-olah tidak menarik minatnya. Sebaliknya fikirannya berkisarkan hal lain.
“Kita tangguh dulu pernikahan kita. Supaya kita boleh bersedia. Fira pun masih muda. Nak buat kita nikah cepat sangat? Kita bincang semula nanti tentang tarikh majlis tu.”
“Ha?” wajah Afyra berubah serta merta.
“Kenapa pulak?” tanya Afyra pantas.
“Macam yang abang kata tadi. Kita tak perlu terburu-buru sangat nak kahwin. Abang rasa elok kita tangguhkan pernikahan kita.”
“Tapi abang dah janji dengan daddy. Daddy marah nanti. Fira tak berani,” jawab Afyra bersungguh.
“Abang akan bincang dengan daddy Fira. Insya-Allah..”
“Tak boleh. Fira takut daddy marah nanti,” ujar Afyra gusar.
“Daddy nak cakap apa? Ini keputusan kita,” ucap Naquib. Sesak otaknya apabila lelaki tua itu terus dijadikan benteng oleh Afyra untuk tidak sependapat dengannya.
“Keputusan abang! Kita tak payah bertunang lama-lama sangat. Daddy tak suka.”
“Dua tahun tak lama, sayang. Normallah tu.”
“Lama! Daddy tak akan setuju. Abang ni memang tak faham-faham, kan? Penat nak jelaskan hal yang sama berkali-kali,” balas Afyra tegas.
Naquib menghela nafas perlahan. Ni siapa yang nak kahwin ni? Dahlah nak ajak jumpa sikit punya payah. Sikit-sikit kena tanya bapak dia dulu, bisik hati Naquib tidak senang. Zaman sekarang ibu dan ayah sudah beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih. Tetapi keluarga Afyra, sangatlah kolot! Pergerakan Afyra dikawal ketat oleh ayahnya setiap hari.
“Kenapa abang tak suka kita cepat kahwin?” pandangan Afyra tepat ke arah Naquib. Cuba membaca apa yang sedang disembunyikan lelaki itu.
“Kita yang nak kahwin, kalau boleh biarlah kita yang buat keputusan.”
“No! Fira ni anak perempuan. Apa-apa hal Fira kena dengar cakap daddy. Itu cara kami. Nak keluar ni tadi pun daddy macam tak suka. Tak boleh selalu macam ni. Lama kelamaan nanti daddy tak akan percaya pada abang!” jawab Afyra bersungguh. Masakan dia harus melawan kata-kata ayahnya? Tak sanggup dia!
Naquib diam. Malas mahu bertelagah dalam soal itu. Sesak juga otaknya. Semenjak hubungannya dengan Afyra sudah diketahui keluarga Afyra, dia tidak lagi bebas dapat bertemu kekasihnya. Hanya waktu makan tengah hari sahaja dia dapat meluangkan masa menemui Afyra. Itu pun bukannya setiap hari sementelah Afyra berkerja dengan ayahnya.
“Abang, Fira bukannya tak mahu dengar cakap abang. Tapi sekali daddy dah tak suka, susah kita nanti,” ucap Afyra bersungguh.
“Maksud Fira?” kening Naquib mencerun sedikit.
Afyra menghela nafas perlahan. Bagaimana mahu dijelaskan. Ayahnya memang begitu. Dia berkuasa. Sebagai anak dia harus patuh. Soal pemilihan jodoh, ayahnya memang akan masuk campur. Ayahnya akan membaca tindak tanduk mereka.
“Daddy nak kita cepat kahwin sebab tak mahu kita terus begini. Tak mahu kita sampai buat dosa,” ujar Afyra lembut.
“Kita tak pernah terlanjur pun,” jawab Naquib selamba. Kalau berlaku pun, itu sudah lumrah zaman sekarang.
“Memanglah. Tujuannya kahwin untuk elakkan terlanjurlah. Kalau tunggu dah terlanjur baru nak kahwin, apa gunanya lagi?” tekan Afyra mula geram dengan reaksi lelaki ini.
“Nantilah. Abang bincang dengan mak dan ayah abang.” Naquib sekadar menjawab malas. Dia menghela nafas perlahan.
“6 bulan. Kalau tidak daddy suruh kita putuskan hubungan.”
“What??” Naquib tersentak serta merta. Lama pandangan matanya singgah di wajah Afyra. Namun kemudian dia mengeluh perlahan.
Aku ni nak kahwin ke tak mahu? Bisik hati Naquib sendiri. Dia sayangkan Afyra. Terlalu sayang. Tetapi apabila disuruh memperisterikan Afyra, dia rasa berat pula. Sementelah dia melihat suasana keluarga Afyra yang agak tidak masuk dengan dirinya. Serba serbinya tak boleh. Semuanya haram. Dia rimas. Bagaimana mahu berhadapan dengan mentua sebegitu saban hari. Tidak sama caranya dengan keluarganya.
Ah! Sebagai suami, aku yang akan berkuasa nanti! Bisik hati Naquib sendiri.
“Abang setuju. Kita ikut aja cakap daddy Fira.”
Serta merta mekar senyuman Afyra mendengar itu. Ternyata tidak susah mahu memujuk lelaki ini. Dia pasti, pertelagahan begini lumrah. Tidak bermakna dia harus terus membuang lelaki ini.
“Tapi lepas kahwin Fira kena tinggal dengan keluarga abang tau.”
“Ia. Abang dah cakap dulu,” jawab Afyra akur.
“Bukan apa. Mak abang tu tak berapa suka abang jauh dari dia. Faham-faham ajalah, anak tunggal macam abang ni,” jelas Naqub.
Afyra diam. Sejujurnya dia gentar memikirkan keadaan selepas kahwin nanti. Tidak tahu adakah serasi dia dengan emak mentua. Sepanjang dia mengenali emak Naquib, wanita itu memang agak kasar. Tetapi penilaian awal itu cuba ditepisnya. Lain orang lain ragamnya.
“Sebelum ni pun isteri abang tinggal di rumah keluarga abang, kan?”
Naquib menggangguk sambil memandang buah hatinya.
“Kalau Fira tanya sesuatu, abang jangan marah ya?”
“Apa?”
“Kenapa abang bercerai dulu?”
Tersentak Naquib mendengar soalan itu kedengaran semula.
“Nak juga tahu?”
“Kalau tak keberatan,” jawab Afyra sambil bersandar dan memeluk diri sendiri.
“Banyak sebabnya. Abang tak suka isteri abang keluar rumah tanpa izin abang. Biadap dengan mak abang. Balik kerja lambat.”
“Oh.. so, semua tu bekas isteri abang buat?”
Naquib mengangguk. “Ada sekali tu.. dia.. emm.. marahkan abang sebab mak abang membebel. Dia keluar dari rumah macam tu aja. Mak abang makin marah dengan dia. Kami gaduh besar. Abang tak sengaja lepaskan dia.”
“Dia pergi mana waktu tu?”
“Balik rumah keluarga dia.”
Terkedu Afyra mendengar itu. “Balik rumah famili sendiri kena cerai?”
“Apa alasan sekalipun, kena minta izin abang. Abang suami. Memang dia ada minta maaf. Tapi dia tak sepatutnya buat macam tu,” ujar Naquib.
“Banyak kali ke dia buat macam tu?”
“Adalah dua tiga kali.”
Terlepas sedikit gelak Afyra. “Dia buat silap dalam keadaan tertekan. Okay.. bagi abang balik rumah famili tu besar salahnya. Tapi dia dah minta maaf. Abang balas dengan ceraikan dia? Seriously?” tekan Afyra agak terkejut mendengar pendirian lelaki itu.
“Abang dah kata, dia tak sepatutnya buat begitu?”
“So, berapa kali dalam sebulan dia balik rumah famili dia?”
Naquib terdiam serta merta. Berubah sedikit wajahnya. Terasa Afyra sedang menembaknya dengan soalan itu.
“Fira anggap abang mesti menyesal ceraikan dia, kan?” ujar Afyra sedikit menyindir.
“Can we stop talking about this?” tekan Naquib mula tidak sedap hati.
Di hujung pertemuan dua manusia itu, tiba-tiba datang seorang anak muda ke meja itu. Naquib sempat merasa terkejut apabila disapa Fakhri.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Naquib.
“Saya kerja. Ni siapa?” tanya Fakhri sambil mengalihkan pandangan kepada Afyra. Bole matanya mencerun tajam merenung wanita itu. Afyra mengerut kening memandang lelaki itu. Macam pernah kenal.
“Tunang aku. Dah. Jom, sayang.” Naquib terus bangun.
Fakhri terkebil-kebil memandang dua manusia itu. Dia masih ingat gadis itu. Anak orang kaya itu! Ingatkan abangnya mahu memperkenalkan dia kepada gadis cantik itu. Rupanya Naquib terus berlalu.
Fakhri mengeluh sendiri. Tak apalah. Dia sudah biasa dilayan seperti itu. Lama dia memandang. Di hati terbit juga sedikit rasa cemburu. Naquib selalu bertuah. Ada segala-galanya. Wanita yang mendampinginya juga hanya yang jelita manis.  
Namun Afyra sempat menoleh kepada lelaki itu. “Siapa tu, bang?”
“Adik.”
“Adik??” terkejut besar Afyra mendengar itu. Langkahnya terhenti serta merta sambil memandang Naquib yang sudah terkedepan. Adik kandung? Adik tiri atau adik angkat?
“Kenapa?” tanya Naquib pelik melihat Afyra begitu.
“Fira tak pernah tahu pun abang ada adik? Abang tak pernah cerita,” ucap Afyra naik sedikit nadanya.
Naquib hanya diam. Malu mahu mengakui yang ayahnya pernah memiliki isteri muda. Melihat lelaki itu macam berat mahu bercerita, Afyra diam sahaja sehingga tiba di kereta. Kisah Fakhri termati di antara mereka. Namun tidak di dalam fikiran Afyra. Dia duduk di tempat pemandu sambil termenung. Naquib sudah berlalu ke arah keretanya.
“Siapa mamat tu ek? Aku ada jumpa dia kat mana? Adoi.. lupalah!” keluh Afyra seorang diri.
Seketika kemudian Afyra memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah lewat. Ikutkan hatinya dia mahu mencari lelaki itu semula. Dia mahu bertanya, adakah lelaki itu mengenalinya. Namun bukan itu yang dibuatnya. Enjin kereta dihidupkan segera sebaik sahaja terkenangkan daddynya mungkin akan marah jika dia masuk kerja lewat.


3 ulasan: