BAB
17
TERDENGAR sesuatu yang buruk menimpa Afyra, Ariff dan Insyirah
segera ke hospital malam itu. Ketika tiba di situ, Afyra masih di dalam unit rawatan
kecemasan. Fakhri juga tiada di situ. Mereka berdua sekadar menunggu di luar.
Insyirah yang paling resah. Sekejap-sekejap dia bangun mengintai di pintu. Mahu
melihat ke dalam. Tiada ternampak kelibat anaknya.
“Allahuakbar.. saya ni tak senang duduk, Ariff. Kalaulah boleh,
saya nak rempuh saja pintu tu,” keluh Insyirah semakin tipis kesabarannya.
“Sabarlah. Insya-Allah dia tidak apa-apa,” jawab sang
suami lembut. Tangan isterinya ditepuk lembut.
Hanya setengah jam selepas itu barulah pintu kamar itu
dibuka seseorang dari dalam. Dua manusia itu terus mendekat sebaik sahaja
terlihat Fakhri keluar dari unit rawatan kecemasan.
“Bagaimana keadaan Afyra?” tanya Ariff risau.
“Dia keguguran.” Fakhri menjawab perlahan.
“Innalillah..” Insyirah terus menekup mulut. Tidak mampu
membayangkan apa yang sudah dilalui Afyra. Mesti sakit anaknya.
“Macam mana boleh jadi begini?”
“Dia jatuh. Saya tak perasan, daddy. Kat rumah pili di
sinki rosak. Saya belum betulkan. Lantai licin,” jelas Fakhri perlahan.
“Kamu tidak tahu yang Afyra hamil?” tanya Ariff lagi. Keningnya
berkerut tebal.
“Tak tahu. Afyra pun tak tahu.” Fakhri menghela nafas
perlahan. Tidak terhitung kesalnya. Dia sengaja melengah-lengahkan permintaan
isterinya. Inilah akibat yang perlu ditanggungnya. Isterinya menangis
semahu-mahunya saat diberitahu yang dia telah keguguran. Dia tidak berupaya
untuk memujuk.
“Sudah tiada rezeki kamu berdua. Redakan saja,” ujar
Ariff perlahan. Kecewa juga mendengar itu. Tetapi semuanya sudah berlaku. Hendak
dikesalkan apa lagi?
Reda? Tetapi rasa kesalnya masih tidak hilang. Dia tidak
tahu bagaimana mahu berhadapan dengan Afyra bersama rasa bersalah ini. Dalam keadaan
gelombang rumahtangga sedang teramat besar.
“Saya cuai,” ucap Fakhri amat rendah.
“Ini sudah takdir. Hanya pinjaman. Bersabarlah. Redakan
saja.” Ariff terus memintas kata-kata Fakhri.
Fakhri diam. Ia. Reda. Tetapi mahukah Afyra memaafkannya?
Sudah beberapa hari kerosakan itu berlaku, dia tidak begitu memberi perhatian
kepada masalah itu. Pulangnya tengah malam. Sudah tentulah semua itu sudah
tiada di kepala otaknya.
“Apa saja boleh berlaku kerana kecuaian dan sikap sambil
lewa kita. Musibah yang datang itu sebagai teguran dari Allah. Kita kena terima
dengan lapang dada walaupun susah. Sekurang-kurangnya ujian ini tidak seberat
mana. Bersabarlah. Allah tahu kita manusia sering saja khilaf. Di lain masa jangan
ulangi lagi kesalahan yang sama,” ucap Ariff. Memang dia mahu marahkan Fakhri.
Tetapi apa gunanya salah menyalahkan dalam keadaan begini. Hanya menambah kekusutan
yang ada.
“Di mana Afyra sekarang?” tanya Insyirah pula.
“Dia akan dihantar ke wad sekejap lagi. Dia masih
terkejut. Tadi dia banyak menangis. Doktor kata emosi dia lemah,” jawab Fakhri
perlahan.
Ariff dan Insyirah segera berpandangan. Insyirah sudah
tentu lebih memahami perasaan itu. Dia pernah melaluinya bertahun-tahun dulu.
“Pujuklah dia selalu. Awal-awal begini memang dia akan
rasa sedih. Itu semua normal. Insya-Allah, lama kelamaan nanti dia akan pulih
juga,” ujar Insyirah lembut.
Hampir jam 12 tengah malam barulah mereka dibenarkan untuk
melihat keadaan Afyra untuk seketika. Anak itu tidak sedarkan diri saat
disentuh oleh ibunya. Insyirah mengucup dahi sang anak berkali-kali.
Fakhri segera mengalihkan pandangan. Tidak sanggup
memandang perbuatan emak mentuanya kepada Afyra. Jelas kelihatan kasih sayang
seorang ibu yang begitu tebal. Sedangkan dia gagal menjalankan amanah itu
dengan baik.
“Daddy dan mommy balik dulu. Pagi esok kami akan datang
semula. Kamu akan tinggal di sini?” ucap Ariff kepada Fakhri.
“Ia. Saya akan jaga Fira, daddy.” Fakhri menjawab
perlahan.
“Telefon kami jika kamu perlukan apa-apa.”
Fakhri mengangguk kepada kata-kata ayah mentuanya itu.
Begitu baik mereka itu kepadanya biarpun dia sudah berbuat salah.
Setelah pemergian dua manusia itu, Fakhri duduk seketika
di tepi katil. Kepala Afyra diusapnya. Kemudian dia tunduk. Sedih saat
memandang wajah isterinya.
“Aku balik sekejap ya? Nanti aku datang semula,” bisik
Fakhri lembut.
Namun lelaki itu tidak terus berlalu. Wajah yang sedang
lena itu ditatap tanpa jemu. Fakhri tunduk semula. Dahi isterinya dikucup lama.
“Aku minta maaf. Aku pernah berjanji takkan sia-siakan
kau, Fira. Aku akan kotakan apa yang aku katakan,” ucap Fakhri lagi.
Sebelum meninggalkan kamar itu, Fakhri menoleh lagi
kepada isterinya. Afyra masih kaku di atas katilnya. Ikutkan hati dia tidak
tergamak meninggalkan isterinya sendirian di situ biarpun hanya sekejap. Namun
memikirkan ada barang yang diperlukan selama Afyra berada di situ, dia memaksa
kaki untuk meninggalkan Afyra sendiri.
Di rumah Fakhri terpandang semula kawasan dapur yang
berselerak. Di lantai masih ada titik-titik darah Afyra. Selesai mengemas
barangan isterinya, Fakhri mengambil mop. Lantai yang terkena kesan darah
dibersihkannya. Hampir jam satu pagi barulah dia bergerak meninggalkan rumah
itu.
Ketika dia tiba semula di kamar itu, Afyra masih lena.
Fakhri duduk di sisi isterinya. Jemari Afyra diraihnya.
“Aku dah kemas rumah. Aku akan buat apa saja agar kau
maafkan aku. Aku boleh teruskan hidup biarpun dibenci keluarga sendiri. Kerana
aku tahu semenjak dulu aku tak ada harganya pada mereka semua. Tapi aku rasa
hidup aku dah tak bererti bila kau pun bencikan aku. Aku betul-betul minta
maaf, Fira.”
Fakhri tunduk saat melekapkan belakang tangan isterinya
ke bibirnya. Tiba-tiba dia rasa kesedihan yang amat dalam. Terkenangkan anak
yang berada di dalam kandungan isterinya dan kata-kata bapa mentuanya yang ini
semua merupakan teguran kecil dari Allah, dia kesal yang teramat sangat kerana
mempermainkan janji sendiri.
Selama ini sedar atau tidak, dia hanya memiliki Afyra
sebagai teman hidup. Isterinya menerima dirinya seadanya. Tidak pernah
melarikan diri biarpun dia dengan kejam mengheret isterinya ke dunia yang tidak
pernah dijejaki oleh wanita itu. Bukan dia mahu menguji adakah Afyra betah
dengan kehidupan yang serba tiada. Sedikit pun tidak.
Dia sememangnya sengaja berbuat begitu untuk melihat wanita
itu terkapai-kapai sendiri. Lengkap dendamnya setelah melihat wanita kesayangan
Naquib merana. Tetapi sayangnya, Afyra tetap tidak pernah kalah dengan semua
itu. Dan isterinya lebih bijak berbanding apa yang disangkanya selama ini.
Kini dia sedar. Kepura-puraan selama ini tidak mampu
membawanya ke mana-mana pun melainkan ke jalan ini. Jalan kelukaan! Apa yang
pernah terbina dulu, kini sedikit demi sedikit sudah mula jatuh menyembah bumi.
Paling tidak disangkanya, ianya berlaku secepat ini!
AWAL pagi itu setelah terjaga, Afyra memandang sekeliling.
Terpandangkan suaminya sedang berbaring sambil berpeluk tubuh di atas sofa di
sudut bilik itu. Afyra memandang jam. Sudah hampir jam 6 pagi. Fakhri masih
belum jaga dari lena.
“Fakhri..” panggil Afyra. Dua kali dia memanggil barulah
suaminya terjaga.
“Dah subuh,” ucap Afyra perlahan.
Fakhri terpisat-pisat bangun. Mengantuk. Dia baru dapat
lena. Namun digagahkan juga pergi ke kamar mandi. Sedang lelaki itu di dalam
kamar mandi, jururawat mula masuk ke kamar itu untuk rutin tugas mereka.
“Jangan banyak bergerak ya? Kena jaga elok-elok. Rahim
ada luka. Ingat semalam apa doktor buat?” ujar jururawat itu kepada Afyra
sambil dia memeriksa tekanan darah.
Afyra tersenyum lemah. Pengalaman pertama yang dia tidak
pernah tahu. “Sangat menyakitkan,” komen Afyra perlahan.
“Sebab tu kena jaga diri baik-baik. Insya-Allah, rahim tu
akan sembuh semula. Kena ambil masa.”
“Sampai bila saya kena tahan di sini?” tanya Afyra
perlahan.
“Itu bergantung kepada doktor dan kesihatan puan
sendirilah. Kalau dia berpuas hati dengan keadaan puan, insya-Allah tak lama
lagi boleh balik. Yang penting, apa yang doktor larang, jangan buat. Itu akan
memudaratkan keadaan rahim puan nanti. Wanita yang keguguran ni kadang kala
emosinya jadi tidak stabil. Banyakkan bersabar. Lapang-lapangkan fikiran. Bila
emosi baik, secara tidak langsung membantu fizikal supaya lekas sembuh.”
Afyra mengangguk dengan sedikit senyuman.
“Jangan lupa ambil sarapan pagi ya? Kalau nak ke toilet
panggil saya,” pesan wanita itu sebelum berlalu. Sekali lagi Afyra mengangguk.
“Kau bercakap dengan siapa tadi?” tanya Fakhri setelah
keluar dari kamar mandi.
“Nurse.”
“Apa katanya?”
“Tak ada apa sangat. Jangan banyak bergerak, itu aja.”
Afyra berbaring semula tanpa memandang lelaki itu.
Fakhri bersolat sendirian di sudut kamar. Afyra bangun
sendiri untuk ke tandas. Seperti orang yang baru lepas bersalin, keluar darah
kotor untuk tempoh tertentu.
Dan ketika jam hampir ke angka tujuh, sarapan pagi mula
dihidangkan. Wad kelas satu, makanan pun lengkap dengan segala macam dalam
sedulang! Tetapi si pesakit tidak berselera benar.
“Makanlah. Sedap tu,” ucap Fakhri lembut. Dulang makanan
dibawa dekat kepada isterinya.
Afyra memandang makanan itu sambil menghela nafas. Tekak
tidak mahu. Tetapi dia tahu dia harus makan juga. Sementelah semenjak semalam
dia tidak ada mengambil sebarang makanan pun. Sudahnya dia hanya mencapai
mangkuk kecil berisi kacang panggang. Hanya itu yang mampu diterima oleh
tekaknya. Sosej dan roti? Memang tidaklah!
“Kau makanlah. Nanti membazir,” ucap Afyra perlahan.
Mangkuk itu diletaknya semula. Kesan ubat membuatkan tubuhnya merasa tidak
selesa. Tekak apatah lagi.
Fakhri menghela nafas memandang raut isterinya. “Aku nak
kau lekas sembuh. Makanlah sikit lagi,” pujuk lelaki itu lagi.
“Aku tak boleh. Kau makanlah,” jawab Afyra sekadar
memandang makanan itu tanpa selera.
“Kau nak aku belikan sarapan lain?” tanya Fakhri lembut. Berusaha
bersungguh untuk mengambil hati isterinya semula.
Afyra sekadar menggeleng. Bukan kerana makanan. Tetapi dia
yang tidak ada selera.
Fakhri memandang sayu raut isterinya. Serba salah. Susah untuk
memegang hakikat yang Afyra jadi begini kerana kesilapannya.
“Aku minta maaf, Fira. Aku sedar perbuatan aku yang
menyebabkan kita kehilangan anak kita. Aku menyesal atas apa yang aku buat pada
kau selama ni,” ujar Fakhri rendah.
Afyra terus berdiam. Anak kita dah tak ada. Sebaris kata
itu membuatkan perasaannya merasa begitu pilu. Sebak datang mencengkam dadanya
tiba-tiba. Seolah-olah dia seorang ibu yang baru sahaja kematian anaknya.
“Fira, aku janji walau apa pun yang berlaku aku tak akan
biarkan kau lagi. Aku minta maaf,” ucap Fakhri bersungguh. Jemari isterinya
cuba dicapai. Namun Afyra menariknya semula perlahan-lahan.
“Aku cuma perlukan masa untuk pujuk hati aku sendiri. Aku
tak perlukan janji-janji kosong lagi. Aku sebenarnya tak tahu apa yang patut
aku percaya,” ucap Afyra amat perlahan.
“Aku tak menipu kau, Fira.”
“Aku tak mampu ubah sejarah dulu. Setiap hari kau akan
memandang aku sebagai bekas kekasih Naquib. Macam mana kau nak hidup dengan
aku? Aku tak harap kau akan tebus semula apa yang dah hilang dari dalam diri
aku. Cuma jujurlah pada diri sendiri, kalau benar kau tak mampu terima aku
seikhlas hati kau, tinggalkanlah aku sekarang. Aku rela maafkan kau. Tapi jangan
main-mainkan aku lagi. Tolonglah.”
Fakhri terpempan mendengar permintaan sang isteri.
“Percayalah pada aku. Kali ni aku tak berbohong. Aku tak
pernah anggap perkahwinan ni hanya sementara.”
Afyra diam. Menganggap perkahwinan ini sementara, itu
lain topik. Perbuatan yang menjurus ke arah runtuhnya perkahwinan, itu lain
pula topiknya. Tapi kedua-duanya hasilnya sama.
“Perkahwinan ni tak seperti orang lain. Terlalu banyak
pembohongan. Aku rasa aku hanya keseorangan selama ini,” ujar Afyra sambil
memejamkan matanya. Sungguh. Hatinya sudah hancur sama sekali. Di kala dia
bertatih-tatih mendaki tangga untuk mencapai matlamat perkahwinan yang sebenar,
dia merasakan Fakhri seolah-olah sedang berada di luar dari itu. Dia hanya
sendirian.
“Aku tak akan ketepikan kau lagi, Fira. Aku sayangkan
kau.”
“Aku tak perlukan simpati dari kau hanya kerana keadaan
aku begini. Fakhri, aku akan melihatnya sendiri. Kau tak perlu bersusah payah
meyakinkan aku. Mulut biasa berbohong, Fakhri. Tapi kita tak akan selamanya
dapat berpura-pura. Jadi tolonglah. Jangan tabur kata-kata yang tiada erti
semata-mata untuk memujuk aku,” balas Afyra tanpa memandang sang lelaki.
Fakhri terdiam. Mati akal mahu meluahkan bicara lagi.
“Makanlah. Nanti membazir makanan tu,” ucap Afyra sambil
meletakkan kepala ke bantal. Mata dipejamkan serta merta. Hanya satu yang dia
inginkan saat ini. Jika ada lena yang panjang, dia ingin lena itu membawa pergi
segala kekecewaan yang sedang dirasakan saat ini.
Adakah suruhan itu mampu diterimanya begitu sahaja.
Tidak. Fakhri mengambil jemari isterinya. Lama dia memandang Afyra yang masih
memejamkan mata. Namun kemudian dia terlihat, Afyra mengusik hujung matanya.
Keningnya berkerut. Dia tahu isterinya menahan tangisan.
Fakhri tunduk meramas jemari isterinya. Sungguh dia kelu
melihat Afyra begitu. Tidak kedengaran herdik tengkingan atau bahasa kesat.
Tetapi jelas sekali Afyra telah pun menjauhkan diri darinya.
pedihnya rasa hati...huhuhu...
BalasPadamsedihnya...... ingatkan Fakhri betul2 nak jaga Fira tapi cuma nak balas dendam... Sadisnyer.... huhu..
BalasPadamNak bace part pakri sakit .. hihihi tashabar nak bace
BalasPadamsedihnya hati... sampai hati pakri buat fira mcm tu... ;(
BalasPadam