BAB
13
“FIRA..”
belakang tubuh wanita itu disentuh lembut oleh Fakhri. Afyra mencelikkan mata
sedikit. Malas. Penat.
“Bangun. Aku dah nak pergi ni,” bisik Fakhri lagi.
Perlahan wanita itu membalikkan tubuhnya memandang lelaki
itu. Fakhri sudah bersiap rupanya.
“Jam berapa sekarang?” tanya wanita itu dalam suara
serak.
“Dah pukul 10.”
Afyra menghela nafas perlahan. Lama juga dia terlena rupanya.
“Nak pergi sekali?” tanya Fakhri lembut.
Pantas Afyra menggeleng. Tak ingin! Sudah tahu siapa yang
akan ditemui di sana nanti.
“Kau ajalah. Aku belum bersedia nak ke sana,” ujar Afyra
perlahan. Sedar yang dua manusia itu mentuanya. Tetapi dia tidak mahu
berhadapan dengan Naquib buat masa ini.
“Kalau begitu aku pergi sendiri aja. Kau tunggu di rumah
ya? Kunci pintu.”
“Jangan lama-lama sangat,” balas Afyra sedikit serak
suaranya. Lambat-lambat dia bangun. Pakaian kembali dikenakan di tubuhnya.
Fakhri berdiri di hadapan cermin, menyikat rambut. Juga menanti isterinya
selesai berpakaian.
Afyra menghantar lelaki itu sehingga ke koridor hadapan
rumahnya. Dia terus berdiri di kaki lima
hadapan rumah itu sambil memandang ke bawah. Tidak lama selepas Fakhri turun
bayang lelaki itu kelihatan berjalan ke arah motornya. Afyra terus memandang
gerak geri lelaki itu sambil tersenyum-senyum.
Sebelum berlalu Fakhri kembali memandang ke atas. Afyra
masih memerhatikan dia semenjak tadi. Saat Fakhri memandangnya, Afyra melambai
sedikit. Hanya setelah Fakhri berlalu barulah Afyra memilih untuk masuk ke
dalam semula. Tetapi dia terpandangkan jiran sebelah baru hendak keluar dari
rumah.
Sang suami elok tersenyum. Sang isteri? Alamak! Masamnya
muka. Macamlah orang hendak rampas suami dia. Semenjak tinggal di rumah ini,
baru kali ini dia terserempak dengan jiran sebelah rumah.
“Penyewa baru ya?”
“Taklah. Baru kahwin. Suami saya tinggal di sini dah
lama,” jawab Afyra.
“Siapa orangnya?” Lelaki itu mengerut kening dengan
jawapan Afyra. Rumah itu sudah lama ditinggalkan penyewa sebelum ini setahunya.
Namun belum sempat jawapan didapati dari Afyra, dia dicuit oleh isterinya.
Sudahnya dia memilih untuk meminta diri saja.
“Euwww.. kekwatnya bini dia!” desis Afyra seorang diri.
HAMPIR sejam bermotor, Fakhri tiba di rumah ayahnya. Semenjak
berkahwin inilah kali pertama dia pulang ke rumah ayahnya. Di bawah garaj, BMW
milik Naquib terpakir elok menandakan tuannya ada di rumah. Puas dia memberi
salam. Salamnya tidak bersambut biarpun dia terlihat seseorang mengintai dari
cermin pintu gelangsar.
Namun tidak lama kemudian Herman keluar. Sedikit pun
tiada senyum terhias di wajahnya.
“Ayah..” sapa Fakhri.
“Ni. Ambil duit ni.” Herman terus menghulurkan segumpal
wang kepada Fakhri melalui celahan pintu pagar.
“Duit apa ni, ayah?” tanya Fakhri hairan.
“Duit yang aku janjikan waktu aku suruh kau kahwin dengan
perempuan tu!” balas Herman tanpa sedikit pun kemesraan dalam nada.
Wajah Fakhri berubah. “Saya bukannya datang untuk tuntut
duit ni, ayah. Saya datang nak jumpa ayah.”
“Lepas aku tunaikan janji aku, aku tak mahu ada kena
mengena dengan kau dan budak perempuan tu. Pandai-pandailah kau atur hidup kau,”
ucap Herman keras.
“Tapi apa salah saya, ayah? Apa yang ayah suruh saya dah
buat,” ujar Fakhri rendah. Sedih dengan penerimaan ayahnya. Serba tidak kena
dia dibuatnya. Patuh salah. Tidak patuh pun salah.
“Kau sengaja malukan kami ya? Memang mula-mula aku nak
kau nikah dengan Afyra. Tapi anak aku tu berkeras nakkan juga Afyra. Mahu tak
mahu kami terpaksa terima. Tapi kau ganggu urusan kami di majlis malam tu!
Naquib dah pesan jangan datang. Kalau kau tak datang malam tu, keadaan tak akan
jadi begini!” balas Herman tetap keras nadanya.
Fakhri diam pula.
“Tu..” Herman menunding ke arah rumahnya. Memaksudkan
Naquib.
“Hidup segan mati tak mahu. Macam dah tak ada perempuan
lain nak diingatnya. Kesannya kena pada aku.”
“Habis tu, kenapa hari tu tak jadi kahwin?” soal Fakhri
tidak faham.
Herman pula yang berdiam. Tiada lain sebabnya. Isterinya
yang terlalu banyak mengadu domba, memberi gambaran buruk sehingga Naquib jadi
keliru. Dia tahu Naquib sayangkan Afyra.
“Pergi ajalah dari sini. Aku tak mahu rumah ni jadi
tunggang terbalik disebabkan kau dan perempuan tu. Aku dah tunaikan janji aku.
Kau carilah kehidupan kau sendiri.” Herman kembali bersuara tidak lama
kemudian.
Fakhri menelan liur. Perit perasaannya mendengar itu.
“Saya ni anak ayah. Ayah bencikan mak, bencikan saya. Dah terlalu lama saya
menelan semua itu. Apa salah kami?” luah Fakhri sedih.
“Aku malas nak ulas lagi tentang itu. Mak kau pun
bukannya nak beralah dulu. Suka bagi pening kepala aku,” ujar Herman biasa.
“Hanya sebab itu ayah bencikan kami?” ujar Fakhri pula.
“Kau takkan faham, Fakhri. Semua salah tu duduk atas bahu
aku. Suka atau tidak aku kena terima. Lebih baik kau jauh dari aku. Daripada
menanggung apa yang tak sepatutnya kau tanggung,” balas Herman mula rendah
nadanya.
“Saya cuma ada ayah lepas mak dan arwah nenek tak ada.
Tapi ayah pun buang saya. Takkan tak ada sikit pun maaf dari ayah atas apa yang
berlaku dulu. Saya tak pernah berniat nak menconteng arang pada keturunan ayah.
Saya difitnah.”
“Aku malas nak ulas panjang-panjang tentang itu. Kau
pergilah. Nak selongkar semula kisah-kisah lama dulu, aku dah tak upaya. Lagi
panjang ceritanya nanti. Lebih baik kau pergi aja. Ambil duit ni. Jaga
rumahtangga kau baik-baik.” Herman terus berpaling setelah meletakkan duit itu
di atas telapak tangan Fakhri.
Fakhri hanya mampu memandang sambil memaut pagar di
hadapannya. Putih matanya melihat Herman menutup pintu rumah itu. Simbolik.
Ruang di dalam keluarga ini sememangnya sudah lama tertutup rapat buatnya.
Lebih tertutup ruang itu setelah apa yang berlaku di malam pernikahan itu.
Fakhri menghela nafas perlahan. Sedih. Namun dia sakitnya
sudah tidak seberapa kerana dia sudah terbiasa. Sudahnya dia kembali menunggang
motornya. Ke mana lagi tempat untuk dia tuju melainkan pulang ke rumahnya, kepada
kehidupannya.
Di rumah Afyra baru selesai memasak. Terkejut wanita itu
melihat suaminya sudah pulang.
“Eh! Kejapnya kau pergi?” ucap Afyra hairan. Janganlah
disebabkan dia berpesan supaya jangan pergi lama-lama, makanya tidak sampai dua
jam Fakhri sudah pulang. Itu terlalu sekejap!
“Tak ada apa nak buat kat sana.” Fakhri menjawab malas.
Punggungnya terus dilabuhkan di kerusi panjang.
Afyra diam memandang tampang suaminya. Dia tahu Fakhri
sedang menyembunyikan sesuatu. Tidak perlu ditanya, dia sudah dapat meneka.
Suaminya dihalau lagi agaknya.
“Nak makan? Aku dah siap masak ni.” Afyra segera
mengalihkan topik perbualan.
“Boleh juga. Lapar.”
Biarpun sebelum itu ditimpa kedukaan, mood Fakhri kembali
bertenaga apabila berdua dengan Afyra. Walaupun isterinya jenis manusia yang
suka cakap lepas, ada saja gelagat perempuan itu yang membuatkan dia terhibur.
Kisahnya ialah.. Afyra mengomplen banyak ulat gonggok berkeliaran
di dapur. Sentiasa ada binatang itu merayap di sinki, lantai kamar mandi,
lantai dapur. Malah di dinding juga ada. Menjadi masalah kerana isterinya itu
takut dengan binatang itu!
“Tengok tu. Tengok!” ucap Afyra sambil menunjukkan dua
ekor ulat gonggok di atas sinki.
“Buang ajalah. Dia tak gigit.”
‘”Tak. Kau tengok dulu apa dia buat.” Afyra terus menarik
suaminya ke sinki.
Fakhri akur juga. Ulat yang ditunjukkan Afyra dipandang
lama. Ada dua ekor sedang saling berlilit. Lama kelamaan dia faham juga apa
yang sedang disampaikan Afyra.
“Ulat tu tengah mengawan ke?” ucap Fakhri lantas
menganga.
“Kurang sopan, kan? Dah terlampau banyak sampai macam tu
sekali. Mengawan kat tempat terbuka,” balas Afyra.
“Pengantin barulah tu. Suami isteri! Jangan kacau. Nanti
nafsu suaminya tak puas,” ucap Fakhri tanpaa henti memerhatikan ulat itu yang
sedang bercinta sakan.
Spontan Afyra memandang lelaki itu dengan pandangan
tajam. Entah ke manalah pergi otak si Fakhri ini. Ulat pun ada suami isteri!
“Dia mengawan kat tempat aku basuh pinggan! Aku geli
tengok aksi dia orang! Boleh tak kalau halau ulat tu?” ejek Afyra jengkel.
“Dia orang tengah mabuk asmaralah tu. Baru kahwin memang
begitu. Hoi, ulat! Pergi cari bilik hotellah. Bini aku nak basuh pinggan.
Terganggu tengok aksi kau orang berdua.”
Sekali lagi Afyra merenung lelaki itu. Tajam. Rasa macam
nak disumbatnya ulat itu ke dalam mulut Fakhri!
“Syuh! Syuh! Lucah betul kau ni, ulat. Nanti tak
pasal-pasal aku kena bawa bini aku masuk bilik pulak,” ujar Fakhri sambil
mengutip ulat itu.
“Kau bercakap tentang ulat tu ke atau tentang kau? Kau
yang miang, kau gunakan nama aku pulak, kan?” desis Afyra makin menyirap rasa
nak mengetil lelaki itu.
Fakhri mula menyengih. Ulat itu dibuang ke dalam lubang
jamban. “Dah. Sehidup semati suami isteri,” ujar Fakhri sambil mencuci tangan.
Afyra sekadar menayang muka tidak berperasaan.
“Buat muka. Aku cium nanti,” ugut Fakhri.
Afyra sekadar mencebik. Tidak hairan dengan ugutan
seperti itu. Spontan Fakhri mendekatkan wajah kepadanya. Memang benar lelaki
itu menciumnya. Masih juga dia buat selamba. Tidak pula terjerit-jerit
konon-kononnya malu tapi mahu.
“Aik? Tak marah pun. Macam suka aja?”
“Pak cik, aku ni bini kau. Setakat nak terjerit-jerit
konon macam tak rela, tu memang klise,” perli Afyra.
Fakhri menyengih serta merta. Ia tak ia juga. Pagi tadi,
awal-awal pagi lagi Afyra dah diheretnya masuk bilik. Tiada pula isterinya
marah. Reda aja.
“Dah. Syuh! Syuh! Aku nak basuh pinggan ni. sibuk aja
pandang orang,” omel Afyra sambil lelaki itu ditolak jauh darinya.
“Dia yang panggil kita tadi.”
Sesudah mengemas dapur, Afyra ke hadapan semula. Fakhri
sedang menonton tv. Terus dia duduk dekat dengan lelaki itu.
Fakhri menoleh sekilas sambil menyeluk poket seluarnya.
“Ayah aku ada bagi aku duit,” ujar Fakhri sambil
menyerahkan wang itu kepada Afyra.
“Ni. Ambik ni.”
“Apa ni??” tanya Afyra sambil membulatkan mata memandang
gulungan duit itu.
“Bapak aku upah aku lima ribu untuk kahwin dengan kau.
Nah. Ambiklah,” jelas Fakhri tanpa merasa bersalah sedikit pun.
Makin membulat mata Afyra mendengar itu. Dibayar kahwin
dengannya?? Mendadak naik rasa nak marahnya mendengar bicara lelaki itu. Mudah
sungguh berkata begitu. Spontan Afyra terus bangun.
“Eh! Kau nak pergi mana? Ni ambillah duit ni,” ucap
Fakhri hairan. Orang bagi duit, tak mahu? Tahulah dia anak orang kaya. Fakhri kembali
mengutip duit itu lalu mengekori Afyra masuk ke kamar.
“Sebab tulah kau nak sangat kahwin dengan aku, kan? Sebab
duit!” marah Afyra.
“Hello, mak cik. Duit ni aku bagi kau. Kalau aku nak, aku
tak bagi kau. Aku buat pegun aja pergi makan KFC seorang. Balik rumah aku
buat-buat lapar. Kau bukannya tahu pun.” Fakhri menjawab selamba.
“Kau memang macam nilah. Aku tengah marah, kau boleh buat
muka selamba aja. Tak habis-habis dengan loyar buruk kau. Macam tak ada apa-apa
yang serius pun kan? Kau tak tahu bila masanya kau perlu tahan kata-kata kau
yang mungkin akan menyakitkan hati aku,” rungut Afyra kesal.
“Habis tu kau nak aku buat muka macam mana? Dah memang
macam ni perangai aku.” Fakhri menjawab bersungguh.
“Bosanlah bercakap dengan kau ni.” Afyra membuka almari
kain.
“Kau nak buat apa?” tanya Fakhri saat melihat Afyra
mengambil sehelai seluar jeansnya.
“Aku nak keluar. Hati aku panas! Lagi panas bila tengok
muka selamba kau,” ujar Afyra selamba.
“Okay. Nah. Ambil duit ni. Pergi shopping. Beli beg
tangan ke. Baju baru ke. Tak pun baju tidur seksi ke.” Fakhri mendekati Afyra.
Duit itu dihulurkan lagi kepada isterinya.
Afyra kembali memandang lelaki itu. Tajam. “Kau izinkan
aku keluar ya? Kau ingat aku boleh lembut hati bila disogok dengan duit?”
“Habis tu kau nak aku peruk kau dalam almari tu dalam
keadaan kau marahkan aku? Ambillah duit ni. Tak kisahlah sebab apa pun. Yang
penting ni duit. Boleh dibelanjakan. Nanti bila kau dah tak marah, kau
baliklah,” ucap Fakhri sedikit lembut.
“Aku tak nak duit tu!” jawab Afyra sambil menggeleng.
Fakhri menggeleng dengan helaan nafas perlahan. “Kalau
kau jadi macam aku, baru kau tahu betapa besarnya nilai duit ni. Terutama
sekali bila datang dari tangan ayah kau sendiri. Kau anggap aku tak ada maruah?
Kau anak orang kaya. Serba ada. Aku tak macam tu,” ujar Fakhri lagi.
“Ayat kau tak lakulah, pak cik!” ejek Afyra. Terus sahaja
dia mengambil beg tangannya.
Fakhri menghela nafas lagi. Afyra terus menonong ke
pintu.
“Cik kak..” panggil Fakhri.
Afyra terus menonong juga. Malas nak layan Fakhri!
“Mak cik, tudung tak payah pakai? Kau nak pergi merajuk
tanpa pakai tudung ke apa? Kena pelangkung dengan bapak kau, aku tak tanggung.”
“Oh ya! Lupalah pulak.” Afyra tergelak tiba-tiba. Marah
sangat kononnya sampai lupa nak pakai tudung.
“Apasal kau gelak??” mata Afyra terjegil kepada suaminya.
“Kau gelak. Aku gelaklah. Supaya lawak tadi tu nampak tak
hambar.” Fakhri terkulat-kulat saat dijeling Afyra.
“Sibuk aja gelakkan orang. Benci!” desis Afyra lantas
mencari tudungnya. Fakhri terus memerhatikan isterinya mengenakan tudung.
“Ambillah duit ni. Ni pun rezeki juga. Tak baik ditolak.
Belilah apa-apa yang kau suka,” ujar Fakhri perlahan.
“Kenapa sampai ambil duit tu? Kita ni susah sangat ke?
Kau boleh aja tolak duit tu. Perbuatan kau memalukan aku. Seolah-olah aku ni
barang yang boleh dijual beli! Kau suka Naquib memperkecilkan kau? Miskin
sangat sampai sanggup diupah untuk kahwin dengan bekas kekasih dia! Kau ni
memang susahlah nak difahami,” marah Afyra.
Fakhri diam pula. Usai mengenakan tudung Afyra terus ke
ruang tamu. Fakhri terus setia mengekori isterinya.
“Ambillah. Anggap aja ini hadiah dari aku.” Fakhri memujuk
lembut. Duit itu diselitkan di dalam beg tangan Afyra. Afyra langsung tidak
memandang. Meluat pula mahu menatap wajah lugu Fakhri.
“Fira,” panggil Fakhri.
“Apa?” Afyra sekadar menoleh dengan wajah mencuka.
“Jangan marah lama-lama ya?” ucap Fakhri perlahan.
“Tengoklah dulu.” Afyra menjawab selamba. Dan dia terus
berlalu. Fakhri hanya mampu terkulat-kulat memandang isterinya.
Kali itu Afyra memilih untuk naik bas. Apa yang dia suka
tinggal di sini, pengangkutan bas ke Mid Valley sememangnya banyak dan mudah.
Berbanding meredah kesesakan jalan, dia lebih rela naik bas. Di samping marah
benar dengan Fakhri. Sebenarnya dia sesak duduk berkurung di rumah. Sengaja
mahu mengambil angin luar.
Tiba di mid valley rasa teruja mula terasa. Terlupa sudah
tentang kemarahannya kepada Fakhri. Dari satu kedai ke satu kedai dia berjalan.
Baru sekejap dia berjalan, dia sudah ternampak kelibat Fakhri berjalan agak
jarak di belakangnya.
“Dia ikut jugak rupanya! Nak release tention macam mana
kalau dia menyibuk sekali?” ucap Afyra seorang diri.
Berkali-kali dia menoleh ke belakang, dia sempat
ternampak Fakhri menyorok. Afyra menjeling. Ingat orang tak nampak ke? Geram
melihat gelagat lelaki itu, Afyra mula terfikir mahu mengenakan Fakhri. Dengan
muka selamba dia keluar dari butik tudung itu. Untungnya tidak jauh dari situ
terlihat pula olehnya butik pakaian dalam wanita. Afyra terus membelok masuk ke
situ.
Fakhri terjengah-jengah dari kedai sebelah. Sambil
membelek dia terus memerhatikan gelagat Fakhri. Terintai-intai dari cermin
hadapan butik itu. Mencari dialah tu. Sengaja dia berdiri di celahan orang
ramai supaya lelaki itu susah mahu mencari dia.
Namun dia tergelak seorang melihat gelagat Fakhri. Lelaki
itu tidak perasan dia sedang mengintai melalui dua kaki patung wanita yang
berada di sebalik cermin. Sesudah perasan, lelaki itu ternganga melihat patung
itu dipakaikan dengan pakaian dalam wanita.
Malu. Tidak jadi Fakhri mahu mengintai lagi. Sudahnya dia
bersandar menunggu Afyra keluar dari butik itu. Sambil memandang sekeliling
Fakhri menunggu. Namun dia tidak sedar, Afyra sedang mendekatinya.
“Kau buat apa kat sini?” tanya Afyra selamba.
“Err.. aku jalan-jalan.” Fakhri cuba berlagak biasa.
“Kau ikut aku, kan?” teka Afyra dengan pandangan hujung
mata.
Fakhri mula tersengih-sengih. Namun kemudian sengihannya
terpadam sendiri. Teringat pergaduhan di rumah tadi. “Aku takut kau lari
tinggalkan aku,” ucapnya perlahan.
“Mengarut aja kau ni, pak cik!” desis Afyra sambil
menjeling. Tanpa segan silu lengan lelaki itu dicapainya lalu ditariknya pergi.
“Nak ke mana?” tanya Fakhri hairan dengan gelagat isterinya.
Dia dah tak marah ke? Bisik hati Fakhri.
“Habiskan duit yang kau bagi tadi tulah,” jawab Afyra
selamba.
“Kita pergi tengok wayang nak?” ajak Fakhri sambil
meleraikan pautan tangan isterinya. Kali itu jemari sang isteri pula disulamnya
dengan jemarinya.
Afyra sempat memandang Fakhri. Namun kemudian dia terus
tersenyum tanda rela.
“Kau datang naik apa?” tanya Afyra sambil mereka berjalan
mencari panggung wayang.
“Naik baslah. Aku naik bas yang sama dengan kau. Kau yang
tak perasan. Tengah merajuklah katakan,” jawab Fakhri selamba.
Bersungguh-sungguh mereka berdua menghabiskan masa di
panggung wayang. Dari satu cerita ke satu cerita. Sedar-sedar rupanya sudah
malam. Fakhri mengajak pulang. Memikirkan mereka naik bas, Afyra akur sahaja
walaupun masih belum puas berjalan.
Sampai di hadapan blok pangsa kediaman mereka, Fakhri
tidak jadi terus berjalan. Mereka berhenti di tempar parkir kereta.
“Nak pergi makan tak?”
“Kan kat rumah aku dah masak?”
“Sesekali kita makan di luar. Tak apalah,” jawab Fakhri
lembut.
Spontan Afyra tersenyum. Kalau dah diajak, mestilah dia
nak!
Fakhri meminta kunci kereta dari Afyra. Kalau tadi naik
bas, kali ini mereka menyambung berjalan dengan kereta pula. Fakhri
memberhentika kereta di sebuah kedai mamak.
“Kat sini?”
“Boleh.” Lapar punya pasal, dia dah tak peduli lagi hal
yang lain.
Mereka memilih duduk di tempat terbuka.
“Kalau dengan daddy memang tak merasalah nak duduk di
kedai makan lewat malam begini,” ujar Afyra setelah pelayan kedai itu berlalu dengan
pesanan mereka.
“Orang perempuan tak manis duduk di sini malam-malam,”
jawab Fakhri sudah faham maksud larangan itu.
“Dengan kau tak apa, kan?” ujar Afyra sambil menyengih.
“Sebab aku ada. kalau aku tak ada, memang tak merasa
jugaklah,” jawab Fakhri selamba.
“Eleh.. dia tak apa. Kita tak boleh. Kau tu suka melepak
dengan kawan sampai tengah malam baru balik?”
“Aku lelaki. Tak ada siapa nak rogol aku kalau balik
tengah malam.” Selamba saja jawapan Fakhri membuatkan Afyra mencebik.
“Kau carilah kerja lain, pak cik. Aku tak kisah kau kerja
gaji rendah sekali pun asalkan kau kerja. Daripada kau buang masa,” rungut
Afyra.
“Siapa cakap aku buang masa?”
“Seharian di luar melepak dengan kawan, apa sebenarnya
yang kau buat?”
Fakhri diam. Dia mencebik sedikit.
“Susahlah kau ni, pak cik. Asal aku bercakap pasal ni,
mulalah kau buat muka. Muka kau macam tu, menyakitkan hati aku tahu tak,” rengus
Afyra lantas memandang ke arah lain.
“Kau tak payah risau. Hidup kita baik-baik aja.”
“Maksud kau, aku tak ada hak untuk masuk campur dalam
urusan kau ke?”
“Maksud aku, kau tak perlu risau tentang hal yang tak
perlu kau risau,” jawab Fakhri pantas.
“Kenapa kau macam ni? Aku isteri kau. Aku risaukan keadaan
kewangan kita lepas ni, salah ke? Atau ada sesuatu yang kau tak mahu aku tahu?”
“Aku kata, kau tak perlu risau tentang apa yang tak perlu
kau risau. Aku tak suka kau banyak bertanya.”
Afyra tersandar di kerusinya menahan sebal. Sudahnya dia
berdiam. Kata-kata Fakhri itu melekat kuat di benaknya. Fakhri tidak suka dia
banyak bertanya!
eeee.. pakcik nie kannnn
BalasPadam