Jumaat, 12 Ogos 2016

BAB 11 ADA ENGKAU DI JIWAKU

BAB 11
AWAL pagi itu, Afyra mula sibuk meredah dapur. Masih ada beras. Tiada pula peti ais. Afyra mula menghela nafas panjang. Apa yang hendak disediakan, dia sendiri pun tidak tahu. Sebaik sahaja lelaki itu keluar dari kamar mandi, Afyra menoleh.
“Macam mana nak memasak? Ada beras aja.”
“Aku pergi beli sarapan. Aku solat dulu. Aku beli sekali barang dapur sekejap lagi,” jawab Fakhri lembut.
Afyra terus sahaja ke depan. Dari dalam poket beg tangannya diambil pen. Kemudian dia mencapai kertas. Segala barang yang diperlukan ditulisnya. Kemudian kertas itu diberikan kepada Fakhri sebaik sahaja lelaki itu muncul.
Fakhri terus memasukkan kertas itu ke dalam poket bajunya.
“Kunci pintu. Aku keluar dulu,” ujar Fakhri sambil menyarung selipar di muka pintu. Afyra sekadar mengangguk.
Lima belas minit kemudian, seorang budak lelaki mengetuk pintu rumahnya. Afyra menjengah sedikit.
“Ni Abang Fakhri bagi. Dia suruh makan. Jangan tunggu dia.”
“Mana dia?” tanya Afyra hairan. Beg plastik itu diambilnya juga.
“Dia tengah makan kat kedai.” Dan budak lelaki itu terus berlari pergi.
Tercengang Afyra memandang budak lelaki itu pergi. Di dalam beg plastik itu ada bungkusan nasi lemak.
“Kurang asam punya Pak Cik Pakri! Dia makan kat kedai rupanya,” bebel Afyra sendiri. Sudahnya dia makan sendirian di rumah itu.
Lama. Memang lama dia menunggu Fakhri pulang. Dari zohor melarat ke asar barulah lelaki itu muncul. Bukan dia seorang. Afyra terkejut besar melihat ada dua lelaki datang sambil memikul peti ais. Melopong dia. Teringat dia sengaja menulis ‘peti ais satu!!’ di hujung kertas itu. Sangkanya Fakhri akan mengabaikan sahaja apa yang ditulisnya itu. Rupanya tidak. Suaminya pergi juga membeli peti ais itu!
Afyra hanya mampu memandang lelaki-lelaki itu meletakkan peti ais itu di dapur.
“Sorry. Aku pergi cari peti ais tadi. Kat sini mahal sangat. Aku pergi jauh sikit,” ujar Fakhri dengan helaan nafas kelegaan. Selesai satu masalah. Dia tahu betapa perlunya benda itu di rumah.
“Esok aku nak tulis benda lain pulak dalam list barang dapur. Mana tahu ada untung sabut, timbul.” Afyra berkata selamba.
“Apa maksud kau ni?”
Afyra menoleh kepada suaminya dengan senyum meleret.
“Belikan sofa pulak ya, sayang? Please!” ucap Afyra sambil membuat muka secomel-comelnya.
Wajah Fakhri berubah cemberut. “Sofa tak penting,” jawab Fakhri lantas berlalu dari dapur.  
Afyra mencebik saat memandang lelaki itu berlalu. Sudah diagaknya. Permintaannya tidak akan dilayan!

HIDUP bersama masing-masing punya tanggungjawab. Perkahwinan atas dasar apa pun, matlamatnya tetap sama. Bagi Afyra, dia cuba juga menyesuaikan diri dengan dunia baru biarpun baru dua hari menghuni rumah itu.  
Awal pagi lagi mereka sudah bangun. Bersolat subuh seperti biasa. Pertamanya, sudah tentulah sarapan pagi harus disediakan.
“Kau kerja ke hari ni?” tanya Afyra sebelum ke dapur.
“Tak.” Fakhri menjawab sekadar sepatah.
“Kau suka makan apa pagi-pagi begini?” tanya Afyra sambil membuka peti ais baru itu. Semalam lelaki itu ada membeli sedikit barang basah.
“Masak nasi aja sudah. Lauk semalam ada lagi, kan?” ujar Fakhri lantas ke hadapan.
Afyra pantas berpaling. “Hello, pak cik. Itu kau boleh amalkan bila kau hidup seorang. Ada ke makan lauk semalam pagi-pagi buta?” gerutu Afyra. Lelaki itu sudah hilang ke hadapan. Dia dengar tv sudah dihidupkan Fakhri.
Melihat nasi semalam ada tersisa, dia memilih untuk menggoreng nasi. Sedang dia sibuk di dapur, Fakhri muncul. Lelaki itu berdiri di belakang Afyra. Afyra mula menoleh.
“Kau suka makan pedas, kan?” ujar Afyra biasa.
Fakhri sekadar mengangguk. “Kau pandai memasak?” tanya Fakhri lembut.
“Bolehlah sikit,” jawab Afyra biasa. Selama hidup bersendirian di London dahulu, adakah dia hidup senang lenang macam anak orang kaya? Mimpi! Hujung minggu dia menayang muka di rumah abangnya tanpa segan silu. Selebihnya dia hidup seadanya dalam keadaan ekonomi dunia tidak stabil. Di rumah kena juga memasak, berkongsi dengan kawan-kawan.
“Nampak sedap,” komen Fakhri.
“Dah lapar ke?” balas Afyra tanpa menoleh.
Fakhri diam. Dia sibuk memandang bahu Afyra pula. Kemudian rambut. Saat berdiri dekat dengan isterinya, haruman di tubuh Afyra menyengat kuat derianya. Tidak sedar, saat itu dia lebih banyak memandang Afyra berbanding nasi goreng di dalam kuali itu.
Dari sekadar memandang, perlahan tangannya singgah di pinggang Afyra.
“Jangan, pak cik. Aku rimas ni. Panas,” tegah Afyra sambil menurunkan semula tangan suaminya.
“Sentuh sikit aja pun,” rungut Fakhri perlahan.
“Nak bermanja depan kuali ni ke?” balas Afyra selamba.
“Lama lagi ke?” tanya Fakhri sekadar mahu menutupi rasa teruja di hatinya. Perlahan tangannya singgah di belakang isterinya pula. Buat-buat memicit bahu. Padahal tangan itu sudah tidak sabar mahu ke tempat lain!
Afyra diam. Lain macam pula rasanya. Kali pertama Fakhri berbuat begitu kepadanya. Api segera dipadamkan dan dia buat-buat pergi mengambil mangkuk nasi.
Fakhri terus memandang gerak geri isterinya. Liur ditelan bukan kerana terliurkan nasi goreng. Tetapi pakaian yang agak sendat dikenakan Afyra. Baju tee putihnya kainnya agak nipis dan jarang, menampak bentuk baju dalam berserta warnanya.
“Eh! Aku dah padam api ke tadi?” ucap Afyra kalut. Mangkuk berisi nasi itu diletakkan di atas dapur. Terus dia menunduk untuk melihat api di bawah kuali itu. Terlupa yang Fakhri sedang berada di belakangnya. Sudahnya Fakhri ternganga.
“Seksinya, mak cik. Seksa aku dibuatnya.”
Spontan Afyra menoleh. Melihat bukan main bulat lagi mata si Fakhri merenung punggungnya terus dia menegakkan tubuhnya semula.
“Kau buat apa kat sini lagi, pak cik?? Pergilah depan sana!” ucap Afyra terkejut. Malu!
Fakhri melopong sedikit sambil berlalu dari situ. Sesekali dia berpaling lagi. Mana tahu Afyra menonggeng lagi! Sayangnya dia terlanggar peti ais baru yang terletak elok di hadapan gerbang masuk ke dapur. Afyra menoleh semula. Fakhri buat-buat membuka peti ais. Kemudian dia menoleh semula kepada isterinya.
“Belum tengok lagi peti ais baru ni,” ucapnya sambil memandang ke dalam peti ais itu.
Afyra menggeleng sedikit. “Gatal pak cik tu!” desisnya sendiri.
Sarapan pagi segera dihidangkan. Afyra mengambil dua mug. Nescafe segera sekadar dibancuh di dalam mug buat mereka berdua. Selesai itu barulah dia duduk bersama suaminya.
Fakhri tersenyum-senyum sambil memandang isterinya mencedok nasi untuknya. “Best kahwin ni, kan? Makan sama-sama. Tidur sama-sama. Dapat anak sama-sama.”
Spontan Afyra memandang wajah Fakhri. Lelaki yang sedang tersengih itu dijelingnya. Gatal!
“Makanlah. Tengah lapar ni, entah apa lagi kau merapu,” ucap Afyra sambil menyerahkan pinggan nasi kepada Fakhri.
Lapar dan senang hati. Kombinasi terbaik untuk dia makan dengan begitu selera. Kena pula nasi goreng itu agak pedas. Memanglah dia suka benar. Afyra tidak makan banyak. Habis sepinggan dia sekadar menghirup air nescafe di dalam mug sambil memandang tv.
Fakhri? Habis sepinggan, dia menambah lagi. Masih tidak kenyang. Gelagatnya menarik perhatian Afyra.
“Sedap ke?” tanya Afyra hairan.
“Mantap!” jawab Fakhri masih begitu berselera.
Afyra terus memandang lelaki itu makan. Sekadar nasi goreng yang digoreng bersama telur dan sayur sawi lelaki itu berselera. Senanglah dia nanti. Fakhri sukakan masakan yang mudah semata.
Sesudah makan, mereka bersama-sama mengemas pinggan dan mangkuk yang sudah digunakan. Afyra membasuh pinggan sementara Fakhri mengemas di hadapan. Selesai membasuh pinggan dapur pula dikemasnya. Habis segala ceruk dipunggahnya. Dek kerana dapur itu teramat kecil, tidaklah lama benar mengerjakan ruangan itu.
Namun kemudian Afyra termenung. Satu perkara yang masih tidak lepas dari fikirannya semalam ialah, rumah ini tiada mesin basuh. Dan jika diminta Fakhri pasti akan pergi membelinya. Tetapi.. di mana pula nak diletakkan mesin basuh itu? Kamar mandi memanglah tidak muat. Dapur itu juga sudah sendat.
Basuh dengan tangan dalam keadaan kamar mandi sesempit itu? Memang taklah!
Ah! Hujung minggu, bawa aja kain baju balik rumah daddy. Basuh kat sana, detik hati Afyra sendiri. Malas mahu memeningkan kepala.
“Fakhri,” panggil Afyra dari dapur.
“Apa?” lelaki itu sekadar menjawab tanpa memunculkan diri.
“Tolong baiki pintu bilik air ni. Dah nak rosak,” ucap Afyra agak kuat.
“Hmm.. nanti aku buat.” Fakhri menjawab malas.
Afyra segera ke hadapan. Lelaki itu dijengahnya. Bukan main sedap melingkar di atas kerusi panjang itu. Mata sudah layu. Mengantuklah tu! Dah kenyang, kan?
“Mohon pergi membuta dalam bilik sana. Aku nak kemas kat depan ni,” ucap Afyra geram.
Fakhri bangkit. Memang dia mengantuk benar. Mahu tidur sekejap. “Kejut aku sebelum tengah hari ya? Aku nak tidur sekejap aja,” ucap Fakhri perlahan.
Afyra hanya memandang suaminya berlalu. Kemudian dia memandang tempat Fakhri berbaring tadi. Kusyennya sudah tidak betul letak duduknya. Bentuk kusyen sudah leper dek kerana selalu sangat dihenyak tubuh manusia.
Afyra terus duduk sambil membetulkan kusyen itu. Satu demi satu bahagian dikerjakan. Ada sahaja ideanya mencantikkan ruang tamu. Sedar tidak sedar, masa sudah berlalu. Sudah jam 10 pagi. Rumah itu sudah mula terasa bahang. Hanya setelah dia selesai memasak makan tengah hari barulah dia dapat merehatkan diri.
“Panasnya,” keluh Afyra tidak selesa.
Di dalam kamar dia lihat Fakhri tidur terlentang tanpa berbaju. Menggeleng sahaja wanita itu. Dia mencapai tuala. Sementara lelaki itu lena, dia menanggalkan pakaian di dalam kamar itu.
Bahang panas itu juga telah menyedarkan Fakhri dari lena. Badannya berpeluh. Kamar itu sudah berkuap panas. Fakhri terus bangun. Sudah hampir jam 1 tengah hari rupanya.
“Mana pulak minah ni? Tak kejut aku.” Fakhri membebel sambil menguap. Terus dia berjalan ke dapur. Juga tiada kelibat Afyra.
“Pergi kedai agaknya,” ucap Fakhri sendiri. Dan pintu kamar mandi diselak Fakhri.
“Arghh!!!!”
“Arghh!!! Ada perempuan bogel. Tolong!!!” Fakhri ikut menjerit ala-ala perempuan. Tapi mata terbuntang! Suara menjerit pun macam dibuat-buat.
“Kenapa kau buka ha? Bagilah salam!” Afyra terus menarik semula pintu sehingga tertutup.
“Mana boleh bagi salam kat bilik air. Siapa suruh kau mandi bogel?” ucap Fakhri dari luar.
“Diamlah. Bilik air dahlah tak boleh kunci. Sikit lagi nak tercabut. Aku suruh kau baiki, kau buat pekak aja,” bebel Afyra dari dalam.
Fakhri berlalu sambil menggaru kepalanya. “Kalau baiki tak dapatlah tengok tayangan gambar percuma.” Fakhri bercakap seorang. Namun baru sahaja sampai ke hadapan, dia berjalan terkepit-kepit mendekati kamar mandi itu semula.
“Fira..” panggil Fakhri.
“Nak apa lagi??”
Fakhri tidak menjawab. Sebaliknya dia menyelitkan satu jarinya dicelahan pintu yang tidak rapat.
“Aku nak tumpang buang airlah. Tak tahan dah ni.”
“Lantaklah situ.” Afyra menjawab selamba.
Demi mendengar ayat ‘lantaklah situ’ itu, Fakhri nekad menyelak semula pintu kamar mandi. Terus sahaja dia masuk.
“Fakhri!!!” kelam kabut Afyra mengambil tuala.
“Ia!!! Aku tak tahan nak kencing,” balas Fakhri separuh menjerit. Dan seluar terus dilondehkan.
“Mommy!!!” makin kalut Afyra melihat gelagat Fakhri. Sambil membalut tubuhnya dengan tuala, dia menggelupur keluar.
Fakhri tersenyum kelegaan. Tetapi kemudian dia menoleh ke belakang. Afyra sudah tiada di dalam kamar itu.
“Dah habis mandi ke, mak cik?”
“Dah kau menyempit dalam tu, macam mana aku nak mandi??” balas Afyra agak kuat.
“Kau buat apa tadi? Senyap aja. Bunyi air pun tak ada.” Fakhri bersuara lagi.
Afyra diam sahaja. Takkan nak beritahu??
Usai melepaskan hajat, Fakhri keluar dari kamar mandi itu. Tersengih-sengih dia memandang Afyra.
“Cantik kau berkemban,” ujar Fakhri.
Afyra meluru ke kamar mandi. Tubuh lelaki itu ditolaknya agar tidak menghalang laluan masuk ke kamar mandi itu.
“Tepilah! Sibuk aja. Time orang nak mandi, time tulah dia nak melepas!”
“Amboi.. marah. Puji pun marah,” omel Fakhri perlahan. Baru sahaja dia mahu berlalu, Afyra tiba-tba menjerit.
“Fakhri!!! Apa tu???”
Meluru lelaki itu sebagai penyelamat. Namun belum sempat dia membuka pintu Afyra terlebih dahulu keluar.
“Ada ulat gonggok jatuh dekat kolah!!”
“Ha??” Fakhri ternganga. Ulat gonggok pun takut?
“Cepatlah pergi buang. Aku takut!” tegas Afyra lantas menolak suaminya ke dalam kamar mandi.
“Ulat gonggok pun takut?” ejek Fakhri.
Namun sebaik sahaja terlihat ulat gonggok itu, Fakhri ikut bertempiaran keluar.
“Dah ke?” tanya Afyra panik.
“Belum. Kenapa besar sangat ulat gonggok tu? Ada dua pulak tu!” ucap Fakhri dengan muka semacam. Dari mana datang ulat gonggok sebesar itu? Dan dia tidak pernah berjumpa ulat gonggok yang besarnya sampai sebesar ibu jari dan panjang hampir sejengkal begitu.
“Cepatlah buang!!” gesa Afyra sudah tidak tertahan. Geli geleman entah kenapa. Alamat tidak mandi seminggulah dia kalau ulat itu masih ada di dalam sana. Rajin sangat menyelongkar, inilah padahnya. Segala macam binatang keluar apabila sarangnya diganggu.
“Kejap. Aku perlukan stamina nak membuang makhluk tu.”
“Takkan kau pun takut juga??” tanya Afyra terkejut.
“Besar kut ulatnya!” jawab Fakhri dengan mata membulat.
“Kalau kau pun takut, macam mana? Siapa nak buang ulat tu? Perlu ke kita panggil bomba semata-mata untk buang ulat tu?” tekan Afyra sudah panik.
"Takkanlah kena panggil bomba pulak!" 
Mahu tidak mahu Fakhri masuk semula ke kamar mandi. Dikuisnya ulat itu dengan berus sehingga jatuh ke lantai. Tetapi terjatuh pula dihujung kakinya. Terpandang itu, Afyra mula terkinja-kinja menjerit lalu bertempiaran lari ke kamar.
Fakhri ternganga. “Ulat tu jatuh kat kaki aku. Tapi dia yang menjerit bagai nak rak. Inilah yang dikatakan jodoh. Cubit paha aku, paha dia yang sakit. Ulat jatuh atas kaki aku, kaki dia yang rasa geli,” bebel Fakhri seorang diri. Ulat itu dikuis berkali-kali sehingga terkeluar dari kamar mandi. Barulah disapu masuk ke penyodok sampah sebelum dibuang.
“Mak cik, dah buang dah ulatnya.” Fakhri sekadar melaung dari dapur kepada isterinya.
Tidak sampai sepuluh saat, Afyra muncul dengan riak wajah manis sekali. “Kau dah halau ulat tu, pak cik? Kau ni memang beranilah.”
Afyra sempat tersenyum kepada lelaki itu sebelum berlalu ke kamar mandi. Fakhri ternganga sedikit. Hanya sekadar membuangkan ulat gonggok, senyum Afyra menjadi teramat manis sekali kepadanya. Sehingga dirasakan, dari mata cinta telah jatuh ke hati!



3 ulasan: