Ahad, 20 November 2016

BAB 13 MR. CRUSH

BAB 13
SEDANG mereka berbual di meja itu, telefon Raid berdering.
“Sekejap. Adik saya call.”
Fareena sekadar mengangguk sambil mencapai garfu. Baki kek di dalam piring itu dinikmatinya sementara menunggu Raid menjawab panggilan. Raid bangun meninggalkan meja itu. Fareena terus memerhatikan gelagat Raid. Sekejap menggaru kepala. Sekejap mengusap rambut.
Tidak lama kemudian barulah lelaki itu kembali semula ke meja itu.
“What happened? Macam baru lepas kena marah aja?” tanya Fareena sambil tersenyum.
“Adik saya Amanda memang serupa dengan mama saya. Suka membebelkan saya.”
“Why?”
Raid ketawa perlahan. “Saya baru lepas kena paw dengan girlfriend saya. So, dia marahlah. Sebelum saya datang ke sini tadi saya temankan dia pergi shopping. Macam-macam dia minta kat saya. Waktu cikgu call tadi, saya dah nak naik marah dengan dia.” Raid ketawa pula.
“Kenapa pulak?”
“Dia nak beli barang-barang perempuan. Saya ni mana ada duit sangat. Lepas saya janji dengan cikgu nak datang sini tadi, saya bagi semua duit saya kat dia sebab tak mahu dia merengek dengan saya. Dapat duit, dia diamlah.”
“Really?” Fareena ketawa gelihati.
Raid sekadar menggeleng. Kena marah pun tak apa. Janji adiknya sanggup menolongnya. Cuma, bab Natasha dia susah hati.
“Ceritalah sikit tentang makwe kesayangan you tu.”
Raid segera memandang Fareena. “Dia budak tahun dua. Saya baru kawan dengan dia sebulan sebenarnya.”
“Mesti cantik orangnya, kan?”
Raid sekadar tersenyum. Cantik? Ia. Memang cantik gadis itu. Dan ditambah pula Natasha memang pandai bergaya. Gadis siswi itu mudah mendapat perhatian lelaki sekelilingnya. Sayangnya perhatian Natasha hanya kepada dia.
“Cantik seorang perempuan ni subjektif. Kadang kala bila pandang buat pertama kali, hati mudah rasa terpaut. Tetapi lepas tu jemu. Susah nak lekat di hati,” ucap Raid perlahan.
“Jadi apalah maknanya berkawan kalau you cepat rasa jemu.” Sambil bertongkat dagu wanita itu merenung lelaki di hadapannya itu. Cukup membuatkan lelaki seorang itu gabra serta merta.
Raid berdeham sedikit. “Saya kawan dengan ramai perempuan. Tapi tak mampu kekal lama. Saya lekas bosan,” ucap Raid rendah.
“Bahaya lelaki macam you ni. Playboy ke you ni?” komen Fareena perlahan.
Raid ketawa pula. “Saya ni playboy amatur kut. Duit pun tak ada. Pinjam kat adik. Mengayat tak pandai. Dulu saya pernahlah jumpa seorang awek ni. Tapi waktu tu terjadi perkara yang amat memalukan. Sampai sekarang saya tak pernah lupa. Nak jumpa dia pun saya malu.”
“Jadi apa?”
“Saya buang air kecil depan rumah dia. Terpaksa. Sebab dah tak tahan,” jawab Raid perlahan.
Spontan meledak gelak Fareena mendengar itu. Masih ingat lagi Raid akan peristiwa itu rupanya.
“Sampai ke pagi I gelak. I pergi kursus tak tidur disebabkan you punya perangai. You sebut semula. I pun dah tak boleh tahan nak gelak lagi ni, Raid.”
Raid tersengih-sengih sambil menggaru kepalanya.
“But it’s okay. I rasa you ni lucu sebenarnya. Bila you marah, you lebih suka diam. Kadang-kadang kalut. Pemalu dengan I.”
Senyum Raid memudar sedikit demi sedikit. “Cikgu masih ingat tentang saya?”
“Ia.” Fareena menjawab sepatah.
Terkebil-kebil Raid memandang tampang si perempuan. Istimewakah dia sehingga Fareena masih ingat sebegitu banyak tentang dirinya?  
“Kenapa you pandang I macam tu?”
“Tak ada apa-apa.” Raid pantas menggeleng.
“I nak jalan-jalan kat luar. Jom?”
“Okay.”
Fareena segera melambai pelayan. Pelayan terus datang membawa bil. Sekeping kad diletakkan di atas folder hitam itu.
“Esok you ada kelas?” tanya Fareena sementara menunggu pelayan itu membawa kadnya semula.
“Esok ada kelas sampai petang.”
“Dinner dengan I? Kalau nak ajak makwe you pun okay. Boleh berkenalan dengan dia sekali.”
Macam nak gugur jantung Raid mendengar itu. Ada ke nak ajak minah seorang itu? Memang taklah!
“Tengoklah.”
Fareena menoleh semula saat pelayan datang ke meja itu. Kad kreditnya diserahkan semula sementara pelayan itu meminta tanda tangannya. Peluang itu digunakan Raid untuk memerhatikan wanita itu puas-puas. Resah benar hatinya saat ini.
Salahkah apa yang sedang dibuatnya ini? Bagaimana dengan Natasha? Teman lelaki Fareena? Salahkah kalau dia mengutamakan hatinya terlebih dahulu?
“Come, Raid.”
Raid terus bangun mengekori wanita itu. Tidak sedar. Berada di belakang Fareena matanya terus memerhatikan sekujur tubuh itu. Berkali-kali cuba mengalihkan pandangan. Tetapi gagal. Dilamun asmarakah dia?
Lalu bagaimana untuk dia mendapatkan wanita idaman hatinya dalam keadaan mereka begini? Entah. Dia hanya ingin menggunakan masa ini untuk menggembirakan hatinya.

BERGEGAS pulang setelah habis kelas. Dah tak sabar nak berjumpa perempuan seorang itu. Teman sebilik yang baru sampai pelik melihat Raid sudah bersiap dengan baju lain.
“Kau nak pergi mana?”
“Ada janji,” jawab Raid ringkas.
“Dengan Tasha ke?”
Raid sekadar menggeleng sambil memandang cermin. Rambutnya disapu gel sebelum disikat kemas.
“Lain macam aja ni? Ada marka baru ke? Selalu keluar dengan Tasha tak macam ni pun,” tegur Jamal hairan.
Raid menyengih di cermin.
“Lantak hanglah, Raid. Marka hang tu sumbat mulut dia dengan duit, dia diamlah.” Jamal menghela nafas perlahan.
Tiba-tiba telefon Raid di atas katil bujangnya berbunyi. Raid segera mendekat. Ingatkan Fareena yang menghubunginya. Rupanya orang lain!
“Adoii.. dia call lagi!” rengus Raid bosan.
Jamal tergelak geli hati melihat gelagat Raid.
“Jawablah.. marka call tu.”
Mahu tidak mahu Raid menyambungkan talian.
“Abang..” sapa Natasha cukup riang.
“Ada apa?”
“Rindulah dengan abang.”
“Ada apa? Abang busy ni. Cakap cepat!”
“Dinner sama nak? Tasha nak ajak abang pergi Padang Kota.”
“Alahai.. Tak bolehlah. Abang busy ni. Baru balik dari kelas. Lepas ni ada hal lagi. Tahun depan ajalah ya?”
“Abang nak pergi mana pulak?” sayup-sayup suara si perempuan bertanya.
“Abang ada tuisyen dengan cikgu abang. Penting ni. Esok pun ada tuisyen lagi ni. Nanti abang call ya? Bye..” ujar Raid selamba. Talian terus dimatikan.
Bersiap bukan main bergaya lagi. Macam nak jumpa ‘marka’ bak kata orang utara. Begitulah Raid. Padahal nak pergi ‘bertuisyen’ bak katanya kepada Natasha tadi. Janji nak makan malam bersama.
“Aku pergi dulu.”
“Hah! Pergilah cepat. Karang menunggu pulak marka baru hang tu, Raid.”
Raid tersengih lebar mendengar kata-kata Jamal. Berkobar-kobar dek kerana mahu lekas tiba. Dia tiba di perkarangan Royal Swiss Hotel ketika itu sudah pun menjelang waktu solat maghrib. Sempat menumpang solat di surau lobi.
Sepuluh minit sebelum jam 9 barulah dia keluar dari surau. Fareena sudah menunggunya di lobi.
“Sorry. Saya solat sekejap,” sapa Raid lembut.
“Tak apa.” Fareena beri senyum lembut.
“Kita ke mana?”
“You yang duduk sini. I nak tanya you soalan tu,” ucap Fareena lantas ketawa kecil.
“Oh ya... emm... Bora-Bora boleh ya?”
“Boleh.” Fareena terus mengangguk akur.
Merencana makan malam yang romantis dan istimewa. Tapi soalan Fareena merencatkan seleranya.
“Kenapa tak ajak girl friend you sekali?”
Terkedu Raid serta merta. Bersungguh benar Fareena mahu mengenali Natasha.
“Dia tak tahu you datang sini?”
Raid segera menggeleng. Wajahnya segera berubah kelat. Susah hati. Seronokkah menipu ini? Tidak. Tetapi untuk berterus terang, dia tidak tahan dengan bebelan Natasha nanti. Itu belum lagi dikira asam garam yang memang teramat masin dan masam!
“Tak baik tipu dia. Kesian dia, Raid.”
Raid hanya membisu sambil menyuap makanan. Tidak suka mahu bercakap tentang teman wanitanya itu.
Usai makan mereka melepak di tepi pantai pula. Sementelah masih ramai orang di situ. Tetapi sebenarnya mereka lebih banyak melihat gelagat orang. Nak tengok laut, bukannya nampak apa pun. Gelap!
Duduk di atas batu sambil makan kacang berdua. Seronok!
“Cuti sem nanti universiti ada buat program pergi Cambodia. Sambil melihat tempat orang, buat kerja amal. Saya pergi sekali. Ramai member dari fakulti lain pergi,” cerita Raid.
“Berapa lama?”
“Dua minggu kut,” jawab Raid perlahan.
“So, cuti nanti you tak balik KL?” soa Fareena lagi.
“Lambat sikitlah. Tak balik nanti mama bising.”
Fareena mengangguk. “Seronoklah dapat pergi tempat orang.”
“Cikgu dah pernah pergi Cambodia?” tanya Raid sambil memandang wanita itu.
“Tak pernah pulak terfikir nak pergi sana,” jawab Fareena perlahan.
“Jomlah ikut sekali.”
“Tak mahulah. Segan. I bukan kenal kawan-kawan you. Nanti girl friend you cakap apa pulak?” balas Fareena pantas.
“Dia tak boleh cakap apa. Kena gilir-gilir. Berlaku adil. Dia kena dengar cakap saya.”
“Excuse me?” tekan Fareena pantas. Lain macam pula maksud Raid.
Raid buat-buat memandang ke arah lain serta merta.
"You cakap apa tadi, Raid?" kening Fareena berkerut merenung wajah Raid.
"Err.. Tak ada apa-apalah. Kita cakap pasal lainlah ya?"
"No! I nak tahu apa maksud you kena bergilir-gilir tu. Cepat cakap!"
Alamak.. menyesal pulak aku cakap awal-awal tadi, bisik hati Raid. Kepalanya dikeruk perlahan.
“Kalau cikgu ikut lagi best.”
“Maksud you tadi apa? Jangan tukar topik!” ucap Fareena tidak peduli.
Raid menghela nafas perlahan. Sesak dadanya. Ringan benar mulutnya mahu meluahkan. Tetapi bimbang apa yang diluahkan mencacatkan suasana baik ini. Ah! Ambil saja peluang ni, Raid. Pedulikan orang lain! Hasut hatinya sendiri.
“Saya suka keluar dengan cikgu. Saya tak peduli apa dia orang nak rasa. Saya ni jahat ke? Cikgu datang sini, jumpa saya. Fikiran saya dah tak boleh fikir yang lain. Kalau cikgu pilih orang lain lagi.. saya rasa saya akan jadi gila.”
Fareena terpaku memandang Raid. Terkejut benar mendengar pengakuan itu.
Raid menghela nafas perlahan. Reaksi Fareena begitu, dia mula susah hati.
“Saya minta maaf kalau saya bercakap tentang sesuatu yang tak sepatutnya. Saya tahu cikgu dah ada teman lelaki. Saya kawan dengan ramai perempuan supaya hati saya dapat memilih yang lain dan melupakan apa yang pernah saya rasa waktu saya jumpa cikgu dulu. Saya jauh lebih muda berbanding cikgu. Saya tak ada apa-apa. Saya tahu semua tu. Saya rasa rendah diri bila berdiri di sebelah cikgu. Berbanding lelaki tu, saya jauh ketinggalan.”
Fareena masih terpegun memandang lelaki itu. Matanya tidak berkelip. Membuatkan Raid jadi serba salah. Mungkin wanita itu tidak senang dengan apa yang diucapkan.
“Saya memang dah buat salah. Saya berjanji dengan orang lain. Bukan senang untuk saya batalkan janji saya. Tapi hati saya selama ini, ada orang lain. Apa yang patut saya buat?” ucap Raid perlahan.
Bibir wanita itu bergerak mahu meluahkan sesuatu. Namun dia kelu entah kenapa. Raid tunduk seketika sebelum kembali memandang wanita itu.
“Saya cakap tentang sesuatu yang cikgu tak suka? Saya... saya minta maaf.”
“No! I terkejut, Raid. Perasaan you I tak mampu baca selama ni. I tak mampu teka,” balas Fareena perlahan.
“Kalau ada seseorang yang mampu menyentuh hati seseorang biarpun sekadar dari jauh, I rasa youlah orang tu. Kadang-kadang I teringatkan you. Edin pernah cakap dengan I waktu I tanya tentang you pada dia. You biarkan I dengan Hairi sebab you tak akan ada selalu dengan I,” ucap Fareena lagi.
“Saya dengan teman lelaki cikgu, saya rasa saya amat kekurangan,” balas Raid rendah.
“No! I boleh datang sini tanpa call you. You tahu betapa seksanya bila dalam hati ada orang lain tapi kita berjanji dengan orang lain? I pun pernah rasakan begitu. Tapi hubungan I dengan Hairi sangat sulit untuk dibincangkan,” ujar Fareena lagi.
“Cikgu ada masalah dengan Hairi?”
Fareena membisu tanpa memandang Raid. Namun kemudian dia kembali mengangkat wajah.
“Dia tak boleh terima keputusan I sebab tu I lari ke sini. I pilih di sini sebab ada you di sini.”
Wajah Raid berubah sedikit. Ceria. Seolah-olah ada maksud yang sedang diutarakan Fareena. Dia tidak bertepuk sebelah tangan sendirian. Tetapi dia tahu masih ada yang ingin diluahkan wanita itu kepadanya. Fareena membuang pandang. Lama dia berdiam. Memandang orang yang lalu lalang sekitar mereka.
“I ada rahsia yang tak ramai orang tahu.”
Raid mengangguk sambil terus memandang Fareena. Menanti kata-kata yang seterusnya.
“Ayah I meninggal waktu umur I 12 tahun. Dua tahun kemudian mama bernikah lagi dengan seorang pegawai polis. Bapa tiri I tu rupanya ayah kandung Hairi. Kami tak pernah tahu pun. Hairi pun tak tahu sebab dia dah lama tak jumpa dengan ayah dia.”
Berubah sedikit wajah Raid mendengar itu.
“Tapi bukan kenyataan itu yang buat I tak mampu terima Hairi lagi.” Fareena tunduk semula. Susah nak berterus terang. Aib itu terlalu besar. Melibatkan maruah dirinya.
“Waktu I berusia 15 tahun, I ada masalah besar dengan famili. Ayah tiri I tak macam orang lain. Dia...” Fareena menarik nafas dalam-dalam.
Terkedip-kedip mata Raid merenung wajah perempuan itu. Tidak sabar mahu mendengar lagi tetapi dia lihat Fareena sudah tidak tentu arah.
“Dia jatuh cinta pada I.”
Spontan ternganga Raid. Terkejut besar mendengar kenyataan itu.
“I tak mampu nak sebut, Raid. I minta maaf.” Fareena segera memandang ke arah lain. Matanya sudah mula berkaca.
“It’s okay.”
“You mesti tahu siapa I sebenarnya. I tak mahu you menyesal kemudian hari.” Fareena mengusap matanya seketika sambil menghela nafas perlahan.
Raid terdiam semula sambil menelan liur.
“I tak boleh terima Hairi kerana dia akan mendekatkan I dengan bapa tiri I. Sedangkan selama ni mama dah cukup susah cuba menjauhkan I dari lelaki tu. Kalau boleh I tak mahu jumpa dia sampai bila-bila.”
Raid terpaku begitu sahaja dengan cerita itu. Menjadi mangsa kerakusan bapa tiri bukan satu cerita baru di dalam dunia ini. Dia tidak sangka Fareena salah seorang daripadanya.
“I rindukan mama. Waktu I sendirian, I selalu ingat dia. Dia hanya seorang perempuan. Dari rahim dia juga lahir anak-anak lelaki tu. Demi adik-adik I, dia terpaksa biarkan I hidup di luar seorang diri.”
“Maksudnya?”
“I pernah hampir diperkosa ayah tiri. Itu hanya secebis cerita tentang sisi gelap dia. Waktu mama bekerja, dia selalu balik ke rumah lepas I habis sekolah. I tak dapat bayangkan betapa teruknya keadaan I waktu tu. Hidup dalam rumah tapi rasa macam hidup di neraka. I hidup dalam ketakutan bila dia balik ke rumah. Lepas kejadian tu, I beritahu mama. Kami buat laporan polis. Tapi dia masih boleh datang ke balai dengan senyum senang. Bersalam-salam dengan pegawai polis yang lain. Macam tak ada apa-apa berlaku. Tak ada bukti fizikal, dia boleh baik ke rumah macam tu aja lepas disoal siasat. Tapi di rumah, dia ugut mak I. Dia akan buat betul-betul apa yang kami tuduh dia ketika di balai waktu tu.”
“Waktu tu mak I mengandung anak dia.” Fareena tunduk seketika.
Raid benar-benar kelu mendengar itu.
“Mama cuba minta cerai. Dia kata, dengan senang hati dia akan beri apa yang mama nak. Tapi lepas dia dapat I. Dia tak akan berhenti cari I. Mak I takut apa-apa terjadi pada I, dia buat permohonan masuk ke MRSM lepas I habis PMR. Semenjak itu I lebih banyak tinggal di asrama. Bila I makin dewasa, mama makin takut I terjumpa dia semula. Mama tak bagi I balik rumah. Dengan dia, kami tak tahu mana nak lari, Raid. Dia bukan macam orang lain. Mama terus hidup sebagai isteri dia, sebab takut dia apa-apakan adik-adik I kalau mama tak ikut cakap dia. Dia tahu itu kelemahan mama. Mama merayu pada dia supaya jangan ganggu I lagi. Dia pernah janji dengan mama tak akan ganggu I lagi asalkan mama tak cerita tentang itu pada orang.”
“I masih ingat dia kata pada kami, dia sedia mengaku bersalah jika dituduh. Lima tahun penjara tak apa-apa untuk dia. Kesalahan itu hukumannya tak seberapa. Tapi lepas itu, dia akan cari I semula. Itu janji dia. Mak I jadi takut.”
“Astaghfirullah...” ucap Raid benar-benar terkejut.
“Itu sisi gelap dia yang semua orang di luar ni tak tahu. Di mata orang dia nampak baik. Berkaliber sebagai pegawai tinggi. Tapi hakikatnya, dia tak ubah seperti musang berbulu ayam. Sebab dia, I tak dah lama tak jumpa mama. Tak jumpa adik-adik I. Kami hanya berjumpa waktu dia tak ada di KL ni. Mama I tak tahu di mana I tinggal selama ini. Hairi tak tahu siapa ayah kandung dia yang sebenarnya. I tak boleh nak cerita pada dia supaya dia faham. I takut dia akan buka rahsia ni pada orang lain.” Fareena teresak kecil.
Hampir saja jemari lelaki itu mahu memegang pipi itu. Tapi Fareena segera berpaling. Tidak mahu dirinya disentuh. Raid menelan liur. Tidak jadi mahu meneruskan.
“Don’t cry..” ucap Raid perlahan.
Fareena menggeleng perlahan sambil menarik nafas. “Sorry...”
“It’s okay. Saya tak tahu yang cikgu pernah lalui semua tu. Sebab itu ke cikgu susah nak terima lelaki?”
“Kalau you jumpa mana-mana wanita yang pernah jadi mangsa kerakusan lelaki, you tanya apa perasaan dia. Itulah yang I rasa selama ni. I tak suka orang pandang I ni perempuan sempurna. Sebab I tak macam tu.”
Raid mengangguk tanda sudah mengerti kedudukan yang sebenarnya. Simpati. Tidak sangka di sebalik senyum yang murah selama ini, ada duka yang tersimpan lama.
“Saya tetap sukakan cikgu,” ujar Raid setelah beberapa detik mereka berdiam.
Fareena kembali memandang Raid. “You masih ada teman wanita dan I masih ada Hairi dalam hidup I.”
“I don’t care!” jawab Raid spontan.
“Saya jujur dengan perasaan saya. Saya happy dengan cikgu. Saya tak peduli siapa cikgu dulu. Saya nak berlaku adil pada diri saya sendiri. Saya tak mahu melukai hati saya sendiri demi sejarah yang dah tak boleh diubah. Saya tak cari perempuan yang sempurna kerana saya pun terlalu banyak kekurangan. Cikgu tahu tak? Mama saya cikgu juga. Papa saya pernah cerita... dia pernah kena tampar dengan datuk saya sebab mengurat cikgu di sekolahnya. Tapi sekarang wanita tu adalah mama saya sekarang,” ucap Raid lembut.
“Really?” terbuntang sedikit mata Fareena mendengar itu. Raid ketawa kecil. 
“Tasha macam mana, Raid? I kesiankan dia.” Nada Fareena kembali merendah. Merampas teman lelaki orang lain, tidak pernah dia termimpi untuk berbuat begitu. Terasa kejam benar dirinya kepada kaum sejenisnya.
Spontan Raid menghela nafas panjang. Kepala rasa berat apabila nama itu diperdengarkan semula.
“Beri saya masa. Insya-Allah saya akan cuba selesaikan masalah saya dengan dia.”
“Yang lain?”
“Yang lain apa?” Raid memandang Fareena sambil melopong sedikit.
“I tahu you ada ramai girlfriend, Raid.”
“Oh.. emm... mana cikgu tahu?” Raid menggaru kepalanya seketika.
Fareena memandang lelaki itu dengan ekor mata. Raid tersengih seketika.
“Nadia, Johanna, Nisa, Mariani... emm...” Raid mengira dengan jarinya sambil cuba mengingati siapa lagi yang ketinggalan.
“Ramai lagi ke? Perlu ke kita duduk sini sampai pagi esok semata-mata untuk menyenaraikan nama-nama teman wanita you?” perli Fareena dengan kerlingan ekor mata. Pemalu konon. Beratur juga teman wanita dia!
Raid ketawa pula. “Semua nama tu dah tak wujud dalam hidup saya. Saya pernah berkawan sekejap aja dengan dia orang.”
“Iya ke?” perli Fareena.
“Ada yang tinggalkan saya sebab boring. Saya ni hangat-hangat tahi ayam aja bila berkawan.”
“Maksudnya?”
“Saya tak boleh beri komitmen. Nak mesej selalu, kena berdating setiap hari. Kena belanja makan. Kena bawak pergi shopping setiap minggu baru nampak macam sayang. Saya tak mampu. Ex girlfriend saya kebanyakannya kaki shopping. Itu tak peliklah. Memang perangai kebanyakan perempuan begitu. Saya kena temankan dia orang dari satu kedai ke satu kedai sehari suntuk. Okay.. saya boleh paksa diri saya untuk buat semua tu. Tapi yang saya tak tahan, dompet saya yang kempis lepas tu. Ada yang cakap saya ni kedekut. Dia orang tak tahu papa saya punya marah bila saya mengadu tak ada duit. Yang rabak, lubang telinga saya. Saya cuba nak gembirakan perempuan yang dekat dengan saya. Tapi kalau tabiat bershopping tu dah jadi mercu tanda kegembiraan, macam manalah saya nak tahan? Saya ni mana ada kerja. Amandalah selalu jadi mangsa. Dah macam kaunter ATM dia tu saya buat. Hutang saya dengan dia pun dah banyak!”
 Fareena ketawa pula mendengar celoteh Raid. Sempat juga meluahkan perasaan tentang bekas-bekas teman wanitanya.
“I pun suka shopping. Tapi waktu ada sales ajalah,” ujar Fareena perlahan. Dia lebih suka pergi seorang diri berbanding seret teman lelaki. Dia bebas mahu beli apa dan ke mana saja yang dia mahu.
 “Err... tapi kalau cikgu nak pergi shopping, ajaklah saya. Saya tak kisah. Gadai seluar dalam pun saya sanggup asalkan dapat bawak cikgu pergi shopping.”
Meledak tawa Fareena mendengar kata-kata Raid. “Dengan orang lain you kedekut. Dengan I tak apa pulak!”
“Cikgu lain sikit. Cikgu saya sayang.” Raid menyengih lebar. Bukan main kembang setaman lagi hatinya.
“Tapi I ni kiranya macam skandal ajalah, kan? Orang lain tak tahu yang I wujud dalam hidup you.”
“Nanti saya up gradelah status tu. Insya-Allah..” Raid menyeringai seronok. Perempuan yang diidam-idamkan akhirnya datang juga kepadanya. Datang menyerah dengan rela hati!
“Tapi Hairi...” keluh Fareena perlahan. Raid sekadar memandang perempuan itu.
“Kalau boleh I katakan yang I dah buat kesilapan yang teramat besar tentang dia. I dengan dia tak macam orang lain.”
“Maksud cikgu?”
Fareena memandang Raid. “Dulu I beri peluang kepada diri I sendiri untuk kenal dia sebab I rasa dia lelaki terbaik untuk I. I tak cintakan dia. I cuba buka pintu hati untuk terima dia lebih dari seorang kawan. Tapi waktu I sedang praktikal mengajar tiga tahun dulu, dia buat hubungan dengan kawan sepejabat dia. Lepas I jadi cikgu di sekolah sekarang, kami tetap berhubung macam biasa. Tapi tiba-tiba ada perempuan call I, beritahu yang dia pernah buat hubungan cinta dengan Hairi. I tak boleh lari dari dia, Raid. Berkali-kali I minta dia lepaskan I, sampai sekarang dia terus memaksa. I layan dia hambar pun, dia tetap nak kahwin dengan I. I dah tak tahu apa nak buat.”
 “Dia betul-betul sayangkan cikgu?”
“Iya. You duduk depan I sekarang dan mengaku you ada teman wanita dan pernah ada ramai teman wanita. Hati I tak sakit! Tapi bila you berlagak macam tak ada apa-apa sedangkan belakang you simpan perempuan, there is no second chance for you.”
Raid terdiam. Tegas! Peringatan untuk dia agar tidak menipu.
“Bila dia suka memaksa, dia hanya mengingatkan I pada ayah tiri I. Obses!”
Raid termangu merenung tampang wanita itu. Memikirkan kata-kata yang sesuai untuk diberikan. Tetapi dia pun buntu.
“Beri harapan konon-kononnya suatu hari nanti hati kita akan terbuka untuk dia nyata tak berkesan untuk I dan Hairi,” ujar Fareena perlahan.
“Tak berkesan juga untuk saya dan entah siapa-siapa tu..” sambut Raid rendah.
“Tapi you masih ada ruang untuk lepaskan diri, kan?”
“Mungkin,” jawab Raid sambil mengjongket bahu.
“You masih ingat kali terakhir kita jumpa dulu? Kenapa you cakap begitu pada I. Kata-kata tu betul-betul melukakan, Raid. I call you banyak kali, tapi you tak mahu bercakap dengan I. I rasa lost. I hanya dapat tahu dari Edin you dah tak ada di KL.”
Raid tercengang. Lama dia membisu. Namun kemudian dia tunduk memegang kepalanya. Teringat waktu itu dia mengucapkan kata-kata itu dengan teganya. Tidak lain tidak bukan, dia cemburukan lelaki itu. Kecewanya makin parah.
“I’m so sorry. Sesetengah perkara tu memang susah nak diterima. Lebih-lebih lagi bila saya nampak cikgu dengan Hairi hari tu. Saya rasa rendah diri. Saya orang yang tak ada apa-apa berbanding dia.”
“Sesuatu yang I amat suka dengan you semenjak dulu, you seorang yang honest. I masih ingat waktu you jatuh kat taman dulu.” Fareena ketawa serta-merta.
“Sebenarnya I rasa lucu sangat waktu tu. I nak gelak tapi tak sampai hati. I nampak you betul-betul kesakitan.”
Raid tersengih. Dua hari dia tidak dapat duduk dan berjalan dengan betul. Tambahan pula esoknya dia kena bekerja. Bertambah seksa hidup diakibatkan kecederaan waktu itu.
“Saya teringat cikgu pegang kondom dulu. Waktu tu pun saya rasa nak berguling gelak.”
Meledak lagi tawa Fareena. Hampir lelaki itu mahu dicubitnya.
“Sebenarnya I tak tahu apa yang I belek waktu tu. Fikiran tak tahu kat mana. I tak baca pun apa yang tertulis di kotak tu walaupun konon-konon macam baca sangat. Youlah punya pasal. Ingat orang tak perasan dia asyik pandang. I sampai naik segan. Terpaksa buat-buat belek gula-gula kat situ. Penat I control ayu. Sudahnya dapat malu.”
Terhambur gelak Raid pula mendengar kata-kata Fareena. Al kisahnya ada orang kawal ayu. Patutlah jadi begitu!
Tidak sedar rupanya sudah tengah malam. Masih ramai orang di sekeliling mereka. Masa terus berlalu seperti tidak terasa. Tetapi perpisahan sementara itu mesti dilakukan juga.
“Jomlah balik. Dah lewat ni. You pun ada kelas esok, kan?”
“Okay, sayang..”
“Apa dia?” Fareena memandang Raid semula.
“Hah! Dengar tu.. dengar! Bunyi ombak kuat!” Raid cepat-cepat bangun dan membetulkan bajunya.
Fareena menggeleng sambil tersenyum. Sengal! Mereka berjalan kembali ke hotel. Singgahan terakhir malam itu adalah di lobi.
“So, I’ll see you later?”
“Up to you..” jawab Fareena lembut.
“I’ll call you.”
Fareena mengangguk dengan senyum senang. Lelaki itu jelas sekali teragak-agak mahu meninggalkan dia di lobi hotel itu. Kalau bukan disebabkan pekerja di kaunter daftar masuk sibuk menjengah, agaknya kakinya masih terpasak di lantai lobi itu.
“Saya balik ni..”
“Ia, Raid. Please, go now. Dah lima kali you cakap nak balik. Baliknya tak juga. Silakan..” jawab Fareena sambil tersenyum-senyum dengan gelagat lelaki itu.
“Aik? Macam menghalau aja tu? Karang sayang tak nak balik karang. Eh! Tersasul. Ada ke sayang pulak perginya. Saya!”
“Ialah... I percaya you tersasul tadi.”
“Bye...”
Fareena menggeleng lantas ketawa. “Please go. I takut staff tu angkat phone call your mother.”
“Okay, saya balik sekarang.” Dan Raid terus berlalu dari situ. Fareena ketawa lagi. Malam ini sudah banyak kali perutnya sakit akibat ketawa. Tidak disangka. Lelaki itu ada sedikit menyalin watak Edin. Takutkan emaknya!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan