Ahad, 20 November 2016

BAB 11-12 MR. CRUSH

BAB 11
TELEFON berbunyi, lekas-lekas disambut oleh Fareena. Nombor ibunya tertera sebagai pemanggil.
“Mama..” sapa Fareena setelah memberi salam.
“Reen, mama dah masukkan duit dalam akaun. Nanti tengok ya? Duit kereta pun mama dah bayar.”
“Tak payahlah masukkan duit lagi. Reen dah kerjalah, mama. Reen boleh bayar,” ucap Fareena bersungguh.
Puan Shahira menghela nafas perlahan. “Mama rindu, sayang.”
Fareena mendengus. “Ada apa, ma? Nanti pak cik marah mama pulak.”
“Mama cakap sungguh ni. Kalau boleh mama nak jumpa Reen.”
“Nanti kalau pak cik dapat tahu macam mana?” ujar Fareena bersungguh. Siapa cakap dia tidak rindukan ibu kandungnya ini. Terlalu rindu. Tetapi memikirkan lelaki seorang itu, dia serik!
“Mama minta maaf, sayang. Reen apa khabar? Reen sihat?”
“Reen okay aja ni. Anak-anak mama okay ke?” balas Fareena biasa.
“Adik-adik Reen okay aja. Tak mahu datang jumpa Ferhad?” tanya Puan Shahirah lembut.
Fareena diam pula. Pedih hatinya datang semula. Ferhad, Firshah dan Fahmi itu adik beradik seibu tetapi tidak sebapa dengannya. Tetapi mereka tidak rapat. Dia masih punya dua adik tiri yang tinggal bersama ibu dan bapa tirinya itu.
“Nantilah, ma. Tunggu orang tua tu pergi ke mana-mana baru Reen datang.”
“Ialah. Mama sayang Reen. Mama rindukan anak mama.”
Air mata Fareena hampir gugur mendengar itu. Dia tahu ibunya tidak berdaya. Sama seperti dia.
“Mama jangan risaukan Reen. Reen tahu jaga diri. Mama pun jaga diri ya? Reen rindukan mama,” ucap Fareena sambil mengusap air mata yang sudah bergenang.
“Nanti mama call lagi. Assalamualaikum..”
Fareena memandang telefonnya agak lama. Sebuah helaan nafas dilepaskan. Termenung mengingatkan ibunya. Kadang kala ingin meluahkan rasa. Tetapi dia tidak mahu mamanya bimbangkan dia.
Seketika kemudian Fareena terpandangkan asap memenuhi bahagian dapur rumah.
“Eh! Kuali aku!” cepat-cepat dia bangun menuju ke dapur. Kuali yang dipanaskan tadi sudah berasap akibat terlalu panas. Api dapur lekas dimatikan.
“Dah tak ada mood nak memasak,” rungut Fareena seorang diri.
Sudahnya dia naik ke atas. Membuka komputer ribanya. Melalui internet dia memeriksa akaun banknya. Emaknya memasukkan wang sebanyak 5 ribu ke dalam akaunnya.
Wang sebagai pengganti kasih sayang. Dia sudah lali dengan itu. Selepas emaknya berkahwin dengan lelaki berpangkat tinggi itu, terjadi sesuatu yang besar dalam keluarga. Dia dimasukkan ke MRSM oleh mamanya.
Semenjak itu dia lebih suka berjauhan dari keluarga barunya sehingga kini. Sedikit demi sedikit dia mula belajar hidup sendiri. Sehinggalah dia jadi seperti mana dia sekarang. Sedih? Ia. Tapi alah bisa tegal itu sudah biasa!

SELESAI waktu rehat, Edin kembali semula ke kelasnya. Sewaktu melintasi bilik guru, dia memandang ke dalam. Terlihat Cikgu Fareena sedang bersiap untuk ke kelas. Mereka terserempak di pintu.
“Hai, cikgu.”
“Baru nak masuk kelas?” tegur Fareena sambil memandang jam di pergelangan tangannya.
“Saya keluar lambat tadi.” Edin menjawab sambil terus berjalan.
"Emm.. Edin." Fareena memanggil semula.
Edin segera menghentikan langkahnya. Lantas memandang guru itu semula.
"Raid apa khabar?"
"Dia okay aja. Abang Raid dah balik ke universiti. Kenapa cikgu tanya?" ujar Edin lembut.
"Oh.. cikgu ada call dia. Tapi dia tak jawab."
Wajah Edin berubah sedikit. "Cikgu call Abang Raid?"
"Saja nak tanya khabar dia. Dia tak mahu bercakap dengan cikgu agaknya. Tak apalah. Harap-harap dia baik-baik aja."
Edin membisu sambil menghela nafas. Teringat apa yang diucapkan Raid kepadanya beberapa bulan dulu.
"Cikgu dah ada boy friend ya?"
"Abang Raid beritahu? Edin jangan marah ya? Kadang kala apa yang kita rancangkan tak menjadi seperti yang kita mahukan. Cikgu kenal dia semenjak zaman cikgu di universiti dulu. Abang Raid pernah nampak lelaki tu dengan cikgu."
Edin senyum lembut. "Tak apa. Edin tak marah pun. Abang Raid cakap dengan Edin, dia tak mahu ganggu cikgu. Dia pun tak marah cikgu. Dia tahu lelaki tu lebih sesuai dengan cikgu."
Fareena terpaku memandang pelajarnya itu.
"Raid cakap macam tu?"
Edin mengangguk. "Abang Raid tak mahu Edin masuk campur dalam kehidupan peribadi cikgu. Kita tak boleh paksa orang buat sesuatu yang orang tak mahu. Dia tak mahu cikgu rasa serba salah dengan Edin atau dengan dia. Edin minta maaf ya?"
Fareena terus terdiam memandang raut Edin. Agaknya itulah maksud Raid tidak mahu berjumpa dia lagi selepas ini. Mereka perlu teruskan hidup masing-masing. Seolah-olah tidak pernah kenal dulu.
"Cikgu, Edin nak masuk kelas ni."
"Nanti kejap. Abang Raid study kat mana?"
"USM."
"Ha??" Fareena terlopong. Alamak... jauhnya!
“Kenapa, cikgu?”
“Tak ada apalah. Cikgu saja tanya.” Fareena tersenyum biasa. Tiada lain yang dia mahukan. Semoga Raid tidak membencinya.
“Abang Raid pernah kata pada saya. Kalau dia selalu jumpa cikgu nanti dia jatuh hati pada cikgu. Sebab cikgu cantik sangat.” Edin ketawa kecil. Membesar mata Fareena serta merta. Namun kemudian dia ketawa juga.
“Dia tak mahu kecewa bila cikgu kahwin dengan orang lain.”
“Hish! Cikgu belum nak kahwinlah. Kenapa cakap macam tu?”
“Tapi nanti mestilah cikgu nak kahwin dengan teman lelaki cikgu, kan? Kalau tak, buat apa cikgu bercinta dengan dia.”
Fareena sekadar mengangguk semata. Malas mahu menjelaskan panjang lebar.
“Tak apalah. Abang Raid kata dia tinggal jauh dari cikgu. Dia tak selalu ada untuk temankan cikgu. Yang penting cikgu happy. Saya pergi dulu ya? Lepas ni ada kelas Pendidikan Islam.”
Fareena terpegun memandang Edin. Yang penting dia happy. Itu kata-kata Raid yang dikirimkan kepadanya. Melekat elok di otaknya pula. Kenapa anak muda itu dingin kepadanya? Tetapi sering membuat dia terfikir-fikir?
Entahlah. Dia pun tidak tahu apa istimewanya Raid itu!

KATA Raid lebih setahun dulu, asalkan dia gembira dengan kehidupannya. Tetapi hubungannya dengan Hairi tidak manis langsung dirasakannya. Tidak tahu kenapa. Semakin kosong!
Hairi itu baik. Cukup baik. Tetapi manis bercinta itu tidak pernah dirasainya. Mereka tidak ubah seperti kawan biasa. Tetapi apabila sudah terkeluar ura-ura mahu mengenali keluarga, dia sudah kalut!
“My mom okay. Janganlah risau.”
“Ayah you?” tanya Fareena biasa.
Hairi diam pula.
“Kenapa?”
“Ayah I dah lama tak balik. Dah berbelas tahun.”
Fareena tahu emak dan ayah Hairi sudah lama bercerai. Hairi pernah beritahu dulu. Tetapi lelaki ini jarang bercerita tentang ayahnya.
“Tapi bila sebut hal nak kahwin, kenalah juga bercakap dengan dia, kan?” ujar Fareena agak hambar.
Hairi mengangguk. “Dia jarang datang jenguk kami anak beranak. Dah bertahun. I pun rasa canggung nak call dia. Kat sini pun I tak pernah pergi cari dia. I tak tahu dekat mana dia tinggal.”
“Oh..” nampaknya dia dan Hairi lebih kurang saja. Kedua-duanya berasal dari keluarga yang berpecah belah.
“Orang pangkat dah tinggi. Lupa siapa yang bersusah payah dengan dia dulu.”
“Kenapa dengan dia?” tanya Fareena mula sibuk mahu tahu pula.
Hairi mengangkat pandangan. Kunyahan jadi lambat.
“Ayah I polis. Dulu inspektor aja. Sekarang dah jadi pesuruhjaya.”
Spontan wajah Fareena berubah sedikit. “Ayah you polis??”  
Hairi mengangguk. “Setahu I, lepas dia ceraikan mak I, dia kahwin lain. Lepas itu dia memang tak pernah datang jumpa kami. Dia pindah ke sini.”
Fareena membisu seribu bahasa dengan mata membulat memandang lelaki itu.
“What?”
Fareena lekas-lekas menggeleng. Reaksinya cuba dikawal.
“Jangan salah faham, Reen. I tak benci ayah I. Walaupun dia macam tu, dia yang sara kehidupan I waktu kecil dulu. Dia tak pernah lupa kirim duit. Kadang kala dia call mak I. Dia tetap baik di mata I walaupun dia jarang jumpa I. I tahu dia banyak tanggungjawab lain.”
“Really?” nada Fareena sinis sedikit. Kebetulankah nama bapa tirinya hampir sama dengan ayah Hairi? Dan dia tahu lelaki bernama Fajaruddin itu memang pernah berkahwin dua kali sebelum menikahi ibunya. Anak dari perkahwinan kedua itu kini dijaga oleh Fajaruddin dan mamanya.
Dan lelaki itu jugalah yang... ah! Fareena memejamkan mata. Tiba-tiba kepalanya terasa pening. Mual!
“Reen, kenapa?”
“I nak balik. Tiba-tiba rasa loya.”
Wajah Hairi berubah. Hairan. Tadi Fareena elok sahaja. Fareena terus bangun bersama beg tangannya.
“Macam mana dengan apa yang kita cakapkan tadi.”
“No!” Fareena menggeleng.
“I tak mahu jumpa mak you. Ayah kandung you, Fajaruddin Bin Sulaiman, kan?”
“Eh! Mana you tahu?”
Fareena ketawa sinis. “Dia suami kepada mak I sekarang. Kita putus, Hairi. I tak mahu teruskan lagi. Setahun. Ingat lagi, kan? Masa dah tamat.”
Hairi ternganga luas. Dan Fareena terus berlalu. Hampir tercekik Hairi mendengar kata-kata yang cukup mudah terkeluar dari mulut Fareena. Putus?? Hanya disebabkan itu mereka putuskan hubungan??
Tiba-tiba dia rasa hidupnya telah gelap gelita!


BAB 12
MUDAHKAH untuk melepaskan diri dari Hairi tanpa menjelaskan hal yang sebenarnya? Tidak mudah! Alasan kononnya bapa tiri itu, tidak boleh diterima Hairi. Berhari-hari memujuk rayu sampai dia naik bosan, muak, menyampah dan benci.
“Agama tak melarang pun, Reen. Apa salahnya? Ini tentang hidup kita.”
“Tentang hidup you. I cuma patung aja kat sini.”
Fareena diam. Memandang wajah lelaki di hadapannya ini, membuatkan memori lalu kembali segar.
“Reen, listen to me. I tetap nak kahwin dengan you. No matter what. I tak akan putus asa, sayang.”
Fareena menggeleng pantas. “I tak nak! You tak faham bahasa ke atau you nak I guna bahasa lain supaya you faham? Hairi, I tak cintakan you langsung!” tegas Fareena.
“Kenapa? Hanya sebab ayah tiri you tu ayah kandung I? I tak boleh terima, Reen!” nada Hairi kian menekan. Tertekan dengan keputusan Fareena.
“You tak pernah tanya kenapa ayah dan mak you bercerai?”
“Ayah I ada perempuan lain,” luah Hairi rendah.  
Fareena senyum sinis. Kan bagus kalau lelaki itu ada lagi perempuan lain dan menceraikan ibunya? Supaya emaknya dapat melepaskan diri dari lelaki itu. tetapi jika emaknya melepaskan diri dari lelaki itu, dia yang harus menjadi galang gantinya.
Lelaki itu sudah gila! Hairi mahu mengahwininya tanpa rasa bersalah. Memang agama membenarkan. Tetapi Hairi tidak tahu sisi gelap ayah kandungnya itu. Nafsunya kepada perempuan tidak kira siapa!
“Reen, apa yang patut I buat supaya kita dapat bersama macam orang lain. You tak suka dengan ayah I ke?” ujar Hairi lembut. Mana tahu Fareena membenci ayahnya kerana mengahwini ibu Fareena.
“I tahu you baik, Hairi. Lelaki macam you, biarpun tak ada rasa cinta I akan cuba paksa diri terima you sebagai suami. Tapi sekarang, I minta maaf banyak-banyak. I tak boleh jelaskan apa sebabnya I tarik diri. Tolong lupakan I, Hairi. Apa jadi sekalipun, you mesti lupakan I. I tak akan kahwin dengan you.”
Bahu Hairi melurut jatuh. Impian bahagianya bagaikan sudah ranap menyembah bumi. Wajahnya diraup kasar. Hampa. Terasa mahu menangis. Sampai hati Fareena buat begini kepadanya.
“Hairi, janganlah sedih. You pernah kata dulu, jodoh itu ketentuan Allah. Kita hanya mencuba. Jangan call I lagi, Hairi.”
“No! I tak boleh, Reen. You tahu tak betapa sayangnya I pada you? Hanya disebabkan dia tu ayah tiri you, you buat I macam ni. I pun tak minta keadaan jadi begini!” ucap Hairi benar-benar mendayu.
“You tak tahu kehidupan yang perlu I lalui selepas dia jadi suami mak I! So, please! Jangan tuduh I ni tak rasional,” tekan Fareena.
“Apa maksud you, Reen?”
Fareena menggeleng. Aib dirinya tidak akan dibuka kepada Hairi. Tidak sekali-kali. Dia malu. Tiada siapa dari kalangan teman-temannya yang tahu kisah itu. Hanya dia, mamanya dan Fajaruddin itu sahaja yang tahu kisah itu.
“I’m so sorry. Please let me go, Hairi.”
“No. I sayangkan you, Reen. I akan call ayah I. I nak jumpa mama you.” Hairi ikut bangun apabila Fareena bangkit.
“Don’t do that!”
“I don’t care. I tak boleh terima keputusan you. Dah tiga tahun kita bersama, Reen.”
“Sebelum ni you cakap lain. Sekarang you cakap lain! Jangan desak I. Please, Hairi!!!” ucap Fareena mula tajam nadanya.
“I tak mampu lepaskan you. I terlalu sayangkan you!” tegas Hairi.
“Lepas apa yang berlaku selama ni, you masih nak perbodohkan diri you untuk I??? I tak cintakan you. Open your eyes. There is nothing we can do, about this relationship, Hairi! You tetap nak kahwin dengan I lepas you tahu dia adalah bapa tiri I??? You tahu tak, dialah lelaki yang...” bicara Fareena terhenti setakat itu. Mulutnya terbuka lagi mahu memberitahu tetapi akalnya melarang.
“Dialah kenapa?”
“He is my step father. That’ it! I... I need to go.” Fareena bergegas keluar dari restoran itu.
Di dalam kereta, Fareena menangis. Terlalu marah sehingga air matanya menitis laju. Adakah episod hitam hidupnya masih belum berakhir. Sesuatu yang paling ingin dijauhinya, rupanya ada dekat dengannya selama ini!
Fareena memejamkan mata lama. Terimbau kenangan lama itu. Hampir setahun hidup sebumbung dengan bapa tiri, pernah hampir diperkosa, dicabul kehormatan. Malah lelaki itu mengaku cinta kepadanya! Mengajak membuat anak tiri hubungan sulit, itu sudah acap kali dilaluinya. Lelaki itu tergila-gila kepadanya. Rumah dirasakan macam neraka! 
Pernah mereka cuba mendapatkan bantuan. Tetapi lelaki itu seorang pegawai polis! Undang-undang ada di tangannya. Emaknya terperangkap demi adik-adiknya. Fareena menangis semahu-mahunya. Dia tahu emaknya bertahan demi masa depannya. Tidak mahu bapa tirinya itu mencarinya lagi, emaknya menghantarnya jauh dari keluarga.
“Mama...” Fareena merintih rindu. Ingin benar mengadu. Rindukan dakapan wanita itu. Tetapi dia tidak mahu emaknya menggalas beban yang lebih besar lagi deminya.
Adakah Hairi pernah melalui hidup sepertinya? Dia percaya emak Hairi jauh lebih beruntung daripada mamanya. Dan dia yakin... lelaki bernama Fajaruddin itu akan merestui perkahwinannya dengan Hairi. Namun bukan sebab Hairi itu anaknya. Tetapi kerana dia akan kembali dekat dengan lelaki itu!

“ABANG... cepatlah!”
Raid tayang muka bosan. Helaan nafas panjang dilepaskan tanda sudah jemu dengan gelagat teman wanitanya yang ke tujuh ini. Baru dua bulan berkawan. Tiga orang sudah berjaya direject dengan jayanya. Yang ini pun ada ala-ala nak kena tendang jauh-jauh. Mula-mula dulu sayang. Sekarang rasa nak melayang saja! Yang lain masih tidak reti bahasa walaupun sudah ditepisnya. Jadi dia layankan saja.
“Pergilah dulu. Penat dah jalan ni,” rengus Raid.
“Susah betullah nak ajak keluar sama. Boring!” Natasha membebel sambil menarik lengan teman lelakinya itu.
“Tak payahlah tarik-tarik. Pergi ajalah sana. Tak nampak orang dah bawak banyak barang ni??” tekan Raid sambil menarik semula tangannya.
Natasha mendengus. Terlihat sebuah kedai alat solek dia segera singgah. Mood nak marah tadi reda serta merta setelah dilayani baik oleh pelayan. Raid menghela nafas perlahan.
Habislah duit aku ni nanti... bisik hatinya.
“Tak payah belilah. Mahallah. Saya tak ada duit dah,” rungut Raid kepada Natasha.
“Alah.. tiga ratus aja abang ni.” Natasha merengek.
Raid mendengus. Pelayan itu tetap melayan baik minat si Natasha. Siap diberikan make up percubaan.
“Cantik tak, abang?” Natasha mengerdipkan mata berkali-kali kepada Raid.
Raid menggeleng kesal. “Cantik,” jawabnya rendah.
Kemudian dia duduk di kerusi sebelah Natasha. Bukan lima minit, bukan sepuluh minit tetapi hampir setengah jam sesi bercerita tentang teknik penjagaan kulit. Berkali-kali dia menghela nafas bosan tanda mengajak balik. Natasha buat pekak saja.
 “Amoi... you banyak cantik pakai ini make up. Kasi tunjuk dekat you punya suami.”
“Abang..” Natasha menarik tangan Raid agak lelaki itu memberi perhatian kepadanya.
“Cantik?”
“Hmm...” Raid mengangguk bosan.
‘Tak ada mananya aku nak buat bini kalau dah mantainance macam ni. Asyik kena sawan aja dompet aku..’ bisik hati Raid. Alamat bulan ini terpaksalah buat kerja part time lagi.
“Kalau yang tu?” tanya Natasha.
“Dahlah tu. Abang bukannya ada duit sangat. Nanti tak ada duit nak bayar.”
“Murah aja ni, abang. Please?” rayu Natasha.
Letih menunggu perempuan seorang itu habis melayan minatnya. Dia dah tercongok macam orang bebal di situ. Sudahnya dia bermain telefon. Tiba-tiba ada panggilan masuk ketika dia sedang melayari facebook.
Kening Raid hampir bercantum saat memandang skrin telefonnya. Nama Fareena tertera sebagai pemanggil. Dia termangu seketika sehingga panggilan itu mati sendiri.
‘Kenapa dia call aku?’ Bisik hati lelaki itu hairan. Sudah lama mereka tidak berhubung.
Sudahnya dia kembali menghubungi nombor itu. Tidak lama kemudian panggilannya berjawab. Suara seorang perempuan menyapa hello.
“Jangan kata cikgu call saya untuk cari Edin. Saya bukan di KL sekarang.”
Fareena diam seketika di hujung sana. “I memang nak bercakap dengan you.”
“Oh.. ada apa?” tanya Raid biasa.
“You kat Penang?”
“Ia,” jawab Raid sepatah.
“I pun ada di Penang.”
“Oh..” Raid termangu seketika mendengar itu. Jadi apa tujuannya guru itu memberitahunya?
“You nak jumpa I tak?” tanya Fareena amat perlahan.
“Err...” Raid bangun dari duduk. Menjauhi perempuan di sebelahnya itu.
“Cikgu kat mana sekarang?”
“Batu Feringgi.”
“Err...” Raid menggaru kepala. Nak pergi ke tidak ya? Raid memandang Natasha di sana. Gadis itu sedang menempek make up dengan penuh khusyuk. Raid menggeleng sendiri.
“Kalau you tak free, tak apalah.”
“Pu.. pukul berapa?” tergagap-gagap Raid bertanya. Nafas dihela payah.
“Saya free...” ujar Raid tanpa berfikir panjang.
“What about now?”
Berdebar dada lelaki itu mendengar nada yang cukup lembut itu. Mulalah otaknya haru biru. Ajakan itu kian melambai sukma yang sedang kekontangan.
“Raid?”
“Ia. Saya datang. Err... cikgu kat mana sekarang? Maksud saya di hotel mana?”
“Royal Swiss..” jawab Fareena lembut.
Ternganga Raid serta merta. Tidak susahlah hendak mencari.
“Okay. Saya datang sekarang.” Daripada dia melayan bosan di sini lebih baik dia pergi ke sana.
Talian terus dimatikan. Raid kembali mendekati Natasha.
“Siapa tu, abang?”
“Cikgu abang call. Abang kena pergi ni. Emm...” Raid mengeluarkan dompetnya lalu semua duit yang ada di dalam situ diberikan kepada Natasha.
“Ni duit nak bayar tu. Tasha balik naik ubber ya? Abang tak dapat hantar balik ni.”
“Okay..” Bukan main ceria lagi Natasha menyambut duit itu. Duit, kan? Biarlah Raid nak pergi jumpa cikgu dia ke, doktor dia ke.. yang penting dia dapat membeli belah sakan!
Laju kaki Raid mencari kereta di tempat parkir. Sebelum itu sempat dia membelek dompetnya. Kosong! Raid menggaru kepala.
“Macam mana nak pergi ni?” ucapnya seorang diri.
“Ah! Pau siapa-siapa nanti.”
Mujur jugalah minyak kereta masih penuh. Sebelum menggerakkan kereta, dia mengirim mesej kepada Fareena melalui What’s App. Meminta masa sedikit untuk dia sampai ke sana.
Setengah jam kemudian destinasi yang dicari tiba juga. Tidak perlu susah payah mencari. Wanita itu sedang duduk di lobi membaca majalah. Sudah lama tidak melihat wanita itu, masih sama seperti yang ada dalam fikirannya.
“Cikgu?” sapa Raid sebaik sahaja tiba di sisi Fareena.
“Hai...” Fareena segera menutup majalah itu dan bangun.
“Cikgu datang sini seorang aja ke? Tak bawa kawan tu sekali?”
“Kawan mana?”
Raid mengerut kening. Kalau tidak salahnya, Fareena ada teman lelaki. Masakan datang sendirian?
“I seorang aja. Cuti sekolah ni rasa nak berjalan. I tak kenal sesiapa kat sini melainkan you. So, you betul-betul free ke?”
“Free... free...” jawab Raid pantas. Buat-buat tersenyum. Dalam hatinya terdetik... aku tak ada duit ni. Alamak!
“Betul ke ni? Muka tu semacam aja?” kening Fareena berkerut dengan sedikit senyuman terhias di bibir.
“Betul! Saya free...” Raid segera tersenyum.
“Tapi... nanti tak ada orang marah ke cikgu di sini dengan saya?” tanya Raid pantas.
“I belum ada suami, Raid. Jangan bimbang ya?” Fareena senyum sedikit sebelum berjalan meninggalkan kawasan itu. Raid segera mengekori wanita itu.
Baguslah.. saya pun belum ada isteri, cikgu. Dah ada awek seorang. Itu pun mungkin sedang histeria kat shopping complex. Sikit lagi kena rejectlah tu, bisik Raid sekadar dalam hati.
Di belakang wanita itu Raid kelam kabut memicit telefonnya. Dihantar melalui What’s App beberapa ikon kecil berbentuk ambulan dan ayat..
‘Manda, abang nak pinjam duit ni. Abang dah kena pau kaw-kaw dengan makwe abang tadi!!! Sekarang!!!’
Sesudah itu dia kembali memandang Fareena. Wanita itu menoleh ke arahnya dan melambai. Mengajak berjalan dekat dengannya.
“Lama tak jumpa you. Nampak dewasa sekarang.” Fareena senyum lagi sambil memandang janggut dan jambang yang amat jarang di wajah lelaki muda itu. Dan tidak dinafikan, amat tampan!
“Kita nak pergi mana?” tanya Raid seketika kemudian.
“Makan? I belum lunch lagi.”
Ah! Sudah... Raid dah kalut.
“Sebab I yang ajak you ke sini, biar I belanja okay?” ucap Fareena lagi. Tahu Raid masih belajar. Dan dia bukan jenis perempuan suka mengapur duit lelaki.
“Okay..” jawab Raid selamba.
Mereka duduk di meja yang dekat dengan dinding. Nampak laut dari situ memandangkan hotel itu berada di tempat tinggi.
“Tempat apa yang menarik di sini?”
“Cikgu tak pernah datang sini ke?”
“Lama dulu. Jalan pun tak ingat,” jawab Fareena lembut.
“Banyak. Saya boleh suggest mana yang saya rasa okay.”
Fareena mengangguk. “You di tahun akhir sekarang, kan?”
Raid segera mengangguk.
“So, lepas ni kerja atau sambung lagi?”
“Kerja kut. Kalau nak sambung pun, saya tetap nak kerja dulu,” jawab Raid jujur.
Fareena mengangguk. Zaman bergelar siswi masih ada di mindanya. Bukan senang sebenarnya.
“Cuti sekolah berapa lama?” tanya Raid sambil memandang ke sisinya. Pelayan datang membawa minuman.
“Seminggu.” Fareena mengangguk dengan senyum manis kepada pelayan itu.
“I boring kat rumah. Dah lama tak jalan-jalan,” ucap Fareena seketika kemudian.
“Kenapa tak ajak.. err..” Raid menggaru kepalanya seketika.
“You asyik tanya pasal dia ya? Kenapa?” duga perempuan itu lembut.
“Saja nak tahu. Kebetulan saya pernah jumpa dia,” jawab Raid.
“You pernah kata you tak mahu jumpa I lagi. Kenapa you datang sekarang ni?”
Raid terdiam. Wajahnya berubah. Entah. Dia pun tidak tahu kenapa dia datang. Bukan dipaksa-paksa. Semenjak mendengar suara Fareena di dalam talian tadi, dia memang keinginan untuk datang teramat kuat.
“You ada girlfriend?”
“Emm... ada. Ada.” tergagap-gagap Raid menjawab sambil mengangguk.
Fareena tersenyum melihat gelagat Raid. Nak jawab tak ada tak sampai hati agaknya. Tak sanggup nak menipu.
“Girl friend you tak marah ke you datang sini? Nanti ada orang datang serang I. Tak mahulah I,” duga Fareena.
“Dia tak tahu,” jawab Raid amat perlahan.
Fareena diam merenung lelaki yang memandang ke bawah itu.
“Tak apalah. I tak berniat nak ganggu hubungan you dengan... err.. siapa nama kawan you tu?” ujar Fareena seketika kemudian.
“Tasha.” Raid menjawab sepatah.
“Tasha. Nice name. She is so lucky.”
Raid meneguk liur agak payah. Kenapa nada itu macam sedang memperli dia? Atau dia yang perasan?

Fareena menghela nafas perlahan. Entah kenapa rasa di dalam amat sakit. Hanya mampu berpura-pura tenang. Tetapi dia terasa ingin menangis pula. Masalahnya, kenapa dia terasa mahu menangis pula sekarang?? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan